Kuala Lumpur: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib malang yang menimpa seorang lelaki yang bukan saja disamun, dibelasah dan dibogelkan sekumpulan lelaki malah gambarnya dalam keadaan mengaibkan turut disebar di laman sosial.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ran, 27, berkata dia berkenalan dengan salah seorang daripada lelaki berkenaan yang berusia 30-an menerusi laman Facebook dan dijanjikan pekerjaan lumayan di Johor Bahru (JB).
“Ketika itu saya memang sedang dan terdesak untuk mencari pekerjaan. Saya segera menerima tawaran lelaki berkenaan sebelum menaiki bas ke JB untuk berjumpa dengannya.
“Namun sebaik bertemu, baru saya tahu dia sebenarnya adalah seorang penipu yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan memperdayakan orang yang terdesak untuk mencari kerja seperti saya,” katanya menceritakan kejadian yang berlaku awal tahun lalu.
Sebaik kembali ke ibu negara, Ran yang sakit hati memuat naik foto lelaki berkenaan sambil memberi amaran kepada rakan-rakannya agar berhati-hati dengan lelaki berkenaan.
Beberapa bulan selepas itu, lelaki itu menghubunginya dan berjanji untuk membayar ganti rugi dengan syarat mereka perlu berjumpa di sebuah hotel di ibu negara.
Dia yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju berjumpa di sebuah bilik hotel seperti dijanjikan dan sebaik tiba di hotel berkenaan, dia diikat oleh beberapa rakan lelaki terbabit sebelum dibelasah dan dibogelkan.
-HM