KOTA BHARU - Seorang pembuat mozek mengaku tidak salah atas tuduhan merogol kekasihnya yang masih di bawah umur di mahkamah sesyen, di sini, semalam.
Tertuduh, Mohamad Asraf Ibrahim, 21, didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu, Mulong, di sini, pada jam 2 pagi, 28 April 2014.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin memohon kes ditangguhkan untuk pengurusan dan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.
Hakim, Mohd Yusoff Yunus kemudian menetapkan sebutan semula pada 17 September depan dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Faizal Abd Rahman.
Dalam perkembangan lain, seorang pemandu bot pelancong, Muhammad Ramzie Zulkifli, 21, juga mengaku tidak salah merogol kekasihnya yang berusia 15 tahun lima bulan di sebuah rumah di hadapan Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Puteh, antara jam 10 malam dan 12 tengah malam, 15 Ogos 2014.
Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 29 September depan.
Tertuduh tidak dibenarkan jaminan dan tertuduh juga tidak diwakili peguam.-SH
............
Seorang remaja berusia 18 tahun dan seorang pembuat batik berusia 21 tahun menjadi individu keenam dan ketujuh berdepan tuduhan terbabit kejadian rogol beramai-ramai di Ketereh, 20 Mei lalu.
Kedua-dua tertuduh yang beralamat di Taman Binjai Manis, Ketereh, di sini, bagaimanapun mengaku tidak salah atas tuduhan itu di mahkamah sesyen, di sini, semalam.
Remaja 18 tahun itu didakwa merogol mangsa berusia 17 tahun, manakala pembuat batik, Mohamad Faiz Azahan didakwa merogol kedua-dua mangsa berusia 17 tahun dan 15 tahun dalam kejadian sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan rogol itu di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini, antara jam 7.30 dan 11 malam, 20 Mei 2014.
Kejadian rogol tersebut dilakukan dengan kehadiran orang lain. Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 30 tahun, dan boleh juga dikenakan sebat.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Hilwani Mat Rifin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas mereka.
Hakim, Mohd Yusoff Yunus kemudian menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan semula dan tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin. Mereka diwakili peguam bela, Ahmad Zubairi Salleh.
Pada 11 Jun 2014, empat individu iaitu Muhmed Azroel Hassan, 23; Che Azuan Che Hassan, 32, dan dua remaja berusia 17 tahun dihadapkan ke mahkamah sesyen dan majistret, di sini, atas tuduhan merogol mangsa sama pada kejadian sama.
Salah seorang daripada tertuduh berusia 17 tahun itu mengaku merogol mangsa berusia 15 tahun.
Kemudian, pada 9 Julai 2014, seorang lagi remaja berusia 18 tahun menjadi individu kelima berdepan tuduhan merogol remaja yang berusia 17 tahun.
Akhbar sebelum ini melaporkan dua remaja perempuan berkenaan dirogol bergilir-gilir oleh 38 lelaki dalam kejadian di sebuah rumah kosong di Ketereh.
Polis bagaimanapun dalam satu kenyataan media selepas itu berkata, hanya 21 suspek terbabit dalam kejadian berbanding 38 orang yang dilaporkan sebelumnya. -SH