Bukan gambar mangsa sebenar
Puncanya kerana si suami dikatakan cemburu melampau lantaran mengesyaki isterinya main kayu tiga dengan lelaki lain.
Pagi semalam, perasaan cemburu itu dipercayai tidak terkawal lagi hingga dia dikatakan bertindak melampaui batas cuba membakar wanita itu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Abi, Padang Machang di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
“Pada masa kejadian, seorang jiran mendengar pasangan itu bergaduh besar sebelum bertindak masuk ke dalam rumah berkenaan kerana risau berlaku perkara tidak baik. Dia terkejut apabila melihat suami isteri itu terbakar di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal , suspek yang juga seorang penganggur berusia 23 tahun itu, dipercayai menyimbah petrol ke badan isterinya sebelum bertindak mencucuh dengan menggunakan pemetik api.
“Namun api turut menyambar kaki dan tangannya mengakibatkan dia sendiri turut mengalami kesan terbakar kira-kira 20 peratus," katanya.
Menurut Abdul Rahman, mangsa pula mengalami kecederaan akibat terbakar kira-kira 85 peratus berikutan api menyambar bajunya menyebabkan bahagian pinggang dan kakinya terbakar.
Katanya, beberapa jiran menolong memadamkan kebakaran sementara menunggu kedatangan bomba dan penyelamat.
“Mangsa dihantar ke Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan rapi sementara suspek masih berada di Hospital Tuanku Fauziah dan akan direman untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, keluarga mangsa sepatutnya mengadakan majlis kenduri kesyukuran semalam bagi menyambut ulang tahun kelahiran wanita tersebut.
Nenek mertua mangsa berusia 70-an berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa yang ke 23 semalam.
Bagaimanapun, mereka sekeluarga dikejutkan dengan kejadian berkenaan.
Menceritakan semula kejadian, ketika itu, dia baru pulang dari pasar sebelum terdengar jeritan orang meminta tolong dari dalam bilik.
“Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan melihat badan mangsa sedang terbakar.
“Cucu saya yang cuba memadamkan api itu juga mengalami kecederaan, sebelum membantu mangsa dengan mengambil air dan mencurahkannya ke badan mangsa,” katanya dalam nada sedih.-SH
Tempat kejadian di rumah keluarga suami seorang wanita yang dibakar
Bakar isteri nikah seminggu
Kangar: “Abang! Tolong, tolong sayang.” Itu jeritan seorang isteri selepas disimbah dengan petrol sebelum dibakar suaminya sendiri akibat cemburu buta di Kampung Abi Padang Machang, di sini, semalam.
Akibat tindakan di luar batas kemanusiaan suaminya pada jam 9.30 pagi itu, tubuh mangsa terbakar 85 peratus dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Difahamkan, pasangan itu baru seminggu bernikah di negara jiran, namun mangsa yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-23 semalam dibakar suami kerana didakwa menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.
Jeritan sayu mangsa, Shafikah Ismail meminta tolong dari dalam bilik didengari nenek kepada suaminya yang ketika itu baru pulang dari pasar.
Nenek suspek yang enggan dikenali berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa ke-23, semalam, tetapi dikejutkan dengan kejadian di luar jangkaan.
Menceritakan kembali kejadian, wanita itu berkata, sejurus mendengar jeritan mangsa dia meluru ke bilik berkenaan dan terkejut melihat badan mangsa sedang terbakar.
“Cucu saya (suspek) juga cuba memadamkan api dengan mengambil air dan mencurahkan ke badan isterinya, dia juga mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Johor dipercayai melecur hampir keseluruhan badan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan.
“Mereka berkenalan di sebuah kolej swasta di Perak sebelum bertunang setahun lalu dan mendirikan rumah tangga lebih awal dengan bernikah di Thailand, seminggu lalu.
“Saya tidak mengetahui punca kejadian itu kerana mereka berdua dilihat mesra dan tidak mempunyai masalah. Kejadian yang berlaku mengejutkan semua ahli keluarga termasuk ibu dan bapa cucu saya yang bekerja di Langkawi,” katanya. -HM