Jumaat, 22 November 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Kawan Khianat Amy (Search) Sehingga Muflis

Posted: 20 Nov 2013 08:25 PM PST


Amy enggan mengulas berhubung perkara tersebut dan hanya akan berbuat demikian apabila kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
SHAH ALAM: Sekian lama berdiam diri selepas dikatakan muflis, vokalis kumpulan Search iaitu Amy akhirnya mengaku mengenai kontroversi itu selain mendedahkan dia telah dianiaya oleh sahabat sendiri.
Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 55, bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara tersebut dan hanya akan berbuat demikian apabila kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
"Apa yang boleh saya katakan, saya sebenarnya dianiaya oleh sahabat baik sendiri sehingga menyebabkan saya muflis. Itulah akibat terlalu percayakan kawan.
"Namun buat masa ini saya tidak mahu mengulas lanjut kerana akan membawa kes ini ke mahkamah untuk tindakan seterusnya," kata Amy kepada mStar Online.
Amy ditemui selepas sidang media Konsert Destini di Hotel Blue Wave di sini, Rabu.
Konsert bagi mengumpul dana Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) itu bakal diadakan pada 20 dan 21 Disember depan menampilkan barisan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Rossa, Pansha (Ungu), Adira, Hafiz, Jaclyn Victor, Awie dan Dayang Nurfaizah.
Amy sebelum ini dipercayai gagal untuk menyelesaikan sejumlah hutang yang dipinjamnya bagi menjayakan konsert jelajah Di Awan Biru sekitar 2009.
Amy memberitahu dia sudah memaafkan sahabatnya itu kerana mengkhianatinya.
Perkara tersebut telah dibawa ke mahkamah dan keputusan yang dikeluarkan telah menyebabkan Amy isytihar sebagai muflis.
Dalam pada itu, mengulas mengenai luahannya mengenai perkara itu di Facebook miliknya pada Rabu, Amy berkata tindakannya mendedahkan mengenai kemelut itu berlaku secara tiba-tiba.
Jelas Amy, sebelum ini dia berdiam diri dan mengelak daripada berbicara mengenai perkara itu kerana enggan isu tersebut menjadi kecoh sehingga timbulnya fitnah.
"Apa yang saya kongsi di laman Facebook adalah luahan rasa hati yang saya pendamkan selama beberapa tahun ini.
"Luahan saya itu hanya sedikit dan masih banyak perkara lain belum saya luahkan," jelasnya.
Sementara itu, Amy berkata, walaupun pada mulanya dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa dia telah muflis dan dikhianati oleh sahabatnya sendiri namun dia menyedari ia adalah satu dugaan.
Jelas Amy, dia tetap menjalani kehidupannya seperti biasa dan yakin ada hikmah di sebalik kejadian itu.
"Apa lagi yang boleh saya buat selain bersabar dengan dugaan yang menimpa kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya.
"Saya masih bersyukur kerana mempunyai kudrat untuk terus bekerja dan menampung keluarga," katanya.
Malah kata Amy, dia sudah memaafkan orang yang mengkhianatinya dan berharap individu tersebut akan memperbetulkan kembali keadaan.

Noniswara amal kehidupan lebih sihat

Posted: 20 Nov 2013 08:24 PM PST

  • Noniswara

KECANTIKAN dan kaum hawa sememangnya tidak boleh dipisahkan. Kerana mengejar kecantikan luaran, ramai yang sanggup berbelanja besar untuk memastikan diri mereka nampak cantik seperti yang diimpikan.

Justeru ada yang sanggup melakukan pembedahan untuk kelihatan lebih cantik biarpun terpaksa melalui kesakitan dalam tempoh masa yang lama.

Bagi sesetengah orang pula, suntikan menjadi pilihan untuk memastikan kulit sentiasa cantik dan wajah sentiasa tegang.

Bagaimanapun, bagi mereka yang kurang bernasib baik, pembedahan dan suntikan yang di buat akan memakan diri dan kadang kala rupa paras akan kelihatan lebih teruk berbanding yang asli.

Namun bagi sesetengah wanita, mereka lebih gemar menggunakan cara yang lebih semula jadi bagi menggelakkan kesan jangka panjang yang akan dialami selepas ini.

Antara selebriti yang mengamalkan cara hidup yang sihat adalah aktres cantik, Noniswara Baharuddin, 44 tahun.

Pelakon berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya ini mengakui tidak lagi mengambil suntikan dan mengamalkan pengambilan suplemen untuk penjagaan kulit dan tubuh.

Ikuti cerita lanjut mengenai penjagaan kecantikan dan kesihatan Noniswara.

Apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?

Bagi saya cantik dan sihat itu adalah perkara yang saling berkaitan, kalau kita tidak sihat, secara tidak langsung kita tidak akan kelihatan cantik. Kecantikan ini juga meliputi disiplin diri, kebersihan diri. Disiplin ini pula bukan pada luaran sahaja tetapi meliputi dalaman juga.

Peribadi juga memainkan peranan yang penting dan bagi saya perempuan zaman kini, biarpun terdedah bagaimanapun kita dalam zaman teknologi ini, jangan hilang kelembutan dan tatasusila.

Dalam usia 44 tahun, anda masih kelihatan cantik dan langsing, apa rahsianya?

Tiada apa rahsia yang saya amalkan dan macam saya kata tadi, disiplin menjadi kunci yang penting. Contoh jika kita mahu berdiet, tidak ada istilah esok, minggu depan atau bulan depan. Macam kita nak ada peperiksaan penting, bukan bermakna kita ada peperiksaan bulan November, bulan November baru nak belajar. Ia kena bermula dari awal.

Macam saya, saya tidaklah terlalu prihatin soal kecantikan dan kelangsingan cuma bila dah 'rosak' susah untuk kita jaga. Jadi baik kita jaga dari awal.

Ada sesetengah selebriti gemar mengambil suntikan untuk kelihatan cantik, anda bagaimana?

Saya pernah juga mencuba mengambil suntikan tetapi itu kira-kira lima tahun lalu. Tetapi doktor nasihatkan saya tidak terus ambil suntikan kerana ia tidak elok untuk urat kita. Jadi saya beralih kepada penjagaan yang lebih sihat dan mengamalkan penjagaan dengan cara natural. Saya amalkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Saya percaya kecantikan bukan semata-mata pada kulit yang putih atau tegang sahaja.

Adakah anda membuat perawatan seperti facial dan sebagainya?

Biasanya saya akan buat facial sebulan sekali atau jika tiada masa lapang dua atau tiga bulan sekali. Tapi apa yang penting adalah penjagaan asas iaitu kita perlu pastikan muka sentiasa bersih. Selain itu saya juga suka berurut kerana berurut elok untuk pelancaran darah dalam badan dan ia mungkin menjadi salah satu sebab saya berjaya menjaga berat badan. Jika ada masa terluang juga, saya gemar membuat refleksologi kerana ia baik untuk saraf di bahagian kaki.

Selain penjagaan asas, adakah anda mengambil suplemen?

Ya ada. Tetapi tidaklah banyak, ia hanya vitamin C untuk penjagaan dalaman dan luaran.

Bagaimana rutin harian anda?

Macam biasa, bangun tidur dan seterusnya solat subuh tetapi biasanya lepas terjaga, saya tidak terus bangun, sebaliknya rasa bertenang, duduk dan lakukan sedikit regangan, kemudian saya akan minum air mineral dan seterusnya baru mandi serta solat. Selepas itu barulah menggerakkan aktiviti seterusnya seperti masak, mengemas dan keluar untuk kerja atau penggambaran. Saya juga akan pastikan tidak mandi air yang sejuk kerana ia tidak sihat untuk jantung.

Pernahkah anda mengalami masalah berat badan?

Alhamdulillah saya tidak pernah mengalami masalah berat badan dan pada pandangan saya, bila ada yang kata gemuk kerana keturunan, saya rasa kurang setuju. Saya pun ada juga salasilah keluarga berbadan besar, tetapi macam yang saya kata tadi disiplin itu penting. Cara pemakanan kita juga sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga berat badan.

Bagaimana rutin pemakanan anda?

Ada orang kata, nasi menggemukkan, tapi jika kita ambil dengan kuantiti yang sedikit, ia tidak akan menggemukkan kerana macam kita orang Melayu, nasi sudah sebati dalam diri kita. Biasanya saya hadkan pengambilan nasi secawan atau dua senduk sehari.

Tekanan sering dikaitkan dengan kesihatan dan kecantikan, bagaimana cara anda mengatasi tekanan?

Saya akui tekanan sememangnya tidak elok untuk kesihatan dan ada yang pernah mengatakan kepada saya, kanser sebenarnya berpunca dari tekanan. Jadi jika saya tertekan, saya pastikan akan buat perkara yang saya suka, keluar dengan anak dan kawan-kawan. Saya juga tidak akan terlalu memikirkan sesuatu tekanan dan pada wanita di luar sana, pastikan ada sentiasa berasa tenang dan cool serta elakkan sikap panas baran.

Perkembangan terkini anda?

Buat masa ini saya tidak terlibat dengan apa-apa penggambaran kerana memberi tumpuan terhadap anak saya yang mengambil peperiksaan baru-baru ini. Namun sebelum itu saya baru sahaja menyelesaikan penggambaran telefilem Ibu, Mummy dan Mama terbitan Suhan Movie.  Dalam masa yang sama, saya juga menjadi Penasihat Kewangan kepada beberapa pihak.

Nasihat untuk gadis/wanita lain?

Sebagai wanita, yang mempunyai suami dan anak, pastikan akan ada tekanan yang datang. Jadi cuba elakkan hidup dalam keadaan tekanan dan hadapi dengan tenang. Selain itu, sebagai kaum hawa, amatlah penting untuk kita menjaga kecantikan dan kesihatan kita.

Watie Juara Ratu Rania

Posted: 20 Nov 2013 08:23 PM PST


Watie (kiri) ketika diumumkan sebagai juara Ratu Rania.
KUALA LUMPUR: Peserta kelahiran Johor, Watie atau nama sebenarnya Rosnawati Bachok, 37 diumumkan sebagai juara program realiti Ratu Rania yang berlangsung di Studio 2, Astro Bukit Jalil di sini pada malam Rabu.
Keputusan pemenang diumumkan oleh pengacara Dynas Mokhtar.
Watie membawa pulang hadiah bernilai RM50,000 termasuklah wang tunai RM25,000 beserta kontrak setahun iklan cetak dan elektronik Kempen Safi bernilai RM24,000 dan barangan produk Safi Rania bernilai RM1,000.
"Alhamdulillah walaupun saya kurang berkeyakinan dengan diri sendiri, tetapi saya asah diri untuk cuba berubah.
"Dan kemudian semangat saya semakin tinggi dan nekad mahu menang. Alhamdulillah kemenangan ini milik saya," katanya selepas tamat siaran program tersebut.
Episod kemuncak program pencarian ikon wanita moden itu ditayangkan secara eksklusif pada 20 November ini, pukul 9.30 malam di Astro Prima (105).
Tambah Watie, dia merancang mahu menderma sebahagian wang kemenangan itu kepada rumah kebajikan yang dipilih selain ingin membawa keluarganya bercuti ke luar negara.
Naib juara pula iaitu Aida atau Normazuraida Zakaria, 34, memenangi wang tunai RM5,000, kontrak setahun iklan cetak dan eletronik Kempen Safi bernilai RM9,000 dan barangan Safi Rania bernilai RM1,000.
Manakala hadiah sagu hati (bagi lapan peserta tersingkir) pula akan menerima wang tunai RM1,000 beserta barangan produk Safi bernilai RM 800 dan cenderahati Ratu Rania.
Program Ratu Rania dikendalikan oleh pengacara dan pelakon popular Dynas Mokhtar.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.astrogempak.com.my.
Juri program tersebut, Ziana Zain berkata, Watie mampu mengembangkan bakatnya di bidang pengacaraan memandangkan wanita tersebut mempunyai keyakinan diri yang sangat bagus selain seorang wanita yang bijak mengenai pengetahuan am.
"Watie tahu apa yang ingin dilakukannya dan bagi saya, pemilihannya sebagai juara adalah sangat tepat," ujarnya.
Selain Ziana, juri yang terlibat ialah Rozita Che Wan dan Rizalman Ibrahim.
Pemarkahan peserta dilakukan 100 peratus oleh pihak juri.

Aznil Malu, Minta KRU Siasat ‘Profesor Klon’ Diciplak

Posted: 20 Nov 2013 08:22 PM PST


Aznil berharap siasatan dapat dilakukan sekiranya benar lagu nyanyiannya itu diciplak dan dijadikan lagu tema sebuah drama Sepanyol berjudul Pobre Rico.
PETALING JAYA: Penyanyi lagu Profesor Klon, Datuk Aznil Nawawi meminta penerbit lagu tersebut iaitu KRU Music Group agar segera menyiasat dan mengambil tindakan jika benar lagu nyanyiannya itu diciplak dan dijadikan lagu tema sebuah drama Sepanyol berjudul Pobre Rico.
Aznil berkata, tindakan itu perlu kerana ia boleh menjejaskan reputasi dan nama baik syarikat rakaman berkenaan memandangkan sudah ada pihak yang menuduh komposernya iaitu Edry Abdul Halim telah menciplak lagu tersebut.
"Saya tidak tahu siapa yang ciplak siapa. Tetapi diharap sekiranya Profesor Klon diciplak, pihak KRU ambillah tindakan dengan segera kerana ia telah menjejaskan nama anak seni tempatan.
"Walaupun lagu itu bukan saya yang hasilkan, tetapi ia tetap menjejaskan nama saya sebagai penyanyi yang membawakan lagu tersebut. Ini dapat dilihat berdasarkan komen-komen di Twitter apabila ada segelintir pihak menyifatkan saya turut terlibat dengan isu ciplak ini," katanya.
Lagu Profesor Klon yang dinyanyikan Aznil diciptakan sepenuhnya oleh Edry bagi dimuatkan dalam runut bunyi (soundtrack) filem Cicakman pada tahun 2007.
Edry Abdul Halim.
Bagaimanapun, baru-baru ini isu ciplak mula tercetus apabila lagu tersebut (menggunakan bahasa Sepanyol) telah digunakan bagi drama Pobre Rico dan ia menimbulkan persoalan siapakah pihak yang menjiplak karya berkenaan.
Tambah Aznil, tindakan tegas yang diambil pihak KRU juga sekali gus akan membuka mata pihak luar bahawa anak seni tempatan sememangnya bersikap tegas dalam isu-isu sedemikian.
Apatah lagi kata Aznil, pencipta lagu negara ini sering dituduh gemar menciplak muzik negara luar.
Sementara itu, Edry yang dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai penerbitan lagu tersebut di Sepanyol dan akan memastikan setiap lagu yang dicipta di bawah syarikat KRU akan di lindungi karyanya.
"Pihak kami akan membuat siasatan berhubung perkara ini. Setiap lagu yang dihasilkan di bawah penerbitan KRU adalah hak cipta terpelihara," tegasnya menerusi mesej kepadamStar Online pada Rabu.

Semua Wang Nyanyian Alif Satar Disimpan Ibu

Posted: 20 Nov 2013 08:21 PM PST


Alif bersyukur berkat menyimpan dia sudah mampu membeli sebuah rumah, kereta dan motosikal hasil daripada titik peluhnya bergelar artis.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Alif Satar mendedahkan kesemua wang yang diperolehnya hasil kerjaya nyanyian akan diberikan kepada ibunya, Hafiza Muhammed untuk disimpan.
Alif, 23, berkata, tujuan ibunya berbuat demikian adalah untuk memastikan Alif mempunyai wang simpanan yang dilakukannya sejak dia berusia 16 tahun lagi.
"Kalau nak tahu, kesemua gaji saya disimpan ibu dan dia hanya memberikan kepada saya wang sebanyak RM500 sebulan sahaja untuk kegunaan harian.
"Walaupun ada segelintir lelaki kurang senang dengan cara ini, tetapi saya selesa, sekurang-kurangnya saya tidak menggunakan wang secara sembarangan," katanya.
Pengarah urusan Sony Music Malaysia, Julius Ng menyampaikan cenderamata kepada Alif atas kecemerlangan penjualan dua album terdahulunya.
Alif ditemui pada majlis pelancaran album ketiganya berjudul Definisi di Black Box, Publika di sini pada Rabu.
Turut hadir pengarah urusan Sony Music Malaysia, Julius Ng.
Tambah Alif, dia juga bersyukur, wang yang disimpan itu juga telah membuatkan dia sudah mampu membeli sebuah rumah, kereta dan motosikal hasil daripada titik peluhnya bergelar artis.
Sementara itu, mengenai Definisi, album tersebut memberi perubahan ketara dalam dirinya kerana ia lebih bersifat matang berbanding dua album sebelumnya iaitu Nakal dan Lelaki Seperti Aku.
Bertenaga...Alif sempat menyampaikan beberapa buah lagu terbaharu pada majlis pelancaran album ketiganya.
Definisi menonjolkan muzik yang lebih matang. Saya sengaja ingin memberikan kelainan.
"Tetapi berdasarkan single lagu pertama yang dikeluarkan dua bulan lalu iaitu Akhiri Penantianku, pelik pula kerana ia kurang mendapat sambutan. Mungkin orang sudah biasa mendengar lagu saya berkonsepkan remaja dan untuk lagu ini ia sedikit lambat untuk diserasikan.
"Bagaimanapun, saya tetap tampil dengan sebuah lagu santai dalam album ini iaitu Gadis Tiga Bulan," ujarnya.
Sebanyak lapan buat lagu dalam Definisi iaitu Kerna Dia, Kesempatan Kedua, Nona Jakarta, Bila, Sliding Doors, Setiap Hari termasuklah Akhiri Penantianku dan Gadis Tiga Bulan.

Artis Popular Sertai Konsert Destini Bantu Pelajar Miskin UiTM

Posted: 20 Nov 2013 08:21 PM PST


Siti Nurhaliza (dua dari kanan) dan Amy Search (kiri) bersama individu yang terlibat dalam Konsert Destini.
SHAH ALAM: Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM2 juta pada Konsert Destini yang bakal diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada 20 dan 21 Disember depan.
Ketua Pegawai Eksekutif YDAB, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali berkata, dana tersebut akan digunakan bagi membantu meringankan beban penuntut universiti itu daripada kalangan keluarga miskin.
"Selain penuntut UiTM dana itu juga akan disalurkan ke Tabung Pendidik Anak Bangsa YDAB bagi membantu pelajar berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di universiti tersebut," katanya kepada mStar Online.
Mohd Aizuddin ditemui semasa sidang media konsert berkenaan yang diadakan di Hotel Blue Wave di sini pada Rabu.
Seramai sembilan orang artis terkenal akan membuat persembahan pada konsert berkenaan iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Amy (Search), Rossa, Pansha (Ungu), Awie, Adira, Hafiz, Jaclyn Victor dan Dayang Nurfaizah.
Program berkenaan adalah di bawah naungan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.
Dalam pada itu, Mohd Aizuddin berkata, setakat ini tiket berharga RM1,000 sudah habis terjual dan perkembangan itu cukup memberangsangkan.
Rossa bakal memeriahkan konsert berkenaan yang bakal berlangsung selama dua malam.
Malah katanya lagi, secara keseluruhan sebanyak 2,000 keping tiket telah terjual setakat ini.
"Dewan tersebut mampu memuatkan 3,750 penonton pada satu-satu masa dan sambutan hangat daripada penonton membuatkan kami mengambil keputusan untuk mengadakan persembahan itu selama dua hari," jelasnya.
Tambahnya lagi, setiap artis akan menyampaikan dua buah lagu manakala Siti Nurhaliza dan Amy akan mendendangkan tiga buah lagu.
Persembahan kesemua penyanyi pada malam itu nanti akan dipimpin oleh pengarah pemuzik, Edrie Hashim.
Sementara itu, Mohd Aizuddin berkata, pihaknya berbesar hati dengan sokongan nama-nama besar dalam industri muzik bagi menjayakan persembahan itu.
Malah katanya, rata-rata artis tidak mengambil masa panjang untuk bersetuju apabila mengetahui tujuan konsert itu diadakan adalah bagi membantu mereka yang memerlukan.
"Seperti hari ini (Rabu) Rossa tidak dapat hadir tetap dia akan datang ke Shah Alam minggu hadapan untuk melawat UiTM bersama-sama anak-anak yatim. Komitmen semua artis amat kami hargai," jelasnya.
Selain berharga RM1,000 turut dijual tiket berharga RM30, RM80, RM200, RM300 dan RM500.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi 019-6704734 / 013-3959839 / 03-79622186.

Tunggu waktu sesuai

Posted: 20 Nov 2013 08:19 PM PST

  • Tunggu waktu sesuai

PELAKON dan juga pengarah, Farid Kamil Zahari, 32, berkata dia tidak bercadang mengadakan majlis cukur jambul buat anaknya, dan majlis itu akan digantikan dengan majlis khatam al-Quran oleh isterinya, Diana Danielle.

Farid berkata, dalam majlis tersebut, dia juga akan memperkenalkan anaknya yang dikenali dengan nama Muhammad kepada umum.

Bagaimanapun jelas Farid, dia masih menunggu waktu yang sesuai untuk membuat majlis tersebut kerana Diana masih lagi dalam proses menghabiskan beberapa juzuk al-Quran.

"Ia memakan sedikit masa untuk Diana belajar disebabkan dia sedang mempelajari bacaan al-Quran.

"Jadi majlis tersebut mungkin tidak diadakan dalam waktu terdekat ini.

"Untuk Muhammad pula tiada majlis cukur jambul, tetapi akan diadakan majlis akikah buatnya. Kiranya dua majlis dalam satu masa," katanya.

Farid berkata, dia tidak mahu memaksa isterinya mempercepatkan proses itu, bagi memastikan perjalanan majlis itu akan sempurna seperti yang dirancang.

"Saya tidak mahu memaksanya, cukup dia teruskan niat untuk belajar dan khatam al-Quran itu sudah cukup baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Farid mengakui teruja melihat anak mereka membesar di depan mata dan ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada zuriat itu walaupun sibuk dengan kerjaya lakonan.

Dalam pada itu, tambah Farid dan Diana, tidak kisah untuk mempunyai berapa orang anak selepas ini memandangkan kehadiran anak sulungnya telah memberikan banyak perubahan pada dirinya termasuklah perubahan sikap.

"Anak anugerah ALLAH SWT dan saya terima sekiranya Diana sanggup untuk melahirkan anak dalam masa terdekat," katanya, sewaktu ditemui ketika majlis tontonan episod akhir drama Jodoh Itu Milik Kita di restoran Rasta TTDI, Isnin lalu.

Usaha berbaik

Selain itu, ditanya mengenai krisisnya dengan ibu mertuanya, Norsiah Ramli, Farid mengakui hubungannya masih belum pulih.

Namun, dia juga berharap krisis ini cepat berakhir dan dapat diselesaikan dengan baik.
"Saya tak dapat cakap apa-apa tentang perkara ini, namun saya akan fikirkan jalan baik untuk selesaikannya," katanya.

Sebelum ini, rata-rata menyifatkan perbuatan Farid Kamil menghalang ibu mertuanya, melawat Diana selepas melahirkan anak mereka dikatakan sebagai satu tindakan yang kurang wajar.

Dalam perkembangan terbaru, Farid kini sibuk di set penggambaran bagi menjayakan filem Kitai, arahan Amiro Ghozali bersama barisan pelakon hebat iaitu Shaheizy Sam dan Fezrul Khan.

"Buat masa ini saya fokus untuk filem Kitai dahulu dan kemudian pihak Metrowealth International Group (MIG) akan menerbitkan sebuah projek filem yang berbajet besar," ujarnya.

Enggan mengulas lanjut mengenai filem itu, Farid meminta semua pihak menunggu sahaja majlis pelancaran filem itu nanti.

Di Bintang sarat mainan emosi

Posted: 20 Nov 2013 08:18 PM PST

  • Terukir Di Bintang sarat mainan emosi

KISAH cinta tiga segi nampaknya masih menjadi pilihan penonton sehingga hari ini.  Terbaru, drama Terukir Di Bintang, yang dibintangi pelakon hebat Tasha Shilla, Wan Elyas, Shiha Mentor, Kamal Adli dan Talha Harith mula menjadi sebutan ramai.

Bersiaran setiap hari Isnin hingga Rabu jam 10 malam di slot Samarinda TV3, drama 15 episod ini mendapat sentuhan Jamal Khan sebagai pengarah dan skrip oleh Sofea J Rhyland.

Menurut Jamal, Terukir Di Bintang, sarat dengan drama dan emosi. Tidak terikat dengan kisah cinta semata-mata, kata Jamal, drama itu turut menyelitkan isu kekeluargaan yang banyak berlaku di kalangan masyarakat zaman sekarang.

"Plot utama drama ini memanglah mengisahkan percintaan anak muda, namun masih ada elemen lain yang ditonjolkan agar penonton tidak bosan dengan kisah cinta mereka.

"Saya tidak mahu setiap drama arahan terikat dengan satu elemen sahaja tetapi ia harus dipenuhi dengan pelbagai rencah," katanya yang menjalani 70 peratus penggambaran di pusat peranginan terkemuka, Cameron Highlands, Pahang dan selebihnya di ibu kota selama 38 hari.

Tukar pelakon saat akhir

Dalam setiap penggambaran pasti ada kekangan, begitu juga dengan drama ini yang menghadapi beberapa masalah termasuk pelakon dan cuaca yang tidak menentu.

Jamal berkata, mulanya watak utama (Adam) diterajui pelakon kian naik iaitu Syazwan Zulkifly tetapi diganti pada saat akhir dengan Wan Elyas.

"Kami terpaksa mengganti pelakon kerana Syazwan berhadapan masalah yang tidak dapat dielakkan.

"Walaupun Elyas pelakon lama tapi dia kurang bersedia dari segi mental dan masa yang singkat. Ada watak Adam yang dia kurang fahami, kami terpaksa menangguhkan sesetengah babak untuk beri masa kepada Elyas  menghayatinya," katanya.

Tambahnya, dia belum pernah bekerjasama dengan Elyas sebelum ini, begitu juga dengan pendatang baharu lakonan, Shiha Mentor.

Jamal berkata, cuaca di Tanah Tinggi yang tidak menentu itu juga menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan penggambaran untuk seketika.

"Kebetulan ketika itu cuaca sejuk dan hujan melanda di lokasi penggambaran Satu babak yang sepatutnya dilakukan di sana ditukar ke Kuala Lumpur kerana faktor cuaca," katanya.

Selena Gomez ke Malaysia?

Posted: 20 Nov 2013 08:16 PM PST

  • Selena GomezSelena Gomez

BERITA baik bagi peminat setia Selena Gomez! Penyanyi kecil molek itu dijadualkan bakal mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada Januari ini.

Gomez yang popular dengan lagu Who Says, Come & Get It dan Love You Like a Love Song bakal singgah ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Januari depan sempena konsert jelajah Stars Dance Tour.

Konsert ini dianjurkan oleh We Love Asia dan Kuala Lumpur telah terpilih sebagai salah satu destinasi untuk siri jelajah dunia Stars Dance Tour ini.

Ini bukanlah kali pertama penyanyi dan pelakon yang berusia 21 tahun ini menjejakkan kaki di Malaysia.

Sebelum ini, dia hanya menemani bekas kekasihnya, Justin Bieber yang mengadakan persembahannya di sini, pada Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, sebarang maklumat mengenai harga tiket masih belum didedahkan oleh pihak penganjur dan berkemungkinan besar akan diberitahu dalam masa terdekat ini.

Tetapi, peminat boleh melayari laman rasmi Facebook We Love Asia untuk maklumat lanjut.

'Oh My Ganu!' lebih kecoh

Posted: 20 Nov 2013 08:15 PM PST

  • 'Oh My Ganu!' lebih kecoh

BERIKUTAN kejayaan siri Oh My English! Rancangan ini tampil dengan telefilem khas berjudul Oh My Ganu! yang akan bersiaran pada 27 November ini.

Menurut Naib Presiden GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, Oh My English! merupakan komedi pendidikan bersiri musim kedua berjaya menarik perhatian seramai 5.2 juta penonton di TV, 11.6 juta tontonan Youtube dan 525,000 peminat di laman sosial Facebook dan menguasai tangga teratas laman mikro Twitter.

"Pada penghujung rancangan Oh My English! penonton diberi peluang untuk membantu Mr Middleton (Zain Saidin) memilih antara Sara Jane(Gabriella Robinson)  atau cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) yang akan pulang ke Terengganu melalui undian dalam talian menerusi media sosial. Dan ternyata, sebanyak 50,000 undian penonton telah diterima dan hasilnya 89 peratus undian menyebelahi cikgu Ayu. Keputusan inilah yang telah membentuk jalan cerita telefilem Oh My Ganu!.

"Ia merupakan kesinambungan episod kemuncak Oh My English! Musim kedua. Telefilem bercorak komedi ini merupakan satu penghargaan daripada kami khas buat peminat setia Oh My English! yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada program ini," katanya.

Putri Yasmin berkata, Oh My Ganu! menjanjikan kelainan dengan kehadiran watak baru yang dihidupkan oleh Izzue Islam dan Zizan Raja Lawak.

"Oh My Ganu! dihasilkan dengan kualiti penggambaran yang tinggi seperti penerbitan filem. Dan kami telah kerjasama dengan Red Communications yang mengetengahkan pengarah fotografi terkenal seperti Haris Hue Abdullah, penata Muzik, Mohsin Othman dan pengarah, Umi Salwana Omar.

"Saya berharap semoga telefilem Oh My Ganu! yang menggabungkan komedi dan kandungan ilmiah serta diterbitkan dengan kualiti produksi setaraf dengan filem pawagam, mendapat sambutan positif dari penonton daripada semua peringkat usia, " katanya yang mengakui sepanjang penggambaran ini juga banyak adegan lucu di luar jangkaan.

Dalam pada itu, selain barisan pelakon asal seperti Zain Saidin, Harun Salim Bachik, Tiz Zaqyah, Izara Aishah, Akhmal Nazri, Addy Ashraf, Syafie Naswip Roax Tan, Amer Shariff dan Kameesha, beberapa pelakon hebat turut ditampilkan buat pertama kalinya, iaitu Zizan Razak dan Izzue Islam.

Melalui telefilem Oh my Ganu! yang berlatar belakangkan  sebuah kampung di pantai timur, penonton juga dapat menyaksikan adegan mencuit hati apabila pelajar 3 Merah dan guru kesayangan mereka Mr Middleton (Zain Saidin) pergi mencari Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) di kampung halamannya.

Namun, Mr Middleton terpaksa berhadapan dengan Zizang (Zizan Razak), seorang jutawan kampung yang turut menaruh hati terhadap Cikgu Ayu.

Siasat identiti sebenar peminta sedekah

Posted: 20 Nov 2013 07:56 PM PST

  • Siasat identiti sebenar peminta sedekahIndividu ini dilihat memegang kotak dan meminta sedekah daripada pengunjung di kedai makan.

RANTAU PANJANG  – Beberapa peminta sedekah dipercayai muncul di bandar-bandar di seluruh negeri ini sambil memegang kotak derma untuk minta sedekah daripada orang ramai.
Kelibat mereka ini berjaya dikesan oleh seorang penduduk tempatan di sini yang mahu dikenali sebagai Mamat, 31.

"Saya peliklah dengan beberapa peminta sedekah di sini. Saya pernah melihat mereka di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu dan Kuala Krai.

"Terbaharu, saya terkejut kerana dia turut meminta sedekah ketika saya membeli belah di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang," kata Mamat.

Menurutnya, penduduk memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terutama kesahihan mengenai kesulitan hidup mereka, sehingga terpaksa meminta sedekah.

Ini kerana katanya, mereka tidak mahu keikhlasan menderma dikotori dengan niat mahu mencari rezeki dengan cara menipu.

Sementara itu, peniaga, Abdullah Rahim, 53, berkata, kes pengemis di daerah ini tidak begitu membimbangkan namun kehadiran golongan ini boleh memberi imej buruk kepada penduduk di sini.

Menurutnya, penduduk percaya peminta sedekah ini bukan berasal dari Rantau Panjang sebaliknya dari daerah luar.

Ada juga katanya, peminta sedekah ini berasal dari negara jiran dan mencari rezeki dengan cara mudah.

"Kebanyakan peminta sedekah ini akan beroperasi hanya di hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan. Ini kerana mereka mengambil kesempatan meminta sedekah daripada pengunjung yang datang membeli belah ketika musim cuti," katanya.

Temui penawar HIV, AIDS

Posted: 20 Nov 2013 07:54 PM PST

  • Temui penawar HIV, AIDSTuan Mohamad (kanan) menunjukkan herba yang digunakannya bagi menghasilkan penawar AIDS/HIV.

MACHANG - Setelah lapan tahun disahkan menghidap penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) dan jangkitan HIV, Azman (bukan nama sebenar) mendakwa menemui penawar apabila disahkan bebas penyakit berbahaya itu tahun lalu.

Azman, 45, mula terjebak dengan najis dadah sejak berusia 15 tahun dan nekad meninggalkannya pada 2005 selepas keluar dari pusat serenti demi orang tersayang.

"Apabila keluar dari pusat serenti, saya hilang anak-anak dan isteri. Sejak itu saya nekad untuk meninggalkan dadah tanpa mengambil sebarang ubat dan tinggal di pondok. Ketika itu, saya rasa macam baru dilahirkan dan cuba buat yang terbaik dalam hidup saya selepas diberi peluang kedua oleh ALLAH SWT.

"Saya mula mendalami agama dan meninggalkan tempat kelahiran saya untuk berubah. Pada 2010, seorang rakan memperkenalkan penawar ini dan saya menghubungi pengusahanya secara terus melalui telefon. Sejak itu saya mengambil ubat tersebut sekalipun tidak mempercayai ubat-ubatan sebelum itu," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di kediaman pengusaha penawar berkenaan, Tuan Mohamad Tuan Bongsu di sini, semalam.
Azman berkata, selepas tiga bulan dia mula merasakan perubahan dan meneruskan pengambilan ubat sehingga sekarang walaupun, disahkan bebas penyakit berbahaya itu pada tahun lalu.

Menurutnya, dia membuat pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan disahkan bebas HIV/AIDS.

Dia belum bersedia untuk mendedahkan dirinya namun, rasa bertanggungjawab bagi membantu rakan senasibnya mengubati penyakit yang ditakuti ramai itu.

"Ketika disahkan menghidap AIDS, saya reda dan menerimanya sebagai balasan ALLAH kepada saya yang banyak melakukan kesilapan serta nekad meninggalkan dadah.

"Penawar berasaskan herba ini bukan membantu saya menyembuhkan penyakit tetapi membuatkan saya lupa dadah dan menjalani kehidupan normal," katanya.

Sementara itu, Tuan Mohamad berkata, dia mula mencari formula bagi menghasilkan penawar itu selepas ahli keluarga terdekatnya disahkan menghidap penyakit itu.

"Saya tak sanggup lihat dia menderita dan saya mula mencari formula bagi menghasilkan penawar sebagaimana sabda Rasulullah, setiap penyakit ada ubatnya.  Saya banyak bertanya kepada doktor, tabib Cina dan orang berpengalaman dalam bidang herba serta pada masa sama mempelajarinya melalui internet.

"Selepas setahun mencari, saya mula menghasilkan penawar itu dengan melakukan percubaan demi percubaan agar bersesuaian dengan penyakit itu. Alhamdulillah ahli keluarga saya itu sembuh selepas tiga tahun mencubanya dan meninggal dunia pada 2009 akibat penyakit kencing manis," jelasnya.
Bekas kontraktor itu berkata, dia mula berkongsi penawar itu dengan pesakit AIDS sejak beberapa tahun lalu, melalui internet memandangkan ramai pesakit malu untuk menampilkan diri mereka.
Katanya, selepas kematian ahli keluarganya, dia berhenti menghasilkan ubat itu namun memulakannya kembali setahun kemudian untuk membantu penagih tegar dan penghidap HIV/AIDS yang dikatakan tiada ubat.

"Penawar ini terdiri daripada herba dari dalam dan luar negara yang diadun sebaik mungkin bagi membantu pesakit menjalani kehidupan normal selepas disahkan menghidap penyakit membunuh itu," katanya.

Serang ibu di tempat kerja

Posted: 20 Nov 2013 07:48 PM PST

  • Serang ibu di tempat kerjaMuhammad Sufian dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya.

KUALA TERENGGANU - Seorang anak tergamak menjatuhkan maruah ibunya depan khalayak ramai apabila 'menyerang' wanita malang itu di tempat kerja dengan membawa sebilah parang sambil meminta wang RM500.

Bagaimanapun, tindakan biadab Muhammad Sufian Roslan, 21, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah kepada ibunya, Zaleha M Hussin, 47, dengan niat menyebabkan mangsa berasa cemas.

Muhammad Sufian mengaku melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di depan kedai makan di Kampung Losong Dato' Amar, di sini, pada 15 Ogos lalu, kira-kira 1 petang.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu berada di kedai makan iaitu tempat dia mencari rezeki telah didatangi Muhammad Sufian dengan membawa sebilah parang panjang.

Sejurus ternampak kelibat mangsa, Muhammad Sufian terus meminta wang RM500, namun mangsa gagal menunaikan permintaannya itu disebabkan tiada wang.

Kegagalan mangsa memenuhi hajatnya telah menaikkan kemarahan sebelum Muhammad Sufian memaksa ibu malang itu pulang ke rumah dalam keadaan marah-marah sambil mengacukan parang tersebut ke arah mangsa.

Bimbang keselamatannya pada masa akan datang, mangsa nekad membuat laporan polis sebelum Muhammad Sufian ditangkap oleh bapa saudaranya sendiri pada 16 Ogos lalu, jam 11. 30 pagi dan diserahkan kepada pihak polis.

Christine Place bukan Villa Nabila?

Posted: 20 Nov 2013 07:44 PM PST

  • Villa NabilaKediaman milik seorang doktor yang dipercayai keras dan berpenunggu.

JOHOR BAHRU - Nama kediaman usang terletak di Jalan Skudai, di sini, atau lokasi lebih tepat berhadapan dengan Selat Tebrau secara tiba-tiba menjadi popular di negara ini.

Semuanya gara-gara seorang remaja lelaki yang didakwa 'hilang' selepas mengunjungi Christine Palace atau ada segelintir mendakwa rumah lama itu sebagai Villa Nabila.

Cerita bermula dengan kehilangan Mohamad Izzat Izzudin Husin, 16, yang disedari ibunya selepas tidak pulang ke rumah sejak hari Sabtu lalu.

Setelah dimaklumkan oleh rakan anaknya bahawa Mohamad Izzat ada mengunjungi rumah terbabit, ibu berusia 38 tahun itu segera membuat laporan polis di Danga Bay, di sini malah cuba mencari anaknya di lokasi terbabit.

Hati seorang ibu, sudah tentu sanggup melakukan apa sahaja kerana bimbang dengan keselamatan anak sendiri malah tindakan ibu Mohamad Izzat tidak salah dalam hal ini.

Lebih menyedihkan apabila khabar angin yang tersebar di lama sosial Facebook dengan mendakwa sekumpulan 23 remaja hilang selepas memasuki villa itu, manakala tujuh yang lain berjaya keluar, namun polis menafikannya.

Bagaimanapun, kehebatan laman sosial pada masa kini menyebabkan ramai pihak percaya dengan kenyataan disiarkan malah menyebabkan aliran lalu lintas Jalan Skudai, di sini, menuju ke pusat bandar menjadi perlahan.

Selepas tersebarnya berita kehilangan Mohamad Izzat, remaja terbabit kemudiannya ditemui kembali, namun bukan kerana disorokkan makhluk halus.

Sebaliknya, beliau sendiri menyorok di rumah rakan wanitanya di Rumah Pangsa Taman Desa Mutiara, di sini, sekali gus menyangkal dakwaan penyebar berita tidak benar.

Ramai pihak digembar-gemburkan dengan cerita kononnya kediaman Villa Nabila sebagai 'keras' atau berpenunggu malah boleh didapati dengan pelbagai versi.

Soalnya, yang mana satu adalah Christine Place dan yang mana satu merupakan Villa Nabila? Atau mungkinkah Christine Place dan Villa Nabila merupakan lokasi serta bangunan kediaman sama?

Malah sebuah laman blog, http://untoldhistoriesofmalaya.blogspot.com turut menyatakan terdapat dua Christine Place lain di sekitar Johor Bahru selain lokasi terletak di hadapan Pantai Lido.

Dua lokasi lain terletak di Jalan Abdul Samad, di sini, dan Wadi Hana atau lebih mudah di kedudukan berdepan dengan Balai Polis Trafik Cawangan Johor Bahru Selatan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi terletak di Jalan Abdul Samad mendapati terdapat serpihan bangunan kelihatan di antara semak dan lalang yang tumbuh meliar.

Sementara lokasi di Wadi Hana pula sukar untuk dipastikan, namun ada penduduk memberitahu bangunan asal sudah dirobohkan kemudian dibangunkan bangunan kedai.

Di lokasi sama, terdapat juga sebuah rumah usang yang mungkin boleh dikaitkan dengan Christine Place, namun sukar untuk disahkan kebenarannya.

Kebenaran mula terbongkar

Bagi penulis blog Untold Histories of Malaya, Mohd Razi Zainal Ariffin, 32, dakwaan sesetengah pihak mengenai kejadian pembunuhan sehingga menyebabkan kawasan itu berhantu adalah tidak benar.

Menceritakan pengalamannya bersama rakan-rakan yang kerap menjejaki kawasan terbabit kira-kira 10 tahun lalu, Mohd Razi menafikan kawasan yang dikenali sebagai 'Villa Nabila' itu 'keras' dan berpenunggu.

"Sepuluh tahun lalu saya dan rakan-rakan kerap berkunjung ke kawasan ini namun tidak pernah menerima sebarang gangguan.

"Malah sehingga kini tiada kejadian pelik yang berlaku selepas kami mengunjungi kawasan itu, cerita mengenai kejadian pembunuhan di situ hanyalah rekaan dan lokasi itu menjadi tumpuan disebabkan perasaan ingin tahu masyarakat," katanya.

Menurutnya, kawasan berkenaan mempunyai dua bangunan berasingan termasuk sebuah bangunan tiga tingkat yang dijadikan restoran dan sebuah rumah satu tingkat di atas tapak di atas bukit dinamakan Christine Place.

"Keseluruhan kawasan itu merupakan milik ahli perniagaan bergelar Datuk dan menamakan rumah tersebut sebagai Christine Place sempena nama anak perempuan sulungnya Christine," katanya.

Katanya, bagaimanapun kawasan berkenaan disita oleh pihak bank untuk membayar hutangnya pada tahun 1986 selepas pemilik syarikat hartanah itu disahkan bankrup.

"Sejak itu kawasan berkenaan mula terbiar dan ditinggalkan kosong, namun kejadian pembunuhan yang didakwa berlaku di rumah itu adalah tidak benar," katanya.

Beliau berkata, selain kediaman yang menghadap Pantai Lido, Christine Place turut dikaitkan dengan dua lokasi lain di mana salah satunya merupakan tapak kediaman bekas pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar di Jalan Tebrau.

"Terdapat dua lagi kawasan dinamakan Christine Place di Jalan Abdul Samad, namun difahamkan bangunan di situ sudah dirobohkan.

"Manakala sebuah lagi kawasan Christine Place terletak di Jalan Tebrau yang sebelum ini merupakan tapak kediaman Datuk Onn Jaafar," katanya.

Penulis blog itu memberitahu mengetahui kisah sebenar mengenai status kediaman itu selepas dihubungi pengurus restoran yang dilantik oleh Sing Hock untuk menguruskan restorannya sebelum kawasan itu disita.

Selain itu, beliau berkata, terdapat sebuah villa kosong bersebelahan dengan Christine Place yang menjadi kediaman seorang doktor dan keluarganya di Jalan Straits View, di sini, satu ketika dahulu.

Bagaimanapun, kediaman terbabit dikatakan berhantu selepas didakwa berlakunya kejadian pembunuhan.

"Villa itu adalah kepunyaan seorang doktor, namun kejadian pelik dan seram mula berlaku selepas doktor berkenaan dikatakan menembak mati kesemua ahli keluarganya sebelum membunuh diri.

"Kejadian berlaku sekitar tahun 1970-an, sejak itu villa berkenaan mula terbiar dan diakui agak 'keras'," katanya.

Bekas rumah Datuk Onn
Mengukuhkan lagi fakta mengenai Christine Place yang dikaitkan sebagai kediaman Datuk Onn Jaafar yang juga bekas Menteri Besar Johor, Sinar Harian menghubungi anaknya Leftenan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn.

Jaafar mengesahkan bapanya pernah mendiami kawasan berkenaan yang kini dikenali sebagai Christine Place pada tahun 1935 selepas diperkenankan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada ketika itu.

"Kami sekeluarga mula tinggal di situ sejak ia mula siap dibina. Ketika itu bapa saya baru pulang dari Singapura dan memberitahu kami akan menetap di Wadi Hana kerana ada kediaman disediakan di situ.

"Pada masa itu, bapa saya merupakan Setiausaha Peribadi kepada TMJ dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri," katanya.

Katanya, bagaimanapun mereka sekeluarga berpindah dari kediaman berkenaan ke Batu Pahat pada tahun 1945 selepas bapanya dilantik menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat dan tidak mengetahui status kediaman terbabit selepas itu.

"Sebelum ini kami juga mempunyai tanah di kawasan itu namun sudah dijual dan kini kami tidak tahu menahu mengenai status kediaman itu selepas berpindah," katanya.

Masih jadi tumpuan umum

Meskipun remaja yang hilang sudah ditemui, rumah usang ditinggalkan sejak 40 tahun lalu terus mendapat perhatian daripada orang ramai.

Tiada rasa takut dan gentar, ada segelintir daripada mereka membawa anak kecil untuk melihat sendiri Christine Palace atau Villa Nabila yang menghadap Pantai Lido, di sini, itu.

Kelihatan pihak berwajib sudah meletakkan pagar zink berwarna biru untuk menutupi kawasan terbabit dan berkemungkinan dalam masa terdekat, ia akan ditutup kepada umum.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, keadaan kawasan rumah terbabit tidak terurus dengan tangga dan dinding bangunan kayu kian mereput.

Walaupun secara zahir struktur bangunan seperti tidak kukuh, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melihat suasana dalaman kediaman seterusnya merakam gambar kenangan.

Tidak ketinggalan, Jamilah Kassim, 54 dari Pulau Pinang turut membawa empat cucunya yang berusia seawal dua tahun untuk meninjau ke dalam kawasan banglo yang dikatakan berhantu itu.

"Makcik datang ke sini bersama empat cucu untuk meninjau ke kawasan banglo 'tinggal' ini selepas menyaksikan beritanya di televisyen.

"Kami berani datang ke sini selepas ramai pihak mengatakan tempat ini tidak berhantu malah remaja yang dikatakan hilang di sini juga sudah ditemui," katanya.

Dalam pada itu katanya, kunjungan itu juga sebagai pengajaran kepada cucunya agar tidak keluar dari rumah tanpa kebenaran dan pengawasan orang lebih dewasa.

Sementara itu, pemuda yang ingin dikenali sebagai Jeevan, 26 berkata, mula mengetahui mengenai banglo kosong itu selepas heboh di laman sosial dan disiarkan melalui berita.

"Saya datang ke sini bersama lima rakan yang lain dan singgah selepas pulang dari kerja untuk meninjau sendiri kawasan yang dikatakan berhantu.

"Kawasan seperti ini menarik perhatian ramai kerana penuh misteri dan mempunyai kisah tersendiri," katanya.

Penduduk tak sangka jiran baru ketua ajaran Harun

Posted: 20 Nov 2013 07:39 PM PST

  • Tuhan HarunHarun Mat Saad, 47, yang digelar "Tuhan Harun". 

LEDANG – Penduduk Bandar Baru Tangkak tidak mengetahui kawasan perumahan berkenaan menjadi tempat persembunyian ketua ajaran sesat, Ajaran Harun, Harun Mat saat, 47, selepas menyewa di rumah berkenaan sejak 27 Oktober lalu.

Perkara tersebut terbongkar selepas sepasukan polis menyerbu rumah berkenaan dan menangkap Harun, seorang  anak lelakinya serta seorang wanita kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Jiran yang mahu dikenali sebagai Roslan, 30-an, berkata,  seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Khairi datang ke pejabat pemaju di kawasan perumahan itu bertanyakan rumah untuk disewa pada 26 Oktober lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit mengaku berasal dari Johor Bahru memerlukan rumah itu dengan segera dan mahu tinggal selama setahun bersama ibu dan bapanya kerana mendapat pekerjaan di Tangkak.

"Saya tidak mengesyaki sebarang yang mencurigakan kerana perwatakan lelaki itu kelihatan biasa dengan mana-mana individu yang bertanya rumah sewa sebelum ini.

"Saya memberikan nombor telefon pemilik rumah itu yang merupakan seorang guru dan dimaklumkan lelaki itu sewa rumah tersebut sebanyak RM700 sebulan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Roslan berkata, sebelum ini rumah itu dijadikan  inap desa dan Harun adalah penyewa ketiga selepas pensyarah kolej matrikulasi berpindah kerja ke tempat lain.

Katanya, Harun berambut sedikit panjang tidak mesra dengan jiran dan penduduk di kawasan itu.  Lelaki itu  juga akan mengelak daripada bertemu jiran dengan masuk ke dalam rumah  apabila terserempak dengan mana-mana jiran di luar rumah.

"Saya pernah ke rumah dia untuk berkenalan dan mendekatinya  sebagai jiran baru, tetapi rumahnya sentiasa kosong setiap hujung minggu.

"Minggu lalu, dia ada hubungi saya minta pertolongan untuk mencari mekanik kerana kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex rosak, tetapi beberapa hari kemudian dia memandu kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV)," katanya.

Katanya lagi, kira-kira jam 3 petang dia melihat kereta Hundai Starex Harun berada di hadapan pintu masuk taman tersebut dan tidak lama kemudian menerima panggilan telefon daripada isteri mengatakan banyak kenderaan polis berada di rumah jirannya itu.

Roslan berkata, rumah berkenaan terletak tiga unit daripada rumahnya dan terkejut apabila mengetahui jirannya itu adalah suspek yang diburu pihak polis sebelum ini.

"Kelibat Harun tidak pernah dilihat sejak keluarga itu menyewa rumah berkenaan sehinggalah kes penangkapannya hari ini (semalam)," katanya.

Sementara itu di Kuantan Ketua Polis Pahang, Datuk Shariffuddin Abdul Ghani mengesahkan Harun ditangkap di Bandar Baru Tangkak, hari ini.

Rabu minggu lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuantan mengeluarkan waran tangkap terhadap Harun, selepas gagal hadir buat kali kedua untuk proses pengurusan kesnya semalam.

Dia yang menghadapi 10 pertuduhan mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, juga gagal hadir pada sebutan pertama kesnya, 20 Ogos lepas.

Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie mengeluarkan waran itu selepas permohonan dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie negeri Salehuddin Ab Manaf.

Fezrul, Intan hadapi tekanan

Posted: 20 Nov 2013 07:36 PM PST



MERAIH peluang untuk memegang watak utama dalam sebuah filem yang bertemakan percintaan yang agak berat, pelakon Fezrul Khan merasakan tawaran berlakon dalam filem Aku Pilih Kamu itu tidak harus dilepaskan sama sekali.
Tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan dalam filem berkenaan tetapi Fezrul memberitahu, dia terpaksa berhadapan dengan tekanan pada peringkat awal sewaktu hendak memulakan penggambaran sekitar bulan Mac lalu.
"Mungkin ramai tidak tahu yang saya pernah hampir menolak untuk membintangi filem ini memandangkan isteri saya ketika itu sedang sarat mengandung dan hanya menunggu masa untuk melahirkan cahaya mata sulung kami.
"Ketika itu perasaan saya berbelah bahagi sama ada mahu terima atau tolak kerana mengenangkan isteri di rumah. Selain itu, saya cukup risau sekiranya tidak dapat memberikan sepenuh komitmen kepada produksi," ujarnya ketika memulakan bicara.
Bagaimanapun, dengan sokongan yang diberikan isteri tercinta, akhirnya dia menerima tawaran tersebut dan Eyra Rahman selaku pengarah filem itu pula bersetuju untuk memberi kelonggaran dan memahami situasi yang melanda dirinya saat itu.
INTAN mengakui ditawarkan membintangi filem Aku Pilih Kamu, tiga hari sebelum penggambaran bermula.


Menceritakan lebih lanjut tentang pembabitannya dalam filem tersebut, pelakon yang memegang watak Mohd. Alif itu menyatakan, dia terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Cameron Highlands memandangkan penggambaran dilakukan di sana.
Mengakui langkah sedemikian membuatkan dirinya berasa penat dan boleh menjejaskan tumpuan lakonannya, dia menganggap bahawa ia merupakan satu pengorbanan yang cukup besar sepanjang bergelar pelakon.
"Saya mula terbabit dalam penggambaran sejak hari pertama lagi di Cameron Highlands. Sebaik sahaja selesai saya terus pulang ke Kuala Lumpur dan sudah ditakdirkan isteri saya bersalin pada keesokan harinya.
"Kemudian saya sempat meluangkan masa bersama anak dan isteri selama sehari sahaja sebelum pergi semula ke Cameron Highlands untuk menyambung penggambaran sehingga selesai," ujar ayah kepada Farrell Khan yang kini sudah mencecah usia lapan bulan itu.
Aku Pilih Kamu yang mula ditayangkan di pawagam sejak 14 November lalu mengisahkan tentang Qesya lakonan Intan Ladyana yang kurang mendapat perhatian setelah ibunya meninggal dunia dan bapanya pula sibuk dengan kerjaya sebagai pegawai tentera.
Apabila dewasa, timbul konflik antara hubungan anak dan bapa apabila dia dijodohkan dengan Alif, sedangkan pada masa yang sama dia sudah mempunyai pilihan hati sendiri iaitu Iskandar (Zain Hamid).
Berkenaan dengan wataknya sebagai Alif pula, pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Jelatang itu memberitahu, mainan emosi dalam karakter yang dibawakannya itu merupakan satu lagi cabaran yang harus ditempuhinya.

WALAUPUN sibuk di lokasi penggambaran filem Aku Pilih Kamu, namun Fezrul sering terbayang wajah isteri dan anaknya di rumah.


"Kalau boleh saya mahu lakonan yang ditampilkan itu nampak asli dan penonton dapat merasai emosi yang ada dalam diri Alif. Namun begitu, adakalanya saya lari seketika daripada karakter yang dimahukan oleh pengarah tetapi saya sudah lakukan yang terbaik.
"Saya tidak nafikan ia berlaku apabila fikiran saya sedikit terganggu apabila terbayangkan isteri dan anak di rumah.
"Bagaimanapun, saya anggap ia satu pengalaman bermakna serta cabaran yang paling getir pernah dilalui sepanjang menjadi pelakon," ujarnya.
Produksi luar
Biarpun sudah agak lama berkecimpung dalam bidang lakonan dan semakin mendapat pujian ramai pihak, Fezrul tidak pernah dilihat tampil dengan produksi luar, selain Metrowealth untuk layar perak.
Ujarnya, dia sendiri sebenarnya mempunyai keinginan yang tinggi untuk bekerja dengan produksi luar, malah Metrowealth sendiri memberi galakan kerana ia dilihat sebagai langkah mendapat pengalaman yang lebih luas.
"Kalau diikutkan saya sudah kerap berlakon dengan produksi luar untuk drama bersiri atau telemovie tetapi peluang dalam filem pula masih lagi belum tercapai setakat ini.
"Sebenarnya sudah beberapa kali saya memperoleh tawaran daripada syarikat luar, namun saya terpaksa menolaknya kerana bertindih dengan jadual lain. Kalau ada peluang lain serta bersesuaian dengan watak, saya bersedia untuk menerimanya," jelas Fezrul.
Mengenai perkembangan terbaharunya pula, Fezrul bakal membintangi sebuah lagi filem baharu berjudul Kitai bersama beberapa pelakon popular lain seperti Shaheizy Sam dan Farid Kamil.
Saat akhir
Selain Fezrul, seorang lagi bintang utama dalam filem Aku Pilih Kamu iaitu Intan Ladyana menceritakan, dia turut berhadapan dengan tekanan memandangkan tawaran diterima pada saat-saat akhir.
Menurut Intan, dia hanya ditawarkan berlakon dalam filem berkenaan kira-kira tiga hari sebelum penggambaran bermula kerana terpaksa menggantikan pelakon asal yang mempunyai komitmen lain.
"Sudah tentu tempoh yang saya ada sangat singkat dan persediaan untuk menghayati karakter sebagai Qesya juga kurang. Memang terdapat sedikit tekanan yang dirasai tetapi itu semua tidak menjadi penghalang buat saya melakonkannya dengan sebaik mungkin.

FEZRUL dan Intan banyak terbabit dalam permainan emosi bagi menghidupkan karakter mereka menerusi filem Aku Pilih Kamu.


"Walaupun ini kali pertama saya berlakon bawah arahan Eyra, namun dengan persahabatan yang sudah lama terjalin antara kami membuatkan kerja saya menjadi lebih mudah," ujarnya.
Berkongsi cerita mengenai watak yang dibawakannya itu pula, Intan memberitahu, antara cabaran yang agak menarik adalah mewujudkan perasaan benci terhadap Alif yang dibawakan oleh Fezrul.
Ia disebabkan pada peringkat awal penceritaan dalam filem berkenaan memaparkan kebencian Qesya yang mendalam terhadap Alif gara-gara dipaksa berkahwin dengan lelaki yang langsung tidak dicintainya.
"Sepanjang berada di lokasi penggambaran Fezrul selalu menyakat saya sehingga timbul sedikit kebencian terhadapnya. Jadi, perasaan benci itu turut terbawa-bawa semasa penggambaran," selorohnya sambil turut memberi pujian terhadap lakonan yang ditampilkan Fezrul dan Azhan Rani.
Bagaimanapun, Intan menyatakan menerusi filem ini penonton akan melihat sisi lain lakonannya yang sebelum ini lebih banyak tampil dalam filem yang bergenre komedi, aksi dan seram.


Boy Iman saman ustaz RM3 juta

Posted: 20 Nov 2013 07:35 PM PST

MEMBERI notis saman malu sebanyak RM3 juta, ironinya, Boy Iman masih tidak menandatangani sebarang kontrak bersama Alfalfa Group selaku duta mereka.


BARU-BARU ini, pelakon dan penerbit AFS Consortium, Norul Iman A Rahman atau lebih dikenali sebagai Boy Iman telah mengemukakan notis saman malu terhadap pihak Alfalfa Group.
Notis saman yang berjumlah RM3 juta itu dikeluarkan atas alasan menanggung malu serta pengingkaran kontrak oleh Alfalfa Group yang mengambil Boy Iman sebagai duta projek perumahan mereka.
Boy Iman yang hadir bersama peguam Mohd. Faizul Nasir memberitahu bahawa pihaknya akan memberi notis selama 14 hari kepada pihak Alfalfa untuk memberi respons.
Walaupun belum menandatangani kontrak menjadi duta, namun Boy Iman akan tetap meneruskan saman bagi menanggung kos yang telah dikeluarkannya sepanjang terlibat dengan projek perumahan tersebut.
Ikuti penjelasan Boy Iman ketika mengadakan sidang akhbar yang bertempat di Bora Ombak, Ampang, Selangor baru-baru ini.
Kosmo!: Boleh ceritakan dengan ringkas tentang kes ini?
BOY IMAN: Sidang akhbar ini dibuat untuk memberitahu yang saya ingin mengemukakan notis saman malu terhadap pemilik Alfalfa Group, Ustaz Norsham Abd. Aziz. Ini kerana dia telah mengingkari kontrak tentang pelantikan saya sebagai duta projek perumahan banglo mampu milik dan membuat kenyataan yang memalukan saya di Facebook. Dengan ini, saya memberi beliau notis selama 14 hari bagi penyelesaian di luar mahkamah. Jika tiada maklum balas, maka kes ini akan saya failkan di mahkamah.
Sejauh mana perkenalan anda dengan bersama pemilik syarikat Alfalfa itu?
Saya sebenarnya tidak berapa mengenali Norsham. Saya ada berurusan perniagaan dengan beliau. Saya ada menguruskan majlis yang mana saya menggunakan kanopi dan katering daripada beliau. Saya kenal beliau sejak tahun 2005 lagi.
Bila pihak Alfalfa memberikan tawaran kepada anda menjadi duta syarikat mereka?
Tawaran itu dibuat pada bulan April 2013, sekembalinya beliau (Norsham) daripada menunaikan umrah. Norsham memberitahu saya yang beliau berminat untuk mengambil saya bagi projek ini.
Sewaktu menerima tawaran tersebut, anda tidak selidik dahulu latar belakang pihak Alfalfa?
Ketika beliau menawarkan kepada saya, sudah tentu saya selidik dahulu. Jadi, memang bagi saya tidak logik untuk sebuah rumah banglo hanya bernilai RM89,000. Kami sudah fikirkan perkara tersebut, namun kami punya cara untuk siasat dan mendapati apa yang dikatakannya memang benar. Jadi, saya pun bersetuju untuk menjadi duta syarikat tersebut. Bukan sahaja duta syarikat, malah saya juga menjadi perancang acara dan media.
Jika melihat latar belakang anda, hanya hiburan. Namun, anda melibatkan diri dalam bidang hartanah dan mungkin pengalaman juga kurang. Mengapa anda tidak fikir risiko yang akan ditanggung, tambahan pula menjadi duta syarikat yang anda sendiri masih ragu-ragu?
Sebenarnya sebelum ini memang saya buat pelbagai perniagaan termasuk pemasaran. Saya juga punya produk sendiri, produksi serta beberapa perniagaan lain. Jadi, ketika ditawarkan oleh syarikat tersebut, saya fikir ia merupakan satu bidang baharu bagi syarikat kami. Apa yang saya fikirkan, mungkin jika tentang pemasaran, maka insya-Allah kami mampu lakukan. Saya fikirkan perkara ini merupakan satu permulaan untuk saya belajar tentang bidang yang baharu pula.
Selepas kenyataan memalukan anda yang dibuat di laman sosial Facebook Ustaz Norsham Abd. Aziz, adakah anda cuba untuk menghubungi pihaknya?
Memang ada. Setelah dia mengeluarkan kenyataan di Facebook, saya telah menghubungi dan berbincang secara baik dengannya tapi dia marah saya semula. Ada sedikit pertikaman lidah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Mengapa jumlah saman yang dikemukan sehingga mencecah RM3 juta dan berapa sebenarnya jumlah kerugian yang dialami anda sendiri?
Jumlah kerugian yang saya alami ialah sebanyak RM520,000. Sebanyak RM500,000 untuk menjadi duta dan RM20,000 untuk kos pemasaran yang saya keluarkan. Bagaimanapun, saya telah gunakan tenaga saya untuk membantunya dalam projek tersebut. Tambahan pula saya tertekan dengan keadaan tersebut. Reputasi dan maruah saya juga tercalar.


Momentum dua dekad Ning

Posted: 20 Nov 2013 07:33 PM PST


PERJALANAN Konsert Pelangi Untukmu sarat dengan emosi yang bercampur baur antara gembira dan duka hasil alunan lagu-lagu penuh impak Ning.


SUASANA tenteram di dalam auditorium Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu bertukar hingar-bingar tatkala penyampai radio Suria FM, Linda Onn naik ke atas pentas menandakan bermulanya perjalanan Konsert Pelangi Untukmu oleh penyanyi bersuara saprano, Ning Baizura.
Bertindak sebagai pengacara, Linda begitu sinonim dengan kepetahan tutur bicaranya berinteraksi dengan para peminat bagi membangkitkan lagi kemeriahan atmosfera auditorium tersebut.
Usai pengacara memperihalkan perjalanan konsert dan beberapa peraturan yang perlu diikut oleh para penonton, alunan muzik yang dipimpin oleh Alwin Santiago mula berkumandang rancak mengiringi kemunculan Ning Baizura yang berjalan keluar dari celah-celah penonton menuju ke atas pentas.
Bak primadona, penyanyi yang berusia 38 tahun itu tampak begitu anggun mengenakan busana malam berwarna biru kobalt rekaan Shime Mandagie, adik kepada pereka fesyen terkemuka tanah air, Jovian Mandagie.
Konsert untuk peminat dan anak
Mempertaruhkan Asmara sebagai lagu pembukaan, Ning seakan-akan membawa penonton yang hadir terbang ke zaman awal pembabitannya dalam industri hiburan tanah air.
Segmen pertama diteruskan dengan rangkaian lagu-lagu seperti Kau Dan Aku, Kembali, Selagi Ada, Mama Papa dan Bukan Sebarangan.
Sebelum mendendangkan lagu Teguh, Ning terlebih dahulu menyuarakan rasa terima kasihnya kepada peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepadanya selama 20 tahun dia bergelar anak seni.
"Kalau tak kerana anda, saya tidak akan berdiri teguh di sini," katanya tersenyum.
Peranan Ning sebagai ibu sedikit sebanyak mempengaruhi perjalanan Konsert Permata Untukmu. Rangkaian lagu-lagu seperti A Mother's Prayer, Ibu, Pelangi Untukmu, Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Erti Pertemuan memenuhi segmen kedua yang ditujukan khas buat anak lelakinya, Ryan Sky Dalton.

NING menujukan lagu A Mother's Prayer buat anak sulungnya, Ryan Sky Dalton.


"Saya sering menyanyikan lagu A Mother's Prayer untuk Ryan dan dia sangat menyukainya. Lagi tinggi suara saya, lagi besar matanya terbuka," seloroh Ning.
Sebelum mengalunkan lagu A Mother's Prayer, suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton naik ke atas pentas sambil mendukung anak mereka, Ryan.
"Lagu ini khas untuk kamu sayangku," ujar Ning lagi.
Sebak
Turun naik adrenalin para penonton akhirnya sampai ke kemuncak apabila Ning membuka segmen terakhir dengan lagu 'berhantu'nya, Curiga.
Rendisinya pada kali ini kedengaran lebih bertenaga, ditambah dengan kesungguhan para peminat yang ikut menyanyi bersama.
Antara lagu-lagu popular lain yang turut disampaikan menerusi segmen terakhir ini termasuklah Pasti, Ke Sayup Bintang, Bila, Penjara Kasih, In Another Life, Antara Kita dan Awan Yang Terpilu.
Namun, mood ceria pada malam itu bertukar sedih apabila Ning selesai melantunkan lagu Dugaanku. Dia seakan-akan tidak dapat menahan air matanya daripada jatuh kerana terlalu sebak mengenangkan persamaan kisah hidupnya dengan penceritaan lagu tersebut.
"Banyak halangan dan pancaroba yang terpaksa saya harungi demi memahat nama sebagai insan seni," keluh Ning sambil menyeka air mata yang jatuh.
Bijak menangkis permainan emosi, Ning kembali ceria dengan mengambil permintaan lagu daripada peminat dan menyanyikannya secara spontan.
Antara lagu-lagu yang dinyanyikan secara ringkas termasuklah Aku Cinta Kamu, I'll Be There, I Will Always Love You dan Sayang Disayang.
Selesai menyanyikan 23 buah lagu, Ning mendendangkan lagu yang terakhir, Bukan Wanita Sempurna hasil ciptaan Alwin Santiago sebagai melabuhkan tirai konsert pada malam tersebut.


Epik seram, unik

Posted: 20 Nov 2013 07:32 PM PST

FILEM Penanggal mempunyai cerita tersendiri apabila pengarahnya, Elly Suriati mengalami keguguran ketika mengarah naskhah sulung arahannya ini.


KISAH hantu penanggal sudah acapkali diangkat sebagai subjek, baik di layar kaca mahupun layar perak. Mengenali sejarah hantu penanggal itu sendiri, ia dikatakan menghirup darah perempuan yang baru melahirkan anak.
Hantu penanggal dipercayai saka turun-temurun yang membolehkan tuannya menjelma sebagai sejenis makhluk berkepala dengan urat perut yang bercahaya dan terbang mencari mangsa.
Aktres Elly Suriati turut berminat dengan kisah hantu penanggal untuk dihasilkan dalam bentuk filem sulung arahannya. Sebagai pengarah wanita, percubaan Elly untuk menghasilkan filem hantu Penanggal ketika dirinya sedang mengandung empat bulan, menuntut keberanian dan risiko yang tinggi.
Ironinya, sedang dia sibuk mengarah filem yang memerlukan masa penggambaran dilakukan pada pukul 7 petang hingga 6 pagi dan banyak dilakukan di dalam hutan, menyebabkan kandungannya gugur. Bagaimanapun, Elly dan suaminya, Azri Iskandar menganggap apa yang berlaku sebagai suatu takdir buat diri mereka.
Secara peribadi, karya sulung Elly itu cukup unik. Walaupun subjek utamanya adalah mengenai hantu penanggal tetapi Elly bijak menyuntik kelainan. Unik yang dimaksudkan apabila Elly menggabungkan tiga budaya iaitu Melayu, Jawa dan Arab dalam karya yang berkisar sekitar tahun 1960-an itu.
Pemilihan aktres Ummi Nazeera membawakan watak bernama Murni yang menerima saka hantu penanggal daripada neneknya (lakonan Normah Damanhuri) cukup bersesuaian. Wajah klasik Ummi dengan lakonannya yang cukup berkesan menjadikan Penanggal menarik.

KISAH hantu penanggal yang mengganas mahu menghirup darah wanita yang baru bersalin dijadikan fokus utama filem Penanggal.


Kisah bermula apabila Murni dipaksa untuk mewarisi saka penanggal daripada neneknya. Dia cuba menolak saka tersebut tetapi malangnya saka itu tetap memburunya. Akhirnya, saka neneknya berjaya memasuki tubuh Murni dan menjadikan wajah buruknya menjadi cantik.
Bagaimanapun, Murni yang berasal dari Tanah Melayu terpaksa melarikan diri ke sebuah kampung di Jawa kerana identiti keturunannya yang membela saka penanggal diketahui penduduk.
Di Jawa, saka Murni mula memburu wanita-wanita yang baru melahirkan anak. Penduduk kampung mulai resah dan ingin tahu siapakah sebenarnya penanggal. Rahsia Murni terbongkar apabila seorang penduduk iaitu Anom Merah (Nadia Mustafar) yang sedang sarat mengandung terlihat leher Murni.
Sementara itu, di Tanah Arab pula, memaparkan kejelitaan seorang gadis bernama Sharifah Zahrah (lakonan Fasha Sandha) yang menjadi idaman dua beradik iaitu Syed Yusoff (Azri Iskandar) dan Syed Umar (Zul Ariffin). Namun, Sharifah Zahrah lebih menyukai Syed Yusoff dan mereka akhirnya bertunang.
Selesai bertunang, Syed Yusoff dan Syed Umar menggembara ke Kota Lama. Perjalanan mereka terhenti di tanah Jawa apabila mereka dapati beberapa penduduk kampung cuba mencederakan Murni apabila mendapat tahu dia adalah penanggal.
Syed Yusoff cuba menyelamatkan Murni tanpa menyedari saka penanggal berada di dalam badan wanita itu.


Juruwang resort pecah amanah RM248,000 dijel 8 tahun, 20 sebatan

Posted: 20 Nov 2013 07:30 PM PST

NORFURSAN (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban semalam.


SEREMBAN - Seorang juruwang sebuah resort di Nilai dekat sini, dipenjara lapan tahun tujuh bulan dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku salah atas 20 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah RM248,323 sejak Oktober lalu.
Norfursan Selamat, 28, membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Mengikut kertas pertuduhan, Norfursan yang bekerja sebagai juruwang di Nilai Spring Resort di Nilai dekat sini didakwa melakukan pecah amanah apabila gagal mendepositkan wang kutipan harian berjumlah RM248,323.


Guna peti sejuk untuk menangkap ikan

Posted: 20 Nov 2013 07:21 PM PST


DUA orang budak lelaki membersihkan pukat di dalam sebuah peti sejuk yang diubah suai menjadi bot di Tanauan, tengah Filipina semalam. - REUTERS


KAMPUNG TANAUAN, Filipina - Pada kebiasaannya, nelayan akan menyimpan hasil tangkapan di dalam peti sejuk, namun berlainan pula dengan mangsa Taufan Haiyan di sini.
Para nelayan itu mengunakan peti sejuk untuk dijadikan bot bagi tujuan menangkap ikan.
Taufan Haiyan yang telah mengorbankan lebih 3,000 orang itu telah menjejaskan punca pendapatan petani dan nelayan yang miskin.
Ia sekali gus menyebabkan kumpulan nelayan tersebut berusaha untuk memulihkan taraf kehidu- pan mereka semula.
Sebuah keluarga nelayan yang tinggal di selatan bandar Tacloban dan merupakan antara kawasan yang teruk dilanda taufan sejak 13 hari lalu telah menggunakan peti sejuk yang dijumpai dalam timbunan sampah untuk dijadikan bot.
Menurut seorang penduduk, Jimmy Obaldo, 52, idea untuk menggunakan peti sejuk itu datang daripada anaknya.
"Anak saya yang ingin mencuba menggunakan peti sejuk untuk pergi menangkap ikan.
"Sejak seminggu lalu, kami berjaya menangkap ikan, udang dan ketam dan dijual di pasar," ujar Obaldo.
Taufan Haiyan melanda wilayah tengah Filipina pada 8 November lalu yang dianggap sebagai salah satu taufan paling kuat di dunia.
Ia menyebabkan banyak kemusnahan di pulau-pulau yang terdapat di tengah Filipina.


Bertarung nyawa untuk pergi ke sekolah

Posted: 20 Nov 2013 07:20 PM PST


BEBERAPA orang pelajar perempuan berdiri di atas sebuah rakit buluh semasa mereka menyeberangi Sungai Ciherang di Banten kelmarin.


JAKARTA, Indonesia - Para pelajar di Kampung Cilangkap di wilayah Banten menggunakan rakit untuk pergi ke sekolah.
Sebuah rakit buluh boleh dinaiki sehingga empat orang pelajar.
Para pelajar tersebut akan berdiri di atas rakit itu semasa mereka menyeberangi Sungai Ciherang.
Rakit itu digunakan mereka untuk menyeberangi sungai tersebut sejak Januari lalu selepas sebuah jambatan runtuh akibat banjir.


Ambil masa dua tahun untuk dihasilkan

Posted: 20 Nov 2013 07:17 PM PST



SEJAK diwujudkan pada tahun 1927, The Walt Disney Company menerusi salah satu cabang syarikatnya iaitu Walt Disney Studios Motion Pictures (Disney) merupakan antara syarikat produksi yang cukup aktif menerbitkan filem-filem animasi.
Bermula dengan filem animasi Snow White And The Seven Dwarfs yang diterbitkan pada 1937, syarikat yang dibina oleh pasangan adik-beradik Roy Oliver dan Walt Disney telah menerbitkan kira-kira 53 buah filem animasi setakat ini.
Selain Snow White And The Seven Dwarfs, antara filem animasi terbitan mereka yang menarik peminat penonton terutamanya kanak-kanak di seluruh dunia seperti The Little Mermaid, Beauty And The Beast, Aladdin, The Lion King, Lilo & Stitch, Tangled dan Wreck-It Ralph.
Yang terbaharu, Disney telah menghasilkan sebuah lagi filem animasi berjudul Frozen setelah kali terakhir muncul dengan Planes yang ditayangkan pada Ogos lalu.
Frozen memaparkan kisah mengenai pasangan adik-beradik Puteri Elsa dan Puteri Anna yang terpisah dalam tempoh agak lama setelah Elsa secara tidak sengaja mencederakan adiknya itu dengan kuasa ajaib yang dimilikinya.
Sejak kecil lagi Elsa yang juga merupakan seorang puteri memiliki kuasa ajaib iaitu mengeluarkan ais dari tangannya, tetapi ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya dia tidak dapat mengawalnya.
Berkenaan dengan penerbitan filem itu, Kosmo! bertuah kerana menjadi satu-satunya media dari Asia Tenggara yang diundang untuk menghadiri majlis pratonton serta temu bual eksklusif bersama barisan kru produksi filem tersebut pada 25 hingga 27 Oktober lalu yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat.
Kesempatan dapat bertemu dengan penerbit, pengarah, ketua animasi serta penyumbang suara watak digunakan sebaik-baiknya untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang proses penerbitan filem berkenaan.
Penerbitnya, Peter Del Vecho sewaktu ditemu bual berkata, Frozen merupakan sebuah filem animasi terbitan Disney yang diinspirasikan daripada buku dongeng kanak-kanak berjudul The Snow Queen hasil karya Hans Christian Andersen pada tahun 1845.

DARI kiri: Peter, Jennifer, Kristen, Josh, Idina dan Chris antara tonggak penting yang menjayakan filem animasi Frozen.


"Mengikut perancangan awal Frozen sepatutnya dihasilkan empat tahun yang lepas, namun terpaksa ditangguhkan atas beberapa faktor. Kemudian dua tahun lalu barulah projek filem ini dapat dimulakan.
"Kami akui proses penerbitannya bukanlah mudah dan banyak perkara yang harus dilakukan, namun begitu kami berpuas hati dengan hasilnya dan percaya Frozen akan diminati ramai apabila ditayangkan nanti," jelasnya.
Pernah menerbitkan beberapa buah filem animasi sebelum ini seperti Winnie The Pooh, The Princess And The Frog, Chicken Little dan Treasure Planet, Peter memberitahu pada peringkat awal pihaknya telah melakukan kajian terlebih dahulu.
Ujarnya, satu pasukan yang diketuai pengarah seni iaitu Mike Giaimo telah dihantar ke sebuah lokasi yang terdapat kawasan perkampungan dan pergunungan yang dilitupi salji di Norway untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang kehidupan masyarakat di sana.
"Kami memilih Norway kerana mendapati terdapat sesuatu yang cukup unik tentang kehidupan, suasana dan bentuk muka buminya. Kajian dilakukan dengan pemerhatian tentang cara hidup, pemakaian, budaya dan suasana persekitaran menerusi gambar-gambar yang telah diambil sepanjang 12 hari berada di negara berkenaan.
"Segala hasil kajian tersebut menjadi bahan penting dan ia digunakan untuk memberikan gambaran sebenar apabila diadaptasi dalam bentuk animasi. Misalnya, gambar gunung yang dipaparkan dalam filem ini memang wujud di alam realiti," ujarnya yang enggan mendedahkan kos sebenar penerbitan filem berkenaan.
Menurutnya, antara lokasi menarik yang menjadi tempat persinggahan mereka sepanjang berada di Norway seperti Oslo serta dua buah lokasi perkampungan kecil di Geirangerfjord dan Sognefjord.
Berkenaan dengan jalan cerita yang dipaparkan pula, penerbit tersebut menyatakan Frozen bukan sekadar sebuah filem animasi untuk hiburan semata-mata kerana terdapat beberapa elemen positif yang diterapkan.
"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan skrip dan jalan cerita yang dihasilkan Chris Buck, Jennifer Lee dan Shane Morris kerana mengandungi unsur pengembaraan, humor dan mesej yang berguna kepada penonton," jelasnya.

FROZEN merupakan filem terbaharu terbitan Disney yang cukup menghiburkan dan sesuai untuk tontonan kanak-kanak.


Dua pengarah
Dalam penerbitan sesebuah filem, biasanya ia akan membabitkan penglibatan seorang pengarah sahaja, namun berlainan pula dengan filem apabila Disney melantik dua orang pengarah iaitu Chris Buck dan Jennifer Lee.
Semasa sesi temu bual bersama kedua-dua pengarah tersebut, Chris yang pernah mengarahkan beberapa filem animasi seperti Tarzan dan Surf's Up menyatakan, tidak wujud sebarang konflik kerana dia dan Jennifer mempunyai peranan masing-masing.
"Untuk filem ini saya lebih memberi perhatian dari sudut jalan cerita dan animasi yang dihasilkan, manakala Jennifer memainkan peranan kepada pembentukan karakter serta latihan yang dijalankan setiap pelakon yang menjadi penyumbang suara.
"Sebenarnya cara sebegini sangat berkesan supaya proses menghasilkan filem ini berjalan dengan lancar, malah kerjasama berpasukan yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat juga sangat baik," ujarnya.
Bagi Jennifer yang baru kali pertama menjadi pengarah untuk sebuah filem animasi, dia mengakui sudah lama berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan pengarah yang hebat dan berpengalaman seperti Chris.
"Sepanjang bekerjasama kami akan selalu berbincang mengenai pelbagai aspek dan masing-masing akan memberikan idea yang akan dipertimbangkan bersama. Begitu banyak pengalaman yang diraih dan Chris sering membantu saya dalam banyak perkara.
"Selain itu, saya melihat pemilihan yang buat oleh Disney dengan melantik saya selaku pengarah merupakan salah satu langkah untuk melahirkan lebih ramai pengarah wanita dalam filem animasi," ujarnya yang pernah menjadi penulis lakon layar untuk filem animasi Wreck-It Ralph pada tahun lalu.
Mengenai pemilihan Kristen Bell dan Idina Menzel untuk menyumbangkan suara bagi watak Puteri Elsa dan Puteri Anna, Jennifer menjelaskan kedua-dua pelakon tersebut mempunyai suara yang unik serta berkemampuan untuk menyanyi.
"Untuk pemilihan pelakon yang menjadi penyumbang suara, beberapa sesi uji bakat telah dilakukan dan akhirnya Kristen dan Idina dipilih kerana mereka berdua memiliki kriteria yang kami inginkan," jelasnya.

SETIAP juruanimasi yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan diberi tanggungjawab untuk membuat lakaran setiap watak yang telah ditentukan.


70 juruanimasi
Sementara itu, Lino Di Salvo yang bertindak selaku Ketua Animasi untuk filem animasi Frozen memberitahu setelah mendapat skrip, dia dan pasukan animasi melakukan perbincangan untuk membentuk karikator setiap karakter.
Lino berkata, perkara pertama yang dibincangkan adalah berkenaan karikator bagi setiap watak dan ia perlu bersesuaian dengan jalan cerita yang ingin ditampilkan.
"Untuk filem ini seramai 70 juruanimasi yang terlibat dan kesemuanya akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan memainkan peranan dengan memberi fokus kepada lakaran setiap karakter-karakter yang telah ditetapkan.
"Sudah tentu proses ini antara yang cukup mencabar buat kami kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Kami perlu menghasilkan setiap karikator terutamanya untuk watak Elsa dan Anna berdasarkan cerita menerusi gambaran yang dihasilkan penulis skrip," ujarnya yang berpengalaman dalam bidang animasi sejak tahun 1999.
Pernah terbabit dalam beberapa projek filem animasi sebelum ini seperti Bolt dan Tangled, Lino menyatakan pembikinan Frozen adalah yang paling rumit untuk dihasilkan.

Frozen dalam versi bahasa Melayu

Posted: 20 Nov 2013 07:16 PM PST


LIYANA meraih pengalaman penuh bermakna sepanjang pembabitannya dengan filem Frozen versi Melayu.


SELAIN tayangan menerusi versi bahasa Inggeris, filem Frozen yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 28 November ini turut menampilkan versi bahasa Melayu dengan judul Frozen: Anna & Permaisuri Salji.
Menariknya, filem yang dibawakan oleh Walt Disney Studios Motion Pictures, Malaysia (Disney) itu telah memilih dua pelakon popular untuk proses alih suara iaitu Liyana Jasmay (Puteri Anna), Marsha Milan Londoh (Puteri Elsa) dan Ray Era FM (Olaf).
Liyana yang ditemui baru-baru ini berkata, sebagai individu yang membesar dengan filem-filem animasi terbitan Disney, sudah semestinya diberi peluang untuk terbabit dalam filem animasi itu satu peluang yang amat dinantikannya.
"Ini kali pertama saya terbabit dalam projek alih suara, namun tidak sangka pula mendapat tawaran untuk filem yang besar seperti Frozen: Anna & Permaisuri Salji. Apatah lagi suara saya digunakan untuk watak utama dalam filem ini.
"Sewaktu kecil dahulu saya pernah mengimpikan untuk menjadi seorang puteri raja, tetapi ia terlaksana pada usia 25 tahun. Walaupun sekadar membawakan watak dalam filem animasi, namun itu sudah memuaskan hati saya," ujarnya.
Berkongsi pandangannya terhadap beberapa buah filem animasi terbitan Disney yang dialih ke dalam bahasa Melayu, pelakon itu menyatakan ia cukup berkesan untuk menarik lebih ramai kanak-kanak menontonnya.
Menurut pelakon yang dikenali menerusi filem Papadom itu lagi, langkah sedemikian juga dilihat boleh mendidik kanak-kanak supaya mencintai bahasa kebangsaan.
"Memandangkan ia merupakan sebuah filem animasi, sudah tentu akan ditonton oleh ramai kanak-kanak. Apabila ditayangkan dalam versi bahasa Melayu, sudah tentu ia mampu menarik penonton kanak-kanak di luar bandar," jelasnya.
FIGURA ini mengakui impiannya sejak kecil untuk menjadi puteri raja terkabul menerusi penglibatannya dalam filem Frozen.


Berkenaan dengan jalan cerita untuk filem tersebut pula, Liyana mengakui bahawa dia sangat tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan kerana ia agak berbeza dengan beberapa filem animasi yang membabitkan kisah tentang putera raja.
Ujarnya, tema dalam filem itu lebih menjurus kepada kekeluargaan yang membabitkan hubungan kasih sayang antara kakak (Elsa) dan adik (Anna) yang terpisah kerana kuasa ajaib yang dimiliki Elsa sejak kecil.
"Selalunya penonton dihiburkan dengan cerita-cerita yang berkisar tentang percintaan antara putera raja dan gadis biasa atau sebaliknya. Namun begitu, filem ini menjurus kisah tentang adik-beradik," ujarnya.
Cabaran
Bercerita lebih lanjut tentang pembabitannya dalam proses alih suara untuk filem Frozen: Anna & Permaisuri Salji, Liyana berkata, ia memberi satu lagi pengalaman yang cukup berharga buat dirinya sepanjang bergelar pelakon.
Menurutnya, memandangkan ia merupakan pengalaman kali pertama, sudah tentu ia memberikan cabaran buat dirinya dan sangkaan bahawa proses alih suara ini sesuatu yang mudah dan ringkas agak meleset.
"Kalau orang tengok nampak macam senang, tetapi bagi saya yang telah melaluinya sendiri memang ia suatu proses yang merumitkan. Misalnya, setiap pertuturan saya tidak boleh nampak jauh berbeza dengan gerak bibir watak Anna.
"Selain itu, intonasi suara perlu bersesuaian dengan suara asal Anna yang dibawakan oleh Kristen Bell dalam versi bahasa Inggeris. Secara keseluruhannya ia memang cukup mencabar, tetapi sangat menyeronokkan," ujar pelakon yang kini sedang berbadan dua itu.
Bagaimanapun, proses berkenaan tidak mengambil masa yang panjang iaitu selama dua hari sahaja. Rakaman yang dibuat juga dilakukan secara berasingan dengan Marsha dan Ray.


Terowong bawah laut terdalam di dunia

Posted: 20 Nov 2013 07:14 PM PST


DIANGGARKAN seramai dua juta orang menggunakan Jambatan Bosphorus yang sesak setiap hari.


TURKI akan membina satu laluan terowong bawah laut Bosphorus bernilai 3 bilion euro (RM12.89 bilion) di bawah bandar Istanbul yang menghubungkan benua Eropah dan Asia.
Ia merupakan antara projek mega yang dicadangkan sebagai laluan kemasukan utama ke bandar negara yang berteraskan kerajaan Islam.
Terowong sejauh 13.6 kilometer (km) yang bakal dilengkapi dengan tiub terowong itu disifatkan oleh pegawai kerajaan mereka sebagai yang paling dalam di dunia dengan 60 meter di bawah dasar laut.
Pembinaan projek itu juga dijalankan sempena dengan tarikh ulang tahun ke-90 pembentukan negara Turki moden.
"Turki akan meraikan dua perkara besar pada masa yang sama serentak.
"Kami akan meraikan ulang tahun ke-90 republik ini pada 20 Oktober dan pada tarikh itu juga kami akan merealisasikan impian lebih satu setengah kurun yang lalu iaitu membina terowong laluan utama di bandar Istanbul," kata Menteri Pengangkutan, Binali Yildirim awal bulan ini.
Terowong ini adalah sebahagian daripada projek besar Marmaray yang turut melibatkan usaha naik taraf laluan kereta api lama di kawasan pedalaman bagi mewujudkan laluan sepanjang 76 km sebagai penghubung kepada dua benua berkenaan.
Kos yang besar
Idea asal projek ini pertama kali diutarakan ketika era Kesultanan Uthmaniah oleh Sultan Abdul Medjid pada 1860, namun kekangan kepada peralatan teknikal yang kurang moden pada waktu itu menjadi penghalang kepada pembinaannya.
Bagaimanapun, keinginan untuk membina laluan bawah laut itu semakin kuat pada tahun 1980-an. Beberapa kajian turut mencadangkan bahawa pembinaannya mungkin boleh dilakukan dengan melibatkan kos yang besar.

TEROWONG ini adalah sebahagian daripada projek besar Marmaray yang turut melibatkan usaha naik taraf laluan kereta api lama di kawasan pedalaman.


Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan yang juga bekas Datuk Bandar Istanbul mengumumkan perancangan ini pada tahun 2004 sebagai antara projek pembinaan mega bagi menangani masalah kesesakan bandar yang didiami lebih 16 juta orang itu.
Impian beliau merupakan salah satu punca protes anti-pemerintah besar-besaran yang melanda Turki pada Jun lalu apabila penduduk tempatan mengadu bahawa rancangan pembangunan bandar utama ini memaksa mereka keluar daripada rumah masing-masing selain memusnahkan sejumlah kawasan hijau.
Projek tersebut turut mendapat pembiayaan utama daripada sebuah bank dari Jepun untuk program Kerjasama Antarabangsa dengan sumbangan sebanyak AS$1 bilion (RM3.2 bilion).
Pembinaan terowong yang dilabelkan oleh pentadbiran Erdogan sebagai projek abad ini sepatutnya siap sekitar tahun 2008, namun ia tertangguh selepas siri penemuan arkeologi utama di situ.
Sejumlah 40,000 objek purba ditemui dekat lokasi kira-kira 30 bangkai kapal pada era pemerintahan empayar Byzantine yang merupakan armada terbesar pada zaman pertengahan.
Namun, siri penemuan di luar jangkaan ini sebenarnya mengecewakan Erdogan apabila beliau pernah merungut bahawa isu artifak itu mengganggu rancangannya mengubah landskap Istanbul.
Isu pengangkutan merupakan masalah besar di Istanbul. Dianggarkan seramai dua juta orang menggunakan Jambatan Bosphorus yang sesak setiap hari.
Datuk Bandar Istanbul, Kadir Topbas percaya pembinaan terowong yang menghubungkan bahagian Asia dan Eropah di negara tersebut mampu menyelesaikan masalah dengan kapasiti 150,000 penumpang sejam.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines