Sabtu, 2 November 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Daudsu Kecewa Tidak Dapat Beraksi Pada Pentas Final

Posted: 31 Oct 2013 11:43 PM PDT

Sumber: Bernama
 
KOTA BAHARU, 31 Okt (Bernama) -- Pemain pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin kecewa kerana tidak dapat beraksi pada final Piala Malaysia menentang Pahang, Ahad ini, akibat kecederaan.
Ia sekali gus mengundang bahaya buat 'The Red Warriors' berikutan tonggak pertahanan Obinna Nwaneri juga tidak diturunkan selepas mengumpul dua kad kuning.

Daudsu berkata beliau merasa terkilan kerana kecederaan lutut yang dialaminya selepas perlawanan suku akhir dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) baru-baru ini menyebabkan beliau terpaksa direhatkan walaupun perlawanan itu sangat bermakna buat beliau yang akan menyarung jersi bersama Johor DT pada musim hadapan.


"Memang kecewa kerana daripada awal musim, saya dan rakan-rakan berhempas pulas untuk memenangi setiap perlawanan, namun ketika sampai masanya kita berjaya mara ke pentas final, saya pula mengalami kecederaan.

"Bagaimanapun saya berharap rakan sepasukan dapat memberi persembahan terbaik dan Kelantan sekali lagi menjulang Piala Malaysia untuk musim ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra 'The Red Warriors' bersama Kingdom Elektronics Sdn Bhd di sini Khamis.

Pada majlis yang turut dihadiri penyerang Indra Putra Mahyuddin dan pemain sayap, Zairul Fitree Ishak itu, mereka bertiga meluangkan masa kira-kira dua jam untuk beramah mesra serta menandatangani beberapa helai baju dan jam penyokong Kelantan.

Daudsu berkata Pahang mempunyai peluang seimbang dengan Kelantan memandangkan pasukan Tok Gajah itu mempunyai pelbagai lapisan pemain daripada pelbagai peringkat.

"Walaupun Kelantan mempunyai beberapa pemain yang pernah beraksi di peringkat final, namun kita tidak boleh leka kerana Pahang mempunyai beberapa pemain muda serta sokongan pemain import yang ghairah untuk memburu kejuaraan selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 1992," katanya.

Sementara itu, Indra Putra berkata faktor umur bukan menjadi penghalang buat dirinya untuk sekali lagi melakar kejayaan buat Kelantan pada musim ini walaupun sering dimomokkan oleh peminat yang sering melakukan 'usikan' tersebut di laman sosial.

"Saya rasa daripada segi umur ini tak jadi masalah. Kadang-kadang pemain muda pun kalah dengan cara permainan saya. Apa yang penting, selagi saya ada kudrat dan pasukan sentiasa menunjukkan semangat yang tinggi ketika perlawanan, Insya-Allah kita akan menang," katanya.

Anak kelahiran Ipoh, yang berusia 32 tahun itu berkata perlawanan akhir tersebut merupakan penampilan keempat buat dirinya dalam final Piala Malaysia selepas dua kali mewakili Kelantan dan sekali ketika bersama Perak, justeru kemenangan tersebut disifatkan amat bermakna buat dirinya sebagai pemain bola sepak.

"Kelantan lebih berpeluang untuk menang, tapi kita jangan ambil mudah perlawanan itu nanti kerana Pahang ada ramai pemain muda dan dalam kotak fikiran mereka hanya mahu menang. Mereka tak akan berhenti sehingga wisel penamat ditiup," katanya.

2,000 polis berkawal pada final Piala Malaysia

Posted: 31 Oct 2013 11:37 PM PDT

Sumber: Bernama & Sinar Harian
 
SHAH ALAM - Kira-kira 2,000 anggota polis akan bertugas mengawal trafik dan keselamatan pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam Ahad ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka akan dibantu kira-kira 500 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


"Kami akan pastikan keselamatan penonton dan meminta kerjasama daripada penyokong kedua-dua pasukan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan serta jangan membawa barang larangan masuk ke dalam stadium.

"Pihak polis akan menahan mereka yang melakukan kesalahan selain memantau kegiatan jualan tiket palsu pada hari perlawanan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Beliau berkata penonton akan diperiksa dengan menggunakan alat pengimbas yang akan dibantu unit kawalan anjing di semua pintu masuk stadium.

Abdul Rahim berkata kedudukan penyokong kedua-dua pasukan akan diasingkan iaitu Kelantan di bahagian kiri (menggunakan pintu A dan D) pintu masuk utama dan Pahang di bahagian kanan (menggunakan pintu B dan C).

"Begitu juga dengan tempat parkir, penyokong Kelantan dikhaskan di bahagian sebelah pasar raya besar Giant dan Pahang di Tapak Bazarena Stadium Malawati," katanya.

Beliau berkata bagi penyokong yang tidak mempunyai tiket tetapi masih ingin menyaksikan perlawanan, dua skrin besar akan disediakan di kawasan sekitar stadium, selain satu skrin di Dataran Shah Alam yang disediakan oleh MBSA.

Abdul Rahim berkata pintu masuk akan dibuka pada pukul 3 petang dan penonton boleh hadir lebih awal bagi mengelak kesesakan.

Sementara itu mengulas mengenai kemungkinan wujud kegiatan menjual tiket palsu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata wakil FAM akan memantau kegiatan itu dan dan memaklumkan kepada pihak polis.

"Kesemua 75,000 tiket yang diperuntukkan habis dijual," katanya. - Bernama

Dari pemain simpanan, Yan kini bintang

Posted: 31 Oct 2013 08:03 PM PDT


Sumber: Utusan Malaysia
 
KUANTAN - Nama Mohd. Khairul Azhan Khalid mungkin kurang dikenali beberapa bulan lalu kerana dia selama ini sekadar dianggap pelengkap skuad Pahang.

Walaupun bermula sebagai penjaga gol ketiga pada awal musim, namun bekas pemain Shahzan Muda itu berjaya memikat hati ketua jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh apabila diberi peluang menjadi benteng terakhir pasukan.


Khairul 'dinaikkan pangkat' ekoran kecederaan dua penjaga gol utama, Mohd. Nasril Mat Nordin dan Mohd. Rosfaizul Azuar Mohd. Ali pada saingan Liga Super, sekitar April lalu.

Sebaik sahaja diberi kepercayaan, dia tidak langsung menoleh ke belakang dan berjaya mempamer aksi cukup cemerlang. 

Justeru, Khairul Azhan atau lebih mesra dipanggil Yan berkata, dia mahu melengkapkan musim yang luar biasa ini dengan menjulang Piala Malaysia.

"Kalau berjaya menang Piala Malaysia, ia juga akan menjadi hadiah hari jadi istimewa buat saya," katanya yang bakal menyambut ulang tahun ke-24 pada 7 November ini.

Khairul Azhan berkata, dia amat bertuah dipilih untuk menyarung jersi Pahang musim ini dan gembira dengan kejayaan membawa Tok Gajah melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia selepas 16 tahun.

"Pada mulanya saya cuma penjaga gol ketiga Tok Gajah, namun kecederaan yang melanda Rosfaizul dan Nasril membolehkan saya menggalas tugas penjaga gol utama sejak April lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sejak itu, dia mula mempamerkan aksi mantap sebagai benteng terakhir Tok Gajah dalam setiap perlawanan sama ada Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia.

Katanya, peluang yang diberikan jurulatih untuk mengisi kesebelasan utama dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kini impian saya cuma satu, mahu membantu Pahang menjulang Piala Malaysia dengan mengalahkan Kelantan di Stadium Shah Alam, Ahad ini," ujarnya.

Khairul Azhan berkata, dia sedar tugas getir bakal menanti kerana Kelantan selaku juara bertahan sudah pasti mahu mengekalkan Piala Malaysia.

"Saya akan berusaha untuk menjaga gawang tanpa bolos. 

"Saya tidak akan menghampakan diri sendiri dan seluruh rakyat Pahang yang amat berharap piala berprestij itu kembali kepada mereka setelah memenanginya kali terakhir pada 1992," jelasnya lagi.

Menurutnya, aksi cemerlang pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kuching, minggu lalu menjadi suntikan semangat untuknya menyekat serangan yang akan dilancarkan oleh penyerang Kelantan ke kubu Tok Gajah.

Durakovic ganti Irfan

Posted: 31 Oct 2013 07:58 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Teka-teki siapakah bakal menggantikan Irfan Bakti Abu Salim selaku jurulatih Selangor akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengesahkan Mehmet Durakovic bakal menduduki kerusi panas itu bermula musim 2014.

Durakovic yang pernah beraksi bersama Selangor dari 1995 hingga 1998, mengikat kontrak selama tiga tahun. 



Sepanjang empat musim di Selangor, bekas pemain pertahanan itu berjaya menjulang Piala Malaysia tiga kali dengan kenangan paling manis pada 1997 apabila mengetuai pasukan menjulang piala berprestij itu.
FAS menerusi satu kenyataan semalam menyatakan, Durakovic diberi kepercayaan menerajui projek pembangunan semula pasukan menerusi jangka masa panjang dalam usaha mengembalikan semula martabat Selangor.

"Durakovic dikenang sebagai pemain yang penuh dedikasi. Kami percaya beliau berkemampuan berkongsi semangat itu dengan pemainnya.

"Kami sedar mengenai tanggungjawab untuk membentuk pasukan baru dengan budaya baru dan mengambil kira sejarah dan tradisi kejayaan Selangor.

"Matlamat FAS ialah membentuk pasukan yang berjaya berteraskan bakat dalam kalangan anak jati Selangor.

"Kami percaya Durakovic calon terbaik untuk melaksanakan tugas ini," kata Timbalan Presiden FAS Datuk Mokhtar Ahmad.

Tugasan terakhir bekas pemain antarabangsa Australia dari 1990 hingga 2002 itu adalah selaku jurulatih Melbourne Victory, salah satu kelab utama di Liga Australia.

Pengendali berusia 48 tahun itu dijangka memulakan tugas pada pertengahan bulan ini.

Semangat Elephant Army kibar kain rentang

Posted: 31 Oct 2013 07:21 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Foto

Kuantan: Demi memastikan impian merangkul Piala Malaysia buat kali ketiga menjadi kenyataan, penyokong Tok Gajah yang menggelarkan diri mereka Elephant Army (EA) sanggup mengeluarkan modal menyediakan kain rentang sepanjang 25 meter dan lebar 15 meter untuk membakar semangat pemain apabila bertemu Kelantan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Wakil EA, Mohd Hafeez Jamaludin berkata, perbelanjaan menyediakan kain rentang yang tertulis kata-kata semangat itu diharap berbaloi sekiranya Pahang muncul juara Piala Malaysia buat kali ketiga. 



Katanya, pada aksi final, seramai 2,000 penyokong EA akan berada di Stadium Shah Alam untuk memberikan sokongan padu kepada skuad kendalian Dollah Salleh itu.
"Dengan memakai baju berwarna kuning yang ditempah khas, kami juga mengharapkan penyokong Pahang yang turut berada di stadium nanti bersama memeriahkan suasana sepanjang perlawanan berlangsung. 

"Jika boleh semua penyokong Pahang dapat bersama menyanyi dan menyemarakkan lagi semangat barisan Tok Gajah bergelar juara," katanya.

Mohd Hafeez berkata, pihaknya juga meminta penyokong yang hadir dapat menjaga displin sepanjang perlawanan berlangsung terutama tidak membaling sebarang objek bukan saja di padang malah kepada penyokong lawan.

Katanya, sebarang jenis mercun juga tidak dibawa masuk ke stadium kerana tidak mahu mengganggu kelancaran perlawanan.

"Sebagai penyokong, kita perlu mematuhi arahan diberikan pihak berkuasa kerana tidak mahu melihat kejadian tidak diingini terutama ada penyokong pengsan atau mengalami kecederaan," katanya.

Liku-liku pemain ke-12

Posted: 31 Oct 2013 07:14 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Foto


Foto


Foto

Kota Bharu: Setiap kali Kelantan melangkah ke final, kelab Perodua Viva Myvi (VMG) Kelantan rela menempuh perjalanan jauh ke Lembah Klang dan kali ini seramai 120 ahli kelab VMG Kelantan berkonvoi ke Shah Alam dengan 30 kenderaan bagi memberi sokongan padu kepada The Red Warriors (TRW) yang akan menentang Pahang dalam final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.


Pengerusi VMG, Tazmir Arief Zahari, 31, berkata, konvoi diberi nama 'Konvoi Piala Malaysia 2013' berlepas esok dari Kota Bharu kira-kira jam 9 pagi dan dijangka tiba di Shah Alam kira-kira jam 11 malam.

"Kita tidak mahu ketinggalan untuk memberi sokongan kepada pasukan kebanggaan rakyat Kelantan, malah kami harap TRW berjaya membawa pulang Piala Malaysia untuk kali ketiga selepas berjaya melakukannya pada 2010 dan 2012.

"Kita akan berhenti di beberapa kawasan seperti Gua Musang dan Kuala Krai untuk bergerak bersama ahli yang berada di situ dan kita akan mengibarkan bendera Kelantan sepanjang perjalanan sebagai tanda kebanggaan kami terhadap TRW," katanya semalam.

Ahli VMG, Abdul Haniff Abdul Haris Mahadi, 23 berkata, dia bersama rakan menghiaskan kenderaan mengikut tema TRW bagi memeriahkan suasana konvoi.

Katanya, dia berbelanja hampir RM2,000 untuk menghias keretanya mengikut tema TRW yang berbeza setiap kali pasukan kesayangannya itu berjaya mara ke perlawanan akhir.

"Ahli VMG berpakat untuk menghias kereta mengikut tema TRW supaya rombongan konvoi kelihatan meriah sekali gus menjadikan perjalanan kami lebih tenang dan selamat.

"Kami tidak kisah berbelanja besar untuk menghias kenderaan malah berpuas hati dan teruja untuk ke Shah Alam," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan