Ahad, 22 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Nelydia Senrose ke luar negara?

Posted: 20 Sep 2013 06:24 PM PDT


  • Nelydia Senrose ke luar negara?
HUBUNGAN cinta Nelydia Senrose, 19, dengan pengacara popular, Qi Razali bukan lagi rahsia. Terbaru, pelakon Cinta Jannah ini dikatakan sanggup ke Argentina untuk bertemu Qi yang masih dalam urusan kerja di sana.

Spekulasi ini tercetus apabila gambarnya yang berlatar suasana luar negara dimuat naik menerusi Instagram miliknya.

Meskipun Nellydia masih berdiam diri, namun kakaknya, Uqasha Senrose tampil memberi penjelasan.

"Nelydia masih di sini. Dia tidak ke mana-mana pun," kata kekasih Pekin ini.

Ketika ditanya mengenai hasrat adiknya untuk menyambung pelajaran di luar negara, Uqasha berkata, dia dan keluarga tidak pernah menghalang keputusan itu.
"Dia memang ada beritahu mahu sambung belajar. Tetapi, buat masa ini keadaan tidak mengizinkan.

"Dia sangat sibuk dengan kerjayanya sekarang," jelas Uqasha.

Sebelum ini, Qi Razali atau nama sebenarnya, Qushairi Razali, 35, membuat pengakuan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Nelydia walaupun pernah menafikan perkara itu.

Akui masih mengenali hati budi masing-masing, Qi turut memberikan hadiah sebentuk cincin kepada buah hatinya sebagai hadiah hari jadi.

Rozita Che Wan: Mereka semua dengki!

Posted: 20 Sep 2013 06:23 PM PDT


  • Rozita Che Wan Rozita Che Wan
MUNGKIN rata-rata masyarakat dan peminat sudah tidak sabar menyaksikan detik bahagia pasangan selebriti, Rozita Che Wan dan Zain Saidin, diijabkabulkan.

Memilih Disember tahun ini sebagai tarikh untuk disatukan, baik Zain mahupun Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 40, masing-masing inginkan persiapan yang terbaik untuk majlis itu.

Pun begitu, sebagai selebriti terkenal, mereka tidak terlepas daripada sebarang dugaan mahupun kata-kata orang yang tidak merestui hubungan mereka.

Malah sebelum ini, Zain, 29, pernah didatangi individu yang terang-terangan membuka aib Che Ta dan menceritakan keburukan aktres itu untuk menggagalkan perkahwinan mereka.

Bertanya kepada Che Ta mengenai perkara itu, pelakon Kiah Pekasam ini tidak cepat melatah, malah seakan sudah lali dengan kontroversi yang menimpa dirinya.

"Sebenarnya, mereka semua tu dengki. Saya sendiri tak tahu apa motif dia untuk memburukkan saya kepada Zain.

"Apa yang penting, semua itu tak pernah menjadi 'kudis' buat kami. Malah, saya percaya, kesetiaan dan kepercayaan Zain pada saya tidak pernah berubah.

"Kami dah letih nak layan karenah manusia yang macam ni. Tak boleh lihat orang lain bahagia. Namun, apa nak buat, manusia ni rambut sama hitam, hati lain-lain," katanya.


Hak berfesyen

Bukan sahaja sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, malah Che Ta juga turut dilabel sebagai selebriti yang sering menggayakan pakaian sendat dan seksi.

Tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara itu, Che Ta menganggap ianya sebagai lumrah dunia selebriti yang sentiasa dilihat dari sudut negatif.

"Biarlah apa orang kata pasal saya, saya malas nak komen banyak-banyak. Yang penting saya tahu apa yang saya buat.

"Ini adalah hak masing-masing dalam berfesyen. Saya akui, memang saya sering menggayakan pakaian sendat tapi bersebab.

"Menerusi baju yang saya pakai, saya dapat monitor diri saya sama ada berat saya naik, ideal atau makin kurus. Kalau saya rasa ketat, maknanya saya semakin gemuk dan perlu menurunkan berat badan asal.

"Lebih-lebih lagi, rumah saya tak ada penimbang, jadi dengan cara inilah saya boleh tahu mengenai perubahan bentuk badan saya," katanya yang begitu teliti mengenai penjagaan badan dan kesihatan.

Bertanya mengenai persiapan perkahwinan, akui Che Ta, masing-masing belum berkesempatan untuk meluangkan masa bersama untuk berbincang mengenai perkara ini.
"Buat masa ini, memang kami tak sempat nak berbincang lagi. Masing-masing sibuk dengan penggambaran.

"Saya serahkan semua tugas-tugas dan kerja perkahwinan ini kepada pengurus saya. Mungkin kami akan curi-curi masa yang ada untuk duduk berbincang
memandangkan masa yang ada tinggal beberapa bulan lagi," katanya yang bakal menunaikan umrah di Makkah bersama Zain selepas berkahwin nanti.

Aril (AF7) Jadi Deejay Bukan Sebab Tidak Laku

Posted: 20 Sep 2013 06:22 PM PDT

Aril
PETALING JAYA: Penyanyi Aril menafikan menerima tawaran sebagai penyampai radio di Astro secara sepenuh masa berikutan kurang mendapat perhatian dalam bidang nyanyian.
Aril atau nama sebenar Khairil Azam Pilus, 28, berkata, dia menggunakan peluang menjadi deejay sepenuh masa bagi mencabar dirinya bergelar seorang artis yang lebih versatil.
"Saya masih lagi aktif dan menerima tawaran dalam bidang nyanyian jika tidak bertindan dengan waktu di studio radio, iaitu daripada pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.
"Selain nyanyian, saya juga aktif sebagai pelakon dan mengacara program. Saya terima tawaran sebagai deejay kerana mahu menjadi seorang artis yang boleh buat semua bidang," katanya kepada mStar Online.
Aril menandatangani kontrak bersama stesen radio Era FM selama setahun sejak akhir tahun lalu.
Dalam pada itu, Aril mengakui bersedia berhadapan dengan risiko sekiranya lagu-lagu nyanyiannya tidak diputarkan di stesen radio swasta lain.
"Perkara itu telah dibincangkan dengan pihak pengurusan dan saya memang kecewa mengapa ia terjadi dalam industri negara kita yang kecil ini.
"Ia tidak harus terjadi kerana ia membunuh kerjaya seseorang artis jika tidak mendapat sokongan daripada stesen radio lain. Saya harap mentaliti ini dihapuskan," katanya.
Kata Aril, dia tidak pernah memilih dan memutarkan lagu-lagu sendiri ketika bersiaran walaupun ia adalah kelebihan kepada sebagai penyampai radio tersebut.
"Sejak bertugas sebagai deejay sekalipun saya tidak pernah pilih untuk putarkan lagu sendiri.
"Senarai lagu yang saya mainkan di radio pada setiap malam dipilih oleh seorang eksekutif muzik yang memang bertanggungjawab atas pemilihan lagu dan berdasarkan permintaan pendengar," katanya.

Mislina Mustaffa Perjelaskan Tuduhan Tidak Percaya Agama

Posted: 20 Sep 2013 06:22 PM PDT

Mislina tidak mengambil kisah mengenai kritikan orang terhadap dirinya.
PETALING JAYA: Pelakon dan aktivis teater, Mislina Mustaffa tidak mengambil peduli tuduhan kononnya dia tidak percaya kepada agama (free thinker) sejak video wawancaranya yang mempersoalkan mengenai agama Islam tersebar sebelum ini.
Mislina, 40, berkata, dia tidak pernah membuat sebarang kenyataan untuk mengesahkan mengenai dakwaan tersebut dan meminta masyarakat tidak mengkritiknya tanpa mengetahui situasi sebenar.
"Saya tidak pernah ambil tahu apa yang orang ingin katakan mengenai saya kerana itu tidak penting. Begitu juga dengan isu tidak percaya pada agama.
"Orang yang membuat tuduhan itu tidak sepatutnya berbuat demikian kerana mereka tidak layak untuk menjatuhkan hukum tanpa menyiasat perkara sebenar," jelasnya kepada mStar Online.
Mislina baharu sahaja melancarkan buku pertamanya berjudul Homeless by Choice iaitu cacatan tentang pengalamannya hidup tanpa rumah dan sebagai gelandangan selama 630 hari.
Buku tersebut dilancarkan oleh aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir di Publika Solaris Dutamas pada Khamis lalu.
Ia dijual dengan harga RM40.
Marina melancarkan buku pertama tulisan Mislina berjudul Homeless by Choice.
Dalam perkembangan sama, Mislina berkata, dia mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan buku tersebut yang banyak menceritakan pengalamannya sepanjang hidup tanpa rumah.
Malah kata Mislina, dia berazam untuk terus menulis selepas ini kerana ia dapat membantunya mengenali diri selain meluahkan tentang pelbagai aspek kehidupan.
"Saya sudah lama berhasrat untuk menulis sebuah buku tetapi tidak mempunyai idea tentang apa yang ingin diperkatakan.
"Pengalaman menjadi gelandangan dan tidak mempunyai rumah memberikan banyak inspirasi sehingga terbitnya buku pertama ini," katanya.
Dalam pada itu, Mislina berkata, dia akan tetap meneruskan hidup sebagai gelandangan dan tidak berhasrat untuk kembali kepada kehidupan normalnya.
Dia juga selesa dengan cara hidup sedemikian yang disifatkan banyak memberi pengajaran dan membuka kebolehan dirinya dalam melakukan sesuatu.
"Saya tidak pernah menetapkan bila saya akan kembali dengan kehidupan normal tetapi buat masa ini saya seronok dan selesa hidup tanpa rumah.
Mislina sempat menurunkan tandatangan pada buku yang dibeli oleh peminat pada majlis pelancaran buku tersebut.
"Bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada keadaan dan saya tidak boleh memberi jaminan sampai bila akan menjalani hidup sebegini," jelasnya.
Menceritakan pengalaman hidup sebagai gelandangan, Mislina berkata, dia akan menumpang tidur di rumah kenalan atau orang yang tidak dikenali dan akan meneruskan perjalanan dari satu destinasi ke destinasi lain.
"Sepanjang dua tahun setengah ini saya tinggal di rumah kawan atau pun orang yang tidak dikenali malah pernah tidur di tepi pantai. Pengalaman itu sebenarnya tidak sukar malah cukup menginsafkan.
"Tambahan pula, apabila tidak mempunyai rumah atau harta saya mendapati diri saya tidak lagi terlalu bergantung harap kepada perkara lain tetapi kepada kemampuan diri sendiri dan saya terkejut dengan apa yang sudah saya lakukan sepanjang tempoh tersebut," ujarnya.
Sementara itu, Mislina berkata, dia masih bergelar pelakon dan ramai pengarah dan pihak produksi yang menawarkan peranan dalam drama atau pun filem.
Bagaimanapun dia kini lebih selektif dengan watak yang diberikan dan hanya akan menerima beberapa projek sahaja dalam masa setahun.

Penyanyi Indonesia, Terry Simpan Hasrat Jumpa Aishah

Posted: 20 Sep 2013 06:20 PM PDT

Terry
KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Terry atau nama sebenar Terryana Fatiah mengaku teringin untuk berjumpa penyanyi Aishah setelah namanya diangkat di negara tersebut menerusi lagu popular Janji Manismu.
Terry, 29, berkata, dia menyimpan hasrat ke negara ini selepas menyanyikan semula lagu tersebut.
"Sewaktu saya menyanyikan semula lagu Janji Manismu, saya berharap lagu ini boleh bawa saya ke Malaysia satu hari nanti dan akhirnya saya ke sini. "Sewaktu merakamkan semula lagu itu saya belum kenal siapa Aissah. Tapi saya difahamkan lagu itu memang lagu hit sekitar 1984, iaitu juga tahun saya lahir. Kalau boleh memang berhasrat untuk bertemu dengan Aishah," katanya kepada mStar Online.
Aishah
Terry ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Tulus, duetnya bersama Aril dan lagu tersebut sudah berjaya menduduki tempat teratas di carta-carta stesen radio di Indonesia.
Dalam pada itu tambah Terry, lagu itu Janji Manismu mempunyai jalan cerita yang sama dengan kisah cintanya.
"Lagu itu sama dengan kisah cinta saya, saya bawakan lagu tersebut dengan penuh penghayatan sehingga menitis air mata.
"Disebabkan itu juga saya terus dikenali dengan penyanyi air mata dan diberi lagu-lagu yang sedih sahaja," katanya.
Terry turut berkata dia menyimpan hasrat untuk berduet dengan Aishah jika diberi peluang.
Janji Manismu dinyanyikannya semula dan dimuatkan di dalam album sulung Terry iaitu sekitar tahun 2006.

Budak 6 tahun menari breakdance

Posted: 20 Sep 2013 06:18 PM PDT


  • Budak menari breakdance Sebahagian daripada gerakan tarian breakdance oleh Dachiya yang mampu memukau penonton.
PARIS - PERANCIS. Seorang kanak-kanak perempuan enam tahun berjaya memukau penonton dari serata dunia dengan kemahiran tarian breakdance yang menakjubkan.

Dachiya Atkinson atau B-Girl Terra mula menjadi sensasi di internet awal tahun lalu selepas rakaman persembahannya di sebuah pertandingan tarian di Paris ditonton oleh lebih 2.8 juta orang dalam tempoh hanya lima hari.

Selepas itu, penampilan Dachiya sekali lagi mengejutkan penonton dalam rancangan The Ellen Show dan dia turut muncul dalam muzik video Platoon oleh penari Britain, Jungle.

Klip video tersebut telah dimuat naik di pelbagai laman media termasuk YouTube dan berjaya menarik lebih 100,000 jumlah tontonan.

Ibunya, Jennifer Hollyak, 27, berkata, anaknya itu mula belajar berjalan ketika berumur sembilan tahun.

"Dachiya telah melakukan aksi handstands  dan berpusing menggunakan kepala semasa berumur tiga tahun," katanya.

Difahamkan, walaupun dikurniakan bakat luar biasa, Dachiya tetap berperwatakan sama seperti kanak-kanak perempuan lain yang suka bermain dengan anak patung, laporan dipetik dari DailyMail.

Samsung lancar Note 3, jam pintar

Posted: 20 Sep 2013 06:17 PM PDT


  • Galaxy Note Telefon pintar Samsung Galaxy Note 3 dan jam tangan pintar Galaxy Gear akan mula dijual di Malaysia, 25 September ini.
Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd (Samsung) melancarkan telefon pintar Samsung Galaxy Note 3 dan jam tangan pintar Galaxy Gear yang bakal berada di pasaran tempatan bermula 25 September ini.

Kedua-dua produk terbaru itu dilengkapi teknologi canggih yang membolehkan Galaxy Note 3 disambungkan terus dengan Galaxy Gear, iaitu konsep baru diperkenalkan Samsung.

Naib Presiden Perusahaan dan Perniagaan Samsung, Varinderjit Singh berkata, ciri S Voice pada Galaxy Gear membolehkan arahan suara diberi seperti membuat panggilan, menghantar dan menerima pesanan serta e-mel selain mengambil gambar.

"Pelancaran produk ini membawa dunia gajet ke satu inovasi terbaru iaitu telefon pintar dengan skrin besar bersaiz 5.7 inci dan peranti pelbagai guna," katanya pada Majlis Pelancaran Samsung Galaxy Note 3 dan Galaxy Gear di Subang Jaya, semalam.

Samsung juga akan memperluas penggunaan Galaxy Gear pada telefon pintar lain iaitu Galaxy S3, S4 dan Note 2.

Sementara itu, Galaxy Note 3 yang direka lebih nipis dan ringan turut memiliki ciri keselamatan bagi melindungi perisian daripada virus dan cubaan digodam.

Samsung Galaxy Note 3 bakal dijual di pasaran tempatan dengan harga RM2,399 dan Galaxy Gear pada harga RM999.

Malaysia 'gila' telefon pintar

Posted: 20 Sep 2013 06:15 PM PDT


  • Malaysia 'gila' telefon pintar Rakyat Malaysia meluangkan lebih banyak masa melayari internet dan media sosial di telefon pintar. 
PENGGUNAAN telefon bimbit di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di Asia Pasifik serta melebihi negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, menurut laporan terbaru firma kajian pengguna Nielsen.

Laporan Memahami Pengguna Telefon Bimbit Asia itu menunjukkan trend terkini dalam pemilikan telefon pintar serta sikap pengguna di sembilan negara Asia Pasifik termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, Australia, Hong Kong, China, India dan Singapura.

Malaysia mencatatkan kadar penembusan telefon pintar 80 peratus selepas Hong Kong dan Singapura (87 peratus), diikuti Australia (75 peratus) dan China (71 peratus).

Laporan itu juga menunjukkan penggunaan telefon bimbit di Asia Pasifik terus mencatatkan pertumbuhan berganda sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Penggunaan telefon pintar di pasaran membangun juga mula meningkat. Thailand mencatatkan kadar penembusan 49 peratus diikuti Indonesia (23 peratus), India (18 peratus) dan Filipina (15 peratus).


Rakyat Malaysia paling ramai memiliki lebih daripada satu telefon bimbit

Jumlah pengguna yang memiliki beberapa telefon bimbit juga semakin meningkat di rantau Asia Pasifik, terutama di Malaysia, di mana hampir separuh atau 47 peratus pengguna memiliki lebih daripada satu telefon bimbit, diikuti Hong Kong (31 peratus) serta Singapura dan China (29 peratus).

Selain telefon pintar, penggunaan tablet juga dilihat semakin meningkat di pasaran rantau ini berbanding tahun lalu, dengan Singapura mencatatkan peningkatan hampir 30 peratus kepada 47 peratus, Hong Kong (57 peratus) dan Malaysia (42 peratus).

"Pertumbuhan dalam pemilikan peranti yang boleh disambung kepada internet di Asia Pasifik begitu besar sejak beberapa tahun ini.

"Walaupun graf pertumbuhan ini dijangka akan mula mendatar, penggunaan peranti ini akan terus berkembang dan memberikan peluang yang sangat besar kepada organisasi untuk berhubung dengan pengguna melalui platform ini," menurut Pengarah Amalan Telekomunikasi dan Teknologi Asia Tenggara Nielsen, Sagar Phadke.

Menurutnya, menjadi semakin penting bagi syarikat untuk membangunkan strategi mudah alih yang canggih bagi mengambil peluang daripada trend terbaru ini.


Samsung jenama telefon pintar paling popular di negara ini

Laporan itu turut menunjukkan jenama menjadi faktor utama yang mempengaruhi pemilihan telefon pintar bagi pengguna di Asia Pasifik, dan Samsung adalah jenama paling digemari di Malaysia.

Selain itu, pengguna di Asia Tenggara turut meluangkan purata tiga jam setiap hari menggunakan telefon pintar mereka, termasuk untuk aplikasi sembang, media sosial dan hiburan seperti permainan dan multimedia, iaitu tempoh penggunaan paling tinggi di dunia.

"Walaupun kadar penembusan telefon pintar belum mencecah 100 peratus, penggunaan aplikasi semakin meningkat. Satu daripada lima pengguna telefon bimbit di dunia, yang kini berjumlah 1.2 bilion orang, menggunakan aplikasi dalam telefon mereka.

"Di Asia Pasifik, permainan, aplikasi multimedia dan media sosial adalah paling banyak digunakan," kata Phadke.

Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Australia juga memperlihatkan penggunaan perdagangan mudah alih yang semakin tinggi, dengan kadar antara 25 peratus dan 31 peratus, di mana pengguna menggunakan telefon pintar mereka untuk membeli barangan atau membuat pembayaran.

"Memahami sikap pengguna telefon pintar adalah penting bagi kejayaan sesebuah syarikat pada hari ini," kata Phadke.

BlackBerry baru direka saingi pasaran

Posted: 20 Sep 2013 06:14 PM PDT


  • BlackBerry Model baru BlackBerry Z30 dijangka memenuhi permintaan semasa pengguna telefon pintar.
BLACKBERRY melancarkan telefon pintar terbarunya BlackBerry Z30 yang merupakan BlackBerry bersaiz paling besar, terpantas dan lebih maju berbanding model sebelum ini.
Pengarah Urusan BlackBerry Malaysia Annamalai Muthu berkata, sepanjang tahun lalu, jumlah pelanggan BlackBerry bertambah sehingga 300 peratus.

"Pasaran Malaysia sangat penting kepada kami dan kerana itulah kami ingin menunjukan penghargaan kepada pasaran BlackBerry di Malaysia.

"Di Malaysia, terdapat 140 peratus peluang penembusan telefon bimbit dengan jualan telefon pintar meningkat 12 peratus dari tahun ke tahun," katanya.

Malaysia adalah antara dua negara Asia Pasifik yang akan melancarkan Blackberry Z30 pada 5 Oktober 2013.

Menurut beliau, saiz skrin lima inci merupakan pilihan pengguna masa kini, menyebabkan BlackBerry membuat lebih banyak pelaburan baru bagi telefon pintar bersaiz lima inci.

BlackBerry Z30 boleh didapati di pasaran pada harga RM1,998.

17 nyaris maut bas jatuh gaung

Posted: 20 Sep 2013 06:13 PM PDT


  • 17 nyaris maut bas jatuh gaung Keadaan bas ekspres membawa 17 penumpang yang terjunam setelah terlibat dalam kemalangan.
SLIM RIVER – Seramai 17 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki itu terjunam ke dalam gaung sedalam hampir enam meter setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 308.1 (arah Utara), Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, semua penumpang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Ipoh sebelum bas berkenaan hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kereta jenis Mazda yang terbabas.

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Superintendan Sharul Othman Mansor berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan dari Selatan ke Utara itu hilang kawalan ketika cuba untuk memotong bas berkenaan.

Menurutnya, kegagalan cubaan memotong itu menyebabkan kereta melanggar besi pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali di hadapan bas.

"Bas cuba untuk mengelak dari merempuh kereta itu, tetapi tidak berjaya menyebabkan kedua-dua kenderaan jatuh ke tebing lebuh raya.

"Buat masa ini, tiada kematian dilaporkan, semua penumpang selamat apabila hanya mengalami cedera ringan.

"Kesemua mereka dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut, buat masa ini, semua mangsa termasuk pemandu bas dilaporkan stabil.

"Pemandu kereta dilaporkan parah dan patah tangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, bomba yang menerima panggilan pada jam 5.33 petang bergegas ke lokasi, berjaya mengeluarkan lapan mangsa yang cedera.

Katanya, kebanyakan mangsa lain diselamatkan orang awam.

"Kita terpaksa melakukan kerja pembersihan di tempat kejadian berikutan tumpahan minyak berlaku semasa pelanggaran.

"Operasi menyelamat yang disertai tujuh anggota tamat pada jam 6.34 petang tadi," katanya.

Pintu van jenazah terbuka

Posted: 20 Sep 2013 06:09 PM PDT


  • Pintu van jenazah terbuka Ismail (kiri) bersama rakannya, Fazilal Omar memeriksa kenderaan sebelum memulakan tugas di Hospital Sultanah Bahiyah.
POKOK SENA - Kerjaya sebagai pemandu van jenazah tidaklah sehebat seperti bidang pekerjaan lain kerana tugasnya hanya membawa dan menghantar jenazah sahaja.

Bagaimanapun, pekerjaan ini sebenarnya tersirat pelbagai dugaan yang perlu ditempuh hingga kadang kalanya sukar diterima akal.

Sebagai pemandu van jenazah, seseorang itu memerlukan kesabaran dan keberanian kerana ia adalah antara kriteria yang perlu ada bagi menjawat pekerjaan itu.

Ini diakui sendiri Ismail Hashim, 49, dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar yang mengalami pelbagai suka duka sebagai pemandu van jenazah sepanjang 25 tahun berkhidmat di bahagian itu sejak 1991 di Hospital Besar Pulau Pinang.

Pada mulanya semasa mula bekerja, dia menganggap pekerjaan itu adalah mudah, iaitu hanya menurut arahan majikan sahaja bagi menghantar jenazah, tetapi selepas mula berkhidmat barulah tahu pelbagai dugaan dan tragedi yang dialaminya.

Waris lari

Peristiwa pertama yang tidak dapat dilupakan sehingga sekarang ialah pada 1997, iaitu ketika menerima arahan menghantar jenazah lelaki berumur 90 tahun ke   Padang Sanai, Padang Terap pada jam 3 pagi sambil diiringi dua waris jenazah.

Dalam perjalanan, kedua waris itu duduk di bahagian belakang bagi menemani jenazah itu sambil membaca al-Quran dan sehinggalah sampai di pertengahan jalan di Kampung Rambutan, Kuala Nerang, tiba-tiba van itu berhenti secara tiba-tiba.

Ismail berkata, dia cuba menghidupkan enjin beberapa kali sambil menghubungi ibu pejabat untuk mendapat bantuan, tetapi gagal sehinggalah dia turun dan pergi ke belakang serta mendapati pintu van belakang terbuka dan waris kedua itu juga turut menghilangkan diri.

"Pada masa itu, suasana begitu sunyi dan tidak ada kenderaan yang melalui jalan itu. Saya masuk semula ke dalam van dan beberapa minit kemudian hadapan cermin van dipenuhi dengan belalang serta beberapa kala jengking.

"Oleh kerana bimbang dengan keselamatan, saya menutup pintu dan hanya membaca ayat Kursi sahaja sehinggalah kedengaran azan barulah haiwan itu hilang secara tiba-tiba. Kemudian barulah waris jenazah itu turut datang melihat jenazah itu," katanya.

Selepas dimaklumkan kejadian itu, barulah waris itu menceritakan arwah bapa mereka mempunyai saka hingga mereka juga tidak sanggup menunggu di belakang kerana diganggu dan terpaksa meninggal van itu dan beredar ke sebuah rumah berhampiran jalan itu.

Wanita misteri

Peristiwa kedua yang dialaminya ialah ketika mendapat arahan menghantar jenazah seorang perempuan tua ke sebuah feldapada jam 2 pagi.

Selepas menghantar jenazah itu, dia singgah di tepi jalan untuk membuang air kecil dan selepas masuk ke dalam van, dia mendapati seorang perempuan berambut panjang duduk di sebelahnya sambil muka menghala ke arah luar.

"Saya cuba tegur dan bertanya wanita itu hendak ke mana, tetapi dia hanya mendiamkan diri sehingga saya mula merasa seram dan membaca pelbagai ayat al-Quran, tetapi wanita itu masih tidak hilang.

"Kenderaan juga tidak dapat bergerak laju sehinggalah sampai di pekan Pendang dekat tanah perkuburan Cina, barulah wanita misteri itu hilang. Selepas hilang, barulah saya lega," katanya yang kini bertugas sebagai pemandu ambulan di Bahagian Kecemasan HSB.

Bau wangi, menyenangkan

Selain pengalaman menakutkan, dia juga turut mengalami peristiwa manis ketika membawa seorang jenazah lelaki tua ke Baling, Kedah.
Selepas diarahkan mengangkat jenazah yang beratnya kira-kira 60kg pada jam 4 pagi, jenazah itu sangat ringan dan senang dibawa masuk ke dalam van.

Kira-kira 10 minit perjalanan, terbau sesuatu yang sangat wangi dan begitu menyenangkan hinggalah sampai di rumahnya.

Di sana sudah ramai yang menunggu jenazah itu dan dimaklumkan dia adalah seorang kuat melakukan ibadat dan disenangi masyarakat sekitarnya.

Ismail berkata, segala peristiwa yang berlaku kepadanya banyak memberi iktibar dan dia percaya semuanya itu adalah kehendak ALLAH yang Maha Berkuasa.

Menurut Ismail, isterinya, Norma Awang Kechik, 53, juga turut memberi semangat sepanjang menjalani tugas sebagai pemandu van jenazah.

Baju dalam di pagar asrama

Posted: 20 Sep 2013 06:06 PM PDT


  • Baju dalam di pagar asrama Sekeping kadbod bertulis 'Pakaian Yang Tidak Dituntut Oleh Pelajar' turut diletakkan pada pagar.
BAGAN SERAI - Bukan hanya baju dan seluar, malah pakaian dalam pelajar perempuan turut digantung pada pagar asrama sekolah.

Itu tindakan dilakukan pengurusan asrama sebuah sekolah agama di Kerian yang mendakwa ia sebagai hukuman dan denda terhadap pelajar yang gagal menuntut pakaian mereka.

Bapa seorang pelajar sekolah itu yang hanya ingin dikenali sebagai Shafie, 49, berkata, dia kesal dengan tindakan tersebut yang disifatkannya tidak wajar.

Menurutnya, tindakan keterlaluan dan memalukan pelajar itu diketahuinya ketika menghantar anak perempuannya pulang ke asrama Ahad lalu.

"Tindakan pihak pengurusan asrama sekolah ini sememangnya mengejutkan ibu bapa.

"Pakaian anak-anak kami digantung dan dipamerkan di pagar dan sekeping kadbod tertulis 'Pakaian Yang Tidak Dituntut Oleh Pelajar' turut diletakkan pada pagar," katanya kepada Sinar Harian.

Shafie berkata, pihak pengurusan sekolah sepatutnya mempertimbangkan hukuman lain yang lebih wajar.

"Kes ini sebenarnya hukuman terbaru dikenakan pengurusan asrama selepas hukuman denda keterlaluan lain dikenakan sebelum ini terhadap beberapa pelajar perempuan di sini, termasuklah hukuman ketuk ketampi sebanyak 100 kali diselangi berjalan itik sejauh 200 meter pada 26 Jun lalu.

"Persoalannya, mengapa tidak dikenakan hukuman lebih rasional terhadap pelajar yang bersalah?.

"Saya gesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyiasat isu ini supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Shafie berkata, susulan insiden itu, pihaknya mengemukakan aduan bertulis kepada pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian dan JPN Perak.

Menurutnya, tujuan aduan dikemukakan bukannya untuk mempertahankan kesalahan dilakukan pelajar tetapi mahu pihak pengurusan asrama sekolah terbabit lebih rasional dalam mengenakan hukuman ke atas mereka.

Katanya, tindakan mengantungkan pakaian dalam bukan hanya memalukan pelajar perempuan sekolah itu malah menjadikan mereka trauma kerana diejek pelajar lelaki yang menetap di blok bertentangan asrama pelajar perempuan.

Dia berkata, sebelum ini anaknya dan pelajar perempuan lain pernah dikenakan hukuman lain yang disifatkannya juga tidak wajar.

"Saya mendesak pentadbiran sekolah memberi jaminan kejadian sebegini tidak berulang memandangkan tindakan menjatuhkan hukuman keterlaluan ke atas pelajar seolah-olah sudah menjadi budaya sekolah ini," katanya.

Sementara itu, pengurusan sekolah itu enggan mengulas isu tersebut kerana Sinar Harian difahamkan, pihak terbabit tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran pihak JPN.

Wajah 'jambu' rezeki buat Farish

Posted: 20 Sep 2013 06:04 PM PDT


FARISH mencuba nasib dalam bidang bisnes dengan membuka butik yang dikenali sebagai 1984 Jesselton.


KARIER Farish Aziz dalam bidang seni bermula sebagai seorang pengacara, kemudian dia menceburkan diri pula dalam lapangan lakonan dan sudah membintangi banyak drama bersiri dan telemovie seperti Gaia, Kau Dan Aku, Dunia Anita dan Gaia.
Bagaimanapun, namanya kini seakan-akan tenggelam setelah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan mengambil keputusan untuk menetap di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah.
Bertemu dengannya dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, Farish mengakui memang ramai yang beranggapan dia sudah tidak lagi terbabit dalam dunia hiburan.
Ujarnya, sekarang ini dia kembali aktif sebagai seorang pengacara dan sering berulang-alik antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur semata-mata memenuhi tawaran yang diterimanya.
Kosmo!: Sudah lama Farish tidak tampil dalam drama bersiri atau telemovie sekarang. Adakah anda enggan lagi terbabit dalam lakonan?
FARISH: Selepas berumah tangga dahulu, saya membuat pilihan untuk menetap di Kota Kinabalu memandangkan isteri saya yang bekerja sebagai peguam tidak dapat berhijrah ke Kuala Lumpur.
Saya anggap ia sebagai suatu pengorbanan yang besar dengan pilihan yang dibuat kerana saya sedar tidak lagi boleh bergiat aktif seperti dahulu.
Sepanjang menetap di Kota Kinabalu, apakah aktiviti yang anda lakukan?
Selama dua tahun saya telah menjadi penyampai radio untuk stesen Suria FM Sabah, namun kontrak saya berakhir sejak awal tahun lalu.
Selain itu, saya telah membuka sebuah butik pakaian yang diberi nama 1984 Jesselton. Butik saya itu menjual pelbagai pakaian untuk lelaki dan wanita.
Setelah tidak lagi menjadi penyampai radio, bagaimanakah dengan perjalanan karier seni anda sekarang?
Buat masa ini saya kerap mendapat tawaran menjadi seorang pengacara. Namun begitu, saya lebih banyak terbabit dalam program kanak-kanak untuk saluran TVi, Tutor TV dan TVIQ.
Sebenarnya saya agak hairan kerana pada usia yang sudah mencecah 29 tahun, banyak pihak yang menawarkan saya mengacara rancangan kanak-kanak. Saya merasakan bahawa dengan memiliki wajah 'jambu' merupakan suatu kelebihan, namun saya tidak mahu menolak rezeki yang diberikan.
Apabila kembali aktif mengacara, adakah Farish akan menetap terus di Kuala Lumpur?
Buat masa ini, saya akan berulang-alik antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Biasanya dalam tempoh sebulan, saya akan turun sekali ke Kuala Lumpur dan menyelesaikan segala kerja yang ada.
Mungkin ramai yang ingat saya akan berasa penat dengan melakukan cara sebegini tetapi saya sudah terbiasa dengan keadaan yang dilalui sekarang.
Adakah Farish tidak teringin untuk kembali aktif berlakon semula?
Keinginan tersebut memang ada memandangkan kali terakhir saya berlakon kira-kira dua tahun lalu menerusi telemovie Simpang Jalan. Selepas itu, tiada lagi tawaran yang saya terima sehingga ramai yang menyangka saya sudah berhenti berlakon.
Ketika ini, rezeki saya memang mencurah-curah dalam bidang pengacaraan tetapi saya sedia mempertimbangkan sebarang tawaran lakonan sekiranya ada nanti.

Ario tak mahu popular

Posted: 20 Sep 2013 06:03 PM PDT




BUAT masa ini nama aktor Ario Bayu begitu hangat ditulis dan diperkatakan oleh media Indonesia. Semuanya gara-gara pemilihan pelakon berusia 28 tahun itu bagi melakonkan karakter Presiden pertama Republik Indonesia iaitu Soekarno dalam filem Soekarno: Indonesia Merdeka.
Pemilihan pelakon yang pernah membawakan watak Lintang dalam filem Laskar Pelangi itu mendapat tentangan dan protes daripada salah seorang anak Soekarno iaitu Rachmawati Soekarnoputri.
Ungkap Rachmawati, Ario tidak memiliki persamaan daripada segi karakter arwah bapanya yang cukup dikenali umum sebagai Bung Karno itu.
Bicara Rachmawati lagi, dia juga sudah menolak pemilihan Ario sebagai Soekarno namun, pengarah filem Soekarno: Indonesia Merdeka iaitu Hanung Bramantyo tetap nekad mahukan aktor yang juga model berasal dari Jakarta, Indonesia itu.
"Saya wawancara Ario, tetap tidak cocok (sesuai). Dia beritahu saya, dia tidak patriotik dan membesar di New Zealand selama 11 tahun. Malah, dia mengakui tidak mengenali Soekarno!.
"Langsung, saya tanya kenapa masih menerima tawaran ini? Dia kata profesional. Saya kata tidak cukup sekadar profesional," luah Rachmawati kepada KapanLagi.com.
Bagaimanapun, Ario mempunyai jawapan yang konkrit berhubung komen Rachmawati itu.
Tegasnya: "Memang ada isu apabila Rachmawati tidak suka saya membawa peranan sebagai Soekarno. Memang tiada siapa yang boleh menjadi sepertinya (Soekarno). Bagi saya, Soekarno tetap Soekarno. Tetapi saya sudah melakukan yang terbaik untuk menghidupkan karakter Soekarno. Semangat Soekarno sudah memasuki dalam badan saya. Itu yang paling penting".
ARIO BAYU berpegang teguh kepada kualiti dalam setiap karakter lakonannya.


Homoseksual
Menyingkap sisi Ario, nama aktor itu mula dikenali ramai selepas dia membintangi filem seram Indonesia yang berjudul Kala (2007).
Walaupun filem tersebut tidak begitu sukses dari segi kutipan tiket, namun daya lakonannya sebagai seorang polis homoseksual bernama Eros dalam filem tersebut begitu terkesan.
Sejak itu, perjalanan karier lakonan Ario berterusan dalam filem-filem hebat lain seperti Macabre, Darah Garuda: Merah Putih II, Laskar Pelangi dan filem pertamanya terbitan HBO Asia iaitu Dead Mine.
Bagaimanapun, sebenarnya ramai yang masih belum begitu mengenali sosok sebenar Ario Bayu.
Sehinggalah dia diberi peranan sebagai Soekarno, barulah dia dikenali di peringkat nasional lantaran isu hangat yang sering dipaparkan oleh media Indonesia saat ini.
Diajukan soal itu kepadanya, jujur bicara Ario, dia tidak pernah memikirkan sangat tentang populariti dan tidak mahu menjadi terkenal sejak dari awal kariernya lagi.
"Saya tidak mahu menjadi terkenal. Saya cuma sentiasa berusaha untuk menjadi pelakon yang lebih baik.
"Saya percaya bahawa kualiti kerja adalah hakim muktamad dan berharap perkara ini terserap dalam setiap kerja yang saya lakukan," jelasnya kepada Kosmo! dalam sesi temu bual baru-baru ini khusus untuk drama terbaharu lakonannya, Serangoon Road yang bakal disiarkan menerusi saluran HBO (Astro 411).

ARIO sebagai Soekarno dalam filem Soekarno: Indonesia Merdeka.


Polis Melayu
Berkongsi mengenai Serangoon Road, ujar Ario, kali ini dia membawakan watak sebagai inspektor polis bernama Amran yang berketurunan Melayu.
Mengakui agak sukar untuk bertutur dalam bahasa Melayu kerana loghat pekat Indonesia yang dimilikinya, bagaimanapun kata Ario, akhirnya dia mampu berdialog seakan-akan lelaki Melayu dalam drama 10 episod itu.
Ario juga memberitahu, biarpun berlakon dengan pelbagai kaum dalam siri drama yang berkait rapat dengan sejarah perang dan tragedi di Singapura itu namun, dia mudah membina keserasian dengan setiap pelakon drama tersebut.
"Secara jujurnya, mereka merupakan orang-orang yang kreatif (barisan pelakon Serangoon Road).
"Amat mudah menjalinkan kerjasama yang profesional dengan mereka. Paling penting, saya buat yang terbaik untuk watak yang didokong saya," jelasnya lagi.
Bicara Ario lanjut: "Walaupun saya tidak ada banyak waktu untuk mendalami apa yang berlaku di Serangoon Road, tetapi bagi saya, mendalami emosi Amran itu adalah paling penting."
Serangoon Road berkisar tentang laluan utama yang dibangunkan di Singapura pada tahun 1960-an yang menghadapi huru-hara apabila kuasa global semakin beralih dan Singapura akhirnya boleh membentuk identitinya sendiri.
Drama tersebut diterbitkan melalui kolaborasi antara HBO Asia dan stesen televisyen Australia, ABC TV itu.
Bercerita sedikit mengenai sinopsis Serangoon Road, cerita bermula apabila Sam Callaghan (lakonan Don Hany) yang berasal dari Australia menghabiskan zaman kanak-kanak di kem tahanan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.
Apabila meningkat dewasa, Sam kembali untuk berjuang ketika Darurat di Malaya.
Patricia (Joan Chen) meminta bantuan Sam kerana suaminya, Winston yang merupakan pemilik agensi detektif mati dibunuh.
Sam akhirnya bersetuju untuk membantu Patricia selepas suaminya terbunuh semasa mengendalikan sebuah kes.
Walaupun Patricia bukan seorang detektif, dia tahu agensinya memerlukan seorang penyiasat yang baik dengan kenalan dalam masyarakat tempatan, serta di kalangan ekspatriat.
Dari situ, bermula suatu perjalanan yang melihat Sam terjerumus dalam kancah bahaya. Geng Persatuan Rahsia Cina membuat kacau untuk menguasai jalan-jalan di Singapura dalam berebut kuasa.

FIGURA ini kini melebarkan aura dan pengaruh kehebatannya sebagai aktor terbilang di Singapura dan Malaysia.


Bandar itu menjadi sarang kegawatan kaum dan politik manakala siasatan Sam dan Patricia membawa mereka ke dunia istimewa dan dipertemukan dengan Inspektor Amran (Ario Bayu) - satu-satunya pemuda Melayu yang dilantik sebagai polis Singapura pada waktu itu.
Mengulas lanjut, ujar Ario, banyak penggambaran drama tersebut dilakukan di Infinite Studios yang terletak di Nongsa, Batam, Indonesia - bukan di Serangoon Road, Singapura.
Katanya, suasana zaman 60-an di Seranggon Road juga telah dihidupkan semula di sana.
"Selain itu, bagi menggambarkan keadaan ekonomi dan budaya yang puluhan tahun ditinggalkan, deretan bangunan lama, kedai, gerai sayuran, buah-buahan dan makanan telah dibina khas," ujarnya.
Selain Ario, Serangoon Road turut menampilkan pelakon dari Australia dan Singapura. Antaranya, Melody Chen, Randall Tan, Joshua Tan, Chin Han, Alaric Tay, Pamelyn Chee, Maeve Dermody, Rachael Blake, pelakon veteran Singapura, Lim Kay Tong, Tan Kheng Hua, Edmund Chen, Xiang Yu,Priscelia Chan, Bernard Tan, Nurul Huda dan Timothy Nga.

Hans sasar filem tayang di Cannes

Posted: 20 Sep 2013 06:02 PM PDT


BARISAN tenaga lakonan utama pementasan Lawak Ker Der 3 (dari kiri), Yus Jambu, Nabil Ahmad, Douglas Lim, Harith Iskander dan Tauke Jambu.


APABILA mendiang ibunya menghembuskan nafas terakhir pada tahun lalu akibat kanser, ia merupakan satu kehilangan yang cukup besar buat penerbit, pengarah dan pelakon Hans Isaac.
Tambahan pula, sebagai seorang anak tunggal, Hans memang cukup rapat dengan ibunya, Carmina Anciano Isaac sehingga kecewa kerana tidak dapat menunaikan hasrat ibunya itu untuk melihat dirinya berumah tangga.
Sebagai mengenangkan jasa seorang ibu yang telah membesarkannya selama ini, Hans memberitahu bahawa dia bakal menghasilkan sebuah filem berbahasa Inggeris mengenai riwayat hidup mendiang ibunya yang diberi judul Carmina.
"Filem ini akan mula menjalani penggambaran pada tahun hadapan dan ceritanya berkisarkan kisah benar mengenai diri mendiang ibu saya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
"Itu merupakan antara projek terawal saya untuk tahun hadapan dan buat masa ini saya ingin memberi fokus terhadap pementasan Lawak Ke Der 3 dan teater Supermokh dulu," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita tentang projek filem berkenaan, Hans memberitahu, dia akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat produksi milik seorang rakannya di Singapura dan penggambaran dilakukan di negara tersebut.
Jelasnya, dia sekadar bertindak selaku penerbit, pengarah dan penulis skrip, tetapi tidak akan berlakon serta akan memulakan proses pemilihan pelakon yang sesuai memegang karakter mendiang ibunya itu.
"Saya menghasilkan filem Carmina bukanlah untuk tujuan komersial, sebaliknya ia lebih kepada tayangan untuk festival filem antarabangsa. Selain itu, saya sasar filem ini akan ditayangkan di Festival Filem Cannes.
"Berkenaan dengan kos pula saya akan menggunakan duit sendiri untuk menerbitkannya, cuma saya gunakan syarikat rakan saya itu dan dia telah memberikan persetujuan," jelasnya.
Ketika ditanya tentang keputusannya itu menjalani penggambaran di luar negara, Hans menyatakan, ia terpaksa dilakukan kerana filem berkenaan berkaitan dengan isu sensitiviti.
HANS bersama Nik Kamaruzaman pada sidang akhbar mengenai penangguhan pementasan Lawak Ker Der 3 di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Jelasnya, kalau penggambaran dilakukan di Malaysia dan untuk pasaran tempatan, dibimbangi akan terdapat banyak potongan yang dilakukan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), sedangkan dia tidak mahu sebarang pemotongan terhadap filem tersebut.
"Kalau dihasilkan di Malaysia pastinya saya perlu berhadapan dengan pelbagai sekatan, berbanding di luar negara yang memberikan saya lebih kebebasan untuk berkarya," ujarnya.
Menurut Hans, ia juga sebenarnya berkaitan dengan keputusan yang telah dibuatnya sebelum ini untuk tidak menerbit dan melaburkan wang untuk menghasilkan filem di Malaysia setelah kegagalan filem Lemak Kampung Santan.
Ditangguhkan
Pementasan Lawak Ke Der 3 yang sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 3 hingga 6 Oktober ini telah ditangguhkan ke bulan Disember.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata, penangguhan tersebut terpaksa dilakukan kerana Istana Budaya telah dipilih sebagai lokasi untuk sebuah persembahan kesenian sempena kehadiran Presiden China ke Malaysia pada 4 Oktober ini.
"Penangguhan ini ternyata sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ia melibatkan kepentingan negara. Bagaimanapun, pementasan Lawak Ke Der 3 bukanlah dibatalkan terus, sebaliknya cuma ditangguhkan sahaja ke tarikh yang lain.
"Setelah berbincang dengan pihak penerbit iaitu NRG Enterprises, akhirnya keputusan dibuat untuk memilih 4 hingga 8 Disember ini untuk tarikh pementasan yang baharu," ujarnya dalam satu sidang akhbar semalam.
Jelas Nik Kamaruzaman, bagi mereka yang telah membeli tiket untuk menonton pementasan tersebut boleh menyimpan tiket yang telah dibeli atau memulangkan semula ke pejabat Istana Budaya untuk mendapatkan semula wang.
Sementara itu, Hans Isaac selaku pengarah pula mengakui agak terkejut dengan penangguhan berkenaan setelah dihubungi oleh pihak Istana Budaya pada minggu lalu.
Ujarnya, segala promosi sudah dilakukan dan tenaga produksi telah bersedia untuk pementasan, tetapi mereka akur kerana kepentingan yang melibatkan kerajaan perlu diutamakan terlebih dulu.
"Apabila ditangguhkan, pihak Istana Budaya telah memberi kami dua pilihan untuk tarikh pementasan. Setelah difikirkan semasak-masaknya kami pilih tarikh 4 hingga 8 Disember ini.
"Tidak dinafikan penangguhan ini telah memberi sedikit tekanan, namun saya fikir dari sudut positif. Misalnya, tarikh yang dipilih itu merupakan cuti sekolah dan ia memberi peluang kepada pelawak untuk mengembangkan lagi idea masing-masing," ujarnya.

New York bukti cinta Mia, Seth

Posted: 20 Sep 2013 06:01 PM PDT

LIYANA JASMAY dan Bront Palarae masing-masing melakonkan karakter Mia dan Seth dalam super telemovie, NY Cinta.


DITAKDIRKAN bertemu dalam satu insiden yang tidak dijangka ketika dalam perjalanan ke sebuah destinasi, kemudian telah menimbulkan bibit percintaan antara Mia dan Seth.
Itu antara rangkuman cerita sebuah super telemovie hebat berjudul NY Cinta, arahan Ghaz Abu Bakar yang sudah mula menemui penonton sejak 12 September lalu menerusi saluran Astro First Eksklusif.
Jalan ceritanya mungkin kelihatan agak klise, namun apa yang menariknya apabila kisah cinta itu berlaku di sebuah kota yang cukup terkenal iaitu New York, Amerika Syarikat.
Super telemovie terbaharu keluaran Mermaid Studios dan diterbitkan Regal Way Marketing Sdn. Bhd. itu turut menampilkan gandingan hebat pelakon popular Bront Palarae, Liyana Jasmay dan Julianna Evans.
Dalam satu majlis pelancaran baru-baru ini, penerbit eksekutif Mermaid Studio, Adriana Jasmay berkata, 99 peratus penggambaran NY Cinta dilakukan di New York.
"Sepanjang dua tahun syarikat produksi Mermaid Studio ditubuhkan, ia merupakan kali pertama kami menghasilkan sebuah produk yang berbentuk super telemovie.
"Sebenarnya ia agak berbeza dengan telemovie biasa, terutamanya apabila melihat kepada nilai produksi serta kos yang dihasilkan. Ia umpama menghasilkan sebuah filem, tetapi untuk disiarkan di kaca televisyen," ujarnya dalam satu sidang akhbar.
Super telemovie berdurasi selama 90 minit itu berkisar tentang Mia (Liyana Jasmay), seorang penyanyi yang menyambung pelajaran di Amerika Syarikat telah bertemu dengan Seth (Bront Palarae) yang merupakan rakyat Malaysia yang sudah lama menetap di negara tersebut.
Kedua-duanya mula bertemu apabila kereta yang dipandu rakan Mia telah melanggar Seth ketika dalam perjalanan ke New York. Selepas itu, pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang mereka berada di kota tersebut sehingga menimbulkan bibit cinta.
Berkenaan dengan pemilihan pelakon yang membintangi super telemovie berkenaan, Adriana menyatakan bahawa pihaknya membuat keputusan untuk memilih Bront kerana sudah lama tertarik dengan lakonan yang ditampilkannya.
"Selama ini penonton sudah selalu melihat penampilan Bront yang lebih memegang watak serius, tetapi kali ini karakter yang dibawanya sebagai Seth agak berbeza," jelasnya.
Sementara itu, Ghaz selaku pengarah pula menceritakan bahawa sepanjang 10 hari penggambaran, pelakon dan kru produksi terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran.
Ujarnya, bekerja dalam suasana suhu yang amat sejuk sedikit memberikan tekanan buat mereka, namun semuanya berjalan dengan lancar dan ia dapat diselesaikan pada masa yang telah ditetapkan.
"Terdapat satu babak yang membabitkan penggambaran di sebuah lokasi iaitu Brooklyn. Beberapa orang penduduk tempatan ada menasihati kami supaya berhati-hati memandangkan ia sebuah kawasan hitam dan sering berlaku kegiatan jenayah," ujarnya.
Menurut Ghaz, proses penggambaran yang dilakukan pada bulan Februari lalu banyak dibantu oleh Liyana memandangkan pelakon itu pernah tinggal selama enam bulan di New York pada tahun lalu.
Terkejut
Agak jarang membintangi cerita-cerita yang berunsurkan cinta, Bront mengakui pada mulanya dia sendiri agak terkejut dengan tawaran untuk membintangi NY Cinta.
"Apabila dihubungi pihak produksi dan mereka menawarkan saya berlakon dalam super telemovie ini, saya cuma ketawa kerana tidak percaya dan anggap mereka tersalah telefon.
"Bagaimanapun, saya telah diberitahu yang mereka memang telah memilih saya untuk memegang watak Seth ini. Selepas itu barulah saya ambil serius mengenainya dan bersetuju dengan tawaran yang diberikan," jelasnya.
Ketika ditanya antara sebab utama dia menerima tawaran tersebut, Bront mengakui bahawa pemilihan New York sebagai lokasi menjadi faktor utama kerana berasakan bukan mudah mendapat peluang untuk pergi ke kota metropolitan berkenaan.
"Selain itu, saya turut tertarik dengan jalan cerita yang ditampilkan serta karakter Seth itu sendiri. Ia sebuah naskhah yang cukup baik dan penonton tidak harus melepaskan peluang menonton NY Cinta.
"Berlakon dengan Liyana pula memang tidak sukar kerana kami pernah bekerjasama sebelum ini. Cuma, saya berasa agak kekok sedikit untuk melakonkan babak romantik kerana ketika itu dia baru sahaja berumah tangga," ujarnya.
Bagi mereka yang ingin menonton NY Cinta boleh melanggan super telemovie itu dengan mengunjungi portal Astro First di saluran 480.

Fulus bicara kewangan santai

Posted: 20 Sep 2013 06:00 PM PDT


AFDLIN SHAUKI (kiri) diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai hos rancangan, Fulus.


BERBEZA format dan pendekatan, rancangan bual bicara Fulus memfokuskan kandungan mengenai ilmu asas dan tips-tips kewangan kepada golongan muda terutama belia yang baru memasuki alam kerjaya.
Program kerjasama erat TV Alhijrah dengan Affin Islamic Bank Berhad itu akan bersiaran secara rakaman selama 30 minit setiap episod sebanyak 13 episod pada musim pertama.
Ujar Penerbit Eksekutif Fulus, Noor Harlida Abu Bakar, memilih selebriti sebagai panel jemputan dalam setiap episod dilihat langkah proaktif untuk mengkomersialkan dan mendekatkan program itu dengan golongan muda.
"Kami telah terlebih dulu menjalankan kaji selidik mengenai latar belakang setiap selebriti sebelum menjemputnya sebagai panel yang akan membincangkan pelbagai permasalahan kewangan.
"Memandangkan Fulus bukan rancangan yang serius, maka tindakan memilih beberapa selebriti popular tanah air adalah wajar," katanya yang ditemui pada sidang akhbar di Restoran Al-Rawsha, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fulus mengundang beberapa selebriti terkenal membincangkan topik-topik berkaitan kewangan antaranya Adam (Gaji Pertamaku), Zahid (Duit Tak Ada Hati Ingin Kahwin), Catriona Ross (Akaun Untuk Adik), Ika Nabila (Malang Tidak Berbau), Elyana (Kad Debit Elak Muflis), Pekin (Zakat), Diana Amir (Rumah Pertamaku) dan Hans Isaac (Ikut Hati Mati).
Tambah Noor Harlida, pihaknya bakal menjemput selebriti sukan antaranya, pemain bola sepak kebangsaan, ahli politik, novelis dan generasi muda yang aktif dalam bisnes untuk musim kedua Fulus.
Sementara itu, ujar Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Kamarul Arrifin Mohd. Jamil, rancangan itu akan membuka minda penonton dan memberikan pemahaman mengenai perbankan Islam.
"Ramai yang tidak tahu bahawa sejak tahun 1983, perbankan cara Islam di Malaysia sudah semakin rancak dan lebih 60 peratus pasaran perbankan cara ini diamalkan di Malaysia.
"Konsep perbankan cara ini sebenarnya bukan hanya untuk golongan muslim semata-mata sebenarnya dan menerusi rancangan ini penonton akan mendapat pendedahan lebih jelas," katanya.
Dalam pada itu, ujar pengacara Fulus, Afdlin Shauki, tidak mudah untuk dia mengendalikan program yang akan menjadi terlalu serius jika tersilap langkah.
"Sebelum memulakan rakaman Fulus, saya akan membuat sedikit bacaan mengenai topik-topik berkaitan perbankan Islamik tapi tidak terlalu mendalam.
"Saya meletakkan diri sebagai seorang yang tidak tahu apa-apa tapi betul-betul mahu mengetahui dengan lebih mendalam.
"Bagi saya, apabila mula mengenali perbankan Islamik ia menjadi satu pengetahuan yang perlu dikongsikan kepada orang ramai. Ramai artis yang datang dengan perasaan tidak bersalah akan pulang dengan perasaan bersalah," katanya berseloroh.
Fulus bersiaran pada setiap hari Ahad bermula 22 September pukul 9 malam di saluran TV Alhijrah.

Sindiket pelaburan palsu tumpas

Posted: 20 Sep 2013 05:59 PM PDT


SEBAHAGIAN wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Kampung Gajah, Butterworth, Pulau Pinang Rabu lalu.


GEORGE TOWN - Polis menumpaskan satu sindiket penipuan yang menawarkan skim pelaburan dan perniagaan palsu membabitkan kerugian RM7.3 juta apabila menahan lima individu di sebuah pangsapuri di Kampung Gajah, Butterworth dekat sini pada Rabu lepas.
Sindiket yang beroperasi sejak 2008 itu dikatakan mengumpan mangsa dengan mendakwa mereka mempunyai hubungan rapat dengan Sultan Johor dan menyamar sebagai Datuk Seri dan Datin Seri yang diperoleh dari negeri itu.
"Ahli sindiket juga menyamar sebagai pegawai bank, peguam dan mengaku memiliki pelbagai projek perumahan termasuk dana luar negara bernilai RM6.9 bilion dari Australia," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi pada sidang akhbar di sini semalam.

Wanita dera anak hingga mati didapati waras

Posted: 20 Sep 2013 05:58 PM PDT


MEE CHIN akan dibicarakan atas tuduhan membunuh anaknya.


IPOH – Seorang suri rumah, Chong Mee Chin, 30, yang berdepan tuduhan melakukan penganiayaan dan mendera anak perempuannya, Ho Yan Hui yang berusia lima tahun sehingga mati pada 12 Ogos lalu disahkan layak untuk dibicarakan.
Pengesahan yang dibuat Pengarah Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Dr. Rabaiah Mohd. Salleh dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md. Yusof ketika kes itu disebut di Mahkamah Majistret di sini semalam.
"Hasil laporan Hospital Bahagia menunjukkan tertuduh mempunyai gejala sejenis penyakit mental iaitu kemurungan. Bagaimanapun, semasa kejadian dia didapati berada dalam keadaan waras.

Jadikan bayi sebagai tebusan

Posted: 20 Sep 2013 05:57 PM PDT


BAYI perempuan berusia empat bulan yang dijadikan tebusan oleh bapanya.


BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki yang dikehendaki polis berkaitan dadah dan curi sanggup menjadikan bayinya yang berusia empat bulan sebagai tebusan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa semalam.
Dalam kejadian pukul 9.45 pagi di Kampung Bukit Teh, Machang Bubok dekat sini, suspek yang berusia 26 tahun mengugut untuk mencederakan bayi perempuan itu dengan dua bilah parang.
Tindakan itu bagaimanapun memakan diri apabila dia cedera akibat terkena dua das tembakan di kedua-dua belah kakinya selepas enggan menyerah diri ketika diarahkan berbuat demikian.
Sebelum itu, polis pergi ke rumah lelaki itu untuk menahannya di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas 1986.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas berlaku kekecohan ketika sedang minum di sebuah gerai berhampiran.

Kambing muda rahsia sajian lebih enak

Posted: 20 Sep 2013 05:54 PM PDT




HIDANGAN Asia Barat seperti nasi mandi, kabshah dan maqlubah disukai oleh kebanyakan rakyat di negara ini kerana keunikannya.
Malah, ada antara penggemarnya yang sanggup berkompromi dengan harga yang tinggi asalkan mereka dapat menikmati masakan tersebut.
Menyedari trend selera masyarakat Malaysia kini, Pengarah Restoran Marhaba, Zamriwalikram Abd Ghani, 43, membuka restoran makanan Arab di ibu kota.
Hakikatnya, restoran Marhaba berbeza dengan restoran makanan Arab lain. Rahsianya, ia menggunakan rempah-ratus asli.
Perkara tersebut diakui penggemar masakan Arab yang juga pelakon dan penyanyi, Nor Azzarima Zawari atau lebih dikenali sebagai Azza, 34. Azza yang pernah popular bersama kumpulan Elite berkata, dia sering mengunjungi restoran-restoran Arab di ibu kota tetapi keenakan makanan di Marhaba sukar ditandingi.
Dia yang baru pertama kali merasai makanan di situ selepas menemani kawan-kawannya tertarik dengan roti mulawah (roti Arab) yang boleh dinikmati oleh tiga orang.
"Ia garing dan sedap dicicah dengan gulai kambing (saltah falsah) atau sambal udang. Apabila menikmati roti itu dengan kuah tersebut, sememangnya terdapat kelainan terutamanya ramuan rempah-ratusnya.
"Sebelum ini, saya pernah menikmati hidangan yang sama di tempat lain tetapi, rasanya tidak seperti di sini," katanya yang mencadangkan orang ramai mencuba sendiri hidangan tersebut kerana keenakannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Menurut Azza yang kini turut mengusahakan perniagaan bedak sejuk, dia telah mengesyorkan restoran itu kepada rakan-rakan artis yang lain.
Menyentuh mengenai lokasi restoran mewah itu yang terletak di Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, Azza berkata, ia bersifat privasi.
"Ruang makan di sini lebih tertutup. Ia menggabungkan suasana mewah dan santai serta sangat sesuai buat seisi keluarga untuk menjamu selera," tuturnya lagi sambil menyifatkan tawaran harga di restoran tersebut adalah berpatutan.

HIDANGAN makanan Arab selalunya akan disertai minyak zaitun dan sayur-sayuran mentah yang segar.


Pelanggan Istimewa
Sementara itu, bagi ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Richie, 40, dia gemar makan nasi mandi kambing kerana hidangan itu dikatakan terbaik dari segi kualiti, tekstur dan rasanya.
Apatah lagi, penggunaan daging kambing muda yang teksturnya lembut dan halus.
"Saya boleh dikatakan telah merasai kebanyakan makanan Arab di Kuala Lumpur tetapi hampir kesemua pengusaha restoran gemar menggunakan kambing dewasa.
"Rasa kambing muda dan dewasa adalah berbeza terutama dari segi kelembutan dagingnya," jelasnya.
Dalam pada itu, Richie juga tidak risau untuk memakan daging kambing dalam kuantiti yang banyak memandangkan kandungan kolesterolnya lebih rendah berbanding daging lembu atau kerbau.
Berbicara lanjut mengenai kunjungannya ke Marhaba, Richie berkata, dia juga sering menjadikan restoran itu sebagai lokasi untuk melayan pelanggan-pelanggannya.
"Pada kebiasaan, saya hanya membawa pelanggan-pelanggan istimewa ke restoran yang memiliki satu kelainan.
"Melihat kepada keunikan restoran Marhaba khususnya dari segi makanan dan suasana, saya kini menjadikan ia sebagai lokasi tetap untuk menjamu selera," katanya yang kadangkala membawa keluarga makan-makan di situ.
Tambahnya, kedudukan restoran itu agak strategik kerana terletak di laluan utama ke pusat bandar raya.

ZAMRIWALIKRAM mempertaruhkan hidangan nasi mandi kambing hanith sebagai makanan signatur restoran Marhaba.


Lebih 100 menu
Bercakap tentang rahsia memikat pelanggan, pengarah restoran, Zamriwalikram berkata, dia mengutamakan kualiti dan keenakan makanan di samping harga yang berpatutan.
Menurutnya, pada awal pembukaan, hampir 80 peratus pengunjung terdiri daripada keturunan Arab dan selebihnya orang tempatan, namun kini keadaannya berbeza apabila semakin ramai warga tempatan yang meminati masakan jenis itu.
"Mungkin pengunjung sukakan cita rasa Arab yang lebih menyihatkan kerana tidak menggunakan minyak dan dimakan dengan sayur-sayuran mentah yang segar," katanya yang baru sebulan membuka restoran itu.
Selain itu, katanya, faktor perkhidmatan yang cekap dan tidak perlu menunggu lama membuatkan makanan Arab sangat sesuai dinikmati oleh mereka yang sibuk lebih-lebih lagi untuk makan tengah hari.
Menurut anak jati Rembau, Negeri Sembilan itu lagi, dia menyediakan lebih 100 menu Yemen di restoran tersebut.
Antaranya, nasi mandi ayam dan kambing, ikan panggang, udang panggang, roti mulawah, hati kambing goreng dan pelbagai jenis pencuci mulut.
Kesemua menu itu disediakan dengan menggunakan rempah-ratus asli yang diimport dari Yemen dan bahan mentah yang segar. Malah, pihaknya juga menggunakan beras basmathi gred A untuk menyediakan nasi mandi.
Zamriwalikram memberitahu, restoran yang boleh memuatkan lebih 120 pelanggan itu popular dengan hidangan nasi mandi kambing hanith.
Daging kambing itu disediakan dengan daging kambing disalut rempah-ratus selama dua jam dan direbus terlebih dulu.
Kemudian, ia akan dibakar di dalam sebuah bekas tanah yang dilengkapi dengan batu-bata.
"Cara penyediaan itu yang menyebabkan kambing hanith di sini berbeza daripada restoran Arab lain," katanya yang menggunakan kambing hidup seberat antara 8 atau 9 sekilogram sahaja.
Zamriwalikram memerlukan kira-kira 10 ekor kambing yang diimport dari New Zealand setiap hari dan menggunakan bahagian tulang rusuk kambing itu sahaja.
PERABOT dan susun atur ruang makan menyerlahkan ciri mewah dan eksklusif.


Sementara itu, Ketua Chef dari Yemen, Abdul Wahab Abdo Norman Ashaa Na'im berkata, tulang rusuk merupakan bahagian yang paling bagus untuk menyediakan nasi kambing hanith kerana rasa keaslian seekor kambing terletak di bahagian tersebut.
"Selain nasi mandi kambing hanith, restoran tersebut juga popular dengan hidangan roti mulawah yang diperbuat menggunakan jintan hitam. Kebanyakan pelanggan gemarkan roti tersebut kerana rasanya rangup," ujarnya.
Suasana santai
Dilatari sentuhan moden kontemporari, tetamu berpeluang menjamu mata dengan dekorasi eksklusif di restoran bertaraf lima bintang ini.
Terdapat tiga ruang makan disediakan iaitu ruang makan utama yang dilengkapi kerusi dan meja serta pojok makan bersila yang dihias dengan bantal serta sudut makan di kawasan terbuka.
Bagaimanapun, bagi pelanggan yang mahukan ruang makan tertutup, mereka boleh mendapatkan bilik VIP tetapi perlu ditempah awal kerana ia mampu menampung seramai 16 orang pelanggan sahaja pada satu-satu masa.

Ketibaan Hypermotard dan Hyperstrada

Posted: 20 Sep 2013 05:50 PM PDT



LAPAN tahun lalu, Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali berperanan sebagai platform menguji pasaran oleh Ducati.
Pameran perdagangan jentera dua roda terbesar dunia itu menyaksikan kemunculan model konsep supermoto Ducati. Model dimaksudkan ialah Hypermotard 1100.
Kehadiran model itu memberi gambaran bahawa pengeluar motosikal berkuasa tinggi itu sudah ada rancangan untuk meneroka segmen motard.
Maklum balas yang diterima agak luar biasa. Impak permintaan konsumer antarabangsa, model itu akhirnya menemui barisan pengeluaran pada tahun 2006.
Tiga tahun kemudian, Ducati memperkenalkan satu lagi model supermoto kelas sederhana iaitu Hypermotard 796.
Momentum itu diteruskan melalui generasi motard baharu sewaktu EICMA 2012. Kali ini, tiga varian diperkenalkan iaitu Hypermotard, Hypermotard SP dan Hyperstrada.
Rangkaian motosikal baharu itu lahir untuk mendokong kemajuan teknologi terkini Ducati tanpa menyimpang daripada konsep asal motard Ducati.
Objektif binaan kali ini adalah untuk mencipta penanda aras baharu dalam pasaran antarabangsa.
Keluarga Hyper menggunakan enjin sama. Ia satu unit rangkaian kuasa baharu yang dicipta khas untuk mengimbangi aspek prestasi dan kegunaan.
Rangkaian kuasa varian Hyper terdiri daripada enjin Testastretta 11 darjah bersesaran 821cc dan transmisi enam kelajuan.
Idea kejuruteraan enjin Multistrada dan 1199 Panigale diaplikasi pada enjin baharu itu. Aspek dimaksudkan adalah susun atur komponen penyampaian bahan api.

KOTAK simpanan sisi Hyperstrada mampu menampung berat sehingga 5 kilogram setiap satu.


Baru-baru ini, Ducati Malaysia (Next Bikes Sdn. Bhd.) mempelawa saya untuk menguji model Hyperstrada dan Hypermotard 2013 selama dua hari.
Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Itali itu dilengkapi tiga mode pemetaan enjin iaitu Urban, Touring dan Sport.
Mode urban menghadkan kuasa kuda kepada 75hp. Untuk Touring dan Sport, kuasa maksimum 110hp boleh dinikmati.
Biarpun mode Touring dan Sport berkongsi hamburan kuasa sama, ia tetap ada bezanya.
Saya mendapati apabila memilih mode Sport, respons pendikit minyak lebih sensitif jika dibandingkan dengan tetapan Touring.
Semua mode itu diintegrasi bersama pakej keselamatan Ducati. Pakej itu merangkumi sistem brek antikunci (ABS) dan Ducati Traction Control (DTC).
Setiap mode boleh ditetapkan mengikut keselesaan setiap penunggang. Anda juga boleh memadamkan mode ABS sepenuhnya jika mahu.
Ada dua pilihan sistem ABS. ABS tahap 1 memastikan prestasi membrek berada pada tahap tertinggi. Ia sesuai untuk mode Sport.
Jika memilih ABS tahap 2, jentera mendapat kawalan kestabilan maksimum. Lebih praktikal untuk pemetaan Touring dan Urban.
Untuk DTC, ada lapan tahap boleh dilaras. Tahap satu disyorkan untuk penunggang mahir. Tahap lapan pula mengaktifkan kawalan terperinci oleh sistem. Ia pantas mengawal jentera, biarpun tayar tergelincir sedikit.
Hyperstrada ialah sebuah jentera crossover. Ia sebuah motard yang ditambah beberapa aksesori untuk kegiatan aktiviti kembara.
Antara aksesori itu ialah tongkat kembar, penghadang angin hadapan dan dua unit kotak simpanan pada bahagian sisi.
Pukulan angin disalurkan keluar dengan adanya penghadang angin. Nampak sahaja kecil tetapi tugas digalasnya agak memuaskan.
Kedudukan hendal yang merapat ke dada dan ketinggian pelana mudah membuat lengan saya lenguh. Mungkin disebabkan posisi badan terpaksa ke depan.
Keselesaan tunggangan ada beza dengan varian Hypermotard. Lengan tidak terasa lenguh walaupun menunggang selama dua jam tanpa henti. Hanya punggung sahaja terasa kebas.

MODEL Hypermotard pastinya menawarkan keseronokan kepada para peminat tunggangan agresif.


Perkara itu pasti berkait rapat dengan kelebihan ketinggian Hypermotard. Ia menempatkan badan lebih tinggi berbanding Hyperstrada.
Hypermotard agak tinggi bagi mereka yang memiliki ketinggian 170 sentimeter. Hujung jari kaki digunakan untuk menahan motosikal.
Tidak perlu gusar, motosikal Ducati itu boleh bergerak sendiri biarpun anda tidak memulas pendikit.
Caranya, tarik tuil klac dan masukkan gear pertama. Brek tangan perlu dilepaskan sepenuhnya. Jangan pulas pendikit minyak.
Lepaskan tuil klac secara perlahan-lahan sehingga habis. Saya mendapati kadar kelajuan maksimum untuk kaedah itu adalah 13km/j. Satu kelebihan untuk penunggang rendah seperti saya.
Secara purata, kapasiti tangki petrol sebanyak 16 liter membolehkan saya mencapai jarak tunggangan sejauh 180km sebelum lampu amaran bekalan petrol rendah mula menyala.
Oktober depan, Ducati Malaysia akan membawa satu kejutan buat anda. Ia bakal memperkenalkan Hypermotard dan Hyperstrada 2013 dari Thailand (ASEAN CKD) pada harga yang cukup istimewa.
Dengar khabar, harganya bermula serendah RM70,000. Jadi, tunggu sahaja pengumuman terkini daripada anak syarikat Kumpulan Naza itu.

Peugeot 308 R Concept yang radikal

Posted: 20 Sep 2013 05:49 PM PDT


JENTERA berkuasa tinggi ini dikatakan akan menjadi pesaing kepada Volkswagen Golf GTi.


SEJARAH Peugeot di Malaysia sebenarnya telah bermula berpuluh-puluh tahun lalu. Jenama dari Perancis itu memang mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Sejak hak pengedaran Peugeot diambil alih oleh Kumpulan Naza, jenama itu semakin kukuh dan stabil.
Antara produk awal yang mendapat sambutan ialah Peugeot 206 atau Naza Bestari. Kini, Peugeot 308 dilihat begitu dominan di atas jalan raya. Untuk pasaran antarabangsa, Peugeot telah memperkenalkan model pengganti 308 yang kelihatan lebih kemas. Model itu seolah-olah ingin memberitahu kepada dunia bahawa ia bersedia untuk berlawan dengan hatchback popular iaitu Volkswagen (VW) Golf.
Tidak cukup dengan itu, Peugeot memperkenalkan pula 308 R Concept yang menjadi pesaing kepada VW Golf GTi. Model 308 baharu dijelmakan dalam bentuk kereta berprestasi dengan reka bentuk yang menonjol dan berkualiti tinggi.
Dengan jarak kelegaan yang hampir menyeret bumi, 308 R Concept dikuasakan oleh enjin baharu yang turut digunakan oleh Peugeot RCZ R dengan output kuasa setinggi 270bhp.
Kit badan yang dipasang pada 308 R Concept diperbuat daripada gentian kaca seperti pintu, bonet dan bampar. Apa yang menariknya ialah hanya bumbung dan but sahaja yang sama dengan model 308 standard.
Wajahnya nampak agresif dengan tiga ruang kemasukan udara yang menyembunyikan enjin penuh kuasa di sebalik bampar tersebut. Badan 308 R Concept direndahkan sebanyak 26 milimeter (mm). Sementara bahagian sisinya disempurnakan dengan roda aluminium bersaiz 19 inci. Setiap roda tersebut mempunyai logo R berwarna merah.
Kuasa 270bhp
Khas untuk pemandu, alat kawalannya jelas dan ringkas, manakala sterengnya pula responsif. Saiznya yang kompak sebenarnya adalah sebahagian daripada agenda pengurangan berat kereta, di samping menambah kelincahan dan keseronokan pemanduan.
Panel instrumen diposisikan supaya pemandu dapat melihat di atas stereng dan bukan melaluinya supaya selari dengan pandangan mata. Melalui rekaan yang tepat, bacaan maklumat enjin dapat dibaca dengan mudah dan spontan tanpa perlu mengalihkan mata dari jalan raya. Turut dibekalkan ialah skrin sentuh bersaiz 9.7 inci.

KIT badan 308 R dibina menggunakan gentian kaca.


Memetik laporan agensi berita Newspress, Peugeot Sport telah membangunkan enjin dan suspensi yang akan membuatkan pemandu berasa teruja. Di sebalik bonet ialah sebuah enjin kompak dan menjimatkan petrol. Enjin sama dipasang pada model RCZ R Sports Coupé yang baru sahaja dilancarkan.
Pasukan jurutera Peugeot berjaya mengekstrak sebanyak 270bhp daripada enjin yang hanya bersaiz 1598cm3. Dengan kuasa enjin yang tinggi, beberapa peralatan enjin diperkuatkan. Antaranya, blok enjin yang telah melalui proses pemanasan sebelum dimesinkan. Sementara omboh pula menggunakan sejenis gred aluminium yang biasa digunakan dalam perlumbaan.
Proses tersebut membolehkan enjin 1.6 liter THP menghasilkan kuasa maksimum pada 6,000rpm dengan sebaran tork pada julat kuasa yang lebih luas iaitu 330Nm dari 1,900 hingga 5500rpm.
Kuasa itu dialihkan ke atas jalan raya melalui pacuan roda depan dan transmisi manual enam kelajuan. Bagi menghentikan kereta berkuasa itu, cakera brek Alcon dipasangkan dengan saiz diameter depan 380mm setebal 32mm, manakala cakera belakang pula berdiameter 330mm dengan tebal 22mm. Dipasang pada hub aluminium ialah angkup brek empat omboh untuk menghentikan tayar bersaiz 235/35 R19 tersebut.
Pasaran hatchback berprestasi sebenarnya sudah pun sesak dengan jenama terkemuka dunia. Bermula dengan VW Golf GTi dan kini Mercedes menawarkan A-Class, BMW dengan 1 series, Renault Megane RS, Ford Focus ST dan Honda pula sedang giat membangunkan Civic Euro Type R.
Peugeot pula tidak berselindung dengan memperkenalkan model konsep 308 R. Boleh jadi ia akan tampil sebagai 308 GTi, abang kepada Peugeot 208 GTi yang sudah pun dilancarkan di Eropah.
Harus tahu 208 GTi adalah pesaing kepada VW Polo GTi. Jika kedua-dua model GTi daripada VW boleh dijual, kenapa model GTi daripada Peugeot tidak boleh dijual dan mempunyai penggemarnya sendiri?

Keindahan lembah di Pakistan

Posted: 20 Sep 2013 05:47 PM PDT



HOTEL dan kediaman penduduk yang terletak di lereng bukit Pekan Gupis.


BARU-BARU ini penulis berpeluang ke Pakistan untuk meneroka keunikan dan tarikan pelancongan di negara tersebut.
Pakistan terletak berdekatan Laut Arab. Beberapa banjaran di negara itu antaranya, banjaran Hindiga telah mengangkat Pakistan sebagai negara yang mempunyai landskap terindah di Asia.
Penulis mengembara ke Pakistan secara solo. Pakistan menjadi destinasi wajib bagi pengembara dari luar negara yang gemar mendaki gunung, dan berbasikal di sepanjang lebuh raya Karakarum. Kawasan itu juga menjadi tumpuan untuk mereka yang gemar melakukan ekspedisi melihat haiwan buas (safari) dengan menaiki jip.
Selain aktiviti lasak, Pakistan juga kaya dengan kepelbagaian budaya, etnik dan bahasa mengikut kawasan dan daerah yang berbeza.
Industri pelancongan di Pakistan jatuh merudum sejak insiden serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.
Selain itu, keadaan politik dalaman yang kurang stabil merupakan salah satu faktor lain yang memburukkan lagi industri tersebut.
Terdorong dengan sifat ingin tahu dan mencuba sesuatu yang baharu, penulis menjejakkan kaki di bumi Pakistan dan sempat meneroka Lembah Ghizer yang pada hemat penulis merupakan antara tempat tercantik yang pernah dikunjungi setakat ini.
Lembah itu terletak di bahagian barat daerah Gilgit-Baltistan yang didiami oleh pelbagai etnik dengan bahasa pertuturan yang berbeza. Khowar, Shina dan Burushaski merupakan tiga bahasa utama yang digunakan oleh penduduk di kawasan tersebut.
Lokasi lembah itu yang terletak di antara dua banjaran gunung Hindu Kush dan Karakarum dengan keindahan alam semula jadi seperti gunung-ganang, sungai dan tasik yang tersendiri.
Perjalanan ke lembah itu bermula dari bandar Gilgit dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan mengambil masa selama empat jam untuk sampai ke destinasi pertama sebelum tiba di Pekan Gupis.
Pemandangan indah gunung-ganang dan air sungai yang jernih di tepi jalan merupakan peneman setia sepanjang perjalanan. Jambatan besar yang digunakan oleh penduduk tempatan untuk menyeberangi Sungai Gilgit ternyata mencuri tumpuan penulis.

PENULIS sempat bergambar dengan kanak-kanak yang memancing ikan di Tasik Khalti.


Dirikan khemah
Kira-kira 20 minit dari pekan Gupis, kami sempat singgah di Tasik Khalti yang menjadi kawasan tumpuan penduduk tempatan memancing ikan salmon. Pengembara juga berpeluang mendirikan khemah di tapak-tapak yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan secara percuma.
Bagi mereka yang mahu menginap di hotel, penginapan Perbadanan Pembangunan Pelancongan Pakistan (PTDC) di Pekan Gupis merupakan pilihan terbaik.
Selain memancing, pengembara juga boleh mendaki di bukit berdekatan dengan tasik itu. Pendakian ke puncak yang mengambil masa selama 30 minit itu melalui pohon-pohon ceri, aprikot dan kacang walnut. Jika bernasib baik, anda berpeluang bertemu dengan penduduk tempatan yang tidak lokek berkongsi hasil tanaman mereka dengan pelancong.
Hari berikutnya penulis bersama pengembara lain ke Lembah Yassin. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan air sungai yang jernih sehingga membuatkan kami sempat singgah untuk beristirehat di sebatang sungai.
Sumber air bersih dari sungai di Pakistan mudah diperoleh di mana-mana sahaja. Kami berpeluang menikmati air yang menyegarkan itu, mungkin kerana ia datang dari sumber semula jadi.
Di Lembah Yassin, pengembara boleh melakukan aktiviti merentas hutan atau memilih untuk bersantai di tepi sungai. Selain itu, kami berpeluang memasuki kawasan kampung-kampung kecil dengan berjalan kaki dan melihat sendiri kehidupan penduduk tempatan dalam menjalani kehidupan seharian mereka.
Ketika merentas hutan, kami terserempak dengan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang berjalan kaki seorang diri sambil membawa sebotol jus yogurt untuk neneknya. Kanak-kanak yang dikenali sebagai Yusra, 10, itu memenuhi pelawaan kami untuk berjalan bersama. Yusra seorang penghafaz al-Quran juga berkebolehan berbicara mengenai politik dan isu-isu semasa.

PERTEMUAN dengan Yusra ketika merentas hutan di Lembah Yassin telah membawa kami ke kediaman gadis berumur 10 tahun itu.


Apabila sampai di rumah neneknya, kami dipelawa untuk singgah sambil membasahkan tekak terlebih dulu. Kami disajikan dengan yogurt dan teh. Kami menghabiskan masa selama satu jam berbicara mengenai pelbagai topik bersama Yusra dan neneknya sebelum meneruskan kembali aktiviti merentas hutan.
Kami melalui sebatang sungai yang sangat jernih tetapi arusnya amat deras. Cuaca sejuk dan nyaman membuatkan kami sedikit pun tidak berasa letih walaupun telah berjalan selama beberapa jam.
Pada hari ketiga, kami meneruskan perjalanan ke Lembah Phandar. Perjalanan mengambil masa selama dua jam dari Lembah Yassin dengan kenderaan. Seorang rakan pengembara turut berhenti di kawasan sungai di tepi jalan untuk mencuba nasib memancing ikan. Cuaca sejuk dan berangin merupakan faktor utama dia tidak memperoleh sebarang tangkapan pada hari itu.
Perjalanan kami terhenti apabila melalui kawasan tanah runtuh lalu menyebabkan jalan raya terpaksa ditutup. Menurut penduduk tempatan, jalan tersebut telah ditutup selama beberapa minggu.
Kami terpaksa meninggalkan kenderaan di sebuah kawasan yang selamat untuk berjalan kaki merentas kawasan tanah runtuh itu.
Berjalan kaki selama 20 minit membawa kami ke Sungai Pingal. Di situ, kami menyewa sebuah kereta daripada penduduk tempatan untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh ke Lembah Phandar.
Lembah Phandar merupakan destinasi terbaik untuk pengembara dan pelancong yang meminati aktiviti memancing. Kami berjaya menjinakkan ikan salmon yang akhirnya menjadi hidangan makan malam buat kami pada malam itu.
Sepanjang mengembara di bumi Pakistan, berada di Lembah Ghizer merupakan antara pengalaman manis dalam diari kehidupan saya. Melalui pengembaraan ini, saya bersyukur kerana dapat melihat keindahan alam semula jadi di Pakistan yang jarang diterokai oleh pengembara-pengembara lain.

Menikmati kopi gaya Itali

Posted: 20 Sep 2013 05:46 PM PDT




TERLETAK sejauh 22 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur, Baci Italian Cafe (Baci) memberi pilihan terbaharu kepada peminat tegar kopi.
Melangkah kaki ke dalam premis tersebut, suasana santai begitu terasa terutama pada penggunaan perabot dan susun letaknya.
Menggunakan tema minimalis, warna yang digunakan berona gelap seperti hitam dan kelabu, manakala barang-barang perhiasan pula mempunyai reka bentuk ringkas.
Mirip kafe-kafe di Itali, Baci memberikan peluang kepada orang ramai untuk menikmati kopi seperti berada di negara itu.
Ruang membuat kopi terletak di tengah-tengah restoran termasuk tempat penyediaan makanan seperti kek dan pastri. Reka bentuk kaunter dapur dan kopi ringkas dengan permukaan binaan kaunter cukup sekadar simen tanpa sebarang marmar atau mozek. Terpampang papan menu seakan-akan papan hitam yang menyatakan menu utama harian.
Ruang makan terbahagi kepada dua iaitu dalam dan luar, bergantung kepada keinginan pengunjung sama ada mahu menikmati sajian dalam kedinginan pendingin hawa atau udara semula jadi.

SENI latte terbahagi kepada tuangan bebas dan goresan.


Baci menyediakan semua jenis kopi termasuk pelbagai pilihan latte , mocha, macchiato dan cappuccino, menjadikannya antara lokasi kegemaran penggemar kopi.
Hirupan kopi terasa tidak lengkap tanpa pastri atau sepotong kek dengan tiga pilihan berbeza iaitu kek red velvet, kek keju dan kek lapis pisang untuk dinikmati.
Promosi
Sempena Hari Kopi Antarabangsa yang disambut pada 29 September setiap tahun, Baci mengadakan promosi secawan kopi dan satu pilihan kek atau pastri pada harga RM19.90 selama sebulan.
Pada tarikh tersebut, para pengunjung yang datang antara pukul 10 pagi hingga 2 petang dan makan di restoran boleh menikmati kopi sepuas-puasnya pada harga secawan kopi.

KAUNTER pembayaran dan dapur di Baci direka begitu ringkas dengan permukaan simen terdedah menaikkan mood kedai kopi jalanan di Eropah.


Pada majlis taklimat khas yang diadakan baru-baru ini, pelatih barista, Baci, Boyd Yap, 35, turut melakukan demonstrasi membuat kopi yang mempunyai seni tersendiri.
"Buih dan cecair susu yang dibiarkan boleh menjadi dua lapisan, ia perlu kerap dikacau. Begitu juga kopi pekat espresso yang perlu dikacau," ujarnya yang ditemui di Ara Damansara, Selangor.
Corak-corak yang ada pada setiap hidangan kopi bukan saja menggembirakan diri si peminum, tetapi menurut Yap, ia sekadar faktor pelaris kerana pembuatan kopi sebenar bergantung pada suhu yang tepat dan cara kawalan menuang buih susu ke dalam espresso.
"Secawan kopi yang dibuat pada suhu yang tepat dengan corak yang terhasil di permukaannya tanpa dikacau boleh kekal walaupun kopi dihirup," ungkapnya.
Jika anda tiada sebarang aktiviti pada hujung minggu ini, berkunjunglah ke Baci dan nikmati secangkir kopi dengan penuh elegan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines