Khamis, 16 April 2015

Dicekup Ketika Asyik Berasmara


DUNGUN -Tiga pasangan sedang asyik berasmara ditahan dalam keadaan separuh bogel dalam dua operasi berasingan Ops Tapis yang dilakukan di sekitar Paka, di sini.

Tiga pasangan itu antara 23 lelaki yang berjaya ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dungun.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki dan 3 wanita berusia di antara 18 hingga 43 tahun termasuk tiga pasangan kekasih kerana disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah dan berkhalwat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, menerusi operasi pertama serbuan dilakukan di sebuah inap desa di Paka yang berjaya menahan dua pasangan di dalam bilik berasingan.

“Ketika serbuan di bilik pertama didapati seorang lelaki bujang bersama seorang janda berusia 28 tahun sedang berpelukan dan berada dalam keadaan separuh bogel.

“Turut dijumpai 90 biji pil kuda dan 10 gram syabu bersama janda itu.. serbuan dilakukan menggunakan kunci pendua.

“Manakala, di sebuah lagi bilik pasangan muda berusia 18 dan 23 tahun sedang asyik berkucupan dan berpeluk ditahan.. pemeriksaan mendapati terdapat lima biji pil kuda dalam poket seluar lelaki," katanya.

Kata Ahmad Zailani, hasil pemeriksaan air kencing juga mendapati kedua-dua pasangan itu positif dadah dan pernah ditahan  sebelum ini serta kes mereka diserahkan kepada Majlis Agama Islam Dungun kerana disyaki berkhalwat.

“Menerusi Operasi itu juga seramai 13 lelaki ditahan termasuk dua daripadanya berada di luar inap desa yang diserbu, manakala selebihnya di sekitar Paka dan kesemua mereka disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, serbuan kedua yang diketuai Inspektor Mohd Ridhuan Ismail bersama tujuh lagi anggota dilakukan di Nibong stesen iaitu di dua rumah berasingan berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia 20 tahun.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 20 tahun dipercayai pengedar dadah bersama rampasan tiga botol heroin dengan anggaran berat 15.3 gram.

“Manakala di sebuah bilik sepasang kekasih berusia 20 dan 22 tahun ditahan dalam keadaan sedang berpelukan selain ketika itu terdapat ibunya di dalam rumah berkenaan yang disyaki bersubahat," katanya.

Kata beliau, pasangan tersebut didapati positif dadah manakala seorang lagi lelaki berusia 29 tahun turut ditahan di luar rumah.

Seterusnya serbuan dilakukan ke sebuah lagi rumah dan pihak polis berjaya menahan dua lelaki serta empat botol heroin dengan anggaran berat 31 gram bersama 170 biji pil kuda yang diletakkan di dalam beg sandang.

“Pasangan kekasih itu turut diserahkan kepada Majlis Agama Islam Dungun untuk tindakan lanjut dan kesemua yang ditahan juga ditahan reman untuk siasatan seterusnya.

“Kes mereka juga disiasat di bawah seksyen 39 (B)  ADB 1952 dan kesemua yang ditahan juga difahamkan mempunyai rekod lampau serta menjalani tahanan reman dalam tempoh ditetapkan,” katanya.-SH


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines