Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Aliff Aziz Mengaku Cepat Jatuh Cinta
- Pengarah Risau 'Oh Mak Kau' Dikatakan Filem Bodoh
- Kejayaan Amy Mastura Kerana Bijak Urus Kerjaya, Rumah Tangga
- Jimmy Shanley Mohon Penjara Bekas Isteri
- 'Aeril Zafrel Tipu Saya, Akan Dapat Balasan' - David Teo
- Cabaran pelawak wanita
- Amirul tak sangka
- Korban simpang
- Mudahnya beli rokok seludup
- DRH tarik pelancong Timur Tengah
- Tiga wanita hilang ditemui selepas satu dekad
- Tarian Gangnam Style tenangkan tunjuk perasaan
- Benua tenggelam 100 juta tahun ditemui
- AS pulangkan tengkorak dinosaur kepada Mongolia
- Lampu malap alat Hafiz untuk panggil kelip-kelip
- Nasib malang kuda Sepanyol
- Kanak-kanak tunjang \Green X\
- Eksperimentasi seorang pensyarah
Aliff Aziz Mengaku Cepat Jatuh Cinta Posted: 08 May 2013 05:38 AM PDT Bagaimanapun Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 22, berkata, perasaan itu tidak akan terjadi jika dia sudah mempunyai kekasih kerana dia merupakan seorang yang benar-benar setia dalam perhubungan. "Dalam ramalan mengenai sifat diri saya yang Aquarius, saya seorang lelaki jenis yang mudah jatuh cinta tetapi akan setia pada yang satu. "Apabila membaca ramalan itu, saya terasa ia benar-benar berkaitan dengan diri saya," katanya. Tambah Aliff, dia juga senang apabila berada di samping wanita yang dicintai yang mampu memberikan sokongan tatkala dilanda susah dan senang. Sementara itu, Alif memberitahu, dia seorang yang sangat terbuka dalam berkongsi hal peribadi menerusi laman sosial agar peminat-peminat dapat mengenalinya dengan rapat. "Saya seorang yang jujur apabila menceritakan hal peribadi dan sangat terbuka tentang perkara itu. "Tetapi keterbukaan itu hanya dilakukan dalam laman sosial seperti di Twitter dan Instagram sahaja. Ia ibarat sebuah diari untuk kita meluahkan rasa sedih dan gembira," tuturnya. Bagaimanapun, kata penyanyi yang popular dengan lagu Sayang Sayang ini, perkongsian yang dibuat itu bukan kerana ingin mencari publisiti murahan. | |||
Pengarah Risau 'Oh Mak Kau' Dikatakan Filem Bodoh Posted: 08 May 2013 05:37 AM PDT Ain atau nama sebenarnya Nurul Ain Nordin, 25, berkata, dia juga tidak sanggup mendengar pendapat umum yang mengatakan OMK merupakan sebuah filem bodoh dan pada masa sama memperkecilkan karya tersebut. "Sejujurnya, perkara yang paling takut saya nak hadapi ialah respons penonton yang menyaksikan filem ini. "Tak tahulah bagaimana rasanya apabila ada yang memperkecilkan filem ini. Lebih-lebih lagi saya seorang pengarah baru. "Dan paling takut apabila orang kata filem saya adalah naskhah yang bodoh," katanya. Ain ditemui pada tayangan perdana filem OMK di pawagam GSC e@Curve di sini pada malam Selasa. Antara barisan pelakon yang turut terbabit ialah Didie Alias, Abon, Syamsul Yusof, Jepp dan Shuib Sepah, Yassin Elias, Faiz Raja Lawak dan Yank Kassim. Dalam pada itu Ain juga berharap agar masyarakat tidak merendahkan kredibilitinya sebagai pengarah filem tersebut. "Alhamdulillah, dengan bekal ilmu pengetahuan pengarahan yang dimiliki ketika belajar di UiTM (Universiti Teknologi Mara), saya aplikasikan ilmu itu ke dalam kerja pengarahan saya. "Saya tahu ada banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, tetapi berilah peluang masa untuk saya belajar agar dapat menjadi pengarah yang lebih baik lagi. "OMK adalah filem arahan pertama saya dan semestinya banyak perkara yang perlu diperbaiki. Saya harap agar peminat seni filem tempatan mempercayai kebolehan saya untuk menjadi pengarah yang lebih baik lagi," ujarnya. Filem yang berkisarkan dua beradik, Sam (Jepp) dan Mun (Shuib) dengan kata simbol mereka, 'kemas balik selepas mencuri' sering mencetuskan kemarahan ibu mereka. Segalanya berubah dengan kedatangan Que (Ain), seorang wanita yang berjaya mencuri hati mereka berdua. Kehadiran Que juga membuatkan Embun (Didie) terasa tergugat kerana menganggap Que cuba menentang dan merampas kawasan miliknya. Filem ini bakal ditayangkan pada 16 Mei ini. | |||
Kejayaan Amy Mastura Kerana Bijak Urus Kerjaya, Rumah Tangga Posted: 08 May 2013 05:36 AM PDT Amy atau nama penuhnya Amy Mastura Suhaimi, 42, berkata, sebagai seorang isteri, ibu, penyanyi dan pelakon, dia perlu bijak membahagikan masa agar kesemua tanggungjawab itu berjalan dengan lancar. "Sebagai seorang wanita, kita mempunyai tanggungjawab besar dalam hal pengurusan rumah tangga lebih-lebih lagi berkaitan anak-anak. "Memandangkan saya juga mempunyai karier sendiri, jadi pengurusan kerja yang baik amat penting. "Pada mulanya mungkin agak sukar untuk membahagikan masa, tetapi lama-lama ia sangat mudah dan kita sudah boleh mengagak dan merancang masa dalam setiap perkara yang ingin dilakukan," katanya. Sementara itu, beritahu Amy , dia juga tidak menghalang anaknya untuk berkecimpung dalam dunia seni lebih-lebih lagi apabila melihat anak keduanya iaitu Adalia, 7, meminati bidang lakonan. "Saya tak pernah menghalang minat anak-anak. Andai kata mereka ingin mengikuti jejak langkah saya dalam dunia seni, saya benarkan. "Asalkan mereka tidak buat benda-benda yang tidak elok sudah cukup. "Setakat ini apa yang saya nampak, Adalia begitu bersemangat dalam hal-hal berkaitan lakonan. Dia juga sebelum ini pernah membintangi teater Gamat bersama-sama dengan saya," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Amy bakal muncul dengan teater Nyonya & The Gang yang bakal dipentaskan bermula 14 hingga 20 Jun depan. Nyonya & The Gang yang merupakan sebuah persembahan teater yang menggabungkan dua cerita dalam satu pementasan turut menampilkan barisan pelakon Mardiana Alwi, Misha Omar, Rozita Che Wan, Taiyuddin Bakar dan Fara Fauzana. "Ini merupakan penglibatan teater 'berat' pertama saya bawakan. Selama ini saya hanya berlakon teater berkonsepkan kanak-kanak. "Harap-harap lakonan saya berkesan dalam teater ini," katanya. | |||
Jimmy Shanley Mohon Penjara Bekas Isteri Posted: 08 May 2013 05:36 AM PDT Akhbar Kosmo! melaporkan Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 32, memfailkan permohonan itu melalui peguam syarie, Mohd Noor Azian Md. Idrus di kaunter Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada Selasa. Mahkamah Tinggi pada 8 April lalu memutuskan Jimmy diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu dengan anaknya. Jimmy bagaimanapun memberitahu masih gagal mendapat hak tersebut dan kecewa apabila tiga kali cubaannya mengambil anak tunggalnya itu untuk bermalam bersama tidak mendapat kerjasama daripada Nursuhaila. "Apabila saya hendak ambil anak ada sahaja alasan yang diberikan oleh bekas isteri termasuk alasan berada di luar negara. Mohd Noor Azian turut memberitahu, Nursuhaila telah menfailkan permohonan untuk menggantung perintah mahkamah dan kes itu akan disebut pada Khamis (esok). Pada 8 April lalu, Hakim Syarie Mawardi Che Man membuat keputusan memberikan hak penjagaan penuh anak perempuan tunggal mereka itu kepada Nursuhaila. Nursuhaila selaku plaintif memfailkan hadanah (hak jagaan anak) pada 18 Oktober 2011 namun Jimmy mengemukakan bantahan berhubung kelayakan bekas isterinya itu untuk menjaga anak mereka. Jimmy dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh. Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober 2012. | |||
'Aeril Zafrel Tipu Saya, Akan Dapat Balasan' - David Teo Posted: 08 May 2013 05:35 AM PDT David yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, MIG berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati niat pelakon itu yang mahu mendalami Islam tetapi dia mengkhianati janjinya dengan membintangi produksi lain termasuklah syarikat dari Hollywood. "Mula-mula Aeril kata mahu belajar agama dan kerana itu dia meminta saya untuk tamatkan kontrak lebih awal. Saya ni kalau bab-bab agama agak sensitif. "Dan sebab itulah saya memenuhi permintaannya kerana menyokong langkah yang hendak diambilnya untuk melakukan sesuatu ke arah kebaikan. "Tiba-tiba saya mendapat tahu dia membintangi sebuah filem di Hollywood pula. Dia sudah tidak memenuhi apa yang dikatakannya sebelum ini," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa. Tambah David, dia mendapat tahu mengenai kerja lakonan Aeril di Hollywood pada akhir tahun lalu. Aeril juga mengesahkan sudah mendapat tawaran berlakon bersama produksi di Hollywood dengan bintang Christina Ricci dan Sharon Stone. Selain merasakan dirinya diaibkan dengan pelbagai tohmahan dan 'cakap-cakap belakang', Aeril dilaporkan berkecil hati dan tidak menyenangi 'budaya' kerja yang diamalkan MIG. Dalam pada itu walaupun Aeril mengkritik MIG menerusi beberapa laporan media, David tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan dengan kenyataan-kenyataan itu termasuklah perbuatannya menipu mengenai sebab-sebab ingin menamatkan kontrak. Beritahu David, dia percaya, setiap perkara yang berlaku terdapat hikmahnya dan individu yang menipu pasti akan mendapat balasan tanpa perlu mengambil sebarang tindakan. "Dia mahu tamatkan kontrak, saya sudah tunaikan janji saya. Walaupun saya diperdaya, tidak apa, balasannya akan datang kemudian. "Saya pun tidak rugi apa-apa. Saya sudah biasa dengan artis-artis di bawah naungan MIG seperti kata pepatah 'kacang lupakan kulit'. "Dalam pada itu, ramai juga artis yang mengikut konsep kami bekerja telah pun berjaya dalam karier lakonan masing-masing," ujarnya. Antara artis-artis popular di bawah naungan MIG ialah Yana Samsudin, Wawa Zainal, Farid Kamil, Angah (Raja Lawak), Along Cham, Nora Danish dan Shaheizy Sam. | |||
Posted: 08 May 2013 05:29 AM PDT
KALI pertama bertemu dengan pelawak Jihan Muse menerusi satu sesi fotografi yang diatur bersama Kosmo! pada minggu lalu, tidak terlalu kelihatan unsur-unsur humor yang ada pada dirinya. Sedangkan ketika melihat aksinya di kaca televisyen atau membuat persembahan di pentas, pasti para penonton tidak kering gusi melihat telatahnya itu. Menurut Jihan, dia sendiri mengakui tidak menjangka mampu bertapak kukuh dalam dunia komedi tempatan sehingga kini, meskipun pembabitannya dalam bidang seni sudah agak lama. "Sebelum menyertai program Raja Lawak 3 pada tahun 2009, saya memang cukup aktif dalam pementasan teater dan langsung tidak terlintas di fikiran untuk menjadi seorang pelawak. "Biasanya, kalau lepak bersama rakan-rakan saya suka membuat lawak dengan mereka. Kemudian saya telah didorong oleh rakan-rakan supaya menyertai ujibakat untuk rancangan tersebut," ceritanya tentang pembabitan awalnya dalam bidang komedi. Bercerita lebih lanjut tentang pembabitannya sebagai seorang pelawak selama empat tahun, Jihan menyatakan ia memberi cabaran yang cukup besar buat dirinya. Sebagai seorang pelawak wanita, ujar Jihan, aksi yang ditampilkan sebenarnya begitu terbatas berbanding lelaki. Sebagai wanita dia tidak boleh terikut-ikut dengan cara persembahan seperti golongan lelaki yang lebih terbuka dan diterima ramai. "Sebenarnya bukan mudah buat pelawak wanita untuk menghiburkan orang ramai kerana sebagai seorang gadis Melayu tentunya saya perlu menjaga tatasusila dan tidak boleh terlalu bebas. "Bagi saya, itu merupakan salah satu faktor utama yang menjadi punca tidak ramai pelawak wanita yang mampu dilahirkan. "Kebanyakan pelawak wanita yang ada sekarang pun semuanya bermula daripada seorang pelakon biasa sebelum terjun ke dunia komedi," ujarnya. Biarpun ia dilihat sebagai satu kelebihan buat dirinya apabila lebih banyak tawaran yang diperoleh, namun dia turut berharap agar lebih ramai pelawak wanita yang muncul.
"Ketika ini sudah ada beberapa rancangan yang diterbitkan untuk mencungkil bakat pelawak dan seharusnya golongan wanita tidak perlu takut mempersembahkan bakat komedi yang dimiliki. "Sekiranya lebih ramai pelawak wanita yang muncul sudah tentu ia akan memeriahkan lagi dunia komedi tempatan. Jadi, tidaklah penonton akan bosan melihat muka yang sama setiap masa," ujarnya. Ditanya sama ada dia mahu terus dikenali sebagai seorang pelawak sahaja, Jihan meluahkan bahawa jauh di suduh hati dia memang begitu teringin membawakan watak yang lebih serius. Bagaimanapun, dia terpaksa akur apabila tidak ramai pengarah yang mahu memberi kepercayaan buat dirinya kerana label pelakon komedi yang sudah sebati dalam dirinya. "Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam drama-drama yang lebih serius, tetapi tetap diberikan karakter komedi. Kalau boleh saya berharap agar dapat mempelbagaikan watak lakonan supaya kerjaya saya dalam bidang seni lebih berkembang. "Lagipun, saya begitu yakin dapat membawakan lain-lain watak berdasarkan pengalaman saya dalam teater dan masih aktif sehingga sekarang. Saya memang sangat menantikan kalau ada pengarah yang dapat memberikan satu watak yang berbeza," luahnya. Jaga penampilan Jika melihat kepada penampilan Jihan sewaktu mula-mula muncul dalam industri hiburan dan sekarang tidak dinafikan terdapat begitu banyak perubahan pada dirinya. Menurut pelawak berusia 30 tahun itu, sebelum ini dia agak kurang menitikberatkan tentang penampilan diri kerana beranggapan seorang pelawak tidak perlu terlalu kelihatan cantik dan bergaya. "Dahulu, saya tidak begitu mementingkan sangat tentang penampilan dan kecantikan, tetapi sekarang saya rasa perlu membuat perubahan supaya mendapat keyakinan diri yang lebih tinggi ketika membuat persembahan. "Antaranya, saya kini memakai pendakap gigi dan sekiranya mempunyai masa terluang saya akan menghabiskan masa untuk pergi ke spa atau salun kecantikan," ujarnya. Menurut Jihan, memandangkan rezekinya dalam bidang seni sekarang yang semakin murah, dia juga tidak lokek untuk berbelanja membeli pakaian yang sesuai untuk kelihatan bergaya. "Saya tidak mahu penonton beranggapan seseorang pelawak itu mesti nampak selekeh bagi membuat orang ketawa. Sesuatu persembahan komedi itu tidak dinilai berdasarkan penampilan, tetapi ia lebih kepada isi kandungan persembahan," jelasnya. Berhenti kerja Sebelum bergiat aktif dalam dunia lakonan, ramai yang sudah mengetahui bahawa Jihan pernah menjawat jawatan Penguat Kuasa Bangunan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama empat tahun. Memandangkan kerjaya seninya yang semakin berkembang dengan pelbagai tawaran yang diperoleh, akhirnya dia meletakkan jawatan tersebut pada tahun 2011.
"Selepas bertanding dalam Raja Lawak 3, saya masih meneruskan kerjaya saya di MBSA. Ketika itu banyak juga tawaran yang terpaksa saya tolak kerana perlu memberi komitmen terhadap kerjaya. "Selepas dua tahun akhirnya saya mengambil keputusan nekad untuk berhenti kerja kerana mahu lebih serius dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang seni," ujarnya. Menurut Jihan, dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk meletakkan jawatan kerana tidak begitu yakin karier seninya itu mampu pergi dengan lebih jauh. "Secara jujurnya, saya tidak berani kerana risau sekiranya tersilap langkah. Bagaimanapun, selepas berhenti kerja, tiba-tiba saya rasa menyesal pula kerana tidak membuat keputusan terlalu awal," ujarnya. Mengenai perkembangan kerjayanya pula, Jihan meluahkan rasa gembira kerana kehadirannya dalam industri semakin diterima ramai dengan pelbagai tawaran yang diraihnya. Tambahnya, namanya juga kini menjadi sebutan apabila aksi parodi yang dilakukannya menerusi rancangan MeleTOP mendapat sambutan baik dan begitu diminati penonton. "Setakat ini saya mendapat tahu memang ramai yang suka aksi parodi (lakonan semula secara sinis) saya itu. Begitu juga dengan artis-artis yang saya tiru itu, mereka turut memberi maklum balas yang sangat positif," jelasnya. Berkenaan jadual lakonannya pula, Jihan menyatakan dia baru sahaja selesai penggambaran drama berjudul Diandra dan kini dia berlakon dalam drama Fira Ayuni untuk slot Samarinda di TV3. | |||
Posted: 08 May 2013 05:28 AM PDT APABILA menyebut nama Datuk Ahmad Jais dan Datin Rafeah Buang, kedua-duanya cukup sinonim sebagai ikon sekitar era 60-an dan 70-an. Biarpun kedua-dua penyanyi itu sudah meninggal dunia, tetapi lagu-lagu nyanyian mereka masih lagi terus berkumandang sehingga ke hari ini. Bagi mengenang kembali nostalgia terhadap kedua-dua penyanyi itu, stesen radio Klasik Nasional dengan kerjasama TZ Emas Ventures Sdn. Bhd. telah menganjurkan sebuah pertandingan nyanyian iaitu Irama Kenangan Ahmad Jais dan Rafeah Buang. Menerusi pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri pada 28 April lalu, seramai 10 peserta telah terpilih untuk menyanyikan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Ahmad Jais dan Rafeah Buang. Berlangsung dalam suasana yang cukup sengit, ternyata kemenangan berpihak kepada peserta dari Ampang, Selangor, Mohd. Amirul Husni Mustafa yang baru berusia 20 tahun. Amirul mengalunkan lagu nyanyian Ahmad Jais iaitu Lima Tahun Ku Cari. Menurut Mohd. Amirul Husni, dia sendiri tidak menyangka mampu untuk bergelar juara memandangkan para peserta yang turut bertanding dilihat menampilkan persembahan yang cukup menarik. "Sebelum ini sudah banyak pertandingan nyanyian yang saya sertai, tetapi pada malam ini saya rasa cukup bertuah kerana telah berjaya menewaskan sembilan lagi peserta yang cukup hebat. "Dengan kejayaan ini sudah pasti ia akan menjadi semangat buat diri saya untuk menyertai lebih banyak pertandingan nyanyian pada masa akan datang," ujarnya yang meluahkan rasa gembiranya atas kemenangan tersebut. Ketika ditanya apakah yang membuatkan dia tertarik untuk menyertai pertandingan tersebut, Amirul menyatakan dia dan ahli keluarganya begitu minat dengan lagu-lagu nyanyian Ahmad Jais. Menurut penuntut jurusan perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, usia langsung tidak menjadi penghalang buat dirinya untuk meminati lagu-lagu penyanyi tersohor tersebut. "Antara lagu-lagu Ahmad Jais yang cukup saya minati seperti Lima Tahun Ku Cari dan Gelisah, malah saya begitu kagum dengan suaranya yang mampu menarik ramai pendengar," ujarnya. Sementara itu, Irsa Sahabuddin yang muncul sebagai naib juara dengan membawakan lagu nyanyian Rafeah Buang iaitu Mustika Hatiku tetap berpuas hati dengan kejayaan yang diraihnya itu. Ujarnya, dia memang meminati lagu-lagu lama dan pernah muncul sebagai juara Idola P. Ramlee & Saloma 2007 peringkat kebangsaan dan naib juara Bintang Klasik 2012. "Tidak dinafikan kekuatan saya terletak kepada nyanyian lagu-lagu lama dan itu yang menyebabkan saya tertarik untuk menyertai pertandingan ini," ujarnya peserta yang begitu meminati Ella itu. Sebagai juara, Mohd. Amirul Husni berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan dan sijil, manakala Irsa pula telah memenangi wang tunai RM1,500, piala dan sijil. Tempat ketiga pula dimenangi oleh peserta dari Perak, Jamiah Lambed dengan hadiah berupa wang tunai RM1,000, piala dan sijil. Tujuh peserta lain pula, sekadar membawa pulang hadiah saguhati iaitu wang tunai RM200, baucar membeli-belah sebanyak RM300 dan sijil. Hadiah-hadiah kepada peserta telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Norhayati Ismail yang turut meluangkan masa hadir pada pertandingan tersebut.
Sambutan hangat Pengerusi Eksekutif TZ Emas Ventures Sdn. Bhd., Tengku Zaini Raja Baharudin berkata, selaku penganjur bersama, pihaknya agak terkejut dengan sambutan hangat yang diterima. Ujarnya, sesuatu yang cukup menarik tentang penganjuran pertandingan tersebut apabila pihaknya menerima banyak penyertaan daripada peserta yang masih muda dan berusia 20-an. "Matlamat utama kami menganjurkan pertandingan sebegini adalah mahu mengembalikan nostalgia lagu-lagu nyanyian Ahmad Jais dan Rafeah Buang agar ia terus malar segar. "Bagaimanapun, penyertaan yang cukup ramai daripada golongan muda sudah cukup membuktikan lagu nyanyian kedua-dua penyanyi ini terus mendapat tempat tanpa mengira usia," jelasnya. Bercerita lebih lanjut tentang pertandingan tersebut, Tengku Zaini memberitahu, pada peringkat awal pihaknya telah menerima sebanyak 424 penyertaan. Kemudian para peserta perlu menjalani peringkat saringan terlebih dulu yang diadakan di Auditorium P. Ramlee Angkasapuri pada 20 April lalu untuk memilih 35 peserta yang layak ke peringkat seterusnya. "Untuk saingan akhir hanya 10 peserta yang terpilih untuk bersaing. Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati kerana semua peserta telah tampil dengan persembahan yang menarik dan bersemangat," ujarnya. | |||
Posted: 08 May 2013 05:26 AM PDT BESUT - Seorang lelaki terbunuh manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda di simpang empat Kampung Gong Duek, Hulu Besut pada kira-kira pukul 9.10 pagi semalam. Mohd. Khairuanuar Hassan @ Shafie, 30, yang memandu Proton Iswara, terbunuh di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Cherang Melintang, Pasir Akar, Hulu Besut untuk menghantar tiga penumpang ke stesen bas ekspres di Jerteh. | |||
Posted: 08 May 2013 05:23 AM PDT KUALA LUMPUR - Penjualan rokok seludup di kedai-kedai runcit milik warga asing semakin berleluasa terutama di sekitar Jalan Chow Kit di sini sejak kebelakangan ini. Rokok-rokok berkenaan dijual pada harga jauh lebih murah berbanding rokok yang mempunyai permit iaitu antara RM3 hingga RM5 bagi sekotak berisi 20 batang. Rokok yang mempunyai permit berisi 20 batang berharga antara RM8 hingga RM10.20 sekotak. Difahamkan, rokok seludup itu datang dari negara Myanmar, China, Indonesia dan Kemboja. Selain menyalahi undang-undang, kandungannya juga dikhuatiri mengandungi bahan kimia lebih berbahaya kerana ia diadun secara tidak terkawal dan boleh menjejaskan kesihatan dalam jangka masa singkat. | |||
DRH tarik pelancong Timur Tengah Posted: 08 May 2013 05:22 AM PDT KUALA LUMPUR - Destination Resorts and Hotels (DRH) berhasrat menjadi salah satu pendorong pencapaian kunjungan 36 juta pelancong asing ke Malaysia yang disasarkan kerajaan menjelang tahun 2020. Ditubuhkan oleh cabang pelaburan kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Bhd., DRH adalah perancang utama, pelabur dan pembangun destinasi mewah bersepadu di Malaysia, dengan pembangunan utama termasuk Desaru Coast, The Little Red Cube dan Traders Hotel Puteri Harbour di Johor dan Teluk Datai di Langkawi. Pengarah Urusan DRH, Nadziruddin Basri berkata, antara usaha yang diambil ialah penglibatan DRH dalam Pasaran Pelancongan Arab (ATM) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 6 hingga 9 Mei lalu bersama Tourism Malaysia dan delegasi dagangan pelancongan lain. "Menurut laporan Tourism Malaysia, seramai 356,674 pelancong Timur Tengah telah mengunjungi Malaysia tahun lalu, meningkat 29 peratus berbanding tahun sebelum. "Iran merupakan penyumbang tertinggi, diikuti Arab Saudi, Oman, Iraq dan Pakistan," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam. | |||
Tiga wanita hilang ditemui selepas satu dekad Posted: 08 May 2013 05:19 AM PDT
CLEVELAND, Amerika Syarikat - Tiga wanita yang diculik sedekad lalu ditemui dalam keadaan masih hidup di sebuah rumah di sini kelmarin. Polis berkata, pihaknya menahan tiga adik-beradik lelaki termasuk seorang pemandu bas berhubung kehilangan mereka. Tiga wanita tersebut iaitu Gina DeJesus, 23, Amanda Berry, 24, dan Michelle Knight ditemui dalam keadaan sihat. Media AS melaporkan, Berry hilang pada 2003 manakala DeJesus pada 2004 ketika mereka masih di usia remaja. Stesen televisyen CNN pula melaporkan bahawa Knight didapati hilang pada 2000 pada usia 20 tahun. Menurut polis, mereka menyerbu kediaman tersebut selepas menerima panggilan kecemasan daripada Berry. Wanita itu dibebaskan daripada kediaman itu oleh seorang jiran yang terdengar jeritan mangsa. "Tolong saya! Saya Amanda Berry, saya diculik dan hilang selama 10 tahun. Saya kini bebas," menurut rakaman percakapan Berry dengan operator perkhidmatan kecemasan 911. Semasa membuat panggilan tersebut, mangsa mendedahkan nama penculiknya dan memberitahu, dia berada di luar rumah tempat dia dikurung. Berry juga merayu polis supaya segera ke tempat kejadian. Jiran berkenaan, Charles Ramsey memberitahu dalam wawancara bersama CNN, dia melihat Berry berusaha untuk keluar daripada pintu rumah yang belum terbuka sepenuhnya apabila tiba di kediaman tempat mangsa dikurung. "Saya melihat dia panik dan seboleh-bolehnya mahu membuka pintu dan keluar dari rumah itu," kata Ramsey. Menurut lelaki tersebut, dia melihat Berry muncul daripada kediaman itu bersama seorang budak perempuan. Polis yang menyerbu rumah tersebut tidak lama kemudian turut menemui DeJesus dan Knight. Ketiga-tiga wanita itu kemudian dibawa ke sebuah hospital dan berada dalam keadaan selamat. "Kita jarang mendengar kisah penculikan seperti ini berakhir dengan selamat," kata pegawai hospital berkenaan, Dr.Gerald Maloney. Beliau enggan mengulas laporan media bahawa dua kanak-kanak turut ditemui bersama tiga wanita tersebut di kediaman itu. Tiga suspek yang masing-masing berusia 50, 52 dan 54 tahun kini ditahan untuk soal siasat. Seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai Ariel Castro, 52, yang merupakan pemandu bas sekolah awam di sini. | |||
Tarian Gangnam Style tenangkan tunjuk perasaan Posted: 08 May 2013 05:18 AM PDT SURABAYA - Sekumpulan anggota polis wanita di Indonesia mengambil pendekatan luar biasa untuk mengawal orang ramai yang berhimpun sempena Hari Buruh di Jakarta baru-baru ini. Kumpulan anggota polis wanita itu telah menyelinap masuk ke dalam kumpulan penunjuk perasaan tersebut lalu mempersembahkan tarian Gangnam Style untuk menghiburkan para penunjuk perasaan. Beribu-ribu penunjuk perasaan di bandar Surabaya dekat Jawa timur di sini bersorak kegembiraan apabila kira-kira 80 pegawai wanita tersebut melakukan tarian kuda yang dipopularkan penyanyi rap Korea Selatan, Psy menerusi muzik videonya, Gangnam Style. Sebahagian daripada 5,000 penunjuk perasaan itu kemudian turut tidak melepaskan peluang menyertai anggota polis berkenaan melakukan tarian kuda. Kesemua anggota polis itu memakai pakaian seragam biasa yang berwarna gelap bersama cermin mata hitam dan topi. "Kami telah berlatih sejak tiga hari lalu. Saya fikir ia satu tindakan yang betul kerana berjaya membantu semua orang untuk bertenang dan gembira," kata pegawai tertinggi polis wanita di kawasan tersebut, Elly Wahyuningtyas. Tambahnya, mereka telah melakukan tarian itu sebanyak dua pusingan yang mengambil masa selama setengah jam. "Mereka semua juga kelihatan cantik," tambahnya. | |||
Benua tenggelam 100 juta tahun ditemui Posted: 08 May 2013 05:16 AM PDT RIO DE JANEIRO, Brazil - Ahli geologi Brazil kelmarin mengumumkan penemuan sebahagian benua negara itu yang tenggelam pada kedudukan 1,500 kilometer dari Rio De Janeiro. Penemuan itu mungkin merupakan sebahagian daripada benua yang tenggelam ketika Lautan Atlantik telah membentuk benua Afrika dan Amerika Selatan kira-kira 100 juta tahun dahulu. Seorang pegawai kanan Pusat Perkhidmatan Geologi Brazil (CPRM), Roberto Ventura Santos berkata, beberapa sampel batu granit ditemui pada dua tahun lalu semasa kerja-kerja cari gali dilakukan di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Rio Grande Elevation. Kawasan itu merupakan sebuah kawasan banjaran pergunungan di Brazil dan perairan antarabangsa. Batu granit yang dijumpai itu didapati membentuk benua tersebut. "Kawasan ini mungkin merupakan Atlantis Brazil. Kami hampir pasti, namun hipotesis kami perlu dibuktikan. Kami akan mendapatkan pengesahan saintifik terakhir pada tahun ini dengan menjalankan aktiviti penggerudian di kawasan sama tidak lama lagi," kata laman web berita G1 memetik kenyataan Ventura. | |||
AS pulangkan tengkorak dinosaur kepada Mongolia Posted: 08 May 2013 05:14 AM PDT NEW YORK - Amerika Syarikat (AS) semalam telah menyerahkan semula tengkorak dinosaur yang berusia 70 juta tahun kepada Mongolia. Tengkorak itu merupakan rangka dinosaur Tyrannosaurus yang telah dicuri dari kawasan gurun Gobi di Mongolia dan kemudian dijual di sebuah pusat lelongan di New York. Tengkorak yang hampir lengkap itu merupakan rangka dinosaur Tyrannosaurus bataar yang merupakan dari spesies Tyrannosaurus rex. Ia cuba dilelong dengan nilai AS$1.05 juta (RM3.13 juta) tahun lalu sebelum pihak berkuasa AS mendapatkannya kembali selepas diminta Mongolia. Peguam pendakwa raya terkenal di New York, Preet Bharara berkata:, "AS telah menumpaskan satu sindiket jenayah berkaitan. Kini, kami dengan rasa gembira ingin menyerahkan semula tengkorak yang bernilai jutaan ringgit ini kepada Mongolia." Rangka dinosaur itu akan disambut dengan meriah apabila dibawa pulang ke Mongolia. "Kita tidak pernah memiliki rangka dinosaur untuk dipamerkan di muzium sebelum ini. Jadi kami akan menyediakan sebuah muzium baharu yang dipanggil Muzium Pusat Dinosaur Mongolia. "Rangka Tyrannosaurus bataar akan menjadi bahan pameran utama. Ia akan dipamerkan di muzium ini," kata Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Mongolia, Oyungerel Tsedevdamba. | |||
Lampu malap alat Hafiz untuk panggil kelip-kelip Posted: 08 May 2013 05:13 AM PDT
SUASANA malam di Sungai Cherating, Pahang bergemerlapan dengan cahaya bintang yang memenuhi segenap ruang langit. Peluang seperti itu jarang sekali dapat dilihat di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur. Biarpun namanya jarang didengar, sungai tersebut lebih popular dalam kalangan pelancong asing terutamanya dari Eropah. Terdapat tarikan istimewa di sungai yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) di utara bandar Kuantan dan 16 km dari bandar berdekatan, Chukai, Terengganu. Sungai Cherating ialah sebatang sungai paya bakau yang masih terpelihara struktur semula jadinya daripada pembangunan komersial. Keadaan sungai yang juga bersih tanpa pencemaran menjadi habitat pelbagai spesies flora dan fauna. Setenang suasana yang dirasakan pada siang hari di Sungai Cherating, begitu juga pemandangan indah yang dapat dinikmati pada sebelah malam. Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan menyertai lawatan melihat kelip-kelip di sungai tersebut. Sangkaan awal merasakan lawatan tersebut pasti tidak banyak bezanya dengan pengalaman menyaksikan kelip-kelip di beberapa lokasi lain yang pernah dikunjungi sebelum ini. Namun, segalanya berubah tatkala melihat sekawan kelip-kelip berterbangan ke arah bot yang kami naiki sebaik pemandu pelancong menghantar isyarat cahaya kepada kelip-kelip itu. Terpegun Tiada kata-kata dapat menggambarkan pengalaman menakjubkan yang disaksikan bersama tiga buah bot pelancong lain. Ia ibarat melihat bintang di langit terbang menghampiri pengunjung di situ. Begitulah kebolehan yang dimiliki oleh seorang pemandu pelancong, Mohd. Hafiz Abdul Majid, 43. Mohd. Hafiz yang lebih mesra dengan panggilan Hafiz berasal dari Myanmar. Lelaki yang mendapat pendidikan daripada Universiti Yangon, Myanmar berhijrah ke Malaysia sejak 21 tahun lalu. Bapa kepada tiga anak itu mempunyai kepakaran berkomunikasi dengan kelip-kelip menggunakan empat jenis lampu bercahaya malap yang berbeza-beza. Dengan lapan corak gerakan berlainan, dia menghantar frekuensi cahaya kepada kelip-kelip supaya datang ke arahnya. Komunikasi magis antara Hafiz dengan serangga tersebut membuatkan para pengunjung terpegun dan begitu teruja.
"Saya pernah mencuba teknik yang sama terhadap kelip-kelip di tempat lain namun tidak berjaya kerana setiap spesies mempunyai 'bahasa' berbeza. Macam manusia juga," katanya sambil tersenyum. Kebolehan graduan sarjana muda Sejarah itu pernah disiarkan dalam majalah pelancongan luar negara seperti Lonely Planet. "Pada tahun 2008, secara tidak sengaja saya berjaya menarik kelip-kelip menuju ke arah bot ketika membawa pelancong melihat kelip-kelip pada waktu malam. "Sejak itu, minat untuk mengkaji kelip-kelip kian membara dan saya tidak melepaskan peluang untuk mengikuti Simposium Kelip-kelip Antarabangsa 2010 yang diadakan di Kuala Lumpur," jelas ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Pahang itu sejak empat tahun lalu. Menurutnya, kelip-kelip yang terdapat di sungai Cherating adalah spesies Pteroptyx bearni non-sychronous. Bagaimanapun, kaedah komunikasi tersebut tidak boleh digunakan kepada spesies kelip-kelip lain. Menurut Hafiz, Kebangkitan 8888 di negara kelahirannya pada 8 Ogos 1988 telah membawa Hafiz berkelana ke Malaysia. Kebangkitan 8888 atau lebih dikenali sebagai Pemberontakan 8888 merupakan peristiwa kebangkitan rakyat Myanmar menuntut demokrasi. Kerajaan Myanmar pimpinan Jeneral Ne Win pada ketika itu telah digulingkan oleh pihak tentera. Bagi meleraikan demonstrasi pihak tentera telah membunuh ribuan orang awam termasuk pelajar dan sami Buddha. Ekoran daripada peristiwa berkenaan ribuan mahasiswa meninggalkan Myanmar kerana bimbang terhadap tindak balas pihak pemerintah kepada mereka. Bagaimanapun, kebanyakan mereka pulang ke tanah air selepas keadaan tenang. Selepas menamatkan pengajiannya, Hafiz berhijrah ke negara ini sekali lagi dan bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di Cherating. Lima tahun berkhidmat di restoran itu, beliau meneruskan pengajian jarak jauh di Sekolah Persuratan Antarabangsa Singapura (ICSS). Namun, pengajiannya terbantut di tengah jalan ekoran ketiadaan dokumen perjalanan yang sah. Sementara itu, isteri Hafiz, Zawiyah Ghazali, 29, menyangka Hafiz bergurau ketika mula-mula memberitahu tentang kelebihannya itu. Dia tidak percaya kerana tidak pernah melihat orang lain berinteraksi dengan kelip-kelip sebelum ini. Zawiyah yang turut membantu Hafiz menguruskan perkhidmatan pemandu pelancong itu menceritakan pengalaman manis ketika dikunjungi oleh beberapa orang pelancong dari Perancis. Menurutnya, pelancong tersebut beriya-iya menyatakan tentang kebolehan suaminya dan ada diterbitkan di beberapa buah majalah pelancongan di Perancis sehingga berjaya menarik mereka ke Cherating. "Mereka menunjukkan majalah yang dimaksudkan tetapi kami tidak memahami artikel tersebut kerana ia tidak ditulis dalam bahasa Inggeris. "Ada juga pelancong tempatan yang berseloroh mengatakan Hafiz menggunakan jampi kerana melihat dia menggerak-gerakkan isyarat tangan sewaktu berinteraksi dengan kelip-kelip," katanya sambil tersenyum ketika ditemui di kediamannya di Kampung Cherating Lama baru-baru ini. Sejak mengendalikan perkhidmatan Aktiviti Cherating Hafiz pada tahun 2006, mereka berdua telah mengupah tiga orang boatman untuk membantu Hafiz membawa pelancong asing dan tempatan. Seorang lagi pemandu pelancong berlesen dari Terengganu, Ariffin Hassan, 54, mengenali Hafiz kira-kira enam tahun lalu. Ariffin yang mesra disapa Pak Su memberitahu, Hafiz merupakan seorang pemandu pelancong yang ikhlas menjalankan tugasnya dan mahir mengenai selok-belok kelip-kelip. "Pengunjung dan pelancong yang datang ke sini bukan sekadar melihat kelip-kelip tetapi mengetahui apa itu kelip-kelip. "Apa yang Hafiz buat berbeza dengan pemandu pelancong lain kerana dia mampu menjawab setiap soalan pengunjung tentang kelip-kelip," ujarnya yang turut bekerjasama dengan Hafiz membawa pelancong melihat penyu bertelur di Teluk Mak Nik di Kemaman, Terengganu. Pak Su juga mengakui sikap ramah Hafiz mampu menambat hati pelancong tempatan dan luar berkunjung semula ke Kampung Cherating Lama untuk menyaksikan kelip-kelip. Seorang pelancong tempatan, Jasmine Lau, 43, berkata, pengalaman melihat kelip-kelip di Cherating seperti melihat magis, apatah lagi pemandangan malam yang dipenuhi bintang di langit. "Pada mulanya saya agak takut kerana tidak biasa dengan keadaan gelap, namun pemandangan tersebut benar-benar menakjubkan," ujarnya. | |||
Posted: 08 May 2013 05:13 AM PDT
DI penghujung daerah selatan Andalusia di Sepanyol, seorang pengusaha ladang kuda, Virginia Solera, membantu menyediakan kandang bagi kuda buangan yang 'bertuah' ketika era kejatuhan ekonomi melanda Sepanyol. "Beberapa tahun sebelum ini, kami menyelamatkan kuda-kuda yang tidak dijaga dengan baik atau ditinggalkan oleh tuannya. Di Sepanyol, memiliki kuda melambangkan status kekayaan seseorang individu. "Sebelum krisis ekonomi melanda negara ini, ramai orang menyangka saya akan membeli kereta mewah atau rumah besar namun saya membeli seekor kuda," kata Solera ketika ditemui di ladangnya yang dinamakan Alhaurin el Grande. Kebanyakan masyarakat Sepanyol meninggalkan kerja di ladang untuk terlibat dengan industri pembinaan tetapi kehidupan mereka sekali lagi 'terpukul' apabila sektor hartanah jatuh merudum pada 2008. "Akibatnya, kebanyakan mereka yang bergelut dengan masalah kewangan mengabaikan kuda masing-masing termasuk menghantar haiwan tersebut ke rumah sembelihan," ujar Solera. Kuda disembelih meningkat Kerajaan Sepanyol memaklumkan jumlah kuda yang disembelih pada tahun 2012 ialah 60,000 ekor iaitu meningkat dua kali ganda berbanding pada tahun 2008. Seekor kuda yang dinamakan Alegria yang bermaksud gembira tiba di rumah sembelihan milik Solera dalam keadaan giginya rosak teruk akibat meragut tanah untuk mencari makanan. Sementara seekor lagi, Estrella cedera di kaki kiri bahagian depan kerana diheret oleh tuannya yang cuba menjinakkan kuda itu dan kemudiannya berputus asa lalu meninggalkan kuda malang berkenaan begitu sahaja. Kata Solera, pemilik kuda terpaksa meninggalkan kuda yang mereka tidak mahu di kawasan berair dengan harapan haiwan itu mati kebuluran atau lemas. Tidak berapa jauh dari ladang milik Solera, hujan mencurah-curah ke atas kandang kuda milik Manuel Gonzalez Melendi, 68. Gonzalez menunjuk ke arah seekor anak kuda yang baru berusia lapan hari tetapi sudah mula berjalan di padang rumput. Anak kuda tersebut merupakan salah seekor kuda yang masih ada di ladangnya. "Dahulu memang banyak kuda di sini, hampir 100 ekor. Saya selalu jual dan beli kuda. Itulah punca pendapatan saya," kata Gonzalez. Namun segalanya berubah apabila jumlah kuda peliharaan Gonzalez semakin berkurangan. Ia berikutan kekurangan minat orang ramai untuk memiliki kuda.
"Pada hari ini, tiada siapa lagi berminat untuk membeli kuda kerana bekalan makanannya mahal. Jadi, saya terpaksa berhenti. "Saya jual kuda yang ada pada harga rendah dan selebihnya dihantar ke rumah sembelihan," tambah Gonzalez. Gonzalez yang merupakan seorang setiausaha agung Persatuan Aprosa Rumah Sembelihan dan Pemprosesan Daging Sepanyol memberitahu, ketika ekonomi maju di Sepanyol, kebanyakan keluarga memiliki kuda dan menunggangnya pada setiap hujung minggu. "Aktiviti menunggang kuda pada setiap hujung minggu sangat popular kira-kira lapan tahun lalu. "Kuda pada masa itu dianggap perniagaan yang menguntungkan kerana masyarakat pergi ke sekolah kuda untuk berekreasi," kata Gonzalez. Kos tinggi Menurut Gonzalez, pada hari ini, perniagaan melibatkan kuda sudah tidak berkembang kerana pemiliknya memerlukan kos yang tinggi untuk memelihara seekor kuda. "Kos memelihara kuda sahaja sudah mencecah 400 euro (RM1,633) sebulan dan ramai pemilik kuda memilih untuk menjualnya ke rumah sembelihan pada harga RM612 seekor," katanya. Disebabkan daging kuda tidak popular di Sepanyol, 90 peratus daripada hasil sembelihan dieksport ke Perancis dan Itali. "Ekoran krisis ekonomi, semua orang terpaksa membuang barangan yang kurang penting bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Mereka cuba menyelamatkan kereta dan rumah tetapi bukan kuda," kata Solera. | |||
Posted: 08 May 2013 05:12 AM PDT
TANPA bantuan daripada anak-anak kecil dari sebuah sekolah rendah di sekitar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, pastinya persembahan muzikal puisidra dan taripuisi, Green X tidak akan meriah. Biarpun diberi peranan sebagai ranting pokok dan watak ungka, namun khidmat sukarela pelajar tahun empat hingga enam dari Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah itu dianggap begitu besar. Pengurus produksi persembahan Green X, Nadrah Zainal Abidin menjelaskan bahawa tenaga pelakon cilik itu begitu diperlukan bagi merealisasikan persembahan yang berkonsepkan kehijauan alam tersebut. "Tugas mereka sebenarnya begitu besar untuk persembahan ini bahkan menjadi tulang belakang. Sebab itulah latihan diberikan secara intensif kepada mereka. Selain mempunyai peranan sebagai pokok ada juga yang diberi peranan watak ungka. "Mereka juga nampak begitu bersemangat membawa watak masing-masing sepanjang latihan beberapa minggu. Pihak kami mendapat bantuan daripada 22 orang pelajar yang berlakon secara sukarela. "Ibu bapa dan guru-guru mereka juga memberi kerjasama yang baik kerana penglibatan ini sebenarnya boleh mendedahkan pelajar terhadap dunia kreatif," ujar Nadrah. Biarpun mendapat khidmat sukarela, pihak produksi tetap menjaga kebajikan para pelakon apabila akan menjemput dan menghantar murid tersebut ke sekolah sejurus latihan tamat pada setiap dua kali seminggu. Melatih kanak-kanak dalam bidang lakonan bukanlah mudah. Pengarah pementasan itu yang juga merupakan pelajar filem, Shikh Abdull Rashid Shikh Abdullah menjelaskan bahawa melayan kerenah kanak-kanak merupakan cabaran yang besar. "Terdapat dua jenis pelakon yang sukar dikawal dan diberi arahan iaitu pelakon kanak-kanak dan pelakon haiwan. "Namun, kesukaran itu dapat diatasi sekiranya kita dapat menguasai mereka. Bahkan pelajar tersebut juga lebih mendengar kata kerana mereka semuanya bijak-bijak," kata Rashid. Persembahan Green X merupakan projek tahun akhir pelajar ijazah dan diploma modul Pengurusan Produksi, Fakulti Muzik. Mengangkat isu pemanasan global dan alam sekitar, beberapa elemen kesenian digabungkan bersama dalam persembahan yang berdurasi sejam setengah itu. "Ia merupakan sebuah projek persembahan pentas yang merupakan gabungan muzik, teater dan tarian. Bertemakan kehijauan dan alam semula jadi, kanak-kanak tersebut bersama, pemuzik, pelakon, pemuisi dan penari daripada pelbagai fakulti di Aswara akan berkongsi pentas nanti," ujar pengarah artistik, Haziratul Syamimi Ishak. Green X akan dipersembahkan di Panggung Eksperimental Aswara, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada 11 Mei ini pukul 8.30 malam. Masuk adalah percuma. Maklumat lanjut hubungi tenga produksi Green X di www.facebook.com.my/aswaragreenx. Persembahan yang mendapat penajaan daripada Majlis Belia Negara, Yayasan Emkay, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Maya Axis Creative Sdn. Bhd. itu turut diserikan dengan persembahan penutup oleh penyanyi Zainal Abidin. | |||
Eksperimentasi seorang pensyarah Posted: 08 May 2013 05:11 AM PDT KEBANYAKAN pengkarya seni visual memilih alam sekitar sebagai subjek utama karya mereka. Muhammad Rasfan Abu Bakar, 34, antara pengkarya seni yang tidak terkecuali menjadikan keindahan suasana tasik berhampiran rumahnya di Kajang, Selangor sebagai inti pati utama dalam hasil karya seninya. Koleksi karya indah beliau telah dipamerkan di Galeri Seni, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada bulan April lalu. Ia merupakan pameran solo ketiga Muhammad Rasfan. Pameran yang mengangkat tema Lakeside In Gardenia itu menyaksikan kreativiti Muhammad Rasfan menghidangkan permainan warna bersifat sejuk pada pengolahan warna terang yang digarap dengan pelbagai teknik. Menurut Muhammad Rasfan, yang juga seorang pensyarah di Fakulti Animasi dan Multimedia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), sebanyak 36 karya dipamerkan yang berkisar mengenai keindahan, suasana dan landskap tasik. "Sesetengah individu hanya mampu melihat alam semula jadi tetapi saya berasa bertuah kerana berpeluang mengolahnya dalam bentuk catan dan berkongsi dengan orang ramai" katanya kepada Kosmo! Setiap karya yang dihasilkan Muhammad Rasfan menekankan elemen simbol dan makna yang dilakukan berdasarkan pemerhatian beliau terhadap alam sekitar. Bagaimanapun, wujud penghayatan yang berbeza dalam setiap karya memandangkan untuk memahami atau mencerna sesuatu objek seni, orang ramai perlu memahami apa yang cuba disampaikan oleh pelukis itu. "Segelintir pengunjung mengambil masa yang agak lama untuk memahami mesej yang ingin saya sampaikan. "Bagaimanapun, bagi mereka yang mengenali seni mudah saja untuk memahami apa yang ingin saya sampaikan," ujarnya yang turut menyatakan bahawa setiap karyanya diselitkan alunan riak air. Tambah beliau, menerusi pameran secara tidak langsung dapat mengajak pengunjung menggunakan pemerhatian sendiri bagi menghayati elemen-elemen asas seperti warna, bentuk, garisan, tekstur, ruang, tekanan dan penghasilan kesan-kesan tertentu yang mungkin tidak mempunyai sebarang maksud. "Elemen seperti bentuk, warna dan garisan memberi impak yang besar kepada manusia kerana ia terdapat di sekeliling kita," katanya. Sementara itu, menyentuh mengenai proses menghasilkan karyanya, beliau berkata, setiap karya dihasilkannya memakan masa yang lama kerana perlu melalui beberapa proses seperti penghasilan tekstur sebelum diwarna beberapa lapisan. Bagaimanapun, katanya, orang ramai yang meneliti setiap hasil karyanya dapat melihat lapisan awal cat tersebut. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |