Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Ezlynn Tidak Tertekan Ditanya Soal Anak
- Wala (RL7) Belum Terfikir Tinggalkan Kerjaya Sebagai Polis
- Teruja menanti Februari 2014
- Artis pertama asia rakamkan biografi
- Tragedi konvoi berdarah
- Kerajaan kaji haramkan shisha
- Rambutan anak sekolah tembusi Amerika Syarikat
- Robot bercakap akan dihantar ke ISS
- Wanita pulang beg berisi berlian
- Kepuasan bayaran kepada kerja sukarela
- Kem senaman ala tentera
- Buku seorang guru
- Kedai dobi asingkan baju pelanggan Islam
Ezlynn Tidak Tertekan Ditanya Soal Anak Posted: 30 Jun 2013 10:11 PM PDT Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 31, sebaliknya berkata, mereka masih berusaha untuk mendapatkan cahaya mata namun rezeki masih belum menyebelahi mereka. "Saya dan suami tidak pernah merancang tetapi masih belum rezeki kami untuk mendapatkan cahaya mata. Bagaimanapun kami tidak tertekan dengan situasi ini kerana yakin akan tiba masa untuk kami nanti," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini. Ezlynn dan Adam, 35, sah bergelar suami isteri pada 20 November 2011 dalam satu upacara yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre, di sini. Dalam perkembangan sama, Ezlynn berkata, keluarga kedua-dua belah pihak juga tidak pernah membangkitkan soal berkenaan kepada mereka namun mengharap rumah tangga yang dibina itu akan diserikan dengan kehadiran cahaya mata. Bagaimanapun kata Ezlynn, dia tahu keluarga sebelah suaminya mengharapkan kehadiran cucu kerana Adam adalah anak pertama dalam keluarganya. "Sebelah keluarga suami masih belum ada yang berkahwin dan sudah tentu harapan itu agak tinggi diletakkan kepada kami namun keluarga mertua juga memahami dan tidak pernah membangkitkan soal tersebut," jelasnya. Sementara itu, Ezlynn berkata, dia semakin memahami Adam yang juga pengurusnya dan semakin bijak membezakan soal kerjaya dan peribadi. "Sebenarnya tidak banyak perbezaan tetapi kami semakin saling memahami di antara satu sama lain dan kami bahagia bersama," katanya. Dalam perkembangan lain, Ezlynn berkata, dia bakal merakamkan sebuah lagu ciptaan penyanyi Dina Nazir bersempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri sebelum memasuki studio untuk album penuh terbaharunya. Jelas Ezlynn, dia tidak mahu terburu-buru untuk menyiapkan album tersebut kerana ingin menkaji terlebih dahulu citarasa pendengar supaya ia dapat diterima dengan meluas. "Saya mahu buat sesuatu yang boleh meninggalkan kesan kepada pendengar dan peminat sebab itu tidak mahu terburu-buru merakamkan album itu nanti," katanya. | ||||||
Wala (RL7) Belum Terfikir Tinggalkan Kerjaya Sebagai Polis Posted: 30 Jun 2013 10:11 PM PDT Dianggotai oleh Walawd Parman dan Wan Mustafa Muntek, mereka berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana perlu berfikir semasak-masaknya sebelum mengambil sebarang keputusan. "Ini adalah tentang masa depan kami dan ia tidak boleh dibuat secara mendadak dan perlu berfikir semasak-masaknya terlebih dahulu. "Bagaimanapun kami pada masa sama mahu mengembangkan kerjaya dalam bidang lawak di Kuala Lumpur," kata Wan Mustafa kepada mStar Online. Kumpulan yang berasal dari Sabah itu diumumkan sebagai juara program Raja Lawak musim ketujuh pada pertandingan akhir yang diadakan malam Jumaat lalu di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan undian sebanyak 50 peratus. Kemenangan itu telah melayakkan mereka untuk membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro. Dalam pada itu, Wan Mustafa berkata, mereka tidak menyangka akan sampai ke tahap juara dan menganggap usaha keras mereka sebelum ini telah membuahkan hasil. Jelasnya lagi, walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap sebagai polis mereka tidak mahu mensia-siakan bakat yang dimiliki dan berharap ia dapat dikongsi bersama peminat. "Ini bukan kali pertama kami cuba untuk menyertai Raja Lawak dan ternyata cubaan berkali-kali itu berbaloi dan berharap dapat berkongsi bakat yang ada pada kami dengan peminat sekaligus merancakkan lagi industri lawak di negara ini," katanya. Ditanya mengenai wang kemenangan mereka, Walawd memberitahu buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang perancangan khusus tetapi merancang untuk melangsaikan hutang dan mengadakan kenduri kesyukuran atas kemenangan mereka berdua. Sementara Wan Mustafa pula memberitahu akan menderma sebahagian wang berkenaan kepada sebuah rumah anak yatim di Tuaran yang telah diniatkan sejak awal selain berhasrat untuk menggunakan wang berkenaan bagi menghantar kedua ibu bapanya mengerjakan haji. Dalam perkembangan lain, Wala akan bertanding pada program Raja Lawak Mega 2013 yang akan diadakan pada penghujung tahun ini. | ||||||
Posted: 30 Jun 2013 10:01 PM PDT
HATI siapa tidak terguris seandainya hari bahagia yang direncanakan selama ini dicemarkan dengan kata-kata nista daripada pihak yang mungkin iri hati dengan kebahagiaan yang dimiliki. Situasi itu terjadi kepada pemilik nama Samihah Omar atau lebih terkenal dengan panggilan Misha Omar, 31, yang mengakui terluka dengan dakwaan dia menangguhkan perkahwinan gara-gara ingin menyelesaikan proses penceraian dengan seorang usahawan dari negeri Kelantan. Pernah suatu ketika pada sekitar tahun 2011, timbul desas-desus mengatakan Misha telah berkahwin dengan seorang usahawan yang digelar Datuk K dan menjadi isteri ketiga kepada lelaki itu. Bagaimanapun, Misha hanya menafikan spekulasi itu menerusi laman sosial Twitternya, @iammishaomar. Akhirnya, kesempatan bertemu dengan pelantun lagu Bunga Bunga Cinta itu baru-baru ini, Misha membuka mulut. "Saya tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki. Jika benar saya pernah berkahwin, tunjukkan buktinya atau boleh merujuk nama saya di mana-mana pejabat agama. "Saya sangat kecewa kerana betapa saya menjaga nama baik saya selama ini, ia dicalarkan dengan tuduhan berkenaan. "Saya tahu siapa yang bercakap tentang hal ini dan dia sering mencari kesilapan dan perkara negatif tentang saya. Saya harap lelaki itu tampil jika benar saya pernah berkahwin. "Selama ini saya banyak berdiam diri dan ini adalah masa yang sesuai untuk membidas kenyataan itu. Dayus bagi lelaki yang menceraikan Misha Omar!" tegasnya yang ditemui pada majlis pelantikan Misha Omar sebagai duta Colourland Paints Sdn. Bhd. di The Bee, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini. Umum nikah Kesempatan sama diambil Misha untuk membuat pengumuman penting yang selama ini dinanti-nantikan oleh peminatnya.
Misha memberitahu yang dia bakal menamatkan zaman solo bersama tunangnya, Fiross Ezzwan Rossly, 31, pada bulan Februari tahun depan. "Alhamdulillah, setelah ditangguhkan sebanyak dua kali, saya dan tunang telah membuat keputusan untuk melangsungkan perkahwinan pada bulan Februari tahun depan. "Kedua-dua belah pihak akan berbincang bagi menetapkan tarikh rasmi majlis pernikahan kami selepas perjumpaan pada hari raya Aidilfitri ini," maklum Misha. Misha dan Fiross telah mengikat tali pertunangan pada bulan Februari tahun lalu dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada bulan September tahun sama tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran tunangnya yang merupakan juruterbang Malaysia Airlines (MAS) terpaksa mengikuti latihan bagi mendapatkan lesen memandu pesawat jenis Airbus. Pasangan itu kemudian merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada Februari tahun ini, namun terpaksa ditangguhkan sekali lagi gara-gara jadual kerjaya seni Misha yang terlalu padat sehingga Oktober depan. Februari Relevan bulan Februari diputuskan Misha tiada kena mengena dengan sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih, sebaliknya kata Misha bulan itu dipilih memandangkan genap dua tahun usia pertunangannya. "Februari bagi saya bulan yang manis dan sempena genap dua tahun saya dan Fiross bertunang. Saya tidak terfikir pun mengenai sambutan Hari Valentine. "Tambahan pula, jadual kerjaya saya pada suku pertama tahun depan agak lapang jadi kalau hendak dilangsungkan perkahwinan, rasanya itu tarikh terbaik.
"Kami tidak mahu berkahwin dalam suasana yang kelam-kabut dan masing-masing tertekan dengan kerja. Lantaran faktor itu juga, dua tahun majlis perkahwinan kami tertangguh," tambah finalis program Hiburan Minggu Ini tahun 2001 itu. Misha menyifatkan majlis perkahwinannya bakal menjadi sebuah majlis yang sederhana mengikut gayanya dan terlalu awal untuk dia memikirkan soal tajaan menjelang hari bahagianya. Paling penting kata Misha adalah majlis akad nikah akan dilangsungkan di Kota Bharu, Kelantan memandangkan kebanyakan saudara-maranya berada di sana. "Konsep penajaan adalah situasi menang-menang dan sejujurnya sampai hari ini saya masih belum mempertimbangkan mana-mana penajaan lagi. "Pihak pengurusan saya ada dihubungi beberapa pihak untuk penajaan tapi saya harus mempertimbangkan perkara itu. Kalau boleh saya inginkan majlis yang paling ringkas," jelas Misha. Jarak masa yang terlalu panjang selepas bertunang hingga majlis pernikahan kata Misha telah banyak mengubah corak kehidupannya. "Saya melihat hidup saya telah banyak berubah selepas bertunang. Saya kini lebih produktif dan jadual kerjaya saya juga padat. "Saya boleh terus bergiat aktif dalam bidang nyanyian, selain itu dapat beraksi di pentas teater, berlakon drama dan terbaharu dilantik menjadi duta. "Tanggapan negatif sebenarnya mencurahkan lebih banyak rezeki. Alhamdulillah, saya selesa di zon saya sendiri," simpul Misha kemas. | ||||||
Artis pertama asia rakamkan biografi Posted: 30 Jun 2013 10:00 PM PDT
MENJADI artis pertama Asia yang menembusi rancangan antarabangsa iaitu E! Entertainment merupakan suatu perkembangan karier yang baik bagi pelakon, pengacara dan penyanyi Aaron Aziz. Perkembangan itu sekali gus akan membuatkan nama Aaron semakin dikenali ramai, terutamanya ke peringkat yang lebih tinggi berikutan E! Entertainment merupakan salah satu rancangan paling hit masa kini. Tidak melepaskan peluang keemasan itu, buat julung-julung kalinya Aaron yang merupakan artis berasal dari Singapura akan muncul di saluran Astro, 712 dalam program berjudul E! Special: Aaron Aziz. Program berkenaan akan memaparkan kehidupan sebenar Aaron di sebalik kejayaannya sebagai artis ternama, sama seperti rancangan E! True Hollywood Story. Menurut Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 37, di dalam naskhah berbentuk biografi itu nanti, peminat akan dapat melihat bagaimana dia menjalani hidup sebagai orang biasa.
"Dalam cerita berdurasi satu jam itu, ada antara kisah hidup saya yang belum pernah dipaparkan kepada umum. Antara salah satu yang boleh saya sebutkan ialah saya ini pernah berkawan dengan kumpulan gengster di Singapura. "Namun, itu semua pada zaman saya remaja. Waktu itu saya sedang membesar dan ingin mencuba semua benda yang saya rasakan seronok. "Saya memang suka bergaul dengan semua orang. Walaupun begitu, tidak semestinya jika saya bergaul dengan gengster, saya pun akan turut sama jadi seperti mereka," jelasnya ketika mengadakan sesi temu bual eksklusif di Restoran Bait, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambah Aaron, sebenarnya dia belum melihat lagi secara keseluruhan hasil daripada rakaman kehidupannya itu. Apa yang diketahuinya, kru produksi ada menemu bual isteri serta beberapa kenalan rapatnya seperti Lisa Surihani, Datuk Yusof Haslam dan peminatnya, Aaronators untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang kehidupan peribadinya.
Ditanya tidakkah nanti dia takut ada di antara babak dalam rancangan yang bakal bersiaran pada 7 Julai itu akan memaparkan sisi negatifnya, dengan yakin Aaron menjelaskan tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana dia tidak pernah melaku- kan sesuatu yang salah. "Bayangkan, sehingga pihak produksi sendiri bertanya kepada saya dan isteri, tidakkah saya ada apa-apa kontroversi yang boleh dipaparkan di dalam rancangan itu nanti. "Mungkin sebab itulah mereka memilih saya kerana saya adalah seorang yang sangat santai dan mudah untuk diajak berbual. Saya sering menganggap diri saya sebagai orang biasa," jelasnya. Aaron juga menyifatkan penyiaran program biografi khas untuknya itu sebagai suatu penghormatan dan penghargaan buat dirinya kerana sebelum ini dia tidak pernah menganggap dirinya berjaya tetapi mungkin sudah tertulis rezeki ini miliknya. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aaron kini sedang sibuk berada di set penggambaraan Tentang Hati untuk siaran TV1 bersama aktres Fasha Sandha. Selain itu, dia bakal memasuki set pengambaran Adam dan Hawa The Movie pada 1 September depan. Jelasnya, semua pelakon, kru dan pihak produksi tetap kekal sama. | ||||||
Posted: 30 Jun 2013 09:58 PM PDT KOTA TINGGI – Rombongan konvoi yang disertai 13 buah motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan ke Terengganu dicemari insiden berdarah apabila dua penunggangnya maut selepas terlibat dalam kemalangan semalam. Kejadian yang mengorbankan Abdul Rashid Mansor, 48, dan Mohamad Hisham Salleh, 36, itu berlaku pada pukul 12 tengah hari di Kilometer 38, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran simpang masuk ke taman perumahan Daiman Jaya di sini. Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori tangki dari arah Mersing dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melintang di tengah jalan raya. Keadaan itu menyebabkan empat daripada 13 buah motosikal berkuasa tinggi dari arah Johor Bahru gagal dikawal lalu merempuh lori tangki tersebut. Ekoran rempuhan itu, sebuah motosikal terbakar manakala sebuah lagi terputus dua. Kedua-dua penunggang mati di tempat kejadian akibat cedera parah. | ||||||
Posted: 30 Jun 2013 09:56 PM PDT GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan sedang mengkaji bentuk perundangan paling sesuai untuk menguatkuasakan pengharaman shisha di negara ini sebagai langkah mengatasi masalah kesihatan dalam kalangan pengguna terutama golongan belia. Selain shisha, kerajaan juga sedang dalam cadangan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik (e-rokok) yang penggunaannya kini popular untuk menggantikan rokok. Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti kesan menghisap shisha dalam kalangan penghisapnya dan ia meliputi beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan diputuskan. Menurut beliau, kerajaan juga turut merangka beberapa tindakan mengikut Akta Farmasi dan Kawalan Barangan terhadap penjualan, pengimportan dan bahan nikotina serta peralatan menghisap. "Isu yang berbangkit ialah bahan yang dihisap, contohnya di Pakistan dan Afghanistan, ia menjadi tradisi rakyat di negara itu dengan memasukkan perisa asli iaitu herba sebagai perisa ketika menghisap shisha. "Sebaliknya ada penghisap shisha di negara ini memasukkan nikotina pelbagai perisa termasuk ada yang mencampurkan dadah ke dalamnya. Itulah punca masalah bermula," katanya kepada pemberita di sini semalam. Beliau ditemui selepas melancarkan Karnival Kesihatan Sekolah Menengah Penang Free yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Kamaruddin. | ||||||
Rambutan anak sekolah tembusi Amerika Syarikat Posted: 30 Jun 2013 09:55 PM PDT LANGKAWI – Rambutan anak sekolah atau R191 yang popular di negara ini bakal dieksport ke pasaran Amerika Syarikat dalam masa terdekat. Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, usaha untuk mengeksport rambutan tersebut akan dilakukan selepas buah-buahan itu melepasi proses iriditasi bagi membasmi serangga. "Kita sudah mengenal pasti pihak yang akan melakukan proses itu dan selepas proses tersebut dilakukan, rambutan yang mendapat sambutan tinggi ini akan dieksport terus ke negara berkenaan. "Sehingga kini kita telah mengeksport rambutan anak sekolah ke Emiriyah Arab Bersatu, Hong Kong, China dan Singapura," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara FAMA dengan peserta kelompok rambutan anak sekolah di Pusat Pengumpulan Ladang (PPL), Kampung Kubang Badak di sini semalam. | ||||||
Robot bercakap akan dihantar ke ISS Posted: 30 Jun 2013 09:53 PM PDT TOKYO - Jepun dijangka menghantar sebuah robot angkasawan yang boleh bercakap ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk melakukan perbualan pertama melibatkan manusia dan robot di angkasa lepas. Robot tersebut, Kirobo dijadual berlepas ke ISS dari Pusat Angkasa Tanegashima, dalam Wilayah Kagoshima, barat daya Jepun. Robot kecil itu akan berlepas dengan menaiki kapal angkasa kargo, Kounotori 4 ke ISS pada 4 Ogos depan. Kirobo merupakan gabungan antara dua perkataan Jepun yang bermaksud robot harapan. Robot setinggi 34 sentimeter dengan berat sekitar satu kilogram itu jauh lebih kecil berbanding kebanyakan robot yang pernah dihantar ke angkasa lepas. Kirobo dibangunkan dengan kerjasama antara Universiti Tokyo, Toyota dan Dentsu Inc. | ||||||
Wanita pulang beg berisi berlian Posted: 30 Jun 2013 09:52 PM PDT HONG KONG - Seorang wanita China yang menemui sebuah beg berisi berlian bernilai jutaan dolar telah memulangkan semula barangan berharga itu kepada pemiliknya di sini kelmarin. Wanita berkenaan, Fu Zhuli menemui beg mengandungi berlian bernilai HK$250 juta (RM101.8 juta) di sebuah kafeteria semasa melawat pameran barang kemas di pulau ini. Pelancong dari Shenzen, China itu menjaga beg tersebut sehingga pemilik permata itu kembali untuk mendapatkan semula hak miliknya. "Saya masuk ke sebuah kafeteria untuk berehat sambil menikmati ais krim. Saya melihat dua orang warga asing sedang berbual dan kemudian beredar dari kafeteria itu dengan tangan kosong," kata Zhuli. "Selepas meja mereka dibersihkan, saya melihat sebuah beg hitam berada di lantai," tambahnya. Katanya lagi, dia membuka beg tersebut dan melihat ia berisi ketulan berlian sebesar kacang soya. Setiap butir berlian itu dianggarkan berharga antara AS$65,052 (RM205,499) hingga AS$130,104 (RM410,998). Pemilik beg itu yang merupakan seorang lelaki warga Israel bergegas mendapatkan semula begnya yang dijaga oleh Zhuli. Pemiliknya kemudian dipercayai memberi saguhati kepada Zhuli atas kejujurannya. | ||||||
Kepuasan bayaran kepada kerja sukarela Posted: 30 Jun 2013 09:49 PM PDT
IBU kepada dua orang anak lelaki, Nurhasliza Hussin, 36, percaya jika tidak diberikan pendedahan yang betul, kedua-dua anak lelakinya mungkin mudah terpengaruh dengan gejala negatif di luar. Justeru, ibu muda itu mengambil keputusan melibatkan diri dalam sebuah persatuan yang membabitkan belia-belia dengan kerja sukarelawan. Dikenali Pertubuhan Gerakan Belia 4B Malaysia (PGB4BM) cawangan Bukit Sentosa 3, Zon Timur, Rawang, Selangor persatuan itu merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 1965. Ia bertujuan menyatu, menyusun dan menggembleng tenaga belia untuk mengambil peranan positif dalam pembangunan negara. Nurhasliza memberitahu, dia hanya bermula dengan mengumpul anak-anaknya serta jiran tetangga untuk melakukan kerja sukarela di sekitar surau seperti membuat kerja membersih, kerja-kerja menjelang bulan Ramadan dan untuk keperluan komuniti sekitar kawasan sahaja. Namun, selepas mendapat tahu mengenai PGB4BM yang bernaung di bawah Rakan Muda sekarang, Nurhasliza percaya penglibatan dirinya sendiri mungkin membantu secara lebih efisien dalam pembangunan kendiri anak-anaknya serta remaja lain. Bersih kandang haiwan Berikutan itu, Nurhasliza terlibat secara aktif, termasuk bersama anak sendiri, rakan-rakan anaknya serta belia di komuniti tersebut. Kini persatuan cawangan itu mempunyai lebih daripada 80 orang sukarelawan berkhidmat secara serius. "Saya percaya, kita memerlukan satu saluran yang betul untuk memimpin anak-anak remaja ke jalan yang sebenar. Oleh yang demikian, saya memilih PGB4BM dan kerja-kerja sukarelawan bagi mendedahkan mereka kepada persekitaran yang sihat," kata Nurhasliza ketika ditemui di program Be A Volunteer yang dikendalikan oleh pihak Zoo Negara, Kuala Lumpur. Nurhasliza membawa 80 orang belia daripada persatuannya yang terdiri daripada belia remaja pelbagai latar usia dan pendidikan. Mereka berada di sana selama setengah hari untuk membantu pihak zoo dalam membuat kerja-kerja seperti membersih, mengemas dan mencuci kandang haiwan selain menyediakan bekas makanan, menyapu sampah dan mengecat tembok. "Saya tidak sekalipun merasakan penglibatan dalam kerja sukarela sebagai satu beban. Ia termasuk sebagai satu gangguan pembelajaran. Ini kerana melatih diri membuat kerja tanpa balasan pasti akan membantu kita menjana lebih banyak ilmu secara semula jadi," kata Muhammad Afiq Asman, 17. Jelas dengan keputusan menjadi sukarelawan atau lebih tepat membuat kerja tanpa bayaran mahupun apa jua jenis pulangan, Afiq, anak kepada Nurhasliza memberitahu dia terlibat sebagai sukarelawan sejak berusia 13 tahun lagi. Walaupun bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, dia berkata, ia bukan alasan untuk tidak terlibat dalam urusan sukarelawan kerana yang penting bijak menguruskan masa. Seorang lagi pelajar yang ditemui, Intan Syafinaz Salihuddin, 20, juga dari PGB4BM kawasan Bukit Sentosa 3 berkongsi pendapat yang sama dengan Afiq. Katanya, kerja-kerja sukarelawan tidak sedikit pun mengganggu pembelajarannya. Pelajar Diploma jurusan Akauntansi di Universiti Selangor (Unisel), Syafinaz mengakui keputusannya untuk menjadi sukarelawan didorong dengan niat untuk mempelajari sesuatu yang baharu sebagai pengalaman hidup. "Misalnya seperti hari ini, saya belajar bagaimana untuk membersihkan kolam singa laut dan keperluan singa laut. Jika saya mahu tahu lebih mengenai hidupan ini, saya akan mencari maklumat tambahan di internet. Pengalaman seperti ini memimpin saya untuk berusaha mengenali sesuatu secara lebih mendalam," katanya. Mula melibatkan diri sejak berusia 16 tahun lagi, Syafinaz memberitahu, antara kerja sukarela yang tidak dapat dilupakannya sehingga hari ini apabila dia terpaksa mengendalikan beberapa pelajar bermasalah dalam satu kursus. "Mereka adalah pelajar yang berhadapan dengan masalah disiplin. Semasa saya menegur mereka, pelbagai reaksi yang ditunjukkan. Tetapi saya belajar bersabar, memahami situasi mereka dan tidak merungut," katanya. Semua kemahiran itu, menurut Syafinaz, dipelajari daripada sukarelawan lain yang turut membantu dan menyokong Syafinaz. Dia menyertai PGB4BM selepas menerima ajakan daripada seorang pak ciknya yang mengendalikan persatuan tersebut. Program Be A Volunteer yang dianjurkan oleh Zoo Negara adalah sebuah program yang bermula sejak lebih 15 tahun dahulu. Tujuan program itu dijalankan adalah untuk mendedahkan para sukarelawan yang terdiri daripada badan korporat, persatuan, sekolah serta individu terhadap kerja-kerja di zoo. 10,000 sukarelawan Salah seorang pegawai Perhubungan Awam dan Pemasaran, Norafizah Mohsin, 27, memberitahu, setakat tahun 2012, program Be A Volunteer di Zoo Negara telahpun merekodkan penglibatan lebih 10,000 orang sukarelawan. Mengikut statistik tahun 2013 sehingga bulan Jun, kira-kira 3,000 orang telah mendaftar sebagai sukarelawan. "Sesiapa sahaja yang berusia 16 tahun ke atas boleh menyertai program ini. Kami menawarkan dua sesi iaitu sesi separuh hari dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari atau sepenuh hari hingga pukul 4.30 petang," kata pegawai tersebut. Pihak Zoo Negara membuka 80 tempat untuk sukarelawan setiap hari dan mereka yang mahu bertugas, perlu berada di lokasi pada pukul 7.45 pagi untuk mendapatkan tugasan. Kerja sukarelawan tentunya tiada bayaran atau elaun. Segala-galanya ditampung sendiri, kecuali sekeping sijil penghargaan, itu pun selepas menghabiskan 40 jam kerja sukarelawan di Zoo Negara. Seorang lagi remaja belia, Muhammad Izzat Johari, 21, dari Bukit Beruntung, Rawang tahu itu adalah asas yang perlu ditanam sebelum menjadi sukarelawan. "Kita tidak mengharapkan apa-apa. Kepuasan yang dirasai adalah balasannya," kata Izzat. Menjadi sukarelawan sepenuh masa, Izzat juga memberitahu, dia berbesar hati kerana direstui ibu bapa serta ahli keluarga dalam melaksanakan pelbagai tugas tanpa sebarang pulangan. Malah, keluarganya turut menyokong Izzat dari segi kewangan dan dorongan sepanjang dia bertugas menjadi sukarelawan. Antara tugas sukarelawan yang pernah digalas anak muda itu termasuklah membantu mangsa banjir di Alor Setar, Kedah, bertugas di Rumah Ehsan di Kuala Kubu Bahru, Selangor dan kerja-kerja gotong-royong di beberapa surau. | ||||||
Posted: 30 Jun 2013 09:48 PM PDT SEWAKTU matahari pagi mula terbit dan suasana masih lagi sejuk di Pantai Bondi, Sydney, Australia terdapat kira-kira 30 individu bersemangat melakukan rejim senaman yang agak berat. Mereka melambungkan badan sebelum menghempasnya ke pasir, berlari-lari anak sebelum memecut, melompat melepasi halangan, mengangkat beban serta meregangkan tali ke atas dan ke bawah. Kumpulan itu merupakan sebahagian daripada kelompok golongan pencinta kecergasan dikenali kem latih tubi. Konsep senaman sebegini sering digunakan oleh jurulatih gaya tentera untuk senaman berintensiti tinggi. "Saya fikir saya tidak akan melakukan perkara ini lagi. Ia membuatkan saya muntah. Saya benci setiap minit daripadanya. Tetapi, kepuasan yang dirasai, sukar untuk digambarkan," kata Kristie Webster selepas menamatkan sesi tersebut di Bondi. Apabila ditanya apa yang menyebabkan dia sanggup bangun dari katil seawal pagi beberapa kali seminggu hanya untuk merasai pengalaman ketidakselesaan fizikal, Kristie menjawab: "Bukan sebab saya gila. Tidak, ia semata-mata untuk tampil cergas dan sihat." Sementara itu, jurulatih Dan Clay yang berasal dari Essex, Britain memberitahu, mereka akan melatih setiap peserta mengikut kemampuan masing-masing. "Kami mendorong mereka sehingga ke tahap maksimum yang boleh dilakukan. Tetapi kami lakukannya dengan cara yang bermotivasi. Kami bukan seperti sarjan yang bersifat memaksa, tetapi berfungsi untuk memberi galakan pada mereka," jelas Clay. Clay yang menguruskan syarikat Dangerous Fir, telah melihat populariti kem latih tubi berkembang pantas di Sydney sejak lima tahun lalu, sama seperti tempat lain di dunia. "Orang ramai tidak mahu sentiasa terjebak di gimnasium. Mereka mahu melakukan perkara yang bermanfaat di waktu pagi seperti berada di pantai, melihat matahari terbit dan menghirup udara yang segar. "Rutin sebegini sangat baik untuk mendapat ketenangan jiwa dan kesihatan bagi tubuh badan. Disebabkan itu, ia menjadi semakin popular," tuturnya. Tambah Clay, mengikuti latihan secara berkumpulan lebih memberi motivasi kepada peserta berbanding bersenam sendirian. "Mereka mahu berada di luar dan berlatih bersama kawan-kawan," ujarnya. Tanpa rangkaian kos utama dan beberapa overhed, kem latih tubi telah muncul di seluruh Australia, manakala cabaran fizikal lain seperti Tough Mudder iaitu kursus latihan keras berhalangan seperti mendaki tebing dan dinding curam juga terbukti popular. Latihan lasak seperti tentera James Brabon, bekas infantri tentera Australia dianggap sebagai perintis industri kem latih tubi di Sydney. Selepas membangunkan rejim latihan untuk rakan-rakan askar yang kemudian mendatangkan rasa kagum dalam kalangan isteri dan teman wanita masing-masing, James kemudian menjenamakan semula program tersebut pada 2003. Dia menggunakan Pantai Coogee sebagai destinasi awal bagi menganjurkan latihan tersebut. Katanya, dia bersikap skeptikal terhadap trend latihan kecergasan masa kini yang menjadi semakin lembut seperti senaman yoga. "Justeru, kami tampil dengan disiplin senaman sebegini yang berintensiti tinggi dan berpeluh sehingga ke akhirnya. Kemudian, orang ramai mengatakan, ia mungkin tidak akan berhasil, tidak kekal dan tiada sesiapa yang mahu melakukannya. "Tetapi, apa yang kami dapati adalah semua orang mahu mencuba untuk melakukannya," tegas James yang digelar sebagai chief. Apa yang pasti, kumpulan tersebut gembira kerana berpeluang melakukan rejim latihan yang sukar bersama-sama. "Kesakitan adakalanya boleh menjadi sangat baik, tetapi ia sentiasa berbaloi pada akhirnya," kata Stafford Hamilton yang memuji Dangerous Fit kerana melalui rejim latihan itu, dia mampu menurunkan berat badan sehingga 11 kilogram sejak mengikutinya sembilan bulan lalu. | ||||||
Posted: 30 Jun 2013 09:47 PM PDT
MEMILIH kerjaya sebagai seorang pendidik, Wan Zayuhisham Wan Yusoff, 41, mengakui, beliau amat bersyukur dengan perjalanan hidupnya yang telah diatur Ilahi. Selama 17 tahun bergelar guru, banyak pengalaman pahit manis yang diperoleh dalam dunia persekolahan yang saban tahun semakin mencabar. Ini kerana perkembangan teknologi juga menjadikan para pelajar lebih ke hadapan dalam pelbagai aspek. Situasi itu sekali gus memberi cabaran besar buat guru bagi menangani masalah tersebut. Menyedari hakikat itu, Wan Zayuhisham terpanggil untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat melalui penulisan buku-buku remaja. Terbaharu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan PPR Taman Lembah Subang itu tampil dengan karya bertajuk Cikgu, Anak Saya Okey? yang memaparkan pelbagai dilema yang dihadapi pelajar. Ia merupakan sebuah buku motivasi kedua beliau selepas menghasilkan buku Suami Yang Teruji berdasarkan catatan pengalaman, pengisahan rakan-rakan guru serta pemerhatian sendiri mengenai isu-isu pendidikan dan persekolahan. Menurut Wan Zayuhisham, selain menulis mengenai masalah yang dihadapi, beliau juga memberi pandangan untuk mengatasinya. Tidak ketinggalan, tip-tip ringkas untuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak turut diselitkan. "Jujur saya katakan, bahawa apa yang dipaparkan dalam buku ini bukan untuk mengajar ibu bapa mendidik anak-anak tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan kaedah yang pernah dipelajari melalui kelas pengajian, seminar, diskusi dan pembacaan. "Buku ini juga mampu memberikan gambaran keseluruhan kepada para ibu bapa mengenai dunia persekolahan anak-anak," ujar Wan Zayuhisham sambil memberitahu, buku itu disiapkan sewaktu cuti persekolahan pada bulan November dan Disember tahun lalu. Lapan buah buku Mula terjun dalam dunia penulisan sejak Mei 2009, anak kelahiran Setiu, Terengganu itu sudah menghasilkan lapan buah buku. Buku pertamanya bertajuk Impian Juara diterbitkan pada 2010. Ia diikuti Ops Menjejak Pencuri, juga pada tahun yang sama, Impian Juara 2 (2011), Ops Conteng dan Suami Yang Teruji (2012) serta Erti Persahabatan dan Ulat Buku (2013). Tambah beliau, kesibukan tugas sebagai seorang guru bukan penghalang untuknya aktif menulis. Apa yang penting, pengurusan masa yang bijak mampu membantu mencapai kejayaannya dalam bidang penulisan. "Saya biasa menulis selepas asar tetapi pada kebanyakan masa, waktu yang paling ideal bagi saya adalah selepas isyak dan awal pagi. Ada ketika, saya juga pernah tertidur di hadapan komputer gara-gara terlalu letih," luah bapa kepada lima cahaya mata itu lagi. Ditanya mengenai kepuasan yang dirasai dalam bidang penulisan, Wan Zayuhisham pantas menjawab: "Perasaan itu sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Bagi saya, bila seseorang penulis dapat menghasilkan sebuah buku, ia boleh diibaratkan seperti melahirkan bayi. Itu yang saya rasa." Selain SK PPR Taman Lembah Subang, Wan Zayuhisham pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tungku (1994-1998), diikuti SK Sains Dominic (1999-2002), kedua-duanya di Lahad Datu, Sabah dan SK Taman Medan, Jalan Klang Lama (2003-2010). Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan Wan Zayu- hisham, layari laman blognya ilhamwan.blogspot.com. | ||||||
Kedai dobi asingkan baju pelanggan Islam Posted: 30 Jun 2013 09:46 PM PDT SIAPA sangka rungutan daripada ibu yang kurang mempercayai kebersihan pakaian yang dibasuh di kedai dobi menjadi sebab utama Nur Azliwati Lazam, 41, terfikir untuk memulakan perniagaan dalam bidang tersebut. Tambahan pula, ketika mahu mengerjakan haji pada tahun 2011, beliau turut berdepan pengalaman menghantar pakaian yang mahu digunakan di Tanah Suci di sebuah kedai dobi. "Sewaktu menghantar pakaian itu untuk dicuci, saya melihat pekerja di kedai tersebut terus mencampurkan ia dengan pakaian pelanggan lain yang mungkin tidak terjamin kesuciannya. "Justeru, sebaik pulang dari Mekah, saya nekad untuk memulakan perniagaan kedai dobi semata-mata untuk menawarkan khidmat cucian yang diyakini bersih dan suci oleh pelanggan terutama yang beragama Islam," terang Nur Azliwati ketika ditemui Kosmo! di Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini. Beliau akhirnya memilih untuk menyertai francais dobi di bawah jenama Mydobi.com dengan modal permulaan sebanyak RM150,000. Ia merupakan perniagaan di bawah Master Business Concept Shop yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara). "Saya hanya perlu menyediakan tapak kedai dan selebihnya termasuk peralatan serta latihan mengurus perniagaan dibantu oleh pengurusan Mydobi.com. "Kedai dobi ini telah mula beroperasi pada bulan Mei 2012 dan Alhamdulillah sambutan yang diterima dari semasa ke semasa amat menggalakkan. Walaupun wujud persaingan dalam perniagaan dobi tetapi saya sentiasa optimis dengan rezeki kurniaan Allah," ujar ibu kepada dua cahaya mata berusia 14 dan 10 tahun ini. Letak jawatan pensyarah Menurut Nur Azliwati lagi, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan padu daripada suami, Nazrul Hisham Abdul Hamid, 42, yang sentiasa membantu untuk melancarkan perniagaan mereka. "Kebetulan pula, saya dan suami mempunyai latar belakang dalam bidang perakaunan dan pernah menyiapkan satu projek berkaitan kedai dobi sewaktu mengikuti pengajian di peringkat sarjana. "Jadi, memang beliau banyak membantu memberi idea terutama dalam aspek pengurusan kewangan," jelas Nur Azliwati yang kini mempunyai dua orang pekerja tetap dan beberapa pekerja separuh masa. Sebelum bergelar pengusaha dobi, Nur Azliwati merupakan seorang pensyarah perakaunan di sebuah kolej swasta di ibu kota. Namun, beliau nekad untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan. Tambah beliau, antara keistimewaan Mydobi.com dan rangkaian kedai di bawah jenama itu adalah kaedah cucian kering yang menggunakan air. "Untuk makluman kepada masyarakat di luar sana, mana-mana kedai dobi yang mempunyai perkataan lagoon, maka ia bermakna cucian kering dilakukan menggunakan air. "Ia bagi menjamin kesucian dan kebersihan pakaian yang dihantar ke kedai lebih bersih," katanya. Bagi Sabariah Yunus, 43, sepanjang setahun bekerja di kedai dobi ini, dia gembira kerana mempunyai majikan yang baik dan bertimbang rasa. "Saya rasa seronok bekerja di sini. Tugas saya lebih kepada membasuh dan melipat baju. Jika menggosok pula, setiap hari sekurang-kurangnya kami akan menggosok 80 helai baju dan jika pelanggan ramai adakalanya melebihi 150 helai," kata Sabariah. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |