Jumaat, 3 Januari 2014

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Faralyna Sudah Temui Pengganti Hairul Azreen

Posted: 02 Jan 2014 03:02 AM PST


Faralyna Idris
PETALING JAYA: Pelakon Faralyna Idris mengakui sudah pun menemui kekasih baharu selepas putus cinta dengan aktor Hairul Azreen pada Februari 2013.
Faralyna, 24, berkata, dia sudah pun menjalinkan hubungan cinta dengan kekasihnya itu sejak lapan bulan lalu, namun enggan mendedahkan identiti sebenar lelaki itu kerana berasa perhubungan mereka masih baharu.
"Apa yang saya boleh katakan, kekasih saya itu bukanlah daripada kalangan golongan yang terlibat dengan industri hiburan tempatan.
"Hubungan kami baru tujuh bulan dan rasanya masih lagi terlalu awal untuk dikongsikan kepada umum," katanya.
Tambah Faralyna, dia juga enggan mendedahkan identiti kekasihnya itu kerana risau jika perhubungan cinta itu tidak menjadi seperti pengalamannya bersama Hairul sebelum ini.
Dalam pada itu, pelakon drama Dan Calonnya Adalah.. itu berkata, dia juga gembira kerana bertemu dengan seorang lelaki yang bukan daripada kalangan orang industri hiburan kerana sejak berpisah dengan Hairul, dia mahu mengelak bercinta dengan selebriti.
"Rasanya, nak kata serik bercinta dengan artis, tak juga. Cuma saya mengharapkan agar tidak jatuh cinta dengan lelaki yang bergelar selebriti.
"Ini dapat memudahkan saya memberi tumpuan dalam kerja lakonan, manakala pasangan saya pula fokus dengan kerjayanya sendiri," ujarnya.

14 Perkara Menarik Sepanjang 2014

Posted: 02 Jan 2014 03:02 AM PST

Star2 telah memilih 14 perkara yang perlu diberikan perhatian dalam dunia hiburan sepanjang tahun ini.
1. Bullets Over Petaling Street
Sebuah filem berkisarkan mengenai kegiatan kongsi gelap di Petaling Street di Kuala Lumpur yang sedang mencari ketua baharu.
Kejadian bertambah huru-hara apabila seorang pelakon filem secara tidak sengaja terlibat dalam kumpulan itu sehingga menyebabkan dia dipilih sebagai ketua kumpulan tersebut.
Filem yang dibintangi oleh Debbie Goh, Chen Han Wei, Irene Ang, Jeffrey Cheng dan KK Wong itu bakal berada di pawagam pada 13 Februari depan.
2. X-Men: Days of Future Past
Seperti rangkaian filem-filem X-Men sebelum ini, Days of Future Past antara menjadi perhatian pada 2014 yang menyaksikan Charles Xavier (James McAvoy), Hank McCoy (Nicholas Hoult) dan Wolverine (Hugh Jackman) menuju ke masa hadapan untuk menyelamatkan dunia.
3. Divergent
Selepas kejayaan filem Hunger Games di seluruh dunia, sebuah lagi karya yang diadaptasi daripada sebuah novel berjudul Divergent dijangka akan mencipta fenomena dikalangan penggemar filem yang berunsurkan fiksyen.
Berdasarkan kisah Veronica Roth yang mempunyai kuasa untuk menentukan siapakah yang layak untuk memasuki sesuatu kumpulan dalam sebuah komuniti apabila mereka berumur 16 tahun.
Dilakonkan oleh Shailene Woodley, filem ini bakal berada di pasaran pada 20 Mac 2014.
4. Godzilla
Berdasarkan trailer yang dilancarkan baru-baru ini, filem Godzilla yang sudah agak lama menjalani penggambaran telah pun bersedia untuk menghantui penonton dengan jalan cerita menarik lakonan Aaron Taylor-Johnson, Elizabeth Olsen, Bryan Cranston and Ken Watanabe.
Ramai berharap pengarah, Gareth Edwards melakukan pembaharuan pada watak gergasi itu yang pernah beberapa kali difilemkan sebelum ini.
Ia bakal ditayangkan pada 15 Mei 2014.
5. The Originals
Nampaknya ketagihan penonton terhadap drama bersiri bertemakan seram masih belum berakhir apabila Warner TV yang juga penerbit The Vampire Diaries bakal muncul dengan sebuah lagi siri berjudul The Originals.
Menampilkan puntianak sebagai watak utama, sekumpulan anak remaja bertekad untuk menghancurkan makhluk tersebut yang menghantui kawasan kejiranan mereka.
Sebuah siri yang patut diberikan perhatian!
6. True Detective
Sebuah lagi drama bersiri yang dijangka akan meletup di seluruh dunia adalah True Detective yang mengisahkan mengenai perjalanan dua orang detektif yang memburu penjenayah.
Menariknya, kisah-kisah jenayah ditonjolkan dalam siri sebanyak lapan episod setiap musim itu sangat berbeza daripada drama-drama sedia ada termasuk karakter yang ditampilkan.
Paling mengujakan, aktor kacak, Matthew McConaughey bakal memegang peranan utama.
7. How I Met Your Mother & True Blood
Buat kali terakhir penonton akan dapat menyaksikan siri How I Met Your Mother yang bakal berakhir pada tahun ini. Bagaimanapun musim terakhir itu hanya dapat ditonton oleh penonton Malaysia pada pertengahan tahun ini.
Kesemua pelakon asal siri itu Neil Patrick Harris, Cobie Smulders, Josh Radnor, Jason Segel dan Alyson Hannigan bakal muncul dalam musim terakhir itu.
Manakala, penonton juga perlu mengucapkan selamat tinggal kepada drama bersiri True Blood pada akhir tahun ini dan diharap kesemua persoalan yang timbul sepanjang musim terdahulu akan terjawab.
8. Oh My English! – Hello America!
Pelajar SMK Ayer Dalam bakal berkunjung ke Amerika Syarikat dan melawat beberapa tempat menarik di sana seperti Times Square dan Statue of Liberty.
Telah pun berjaya dengan siri sebelum ini iaitu Oh My English! dan Oh My Ganu!, francais terbaharu itu akan memperlihatkan pelbagai kisah menarik sepanjang mereka berada di sana.
9. Adele
Kali terakhir Adele muncul dengan album pada tahun 2011 dan mendapat pelbagai pengiktirafan di seluruh dunia termasuk enam anugerah Grammy.
Bagaimanapun penyanyi itu kelihatan memencilkan diri sejak melahirkan anak sulungnya Angelo pada 2012 dan dikhabarkan sedang merakamkan album terbaharunya.
Menurut The Mirror, album berkenaan bakal berada di pasaran pada Mei ini dan pasti ia dinanti-nantikan oleh para peminatnya.
10. U2
Selepas beberapa tahun tidak muncul dengan album terbaharu, kumpulan U2 yang dianggotai oleh The Edge, Bono, Larry Mullen dan Adam Clayton mengesahkan akan tampil dengan sebuah album tahun ini.
Dalam sebuah temubual, Adam mengesahkan berita itu dan bakal bekerjasama dengan penerbit seperti Danger Mouse dan Coldplay.
11. Future Music Festival Asia 2014
Festival muzik terbesar itu bakal diadakan di Malaysia dengan lebih 40 artis akan membuat persembahan termasuklah Macklemore & Ryan Lewis, Deadmau5, u-Tang Clan, Tinie Tempah dan Armin Van Buuren pada Mac ini.
Bakal diadakan di Mines Wonderland di Seri Kembangan, Selangor, lebih 65,000 peminat dijangka memenuhi kawasan tersebut yang bertemakan safari.
12. Singapore Rock Festival 2014
Berita baik untuk peminat muzik rock kerana kumpulan seperti Rob Zombie, Korn, Five Finger Death Punch dan Black Veil Brides akan mengegarkan Fort Canning Park di Singapura untuk singapore Rock Festival 2014 yang akan diadakan pada Mac depan.
13. Teater 'Awek Chuck Taylor'
Berdasarkan sebuah novel paling laris tulisan Nami Cob Nobbler, teater berbahasa Malaysia ini akan menampilkan Elza Irdalynna, Eyzendy dan Inessa Irdayanty.
Mengisahkan tentang hubungan cinta seorang lelaki bernama Hafiz dengan Mira yang menempuh pelbagai rintangan dan kisah menarik.
Tiket untuk persembahan pada Februari ini telah pun habis dijual namun sebuah lagi pementasan akan diadakan bersempenan PJ Laugh Fest pada Mei depan.
14. Faulty Towers : The Dining Experience
Teater yang dipopularkan oleh John Cleese, Prunella Sales dan Andrew Sachs pada 1975, akhirnya, buat pertama kali ia akan dipersembahkan di PJ Live Arts pada Mei depan.

Vanidah Imran Bersenam Elak Terkena Penyakit Bahaya

Posted: 02 Jan 2014 03:00 AM PST


Vanidah Imran
PETALING JAYA: Pelakon Vanidah Imran (Vee) mengambil inisiatif bersenam hampir setiap hari bagi mengelak daripada terkena sebarang penyakit berbahaya terutamanya, darah tinggi dan diabetis.
Vanidah atau nama sebenarnya Vanidah Amran, 41, berkata, dia berasa bimbangandaikata dirinya mengalami penyakit yang serius, berkemungkinan besar dia tidak dapat menjaga dua orang anaknya iaitu Mikail Aimran, 10, dan Mariyam Rashika, 9 sebaik-baiknya.
"Kalau boleh, saya mahu sentiasa kuat untuk jaga anak-anak. Itu yang paling utama, dan kerana itu juga saya bersenam sebaik mungkin untuk mengelak daripada terkena penyakit-penyakit yang serius.
"Bayangkan apabila sudah terkena dengan penyakit berbahaya seperti darah tinggi dan diabetis, ia sedikit sebanyak akan mengubah kehidupan kita. Alhamdulillah, sejak setahun lalu, saya mula bergiat aktif dalam aktiviti larian terutamanya," katanya kepada mStar Online.
Tambah pelakon filem The Red Kebaya itu lagi, dia juga terlibat dengan aktiviti maraton anjuran syarikat-syarikat korporat bersama-sama dengan beberapa rakan artis lain yang antaranya seperti Sofea Jane.
Malah, suami Vanidah iaitu Rashidi Ishak serta anak-anaknya turut aktif dengan larian maraton.
"Aktiviti sebegini bagus untuk menggalakkan masyarakat bersenam. Saya juga bawa anak-anak menyertai sebarang aktiviti yang melibatkan senaman.
"Jujurnya, apabila terlibat sudah biasa dengan aktiviti kecerdasan, ia sekali gus membuatkan diri kita lebih peka terhadap kesihatan terutamanya dalam penjagaan makanan.
"Sebagai contoh, apabila saya makan dengan kuantiti yang banyak pada siang hari, saya akan pastikan untuk bersenam di sebelah malam pula. Dan ada juga pada masa-masa tertentu saya tak makan malam," ujarnya.

Lengkap sudah hidup saya - Nurul

Posted: 02 Jan 2014 02:59 AM PST



"NAMA dia Zachary Depp," luncur sepotong ayat daripada pemilik nama Nurul Depp atau nama sebenarnya Nurul Huda Abdul Wahab ketika pertemuan bersama Kosmo! hari Jumaat lalu.
Sambil mendukung bayi lelaki yang selama ini diperkenalkan kepada umum dengan sapaan Baby Z, wajah ceria Nurul menampakkan dia kini jelas diulit bahagia.
Penulis bertanya, kenapa perlu dirahsiakan nama bayi sulung hasil perkahwinan keduanya bersama jejaka kelahiran Perancis, Eric Depp, jawab Nurul, dia terasa hati.
"Saya terasa hati dengan sesetengah pihak yang selalu nak tahu semua perkara termasuk soal peribadi yang adakalanya terlalu personal bagi saya.
"Tapi apabila sudah berkongsi, lain pula jadinya, tetap ada perkara yang orang tak puas hati. Jadi, lebih baik saya rahsiakan dulu sampai waktu yang betul-betul sesuai seperti sekarang.
"Pernah saya terfikir untuk tutup semua kisah peribadi saya dan berkongsi pasal kerjaya sahaja tapi tidak adil untuk sesetengah peminat yang optimis dan mengikuti perkembangan saya selama ini.
"Saya tahu saya hak masyarakat dan sebab itu saya dahulukan dengan pengenalan serba sedikit sebelum berkongsi sepenuhnya mengenai anak saya. Sekarang saya sudah bersedia," jelasnya yang hadir bertemankan suaminya, Eric dan anak sulungnya, Ayu Nazirah.
KELUARGA BAHAGIA... Nurul mahukan seorang lagi anak bagi melengkapkan lagi bilangan anggota keluarganya.


Zachary
Nurul, 36, telah mendirikan rumah tangga bersama Eric, 48, pada 6 Jun 2012 selepas kemusnahan rumah tangganya bersama komposer terkenal, Ajai selepas dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ayu Nazirah, 15, hasil perkahwinan pertama.
Sambil menggetus dedaun kata dan memangku Baby Z yang sudah memasuki usia tiga bulan, Nurul mengakui bayi lelakinya tidak banyak meragam sepanjang tempoh berpantang hingga sekarang.
"Kebetulan saya dibesarkan dalam keluarga yang ramai adik-beradik, semua perkara jadi mudah dan Alhamdulillah kelahiran kedua tidak sesukar yang pertama 15 tahun lalu.
"Perasaan gembira itu tidak dapat tergambar oleh kata-kata dan tak sangka saya boleh mempunyai anak lagi, rasa masa sangat cepat berlalu dan syukur saya dapat apa yang dihajati.
"Zachary tidak banyak ragam, memang awal-awal dulu setiap malam akan terjaga tiga kali untuk menyusu tapi sekarang sudah tidak sekerap sebelum ini. Bangun pagi-pagi pun dia akan tersenyum, hati ibu mana tak berseri-seri?" kongsinya.
Memilih nama Zachary, ujar Nurul, selepas menolak 19 buah nama lain yang disenaraikan olehnya dan Eric sepanjang tempoh kehamilan.
"Malah, ada cerita menarik di sebalik nama Zachary sebenarnya. Dulu saya ada menyukai seorang jejaka ketika zaman persekolahan bernama Zakri dan saya akui setiap kali berjumpa dengan lelaki bernama Zakri mesti individu itu rupawan.
"Lagipun, Zachary adalah singkatan daripada nama Zakaria yang bermaksud amanah dan taat. Kalau ada orang mahu mempertikaikan ejaan nama anak saya, tiada masalah dan saya tidak kisah," tegas Nurul.
Tambahnya, Zachary dilahirkan secara normal pada pukul 10.28 pagi 3 Oktober 2013 seberat tiga kilogram, dua minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu 15 Oktober.
Ditanya tentang azam tahun 2014, kata Nurul, dia mahu mempunyai seorang lagi cahaya mata melengkapkan angka tiga selain merancang untuk mengadakan konsert mininya sendiri.
ERIC teruja menempuh perjalanan hidup bersama Nurul.


Syukur
Hanya air mata kegembiraan mengiringi kelahiran cahaya mata sulung Eric yang setia menemani Nurul sepanjang proses kelahiran.
"Takut pada mulanya kerana ini pengalaman pertama saya tetapi pada masa sama, saya rasa teruja. Apa yang mampu saya buat ketika itu hanya berdoa dan memberikan dorongan mental kepada Nurul.
"Paling penting anak saya sihat, sempurna dan Nurul juga selamat bersalin tanpa sebarang komplikasi," kata Eric bersungguh-sungguh.
Eric tidak meletakkan sebarang sasaran atau menentukan hala tuju kehidupan anaknya kelak, baik artis atau perunding pemasaran sepertinya, itu tidak menjadi hal.
"Dia boleh menjadi sesiapa saja yang dia mahu dan saya tiada hak untuk menentukan masa depannya tapi saya mahu dia dibesarkan dengan pembelajaran yang mencukupi, mungkin dia juga ada minat tersendiri," ujarnya yang kini membesarkan sendiri Zachary di rumah tanpa bantuan pengasuh.


Cinta antara benua Azura, Cristiano

Posted: 02 Jan 2014 02:58 AM PST

PASANGAN ini enggan terburu-buru menimang cahaya mata.


PERKENALAN singkatnya dengan jurulatih seni mempertahankan diri Brazil yang dikenali sebagai Capoeira sewaktu mengacarakan sebuah program kesihatan televisyen kira-kira lima tahun yang lalu pantas mengukir bibit-bibit cinta.
Tempoh hubungan mereka berlangsung agak lama, namun, cinta Azura Zainal, 32, dan Cristiano Genuino Da Silva, 38, akhirnya bersatu dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung pada 28 Disember lalu di Restoran Subak, Kuala Lumpur.
Pada majlis itu, Azura yang juga merupakan penyampai di stesen radio Red FM diijabkabulkan oleh bapanya sendiri, Zainal Mohd. Kharib sambil disaksikan oleh kaum keluarga dan sahabat handai pengantin perempuan.
Dengan dua kali lafaz, Cristiano atau nama Islamnya, Ibrahim dan Azura selamat bergelar pasangan suami dan isteri.
Lebih istimewa, Cristiano melafazkan akad pada malam itu dalam bahasa Melayu.
Walaupun kedengaran sedikit pelat, anak jati negara Brazil ini tidak sedikit pun gugup, malah keyakinan dan kesediaan untuk bergelar suami jelas terpancar pada raut wajahnya.
Azura yang kelihatan cukup manis pada majlis pernikahannya itu tersenyum simpul usai upacara pernikahan tersebut.
Dia menerima wang hantaran sebanyak RM3,000 serta dihadiahkan pengantin lelaki tujuh dulang hantaran termasuklah sebuah telefon pintar, kasut dan sepasang persalinan.
Cristiano seperti bapa
Azura yang mula dikenali sebagai pengacara melalui rancangan kanak-kanak Studio Disney memberitahu, Cristiano yang dipanggilnya dengan nama ringkas, Cris itu begitu istimewa di matanya.
Ketika dalam proses mengenali hati masing-masing, jejaka itu begitu mengambil berat tentang dirinya dan tidak kekok walaupun berbeza bangsa dan agama.
"Saya dan Cris mula mengenali antara satu sama lain ketika sedang menjalani pengambaran program Get In Shape. Selepas berjumpa buat kali yang kedua, dia terus mengajak saya keluar makan.

PASANGAN pengantin bergambar kenangan bersama keluarga besar mempelai perempuan.


"Dari situ, bermulalah bibit-bibit cinta antara kami berdua. Dia merupakan seorang yang baik hati dan menerima diri saya seadanya. Walaupun dia sibuk menguruskan studio Capoeira miliknya, dia tidak pernah mengabaikan saya," ujarnya.
Tambah Azura, ketika dia sedang sakit dan terlantar di hospital, Cristiano banyak meluangkan masa untuk menjaganya. Sikap suaminya itu saling tidak tumpah seperti bapanya.
"Saya sangat kagum dengan sifatnya yang begitu mengambil berat tentang diri saya. Sewaktu dimasukkan ke hospital kerana jangkitan demam denggi, Cris selalu datang menjenguk saya. Caranya itu sama seperti cara abah saya menjaga saya ketika sedang sakit.
"Disebabkan itu saya percaya dia merupakan lelaki terbaik yang telah ditakdirkan untuk saya," ulasnya yang tidak mahu terburu-buru menimang cahaya mata dalam masa terdekat ini.
Tiada bulan madu
Wanita bertubuh genit ini ternyata sibuk dengan tugas hariannya sebagai pengacara dan juga penyampai radio. Justeru, dia dan suami belum merancang untuk pergi berbulan madu.
Sambil ketawa, dia berkata: "Cuti tahunan saya telah habis kerana menjalani penggambaran Fear Factor Malaysia baru-baru ini. Bayangkan, sehari sebelum majlis pernikahan, saya masih lagi ke udara dan berada di pejabat sehingga lewat malam.
"Saya bernasib baik kerana abah dan adik-beradik yang lain begitu banyak membantu dalam merancang majlis ini. Mereka sangat faham tuntutan kerjaya saya yang tidak tentu masa ini," ujarnya yang kembali bertugas sehari selepas majlis pernikahannya itu.
Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya, Azura berkata, dia akan mengadakan majlis resepsi pada pertengahan tahun ini kerana tidak ramai yang dapat menghadiri majlis pernikahannya.
"Saya mempunyai keluarga yang agak besar. Ramai antara mereka yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan saya.
"Salah seorang abang saya yang berada di Amerika Syarikat turut tidak berkesempatan untuk pulang atas sebab-sebab tertentu. Jadi, majlis yang akan diadakan itu nanti dapat memberi peluang kepada mereka untuk bertemu dengan saya dan suami," ujarnya.


Soo Wincci dihujani pelbagai krisis

Posted: 02 Jan 2014 02:57 AM PST

KARIER seni Soo Wincci kini dikendalikan oleh pengurusan baharu.


ADA hikmah di sebalik pengiktirafan 100 wanita tercantik dunia (The 100 Most Beautiful Faces 2013) oleh Independent Critics kepada bekas ratu cantik dan penyanyi keturunan Cina, Soo Wincci minggu lalu.
Sebelum mendapat pengiktirafan oleh organisasi yang berpangkalan di United Kingdom dan Amerika Syarikat itu, Soo Wincci, 28, secara mengejut dimaklumkan bahawa bisnes kasut secara usaha sama dengan jenama XES, terpaksa dihentikan dalam tempoh kurang sebulan.
Pada masa sama, berlaku krisis antara pihak pengurusannya sehingga memaksa pengunduran sebelah pihak.
Rentetan itu, kontrak duta bersama beberapa produk kecantikannya telah ditarik balik.
Hampir mengalah dan berundur daripada karier seni, peserta MasterChef All Stars 2013 itu mengakui tertekan dengan beban yang dipikulnya seorang diri dan dugaan yang datang serentak.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Soo Wincci pada majlis sambutan Tahun Baru Ambang 2014 Putrajaya di Dataran Putrajaya baru-baru ini.
Kosmo!: Menduduki tangga ke- 91 sebagai 100 wanita tercantik dunia 2013 sudah pasti mengujakan anda. Pernahkah menjangka akan pengiktirafan ini?
SOO WINCCI: Sama sekali tidak. Mungkin mereka nampak apa yang saya sedang lalukan sekarang. Selain sibuk dengan menyanyi, saya juga berlakon, menyertai rancangan MasterChef dan sedang menyambung pelajaran dalam Ijazah Kedoktoran (PhD) pada satu masa.
Sebenarnya, ini cabaran lebih besar kepada saya kerana pada masa sama saya membawa nama Malaysia, ia sangat membanggakan.
Apakah yang dapat disimpulkan daripada pengiktirafan itu memandangkan anda juga mengalahkan nama-nama besar Hollywood seperti Rosie Huntington-Whiteley dan Amanda Seyfried?
Ada hikmah sebenarnya dan tidak pernah terlintas dalam fikiran. Sehari sebelum mendapat berita itu saya hampir menyerah kalah dan berputus asa. Pengurusan Melayu saya tarik diri dan musnah sama sekali, saya sendiri perlu bergerak sendiri untuk mempromosikan diri.
Kemudiannya, bisnes kasut saya, Soo Wincci by XES terpaksa dihentikan kerana didakwa menggunakan nama hampir sama dengan salah sebuah syarikat kasut terkenal antarabangsa.
Kontrak duta bersama beberapa produk kecantikan juga telah ditarik balik. Semua berita buruk itu datang serentak dan saya hanya mampu menangis sepanjang masa.
Apabila terjadi perkara yang membabitkan pengurusan Melayu sehingga menjejaskan emosi dan kerjaya anda, adakah selepas ini anda sudah serik?
Saya tidak serik dan akan menggantikan pengurusan Melayu saya dengan pengurusan baharu. Orang akan datang dan pergi dan masa akan membuktikan segalanya.
Syukur, sekarang saya ada pengurusan lain yang mengatur jadual saya di Malaysia dan Taiwan.
Bagaimanakah pula dengan masa depan bisnes kasut Soo Wincci by XES anda? Adakah mungkin akan dijenamakan semula?
Kami perlu menghabiskan semua koleksi stok yang sedia ada sebelum perayaan Tahun Baru Cina dan buat masa sekarang saya menghentikan seketika bisnes kasut sehingga betul-betul bersedia. Memang sedih tapi saya pasrah.
Bagaimana anda bangkit semula daripada kegagalan itu?
Saya tanamkan dalam minda, saya perlu hadapi itu semua sendirian, tidak boleh mengalah dan harus berjuang.
Saya menyimpan impian untuk menembusi pasaran Hollywood dan saya perlu berusaha, setiap ujian pasti akan ada kemanisan akhir nanti.
Ini suatu petanda supaya saya tidak berputus asa. Apa yang orang luar nampak, cantik di depan tidak semestinya di belakang pun sama.
Anda kelihatan seperti cuba mengejar semua perkara dalam hidup, bagaimana aturan hidup yang direncanakan sepanjang tahun 2014?
Saya sedang merakamkan album antarabangsa kedua saya di Taiwan dan sekarang berulang-alik ke Malaysia.
Ada dua buah lagu (Happiness dan Not Brave) berjaya memasuki carta negara Taiwan dan saya perlu sentiasa berada di sana untuk mempromosikan produk saya.
Disebabkan jadual padat, saya cuba membahagikan masa sebaik mungkin untuk menamatkan PhD saya sebelum mencapai usia 30 tahun.
Selain itu saya akan berkolaborasi dengan seorang penyanyi dari China serta menyasarkan untuk bekerjasama dengan Shila Amzah di sana.


Andy akui lamar Sammi

Posted: 02 Jan 2014 02:56 AM PST

SAMMI terharu dilamar Andy.


PENYANYI terkenal Hong Kong, Andy Hui baru-baru ini mendedahkan tentang dirinya yang sudah melamar kekasihnya, bintang tersohor, Sammi Cheng.
Menurut laporan akhbar Ming- pao, Andy yang juga seorang pelakon itu telah dikerumuni wartawan ketika dia muncul pada majlis Metro Radio Hits Music Awards 2013 baru-baru ini dan tidak mengelak apabila ditanya tentang perancangan perkahwinannya dengan Sammi.
"Ya, saya sudah melamar Sammi dengan melutut di hadapannya. Saya tenang dan sangat jujur walaupun saya sebenarnya bimbang dia akan menolak lamaran saya itu. Namun, saya tekad untuk melamarnya," tutur Andy.
Andy turut mengakui Sammi telah menitiskan air mata terharu selepas dia melamarnya. Namun, Andy bagaimanapun menegaskan dia dan Sammi belum menetapkan tarikh perkahwinan mereka.


Berdakwah cara moden

Posted: 02 Jan 2014 02:55 AM PST



MENURUT definisi Kamus Dewan tentang perkataan berdakwah, ia bermaksud menjalankan kegiatan menyebarkan sesuatu kepercayaan atau menyebarkan ajaran sesuatu agama.
Seperti yang diketahui umum, aktiviti pendakwahan dalam Islam, telah dilakukan sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi.
Kesinambungan aktiviti tersebut, dilakukan sehingga zaman moden ini. Matlamat utama mubaligh berdakwah adalah untuk menyebarkan ajaran Islam dengan cara memberi tazkirah terhadap masyarakat.
Di zaman serba canggih ini, penggunaan media massa merupakan antara medium yang paling penting dalam kehidupan seharian.
Tidak kiralah sama ada televisyen, radio, media cetak mahupun media yang lain merupakan antara pendekatan yang mudah untuk mendekati masyarakat melalui berdakwah.
Justeru, sejak berabad yang lalu, stesen televisyen khususnya, menggunakan medium tersebut dengan sebaik-baiknya untuk mewujudkan beberapa program dakwah seperti pembelajaran, tazkirah, soal jawab serta kini pencarian pendakwah di zaman serba moden ini.
Sisi berbeza Mimbar Pencetus Ummah
Sejajar dengan tagline, Macam-macam Ada, saluran Astro Oasis telah mengambil inisiatif bagi mewujudkan beberapa program dakwah di bawah saluran mereka.
Antara program yang diwujudkan mereka termasuklah Imam Muda, Ustazah Pilihan dan yang terbaharu, Mimbar Pencetus Ummah.
Apa yang menariknya tentang program berdakwah ini, selain para peserta yang terdiri dalam kalangan penceramah atau pendakwah Islam, pengisian program juga berjaya menarik golongan belia khususnya untuk menonton program tersebut.
Tidak dapat dinafikan, pertumbuhan program berunsurkan pendakwahan pada masa kini, semakin bertambah bilangannya.
RAHMAT antara enam peserta yang masih bersaing dalam Mimbar Pencetus Ummah.


Namun, menurut pengurus saluran Astro Oasis, Namanzee Harris berkata, Mimbar Pencetus Ummah merupakan sebuah program yang memberi ruang kepada pencetus ummah untuk menyampaikan dakwah secara kreatif.
Katanya, antara keunikan Mimbar Pencetus Ummah adalah dari segi pengisian program ini sendiri.
"Kami memang ingin tampilkan sesuatu yang berbeza kerana kami cuba menarik golongan muda yang mana kami menekankan aspek penataan cahaya, audio, visual dan juga mewujudkan persembahan dengan memanggil artis-artis bagi memeriahkan program.
"Antara perbezaan lain yang dibuat ialah kami menggunakan pendekatan laman sosial seperti Facebook untuk masyarakat memberikan idea serta pendapat mereka.
"Jadi, rasanya ini dapat menarik minat golongan belia iaitu remaja khusunya untuk terus menyokong program ini," jelas Namanzee tentang sisi lain program tersebut berbanding program sedia ada.
Pengisian serta konsep MPU
Tema merupakan antara elemen yang dimasukkan dalam program ini. Setiap minggu pihak produksi akan menyediakan tema untuk para pencetus ummah. Bagaimanapun, sejurus mendapat tema, pengisian harus difikirkan oleh peserta untuk disampaikan secara kreatif.
"Mereka akan berbincang dengan ketiga-tiga tenaga pengajar untuk mencari pendekatan yang sesuai. Seperti hadis dan ayat suci al-Quran yang ingin diselitkan, pihak produksi juga telah menyediakan tenaga pengajar yang bertauliah.
"Mimbar Pencetus Ummah merupakan program berunsur pendakwah bebas. Jika saya mampu simpulkan, ia memang berbeza dengan program yang juga kami hasilkan iaitu Imam Muda," ungkap Namanzee tentang perjalanan program tersebut.
Ujarnya lagi, Mimbar Pencetus Ummah merupakan pencarian pendakwah bebas. Justeru, apa yang dicari ialah pelapis pendakwah bebas.
Apa yang paling utama, sudah tentu persembahan para peserta untuk menarik minat penonton terhadap tazkirah yang disampaikan.

ANTARA kelainan yang diterapkan menerusi Mimbar Pencetus Ummah melibatkan peserta perlu menunjukkan bakat dalam sketsa.


Oleh kerana itu, Mimbar Pencetus Ummah diwujudkan dalam dua peringkat. Peringkat pertama, kreativiti dalam penyampaian tazkirah manakala peringkat kedua pula ialah tentang kepakaran dan kecekapan dalam sesi soal jawab.
"Sesi soal jawab ini boleh datang sama ada dalam kalangan penonton mahupun daripada juri dan tenaga pengajar. Penglibatan artis pula kita kategorikan mereka dalam kalangan penonton.
"Cuma kami ingin jadikan program ini sedikit menarik dengan memanggil para artis untuk bertanyakan soalan. Ini kerana kami juga lihat artis memainkan peranan yang penting untuk kami menjadikan program ini lebih menarik dan diterima oleh golongan muda khususnya," jelasnya.
Kejutan minggu keenam
Jika pemarkahan para peserta sebelum ini diberikan oleh juri tetap profesional, namun, Mimbar Pencetus Ummah telah membuat kejutan kepada peserta dan penonton program itu.
Walaupun kebiasaannya peserta tiga undian terendah dipilih oleh juri profesional, namun kali ini, undian telah dibuka kepada penonton untuk memilih siapakan antara enam peserta itu yang layak ke peringkat seterusnya.
"Kami ingin mencari empat orang peserta bagi ke peringkat akhir. Jika sebelum ini kami beri hak kepada orang ramai untuk mengundi hanya untuk tiga peserta undian terendah sahaja, namun kali ini, kami buka undi kepada kesemua peserta.
"Merujuk kepada sokongan yang diberikan oleh orang ramai yang begitu memberangsangkan, kami rasa, amat sesuai jika diberikan kuasa undi sebanyak 30 peratus yang membolehkan keputusan juga datang dari pihak orang ramai," ujarnya.
Ini kerana secara kesimpulannya, tazkirah yang disampaikan adalah untuk penghayatan orang ramai. Justeru, pihak Astro Oasis merasakan, penonton perlu diberi hak sedemikian.
Sediakan platform berdakwah
Kebiasaannya pemenang sesebuah program realiti TV bakal membawa pulang sama ada hadiah berupa wang tunai, barangan, trofi mahupun sijil penyertaan atau penghargaan.
Mimbar Pencetus Ummah pula menawarkan hadiah wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM100,000.
Bagi juara, selain hadiah kemenangan wang tunai sebanyak RM50,000, turut disediakan sebuah kereta sebagai hadiah tambahan.
Namun, kebiasaannya apa yang dilihat, walaupun menjadi juara sesebuah program realiti TV, juara masih terkontang-kanting mencari platform untuk mempersembahkan bakat.

BARISAN peserta Mimbar Pencetus Ummah merupakan sebuah program yang memberi ruang kepada pencetus ummah untuk menyampaikan dakwah secara kreatif.


Justeru, setelah keluar dari program tersebut, maka terkuburlah nama atau bakat kerana ketiadaan platform yang akan mengekalkan nama.
Ketika ditebak persoalan seumpama itu, jelas Namanzee, pihak Astro Oasis memang telah sedia maklum tentang permasalahan tersebut. Oleh itu, pihak produksi telah membuat perancangan terhadap perkara ini.
"Sememangnya ketika mula-mula pihak produksi mencetuskan program ini, memang kami inginkan ia berpanjangan jika mampu. Peserta yang dipilih ini merupakan orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi.
"Oleh itu, bagi juara sudah semestinya kami akan wujudkan sebuah program untuk mereka, manakala yang selebihnya, mungkin kami akan selitkan mereka dalam program-program yang ada dalam saluran kami," ungkap Namanzee yang akan serapkan peserta lain dalam program seperti soal jawab, tazkirah serta indahnya Iman.
Impak
Apa yang mampu disimpulkan, ternyata Mimbar Pencetus Ummah bakal meledakkan fenomena tersendiri dalam penghasilan program realiti TV Islamik. Konsepnya yang berbeza serta pengisian kreatif yang disampaikan oleh para pencetus ummah, ternyata berjaya menarik minat golongan belia khususnya.
Penyampaian dakwah yang bersahaja, tema yang menarik, artis jemputan yang terlibat dalam sesi soal jawab serta persembahan dari kumpulan artis membuatkan episod seterusnya sentiasa dinantikan oleh penonton.
Apa yang menjadi harapan, semoga program dakwah alaf baharu begini diteruskan bagi menarik minat masyarakat kini yang inginkan kepelbagaian terhadap apa jua perkara.
Mimbar Pencetus Ummah disiarkan pada setiap hari Khamis pukul 9 malam di saluran Astro Oasis (Saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (Saluran 135).

Monumen Stonehenge dinaik taraf

Posted: 02 Jan 2014 02:54 AM PST


SEHINGGA kini pakar arkeologi masih mengkaji tujuan monumen Stonehenge dibina kira-kira 5,000 tahun lalu.


SELEPAS beribu tahun kewujudan artifak bersejarah Stonehenge di Wiltshire, England akhirnya, ia mengalami pengubahsuaian. Saat kali pertama menjejakkan kaki, pengunjung pasti merasakan 'sesuatu perkara yang hilang' mengenai monumen prasejarah itu.
Kini, para pengunjung tiba di sebuah pusat yang dibina menggunakan kayu dan kaca. Ia kelihatan bercahaya terletak kira-kira 2.4 kilometer (km) dari Stonehenge.
Batu yang disusun secara bulatan di kawasan landskap hijau itu, kini tidak lagi dapat dilihat dari mana-mana lokasi. Ia adalah pengenalan kepada sebuah tapak dengan kemudahan dan landskap terkini bagi mengembalikan semula 'maruah' Stonehenge. Ia juga membolehkan lebih sejuta pengunjung menyaksikan perubahan monumen itu.
Simon Thurley, juga ketua jabatan kerajaan, English Heritage berkata, pengunjung kini boleh menyaksikan sendiri monumen tersebut bebas daripada semak dan sampah.
Pada Selasa lalu, pengamal media dan ahli English Heritage dibawa melawat sendiri pusat itu yang menempatkan 360 darjah gaya sinerama 'lawatan maya' monumen Stonehenge bersama pameran mengenai masyarakat Neolitik Briton yang membina Stonehenge kira-kira 5,000 tahun lalu.
Apabila bangunan berkenaan dibuka kepada orang awam keesokan harinya, para pekerja akan melupuskan pejabat tiket lama dan struktur bangunan berkelompok yang tidak menarik berdekatan monumen.
Kegemilangan
Jalan raya yang sibuk dengan ribuan kenderaan setiap hari berhampiran monumen itu juga ditutup dan dilitupi rumput. Idea berkenaan bertujuan mengembalikan semula kegemilangan Stonehenge, terletak di 130km barat daya London sebagai sebuah landskap kawasan pedalaman.

PUSAT Stonehenge ini dibina membabitkan kos sebanyak RM144 juta.


Pelawat akan dibawa mengembara menggunakan sebuah kenderaan khas atau berjalan kaki untuk menjelajah setiap laluan dan laluan perarakan purba yang telah beberapa tahun dipisahkan oleh asfal.
Malah, bangunan dua blok satu tingkat baharu iaitu satu blok kaca dan satu blok kayu di bawah bumbung beralun itu dibina sesuai dengan landskap kawasan berkenaan.
"Jika pengunjung tidak mengingati bangunan ini setelah pulang ke rumah tetapi masih ingat kepada monumen, ia sudah cukup baik," kata arkitek, Stephen Quinlan.
Dalam pameran itu, turut dipaparkan pencipta monumen prasejarah tersebut sebagai seorang yang sofistikated. Dia mengembala babi, memburu, mengadakan keramaian dan membina monumen yang penuh misteri itu.
Seorang pengukir forensik, Oscar Nilsson, membentuk semula tengkorak dan wajah seorang rakyat tempatan berusia 5,000 tahun. Wajah berkenaan mempunyai struktur wajah kacak iaitu lelaki zaman prasejarah.
Nilsson berkata, kebanyakan wanita English Heritage jatuh cinta dengan wajah manusia prasejarah itu.
Dana
Dana pengubahsuaian pusat itu dikumpulkan melalui derma selain keuntungan loteri negara Britain melibatkan jumlah sebanyak £27 juta (RM144 juta).
Caj kemasukan meningkat hampir dua kali ganda daripada harga asal iaitu RM42 ke RM78 untuk dewasa. Terdapat kafeteria moden dan kedai menjual barangan cenderahati yang menjual barangan seperti jem Stonehenge, coklat, topi besbol, pad tetikus, magnet peti sejuk dan baju-T tertera Stonehenge Rocks.
Kawasan komersial itu diasingkan daripada monumen asal untuk mengekalkan nilai misteri Stonehenge. Stonehenge dibina melibatkan tiga fasa iaitu antara 3,000 SM sehingga 1,600 SM. Pakar arkeologi percaya, ia merupakan pusat rumah ibadat, bagaimanapun fungsinya masih samar.

PUSAT khas mengenai Stonehenge menyediakan maklumat lengkap mengenai monumen prasejarah itu.


Kajian terkini menunjukkan kawasan itu merupakan tanah perkuburan untuk keluarga elit. Pakar arkeologi sudah menemui beberapa baki badan yang dibakar di kawasan itu dan ditanda dengan batu biru.
Batu bagi Stonehenge yang kedua masih berdiri kukuh dipercayai dibawa dari kawasan sejauh 280km dari lokasi terkini. Pembinaan berlangsung untuk beberapa abad dan ia mungkin menjadi lokasi menyembah Druid, pengiraan kalendar dan astronomi atau lokasi penyembuhan.
Kajian membuktikan, terdapat sekumpulan besar individu yang berkumpul di Stonehenge pada musim panas dan sejuk sehingga tradisi itu diamalkan sehingga kini.
Kurator, Sara Lunt berkata, masih terdapat pelbagai rahsia yang boleh dibongkar.
"Tujuan asal pembinaan Stonehenge masih bersifat misteri. Kita sedar terdapat alasan kukuh di sebalik pembinaan monumen itu dan batu yang disusun dalam bulatan merentasi British Isles pada zaman Neolitik," katanya.


Baja kompos organik ciptaan pelajar sekolah

Posted: 02 Jan 2014 02:53 AM PST



PROJEK baja kompos yang diusahakan oleh pasukan Eco-Greenator dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Kesuma di Beranang, Selangor dinobatkan sebagai juara pertandingan Suara Remaja Memperjuangkan Pemuliharaan.
Ternyata usaha gigih pasukan tersebut selama beberapa bulan sejak bulan Mac 2013 tidak sia-sia.
Ketua projek, Muhammad Afiq Omaruddin, 16, mengakui kejayaan tersebut begitu bermakna buat mereka yang menyertai pertandingan tersebut buat kali pertama tahun ini.
"Alhamdulillah, rasa amat teruja apabila kami diumumkan sebagai juara pada pertandingan akhir ini. Meskipun pasukan lain juga hebat dengan pelbagai projek pemuliharaan, tetapi tuah memihak pada kami," tutur Muhammad Afiq.
Program yang dikenali dengan singkatan YV4C itu merujuk kepada Young Voices for Conservation dianjurkan oleh pertubuhan Treat Every Environment Special (TrEES) sebagai satu inisiatif menggalakkan golongan pelajar mencintai alam sekitar. Ia telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelajaran dan disokong oleh Affin Bank Berhad (Affinbank).

PESERTA dari SMK Bandar Tasik Kesuma memproses baja kompos di sekolah mereka.


Enam terpilih
Pada peringkat awal, sebanyak 39 pasukan dari sekolah-sekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya bersaing untuk merebut tempat ke peringkat seterusnya.
Namun, hanya enam sekolah terpilih ke peringkat akhir berdasarkan projek yang diusahakan bagi memelihara alam sekitar yang berlangsung pada 12 November lalu di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar.
Pasukan tersebut terdiri daripada SMK Cheras Jaya, SMK Taman Sea, SMK Bandar Tasik Kesuma, SMK Serendah, SMK Wangsa Melawati dan SMK King George V.
Menurut Muhammad Afiq, pasukannya berjaya menghasilkan 150 kilogram baja kompos organik daripada bahan buangan taman dan sisa makanan yang diambil dari kantin sekolah.
"Kemudian, baja itu kami gunakan untuk menyuburkan taman-taman di kawasan sekitar sekolah. Malah, sebahagian daripada baja tersebut telah dijual bagi membiayai kos untuk meneruskan pelaksanaan projek ini," jelasnya ketika ditemui.
Sepanjang program ini berlangsung, setiap pasukan tampil dengan penyelesaian sendiri untuk menghijaukan sekolah dan menggembleng tenaga warga sekolah masing-masing bagi menjayakannya.
PESERTA dari SMK Serendah bekerjasama membina pagar taman di cerun yang berhampiran kantin sekolah mereka.


Gubah taman
Selain itu, para peserta turut dibantu merancang dan melaksanakan projek melalui bengkel latihan yang diadakan oleh pihak penganjur.
Pengarah TrEES, Christa Hashim memberitahu, secara keseluruhan, lebih 65 tan bahan kitar semula seperti kertas, plastik, tin, kotak minuman dan minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan oleh sekolah-sekolah tersebut.
"Setiap pasukan juga kreatif menggubah taman yang ditanam dengan pelbagai pokok untuk mempelbagaikan tumbuhan semula jadi di sekolah masing-masing.
"Hakikatnya, melalui pertandingan ini, para peserta dapat mencungkil bakat yang ada dalam diri, meluaskan pengetahuan, menajamkan kemahiran dan mengenali erti semangat berpasukan untuk meraih kejayaan," ungkap Christa.
Antara projek unik yang menarik perhatian ialah pemindahan kelawar yang tinggal di loteng SMK King George V di Seremban, Negeri Sembilan melalui penyediaan sarang kelawar di tempat lain.
Meskipun kelawar berguna bagi alam sekitar, tetapi guano atau najis kawanan haiwan itu mampu membahayakan kesihatan warga sekolah tersebut.

Contoh baja kompos yang dihasilkan pelajar dalam program YV4C ini.


Projek mengusahakan sebuah taman di lereng bukit di SMK Serendah bagi mengelakkan berlakunya hakisan tanah juga harus diberi pujian.
"Kami bimbang keselamatan penghuni sekolah jika berlaku hakisan tanah pada cerun-cerun yang curam bersebelahan kantin sekolah ini. Sebab itulah kami sepakat untuk menanam pokok dalam mengekalkan keutuhan tanah di situ," kata wakil pasukan, Teh Ai Yee, 16.
Bagi pasukan dari SMK Cheras Jaya pula, kertas sisa dan bungkusan plastik dari kantin sekolah yang dahulunya dibuang kini dianggap sebagai sumber yang berharga.
Justeru, mereka bertindak mengitar semula dan menggunakan untuk mengindahkan kawasan taman. Malah, sisa kertas digunakan semula sebagai kantung pelindung sayur-sayuran dan membuat kertas lukisan serta kolaj.
Sementara itu, menggunakan sistem membuat kompos yang digelar bokashi, pasukan dari SMK Taman Sea berjaya mengurangkan sisa makanan mentah dari dapur kantin dan sisa makanan yang sudah dimasak tetapi tidak habis dimakan oleh pelajar.
Kompos bokashi ini digunakan untuk menyuburkan sepetak tanah kosong yang dijadikan kebun sayur-sayuran organik di sekolah mereka.
Usaha ini juga secara tidak langsung mendidik warga sekolah tentang cara menggunakan baja organik untuk menanam buah-buahan dan sayur.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini layari laman www.facebook.com/YV4C.TrEES.


Penemuan spesies haiwan terbaharu

Posted: 02 Jan 2014 02:52 AM PST

TAHUN 2013 membawa sinar baharu kepada para saintis alam sekitar kerana menemui beberapa spesies baharu dan unik. Ia membuka jalan kepada kajian yang lebih mendalam mengenai hidupan-hidupan pelik tersebut agar dapat dimanfaatkan pada generasi seterusnya.
Antara penemuan yang menarik perhatian ialah mentadak yang menyerupai bunga orkid, cicak berhidung panjang dan lintah berwarna merah jambu. Berikut 10 penemuan spesies baharu yang dicatatkan oleh laman web National Geographic.

CYCLOSA membuat sarang palsu untuk memerangkap mangsa dan mengelak serangan musuh.


Labah-labah spesies Cyclosa
AHLI Biologi Hidupan Liar, Phil Torres menemui spesies baharu labah-labah di hutan Amazon ketika membuat kajian di Pusat Penyelidikan Tambopata, Peru. Berukuran 5 milimeter, labah-labah itu dipercayai daripada keluarga Cyclosa, mempunyai teknik helah tersendiri bagi mengelak serangan musuh.
Menurut Torres, haiwan tersebut membuat sarang lima kali lebih besar daripada saiznya sebagai umpan dan sebagai perlindungan daripada musuh. Selain itu, ia akan menyelaputi badan dengan sejenis lendiran membuatkannya kelihatan seperti bangkai serangga yang tergantung di sarang tersebut.
Blobfish haiwan paling hodoh
TINGGAL dalam kedalaman laut 600 hingga 1,200 meter, ikan Blobfish banyak terdapat di luar pantai Australia. Ia boleh membesar sehingga 30 sentimeter panjang dan tidak mempunyai sebarang otot, membuatkan wajahnya kelihatan lembik.
Haiwan seperti agar-agar itu menjadi maskot terbaharu kepada Persatuan Perlindungan Haiwan Hodoh berdasarkan undian yang dilakukan dalam laman web kumpulan itu.
Timun laut gergasi
PARA saintis menemui satu spesies timun laut gergasi yang menggunakan bahagian anus sebagai mulut keduanya. Ia dinamakan Timun Laut California atau Parastichopus californicus yang hidup di laut cetek di luar pantai Pasifik Amerika Utara.
Ia bernafas dan makan menggunakan anus kerana tidak mempunyai paru-paru dan bergantung kepada sistem pernafasan tersendiri iaitu satu set tiub panjang yang terdapat pada tubuhnya. Tiub itu mempunyai rongga dengan mulut dan anus terletak pada penghujung badan.
Berukuran 50 sentimeter panjang, spesies ini sentiasa bergerak aktif. Ia boleh mengepam tiga hingga empat cawan air dalam masa sejam melalui anus. Seterusnya memindahkan oksigen ke bahagian sistem pernafasan untuk kegunaan sel-sel dalaman.
Lintah berwarna merah jambu
SPESIES lintah berwarna merah jambu ditemui di pergunungan Kaputar, Australia yang berukuran 20 sentimeter panjang dengan nama saintifiknya, Triboniophorus aff. graeffei. Menurut renjer Perkhidmatan Hidupan Liar dan Taman Negara Australia, Michael Murphy, haiwan berwarna menarik itu mempunyai spesies yang tersendiri.
"Berdasarkan kajian morfologi dan genetik yang dijalankan oleh pengkaji, lintah ini berasal daripada keluarga Athorcophoridae dan merupakan spesies asli yang hanya terdapat di Gunung Kaputar," ujarnya.

HIDUNG cicak Pinocchio mempunyai struktur yang fleksibel.


Cicak berhidung panjang
REPTILIA berhidung panjang yang disangka telah pupus ditemui semula di hutan Ecuador. Dinamakan cicak Pinocchio atau nama saintifiknya, Anolis proboscis dijumpai oleh jurugambar, Alejandro Arteaga.
"Penemuan ini tidak disangka kerana saya beranggapan cicak berhidung panjang hanyalah sekadar mitos," ujarnya. Para pengkaji mendapati hidungnya yang panjang itu mempunyai struktur fleksibel.
Pertama kali ditemui pada tahun 1953, ia dipercayai semakin pupus sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saintis hanya berjaya menyimpan enam spesimen yang kesemuanya berjantina jantan.
Babi hutan terbesar ditemui di Uganda
SEEKOR babi hutan seberat 275 kilogram yang ditemui di Taman Negara Kibale, Uganda menjadi spesies terberat yang pernah dijumpai setakat ini. Ia mempunyai badan berwarna hitam berduri, pipi bertanduk tajam dan saiznya 2 meter panjang.
Ia ditemui oleh penjelajah National Georgaphic, Rafael Reyna-Hurtado bersama sekumpulan ahli ekologi.
Reyna-Hurtado menjalankan kajian mengenai habitat haiwan tersebut yang bakal merungkai beberapa misteri seperti cara pemakanan, tempat tinggal, komunikasi antara habitat dan beberapa perkara berkaitan.
Tikus kasturi dengan tulang belakang kuat
DI Republik Demokratik Congo, saintis menemui spesies baharu tikus kasturi, Scutisorex thori yang mempunyai tulang belakang yang kuat. Ia merupakan sejenis mamalia pemakanan serangga yang mempunyai ekor sederhana panjang, mata kecil, muncung panjang dan tirus, gigi kecil yang banyak dan tajam serta telinga kecil.
Menurut Pengarah koleksi dan zoologi di Muzium Chicago, Bill Stanley, spesies yang hampir sama ditemui pada tahun 1910 iaitu S. Somereni turut mempunyai tahap ketahanan tulang belakang yang hebat berbanding hidupan mamalia lain.
Pada kebiasaannya, hidupan mamalia mempunyai lima vertebra yang menjadi asas kepada tulang belakang. Namun, tikus tersebut mempunyai 10 hingga 11 vertebra yang memberikan ketahanan tinggi pada tubuhnya.
Olinguito ditemui di Colombia
SEKUMPULAN saintis yang melakukan kajian di Hutan Simpan La Mesenia, Colombia menemui sejenis mamalia kecil iaitu olinguito. Ia merupakan spesies baharu yang dicatatkan pada Ogos tahun lepas. Mereka mengesahkan ia merupakan spesies karnivor pertama yang dijumpai di Hemisfera Barat selepas lebih tiga dekad.
Ia mempunyai saiz kecil dan kuku tajam bagi memudahkan memanjat pokok untuk mencari makanan dan dijadikan tempat tinggal. Selama ini, Olinguito bersembunyi di sebalik dahan-dahan pokok.
MENTADAK orkid melakukan penyamaran dengan bertukar menyerupai bunga orkid.


Mentadak seperti bunga orkid
DUA orang saintis iaitu James O'Hanlon dan Marie Herberstein dari Universiti Macquarine, Australia dan Gregory Holwell dari Universiti Auckland, New Zealand telah berkunjung ke Malaysia untuk mencari mentadak orkid.
Sepanjang pencarian itu, mereka menjumpai beberapa jenis mentadak yang melakukan penyamaran persekitaran, tetapi tiada yang melakukan pertukaran sebaik mentadak orkid.
Ia melakukan penyamaran bagi memudahkan menangkap mangsa yang hinggap pada kuntuman bunga orkid.
Serangga kecil berambut panjang
TROND LARSEN yang melakukan ekspedisi biologi di pergunungan tenggara Surinam menemui satu serangga unik yang mempunyai rambut panjang berwarna jernih.
Ia sukar untuk ditangkap kerana berkemampuan melompat pantas dengan tubuh kecil berukuran 5 milimeter. Disebabkan itu juga, Larsen tidak berkesempatan untuk mengambil spesimen sebagai bahan rujukan dan perbandingan dengan spesies lain.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan