Jumaat, 3 Mei 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Mawi Tidak Akan Berpindah Kerana 'Orang Bunian'

Posted: 02 May 2013 05:56 AM PDT

Mawi tidak berhasrat untuk berpindah rumah lain selepas ada seorang lelaki mendakwa kediamannya didiami oleh dua makhluk bunian.
PETALING JAYA: Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi tidak berhasrat untuk berpindah daripada kediamannya di Bangi Golf Resort dekat sini gara-gara seorang lelaki mendakwa ternampak sepasang orang bunian tinggal di rumahnya.
Mawi, 32, berkata, semenjak kejadian itu berlaku April lalu tiada sebarang kejadian pelik terjadi di rumahnya dan berserah kepada Allah terhadap sebarang kemungkinan.
"Itu dakwaan lelaki tersebut yang kita tidak tahu sama ada benar atau pun tidak. Saya bagaimanapun tidak berhasrat untuk berpindah kerana perkara itu.
"Alhamdulillah setakat ini keadaan rumah berada dalam keadaan baik dan tidak pernah berlaku sebarang kejadian aneh," katanya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.
Pada kejadian itu, seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh berusia 40-an bertindak memecahkan tingkap dapur rumah juara program Akademi Fantasia itu dan mendakwa melihat kelibat sepasang orang bunian berlegar-legar dalam rumah penyanyi itu.
Dalam pada itu, Mawi berkata, kes berkenaan telah pun diserahkan kepada pihak polis untuk disiasat dan berharap kejadian serupa tidak berulang lagi.
"Ini adalah kali kedua rumah saya dimasuk orang dan walaupun dia mendakwa ternampak bunian dalam rumah, saya tetap serahkan dia kepada pihak polis kerana menceroboh kediaman saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mawi berkata, dia teruja dapat bertindak sebagai juri dalam program Ceria Popstar bersama penyanyi Nurul Wahab dan akan sedaya upaya membimbing para peserta program itu.
Ceria Popstar bakal bersiaran setiap hari Ahad bermula 5 Mei ini pada pukul 11.30 pagi di saluran Astro Ceria.

Sarah malas layan Ammar

Posted: 02 May 2013 05:55 AM PDT


PUTERI SARAH enggan melayan dakwaan mengarut bekas kekasihnya, Ammar.


SETELAH hubungan antara pelakon dan model Ammar Alfian dan Puteri Sarah Liyana berakhir, tiada lagi kisah yang membabitkan mereka apabila kedua-duanya membawa haluan masing-masing.
Apatah lagi, sekarang ini Sarah sudah tampil bertudung dan menyatakan kehidupannya kini lebih bahagian tanpa kekasih dan lebih mudah buat dirinya untuk fokus dalam kerjaya lakonannya.
Bagaimanapun, baru-baru ini Ammar telah membuat pendedahan apabila menyatakan bekas kekasihnya itu kini sedang menjalinkan hubungan dengan pengarah dan pelakon popular, Syamsul Yusof.
Ketika dihubungi Kosmo!, Sarah menyatakan dia begitu terkejut dengan dakwaan tersebut dan berasa hairan apabila dirinya tiba-tiba dikaitkan pula dengan anak kepada penerbit Yusof Haslam itu.
Ikuti temu bual seterusnya bagi mendapatkan kepastian mengenai hubungannya dengan Syamsul seperti yang didedahkan Ammar.
Kosmo!: Sebelum ini Sarah menyatakan tidak mempunyai kekasih setelah putus cinta dengan Ammar. Bagaimanakah timbul pula kisah percintaan anda dengan Syamsul?
SARAH: Sebenarnya saya agak terkejut dengan pendedahan tersebut dan tidak menyangka sama sekali cerita sebegini boleh ditimbulkan oleh Ammar memandangkan kami secara rasminya sudah berpisah sejak bulan Disember tahun lalu. Saya sendiri tertanya-tanya dan tidak tahu alasan Ammar berbuat demikian sehingga menuduh saya sebegitu. Jadi, setelah difikirkan semula lebih baik saya tidak layan sebarang kenyataan yang dibuat olehnya.
Apakah status hubungan anda dengan Syamsul?
Kalau boleh saya tidak mahu mengulas panjang mengenainya kerana tidak mahu ia berpanjangan. Cuma, apa yang boleh saya cakap kami memang tidak menjalinkan sebarang hubungan cinta.
Adakah benar anda dan Syamsul pernah berlakon bersama-sama sebelum ini?
Tidak dinafikan kami pernah berlakon dalam drama bersiri KL Drift The Series pada bulan November tahun lalu, tetapi dakwaan yang menyatakan kami menjalinkan hubungan cinta memang tidak benar. Selepas membintangi drama tersebut kami sudah tidak lagi berjumpa kerana masing-masing sibuk, malah Syamsul sekarang banyak menghabiskan masanya di Bangkok, Thailand untuk menyelesaikan proses penerbitan filem KL Gangster 2. Jadi, bila masa pula kami berjumpa dan bercinta.
Apakah yang ingin anda lakukan sekiranya Ammar terus bercerita tentang diri anda?
Saya tidak kisah apa pun yang dia ingin cakap, asalkan tidak melampaui batas. Sekarang ini lebih baik saya fokus sahaja kepada kerjaya lakonan tanpa memikirkan kenyataan yang dibuat olehnya.
Apakah perkembangan kerjaya anda sekarang ini?
Pada bulan hadapan saya akan ke Bandung, Indonesia untuk menjalani penggambaran drama bersiri Cinta Berkalung Duri untuk siaran RTM. Kemudian pada 4 Mei ini telemovie lakonan saya iaitu Anak Menantu akan disiarkan di TV3 untuk slot Cerekarama. Bagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan untuk memberitahu bahawa telemovie itu merupakan yang terakhir menampilkan saya tidak bertudung. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu peminat salah sangka dan menganggap saya telah menanggalkan tudung semata-mata kerana mahu berlakon.

Nurul Teruja Hamil Selepas 15 Tahun

Posted: 02 May 2013 05:54 AM PDT

Nurul gembira dan teruja dengan kehamilan keduanya selepas 15 tahun.
PETALING JAYA: Penyanyi Nurul Wahab menyifatkan pengalaman hamil anak keduanya ibarat kali pertama walaupun pernah mengandung 15 tahun lalu.
Nurul atau nama sebenarnya Nurul Huda Abdul Wahab, 36, berkata, dia sangat teruja dengan kandungan yang kini berusia empat bulan itu dan berharap proses kehamilannya itu berjalan dengan baik.
"Bayangkan anak sulung saya sudah berusia 15 tahun dan kini mengandung buat kali kedua. Sudah tentu saya berasa sangat gembira dan teruja," katanya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.
Nurul dan Eric Daniel Depp, 48 yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis telah mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2012.
Hasil perkahwinan pertamanya dengan komposer terkenal Ajai, penyanyi itu mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah, berusia 15 tahun.
Dalam pada itu, tanpa berselindung, Nurul memberitahu dia mahukan cahaya mata lelaki namun suaminya tidak kisah sama ada anak yang bakal dilahirkan itu lelaki atau perempuan.
Malah kata Nurul, anaknya Ayu, cukup teruja dengan berita tersebut dan sangat berharap dia akan melahirkan anak lelaki.
"Suami sayang sebenarnya yang paling teruja dan tidak kisah akan jantina anak itu nanti dan sibuk membuat persiapan anak pertamanya dan Ayu tidak sabar untuk bertemu dengan adiknya," kata Nurul.
Dalam perkembangan sama, Nurul berkata, dua bulan pertama kandungannya dia cepat berasa letih dan tidak mempunyai tenaga untuk menyanyi dan kini keadaannya sudah kembali pulih.
Jelas Nurul, dia tidak berhasrat untuk berehat buat masa ini sebaliknya akan kekal aktif dengan pelbagai aktiviti sehingga pertengahan bulan Julai depan sebelum dijangka bersalin pada Oktober.
"Mula-mula memang sentiasa rasa penat tetapi sekarang sudah boleh melakukan aktiviti seperti biasa," katanya.
Sementara itu, Nurul berkata, dia akan berangkat ke Perancis bagi menghabiskan kursus bahasa Perancis ketika cuti semasa di sana tidak lama lagi.
Selain itu, dia juga telah merancang untuk menghasilkan single terbaharu selepas bersalin kelak.

A.Aida & Suffian Sah Cerai Talak Dua

Posted: 02 May 2013 05:53 AM PDT

A.Aida berasa lega kerana perceraiannya berjalan dengan baik.
KUALA LUMPUR: Konflik rumah tangga pelakon dan penerbit, A. Aida dan suaminya Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman akhirnya selesai apabila pasangan itu sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada pagi Khamis.
Sehubungan itu A.Aida selaku plaintif menarik balik permohonannya untuk bercerai secara fasakh yang difailkan pada 2 November lalu mengikut Seksyen 52, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Fasakh).
Lafaz cerai dibuat Suffian di dalam kamar di hadapan Hakim Syarie Umamuddin Yunus dan mahkamah yang menyabitkan lafaz cerai itu sebagai sah memerintahkan A.Aida untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula Khamis.
Proses penceraian pasangan itu sebelum ini tertangguh apabila Suffian selaku defendan membuat beberapa tuntutan terhadap plaintif sebelum bersetuju untuk bercerai secara baik.
A.Aida sebelum ini menganggap tuntutan yang dibuat oleh defendan sebagai keterlaluan dan melampaui batas menyebabkan dia terpaksa memfailkan fasakh.
Pasangan itu hadir ditemani peguam masing-masing pada prosiding itu.
Kes pasangan itu dibicarakan di bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik).
Dalam pada itu, mahkamah memerintahkan Suffian untuk membayar edah sebanyak RM3,000 kepada plaintif dan pihak defendan bersetuju untuk memberikan nafkah anak sebanyak RM300 sebulan.
Peguam syarie kepada plaintif iaitu Zulkifli Che Yong ketika ditemui luar mahkamah memberitahu mahkamah turut membenarkan memberi hak penjagaan kekal anak lelaki mereka Muhammad Rahul, yang berusia empat tahun kepada plaintif sementara defendan mendapat hak lawatan dan bermalam dua kali sebulan pada setiap Sabtu dan Ahad.
Mahkamah turut bersetuju permohonan plaintif untuk memberi sebuah rumah yang didaftarkan secara bersama dengan Suffian kepada anak lelaki mereka itu.
Zulkifli berkata proses itu akan mengikut konsep hibah (pemindahan hak milik harta secara percuma semasa hidup orang yang berhak terhadap harta) dan nazar itu telah lama dilakukan semenjak mereka mendapat anak lelaki.
"Bagi mengelakkan sebarang pertikaian terhadap rumah berkenaan kerana ia didaftarkan atas nama mereka berdua dan sebab itu plaintif dengan rela hati ingin menukar bahagian namanya pada rumah berkenaan kepada anak lelaki tunggalnya.
"Ia merupakan hasrat dan nazarnya apabila dikurniakan anak lelaki dan ingin memberikan rumah tersebut kepada Muhammad Rahul," katanya.
Suffian (kanan) ditemani peguamnya, Ismail Mohamad memberitahu pihak media dia tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan lagi dengan A.Aida
Mahu cerai talak tiga
Sementara itu, Suffian yang diwakili peguam syarie, Ismail Mohamad ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu dia pada asalnya ingin melafazkan cerai dengan talak tiga terhadap plaintif namun mahkamah tidak membenarkan dia berbuat demikian.
Suffian berkata, dia ingin melafazkan talak tersebut kerana tidak mahu ada apa-apa kaitan lagi dengan bekas isterinya itu.
"Saya tidak mahu lagi kembali kepadanya (Aida). Cukup sampai di sini sahaja dan sebab itu saya mahu cerai talak tiga tetapi mahkamah tidak membenarkan saya berbuat demikian.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana semuanya telah selesai dengan baik pada hari ini (Khamis) dan fokus utama sekarang adalah untuk sama-sama membesarkan anak kami," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Aida berkata, dia lega apabila 'drama' kekecohan rumah tangganya selesai tanpa sebarang masalah rumit dan dia sudah bersedia untuk memulakan hidup baru.
Tambah Aida, dia terkejut dengan tindakan Suffian yang ingin menceraikannya dengan talak tiga dan menganggap tindakan itu sengaja ingin menghinanya sebagai wanita.
"Apa yang lebih penting kini sudah tidak ada apa-apa lagi bebanan yang perlu saya pikul dan urusan selepas ini akan lebih mudah. Alhamdulillah segala-galanya telah selesai," katanya.
A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.
Suffian yang merupakan sorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu.
Sebelum berkahwin dengan Suffian, A. Aida pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha yang berusia 11 tahun.
A.Aida juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis berpangkat biasa sebelum mengenali Suffian.

Seri Akur Tersingkir Dari 'Kilauan Emas 3'

Posted: 02 May 2013 05:51 AM PDT

Seri menjadi peserta pertama meninggalkan pentas Kilauan Emas Musim Ketiga.
SHAH ALAM: Peserta daripada Negeri Sembilan iaitu Seri menjadi peserta pertama tersingkir daripada program Kilauan Emas Musim Ketiga yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dekat sini malam Rabu.
Pemilik nama penuh Sarimah Sulaiman, 41, yang menyampaikan lagu Laksamana Raja Dilaut nyanyian asal Datuk M. Daud Kilau terpaksa akur apabila hanya mendapat 41 markah daripada juri profesional dan undian secara Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Persembahan yang mengangkat tema irama Malaysia dan pop yeh yeh itu memperlihatkan peserta daripada Selangor, Mior Yazid Ahmad atau Meor mengungguli pertandingan dengan 74 markah menerusi persembahan mantapnya membawakan lagu Seruling Anak Gembala.
Barisan juri dari kiri; Ramli MS, Ziana Zain dan Sharifah Aini.
Manakala kedudukan tempat kedua dan ketiga dimiliki oleh Silahudin Ali (Silah) dan Idris Mohd Shabidin (Idris) yang mendapat 70 markah.
Dua juri profesional yang mengadili 10 peserta pada malam itu adalah Datuk Ramli MS dan Ziana Zain. Manakala penyanyi Datuk Sharifah Aini dijemput sebagai juri jemputan.
Juri akan mengadili para peserta serta mewakili 70 peratus markah keseluruhan manakala 30 peratus daripada undian penonton.
Seri ketika ditemui berkata, walaupun sedih terpaksa menjadi peserta pertama meninggalkan program berkenaan namun dia bersyukur sepanjang terlibat dalam Kilauan Emas dia mendapat pelbagai ilmu daripada guru vokal iaitu Siti Hajar dan Adnan Abu Hassan.
"Dalam masa singkat banyak ilmu yang diperoleh daripada mereka dan sudah tentu saya tidak akan berhenti menyanyi hanya kerana tewa di gelanggang Kilauan Emas," jelasnya.
Para peserta menyampaikan lagu tema Kilauan Emas berjudul Rentak 106.
Dalam pada itu, Ramli ketika mengulas mengenai persembahan peserta berkata, secara keseluruhannya pemilihan lagu yang dibuat terutamanya bagi kategori irama Malaysia memperlihatkan kelemahan peserta dalam menyampaikan lagu dari genre berkenaan dengan baik.
"Lenggok lagu Melayu itu bukan mudah dan kebanyakan mereka jelas masih lemah dalam perkara itu. Namun percubaan yang dilakukan harus dipuji," katanya.
Pertandingan pada malam itu turut diserikan dengan persembahan pembukaan daripada Bob (AF) dan Syura menerusi lagu Penawar Rindu dan Seri Dewi Malam.
Kilauan Emas adalah sebuah pertandingan nyanyian yang terbuka hanya kepada peserta berumur 40 tahun ke atas dengan mengangkat tema Otai Masih Berbisa.
Ia dihoskan oleh Raja Azura dan bersiaran secara langsung setiap hari Rabu pada pukul 9.30 malam di Astro Prima (105).

Aliff (AF6) Bekerja Tetap Untuk Tampung Kos Hidup

Posted: 02 May 2013 05:50 AM PDT

Alif yakin dapat mengimbangi kerjayanya sebagai ekskutif korporat di sebuah universiti swasta dan bidang nyanyian.
PETALING JAYA: Bekas peserta program Akademi Fantasia 6 (AF6), Alif mengakui telah mempunyai pekerjaan tetap sebagai ekskutif korporat di sebuah universiti swasta bagi menampung kos kehidupannya.
Alif atau nama sebenarnya Mohamad Alif Mohd Razali, 27, bagaimanapun berkata, dia masih bergiat aktif dalam bidang nyanyian dan yakin dapat mengimbangi tanggungjawabnya dengan baik.
"Selain menerima jawatan tersebut kerana minat dan dapat mengembangkan prospek kerjaya saya harus diakui dengan mempunyai kerjaya tetap ia dapat membantu saya menampung kos hidup kerana tawaran nyanyian itu bukan sentiasa ada.
"Namun saya tidak akan meninggalkan nyanyian malah akan terus bergiat aktif pada hujung minngu. Malah pihak pengurusan saya juga tiada bantahan dan sentiasa menyokong," jelasnya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.
Dalam pada itu, Aliff berkata, dia berhasrat untuk menghasilkan sebuah single terbaharu dan bercadang untuk memberi nafas baru kepada sebuah lagu berkonsepkan rakyat dan kenegerian.
Aliff berkata, dia yakin lagu itu nanti akan mendapat sambutan baik daripada peminat.
"Lihat sahaja lagu Anak Kampung dan Apa Kono Eh Jang yang cukup popular menggunakan konsep lagu rakyat dan kenegerian ia cukup digemari pendengar," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Aliff memberitahu selain mempunyai kerja tetap dia juga sibuk dengan aktiviti dalam Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan kini sibuk dengan teater Hantu Ke Tapah yang akan dipentaskan di Pulau Langkawi, Kedah pada bulan Jun.
Selain Alif, teater tersebut turut dilakonkan oleh Ezad Lazim, Nas Adila, Ani Mayuni dan Fairus Selamat.

PRU-13: Syarikat Produksi Diminta Tangguh Penggambaran Agar Artis Boleh Mengundi

Posted: 02 May 2013 05:49 AM PDT


Jurey Latiff Rosli
PETALING JAYA: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) meminta semua syarikat produksi di negara ini menangguhkan penggambaran drama ataupun filem pada 5 Mei ini bagi memberi laluan terhadap Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).
Presidennya Jurey Latiff Rosli berkata, ia juga bagi membolehkan semua artis dan kru terlibat untuk menunaikan tanggungjawab membuang undi pada hari berkenaan.
"Saya meminta semua ahli di bawah PTVM memberi sokongan kepada PRU-13 dengan menangguhkan aktiviti penggambaran.
"PTVM juga menyeru syarikat-syarikat yang bukan ahli agar turut bekerjasama untuk menangguhkan sebarang aktiviti bagi memberi laluan kepada para artis dan kru penerbitan untuk keluar mengundi," katanya kepada mStar Online dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu.
Jurey yang juga Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) berkata, krew dan para artis harus diberi ruang mengundi bagi membolehkan mereka memilih kerajaan yang mampu mentadbir negara lebih-lebih lagi di kala Malaysia sedang mengalami pergolakan politik.
Katanya PRU-13 bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh mahupun bagi golongan industri keatif kerana mereka perlu tahu siapa dan cara untuk memilih kerajaan yang akan menentukan jatuh bangunnya generasi akan datang.
"Saya menyeru rakan-rakan penerbit untuk menyokong PRU-13 dan mengenepikan soal produksi pada 5 Mei ini walaupun terpaksa menanggung kerugian pada hari tersebut," katanya.

'Harapan' bawa penonton selami konflik remaja

Posted: 02 May 2013 05:48 AM PDT


'Harapan' bawa penonton selami konflik remaja
Antara babak dalam Harapan.
'Harapan' bawa penonton selami konflik remaja
Shahrizal pegang watak Zayed.
'Harapan' bawa penonton selami konflik remaja
Ishan Dutta ketika mengarahkan Harapan.
ATAS dasar ingin berkongsi permasalahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini, Kacip Pictures membawakan drama berjudul Harapan yang baru sahaja menemui penonton bermula 8 April lalu, setiap Isnin hingga Rabu, jam 6 petang menerusi TVi (saluran 180 Astro).

Menariknya, drama bersiri 13 episod ini telah menemukan bekas pasangan kekasih iaitu Shahrizal Jazle dan Miera Liyana bersatu kembali di dalam drama.

Sedikit mengenai drama menyentuh perasaan ini, ia berkisar tentang Zayed (Shahrizal) yang mempunyai impian untuk menjadi seorang penyanyi.

Bagaimanapun, perjalanan hidupnya tidak semudah yang disangka apabila bapanya (Shahruddin Thamby) tidak bersetuju dengan minatnya itu sebaliknya mahukan dia menjadi seorang guru.

Berkongsi mengenai pembikinan drama ini, penerbitnya, Wan Zainura memberitahu, dia berbesar hati apabila drama ini dapat ditayangkan kepada umum.

Jelasnya, dalam kehidupan yang semakin moden kini, anak-anak lebih betah membuat keputusan sendiri tanpa memikirkan orang tua mereka begitu juga sebaliknya.

"Kita mahu drama ini menjadi pengajaran kepada remaja di luar sana, walaupun, akhirnya Zayed berjaya dengan impiannya namun di awalnya dia telah mengecewakan bapanya.

"Tetapi, sebagai ibu dan bapa juga, tidak salah kita memberi peluang kepada anak-anak untuk menentukan masa hadapan mereka.

"Selagi tidak menyalahi agama dan undang-undang, adalah wajar kita menyokong mereka," katanya jalan cerita drama ini penuh nilai kekeluargaan dan cinta.


Khidmat pengarah Bollywood

Dalam pada itu, jelas Zainura, drama yang mengambil masa sebulan bagi proses penggambaran ini turut menggunakan khidmat pengarah Bollywood iaitu Ishan Dutta.

"Bekerjasama dengan Ishan sangat menarik kerana dia berbeza dengan pengarah sedia ada dalam industri seni.

"Kerjanya sungguh bermutu dan dia juga berjaya menghasilkan perasaan luar biasa dalam diri pelakon.

"Menerusi ekspresi wajah dan penyampaian pelakon dapat kita lihat mereka benar-benar merasainya," katanya setiap babak dalam drama itu bagaikan realiti.

Tambahnya, Ishan adalah pengarah yang sangat mementingkan 'feel' dalam diri seorang pelakon itu.

"Dia buat drama seperti buat filem, segalanya perlu sempurna di mata dia, bagaimanapun, apa yang dilakukannya cukup berbaloi kerana drama ini berkesan di hati penonton," katanya.


Pelakon kuasai watak

Di aju pertanyaan mengapa memilih Sharizal dan Miera pula, akui Wan, dia sebenarnya tidak tahu mengenai hubungan kedua pelakon itu sebelum ini.

"Saya hanya mengetahui tentang mereka apabila seseorang memberitahu saya. Bagaimanapun, saya cukup senang kerana keduanya sangat profesional di set.

"Malah, ketika berlakon sebagai pasangan kekasih, mereka benar-benar jujur dan bagaikan tiada apa pernah berlaku antara mereka sebelum ini," katanya kedua teraju utama ini berjaya menguasai watak yang diberikan.

Dalam pada itu, aspek pemilihan pelakon bukan di tangannya sahaja, jelas Wan, perbincangan akan dilakukan terlebih dahulu untuk menyenaraikan nama pelakon yang dilihat mampu menggalas watak tersebut.

"Kita sudah memilih tiga pelakon untuk setiap watak, keputusan akhir di buat oleh pihak stesen televisyen," katanya berbangga kerana Shahruddin (watak bapa) dan Hamidah Wahab (watak ibu) dijayakan oleh pelakon senior itu.

Selain Sharizal, Miera, Shahruddin dan Hamidah, drama ini turut dibantu Datuk Jalaluddin Hassan.

Fizz Fairuz buka buku baru

Posted: 02 May 2013 05:46 AM PDT


Fizz Fairuz
Fizz Fairuz
FEBRUARI lalu, atmosfera industri hiburan dikejutkan dengan berita pertunangan Fizz Fairuz dengan seorang wanita yang dikatakan peminatnya.

Berita tersebut nyata mengejutkan ramai pihak apabila Fizz sebelum itu dikaitkan bercinta dengan aktres Almy Nadia.

Seminggu kemudian, industri sekali lagi dikejutkan dengan pengakuan Fizz bahawa tunangnya itu sebenarnya isteri orang dan memaksa Fizz memutuskan ikatan pertunangan.

Setelah beberapa bulan berlalu, kisah cinta Fizz dan Almy kembali menjadi perhatian apabila Fizz dikatakan telah berbaik dengan Almy.

Biarpun Almu enggan memberi sebarang komen mengenai perkara itu, lain pula dengan Fizz yang dilihat lebih terbuka.

"Memang saya berkawan dengan Almy tetapi siapa jodoh saya (wanita yang akan dikahwini) saya tidak pasti. Mungkin Almy, mungkin orang lain.

"Fokus saya sekarang adalah pada karier seni dan ibu saya juga sudah melarang saya berkahwin dalam masa dua tahun ini kerana dia mahu saya mengumpul harta terlebih dahulu," katanya yang ditemui ketika sesi tayangan filem Bisikan Syaitan, kelmarin.

Ditanya mengenai hubungan dengan bekas tunangnya dan khabar angin yang mengatakan dia mahu menyaman bekas tunangnya itu, Fizz berkata: "Ini yang sahih dari mulut saya, jangan dengar khabar angin. Apa yang berlalu biarlah berlalu.

"Saya sudah tutup buku lama dan mahu buka buku baru. Khabar angin yang mengatakan saya mahu menyaman dia tidak benar, kami juga sudah tidak lagi berhubung dengannya selepas peristiwa itu," jelasnya.

Pelakon serba boleh

Berkongsi mengenai perkembangannya, Fizz berkata dia kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Mencari Cinta untuk RTM dan bakal muncul dalam filem Bisikan Syaitan pada 2 Mei ini.

Menyentuh mengenai wataknya dalam filem arahan Faizul A Rashid itu, Fizz berkata, dia membawakan watak sebagai Kamil yang terlibat perjanjian dengan syaitan.

"Dalam filem ini sebenarnya saya ada melakukan adegan ranjang bersama Wan Sharmila dan Nabila Huda, tetapi babak itu dipotong.

"Saya tahu, sebelum ini saya kerap bawa watak orang alim dan kini saya terbuka untuk bawa adegan yang lebih berani. Bukan mencari kontroversi, sebaliknya saya cuba untuk pelbagaikan watak lakonan saya," ujarnya.

Faizal Joran tarik penyertaan 1,600 pemancing

Posted: 02 May 2013 05:44 AM PDT


Faizal Joran tarik penyertaan 1,600 pemancing
Tiga pemenang utama pertandingan memancing iaitu, Mohamad Fahmi, Edi dan Mazlan bersama penganjur.
BATU PAHAT - Pertandingan memancing anjuran Faizal Joran Event Management dengan kerjasama Taman Botani Johor, Sri Medan di sini, mendapat sambutan luar biasa, semalam.

Penganjuran pertandingan kali kedua di  daerah ini itu berjaya menarik lebih 1,600  penyertaan selepas diadakan di Tasik Merdeka/Wet World Batu Pahat.

Difahamkan, pertandingan berkenaan turut berjaya menarik lebih 4,500 pengunjung selain tujuan utama program adalah untuk mempopularkan Taman Botani kepada umum.

Pemenang pertama pertandingan berkenaan, Mohamad Fahmi Paimin, 19, berkata, dia terkejut selepas diumumkan sebagai pemenang pertandingan itu sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM40,000.

Menurutnya, tuah mungkin menyebelahinya selepas ikan keli yang ditangkap seberat enam kilogram itu tidak mampu ditandingi pemancing lain.

"Saya tak sangka ikan yang ditangkap ini menjadikan saya juara pertandingan seterusnya minat memancing selama ini tidak sia-sia.

"Saya akan menyertai pertandingan  seumpama ini pada masa akan datang  kerana merasakan ia berbaloi," katanya kepada  Sinar Harian.

Pemenang tempat kedua, Edi Yusuf, 36, berjaya memperoleh wang tunai sebanyak RM10,000 dan tempat ketiga dimenangi, Mazlan Abd Manaf, 48, yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Jabatan Landskap Johor, Abu Bakar Mohamed Salleh.

Sementara itu, Ketua penganjurnya, Ahmad Hamizan Mohd Din berkata, pertandingan anjuran bersama Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Landskap Johor itu akan dijadikan  acara tahunan di lokasi berkenaan.

Menurutnya, selain tiga pemenang  utama, peserta yang mendapat tempat keempat  sehingga ke-70 juga mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM250 sehingga RM1,000.

"Selain pertandingan memancing, ada  beberapa acara sampingan turut diadakan  seperti cabutan bertuah dan juga teka biji buah betik yang turut mendapat sambutan.

"Saya kagum dengan penyertaan yang ramai dan pihak kami akan memastikan pertandingan seperti ini akan diadakan lagi," katanya.

Helah beli ais krim, taktik mencuri

Posted: 02 May 2013 05:42 AM PDT


Helah beli ais krim, taktik mencuri
Suspek lelaki sedang melarikan tiga guni bawang di dalam stor
Helah beli ais krim, taktik mencuri
Suspek wanita sedang mencuri milo dan dimasukkan ke dalam beg digalasnya.
KUALA TERENGGANU - Taktik licik seorang lelaki yang menggunakan helah membeli ais krim manakala dalam masa sama isterinya mencuri dua paket minuman coklat gagal mengelirukan seorang pembantu kedai.

Kejadian berlaku di sebuah kedai runcit di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, kelmarin.

Pembantu kedai itu, Norharizan Yusof, 37, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, hanya dia berseorangan di kedai sedang melayan seorang pelanggan sebelum didatangi pasangan berkenaan yang berusia lingkungan 30-an.

"Semasa mereka berdua masuk ke dalam kedai, saya sedang sibuk melayan pelanggan yang membeli barang dalam kuantiti agak banyak. Tetapi pada masa sama, saya cuba juga memerhati gerak geri mereka.

"Mereka berdua berpura-pura memilih barang-barang yang ada di atas rak dan semasa itu, saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah terpandang di dalam kamera litar tertutup (cctv) lelaki itu masuk ke dalam stor mengambil tiga guni bawang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Norharizan berkata, terkejut melihat tindakan itu, dia berlari keluar dari kedai memanggil lelaki berkenaan agar memulangkan semula kesemua bawang yang diambil, sambil menjerit memanggil pemilik kedai yang secara kebetulan berada di situ meminta bantuan.

"Mungkin dia terkejut melihat saya menjerit menyebut pencuri, lalu dia bergegas memulangkan semula bawang yang bernilai kira-kira RM40 itu sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai.

"Ketika itu, saya ternampak kelibat isterinya ada di sebelah tempat duduk penumpang di bahagian hadapan dan saya tidak pasti, bila isterinya masuk ke dalam kereta itu," katanya.

Jelasnya lagi, sejurus pasangan itu pergi, dia bersama pemilik kedai melihat semula rakaman cctv dan ketika itulah, baru mengetahui pasangan berkenaan sempat melarikan dua bungkus minuman coklat bernilai kira-kira RM40.

"Dalam rakaman itu, rupa-rupanya semasa lelaki itu berpura-pura memilih barang, si isteri mengambil kesempatan mencuri dua paket milo dan dimasukkan ke dalam beg galas dibawanya.

"Selepas itu, isterinya terus keluar sebelum lelaki itu membayar harga lima batang ais krim di kaunter pembayaran dan semasa keluar dari kedai, dia masuk ke dalam stor mengambil bawang tersebut," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai, Abu Bakar Mamat, 60, berkata, walaupun terpaksa menanggung kerugian, namun tetap bersyukur kerana dia dan pekerjanya tidak diapa-apakan.


Caption:
1.    Suspek wanita sedang mencuri milo dan dimasukkan ke dalam beg digalasnya.
2.    Suspek lelaki sedang berpura-pura memilih barang bagi mengaburi mata pembantu kedai, Norharizan Yusof, 37.
3.    Suspek wanita hendak keluar dari kedai selepas mencuri dua paket milo
4.    Pasangan suami isteri ini berpura-pura hendak membeli ais krim
5.    Suspek wanita sedang mencuri milo di rak
6.    Suspek lelaki sedang melarikan tiga guni bawang di dalam stor

Khalwat: Gelora asmara lepas undi awal

Posted: 02 May 2013 05:39 AM PDT


Khalwat: Gelora asmara lepas undi
Pegawai penguatkuasa Jaij mengambil keterangan daripada pasangan berkenaan untuk tindakan lanjut.
BATU PAHAT - Seorang penjawat awam wanita  ditahan bersama pasangannya di salah sebuah hotel bajet  sekitar daerah ini dalam  operasi cegah maksiat, awal pagi semalam.

Wanita terbabit yang  bekerja di utara tanah air merayu kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Daerah Batu Pahat supaya tidak ditahan  dalam serbuan itu.

Dia turut mengaku baru sahaja selesai melaksanakan undian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan memberi alasan bimbang untuk pulang sekaligus mendorongnya mendaftar masuk hotel bajet berkenaan bersama teman lelakinya.
"Kes ini akan melibatkan kerjaya saya. Tak bolehkah kita 'settle' tepi bang," katanya.

Timbalan Penguatkuasa JAIJ Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, wanita berusia 20an itu  didapati berada dalam keadaan yang mencurigakan bersama pasangannya.

Menurutnya, anggota dan pegawai penguatkuasa juga terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pasangan berkenaan membuka pintu bilik hotel bajet tersebut.

"Semasa pintu bilik berkenaan dibuka, kami menemui seorang lelaki hanya memakai tuala, manakala pasangannya memakai pakaian lengkap.

"Pemeriksaan lanjut  mendapati, mereka ini tidak mempunyai hubungan yang sah dan turut menyatakan baru sahaja berkenalan sekitar enam bulan lalu serta berhasrat  untuk bernikah.

"Pada awalnya, pelbagai alasan diberikan pasangan itu terutama wanita terbabit  kerana bimbang penahanan itu akan memberi kesan  kepada kerjayanya sebagai  penjawat awam," katanya.

Saiful Ariffin berkata, pasangan terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya kerana berada dalam keadaan berkurung di dalam bilik hotel dan melakukan perkara yang mencurigakan.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua- duanya sekali.

"Pasangan berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut sebagai pengajaran kepada mereka.

"Semua pihak dinasihatkan tidak melakukan maksiat atau berada dalam keadaan mencurigakan bagi mengelak ditahan. JAIJ akan terus mengadakan lebih banyak serbuan dan pemeriksaan bagi memastikan daerah ini bebas  daripada maksiat," katanya.

Pencuci mesin kepada pelawak

Posted: 02 May 2013 05:34 AM PDT



SEGENGGAM duit syiling pernah menjadi bantuan saat akhir Jep ketika kelaparan sewaktu mula-mula melangkah masuk ke dalam arena seni lima tahun lalu.
Lawak hambar bersama dua anggota kumpulan Sepah ketika itu iaitu Shuib dan Mamat pula penawar paling mujarab mengubat rasa putus asa bergelar penghibur.
Ujar Jep, 28, atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, dia dan dua teman serumahnya merangkap anggota bersekutu kumpulan Sepah terpaksa mengikat perut demi menyara kehidupan pada awal waktu menjadi artis.
"Saya pernah hampir berputus asa, hati ini mahu saja pulang semula ke kampung di Kulai, Johor. Bagaimanapun, saya bangkit dan membulatkan tekad serta yakin bahawa Allah sentiasa ada bersama dan tiada perkara yang mustahil dilakukan dalam hidup," kata Jep membuka bicara.
Dia yang ditemui sewaktu mencuri sedikit masanya yang sibuk dengan sesi rakaman program popular Karoot Komedia X musim kedua di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kemudian melanjutkan cerita.
Katanya: "Ketika mula-mula bergelar artis kami tiada mentor untuk membuat rujukan atau meminta pertolongan. Sejujurnya kami terumbang-ambing dan pernah suatu ketika kami bertiga mengumpulkan saki-baki duit syiling yang ada untuk membeli nasi selepas seharian berlapar.
"Alhamdulillah, proses itu perlahan-lahan mendidik saya dan saya selesa dengan kedudukan sekarang. Saya tidak perlu terbang terlalu tinggi kerana takut terlupa cara mahu turun."
Pemain bola sepak
Jelas Jep, realitinya, permulaan Jep sebagai pelawak bertitik-tolak daripada rasa tercabar dengan teman-teman sekerja ketika bertugas sebagai krew di bahagian bagasi penerbangan tambang murah ketika awal usia 25 tahun.
"Takdir mungkin mengubah angin hidup saya. Saya tidak pernah terfikir atau memilih kerjaya sebagai pelawak, tapi jalan hidup saya berlaku secara kebetulan.
"Saya mahu jadi pemain bola sepak sebenarnya selepas tamat sekolah, tapi apabila gagal menyarung jersi pemain kebangsaan dan sasaran saya tidak tercapai, saya kecewa!," ceritanya.
Dia kemudian memulakan sebuah kehidupan di Kuala Lumpur dengan bekerja sebagai pencuci mesin.
"Kerjaya saya di Kuala Lumpur bermula sebagai pencuci mesin selama tiga tahun sejak berumur 18 tahun di NSTP (The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad). Kemudian saya berpindah ke syarikat penerbangan tambang murah selama tiga tahun sehingga saya dicabar oleh rakan-rakan untuk mencuba nasib dalam uji bakat Raja Lawak musim ketiga.
"Apabila ditawarkan menyertai Raja Lawak, saya dalam dilema sebenarnya. Keluarga tidak menentang, tapi ayah saya tidak menyokong," ujar Jep menyusur kembali zon masa silamnya beberapa tahun ke belakang.
Berbicara mengenai keperitan sebagai pelawak kata juara Maharaja Lawak 2011 itu, dia berterima kasih kepada Astro Warna yang telah membekalkan platform khusus kepada pelawak yang sebelum ini hampir dipandang sepi.
Malah kata Jep, untuk berjaya dalam dunia pelawak, resipinya terletak intipati lawak setiap kali membuat persembahan.
"Pelawak boleh kekal lama asalkan lawak yang dibuat bukan pada fizikal semata-mata tapi juga dengan perkataan yang mengandungi unsur-unsur nasihat.
"Pengetahuan mengikut peredaran zaman adalah perlu dan kepelbagaian harus ada untuk melawak," kongsi Jep.

JEP mengaku pernah berputus asa dan mahu pulang ke kampung halamannya di Kulai, Johor pada awal pembabitan sebagai anak seni.


Sensitiviti
Lawak yang mempunyai dwi makna dan perlakuan yang menyerupai wanita mengajar Jep untuk lebih berhati-hati. Jep mengakui kesilapan lampau dan cuba mencatur langkah dengan lebih berwaspada.
"Lawak double meaning adalah universal dan sebagai pelawak tugas kami adalah memberikan hiburan. Apabila orang tidak suka saya akan ubah dan lawak sebegitu bukan senjata untuk melawak walaupun dalam niat mahu memuaskan hati penonton.
"Saya banyak terima teguran apabila berpakaian wanita dan saya akui hukumnya haram. Selepas ini saya akan lebih mengambil berat dan jika karakter itu menuntut saya menjadi wanita, saya hanya akan ambil syarat saja tapi tidak akan berpakaian wanita lagi selepas ini.
"Perkara itu mungkin tidak keterlaluan kerana menyampaikan pengajaran dan orang tahu itu saya. Kenapa orang tidak pandang nasihat sebaliknya pakaian saya?
"Apapun, salah tetap salah dan selain lawak slapstik, ada banyak alternatif melawak. Semua orang belajar daripada kesilapan dan saya jadikan ini pengajaran masa hadapan," kata Jep.

Gadis maut kereta dipandu kekasih terbabas

Posted: 02 May 2013 05:32 AM PDT


ANGGOTA bomba melihat mayat Nur Syafrina Aqmar selepas terlibat dalam kemalangan di George Town, Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN – Seorang gadis terbunuh apabila kereta jenis Proton Gen 2 yang dipandu teman lelakinya hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini semalam.
Kejadian berhadapan pencawang Tenaga Nasional Berhad pada pukul 1 pagi itu mengakibatkan Nur Syafrina Aqmar Mohd. Rafie, 24, mati di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di muka dan badan.
Teman lelakinya hanya mengalami cedera ringan di kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang.
Sebuah lagi kenderaan yang dirempuh mangsa membabitkan kereta Proton Satria Neo. Pemandu kereta itu dan rakan wanita cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng memberitahu, mangsa dan kekasihnya dalam perjalanan dari pusat bandar ke Bayan Lepas.

Galaxy S4 bakal catat jualan menggalakkan

Posted: 02 May 2013 05:29 AM PDT


MODEL Samsung, Jelis Chew menunjukkan telefon pintar Samsung Galaxy S4 pada majlis pelancarannya di Petaling Jaya baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. (Samsung Malaysia) optimis jualan telefon pintar terbaharunya, Samsung Galaxy S4, akan dapat mengatasi jualan Galaxy S3 yang diperkenalkan pada bulan Mei tahun lalu.
Ketua Bahagian Telekomunikasinya, Vincent Chong berkata, pihaknya juga yakin dapat mencatat jualan memberangsangkan bagi model berkenaan.
Beliau berkata, model tersebut dibangunkan untuk melengkapkan keperluan pengguna masa kini yang melibatkan pembangunan teknologi serta memainkan peranan penting dalam memaksimumkan pelaksanaan kehidupan harian.
"Generasi keempat dalam rangkaian Galaxy S itu juga akan terus dinaik taraf dari semasa ke semasa," katanya pada majlis pelancaran telefon pintar baharu itu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Samsung Galaxy S4 mula dilancarkan serentak di seluruh negara sejak 27 April lalu dengan penglibatan syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Celcom, DiGi, Maxis dan U Mobile.

Laksa Sarawak, mi kolok produk baharu AgroMas

Posted: 02 May 2013 05:28 AM PDT


SEBAHAGIAN daripada produk AgroMas keluaran FAMA yang boleh didapati di semua rangkaian runcit dan pasar raya besar di seluruh negara.


KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang untuk memperkenalkan 10 jenis produk baharu di bawah jenama AgroMas sebagai usaha mempelbagaikan lagi pilihan barangannya di pasaran tempatan.
Pengarah Kanan Bahagian Perniagaan Berasaskan Agro, Pauzi Yaman berkata, pengenalan produk daripada pelbagai kategori itu akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat dan ia bakal memenuhi cita rasa dan keperluan pelanggan.
Menurut beliau, antara produk tersebut ialah oat berkonsepkan tiga dalam satu yang memudahkan pelanggan menikmatinya, lima jenis teh, laksa Sarawak segera, mi kolok segera dan rumpai laut serta serbuk perasa.
"Kami menyedari peminat makanan yang berasal dari Sarawak seperti mi kolok dan laksa Sarawak sukar untuk menikmati sajian berkenaan khususnya di bandar-bandar utama di sini, jadi kami telah menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk berkenaan.
"FAMA berkeyakinan, produk-produk baharu ini akan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, malah ia mampu menyumbang kepada peningkatan keuntungan pada tahun ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Kota legenda purba ditemui

Posted: 02 May 2013 05:27 AM PDT


SEBUAH artifak patung dari kota Heraklion yang dinaikkan ke permukaan laut untuk dikaji.


KAHERAH – Sebuah patung gergasi purba telah ditemui di laut Mediterranean yang membawa kepada penemuan kota legenda purba, Heraklion.
Pada sedekad lalu, tiada siapa mengenali Heraklion yang dipercayai sebuah kota pelabuhan purba dengan kesahihan kewujudan kota tersebut dipertikai.
Namun, akhbar Telegraph melaporkan, sekumpulan penyelidik menemui kota itu di dalam laut pada kedalaman 45.72 meter di Teluk Aboukir, Mesir.
Antara artifak yang ditemui termasuk 64 buah kapal, patung batu setinggi 4.87 meter, 700 buah sauh dan sejumlah duit syiling emas.
Pakar arkeologi laut dalam yang menemui kota purba berkenaan, Franck Goddio mendakwa, kota itu dipercayai wujud sekitar kurun kelapan sebelum masihi (SM).
Menurutnya, usia Heraklion adalah lebih tua daripada kota purba terkenal, Iskandariah.
"Kami mungkin perlu meneruskan kerja-kerja penyelidikan kajian untuk 200 tahun lagi sebelum rahsia kota ini dapat dibongkar sepenuhnya kata Goddio.

Lebih 20,000 orang sertai protes Hari Pekerja

Posted: 02 May 2013 05:26 AM PDT

SEBAHAGIAN penunjuk perasaan berarak di jalan raya di Dhaka semalam kerana menuntut hukuman mati ke atas pemilik kilang pakaian yang runtuh di Savar, dekat Dhaka pada 24 April lalu.


DHAKA – Lebih 20,000 orang menyertai protes Hari Pekerja di Bangladesh semalam bagi menuntut pemilik kilang-kilang tekstil yang runtuh dikenakan hukuman setimpal.
Bantahan itu diadakan selepas pasukan penyelamat memberi amaran angka kematian tragedi tersebut dijangka melebihi 500 orang.
Pekerja-pekerja kilang membawa bendera dan sepanduk sambil melaungkan slogan "Gantung pemilik-pemilik kilang itu" ketika berarak di ibu kota Bangladesh, di sini.
Ketua Liga Pekerja Kilang Pakaian dan Tekstil Bangladesh, Kamrul Anam berkata, penunjuk perasaan itu berang dengan 'pembunuhan' rakan-rakan sekerja mereka dalam insiden bangunan runtuh di Savar, pada 24 April lalu.
"Kami mahu mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman paling berat," katanya.
Sementara itu, ketika operasi menyelamat di celah-celah runtuhan bangunan lapan tingkat itu diteruskan, jurucakap tentera, Mir Rabbi memberitahu, angka kematian rasmi setakat ini adalah 402 orang. Jeneral tersebut turut menyatakan terdapat 149 mangsa yang masih hilang dalam kemalangan tersebut.

Rezeki masing-masing

Posted: 02 May 2013 05:24 AM PDT



INDUSTRI seni tempatan sejak dahulu lagi dilihat begitu meriah dengan kehadiran adik-beradik yang sama-sama menjadi selebriti. Paling mencuri tumpuan ialah penyanyi Ziana Zain dan Anuar Zain yang mana kedua-duanya begitu sukses dalam lapangan seni masing-masing.
Bakat kedua-dua adik-beradik itu tidak perlu dipertikaikan lagi malah kedua-duanya dilihat berdiri atas nama sendiri tanpa perlu dibayangi antara satu sama lain.
Sebelum Ziana, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 43, terlebih dulu bergiat aktif dalam dunia nyanyian. Ketika zaman kanak-kanak, Anuar begitu popular dengan lagu Kain Pelekat bersama Elena.
Begitupun, ketika usianya mencecah 20 tahun, Anuar mengambil keputusan bekerja bersama syarikat penerbangan MAS, pada penghujung tahun 80-an.
Hampir sepuluh tahun menyepikan diri, akhirnya pada tahun 1998 Anuar muncul kembali menghasilkan sebuah album hit berjudul Anuar Zain yang mengandungi lagu-lagu popular seperti Bila Resah bersama syarikat Warner Music Malaysia Sdn. Bhd.
Anuar memberitahu, salah satu faktor kemunculannya ke persada seni pada ketika itu adalah kerana sokongan dan semangat daripada Ziana sendiri.
Bagi Anuar, Ziana juga merupakan salah seorang idolanya yang banyak mengajar serta membuka matanya untuk menjadi matang sebagai seorang penghibur.
Sementara itu, bakat Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 45, mula disedari oleh penerbit album terkenal, Rahim Othman ketika Ziana memenangi Bintang Selangor pada tahun 1984.
Selepas itu, Ziana mula menyertai BMG Music pada tahun 1992 dan menghasilkan album pertamanya berjudul Madah Berhelah. Lagu Madah Berhelah akhirnya telah memikat telinga peminat sekaligus melonjakkan karier Ziana sebagai penyanyi.

ZIANA ZAIN dan Anuar Zain merupakan pasangan selebriti adik-beradik yang tidak menumpang populariti di antara satu sama lain untuk melakar nama sebagai anak seni.


Darah seni Siti
Selain Ziana dan Anuar, Datuk Siti Nurhaliza dan adik-beradiknya juga menceburi bidang nyanyian.
Walaubagaimanapun, berbanding Siti, 34, adik-beradik penyanyi nombor satu negara itu tidak begitu menyerlah dalam bidang nyanyian.
Bertanya sendiri akan hal itu kepada Siti, pelantun lagu Jerat Percintaan itu mengakui, memang lumrah jika ada dalam sesebuah keluarga itu bakat atau minat mereka adalah sama.
Contohnya, darah seni yang mengalir dalam diri seseorang itu biasanya akan diwarisi oleh anak-anak pula. Memang jelas terdapat keluarga seni yang terdiri daripada ayah, mak dan seterusnya anak-anak atau cucu-cucu mereka dalam industri tempatan.
"Siti akui, kami adik-beradik memang semuanya ada darah seni. Datuk kami juga dahulu orang seni, kemudian turun kepada mak, dan seterusnya kami adik-beradik. Jika ada bakat yang baik dan boleh berkongsi sesuatu dengan masyarakat, bagi saya tidak menjadi masalah.
"Segalanya bergantung kepada rezeki dan penerimaan masyarakat. Dalam adik-beradik saya, yang aktif setakat ini mungkin saya seorang namun Saida juga sudah kembali aktif menjayakan persembahan," jelasnya.
Mengulas lanjut, ujarnya, Sairah pula sudah mempunyai anak dan aktiviti seninya terpaksa diperlahankan. Begitu juga abangnya, Ayie, yang sudah lama tidak menyanyi tetapi menumpu perhatian kepada syarikat.
Diminta mengulas sama ada laluan adik-beradik akan lebih mudah jika salah seorang menceburkan diri dalam bidang seni, ulas Siti, ia bergantung kepada rezeki.
"Mungkin seseorang itu akan mudah dikenali jika nama mereka dikaitkan dengan adik-beradik atau keluarga yang sudah mencipta nama namun soal rezeki itu saja yang akan membezakan.
"Selain rezeki, saya juga sangat percaya kepada bakat, jika ada bakat ia adalah satu kelebihan. Selain itu, minat harus ada untuk kita dapat laksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh," ujarnya lagi.
Saida dibandingkan dengan Siti
Sementara itu, bagi Saida, 37, dia pernah dibandingkan dengan adiknya ketika mula menyertai Akademi Fantasia musim keenam pada tahun 2008.
Ujarnya, perbandingan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangatnya, sebaliknya dia nekad untuk mengubah kelemahannya sehingga berjaya.
"Memang bukan mudah untuk berada di tahap Siti sekarang. Tetapi saya belajar apa yang kurang dan berusaha untuk dapatkan apa yang kita mahukan," ujar Saida yang sudah enam tahun berada dalam industri seni.
Tambahnya, kejayaan seseorang itu juga bergantung pada rezeki tetapi kalau kita sentiasa berusaha dan memasang niat yang betul, peluang sentiasa ada.
Ulas Siada lagi, selama 18 tahun Siti berada dalam industri, kejayaan yang dikecapinya adalah berkat daripada sikap yang tidak pernah berputus asa dan niatnya untuk membantu keluarga.
Emma kurang keyakinan diri
Terbaharu, kehadiran adik-beradik Maembong turut mencuri perhatian peminat hiburan. Berbekalkan rupa paras yang cantik mereka mudah meniti populariti lebih-lebih lagi Emma Maembong.
Menurut Emma Maembong atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail Maembong, 21, dia menceburi bidang seni bukan disebabkan pengaruh kakaknya, Yaya dan adiknya, Cha Cha, sebaliknya kerana minat yang mendalam pada lakonan.
"Yaya dan Cha Cha mula berlakon dulu sebelum saya tetapi tidak serius. Selepas itu, Yaya ada mengajak saya untuk berlakon sama tetapi saya kurang keyakinan diri.
"Tetapi atas sokongan adik-beradik dan juga minat pada lakonan saya mencubanya," ujarnya yang bersyukur kerana kehadirannya berjaya mendapat perhatian peminat.
Mengulas mengenai kebaikannya apabila adik-beradik sama-sama terlibat dalam dunia seni, kata Emma yang baru sahaja dilantik sebagai duta produk Silky Girl itu, perasaan iri hati tidak pernah wujud sebaliknya mengharapkan kejayaan antara satu sama lain.
Tidak cemburu
Mula berlakon iklan susu Dutch Lady dan Nescafe sejak berusia lima tahun, Cha Cha Maembong atau nama sebenarnya Siti Aisyah tidak pernah cemburukan kejayaan kakaknya, Emma.
Walau bagaimanapun, dia berasa sedih kerana ramai yang membandingkan dirinya dengan Emma serta mengatakan, gadis berusia 17 tahun itu cuba menumpang populariti kakaknya.
"Kami adik-beradik tidak pernah cemburu antara satu sama lain. Masing-masing sokong dan mahu lihat kejayaan masing-masing.
"Memang agak sedih bila orang membandingkan saya dengan Emma tetapi saya tidak mahu mengambil perkara itu dengan lebih serius," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Tiada perkembangan kerjaya - Pierre
Tidak hanya Khatijah Tan dan juga anaknya Pierre Andre, kini adik kepada Pierre, Mikhail Andre juga turut sama menyertai bidang seni.
Menurut Pierre, adiknya menceburkan diri dalam bidang seni bukan disebabkan pengaruh daripadanya, sebaliknya adalah kerana minat.
Ujarnya, ada kebaikan dan juga keburukan apabila satu keluarga terlibat dalam bidang seni.
Baginya, sebagai orang yang terlebih dulu menceburi bidang seni, dia akan memberi nasihat kepada adiknya.
"Dia baru mula berlakon (Mikhail) jadi saya akan beri nasihat berpandukan apa yang pernah saya lalui dalam bidang seni.
"Apa yang penting, kalau kita jujur bekerja, Insya-Allah akan berjaya," jelasnya.
Mengulas lanjut, Pierre memberitahu, jika kesemua keluarga menceburi bidang seni terdapat sedikit kekurangan apabila tiada perkembangan kerjaya dalam sesebuah keluarga itu.
Jadi, ulasnya, perbualan juga terhad kepada bidang itu sahaja tanpa membolehkan mereka bercerita mengenai perkara lain.
Menyenangkan kerja Mikhail
Sementara itu, bagi Mikhail pula, kehadirannya dalam bidang seni adalah disebabkan minat dan darah seni yang kuat mengalir pada dirinya.
"Ibu (Khatijah Tan) dan Pierre tidak pernah menyuruh saya berlakon. Minat itu timbul selepas melihat lakonan mereka malah apabila di rumah mereka juga sering berbual mengenai bidang seni. Daripada situ, secara tidak langsung ia menarik minat saya untuk turut sama," ulas Mikhail.
Jelasnya, walaupun Khatijah pada asalnya mahu anak-anaknya menjadi cikgu dan doktor tetapi apabila anaknya menyuarakan hasrat untuk menceburi bidang seni dia tidak pernah menghalang.
Ujarnya lagi, banyak kebaikan yang diperoleh jika adik-beradik turut sama dalam bidang yang sama.
"Bila adik-beradik ceburi bidang yang sama, kami boleh berkongsi idea malah ia juga menyenangkan kerja antara satu sama lain," ulasnya.
Mikhail turut memberitahu, tiada persaingan yang wujud antara dia dengan Pierre memandangkan abangnya kini hanya memfokuskan pada bidang pengarahan.
Sebaliknya, dirinya lebih cenderung kepada bidang lakonan.

Memburu katak di Zoo Negara

Posted: 02 May 2013 05:22 AM PDT


KATAK yang ditangkap seharusnya diletakkan secara berasingan mengikut jenis.


TEPAT pukul 8 malam, seramai sembilan kakitangan Zoo Negara terdiri daripada bahagian Rumah Reptilia dan pegawai perhubungan awam memulakan misi mereka iaitu menangkap katak liar.
Sebelum bergerak, Ketua Kumpulan, Mohamad Hafiz Thanabalan, 50-an, memberi beberapa nasihat berkaitan 'pemburuan' itu.
Walaupun kelihatan enteng, Mohamad Hafiz yang juga penyelia kanan Rumah Reptilia memberitahu, terdapat katak yang mengeluarkan bisa pada bahagian kulit sekali gus boleh menyebabkan kegatalan pada mereka yang berkulit sensitif.
Nasihatnya, gunakan sarung tangan apabila menangkap katak dan asingkan setiap katak dalam beg plastik yang berlainan mengikut spesies.
Mencampurkan dua spesies katak yang berbeza dalam satu bekas boleh mendatangkan kematian terhadap salah satu spesies akibat rembesan bahan yang keluar daripada badan.
"Jika mahu mendekati semak, pastikan suluh dulu di kawasan tersebut," kata Mohamad Hafiz ketika ditemui di Hulu Klang, Selangor.
Apabila tiba waktu malam, suasana Zoo Negara begitu gelap kerana tiada sistem pencahayaan kecuali di beberapa tempat seperti kedai atau mesin layan diri.
Hampir keseluruhan kawasan Zoo Negara diteroka dan yang pastinya setiap kali kumpulan 'pemburu' mendekati kandang haiwan, burung-burung mula berkicau dengan kuat.
Bunyi kicauan burung itu kemudiannya bersahutan antara burung-burung lain manakala mamalia seperti zirafah dan badak sumbu pula masih belum tidur bahkan berjalan-jalan sekitar kurungan.

HAFIZ meletakkan katak yang jinak di atas tapak tangannya.


Kaedah dengar bunyi
Rupa-rupanya, haiwan-haiwan itu masih aktif walaupun dalam kegelapan malam dan tiada pengunjung.
Pada malam itu, sebanyak lapan ekor katak berjaya ditangkap terdiri daripada tiga spesies iaitu Golden Tree Frog, katak puru dan katak pisang.
Mencari dan menangkap katak tersebut menggunakan kaedah mendengar bunyi katak menguak seterusnya mencari dengan lampu suluh kerana haiwan dua alam itu pasti diam apabila mengesan kehadiran manusia.
Bunyi katak dihasilkan oleh sang jantan bagi menarik perhatian betina untuk tujuan mengawan. Jadi, setiap kali acara menangkap katak dibuat, pasti katak jantan yang ditangkap.
Namun, seekor katak betina berjaya ditangkap pada malam itu dan ia amat jarang berlaku. Katak itu berjaya diperangkap kerana sedang mengawan.
Ketika berada dalam kurungan plastik, kedua-dua katak berlainan jantina, tetapi sama jenis itu masih lagi berada dalam keadaan 'memanjat' dan tidak bergerak biarpun disentuh.
Katak memerlukan tempat yang sejuk dan gelap dan disebabkan itu, wujud pepatah Melayu, katak bawah tempurung. Jika berada dalam keadaan tidak selamat, katak akan mengembangkan badannya.
Kata Mohamad Hafiz, waktu yang terbaik untuk menangkap katak ialah selepas waktu hujan renyai atau lebat dan berhenti secara tiba-tiba.
Cuaca lembap dalam persekitaran memberikan keselesaan terhadap katak untuk keluar daripada tempat persembunyian.

KATAK jantan mengeluarkan bunyi bagi menarik perhatian sang betina.


Perbezaan katak liar
Kawasan persekitaran Zoo Negara sebenarnya mempunyai banyak haiwan liar seperti katak. Keadaan tersebut berlaku akibat pembangunan sekeliling menyebabkan haiwan-haiwan liar itu mencari tempat selamat iaitu Zoo Negara.
Terdapat perbezaan antara katak liar dan katak belaan iaitu dari segi tingkah laku dan warna fizikal.
Katak jinak yang sudah biasa dengan kehadiran manusia kelihatan tidak begitu agresif, hanya senyap pada satu tempat dan melompat ketika perlu.
Katak liar pula, melompat-lompat dengan penuh agresif walaupun sudah berada dalam plastik.
"Katak-katak yang ditangkap digunakan sebagai kajian bagi membandingkan antara yang jinak dan liar selain untuk tujuan pembiakan serta penambahan koleksi zoo," terang Mohamad Hafiz lagi.
Jelasnya, katak liar mempunyai warna yang lebih terang berbanding dalam kurungan kerana binatang itu boleh mengadaptasi dengan persekitaran.
Sampuk penjaga reptilia, Mohd. Hilmi Abdullah, 38, katak di tanah rendah pasti berlainan dengan yang tinggal di tanah tinggi.
"Katak-katak dalam koleksi dan hidup liar di Zoo Negara adalah daripada jenis tanah rata," katanya. Cara persenyawaan katak juga berbeza bergantung kepada persekitaran dan spesies.
Zoo Negara mempunyai lebih 50 ekor katak dalam simpanan yang terdiri daripada 25 spesies.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines