Putrajaya: Seorang bekas pegawai polis ditangkap khalwat dengan seorang anggota polis wanita berstatus isteri orang di perumahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, dekat sini, awal pagi semalam.
Lelaki berusia 38 tahun itu ditangkap suami wanita berkenaan yang pulang ke rumah jam 1.20 pagi.
Menurut sumber, suami wanita terbabit yang juga anggota dari IPD Subang Jaya, Selangor mengesyaki sesuatu apabila mendapati pintu rumah dikunci dari dalam dan sebaik masuk ke rumah dia mendapati ada bantal dan selimut terbentang di hadapan televisyen ruang tamu rumah.
“Suaminya mengesyaki sesuatu kerana isterinya yang berusia 33 tahun itu berada dalam keadaan kelam-kabut sebelum memeriksa bilik air, stor belakang, sebelum ke bilik depan dan mendapati tiga anaknya sedang tidur.
“Dia kemudian memeriksa bilik tengah rumah dan mendapati seorang lelaki sedang bersembunyi di tepi katil, sebelum isterinya memaklumkan lelaki itu kawannya,” katanya.
Menurutnya, suami wanita berkenaan kemudian membawa isterinya dan lelaki berkenaan ke Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi untuk tindakan lanjut kerana disyaki bersekedudukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu, dan kes diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tindakan selanjutnya.
“Lelaki berkenaan sudah dibebaskan dengan jaminan pihak polis selepas keterangannya diambil. Perkara ini akan dirujuk kepada JAIS untuk tindakan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, usaha Harian Metro mendapatkan ulasan daripada JAIS gagal apabila kakitangan di bahagian penguat kuasa enggan memberi kerjasama. -HM