Khamis, 26 September 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Sundra mungkin latih Negeri Sembilan

Posted: 24 Sep 2013 09:37 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Seremban: Negeri Sembilan dijangka mempunyai ketua jurulatih baru dengan pengendali LionsXII, V Sundramoorthy menjadi pilihan utama bagi menggantikan Divaldo Alves yang disingkirkan Jun lalu.

Sumber Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) bagaimanapun tidak dapat memperincikan perkara itu kerana perbincangan sedang dijalankan antara kedua-dua pihak selain Sundramoorthy masih mempunyai tugas dengan LionsXII yang mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia.



"Tapi, Sundramoothy dijangka datang ke sini (Seremban) dan memulakan tugas sebaik berakhirnya Piala Malaysia," katanya, semalam.

Dalam pada itu, PBNS akan membuat rombakan besar-besaran bagi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan selepas prestasi mengecewakan musim ini.


Ini berikutan sebahagian besar pemain skuad berkenaan bakal menamatkan kontrak sebaik kempen musim ini berakhir awal November nanti, selain bagi membentuk skuad lebih mantap untuk membawa kembali pasukan ke Liga Super musim 2015.


"Sebahagian besar pemain musim ini bakal tamat kontrak sebaik kempen Liga-M kali ini berakhir. Ada kalangan mereka tidak ditawarkan kontrak baru selain ada yang tidak berminat untuk terus bersama Negeri Sembilan kerana mendapat tawaran lebih baik daripada pasukan lain.

"Justeru kita terpaksa membuat rombakan besar-besaran dengan mengambil beberapa pemain lain yang berminat menyarung jersi Negeri Sembilan.


"Biarpun akan beraksi dalam Liga Perdana usaha membentuk satu pasukan mantap penting bagi membolehkan kita dapat bersaing dan kembali ke Liga Super musim 2015," kata sumber itu.

Antara pemain yang bakal tamat kontrak ialah Mohd Alafi Mahmud, Shahurain Abu Samah, Kaharuddin Abdul Rahman, Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Nazrin Mohd Nawi.


Shahurain dan Mohd Nazrin dijangka menyertai pasukan FELDA United FC dan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada musim depan selepas dikatakan mendapat tawaran gaji lebih baik daripada pasukan terbabit.

Usah ghairah kejar wang

Posted: 24 Sep 2013 09:35 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Foto

Kuala Lumpur: Jangan kelabu mata dengan tawaran lumayan.

Itu peringatan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar terhadap pemain tempatan yang kini semakin ghairah dipancing beberapa pasukan sedia berbelanja besar untuk menghadapi Liga Malaysia tahun depan.



Katanya, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan selain bayaran lumayan yang ditawarkan sesetengah pasukan.

"Buatlah pilihan yang tepat, jangan pandang duit saja. Walaupun mendapat tawaran sehingga RM50,000 sebulan, pemain perlu memikirkan bagaimana peluang untuk beraksi dalam sesebuah pasukan, adakah mampu berada dalam perancangan jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama atau sekadar memanaskan bangku simpanan. Bagaimana pula dengan aspek keserasian dengan jurulatih atau pemain lain? 

"Secara tidak langsung perkara seperti ini perlu diberikan perhatian terutamanya pemain kebangsaan. Bagi seseorang pemain, apabila tidak kerap beraksi atau sekadar menjadi pemain gantian, ia bakal mempengaruhi prestasi di peringkat lebih tinggi terutamanya apabila dipanggil menyarung jersi negara. Sebab itu pertimbangan sewajarnya perlu sebelum membuat keputusan," katanya yang juga kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pemain berusia 34 tahun yang berpengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan turut berpandangan kehadiran pemain bintang yang terlalu ramai mewakili sesebuah pasukan bakal menjurus kepada berlakunya situasi berkenaan kerana tidak semua pemain mendapat peluang bermain.


Sebahagian besar pasukan tempatan kini giat memancing pemain ternama tempatan dengan tawaran gaji lumayan sebagai persiapan menghadapi musim depan.

Antara yang mendapat tawaran lumayan penyerang Selangor yang juga pemain kebangsaan Mohd Amri Yahyah yang difahamkan mendapat tawaran RM1 juta daripada Johor Darul Takzim selain beberapa pemain kebangsaan lain seperti Asraruddin Putra Omar, Norazlan Razali, Norfarhan Muhammad dan Mahali Jasuli.


"Bagi saya ini perkembangan baik (tawaran lumayan dan sokongan peminat yang semakin meningkat) kerana sudah banyak pasukan berani berbelanja besar untuk mendapatkan pemain tertentu. Sebagai balasannya pemain perlu meningkatkan prestasi supaya sepadan dengan gaji diterima.


"Malah saya ingin mengingatkan semua pemain supaya tidak merosakkan perkara positif ini dengan unsur negatif seperti rasuah," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines