• Udang galah bersepit empatUdang galah bersepit empat yang diperoleh Abdul Rahim dari seorang pemancing.

KOTA TINGGI – Seorang peraih udang di Kampung Makam, di sini, terkejut apabila menangkap seekor udang galah yang mempunyai empat sepit.

Abdul Rahim A Wahab, 54, yang juga pengusaha bot sewa berkata, sejak menjadi peraih udang, penemuan itu merupakan pengalaman pertama dalam hidupnya.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, udang seberat kira-kira 150 gram itu diperolehi dari seorang pemancing di Sungai Seluyut, dekat sini.

"Saya terkejut apabila mendapati seekor udang galah yang diraih dari seorang pemancing mempunyai empat sepit, selalunya udang hanya mempunyai dua sepit sahaja.

"Berdasarkan pengalaman dan seumur hidup saya, memang tidak pernah bertemu atau melihat udang yang mempunyai empat sepit," katanya, semalam.

Abdul Rahim yang juga bekas Tentera Rejimen Semboyan Diraja mengambil keputusan untuk membelanya meskipun ada tawaran untuk membeli daripada orang ramai.

"Ia amat berbeza kerana udang tersebut mempunyai tiga sepit berwarna biru di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri berbanding udang normal.

"Kerana keunikannya, ada juga di antara rakan-rakan berminat dan menawarkan duit untuk memiliki udang tersebut, namun saya lebih memilih untuk menyimpannya.

Katanya, orang ramai yang ingin melihat sendiri udang berkenaan boleh berkunjung di kediamannya di Pangkalan Batu Besi, Kampung Makam, dekat sini.