Rabu, 15 Mei 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Enggan dikaitkan dengan Ashraf Muslim

Posted: 14 May 2013 12:57 AM PDT



DIA baru sahaja mahu memulakan langkah di bidang lakonan selepas dua setengah tahun meninggalkannya kerana mencuba nasib di awan biru sebagai pramugari Qatar Airways, Sherry Ibrahim kini terpaksa berdepan dengan kontroversi.
Pelakon drama Renjis yang kelihatan semakin cantik itu dikaitkan semula dengan bekas teman lelakinya, Ashraf Muslim.
Sebelum kemunculan nama Sakinah yang mendakwa dirinya bakal mengahwini Ashraf yang kemudian dinafikan aktor kacak tersebut, ada beberapa pihak yang mengaitkan Sherry dengan isu panas itu baru-baru ini.
Kesemuanya adalah ekoran Ashraf yang didakwa bakal berkahwin lain dengan keizinan isterinya, Noor Dayana Lokman, 26.
Kosmo! menjadi akhbar pertama yang meraih respons daripada Ashraf iaitu pada 7 Mei lalu yang mana dia enggan mengulas tentang perkara itu tetapi mengakui rumah tangganya ada isu berbangkit.
Meminta Sherry mengulas mengenai perkara itu ketika dia ditemui pada majlis pelancaran drama Teduhan Kasih di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Sherry berharap agar namanya tidak lagi dikaitkan dengan Ashraf.
Luahnya, sejak putus cinta dengan Ashraf, 32, kira-kira empat tahun lalu, dia tidak pernah berhubung lagi dengan Ashraf
"Sejak berpisah dengan dia (Ashraf) sekitar 2009, kami tidak pernah berhubung lagi. Semuanya sudah berlalu. Walaupun ramai yang kata saya pergi kerana kecewa, itu semua tidak benar. Saya tidak keluarkan apa-apa kenyataan.
"Sejujurnya, saya tidak tahu mengenai gosip Ashraf itu. Sebabnya, saya tidak berapa suka baca gosip-gosip dalam media. Saya pun tidak tahu sudah tiga tahun dia berkahwin. Rasa macam dia baru kahwin sahaja," ungkapnya tentang Ashraf yang telah bernikah dengan Noor Dayana pada 30 Ogos 2011 di Mekah, Arab Saudi itu.
Melanjutkan kata-kata yang lebih matang dari bibirnya, dia memberitahu, ia adalah hak Ashraf untuk berkahwin lagi kerana orang luar tidak tahu mengenai hal sebenar rumah tangga mereka.
SHERRY merupakan pelakon utama wanita drama bersiri, Teduhan Kasih dan dia berpeluang bergandingan dengan Adi Putra.


Kekasih baharu
Sudah mempunyai kehidupan sendiri, Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 30, juga mendedahkan, dia kini sudah mempunyai kekasih.
Kekasihnya itu merupakan seorang lelaki Mauritius yang dikenalinya ketika bertugas sebagai pramugari sejak setahun lalu di syarikat penerbangan Qatar Airways.
"Saya sudah ada kekasih dan kami telah menjalinkan hubungan sejak setahun lalu. Kami kenal ketika saya menetap di Doha," ujarnya yang enggan mendedahkan nama lelaki itu dan cukup sekadar orang tahu dia sudah berpunya.
Tambah Sherry, buat masa ini dia belum terfikir dan merancang untuk berumah tangga.
Mengakui kontrak perkhidmatannya sebagai pramugari Qatar Airways tamat sejak Mei tahun lalu, ujar Sherry, dia mendapat tawaran untuk melanjutkan kontrak tersebut tetapi dia menolaknya kerana ingin pulang ke Malaysia dan berehat panjang.
Ceritanya lagi, kembalinya semula ke dunia lakonan bukan atas kehendaknya tetapi rezeki yang tiba-tiba datang bergolek.
"Saya mula berlakon menerusi drama Setia Hujung Nyawa tetapi watak saya tidak banyak. Drama kedua lakonan saya iaitu Teduhan Kasih baru menguji kredibiliti sebagai pelakon," ujarnya yang membawa watak utama wanita di samping Adi Putra dan Shah Iskandar.
Mengulas mengenai wataknya dalam drama tersebut, Sherry mengakui dirinya agak gementar berhadapan dengan lensa kamera pada awal sesi penggambaran.
"Perasaan gugup itu memang tidak dapat saya elakkan tambahan pula saya diberi watak besar. Empat hari permulaan penggambaran saya akui tidak tahu memberi ekspresi pada watak Iffa.
"Saya akui masih banyak perkara perlu diperbaiki dalam lakonan saya dan mengharapkan lakonan kali ini akan diterima baik penonton," katanya yang mula berlakon sejak tahun 2006 dan kemudiannya menjadi pramugari pada tahun 2010.

Pengacara 'Hijab Stalista' Jauhi Golongan VIP

Posted: 14 May 2013 12:57 AM PDT

Ameera juga model tudung kepada jenama Al-Humairah
PETALING JAYA: Pengacara Hijab Stalista, Nor Ameera Zaini, 24, menganggap tujuan menceburkan diri dalam industri seni tanah air adalah kerana minat yang mendalam dan bukan mengejar populariti atau memasang keinginan mendekati golongan VIP.
Jelasnya, dia seorang yang sukar untuk didekati dan sentiasa menjaga batas pergaulan terutamanya dengan lelaki yang tidak dikenali.
"Saya tahu orang akan berkata jika terlibat dalam industri seni salah satu adalah untuk mencari orang berada, tapi saya bukan begitu, saya bukan wanita metarialistik.
"Saya jenis yang sukar untuk rapat dengan seseorang terutamanya lelaki yang cuba mengenali dengan sesuatu tujuan," katanya ketika ditemui perlancaran program Raudhah Di Hatiku, di sini, Isnin.
Kata Ameera, apa yang lebih penting adalah niat dan matlamat utama berada dalam bidang ini sentiasa diutamakan.
"Ayah banyak beri nasihat agar saya sentiasa berhati-hati dan tidak hilang fokus, lagi pula sekarang saya terpaksa tangguhkan pengajian dalam bidang farmasi di MSU.
"Saya tidak mahu apa yang saya kejar ini menjadi sia-sia kerana hal-hal peribadi," ujarnya.
Sementara itu, Ameera mengakui selama enam bulan mengacarakan rancangan Hijab Stalista memberi peluang kepadanya menjelajahi beberapa negara di dunia.
"Setakat ini kita sudah 17 episod dan sembilan buah negara saya dan produksi sudah pergi bagi melihat perkembangan fesyen muslimah di sana.
"Apa yang dapat saya simpulkan adalah banyak pengajaran yang saya dapat, antaranya bagaimana sesebuah negara yang dikatakan negara Islam tetapi mengharamkan pemakaian tudung di sekolah dan juga masyarakat minoriti di Korea berfesyen ala K-Pop," katanya.
Ketika ditanya tentang peluang mengembangkan bakat kepada bidang lain, jawab Ameera, dia ada menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolaknya kerana belum bersedia.
"Buat masa ini biarlah saya fokus satu-satu dulu, saya belum bersedia untuk menceburi bidang lakonan," katanya.

Status kontrak Pekin di MIG

Posted: 14 May 2013 12:56 AM PDT

PEKIN mengakui Uqasha merupakan pilihan yang terbaik buat dirinya.


BIARPUN baru berkecimpung dalam bidang lakonan, ternyata sudah timbul cerita sensasi mengenai pelakon Nik Uqasha Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen berkenaan kisah cintanya dengan Pekin Ibrahim.
Kisah cinta pasangan tersebut didedahkan apabila gambar mesra mereka berdua sambil berpegangan tangan telah tersebar di internet selepas di muat naik ke Instagram.
Bagaimanapun, ia telah menimbulkan rasa kurang senang pihak syarikat Metrowealth memandangkan Uqasha sudah mengikat kontrak dan kini bernaung di bawah MIG Talent (MIG).
Sehubungan itu, Uqasha pernah membuat kenyataan mahu menamatkan kontrak berkenaan.
Namun ada dakwaan mengatakan Pekin merupakan individu yang bertanggungjawab mempengaruhi kekasihnya itu. Sehubungan itu, apakah pula status kontrak Pekin yang sebelum ini juga mengikat kontrak dengan MIG?
Bagi mendapat kepastian berhubung perkara tersebut, ikuti temu bual bersama Pekin dalam satu pertemuan sewaktu majlis pelancaran filem Tujuh yang diadakan baru-baru ini.
Kosmo!: Bagaimanakah status kontrak Pekin dengan MIG sekarang ini?
PEKIN: Kontrak saya dengan MIG sudah berakhir sejak bulan Februari lalu, tetapi saya bukan artis naungan mereka kerana kontrak yang diikat menyatakan saya akan berlakon sebanyak lima buah filem dengan mereka dalam tempoh setahun.
Bagaimanapun, saya sempat berlakon tiga buah filem sahaja iaitu Cerita Kita, Legenda Budak Hostel dan Paku Pontianak. Kemudian saya ambil keputusan untuk tidak sambung dan pihak Metrowealth melepaskan saya dengan cara baik.
Apakah pengalaman yang dilalui sepanjang bersama dengan MIG?
Saya akui MIG merupakan sebuah syarikat yang sangat bagus dan banyak pengalaman yang saya dapat, termasuk merasai suasana kerja yang berbeza berbanding yang pernah saya alami sebelum ini.
Selain itu, mereka turut memberi kebebasan kepada saya untuk memilih filem dan watak yang ingin saya lakonkan. Jika ditawarkan berlakon dengan Metrowealth lagi, saya sedia menerimanya.

HUBUNGAN cinta yang terjalin antara Pekin dan Uqasha memberi impak kepada MIG.


Adakah benar dakwaan yang mengatakan Pekin telah menghasut Uqasha supaya meninggalkan MIG?
Sudah tentu dakwaan itu tidak benar kerana saya tidak pernah mencampuri urusan kerjaya lakonannya. Cuma, saya ada menasihatinya supaya berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Bagi saya ada kebaikannya juga kalau dia terus bersama MIG. Sebagai seorang pelakon baharu sudah tentu dia memerlukan pihak yang dapat menguruskan kerjayanya dengan lebih baik dan lancar.
Bagaimanakah persepsi Pekin terhadap pembabitan Uqasha sebagai pelakon baharu?
Apa yang saya cakap ini bukanlah disebabkan hubungan percintaan kami, tetapi secara jujurnya Uqasha mampu pergi lebih jauh dalam bidang ini kerana dia memiliki karisma dan tarikan tersendiri.
Apakah keistimewaan Uqasha pada pandangan Pekin?
Sebenarnya kami berdua sudah lama kenal sejak Uqasha menjadi seorang pramugari dahulu. Setelah tiga bulan menjalinkan hubungan percintaan saya rasa dia sangat istimewa dan pilihan yang terbaik untuk saya.

Jep Sepah Tidak Lari Komitmen Promosi Oh Mak Kau!

Posted: 14 May 2013 12:55 AM PDT

Shuib dan Jep Sepah
PETALING JAYA: Pelawak Mohd Nadzri Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Jep Sepah, 28, kesal dengan dakwaan tidak bertanggungjawab dan lari dari komitmen dalam mempromosikan filem terbaru lakonannya Oh Mak Kau! (OMK!).
Jelas Jep, dia tidak hadir pada sesi pratonton filem berkenaan berikutan tidak sihat dan perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak produksi.
"Saya demam dan ketika itu berada di Johor, perkara sakit begini kita pun tidak jangka akan berlaku dan saya tidak main-main. Shuib dan rakan-rakan yang rapat dengan saya tahu keadaan saya kalau demam adalah agak teruk.
"Saya juga sudah beritahu produser dan minta maaf kerana tidak dapat hadir," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Jep diminta mengulas tentang ruangan pojok sebuah akhbar yang mendakwa produser filem tersebut kesal dengan tindakannya yang gagal menghadiri tiga kali sesi promosi yang dijalankan.
Jelasnya lagi, sementara dua promosi lain yang tidak dapat dihadiri adalah disebabkan terlibat dengan penggambaran sitkom Karot Komedia terbitan sebuah stesen televisyen berbayar.
"Saya bukan sengaja tidak mahu datang, lagi pula ini filem lakonan saya sudah tentu saya mahu ia berjaya. Tapi keadaan memang tidak mengizinkan dan ada komitmen yang lebih penting.
"Insyaallah promosi pada 16 Mei ini dan seterusnya saya akan datang," ujarnya.
Katanya, dia redha jika isu ketidakhadiranya ini mampu menjadi salah cara promosi filem tersebut biarpun menjejaskan kradibilitinya sebagai seorang pelakon.
"Saya kesal namun biarlah, saya anggap perkara ini adalah salah satu promosi filem tersebut," katanya.
Filem yang berkisarkan dua beradik, Sam (Jepp) dan Mun (Shuib) dengan kata simbol mereka, 'kemas balik selepas mencuri' sering mencetuskan kemarahan ibu mereka.
Segalanya berubah dengan kedatangan Que (Ain), seorang wanita yang berjaya mencuri hati mereka berdua.
Kehadiran Que juga membuatkan Embun (Didie) terasa tergugat kerana menganggap Que cuba menentang dan merampas kawasan miliknya.
Filem ini bakal ditayangkan pada 16 Mei 2013.

Pelakon Berhak Letak Harga - Tony Eusoff

Posted: 14 May 2013 12:54 AM PDT

Tony Eusoff
PETALING JAYA: Pelakon Tony Eusoff menyifatkan seorang pelakon yang memiliki pengalaman yang luas di bidang itu berhak meletakkan harga mengikut kadar sesuai dalam sesebuah tawaran lakonan.
Malah Tony, 36, berkata, seseorang pelakon itu sepatutnya perlu menetapkan harga yang sesuai berdasarkan sumbangan dan mutu kerja mereka bagi menjayakan sesuatu produksi.
"Sebagai seorang pelakon, mereka berhak menetapkan harga mengikut kemampuan kerja yang dilakukan serta pengalaman lakonan yang dimiliki.
"Cara ini juga membuatkan pihak penerbit tidak senang-senang menggunakan tenaga kerja pelakon secara berlebihan.
"Tetapi pelakon yang meletakkan harga bayaran juga perlu bersiap sedia dengan risiko penarikan tawaran yang dibuat pihak penerbit," katanya.
Bagaimanapun nasihat Tony, pelakon yang menetapkan harga tertentu juga tidak boleh mengambil kesempatan dengan sikap sambil lewa dalam kerja kerana ia bakal menjejaskan reputasi diri.
"Saya juga meletakkan harga mengikut sumbangan kerja yang dibuat.
"Tetapi kesungguhan hasil kerja juga mesti 100 peratus bagus agar pihak penerbit tidak berasa rugi dengan pembayaran yang diberikan.
"Percayalah, walaupun meletakkan harga tinggi, dengan hasil kerja lakonan memberangsangkan, mereka (pihak penerbit) tidak akan teragak-agak mahu menawarkan lakonan pada projek seterusnya pula," ujarnya.
Bagaimanapun kata Tony, penetapan harga bayaran lakonan dilakukan bukan kerana meletakkan dirinya sebagai pelakon eksklusif, seperti yang dianggap beberapa pihak.
"Saya tak rasa diri ini seorang pelakon eksklusif, tapi orang yang menganggap saya sebegitu.
"Lebih-lebih lagi apabila saya sering membawa watak lelaki korporat dan 'urban', tidak bermakna saya bersifat memilih watak kononnya mahu jaga reputasi. Itu silap.
"Kalau nak tahu saya teringin melakonkan watak-watak seperti orang kampung, nelayan atau pekebun mungkin, tetapi tiada siapa yang mahu memberi saya watak sedemikian," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, lakonan hebat Tony kini dapat disaksikan menerusi pementasan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! yang dipentaskan bermula dari 10 hingga 26 Mei ini di Istana Budaya.
Ia merupakan sebuah teater muzikal yang mengangkat lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Selain Tony, pelakon Adibah Noor, Anding dan Nadia Aqilah turut membarisi teater tersebut.

Ibu Dedah Afiq Muiz Buang Keluarga

Posted: 14 May 2013 12:54 AM PDT

Ibu Afiq Muiz berharap agar pelakon itu kembali pulang ke pangkuan keluarga.
KUALA LUMPUR: "Dia sudah berubah... seperti anak derhaka," luah Hasliza Mohd, 48, ibu kepada pelakon baru Afiq Muiz yang benar-benar kecewa dan sedih dengan perubahan sikap anaknya itu sejak bergelar pelakon.
Hasliza berkata tatkala ibu-ibu lain menerima ucapan gembira daripada anak anak mereka sempena sambutan Hari ibu pada Ahad lalu, dia tidak berpeluang meraikannya seperti itu.
"Afiq sudah berubah. Dia sudah lupa bagaimana saya menjual burger untuk membantu dia berjaya dalam dunia seni.
"Ke hulu ke hilir saya bawa dia untuk di angkat menjadi artis berjaya dengan wang menjual burger. Hari ini apabila dia sudah berjaya, dia telah lupa semua itu," ujar Hasliza sebak meluahkan rasa hatinya secara eksklusif kepada mStar Online ketika ditemui di sebuah restoran di Cheras pada Isnin.
Hasliza terpaksa membuat pendedahan tersebut kerana hatinya sudah hancur selepas melihat perubahan Afiq, 20, yang disifatkannya sudah lupa diri apatah lagi sejak dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang pelakon wanita.
Hasliza terpaksa membuat pendedahan tersebut kerana hatinya sudah hancur selepas melihat perubahan Afiq yang disifatkannya sudah lupa diri.
Malah pelakon remaja itu juga sudah tidak lagi tinggal bersama ibunya tetapi memilih untuk hidup berdikari bersama rakan-rakannya yang lain.
Hasliza berkata, Afiq yang sebelum ini seorang anak yang baik dan mendengar kata telah berubah menjadi panas baran dan bersikap kurang ajar serta hilang perasaan sayang kepada adik-adiknya.
"Saya tidak tahu adakah tindakan membuat kenyataan ini kepada media akan memulihkan kami sekeluarga atau menjauhkan lagi hubungan saya dan Afiq.
"Tetapi rasanya inilah saja cara untuk dia (Afiq) membuka mata dan hati bahawa apa yang dilakukannya sekarang adalah salah.
"Dia telah menderhaka terhadap ibunya dan bersikap baran terhadap adik-adiknya sedangkan sebelum ini Afiq cukup penyayang orangnya.
"Tetapi sejak dia mempunyai kekasih kelakuannya tidak lagi seperti dulu," katanya.
Lebih daripada itu ibu ini mendedahkan, dia turut menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kekasih Afiq yang berbaur ugutan dan kasar bahasanya.
Afiq Muiz menafikan dia dan keluarganya sedang mempunyai masalah gara-gara kekasihnya itu.
Soalnya, adakah itu caranya seorang wanita menghormati orang yang lebih tua?
Malah lebih terharu Hasliza hanya mengetahui kononnya Afiq hendak berumahtangga menerusi laporan media.
Tambah Hasliza lagi dia turut terperanjat apabila membuat semakan menerusi akaun bank Afiq, anaknya itu telah menghabiskan wang RM30, 000 dalam masa sebulan.
"Saya sanggup membuat apa saja agar Afiq kembali ke pangkuan kami dan saya mahu dia kembali sedar asal usulnya yang datang dari keluarga susah. Ingat jasa ibu, ayah dan adik-adik ketika kami sama-sama mahu namanya naik dalam industri seni.
"Saya sayangkan dia dan hanya mahu dia kembali seperti dulu. Kerana dia salah seorang anak yang soleh dan tidak pernah melukai hati ibu bapanya," katanya.
Sebelum mengakhiri pertemuan dengan mStar Online, Hasliza berharap pendedahan ini akan membuka hati anaknya itu untuk berubah.
"Afiq... Umi (ibu) sayang Afiq. Jangan tinggalkan Umi... kembalilah pada Umi dan ingatlah... syurga itu di bawah telapak kaki ibu," katanya sedih.
Sementara itu Afiq yang dihubungi berkata, dia dan ibunya tidak mempunyai sebarang masalah dan merasakan ada pihak yang cuba memburuk-burukkan dia kepada keluarga dan pihak media.
"Saya tak ada masalah dengan ibu dan keluarga yang lain. Siapa yang pandai-pandai buat cerita seperti ini?
"Kenapa mereka mahu memburukkan saya? Gosip seperti ini membuatkan saya tertekan dan kalau boleh saya tidak mahu layan lagi," tegasnya.

Siti Nurhaliza Teruja Hasrat Bikin Konsert di DFP Terlaksana

Posted: 14 May 2013 12:53 AM PDT

Siti bakal membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 hingga 7 Julai depan.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengakui teruja apabila hasratnya untuk mengadakan konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) akhirnya terlaksana apabila bakal muncul dengan persembahan Siti Nurhaliza in Symphony selama tiga hari pada Julai depan.
Siti, 34, berkata, pelawaan pihak pengurusan DFP untuk mengadakan konsert di pentas berprestij itu disambut dengan tangan terbuka dan menganggap ia sebagai impian menjadi kenyataan.
"Saya pernah membuat persembahan bersama Tan Sri S.M. Salim pada tahun 2001 di DFP tetapi perasaan kali ini berbeza kerana ia adalah konsert solo pertama saya di sana.
"Malah perasaan gementar dan teruja sudah mula ada kerana ini adalah salah satu impian saya," katanya kepada mStar Online.
Konsert Siti Nurhaliza in Symphony akan berlangsung pada 5 hingga 7 Julai depan dan penyanyi itu akan menyampaikan 10 buah lagu.
Dalam pada itu, Siti berkata, seleksi lagu yang bakal disampaikan pada malam itu nanti dipilih oleh pihak DFP sendiri bersesuaian dengan muzik orkestra yang bakal mengiringi persembahannya.
Jelas Siti, beliau tiada masalah dengan keputusan pihak DFP sebaliknya apa yang lebih utama beliau dapat memberikan persembahan mantap dan bertenang buat penonton yang hadir.
"Saya tiada masalah dengan pemilihan lagu yang bakal diputuskan oleh DFP kerana apa yang lebih penting ia dapat disampaikan dengan baik dan penuh bertenaga.
"Bukan mudah untuk menyanyi dengan iringan muzik orkestra dan perkara itu yang akan saya beri perhatian supaya dapat memberikan persembahan terbaik untuk penonton yang hadir," jelasnya yang bakal diiringi oleh 80 pemuzik profesional daripada DFP.
Sementara itu, Siti berkata, walaupun gementar tetapi pengalaman membuat persembahan dibeberapa pentas berprestij seperti Istana Budaya dan Royal Albert London Hall diharap dapat membantunya mengurangkan rasa gemuruh itu.
Tiket untuk menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM150 dan ke atas.

Demi ibu, Pak Nil tinggalkan MSM2

Posted: 14 May 2013 12:52 AM PDT


Aznil Nawawi
Aznil Nawawi
Aznil Nawawi
Tindakan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil yang menarik diri dari saingan seterusnya di dapur MasterChef Selebriti Malaysia 2 (MSM2), mengejutkan ramai pihak.

Keputusan itu dibuat selepas Pak Nil bersama tiga peserta lain, Michael Ang, Lydiawati dan Syanie terpaksa mengharungi cabaran pusingan Ujian Sajian Pantas dan Penyingkiran.

Walaupun chef yang juga juri mengumumkan pengarah, Micheal Ang yang sepatutnya tersingkir, namun dengan kebenaran chef dan juri, tempat Micheal Ang diganti dengan posisi Pak Nil.

Pak Nil memberitahu bahawa dia terpaksa meninggalkan dapur MSM 2 kerana ibunya kini mengalami masalah kesihatan.

Menurut laman mikro Twitternya, Pak Nil memberitahu bahawa dia tidak mempunyai pilihan selain menjaga ibunya yang sedang sakit.

"Bukan senang nak berikan 100 peratus komitmen yang terbaik di dapur MSM 2 jika tiada fokus.

"Malah, ini bukanlah masanya untuk membuat pilihan dan saya nekad untuk bersama ibu yang memerlukan saya di sisinya.

"Saya harap keputusan ini tidak mengecewakan penyokong saya di MSM 2. Teruskan menyokong MSM 2," katanya.

Sepanjang penyertaannya di MSM 2, Pak Nil berjaya mengumpul RM3,500 untuk Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia.

Anak didik Kak Engku semakin tunjuk taring

Posted: 14 May 2013 12:51 AM PDT


Raja Azura
Anak didik Kak Engku.
Persembahan Awok bersama artis pilihan, Sathia.
Persembahan Awok bersama artis pilihan, Sathia.
Anak didik Kumpulan B pada konsert ke-3 BMB.
Anak didik Kumpulan B pada konsert ke-3 BMB.
Sekali lagi minggu ini menyaksikan persaingan sengit dan Kumpulan B iaitu, Awok, Bocik, XOXO, Gegau, Titan dan Ajo.

Minggu ketiga, keenam peserta berentap bersama selebriti pilihan bagi menyerikan lagi persembahan mereka iaitu Sathia, Yus Jambu, Ruminah Sidek, Amyza Adnan, Fara Fauzana dan Dina Nazir bersama juri jemputan, Tomok.

Tirai persembahan malam itu dimulakan dengan anak didik Raja Azura yang membawakan konsep Cari Jodoh yang menerima sambutan positif daripada penonton dan juri profesional iaitu AR Badul dan Fauziah Ahmad Daud.

Malah lagu pilihan Awok, Dulu Lain Sekarang Lain yang diberi nafas baru ternyata berjaya memikat hati Tomok yang disifatkan sebagai menarik.


Hadiah buat sifu

Selepas dua minggu menduduki carta tercorot, satu-satunya peserta wanita yang merupakan anak didik Raja Azura itu menerima komen pedas daripada juri berdasarkan persembahan mereka yang kurang memuaskan.

Dianggotai Nurul Ain Othman, 26, dan Filzah Azmi, 24, dua wanita cantik ini menjadikan pengalaman dari dua konsert yang lalu sebagai panduan untuk meneliti kelemahan yang ada persembahan mereka.

Menurut Nurul Ain, pada mulanya mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika latihan kerana terpaksa menukar artis jemputan pada saat akhir.

"Pada mulanya kami memilih David Teo namun terpaksa dibatalkan kerana dia mempunyai urusan lain.

"Manakala pemilihan Sathia pula hanya beberapa hari sebelum persembahan, dan kami bernasib baik kerana dia dapat meluangkan masa walaupun mempunyai jadual padat," katanya.

Bagi Filzah pula, walaupun mengalami masalah kesihatan dia tetap meneruskan dengan sebaik mungkin agar tidak mengecewakan sifunya sempena sambutan Hari Ibu.

"Saya mahu lakukan yang terbaik agar mama (Raja Azura) tidak lagi kecewa dengan sketsa kami.

"Alhamdulillah, kami dapat melakukannya dan juri turut memuji persembahan kami," katanya.

Jika sebelum ini mereka pernah dikritik kerana agak kaku ketika di atas pentas, namun masalah tersebut berjaya di atasi setelah menerima nasihat dan panduan daripada peserta lain seperti Achey dan Kelawak.

Bagi Awok, mereka bertuah dapat menimba pengalaman bersama sifu kerana Raja Azura banyak membantu mereka dari segi moral dan mental agar bakat yang ada pada mereka dicungkil dengan sebaik mungkin.


Raja Azura terharu

Walaupun sibuk dengan pelbagai program kendaliannya seperti Primadona dan Kilauan Emas 3, namun Raja Azura atau mesra disapa dengan panggilan Kak Engku bangga melihat perkembangan anak didiknya itu.

"Syukur... tiada kata-kata yang dapat digambarkan tentang perasaan saya ketika ini.

"Saya bangga dan sangat berpuas hati dengan pencapaian Awok kerana mereka banyak membuat kajian untuk persembahan malam ini," katanya.
Berhadapan dengan situasi agak membimbangkan apabila dua anak didiknya iaitu Awok dan Kelawak yang berada di tangga tercorot sebelum ini, Kak Engku berkata setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.

Ternyata, apa yang dirasakannya sebelum ini menjadi kenyataan apabila keduanya kini semakin matang dan faham konsep yang mereka bawakan.

"Persediaan minggu ini mungkin agak kelam kabut apabila artis jemputan kami tidak dapat hadir di saat akhir, Awok juga agak down semangat mereka.

"Tetapi kehadiran Sathia banyak membantu kami dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepadanya kerana dapat hadir bersama," tutur Kak Engku.


Juri puji persembahan

Dalam masa sama, juri profesional, Ogy menyatakan dia berpuas hati dengan persembahan kesemua peserta, terutamanya Awok yang menunjukkan peningkatan positif. 

Menurut Fauziah, persembahan yang baik bermula daripada ilham yang tercetus dan bagaimana digarapkan agar menjadi lebih menarik.

"Saya melihat usaha yang dilakukan Awok sangat bagus kerana mereka melakukan kajian sebelum ia dipentaskan.

"Paling penting, pemilihan artis jemputan bertepatan dengan konsep yang mereka ingin bawakan," katanya.

Tambah Ogy, kemunculan Sathia menceritakan semuanya dan ia merupakan idea yang amat menarik.

"Apatah lagi, lakonan Ain pada malam itu semakin baik kerana dia tidak menjadi sesiapa dan berjaya mencari kekuatan yang ada pada dirinya. Itulah yang saya inginkan daripada Awok," kata Ogy.

Bagi AR Badul pula, kemunculan Sathia telah menyelamatkan kumpulan itu dan mereka berjaya mencipta keserasian bersama.

"Ada idea, usaha dan keyakinan diri yang tinggi. Kemunculan Sathia sudah banyak membantu. Anda superb malam ini," katanya.

Sementara juri jemputan, Tomok pula mengatakan bahawa persembahan Awok sebagai pembukaan yang sangat bagus.

"Persembahan pembukaan yang sangat bagus dan pemilihan lagu malam ini sangat tepat," katanya.


Gegau dalam bahaya

Sehingga kini, anak didik kumpulan pelawak terkenal Senario iaitu Gegau masih gagal menampilkan persembahan yang menarik dan berkesan pada minggu ini.

Melihat kepada sketsa mereka yang kurang menjadi, juri menyifatkan idea mereka kurang olahan dan jalan cerita yang tergantung tanpa penjelasan yang jelas.

Menampilkan pelakon dan pelawak, Amyza Adnan ternyata Gegau gagal menghidupkan sketsa mereka walaupun jalan cerita mengenai kisah tukang masak sangat menarik, tetapi tidak diolah dengan baik.

Jelas dengan situasi tersebut, Faizal Ibrahim, 24, meluahkan bahawa sekiranya mereka gagal dalam minggu penyingkiran akan datang, dia dan rakannya, Mohd Saffuan Samsudin, 26, reda dengan keputusan tersebut.

"Kami tahu sekarang ini kami berada dalam keadaan yang berbahaya, tetapi konsert untuk minggu keempat nanti kami akan cuba sebaik mungkin.

"Jika dibandingkn dengan peserta lain, kami tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan sebelum ini dan menganggap kekalahan kami sebagai pengalaman yang paling berharga," jelas Faizal.

Pada konsert ketiga kumpulan B menyaksikan Bocik berada di tempat pertama (74.5), diikuti dengan Titan (73), Ajo (70.8), Awok (58.9), Gegau (55.5) dan XOXO (48.4).

Konsert akan datang, semua peserta bakal berhadapan dengan penyingkiran sekiranya mereka gagal memperolehi markah tinggi selepas jumlah keseluruhan markah mereka dalam keempat-empat konsert Bintang Mencari Bintang.

Siti : Video muzik Galau dirakam sebelum berhijab penuh

Posted: 14 May 2013 12:50 AM PDT


Siti Nurhaliza
Siti berharap imej bertudung separuhnya dalam video muzik Galau tidak menjadi kontroversi.
MUNGKIN penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza bakal dikritik peminatnya ekoran imejnya dalam video muzik terbarunya, Galau yang tidak bertudung penuh.

Menjelaskan keadaan itu, Siti berharap perkara itu tidak menjadi kontroversi memandangkan rakaman video muzik itu dibuat sebelum dirinya bertudung penuh.

"Saya harap ia tak menjadi kontroversi. Rakaman itu dibuat pada 7 Disember tahun lalu...sebelum saya berhijab penuh.

"Peminat pun tahu bila saya berhijab penuh iaitu pada awal Januari tahun ini. Itu (bertudung separuh) imej saya sebelum ini," katanya pada sidang media Pelancaran Single dan Video Muzik Galau, hari ini.

Mengulas lanjut soal itu, Siti berharap peminatnya faham.

"Ini sekadar lagu dan untuk saya ulang 'shoot', satu kesukaran buat mereka (produksi). Jadi, saya harap peminat faham dengan situasi saya.

"Pihak Universal Music sudah mengeluarkan bajet yang cukup besar untuk video tersebut. Jadi, tak adil kalau Siti tak keluarkan," katanya yang terpaksa menangguhkan pelancaran single sebelum ini ekoran suaminya, Datuk Khalid Muhamad Jiwa atau Datuk K mengalami kemalangan jalan raya.

Tambah Siti, penggambaran dijalankan di Moroccan Pavilion, Taman Botani, Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, Siti bakal mengadakan konsert solonya di Dewan Filharmonik, Julai ini.

Menyentuh soal empayar peniagaannya, SimplySiti, Siti memberitahu produk tersebut bakal menembusi pasaran Timur Tengah, hujung tahun ini.

"SimplySiti akan masuk ke pasaran Timur Tengah dan kami akan pasarkan minyak wangi dahulu memandangkan pasaran minyak wangi besar di sana," katanya.

Selain itu, lagu Lebih Indah nyanyiannya digunakan dalam iklan minyak wangi tersebut yang dibintangi pelakon, Zain Saidin dan Chaca Maembong.

Port lampias nafsu warga asing

Posted: 14 May 2013 12:48 AM PDT


Port lampias nafsu warga asing
Sebahagian pekerja warga asing yang ditahan di Jabatan Imigresen negeri, Ayer Keroh, semalam
AYER KEROH - Sebekas kondom sudah dipakai ditemui sementara 25 orang ditahan kebanyakannya warga asing dalam satu serbuan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri di sebuah hotel bajet di Jalan Munshi Abdullah, petang kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat orang awam yang mendakwa lokasi berkenaan dijadikan tempat melampiaskan nafsu pekerja asing terutama pada hujung minggu.
Katanya, sepasukan 15 pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen diketuai Ketua Operasi negeri, S Shantee telah bertindak menyerbu premis terbabit bermula jam 3 hingga 4 petang.

"Ketika serbuan, premis tersebut dipenuhi pekerja asing dari pelbagai negara yang sedang menunggu giliran untuk dilayan sementara beberapa warga asing yang dipercayai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) sedang melayan pelanggan masing-masing di beberapa bilik hotel.

"Ketika operasi, pegawai kami turut dirempuh sehingga hampir terjatuh kerana mereka bertempias lari bagi mengelak diri dari ditahan.

"Bagaimanapun, kami berjaya menahan sembilan dipercayai GRO dan 14 pelanggan membabitkan kesemuanya warga asing serta dua warga tempatan yang disyaki sebagai pekerja hotel terbabit atas kesalahan pelbagai akta imigresen," katanya dalam satu sidang media di Jabatan Imigresen di sini, semalam.

Kamalludin turut mendakwa, premis berkenaan menjalankan kegiatan urutan badan sambil menawarkan perkhidmatan 'extra' kepada pelanggan yang terdiri dari pekerja asing di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut melakukan serbuan di dua lokasi berlainan di bandar Jasin membabitkan beberapa rumah kedai dan rumah kongsi.

"Secara keseluruhan operasi, kami telah melakukan pemeriksaan terhadap 70 pekerja warga asing pelbagai negara dan telah menahan 60 orang termasuk 10 wanita yang berumur antara 18 hingga 43 tahun.

"Selain dari Indonesia, mereka yang ditahan termasuk dari Bangladesh, Pakistan, India, Myanmar, Sri Lanka dan Nepal," katanya.

Kamalludin berkata, sebahagian yang ditahan menyalahi Peraturan 39b, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit.

"Dua warga tempatan yang ditahan di bawah Seksyen 56(10(d) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/1963 kerana memberi perlindungan tanpa kebenaran dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara, denda dan juga sebatan," katanya.

Bayar RM30 dapat gadis seksi

Posted: 14 May 2013 12:47 AM PDT


Bayar RM30 dapat gadis seksi
Gadis warga Vietnam yang ditahan ketika Ops Noda, malam Sabtu lalu.
PUCHONG – Berhibur ditemani gadis genit berpakaian seksi. Itu antara pakej ditawarkan pengusaha pusat hiburan di jalan Bandar 19, Pusat Bandar Puchong di sini, sejak beberapa bulan lalu.
Pengunjung dikatakan bukan sahaja boleh menikmati minuman keras namun turut ditawarkan seorang gadis muda berpakaian seksi dengan bayaran RM30.

Pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Inspektor Roslin Mohd Isa berkata, bertindak atas maklumat awam, premis terbabit diserbu dalam Ops Noda malam Sabtu lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu seorang penjaga premis ditahan bersama 29 gadis warga Vietnam berusia lingkungan 20-an.

"Pengusaha didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menggaji pekerja asing tanpa permit.

"Semua gadis dicekup pula didapati tidak mempunyai permit bekerja di negara ini secara sah," katanya.

Beliau berkata, pengusaha menawarkan layanan gadis muda itu bagi menarik lebih ramai pelanggan berkunjung ke premisnya.

Menurutnya, gadis itu akan menjadi teman sosial pelanggan sehingga premis menamatkan operasi.

"Bayaran dikenakan untuk khidmat itu dan pelanggan juga biasanya akan memberikan tip ekstra kepada gadis yang menjadi teman mereka berhibur.

"Malah jika suka sama suka, pelanggan yang mahukan layanan lebih akan membawa gadis itu pulang untuk khidmat tambahan," katanya.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen.

Lelaki dakwa hospital cuai sebab kematian bayi 14 bulan

Posted: 14 May 2013 12:47 AM PDT


Lelaki dakwa hospital cuai sebab kematian bayi 14 bulan
Lee Ying En
Lelaki dakwa hospital cuai sebab kematian bayi 14 bulan
Sing Loong dan isterinya Yan Hua menunjukkan imbasan X-tray dan laporan polis berhubung dengan kejadian malang yang meragut nyawa bayi perempuan mereka.
KUANTAN- Sepasang suami isteri dari Taman Jaya, Kampung Jawa di sini tidak berpuas hati dengan perkhidmatan sebuah hospital kerajaan sehingga menyebabkan bayi perempuan mereka meninggal Ahad lalu.
Lee Sing Loong, 40, dan isterinya, Lu Yan Hua, 37, mendakwa kecuaian pihak hospital merawat bayi mereka  Lee Ying En, 14 bulan yang pada mulanya disahkan demam dan batuk biasa sedangkan sudah sebulan mereka mendapatkan rawatan di hospital itu.
Menurutnya, walaupun pelbagai ujian telah dilakukan ke atas anaknya itu, pihak hospital masih mengatakan anak mereka demam biasa.

Sing Loong yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, kali pertama anak keduanya itu dimasukkan ke wad hospital berkenaan selama seminggu bermula 3 April lalu.
"Balik ke rumah dia demam semula sebelum dia dimasukkan semula ke wad pada 16 hingga 22 April dan 28 hingga 30 April dengan pelbagai ujian dilakukan termasuk pemeriksaan x-ray, darah dan air tulang belakang, namun saya hanya dimaklumkan dia demam biasa.

"Saya tidak sedap hati lalu membawa anak saya ini ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan pakar dan doktor di sana mengesahkan sebahagian paru-paru anak ada jangkitan kuman," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, dia segera membawa anaknya kembali mendapatkan rawatan lanjut di hospital kerajaan akibat kekangan kewangan untuk meneruskan rawatan di hospital swasta dan bayi berkenaan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Sejak ditempatkan di ICU pada Khamis lalu suhu badannya tidak pernah turun iaitu 39 darjah celcius dan akhirnya dia meninggal pada pukul 7.22 petang semalam (Ahad).
"Saya kecewa kerana jururawat dan doktor tidak profesional dan saya juga percaya masalah ini berpunca kerana isteri yang menjaga anak tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa
Melayu kerana berasal dari Shenzen, China.

"Isteri beritahu setiap kali dia panggil jururawat mereka tidak menghiraukannya kerana mungkin tidak faham apa yang diperkatakannya," jelasnya sambil memberitahu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada jam 11.31 malam, semalam.

Tambahnya, dia mahukan penjelasan daripada pihak berkenaan kerana mereka tidak memaklumkan sebarang penyakit yang serius melainkan demam biasa sedangkan laporan hospital swasta sebaliknya.

Nasib Sing Loong mendapat perhatian daripada Adun Teruntum Sim Chon Siang dan beliau turut kesal jika kejadian ini berlaku disebabkan oleh kecuaian pihak hospital.

Sementara itu juga, beliau juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan hospital berkenaan untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku serta berharap agar ia tidak terjadi kepada orang lain.

Kontraktor stadium didenda RM10,000

Posted: 14 May 2013 12:46 AM PDT


Kontraktor stadium didenda RM10,000
Abdul Rahim didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah melakukan kerja-kerja di Stadium Mizan Zainal Abidin tanpa daftar
KUALA TERENGGANU - Seorang kontraktor binaan dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah melakukan kerja-kerja membuka semula struktur bumbung 'west stand' di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, tanpa lesen.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris turut memerintahkan Abdul Rahim Osman, 52, dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda.

Kesemua hukuman itu diputuskan selepas pemilik Syarikat Tetuan RHM Sevices itu mengaku bersalah menjalankan kerja-kerja membuka semula struktur bumbung 'west stand' dan lain-lain kerja berkaitan dengan stadium itu tanpa berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah yang dikeluarkan CIDB Malaysia.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah subseksyen 25 (1), Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 dan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29, akta yang sama itu pada 5 November tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Abdul Rahim selaku sub kontraktor dalam kerja-kerja berkenaan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa CIDB Malaysia, Abdul Razak Husin manakala Abdul Rahim tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Abdul Rahim mendakwa tidak tahu bahawa dia sebagai sub kontraktor yang dilantik perlu berdaftar dengan CIDB Malaysia bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan.

"Saya ingatkan kontraktor utama sahaja perlu berdaftar dengan CIDB Malaysia, jadi disebabkan itu saya tidak berbuat demikian. Saya merayu mahkamah memberi hukuman paling minimum," rayunya.

Sementara itu, kontraktor utama iaitu Prisma Keris Sdn Bhd telah dikenakan tindakan tatatertib pada 11 April lalu iaitu di bawah peraturan 15 (4) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Kontraktor 1995.

Kontraktor berkenaan dilarang menjalankan atau menyiapkan apa-apa kerja pembinaan kecuali dengan arahan CIDB Malaysia dan satu notis boleh dikeluarkan terhadap kontraktor yang menghendaki untuk tidak memulakan atau meneruskan kerja-kerja pembinaan tersebut sekiranya ada.

Selain itu, Perakuan Pendaftaran kontraktor ditarik balik sehingga tamat tempoh Pendaftaran iaitu pada 25 Julai ini.

Kontraktor itu hanya dibenarkan menyiapkan kerja-kerja membuka semula baki struktur bumbung 'west stand' dan lain-lain kerja berkaitan seperti mana yang dikehendaki di dalam surat award.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, lima pekerja binaan cedera dengan tiga daripadanya parah apabila kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, yang dalam proses baik pulih runtuh.

Semasa kejadian, lapan pekerja sedang menjalankan kerja membaik pulih bumbung stadium berkenaan dan dianggarkan 137 meter iaitu kira-kira dua pertiga daripada struktur asal bumbung telah runtuh.

Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung.

Pada masa sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengaku berkemungkinan punca kejadian daripada kecuaian pihak kontraktor dan mereka bertanggungjawab untuk memastikan kerja-kerja baik pulih stadium itu dilakukan dengan selamat.

Stadium berkenaan terpaksa menjalani proses baik pulih dengan kos RM15 juta setelah bumbung utamanya bernilai RM292 juta runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Bapa bawa anak mencuri

Posted: 14 May 2013 12:45 AM PDT


Bapa bawa anak mencuri
Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki yang mendukung anak melarikan dua TV dari sebuah kedai elektrik di Temerloh Mall Jumaat lalu.
TEMERLOH – Dua lelaki yang melarikan dua televisyen (TV) jenama Toshiba 40 inci dari sebuah kedai elektrik di sini pasti tidak senang duduk jika tahu tingkah laku mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit.

Kejadian berlaku di Temerloh Mall hanya disedari penyelia dan pengurus kedai terbabit kira-kira 10 minit sejurus dua suspek terbabit melarikan TV tersebut.

Berdasarkan maklumat daripada pengurus premis terbabit yang dikenali sebagai Wong, dua lelaki datang ke premisnya kira-kira jam 11.50 pagi, Jumaat lalu dan seorang daripada mereka mendukung anak.

Menurutnya, seorang daripada lelaki terbabit berpura-pura berminat hendak membeli mesin hampagas dipercayai sebagai usaha mengalih perhatian pekerja.

"Manakala lelaki yang mendukung anak mundar-mandir dengan membawa sebuah troli kosong sebelum mengambil dua TV jenama Toshiba 40 inci yang diletakkan di hadapan kedai.

"Namun tindakan lelaki terbabit ketika melarikan dua TV bernilai RM1,500 setiap satu itu tidak disedari pekerja," katanya.

Berikutan itu, Wong membuat laporan polis pada hari sama.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika premis terbabit membuat promosi jualan dan meletakkan empat TV di hadapan kedai, masing-masing dua TV 32 inci dan 40 inci.

Dua TV 40 inci itu diletakkan di bawah secara bertindih dengan dua TV 32 inci berjenama sama.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dijalankan berdasarkan rakaman CCTV.

Terkejut remaja serah bayi 3 pagi

Posted: 14 May 2013 12:44 AM PDT


Roszita
Roszita (kanan) melakonkan semula detik seorang remaja perempuan menyerahkan bayi kepadanya di muka pintu rumah di Kampung Meraga Beris, Kijal, jam 3 pagi.
Roszita
Roszita bersama bayi misteri yang masih belum diketahui identiti.
Roszita
Di rumah Roszita inilah seorang remaja perempuan datang memberi salam dan mengetuk pintu sebelum meninggalkan bayinya tanpa sebarang nota dan dokumen.
KIJAL – "Kak, tolong jaga 'baby' saya," kata seorang gadis berusia lingkungan18 tahun sambil menghulur bayi perempuan kepada Roszita Mat Yasin, 27, selepas mengetuk pintu rumah pembantu kedai makan itu di Kampung Meraga Beris, di sini, kira-kira jam 3 pagi.

Roszita berkata, dia yang masih separuh sedar kerana baru terkejut dari tidur segera menyambut sekujur tubuh kecil seberat 2.8 kilogram itu yang lengkap berpakaian, tetapi masih terdapat tompokan darah dan lendir kering pada bahagian kepala bayi itu.

"Namun tak dan (sempat) saya tanya apa-apa, remaja perempuan itu terus tinggalkan saya terpinga-pinga di muka pintu. Dia segera masuk ke dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang menunggu di depan rumah dan saya nampak kelibat seorang
lelaki dalam kereta tu.

"Kereta itu kemudian meluncur laju menuju ke arah Chukai, tapi saya tak cam warna dan nombor plat (pendaftaran) kereta itu sebab gelap dan saya masih mamai," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Ketika kejadian tiga minggu lalu itu, Roszita tinggal berdua bersama anak tunggalnya, Muhammad Amirul Shah Muhamad Jamri, 9, kerana suaminya, Muhamad Jamri Abd Kadir, 42, bekerja di kilang papan tidak jauh dari rumah mereka.

Namun, ketika nyenyak tidur, Roszita terdengar pintu rumahnya diketuk sambil mendengar orang memberi salam.

"Saya tidak rasa takut ketika membuka pintu kerana sangka yang mengetuk itu adik-beradik saya yang tinggal sebelah menyebelah, kerana mereka biasa juga ketuk pintu awal pagi. Dia berikan bayi itu sehelai sepinggang tanpa nota atau sebarang dokumen," katanya.


Badan bayi berbau busuk

Menurutnya yang bekerja di kedai makan ibunya, walau dalam cahaya samar-samar, dia nampak jelas muka gadis memakai tudung, baju T dan berkain batik itu, tetapi keadaan bayi misteri itu agak menyedihkan kerana badannya berbau busuk.

Ketika diserahkan, bayi misteri itu dipercayai berusia dua minggu berdasarkan keadaan tali pusat telah tertanggal.

Begitu pun, Roszita tidak segera melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa kerana menyangka remaja perempuan itu akan datang kembali mengambil bayi itu di rumahnya.

"Selepas dua hari berlalu remaja itu masih tidak muncul, jadi saya bersama suami merujuk kes itu di Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Chukai pada hari sama.

"Pihak polis kemudiannya mengarahkan saya membawa bayi itu ke Hospital Kemaman dan ditahan di wad selama tiga hari kerana bayi ini tidak mendapat suntikan sebagaimana bayi lain ketika dilahirkan," katanya.

Beri susu badan Roszita berkata, walaupun kemunculan bayi itu sangat misteri dan menjadi tanda tanya buatnya sekeluarga tetapi perasaan sayang seperti anak sendiri wujud dalam dirinya selepas selepas seminggu menjaga bayi itu.

"Saya dapatkan suntikan untuk memberi susu badan kepada bayi ini dan ia diselang seli dengan susu botol," katanya yang kebetulan menginginkan lagi zuriat kerana sukar hamil disebabkan masalah buah pinggang dihidapi ketika kecil.

Urusan pendaftaran kelahiran diuruskan JKM dan bayi tersebut dinamakan Nur Aishah Humaira yang mana nama itu diberikan oleh anak tunggal Roszita sendiri.


Minta waris tampil

Sementara itu, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Bahagian Kanak-kanak Pejabat JKM Daerah Kemaman, Salmi Abdullah meminta waris bayi itu tampil bagi  merungkai misteri kerana identiti bayi itu belum diketahui.

"Setakat ini, kita tidak tahu bangsa bayi ini dan apa-apa maklumat lain mengenainya jadi waris diharap dapat menghubungi JKM menerusi talian 09-8581686 atau terus datang ke Pejabat JKM Daerah Kemaman," katanya.

Katanya, berdasarkan perintah sementara oleh mahkamah, bayi kini di bawah pengawasan Pejabat JKM Daerah Kemaman.

Uji tidak tarik diri

Posted: 14 May 2013 12:42 AM PDT

UJI RASHID


SEBELUM ini peminat Datuk Sharifah Aini, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid pasti teruja apabila ketiga-tiga bintang legenda negara itu bakal berkongsi pentas menerusi Konsert Malam Amal Bersama 3 Diva.
Berita mengenai konsert tersebut sudah diuar-uarkan menerusi satu sidang akhbar yang diadakan pada 8 Mei lalu dan konsert tersebut dijadualkan bakal berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 12 Jun ini.
Pada sidang akhbar berkenaan hanya Sharifah Aini dan Khadijah sahaja yang muncul, manakala pihak penganjur memberitahu Uji akan tiba lewat sedikit.
Bagaimanapun, sehingga berakhir sidang akhbar itu, kelibat Uji masih lagi tidak kelihatan. Ia menyebabkan timbul tanda tanya dalam kalangan wartawan yang hadir pada sidang akhbar tersebut.
Dalam laporan sebuah akhbar semalam pula mendakwa Uji tidak hadir pada sidang akhbar tersebut ekoran penyanyi yang popular dengan lagu, Semakin Hari Semakin Sayang itu telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada konsert berkenaan.
Koordinator Persembahan dan Eksekutif Pemasaran Konsert Malam Amal Bersama 3 Diva, Kit Rushuhaimin ketika dihubungi Kosmo! bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya Uji telah menarik diri daripada konsert tersebut.
Menurut Kit, Uji akan tetap terus terlibat dengan konsert tersebut memandangkan kontrak sudah ditandatangani dan wang pendahuluan pula sudah diambil.
"Sehari sebelum berlangsung sidang akhbar pada 8 Mei lalu saya dan Uji telah bertemu dan dia sudah memberi persetujuan untuk terlibat, meskipun mengetahuinya pada saat-saat akhir kerana pihak penganjur sekadar mendapat persetujuan daripada pengurus peribadinya.
"Kemudian Uji ada memberitahu saya dia berkemungkinan besar tidak dapat hadir sama pada acara sidang akhbar yang diaturkan memandangkan sudah mempunyai komitmen lain," ujarnya.
Jelas Kit, penyanyi itu menyatakan dia perlu menjayakan sebuah acara minum petang di Country Heights, Kajang, tetapi dia akan berusaha untuk hadir.
Meskipun Uji akhirnya tidak muncul, Kit menyatakan dia memahami situasi yang berlaku memandangkan jarak yang jauh kerana sidang akhbar itu diadakan di Petaling Jaya.
"Mengenai ketiadaan Uji itu saya memang langsung tidak menyalahkan dirinya dan saya percaya dia memang ingin turut serta bersama Sharifah Aini dan Khadijah Ibrahim pada sidang akhbar tersebut.
"Jadi, saya agak terkejut pula apabila terdapat pula cerita yang mengatakan Uji mahu menarik diri, sedangkan perkara tersebut langsung tidak berlaku dan konsert itu tetap diteruskan seperti yang dirancang," ujarnya.
Menurutnya, disebabkan cerita tentang penarikan diri itu dia telah dihubungi oleh pihak penganjur iaitu Sulaiman Ngah Dimin yang juga merupakan Pengarah Eksekutif Kaizen Asia.

SIDANG akhbar Konsert Malam Amal Bersama 3 Diva yang diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Mei lalu berlangsung tanpa kehadiran Uji Rashid.


"Sulaiman telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya dan saya telah jelaskan semuanya dan memberitahu bahawa cerita ini timbul kerana ketiadaan Uji pada sidang akhbar itu," jelasnya.
Mengenai kenyataan daripada Uji pula, Kit memberitahu dia sudah menghubungi dan diberitahu bahawa penyanyi itu belum bersedia membuat kenyataan buat masa ini.
"Uji ada meluahkan kepada saya yang dia berasa cukup terkilan dengan berita yang mengatakan dia ingin tarik diri, sedangkan dia tidak pernah membuat keputusan sedemikian.
"Berkemungkinan besar pada minggu hadapan Uji akan mengadakan satu sidang akhbar untuk menjelaskan perkara yang sebenar supaya perkara ini dapat diselesaikan segera," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kaizen Asia, Sulaiman Ngah Dimin mengakui pihaknya agak terkejut dengan cerita tentang penarikan diri Uji dan menjelaskan konsert berkenaan akan tetap menampilkan ketiga-tiga penyanyi berkenaan.
Jelas Sulaiman, isu tentang penarikan diri itu sepatutnya tidak harus ditimbulkan, meskipun Uji tidak dapat hadir pada sesi sidang akhbar yang berlangsung.
"Apa yang saya tahu ketika ini ketiga-tiga penyanyi sedang dalam proses persiapan dan memilih lagu-lagu yang sesuai untuk dipersembahkan kepada tetamu.
"Jadi, saya berharap agar peminat hadir memeriahkan konsert yang bakal berlangsung pada 12 Jun ini kerana ia akan memberi kenangan tersendiri apabila dapat menyaksikan tiga diva popular berkongsi pentas yang sama," ujarnya.

Soha, Kunal sudah 'kahwin'

Posted: 14 May 2013 12:41 AM PDT

SOHA dan Kunal kini sedang larut dalam alam percintaan.


AKTRES Soha Ali Khan mengakui komitmen terhadap hubungannya dengan aktor Kunal Khemu lebih penting berbanding perkahwinan. Ibu Soha, aktres legenda dunia filem Hindustan, Sharmila Tagore sebelum ini mahukan anaknya itu berkahwin dengan Kunal, tetapi Soha nyata mempunyai pandangan yang berbeza tentang perkahwinan.
Katanya kepada IANS: "Kami sudah mengambil langkah yang besar apabila mengambil keputusan untuk tinggal serumah (dengan Kunal Khemu) sebelum ini, yang mana ia sama sahaja seperti kami sudah berkahwin."
Ulas Soha dengan pandangan ibunya tentang perkahwinan: "Dia adalah seorang ibu dan sudah tentu ibu mahukan anaknya kahwin. Namun bagi saya, tinggal serumah dengan Kunal merupakan suatu langkah yang besar. Soal sama ada atau bilakah saya dan Kunal akan kahwin tiada dalam fikiran saya buat masa ini."
Tambahnya: "Bagi saya, ini (tinggal serumah dengan Kunal) merupakan komitmen utama buat masa ini dan kami akan menjadikan komitmen ini untuk kesejahteraan dan kebahagian kehidupan kami berdua pada masa hadapan.
"Perkahwinan hanyalah tentang menandatangani surat pernikahan, tetapi nilai dan komitmen hubungan antara pasangan hidup lebih penting bagi saya."
Soha nampaknya mengikut jejak langkah abangnya, aktor tersohor Saif Ali Khan yang tinggal serumah dengan pasangannya, aktres sensasi Kareena Kapoor selama lima tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun lepas.

Ummu Jah disiasat jais

Posted: 14 May 2013 12:39 AM PDT


UMMU JAH dan 10 pengikutnya ditahan sebaik mereka tiba di KLIA semalam.


SEPANG – Hatijah Aam, balu Ashaari Muhammad pengasas ajaran sesat Al-Arqam, yang diusir pihak berkuasa Arab Saudi ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebaik dia bersama 10 pengikutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Wanita itu yang lebih dikenali dengan gelaran Ummu Jah, 59, tiba di KLIA pada pukul 11.40 pagi selepas menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Jeddah.
Seorang bayi anggota keluarga kumpulan itu yang dipercayai berusia tujuh bulan dan tidak diketahui jantina dihantar ke Hospital Putrajaya kerana mengalami masalah kesihatan.
Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat JAIS di Shah Alam bagi proses disoal siasat mengenai aktiviti mereka semasa berada di Mekah.
"Ummu Jah dan pengikutnya ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi ekoran program pemutihan yang dilakukan negara itu yang dimulakan sejak 9 April lalu," kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jurukimpal berdepan hukuman gantung

Posted: 14 May 2013 12:38 AM PDT


FAUZI (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas didakwa mengedar heroin di sebuah stesen minyak di Tunjong awal bulan ini.


KOTA BHARU – Seorang juru- kimpal berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengedar dadah heroin awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Fauzi Md. Sukri, 38, ketika dihadapkan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.
Fauzi didakwa mengedar heroin seberat 20 gram di hadapan sebuah stesen minyak di Tunjong di sini pada pukul 5 petang 3 Mei lalu.
Dia yang berasal dari Kampung Pasir Hor di sini didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pemuda Thai dijel enam tahun, disebat miliki heroin

Posted: 14 May 2013 12:37 AM PDT


ABDULLOH dibawa keluar daripada Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam selepas dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan 13 kali sebatan atas kesalahan memiliki heroin.


KOTA BHARU - Seorang pemuda warga Thai, Abdulloh Wachi dihukum penjara enam tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah mengaku salah atas dua tuduhan memiliki dadah jenis heroin dan pil kuda pada Julai tahun lalu.
Kekasihnya, seorang remaja warga Thai berusia 16 tahun yang sebelum ini dituduh bersamanya dibebaskan oleh Hakim Datuk Azman Abdullah daripada kedua-dua pertuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik kes terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, Abdulloh, 20, didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 15.56 gram di sebuah rumah di Kampung Parit Air, Banggol Kulim, Rantau Panjang di sini pada pukul 7.05 pagi 13 Julai 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat minimum 10 kali.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki pil kuda seberat 8.67 gram di tempat dan waktu yang sama.
Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama iaitu penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan maksimum sembilan kali.

Kafe ais pertama di Dubai

Posted: 14 May 2013 12:35 AM PDT


SATU pasangan Britain meminum minuman coklat di dalam kafe ais di Dubai kelmarin.


DUBAI, Emiriah Arab Bersatu - Sebuah kafe ais menjadi daya tarikan para pelancong asing di sini yang menyediakan pelbagai minuman panas.
Suhu di dalam kafe itu ditetapkan pada tahap - 6 darjah Celsius.
Ia merupakan kafe ais yang pertama di Asia Barat.
Para pengunjung akan duduk di atas kerusi ais yang dilapik dengan bulu haiwan.
Pelbagai ukiran ais dipamerkan di dalam kafe tersebut termasuk bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa.
Kafe yang dikenali sebagai Chillout itu dikendalikan oleh syarikat dari negara ini, Kumpulan Sharaf.

Makan serangga boleh bantu atasi obesiti

Posted: 14 May 2013 12:34 AM PDT


GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan seorang wanita memegang pinggan yang mengandungi serangga yang telah dimasak di sebuah lokasi di Laos.


ROM - Salah seorang saintis dari Universiti Wageningen di Belanda, Arnold van Huis menyatakan memakan serangga yang mempunyai khasiat mungkin membantu memerangi obesiti.
Beliau membuat pendedahan itu dalam satu laporan yang disiarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Laporan itu disediakan oleh beberapa saintis berhubung kajian tentang pemakanan serangga.
Ketika ini, lebih 1,900 spesies serangga dimakan di dunia kebanyakannya di Afrika dan di Asia.
Huis berkata, kebanyakan serangga mempunyai sejumlah protein dan mineral sama seperti daging dan mengandungi lebih banyak lemak yang disyorkan para doktor untuk diet seimbang.
"Di Barat, kami mempunyai budaya tanggapan yang serong kerana serangga yang datang dari negara-negara membangun adalah tidak elok (untuk dimakan)," katanya.

Angkasawan rakam muzik video

Posted: 14 May 2013 12:33 AM PDT


HADFIELD menyanyi lagu Space Oddity di dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa kelmarin.


MOSCOW - Seorang angkasawan Kanada, Chris Hadfield kelmarin membuat rakaman muzik video di dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) sebelum dia berlepas pulang ke Bumi.
Dia menyanyikan lagu klasik Space Oddity yang pernah dipopularkan oleh penyanyi terkenal, David Bowie.
Muzik video tersebut telah menjadi popular di laman YouTube apabila ia mencatatkan lebih 200,000 tontonan beberapa jam selepas dimuat naik.
Dalam rakaman itu, Hadfield menyanyi dengan badannya terapung di dalam ISS.
Dia juga bermain gitar semasa rakaman itu dibuat.
Muzik video itu merupakan kemuncak kepada misi Hadfield selama enam bulan di ISS.
Angkasawan tersebut juga kini mempunyai lebih 800,000 pengikut di laman Twitter.
Akaunnya di laman tersebut mempunyai beberapa keping gambar dan rakaman video yang menunjukkan kehidupan hariannya di ISS.
Hadfield dijangka kembali ke Bumi dengan menaiki kapsul Soyuz-TMA buatan Rusia yang mendarat di Kazakhstan pada hari ini.
Dia kembali bersama seorang angkasawan Rusia, Roman Romanenko dan Tom Marshburn dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan milik Amerika Syarikat.
Hadfield merupakan komander sepanjang dia bertugas di ISS.
Dia juga memantau pergerakan Marshburn dan seorang lagi angkasawan, Chris Cassidy yang berjalan di luar badan ISS untuk membaiki kebocoran gas ammonia pada Sabtu lalu. Ammonia digunakan untuk menyejukkan sistem tenaga ISS.

Buih misteri keluarkan bau busuk di Nanjing

Posted: 14 May 2013 12:33 AM PDT


BEBERAPA orang menyaksikan buih yang muncul di Jalan Wende, Nanjing kelmarin.


NANJING, China - Penduduk di bandar ini dikejutkan dengan kemunculan buih berwarna putih di Jalan Wende, di Nanjing, dalam wilayah Jiangsu pada Sabtu lalu.
Buih tersebut itu muncul selepas sebuah kawasan kaki lima merekah.
Penduduk setempat mengadu buih itu mengeluarkan bau yang amat busuk.
Media tempatan melaporkan orang ramai percaya kejadian itu berpunca daripada pembinaan laluan tren bawah tanah yang terletak tidak jauh dari lokasi tersebut.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines