Rabu, 25 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Aeril Zafrel, Wawa Zainal nafi sudah bernikah

Posted: 24 Sep 2013 01:00 AM PDT


AERIL ZAFRIL menegaskan jika dia telah menikahi Wawa Zainal, perkara tersebut tidak akan disorokkan.


TIDAK ada angin masakan pokok bergoyang. Begitulah yang terjadi kepada dua pelakon popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang dikatakan sedang hangat bercinta meskipun masing-masing tidak pernah memberi kenyataan yang jelas mengenai status hubungan mereka.
Terbaharu, pada Sabtu lalu, sebuah stesen radio swasta mengeluarkan gosip, kononnya seorang pelakon wanita yang sudah lama menghilang sebenarnya telah selamat melahirkan anak dan kini sedang berpantang.
Suami kepada pelakon wanita itu pula dikatakan seorang pelakon juga yang cukup popular dengan drama yang ditayangkan pada waktu petang. Berita itu didakwa diperolehi daripada sumber yang boleh dipercayai iaitu keluarga angkat pelakon lelaki itu sendiri.
Ramai yang bertanyakan hal itu, adakah pelakon lelaki yang didakwa telah berkahwin itu merupakan pelakon kacak, Aeril Zafrel kerana secara kebetulan drama lakonannya iaitu Cinta Jannah sedang hangat pada waktu petang di TV3.
Teka-teki bermain di fikiran ramai, mungkin pelakon wanita yang didakwa menjadi isterinya itu adalah pelakon Wawa Zainal yang kebetulan sedang berehat di kampung halamannya di Sabah sejak empat bulan lalu kerana berubat akibat penyakit misteri atau bahasa mudahnya penyakit berkaitan makhluk halus.
Bagi mendapatkan cerita yang sebenar, ikuti temu bual Kosmo! bersama Aeril dan juga Wawa.
Kosmo!: Ada gosip mendakwa seorang pelakon lelaki yang popular dengan drama waktu petang telah bernikah secara sembunyi dengan seorang pelakon wanita. Sekarang drama Cinta Jannah sedang popular dan semua mata tertumpu pada Aeril, ada yang mendakwa pelakon lelaki itu Aeril. Komen?
AERIL: Saya tidak tahu hendak kata apa (ketawa). Itu hanyalah kata-kata tanpa sebarang bukti yang sahih, jika saya nafi dan komen lebih-lebih orang memang tidak akan berhenti bercakap.
Adakah memang benar anda telah berkahwin?
Memang saya tidak berkahwin, saya hanya kahwin dalam drama sahaja (ketawa).
Wanita yang didakwa kononnya menjadi isteri anda adalah pelakon Wawa Zainal. Komen?
Sekarang status kami berdua hanyalah sahabat baik dan saling mempercayai antara satu sama lain. Tidak dinafikan dan tipulah kalau kata kami tidak berjumpa. Jika dia berada di Kuala Lumpur, kami akan keluar makan bersama, tetapi sekarang dia berada di kampungnya di Sabah kerana sedang berubat.
Boleh komen cerita yang kononnya Wawa telah hamil?
Di sini saya ingin memohon tolong jangan sebarkan cerita jika tidak ada bukti dan akan memburukkan orang lain. Andai ada bukti sekalipun dan cerita itu sahih, jika dikeluarkan menjadi aib kepada tuan punya badan, tidak boleh juga dikeluarkan. Jika tidak benar, lagi berdosa dan harus meminta maaf kepada Wawa.
Andai anda berkahwin kelak adakah anda akan menyembunyikan perkahwinan itu?
Perkara yang baik saya akan beritahu kepada orang yang wajib tahu terlebih dahulu kerana bimbang akan menjadi fitnah pada kemudian hari. Jika saya kahwin, pasti ada bukti kerana pelbagai perkara harus diselesaikan seperti dokumen, bukan boleh berkahwin secara senyap kerana akhirnya orang akan tahu juga.
Sejauh mana keterbukaan anda bersama media dan peminat berhubung hal peribadi anda?
Saya lebih suka sembunyikan hal-hal yang tidak ada kaitan dengan kerja contohnya saya berkawan dengan Wawa. Sejujurnya saya tidak pernah sorok pun, lihat sahaja di laman sosial saya. Bagaimanapun, jika hal itu memberi manfaat jika saya kongsi bersama, dipersilakan untuk berkongsi. Tidak kiralah artis atau orang biasa, bukan semua hal kita akan kongsi dengan semua orang.


Zhafran sokong Fouziah

Posted: 24 Sep 2013 01:00 AM PDT



SERI pengantin dan keterujaan melayari bahtera sebagai pasangan suami isteri terserlah pada wajah pelakon Fouziah Gous dan suaminya, Md Zhafran Md Yusof ketika majlis akad nikah selesai.
Hanya dengan sekali lafaz, Fouziah sah menjadi isteri kepada Zhafran tepat pukul 9.42 malam di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 21 September lepas.
Walaupun kelihatan tenang, namun air mata Fouziah mengalir tanda bersyukur dan gembira setelah semuanya berjalan seperti yang dirancang.
"Pada awalnya, perasaan saya sangat berdebar, tapi saya cuba untuk kawal perasaan serta banyakkan berselawat di dalam hati. Saya rasa walaupun mungkin sebelum ini saya sudah biasa berada di hadapan khalayak ramai, namun keadaan kali ini berbeza. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya dan ia berjalan dengan lancar," jelas Fouziah ringkas ketika ditemu ramah pihak media.
Fouziah yang anggun memakai busana putih rekaan Atilia Amani itu memilih musim sejuk Pakistan sebagai konsep majlis pernikahannya itu. Majlis tersebut juga dihadiri kira-kira 200 orang tetamu termasuk ahli keluarga dan teman rapat kedua mempelai.
Bicara Zhafran pula, perasaan gementar tetap ada walaupun luaran kelihatan agak tenang. Perasaan bercampur baur memikirkan kini dia telah punya tanggungjawab sebagai seorang suami kepada seorang wanita yang dicintai dan diminatinya.
"Sebelum masuk dewan, saya ada hantar pesanan kepada Fouziah. Namun, dia berjaya tenangkan saya dan meminta supaya saya banyak berselawat dan fokus dengan apa yang perlu dilakukan kelak. Doa ibu bapa dan kawan-kawan juga banyak membantu saya untuk bertenang dan syukur semua berjalan dengan lancar," kata Zhafran yang sentiasa mengukir senyuman ketika ditemu ramah.
FOUZIAH dan Zhafran bersyukur kerana impian mereka untuk bergelar suami isteri tercapai dengan majlis pernikahan berjalan lancar.


Usaha Zhafran, gelak Fouziah
Bercerita tentang keistimewaan pasangan masing-masing, tutur Fouziah memulakan kisah perkenalan mereka, usaha Zhafran membuatkan dia tertarik dengan ahli perniagaan itu.
"Perkenalan pada bulan Jun tahun lepas memulakan perhubungan kami ini. Namun, ketika itu kami hanya berkawan biasa dan pernah tidak berhubunag buat beberapa ketika. Kami mula rapat semula awal ini dan niat di hati hanya ingin berbincang mengenai perniagaan sahaja.
"Pada masa itu juga, saya mula buka hati saya, banyak beribadat dan minta petunjuk. Secara kebetulan selepas itu, Zhafran banyak berkomunikasi dengan saya dan membantu saya dalam pelbagai perkara. Saya dapat lihat usahanya untuk benar-benar rapat dengan saya.
"Dipendekkan cerita, setelah beberapa perkara yang berlaku secara kebetulan terhadap diri saya dengan Zhafran, ketika itu juga saya sedar mungkin dia merupakan jodoh yang diberi Allah kepada saya," cerita Fouziah mengimbau kisah perkenalan mereka.
Cerita Zhafran pula, semenjak mengenali dan rapat dengan Fouziah, hatinya sentiasa berasa gembira dan tenang. Gelak tawa dan kecantikan zahir dan batin Fouziah membuatkan dirinya lebih tertarik terhadap wanita ini.
Selain itu, tutur Zhafran, perwatakan Fouziah sendiri pada mulanya telah membuat dia terus melamar Fouziah menjadi isteri walau hanya empat hari berhubungan secara serius.

ZHAFRAN dan Fouziah berbalas tujuh dengan sembilan dulang hantaran yang antaranya berupa set kelengkapan diri, wangian, barangan kemas serta jam tangan.


Tahu batas dan tidak kisah
Jelas Fouziah, sebelum dia menjadi seorang artis, dia sentiasa menjaga batasnya sebagai seorang anak perempuan dan wanita. Dia pernah berjanji kepada ibunya bahawa akan sentiasa menjaga diri sendiri tidak kira bidang apa pun yang diceburinya.
Tambahan kini, setelah mempunyai status sebagai isteri, batasan terhadap karier lakonannya dan pergaulannya juga akan dijaga walaupun tidak diberitahu oleh suaminya.
Menurut Zhafran pula, sebagai seorang suami, dia sentiasa inginkan yang terbaik buat si isteri dan tidak mahu menghalang karier Fouziah sebagai seorang model dan pelakon.
"Tiada apa-apa yang saya bataskan kepada isteri saya. Saya rasa sebagai isteri Fouziah sudah sedia maklum tanggungjawab dan batasannya. Ini kerana sebelum saya mengenalinya, dia sudah pun bergelar seorang selebriti. Jadi, saya tidak kisah jika dia ingin teruskan kariernya dalam bidang ini," tuturnya yang juga pernah menjadi peminat Fouziah.
Ketika ditembak persoalan tentang penambahan bilangan ahli keluarga pula, kelihatan keduanya sudah bersedia untuk bergelar ibu bapa pada bila-bila masa sahaja.
"Kami tidak membuat sebarang perancangan untuk mendapatkan cahaya mata dan menyerahkan kesemuanya kepada rezeki Allah kelak. Namun, setakat ini, perancangan berbulan madu belum lagi kami rencanakan kerana ingin beri fokus dahulu terhadap majlis resepsi yang akan berlangsung kelak," tutur Fouziah dan Zhafran sama-sama beri jawapan terhadap soalan yang diajukan.

PERNIKAHAN mereka telah mencantumkan dua buah keluarga besar daripada kedua-dua belah pihak.


Terima kasih
Sibuk berbicara tentang kehidupan dan perancangan setelah bergelar suami isteri, sempat juga Fouziah menyelit beberapa kenyataan tentang sokongan yang diterimanya.
"Terima kasih kepada peminat yang telah mendoakan saya dan tidak jemu-jemu menyokong saya sehingga kini. Bangun sahaja dari tidur, perkara pertama ialah membaca laman Twitter saya dan saya rasa bersyukur kerana disayangi peminat. Saya berharap semua orang dapat doakan supaya perhubungan kami ini kekal sehingga ke akhir hayat.
Selain itu terima kasih juga kepada keluarga kedua belah pihak serta teman-teman yang sudi menghadiri dan memeriahkan majlis ini," tutur Fouziah mengakhiri bicara.


Aril menangis ketika jadi penyampai radio

Posted: 24 Sep 2013 12:58 AM PDT

WALAUPUN sibuk dengan tugasan tetapnya sebagai deejay di radio Era FM, Aril tetap mahu meneruskan kariernya sebagai penyanyi.


SETELAH bergelar naib juara Akadami Fantasia 7 (AF7) ia menjadi batu loncatan kepada Khairil Azam Pilus atau Aril untuk mengembangkan lagi karier seninya.
Selain bergelar pelakon dan penyanyi, kini Aril melangkah setapak lagi apabila menjadi penyampai radio tetap bersama stesen radio ERA FM sejak bulan Ogos lalu.
"Sejak bulan November 2012 saya sudah menyertai Era FM sebagai penyampai radio secara kontrak dan saya menerima tawaran tersebut kerana ingin mencuba sesuatu dalam bidang baharu.
"Pada mulanya saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran sehingga pernah menangis kerana gagal mengendalikan beberapa peralatan di konti. Itu antara pengalaman yang sukar untuk saya lupakan," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran single berjudul Tulus.
Bagaimanapun, Aril menyatakan dia cukup bernasib baik kerana banyak dibantu oleh rakan-rakan penyampai lain yang lebih senior dan terpaksa mengambil masa selama tiga bulan untuk mahir.
Ujarnya, kini dia mampu tersenyum lebar kerana bidang penyampai radio semakin sebati dengan dirinya dan telah dipilih secara tetap serta diberi kepercayaan mengendalikan program Meletop 40 Era dari Isnin hingga Jumaat pukul 8 hingga 12 tengah malam.
Mengulas lebih lanjut mengenai tugasnya sekarang ini di konti radio, dia menafikan pembabitannya itu berpunca daripada karier nyanyiannya yang sekarang ini semakin malap.
"Sehingga kini saya masih lagi aktif menyanyi dan selalu membuat persembahan di merata-rata tempat serta sudah menghasilkan beberapa buah single.
"Selain itu, pada akhir tahun ini juga saya bakal muncul dengan album sulung. Ia mengandungi tujuh buah lagu dan empat daripadanya merupakan lagu baharu, termasuk sebuah lagu duet bersama Ahmad Dhani," jelasnya.
Ketika ditanya tentang risiko yang bakal dihadapinya apabila lagu-lagu nyanyiannya tidak akan diputarkan di stesen radio lain memandangkan dia kini menyertai Era FM, Aril menegaskan perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku.

MASIH AKTIF. Aril kini muncul dengan single duet bersama penyanyi kelahiran Indonesia, Terry yang berjudul Tulus.


Tegasnya, dalam industri nyanyian tempatan yang kecil tindakan sedemikian sudah tentu akan membunuh karier seseorang penyanyi itu dan sepatutnya setiap pihak perlu menyokong antara satu sama lain.
"Saya sedar ia memang berlaku dan saya agak hairan dengan keadaan tersebut. Kalau boleh berilah peluang sama rata kepada penyanyi yang menjadi penyampai radio seperti saya dan beberapa rakan lain," ujarnya.
Menurut Aril, tugas sebagai penyampai radio juga sebenarnya bukanlah menjadi kelebihan kepada dirinya untuk memutarkan lagu-lagu sendiri seperti tanggapan sesetengah pihak.
"Mungkin ramai yang tidak tahu senarai lagu yang dimainkan dipilih oleh seorang eksekutif muzik yang bertugas, malah saya tidak pernah memainkan lagu sendiri ketika ke udara," tegasnya yang dikenali menerusi lagu Ganjil itu.
Duet
Bercerita tentang perkembangan karier nyanyiannya pula, Aril menyatakan dia kini bakal mempromosikan single baharu berjudul Tulus yang dinyanyikan secara duet bersama penyanyi dari Indonesia iaitu Terry.
Ujarnya, single berkenaan sudah mula menjalani promosi di Indonesia sekitar tiga minggu lalu dan sambutan pendengar di sana cukup baik dan memberangsangkan.
"Sudah tentu saya gembira kerana lagu ini semakin diterima ramai dan sudah berada di carta beberapa stesen radio di sana. Tidak mustahil dengan pencapaian ini akan menjadi platform untuk mengembangkan karier nyanyian di negara tersebut.
"Namun begitu, sesuatu yang agak melucukan apabila ramai yang keliru dan menyangka saya ini adalah Ariel Noah, tetapi sekarang mereka sudah mula mengenali diri saya," ujarnya yang sudah merakamkan lagu tersebut bersama Terry sejak tahun lalu.
Sementara itu, Terry yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut berkata, sebelum ini dia telah diberi tiga nama penyanyi lelaki Malaysia untuk berduet dengannya.
Setelah membuat penilaian sedalam-dalamnya, dia kemudian telah memilih Aril sebagai pasangan duet kerana cukup tertarik dengan suara yang dimiliki penyanyi tersebut.
"Apabila mendengar sahaja suara nyanyian Aril, saya dapat merasakan suatu kelainan emosi dengan alunan suaranya itu. Maklum balas yang diterima juga sangat baik dan ramai yang menyatakan paduan suara kami cukup mantap," jelasnya.


Pelajar AF 2013 terlalu mencuba

Posted: 24 Sep 2013 12:57 AM PDT


SAAT Darren diumumkan sebagai peserta yang tersingkir.


SELEPAS Sani, minggu kedua Konsert Akademi Fantasia 2013 bertemakan Inspirasi 15 Ikon Malaysia menyaksikan Darren peserta dari Pulau Pinang tersingkir apabila hanya meraih undian sebanyak empat peratus.
Juri tetap, Edry KRU menyifatkan lagu yang didendangkan Darren, Mentera Semerah Padi nyanyian asal Datuk M.Nasir tidak cukup bagus dan dan kelihatan agak aneh apabila dipersembahkan oleh Darren di atas pentas.
Bagaimanapun, Darren atau nama sebenarnya, Chin Teik Meng, 21, menerima penyingkirannya dengan hati yang terbuka dan akan meneruskan perjuangannya dalam bidang seni.
"Terima kasih kerana mengundi saya sebelum ini. Kegagalan hari ini bukan bermaksud saya akan berputus asa dengan cita-cita saya sebagai penyanyi.
"Walaupun perjuangan saya sampai di sini, saya akan terus berusaha dan kita akan jumpa lagi selepas ini," katanya ketika berucap sebelum meninggalkan pentas dengan menarik beg yang menjadi identiti program itu bagi pelajar yang tersingkir.
Minggu hadapan, sepuluh peserta yang bakal beraksi ialah Nur Nabila Razali (Nabila), 21, Nur Aisyah Aziz (Aisyah), 19, Siti Ruhailah Hussein (Indah), 23, Rasmawatie Mohd. Thamrin (Nona), 18, Nadia Amira Othman (Amira) 20 dan peserta duo wanita Irsa Sahabuddin, 26, dan Irmiza Sahabuddin, 23, (Irmisa).
Selain itu, Muhammad Ikhtiman Che Ismail (Iman), 23, Abdul Suhadah Unding (Suhada), 21, Mohd Faizul Sani (Faizul), 28, peserta duo lelaki, Mohd. Azhar Osman, 25, serta Hal Husaini Razmi, 25 yang menamakan diri mereka Azhael juga akan memberi saingan.
Bercakap tentang mutu persembahan pada konsert kedua boleh dikatakan pada tahap biasa, hanya Indah, peserta duo, Irmisa dan Azhael yang memberi suntikan yang berbeza,
Pelajar lain dilihat cuba menyanyikan lagu-lagu yang agak besar dan berat untuk mereka, sedangkan kemampuan vokal tidak setanding dengan lagu tersebut meskipun lagu tersebut dinyanyikan mengikut cara mereka sendiri.

PERSEMBAHAN penutup dengan lagu Menuju Puncak oleh para pelajar AF2013.


Paling ketara, Iman yang cuba menyanyikan lagu Yuna, Terukir Di Bintang dengan gayanya sendiri tetapi vokalnya tidak sampai, malah, suara sumbangnya jelas kedengaran.
Sejujurnya, tidak tahu bagaimana, Iman boleh terpilih sebagai pelajar kerana piawaian program Akademi Fantasia 20123 (AF2013) begitu tinggi selepas sembilan musim.
Begitu juga dengan Faizul yang menyanyikan lagu Pasti dendangan asal Ning Baizura dan Nabila dengan lagu Setiaku Di Sini dendangan asal Ziana Zain. Mungkin pelajar cuba membuktikan kemampuan diri mereka, tetapi diharap mereka harus ukur kemampuan vokal di badan sendiri terlebih dahulu sebelum memilih lagu.
Pelajar seperti Suhada, Amira, Aishah dan Nona diakui boleh menyanyi dengan baik tetapi persembahan mereka belum cukup memukau dan dibayangi oleh penyanyi asal lagu yang dipilih.
"Saya suka Aishah kerana penampilannya bagus tetapi nyanyi tidak sempurna. Tidak mahulah orang kata muka cantik tetapi nyanyi tidak sedap. Kalau dibetulkan pitching saya yakin awak akan jadi seorang penyanyi yang bagus," komen Roslan Aziz pada Aishah yang mendendangkan lagu Iris dendangan asal penyanyi Awie.
Walaupun ramai pelajar memberi persembahan biasa, tetapi penonton dikejutkan kononnya Nona tersingkir. Namun, hakikat sebenarnya pihak produksi AF2013 membenarkannya pulang ke kampung halaman di Sabah selama sehari selepas mendapati ibunya sakit buah pinggang.
Secara keseluruhannya, setakat minggu kedua konsert Akademi Fantasia 2013 yang berlangsung di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya, belum ada persembahan yang memukau daripada pelajar.
Sepatutnya dengan pengilham, Faizal Tahir dan tenaga pengajar AF2013 yang cukup berpengalaman seperti Fizz Fairuz, Shafi Sharif, Alam Wakaka dan Suhaili, tiada alasan untuk pelajar tidak memberikan persembahan yang bagus.
Selain tenaga pengajar, mereka juga diasuh oleh tiga orang pengilham iaitu Faizal Tahir, Datuk Siti Nurhaliza dan Melly Goeslow. Mungkin perjalanan mereka masih baharu dan diharap pada minggu hadapan tiada lagi kedengaran suara sumbang dalam konsert ketiga AF2013.
AF2013 bersiaran secara langsung setiap Sabtu pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Maya (135) dan dihoskan oleh Zizan Razak, manakala Roslan Aziz, Edry KRU serta pelakon Sharifah Amani bertindak sebagai pengkritik tetap.


Graduan tulang rapuh dapat kerja

Posted: 24 Sep 2013 12:55 AM PDT

NIK NOR ERMIZA ROZANA menunjukkan gambarnya semasa menerima ijazah pada majlis konvokesyen UIAM pada 2010 di Besut, Terengganu semalam.


BESUT - Selepas tiga tahun menganggur, siswazah kurang upaya yang memiliki ijazah berkembar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nik Nor Ermiza Rozana Mustaffa, bersyukur dengan tawaran kerja yang diterima daripada kerajaan negeri Terengganu.
Wanita berusia 32 tahun yang memiliki Ijazah Undang-Undang dan Syariah itu bakal berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif Teknologi Maklumat di Pusat Bestari.com di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) di sini.
Disahkan menghidap kerapuhan tulang sejak lahir, Nik Nor Ermiza Rozana dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila di sini hanya memiliki ketinggian 100 sentimeter.


Remaja lelaki dijel seumur hidup

Posted: 24 Sep 2013 12:54 AM PDT


SEORANG pesalah kes bunuh dibawa ke Mahkamah Tinggi Sibu, Sarawak semalam.


SIBU – Seorang remaja lelaki dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas diperkenan Yang Dipertua Negeri berhubung sabitan membunuh empat sekeluarga dan satu cubaan bunuh pada awal tahun lalu.
Pada prosiding 19 Ogos lalu, lelaki berusia 19 tahun itu didapati bersalah membunuh jirannya iaitu ahli perniagaan, Ling Tong Hock, 36; ibunya, Leong Nyuk Lan, 76; anak lelakinya, David Ling Chei Qi, 10, dan anak perempuannya, Amy Ling Zi Jiun, 7, dengan menggunakan tukul.
Hakim Supang Lian membuat keputusan itu selepas mengambil kira umur pesalah semasa kejadian berusia 17 tahun tujuh bulan dan berada dalam takrif kanak-kanak mengikut Seksyen 2 Akta Kanak-kanak 2001.


Jasad Chin Peng dibakar di Bangkok semalam

Posted: 24 Sep 2013 12:52 AM PDT


SEORANG sami Buddha membacakan doa sewaktu majlis membakar mayat Chin Peng di sebuah tokong di Bangkok, Thailand semalam.


BANGKOK - Jasad bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibakar petang semalam di Wat That Thong, Jalan Sukhumvit di sini, lapor akhbar Bangkok Post.
Dia meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September lalu pada usia 89 tahun akibat sakit tua.
Memetik laporan akhbar dalam talian The Star, mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibakar sekitar pukul 6 petang.
Bangkok Post juga melaporkan bahawa abu mayatnya mungkin disemadikan di selatan Thailand.
Kematian pemimpin yang berasal dari Sitiawan, Perak itu telah mencetuskan kontroversi apabila kerajaan Malaysia menghalang jasad atau abu mayatnya dibawa pulang.
Chin Peng tinggal dalam buangan di Thailand selama lebih lima dekad dan dilarang kembali ke Malaysia.
Menurut sumber-sumber keluarganya, sebahagian abu mayat Chin Peng mungkin disimpan oleh anak dan cucunya.
Sebahagian lagi abu mayatnya dikatakan bakal disemadikan di empat kampung yang didiami rakan seperjuangannya dalam PKM.
Empat kampung tersebut terletak di Betong, Kabang dan Tarnto, Yala serta Sukhirin di daerah Narathiwat.


Gabungan burger McDonalds jadi juadah baharu

Posted: 24 Sep 2013 12:51 AM PDT

CHAPMAN menunjukkan juadah baharu yang diciptanya daripada 43 biji burger McDonalds di Amerika Syarikat.


WAUWATOSA - Seorang penulis blog makanan telah mencipta satu juadah baharu dengan menggabungkan semua menu burger yang terdapat di restoran makanan segera McDonalds kelmarin.
Nick Chapman yang merupakan seorang peminat makanan segera sanggup berbelanja sebanyak AS$140 (RM442) di sebuah restoran McDonalds di Wauwatosa, Wisconsin bagi menyediakan burger mega yang memiliki 20,000 kalori.
Chapman menempah sebanyak 43 biji burger dan menyusunnya sehingga mencecah ketinggian 91 sentimeter.
Bagi memegang semua burger itu, Chapman mencucuk beberapa batang lidi buluh ke dalam burger tersebut.
"Selepas semua 43 burger habis dibeli dan berada di atas meja, saya perlu menyusun semuanya bersama," tulis penulis laman blog Dude Foods itu.
"Pada asalnya, saya menjangkakan ia hanya setinggi beberapa kaki sahaja. Tetapi seperti yang anda lihat dari gambar, ia lebih tinggi daripada apa yang dibayangkan.
Selain memastikan semua burger itu tidak terbalik ketika disusun, Chapman menyatakan perkara paling sukar adalah untuk tidak memakan mana-mana bahagian burger sehingga ia selesai.


Istana Buckingham cari penjaga 1,000 jam diraja

Posted: 24 Sep 2013 12:50 AM PDT


RATU Elizabeth II bergambar di samping salah satu jam miliknya di Istana Buckingham, London.


LONDON - Istana Buckingham kini mencari seorang pegawai pemulihara horologi diraja untuk menjaga dan memastikan 1,000 buah jam milik Ratu Elizabeth II sentiasa tepat, lapor akhbar Mirror semalam.
Pihak istana itu berharap semua tukang pemerhati jam di London memohon untuk jawatan tersebut yang menawarkan gaji sebanyak AS$49,930 (RM157,878) setahun.
Salah satu tugas utama penyandang jawatan itu ialah membantu membetulkan jam yang ada jika ia lebih cepat pada Mac dan kembali lambat pada Oktober setiap tahun.
Setiap calon yang berjaya juga turut bertanggungjawab memulihara, membaiki dan menyelenggara setiap jam dalam koleksi diraja Britain.
Jam itu merangkumi jam menara kecil sehingga beberapa jam poket di semua kediaman diraja sekitar Britain.
"Secara prinsipnya, penyandang jawatan itu akan bekerja di Istana Buckingham. Pemegang jawatan itu juga perlu pergi ke semua istana-istana lain," kata iklan yang dikeluarkan di laman web rasmi Ratu Elizabeth II.
Individu tersebut akan memantau jam-jam di Istana St. James dan Rumah Clarence. Beliau juga perlu bertugas di Istana Windsor, Istana Holyroodhouse, Balmoral dan Sandringham.


Jangkitan global HIV catat penurunan ketara

Posted: 24 Sep 2013 12:49 AM PDT


BEBERAPA sampel darah mengandungi kuman HIV di sebuah makmal Pusat Penyelidikan AIDS di Abidjan, Ivory Coast pada 13 September lalu.


GENEVA - Jangkitan baharu virus kurang daya tahan penyakit (HIV) berkurangan sebanyak satu pertiga secara keseluruhan sejak 2011, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
PBB dalam satu kenyataan memberitahu, jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak turut merosot lebih daripada 50 peratus.
Di peringkat global, sejumlah 2.3 juta orang dijangkiti HIV pada tahun lalu. Angka tersebut mencatat penurunan 33 peratus sejak tahun 2001.
Tahun 2012 turut menyaksikan 260,000 kanak-kanak menghidap HIV di seluruh dunia sekali gus penurunan sebanyak 52 peratus sejak tahun 2001.
"Bilangan jangkitan baharu HIV terus merosot dengan penurunan ketara dilihat dalam kalangan kanak-kanak," kata Pengarah Eksekutif Program Bersama PBB untuk HIV/AIDS (UNAIDS).
Menurutnya, penurunan itu antara lain didorong kemajuan ubat antivirus yang dapat menghalang jangkitan kuman HIV daripada ibu kepada bayi dalam kandungannya.
Dalam laporan tahunannya, UNAIDS menyatakan, ubat-ubatan berkenaan berjaya menghalang lebih 670,000 kanak-kanak daripada dijangkiti virus tersebut.
Pada tahun lalu, sejumlah 1.6 juta orang mati akibat penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS), turun daripada 1.8 juta orang pada tahun 2011 dan 2.3 juta pada tahun 2005.
Pembawa kuman HIV yang tidak dirawat akan menghidap penyakit AIDS.


Platform melahirkan lebih ramai penulis

Posted: 24 Sep 2013 12:48 AM PDT



"DEMI pena, setiap kita adalah penulis." Demikian satu ungkapan motivasi yang mampu meremangkan bulu roma bagi sesiapa yang memahami makna tersirat di sebaliknya. Ia ringkas tetapi padat dengan maksud tersendiri.
Dicetuskan oleh Konsultan Idea Nuun Creative Books, Azzah Abdul Rahman, 34, sempena penganjuran Konvensyen Mini Penulisan 2013 yang berlangsung baru-baru ini, slogan tersebut diharap menjadi pembakar semangat untuk para peserta menghasilkan karya terbaik dalam dunia penulisan tanah air.
Menurut Azzah, ironinya, slogan itu terbahagi kepada dua. Pertama, 'Demi pena' diambil daripada ayat pertama surah al-Qalam iaitu sumpah Allah di atas pena dan apa yang ditulis iaitu tanggungjawab setiap penulis atas apa yang dituliskan olehnya.
"Ayat kedua 'setiap kita adalah penulis' pula dipilih bagi memberi keyakinan bahawa sesiapa sahaja yang menulis adalah seorang penulis walaupun sekadar menghantar pesanan melalui sistem khidmat pesanan ringkas atau luahan rasa di laman sosial Facebook.
"Justeru, dua ayat ini digabungkan sebagai galakan supaya semua orang hanya menulis perkara-perkara yang baik kerana kita bertanggungjawab atas setiap dikaryakan terutamanya di akhirat kelak," ujar wanita yang juga merupakan Naib Presiden II Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin) kepada Kosmo!.
Berlangsung pada 20 Julai lalu di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, konvensyen yang julung-julung kali diadakan itu berjaya menghimpunkan lebih 120 orang peserta yang terdiri daripada kelompok penulis baharu, individu yang berminat untuk menulis dan juga penulis yang telah mempunyai koleksi karya tersendiri.
Masing-masing datang dengan tujuan untuk menimba ilmu bagaimana untuk menjadi penulis terbaik yang mampu menyumbang kepada masyarakat, menjana pendapatan di samping meraih 'saham' akhirat.
Jelas Azzah, secara peribadi konvensyen itu bermatlamat untuk meraikan penulis tidak kira yang lama atau yang baharu.

PARA peserta Konvensyen Mini Penulisan 2013 berpeluang bertemu penerbit dan mereka yang terlibat dalam industri penerbitan dan penulisan di Malaysia.


"Sudah lama saya impikan untuk melihat satu acara khusus untuk meraikan penulis-penulis di Malaysia. Ia sebenarnya bertitik tolak daripada kunjungan saya ke Festival Penulis Singapura tahun lalu.
"Sebelum ini saya pernah menyuarakan cadangan untuk menganjurkan program ini tetapi mungkin yang mendengarnya bukan pihak yang tepat. Malah, ada yang bersikap skeptik dan berkata, belum masanya untuk Malaysia.
"Saya pula bukan jenis orang yang sabar menunggu. Apa yang orang belum buat, itulah yang saya mahu buat. Apa yang orang tidak berani buat, itulah yang saya tidak takut buat. Dengan bertindak, baru sesuatu itu dapat bergerak," tegasnya yang kemudian bekerjasama dengan sahabat baik beliau, Zamri Mohamad, 32, yang juga merupakan seorang jurulatih terkemuka dunia penulisan bagi menjayakan program tersebut.
Tambah Azzah, Pesta Buku Antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun sememangnya membantu industri buku negara, namun fokusnya lebih kepada penerbit dan pembaca. Walaupun memang ada slot untuk penulis, tetapi kebanyakannya hanya untuk penulis yang sudah bertapak dalam industri.
"Mungkin juga kerana saya ini orang kecil industri yang juga seorang jurulatih penulisan. Justeru, fokus saya memang tertumpu kepada mereka yang masih kerdil seperti penulis baharu, penulis yang hampir putus asa dan individu biasa yang berhasrat mahu menjadi penulis.
"Saya ingin melihat kesatuan yang baik dalam kalangan penggiat industri. Kita sama-sama menulis dan industri ini kecil. Saling mendokong, saling mendorong, itu sunah. Itu tuntutan agama dan amalan budaya kita," ungkapnya penuh makna.
Tambah Azzah, tidak kira genre, gaya bahasa, teknik dan teori yang digunakan, kita sama-sama menyasarkan anugerah tertinggi yakni syurga di akhirat kelak kerana penulisan adalah satu cabang dakwah yang bukan sebarang.

BUKU berbentuk dakwah dan motivasi semakin banyak diterbitkan di pasaran.


Berkongsi maklumat
Sementara itu, Zamri berkata, secara keseluruhan konvensyen ini memberi jawapan kepada setiap persoalan yang bermain di minda peserta.
Antaranya, bagaimana seorang penulis dapat bekerjasama dengan penerbit agar karyanya diterbitkan, cara menulis karya yang mesra syariah dan kaedah mencapai kehidupan seorang penulis profesional.
Justeru, seramai 10 ahli panel yang terdiri daripada penggiat industri dalam dunia penulisan tanah air telah diundang untuk berkongsi maklumat dan panduan bersama para peserta.
Mereka ialah Pengurus Besar Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin; pendakwah bebas, Ustaz Rohidzir Rais; novelis fiksyen sejarah Islam, Abdul Latip Talib dan Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku, Perbadanan Kota Buku, Nor Hayati Razali.
Tidak ketinggalan penulis komik berjaya, Nazry Salam Feeqry; penulis buku Mudahnya Menjemput Rezeki, Ustaz Fathuri Sallehudin; pengasas syarikat pakar runding Write To Wealth, Aqif Azizan; usahawan buku, Wahyudi Mohd. Yatim dan Izwan Wahab merangkap penulis buku Internet Marketing untuk Bisnes Kecil.
"Antara topik yang dibincangkan ialah Penulisan mesra syariah: Harta berkat, karya bertahan; Mengekstrak al-Quran dan hadis dalam penulisan: Seni dan cara; Karya #Trending: Apa yang kedai buku mahukan daripada penulis?; Tulis sekali, makan berkali-kali; Aura komik positif dan banyak lagi.
"Melalui perbincangan dua hala ini, peserta memperoleh maklumat yang tepat dan terkini daripada penggiat sebenar industri buku dan penulisan, di samping berpeluang meluaskan jaringan sesama mereka," terang Zamri merangkap pengasas kursuspenulisan.com yang telah banyak melahirkan penulis kreatif dan berbakat di negara ini.
Tambah beliau, para peserta juga berpeluang menghantar manuskrip yang telah disiapkan terus ke tangan penyunting melalui sesi suai-padan. Apa yang penting, konvensyen ini bermatlamat menyatukan penulis serumpun tanpa mengira genre penulisan.

KEBANYAKAN peserta terdiri daripada golongan yang mahu melibatkan diri dalam dunia penulisan.


Tiga ciri kritikal
Dalam pada itu, ahli panel merangkap individu yang menjadi antara pencetus jualan buku elektronik (e-book) di Malaysia, Aqif, 23, memberitahu, terdapat tiga ciri kritikal untuk menjadi seorang penulis yang berjaya. Ia digelar ciri tiga piramid.
"Pertama, memahami susuk penulisan diri iaitu mengetahui sasaran penulisan, topik dan isi yang ingin ditulis dan sumber yang hendak digunakan. Kedua, pilih jemaah kumpulan yang dipercayai dan mampu membawa gelombang penulisan ke hadapan.
"Ini kerana setiap genre seperti fiksyen, humor atau novel ada kumpulan penulis tersendiri dan yang ketiga adalah penunjuk prestasi penulisan. Sebagai contoh, novelis remaja terkenal, Ain Maisarah, mempunyai matlamat menulis ribuan perkataan setiap hari," ujarnya.
Menjelas lanjut, Afiq berkata, penunjuk perkataan ini penting untuk meningkatkan motivasi dan komitmen setiap penulis.
Beliau turut menegaskan, setiap penulis juga perlu berfikir seperti seorang ahli perniagaan jika mahukan karya mereka diterima pasaran.
Selain sesi ceramah daripada ahli panel, beberapa aktiviti menarik turut diadakan sepanjang konvensyen itu berlangsung. Ia termasuk slot penulis mencari penulis melalui tampalan nama dan nombor telefon penulis di papan putih dan jualan buku serta cenderahati.


Cabaran menerbitkan buku-buku ilmiah

Posted: 24 Sep 2013 12:47 AM PDT


PENERBITAN kamus berbentuk dwibahasa juga boleh dikategori sebagai bahan bacaan ilmiah untuk semua lapisan masyarakat.


MELIHAT pada jumlah penerbitan buku dan novel pelbagai genre yang terdapat di pasaran, boleh dikatakan industri penulisan di Malaysia pesat berkembang.
Malah, kehadiran ramai penulis yang tampil dengan gaya penulisan tersendiri menjadikan dunia pembukuan bertambah meriah dan menarik.
Menurut Pegawai Bahagian Penyelidikan Perpustakaan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Mohamad Zaki Yusof, statistik penerbitan buku mengikut Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) bagi tahun 2012 menunjukkan sebanyak 19,171 judul buku telah diterbitkan.
"Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 pula, sebanyak 13,843 judul penerbitan telah diterima. Secara keseluruhan, kumulatif penerimaan penerbitan sejak pelaksanaan Akta 331 ini adalah sebanyak 259,692 judul penerbitan," katanya melalui satu temuramah melalui e-mel dengan Kosmo! baru-baru ini.
Bagaimanapun, dalam aspek penerbitan buku-buku ilmiah, negara kita belum mencapai standard yang ditetapkan dan bahan bacaan berkaitan masih kurang di pasaran.
Perkara ini diakui oleh Pengarah Unit Penerbitan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. Asiah Sarji, 63.
Ujar beliau, Malaysia masih belum mampu memenuhi tahap yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam konteks penerbitan buku-buku ilmiah untuk mencapai tahap negara maju.
"Standard UNESCO menetapkan 1,000 judul buku bagi setiap sejuta penduduk. Ini bermakna, setiap tahun Malaysia perlu menghasilkan 27,000 judul bagi bahan bacaan berbentuk ilmiah.
"Pada tahun 2008, bilangan judul buku ilmiah yang diterbitkan lebih 16,000 manakala pada tahun 2009 pula sekitar 15,700. Justeru, kita masih ada enam tahun lagi untuk mencapai standard itu menjelang tahun 2020," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!
Tambah Asiah, saya percaya kita mampu melakukannya sekiranya ada sokongan padu dalam aspek belanjawan yang diperuntukkan kepada pihak universiti. Ia termasuk menyediakan infrastruktur dan tenaga manusia yang mencukupi.

SASTERA kanak-kanak yang dipenuhi gambar dan warna-warni mampu menarik minat mereka untuk membaca.


Penyunting
Maklumnya, kerja-kerja penerbitan bahan ilmiah memerlukan tenaga mahir yang tinggi dan berkualiti. Sebagai contoh, untuk mendapatkan penyunting yang mahir dalam bahasa Inggeris sangat sukar berbanding penyunting Bahasa Melayu.
"Selain itu, setiap penyunting juga bukan sekadar mahir dalam aspek bahasa bahkan haruslah mewakili pakar dalam setiap bidang buku yang diterbitkan. Semua pihak perlu melipatgandakan sokongan mereka untuk membantu Jabatan Pengajian Tinggi memenuhi keperluan itu.
"Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh ketinggalan dalam penerbitan buku-buku elektronik (e-book) yang lebih digemari generasi internet masa kini," tuturnya lagi sambil memberitahu beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia sudah pun memulakan penerbitan e-book.
Diterajui oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim), setiap universiti yang mempunyai unit penerbitan masing-masing menjadi nadi penggerak untuk mengembangkan penerbitan buku-buku ilmiah.
Dalam pada itu, Pegawai Penerbitan Kanan, Penerbit UKM, Datin Saadah Jaffar, 53, memberitahu, kebiasaannya sambutan masyarakat terhadap buku-buku ilmiah kurang memberangsangkan.
"Berbanding bahan bacaan berbentuk hiburan seperti novel-novel cinta, buku-buku ilmiah terbitan pihak universiti kurang diminati. Ia mungkin disebabkan persepsi masyarakat yang menganggap buku ilmiah sukar difahami serta harganya yang agak mahal.
"Namun, buku-buku berbentuk negarawan dan budaya seperti Biografi Tun Abdul Razak: Negarawan dan Patriot dan Rupa dan Gaya: Busana Melayu berjaya menarik minat penggemarnya. Apa pun tahun lalu di UKM, kami berjaya menerbitkan lebih 100 judul buku berbanding 80 yang ditetapkan," ujar Saadah sambil berharap masyarakat akan lebih bersifat terbuka untuk membeli bahan bacaan ilmiah.
Sementara itu, Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku, Perbadanan Kota Buku (Kota Buku), Norhayati Razali memberitahu, pihaknya juga memainkan peranan sebagai pusat sehenti kegiatan pembukuan dan menjadi pusat pertemuan antara penulis, penerbit dan pembaca melalui penganjuran pelbagai aktiviti seperti seminar-seminar berkaitan di peringkat dalam dan luar negara.
"Selain itu, kami turut menggalakkan penerbitan karya-karya bersifat ilmiah, saintifik dan teknologi, selain memantapkan pembangunan sastera kanak-kanak di Malaysia untuk diangkat ke persada antarabangsa.
"Sehingga kini Kota Buku telah pun menerbitkan lebih 100 judul buku kanak-kanak dan ilmiah dalam bentuk e-book," jelasnya.
Tambah Norhayati, banyak program telah dilaksanakan oleh Kota Buku untuk menyemarakkan industri pembukuan di negara ini.
Antaranya, program latihan penulisan buku bergambar kanak-kanak, menyertai festival sastera kanak-kanak di Singapura dan China, mengadakan jualan buku@but kereta dan penganjuran seminar-seminar berkaitan.


Olesan gincu yang ideal

Posted: 24 Sep 2013 12:46 AM PDT



ALAT solek yang sering disapu pada bibir wanita ini boleh dianggap sebagai item wajib ada di dalam beg tangan mereka. Baik gadis remaja mahupun wanita dewasa, sekurang-kurangnya sebatang gincu pasti disimpan dalam beg tangan yang berfungsi meningkatkan keyakinan diri dalam berpenampilan.
Bahkan, ramai yang tidak kisah jika tidak memakai maskara, pemerah pipi atau pembayang mata, tetapi ada yang enggan keluar rumah tanpa gincu. Bergantung kepada cita rasa masing-masing, ada yang menggemari warna lembut, warna gelap dan tidak kurang yang memilih warna terang.
Gincu merupakan produk kosmetik yang mengandungi pigmen, minyak, lilin dan emolien memberikan warna, tekstur serta perlindungan pada bibir.
Pemakaiannya bermula sejak zaman purba. Wanita purba pada zaman Mesopotamia dipercayai merupakan wanita pertama yang mencipta dan memakai gincu dengan menghancurkan batu permata untuk dioles pada bibir.
Sepanjang awal abad ke-20, gincu hadir dalam bilangan warna yang terhad. Warna merah gelap merupakan salah satu warna yang popular sepanjang abad ke-19 dan abad ke-20.
Warna tersebut juga pernah popular pada tahun 1920-an dan golongan Flappers iaitu wanita muda generasi baharu di Barat memakainya sebagai simbol kebebasan.
Pada awal tahun 1930-an, Elizabeth Arden mula memperkenalkan warna-warna gincu berbeza sekali gus memberikan inspirasi kepada syarikat-syarikat lain mengikut jejak langkahnya.
Sekitar tahun 1930-an, gincu dilihat sebagai simbol seks dewasa dan remaja perempuan ketika itu percaya bahawa gincu merupakan simbol kewanitaan.

SELAIN warna merah dan coklat, warna gincu merah jambu turut menjadi pilihan ramai wanita termasuklah penyanyi antarabangsa, Beyonce Knowles.


Kini, kepelbagaian warna yang ditawarkan membuatkan golongan Hawa rambang mata untuk membuat pilihan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ada dalam kalangan mereka masih khilaf mengenai warna yang bersesuaian dengan personaliti masing-masing.
"Biasanya dalam dunia perniagaan, kebanyakan syarikat mahu melihat stafnya kelihatan kemas dan cantik, namun warna gincu yang dipakai tidak perlu keterlaluan hingga menenggelamkan personaliti, imej dan bidang tugasan yang dibawa.
"Sebagai contoh, bagi mereka yang bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan, mereka seharusnya nampak natural dan mesra. Pada waktu pagi biasanya orang Asia khususnya di Malaysia, mengenakan warna merah jambu atau nude," kata Penasihat Kecantikan Farmasi Colour Cosmetics (FCC), Ili Ruzanna Ismail.
Tambahnya, warna nude yang digunakan tetap akan ada warna asas merah jambu. Gincu berasaskan warna pic dan oren lebih sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit tidak terlalu gelap.
Jika seseorang yang berkulit cerah memakai gincu berwarna oren, dia akan kelihatan pucat dan bagi mengelakkan ia berlaku warna oren boleh dicampurkan dengan warna merah jambu.
"Jika mahu nampak manis dan segar pada waktu pagi, oleskan gincu berasaskan warna merah jambu tetapi bukan rona yang terang.
Pilihan warna gincu
"Warna-warna gincu berasaskan warna natural, merah jambu dan coklat lebih elok dipakai pada siang hari berbanding warna-warna yang terang memandangkan kita aktif dan banyak berkomunikasi," ujarnya sambil memberitahu pemakaian gincu berwarna terang pada siang hari menyebabkan seseorang nampak comot berikutan warna gincu yang pudar.
Pada waktu petang dan malam, tiada masalah jika seseorang itu memakai gincu berwarna gelap dan lebih terang kerana cahaya pada ketika itu tidak sekuat cahaya pada waktu pagi.

CALITAN gincu menggunakan berus khas membuatkan olesan gincu menjadi rata dan kemas pada bibir si pemakai.


Ramai yang menggunakan kesempatan untuk lebih berani mengenakan warna-warna terang pada waktu malam dan kebiasaannya warna merah terang dan burgundy menjadi pilihan.
"Bagi mereka yang mahu mencuba warna-warna terang, dinasihatkan mencuba sampel terlebih dahulu kerana warna pada katalog dan produk sebenar tidak sama.
"Seperkara lagi, tiada syarat jika seseorang itu memakai baju merah, harus mengenakan gincu merah dan jangan pernah menyamakan warna baju dengan warna gincu kerana ia dua perkara yang berbeza,"
Ujar Ili, seseorang itu perlu memilih apa yang mahu ditonjolkan, sama ada baju atau wajahnya. Jika memilih untuk menonjolkan wajah, bahagian mata yang mahu difokuskan, mata, bibir atau pun pipi.
Kebiasaannya, seseorang itu cuma memakai warna senada bagi pipi dan bibir supaya nampak lebih berseri serta natural.
Bagi mereka yang mahu berpenampilan ceria dan segar, boleh memakai gincu berasaskan warna merah jambu seperti warna natural bibir tetapi lebih terang sedikit iaitu warnanya lebih cair daripada bibir.
Mengikut personaliti
"Warna kulit juga mempengaruhi gincu yang dipakai. Orang yang berkulit gelap boleh memakai warna terang tetapi bibirnya akan kelihatan lebih besar kerana asasnya gelap.
"Andai dia mahu memakai warna merah, gincu merah yang dipakai perlu berasaskan warna biru dan bukannya warna coklat. Warna merah yang terang menunjukkan ia mempunyai warna merah jambu atau biru dalam campurannya," jelasnya.
Jika tidak mahu bibir kelihatan besar, pakai gincu berasaskan warna coklat dan bagi mereka yang berkulit cerah, pemakaian gincu warna cerah akan menyebabkan garisan bibir tidak kelihatan.
PADA tahun 1930-an Elizabeth Arden memperkenalkan himpunan gincu pelbagai warna.


Warna yang sesuai ialah warna merah yang lebih gelap supaya nampak lebih natural.
Ditanya sama ada warna gincu dipengaruhi faktor umur, Ili memberitahu, tiada panduan sedemikian dan sesiapa sahaja bebas memilih warna gincu yang sesuai buat mereka.
Warna-warna terang membuatkan si pemakai berasa lebih muda, namun demikian ia terpulang kepada majlis. Jika menghadiri majlis agama, agak kurang manis apabila memakai warna-warna terang.
"Pemakaian pengilat bibir tidak wajib dan ia boleh dipakai pada waktu siang dan malam. Penggunaannya membuatkan bibir kelihatan sentiasa basah dan tidak kurang pula yang mahu membuatkan bibir nampak lebih besar.
"Cara yang terbaik untuk menentukan gincu yang sesuai adalah terpulang kepada diri sendiri. Jika anda yakin dengan warna gincu yang dipakai menarik, maka teruskan," katanya.


Nilai ketimuran ceongsam moden

Posted: 24 Sep 2013 12:45 AM PDT

WARNA pastel melatari indah ceongsam rekaan Keith Kee.


CEONGSAM merupakan pakaian tradisi kaum Cina yang menonjolkan susuk tubuh dan nilai feminin seorang wanita. Kolar Mandarin pada busana itu pula menyerlahkan leher jinjang si pemakai manakala belahan sisi pada bahagian bawah baju mendedahkan keseksian kaki perempuan.
Keagungan busana klasik itu diangkat tiga pereka tempatan dalam hasil kerja terbaharu mereka. Pemilik jenama Shanghai Sun, Sunny Ng; pereka muda, Keith Kee dan pereka prolifik, Bill Keith berkongsi pentas peragaan bagi memaparkan koleksi ceongsam masing-masing.
Bertempat di The Weld, Kuala Lumpur, pertunjukan fesyen bertemakan Oriental Rhapsody itu turut diserikan dengan keindahan aksesori daripada Rafflesia seperti batu jed yang melengkapi sempurna sehelai ceongsam.
Acara dimulakan dengan paparan tujuh helai ceongsam labuh daripada Shanghai Sun. Supermodel terkenal, Amber Chia mengetuai pentas peragaan dengan persalinan glamor merah jambu. Penggunaan fabrik berkilat dan bergemerlapan meningkatkan ciri eksklusif ceongsam urban tersebut.
"Koleksi kali ini mempunyai fungsi yang sama seperti busana petang atau malam. Pemilihan rona terang seperti merah, perak dan emas memberikan keyakinan kepada wanita ketika melangkah.
"Ceongsam potongan klasik ini elegan digayakan wanita berusia 20 tahun ke atas meskipun ia sarat dengan perincian. Namun jangan bimbang kerana perincian yang diterapkan tidak kelihatan serabut," jelas Sunny yang turut memaparkan lapan koleksi ceongsam pendek yang digayakan lapan selebriti wanita Melayu.

BILL KEITH (lima dari kiri) bersama para peserta Miss Chinese Cosmos yang memperagakan ceongsam rekaannya.


Kolar Mandarin
Sementara itu, pereka yang sedang meningkat naik, Keith Kee berjaya memukau pandangan mata hadirin dengan rekaan ceongsam koleksi musim bunga/panas 2014 jenamanya. Tujuh ceongsam labuh yang dipertontonkan sedikit lari daripada asas sehelai ceongsam dan cenderung pada rekaan pakaian moden.
Keith sengaja menampilkan rekaan yang sedemikian bagi menyerlahkan nilai couture.
"Pada asasnya, ia tetap sehelai ceongsam kerana saya mengekalkan penggunaan kolar Mandarin. Nilai kontemporari yang diterapkan dalam koleksi terbaharu ini boleh digayakan pada waktu siang atau malam, mengikut kesesuaian majlis.
"Penggunaan fabrik seperti syantung iaitu sutera tebal yang mempunyai permukaan tidak rata atau berkedut-kedut, sutera Thailand, broked China, tulle, kain net dan renda Perancis menambah elegan pakaian ini. Tidak ketinggalan, saya turut menggabungkan nilai Barat dan Timur dengan sempurna,"tutur Keith.
Sementara itu, koleksi ceongsam pendek Keith Kee pula tampak indah digayakan lapan aktres Cina tempatan. Rekaan ceongsam Bill Keith pula diperagakan lapan peserta Miss Chinese Cosmos.


Usah abai kecantikan kaki

Posted: 24 Sep 2013 12:44 AM PDT


RAJINKAN diri merendam kaki di dalam air suam bersama limau dan beberapa jenis bunga.


KETAHUI cara mudah dan ringkas bagi mendapatkan tumit dan kuku kaki yang bersih serta cantik menerusi enam langkah yang praktikal.
1) Batu pumis
Amalkan penggunaan batu pumis iaitu batu gunung berapi yang poros dan ringan. Gosok batu itu pada tumit yang kering dan bahagian yang berkematu. Ia membantu kaki kekal cantik ketika menyarungkan kasut tanpa penutup belakang atau selipar.
Sebelum menggosok batu pumis pada permukaan kulit kaki yang bermasalah, rendamkan kaki ke dalam air suam untuk tempoh 10 hingga 15 minit bagi melembutkan tekstur kulit.
Selain batu pumis, lulur pelembap kaki yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan juga ideal untuk menyingkirkan sel-sel mati. Selepas proses melulur, sapu krim kaki atau salap yang mengandungi mentega shea atau mentega koko.
Cari salap atau krim tumit yang mengandungi asid salisilik atau urea bagi melembutkan kematu.
2) Pelembap
Jika tumit kering dan merekah, jumpa pakar kaki atau pakar dermatologi untuk rawatan. Jika masalah itu tidak serius, gunakan produk pelembap yang terdapat di pasaran.
Anda mungkin boleh mencuba memakai pelapik tumit yang dilengkapi fungsi melembutkan kematu ketika berjalan. Selepas kematu itu mengelupas, gunakan krim kaki bagi melembutkan permukaan kulit yang kasar pada tumit.
Gunakan krim yang mengandungi petrolatum, emolien atau humektan seperti asid laktik yang membantu melembapkan kulit.
3) Perangi kulat
Terdapat banyak jenis produk antikulat dijual di pasaran seperti lakuer, krim, losen, cecair, serbuk penyembur dan cecair penyembur. Kesemua produk itu hanya berkesan untuk masalah kaki yang sederhana dan tidak melibatkan jangkitan kulat pada kuku kaki.
Cari serbuk atau penyembur yang berfungsi secara klinikal pada kaki yang mudah berpeluh. Serbuk selalunya mengandungi aluminium heksahidrat klorida bagi membantu mengekalkan kulit dalam keadaan kering.
Namun untuk kaki kering gunakan losen antikulat. Keringkan kulit anda sebelum mengaplikasi serbuk atau losen tersebut.
Bagaimanapun langkah terbaik bagi mencegah masalah kulat ialah dengan menjaga kebersihan kaki. Basuh kaki dengan kerap dan keringkan terutamanya pada celahan jari. Jangan lupa memakai stoking yang bersih.

KUKU kaki perlu dipotong dengan kerap dan pastikan kikis kutikel menggunakan penggilap kuku.


4) Pakai pelindung matahari
Usah meragui kepentingan krim pelindung matahari untuk kaki. Sapukan krim pelindung matahari yang dilengkapi SFP30 ketika berkaki ayam, memakai selipar atau sandal.
5) Sokongan kaki
Berdiri terlalu lama boleh melenguhkan kaki. Memakai pelapik kaki boleh memberi keselesaan pada kaki.
Gunakan pelapik yang memiliki sarung plastik pada bahagian bawah. Pakar kaki mengatakan, sarung jenis itu menguatkan pelapik yang bertujuan menyokong kaki.
6) Kuku kaki
Anda gemar merawat kuku kaki? Teknik yang digunakan amat penting dalam memastikan kebersihan kuku. Potongan kuku yang tidak sekata boleh meninggalkan lebihan kuku dan pertumbuhan kuku kaki yang tidak seragam.
Elakkan memotong kutikel kerana ia mengundang kepada jangkitan kuman pada kuku kaki. Sebaliknya, kikis kutikel itu dengan lembut menggunakan penggilap kuku.
Kuku mudah patah seiring pertambahan usia. Bahan-bahan dalam pewarna kuku atau pembersih pewarna kuku akan mempercepatkan proses tersebut sekali gus mengeringkan tekstur kuku anda.
Bagi melembapkan kulit kaki, anda disaran menggunakan krim untuk kutikel, jeli petroleum atau minyak vitamin E. Sapukan pada keseluruhan kuku kaki termasuk kutikel dan gosok dengan perlahan.


Pesona busana Aisy

Posted: 24 Sep 2013 12:43 AM PDT

KOLEKSI Disa berwarna ungu ini sesuai dipadankan dengan palazo rona oren lembut.


KINI pelbagai fesyen Muslimah berada di pasaran, tidak kira jubah, blaus, skirt mahupun seluar palazo.
Bagi anda yang sentiasa mahu berpenampilan segar, menarik dan lain daripada yang lain, aspek potongan dalam pemilihan busana seharusnya dititikberatkan agar sentiasa kelihatan menawan.
Ini tidak bermaksud busana potongan biasa tidak menarik, tetapi tidak salah jika anda sesekali bereksperimen dengan busana yang mempunyai potongan berbeza untuk menyerlahkan pesona.
Butik Aisy (Aisy) menawarkan blaus dan jubah pelbagai potongan daripada material likra yang sesuai dipakai kasual, ke pejabat mahupun majlis-majlis rasmi.
"Semua sedia maklum bahawa ada antara kain jenis likra yang melekat pada tubuh apabila dipakai, namun apa yang ditawarkan di Aisy tidak begitu kerana kami menggunakan kain likra tebal dan berkualiti tinggi.
"Antara koleksi yang boleh didapati di butik ini ialah Belleza (jubah), Amour (pasangan baju dan skirt), seluar palazo, Disa (baju peplum), Hijeshi (blaus potongan terbuka di bahagian hadapan), Codisa (sepasang baju peplum bersama kain) dan Riena (baju potongan sendeng)," kata Pemilik Aisy, Hartini Ahmad, 35.
POTONGAN sendeng daripada koleksi Riena ini memberikan efek langsing buat si pemakai.


Efek langsing
Sebagai contoh, baju peplum ditawarkan di Aisy lebih labuh dan menutup bahagian punggung wanita berbanding yang ditawarkan di pasaran.
Koleksi Riena yang mempunyai potongan sendeng labuh pula membuatkan si pemakai tampak lebih langsing.
Dalam pada itu, terdapat dua jenis potongan bagi koleksi Belleza iaitu potongan kembang dan berpanel.
Anda tidak perlu risau andai kain melekap pada tubuh hingga menampakkan susuk badan kerana ia dapat dielakkan dengan pemilihan saiz pakaian yang sesuai selain mengenakan kain dalam.
Efek langsing dalam kesemua koleksi disebabkan oleh penggunaan material likra yang berat.
Material jenis itu sengaja dipilih kerana ia bukan sahaja senang dijaga dan ringkas, malah memberikan rasa selesa kepada si pemakai selain tidak perlu digosok.
Apa yang pasti koleksi Belleza, Amour, Disa, Hijeshi, Codisa dan Riena sesuai digayakan segenap wanita kerana ia didatangkan dengan saiz XS sehingga XL.
"Saiz baju-baju di Aisy lebih besar satu saiz berbanding saiz standard yang dijual di pasaran.
"Setiap koleksi sesuai dipakai oleh wanita berusia 20 tahun ke atas, lebih-lebih lagi mereka yang berkerjaya," ujarnya.
Hartini turut memaklumkan, setiap satu corak yang dijual terhad kepada 18 hingga 20 helai sahaja bagi menjaga nilai eksklusif busana.


Rakaman foto ibu dan anak

Posted: 24 Sep 2013 12:41 AM PDT

NOR HAFIZAH dan suami, Nik Mohd. Fikri Mohd. Nor mempunyai cara tersendiri untuk meraikan kehadiran orang baharu dalam hidup mereka.


TIDAK dinafikan bahawa setiap gambar yang dirakamkan dapat mengabdikan saat-saat yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Peraduan Facebook Nestle Mom & Me, First Moments menyeru semua golongan ibu dan bakal ibu untuk menghantar gambar pengalaman pertama ketika hamil bagi merebut peluang memenangi hadiah bernilai lebih RM17,000.
Susu khusus buat wanita hamil dan menyusukan anak, Nestle Mom & Me telah mengumumkan para pemenang bagi dua peraduan Facebook yang dianjurkan iaitu peraduan foto First Moments dan First Mother's Day baru-baru ini.
Antara ratusan gambar yang diterima, para hakim sebulat suara memilih penyertaan daripada Nor Hafizah Abdul Wahab, 24, dan Noor Hassiemah Mohd. Halim, 34, kerana gambar mereka berjaya menonjolkan intipati pengalaman sebelum bergelar ibu.
Kedua-dua pemenang utama tersebut masing-masing menerima hadiah berupa sesi fotografi profesional bersama keluarga, manakala 16 pemenang lain membawa pulang pakej hadiah Nestle Mom & Me.
"Ini kali pertama saya menyertai peraduan dan gambar yang dihantar sangat bermakna buat diri saya.
"Saya amat teruja kerana dapat mengabadikan pengalaman saya dalam gambar tersebut, pada masa yang sama berpeluang berkongsi pengalaman dengan ibu-ibu lain," kata Nor Hafizah.
Bagi Noor Hassiemah pula, segalanya bermula apabila dia terbaca pengumuman mengenai peraduan Nestle Mom & Me di dada akhbar.
"Kehamilan merupakan sesuatu yang sangat indah.
"Saya berasa gembira kerana para hakim dapat memahami perasaan yang ingin saya sampaikan dalam gambar tersebut," ujarnya yang melahirkan anak pada penghujung bulan Ogos lalu.
FOTO Noor Hassiemah ini menggambarkan keterujaannya untuk menyambut kelahiran cahaya mata.


Pengalaman bermakna
Pengurus Perniagaan Negara, Pemakanan Ibu dan Bayi Nestlé (Malaysia) Bhd., Chandan Ghosh berkata, pengalaman kehamilan dan menjadi seorang ibu adalah antara cabaran dan ganjaran yang paling bermakna dalam kehidupan seorang wanita.
"Nestle Mom & Me merupakan jenama yang mempunyai hubung kait dengan khasiat pemakanan bagi wanita-wanita hamil dan ibu yang menyusu menyediakan satu permulaan baik membesarkan si manja mereka," katanya.
Sepanjang bulan Mei lalu, sempena sambutan Hari Ibu, Nestle telah menganjurkan peraduan Facebook Nestle Mom & Me, First Mother's Day.
Peraduan tersebut mempelawa para ibu berkongsi pandangan mengapa mereka patut dimanjakan dengan layanan istimewa.
Pemenang-pemenang hadiah utama iaitu V. Sujitra, 39, dan Siti Hajar Abdullah, 33, masing-masing berjaya memenangi pakej percutian tiga hari dua malam di Pangkor Laut Resort untuk dua orang bernilai RM3,000.
Sujitra yang kini sedang hamil dan menjadi ibu julung-julung kalinya sangat gembira apabila mengetahui dia dipilih sebagai pemenang.
Dia yang meluangkan masa memerah idea ketika waktu makan tengah hari memberitahu, kehamilan merupakan sesuatu yang istimewa dan amat teruja dengan perkembangan kehamilan itu.
"Setiap orang merasai pengalaman yang berbeza-beza dan saya tidak mahu ketinggalan berkongsi pengalaman dengan semua orang," ujarnya.
Dalam pada itu, empat pemenang yang berkongsi tempat kedua menerima produk penjagaan kulit Clarins bernilai RM1,000, manakala 10 pemenang sagu hati masing-masing memenangi set penjagaan sebelum dan selepas bersalin bernilai RM360.
Sebanyak 500 penyertaan pertama yang dipaparkan di laman tersebut menerima satu pek 350 gram susu Nestle Mom & Me secara percuma daripada Nestle Product Sdn. Bhd.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines