Selasa, 7 Mei 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Minum air putih petua Wawa Zainal

Posted: 06 May 2013 04:34 AM PDT


Wawa Zainal
Wawa Zainal
Nama gadis ini sememangnya semakin mendapat tempat di hati peminat seni tempatan.

Menariknya, bukan sahaja di kaca televisyen, malahan wajahnya juga sering kali muncul di layar perak.

Meski pun baru berusia 21 tahun, namun pelakon cantik ini tidak pernah mengabaikan aspek kecantikan dan kesihatan.

Baginya, semua itu perlu dijaga sementelah kini, dia bergelar selebriti.

Pun begitu, empunya nama Wawa Zainal ini memberitahu, dia bukanlah seorang yang terlalu obses atau teliti terhadap kecantikannya, sebaliknya melakukan rawatan sekadar yang perlu sahaja.

Jom kita selami tip atau amalan yang dilakukan Wawa dalam memastikan dirinya sentiasa tampil cantik dan sihat.

Jika dibandingkan di awal penglibatan anda dalam industri seni, anda tampak sedikit berisi, tetapi kini tidak lagi, adakah anda mengamalkan sebarang diet untuk menurunkan berat badan?

Memang benar berat saya turun mendadak secara tiba-tiba, sebenarnya, bukan saya mengamalkan diet, tetapi ia turun kerana saya penat dengan tugas sebagai pelakon.

Boleh kongsi berapa berat badan anda dahulu dan sekarang?

Dulu, berat saya 48 kilogram dan sekarang 44 kilogram sahaja.

Adakah anda selesa dengan berat badan yang anda miliki kini?

Saya tidak kisah sangat asalkan bentuk badan ini nampak elok dan kena jika menggayakan apa-apa pakaian.

Lagipun, dengan berat sebegini, saya nampak lebih langsing di kaca tv.

Anda sangat bertuah kerana tidak mengalami masalah berat badan, adakah ini bermaksud anda tidak perlu mengawal selera dan kuantiti makanan yang anda ambil?

Alhamdulillah, memang berat badan saya susah nak naik dan saya senang dengan situasi ini. Paling seronok, saya boleh makan apa sahaja yang saya mahu.

Ada apa-apa tip atau petua yang anda amalkan?

Dari segi pemakanan tiada apa-apa, namun yang paling penting, untuk tampil segar dan langsing, kita perlu pastikan minum air putih secukupnya setiap hari. Kurangkan minum ais dan minuman manis.

Beralih kepada kesihatan kulit wajah pula, apa rahsianya?

Kulit saya normal seperti orang lain, adakala akan naik jerawat juga. Cuma saya akan pastikan wajah dibersihkan dengan betul setiap hari. Lagipun, menjadi selebriti menyebabkan wajah kita sentiasa disolek tebal, jadi perlu mencucinya sehingga benar-benar bersih.

Anda merupakan duta kepada produk Syahirah, adakah ia memberikan kesan kepada anda?

Sudah tentu, jika tidak sudah pasti saya tidak menerima tawaran untuk menjadi duta produk tersebut.

Bagaimana pula dari segi penjagaan rambut?

Saya memiliki rambut yang nipis, apa yang pasti saya perlu melakukan rawatan di salun sebulan sekali supaya ia kekal lembap dan tidak kering. Dalam pada itu, jika ada masa terluang saya kerap melakukan rawatan sendiri di rumah.

Adakah anda juga gemar ke spa untuk melakukan rawatan muka atau tubuh?

Bila berkesempatan saya juga akan melakukan facial dan massage, itu pun bergantung kepada hari luang saya. Bagaimanapun, jika bercuti, saya lebih selesa berada si rumah sahaja.

Pengertian cantik bagi anda..

Cantik bagi saya bukan sekadar luaran sahaja, yang penting adalah kecantikan dalaman. Jika cantik di dalam, pasti cantik di luarnya juga. Namun kecantikan fizikal tetap perlu dijaga.

Sedikit perkembangan terbaru anda?

Saya sekarang sedang sibuk penggambaran drama terbaru untuk TV3, selain itu, filem terbaru saya 99 Kali Rindu akan ditayangkan Mei nanti.

Adira Sangkal Guna Sebarang Teknik Untuk Putih

Posted: 06 May 2013 04:31 AM PDT

Adira mengakui ada menggunakan sejenis krim tetapi dia memberitahu ia bukan untuk memutihkan kulit sebaliknya sebagai pelembap untuk menjaga kesihatan kulitnya.
PETALING JAYA: Penyanyi Adira menegaskan tidak pernah melakukan sebarang teknik suntikan atau memakan sebarang pil untuk mendapatkan kulit putih melepak dan gebu seperti dakwaan sesetengah pihak.
Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 23, sebaliknya berkata, keadaan fizikalnya itu memang semula jadi putih namun tidak menafikan ada menggunakan sejenis krim untuk menjaga kulitnya.
"Saya memang dilahirkan dengan kulit yang putih dan ingin ditekankan bahawa saya tidak pernah melakukan sebarang teknik suntikan atau memakan pil untuk mendapatkan kulit putih dan gebu," jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Adira menjelaskan laporan sebuah akhbar mingguan yang mempersoalkan perubahan kulitnya yang sangat ketara berbanding pada awal kemunculannya sebagai artis sebelum ini.
Menjawab persoalan tersebut, Adira berkata, mungkin faktor cuaca di tempat asalnya, Ranau, Sabah dengan Kuala Lumpur yang berbeza membuatkan kulitnya kelihatan berbeza ketika waktu itu dengan terkini.
"Dulu nampak gelap sikit mungkin sebab cuaca di Ranau panas dan apabila ke Kuala Lumpur ia tidak seteruk di sana tambahan pula apabila menjadi artis saya lebih bijak menjaga penampilan diri," jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai krim yang digunakannya, Adira berkata, krim yang disapu kepada kulit itu bukan bertujuan untuk memutihkan kulit sebaliknya ia bertindak untuk mengekalkan kelembapan kulit yang sering terdedah kepada sinaran matahari.
"Benar saya gunakan krim tetapi ia krim biasa sahaja dan saya yakin orang lain juga ada menggunakannya. Saya tidak lihat ada apa-apa isu sekiranya saya ingin menggunakan krim tersebut bagi menjaga kesihatan kulit saya," katanya.
Tambah Adira, dia bukanlah seorang yang obses dalam bab kecantikan namun sebagai selebriti dia perlu memastikan penampilannya sentiasa segar.
Sementara itu, Adira berkata, dia tidak menyimpan perasaan marah apabila ada pihak menegur tentang perubahannya namun cara yang dilakukan lebih kepada kritikan terhadapnya.
"Teguran itu bagus tetapi jangan sampai ia mengguris perasaan orang lain. Saya tidak marah apabila ditegur tetapi kebanyakkannya terus mengutuk saya tanpa mengetahui perkara sebenar," ujarnya.
Dalam perkembagan lain, Adira berkata, selain sibuk dengan undangan nyanyian dia kini sedang dalam proses menyiapkan album terbaharunya khas buat peminat.

Linda Onn Terkejut Arwah Bapa Simpan Keratan Akhbar Tentangnya

Posted: 06 May 2013 04:30 AM PDT

Linda terkejut apabila terjumpa sebuah fail mempunyai gambar dan keratan akhbar mengenainya yang dikumpul oleh arwah bapanya.
PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn memberitahu terkejut apabila terjumpa sebuah fail milik arwah bapanya iaitu Allahyarham Onn Chik yang mempunyai keratan akhbar dan gambar-gambarnya yang keluar di majalah dan surat khabar.
Linda atau nama sebenarnya Rozlinda Onn, 36, berkata, arwah bapanya tidak pernah memberitahunya tentang perkara berkenaan dan ia membuatkan dia bertambah rindu dengan beliau.
"Selepas arwah meninggal saya ada kemaskan barang-barangnya dan terjumpa sebuah fail yang mempunyai himpunan doa. Dalam fail sama terdapat juga gambar-gambar dan keratan akhbar mengenai diri saya yang pernah keluar di majalah atau pun surat khabar.
"Saya sangat terkejut kerana sebelum ini tidak pernah memberitahu saya mengenai perkara itu dan ia cukup menyedihkan saya," jelasnya kepada mStar Online.
Onn, 80, meninggal dunia sewaktu sedang mendapat rawatan serangan jantung di Hospital Ampang, kira-kira jam 2.30 pagi, 17 Februari lalu.
Dalam pada itu, ditanya apakah pesanan yang sempat disampaikan kepadanya sebelum beliau meninggal dunia, Linda berkata, bapanya banyak meninggalkan pesan kerana memang tidak pernah jemu menasihati mereka adik beradik.
Bagaimanapun kata Linda, bapanya sering mengingkatkannya supaya mengamalkan solat sunat Dhuha dan Tahajjud sebagai amalam harian selain bijak membawa diri sebagai seorang wanita.
"Setiap hari dia akan meninggalkan pesanan kepada kami dan akan berpegang teguh kepada nasihat yang ditinggalkannya," katanya.
Sementara itu, Linda berkata, dia sentiasa merindukan Allahyarham dan sebagai anak dia masih belum puas berbakti kepada beliau.
"Saya dan bapa sangat rapat kerana saya belum berkahwin dan anak bongsu. Ketiadaannya sangat dirasai dan saya sentiasa mengingati pesanannya," jelasnya.

Perjanjian berdarah!

Posted: 06 May 2013 04:28 AM PDT


Perjanjian berdarah!
Nabila Huda
Nabila Huda
FILEM seram sememangnya bukan satu genre baru dalam industri perfileman di Malaysia bahkan di luar negara juga sudah banyak filem berunsur seram yang menjadi pertaruhan.

Terbaru, pengarah muda, Faizul A Rashid turut mempertaruhkan filem seram sebagai percaturan sulungnya dalam industri perfileman.

Bisikan Syaitan mengangkat kisah perjanjian antara manusia dan syaitan dalam mengejar kemewahan dan hidup yang lebih senang.

Membariskan pelakon hebat seperti Fizz Fairuz, Nabila Huda, Azam Pitt, Wan Sharmila dan adik Farah Nadiah sebagai teraju utama, filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta menjalani penggambaran selama 30 hari di Bukit Fraser dan Kuala Kubu Bharu.

Menurut Faizul, dia berharap masyarakat dapat menerima filem pertamanya ini diterima masyarakat dan menilai kesan apabila manusia melakukan perjanjian dengan syaitan.

"Biarpun melalui beberapa pemotongan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF), tetapi ia tidak menjejaskan keseluruhan jalan cerita," ujarnya kepada media.

Meletakkan elemen kejutan, konflik dan tanda tanya sebagai permainan plot penceritaan, Faizul berjaya menimbulkan rasa ingin tahu penonton sejak awal lagi.

Plot perlahan

Bagaimanapun secara keseluruhan, perjalanan plot yang agak perlahan dengan durasi pada satu babak yang agak lama ada kalanya merencatkan sedikit perhatian penonton.

Namun dek kerana perasaan ingin tahu penonton seolah-olah perlu bersabar dengan perjalanan cerita sehingga akhirnya persoalan tersebut mula dirungkai satu persatu pada klimaks penceritaan.

Malah Faizul juga amat bertuah kerana mempunyai barisan pelakon yang cukup mantap dalam menyampaikan emosi dan memandu jalan cerita sehingga ke akhirnya.

Manakala elemen kejutan yang cuba dimainkan Faizul ada kalanya menjadi dan kurang menjadi kerana penonton sudah dapat menjangkakannya lebih awal.

Nasib Soraya, Kamil

Bisikan Syaitan mengisahkan tentang kehidupan sebuah pasangan iaitu Soraya (Nabila Huda) dan Kamil (Fizz Fairuz) yang telah membuat perjanjian berdarah dengan kuasa kejahatan demi mendapatkan kesenangan hidup.

Mereka kemudiannya hidup dengan serba mewah hasil daripada perjanjian itu.

Segalanya bertukar menjadi porak-peranda apabila Soraya telah ditahan oleh pihak polis atas tuduhan membunuh. Rahsia perjanjian pasangan Kamil dan Soraya ini mula terbongkar sedikit demi sedikit apabila keluarga Kamil mula diganggu makhluk-makhluk ghaib.

Status bukan penghalang

Posted: 06 May 2013 04:26 AM PDT


Betty Benafe
Betty Benafe
Biarpun bergelar isteri, ia ternyata bukan halangan bagi pelakon dan penyanyi, Betty Ibtisam Abu Bakar Benafe atau Betty Benafe, 34, untuk terus aktif sebagai anak seni.

Buktinya, selain mendapat izin suami tersayang, Burce Dargus untuk berlakon, anak jati kelahiran Johor ini juga tak lupa mengembangkan bakat nyanyian.

Sebelum ini artis berambut perang ini pernah memiliki album berjudul Ibtisam pada 2007, kerinduannya terhadap seni suara semakin terubat apabila terhasilnya single terbaru, Tak Sengaja ciptaan Amirudin Syawal dan lirik oleh Alwi Hadad, yang kini sedang berkumandang di corong-corong radio.

Berkongsi cerita mengenai lagu singlenya itu, Betty berkata, lagu itu sudah siap dirakam pada 2011, tetapi urusan promosinya tertangguh berikutan masalah keluarga kerana Betty perlu menjaga ibunya yang sakit.

"Pelbagai dugaan bagi saya ia tanggungjawab sebagai seorang anak dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesihatan ibu, Fouziah Najib dan juga arwah ibu saudaranya, Fatimah Ahmad. Kedua-dua insan yang saya sayang itu tidak sihat dan memerlukan perhatian sepenuh masa.

"Ketika itu juga saya terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu, sebab itu, saya tidak dapat beri tumpuan sepenuhnya kepada kerja, kerana bimbang memikirkan kesihatan mereka.

"Saya rapat dengan arwah ibu saudara dan berharap dia dapat menyaksikan perkahwinan saya. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memakbulkan doa saya dan arwah meninggalkan kami sekeluarga selepas saya bernikah. Sehingga kini, kesihatan ibu juga semakin bertambah baik berbanding dulu.

"Ditambah pula, pada masa itu juga saya sibuk dengan persiapan kahwin. Jadi, saya terpaksa menangguhkan segala urusan membabitkan promosi lagu ini dan memberi keutamaan pada keluarga serta peribadi. Syukur, kini berkat kesabaran saya, nampaknya berbaloi dan sekarang adalah masa sangat tepat untuk mempromosikan lagu tersebut," katanya.

Luahan hati menerusi lagu

Setiap insan pastinya mempunyai kisah tersendiri, bagi Betty, lagu tersebut menjadi pilihannya kerana setiap alunan lagu yang disampaikan mempunyai jalan cerita dalam hidupnya, terutama perjuangan cintanya dengan  suami tersayang.

"Lagu ini banyak mengisahkan perjalanan cinta saya bersama suami, lagu yang bertempatan dengan kehidupan lama saya di mana benda yang selama ini tidak pernah berharap menjadi kenyataan.

"Perjalanan lagu ini juga memberi berjuta pengertian buat saya, apabila kisah cinta yang tidak disengajakan ini menjadi lebih bermakna dalam diri saya," katanya.

Setakat ini, sebanyak empat lagu sudah siap dirakam untuk diedarkan Universal Music.

Ditanya mengenai dunia lakonan, Bety memberitahu, kini dia juga sibuk menjalankan penggambaran drama berjudul Lara. Selain itu, dia juga sibuk menguruskan perniagaan restoran milik keluarganya iaitu restoran Banafee Village di Johor Bahru.

"Tawaran berlakon masih banyak sehingga kini, untuk menerima berlakon dalam drama yang berantai mengambil masa dua atau tiga bulan.

"Dengan sebab itu, saya terpaksa berbincang dengan pihak pengarah dan juga produser agar dapat membahagikan masa dalam lakonan, perniagaan dan nyanyian," katanya.

Dorongan suami tersayang.

Lumrah hati seorang wanita yang ingin dicintai dan mencintai, penantian Betty untuk bertemu jodoh dengan lelaki pilihan hati akhirnya menjadi kenyataan.

Pada tanggal 8 Disember tahun lalu, dia selamat diijabkabulkan dengan seorang jejaka bernama Burce, seorang pakar Teknologi Maklumat (IT) warga Britain juga seorang pemuzik elektronik dan produser muzik.

Wanita kacukan Inggeris dan Lubnan berkata, dia dan suami adalah pasangan sejiwa dan sangat bersyukur dipertemukan jodoh dengan pasangan yang memiliki minat sama.

"Saya bersyukur, dengan minat yang sama, ia membuatkan hubungan kami bertambah erat serta boleh berkongsi pandangan mengenai muzik. Ternyata, dengan pengalaman dimiliki Burce, dia banyak membantu saya untuk mengukuhkan karier dalam bidang nyanyian.

"Segala jadual kerja saya juga, diatur oleh suami dengan menggunakan teknologi komputer, hidup saya kini lebih sistematik berbanding dahulu.

"Sebelum ini, saya menggunakan pembantu, tapi sekarang tidak lagi kerana Burce banyak membantu meringankan kerja harian saya sebagai anak sen," katanya.

Impi cahaya mata

Dalam kehidupan berumah tangga pastinya anak penyeri utama. Bagaimanapun, rezeki cepat atau lambat adalah ketentuan Tuhan. Perkara seperti ini pastinya tidak boleh diramal.

Tidak lupa berbicara mengenai cahaya mata, Betty mengakui dia juga seperti wanita lain yang memiliki naluri keibuan.

"Siapa yang tidak mahu cahaya mata dalam melalui kehidupan berumah tangga, tapi sebagai insan biasa kita hanya merancang ALLAH menentukan segalanya.

"Saya dan suami, hanya mampu berdoa untuk lakukan yang terbaik,

"Mungkin segelintir beranggapan karier sebagai anak seni halangan untuk mengandung, tapi bagi saya tidak, saya jadikan ibu sebagai mentor utama walaupun mengandung ia bukan halangan untuk kita terus bekerja," katanya.

Pengantin keluar undi

Posted: 06 May 2013 04:24 AM PDT


pengantin
Ahmad Fitri (kiri) bersama Norliyana dan pasangan Muhd Shahfiz bersama Norzalilah memeriksa nama sebelum masuk saluran mengundi di SRA Bukit Kuching.
JERAM - Walaupun sibuk meraikan hari bersejarah bersama keluarga dan rakan, dua pasangan pengantin di Kampung Bukit Kuching, di sini tetap tidak melupakan tanggungjawab mereka untuk mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini.

Pasangan raja sehari, Norliyana Bastan, 23 dan suaminya, Ahmad Fitri Torman, 24, teruja untuk keluar mengundi meskipun berpakaian pengantin dan mencuri masa yang ada untuk datang ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching selepas bersanding.

"Saya tidak menyangka tarikh perkahwinan jatuh pada hari mengundi kerana ketika memilih tarikh terbabit, kami tidak tahu pun ia menjadi tarikh pilihanraya sekali gus ia menjadi hari bersejarah dan kenangan seumur hidup buat kami berdua.

"Majlis perkahwinan ini tetap diteruskan meskipun orang kampung sibuk mengundi," katanya.

Bagi pasangan Norzalilah Kasim, 23 dan suaminya, Muhd Shahfiz Khairudin, 23, juga tidak menyangka tarikh perkahwinan mereka kebetulan sama dengan tarikh mengundi, namun itu tidak menjadi halangan untuk keluar mengundi selepas sesi memotong kek.

"Walaupun agak malu apabila kami diiringi perayu undi dengan payung, namun saya bertuah kerana dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih buat pertama kali bersama suami yang mengundi di Parit Mahang," katanya.

Izzue Islam kahwin 2 Jun

Posted: 06 May 2013 04:22 AM PDT

IZZUE mempunyai sebab tersendiri kenapa dia menyembunyikan tentang pertunangan dirinya dengan Awin yang sebenarnya berlangsung pada Jun tahun lepas.


SEBELUM ini pelakon kacak, Izzue Islam tidak pernah mengiya atau menafikan gosip tentang dirinya yang dikatakan sudah bertunang dengan pengurusnya yang dikenali dengan nama Awin Nurin.
Tiba-tiba, minggu lalu, anggota kumpulan Forteen itu mengejutkan peminatnya apabila mendedahkan bakal berkahwin dengan pengurusnya itu pada 2 Jun ini.
Pelakon drama Sebenarnya Saya Isteri Dia yang sedang hangat ditayangkan di TV3 itu juga mengakui gosip mengenai pertunangannya sebelum ini adalah benar.
Kenapakah penyanyi berusia 24 tahun itu baru kini mengakui tentang perkara itu? Ikuti pengakuan Izzue kepada Kosmo!.
Kosmo!: Kenapakah selama ini Izzue tidak mengakui sudah bertunang dengan pengurus?
IZZUE: Saya minta maaf kerana terpaksa memilih untuk tidak memberitahu tentang pertunangan saya itu. Sebenarnya saya khuatir kalau tidak jadi kahwin, saya juga yang malu. Saya juga perlu menjaga hati keluarga dan juga keluarga tunang supaya tidak menghebohkan tentang perkara ini sebelum sampai masanya.
Adakah Izzue enggan memberitahu perkara itu (bertunang) kerana takut populariti akan merudum?
Tidak. Jika takut (populariti merudum) saya tidak akan berkahwin pada usia 24 tahun.
Bilakah Izzue mengikat tali pertunangan dengan Awin?
Bulan Jun tahun lepas.
Tidakkah Izzue fikir usia 24 tahun terlalu muda untuk berkahwin? Sedangkan kerjaya anda sedang meningkat?
Memang Tuhan sudah takdirkan saya kahwin pada usia ini. Insya-Allah, perkahwinan ini tidak akan memberikan kesan kepada kerjaya saya. Peminat masa kini bersikap lebih terbuka. Malah bila mereka tahu saya bakal berkahwin, ramai yang suka dan mengucap tahniah.
Apakah keistimewaan Awin sehingga berjaya menambat hati Izzue?
Dia seorang sahabat yang baik. Dia juga memahami dan faham cara kerja saya.
Berapakah usia tunang Izzue itu?
Rahsia.
Berapa lamakah Izzue dan tunang sudah berkenalan?
Saya sudah kenal dia selama lima tahun.
Boleh kongsikan tentang persiapan kahwin buat masa ini?
Setakat ini persiapan kahwin sudah siap sebanyak 50 peratus. Saya memilih untuk mengadakan satu majlis sahaja iaitu di Shah Alam. Kami akan bernikah pada pagi 2 Jun itu dan majlis persandingan pula akan diadakan pada sebelah tengah hari.
Kenapa di Shah Alam sahaja, bukankah Izzue merupakan anak kelahiran Kelantan?
Di Kelantan cuma buat majlis sambut menantu sahaja selepas majlis resepsi di Shah Alam.
Di manakah lokasi bulan madu Izzue nanti?
Kami tidak merancang lagi kerana saya sibuk menjalani penggambaran. Tetapi saya teringin untuk ke Jepun kerana belum pernah lagi menjejakkan kaki ke sana.
Bolehkah ceritakan perkembangan terbaharu anda dalam bidang seni?
Saya baru sahaja menjalani penggambaran drama 36 episod, Sahabat untuk Astro Ria. Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu juga dibintangi oleh Liyana Jasmay dan Sara Ali. Saya juga kini sedang menjalani penggambaran filem adaptasi novel iaitu Suamiku Ustaz.

Tiada adegan buka baju, babak cium

Posted: 06 May 2013 04:21 AM PDT



SETAKAT ini cuma Datuk Seri Michelle Yeoh dilihat sebagai satu-satunya pelakon kelahiran Malaysia yang mampu mengembangkan kerjaya lakonan di Hollywood.
Bagaimanapun, industri hiburan tempatan kini boleh berbangga apabila terdapat seorang lagi anak seni iaitu pelakon Aeril Zafril meraih peluang berlakon dalam sebuah filem Hollywood baru-baru ini.
Bukan watak sampingan atau pelakon pembantu, sebaliknya Aeril atau nama sebenarnya Suhari Sunari diberi peluang melakonkan watak utama di samping beberapa aktres hebat Hollywood seperti Christina Ricci dan Sharon Stone.
Apabila diberi peluang untuk menyaksikan sebahagian sedutan filem berkenaan yang sudah menjalani penggambaran sejak Januari lalu, ternyata wujud keserasian antara Aeril dan Christina.
Cukup teruja apabila dapat berlakon dalam filem Hollywood, Aeril menegaskan dia tidak dapat bercerita dengan lebih lanjut tentang filem yang dilakonkannya itu.
"Saya terikat dengan perjanjian yang sudah termaktub bersama pihak produksi, antaranya tidak boleh memberitahu tentang sebarang perjalanan proses penggambaran filem itu.
"Lagipun filem tersebut baru selesai untuk penggambaran blok pertama dan tidak lama lagi saya akan ke London semula untuk menyambung proses penggambaran blok kedua pula," jelasnya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Aeril, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menjejakkan kaki di pentas Hollywood, namun dia sangat bersyukur kerana peluang sebegitu bukan mudah untuk diperoleh.
Ujarnya, dia turut mengambil pendekatan untuk tidak terlampau bercerita mengenainya kerana enggan dituduh sebagai seorang pelakon yang riak dengan peluang yang telah diraihnya itu.
"Selagi filem tersebut masih lagi belum siap dihasilkan, lebih baik saya tidak bercerita dengan lebih mendalam. Kalau semuanya selesai barulah saya akan bercerita," ujarnya.
Memandangkan adegan panas dan babak cium seperti sudah menjadi satu kelaziman dalam filem-filem terbitan Hollywood, Aeril menyatakan dia agak bernasib baik kerana tidak terbabit dengan sebarang adegan sedemikian.
Ujarnya, sebelum memberi persetujuan untuk berlakon dia sudah memberitahu kepada pihak produksi agar tiada adegan buka baju, bercium atau babak ranjang yang perlu dilakukannya.

ANAK muda ini menerima dengan penuh terbuka apabila dirinya digosip bercinta dengan aktres Wawa Zainal.


"Apabila saya meletakkan syarat sebegitu kepada mereka, saya terima dengan hati yang terbuka sekiranya tiada rezeki untuk berlakon dalam filem itu.
"Bagaimanapun, saya amat terkejut kerana mereka bersetuju dengan syarat tersebut, malah semasa penggambaran berlangsung kru produksi sanggup keluar dari bilik persalinan ketika saya mahu menukar baju," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada filem lakonannya itu bakal menjadi batu loncatan buat dirinya mengembangkan kerjaya di Hollywood, pelakon itu menyatakan dia sendiri tidak berani memberi jaminan kerana semuanya bergantung kepada rezeki.
Gosip cinta
Mengenai perkembangan terbaharunya pula, Aeril memberitahu kini dia sedang dalam rangka promosi filem terbaharunya iaitu 99 Kali Rindu yang akan ditayangkan di pawagam pada 9 Mei ini.
Menurut Aeril, dalam filem berkenaan dia membawakan watak sebagai Attar, seorang lelaki yang mahu mencari ketenangan setelah kematian isterinya.
"Filem ini bukan kesinambungan kepada 7 Petala Cinta, meskipun nama watak Attar wujud dalam kedua-dua filem berkenaan. Dalam filem 99 Kali Rindu, Attar memulakan hidup baharu selepas berhadapan dengan kekecewaan.
"Selain itu, Attar terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan seperti terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga berada dalam keadaan koma selama beberapa hari," jelasnya tentang watak yang dibawakannya itu.
Berkenaan dengan gosip cinta yang timbul antara dia dan aktres cantik, Wawa Zainal yang merupakan gandingannya dalam filem tersebut, Aeril menafikan gosip berkenaan timbul semata-mata mahu melariskan filem tersebut.
Tegasnya, dia sendiri tidak percaya gosip mampu jadi pelaris kepada kejayaan sesebuah filem kerana penonton sekarang lebih mengutamakan kepada kualiti dan jalan cerita yang ditampilkan.

SELEPAS bergandingan menerusi filem Pailang dan drama Klik, Aeril dan Wawa kembali bergabung tenaga dan aura dalam filem 99 Kali Rindu.


"Kalau ditanya tentang hubungan antara saya dan Wawa, memang kami agak rapat kerana sudah beberapa kali digandingkan bersama seperti filem Budak Pailang dan drama Klik.
"Mengenai perasaan terhadapnya pula, saya akui begitu menyayangi dirinya. Bagaimanapun, sayang saya kepadanya tidak lebih daripada seorang sahabat baik," jelasnya berhubung gosip cinta antara mereka berdua.
Ujarnya, dengan terjalin hubungan yang rapat itu menjadikan mereka tidak sukar untuk mencari keserasian bersama apabila bergandingan dalam sesebuah filem atau drama.
Sedia terima
Selama ini kerjaya Aeril sebagai pelakon telah diuruskan Metrowealth (MIG) setelah menjadi artis di bawah naungan syarikat tersebut sejak tahun 2010.
Bagaimanapun, pelakon itu akhirnya telah mengambil keputusan untuk keluar dari MIG kerana merasakan sudah mampu berdikari dan menguruskan kerjayanya sendiri.
"Kalau ikut kontrak saya masih lagi artis naungan MIG dan ia akan berakhir setelah saya selesai menjalankan kerja-kerja promosi untuk filem 99 Kali Rindu.
"Sebenarnya keputusan yang dibuat adalah untuk kebaikan kedua-dua pihak. Lagipun hubungan saya dengan David Teo juga tetap baik, meskipun saya tidak lagi bersama MIG selepas ini," ujarnya.
Menurut pelakon berusia 25 tahun itu, dia tidak keberatan untuk terus berlakon dalam filem atau drama yang diterbitkan oleh MIG sekiranya masih lagi mendapat tawaran.

Amir Jahari jual suara bukan rupa

Posted: 06 May 2013 04:21 AM PDT


POTENSI bakat nyanyian Amir begitu diyakini syarikat Kasi Gegar Entertainment milik Aizat.


BIARPUN tanpa rupa paras menarik, dua lagu ciptaan penyanyi Amir Jahari iaitu Tanpamu dan Penghibur Jalanan mampu menarik minat pendengar dan carta muzik tempatan.
Bekas peserta program realiti popular, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) itu juga tidak gentar menghasilkan album ketika penyanyi lain mengambil jalan selamat dengan hanya mengeluarkan single.
Album sulung Amir berjudul Penghibur Jalanan itu memuatkan tujuh buah lagu termasuk dua buah lagu bonus versi akustik iaitu Tanpamu dan Gelisah.
Mengulas mengenai album Amir, penerbitnya iaitu Anas Amdan memberitahu, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu mempunyai bakat besar yang harus ditonjolkan.
Jelas abang kepada penyanyi Aizat Amdan itu, salah satu daripada usaha ke arah menonjolkan bakat Amir adalah dengan menghasilkan album buatnya.
"Saya sangat yakin dengan bakat mencipta lagu dan kemampuan vokal Amir. Saya tahu dia mampu pergi jauh dengan bakatnya itu," ungkapnya optimis.
Ujarnya, kesemua lagu dalam album keluaran syarikat milik Aizat iaitu Kasi Gegar Entertainment (KGE) itu juga adalah hasil ciptaan Amir sendiri.
Ditebak kepada Amir, kenapa tiada komposer lain yang menyumbang lagu kepadanya, ujar penyanyi berusia 21 tahun itu, dia mahu album pertamanya tersebut dibuat melalui sentuhan sendiri.
"Setiap lagu yang terkandung dalam album Penghibur Jalanan ini mempunyai kesinambungan jalan cerita mengenai perasaan dan pengalaman hidup yang pernah dilalui oleh saya. Disebabkan itu, album ini hanya mengandungi lagu-lagu ciptaan saya.
"Lagu-lagu ini juga sudah lama berada dalam simpanan peribadi dan saya rasa dengan terhasilnya album Penghibur Jalanan, impian untuk berkongsi rasa dan pengalaman melalui lagu dapat direalisasikan," dedahnya yang bakal ke Melbourne, Australia bersama Aizat pada 2 hingga 7 Mei ini untuk membuat persembahan solo di hadapan pelajar universiti di sana.

AMIR JAHARI mengakui pernah berasa takbur selepas AF9 tamat.


Lupa diri
Pernah dituduh lupa diri dan sombong satu ketika dulu selepas tamat AF9, luah Amir, dia sedar dan mengakui kesilapannya itu.
Malah, ujarnya, tunangnya yang dikenali dengan nama Amni, 27, itu juga pernah menegur sikapnya.
"Saya pernah berasa takbur selepas AF9 tamat. Tetapi nasib baik tunang tegur dan saya mulai tersedar," ujarnya yang banyak belajar dan menerima nasihat daripada tunang dan juga Aizat.
Jelas Amir lagi, dia juga sudah pandai berkomunikasi dan prihatin akan hal di sekelilingnya.
Mengulas mengenai pertunangannya bersama Amni, jelas Amir, buat masa ini dia belum lagi mempunyai sasaran bilakah mereka akan berkahwin.
Bertunang pada 1 Januari 2011, ungkap Amir, tunangnya itu juga pernah menyuarakan rasa hatinya bilakah mereka akan berkahwin.
Ironinya, kata Amir, dia bukan belum bersedia tetapi mahu berjaya terlebih dahulu dalam bidang serta mengumpul duit sebelum meneruskan kelangsungan hidup bersama tunangnya.
Ditebak kenapa dia tidak menggunakan wajah sendiri sebagai penghias kulit untuk album pertamanya itu, jelas Amir Jahari, dia bukan menjual rupa sebaliknya menjual suara dan muziknya.

Penumpang panik bas terbalik

Posted: 06 May 2013 04:20 AM PDT

SERAMAI 20 penumpang sebuah bas ekspres panik selepas kenderaan itu terbalik dalam nahas di Ayer Keroh, Melaka semalam.


ALOR GAJAH - Seramai 20 penumpang sebuah bas panik apabila kenderaan itu terbalik selepas terlibat dalam kemalangan yang melibatkan dua buah bas ekspres dan sembilan kereta di Kilometer 202.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan semalam.
Difahamkan, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka ketika kejadian pukul 2.45 petang itu berlaku.
Pemandu bas itu, Mohd. Anuar Othman, 58, berkata, sebelum kejadian dia cuba mengelak deretan enam buah kenderaan termasuk sebuah bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan sebelum itu.
"Saya memaut stereng ke kiri menyebabkan bas berpusing dan terbalik ke kanan sebelum menghempap pula dua buah kenderaan.
"Dua buah kereta kemudian merempuh belakang bas. Saya sempat menjerit kepada penumpang supaya tidak panik dan pegang kuat-kuat tempat duduk," katanya ketika ditemui.

Pesawat berkuasa suria terbang tanpa guna minyak

Posted: 06 May 2013 04:16 AM PDT


PESAWAT Solar Impulse terbang dari Teluk San Francisco ke Phoenix, Arizona pada Jumaat lalu.


SAN FRANCISCO - Sebuah pesawat berkuasa suria berlepas dari sini dan tiba di Phoenix, Amerika Syarikat kelmarin dalam tempoh 18 jam dan 18 minit.
Pesawat yang tidak menggunakan minyak itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sky Harbor, Phoenix selepas berlepas dari Lapangan Terbang Moffett Field dekat sini pada Jumaat lalu.
Badan pesawat itu diperbuat daripada gentian karbon dan seberat sebuah kereta kecil.
Pesawat yang diberi nama Solar Impulse itu boleh terbang pada ketinggian 8,500 meter dengan purata kelajuan 69 kilometer sejam.
Projek membina pesawat itu bermula pada tahun 2003 dengan bajet sebanyak AS$112 juta (RM339 juta).
Ia melibatkan sekumpulan jurutera daripada syarikat pembuat eskalator Schindler dan mendapat bantuan daripada firma kimia, Solvay.
Pengasas projek itu ialah Bertrand Piccard dan Andre Borschberg yang juga juruterbang dari Switzerland.
Piccard mengendalikan pesawat itu semasa ia berlepas dari Lapangan Terbang Moffett Field.

Turun dari bangunan guna kerusi roda

Posted: 06 May 2013 04:16 AM PDT


SEJUMLAH orang menyaksikan Krupicka turun dengan menggunakan kerusi roda sambil dibantu seorang lelaki dari bangunan Pusat Kongres Prague di Prague kelmarin.


PRAGUE, Republik Czech - Seorang lulusan dari Institut Jedlickuv, Zdenek Krupicka turun dari sebuah bangunan tinggi dengan menggunakan kerusi roda di sini kelmarin.
Dia yang merupakan orang kurang upaya dibantu oleh seorang lelaki menuruni bangunan Pusat Kongres Prague setinggi 25 meter.
Seutas tali diikat pada kerusi roda itu semasa dia menuruni bangunan tersebut.
Krupicka melakukan aksi itu sempena meraikan ulang tahun ke-100 institut tersebut.
Institut itu ditubuhkan oleh seorang doktor bedah, Rudolf Jedlicka yang bertujuan mendidik kanak-kanak kurang upaya sejak seabad lalu.

Ziarah untuk fahami agama kaum lain

Posted: 06 May 2013 04:14 AM PDT



PENGANUT Kristian kelihatan begitu khusyuk mendengar khutbah pagi yang disampaikan oleh paderi pada pagi itu. Namun, tumpuan mereka sedikit terganggu apabila rombongan Konvoi Rumah Ibadat 2013 memasuki pekarangan gereja Church of the Visitation di Jalan Yam Tuan, Seremban, Negeri Sembilan.
Pandangan mereka penuh kehairanan apabila ada dalam kalangan ahli rombongan bertudung dan berkopiah.
"Gereja ini merupakan salah satu bangunan warisan di Negeri Sembilan kerana ia dibina pada tahun 1848. Apa yang ada lihat sama sahaja seperti dahulu.
"Khutbah sedang berlangsung. Ia disampaikan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, Tamil dan Cina pada masa yang berbeza oleh tiga paderi yang bertugas," kata Anthony Joseph, 45, yang merupakan wakil pihak gereja yang menyambut kedatangan para peserta Konvoi Rumah Ibadat 2013.
Konvoi Rumah Ibadat 2013 dianjurkan oleh Hidayah Centre Negeri Sembilan dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan disertai oleh 60 orang peserta daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama.
Selesai melawat di sekitar kawasan gereja, para peserta rombongan di bawa ke dewan untuk sesi dialog.
"Setiap agama menganjurkan kepada kebaikan dan saling menghormati antara satu sama lain tidak kira bangsa dan agama.
"Atas dasar muhibah, kami mengalu-alukan program sebegini," kata Paderi Gregory Chan Weng Keong, 47.
Membawa tema 'Saling Memahami, Masyarakat Harmoni' konvoi diteruskan ke rumah ibadat kaum Sikh, Gurdwara Sahib yang terletak di kawasan berhampiran yang dibina sejak tahun 1905.
Gaya hidup Punjabi
Kehadiran kami disambut oleh Presiden Gurdwara Sahib Seremban, J. Balbir Singh dengan tangan yang terbuka, manakala sesi penerangan dilakukan oleh Prabhdial Singh Dhillon, 50, selaku Sewadar iaitu sukarelawan di Gurdwara tersebut.
Prabhdial memberitahu, Gurmukhi merupakan tulisan yang digunakan dalam bahasa Punjabi dan orang Sikh mempunyai empat bahasa utama iaitu Gurmukhi, Punjabi, Parsi dan Arab.

TOKONG Jiu Long Gong dilengkapi sistem pendidikan bagi membantu golongan miskin.


Tiada istilah kehidupan bujang dalam kamus hidup penganut Sikh kerana mereka perlu berkahwin. Seorang lelaki hanya dibenarkan mempunyai seorang isteri dan mereka dilarang mempunyai apa-apa hubungan selain kepada isteri yang sah.
Kebanyakan orang Sikh terdiri daripada bangsa Punjabi dan Punjabi itu sendiri terbahagi kepada Punjabi Muslim, Punjabi Hindu dan Punjabi Singh.
Punjabi Muslim wujud pada tahun 1947 ketika India dan Pakistan dipisahkan menyebabkan separuh daripada orang Punjabi berada di Pakistan.
"Lelaki Sikh dimestikan memakai turban sebagai lambang maruah selain tampil lebih kemas memandangkan lelaki Sikh tidak dibenarkan memotong atau mencukur rambut.
"Kami melakukan upacara sembahyang sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang selepas terbenam matahari dan sebelum masuk tidur pada waktu malam bagi mempersiapkan diri jika tidak bangun keesokan harinya," katanya sambil memberitahu wanita juga mempunyai taraf yang sama seperti lelaki.
Sikh mempunyai kitab suci yang mempunyai 1,430 muka surat yang dibaca secara berlagu.
Penganut agama Sikh 100 peratus pemakan sayur kerana daging tidak termasuk dalam diet mereka. Sehubungan itu, hanya sayur-sayuran dibenarkan masuk ke dalam Gurdwara.
Memandangkan Gurdwara diuruskan sendiri dengan sumber kewangan hasil sumbangan ramai, setiap penganut diminta menyumbangkan 10 peratus daripada pendapatan mereka untuk Gurdwara persis konsep zakat dalam agama Islam untuk membantu golongan yang memerlukan.
Kami kemudian dibawa di tempat sembahyang. Ahli rombongan lelaki diwajibkan menutup bahagian kepala mereka sebelum memasuki kawasan tersebut.
Bawa hajat
Kelihatan kitab suci Guru Granth Sahib atau Adi Granth diletakkan di tengah-tengah Gurdwara di atas singgahsana. Ia ditempatkan di satu bilik khas apabila tamat upacara sembahyang.
Pengembaraan diteruskan lagi ke kuil Sri Baba Thandayuthapani yang merupakan tempat ibadat bagi penganut agama Hindu.
Setiausaha kuil tersebut iaitu Kapten Parameswaran melihat keadaan sekeliling kuil.
"Sebelum upacara sembahyang dilakukan, seseorang penganut itu perlu mengelilingi kuil terlebih dahulu.
"Tuhan utama ialah Murugan, Elephant dan Lady God atau Amman. Mana-mana kuil mesti ada tuhan-tuhan utama ini selain dewa-dewa yang lain," katanya sambil memberitahu ramai penganut hindu yang datang bersembahyang kepada Dewa Saneesvarar membawa hajat supaya diberikan nasib yang baik.

PARA peserta konvoi bukan Islam dapat melihat secara lebih dekat bagaimana pelaksanaan solat seseorang penganut agama Islam.


Tambahnya ada juga penganut yang datang sembahyang untuk Dewa Sembilan Planet (Navakraham). Tiap-tiap satu planet punya maknanya sendiri iaitu untuk mencari ilmu, harta dan sebagainya.
Parameswaran memberitahu, penganut Hindu sembahyang sebanyak tiga kali sehari bermula pada pukul 7 pagi, 12.30 tengah hari dan pukul 7 petang. Seawal pukul 5.30 pagi, sami akan memandikan dewa dan menghiaskannya.
"Kami tidak dibenarkan membawa masuk mayat ke kuil dan seseorang itu dilarang memasuki kuil selama 30 hari jika ada ahli keluarganya meninggal dunia.
"Untuk membina sesebuah kuil, perlu ada ritualnya. Biasanya kuil dibina ke arah Timur iaitu menghadap matahari," ujarnya.
Sebelum beredar untuk ke lokasi seterusnya, para peserta berpeluang melihat ritual upacara sembahyang yang dijalankan dengan paluan gendang dan tiupan serunai seperti yang ditonton dalam drama dan filem-filem Tamil.
Sama seperti wakil-wakil rumah ibadah lain, wakil Tokong Jiu Long Gong di Jalan Temiang mengalu-alukan kedatangan kami walaupun pada mulanya mereka agak gusar kerana ia melibatkan sensitiviti.
Menurut Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, Lau Chee Boon, tidak seperti tokong-tokong yang lain, Tokong Jiu Long Gong dilengkapi sistem pendidikan dan membantu golongan miskin.
Belajar nilai hidup
"Terdapat lebih 100 murid sekolah datang ke sini. Kebanyakannya mempunyai masalah keluarga dan pembelajaran. Mereka ke sini pada sebelah petang selepas mengikuti pembelajaran di sekolah formal.
"Di sekolah itu, mereka turut diajar mengenai nilai hidup yang betul," katanya sambil memberitahu penganut ajaran Taoisme yang ditimpa kesusahan boleh datang bersembahyang setiap hari.

Kompleks Al Saadah menjadi pusat agama bagi golongan mualaf tampil dengan reka bentuk seni bina China.


Edisi Konvoi Rumah Ibadat 2013 sampai ke kemuncaknya apabila tiba di Masjid Jamek Bandar Seremban.
Peserta rombongan bukan Islam dibawa masuk ke ruang solat dan masing-masing memberi tumpuan tatkala mendengar penerangan daripada Pengarah Program Hidayah Centre Kuala Lumpur, Zun Arif Hakim Abd. Rahman dan wakil Hidayah Centre Seremban, Wahiduddin Mohd. Aris.
Selain menunjukkan mimbar tempat khatib menyampaikan khutbah pada setiap hari Jumaat, mereka juga dijelaskan berhubung konsep Rukun Iman dan Rukun Islam. Pada masa yang sama, mereka dibenarkan bertanya jika ada sebarang kekhilafan mengenai Islam.
Sebagai mengakhiri lawatan, semua ahli rombongan dibawa ke Kompleks Al Saadah yang bertempat di Rahang, Seremban. Uniknya, bangunan itu mempunyai reka bentuk seni bina Cina.
Bangunan tersebut menempatkan masjid, asrama dan bilik kuliah bagi mereka yang mahu mendekatkan diri kepada Islam.
Kini, Kompleks Al Saadah menjadi pusat agama bagi golongan mualaf yang berjumlah hampir 2,000 orang menempatkan pejabat Muslim Reverts' Association (MRA) dan Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA).

Belajar bahasa Arab dengan mudah

Posted: 06 May 2013 04:12 AM PDT




BAHASA Arab merupakan bahasa al-Quran. Justeru, amat penting bagi umat Islam menguasai bahasa Arab dengan baik kerana ia mempunyai banyak keistimewaan.
Apabila seseorang itu pandai berbahasa Arab dan mampu berkomunikasi dengan baik, ini bermakna mereka juga boleh memahami isi kandungan al-Quran yang diturunkan Allah kepada seluruh manusia apabila membacanya.
Namun, pada zaman moden ini ramai antara kita tidak mahu mempelajari bahasa Arab dengan alasan ia susah dan membosankan.
Sebaliknya, masyarakat kini lebih gemar melihat anak-anak mereka menguasai bahasa Inggeris yang dianggap sebagai bahasa antarabangsa.
Hakikatnya, bahasa Arab adalah bahasa terpenting kerana melaluinya al-Quran diturunkan buat Nabi Muhammad SAW untuk disebarkan kepada sekalian umat manusia.
Bagi mereka yang berminat untuk mempelajari bahasa ini, anda boleh bermula dengan memiliki koleksi Buku Bersiri Bahasa Arab Mudah yang dihasilkan oleh Noorli Mohd. Noor.
Menurut Noorli, buku itu telah diterbitkan oleh AE Books Enterprise sejak tahun 2007. Sejak itu ia telah banyak diulang cetak kerana permintaan yang sangat menggalakkan.
"Koleksi buku ini menampilkan pembelajaran dan pengajaran mudah bahasa Arab bermula daripada asas. Ia sesuai untuk semua peringkat umur dan paling penting tidak perlu menghafal.
"Selain itu, syarat asas untuk pembelajaran buku ini hanya memerlukan anda tahu sedikit asas jawi atau boleh membaca al-Quran," kata Noorli ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Set lengkap Buku Bersiri Bahasa Arab Mudah mengandungi 10 buah buku termasuk kamus bergambar dan buku perbualan. Ia turut dilengkapi tiga keping cakera padat (CD) versi MP3.
Orang ramai boleh mengikuti Cara Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Arab Mudah bersama Noorli di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM FM).
Apa yang pasti, Noorli memberitahu, matlamat penghasilan buku tersebut adalah untuk menjadikan pembelajaran bahasa Arab lebih mudah dan diminati.
"Ia sekali gus bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang dapat memahami al-Quran dan sunah di samping menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa perbualan dalam kehidupan seharian.
"Saya sendiri mula belajar bahasa Arab ketika berusia 28 tahun. Malah sebelum itu, saya langsung tidak tahu membaca dan menulis jawi, tetapi boleh membaca al-Quran. Alhamdulillah, dengan izin Allah, kini saya mampu menjadi pengajar dan penulis buku bahasa Arab. Apa yang penting adalah niat kita untuk menjadi yang terbaik," ungkap Noorli yang kini berusia 47 tahun.
Terangnya lagi, buku tersebut ditulis daripada kajian, pemerhatian dan pengalaman untuk pembelajaran mudah bahasa al-Quran daripada peringkat paling asas.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.arabmudah.com, laman sosial facebook.com/ArabMudah atau hubungi talian 019-935 4122.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines