Rabu, 29 April 2015

Skodeng di Masjid


Kuala Terengganu: Seorang remaja lelaki terkantoi apabila dicekup ketika mengintai seorang wanita di dalam tandas dalam kejadian di Masjid Kampung Bukit Tok Beng, di sini, Ahad lalu.

Tabiat buruk remaja berusia 18 tahun itu dikesan seorang lelaki ketika menemani isterinya yang masuk ke tandas masjid berkenaan jam 1.30 petang.

Suspek dari Kampung Manir, di sini, dikatakan mengintai mangsa berusia 21 tahun yang masuk ke tandas di masjid itu tanpa menyedari perlakuannya itu diperhatikan lelaki terbabit yang menunggu isterinya di luar bilik air.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya yang berusia 26 tahun dikatakan berhenti di masjid berkenaan kerana mahu menunaikan solat Zuhur.

Katanya, selesai menunaikan solat, wanita terbabit dikatakan ke bilik air sambil ditemani suaminya yang menunggu di luar.

“Selepas beberapa minit mangsa berada dalam tandas, suami wanita itu terlihat kelibat lelaki dalam bilik air itu.

“Bimbang keselamatan isterinya, dia mengambil tindakan masuk ke bilik air berkenaan dan terkejut apabila mendapati seorang lelaki meniarap di atas lantai di hadapan pintu sebuah tandas dalam bilik air itu,” katanya.

Katanya, kerana terlalu asyik mengintai, suspek tidak menyedari perbuatannya diperhatikan dan terkejut apabila ditegur suami mangsa yang mengesyaki suspek sedang mengintai isterinya menerusi ruang bahagian bawah pintu tandas berkenaan.

Beliau berkata, suami mangsa kemudian menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis yang tiba di kawasan masjid berkenaan.

“Suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955,” katanya. -HM

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines