Wednesday, 11 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Adi Putra‬ Tidak Rasa Malu Kontroversi Skandal

Posted: 09 Sep 2013 06:33 PM PDT

Adi Putra
PETALING JAYA: Kontroversi pelakon Adi Putra yang didakwa mempunyai skandal dengan isteri orang langsung tidak membuatkan aktor itu berasa malu berhadapan dengan masyarakat sekeliling.‬
‪Adi, 32, berkata, dia akur, sebagai selebriti dia tidak perlu berasa takut berhadapan dengan sesiapa pun kerana tahu kebenaran sebenar.‬
‪"Sebagai manusia kita ada rasa segan dalam apa-apa situasi tetapi saya harus akur bahawa saya seorang artis, perlu lalui apa-apa situasi sekalipun.‬
‪"Begitu juga dengan perkara ini (isu skandal), saya perlu menempuh dugaan ini dan berhadapan dengan khalayak secara profesional," katanya.‬
‪Adi ditemui pada majlis pratonton filem KL Gangster 2 di TGV One Utama, di sini, pada malam Isnin.
Isterinya, Aida Yusof, 37, turut hadir pada majlis tersebut.‬
‪Pasa 5 September lalu, Adi dikatakan saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan seorang wanita yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan.‬
‪Adi dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu.‬
‪Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu sehingga mendorongnya membuat laporan polis.
‪Sementara itu, Adi berkata, sejak kontroversi itu tercetus, isterinya pula terkena tempias apabila ada pihak di laman Twitter mengejek Aida kononnya dia masih tidak 'buka mata' dengan peristiwa itu.
‪"Setakat ini isteri sentiasa berada di sisi saya ketika susah dan senang. Orang kata rumah tangga kami goyah? Biarlah apa yang orang nak fikir," ujarnya.‬
‪Tambah Adi dia juga enggan menjelaskan perkara sebenar berhubung kontroversi itu kerana siasatan masih dijalankan.‬
‪"Jangan risau, bila semua sudah selesai, saya akan keluarkan kenyataan media," jelasnya.‬

Dilabel besar kepala, Waris fokus belajar

Posted: 09 Sep 2013 06:32 PM PDT


BARU muncul dengan single Botingkek, Waris kini sedang dalam proses merakam lagu Gadis Jolobu, berkolaborasi dengan Hattan.


PERNAH timbul khabar angin mengatakan penyanyi baharu yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Mixology Music, Waris sudah semakin besar kepala dan kurang berdisiplin.
Dakwaan itu timbul ekoran tindakan Waris atau nama sebenarnya, Muzammil Alias, 24, menolak pelawaan untuk penggambaran fotografi selain sukar memberikan kerjasama untuk sesi temu bual dengan beberapa buah akhbar tempatan.
Waris yang mula popular dengan lagu rap Rembau Most Wanted sekitar awal tahun ini, kini muncul dengan single terbaharu, Botingkek.
Kosmo! bertemu dengan Waris pada perlawanan bola sepak sempena Fiesta Muzik & Bola Eravaganza Era FM di Stadium Hang Jebat, Melaka baru-baru ini dan terus mendapatkan maklum balas daripadanya berhubung isu tersebut.
Kosmo!: Timbul beberapa dakwaan sebelum ini bahawa Waris kini sudah besar kepala dan sukar memberikan kerjasama kepada rakan media. Benarkah?
WARIS: Tidak mungkin! Bukan saya sengaja menolak sesi fotografi atau sukar memberikan kerjasama untuk temu bual tapi saya terpaksa buat kerana pelajaran.
Kalau betul saya perlu membatalkan temu janji pada saat-saat akhir, saya akan berbincang terlebih dahulu dengan individu atau wartawan terbabit.
Sejujurnya, saya tidak boleh memberikan fokus terhadap semua perkara dan hanya boleh meluangkan masa pada hujung minggu atau cuti semester.
Adakah ini bermakna Waris tidak bersedia untuk menjadi artis buat masa sekarang kerana gagal memberikan kerjasama untuk urusan yang penting seumpama itu?
Saya harus utamakan pelajaran dan setakat ini tidak ada lagi perkara negatif timbul mengenai saya.
Saya sendiri terkejut apabila diberitahu akan tuduhan saya sombong ini. Alhamdulillah, kerjaya sebagai penyanyi mampu sedikit sebanyak menampung pelajaran saya.
Mungkin juga Waris terkejut dengan budaya dunia seni yang datang secara mendadak dalam hidup peribadi anda?
WARIS berharap masyarakat memahami situasi dirinya yang sedang belajar walaupun menceburkan diri dalam bidang nyanyian.


Tidak timbul rasanya isu saya mengalami kejutan budaya kerana saya sudah bersedia sebelum mula merakamkan lagu pertama dulu.
Saya akui saya terkejut dengan penerimaan peminat terhadap lagu saya dan tidak menjangka sama sekali akan meledak seperti sekarang. Alhamdulillah orang sudah mula mengenali saya walaupun bukan lagi terkenal.
Apakah penjelasan Waris apabila ada pihak yang mendakwa sukar sekali untuk berhubung dengan anda sama ada melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS)?
Sebab pelajaran! Apabila waktu kuliah, saya minta maaf saya tidak boleh diganggu kerana mahu memberikan fokus dan mahu menghormati pensyarah saya.
Orang ramai perlu faham situasi saya. Kalau boleh saya utamakan, saya akan utamakan mana-mana yang perlu.
Bagaimanakah pula persediaan Waris pada masa akan datang?
Mungkin perkara ini akan mengganggu saya tapi saya akan cuba melakukan yang terbaik. Saya mahu tamatkan pengajian bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Selangor terlebih dahulu.
Dalam tempoh setahun setengah lagi, barulah saya boleh memberikan fokus dalam kerjaya seni. Kalau saya melayan (media) lebih, pensyarah pula akan kata saya kekwat (sombong), jadi saya tidak boleh menangkan hati sesiapa buat masa sekarang. Mana-mana yang saya boleh layan, saya akan layan.
Sementara itu, apakah perkembangan terkini Waris?
Saya dalam proses merakamkan single terbaharu berjudul Gadis Jolobu bersama Hattan dan masih belum siap lagi kerana berdepan sedikit masalah.

Fizo Omar Mahu Bercinta Selepas Kahwin

Posted: 09 Sep 2013 06:27 PM PDT

Fizo merancang untuk mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita pada penghujung tahun ini.
PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar merancang untuk mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita yang baru dikenalinya pada akhir tahun ini dan bercinta selepas mereka mendirikan rumah tangga.
Fizo, 28, berkata, dia yakin dengan kata hati dan nalurinya untuk melangkah ke alam rumah tangga dengan wanita tersebut.
"Saya akui ada merancang untuk bertunang dengan seorang wanita yang baru saya kenali beberapa bulan lalu, namun belum ada tarikh sebenar lagi.
"Biarpun masih awal dan baru berkawan tapi naluri hati saya mengatakan dia wanita terbaik dan keluarga kami merestui hubungan ini, saya rasa lebih baik bercinta selepas berkahwin," katanya kepada mStar Online.
Tambah Fizo, buat masa ini pihak keluarganya belum memutuskan tarikh untuk majlis tersebut.
Ketika ditanya tentang wanita yang berjaya menawan hati pelakon ini, Fizo berkata, calon tunangnya itu merupakan seorang yang sopan.
"Dia seorang yang sopan dan memakai tudung, bukan daripada golongan selebriti.
"Apa yang penting dan buat saya tertarik ialah dia seorang yang sentiasa berfikir tentang bisnes dan ada perniagaan sendiri," katanya.
Sementara itu, mengulas tentang kisah putus cinta dengan wanita bernama Haas Jaafar, Fizo berkata, sukar untuk mencari wanita yang memahami kerjayanya sebagai artis dan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

Jangan Panggil Yuna Diva

Posted: 09 Sep 2013 06:26 PM PDT

Yuna
PETALING JAYA: Kejayaan yang dikecap selama lima tahun dalam dan luar negara tidak membuatkan penyanyi Yuna merasakan dirinya layak untuk menerima gelaran diva.
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai, 27, berkata, dia masih belum cukup matang dalam industri muzik dan menyifatkan gelaran tersebut hanya sesuai buat penyanyi lain seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Shiela Majid atau Ning Baizura.
"Saya belum sedia dengan gelaran diva sebegitu. Bagi saya ia hanya untuk penyanyi yang bekerja keras setelah sekian lama.
"Saya ni pula masih lagi baru dan banyak pengalaman yang belum dipelajari," katanya kepada mStar Online.
Tambah Yuna, mungkin gelaran tersebut relevan untuk dirinya pada masa akan datang ketika pengalamannya di bidang muzik sudah mencukupi.
Sementara itu pengalaman menetap di Amerika Syarikat selama tiga tahun ternyata memberikan impak yang besar buat Yuna apabila anak kelahiran Kedah ini dapat merasakan kematangan dalam nyanyiannya.
"Orang selalu nampak saya hanya boleh membawakan lagu berkonsepkan seperti lagu Dan Sebenarnya tetapi Alhamdulillah semakin hari peminat mula percaya bahawa saya boleh mengalunkan lagu genre lebih serius.
"Malah pengalaman saya membuat persembahan setiap hari membuatkan saya lebih yakin menyanyi dengan vokal yang lantang," jujurnya.
Sementara itu, Yuna yang kini berada di bawah naungan syarikat rakaman milik David Foster iaitu Verve Records berkata, walaupun dia banyak menghabiskan masanya di Amerika Syarikat tetapi dia akan memastikan peminat-peminat di Malaysia tidak terabai.

Zizan Razak Beri Penjelasan Dikatakan Hambar Kendalikan AF 2013

Posted: 09 Sep 2013 06:24 PM PDT

Zizan Razak
PETALING JAYA: Pelawak Zizan Razak menjelaskan dia mempunyai cara penyampaian yang tersendiri dalam mengendalikan program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013).
Zizan, 28, berkata, cara itu adalah penampilan yang dimahukan oleh pihak penerbitan Astro bagi memberi nafas dan konsep baharu program realiti tersebut.
"Masih terlalu awal jika ada yang menilai kelemahan saya mengacarakan AF 2013 pada minggu pertama ini. Berilah peluang melihat perkembangan saya pada minggu-minggu seterusnya.
"Cara penyampaian saya untuk program ini berbeza dengan pengacara terdahulu membuatkan penonton mungkin berasa sedikit janggal," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pakej pelancongan Safirgotravel bersama Zizan Razak, Johan As'ari, Jaafar Onn, Izzue Islam dan Imam Muda Ashraf, di sini, Isnin.
Pada majlis tersebut, Zizan dan Johan diumumkan sebagai artis yang akan menyertai pakej pelancongan ke Abu Dhabi dan Dubai pada 18 hingga 23 November depan bersama syarikat pelancongan Safirgotravel.
Kemunculan Zizan sebagai pengacara AF 2013 pada konsert Prelude Sabtu lalu dikatakan agak hambar untuk sebuah rancangan hiburan yang menjadi fenomena itu.
Tambah Zizan, dia lebih menerapkan elemen lawak jenaka dan bersahaja ketika mengendalikan pentas AF 2013.
Bagaimanapun, katanya, penyampaian tersebut berbeza dengan program-program yang pernah dikendalikan sebelum ini.
"Saya ingin program ini lebih santai dan pelajar tidak terlalu rasa tertekan atau takut.
"Walaupun ada lawak jenaka tetapi ia berbeza dengan lawak jenaka yang saya sampaikan ketika mengacarakan program lawak seperti rancangan Raja Lawak, " katanya.
Tambah Zizan, dia yakin penonton dapat menerima cara penyampaiannya untuk program musim baharu itu.

Sazzy, Norjuma Sertai Minggu Fesyen New York

Posted: 09 Sep 2013 06:24 PM PDT


Sazzy mempertaruhkan jemana Street Fashion.
NEW YORK: Dua orang selebriti Malaysia iaitu Sazzy Falak dan Norjuma Habib Mohamed mendapat peluang buat pertama kalinya memperagakan busana mereka pada PLITZS New York City Fashion Week di Hotel Park Central, tengah kota raya New York pada Ahad.
Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, 32, memperkenalkan 25 fesyen rekaannya yang diberi nama Street fashion pada sesi pagi Ahad manakala Norjuma Habib Mohamed tampil menerusi Aidijuma Tudung Bawal muncul pada sesi petang.
Pertunjukan rekaan Sazzy, yang juga pelakon dan pengacara, sepatutnya bermula pada 9.15 malam Sabtu menerusi slot designer showcase 5 tetapi terpaksa ditunda beberapa kali sehingga 12.30 tengah malam disebabkan kegagalan penganjur memastikan pertunjukan sebelum itu tamat mengikut masa yang disediakan.
Ini bagaimanapun tidak menghalang sekumpulan rakyat Malaysia yang menetap di kota raya ini menunggu bagi memberi semangat kepadanya walaupun sudah lewat malam.
Norjuma memperknalkan Aidijuma Tudung Bawal.
Sazzy yang ditemui Bernama sebelum pertunjukannya berkata, ia merupakan kali pertama rekaannya diperkenalkan pada pertunjukan fesyen antarabangsa.
"Sebanyak 25 fesyen khas untuk pasaran Amerika berjaya direka selepas mendapat jemputan daripada penganjur beberapa bulan lepas," katanya yang ditemani suaminya Nazril Idrus.
Ibu muda itu berkata beliau mula berjinak-jinak dalam bidang rekaan fesyen sejak setahun lepas dan idea memulakan perniagaan fesyen itu timbul ketika dalam pantang selepas melahirkan anak kembar pertamanya.
Beliau berharap penyertaannya pada minggu fesyen New York akan menjadi platform kepadanya untuk menyertai pelbagai lagi minggu fesyen di peringkat antarabangsa termasuk London Fashion Week.
Sazzy dijangka turut memperagakan hasil ciptaannya menerusi model tempatan di sebuah kelab di Times Square anjuran sebuah agensi promosi fesyen terkenal di kota raya dunia itu esok.

Taruhan terbaru Idham

Posted: 09 Sep 2013 06:23 PM PDT


  • Nur Fazura Nur Fazura
MEMBAWAKAN genre psiko-thriller, Tembus yang menggandingkan Aaron Aziz, Nur Fazura dan Luna Maya sebagai bintang utama, mengisahkan konflik dalam sebuah keluarga yang mana si isteri mempunyai hasil pendapatan yang lebih tinggi berbanding si suami.

Kejayaan yang hadir membuatkan tanggungjawab utama kedua-dua pihak berubah sama sekali, namun semuanya berubah apabila anak tunggal kesayangan mereka hilang.

Sepanjang mencari jawapan mengenai kehilangan anak mereka, kebenaran semakin terbongkar.

Turut menampilkan Khir Rahman, Eizlan Yusof serta si cilik, Mia Sara, filem ke-14 terbitan Excellent Pictures ini telah memulakan penggambarannya di sekitar Kuala Lumpur sejak 24 Ogos lalu dan dijangka menemui penonton pada pertengahan tahun hadapan.

Pengarahnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, meskipun filem terbaru taruhannya itu mengangkat kisah kekeluargaan, namun ia membawa mesej yang sangat mendalam untuk dihayati penonton, terutamanya mereka yang sudah berkeluarga.

Selain kekuatan skrip dan jalan cerita, kelebihan Tembus juga terletak pada pelakonnya yang digandingkan menerusi tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

"Saya sanggup membuat pelaburan yang tinggi untuk filem ini dengan harapan ia dapat menembusi pasaran di ketiga-tiga buah negara.

"Dari segi pemilihan  pelakon, saya dah lama nampak keserasian di antara Aaron dan Fazura yang saya rasakan sesuai untuk membawakan watak suami dan isteri.

"Sementara penampilan Luna Maya pula melengkapkan lagi gabungan mereka, sementelah dia juga berminat untuk bekerjasama dengan Aaron Aziz," katanya yang melabur hampir RM1.8 juta untuk filem itu.

Dalam pada itu, pengarah Gangster Celop dan Lari ini turut merancang untuk menghasilkan filem bergenre kanak-kanak, sosial media, aksi dan komedi dalam tahun depan.
Aaron cari kepuasan

Teraju utama filem Tembus, Aaron Aziz, membawakan watak Hari Syah, iaitu seorang suami kepada kepada Nurizza (Fazura) dan bapa Nurzara (Mia Sara) serta mengambil alih tanggungjawab isterinya dalam rumah tangga selain punya rahsia tersendiri.

Katanya, filem ini bertemakan drama keluarga dan diharapkan ia dapat meninggalkan kesan kepada penonton selain cukup rencahnya dalam menyokong penceritaan.

"Jika ia adalah drama bersiri di TV,  pelakon dan pengarah mempunyai cukup masa untuk membina sesebuah watak dalam menonjolkan elemen sedih, konflik dan sebagainya dalam setiap episod," katanya.

Berkongsi mengenai dua jelitawan yang berganding dengannya, Aaron memberitahu, bukan masalah besar untuknya mendapatkan keserasian bersama Fazura dan juga Luna Maya menerusi filem itu.

"Saya dan Fazura pernah bekerjasama dalam filem 'Pisau Cukur', jadi saya tiada masalah untuk mencari keserasian dengannya.

"Namun masa agak singkat untuk saya mengenali Luna. Kami hanya sempat berjumpa dan berborak di set penggambaran. Dengan cara itu, keserasian datang dengan sendiri," katanya.

Dalam pada itu, dia kini mengambil pendekatan yang lebih selektif dalam menerima tawaran berlakon untuk sesebuah produksi.

Ini kerana, katanya, dia mahu melakonkan watak-watak yang mampu memberinya kepuasan pada dirinya dan juga penonton.

"Saya bukanlah seorang yang cerewet, tetapi apa yang saya mahukan ialah kepuasan. Tambahan pula, setiap lakonan saya kini bukan lagi untuk mencari populariti, tetapi lebih kepada mencari kepuasan," tegasnya.

Ditanya mengenai filem lakonannya, KL Gangster 2 yang kini bocor di internet, Aaron berkata, dia yakin ada hikmah di sebaliknya.

"Lihat sahaja pada filem-filem Hollywood, ada yang masih belum keluar di sini, tapi cakera padat video (VCD) cetak rompaknya dah keluar. Tetapi, apabila filem itu ditayangkan tetap ada yang menontonnya," katanya.

Jelasnya, situasi itu menjadi satu daya tarikan untuk penonton ke pawagam kerana seperti yang diketahui VCD cetak rompak itu tetap tidak mendatangkan sebarang kepuasan.

"Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu. Benda ini lama kelamaan akan mendatangkan satu kerugian agak besar pada negara. Ia ibaratkan macam orang datang ambil hasil orang lain dan jualnya di tempat lain," katanya.


Bila Fazura jadi ibu...

Pertama kali memegang watak sebagai seorang ibu adalah satu cabaran besar buat aktres jelita, Fazura.

Heroin drama bersiri Kisah Cinta ini memberitahu, dia banyak membuat kajian demi menghidupkan watak itu itu.

"Saya memegang watak sebagai Nurizza, seorang isteri dan juga ibu muda. Dek kerana sibuk dengan kerjaya, Nurizza membiarkan tanggungjawab menjaga anaknya, Nurzara (Mia Sara) digalas oleh suaminya, Hari Syah (Aaron Aziz).

"Karakter Nurizza juga digambarkan sebagai isteri yang lebih berjaya dari suaminya," katanya.

Meskipun pernah bergandingan bersama Aaron menerusi filem Pisau Cukur, namun bagi Fazura, watak pasangan suami isteri menerusi Tembus tetap memberikan cabaran buat mereka.

"Kadang-kadang, kami kurang berkesempatan untuk berlatih setiap babak sebelum ke set, tapi Aaron merupakan seorang pelakon yang sangat profesional, jadi tiada masalah untuk saya bekerja dengannya," katanya.


Bercinta dengan Shahizey Sam?

Sementara itu, mengulas mengenai gosip yang mengaitkan dirinya dengan aktor kacak Shaheizy Sam, dia bagaimanapun pantas menafikan gosip itu.

"Saya tak bercinta dengan dia. Orang cuma kaitkan saya dengan dia semenjak kami berlakon bersama. Apabila saya berlakon dengan Sam dalam Kisah Cinta dan seterusnya saya juga bergandingan dengannya dalam filem Manisnya Cinta, orang terus kaitkan saya dengan dia.

"Saya anggap ini sebagai asam garam anak seni sahaja. Tapi saya senang bekerja dengan Sam, dia seorang pelakon profesional dan sangat menitik beratkan soal kerja," katanya.


Luna puji Aaron

Pelakon dari Indonesia, Luna Maya mengakui pengalaman bekerja di Malaysia agak santai berbanding di Indonesia.

"Jika di Indonesia, waktu penggambaran bermula seawal jam 8 pagi dan jadual perjalanan masanya sedikit ketat," katanya yang tertarik untuk membintangi filem itu selepas membaca skripnya.

Membawa watak sebagai Marylia, iaitu seorang usahawan dari Jakarta yang sering datang ke Malaysia dan akhirnya jatuh cinta dengan Hari Syah (Aaron Aziz), Luna berkata, dia sangat teruja dapat membintangi filem itu di samping Aaron.

"Ini adalah pertama kali saya berlakon dengan dia. Dia seorang yang sangat berkarakter dan sangat sweet," ujar Luna yang turut mengagumi Ahmad Idham.

Padah rogol pelajar, penjara 10 tahun

Posted: 09 Sep 2013 06:18 PM PDT


  • Padah rogol pelajar Ismadi (kiri) keluar dari lokap menuju ke mahkamah untuk berdepan hukuman, semalam.
KOTA BHARU - Padah merogol kenalan bawah umur yang dikenali melalui panggilan telefon, seorang buruh dihukum penjara 10 tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen. di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus selepas tertuduh, Ismadi Ismail, 39, mengaku salah tuduhan tersebut.

Ismadi didakwa merogol pelajar tingkatan tiga yang berusia 15 tahun enam bulan tersebut di dalam kereta di tepi sebuah tokong Kampung Merabang, Kubang Golok, Bachok, antara jam 9 dan 10 malam, 12 Mei 2012.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah dan dibicarakan, kemudian menukar pengakuannya, semalam.

Pada prosiding semalam, tertuduh diwakili peguam bela, Ilyas mohd Noor memohon hukuman ringan kerana masih menanggung lima anak.

"Tertuduh juga sudah bercerai dengan isteri selepas kes ini dan kadangkala bekerja sebagai pemandu lori sambilan bagi menambah pendapatan. Tertuduh hanya tamat tingkatan dua dan menyesali serta menginsafi perbuatannya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusuf bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh, mengambil kira trauma yang dialami mangsa.

"Tertuduh tidak sewajarnya terlibat dalam kesalahan seksual seperti ini kerana dia sudah berkahwin dan mempunyai isteri ketika kejadian tersebut," katanya.

Ditahan lepas 3 tahun sembunyi

Posted: 09 Sep 2013 06:17 PM PDT


  • Ditahan lepas 3 tahun sembunyi Mohd Azahari mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen semalam, atas tuduhan merogol seorang remaja bawah umur.
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh binaan yang bersembunyi selama tiga tahun selepas merogol seorang remaja bawah umur terpaksa akur apabila berjaya ditahan polis sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Azahari Omar, 30, dari Kampung Pulau Hitam, Belara, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan merogol mangsa yang ketika itu baru berusia 15 tahun.

Mohd Azahari mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam sebuah bilik tidur di Kampung Binjai Manis, Manir, antara jam 9 hingga 9.40 malam, pada 30 Ogos 2010.

Dia mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Zalina Awang @ Mamat di hadapan hakim Aslam Zainuddin.

Sejurus pengakuan tidak bersalah Mohd Azahari direkodkan, Aslam menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Aslam turut membenarkan Mohd Azahari diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Isteri banduan dicekup khalwat

Posted: 09 Sep 2013 06:13 PM PDT


  • Isteri banduan dicekup khalwat Wanita yang ditangkap berkhalwat bersama kekasihnya.
KLUANG – Ketiadaan suami akibat dipenjara atas kesalahan dadah menjadi 'tiket' buat seorang isteri berlaku curang bersama kekasihnya.

Bagaimanapun tindakan wanita berusia 29 tahun itu terbongkar apabila dia dicekup bersama teman lelaki di rumahnya di sini, semalam.

Kelakuan sumbang yang difahamkan berlaku sejak lebih sebulan lalu oleh penduduk setempat yang pada mulanya menyangka lelaki terbabit adalah suaminya.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Khalil Md Noor berkata, berdasarkan laporan yang dibuat, satu pasukan anggota penguat kuasa Jaij melakukan serbuan ke rumah wanita terbabit.

"Setibanya di rumah berkenaan, pihak kami mendapati keadaan rumahnya gelap dan hanya lampu di bahagian dapur dipasang. Sebuah motosikal yang digunakan lelaki tersebut diletakkan di bahagian belakang rumah kononnya untuk mengaburi orang ramai agar tidak mengetahui kehadiran lelaki berkenaan.

"Selepas disiasat, pihak kami mendapati ada penghuni di rumah tersebut kerana kipas angin di ruang tamu terpasang selain terdapat kelibat pergerakan manusia menerusi cermin tingkap," katanya.

Mohd Khalil berkata, selepas mengetuk pintu rumah berkenaan, pihaknya terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum seorang wanita bersama seorang lelaki berusia 29 tahun membuka pintu.

Ketika soal siasat dijalankan katanya, pasangan berkenaan menyatakan bahawa mereka adalah pasangan suami isteri yang sah.

"Namun hasil pemeriksaan dijalankan, pasangan terbabit gagal menunjukkan mereka adalah pasangan suami isteri sebelum mereka mengaku merancang untuk bernikah selepas wanita berkenaan bercerai.

"Apa yang lebih mengejutkan adalah anak perempuan wanita tersebut yang berusia empat tahun turut tidak mempunyai sah taraf melalui pemeriksaan terhadap surat beranak milik kanak-kanak berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pasangan itu disiasat di bawah seksyen Seksyen 27 (1)(a)&(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Kami juga akan membuat siasatan lanjut ke atas kanak-kanak tersebut bagi menentukan kedudukannya yang sebenar," katanya.

Tersingkir bukan tersungkur

Posted: 09 Sep 2013 06:11 PM PDT




PADA era tahun 1980-an di bumi Emiriyah Arab Bersatu, bersatu dua hati dan perasaan yang kemudian dicanai menjadi sebuah cinta sejati.
Cinta antara seorang pemuda Arab dan gadis Korea Selatan yang kemudiannya bersatu di alam rumah tangga itu kemudian membuahkan dua orang zuriat - salah seorang daripadanya dinamakan Amina El Shafei.
Pada usia 29 tahun, Amina kini bangkit untuk menjengah status selebriti bertaraf antarabangsa biarpun dia bukanlah artis yang berkebolehan menyanyi, berlakon atau berteater.
Kejaguhan memasak seperti yang dibuktikan Amina menerusi kemunculan dalam program realiti TV popular, MasterChef Australia musim keempat (MasterChef Australia 4) yang disiarkan di Astro menerusi saluran Lifetime (709) itu telah meletakkan namanya untuk dikenali di seluruh dunia.
Apa yang menimbulkan inspirasi, kebangkitan Amina yang merupakan antara peserta kesukaan ramai dalam MasterChef Australia 4 itu bukan kerana dia berjaya meraih gelaran juara program masakan tersebut.
Malah, dirinya tidak tersenarai dalam kalangan 10 peserta terbaik.
Dia sebenarnya telah tersingkir sejurus sebelum senarai 10 peserta terbaik diumumkan layak untuk meneruskan perjuangan dalam memburu gelaran juara program tersebut.
Namun, tersingkir daripada MasterChef Australia 4 bukan bermakna dirinya langsung tersungkur.
"Sudah tentu saya dilanda emosi kesedihan apabila tersingkir daripada MasterChef Australia 4, sementelah saya hampir-hampir layak tersenarai dalam kalangan 10 peserta terbaik program itu," tuturnya ketika ditemui semasa dia hadir di Kuala Lumpur baru-baru ini yang dibawa khusus oleh Lifetime.
Kembara
Memiliki seraut wajah yang senantiasa menguntumkan senyuman manis penuh ikhlas, Amina ternyata seorang individu yang cukup ceria - sama seperti yang kelihatan ketika dia beraksi dalam MasterChef Australia 4.
Ungkapnya: "Selepas tersingkir daripada MasterChef Australia 4, saya berasa diri ini kosong. Ini kerana saya sudah terbiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti dalam program itu tetapi apabila tiba-tiba saya tidak lagi berada di situ, saya akui agak sukar untuk kembali meneruskan aktiviti memasak. Saya mengambil masa untuk kembali membiasakan diri di dunia realiti."

FIGURA ini begitu kagum dan bangga dengan hasil tanaman segar di Tasmania, Australia.


Selepas meninggalkan segala kenangan manis dan pahit sepanjang berada dalam program tersebut, aura keyakinan dalam dirinya untuk kembali memasak sedikit demi sedikit menyerap dalam dirinya.
"Saya kembali sibuk dengan mengadakan kelas memasak dan demonstrasi memasak," ujarnya yang menetap di Sydney bersama ibu, bapa dan adik perempuannya, Eman, 24.
Amina mengakui, impak daripada penyertaan dirinya dalam MasterChef Australia 4 telah membuka jalan yang terbentang luas buat dirinya untuk meraih kejayaan pada masa depan menerusi bidang masakan.
"Selain cuba mengutip pengalaman dalam bisnes dengan membantu rakan yang mengusahakan restoran masakan Asia Barat, saya juga sedang dalam proses menyiapkan penerbitan buku masakan yang dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun depan," ujarnya yang juga dalam proses merangka sebuah laman web interaktif mengenai segala kegiatan dirinya untuk dihubungkan dengan Twitter dan Facebook.
Peminat muzik jazz ini juga memanjatkan kesyukuran kerana dia kini mampu memenuhi impiannya yang gemar mengembara.
"Selain sudah mengembara ke serata Australia, saya telah berpeluang menjejakkan kaki sejak awal tahun ini ke Sepanyol, Portugal, Maghribi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan kini, Malaysia. Pada bulan September ini, saya dijadualkan ke London dan dalam proses perbincangan untuk ke Pakistan," tuturnya.
Disangka Melayu
Bercerita mengenai kunjungannya ke Malaysia, Amina tiba-tiba tergelak.
Katanya: "Ketika saya di Kuala Lumpur ada ramai orang yang bercakap menggunakan bahasa Melayu dengan saya. Mereka sangka saya orang Melayu, padahal saya langsung tidak faham apa yang mereka perkatakan."

AMINA (berdiri tiga dari kanan) bersama kesemua peserta yang bersaing sesama sendiri dalam gelanggang program MasterChef Australia 4.


Ujarnya lagi, di Malaysia dia begitu kepingin untuk merasai kelazatan murtabak.
"Selain murtabak, saya tidak ingin melepaskan peluang untuk menikmati nasi lemak, ais kacang dan asam pedas. Semuanya lazat!" ungkapnya.
Bagaimanapun, apabila ditanya apakah makanan kegemarannya, beritahu Amina: "Saya tidak mempunyai makanan kegemaran. Ia bergantung kepada mood dan cuaca tempat saya berada sebenarnya."
Namun kata Amina, dia mempunyai tiga bahan masakan yang paling disukainya iaitu minyak zaitun, bawang putih dan yogurt.
"Anda boleh mulakan masakan dengan minyak zaitun. Apabila ia berada dalam kuali, banyak yang boleh dihasilkan daripadanya. Bawang putih pula merupakan bahan asas dalam masakan dan saya sangat sukakan yogurt. Ketiga-tiga minyak zaitun, bawang putih dan yogurt sememangnya merupakan 'penghuni' tetap peti sejuk saya," akuinya.
Falsafah
Di sebalik sifatnya yang gemar berjenaka, Amina memiliki falsafah tersendiri dalam melakukan aktiviti memasak.
"Memasaklah daripada hati. Kalau tidak minat memasak tetapi sekadar memasak kerana terpaksa, maka makanan yang dimasak itu tidak akan lazat dimakan," tegasnya.
Tambahnya: "Sebab itu masakan ibu kita lazat kerana mereka memasak dengan penuh rasa kasih sayang."
Ujar Amina, minatnya dalam masakan bercambah apabila melihat kedua-dua ibu dan bapanya memasak di rumah ketika dia di zaman kanak-kanaknya dahulu.
"Biarpun bapa merupakan seorang akauntan manakala ibu pula seorang jururawat, namun mereka berdua gemar memasak di rumah. Merekalah inspirasi saya," tuturnya.
Menyingkap tentang institusi kekeluargaan, Amina menegaskan, dia juga mengimpikan untuk membina keluarga sendiri.
"Suatu hari nanti, saya mahu berkahwin dan memiliki anak-anak sendiri. Lelaki pilihan saya biarlah yang mempunyai ciri-ciri seperti bapa - penyayang dan prihatin," ujar Amina sambil menguntumkan senyuman penuh makna.

Nabila, Keisha trauma

Posted: 09 Sep 2013 06:09 PM PDT


NABILA begitu sedih dengan kejadian yang berlaku, namun bersyukur kerana Keisha berada dalam keadaan selamat.


PETANG Ahad lalu, hujan yang turun membasahi hampir kesemua negeri di Malaysia membawa cerita duka buat aktres Nabila Huda.
Aktres tersebut telah terbabit dalam sebuah kemalangan di Kilometer 71, Lebuh Raya Karak dekat Bentong sekitar pukul 3.20 petang.
Pada waktu itu, dia menumpang naik kenderaan pacuan empat roda milik rakan artis, Syazwan Zulkifli pulang daripada melakukan promosi drama Jodoh Itu Milik Kita di Karnival Planet Gempak Astro di Kuantan, Pahang.
Kenderaan tersebut dikatakan hilang kawalan akibat jalan licin lalu terbalik beberapa kali.
Bersama Nabila ialah anak kesayangannya, Keisha Laila Zaidi, berusia empat tahun.
Akibat kemalangan tersebut, Keisha patah tangan kiri dan luka-luka. Nabila pula mengalami luka serta menerima jahitan pada tapak kakinya selepas dia terpijak banyak kaca yang pecah sewaktu mahu menyelamatkan Keisha yang tercampak keluar dari kenderaan tersebut.
Sementara itu, Syazwan yang memandu turut mengalami kecederaan kecil.
Selepas kemalangan, mereka telah dikejarkan ke Hospital Bentong, Pahang sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Pakar Damansara, Selangor sebaik tiba di ibu kota.
Bagaimanapun, hanya Keisha yang dimasukkan ke hospital tersebut.
GAMBAR terbaharu Keisha Laila yang kini berada di kediaman Amy Search selepas dibenarkan pulang ke rumah.


Berbicara dengan Nabila melalui sistem WatsApp sehari selepas kemalangan, aktres tersebut memberitahu, dia masih trauma dengan kemalangan yang berlaku sekelip mata.
"Saya masih trauma dengan apa yang terjadi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana walaupun kami semua cedera, namun selamat. Terima kasih atas doa semua orang terhadap kami," ujarnya.
Tambahnya yang berehat seminggu daripada menjalani sebarang penggambaran, apa yang cukup menggusarkan dirinya adalah keselamatan anaknya, berbanding dirinya sendiri.
Tentang dirinya sendiri, Nabila menulis: "Saya hanya mengalami luka-luka pada beberapa bahagian badan manakala tapak kaki menerima jahitan kerana dimasuki kaca.
"Sekarang, badan baru terasa sakit dan saya sedang dalam perjalanan ke hospital untuk menjalani imbasan pada seluruh badan."
Aktres berusia 29 tahun itu saat ditanya tentang tindakan bekas suaminya, Zaidi atau Eddie yang meluahkan rasa kecewa di halaman Twitter mengenai musibah yang menimpa anak mereka, hanya memberi jawapan ringkas.
"Sebagai ibu, saya sangat sedih apabila kejadian ini berlaku. Ia tidak dirancang tetapi sudah terjadi. Saya sedih. Tak apalah, biar dia mahu tulis apa."
Sementara itu, Keisha kini menetap sementara di kediaman bapa Nabila, Amy Seacrh. Vokalis tersebut sewaktu dihubungi melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana biarpun anak dan cucunya mengalami kecederaan, namun apa yang penting mereka berada dalam keadaan selamat.
BEGINILAH kenderaan pacuan empat roda milik Syazwan yang terbalik beberapa kali dalam kemalangan membabitkan dirinya bersama Nabila dan Keisha di Lebuh Raya Karak dekat Bentong, Pahang, Ahad lalu.


"Keisha hanya mengalami luka dan selepas menjalani imbasan seluruh tubuh, doktor mengesahkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman.
"Walaupun dia selamat, namun Keisha agak trauma dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, apa yang paling penting, cucu dan anak saya selamat," ujarnya yang merancang untuk menjaga Keisha sehingga pulih dan menghantar cucu sulungnya itu ke prasekolah bersama anak bongsunya, Qaqa At-Tameemi, 4.
Pada masa yang sama, pelakon yang terkenal menerusi drama rantaian Juvana, Syazwan gagal dihubungi. Dia menutup telefon bimbitnya, namun sempat menulis beberapa perkembangan terkini menerusi laman Twitter miliknya termasuk memuat naik gambar kenderaan miliknya yang terbalik pada hari kejadian.
Malah, Syazwan yang sempat 'diserang' bekas suami Nabila, Eddie yang mendakwa dia bersikap tidak prihatin, membidas dengan menyatakan kekesalannya terhadap musibah yang telah menimpa mereka.
Antara petikan Twitter Syazwan kepada Eddie: "Saya bukan manusia yang tiada perasaan. Maafkan saya, saya faham perasaan awak dan saya juga kesal dengan apa yang terjadi."

Doktor tentera didakwa rasuah

Posted: 09 Sep 2013 06:06 PM PDT



KUNASEEGARAN dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tuduhan rasuah.


SHAH ALAM – Seorang Ketua Makmal Patologi berpangkat Kolonel di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap dua pertuduhan iaitu meminta dan bersetuju menerima suapan RM700,000 daripada pemilik sebuah syarikat pembekal perubatan swasta.
Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 50, didakwa secara rasuah meminta wang tunai RM700,000 daripada pemilik RAZ Medical Supplies, Abdul Razar Abdullah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit milik tertuduh pada pukul 11.58 pagi, 29 Ogos lepas.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersetuju menerima wang tunai berjumlah RM700,000 daripada Abdul Razar di hadapan Empire Gallery Subang Jaya dekat sini pada pukul 5.15 petang, 3 September lepas.

Kaji guna RFID ganti SmartTag

Posted: 09 Sep 2013 06:01 PM PDT


KESESAKAN sering berlaku di plaza tol berpunca daripada sistem pembayaran yang ketinggalan. – Gambar hiasan


JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang mengkaji penggunaan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai alternatif kepada peranti SmartTAG bertujuan untuk melancarkan aliran trafik di plaza tol di negara ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, RFID yang berbentuk pelekat dengan cetakan kod bar dan dilekat pada cermin hadapan kenderaan adalah lebih murah berbanding SmartTAG.
Beliau berkata, teknologi itu sedang diuji oleh PLUS Espressway Berhad di Plaza Tol Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
"Sistem RFID lebih murah dengan kos mungkin RM10 berbanding jika pengguna membeli SmartTag dengan harga lebih mahal.

Lelaki lakukan 13 pembedahan untuk jadi Superman

Posted: 09 Sep 2013 05:57 PM PDT


Chavez bergambar bersama koleksi Superman terbesar di dunia yang dimilikinya.


BANDAR CALAMBA, Filipina - Seorang peminat tegar watak Superman di Filipina sanggup membelanjakan wang sebanyak £4,400 (RM22,337) untuk menyerupai wajah watak adi wira kegemarannya itu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Lelaki itu, Herbert Chavez, 35, sanggup melakukan pembedahan plastik bagi mengubah wajahnya.
Dia mengubah hidung, memutihkan kulit, menyedut lemak bibir, melakukan penjajaran rahang, mengimplan otot perut dan punggung bagi meniru kehidupan sebenar watak Clarke Kent.
Chavez mula jatuh cinta dengan watak adi wira itu yang terkenal dengan kain mantel merah dan lambang logo S ketika berusia lima tahun selepas menonton watak tersebut di televisyen.
Dengan gaji sebanyak 90 Pesos (RM6.57) sejam, dia sanggup berbelanja besar untuk minatnya itu.
Chavez berazam mahu mengajar kanak-kanak mengenai nilai-nilai moral yang baik, di samping menceriakan hari mereka.
Dia juga memiliki koleksi memorabilia Supermen terbesar di dunia berjumlah 5,000 unit termasuk patung sebesar sebatang pokok.

Maine syurga udang karang

Posted: 09 Sep 2013 05:54 PM PDT



PENINGKATAN suhu air tropika di perairan Maine dikhuatiri menjejaskan populasi hidupan marin termasuk udang karang.


PENANGKAP udang karang, Steve Train mungkin dicemburui nelayan-nelayan komersial di seluruh dunia ekoran lonjakan populasi udang karang di Portland, Maine, Amerika Syarikat (AS) yang mencecah jumlah tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah.
Para pelancong pula sanggup membayar AS$15 (RM50) atau lebih semata-mata untuk menikmati potongan udang karang yang dimakan bersama roti. Pencinta alam sekitar melihat populasi tinggi itu sebagai contoh kestabilan hasil laut yang jarang berlaku ketika dunia berdepan aktiviti perikanan berlebihan.
Rekod tangkapan tahun lalu mencecah sehingga 57 juta kilogram (kg) meningkat dua kali ganda berbanding sedekad lalu. Ia menimbulkan persoalan kepada orang ramai sama ada harga makanan laut itu murah seperti makanan harian lain termasuk nuget ayam atau pek makanan sejuk beku.
Ironinya, harga yang dibayar kepada nelayan udang karang di jeti telah merudum. Train memberitahu, bayaran yang diterima tidak mencukupi untuk pusingan modal bagi membeli umpan dan minyak kapal.
"Sukar bagi merancang pelan perniagaan dengan situasi yang berlaku sekarang," luah penangkap udang karang berusia 46 tahun itu yang menjadi nelayan di perairan Teluk Casco sejak remaja.
Walaupun kebanyakan nelayan di dunia berdepan kemerosotan hasil tangkapan, penangkap udang karang di Maine agak bertuah. Baru-baru ini mereka diiktiraf sebagai kawasan dengan aktiviti perikanan paling konsisten oleh Majlis Pengawasan Marin.
Peningkatan mendadak
"Saya yakin peladang jagung, gandum atau penternak ayam melalui situasi sama pada waktu tertentu," kata Pete Daley, Pengurus di Garbo Lobster Co di Hancock, Maine yang merupakan antara pengedar terbesar di AS.
Tambah Daley: "Orang akan bercakap bahawa mereka tidak mendapat harga yang selalu diterima atau harga yang layak diperoleh. Namun, apa yang kita lalui sekarang sebenarnya adalah kesan daripada perkembangan industri."
Tiada siapa tahu mengapa populasi udang karang meningkat secara drastik dalam tempoh yang pantas. Ahli biologi marin, Robert Steneck menjelaskan, ia mungkin disebabkan kombinasi suhu air tropika, penangkapan berlebihan pemangsa di pesisir pantai seperti ikan kod dan sejarah perancangan pemuliharaan berterusan yang dilaksanakan sejak dahulu.
"Udang karang merupakan spesies yang sering menjadi sasaran nelayan lebih 150 tahun dahulu tetapi membiak lebih banyak berbanding masa lalu," ujar Steneck yang juga seorang profesor di Universiti Maine.

KEMUNGKINAN udang karang akan berubah daripada sajian istimewa kepada hidangan biasa, sama seperti makanan laut lain.


Petanda baharu terhadap perubahan ekosistem dan ekonomi dapat dilihat apabila dua pengedar udang karang terbesar di dunia, Garbo dan syarikat yang berpangkalan di Massachusetts, Makanan Laut Pantai Timur mencipta kejutan dalam industri perikanan.
Dua musuh tradisi dalam bidang perniagaan itu mengambil keputusan untuk bekerjasama menukar kilang pengetinan sardin, Stinson Seafood Plant di Pelabuhan Prospect, Maine, kepada sebuah fasiliti memproses udang karang yang dilengkapi teknologi terkini.
Tahun ini, sebuah kilang dengan nama Maine Fair Trade Lobster Co pula akan mengambil seramai 130 pekerja dan memproses 2.3 juta kg udang karang. Kesannya, jumlah kilang memproses udang karang di negeri itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding lima pada tahun 2010.
Sementara itu, para pemerhati menegaskan bahawa masalah sebenar datangnya daripada padanan salah antara ekologi dan ekonomi, kurang kerjasama sesama nelayan dan persaingan harga melampau yang sering dikenakan para pembekal.
Pada musim bunga dan awal musim panas, udang karang akan memenuhi kawasan pesisir pantai bagi menanggalkan cengkerangnya yang keras, menjadikan ia sasaran mudah kepada nelayan udang karang yang menggunakan bot-bot kecil di kawasan berhampiran.
Bagaimanapun, ganjaran jangka pendek itu membentuk kitaran ganas apabila pasaran menjadi tepu dengan pantas dan membuatkan 5,300 penangkap udang karang negeri itu berdepan masalah bagi menurunkan harga pada nilai paling rendah.
"Kita semua mahukan keuntungan. Namun jika anda berada dalam industri ini, anda tidak akan dapat menangkap lebih banyak hasil sekiranya anda tidak mampu menjual hasil sedia ada bukan?" ujar John Jordan, seorang penangkap udang karang yang juga presiden bagi Calendar Islands Maine Lobster Co.
Jordan dan beberapa syarikat lain kini terdesak mencari jalan bagi memasarkan udang karang ke dalam pasaran makanan di luar zon sedia ada, daripada gazpaco iaitu sup campuran tomato, timun, lada benggala hijau, minyak zaitun dan cuka sehinggalah kepada pastri lapis dan quiche. Quiche merupakan doh pai yang banyak lemak dan mempunyai campuran kastard di atasnya.

PUNCA sebenar peningkatan udang karang di Maine masih belum dapat dipastikan.


Stok
Bagaimanapun, sebelum nama-nama besar dalam industri itu mengubah status udang karang daripada tangkapan istimewa kepada sajian harian biasa, pakar industri berpendapat, pertalian dalam rantaian penawaran perlu berjalan lancar.
Ketika ini, lebih banyak udang karang di Maine melibatkan kerja-kerja merebus, menyiang, membeku dan menyimpan makanan laut itu untuk dijadikan stok pada musim kekurangan bekalan.
Bagaimanapun, para saintis memberi amaran bahawa alam semula jadi mungkin mempunyai mesej berbeza untuk disampaikan kepada manusia. Steneck mengatakan, di selatan New England, populasi udang karang merosot pada tahun 1990-an akibat suhu air tropika yang meningkat sehingga ia dijangkiti penyakit dan bergelut untuk pulih.
Apabila air menjadi sedikit panas di Teluk Maine, pakar paling optimis terhadap udang karang. Mereka mengakui wujud peningkatan kebimbangan terhadap populasi hidupan laut di kawasan sekitar. Ia kini dapat dilihat menerusi pengurangan spesies kod dan hadok di perairan itu.
"Tiada pelabur dalam dunia ini yang akan menyarankan anda agar melabur semua duit pada satu stok sahaja. Namun ini yang kami lakukan di Maine," kata Steneck.

Ancam kesihatan manusia

Posted: 09 Sep 2013 05:52 PM PDT




"BESARNYA tikus ini, mengalahkan anak kucing! Sudahlah berbulu-bulu, geli rasanya," rintih Bryan Adrian Narson, 11, kepada gurunya, Surianti Irwan.
Bryan merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Menggatal, Sabah, antara puluhan pelajar yang hadir sewaktu pelancaran Kempen Kawalan Tikus Peringkat Kebangsaan di Dewan Pekan Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Biarpun usianya masih muda, namun persepsi anak kecil ini terhadap tikus yang tergolong dalam keluarga mamalia, rodensia cukup membayangkan haiwan perosak itu mampu membawa masalah yang serius.
Malah, secara umumnya semua mengetahui kehadiran tikus merupakan ancaman utama terhadap keselesaan dan kesihatan kepada masyarakat secara umumnya.
Sekiranya tidak ditangani, ia mampu mendatangkan kesan buruk melalui penularan wabak penyakitnya terutama leptospirosis atau kencing tikus.
"Saya rasa tikus ini mesti dapat makanan banyak sebab saiznya yang besar memandangkan banyak sisa makanan serta sampah di mana-mana sahaja di sekitar bandar raya ini.
"Selepas ini, hendak minta keluarga sama-sama pasang perangkap supaya tikus dapat dihapuskan," jelasnya. Leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.
Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.

SIKAP manusia yang kurang menitikberatkan kebersihan menyebabkan tikus mudah membiak.


Antara haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira termasuklah kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.
Pandangan kanak-kanak itu secara langsung menunjukkan bahawa manusia tidak mendapat sebarang kepentingan dalam hubungan bersama haiwan perosak.
Dalam erti kata mudah, tikus boleh dianggap musuh manusia. Secara umumnya, terdapat sembilan jenis pengelasan binatang tersebut meliputi tikus rumah atau nama saintifiknya, Rattus Ratusdiardi, tikus mondok (Rattus Norvegicus), tikus rumah terkecil (Mus Musculus), tikus belukar (Rattus Tiomanicus) dan tikus rumah kecil (Rattus Exulans).
Selain itu, jenisnya juga termasuk cencorot rumah (Suncus Murinus), tikus besar hitam (Bandicota Indica), tikus besar ekor pendek (Bandicota Bengalensis) dan tikus sawah (Rattus Argentiventer).
Haiwan pengotor
Masalah mengenai lambakan koloni tikus ini bukan sahaja dialami di Sabah malah di seluruh negara.
Sedar atau tidak, ketika berjalan terutama di kawasan pasar dan gerai-gerai makanan pastinya akan melihat gelagat haiwan pengotor itu di sana sini.
Tikus adalah haiwan perahsia dan biasanya hanya keluar pada waktu malam. Jika anda melihat seekor tikus pada waktu siang bermakna jumlah tikus di sesebuah kawasan itu cukup banyak sehingga memaksanya keluar dari tempat persembunyian.
Bagi Surianti, kebersihan tetap merupakan amalan yang perlu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian.
PELAJAR-PELAJAR tidak melepaskan peluang menlihat tikus-tikus yang telah ditangkap pada majlis pelancaran Kempen Kawalan Tikus dan Gotong Royong Perdana 1Malaysia di Dewan Pekan Menggatal, Sabah.


Bertugas sebagai Guru Pendidikan Islam di SK Darau, sikap membuang sampah sarap sekali pun kecil seperti kotak-kotak makanan ringan, tin minuman dan sisa makanan melalui tingkap rumah, restoran dan sebagainya menyumbang kepada persekitaran yang kotor.
Apabila timbunan sampah itu berlaku pasti akan merancakkan lagi kegiatan tikus tersebut dalam penularan wabak penyakit.
"Secara zahirnya, banyak penyakit berjangkit menular di negara kita disebabkan pengabaian terhadap aspek kebersihan.
"Walaupun ia kelihatan enteng, tetapi penjagaan kebersihan kawasan rumah dan sekitarnya adalah satu kewajipan. Jadi, aspek kebersihan tetap harus diutamakan sebagai langkah pencegahan proaktif," katanya.
Sehubungan itu, Surianti menjelaskan ketidaktanggungjawaban itu membuatkan tikus akan melompat-lompat dan mencakar longgokan sampah mencari makanan selain menjadi tempat persembunyiannya.
Pencemaran
Pandangan itu turut disokong rakan sekerjanya, Lau Su Fun yang berharap kempen perdana sebegini dapat mendidik dan meningkatkan kesedaran setiap anggota masyarakat terhadap penjagaan kebersihan alam sekitar.

ABDUL RAHMAN Rahman (dua dari kiri) melihat demonstrasi kawalan penyakit menggunakan teknik fogging.


"Inisiatif ini juga akan membuat kita sensitif ke atas sebarang pencemaran atau apa jua gejala yang boleh menjejaskan kualiti alam sekeliling kita.
"Kita juga harus menjadikan agenda komuniti atau program ini secara berterusan dengan mencegah kekotoran, menjaga kebersihan dan persekitaran menjadi tanggungjawab setiap warga negara," katanya.
Masyarakat harus faham sekiranya rantaian bekalan makanan diputuskan, ia sekali gus mengelakkan tikus membina sarang di persekitaran. Jadi, masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah.
Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam ucapan pelancarannya berkata, sehingga 1 Jun 2013 sebanyak 18 kematian telah dilaporkan dengan 1, 768 kes kencing tikus.
Katanya, ia secara langsung menunjukkan masalah infestasi tikus ini semakin meruncing dan wajar diberi perhatian.
"Seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan, jumlah kes itu meningkat daripada 2,268 kes dengan 55 kematian pada tahun 2011 kepada 3,665 kes dengan 48 kematian pada tahun 2012.
"Seandainya kita tidak mengambil langkah pencegahan awal boleh menyebabkan angka kes dan kematian tahun ini turut meningkat," jelasnya.

Peraga, perkenal dan promosi tudung Fareeda

Posted: 09 Sep 2013 05:50 PM PDT



PESONA tiga wanita yang sibuk beraksi di hadapan lensa kamera betul-betul mencuri perhatian sesiapa sahaja.
Selang beberapa ketika, pantas sahaja mereka memberikan gaya berbeza memenuhi permintaan jurufoto.
Duta dan Jurucakap Fareeda House of Scarf (Fareeda), Mawar Abdul Karim, 23, sentiasa diapit juara pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda musim pertama dan kedua iaitu Norazaliah Ramli, 29, dan Suhaili Mohamad, 26.
Hubungan antara ketiga-tiga model tudung Fareeda begitu akrab sepanjang sesi fotografi berlangsung.
Tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang model, rutin Norazaliah yang lebih senang dipanggil Azalia kini berubah.
"Saya perlu menitikberatkan penampilan diri berbanding sebelum ini. Dari segi pengurusan masa, jika dulu kerjaya saya hanya di pejabat, kini saya perlu bijak membahagikan masa antara pegawai kerajaan dan juga model.
"Kesibukan dua kerjaya itu pula bukan alasan untuk saya mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu," kata Azalia sambil memberitahu sesi fotografi biasanya akan diadakan selepas waktu bekerja.
Diangkat sebagai juara pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda musim pertama, tahun ini genap tiga tahun ibu kepada Damia Firdina Abdullah Faisal, 5, menjadi model tudung Fareeda.
Azalia mengakui perubahan penampilan sepanjang bergelar model memberinya keyakinan dan percaya kepada diri sendiri.

SUHAILI (tiga dari kiri) ketika dinobatkan sebagai juara Pencarian Model Tudung Fareeda bagi kategori bawah 40 tahun pada tahun 2011.


Usikan teman
"Kadang-kadang ada juga kawan-kawan yang mengusik di pejabat dan berkata, 'Model datang, model datang, hanya model yang boleh menggayakan tudung atau baju tu, kita tidak sesuai'.
"Bagi saya penjagaan penampilan diri sangat penting terutama dalam membentuk imej diri supaya lebih berkeyakinan dalam melakukan sesuatu perkara," ujarnya yang mendapat dorongan daripada suami tercinta, Abdullah Faisal Hillaluddin, 29.
Dari segi pemilihan tudung Azalia lebih menitikberatkan soal warna kerana warna memainkan peranan dalam personaliti seseorang.
"Ada yang bertanya kepada saya sama ada tudung Fareeda sesuai dengan mereka atau tidak. Begitu juga untuk menjadikan tudung tersebut sebagai hadiah. Biasanya, perkara pertama saya akan tanya ialah umur si penerima dan jenis tudung yang digemari.
"Tugas saya sebagai model Fareeda adalah untuk memperaga, memperkenal dan mempromosikan tudung jenama ini kepada peminat," katanya yang kini membawa imej Fareeda di mana saja.
Dalam pada itu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, Suhaili, begitu berhati-hati dalam penampilannya selepas menjadi juara Pencarian Model Tudung Fareeda musim kedua pada tahun 2011.
Anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui setiap tingkah lakunya akan dinilai oleh orang awam lebih-lebih lagi apabila menjadi model muslimah.
"Saya berjinak-jinak memakai tudung Fareeda sebelum mengetahui pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda dan setiap paten tudung keluaran Fareeda menjadi buruan saya.
"Tiada paten tudung yang spesifik kerana semuanya saya suka dan ia perlu disesuaikan mengikut situasi atau majlis," kata graduan di Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia itu.

PRODUK keluaran Fareeda sememangnya menjadi pilihan kebanyakan kaum Hawa di negara ini.


Nama Suhaili mekar seiring dengan populariti jenama Fareeda.
"Rutin harian saya berubah dan saya perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan bidang peragaan.
"Jika, minggu itu saya terlalu sibuk dengan sesi fotografi, minggu berikutnya saya akan tumpukan perhatian dengan pelajaran, menghadap komputer atau berjumpa pensyarah," ujarnya yang gemar membaca novel dan menonton wayang.
Ditanya sama ada dia pernah didatangi peminat untuk bergambar, Suhaili memberitahu, dia tiada masalah jika itu yang peminat inginkan selagi tidak menganggu ruang privasi dirinya kerana itu harga yang perlu dibayar setelah menjadi model.
Isteri kepada Mohd. Khairul Yusran Jafar, 31, itu menyimpan banyak kenangan manis sepanjang bersama Fareeda. Memori manis yang paling diingati ialah apabila dipilih untuk membintangi iklan televisyen dan papan iklan.
"Perbezaan paling ketara sejak menjadi model Fareeda ialah saya lebih berkeyakinan dalam melakukan sebarang tugasan yang diberi. Jika sebelum ini saya pemalu dan takut untuk menonjolkan diri, tetapi komitmen bersama Fareeda begitu memberi kesan kepada saya.
"Bagi wanita yang mahu menjadi model tudung Fareeda musim keempat, berusaha dan jangan putus asa. Paling penting, ikhlas dan bersihkan niat untuk menyertai pertandingan. Niatlah untuk sesuatu yang baharu dan bukan untuk mengejar glamor semata-mata," katanya.

Normaliza menjejak mimpi

Posted: 09 Sep 2013 05:49 PM PDT


RANCANGAN Serikan Impian Anda Bersama Fair & Lovely telah membina keyakinan diri Normaliza.


PEMALU dan kurang keyakinan diri, dua karakter yang menggambarkan keperibadian Normaliza Md. Hushim. Setiap perkara yang dilakukan tidak pernah didokong semangat juang berbelah bagi, semuanya sekadar mampu dan cukup-cukup untuk hidup.
Rutin harian wanita berumur 26 tahun itu juga tiada istimewanya. Pagi bekerja di sebuah syarikat swasta manakala waktu malam membantu gerai makan yang dikendalikan oleh ahli keluarganya.
Barangkali sedikit kekuatan untuk menyertai rancangan realiti TV telah meruntuhkan sifat malu yang memagar personaliti Normaliza.
Saat namanya diumumkan sebagai juara rancangan realiti TV Serikan Impian Anda Bersama Fair & Lovely yang bersiaran di TV9, hidup Normaliza berubah drastik. Dia tidak lagi kekok berbicara bersama orang asing bahkan penuh yakin beraksi di hadapan lensa kamera.
"Perkara pertama yang ingin saya ingin lakukan ialah meluaskan bisnes keluarga. Ia tidak perlu berubah menjadi restoran terkenal, namun cukup untuk digemari ramai. Biar keluarga dan rakan-rakan dapat menjamu selera dengan puas, itu yang saya impikan," murni dan ikhlas impian kecil dambaan Normaliza yang berjaya menggondol hadiah utama bernilai RM10,000 daripada rancangan tersebut.
Minat Normaliza dalam dunia masakan terbit sejak dia masih kecil. Singkapnya: "Saya ingat lagi, selepas sekolah saya terus pulang ke rumah memasak untuk keluarga. Kini, selepas bergelar ibu, saya masih menikmati waktu-waktu memasak untuk anak saya.
"Memang telah menjadi impian saya untuk meneroka lebih jauh dalam bidang ini."
Sepanjang rancangan itu berlangsung, Normaliza mengakui bahawa beberapa kali dia berasa tercabar dengan peserta lain. Paling sukar apabila setiap cabaran dia perlu bekerja dengan peserta yang berbeza.
Bekerja secara individu membuatkan wanita itu buntu sejenak untuk menyesuaikan diri bekerjasama dengan pasangan yang ditetapkan. Namun akhirnya dia mula menerima konsep kerjasama yang diterapkan dalam rancangan itu dan berjaya menyelesaikan setiap tugasan dengan pantas.
WANITA berusia 26 tahun ini mahu membesarkan restoran keluarganya.


Mentor
Penglibatan beberapa nama tersohor tanah air dalam pelbagai bidang juga banyak membantu meningkatkan tahap keyakinan peserta. Bagi Normaliza, bermentorkan tukang masak ternama seperti Chef Zamzani Abdul Wahab atau dikenali dengan nama Chef Zam merupakan detik paling berharga sepanjang menyertai rancangan tersebut.
"Chef Zam banyak mengajar saya bekerja dalam kumpulan. Bukan itu sahaja, dia juga memberi banyak panduan cara-cara menggunakan alat-alat dalam dapur iandustri. Kebiasaannya, saya masak dalam dapur rumah sahaja dan baru tahu yang dapur industri jauh berbeza daripada dapur rumah.
"Saya juga merasakan bahawa ganjaran terbesar selain daripada bimbingan Chef Zam ialah perjalanan unik dengan cabaran yang berbeza dan panduan serta nasihat daripada mentor lain," ujar Normaliza.
Sejak bertapak di Malaysia dua dekad lalu, produk kecantikan Fair & Lovely sentiasa berusaha mengubah dan memberi inspirasi kepada kehidupan gadis-gadis Malaysia menerusi kecantikan luaran dan dalaman.
Rancangan realiti TV Serikan Impian Anda Bersama Fair & Lovely merupakan antara usaha berterusan jenama itu bagi membantu golongan wanita di negara ini mencapai kerjaya impian mereka.
Rancangan yang menampilkan 10 gadis pelbagai latar belakang itu berkisar tentang perjalanan mereka bagi merebut peluang menjalani latihan sambil belajar dalam kerjaya impian masing-masing di samping mentor yang berpengalaman.
Rancangan tersebut menyediakan platform kepada para peserta untuk membina semula semangat dan mengejar impian mereka dalam lapangan kerjaya yang berbeza.
Ia juga bertujuan membantu gadis-gadis Malaysia mengikut suara hati masing-masing dalam memulakan perjalanan membina keyakinan diri dan paling penting, untuk mereka menyedari potensi dan aspirasi mereka.

Jiwa urban skirt Muslimah

Posted: 09 Sep 2013 05:49 PM PDT

PADUAN rona ceria dalam skirt atas pinggang ini memberi keyakinan ekstra kepada si pemakai.


LIMA jenis skirt pelbagai corak, warna dan potongan sedia untuk ditawarkan kepada kaum Hawa yang dahagakan penampilan sopan anggun yang moden. Sama ada skirt atas pinggang (high waist) atau empat pecahan skirt potongan duyung (mermaid), golongan Muslimah pasti tampil ranggi bersama rekaan unik noreen z.
Skirt duyung klasik menggunakan nama Atiya misalnya, direka ringkas dengan penekanan diberikan kepada lapan panel yang menawan. Bagi mereka yang gemarkan ropol bertingkat, skirt duyung Ranya memenuhi cita rasa fesyen anda dengan ropol tiga lapis.
Perwatakan feminin juga ketara apabila menggayakan skirt duyung Naila. Ropol selapis bermula dari lutut hingga ke bahagian bawah skirt kelihatan mewah apabila ditambah dengan corak abstrak yang melatari koleksi tersebut.
MUDAH disuai padan. Skirt koleksi noreen z tidak janggal membentuk gaya Muslimah yang moden.


Cipta gaya eksklusif bersama skirt duyung Kayla yang memberi tumpuan kepada ropol pada bahagian bawah sahaja. Ropol bawah dengan panjang kira-kira 25 sentimeter itu membuatkan langkah si pemakai lebih elegan tatkala ia beralun lembut mengikut rentak kaki.
"Memang skirt ini direka berteraskan fesyen Islamik, namun ia masih boleh digayakan wanita tidak bertudung kerana ia mudah membentuk pelbagai gaya yang unik.
"Kesemua skirt dilengkapi pelapik dan saiz disediakan bermula daripada XS sehingga XL mengikut standard orang Asia.
"Dari segi penggunaan material, kami banyak menggunakan satin, tetapi satin itu diterbalikkan. Bahagian kain yang berkilat itu dijadikan bahagian dalam agar fungsi skirt itu tidak terhad kepada acara tertentu.
SKIRT potongan duyung Naila menyerlahkan sisi feminin.


"Kita tahu bahawa satin berkilat tidak sesuai digayakan secara santai, jadi kami cuba ubah prinsip itu, malah ramai pelanggan mengatakan bahagian dalam skirt sangat selesa.
"Selain itu, kami turut menggunakan fabrik wool peach yang hampir sama seperti satin cuma tidak berkilat dan kain kapas," jelas Ketua Pegawai Eksekutif noreen z, Noreen Zulkepli.
Disasarkan kepada wanita berumur 16 hingga 35 tahun, skirt di bawah jenama noreen z banyak bermain dengan warna dan berani mengadunkan lima hingga enam rona dalam satu skirt. Antara palet popular ialah hitam, ungu lavender, merah, biru diraja, emas dan hijau.
Ia dijual pada harga RM95 hingga RM140 berdasarkan material dan kuantiti kain yang digunakan.
Kunjungi laman Instagram noreen z menggunakan nama noreenzulkepli bagi melihat semua koleksi skirt dan cara-cara suai padan yang elegan. Untuk tempahan pula, e-mel kepada noreen.zulkepli@gmail.com.

Mencorak grafik pada mesin kopi

Posted: 09 Sep 2013 05:47 PM PDT


SERAMAI 16 peserta dari lapan buah negara Asia akan dipilih bagi berentap pada pusingan akhir mereka corak pada mesin kopi Nescafe Dolce Gusto.


JENAMA mesin pembuat kopi yang elegan dan variasi kopi ala kafe untuk kediaman peribadi, Nescafe Dolce Gusto buat julung-julung kalinya melancarkan Peraduan Rekaan Asia.
Peraduan yang dijalankan pada laman rasmi Facebook jenama itu memberi peluang kepada pengguna laman sosial bersaing antara satu sama lain bersama lapan negara Asia lain.
Mereka yang berminat hanya perlu mendaftar pada laman rasmi Facebook Nescafe Dolce Gusto (Malaysia) atau mengikut negara masing-masing dan menghasilkan rekaan eksklusif bagi mesin tersebut menerusi dua pilihan yang diberikan.
Pertama, anda boleh menggunakan alatan grafik khusus yang disediakan pada paparan laman Facebook yang sama atau memuat turun fail imej tersebut dan menggunakan perisian grafik pilihan masing-masing.
Setiap rekaan istimewa bagi mesin tersebut mendokong stail bersifat individualistik dan personaliti unik sekali gus memberi pengalaman baharu kepada rakyat Malaysia saat menikmati secawan kopi.
Para peserta yang menyertai peraduan itu perlu menghantar dan berkongsi satu atau beberapa hasil kerja kreatif mereka pada aplikasi yang disediakan pada laman Facebook tersebut. Ia kemudiannya akan dinilai oleh peserta lain dari negara-negara Asia yang terlibat.
Peraduan itu terbahagi kepada dua bahagian, pertama peringkat kebangsaan yang bermula sejak 27 Ogos lalu sehingga 6 Oktoberini. Seramai dua pemenang akan dipilih bagi mewakili negara masing-masing. Seorang dipilih berdasarkan jumlah undian tertinggi dan pemenang kedua ditetapkan oleh juri antarabangsa.
Mesin kopi dengan rekaan grafik menarik pasti memberikan pengalaman baharu ketika menghirup secawan kopi.


Kedua-dua pemenang itu akan bertanding di peringkat Asia. Peringkat akhir peraduan itu bakal menyaksikan 16 peserta dari lapan negara Asia yang akan bersaing pada 26 Oktober ini di Tokyo, Jepun.
Mesin kecil Nescafe Dolce Gusto Genio pula menjadi satu-satunya mesin pembuat kopi khusus bagi menghasilkan secawan kopi. Tujuannya ialah bagi memberikan tekanan sehingga ke paras 15 secara profesional untuk menyediakan secawan kopi sempurna dalam masa kurang seminit.
Kini, mesin hasil inovasi baharu itu sedia untuk dimiliki pencinta kopi dan orang ramai berpeluang mencipta rekaan tersendiri bagi mesin tersebut. Rekaan terpilih akan dikeluarkan dalam koleksi edisi terhad pada tahun 2014.
Jadi, jangan lepaskan peluang menjadi pereka muda yang berbakat untuk mesin istimewa tersebut. Pemenang pereka mesin Genio dengan undian tertinggi akan diumumkan pada majlis anugerah kelak yang secara automatik akan dijadikan sebahagian daripada koleksi edisi terhad Nescafe Dolce Gusto.
Peraduan yang pertama kali diadakan itu turut mendapat kerjasama daripada agensi pengiklanan, Now Available yang juga rakan komunikasi jenama tersebut di Itali.
Untuk keterangan lanjut tentang peraduan atau maklumat berkenaan Nescafe Dolce Gusto, layari laman web www.asiandesigncontest.com.

Kek nanas identiti Taiwan

Posted: 09 Sep 2013 05:46 PM PDT


VIGOR Kobo menghasilkan 100 peratus produk dan pastri menggunakan nanas.


KETIKA menjengah Kilang Vigor Kobo yang terletak di Jiuquan Street, Taipei, Taiwan tiada apa yang luar biasa. Namun, persepsi itu berubah tatkala melangkah masuk ke sebuah kilang yang moden dan canggih.
Bukan itu sahaja, dalam kalangan rombongan Malaysia ke sana, masing-masing teruja apabila melihat pembuatan dan merasai kuih yang dikenali sebagai kek nanas atau dalam bahasa Mandarinnya fengli su persis kuih tat nanas yang merupakan kuih wajib pada Aidilfitri.
Kreativiti masyarakat Taiwan menyebabkan nanas menjadi satu industri yang berskala besar di negara tersebut. Kilang Vigor Kobo juga mendapat jolokan Kerajaan Nanas atau Pineapple Kingdom kerana menghasilkan 100 peratus produk dan pastri menggunakan bahas asas iaitu nanas yang ditanam secara meluas di Taiwan.
Inisiatif pengasasnya yang menjadikan semua produk berstatus halal menjadi nilai tambah terutama kepada pelancong Islam yang bertandang ke negara yang 99 peratus penduduknya masyarakat Cina.
Diiktiraf
Rekod kilang ini cemerlang. Dalam tempoh beberapa tahun kilang ini dibangunkan, produk Vigor Kobo telah menerima banyak pengiktirafan di peringkat kebangsaan termasuk antarabangsa.
Namun paling mengujakan warga Vigo Kobo pastinya apabila kerajaan Taiwan menyenaraikan kilang itu sebagai antara destinasi wajib dikunjungi oleh pelancong luar.
Prestasi kilang semakin memuncak apabila pada tahun 2008, kuih nanasnya dinamakan sebagai 10 produk yang disyorkan sebagai buah tangan paling popular di negara yang berkeluasan 35,980 kilometer persegi itu.

KAKITANGAN Vigor Kobo memastikan kebersihan sebagai aspek penting dalam mengendalikan produk mereka.


Seperti kata jurucakap Kilang Vigor Kobo yang mahu dikenali sebagai Han, 27, mereka berkembang dengan pesatnya daripada permulaan yang sederhana sejak tahun 1992.
"Kek nanas merupakan makanan tradisional Taiwan, nanas merupakan simbol tuah kepada masyarakat di sini.
Kami gembira kerana pada tahun ini, sudah 18 tahun kami beroperasi, sebelum ini lokasi kami hanya di sebuah tapak kecil, di Tamsui, namun selepas momentum bisnes semakin baik kami berpindah ke tapak baharu yang lebih gah di Jiuquan Street.
"Kami juga mempunyai 13 cawangan kedai lain yang terletak di Taipei, Kaohsiung, Taichung, Kaohsiung termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan," katanya yang bertutur dalam bahasa Mandarin dan diterjemahkan oleh jurubahasa kami, Prof. Ma.
Apakah rahsia di sebalik populariti kek nanas ini? Jawab Han semasa rombongan yang turut membawa 20 kanak-kanak dari Rumah Jalinan Kasih, Cheras, Kuala Lumpur dan kru produksi Safiyya, TV9 melawat sekitar kilang: "Kami masih mengekalkan resipi tradisional warisan nenek moyang kami namun kami menyesuaikan sajian klasik itu menggunakan teknologi dapur moden selari dengan perkembangan dunia yang semakin canggih."
Ujar Han, mereka juga menggunakan bahan-bahan segar dan yang paling dititik berat ialah mengurangkan penggunaan gula dalam setiap penyediaan.
Selain kek nanas, kuih tat juga dijual kerana rasa dan saiznya yang hampir serupa di negara ini, Han memberitahu ada 10 lagi jenis pastri berasaskan nanas.
Antaranya, kek merah hijau, kek nanas taichi, kek nanas arang, kek taro, kek kuning telur dan nanas, kek buah berangan, shortcake kuning telur, kek susu matahari, nougat dan lain-lain.

Kek nanas yang dihasilkan di kilang Vigor Kobo berstatus halal.


Salah satu ruang yang mencuri perhatian di Kilang Vigor Kobo ialah Pineapple Cake Do It Yourself (DIY) Area. Lokasi ini menurut Han, disediakan kepada para pengunjung untuk merasai pengalaman membuat sendiri kek nanas.
Sijil penghargaan
Sebagai menghargai kedatangan kami, pihak kilang memberi peluang kepada ahli rombongan mengadun, membentuk dan melihat hasil air tangan kami dibakar dalam sebuah ketuhar canggih.
Sememangnya rasa kek nanas yang kami hasilkan serupa dengan kuih tat yang dihasilkan oleh ibu atau pengusaha tempatan di negara kita.
Kami turut diberikan sijil penghargaan yang mengesahkan penyertaan kami membuat sendiri kek nanas di sana.
"Selain rakyat Malaysia, ramai kumpulan pelancong dari Hong Kong, Macau, Singapura dan Cina juga telah diberi kesempatan membuat kuih tradisional kebanggaan kami.
"Mereka semua telah membawa hasil kek nanas buatan mereka dengan bungkusan yang menarik untuk dijadikan hadiah kepada saudara-mara mereka di negara masing-masing," kata Han.
Ujar beliau, Vigor Kobo bermatlamat memberi servis yang terbaik dan memudahkan pengguna terutamanya kepada pelanggan antarabangsa. "Selain penghantaran dalam negara, kami turut menawarkan penghantaran ke luar negara, mereka hanya perlukan isikan borang yang disediakan," katanya. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Vigor Kobo, boleh layari www.vigorkobo.com.

Novel peperangan zaman Rasulullah

Posted: 09 Sep 2013 05:45 PM PDT

HIZAMNUDDIN setakat ini telah menghasilkan lima buah buku perniagaan, motivasi dan novel sejarah yang sesuai dengan cita rasa dan adat masyarakat Timur.


MENGHASILKAN novel berbentuk sejarah Islam dengan harapan ia dapat menjadi panduan generasi muda merupakan matlamat penulis, Hizamnuddin Awang, 44, yang berasal dari Jerteh, Terengganu.
Dunia penulisan sememangnya tidak pernah jauh bagi bapa kepada lima orang cahaya mata yang pernah bertugas sebagai penyelidik dan pegawai pemasaran di MIMOS Berhad dan Jaring Communication Sdn. Bhd. (Jaring) itu.
"Saya bergiat aktif dalam bidang penulisan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi, sains, teknologi dan peradaban manusia bermula tahun 1995 di Dewan Kosmik, Dewan Ekonomi, Dewan Masyarakat, Usahawan Sukses dan Majalah PC.
"Ketika bertugas di Jaring, saya telah melaksanakan tugas-tugas sebagai penulis, penyunting bersekutu dan pengarang bagi majalah Jaring Internet Magazine. Oleh itu, menulis sememangnya menjadi minat saya dari dahulu lagi," katanya yang turut menjalankan sebuah perniagaan katering.
Setelah lebih 10 tahun bersama Jaring, Hizamnuddin yang terkenal dengan nama penanya, Web Sutera, telah mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang penulisan sekitar tahun 2006.
Katanya, keinginan untuk memberi tumpuan pada bidang penulisan tercetus apabila beliau sendiri mendapati kekurangan buku-buku motivasi keluaran anak tempatan di pasaran.
"Oleh itu, saya mula menghasilkan buku-buku berkaitan dengan motivasi yang berbeza daripada yang dihasilkan penulis asing. Saya memastikan buku itu sesuai dibaca oleh rakyat tempatan.
"Buku motivasi Barat dilihat sarat dengan elemen-elemen kebaratan dan tidak sesuai dengan adat ketimuran," katanya sambil memaklumkan buku motivasi pertamanya berjudul Buat Duit dengan Katering.
Selain buku motivasi, beliau juga gemar gaya penulisan berkaitan perniagaan dan sejarah.
"Saya bukan seorang yang mahir menggunakan bahasa retorik dalam penulisan. Oleh itu, saya lebih gemar menulis mengenai sejarah," ujarnya.

HIZAMNUDDIN meminati novel yang bergenre seram dan ngeri serta karya-karya cerpen dan novel sasterawan negara.


Mesej penulisan
Sejak tahun 2007 sehingga hari ini, beliau berjaya menghasilkan dua novel sejarah, dua buku motivasi dan sebuah buku perniagaan.
Novel terbaharunya adalah genre sejarah yang berjudul Konstantinopel: Kibaran Panji Al Fateh yang menyasarkan pembaca yang meminati sejarah Islam.
"Ia adalah novel kedua selepas Macedonia : Alexander Agung Hijab Raja Zulqarnain yang menceritakan mengenai ketokohan Raja Zulqarnain. Ia mula didapati di pasaran sejak Mei lalu.
"Walaupun sibuk dengan perniagaan katering bersama isteri, saya berjaya menghasilkan novel ini dalam tempoh enam bulan sahaja," ujarnya.
Ditanya mengenai novel yang setebal 885 muka surat yang dijual pada harga RM29 itu, lelaki yang tidak lekang dengan senyuman ini berkata, ia berkisar Kota Konstantinopel yang kemudiannya dikenali sebagai Istanbul, Turki.
Menurutnya, Konstantinopel merupakan sebuah kota yang menjadi rebutan pelbagai pihak termasuk kerajaan Rom.
"Betapa pentingnya Konstantinopel dalam sejarah Islam dan Kristian sehinggakan ia disebut oleh Rasulullah semasa Perang Khandak.
"Ia juga memperlihatkan tanda-tanda kenabian Rasulullah yang sering menceritakan kejadian yang akan terjadi pada masa akan datang, selain peranan Muawiyah Abu Sufiyan dengan seorang lagi sahabat Rasulullah iaitu Abu Ayub Al-Ansari," kata Hizamnuddin.
Katanya, novel tersebut banyak menyentuh perjuangan tentera Islam, khususnya Sultan Muhammad al-Fateh.
Beliau menjelaskan, inspirasi novel itu datang daripada kisah tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah itu dan banyak melakukan penyelidikan dan pemahaman berkaitan kisah tersebut.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia itu kini sedang menulis sebuah lagi novel dan buku motivasi.
"Ia berjudul Kombat Armagedon dan buku motivasi yang berjudul Hijrah Champion Gaya Rasulullah yang akan diterbitkan pada tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya ringkas.
Beliau tidak menafikan akan mencuba pelbagai genre penulisan pada masa akan datang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan

Politik

Politik