Khamis, 16 Mei 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Afiq Muiz dituduh anak derhaka!

Posted: 14 May 2013 11:19 PM PDT


Afiq
Afiq
Eina
Eina
"SEORANG ibu yang baik, dia tidak akan memalukan anaknya sedemikian rupa. Saya yang dihalau dari rumah dan sekarang saya pula yang dituduh menjadi anak derhaka?" begitulah luahan kesal pelakon yang sedang meningkat naik, Afiq Muiz mengenai dakwaan ibunya yang mengatakan dia sudah membuang keluarga dan menjadi anak derhaka.

Menjelaskan situasi sebenar, Afiq berkata, dia dan ibunya, Hasliza Mohd, 48, yang dipanggil Umi sememangnya sudah lama berkelahi kerana beberapa perkara terutamanya berkaitan wang.

Katanya, perkelahian baru-baru ini menyebabkan ibunya telah menghalau dia dari rumah dan kini dia pula yang dipersalahkan.

"Bukan saya tak cari Umi atau Umi tak cari saya. Tetapi tiada jalan pendamaian, bila jumpa kami akan bertekak.

"Cuma apa yang saya kesalkan, kalau Umi benar-benar sayangkan saya, dia tidak akan sewenang-wenangnya membuka pekung di dada dan membiarkan semua orang tahu mengenainya," ujarnya dalam nada kesal kepada Zass.

Di tebak mengenai nama kekasihnya, Eina Azman yang turut dikaitkan dalam pertelingkahan ini, Afiq berkata, dia dan Eina tidak pernah bercinta dan Eina tidak pernah mengikis duitnya.

"Saya bukan lelaki bodoh yang hanya akan turut pada permintaan seorang perempuan. Lagipun Eina ada keluarga, ada kerjaya, buat apa pula dia mahu mengikis duit saya.

"Namun saya akui kami berkawan rapat dan saya kerap bercerita masalah kepadanya. Tetapi kami tidak bercinta! Tak adil untuk Eina turut terseret dalam hal ini," katanya.

Afiq berkata, dia masih belum berkesempatan bertemu ibunya kerana kekangan masa, apatah lagi sedang sibuk menjalani sesi penggambaran buat masa ini.
Eina berang

Sementara itu, Eina yang dihubungi Zass melahirkan rasa simpati kepada Afiq dan mengakui agak berang dengan tindakan ibu Afiq yang turut melibatkannya dalam masalah keluarga mereka.

Ujar Eina, dia agak terkejut apabila ibu Afiq menuduhnya sebagai punca Afiq berubah.

"Sejak awal tahun lalu, ibu Afiq ada menghubungi Eina dan marah-marah serta mengeluarkan kata-kata kesat.

"Tapi Eina sabarkan saja, tapi dia pula kata Eina menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dan kasar bahasanya.

"Walaupun dia tidak sebut nama Eina secara langsung, tapi siapa lagi artis wanita yang rapat dengan Afiq sekarang. Eina bukan syok sendiri, sebaliknya media sendiri yang mencari Eina. Jadi secara tak langsung memang Einalah artis wanita itu," katanya.

Eina berkata, dia bukanlah perempuan materialistik untuk mengikis duit Afiq, apatah lagi Afiq bukanlah anak orang kaya yang mempunyai harta melimpah ruah.

"Eina bukan nak menghina, tetapi itu hakikat dan Afiq sendiri yang berkata begitu," katanya.

Menurut Eina, dia kasihan melihat Afiq datang ke rumahnya kelmarin dan menangis kerana kesal dengan tindakan ibunya sendiri.

Katanya, dia juga hairan adakah ibu Afiq cemburu melihat Afiq rapat dengannya sehingga sanggup berfikir dia akan mengikis duit Afiq.

"Afiq pernah berkata, ibunya seolah-olah menyayangi duit dari dirinya sendiri. Apatah lagi, setiap kali pulang ke rumah, ibu Afiq akan bertanya soal duit terlebih dahulu.

"Malah mereka sering bertekak kerana duit. Contohnya, mengenai soal duit RM30,000 yang dibangkitkan ibu Afiq, mana dia tahu mengenai duit itu sedangkan Afiq sudah lama tidak balik ke rumah? "Afiq tidak habiskan duit itu sekali gus, sebaliknya dia membeli perabot untuk keselesaannya di rumah baru dan dia sama sekali tidak menghabiskan duit itu untuk Eina," jelasnya.

Bakal ambil tindakan

Eina berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut terhadap ibu Afiq kerana memburukkan namanya seperti ini.

Ujarnya, dia memberi tempoh seminggu kepada ibu Afiq untuk membuat permohonan maaf.

"Eina juga mencabar ibu Afiq membuat laporan mengenai SMS ugutan yang diterima jika benar ia daripada Eina.

"Ini bukan kali pertama dia memburukkan Eina. Sebelum ini, dia mendakwa Eina dan Afiq bersekedudukan dan Eina juga dikatakan 'guna-guna' Afiq sehingga dia jatuh sakit.

"Malah dia juga ada memburuk-burukkan kami di laman Twitter miliknya dan Eina sehingga kini masih tertanya-tanya kenapa dia tidak puas hati dengan Eina, sedangkan kami tidak pernah berjumpa," katanya.

'Kalu dok bagi pitih, aku tumbuk mu'

Posted: 14 May 2013 11:16 PM PDT


'Kalu dok bagi pitih, aku tumbuk mu'
Juamren dipenjara setahun selepas mengaku bersalah mengugut ibunya.
KUALA TERENGGANU - Seorang anak tergamak mengeluarkan kata-kata ugutan akan memukul ibu kandungnya serta akan membakar kediaman mereka selepas bengang kegagalan mangsa menyerahkan wang seperti mana rutin harian sebelum ini.

Bagaimanapun perbuatan anak kelima daripada 10 beradik itu, Juamren Embong, 29, terbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Hukuman itu diputuskan selepas dia yang tidak bekerja itu mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah kepada ibunya, Wok Embong, 61, dengan niat menyebabkan mangsa berasa cemas.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu di kediaman mereka di Kampung Duyong Besar, di sini, pada 7 Mei lalu, kira-kira jam 7.20 petang.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa sedang berehat di ruang tamu selepas pulang dari bekerja sebagai tukang sapu di sebuah syarikat swasta, sebelum didatangi Juamren dalam keadaan marah-marah.

Juamren kemudian menumbuk almari yang ada di dalam rumah berkenaan sehingga berlubang dan mengeluarkan kata-kata "kalu dok bagi pitih, aku pukul mu, bakar rumah" terhadap mangsa.

Disebabkan terlalu takut, mangsa terus menyerahkan wang seperti mana dikehendaki dan kejadian itu turut disaksikan menantu mangsa yang secara kebetulan ada di rumah berkenaan.

Bimbang keselamatan dirinya selain sudah tidak tahan melayan karenah Juamren yang setiap hari meminta wang untuk membeli dadah, mangsa nekad membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga.

Penghuni tanpa diundang

Posted: 14 May 2013 11:14 PM PDT


Penghuni tanpa diundang
Rumah milik pekerja swasta yang dihuni oleh individu tidak dikenali.
ALOR GAJAH - Seorang pekerja swasta terkejut apabila mendapati rumahnya di kawasan pusat peranginan di sekitar daerah ini yang ditinggal dalam tempoh setahun diduduki individu tidak dikenali.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, pemilik rumah berkenaan, Zaleha Musa, 50, terkejut apabila melihat sebuah motosikal Modenas Kriss berada di dalam kawasan rumahnya.

Menurutnya, dia menggunakan kunci yang ada dalam simpanannya untuk masuk ke dalam rumah dan mendapati banyak barang berselerak di ruang tamu selain terdapat beg pakaian serta parang panjang.

"Saya periksa di segenap sudut rumah dan turut terkejut melihat bumbung siling rumah sudah pecah namun pintu hadapan masih lagi berkunci.

"Malah lebih mengejutkan apabila saya menemui bil elektrik tertunggak berjumlah RM1,607 dan bil air sebanyak RM500 serta bil elektrik milik rumah lain," katanya.

Zaleha berkata, kali terakhir dia meninjau rumahnya itu pada April tahun lalu dalam keadaan lengkap berperabot dan kelengkapan rumah lain selain memasang kunci baru.

"Saya bimbang rumah saya itu disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab dan besar kemungkinan ia disewa kepada individu lain tanpa pengetahuan saya.

"Lebih mencurigakan apabila saya lihat persekitaran rumah kotor dan berselerak menguatkan lagi jangkaan rumah saya menjadi lokasi penjenayah," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi berkata, berikutan kejadian itu polis menahan dua lelaki dalam kes ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pemeriksaan polis di rumah berkenaan menemui dokumen seperti pasport milik warga Indonesia dan slip pemutihan disyaki penghuni kediaman berkenaan.

"Hasil maklumat itu, polis menahan seorang warga Indonesia dan seorang lagi warga tempatan berusia lingkungan awal 30-an bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua suspek dipercayai menghuni vila berkenaan dan direman empat hari sehingga 16 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya.

Jurucakap pusat peranginan berkenaan pula berkata, pihaknya tidak akan membuat pemeriksaan atau pemantauan ke atas rumah persendirian di dalam kawasan berkenaan. 

"Mana-mana pemilik rumah persendirian dalam kawasan ini perlu memaklumkan kepada pihak resort mengenai status rumah yang ditinggalkan supaya tidak berlaku pencerobohan. 

"Pihak resort tidak akan bertanggungjawab atas kehilangan harta benda persendirian melainkan ia dimaklumkan kepada pihak resort terlebih dahulu," katanya.

Antara cinta dan cita

Posted: 14 May 2013 11:10 PM PDT



BAHANG pagi hari Isnin lalu memaksa sesi fotografi memilih lokasi redup di bawah pepohon rendang sekitar premis milik Ramli Ibrahim di Sutra Dance Theatre bersebelahan Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur bagi menyejukkan diri.
Jenaka barangkali langkah ideal untuk mendinginkan suhu. Malah, mood serius Nadia Aqilah saat jurugambar Kosmo! membidik lentuk-liuk badan bintang utama teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! itu disulam seli dengan beberapa insiden melucukan.
Jelas pemilik nama Nadia Aqilah Bajuri, dia seorang yang selamba dan jarang diminta beraksi di luar kotak fikirannya. Sesi yang berakhir sebelum mentari tegak di kepala dilanjutkan dengan bicara mengenai Nadia.
Sambil menunjukkan kakinya yang terluka akibat memakai kasut tarian baharunya, Nadia, 28, tertawa saat diajukan soalan panas mengenai kehidupan peribadinya.
"Cinta? Cinta saya hanya pada Ilham!" luncur sepatah kata sambil tertawa kecil.
Bagi yang tidak tahu, Ilham merupakan watak utama yang disandang oleh Anding dalam Chow Kit Road! Chow Kit Road!, seorang anak gelandangan yang hidup di sarang pelacuran dan penagihan dadah namun bercinta dengan seorang anak orang kaya bernama Maya (lakonan Nadia Aqilah) tanpa diduga.
Sambung Nadia apabila diasak lagi soalan berkisar cinta, katanya dia kini gembira dan selesa dengan ruang privasi sekarang.
"Saya gembira dan saya selesa begini. Hidup peribadi saya tidak seindah kehidupan karier saya. Jodoh sampai, Insya-Allah saya tidak akan sorok. Namun selagi tiada yang benar-benar kukuh, saya akan kekal berahsia," kata Nadia.
Diasak lagi dengan soal hatinya dan apakah pandangannya mengenai institusi kekeluargaan atau lebih tepat lagi perkahwinan, Nadia menegaskan, jika bercinta dia akan melakukannya bersungguh-sungguh dan cinta mungkin hadir selepas berkahwin.
"Kalau jodoh saya dengan orang dalam industri, kami akan berikhtiar menyumbangkan sesuatu bermanfaat kepada industri. Prinsip saya dalam bercinta adalah kesetiaan.
"Kalau bercinta, saya nak bercinta 'bagai nak rak' (bersungguh-sungguh). Kena gilakan satu sama lain tapi harus ada rasa hormat, jangan serahkan segalanya. Sentiasa tinggalkan sedikit ruang untuk si dia merasakan sesuatu misteri akan diri kita," ujarnya yang meletakkan sasaran berkahwin dalam usia 30 tahun.

BERCAKAP soal cinta, Nadia mempunyai pandangan tersendiri.


Cinta pentas
Sementara itu, Nadia diminta mengulas mengenai turun naik kariernya yang kini sudah memasuki usia 14 tahun, satu tempoh yang lama bagi seseorang artis dan tempoh itu sebenarnya sudah matang untuk dikenali dan melakar populariti.
"Karier saya penuh pancaroba, gelak tawa, air mata, halangan, kepuasan dan tanda tanya. Saya tidak pasti ke arah manakah haluannya. Penerimaan terhadap saya tidak begitu positif seperti yang saya harapkan.
"Saya mahu perlahan-lahan orang menerima saya daripada orang tidak menghargai saya langsung. Apabila kita bekerja dari bawah perjalanan itu akan sakit sedikit tapi ia melatih untuk menjadi seorang artis yang kuat. Kita tidak akan tahu kita siapa kalau tiba-tiba 'meletup'!" jelasnya.
Antara teater, drama atau nyanyian yang manakah prioriti dirinya? Nadia terdiam seketika, menarik nafas panjang dan melontarkan suara hatinya.
Katanya dalam metafora umpama dadah, ketiga-tiganya membuatkan pelakon drama Tari Tirana itu ketagih!
"Ketiga-tiga adalah dadah berbeza yang menyebabkan saya sentiasa ketagih. Cabaran adrenalin tertinggi sudah pasti teater kerana saya perlu berlakon, menyanyi dan menari serentak. Tapi untuk pembentukan watak saya pilih televisyen manakala, menyanyi adalah sebahagian daripada jiwa saya.
"Kerja saya seolah-olah mengejar spotlight! Setiap hari adalah satu pertandingan bagi saya. Sayang saya kepada ketiga-tiga dan susah untuk dibahagikan," luah Nadia.
Milik Siapakah Gadis Ini
Mendalam mesej yang tersirat di sebalik judul lagu ciptaan Allahyarham Sudirman Arshad, Milik Siapakah Gadis Ini, namun bagi Nadia memori yang terkandung dalam kenangan terhadap lagu itu lebih bermakna daripada segalanya.
"Ayah saya selalu bercerita mengenai sejarah lagu itu sejak saya kecil. Kata ayah, lagu itu ditujukan sendiri oleh Allahyarham Sudirman menerusi arwah ibu saya kepada anaknya memandangkan mereka dahulu pernah berkawan.
"Apabila saya sendiri berpeluang menyanyikan lagu itu di atas pentas, perasaan sebak datang secara sendirinya. Mana tidaknya, lagu itu ibarat ditujukan kepada saya," ungkap Nadia yang turut menggemari beberapa lagu Sudirman yang jarang diperdengarkan antaranya Pertemuan Abadi, Di Dalam Sepi Itu, Pesta Dunia dan Dunia Baru.

NADIA mengakui ketagih dengan ketiga-tiga bidang teater, drama dan nyanyian.


Nadia melakonkan watak Maya menerusi Chow Kit Road! Chow Kit Road! iaitu anak perempuan kepada wanita kaya bernama Datin Jamilah (Adibah Noor) yang jatuh cinta kepada Ilham (Anding) apabila jejaka itu dibawa pulang ke rumahnya untuk diasuh menjadi seorang manusia berguna.
Kata Nadia, dia masih mencari-cari siapakah Maya seperti yang dimaksudkan dan diinginkan oleh pengarah, Saw Teong Hin.
"Saya masih mencari lagi siapakah Maya, bagaimanakah reaksi dan perasaan lain Maya. Watak sekeliling saya adalah besar peranannya seperti pelacur, pondan dan penagih dadah tapi saya diberikan watak 'manusia' yang mana tidak senang sebenarnya.
"Saya perlu mencari titik tengah yang tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan. Untuk mencari keserasian dengan Anding tidak payah kerana kami pernah bergandingan ketika teater muzikal Terima Kasih Cinta sebelum ini," jelas Nadia yang turut membintangi drama Kisah Cinta di TV3 arahan abangnya sendiri, Bahri Umararif Bajuri.

Kak Pah teringin dapat menantu

Posted: 14 May 2013 11:08 PM PDT


ALIFF akan pulang setahun sekali ke Malaysia untuk mengunjungi ibu kesayangannya ini.


PADA pertengahan tahun lalu biduanita tersohor negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah telah dimasukkan ke hospital apabila disyaki menghidap jangkitan kuman pada paru-paru.
Kesan daripada jangkitan tersebut, penyanyi berusia 59 tahun itu terpaksa berehat selama enam bulan dan tidak terbabit dalam sebarang aktiviti nyanyian sepanjang tempoh tersebut.
Berkesempatan menemui bintang legenda ini pada majlis pelancaran konsert Malam Amal Bersama 3 Diva baru-baru ini, Kak Pah memberitahu, keadaan kesihatannya sekarang sudah bertambah baik.
Menurutnya, selepas berehat agak panjang untuk mendapatkan rawatan lanjut bagi menyembuhkan penyakitnya itu, kini beliau sudah kembali aktif menyanyi semula.
Kosmo!: Bagaimanakah dengan keadaan kesihatan Kak Pah sekarang ini?
KAK PAH: Saya sangat bersyukur kerana kini sudah beransur pulih sepenuhnya setelah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru sehingga mengalami demam yang teruk.
Sepanjang menjalani rawatan susulan, adakah doktor pernah menasihatkan supaya Kak Pah mengurangkan aktiviti nyanyian?
Doktor memang ada menasihatkan saya supaya tidak terlalu aktif, tetapi saya ini jenis wanita yang suka bekerja. Lagipun, kalau menghiburkan orang ramai ia boleh membuatkan diri saya gembira. Kalau ditanya tentang kemampuan saya membuat persembahan nyanyian pula, rasanya ia langsung tidak mendatangkan masalah besar. Dalam satu persembahan baru-baru ini, saya masih mampu menyanyi sehingga 18 buah lagu.
Adakah Kak Pah tidak kisah apabila anak tunggal iaitu Aliff Omar masih lagi berjauhan sehingga sekarang, meskipun ketika Kak Pah jatuh sakit dahulu?
Sebenarnya saya reda menerima dengan hati terbuka apabila berjauhan selama 11 tahun setelah dia melanjutkan pelajaran di Madinah. Selain itu, saya tak perlu risau atau bimbang kerana dia berada di sebuah tempat yang paling baik. Dengan adanya kemudahan teknologi seperti khidmat pesanan ringkas dan internet memudahkan lagi untuk kami berhubung. Lagipun, setahun sekali dia akan pulang ke Malaysia atau saya sendiri akan melawatnya di sana setiap tahun.

KAK PAH tenang dan menerima dengan hati terbuka dirinya yang ditohmah menyuntik botox pada wajahnya.


Pada usia Aliff yang sudah mencecah 31 tahun, adakah Kak Pah teringin melihat dia mendirikan rumah tangga?
Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya teringin mendapat seorang menantu dan cucu. Cuma, saya rasa buat masa ini tuan punya badan masih belum bersedia memikul tanggungjawab yang besar menjadi suami memandangkan dia masih belajar lagi.
Berkenaan dengan karier seni pula, apakah perancangan Kak Pah pada masa akan datang?
Kalau ikut perancangan saya ingin mengadakan sebuah konsert perpisahan pada tahun datang. Saya ingin memberikan tumpuan kepada kerja-kerja dakwah, tetapi tidaklah bersara sepenuhnya dalam bidang nyanyian.
Saya merancang menganjurkan program motivasi kepada orang ramai seperti bercerita tentang kisah kehidupan lampau saya supaya boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat. Menerusi program tersebut akan diselitkan persembahan nyanyian saya dalam tiga atau empat buah lagu.
Boleh komen tentang dakwaan segelintir pihak yang mengatakan Kak Pah mengambil suntikan botox kerana perubahan pada wajah yang kelihatan berbeza?
Bagi saya, ia merupakan satu fitnah kerana saya memang tidak melakukannya. Perubahan yang terjadi pada wajah saya ini sebenarnya kesan daripada steroids apabila banyak mengambil ubat ketika saya sakit dahulu.

Ariel Winter puteri jelmaan

Posted: 14 May 2013 11:07 PM PDT


KARAKTER Sofia The First yang berusia tujuh tahun menggunakan suara Ariel Winter yang sudah berumur 15 tahun.


SETIAP kali bulan Mei, wanita di seluruh dunia yang bergelar ibu meraikan dengan sambutan Hari Ibu yang jatuh pada 12 Mei, khususnya dengan zuriat masing-masing. Namun tidak bagi pelakon remaja siri televisyen popular, Modern Family iaitu Ariel Winter.
Dia sebaliknya menyambut Hari Ibu bersama kakaknya, Shanelle, 34, yang kini seolah-olah menjadi 'ibu' angkatnya. Meskipun dalam Modern Family, dia melakonkan karakter anak yang sangat disayangi kedua-dia ibu bapanya, namun dalam alam realiti perkara sebaliknya berlaku terhadap Ariel yang baru berusia 15 tahun itu.
Ariel kini diletakkan di bawah jagaan kakaknya, Shanelle dan suaminya, David Barry Gray selepas ibu Ariel dan Shanelle iaitu Chris Workman didakwa telah mendera Ariel. Shanelle sejak sedekad yang lalu, tidak tinggal bersama Chris selepas mendakwa dirinya didera secara fizikal dan mental, malah dia terpaksa menetap selama dua tahun di rumah kebajikan sebelum mengahwini David.
Pada hujung bulan lalu, Shanelle dan David, menurut laporan Zillow, telah membeli sebuah rumah agam lima bilik tidur bernilai AS$1.4 juta (RM4.5 juta) di Sherman Oaks, California yang menjadi kediaman baharu untuk pasangan tersebut tinggal bersama dua anak mereka dan Ariel.
"Saya tidak mengenali kakak sebelum ini kerana saya tidak dibenarkan (oleh Chris) untuk berjumpa dengannya sebelum ini. Sekarang (selepas tinggal bersama), saya tahu, kakak adalah jenis individu yang boleh saya jadikan contoh apabila saya dewasa nanti," ujarnya kepada majalah Teen Vogue.
Kebahagiaan kini menjadi milik Ariel bukan sahaja di alam realiti, tetapi bintang remaja itu bakal muncul sebagai seorang puteri jelmaan menerusi filem animasi muzikal untuk siaran TV, Sofia The First: Once Upon A Princess. Ariel meminjamkan suaranya untuk karakter utama filem itu iaitu Sofia atau Sofia The First.

Ariel bersama kakaknya, Shanelle yang kini diberikan hak dari segi undang-undang sebagai penjaganya yang sah.


Filem yang diadaptasi daripada alam dongeng Enchancia mengisahkan kehidupan Sofia, seorang seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang mengalami perubahan mengejut setelah ibunya berkahwin dengan seorang raja.
Ia menyebabkan Sofia terpaksa menjadi seorang puteri dengan gelaran Sofia the First. Sofia harus belajar menjalani kehidupan yang luarbiasa sebagai seorang kaum kerabat, pada masa yang sama berpegang kepada harapan dan impiannya sendiri. Pengembaraan diraja Sofia sebagai puteri jelmaan bermula dengan persiapannya untuk berangkat ke istana bersama ibunya, memulakan keluarga baharu dengan bapa tirinya, Raja Roland II serta adik-beradik tirinya Amber dan James.
Tayangan perdana Sofia the First: Once Upon A Princess adalah pada Ahad, 19 Mei ini, pukul 11 pagi menerusi Disney Channel (Saluran Astro 615) dan Isnin, 27 Mei, pukul 1 tengah hari di Disney Junior (Saluran Astro 613), manakala siaran siri Sofia The First akan bermula pada Julai ini.

Pelakon Afiq Muiz nafi derhaka kepada ibu

Posted: 14 May 2013 11:04 PM PDT


AFIQ MUIZ (kiri) dan Eina ketika membuat penjelasan pada sidang akhbar di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Seorang pelakon remaja, Afiq Muiz Azman Shah, 21, menafikan dakwaan dia menjadi anak derhaka gara-gara terpengaruh dengan kekasihnya yang juga pelakon, Eina Azman.
Pelakon drama bersiri Mimpi Cinderella itu menafikan kenyataan ibunya, Hasliza Mohd. yang menuduh dia berubah menjadi pemarah dan mengikut telunjuk kekasihnya seperti yang dilaporkan sebuah portal hiburan baru-baru ini.
Menurutnya, dakwaan itu tidak berasas dan boleh menjatuhkan maruah serta kerjayanya sebagai pelakon.
"Saya tidak pernah keluar dari rumah dan tidak pernah sesekali membuang keluarga sendiri seperti yang didakwa.
"Saya tidak tahu motif ibu saya membuat kenyataan kepada portal hiburan itu. Saya sangat malu dengan kenyataan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ular sawa 50kg baham lembu, ayam ditangkap

Posted: 14 May 2013 11:03 PM PDT


DUA belas anggota JPAM memegang ular sawa sepanjang 6.7 meter yang ditangkap di Manjung, Perak semalam.


MANJUNG - Misteri Kehilangan beberapa ekor lembu dan ayam milik penduduk Kampung Batu Hampar Dalam, Taiping akhirnya terjawab dengan tertangkapnya seekor ular sawa sepanjang 6.7 meter semalam.
Ular sawa yang sedang membelit seekor anak lembu itu ditangkap oleh anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) bersama penduduk kampung.
Menurut jurucakap JPAM Manjung, Koperal Ahmad Zamberi Bahari, pihaknya bergegas ke kampung berkenaan selepas mendapat panggilan daripada penduduk.
Ujarnya, mereka mengambil masa setengah jam untuk menangkap ular sawa tersebut.

Hanya sempat kebas kasut

Posted: 14 May 2013 11:02 PM PDT


SEORANG lelaki yang diberkas penduduk kampung selepas menceroboh sebuah rumah di Kampung Tupong Ulu, Kuching semalam.


KUCHING - Seorang lelaki yang cuba untuk merompak sebuah keluarga di Kampung Tupong Ulu di sini semalam dengan menggunakan pistol mainan bukan saja gagal malah suspek turut menjadi mangsa belasah penghuni rumah berkenaan.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, suspek yang dipercayai penagih dadah hanya sempat mencuri sepasang kasut sukan milik penghuni rumah terbabit.
Cerita penghuni rumah yang cuba dirompak, Tasmin Mulana Sarkawi, 32, sebelum kejadian dia berada di dapur sebelum ternampak kelibat seorang lelaki tidak dikenali memasuki rumahnya.
Suspek masuk ke dalam rumah Tasmin melalui pintu depan kerana pintu jeriji rumah kampung milik mangsa tidak dikunci.
"Saya tidak panik lalu menegur lelaki itu mengapa dia menceroboh masuk rumah saya. Tanpa jawapan suspek terus mencapai sepasang kasut sukan saya yang diletakkan di depan rumah dan melarikan diri," kata Tasmin ketika ditemui di rumahnya semalam.
Tasmin memberitahu, dia terus mengejar lelaki itu sebelum suspek jatuh tersungkur menyebabkan dia membelasah suspek terbabit.
"Saya tumbuk muka suspek dan ketika itu suspek bertindak agresif dengan cuba melawan balik," kata Tasmin.

Pasar jual daging beruang

Posted: 14 May 2013 11:01 PM PDT


SEORANG peniaga (kanan) memotong daging beruang yang dijual di Pasar Teresang, Kapit, Sarawak semalam.


KAPIT – Pasar Teresang dekat sini dikesan menjadi lokasi penjualan daging beruang matahari yang merupakan haiwan dilindungi di negara ini.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, kira-kira lima peniaga menjalankan perniagaan menjual daging tersebut secara terbuka kepada para penggemar hidangan haiwan eksotik.
Daging haiwan tersebut yang sudah dilapah dijual pada harga RM25 sekilogram manakala hempedu (RM25) dan kaki (RM50).
Salah seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, dia memperoleh daging serta organ dalaman beruang itu selepas memburu haiwan tersebut di kawasan hutan di Ulu Kapit.
Katanya, dia meraih pendapatan lumayan kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan yang mendakwa daging beruang itu boleh meningkatkan tenaga seks lelaki.
"Meskipun dijual pada harga yang tinggi, ia tetap mendapat sambutan daripada pelanggan.
"Bagi saya, walaupun terpaksa menyabung nyawa ketika memburu beruang, namun ia adalah perniagaan yang menguntungkan," katanya di sini semalam.

Anak muda catat rekod dunia

Posted: 14 May 2013 11:00 PM PDT

NAJIB bersalaman dengan James sambil diperhatikan Ahmad Zahid (kiri) dan Danny (dua dari kanan) sejurus tiba di Pangkalan TUDM Subang semalam.


SUBANG – Rakyat Malaysia, Kapten James Anthony Tan, 21, berjaya memecah rekod dunia sebagai juruterbang termuda mengelilingi dunia secara solo selama 48 hari menggunakan pesawat Cessna P210 Eagle yang diberi nama Semangat Malaysia semalam.
Ketibaannya di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengasas Malaysia Book of Records, Datuk Danny Ooi.
James yang berasal dari Kajang berlepas dari Terminal Subang Skypark di sini pada 28 Mac lalu bagi memenuhi cabaran Misi 1Malaysia Kelilingi Dunia (1RTW).
Pencapaian juruterbang muda negara itu mengelilingi dunia sejauh 20,597 batu nautika (38,146 kilometer) meliputi 20 buah negara dan 30 hentian dicatat dalam Guinness World Records dan Malaysia Book of Records.
Beliau mengatasi rekod kelilingi dunia selama 80 hari yang dipegang juruterbang warga Switzerland, Kapten Carlo Schmid, 22, pada 11 Julai 2012.
Najib dalam ucapannya berharap golongan belia menjadikan James sebagai sumber inspirasi.

6 mengaku salah ikut ajaran sesat

Posted: 14 May 2013 10:59 PM PDT


TIGA daripada enam pengikut ajaran Tuhan Harun didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan semalam.


KUANTAN - Seramai enam pengikut ajaran Tuhan Harun didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam atas tuduhan memiliki dan menyimpan dokumen meragukan yang bertentangan dengan hukum syarak.
Enam tertuduh terbabit ialah Husin Ismail, 43, Pilus Anahong @ Mahdi Abdullah, 40, Mohd. Khalilie Zazali, 31, Syahiszam Soid, 40, Mohd. Nizam Mohd Salleh, 43 dan Mohd. Shahril Mohd Jaafar, 28.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syarie, Abdul Wahid Md. Ali Al-Fakwie.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh masing-masing didakwa melakukan kesalahan tersebut di premis B16-1st, Lorong Pandan Damai 2/201 di sini pada pukul 6.50 petang pada 4 April lalu.
Bagi kesalahan tersebut, keenam-enam tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 165 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM500 jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Abdul Wahid menangguhkan keputusan untuk menjatuhkan hukuman terhadap kesemua tertuduh kerana menunggu untuk mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bahawa dokumen yang disimpan tertuduh benar-benar meragukan.

China berusaha selamatkan oasis berusia 2,000 tahun

Posted: 14 May 2013 10:56 PM PDT


GAMBAR yang dirakamkan pada 12 Mei lalu menunjukkan Tasik Bulan Sabit di Dunhuang.


BEIJING - Pemerintah China berusaha untuk menyelamatkan sebuah oasis yang berusia 2,000 tahun yang terletak enam kilometer dari bandar Dunhuang, selatan China.
Oasis yang merupakan kawasan berair di sebuah kawasan padang pasir itu kini dalam bahaya kerana ia boleh ditimbus dengan pasir.
Kawasan oasis itu dikenali sebagai Tasik Bulan Sabit kerana bentuknya seperti bulan sabit.
Paras air di kawasan berkenaan surut sejak beberapa dekad lalu sebelum pihak pentadbiran tempatan mula bertindak memasukkan air ke dalam tasik tersebut pada tahun 2006.

Angkasawan selebriti mendarat

Posted: 14 May 2013 10:54 PM PDT


MARSHBURN (kanan), Romanenko (tengah) dan Hadfield duduk semasa sesi bergambar selepas mereka selamat mendarat.- AP


MOSCOW - Seorang angkasawan Kanada, Chris Hadfield yang membuat rakaman muzik video di dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISSA) telah kembali ke bumi bersama dua angkasawan lain semalam.
Sebelum ini Hadfield menjadi selebriti dunia menerusi laman Twitter miliknya selepas dia merakamkan gambar dan aksinya di dalam ISS.
Hadfield selamat mendarat di kawasan padang rumput di Kazakhstan bersama seorang angkasawan Amerika Syarikat, Tom Marshburn dan seorang lagi dari Rusia, Roman Romanenko.
Mereka menaiki kapsul Rusia, Soyuz-TMA yang berlepas dari ISS pada awal pagi semalam.
Stesen televisyen Rusia turut menyiarkan pendaratan kapsul Soyuz itu.
Ketiga-tiga angkasawan itu kemudiannya dikeluarkan dari kapsul oleh anggota-anggota pasukan penyelamat.
Ketika berada di ISS, Hadfield membuat rakaman muzik video yang menunjukkan dia bermain gitar dengan menyanyi lagu David Bowie yang berjudul Space Oddity.
Rakaman itu juga disiarkan di laman YouTube.

Spekulasi Obama menangis

Posted: 14 May 2013 10:54 PM PDT

OBAMA (kanan) kelihatan mengalikan air mata (dalam bulatan) pada sidang media di White House, Washington kelmarin.


WASHINGTON - Akhbar New York Daily News kelmarin melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelihatan menangis semasa membincangkan tentang serangan di Pejabat Konsulat AS di Benghazi di Libya pada 11 September tahun lalu.
Gambar yang menunjukkan Obama kelihatan menangis itu turut disiarkan oleh agensi berita Reuters.
Obama sebelum ini pernah menangis sebanyak dua kali sejak November tahun lalu.
Ketika itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada para kakitangan pasukan kempennya ekoran kemenangannya pada pilihan raya Presiden AS.
Obama turut menangis ketika membincangkan kejadian tembakan yang dilakukan oleh seorang pemuda, Adam Lanza yang membunuh 26 orang di Sekolah Rendah Sandy Hook in Newtown, Connecticut pada tahun lalu.
Lanza kemudian membunuh diri dalam kejadian itu.
Dalam serangan sekumpulan penduduk di Benghazi itu, Duta AS ke Libya, Chris Stevens dan tiga lagi rakyat negara ini terbunuh. Pada sidang media di White House di sini bersama Perdana Menteri Britain, David Cameron, Obama menafikan berlakunya kesan politik ekoran serangan ke atas duta AS itu.
Menurutnya, kempen parti Republikan berhubung komen tentang serangan tersebut bermotifkan politik.
Parti Republikan mendakwa, dakwaan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Susan Rice bahawa serangan tersebut dilakukan secara spontan kerana reaksi terhadap filem anti-Islam yang berjudul Innocence of Muslim menunjukkan pentadbiran Obama sebenarnya melakukan pembohongan.
Pihak parti tersebut mendakwa mempunyai bukti bahawa pentadbiran Obama menyembunyikan penglibatan kumpulan ekstremis dan sebuah kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda di Libya berhubung serangan tersebut.

Estrada menang Datuk Bandar Manila

Posted: 14 May 2013 10:52 PM PDT


ESTRADA dikerumuni pemberita selepas kemenangannya di Manila semalam.


MANILA - Bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada diisytiharkan sebagai pemenang dalam pilihan raya Datuk Bandar Manila semalam.
Kemenangan dalam pilihan raya itu merupakan yang pertama diperoleh beliau selepas penyingkirannya sebagai Presiden Filipina dalam tunjuk perasaan antirasuah pada 2001.
Estrada merupakan antara calon yang cukup dikenali selain bekas wanita pertama Filipina, Imelda Marcos.
Imelda merupakan isteri bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos.
Beliau memenangi kerusi untuk dewan rendah bagi mewakili kawasan utara negara ini.
Seorang anak perempuannya, Imee, telah dipilih sebagai Gabenor Ilocos Norte buat penggal kedua.

Sekolah ditutup kerana menuai tumbuhan 'viagra' di Nepal

Posted: 14 May 2013 10:50 PM PDT


GAMBAR fail menunjukkan beberapa penduduk mengutip tumbuhan Yarshagumba di daerah Dolpa, Kathmandu.


KATHMANDU - Sejumlah sekolah di pedalaman Nepal lengang dan sesi persekolahan terpaksa dihentikan selepas para penduduk keluar menuai tumbuhan yang didakwa boleh menguatkan tenaga batin di kawasan berbukit, kata beberapa pegawai semalam.
Ibu bapa, pelajar-pelajar serta para guru meninggalkan rumah masing-masing untuk menuai tumbuhan itu yang dikenali sebagai Yarshagumba yang mampu menguatkan tenaga seks.
Tumbuhan itu diberi nama jolokan sebagai viagra Himalaya
"Di daerah Jajakot sahaja, sekitar 8,000 pelajar tidak hadir ke sekolah," kata seorang pegawai di sebuah pejabat pelajaran daerah itu, Prakash Subedi.
Menurutnya, sekolah-sekolah terpaksa ditutup kerana tiada pelajar yang datang.
Beliau berkata, para guru turut mencari tumbuhan berkenaan.
Sebahagian penduduk kampung di Nepal berkumpul di kawasan padang rumput yang tinggi pada setiap musim bunga untuk mengutip tanaman bernilai itu.
Tanaman tersebut mendapat permintaan tinggi di China dan negara Asia lain dan harganya boleh mencecah AS$11,500 (RM34,356) setiap 450 gram.
Pada tahun 2011, mahkamah Nepal menjatuhkan hukuman penjara ke atas 19 lelaki yang didapati bersalah membunuh sekumpulan pekebun ketika tercetus pergaduhan merebut hak mengutip tumbuhan itu empat tahun lalu.

Mister T tunjuk kekuatan di Panama

Posted: 14 May 2013 10:49 PM PDT


SEJUMLAH orang menyaksikan Mister T menarik sebuah kereta dengan tali yang diletakkan di celah giginya.- AFP


RIO ALEJANDRO, Panama - Seorang penduduk berusia 64 tahun, Andres Gardin yang turut dikenali sebagai Mister T menunjukkan kekuatannya di sini pada 10 Mei lalu.
Dia menunjukkan kemahirannya dengan menggunakan giginya untuk mengupas buah kelapa di hadapan orang ramai.
Gardin juga menarik dua buah kereta dengan menggunakan tali yang diletakkan di celah giginya itu.
"Anda perlu mempunyai rahang yang kuat untuk mengupas buah kepala. Anda perlu mempunyai kuasa gigi," katanya yang menjadi pemandu teksi.
Gardin berkata, dia boleh mengupas 500 biji kelapa dalam masa enam jam dengan menggunakan gigi dan tangannya.
Menurutnya, dia telah mengasah bakatnya itu sejak menjadi juara mengupas buah kelapa semasa berumur 11 tahun.
Dia mengambil masa lebih lima dekad untuk melakukan latihan dengan menggunakan lebih 100,000 buah kelapa.

Kereta sport Maserati dimusnahkan

Posted: 14 May 2013 10:48 PM PDT


BEBERAPA lelaki memusnahkan sebuah kereta Maserati di depan kawasan Pameran Kereta Antarabangsa di Qingdao, China semalam.- REUTERS


QINGDAO, China - Sebuah kereta sport Maserati dimusnahkan oleh beberapa orang lelaki selepas diarahkan oleh pemiliknya di depan kawasan Pameran Kereta Antarabangsa di sini semalam.
Kereta yang berharga AS$423,280 (RM1.26 juta) itu dimusnahkan selepas pemiliknya kecewa dengan perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan di sebuah pusat penjualan kenderaan tersebut.
Menurut agensi berita Xinhua, pihak pengurusan pusat penjualan kenderaan itu sebelum ini membaiki kereta tersebut dengan menggantikan alat ganti yang lama.
Bagaimanapun, alat ganti lama itu dijual pada harga yang sama dengan alat ganti baharu.
Ekoran itu, pemilik kereta Maserati buatan Itali tersebut meminta beberapa lelaki memusnahkan kereta berkenaan.

Generasi muda celik al-Quran

Posted: 14 May 2013 10:46 PM PDT



SEBAIK Ustazah Muzaiyanah Mohamed Said, 27, melangkah masuk ke kelas 3 Wawasan, ucapan salam yang mendoakan kesejahteraan buat si guru bergema di seluruh kelas.
Kemudian, semua pelajar pantas mengangkat jari telunjuk seraya mengalunkan lafaz suci kalimah syahadah yang bermaksud: "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah."
Ia diikuti dengan bacaan doa penerang hati, doa qunut dan diakhiri dengan selawat serta salam ke atas Rasul Junjungan. Masing-masing kelihatan bersemangat ketika membacanya.
Usai menyudahkan bacaan tersebut, Muzaiyanah terus menulis jawi di papan putih yang menjadi subjek pembelajaran pada petang itu. Guru muda itu turut menyediakan bahan bantu mengajar menggunakan kreativitinya sendiri.
Dia menampal beberapa sampul surat kecil di sehelai kertas keras berwarna biru. Di atas kertas warna itu tertera tulisan jawi yang bermakna Perkataan Berimbuhan Apitan.
Ternyata ia berjaya menarik minat pelajar untuk berlumba-lumba menjawab soalan yang dikemukakan melalui setiap sampul surat yang dipilih mereka.
Muzaiyanah merupakan salah seorang guru yang terlibat untuk program pembelajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur.

PARA pelajar sekolah rendah mengikuti kelas J-Qaf yang mula diwujudkan pada tahun 2004.


Kreativiti guru
Mula mengajar sejak Januari 2011, graduan Ijazah Sarjana Muda Sunnah & Pengurusan Maklumat dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu semakin bijak dalam usaha menarik perhatian pelajar program J-Qaf di sekolahnya.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah memberikan saya peluang untuk menceburkan diri dalam bidang pendidikan.
"Justeru, saya perlu sentiasa kreatif bagi mengelakkan para pelajar bosan dengan konsep pembelajaran dan pengajaran yang biasa," tutur Muzaiyanah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurut anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu, dia memilih untuk menjadi guru J-Qaf kerana minat dan tanggungjawab terhadap anak-anak Muslim.
Pada tahun akhir pengajiannya, Muzaiyanah bertekad untuk mendidik murid-murid ini dan mengajar mereka mengenal huruf jawi, membaca al-Quran dan cara melaksanakan solat dengan betul.
"Kesedaran ini timbul kerana saya merasakan ramai anak-anak zaman sekarang tidak kenal huruf jawi. Malah, terdapat sebilangan kecil daripada mereka masih tidak tahu membaca Iqra apabila melangkah masuk ke alam persekolahan tahun satu.
"Mungkin sesetengah orang mengatakan bahawa jurusan yang saya ambil di universiti tidak sesuai dengan kerjaya ini. Namun, secara peribadi saya bangga dengan tugas ini kerana dapat memberi tunjuk ajar kepada anak-anak kecil mengenai ilmu asas dalam Islam," terang Muzaiyanah penuh berhikmah.
Antara skop tugas guru J-Qaf ialah mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam serta memberi perhatian lebih kepada murid-murid yang lemah dalam subjek Jawi dan al-Quran.
Selain itu, guru-guru J-Qaf juga perlu melakukan tugas-tugas memfailkan maklumat, memasukkan data peribadi, prestasi murid, aktiviti kokurikulum dan sebagainya.
Untuk program J-Qaf, ia meliputi beberapa subjek dengan tempoh mengajar yang berbeza. Subjek Jawi selama 30 minit, Ulum Syariah atau Fardu Ain (60 minit), al-Quran (90 minit) serta Tasmik (30 minit).
Mereka yang berminat untuk menjadi guru J-Qaf perlu mempunyai kelayakan seperti mempunyai ijazah serta diploma pendidikan dalam bidang pengajian Islam termasuk Usuluddin, Syariah, al-Quran dan sunnah.
Setakat ini, Muzaiyanah bertanggungjawab mengendalikan lima kelas atau 200 orang murid.
"Bagi subjek tertentu seperti al-Quran dan Tasmik, pelajar akan dibahagikan kepada kumpulan kecil dan biasanya setiap kelas ada tiga orang guru. Murid-murid pula akan dibahagikan mengikut pencapaian mereka," ujarnya.
Apakah cabaran sepanjang bergelar guru J-Qaf? Anak kelapan daripada 11 beradik itu memberitahu, setiap tugas atau kerjaya pasti mempunyai masalah tersendiri.
Bagaimanapun, ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mereka melahirkan pelajar atau generasi muda yang celik al-Quran dan berkeperibadian mulia.
GURU J-Qaf sentiasa memberi perhatian khusus kepada pelajar dalam setiap kelas.


Kekangan masa
Bagi Ustazah Norihan Yusof, 28, antara cabaran yang mereka hadapi ialah mengurangkan jumlah murid yang tidak mahir membaca tulisan jawi dan al-Quran selain terdapat kekangan masa dalam menjalankan program-program yang dicadangkan oleh Kementerian Pelajaran seperti Kem Bestari Solat.
"Dalam subjek al-Quran pula, wujud perbezaan kaedah dalam membaca al-Quran semasa murid berada di rumah dan sekolah agama rakyat. Sebelum ini, mungkin kaedah mempelajari al-Quran yang dijalankan secara tradisional mengikut teknik yang pelbagai dan berbeza antara satu sama lain.
"Contohnya menggunakan kaedah Baghdadi atau ketukan, qiraah dan sebegainya. Tetapi, apabila program J-Qaf muncul, ia mengubah senario yang sedia ada. Kaedah mengajar al-Quran telah disusun secara sistematik dan terurus oleh kementerian dengan menggunakan buku Iqra sebagai asas terhadap kemahiran membaca al-Quran," ungkap Norihan yang merupakan graduan Diploma Tahfiz Al-Quran dari Darul Quran Kuala Kubu Bharu.
Di samping itu, Norihan juga berharap ibu bapa akan memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka di rumah sentiasa membaca al-Quran setiap hari dan melaksanakan kewajipan solat lima waktu yang telah dipelajari melalui kelas J-Qaf.
"Insya-Allah, jika ada usaha, saya percaya kita mampu melahirkan generasi al-Quran yang unik dan soleh untuk menjadi pewaris para Anbiya pada masa akan datang," tegasnya.

Rakyat AS gemar bahasa Mandarin

Posted: 14 May 2013 10:46 PM PDT


SELAIN kaum Cina, kelas bahasa Mandarin di AS turut menarik perhatian murid kaum lain.


PADA mulanya, Susan Wang, 16, yang berasal dari Taiwan tidak boleh bertutur bahasa Inggeris apabila dia tiba di California.
Kini, pada usia 49 tahun, beliau berjaya menubuhkan sebuah sekolah iaitu Sekolah Rendah Broadway, Venice, di barat Los Angeles.
Penubuhan sekolah itu bertujuan untuk mengembangkan bahasa Mandarin di Amerika Syarikat (AS) dan beliau dibantu dengan kehadiran guru bergaji rendah dari Beijing untuk mengajar di sekolah berkenaan.
Usaha tersebut berbaloi apabila mendapat sambutan menggalakkan malah murid paling muda berusia lima tahun.
"Perkara yang paling menarik ialah menyaksikan anak-anak belajar, cara mereka belajar dan berapa cepat mereka menguasai bahasa lain, ia sememangnya menakjubkan," katanya yang merupakan pengetua sekolah tersebut.
Permintaan meningkat
Program pendidikan bahasa Mandarin bukanlah sesuatu yang baharu di sekolah AS. Perkembangan pengaruh China di seluruh dunia membuatkan permintaan terhadap kemahiran bahasa Mandarin semakin meningkat.
Ia secara tidak langsung mencerminkan diplomatik Washington merentasi Lautan Pasifik.
"Bahasa Mandarin merupakan salah satu bahasa yang semakin digemari rakyat AS berbanding bahasa Perancis, Jerman dan Jepun," ujarnya.
Kementerian Pengajian Beijing turut membantu dengan membawa masuk guru-guru dan penceramah dari negara China untuk bekerja di sekolah-sekolah AS.
California merupakan perintis program tersebut sama ada dari segi geografi atau sejarah.
Kemasukan pekerja China ke AS berlaku apabila mereka dibawa untuk bekerja membina landasan kereta api. Selain New York, San Francisco dan Los Angeles turut mempunyai komuniti Cina terbesar.
Sehubungan itu, secara tradisional, keluarga yang mempunyai salah seorang atau kedua-dua ibu bapa yang berketurunan Cina akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah bahasa Mandarin.
Langkah itu dilihat untuk memartabatkan budaya dan warisan mereka. Selain itu, kemahiran menguasai bahasa itu membolehkan mereka berkomunikasi dengan datuk dan nenek apabila pulang ke rumah.
Di dalam bilik darjah di Sekolah Rendah Broadway itu kelihatan dindingnya ditampal dengan gambar dan tulisan-tulisan Cina.
Bukan itu sahaja, kandungan buku teks juga menggunakan bahasa Mandarin selain guru-guru tidak akan menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, kelas tersebut bukan hanya disertai murid berketurunan Cina tetapi turut menarik perhatian kaum lain seperti Afrika-Amerika, Kaukasia dan Latin.
Seorang guru tadika, Carol Chan memberitahu, pada kebiasaannya, pada peringkat awal memasuki kelas bahasa Mandarin, murid-murid sukar untuk memahami bahasa berkenaan.
"Jadi, saya menggunakan banyak gambar, muzik, bahasa fizikal dan gerakan isyarat akhirnya, mereka dapat tangkap apa yang diajar.
"Lama-kelamaan, mereka mudah memahami bahasa Mandarin dan berasa gembira menghadiri kelas berkenaan," ujarnya.

SEORANG guru menggunakan alat bantu mengajar bagi memudahkan murid-murid memahami bahasa Mandarin.


Secara percuma
Seorang murid, Grace Ehlers mengakui pada mulanya, mempelajari bahasa Mandarin adalah sukar namun kini dia boleh bertutur bahasa tersebut dengan yakin.
"Mempelajari bahasa Mandarin menjadi sedikit mudah kerana ayah saya boleh bertutur banyak bahasa dan kadang-kadang dia mengajar saya," katanya.
Pengetua sekolah Pusat Bahasa, Nancy Rhodes pula berkata, kehadiran guru bahasa Mandarin secara percuma amat penting bagi Sekolah Rendah Broadway untuk menawarkan program belajar bahasa secara menyeluruh.
"Saya orang Cina, dilahirkan dan dibesarkan di Taiwan tetapi itu tiada kaitan langsung dengan apa yang saya lakukan untuk program ini. Kami boleh mengajar bahasa Mandarin kerana mempunyai guru sukarelawan berketurunan Cina.
"Sekiranya mempunyai guru yang boleh mengajar bahasa Perancis atau Sepanyol, kami juga akan menawarkan program yang sama," jelasnya.
Dalam pada itu, berdasarkan data yang dikumpulkan Pusat Linguistik Gunaan, terdapat 74 program bahasa Mandarin di AS.
Secara keseluruhan, program bahasa Sepanyol paling banyak diadakan yang mewakili 45 peratus, diikuti 22 peratus Perancis, Mandarin 13 peratus dan masing-masing 10 peratus bagi Jepun serta Jerman.
Tambah beliau, satu ketika dahulu bahasa Mandarin diajar di sebelah pantai barat dan bandar besar tetapi kini ia sudah menular di seluruh negara.
"Malah, sekolah-sekolah rendah di daerah kecil sedang menimbangkan untuk beralih dari mengajar bahasa Sepanyol ke bahasa Mandarin," ujarnya.

Seni jalanan ala tentera

Posted: 14 May 2013 10:44 PM PDT

PARA pelancong berpeluang memakai pakaian ala tentera pada harga RM3 sahaja.


JIKA anda bersiar-siar di Banda Hilir, Melaka pada malam hujung minggu, kemungkinan untuk bertembung dengan seorang lelaki yang unik sangat besar.
Gayanya seperti seorang tentera darat dengan warna hijau menyeliputi tubuh dan motosikalnya juga memiliki rona yang sama.
Jamil Salleh, 53, berpakaian seperti askar Jepun pada malam itu dengan topi dan kaca mata yang tersendiri, namun baju celoreng serta logo pula berlainan.
Gaya tentera lelaki yang berasal dari Lorong Pandan, Melaka itu ditambah dengan sebuah motosikal lama yang diubah suai melalui penambahan aksesori dan warna ditukar kepada hijau.
Bermula dengan hobi mahu memiliki motosikal lama dan sangat berminat menonton filem-filem bergenre perang, dia mula menambah aksesori pada motosikal jenama Yamaha keluaran tahun 60-an.
Kini, orang ramai yang mahukan kelainan dalam koleksi foto berlatar belakang bandar raya bersejarah itu mempunyai pilihan iaitu bergambar bersama Jamil dan motosikalnya.
Dengan bayaran sebanyak RM3 yang digunakan untuk penyelengaraan motosikal tersebut, orang ramai boleh memakai pakaian ala tentera seperti rompi, topi dan senapang olok-olok.
Berkongsi minat
Ketika bergambar, karakter Jamil pasti bertukar iaitu menjadi seorang askar yang tegas.
Dia hanya boleh dilihat pada hujung minggu kerana pada hari-hari biasa dia bekerja di kebun miliknya. Lebih penting, aktiviti yang dilakukan Jamil itu mendapat kebenaran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
Yamaha YG5 itu bukan sahaja mempunyai cukai jalan malah masih berfungsi dengan baik. Penambahan aksesori pula bergantung pada minatnya dalam masa sama menepati aura tentera lama.

SELAIN pakaian dan motosikal, karakter dan personaliti Jamil juga kelihatan seperti seorang tentera.


Pada peringkat awal, dia hanya mahu berkongsi minatnya dengan orang ramai dan perasaan malu sememangnya ada.
Namun, lama-kelamaan rasa malu tersebut mulai hilang dan hari ini, matlamatnya adalah untuk membaiki penggunaan bahasa terutamanya bahasa Inggeris.
"Ramai pelancong dari luar negara seperti China, Iran dan Eropah turut bergambar dengan motosikal saya," katanya lagi.
Selain perlu meningkatkan kemahiran berkomunikasi, lelaki yang mempunyai enam orang anak itu turut mengakui perlu menambah ilmu mengenai sejarah Melaka.
Nama-nama bangunan utama di Banda Hilir termasuk sejarahnya perlu diketahui dan difahami dengan jelas. Kelak, apabila ditanya, dia boleh menerangkannya.
Jika dipandang cara kerja Jamil yang memerlukan dia mesra dengan semua orang tanpa mengira usia dan jantina, sudah pasti terdetik di hati kita mengenai perasaan isterinya.
"Dia memahami kerja saya," jawab Jamil ringkas sambil tersenyum. Dia dan isterinya, Cik Norlia, 54, sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga.
Sememangnya, motosikal dengan nombor pendaftaran kenderaan, BY 4995 itu masih boleh bergerak. Sekitar pukul 12 tengah malam, Jamil dan motosikalnya itu berada di hadapan Hard Rock Cafe, Melaka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines