Ahad, 4 Mei 2014

Makan luar perkara biasa dalam perkahwinan


Kuala Lumpur: “Isu makan luar perkara biasa dalam hubungan suami isteri. Ia boleh dikatakan lumrah dalam kehidupan ketika, lebih-lebih lagi apabila si suami tidak dapat apa yang diinginkan daripada isteri,” kata Pakar Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Dr Mariani Md Nor.

Mengulas paparan muka depan Harian Metro semalam bertajuk ‘Punca Suami Pokai’ dan sanggup menghabiskan ribuan ringgit melanggan pelacur, Dr Mariani berkata, sebilangan rakyat di negara ini mengalami masalah bersama isteri dan akhirnya mencari jalan penyelesaian segera dengan terbabit dalam aktiviti persundalan.

“Proses keharmonian dalam rumah tangga bukan mudah.

Namun apabila masalah ini terjadi, kita perlu melihat keadaan suami dan isteri itu.


Biasanya, suami ‘makan luar’ apabila keinginannya tidak dipenuhi.


“Masalah ini sering terjadi apabila usia sesuatu perkahwinan itu mencecah 10 tahun ke atas.

“Apabila tiba tempoh ini, hubungan suami isteri menjadi hambar.

Isteri mula menganggap perkara seperti berhias, memakai wangian dan menjaga kecantikan tidak penting, ditambah pula apabila mereka memiliki anak.

“Perkara ini membuatkan suami mula mencari layanan di luar kerana isteri hilang tarikan dan keistimewaannya.

Nasihat saya, baru atau lama usia perkahwinan itu, isteri perlu berperanan dan sentiasa menjaga kecantikan serta fizikal untuk suami supaya mereka tidak hilang minat terhadap isteri,” katanya.

Dr Mariani berkata, hubungan komunikasi dua hala juga perlu diterapkan dalam hubungan suami isteri supaya masalah yang terbuku di hati pasangan dapat diluahkan.

“Tanpa komunikasi dua hala yang baik, ini yang bakal terjadi.

Suami perlu menceritakan masalahnya dan harus menasihatkan isteri untuk berdandan atau bersiap buat mereka.

Isteri pula perlu terbuka dan memberi yang terbaik kepada suami.

“Bukan sekadar hubungan seks, malah layanan di meja makan atau hubungan ketika di luar rumah perlu dititikberatkan oleh isteri bagi menjamin suami tidak mencari wanita lain di luar,” katanya. -HM


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan