Isnin, 1 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Nelydia, Qi Razali hadiri kursus kahwin

Posted: 30 Jun 2013 03:49 AM PDT


Nelydia Senrose dan Qi Razali
Nelydia Senrose dan Qi Razali
HUBUNGAN Nelydia Senrose dan Qi Razali bukan lagi satu rahsia dan keduanya mengakui merancang untuk membawa hubungan tersebut ke gerbang perkahwinan.

Bagaimanapun, timbul desas-desus yang mengatakan Nelydia dan Qi sudah menghadiri kursus perkahwinan setelah sekeping gambar menunjukkan Qi yang bersongkok dan Nelydia bertudung manis.

Menerusi akhbar tempatan, Nelydia tampil menjelaskan supaya tiada salah faham berlaku akibat gambar yang dimuat naik di Instagram itu.

"Gambar tersebut tiada kena mengena dengan kursus kahwin. Sebenarnya kami perlu berpakaian sopan ketika di undang untuk program Akustika Ramadan Raya TV3," jelasnya.

Siti rancang ambil anak angkat

Posted: 30 Jun 2013 03:47 AM PDT

Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza 
PENYANYI tersohor, Datuk Siti Nurhaliza mengakui berhasrat untuk mengambil anak angkat dari Gaza.

Namun, hasrat murni itu terhalang dek aturan di Gaza yang mana anak-anak tidak dibenarkan keluar dari bumi itu.

Berpeluang menemuinya di Majlis Minum Petang Amal, 'Rebuild For A Gaza Nation' anjuran Mapim dengan kerjasama Rabbani Production, semalam, penyanyi berusia 34 tahun ini berkongsi tentang perkara tersebut.

"Apa salahnya (ambil anak angkat dari Gaza), sekiranya boleh... tapi saya dimaklumkan awal-awal di mana mereka tidak membenarkan kanak-kanak keluar dari Gaza.

"Bagi mereka, jika kanak-kanak ini dibawa keluar oleh keluarga angkat, siapa lagi yang akan mempertahankan bumi mereka.

"Kalau ALLAH beri saya satu keajaiban... saya bawa balik bayi dari Gaza, memanglah saya nak jaga sangat tapi saya percaya, mereka sangat diperlukan di sana," katanya kepada pemberita.

Terdapat 18,000 kanak-kanak di Gaza yang kehilangan ibu bapa dan hanya 500 daripadanya menerima cukup biaya.

Setakat ini, seramai 200 kanak-kanak Gaza sudah mempunyai keluarga angkat dari Malaysia.

Difahamkan, keluarga angkat ini menaja kanak-kanak yatim piatu di bumi tersebut.

"Saya pernah diberitahu pihak Mapim di mana saya boleh menaja mana-mana anak-anak di bumi Gaza.

"Insya-ALLAH. Itu saya rasa, satu usaha yang boleh saya bantu. Saya harus berbincang dengan suami terlebih dahulu," katanya.

Dalam pada itu, Siti mengajak umat Islam di negara ini agar turut sama-sama membantu kanak-kanak tersebut.

"... bukan saya saja. Saya nak uar-uarkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia agar sama-sama turut membantu," katanya.

Sebelum itu, Siti sempat melahirkan sekali lagi hasratnya untuk menjejakkan kaki ke bumi Gaza jika diizinkan Tuhan.

"Keistimewaan dan keajaiban di sana, saya masih belum dapat rasai.

"Jika diizinkan suami dan ALLAH, pasti saya ingin ke bumi Gaza. Ramai rakan-rakan artis lain sudah menjejakkan kaki ke sana," katanya.

Pihak Mapim turut mengalu-alukan hasrat Siti untuk menaja anak-anak di Gaza.

"Memang pihak Mapim ada beritahu beliau bahawa mereka sangat keberatan jika anak-anak mereka dibawa keluar.

"Maka, kami sangat mengalu-alukan Datuk Siti untuk memikirkan pembiayaan untuk seorang atau dua kerana ini akan memberikan contoh kepada artis lain," kata Pengerusi Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Tambahnya, "kerana masa depan Gaza itu bergantung kepada kanak-kanak. 52 peratus populasi di Gaza adalah kanak-kanak. Jika tidak diselamatkan, Gaza tak ada masa depan."

Yana Samsudin disunting anak VVIP?

Posted: 30 Jun 2013 03:45 AM PDT


Yana Samsudin
Yana Samsudin
BERGELAR selebriti terkenal barangkali menjadi momen yang diidamkan.Apatah lagi sering mendapat perhatian apabila pergi ke mana sahaja dan juga peminat yang sentiasa setia di sisi.

Biarpun nampak manis luarannya, namun hakikatnya apabila bergelar seorang artis atau selebriti, mahu atau tidak, tiada lagi istilah kehidupan peribadi kerana semuanya akan menjadi perhatian.

Inilah yang harus dilalui aktres dan juga pengarah, Yana Samsudin yang terpaksa mengorbankan waktu peribadinya.

Tidak sekadar itu, ke mana sahaja dia pergi dan apa sahaja yang dibuatnya pasti menjadi perhatian, termasuklah kehadiran Yana ke sebuah majlis anjuran sebuah syarikat korporat di Shah Alam.

Semuanya gara-gara sekeping gambar Yana di sisi lelaki berkulit putih yang juga anak seorang tokoh korporat. Lebih menarik perhatian, apabila mereka berdua dikatakan sudah bertunang dan bakal menamatkan zaman bujang pada penghujung tahun ini.

"Pertama kali mengetahui gosip ini bertebaran, saya hanya ketawa dan bersangka baik dan mengatakan ini semua perhatian mereka yang mengambil berat mengenai saya.

"Mungkin juga mereka mahu mengetahui cerita terbaru mengenai saya dan tidak hanya cerita karier semata-mata dan ada juga sesetengah orang di sini sememangnya lebih gemar membaca cerita mengenai gossip," ujarnya tenang kepada Zass.

Bukan pertama kali dikaitkan dengan jejaka dalam hidupnya, Yana mengakui dia sudah lali apatah lagi pengalaman selama 10 tahun berada dalam industri seni banyak mematangkannya.

"Saya tidak mahu cepat melenting. Tapi dari sudut kurang baiknya pula, perkara sebegini boleh menimbulkan salah faham. Ia juga melibatkan maruah saya dan keluarga.

"Saya tak mahu ada yang berkecil hati dengan saya dan menganggap saya tidak mengundang pihak-pihak tertentu ke majlis pertunangan saya, walhal saya tidak pernah dirisik, jauh sekali bertunang," jelasnya.

Ditebak mengenai status dirinya, Yana berkata, "Seperti biasa, saya masih lagi single. Apabila tiba masanya, jika benar saya dirisik dan akan bertunang, saya pasti akan berkongsi khabar gembira ini kepada semua.

"Namun, buat masa ini saya harap peminat dan pihak lain bersabar dan janganlah buat spekulasi bukan-bukan mengenai diri saya," katanya.

Yana Super Cookish

Dalam pada itu, ditebak mengenai aktivitinya menjelang Ramadan ini, Yana berkata, dia kini mula sibuk dengan perniagaan biskut raya di bawah jenama Yana Super Cookish.

Katanya, biarpun ada yang merasakan dia jarang muncul di kaca televisyen, dia masih aktif dalam bidang lain.

"Resipi ini sememangnya dari saya dan apabila saya sibuk, pekerja saya yang akan buat biskut ini. Antara biskut yang saya jual adalah Choco Kak Yong, Super Star Berry, Hazel Ball dan lima lagi seleksi pilihan," katanya.

Yana berkata, buat masa ini dia sudah merancang untuk membuka sebuah booth di USJ 1, Subang Jaya ketika Ramadan ini, namun segalanya masih dalam perancangan.

"Kalau ikut perancangan memang di situlah, tapi saya takut ada perubahan. Selain booth, saya juga turut melantik ejen di seluruh Malaysia untuk menjual biskut saya dan sesiapa yang berminat boleh mendapatkan melalui agen saya termasuk di Singapura dan Brunei.

"Saya juga bersyukur kerana belum pun puasa, sudah ada tempahan yang dibuat dan ia adalah perniagaan yang saya sudah mulakan sejak tahun lalu," katanya.

Tahun bonus

Dalam pada itu, Yana sempat berkongsi kegembiraannya apabila mengukir kemenangan berganda di Anugerah Blockbuster selepas memenangi trofi Heroin terhebat dan trofi Pelakon Wanita Filem Popular di Anugerah Bintang Popular baru-baru ini.

"Alhamdulillah, bagi saya ini adalah tahun bonus buat saya kerana ALLAH SWT mengurniakan rezeki dengan trofi kemenangan itu kepada saya.

"Sejak mula berkecimpung dalam bidang seni, saya memang tidak pernah target untuk menang sebarang anugerah. Tapi kerana ia sudah tertulis dan saya bersyukur.

"Saya anggap segala kemenangan saya sebelum ini adalah pendorong buat saya bekerja dengan lebih keras dan kuat kerana bukan selamanya kita sentiasa berada di atas," katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Abang Long vs Kak Long dan Malaikat Di Pintu yang ditayang di TV3, Ramadan dan Syawal ini.

Alyah terima Ramli walaupun garang

Posted: 30 Jun 2013 03:41 AM PDT



PENGHIJRAHAN imej menjadikan Alyah seorang wanita yang lebih matang berbanding sebelum ini.


HIJRAH penampilan penyanyi Noor Hasliah Abu Hasan atau nama komersialnya Alyah pantas mencetuskan gosip bahawa wanita berumur 32 tahun itu akan menamatkan zaman solonya pada bila-bila masa.
Dia yang ditemui usai rakaman program raya Dikir Stail bertempat di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini semakin menguatkan gosip berkenaan apabila berterusan menyatakan dia sudah terlajak sasaran bergelar isteri selama enam tahun.
"Saya sudah bersedia untuk berkahwin sejak berumur 26 tahun lagi tetapi pertunangan terputus di tengah jalan.
"Saya ini memang keturunan India, tetapi takkan saya nak amalkan resam Hindu untuk meminang lelaki. Jadi, sebagai gadis Islam saya hanya menunggu orang masuk meminang sahajalah," katanya.
Dia turut mengaku sedang mengenali hati budi dan dalam proses berkawan lagi dengan seorang lelaki. Namun apabila ditanya adakah lelaki itu Datuk Ramli MS, dia hanya tergelak kecil.
"Sekarang saya ikut sahaja perjalanan hidup ini, tidak berharap sangat, cuma mendoakan yang terbaik."
"Saya masih orang yang sama walaupun sudah berhijab cuma saya berubah untuk menjadi manusia yang lebih baik dan saya masih belajar dari sehari ke sehari," ujarnya lagi.

KARAKTER garang dan tegas yang dimiliki oleh Ramli MS disenangi Alyah.


Sifat yang dimiliki oleh Ramli MS yang tegas dan garang seperti arwah bapanya menyebabkan dia lebih mudah menerima lelaki seperti itu.
"Arwah bapa saya paling garang di dunia, semasa kecil, saya takut sangat dan sifat itu (garang) ada pada Ramli MS. Jadi saya senang dan tidak menyifatkannya susah buat saya," ujarnya sambil tersenyum.
Mengenai persengketaan yang berlaku antara dia dan pereka baju terkenal, Hatta Dolmat menerusi Twitter sejak tahun lalu berhubung isu pakaian, Alyah menyatakan bahawa perkara tersebut telah selesai walaupun dia tidak pernah bertemu dengannya.
"Secara peribadi, saya terima semuanya secara terbuka dan tidak berdendam walaupun kami tidak pernah berjumpa. Saya malas nak panjangkan cerita lagi," katanya.
Sebelum ini Hatta menyatakan kekecewaannya kerana Alyah menempah empat pasang baju daripada pereka yang dikenalinya untuk sebuah majlis tetapi tidak memakainya.
Namun, Alyah meminta maaf kepada Hatta kerana dia tidak memakai baju rekaannya akibat masalah zip.
Jelas Alyah, demi untuk meredakan gosip sedia ada, dia bersedia untuk menutup akaun Instagramnya dengan alasan tidak mahu terlalu leka dengan laman sosial.
Dia juga mengaku sibuk untuk menyiapkan album terbaharunya yang masih mengekalkan konsep pop cuma perbezaanya adalah dari segi penampilannya dalam album berkenaan.
"Bukan saya tidak hargai peminat. Saya sedar semua kejayaan saya datangnya daripada sokongan peminat, tetapi saya ini jenis yang cepat leka," kata Alyah.

Gelombang kedua Maya Karin

Posted: 30 Jun 2013 03:40 AM PDT




GERAK hati menjadi kata kunci Maya Karin sama ada dalam karier mahupun kehidupan peribadinya. Maya percaya sebagai selebriti dia tidak mahu sekadar bergelar pelakon tetapi turut menjulang nama selaku pengacara, duta produk dan aktivis alam sekitar. Kehidupan yang sibuk itu memerlukan Maya memiliki pasukan pengurusan yang profesional, efisien dan matang untuk memastikan kelancaran kerja serta mengatur perancangan masa depannya.
Tanpa perlu tunduk pada kelemahan, Maya mengaku adalah mustahil untuk dia menguruskan kariernya bersendirian tanpa bantuan jauhari yang pakar.
"Saya takut akan menimbulkan masalah kemudian hari. Takut kacau-bilau jadinya nanti. Macam saya, sekiranya berada di lokasi pastinya sukar untuk berurusan dengan media atau pihak lain yang mahukan komitmen daripada saya.
"Kalau tidak menjawab panggilan, nanti macam-macam akan timbul. Jadi, saya memang perlukan pihak pengurusan untuk berbincang dan menyelesaikan apa yang patut untuk pihak saya.
"Saya tidak boleh menguruskan semua benda bersendirian. Pening jadinya. Saya percaya artis merupakan produk untuk dijual dan seseorang artis itu harus fokus pada kerja seni," katanya.
Berbunyi profesional dan dalam bahasa yang lebih konkrit, Maya adalah seorang artis yang bijak menggunakan peluang dan ruang.
Maya faham tahap kemampuannya dan pada waktu yang sama, dia percaya artis juga harus diiringi seorang pengurus.
"Rugilah kalau ada artis yang tidak mahukan pihak pengurusan. Pengurus itu pula bukan untuk jawab panggilan telefon sahaja, saya perlukan pengurus yang matang dan boleh melancarkan keperluan serta merangka perancangan untuk masa depan, ada visi dan membangun bersama-sama, ke mana arah saya dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Macam dia ada produk untuk dipasarkan," akui Maya, 34, mengenai lonjakan yang dilaluinya.
"Jika semua mahu buat sendiri, tidak mahu berkongsi peratusan dengan pihak pengurusan, kelak akan merugikan diri sendiri juga," tambahnya.
Setelah meninggalkan pengurusan artis di bawah bumbung Satu Entertainment, jelitawan Ombak Rindu itu kini menjadi anak naungan label Warner Music sebagai artis rakaman yang turut menguruskan perjalanan karier wanita itu bagi tempoh lima tahun.
Percaya pada gerak hati, naluri membenarkan Maya Karin untuk berasa selesa dengan pilihan-pilihan yang telah dan sedang dilakarinya.
"Sehingga tiga bulan pertama ini, saya cukup selesa. Selesai pelancaran single, saya boleh pergi bercuti. Sekarang, saya kena kurung seketika oleh pihak Warner, banyak perkara hendak diuruskan, publisiti dan rakaman album.


"Ikut perancangan, rakaman akan selesai sebelum puasa dan album dilancarkan selepas hari raya.
"Jadi, sepanjang bulan puasa, saya boleh rehat. Kemungkinan akan ke London untuk menemani adik saya di sana. Hari raya nanti pun belum pasti.
"Mungkin pulang atau memujuk ibu agar berkumpul anak-beranak di London sahaja," beritahu Maya sambil menghitung agendanya sepanjang bulan puasa dan musim perayaan nanti.
Senang dan mudah sahaja jurnal hidupnya, penjulang variasi anugerah termasuklah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-25, pelakon ini berpegang kepada prinsip yang sama berhubung soal hati serta perasaan, terutamanya tentang cinta.
Seperti yang pernah diujarkan sebelum ini, Maya kembali menguak jendela proses untuk mengenali hati budi seseorang.
Namun, tidak pula dia tergesa-gesa untuk mencari perhubungan yang serius.
Bercakap soal teman hidup, Maya mahukan lelaki yang berdikari, cerdik, menghormati orang lain dan gemarkan aktiviti lasak seperti dirinya.
Kegagalan perkahwinan pertamanya bersama seorang lelaki Itali beberapa tahun dahulu mungkin mengganggu keselesaan Maya untuk bercerita lebih lanjut. Selebihnya dia berserah kepada Tuhan .
Nyanyian
Bintang Syurga sudah pun dilancarkan. Single pertama itu menyempurnakan impian Maya untuk kembali menyanyi. Kali terakhir dia merakamkan album adalah sembilan tahun lalu. Penghasilan single dan seterusnya album studio yang sedang dibikin itu menjadikan Erti Cinta dan Bukan Qalamaya bukannya noktah terakhir buat Maya cuba membuktikan keseriusannya untuk bergelar penyanyi.
"Sekitar tahun 2001 hingga 2003, bahasa Melayu saya sendiri tak berapa bagus sangat. Saya sedar tahap nyanyian saya tidak setanding dengan karier lakonan tetapi saya suka dan tetap mahu menyanyi. Ia sesuatu yang menyeronokkan.
MAYA kini berpeluang menumpukan kariernya dalam bidang muzik dengan menjadi artis rakaman selama lima tahun di bawah label Warner Music.


"Namun, saya juga tidak mahu bercakap besar. Biar pendengar dan peminat yang menentukan. Saya cuma sangat puas hati dengan konsep lagu dan album sekarang. Lebih matang, berbentuk pop dan ceria," katanya yang selesa bekerja dengan Omar K dan Audy Mok.
Menyifatkan Omar K sebagai komposer dan penulis lirik yang mempunyai banyak sisi, Maya juga yakin komposer itu sendiri mempunyai masa depan yang bersinar-sinar. Dia mahu dilihat mempunyai penampilan dan vokal yang lebih matang.
Maya mengharapkan album terbaharu hasil gabungan Audy dan Omar K itu mampu membawanya ke tahap lebih cemerlang di persada seni suara.
"Saya sudah lancarkan single Bintang Syurga tapi baru-baru ini, ketika kami sedang borak-borak di studio, Omar tiba-tiba bercerita tentang sebuah lagu yang telah lama ditulis. Kami cuba-cuba sahaja untuk jamming dengan lagu berkenaan, secara tidak langsung ia semacam menjadi dan sedap didengari.
"Kami rakamkan lagu itu. Pihak Warner bersetuju lagu itu dimasukkan ke dalam album saya," cerita Maya yang berbaki sekitar tujuh buah lagu lagi untuk dirakamkan dalam masa terdekat.
Benam aura puntianak
Masih berlegar-legar tentang karier, berselang-seli antara nyanyian dan lakonan, Maya turut meletakkan Ombak Rindu sebagai gelombang kedua yang melonjakkan momentum kembara seninya.
"Rasanya selepas watak Izzah, orang mula boleh singkirkan wajah puntianak yang melekat pada diri saya. Saya kira itu juga sesuatu yang baik. Sesuatu yang baharu untuk saya.
"Setakat ini masih ada beberapa judul filem lakonan saya yang belum ditayangkan. Antaranya Lagenda Budak Setan 3, Jwanita, Sejoli dan Nota, semua itu menampilkan kelainan watak yang ketara.
"Namun untuk tahun ini, rasanya tidak ada filem-filem itu yang akan memasuki pawagam, mungkin tahun depan. Jadi, itu peluang untuk saya fokus pada muzik.
"Barangkali Tuhan sudah putuskan yang terbaik buat saya. Selama ini, saya berusaha untuk muncul dengan single. Sebenarnya sudah ada dua single yang telah dilancarkan tapi tak juga menjadi," lentur Maya yang memilih sendiri konsep busana tradisi untuk tatapan peminat kali ini.

Cinta Elfira, Baim sekadar gurauan

Posted: 30 Jun 2013 03:39 AM PDT


ELFIRA LOY


KEREMAJAAN serta kelopaknya yang mekar berkembang semakin mempesonakan. Pelakon genit Elfira Loy ini pantas sahaja menawan perhatian. Ketika sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Demi Dia, tiba-tiba namanya terpanas dengan kisah cinta bersama aktor dari seberang, Baim Wong.
Semua itu gara-gara pengakuan Baim tentang cinta mereka menerusi rancangan MeleTOP yang disiarkan secara langsung di Astro Ria pada Selasa lalu.
Elfira, 19, manakala Baim Wong, 32, kali pertama dipertemukan dalam sebuah drama berjudul Untuk Terakhir Kali pada tahun lepas. Walaupun mereka dipertemukan di lokasi itu, Elfira dan Baim sebenarnya telah mengenali antara satu sama lain sejak tahun 2011 iaitu ketika Elfira berusia 17 tahun.
Mendapatkan sendiri kepastian daripada Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2011, Elfira ternyata seorang gadis yang suka berterus-terang. Sedikit berbeza berbanding apa yang tersiar dalam akhbar dan blog hiburan pada Khamis lalu, Elfira memberitahu Sensasi Bintang:
"Sebenarnya, saya tidak tahu bagaimana hendak komen tentang perkara itu. Saya memang berkawan baik dengan Baim. Saya terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja termasuklah Baim. Dengan Baim, saya okey tetapi. selama berkawan sejak dua tahun lepas, hubungan dan perbualan kami tidak ke arah kekasih atau saling mengucapkan cinta serta sayang.
"Apabila Baim tiba-tiba membuat pengakuan depan khayalak, lebih-lebih lagi dalam program TV yang disiarkan secara langsung, saya jadi tergamam, terkejut dan tidak lena tidur semalaman. Kalau betul apa yang dikatakan oleh Baim itu, saya sebenarnya okey," ulas Elfira berbunyi jujur.
BAIM menjelaskan dia tidak mempunyai hubungan istimewa dengan Elfira.


"Saya agak pelik tetapi mengambilnya secara positif. Dengan saya, dia (Baim) tak pernah pula cakap sayang-sayang tetapi dia bercakap konon-kononnya kami bercinta depan khalayak umum. Saya berasa itu merupakan satu penghargaan," jelas Elfira yang bersifat terbuka.
Tambah Elfira: "Namun mengenali Baim yang suka berjenaka dan selepas program berkenaan, dia tidak pula menjelaskan apa-apa terhadap saya. Jadi, saya anggap itu hanya gurauan sahaja. Kami juga ada sesi fotografi bersama sebuah majalah sebelum Baim berangkat pulang."
Bercerita tentang perkenalannya dengan pelakon yang terkenal menerusi sinetron Benci Bilang Cinta dan Sejuta Cinta Marshanda itu, pelakon yang baru selesai penggambaran filem pertamanya, Rentap itu menjelaskan bahawa dia mengikuti perkembangan Baim menerusi laman sosial Path sejak tahun 2011 lagi.
"Saya meminati Baim. Saya menjadi pengikutnya dengan harapan dia juga menjadi pengikut saya di laman sosial berkenaan. Dari situlah kami mula berhubungan," kata Elfira yang pernah juga digosipkan bercinta dengan seorang lagi aktor dari seberang, Randy Pangalela.
Mendakwa dirinya tidak pernah mempunyai pengalaman bercinta, penuntut Kolej Damansara Utama itu memberitahu, dia tidak pernah meletakkan faktor usia sebagai sekatan untuk terlibat dalam soal cinta biarpun umur masih remaja.
Seperti yang dijangka oleh Elfira sendiri, Baim yang dihubungi dari lokasi fotografi bersama sebuah majalah di Bangi, Selangor pada Khamis lalu sempat meluangkan masa untuk ditemubual.
"Saya hanya bercanda tentang hal itu. Antara saya dan Elfira memang tidak ada hubungan istimewa, cuma teman biasa. Usah fikir keterlaluan," ujar Baim atau nama sebenarnya Muhammad Ibrahim itu kepada Sensasi Bintang.
Masih solo dan belum berpunya, tambah Baim, fokusnya kini tertumpu tentang kariernya.
"Persoalan jodoh itu belum hadir. Jadi, tumpuan saya lebih pada karier. Ketika ini, saya akan kembali sibuk dengan penggambaran sebuah sinetron berjudul Tasmina," katanya yang berangkat pulang ke Jakarta pada Jumaat lalu.

Aksi lucu Jet Li

Posted: 30 Jun 2013 03:36 AM PDT



JET LI dikatakan membawa karakter yang berbeza untuk filem ini.



TIDAK sah filem kung fu tanpa kelibat Jet Li. Malah lelaki berumur 50 tahun itu sudah terlibat dengan lebih 43 buah filem yang kebanyakannya genre aksi. Bukan itu sahaja, Li yang sebelum ini muncul dalam filem The Flying Sword of Dragon Gate dan The Sorcerer and the White Snake, diberikan peranan polis yang mempamerkan ketangkasannya berkung fu.
Filem itu merupakan filem keempat gabungan Li dengan aktor, Wen Zhang. Zhang baharu sahaja muncul dalam Journey to the West yang diarahkan oleh Stephen Chow. Sebelum ini, mereka pernah terlibat dalam filem The Sorcerer and the White Snake yang menyaksikan Li memainkan peranan guru dan Zhang memainkan peranan sebagai pengikutnya.
Chui Po Chun, penerbit untuk filem Badges of Fury mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam penerbitan filem termasuk filem seperti siri Once Upon a Time in China, Crouching Tiger Hidden Dragon dan Tai Chi Master.
Filem ini turut dibintangi para pelakon Hong Kong yang terkenal serta veteran seperti Raymond Lam, Michael Tse, Kevin Cheng, Leung KaYan, Stephen Fung, Alex Fong Lik Sun, Stephy Tang Lai Yan dan Josie Ho Chiu Yi.

ANTARA babak lucu yang akan memikat hati penonton.


Pakar kung fu seperti Wu Jing, Colin Chau dan Leung Siu juga membuat penampilan khas dan bakal membuatkan khalayak teruja dengan kemunculan mereka.
Filem aksi tidak akan sempurna tanpa bimbingan pakar koreografer aksi. Filem Badges of Fury ini dibimbing oleh Corey Yuen, seorang pakar koreografer aksi yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dengan pelbagai filem Hong Kong serta Amerika seperti The New Legend of Shaolin, The Expendables, X-Men dan The Transporter.
Dalam satu temu ramah yang diadakan di Beijing, China untuk promosi filem yang telah mula ditayangkan pada 27 Jun lalu, Li memberitahu bahawa dia sebenarnya teringinkan watak jahat yang dibawakan oleh Chau.
"Saya tidak tahu kenapa Zhang boleh menyukai tiga orang gadis dalam filem ini manakala saya hanya duduk di sebelah dan bercakap perkara-perkara yang menyakitkan hati," ujar Li dalam nada lucu dengan menambah dia agak iri hati dengan Zhang yang memonopoli perhatian gadis-gadis dalam filem ini.

LI (kiri) bergandingan dengan pelakon Zhang untuk filem Badges of Fury.


Buat Michelle Chen yang merupakan bunga dalam filem ini, dia mengaku berhadapan banyak cabaran kerana tidak pernah terlibat dengan filem aksi komedi.
"Saya terlalu baru untuk genre komedi, jadi rentaknya merupakan sesuatu yang sangat saya titik beratkan. Namun, bekerja dengan Li sangat menyeronokkan. Saya sangat terkejut melihat dia sebenarnya boleh menjadi nakal. Dia akan berjenaka dan membuat kami semua ketawa pada setiap hari. Dia berusaha untuk membuatkan semua yang terlibat berada dalam mood yang menyenangkan kerana kami berada dalam filem bergenre komedi," kata Chen.

Jual kek atas lori

Posted: 30 Jun 2013 03:33 AM PDT




TIDAK sukar mencari kelibat wagon merah jambu yang diparkir di celah-celah bangunan Jabatan Audit Negara yang terletak bersebelahan Istana Kehakiman di Presint 2, Putrajaya ini.
Warnanya cukup terang. Ditambah pula dengan dekorasi hiasan pelekat maskot kartun berbentuk kek cawan jenama Cookies Wagon, ia sudah cukup untuk membangkitkan aura ceria yang seakan-akan menggamit sesiapa sahaja untuk mendekatinya.
Wagon itu ternyata mampu menarik minat ramai pelanggan untuk datang bertandang, apatah lagi selepas melihat barisan kek cawan pelbagai warna dan perisa.
Menampilkan konsep perniagaan baharu dengan pendekatan mesra pelanggan, usaha pasangan suami isteri ini untuk menjadikan Cookies Wagon sebagai kedai bakeri bergerak yang pertama di Malaysia mula membuahkan hasil.
"Saya memang meminati bidang perniagaan makanan sejak di bangku sekolah lagi. Malah, jika ada waktu lapang, saya akan menghasilkan sendiri biskut dan menjualnya kepada rakan-rakan di sekolah.
"Minat itu bagaimanapun terpaksa dilupakan seketika apabila saya menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
"Selepas menamatkan pengajian ijazah di UiTM, saya bekerja dalam bidang pengurusan korporat manakala suami merupakan seorang jurutera kimia.
"Walaupun seronok dengan cabaran dan kerjaya pada waktu itu, ia tidak memberi kepuasan pada diri saya. Sejak itu, saya mula merancang untuk memiliki perniagaan sendiri. Alhamdulillah, berkat doa, usaha dan sokongan penuh daripada suami dan keluarga, maka lahirlah Cookies Wagon yang menjadi teduhan rezeki buat kami," ujar pemilik dan pengasas Cookies Wagon, Fatimah Husna Razali yang berusia 26 tahun.
Tepung segera
Tanggal Ogos 2011, wagon merah jambu yang menjadi impiannya itu mula menjengah pasaran tempatan.
Sebagai cara untuk menampilkan suatu kelainan, Fatimah memperkenalkan perniagaan dengan konsep mesra pelanggan khususnya daripada kalangan kanak-kanak, keluarga serta belia urban.
"Seperti van bergerak yang biasanya menjual makanan dan minuman, belum ada lagi van yang menjual produk bakeri. Sejak itu, tercetusnya idea untuk membuat bakeri bergerak yang pertama di negara ini.
"Selain lebih mudah mendekati pelanggan, perniagaan ini juga lebih fleksibel dan pelanggan boleh berhubung dengan kami berpandukan Facebook, Twitter dan laman web untuk mengetahui lokasi lori kami.



"Operasi bakeri bergerak ini juga sangat mudah. Kek cawan kami dibakar segar pada setiap hari dengan menggunakan tepung segera yang diadun khusus menggunakan resipi tersendiri di dapur khas yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.
"Kek yang sudah siap dimasak akan dibawa menggunakan wagon ke tapak perniagaan. Di situ, barulah kami menghiasnya dengan kemasan gula aising sebelum kami memulakan perniagaan.
"Sekiranya ada tempahan di luar kawasan barulah kek cawan itu dibakar di atas lori dengan menggunakan ketuhar," ujar Fatimah yang mengambil masa selama tiga bulan untuk menghadiri bengkel masakan dan rundingan perniagaan sebelum Cookies Wagon beroperasi.
Tidak hanya Fatimah, suaminya, Muhammad Azmi Azi, 26, turut bersama-sama melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Saya akui, isteri saya pandai membuat kek cawan di rumah. Namun, banyak aspek yang perlu diambil kira terutamanya berkaitan dengan kualiti apabila kita ingin berniaga.
"Memandangkan kami berniaga di luar bangunan dan terdedah kepada cuaca panas, kami perlu mengetahui bagaimana untuk mengekalkan kualiti kek cawan supaya rasanya segar seperti baru dibakar selain lembut, tidak kering serta gula aisingnya tidak cair.
"Jadi, kami ke Institut Teknologi Inovasi untuk belajar membuat biskut dan kek cawan daripada cef di sana. Kami turut menghasilkan tepung segera yang diadun khas menggunakan resipi asal untuk memudahkan kek cawan itu dimasak dan menyeragamkan rasanya, memandangkan kami bercadang membuka cawangan di lokasi berbeza.
Buang kek
"Tepung tersebut hanya perlu ditambah air dan telur untuk mendapatkan rasa kek cawan yang sama.
"Tepung itu turut dijual bagi memberi peluang kepada pelanggan merasai keenakan kek cawan Cookies Wagon di rumah sendiri dengan cara yang lebih mudah," jelas Muhammad Azmi.
Memiliki 10 orang pekerja, tiga buah lori yang beroperasi di Melaka, Seri Kembangan dan Putrajaya serta sebuah kios jualan yang terletak di Presint 2, Putrajaya, Fatimah menarik nafas lega apabila melihatkan sambutan menggalakkan yang diterimanya.
"Respons daripada pelanggan sangat menggalakkan. Kami bersyukur kerana konsep perniagaan bergerak itu diterima masyarakat dan mula menjadi trend," kata ibu kepada seorang anak ini.

LEBIH kurang 300 kek cawan dijual pada setiap hari.


Fatimah dan suaminya menawarkan pelbagai perisa kek cawan antaranya cip coklat asli bersama walnut, cip coklat bersama oat, oreo dan coklat gelap.
Dalam pada itu, Cookies Wagon menggunakan bijian kopi Arabica bermutu tinggi untuk menghasilkan minuman ice blended premium.
Malah, Fatimah turut mendapatkan bimbingan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memilih bijian kopi bermutu tinggi untuk menghasilkan ice blended premium seperti yang dijual oleh rangkaian kafe kopi mewah namun boleh didapati pada harga yang lebih murah kios Cookies Wagon.
"Untuk rangkaian kek cawan, pada setiap hari kami akan menjual perisa yang berbeza. Namun, perisa royal red velvet dan oreo dijual setiap hari memandangkan ia produk yang paling laris dan diminati ramai.
"Bagi ice blended pula, ramai yang menggemari gabungan perisa oreo bersama coklat serta caramelo," ujar Fatimah yang turut bekerjasama dengan kumpulan profesional dari Universiti Putra Malaysia bagi menghasilkan aising vanila yang dicampur dengan buah burberi yang mampu menjadi agen antikanser.
Selain menggunakan wagon berwarna ceria untuk menarik perhatian golongan muda serta keluarga, pasangan suami isteri ini turut menjual produk mereka pada harga yang berpatutan.
Francais
"Kami menjual setiap satu kek cawan pada harga RM2.80 dan ice blended bermula daripada RM5. Ia bukan sahaja mampu dibeli tetapi berkualiti, bersih dan segar kerana setiap hari kami akan membakar kek cawan yang baharu.
"Polisi kami, tiada kek cawan yang akan dijual sebanyak dua kali. Jika jualan pada hari tersebut tidak habis, bakinya kami akan berikan kepada jiran ataupun dibuang," katanya yang berminat untuk mencuba pelbagai resipi keluarga selain mendalami buku-buku masakan yang dibeli oleh ibunya sejak kecil.
Turut bercita-cita untuk membuka kedai bakeri sendiri, Fatimah kini sedang mengumpulkan seberapa banyak pengalaman dan ilmu perniagaan memandangkan ia memerlukan komiten dan modal yang tinggi.
"Impian itu ada. Namun, saya lebih selesa berniaga begini, lagipun anak masil kecil. Saya mahu orang mengenali jenama Cookies Wagon sebelum membuka cawangan kedai bakeri. Kalau boleh, saya mahu lori merah jambu ini ada di setiap negeri," katanya yang menjemput orang ramai yang berminat untuk turut serta dalam perniagaan francais Cookies Wagon.

Rosnani bekerja dari rumah demi anak

Posted: 30 Jun 2013 03:32 AM PDT



MELANGKAH masuk ke pekarangan rumah milik seorang kontraktor wanita dan pereka hiasan dalaman, Rosnani Mohamad, 53, kru Jurnal kagum dengan hiasan serta dekorasi yang diketengahkan bagi memberi inspirasi kepada para pelanggannya.
Menjadi pereka hiasan dalaman selama 26 tahun, Rosnani tidak menyangka kerjaya yang pada mulanya dilakukan secara sambilan kini menjadi sumber pendapatannya apabila dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat perkapalan pada tahun 2002.
"Sebenarnya, saya tiada langsung latar belakang dalam bidang hiasan dalaman. Namun, saya meminati bidang tersebut," katanya.
Rosnani berkata, dia menceburi bidang itu juga secara tidak sengaja apabila dia memerlukan perbelanjaan kerana suaminya, Muhammad Nor Katim, 56, jatuh sakit.
"Sejak itu, saya mula tercari-cari kerja apa yang saya boleh lakukan bagi menambah pendapatan," katanya.
Wanita itu memberitahu, dia kemudian mendapati dirinya mewarisi kemahiran menjahit daripada ibunya.
"Buat permulaan, saya mengambil upah menjahit langsir dan lama-kelamaan saya cuba pula menjual kertas dinding dan perabot bagi menambah pendapatan kami sekeluarga.
"Saya mengambil inisiatif dengan mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang hiasan dalaman untuk menambah pengetahuan saya dalam bidang itu selain mendalami ilmu berkaitan pembuatan perabot," ujar ibu kepada empat orang anak ini.
Tambahnya, dia juga pernah membuat hiasan dalaman di rumah rakan-rakannya secara percuma ketika mula-mula menceburi bidang hiasan dalaman.
Secara tidak langsung, kata Rosnani, ia merupakan promosi buat dirinya sendiri kerana rakan-rakannya itu mula menyukai konsep hiasan yang dibawanya.
"Untuk mengetahui sesuatu material itu cantik atau tidak, saya akan mengaplikasikannya di rumah saya terlebih dahulu sebelum memberi cadangan kepada para pelanggan.
"Saya sudah banyak kali menukar kertas dinding di rumah ini.
Ketelitian
"Saya turut mengambil kursus untuk menjadi kontraktor bagi mendalami ilmu berkaitan pembuatan rumah yang bermula dari A hingga Z kerana saya sememangnya tiada pengetahuan mengenai bidang yang diceburi itu tetapi saya berusaha untuk mempelajarinya.
"Saya sendiri tidak menyangka akan serius dalam bidang ini kerana bagi saya, apabila bercakap tentang perniagaan yang hendak dijalankan, ia mestilah mempunyai kaitan dengan hobi dan minat seseorang.
"Jika perniagaan yang dijalankan itu sudah menjadi minat kita, segalanya-galanya tidak mustahil. Saya pernah cuba untuk menjadi mak andam tetapi saya mendapati, jiwa saya bukan ke arah itu walaupun saya boleh menyolek dengan baik," jelasnya yang pernah membuka spa tetapi menjualnya kepada rakan disebabkan kekangan masa.
Menurutnya, bidang hiasan dalaman merupakan sesuatu yang baharu di Malaysia dan ia boleh dikatakan sinonim dengan golongan atasan disebabkan kosnya yang mahal tetapi golongan pertengahan juga sebenarnya boleh mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman mengikut bajet mereka.

ROSNANI akan memastikan dia terlibat sepenuhnya dalam projek pembinaan kendalian syarikatnya.


"Selalunya, bidang ini lebih menjadi tumpuan golongan atasan dan bagi saya, jika kena pada bajetnya dan apa yang dimahukan pelanggan, tidak mustahil golongan pertengahan juga boleh mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman.
"Menceburi bidang ini memerlukan saya menjadi seorang yang sangat teliti kerana jika terdapat kesalahan, hasilnya pasti tidak memuaskan hati saya dan pelanggan selain menimbulkan banyak masalah pada kemudian hari.
"Selain itu, sukar untuk mencari satu konsep yang spesifik dan sesuai serta menepati cita rasa pelanggan. Saya akan memastikan konsep yang diberi kepada pelanggan mestilah sesuatu yang praktikal dan ia juga boleh digabungkan dengan perabot lama milik mereka," tambahnya yang akan memastikan semua projeknya mengikut bajet pelanggan.
Ujarnya, pelbagai pengalaman serta bermacam-macam kerenah pelanggan yang terpaksa dilaluinya.
Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya demi mencari sesuap nasi untuk keluarganya.
"Agak sukar juga memenuhi permintaan para pelanggan kerana pasti terdapat percanggahan pendapat dan saya perlu menyatukan semua pendapat yang diterima itu untuk memperoleh hasil yang memuaskan.
"Saya juga pernah ditipu apabila disuruh melakar reka bentuk terlebih dahulu tetapi setelah lukisan itu diberi kepada pelanggan, dia bertindak mendapatkan khidmat daripada pereka hiasan dalaman yang lain dengan menggunakan idea saya itu.
"Bayangkan perasaan saya ketika itu kerana untuk mendapat idea bagi sesuatu konsep itu bukannya kerja yang mudah sehinggakan saya tidak tidur malam bagi menyiapkan lakaran tersebut tetapi akhirnya mereka senang-senang sahaja mengupah pereka lain dan menggunakan idea saya itu," ujarnya yang bercita-cita mahu membuka sebuah syarikat pembinaan.
Wanita itu berkata, semasa dia mula menjadi kontraktor, ramai orang yang tidak percaya dengan kemampuannya untuk mengendalikan sesuatu projek.
Berfikiran positif
"Semua itu menjadi cabaran kepada saya termasuklah membina perhubungan dengan pihak pembekal. Namun, selepas melihat hasil kerja saya, mereka mulai percaya kemampuan seorang wanita untuk mengendalikan projek pembinaan dan secara keseluruhannya, masa selama satu tahun setengah diperlukan untuk menyiapkan satu projek pembinaan.
"Saya akan sentiasa memantau sesuatu projek pembinaan kendalian saya dari A hingga Z bermula dari tanah kosong sehinggalah ia menjadi sebuah rumah dan saya tidak boleh lepas tangan kerana semuanya memerlukan ketelitian yang tinggi.
"Dahulu saya menyewa sebuah pejabat untuk memudahkan urusan. Namun, disebabkan kerja itu memerlukan saya sentiasa berada di lokasi pembinaan, saya membuat keputusan untuk hanya beroperasi dari rumah sahaja," katanya yang mempunyai tujuh orang pekerja tetap.
Menurut Rosnani, keadaan itu berlaku kerana selain dapat menjimatkan kos ia lebih fleksibel sekali gus menyebabkannya mempunyai lebih masa bersama keluarga.
Dia berkata, pelbagai cabaran terpaksa dilaluinya kerana jarang sekali kaum wanita menjadi kontraktor.
"Saya percaya rezeki masing-masing walaupun terpaksa bersaing dengan bangsa lain yang sememangnya pakar dalam bidang ini. Bagi saya, jika orang lain boleh lakukan, tidak mustahil saya boleh melakukannya," jelasnya.
Ketika ditanya mengenai pengalaman pahit dan manis dalam hidupnya, Rosnani memberitahu, kenangan pahitnya ialah apabila satu-satunya anak lelakinya, Aizat Naim, 21, sakit sejak 13 tahun.
"Ketika dia berumur lapan tahun, dia disahkan menghidap demam panas dan sejak itu, dia hanya terlantar di katil kerana tidak boleh berdiri serta bercakap. Dia hanya sempat bersekolah sehingga darjah dua namun saya berfikiran positif selain berharap dia akan sembuh.
"Hati ibu mana yang tidak sedih apabila melihat remaja sebayanya melalui zaman persekolahan, universiti dan seterusnya mendirikan rumah tangga. Namun, saya menganggap ia merupakan ujian kepada saya," ujarnya.
Menurutnya, saat-saat manis yang dirasainya sebagai ibu adalah apabila dia berpeluang membawa anaknya itu mengerjakan haji dan umrah.
"Dia hanya tersenyum ketika memandang Kaabah ketika kami membawanya mengerjakan umrah dan saya bersyukur kerana perjalanannya dipermudahkan sebagai tetamu Allah SWT. Dia juga tidak banyak meragam sepanjang berada di sana," jelasnya.
Menurutnya, pelanggan merupakan kekuatan utama bagi kemajuan perniagaan.
"Saya akan memastikan para pelanggan saya memperoleh apa jua mereka inginkan selain berpuas hati dengan mutu kerja saya kerana ada di antaranya yang sangat teliti dan cerewet dengan hasil kerja.
"Saya juga sering berpesan kepada para pekerja supaya sentiasa teliti dalam setiap kerja yang dilakukan bagi meminimakan aduan daripada para pelanggan selain menjaga kebajikan mereka," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines