Jumaat, 15 Ogos 2014
Pembantu Rumah Dirogol Perompak
Kuala Lumpur: Diacu parang dan dipaksa menyerahkan wang milik majikannya sebelum diperkosa dan dipukul. Itu nasib menimpa seorang pembantu rumah selepas seorang lelaki menceroboh sebuah rumah di Sri Petaling, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun ketika itu berada di dapur untuk menyediakan sarapan pagi majikannya terkejut apabila tiba-tiba muncul seorang lelaki dan mengacukan parang sebelum mengarahkannya supaya tidak melawan.
Menurut sumber, suspek kemudian meminta mangsa menunjukkan tempat simpanan wang majikannya, namun wanita itu memberitahu dia tidak tahu menyebabkan lelaki itu mengugut ingin membunuhnya.
“Malah suspek turut mengarahkan mangsa membuka pakaiannya sebelum merogolnya. Selepas memperkosa mangsa, suspek sekali lagi mengarahkan wanita itu menunjukkan tempat simpanan wang milik majikannya, namun dia enggan menyebabkan lelaki itu mengamuk dan terus menumbuk muka dan membelasahnya,” katanya.
Sumber berkata, dalam kesakitan mangsa tetap memberitahu kepada suspek dia tidak tahu tempat simpanan wang itu, namun lelaki itu tidak mempercayainya dan terus mendesak mangsa.
“Mangsa kemudian menyelamatkan diri dengan melarikan diri dan bersembunyi di dalam tandas.
“Suspek kemudian bertindak menggeledah kediaman itu dan membawa lari sejumlah wang. Mangsa yang ketakutan hanya keluar dari tandas apabila terdengar suara majikannya,” katanya.
Dia kemudian menceritakan kejadian itu kepada majikan sebelum mereka tampil membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. -HM