Sabtu, 3 Januari 2015

Isteri Orang Dicekup Malam Tahun Baharu


”Kami datang hanya untuk berseronok sempena malam tahun baharu,” kata seorang remaja yang ditahan bersama pasangannya ketika serbuan oleh penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) di sebuah hotel bajet di Jawi dalam Operasi Mencegah Maksiat Sempena Tahun Baharu 2015 semalam.

Remaja berkenaan yang juga merupakan penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sanggup datang dari Melaka semata-mata untuk bertemu dengan kekasihnya di sini.

Akhirnya, niat remaja ini untuk berhibur bagi menyambut tahun baharu tidak kesampaian apabila bilik hotel bajet yang disewa di Berapit diserbu dalam operasi ini.

Gadis yang berusia awal 20-an ini merupakan antara 18 individu ditahan dalam operasi yang diadakan.




Enggan buka pintu bilik

Ketua Unit Operasi dan Penguatkuasaan JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, operasi yang bermula pada jam 2.30 pagi dan berakhir jam 6 pagi semalam melibatkan pemeriksaan di beberapa hotel bajet di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

“Dalam operasi ini, pihak kami turut mendapat bantuan daripada anggota dari Cawangan Pencegahan Khas Angkatan Tentera Malaysia dan ketika operasi dijalankan ada juga beberapa pasangan yang enggan membuka pintu bilik dan memberikan kerjasama yang sepatutnya.

“Kebanyakan pasangan yang diperiksa memberikan pelbagai alasan untuk mengelakkan dicekup anggota penguatkuasa namun, tidak berhasil kerana gagal menunjukkan sijil pernikahan,” katanya kepada Sinar Harian.


Isteri orang antara ditahan

Dalam pada itu, serbuan yang dijalankan juga berjaya menahan seorang wanita yang merupakan isteri orang, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta dan bekas pelajar yang masih bujang serta seorang duda.

“Secara tidak langsung dengan adanya operasi ini mampu mengekang gejala maksiat dalam kalangan masyarakat.

“Mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Utara untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali. -SH


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan