Jumaat, 8 November 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Ketua jurulatih T-Team akan diumum

Posted: 06 Nov 2013 10:41 PM PST

Sumber: Sinar Harian & Bernama
 
KUALA TERENGGANU - T-Team akan menentukan siapa yang bakal menjadi jurulatih mereka bagi mengharungi Liga Malaysia musim depan dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Rashid Jusoh berkata ia termasuk rancangan kemungkinan mendapatkan khidmat jurulatih daripada Indonesia.


"Sekarang T-Team menjadi perhatian jurulatih sama ada dari dalam dan luar negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada mulanya pihaknya bercadang melantik ketua jurulatih Kelantan musim ini Bojan Hodak tetapi terpaksa melupakan hasrat itu kerana sebab yang tidak dapat dielakkan.

T-Team masih mempunyai jurulatih Kelas A termasuk Azlan Johar.

Mengenai barisan pemain, Abdul Rashid berkata mereka bakal terdiri daripada gabungan bintang dan bekas pemain kebangsaan yang masih disegani yang bakal diperkuatkan dengan pemain import dari Indonesia, Crotia dan Brazil.

"Kita juga akan mengadakan kontrak dengan pemain Indonesia dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

Kelantan bawa masuk pemain Bahrain?

Posted: 06 Nov 2013 05:40 PM PST

Sumber: Utusan Malaysia
 
KOTA BHARU - Kelantan dikhabarkan sedang berusaha untuk membawa masuk perancang tengah Bahrain, Abdulla Baba Fatadi, 28, bagi memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Abdulla yang sebelum ini pernah beraksi bersama Al-Shoalah sebuah kelab yang berpangkalan di Al-Kharj, Arab Saudi dikhabarkan bakal mengisi kuota pemain import kategori Asia sebagaimana ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk musim 2014.


Perkhabaran tersebut dijangka melenyapkan spekulasi yang bertiup kencang mengatakan penyerang Lebanon, Mohammad Ghaddar bakal kembali memperkuatkan Kelantan musim depan.

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Menurutnya, perbincangan antara pemain tersebut dengan Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa sedang giat dijalankan.

Katanya, sekiranya pemain tersebut bersetuju dengan tawaran KAFA, satu ujian akan diadakan bagi memastikan dia layak atau tidak untuk menyertai The Red Warriors musim depan.

"Kita akan uji pemain ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada dia layak beraksi bersama Kelantan atau tidak musim hadapan.

"Kita tidak mahu membuat keputusan melulu dan ruang masa yang ada akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan pemain import musim depan betul-betul memenuhi kriteria pasukan," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Musim ini Kelantan diperkuatkan oleh dua 'permata hitam' dari Nigeria iaitu Dickson Nwakaeme (penyerang) dan Obinna Nwaneri (pertahanan).

Dalam perkembangan lain, sumber itu memberitahu, perbincangan antara KAFA dengan tonggak pertahanan Nwaneri telah memasuki fasa terakhir.

Katanya, difahamkan pemain tersebut menunjukkan tanda positif mahu terus kekal bersama The Red Warriors musim depan.

"Begitu juga dengan seorang lagi pemain Nwakaeme, kita sedang berusaha untuk mengekalkannya bersama Kelantan musim depan.

"Perbincangan antara KAFA dengan pemain tersebut sedang dijalankan meliputi syarat-syarat baharu," ujarnya.

Malaysia tidak anggap mudah

Posted: 06 Nov 2013 05:38 PM PST

Sumber: Utusan malaysia
 
KUALA LUMPUR - Juara dua kali berturut-turut, Malaysia berdepan laluan yang boleh dianggap kurang sukar dalam saingan bola sepak lelaki Sukan SEA XXVII di Myanmar, bulan depan dengan hanya Vietnam dan Singapura dijangka mampu menyulitkan laluan.

Undian rasmi di Nay Pyi Taw, semalam turut menempatkan skuad negara dalam Kumpulan A bersama Brunei, Filipina dan Laos sekali gus menjadikan lebih banyak perlawanan perlu ditempuhi berbanding Kumpulan B.


Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee itu bakal mempertahankan pingat emas mereka mulai peringkat awal liga sepusingan ini mulai 1 hingga 12 Disember di Stadium Zayyarthiri, Nay Pyi Taw.

Tuan rumah, Myanmar pula membentuk Kumpulan B dengan pemenang perak Sukan SEA 2011, Indonesia di samping Thailand, Timor Leste dan Kemboja di Yangon.

Kim Swee yang kini berada di Phnom Penh, Kemboja sempena Kejohanan Bawah 23 Tahun Piala BIDC 2013 hingga Selasa depan berkata, beliau baru menerima laporan bahawa Filipina dikatakan telah menarik diri daripada acara bola sepak Sukan SEA kali ini.

"Belum ada pengesahan rasmi mengenainya dan sehingga itu, saya masih menganggap Filipina turut akan ditentang pasukan kita dalam Kumpulan A di Nay Pyi Taw," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Kim Swee, pencabar utama skuad negara adalah Vietnam dan Singapura, namun pada masa yang sama Malaysia tidak boleh mengambil mudah lawan lain. 

''Semua pasukan yang ke Sukan SEA pasti sudah membuat persediaan yang rapi. 

"Singapura sentiasa akan menjadi musuh ketat Malaysia sama ada bagi pasukan bawah 23 tahun mahupun skuad utama. Rata-rata pemain mereka juga ialah yang menjuarai Liga Super kita, musim ini. 

"Isnin lalu, kita baru kalahkan Laos 3-2 (kejohanan Wilayah Mekong) tetapi ada beberapa pemainnya yang didapati begitu berkualiti dan larian mereka pantas. Jika Filipina ada pun, jangan pandang rendah pemain import mereka," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin yang juga bekas pengurus pasukan juara Sukan SEA 2011 berkata, tidak seperti dua tahun lalu apabila Malaysia dalam 'Kumpulan Maut A' dengan tuan rumah Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja, dan undian kali ini tampak tidak begitu sukar.

"Namun, saya cuma bimbang apabila laluan di Nay Pyi Taw sudah tidak sesukar Sukan SEA 2011 di Jakarta.

"Pasukan kita boleh berasa selesa pula dan memandang mudah lawan sedangkan dalam permainan bola sepak, macam-macam boleh terjadi. 

"Malah jika Filipina kekal dalam Kumpulan A (tidak jadi menarik diri), kita akan hadapi lebih banyak perlawanan berbanding Kumpulan B dan pemain utama terdedah kepada kecederaan sehingga terlepas peringkat kalah mati yang lebih penting," katanya.

Malaysia mengakhiri kemarau gelaran Sukan SEA sejak 1989 dengan menewaskan Vietnam 1-0 pada temasya 2009 di Vientiane, Laos sebelum mempertahankan 'ibu segala emas' itu dengan menundukkan Indonesia menerusi penalti 4-3 di Jakarta, dua tahun lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan