Rabu, 20 November 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Bakal kahwin, Zain dan Che Ta habiskan RM200,000

Posted: 19 Nov 2013 04:04 PM PST

SAMA seperti pada majlis merisik, Zain dan Che Ta tidak mengundang jurugambar pada hari perkahwinan mereka nanti.


KISAH percintaan mereka pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu. Kini, Zain dan pelakon jelita, Rozita Che Wan bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan Disember depan.
Walaupun sebelum ini ada dakwaan yang mengatakan mereka bakal berkahwin pada tarikh 11.12.13, namun baik Zain mahupun kekasihnya itu menafikan hal tersebut.
Ujar Zain, dia hanya akan memberitahu tarikh perkahwinannya kepada umum pada majlis sidang media yang bakal diadakan 25 November ini.
Selain itu, ada juga kenyataan yang dibuat Zain mungkin tidak akan menyenangkan banyak pihak.
Zain yang memegang watak Mr. Mid-
dleton itu, ditemui pada majlis pra tayangan telefilem Oh! My Ganu bertempat di GSC, The Garden untuk mempromosi lakonan terbaharunya itu. Oh! My Ganu akan bersiaran pada 27 November ini pukul 9 malam di TVIQ (saluran 135 dan 610).
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Zain yang berkongsi kisah tentang persiapannya untuk bergelar suami.
Kosmo!: Boleh ceritakan serba sedikit tentang persediaan perkahwinan anda dan Rozita Che Wan?
ZAIN: Oleh kerana semakin hampir tarikhnya, jadi kebanyakan sudah hampir siap, cuma tinggal sedikit sahaja lagi. Sehubungan dengan itu, kami akan mengadakan satu sidang akhbar pada 25 November ini untuk membuat pengumuman tentang tarikh pernikahan kami.
Pada majlis itu, kami akan menjawab soalan yang selama ini ditanya oleh semua. Diharap semua dapat bersabar.
PASANGAN ini telah menjalani penggambaran praperkahwinan di Bali.


Berapa peratuskah persiapan yang sudah anda buat menjelang hari tersebut?
Lebih kurang 80 peratus dan bakinya 20 peratus lagi seperti pemilihan tarikh dan ada juga sedikit yang masih perlu dikemas kini lagi.
Memang kalian tidak mahu mendedahkan lagi tarikh perkahwinan walaupun semakin hampir seperti yang dikatakan tadi?
Memang belum lagi dan akan diberitahu kelak. Saya memang suka sebenarnya ramai yang membuat spekulasi tentang tarikh kahwin kami. Kami berdua juga memang benar-benar belum tetapkan sebarang tarikh kerana kami masih lagi mencari hari yang sesuai. Mungkin tempat semua kami boleh tetapkan, namun hanya ingin mencari tarikh yang sesuai bagi semua orang.
Ada yang mendakwa persiapan perkahwinan anda mencecah sehingga RM200,000. Boleh komen?
Ya, lebih kurang begitu kosnya. Bagi sebelah pihak saya, RM100,000 dan begitu juga Rozita. Jadi, apabila campurkan kedua jumlah itu, maka ia menjadi RM200,000. Ia termasuk hantaran, mas kahwin dan wang yang dikeluarkan untuk majlis tersebut.
Lokasi masih sama seperti yang didengar iaitu bertempat di Shah Alam?
Lokasi juga masih lagi tidak mahu didedahkan. Ada beberapa lokasi yang menjadi pilihan dan mungkin Shah Alam, Selangor salah satu daripadanya.
Apa yang membuatkan anda sukar untuk memilih tarikh kahwin?
Ini kerana kami masih lagi ingin mencari tarikh yang sesuai untuk semua orang. Oleh kerana Disember hampir tiba, ramai yang ingin pergi bercuti dan sebagainya. Jadi, kesemua perkara tersebut akan diambil kira, terutamanya keluarga kedua belah pihak. Kami ingin mereka semua hadir menjadi saksi hari bahagia kami berdua. Itu yang kami cuba untuk mencari yang terbaik.
ZAIN mengaku suka membiarkan khalayak berteka-teki terhadap spekulasi tarikh perkahwinannya dengan Che Ta.


Ada yang berkata, pada hari perkahwinan, kalian tidak mahu menjemput media. Adakah benar dakwaan tersebut?
Bukan tidak mahu jemput media. Sebenarnya kami rasa ada hadnya yang kami perlu sediakan. Kami hanya menjemput wartawan sahaja, tidak jurugambar. Ini kerana, kami telah mengupah jurugambar peribadi dan akan memberikan gambar majlis tersebut sebaik majlis tamat.
Boleh kongsikan tentang perasaan anda memandangkan tarikh perkahwinan yang semakin hampir?
Saya sudah mula rasa debarannya dan persiapan kecil-kecil yang tinggal ini saya perlu pastikan ia baik.


Artis Baharu Tidak Akan Buat Persembahan Dalam AIM20

Posted: 19 Nov 2013 04:03 PM PST


Khairul Anwar Salleh (lima dari kiri) dan Rosmin Hashim (enam dari kiri) bersama para artis yang akan membuat persembahan pada AIM20.
KUALA LUMPUR: Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) yang bakal berlangsung pada 14 Disember ini tidak akan menampilkan barisan artis baharu dalam segmen persembahan pada malam kemuncak acara tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM20, Rosmin Hashim, berkata, keputusan itu dibuat bukan kerana bimbang persembahan artis berkenaan tidak mencapai piawaian tetapi sekadar ingin mengubah konsep.
"Pihak kami sengaja menggunakan pendekatan berbeza di mana jika tahun lalu terdapat segmen artis baharu dalam persembahan, kali ini segmen itu ditiadakan.
"Ini tiada kaitan kononnya pihak kami bimbang persembahan artis baharu akan menjadi caca-marba pada acara kemuncak itu," katanya.
Rosmin ditemui pada sidang media pengumuman barisan artis yang membuat persembahan serta pengacara bagi acara AIM 20 di Hotel Istana di sini pada Selasa.
Aznil (kiri) dan Nabil Ahmad bakal mengendalikan AIM20 sebagai pengacara.
Selain Rosmin, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh turut hadir pada sidang media tersebut.
Tambah Rosmin bagaimanapun pihaknya akan member ruang kepada artis baharu memperkenalkan diri menerusi segmen khas yang diperkenalkan.
Sementara itu, seramai 13 penyanyi yang akan terlibat dalam persembahan AIM 20 termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Hafiz, Ning Baizura, Shila Amzah, Spider, Najwa Latif, Aizat, Afgan dan Datuk Rossa.
"Pemilihan penyanyi yang bakal membuat persembahan itu berdasarkan populariti sepanjang tempoh lagu-lagu mereka dicalonkan.
"Saya percaya mereka akan menyampaikan persembahan yang terbaik pada malam itu berdasarkan pengalaman yang mereka miliki," ujarnya.
Selain itu, Datuk Aznil Nawawi dan Nabil Ahmad diumumkan sebagai pengacara AIM20.
AIM20 bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 14 Disember depan dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

Shahrol (Shiro) Calon Deejay Ganti Faizal Ismail

Posted: 19 Nov 2013 04:02 PM PST


Shahrol (kiri) dan gandingannya Ajak dalam Raja Lawak musim keenam
PETALING JAYA: Salah seorang pelawak dari Kumpulan Shiro iaitu Shahrol merupakan antara calon yang terpilih bagi menggantikan Faizal Ismail yang meninggalkan stesen Hot FM berkuat kuasa 15 November lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul berkata, buat masa ini pihaknya sedang menguji keupayaan pelawak itu selama tiga hari bermula Isnin lalu bagi menentukan kesesuaiannya mengemudi segmen AM Krew bersama Fara Fauzana dan AG.
"Shahrol mula ke udara pada Isnin lalu sehingga Rabu ini (hari ini) dan kita sedang lihat sama ada dia sesuai atau tidak untuk menggantikan tempat Faizal," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Faizal atau lebih mesra dengan sapaan FBI membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya sebagai deejay stesen radio itu dalam tempoh 24 jam sehingga menyebabkan peminatnya tertanya-tanya tindakan itu.
Dalam perkembangan sama, Seelan berkata, selain Shahrol, pihaknya sedang mencari beberapa lagi calon sesuai untuk diuji bakat sebelum memutuskan individu yang layak menggalas tugas berkenaan.
Bagaimanapun kata Seelan, jika tiada calon sesuai, segmen AM Krew akan terus mengekalkan Fara dan AG tanpa sebarang pengganti.
"Masih belum dapat dipastikan calon-calon lain yang akan diuji bakat bersama Shahrol kerana kami masih lagi mencari individu yang sesuai.
"Jika Shahrol berkebolehan, dia barangkali akan diserap menggantikan Faizal dan jika tiada yang sesuai segmen itu akan terus mengekalkan Fara dan AG," katanya.
Dalam pada itu, Seelan berkata, pihaknya akan terus mengamalkan penggiliran artis jemputan pada segmen itu kerana ia mendapat sambutan yang baik daripada pendengar.
"Sebelum ini artis seperti Zizan Razak, Abon pernah muncul dalam program berkenaan dan terbaru Faizal Tahir akan diberi kepercayaan untuk muncul pada Khamis ini.
"Malah kita ada beberapa nama yang sudah mengesahkan akan ke udara bersama Fara dan AG seperti Didie Alias, Bell Ngasri dan Afdlin Shauki tetapi mereka bukan calon menggantikan Faizal. Sekadar artis undangan sahaja," ujarnya.
Sementara itu, Shahrol ketika dihubungi berkata, dia merasakan belum layak untuk menggantikan tempat Faizal yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran radio.
Bagaimanapun pengalaman mengendalikan program tersebut sejak Isnin lalu benar-benar menyeronokkan kerana dia dapat mempelajari perkara baharu dalam kerjayanya.
"Fara dan AG banyak membantu dan saya rasa cukup rendah diri dapat bersama mereka selama tiga hari ke udara.
"Namun untuk menggantikan Faizal saya merasakan diri saya belum layak," jelasnya.

Karier Seni Nik Michael Lebih Mudah Kerana Wajah Kacukan

Posted: 19 Nov 2013 04:01 PM PST


Nik Michael mengakui wajah kacukannya banyak membuka ruang kepadanya dalam bidang masakan dan pengacaraan.
PETALING JAYA: Bekas peserta program Masterchef Malaysia musim pertama, Nik Michael tidak menolak wajah kacukan yang dimiliki menjadi penyebab perjalanan kariernya sebagai seorang selebriti chef lebih mudah.
Nik Michael atau nama sebenarnya, Nik Michael Imran Nik Ezar, 23, yang berdarah Melayu dan Inggeris (Australia) itu bagaimanapun berkata, dia tidak mahu dinilai berdasarkan rupa sebaliknya bakat yang dimilikinya dalam kedua-dua bidang tersebut.
"Dalam menarik penonton untuk menonton sesebuah rancangan rupa paras adalah elemen penting dan saya bersyukur kerana perjalanan karier dipermudahkan kerana keunikan saya.
"Bagaimanapun rupa yang ada tidak akan bererti sekiranya tanggungjawab dan amanah yang diberikan tidak dilunaskan dengan sebaik-baiknya," katanya kepada mStar Online.
Tambah Nik Michael, seperti mana orang lain, perjalanan kariernya dalam bidang masakan dan pengacaraan bermula daripada bawah dan tidak mengecap kejayaan dengan sekelip mata.
"Jika kita mahukan sesuatu usaha dan kesabaran adalah elemen paling penting dan bukannya mengharapkan sesuatu itu jatuh ke atas riba kita," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Nik Michael memberitahu, dia ada menerima tawaran berlakon daripada beberapa produksi namun terpaksa menolak kerana ingin memberi fokus kepada bidang masakan dan pengacaraan.
"Saya tidak layak untuk berlakon kerana tidak mempunyai bakat walaupun ada yang menawarkan peranan kepada saya dan lakonan bukanlah kepakaran saya," ujarnya.
Dalam pada itu, Nik Michael memberitahu selain sibuk mengacarakan beberapa buah program masakan dia tetap meluangkan masa dengan tugas baharunya sebagai pemilik restoran PickNik yang terletak di Solaris Dutamas, Publika di sini.
Nik Michael berkata, dia cukup teruja dengan pembukaan restoran tersebut sejak beberapa bulan lalu dan bapanya, Datuk Nik Ezar Nik Bolia yang juga seorang chef adalah inspirasi terbesarnya.
"Saya cukup seronok dapat memasak dan membuat orang lain tersenyum dengan hidangan yang disediakan dan sukar saya gambarkan perasaan itu.
"Sebelum ini saya hanya masak untuk kenalan rapat dan keluarga sahaja tetapi kini semakin ramai dapat menikmati masakan daripada hasil air tangan saya," katanya yang mula memasak sejak berusia sembilan tahun.
Pernah mengacarakan program Helo Bro...Tolong Masak, Nik Michael turut mengacarakan program Dapur Panas, Remaja Extreme dan terbaharu Tea Twist untuk saluran AFC Food Channel.

Nomad Terkejut Dipilih Kembangkan Kerjaya Di Indonesia

Posted: 19 Nov 2013 04:00 PM PST


Nomad mengakui gementar apabila bakal mengembangkan kariernya di Indonesia. 
KUALA LUMPUR: Penyanyi yang popular dengan lagu Tetap Menantimu menerusi drama popular Love You Mr. Arrogant iaitu Nomad terkejut apabila sebuah syarikat rakaman di Indonesia mahu mengembangkan kariernya di negara itu.
Nomad atau nama sebenarnya Nor Alief Ayub, 25, berkata, dia tidak pernah terfikir akan mendapat peluang tersebut kerana kerjaya nyanyiannya di negara ini masih lagi baharu bermula.
"Sudah tentu saya terkejut apabila ada syarikat rakaman di Indonesia berminat untuk memperkenalkan saya di Indonesia kerana saya masih lagi seorang artis baru.
"Bagaimanapun peluang itu harus saya rebut kerana ia bukan datang selalu dan berharap peminat muzik di sana sudi menerima kehadiran saya," katanya kepada mStar Online.
Nomad ditemui ketika menandatangani kontrak di antara syarikat Indigital Sdn Bhd (Malaysia) dan Harpa Records (Indonesia) yang diadakan di Red Box The Gardens di sini, Selasa.
Wakil daripada Harpa Records iaitu Handoko (kiri) bersama Nomad (tengah) dan Nana dari Indigital Sdn Bhd selepas menandatangani kontrak kerjasama.
Dalam perkembangan sama, Nomad mengakui bimbang dengan penerimaan masyarakat di Indonesia terhadap muzik yang diperjuangkannya selain sedar agak sukar artis negara ini untuk menembusi pasaran di negara berkenaan.
Bagaimanapun kata Nomad, kepercayaan diberikan oleh syarikat rakaman Harpa Records tidak akan disia-siakan dan dia berjanji akan memberi sepenuh komitmen.
"Saya sedar sukar untuk masyarakat di sana hendak menerima muzik dari Malaysia tetapi tidak salah kita mencuba walaupun persaingan yang hebat daripada artis-artis sedia ada di Indonesia.
"Ia langsung tidak mematahkan semangat saya kerana saya turut membawa nama negara dan berharap semua perancangan yang telah diatur akan terlaksana dengan baik," ujarnya.
Sementara itu, wakil Harpa Records iaitu Handoko memberitahu pihaknya tertarik dengan vokal dan lagu Tetap Menantimu yang disampaikan Nomad sehingga mereka membuat keputusan untuk memperkenalkannya di Indonesia.
Nomad popular menerusi lagu Tetap Menantimu yang turut dijadikan lagu tema drama rantaian popular, Love You Mr Arrogant yang disiarkan baru-baru ini.
Jelas Handoko, Nomad mempunyai potensi besar untuk diterima di kalangan peminat di negara itu dan pihaknya telah merancang pelbagai aktiviti promosi untuknya.
"Banyak artis Malaysia yang mempunyai bakat besar tetapi sayang tidak mendapat peluang di Indonesia dan kami melihat Nomad mampu memecah tradisi itu.
"Kemantapan vokal dan lagunya yang sesuai dengan cita rasa peminat di sana membuatkan kami terpanggil untuk memperkenalkannya di Indonesia," jelasnya.
Tambah Handoko lagi, buat permulaan single pertama Nomad akan dihantar ke stesen-stesen radio di Indonesia untuk melihat penerimaan pendengar selain muzik video lagu tersebut diputarkan menerusi program-program hiburan.
"Apabila lagu tersebut sudah mula diminati oleh peminat, baru kita akan adakan aktiviti promosi dan melancarkan album penuhnya di Indonesia," katanya.
Album pertama Nomad yang masih dalam pembikinan bakal memuatkan lapan buah lagu manakala empat daripadanya dicipta oleh komposer dari Indonesia.

Nabil Ahmad Tukar Nombor Kereta Takut Jadi Sasaran Penjenayah

Posted: 19 Nov 2013 03:59 PM PST


Nabil Ahmad
KUALA LUMPUR: Pelawak Ahmad Nabil Ahmad, 30, mengambil keputusan untuk menukar nombor plat keretanya kerana bimbang menjadi sasaran penjenayah selepas kenderaannya itu dipecah masuk pada Isnin lalu.
Nabil berkata, dia nekad berbuat demikian kerana ketika ini nombor plat kereta Mitshubishi Lanser miliknya itu menggunakan kombinasi huruf yang ada persamaan dengan namanya.
"Ini merupakan pengalaman pertama apabila kereta saya dipecah masuk dan ia membuatkan saya risau apa yang bakal terjadi pada masa depan jika penjenayah atau sesiapa sahaja mengetahui ia adalah kereta saya kerana nombor pendaftarannya.
"Tindakan itu juga bagi menjamin keselamatan saya dan keluarga," katanya kepada mStar Online.
Nabil ditemui di Hotel Istana di sini pada Selasa sempena majlis pengumuman barisan artis yang bakal membuat persembahan dalam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) di Hotel Istana yang akan berlangsung pada 14 Disember depan.
Dalam kejadian Isnin lalu, Nabil menyedari keretanya dipecah masuk oleh penjenayah selepas dia bersama isteri, Nazirah Ayub, 25, dan anak mereka Naira Mikayla yang berusia setahun selesai makan malam di sebuah restoran di Sungai Buloh, dekat sini.
Kejadian itu sedari ketika Nabil hendak mengundurkan keretanya apabila dia melihat cermin belakang sebelah kanan keretanya pecah.
Selain kad pengenalan, beg galas yang diisi baju sukan turut dilarikan penjenayah. Sementara itu, Nabil menyifatkan memiliki nombor plat kenderaan yang mempunyai persamaan dengan nama sendiri terutamanya bagi seseorang selebriti boleh mengundang bahaya tanpa sedar.
Beritahunya, walaupun nombor itu dilihat unik dan glamor, tetapi ia lebih memudahkan individu yang berniat tidak baik untuk melakukan jenayah.
"Saya nasihatkan buat para artis, walaupun seronok memiliki nombor plat seperti yang diinginkan, tetapi ia sebenarnya membahayakan. Lebih baik kita menggunakan nombor biasa sebagai langkah keselamatan," tegasnya.

Kualiti Forteen

Posted: 19 Nov 2013 03:53 PM PST



TIGA tahun bertatih dalam industri seni suara, bermula dengan lagu single Berdua Bersatu, Seperti Dulu dan Kita, kini kumpulan Forteen mampu menghembuskan nafas lega.
Dianggotai oleh empat orang anak muda, Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One), Saiful Ridzuan Abd Hamid (Ariz), Mohd Arif Ameerais Azhar (Ameer), dan Muhammad Izzul Islam Mazlan (Izzue), perjalanan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2011 ini semakin lancar.
Buktinya, mereka bakal melancarkan album sulung yang masih belum berjudul dan memuatkan enam buah lagu pada awal Disember depan.
"Alhamdulillah, selepas tiga tahun dan tiga single yang berjaya menarik perhatian peminat akhirnya kami akan lahir dengan album sulung yang amat dinanti-nantikan oleh kami sendiri.
"Album ini amat bermakna buat kami semua. Menariknya, daripada enam buah lagu, terdapat sebuah lagu yang berjudul Ketika Ini dicipta oleh Yusry selebihnya oleh Edry," ujar One.
Celah Izzue, sejujurnya mereka sendiri tidak menyangka perjalanan seni Forteen akan bertahan dan direstui peminat sehingga ke hari ini.
Tahun pertama kemunculan mereka, ramai yang mempertikaikan bakat serta kemampuan mereka menyanyi secara langsung berbanding rupa paras yang menarik.
"Mulanya pada tahun pertama, kami uji pasaran terlebih dahulu. Takut juga sebab zaman boy band seperti kami sudah berlalu.
"Kami masih ingat, susah juga masa mula-mula jadi penyanyi. Walaupun kami artis di bawah KRU, ramai yang memberi tanggapan kami guna mesin untuk menyanyi.
"Kami membuktikan dengan menyanyi secara langsung dalam setiap persembahan. Selain itu kami juga telah diiktiraf sebanyak dua kali dengan anugerah Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 19 dan AIM 20," kata Izzue.
Disoal di manakah letaknya kualiti kumpulan Forteen selain paras rupa yang menarik? Berfikir sejenak, ucap One, kualiti mereka terletak pada vokal dan persembahan.
Malangnya, pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 minggu lalu, persembahan mereka menghampakan dan mengundang kritikan pedas di laman sosial Twitter.
Menjawab pertanyaan mengenai kualiti vokal dan persembahan Forteen, faktor kesihatan banyak mempengaruhi aksi mereka di pentas.
FORTEEN mahu memastikan karier mereka bertahan lama.


"Kami bukan robot dan ada masanya kami penat dan tidak boleh memberikan persembahan terbaik, ada masa masalah teknikal atau kesihatan mempengaruhi.
"Tapi kami sudah memberikan persembahan sebaik mungkin, inilah cabaran kami. Apa yang penting, peminat berpuas hati," katanya yang memberitahu, Forteen baru usai mengadakan persembahan di Singapura dan Sarawak baru-baru ini.
Menganggap perjalanan selama tiga tahun merupakan satu permulaan, tambahnya, mereka tidak mampu mengawal dan menentukan selera peminat yang bebas membidas bila-bila saja.
"Kadangkala apabila membuat persembahan akan ada kesilapan kerana kami pun manusia. Kami terima kritikan dengan hati terbuka kerana kami pun masih baharu," ujarnya.
Bukan itu sahaja, balas Ameer, keserasian dan hubungan rapat antara mereka juga menjadi sebab utama kejayaan mereka hari ini.
Tidak perlu berpura-pura di hadapan peminat dan mereka bebas menjadi diri sendiri membuatkan peminat juga senang mendampingi setiap anggota Forteen.
"Kami memang rapat seperti adik-beradik walaupun pada mulanya saling tidak mengenali antara satu sama lain. Jika ada masalah, ia akan selesai dengan segera kerana kami cukup memahami antara satu sama lain.
"Keserasian itu amat penting untuk sesebuah kumpulan bertahan lama. Kalau boleh kami mahu Forteen bertahan selama yang mungkin," tutur Ameer.
Minat fesyen
Jika dilihat dari awal kemunculan Forteen sehingga kini, mereka cukup konsisten dalam mengekalkan imej yang menjadi ikutan ramai peminat.
Sentiasa tampil segak, segar dan stailo ke mana sahaja mereka pergi membuatkan Forteen sentiasa menjadi perhatian lensa kamera.
Tutur Ariz, kerjaya mereka sebagai artis memerlukan mereka sentiasa tampil kemas sepanjang masa dan mereka langsung tidak terbeban dengan tugas itu.
"Kami memang menitikberatkan soal imej. Pakaian, rambut, kasut, semua diambil kira. Maknanya, bukan ketika persembahan sahaja kami tampil dengan kemas, sebaliknya di luar waktu bekerja juga kami sudah terbiasa begitu.
"Sekarang teknologi cukup canggih, terus ke internet. Jadi, ke mana sahaja kami pergi walaupun ke kedai makan atau pergi ke pusat beli-belah, kami harus bersedia untuk peminat bergambar dengan kami. Jika tidak kemas dan tidak terurus, secara tidak langsung memburukkan imej Forteen," luah Ariz.
Sambung Izzue, sungguhpun begitu, ini tidak bermakna mereka memakai pakaian formal sepanjang masa sebaliknya imej dan pakaian disesuaikan dengan lokasi yang ditujui.
"Memang kami suka berfesyen dan nampak stailo sepanjang masa tetapi tidaklah sampai pakai kot untuk masuk ke 7-Eleven (ketawa). Itu sudah melampau, kami pun manusia biasa.
"Mungkin kami hanya pakai baju-T atau pakaian kasual tetapi cukuplah sekadar sedap mata memandang. Bukan untuk orang yang melihat tetapi kepuasan diri sendiri juga," kata Izzue.

GAGAL menyanyi dengan baik pada separuh akhir Muzik-Muzik 28 minggu lalu, Forteen mendakwa mereka bukan mesin yang akan sentiasa memberi persembahan terbaik.


Azam 2014
Tidak hanya menyanyi, Izzue juga dikenali sebagai pelakon popular. Sudah banyak filem serta drama lakonannya yang mendapat perhatian peminat.
Bagaimanapun, penghujung tahun ini, Izzue menolak semua tawaran lakonan demi memberi fokus kepada promosi album sulung kumpulan Forteen.
"Jujurnya, kadangkala saya rasa bersalah apabila tidak bersama Forteen dalam mana-mana persembahan disebabkan jadual yang bertindih dengan penggambaran drama atau filem.
"Nasib baik anggota lain cukup memahami dan tidak pernah mempersoalkan ketiadaan saya. Sebab itu, saya sanggup mengambil cuti daripada lakonan demi album Forteen kerana mereka juga sudah cukup berkorban untuk saya," kata Izzue.
Tutur One, dia berasa terharu apabila Izzue sanggup mengosongkan jadualnya demi Forteen sedangkan mereka semua tahu, dalam kumpulan itu Izzue merupakan anggota yang paling sibuk.
"Kami semua cukup terharu, dia sanggup tolak tawaran lakonan yang bermakna tolak duit tambahan demi Forteen. Itu sudah cukup membuktikan komitmen Izzue terhadap Forteen," jawab One.
Bukan sahaja muncul dengan album, tahun 2014 merupakan tahun yang padat buat Forteen. Mereka merancang untuk mengadakan sebuah showcase khas pada hujung Januari tahun depan di KL Life Centre.
"Ini merupakan showcase pertama kami sejak penubuhan Forteen. Ini hadiah buat peminat yang selama ini menyokong kami. Berkemungkinan besar kami akan menyanyi antara satu hingga 12 buah lagu.
"Buat peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang showcase ini boleh dapatkan di Facebook, Twitter serta laman web rasmi kami dan KRU," kata Ariz.


Siti tidak mahu isu KJ diungkit

Posted: 19 Nov 2013 03:52 PM PST

SITI bakal menyertai Festival Muzik Asia-Jepun buat kali kelima di Tokyo pada 28 November ini.


ISU teguran penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah menjadi panas minggu lalu.
Ada yang mengkritik hebat penyanyi tersebut dan tidak kurang juga yang menyokong tindakan Siti kerana dianggap sebagai berani menegur.
Bagaimanapun, selang beberapa hari selepas itu, akui Siti sendiri, setelah membuat kenyataan kepada akhbar dan dan beberapa program hiburan, isu tersebut kembali reda.
"Apa-apapun, tidak perlu panjangkan cerita tentang isu tersebut. Ini kerana masyarakat sudah faham apabila saya telah terangkan dalam program Melodi serta di akhbar apakah tujuan saya tulis begitu.
"Jadi, cukuplah rasanya, ada yang boleh faham. Diharap perkara ini tidak usah diungkit lagi," jelas Siti ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Festival Muzik Asia-Jepun yang bertempat di Kediaman Duta Jepun, Kuala Lumpur.
Selain itu, ketika ditebak persoalan mengenai teguran Roslan Aziz tentang isu jangan terlalu banyak (klon) Siti Nurhaliza kepada peserta Akademi Fantasia 2013 baru-baru ini, jawab Siti, dia faham dengan kenyataan Roslan itu.
"Saya tiada masalah, mungkin mereka gemar dan mahu jadi seperti saya. Namun, dari sudut keunikan menjadi artis, memang perlu ada trademark sendiri.
"Saya faham apa yang dimaksudkan oleh Roslan. Tiada masalah kerana sebelum ini juga saya pernah bekerjasama dengan dia," jawab Siti.
Wakil Malaysia ke Jepun
Sementara itu, berbicara mengenai Festival Muzik Asia-Jepun, tutur Siti, dia berbangga dijemput oleh pihak kedutaan Jepun bagi mewakili Malaysia selain perasaan teruja.
Siti merupakan antara 12 penyanyi terkenal yang mewakili negara Asia seperti Filipina, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam, Brunei, Kemboja dan Indo- nesia, selain Jepun sebagai tuan rumah.
FIGURA tersohor ini mengakui tidak pernah ambil hati dengan komen salah seorang juri Akademi Fantasia 2013, Roslan Aziz yang mengaitkan nama dirinya.


"Ini merupakan jemputan yang dinanti-nantikan setelah sekian lama tidak pergi ke Jepun. Ini kali kelima saya ke Jepun yang mana pertama kali pada tahun 1998.
"Saya pernah pergi ke Saga, Osaka, Yokohama dan terakhir di Tokyo untuk mengadakan persembahan.
"Saya akan cuba untuk membuat persembahan yang terbaik dan melihat ia sebagai salah satu tanggungjawab untuk membantu mereka yang dilanda musibah, melalui muzik.
"Itu satu kebaikan muzik yang mana ia menyatupadukan dan saling membantu walaupun berbeza agama, bangsa dan negara.
"Itu merupakan keistimewaan muzik," tuturnya yang bakal menyampai tiga buah lagu secara medley iaitu Nirmala, Biarlah Rahsia dan lagu terkenal Jepun, Koibito Yo.
Turut hadir pada majlis sidang akhbar tersebut, Duta Jepun sendiri iaitu Shigeru Nakamura yang berbesar hati dengan kehadiran Siti untuk membuat persembahan di festival tersebut kelak.
"Festival ini merupakan antara acara terbesar yang diadakan di Jepun. Sebelum ini hanya artis Jepun sahaja membuat persembahan.
"Namun kali ini, atas permintaan, buat julung-julung kalinya kami menggabungkan artis terkenal negara Asia untuk membuat persembahan atas satu pentas.
"Selama dua setengah tahun menjadi duta di Malaysia memberi saya peluang untuk mendengar muzik di sini.
"Dari situ, saya mengenali Datuk Siti dan menjemputnya sebagai wakil Malaysia untuk ke sana," tutur Nakamura tentang pemilihan Siti.
Konsert Festival Muzik Asia-Jepun ini merupakan festival yang diadakan sempena mengutip dana bagi mangsa tanah runtuh yang berlaku di Jepun.
Ia bakal diadakan di Dewan NHK, Tokyo, Jepun pada 28 November ini.
Siaran rakamannya akan disiarkan di Jepun pada 15 Disember melalui stesen NHK World Premium.
Antara artis yang hadir ialah Datuk Siti Nurhaliza, Agnes Monica, Exile, AKB48, W-inds, Christian Bautista, Bird Thongchai McIntyre dan ramai lagi.


Pemuda dilarang naiki pesawat, kapal lantaran terlalu gemuk

Posted: 19 Nov 2013 03:44 PM PST

CHAIS dihalang daripada menaiki pesawat dan kapal dengan alasan dia terlalu gemuk.


NEW YORK - Hasrat seorang pemuda ingin menaiki penerbangan untuk pulang ke Perancis akhirnya tercapai selepas beberapa kali terhalang.
Kevin Chais akhirnya mendapat tiket penerbangan menuju ke London selepas beberapa syarikat penerbangan mendakwa dia terlalu gemuk untuk menaiki pesawat.
Chenais dan keluarganya ingin pulang ke negara asalnya selepas berada di Amerika Syarikat (AS) sejak Mei tahun lalu untuk mendapatkan rawatan berkaitan masalah hormon tidak seimbang.
Sebelum ini, syarikat penerbangan British Airways menyatakan, lelaki berusia 22 tahun dengan berat badan 230 kilogram (kg) itu terlalu gemuk untuk terbang.
Mereka pada mulanya ini menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Chicago tetapi gagal untuk mendapatkan tiket penerbangan.
Keluarga itu kemudian menghabiskan masa selama seminggu tinggal di hotel sehingga mereka kehabisan wang sebelum membuat keputusan untuk menaiki kapal pelayaran Queen Mary sebagai pilihan alternatif pulang ke Perancis.
Namun menurut abangnya, pihak pengurusan Queen Mary juga tidak membenarkan Chenais menaiki kapal mereka kerana faktor keselamatan.


Lipat 7,000 sampul sebulan

Posted: 19 Nov 2013 03:41 PM PST



SAMPUL surat berwarna putih itu ditelitinya dengan rapi. Setiap lipatan di keempat-empat penjuru kertas bersaiz A4 itu kelihatan kemas seolah-olah dihasilkan oleh mesin mencecah jutaan ringgit.
Potongan di sepanjang bukaan sampul surat berbentuk segi empat tepat itu ditenung dalam-dalam sambil otaknya ligat mencari perkataan yang sesuai bagi menggambarkan ketelitiannya.
Berpandukan sekeping sampul surat, lelaki itu mencapai sehelai kertas lalu dilipat-lipatnya bagi menghasilkan bentuk yang sama. Bagaimanapun, selepas beberapa minit mencuba, dia hanya mampu mengeluh.
"Tengoklah hasil lipatan saya. Bukan saja tidak kemas, malah untuk melipat sehelai sampul surat pun mengambil masa lima minit. Cuba lihat hasil tangan mereka? Memang saya kagum," ujar Abdul Aziz Abas, 42, tatkala diberitahu mengenai latar belakang pengeluar sampul surat yang dipegangnya.
Sampul surat rasmi yang digunakan oleh Hospital Pekan sejak empat tahun lalu sebenarnya dihasilkan oleh 14 Orang Kelainan Upaya (OKU). Mereka beroperasi di sebuah bengkel kecil kendalian Persatuan Pemulihan Orang Cacat Sungai Lembing, (PPOC) Kuantan, Pahang.
Abdul Aziz, pembantu tadbir stor perubatan Hospital Pekan mengakui pada mulanya dia berasa sangsi dengan kemampuan syarikat berkenaan untuk menghasilkan sampul surat berkualiti. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui kesemua pekerja syarikat tersebut merupakan golongan OKU.
Keadaan bengkel yang hanya dilengkapi mesin dan fasiliti yang minimum turut menggugat keyakinan Abdul Aziz yang diamanahkan untuk mengawal selia proses pembelian sampul surat untuk kegunaan rasmi hospital.
"Sampul surat yang kami tempah akan digunakan untuk segala urusan rasmi antara hospital dengan pihak luar termasuklah orang ramai, justeru kami harus memastikan kualitinya dalam keadaan baik.

GOLONGAN OKU yang ingin bekerja di bengkel Sungai Lembing perlu menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan bagi menguji kemampuan mereka bekerja.


"Apa yang mengejutkan, sampul surat yang dihasilkan golongan OKU bukan sahaja menepati kehendak kami, malah setanding sampul surat yang dihasilkan syarikat-syarikat besar yang lain," ujarnya memuji inisiatif yang diambil oleh PPOC.
Selain institusi-institusi kerajaan, bengkel sampul surat milik PPOC turut bertanggungjawab menghasilkan sampul surat kepada beberapa buah universiti tempatan dan orang perseorangan.
Antara sampul surat yang dihasilkan di bengkel tersebut termasuklah jenis DL yang bersaiz 110mm x 220mm, C5 (separuh saiz A4), sampul surat bersaiz A4 dan bersaiz A3.
Dianggarkan setiap bulan, jumlah sampul surat yang mampu dihasilkan oleh bengkel berkenaan menjangkau 7,000 keping.
Punca pendapatan
Salah seorang pekerja yang paling lama berkhidmat di bengkel sampul surat berkenaan, Safianuddin Kassim, 52, memberitahu kewujudan bengkel berkenaan telah memberi peluang kepada golongan OKU untuk merasai kehidupan berdikari seperti individu normal yang lain.
"Kami bekerja sama seperti kebanyakan orang lain iaitu dari pukul 8.30 pagi sehingga 5 petang setiap hari kecuali hujung minggu. Dalam sehari, setiap seorang daripada kami mampu untuk menghasilkan kira-kira 100 hingga 1,000 keping sampul surat.
"Bayaran pula bergantung kepada jumlah sampul surat yang dihasilkan. Setiap keping sampul surat berharga dalam lingkungan antara 0.3 sen hingga 0.40 sen bergantung kepada saiz," ujarnya yang mampu menjana pendapatan sekitar RM700 sebulan.
Walaupun gaji yang diterima tidak mewah, dia yang mengalami kecacatan pada kaki kirinya sejak lahir berkata, bekerja di bengkel berkenaan seolah-olah memberi peluang untuknya merasai hasil titik peluh sendiri. Dengan wang yang dikumpul hasil pekerjaan tersebut, Safianuddin mampu membeli basikal, pakaian dan barangan keperluan yang lain.

BENGKEL Sampul Surat Sungai Lembing mempunyai kira-kira 1,300 ahlidi seluruh negeri Pahang.


"Ramai yang beranggapan golongan OKU tidak mampu berdikari dan hanya mengharapkan belas kasihan masyarakat, namun perkara ini tidak benar.
"Golongan seperti kami sebenarnya mampu mencari rezeki sama seperti orang lain. Apa yang kami perlukan ialah sedikit dorongan dan kepercayaan," luahnya melahirkan rasa kecewa dengan tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap individu sepertinya.
Safianuddin yang sudah dua dekad berkhidmat di bengkel berkenaan turut melahirkan rasa terima kasih kepada majikannya di atas layanan yang disifatkannya sebagai ibarat tinggal dengan keluarga.
"Kami bukan setakat bekerja di sini, malah kami turut tinggal bersama-sama di hostel yang disediakan. Segala-galanya dilakukan bersama-sama seperti memasak, makan dan beriadah. Kami ibarat sebuah keluarga," ujarnya yang tinggal bersama 14 OKU yang lain.
Terletak kira-kira 42 kilometer dari bandar Kuantan, bengkel milik PPOC yang dibina di kawasan seluas 0.4 hektar itu mempunyai beberapa bangunan utama termasuklah bengkel memproses sampul surat, rumah penyelia, dewan makan dan stor.
Layanan baik
Turut dibina di atas tanah yang sama, sebuah blok asrama yang menempatkan 14 OKU. Mereka terdiri daripada OKU yang mengalami kecacatan anggota badan dan kecacatan akal atau lembam.
Dua daripada 14 OKU yang bekerja di situ juga merupakan orang pekak dan bisu.
"Saya baru lima bulan bekerja di sini. Pada mulanya saya berasa sedikit kekok sewaktu cuba untuk menyesuaikan diri namun, layanan oleh rakan-rakan sekerja yang lain banyak membantu.
"Walaupun agak sukar untuk berkomunikasi memandangkan keadaan saya yang bisu dan pekak, rakan-rakan yang lain tidak pernah meminggirkan saya malah kami ibarat adik-beradik," ujar Mohd. Amree Ahmad Wizran, 19, salah seorang daripada pekerja di bengkel berkenaan.
SAMPUL surat merupakan salah satu medium komunikasi yang masih digunapakai masa kini. -Gambar hiasan


Bercerita dengan cara menulis di atas kertas, Amree mengakui kadangkala berlaku perselisihan faham antara pekerja-pekerja di bengkel berkenaan tetapi ia tidak pernah berpanjangan.
Kata pemuda bertubuh langsing itu, setiap seorang daripada mereka mempunyai perangai dan peribadi tersendiri, justeru mereka harus belajar bertolak ansur.
Pemegang diploma daripada salah satu institusi pengajian tinggi tempatan itu, sama seperti sebuah keluarga, si ibu memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan 'anak-anaknya' terjaga rapi dan dapat menangani semua masalah dengan bijak.
"Untuk kami yang menetap dan bekerja di sini, watak ibu haruslah dipegang oleh pengurus bengkel ini sendiri iaitu Puan Suhaili Abu Saari. Dialah yang banyak membantu dan melayan kerenah kami semua," luahnya sambil tersenyum.


Gadai nyawa demi emas

Posted: 19 Nov 2013 03:38 PM PST


PELOMBONG ini gigih memecahkan batu untuk mencari emas.


HERNAN PINEDA menggadai nyawa setiap hari dengan menggali emas di sebuah lombong tidak berlesen di sebuah perkampungan kecil di San Antonio, Columbia.
Rata-rata penduduk di San Antonio yang terletak di barat laut negara itu, menetap dalam pondok yang diperbuat daripada plastik atau kayu. Justeru, pendapatan lumayan hasil mencari emas sukar dilepaskan.
Kini, setelah penempatan itu didirikan kira-kira dua tahun lalu terdapat beberapa kemudahan yang membantu kehidupan harian mereka seperti kedai gunting rambut, kedai telefon bimbit, kedai perdagangan emas dan kelab malam.
Colombia mempunyai lebih 14,000 lombong emas dan 56 peratus daripadanya tidak berlesen, kata pihak kerajaan.
Dari Januari 2012 hingga Jun lalu, seramai 86 orang terkorban manakala 39 yang lain cedera dalam kemalangan di kawasan perlombongan emas, menurut kementerian perlombongan negara berkenaan.
Pineda, 40, bapa kepada lapan orang anak merupakan salah seorang daripada 4,000 pelombong termasuk wanita dan kanak-kanak yang melombong emas di kaki gunung Antioquia.

MELOMBONG emas menawarkan pendapatan yang sangat lumayan kepada penduduk di San Antonio sehingga mereka sanggup menggadaikan nyawa berdepan bahaya.


Sangat lumayan
Dia bekerja di lombong haram itu sejak berumur 13 tahun. Di San Antonio, dia memperoleh pendapatan berdasarkan emas yang ditemui setiap hari. Setakat ini, pendapatannya sangat lumayan.
"Saya melabur wang yang diperoleh dengan membeli gerudi dan bersama rakan kongsi, kami melombong emas di sini," katanya yang turut memperuntukkan sebahagian daripada pendapatannya untuk membeli bahan letupan bagi memudahkan kerja-kerja melombong emas.
Dia bersama sekumpulan 20 orang pelombong akan memasang bahan letupan bagi tujuan memecahkan tanah dan batu serta membuat lubang alur bagi memudahkan dan menjamin keselamatan mereka ketika kerja-kerja melombong emas dilakukan.
Kegilaan melombong emas tersebut telah menarik ramai pelombong dari luar Antioquia untuk mencari lebih banyak logam yang bernilai tinggi itu.
Pekerjaan tersebut memang teruk, namun hasil yang diperoleh sangat lumayan. Kadangkala, mereka mampu memperoleh pendapatan harian sebanyak $265 (RM848), iaitu kira-kira 30 hingga 40 peratus berbanding nilai emas tersebut.
Pineda pula memperoleh pendapatan yang lebih lumayan berbanding pelombong-pelombong lain di bawahnya. Dia mampu memperoleh sehingga RM40,408 sebulan. Dia kini menyewa sebuah apartmen kira-kira 30 kilometer dari lombong berkenaan dan setiap seminggu dia ke Medellin untuk berjumpa teman wanitanya.
Dia sedar akan bahaya pekerjaannya yang berdepan risiko kematian ekoran keadaan lombong yang kurang selamat.
"Melombong emas sememangnya bahaya. Justeru, kami akan berusaha untuk memperoleh emas sebanyak mungkin. Bilangan pelombong yang semakin ramai memerlukan kami bekerja lebih cepat," katanya lagi.
Selain itu, katanya, terdapat juga risiko kerajaan menutup lombong berkenaan. Malah, kerajaan telah mengumumkan kawasan tersebut berbahaya dan berhasrat mengeluarkan kesemua pelombong emas.

KAWASAN lombong yang curam ini amat berbahaya kepada para pelombong.


Gelombang seismos
"Ia adalah sebuah kawasan yang mempunyai banyak aktiviti gelombang seismos. Gunungnya curam dan sangat berbahaya. Makin ramai pelombong, makin lemah struktur gunung yang boleh menyebabkan risiko tanah runtuh," kata Cesar Hernandez, pengarah pengurusan risiko Antioquia.
"Penempatan penduduk di San Antonio tanpa infrastruktur pengurusan air yang baik menyebabkan banyak kawasan ditakungi air sekali gus memburukkan lagi keadaan," katanya lagi.
Selepas 27 tahun bekerja menarah permukaan perut bumi, Pineda telah menyaksikan banyak kemalangan yang membabitkan rakan-rakannya termasuk ada yang terbunuh, buta dan lumpuh seumur hidup.
Pineda berkata, dia juga mempunyai masalah paru-paru yang serius. Ekoran itu, dia berhasrat untuk berhenti melombong dan bekerja di kedai yang dibelinya di Medellin, wang hasil kerja perlombongan.
Tetapi ia adalah satu keputusan yang sukar, katanya: "Godaan emas adalah besar dan hebat."


Tanjong gilap bakat pelukis muda

Posted: 19 Nov 2013 03:37 PM PST

ROBERT (empat dari kiri) berharap penganjuran Pertandingan Seni Warisan Tanjong bakal melahirkan lebih ramai pelukis muda.


EDISI ke-13 acara tahunan Pertandingan Seni Warisan Tanjong mendapat penyertaan ramai penggiat seni tempatan termasuk penglibatan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Tahun ini, seramai 1,271 peseta menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Tanjong plc (Tanjong) berbanding 1,085 tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, 490 hasil karya telah dimasukkan dalam senarai akhir yang turut disertai oleh 22 IPT awam dan swasta.
Pertandingan tersebut adalah sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat Tanjong dengan menyaksikan peningkatan ketara dalam bilangan peserta, terutamanya pelajar IPT.
Pengerusi Tanjong, Datuk Robert Cheim berkata, penganjuran pertandingan itu adalah sebagai wadah untuk membolehkan bakat muda memaparkan karya seni mereka di samping menyumbang kepada kekayaan dan kesinambungan tradisi kebudayaan Malaysia.
"Pertandingan ini telah berkembang pesat sejak ia diperkenalkan. Kami gembira melihat kualiti peserta yang mencerminkan pertumbuhannya. Ini satu petanda baik kepada tahap pendidikan seni di Malaysia. Diharap mutu dan kualiti seni pelukis tempatan dapat dikekalkan atau dipertingkatkan pada masa hadapan," ujarnya dalam ucapan perasmian pertandingan baru-baru ini.

PEMENANG dipilih berdasarkan kreativiti dalam menghasilkan lukisan berkualiti.


Akademi Seni Dasein mencuri tumpuan apabila berjaya memenangi lima kategori utama selain menyandang gelaran juara dalam kategori seni cetak.
Salah seorang pemenang yang mewakili akademi itu ialah Lim Zieshan dengan memenangi hadiah utama dalam kategori Lukisan Warna Air dan hadiah sagu hati dalam kategori Minyak/Akrilik. Selain itu, Yong Kang Yun dari akademi sama meraih kemenangan berganda apabila memenangi kedua-dua hadiah sagu hati dalam kategori Lukisan Warna Air.
Sementara itu, Kolej Universiti Selatan, Johor yang mengambil bahagian buat kali pertama meraih tempat kedua dalam kategori Lukisan Warna Air menerusi pesertanya iaitu See Ca Dai. Dia menghasilkan karya menggunakan medium cat air yang bertajuk Parade Worshipping Gods.
Panel hakim terdiri daripada Prof. Madya Jalaini Abu Hassan, Prof. Madya Fauzan Omar, Elizabeth Cardosa, Dr. Kim Phaik Lah, Wairah Marzuki dan Laurence Loh. Kesemua mereka merupakan penggiat seni yang disegani dalam bidang seni dan warisan.
Tanjong dan anak syarikatnya memainkan peranan aktif dalam menyokong pelbagai aktiviti pembangunan seni dan sukan setiap tahun. Melalui penganjuran pelbagai program, Tanjong berharap untuk terus memainkan peranannya sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab kepada masyarakat.


Seronok mandi bersama Carrie Junior

Posted: 19 Nov 2013 03:36 PM PST


CHEN (dua dari kiri) yakin lagu Bathtime is Funtime mendapat perhatian kanak-kanak kerana rentak dan mesej yang positif.


MUZIK dapat membantu perkembangan emosi kanak-kanak dengan membolehkan mereka meluahkan perasaan gembira atau seronok melalui aktiviti tersebut.
Selain itu, muzik juga dapat membantu perkembangan kognitif si kecil. Kemahiran kognitif merupakan kebolehan individu untuk berfikir, berdikari, memberi pendapat, memahami dan mengingati peristiwa yang berlaku di persekitaran mereka.
Justeru, Wipro Unza (Malaysia) Sdn. Bhd. (Wipro Unza) mengambil inisiatif melancarkan kempen Bathtime is Funtime yang menggunakan lagu dan tarian sebagai medium baharu bagi mendidik kanak-kanak terhadap kepentingan dan teknik mandi yang betul.
Pengurus Pemasaran Wipro Unza, Edward Chen berkata, penggunaan lagu dan tarian membolehkan kanak-kanak menyukai dan menghargai amalan mandian sebagai satu rutin harian.
"Bathtime is Funtime adalah sebuah lagu yang cukup menggirangkan untuk dinyanyikan ketika membuat aktiviti kelas atau di rumah. Lagu rancak ini dicipta bagi membina kemahiran dan perwatakan kanak-kanak, di samping menekankan mesej-mesej kebersihan secara jelas.
"Gunakan span, baldi dan berlakon seperti ingin mandi. Kami yakin kanak-kanak, ibu bapa dan guru akan menyukainya," katanya ketika ditemui pada acara Bathtime is Funtime di Tadika R.E.A.L Kids USJ 12 di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Turut hadir ialah selebriti, Sazzy Falak.
Dalam pada itu, suasana tadika tersebut bertukar gamat apabila Carrie, maskot jenama Carrie Junior membuat penampilan istimewa dengan menyanyikan lagu tema jenama itu.
Kanak-kanak yang hadir tidak melepaskan peluang bergambar bersama maskot gajah berwarna merah jambu itu.

Kereta Nabil Ahmad Dipecah Masuk Penjenayah

Posted: 19 Nov 2013 05:37 AM PST


Nabil Ahmad
KUALA LUMPUR: Kereta pelawak Nabil Ahmad, 30, jenis Mitsubishi Lancer dipecahkan penjenayah kira-kira pukul 11 malam Isnin dalam kejadian di Sungai Buloh dekat sini.
Nabil berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia bersama isterinya Nazirah Ayub, 25, dan anak mereka Naira Mikayla yang berusia setahun sedang makan malam di kawasan tersebut.
"Selepas selesai makan, kami ke kereta untuk pulang dan pada awalnya kami tidak sedar sehinggalah ketika saya nak mengundurkan kereta, baru saya perasan cermin di tempat duduk kanan sebelah belakang pecah.
"Saya terkejut kerana risau jika ada pihak yang tidak puas hati sengaja memecahkan cermin tersebut. Lepas itu isteri beritahu yang beg galas saya hilang," katanya.
Aksi menarik Nabil bersama isteri dan anak.
Nabil ditemui pada majlis pengumuman barisan artis yang membuat persembahan serta pengacara bagi acara Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) di Hotel Istana di sini pada Selasa.
Tambah Nabil dia dalam kejadian itu kad pengenalannya hilang dan juga beg galas yang diisi baju sukan.
Nabil membuat laporan di Balai Polis Damansara dekat sini sejurus selepas kejadian.

Pierre Andre Mengaku Guna Populariti Ustaz Azhar Idrus

Posted: 19 Nov 2013 05:35 AM PST


Ustaz Azhar Idrus (tengah) bersama kumpulan Shiro dalam filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang.
PETALING JAYA: Pengarah filem Pierre Andre mengaku menggunakan populariti pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus dalam karya terbaharunya, Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang! semata-mata untuk meraih tumpuan penonton.
Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 28, berkata, dia menyedari populariti Ustaz Azhar yang disukai orang ramai membolehkan misinya untuk berdakwah dalam filem berkenaan terlaksana walaupun pendakwah itu hanya muncul untuk tiga adegan sahaja.
"Apabila ingin menghasilkan filem dakwah, saya terfikir, bagaimana nak jadikan filem itu tidak bosan dan saya rasa elemen komedi perlu diterapkan. Memandangkan Ustaz Azhar menjadi idola ramai, saya rasa hanya dia sahaja yang sesuai untuk filem ini.
"Rasanya tidak salah saya gunakan populariti Ustaz Azhar untuk tujuan baik," katanya pada majlis pratonton filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang! di Cathay e@Curve di sini pada malam Isnin.
Tambah Pierre, Ustaz Azhar mengambil masa yang lama iaitu selama dua bulan untuk memutuskan sama ada dia ingin terlibat dalam filem tersebut ataupun tidak.
Pierre Andre
Malah pelbagai persoalan yang ditanya kerana dia risau jika pembabitannya dalam filem tersebut boleh menjejaskan imejnya sebagai pendakwah.
"Soalan pertama yang Ustaz Azhar tanya ialah, ada tak perempuan terbabit dalam filem ini. Saya faham mengapa dia mengambil masa lama untuk membuat keputusan kerana enggan melanggar hukum Allah.
"Malah dia juga memberi syarat, sekiranya dia bersetuju untuk terbabit dalam filem tersebut, karya yang dihasilkan itu tidak boleh terlalu tegas, sebaliknya perlu memasukkan unsur-unsur komedi agar ia tidak bosan ditonton.
"Saya pun jelaskan konsep filem ini kepada Ustaz Azhar. Entah kenapa, walaupun dia belum membuat keputusan ketika itu, saya sudah pun menjalani penggambaran dan hati saya berkata yakin dia akan berkata 'ya' untuk filem ini. Alhamdulillah, dia akhirnya terima," ujarnya.
Walaupun Ustaz Azhar hanya tampil untuk tiga babak pada adegan akhir, aura yang dimiliki dapat dirasakan sepanjang perjalanan filem tersebut.
Ia mengisahkan seorang pemuda iaitu Dadu (Shahrol Shiro) dan Muiz (Ajak Shiro) yang tidak mempunyai hala tuju hidup dan tiada pegangan agama tetapi bersepakat untuk ke pangkal jalan selepas berlakunya beberapa insiden.
Filem ini turut menyiarkan rakaman ceramah yang pernah dilakukan Ustaz Azhar dan lakonannya pula hanyalah ketika adegan di pantai di mana Dadu dan Muiz menemuinya bagi mendapat pandangan mengenai agama.

Cahaya Mata Ubah Sikap ‘Angin’ Farid Kamil

Posted: 19 Nov 2013 05:35 AM PST


Farid Kamil
PETALING JAYA: Pelakon Farid Kamil menyifatkan kehadiran anak sulungnya yang lahir pada 2 Julai lalu hasil perkongsian hidup dengan Diana Danielle telah memberikan banyak perubahan pada dirinya termasuklah perubahan sikap.
Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 32, berkata, anak lelakinya itu telah berjaya melembutkan hatinya yang sebelum ini mudah naik angin selain menjadikannya seorang yang lebih matang.
"Kehidupan saya sebagai seorang bapa benar-benar membuatkan kehidupan saya berbeza dan ia susah untuk digambarkan dengan kata-kata.
"Saya tak pasti sama ada saya dah berubah atau tidak tetapi kehadiran anak saya itu membuatkan saya lebih matang berbanding sebelum ini sehinggakan David Teo (Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG )) juga berpendapat sedemikian.
Farid dan Diana bersama anak mereka.
"Anak akan buatkan saya tersenyum tenang walaupun ketika dilanda masalah," katanya kepada mStar Online.
Pelakon filem Pe3 itu masih belum mendedahkan nama anaknya dan mempunyai perancangan khas untuk memperkenalkan bayi tersebut kepada umum menerusi sebuah program khas yang bakal diterbitkan oleh pihak Astro.
Dalam pada itu, tambah Farid, dia bersama-sama isterinya Diana Danielle juga teruja untuk melihat anak mereka membesar di depan mata dan ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada zuriat itu walaupun sibuk dengan kerjaya lakonan.
Dalam perkembangan terbaharu, Farid kini sibuk di set penggambaran bagi menjayakan filem Kitai, arahan Amiro Ghozali bersama barisan pelakon lain iaitu Shaheizy Sam dan Fezrul Khan.
"Buat masa ini saya fokus untuk filem Kitai dahulu dan kemudian pihak MIG akan menerbitkan sebuah projek filem yang berbajet besar.
"Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas mengenai perkara itu dengan lebih lanjut. Tunggu sahaja pelancarannya nanti," ujar Farid.

Anak Wajar Tahu Kisah Kontroversi Adi Putra

Posted: 19 Nov 2013 05:34 AM PST


Adi Putra
PETALING JAYA: Pelakon Adi Putra sedia menjelaskan isu-isu kontroversi yang pernah membabitkan diri dia kepada anaknya iaitu Zara Adelia, 1 tahun, apabila kanak-kanak itu dewasa kelak.
Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera, 32, berkata, dia tidak mahu anaknya membuat pelbagai andaian melalui berita yang disebar menerusi Internet selain mahu Zara Adelia bersedia menjawab persoalan masyakat di luar sana.
"Sebelum dia (Zara) mendapat tahu sesuatu kontroversi mengenai diri saya, saya akan menerangkan dahulu kepadanya. Yalah... sekurang-kurangnya bila dia cari melalui 'Google' di Internet, tidaklah dia terkejut," katanya kepada mStar Online.
Sebelum ini Adi pernah menimbulkan kontroversi selepas seorang lelaki membuat laporan polis selepas Adi dikatakan mengirimkan mesej dan gambar berunsur lucah kepada isterinya.
Adi dikatakan berkenalan dengan wanita berusia 30 tahun itu menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu.
Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu sehingga mendorongnya membuat laporan polis.
Bercerita mengenai perkembangan kes terbabit Adi berkata, dia masih menunggu jawapan daripada pihak polis dan berharap orang ramai tidak membuat kononnya dia menggunakan pihak berpengaruh untuk menyelesaikan kes berkenaan.
"Saya tetap berpegang kepada janji di mana apabila konklusi kes itu keluar, saya akan kongsi kepada semua, tetapi setakat ini ia masih lagi dalam siasatan.
"Cuma saya harap orang ramai tidak mempercayai kononnya saya menggunakan orang atasan untuk menyelesaikan kes tersebut. Bagi yang percaya terpulanglah, cuma saya percaya kebenaran akan muncul juga," tegasnya.
Sementara itu, Adi yang bakal mempromosikan filem Balistik pada hujung bulan depan itu sedang mengusahakan perniagaan keperluan mandian jenama Hadaz di bawah syarikat miliknya iaitu Nur ADP Sdn Bhd.
"Apa yang saya lihat, segala kontroversi yang timbul mengenai diri saya sedikit sebanyak memberi kesan positif dalam kerjaya, apatah lagi sekarang ini saya sedang mengembangkan perniagaan keperluan mandian Hadaz.
"Alhamdulillah, perniagaan ini mendapat respons yang bagus kerana ia jarang diusahakan orang Melayu," ujarnya.

Kes Dera Punca Faezah Elai Enggan Percaya Pembantu Rumah

Posted: 19 Nov 2013 05:33 AM PST


Faezah bersama suami dan anaknya Dealova Heyrinna. 
PETALING JAYA: Pelakon Faezah Elai tidak akan membiarkan anak kecilnya dijaga oleh pembantu rumah kerana bimbang terjadi kes penderaan atau pun dilarikan seperti yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
Faezah, 31, berkata, dia sanggup meminta bantuan ibunya untuk menjaga anaknya, Dealova Heyrinna, yang kini berusia sembilan bulan setiap kali dia ke lokasi penggambaran.
"Saya bukan nak kata tak percaya dengan pembantu rumah tetapi saya kena berhati-hati. Sekarang ini macam-macam hal boleh jadi walaupun pembantu rumah saya setakat ini tidak pernah timbulkan masalah," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Faezah yang berkahwin dengan pengarah drama Heykal Hanifah, 39, pada September tahun lalu turut mempunyai anak tiri hasil perkahwinan terdahulu Heykal iaituLuqman Hakim, 13, Sarah, 11, dan Luq Adam yang berusia tiga tahun.
Faezah berkata, disebabkan anaknya masih kecil, dia tidak akan pastikan tidak berada lama di lokasi penggambaran dan akan meminta pulang ke rumah sebelum pukul 11 malam kerana bimbang akan wujud budaya 'anak tidak kenal ibu-bapa'.
Tambah wanita ini, dia tidak mahu anak-anaknya membesar tanpa kasih sayang dan perhatian keluarga kerana ia akan membuatkan tumbesaran mereka tidak seimbang.
Dalam pada itu buat masa ini Faezah hanya akan menerima tawaran berlakon di bawah pengarahan suaminya sahaja agar mudah untuk mereka berbincang soal pengurusan masa agar boleh menjaga anak.
"Saya hanya boleh terima tawaran berlakon untuk telefilem sahaja. Itu pun pukul 11 malam saya kena balik rumah. Sebab itu bila ada tawaran berlakon daripada produksi lain saya terpaksa tolak keran bimbang mereka tak boleh ikut masa saya.
"Buat masa ini lebih mudah saya berlakon dalam produksi bawah arahan Heykal sendiri," katanya.
Jelas Faezah lagi, dia hanya boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang lakonan selepas anaknya mencecah usia tiga atau empat tahun.
Dalam perkembangan lain Faezah baharu sahaja selesai penggambaran telefilemAkhirnya Kau Mengeti untuk siaran TV Al Hijrah.

Fasha Sandha 'jaga pantang'

Posted: 19 Nov 2013 05:32 AM PST

  • Fasha Sandha 'jaga pantang'

PELAKON cantik, Fasha Sandha mendedahkan dia mengamalkan nasihat dan pantang larang yang diberikan ibunya, tatkala terlibat dengan penggambaran di kawasan hutan atau di rumah kosong.

Dek kerana menjaga pantang atau menjaga tatatertib, akui Fasha dia bersyukur kerana tidak pernah mengalami apa-apa gangguan pelik atau gangguan makhluk halus dari mula penggambaran hingga akhir.

"Penanggal adalah filem seram kedua saya selepas Gong. Alhamdulillah dari Gong sehingga ke Penanggal saya tidak pernah mengalami peristiwa misteri atau mistik.

"Ini kerana saya mengikut pesanan mak saya iaitu minta izin dan jaga tatatertib. Jadi bila sepanjang di dalam hutan, apa saja yang saya buat saya akan minta izin kerana kita pergi ke tempat orang.

"Dalam hutan, pokok-pokok semuanya hidup, tanah pun hidup. Biasanya saya akan cakap:  'Saya minta izin. Saya datang sini nak bekerja. Tolong jangan ganggu saya.' Saya pastikan, tisu pun saya tak buang merata-rata,"  katanya ketika ditemui pada malam previu Penanggal, di e@Curve, baru-baru ini.

Penggambaran Penanggal dijalankan di sekitar Kuala Kangsar, Perak pada Disember 2011. Ketika itu hanya beberapa bulan saja lagi sebelum Fasha berkahwin dengan Rizal Ashram (Jejai).

Belajar bahasa Arab

 Berkongsi mengenai karakternya dalam filem sulung arahan Ellie Suriaty itu, Fasha yang memegang watak Sharifah Zahrah berkata, cabaran paling besarnya apabila dia perlu melakonkan karakter gadis berketurunan Arab.

"Kalau nak bercakap dalam bahasa Arab ikut skrip, semua orang boleh. Tapi disebabkan saya bukan datang dari keluarga berdarah Arab, jadi saya tak fasih dengan sebutan-sebutan perkataannya.

"Jadi saya kenalah usaha lebih sikit, saya ambil inisiatif ikuti kelas bahasa Arab selama lebih kurang dua bulan, " katanya.

Meskipun bukan seorang penggemar filem seram namun, Fasha sambil turut meluahkan rasa bangga dan teruja apabila diberi kepercayaan oleh Ellie menjadi sebahagian filem tersebut.

Malah, dia cukup mengagumi kesungguhan Ellie sepanjang penggambaran walaupun pengarahnya itu sedang hamil.

"Disebabkan dia juga seorang pelakon, jadi dia tahu naluri berlakon tu bagaimana. Dia seorang yang banyak idea, sangat teliti dan menjaga setiap inci lakonan saya,"  katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran telemovie Racun Ibu.

Selain Fasha, Penanggal dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Ummi Nazeera, Normah Damanhuri, Syed Yusof, Zul Ariffin, Nadia Mustafa, Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Kuswadinata dan ramai lagi.

 Filem seram klasik terbitan Tayangan Unggul dengan kerjasama Grand Brilliace ini akan mula ditayangkan dipawagam pada 28 November 2013.

Tuah lagu 'Sahabat'

Posted: 19 Nov 2013 05:31 AM PST

  • Tuah lagu 'Sahabat'

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tau. Itulah ungkapan yang sesuai untuk lagu Sahabat yang dinyanyikan oleh tiga kolaborasi muda iaitu Najwa Latif, SleeQ dan Syamkamarul, apabila berjaya dalam pusing kedua separuh akhir Muzik-muzik 28.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, rancangan yang dihoskan oleh AG dan Scha Al-Yahya menyaksikan 30 buah lagu dipertandingkan dalam 3 pusingan yang berlangsung pada 8 November 2013 (11 lagu), 9 November 2013 (11 lagu) dan 22 November 2013 (8 lagu) bermula jam 9 malam hingga 10.30 malam.

Selain lagu Sahabat, lagu Kalau Aku Kaya (Awi Rafael dan Altimet), Kau Yang Terindah (Alyah), Tanda Tanya (Azlan dan The Typewriter), Hanya Aku (Hyper Act) dan Aku Pelat (Salam Musik) juga layak ke peringkat akhir dalam saringan kedua.

Manakala dalam saringan pertama pula, lagu In Love With You (Aizat ft Noh Hujan), Penglipurlara (Hazama), Jangan Pergi (Loka), Agenda Jahiliah (Bunkface), Takkan Terpisah (Black) dan Permata (Alyah ft Ben) sebagai 'Top 6' berdasarkan kutipan mendapat markah tertinggi.

Namun, itu belum menjamin tempat mereka di Anugerah Juara Lagu kerana hanya 12 buah lagu sahaja yang akan berentap di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-28.

Keputusan hanya akan diketahui selepas berakhirnya pusingan separuh akhir pusingan ke-3 nanti Jumaat ini.

Najwa ulangi sejarah

Dua tahun lalu, Najwa Latif, 18, menjadi bualan hangat apabila mencipta kejutan pada separuh akhir Muzik-Muzik 26 setelah lagu ciptaannya, Cinta Muka Buku layak ke pusingan akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) 26.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai kritikan terhadap pencalonannya itu, Najwa tabah meneruskan kerjayanya dalam bidang muzik.

Enggan mengungkit kisah lalu, sekali lagi pemilik nama Imratul Najwa Abdul Latif berjaya meletakkan namanya sebaris dengan ramai penyanyi hebat dalam AJL nanti.

"Ketika lagu Sahabat diumumkan ke final, saya terkejut dan tidak menyangka layak ke peringkat akhir sekali lagi.

"Mungkin sudah rezeki saya, InsyaALLAH di final nanti saya akan lakukan yang terbaik untuk peminat dan penyokong saya selama ini," katanya.

Sedikit mengenai anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini, dia mula mencipta nama menerusi laman Youtube apabila lagu berhantunya 'Cinta Muka Buku' mendapat perhatian ramai terutamanya golongan muda.

Dari situ, Najwa mula mengembangkan bakatnya nyanyian dan mencipta lagu seperti Carta Hati, Kosong, Untuk Dia (ft Sleeq), Adamu dan Sahabat sering diputarkan di radio Era dan Hot.fm.

Malah,  dia juga berjaya melahirkan sebuah mini album berjudul Najwa Latif.

Menurut Najwa, kejayaannya hari ini merupakan berkat usahanya bersama kakaknya, Ika Latif yang banyak membantu menaikkan namanya ke tahap yang dicapai hari ini.

"Buat masa sekarang, saya ingin tumpukan sepenuh perhatian kepada AJL 26. Persiapan awal dan latihan secukupnya penting kerana empat orang bergabung bukan perkara yang mudah," katanya.

SleeQ sudah jangka

Sementara itu, SleeQ yang dianggotai Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah (Syarif) dan Muhammad Alif Abdullah (Alyph), 23, merupakan kumpulan duo dari Singapura.

Nama kedua anak muda ini mula meniti di industri muzik tempatan setelah lagu kolaborasi bersama Najwa Latif, Untuk Dia mendapat perhatian.

Lagu Untuk Dia merupakan single pertama SleeQ bagi album ketiga yang dihasilkan Alyph, Ika Latif dan Zulkarnain Aziz bagi album ketiga SleeQ yang diterbitkan oleh Aaron Aziz Productions.

Bukan itu sahaja, lagu dan album mereka juga mendapat sambutan menggalakkan peminat di Malaysia dan Singapura menerusi beberapa lagu seperti Pilihan Aku, Cun Saja, Sembunyi dan Moviestar.

Berkongsi rasa gembira lagu Sahabat berjaya ke peringkat akhir, Alyph berkata mereka sudah menjangkakan lagu tersebut mampu bergerak lebih jauh.

"Ia lagu santai dan gembira setelah kita mendengarnya. Jadi saya yakin 100 peratus lagu ini berjaya ke final dan ia terbukti pada malam ini (Jumaat lalu).

"Bagaimanapun, kami tidak mahu meletak harapan yang tinggi di AJL 26 nanti. Dapat ke final pun sudah cukup bagus dan ia menjadi bukti bahawa kami sangat serius dalam muzik.

"Kami akan lakukan yang terbaik untuk final nanti (AJL 26)," katanya yang turut mengakui berdebar untuk melakukan persembahan di malam kemuncak itu nanti.

Tambah Alyph, pada penghujung tahun ini mereka bakal melancarkan single terbaru SleeQ yang bertajuk Tepi Sikit dan ia merupakan single pertama mereka di negara ini.

Pengiktirafan besar -Syamkamarul

Bagi artis baharu, Syamkamarul, 23, atau nama sebenarnya Muhammad Hisyam Kamarulzaman, yang mula dikenali melalui laman sesawang Youtube, ia merupakan pengiktirafan yang besar buat dirinya.

"Alhamdulillah... saya tidak menjangka lagu Sahabat mampu ke final kerana kami hanya sempat berlatih beberapa jam sahaja.

"Lagipun kami berhadapan dengan kekangan masa dan tidak percaya kolaborasi ini mampu sukses," katanya yang sanggup terbang dari Indonesia demi memenuhi kolaborasi itu.

Sedikit mengenai anak jati Kuala Lumpur ini, Syamkamarul bermula dengan hobi memuat naik lagu-lagu cover di Youtube. Sejak itu ramai tertarik dengan vokalnya yang sangat unik.

Turut menyimpan hasrat untuk mengebangkan kariernya di sini, bakat dari Youtube ini bagaimanapun berdepan dengan kekangannya sebagai pelajar dalam bidang perubatan di Universitas Kristen Krida Wacana (UKRIDA) Jakarta, Indonesia.

"Saya terpaksa mengambil cuti sehari untuk pulang ke Malaysia dan ternyata ia sangat berbaloi apabila lagu ini terpilih untuk ke final AJL nanti.

"Buat masa ini, saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman dan saya lebih selesa bergerak sendiri. Dapat bekerjasama dengan Najwa dan Sleeq sudah cukup bagus untuk saya ketengahkan bakat yang ada," katanya yang masih berkesempatan menulis lagu meskipun jadual kampusnya sangat padat.

Pajak gadai ikut cara Islam

Posted: 19 Nov 2013 05:28 AM PST

  • Pajak gadai ikut cara IslamKakitangan Ar Rahnu Express melayan pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai skim pajak gadai yang ditawarkan. 

PERKHIDMATAN pajak gadai berkonsep Islam disediakan Ar Rahnu Express boleh mengelakkan masalah kegagalan menebus semula barangan berharga yang dicagarkan pengguna semasa keadaan mendesak.

Pengurus Besar Ar Rahnu Express Abdul Azri Abdul Latif berkata, Ar Rahnu prihatin terhadap permasalahan itu kerana sistem tradisional pajak gadai sebelum ini membebankan peminjamnya kerana mengenakan faedah yang tinggi.

Ar Rahnu Express adalah perkhidmatan pajak gadai berdasarkan undang-undang syariah yang diwujudkan Kumpulan Habib Jewels pada 2010 selepas menyedari masalah pengguna terutama yang berpendapatan rendah dalam sistem pajak gadai konvensional.

Abdul Azri berkata, Ar Rahnu Express menerima pajakan emas, berlian, jam tangan berjenama, batu permata, jongkong emas dan dinar emas untuk pelanggan mendapatkan pinjaman tunai segera dengan proses mudah dan cepat.

"Perkhidmatan pajak gadai yang kami tawarkan adalah pinjaman tanpa faedah tetapi hanya mengenakan upah simpan yang rendah iaitu satu peratus sebulan.

"Kami akan berikan pinjaman sehingga 75 peratus daripada nilai aset yang dipajak gadai," katanya.

Selesai masalah ah long, ceti haram Azri berkata, Ar Rahnu Express tidak mengenakan kadar faedah tinggi atau sebarang amalan kewangan melibatkan riba.

Menurutnya, syarikat itu mahu menjadi alternatif terbaik kepada umat Islam khususnya yang berpendapatan rendah untuk membiayai pendidikan, atau sedang mengalami kesulitan kewangan dan memerlukan modal untuk menjalankan perniagaan.

Tambahnya, perkhidmatan itu mampu membantu rakyat di negara ini daripada terjebak dengan ceti haram, ah long dan peminjam wang tanpa lesen atau sebagainya. Beliau berkata, skim Ar Rahnu Express memberikan pembiayaan bercagar sehingga RM200,000 dengan syarikat itu kini mempunyai anggaran 3,000 peminjam sebulan dengan jumlah pinjaman RM15 juta hingga RM18 juta sebulan.

Selain memberikan pinjaman, Ar Rahnu Express menyediakan tempat untuk menyimpan barangan kemas atau peti simpanan seperti yang disediakan di bank selain membuat penilaian zakat dan menyediakan perkhidmatan mencuci barang kemas secara percuma.

Sementara itu, Pengurus Operasi Runcit Ar Rahnu Express Peer Mohd berkata, syarikat itu akan membuka tiga lagi cawangan Ar Rahnu Express iaitu di Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor pada tahun depan.

"Sebanyak RM350,000 akan digunakan untuk membiayai setiap pembukaan cawangan Ar Rahnu
Express yang baru," katanya.

Obses mata wang lama

Posted: 19 Nov 2013 05:24 AM PST

  • Obses mata wang lamaPeminat mata wang lama berkongsi koleksi dimiliki dengan rakan.

MESKIPUN segelintir masyarakat menyatakan ia tidak bernilai, namun sebaliknya bagi mereka yang obses terhadap syiling, wang kertas lama, setem mahupun surat pajak gadai mempunyai tanggapan berbeza.

Malah, minat mendalam terhadap koleksi syiling lama seperti dari zaman Kesultanan Melayu Melaka mahupun Kesultanan Acheh membuatkan golongan ini leka mengumpul beratus koleksi disukai.

Peminat mata wang lama sanggup menghabiskan ribuan ringgit, malah adakala mencecah jutaan ringgit semata-mata demi kegilaan ini meskipun ada yang memandang sinis.

Sehingga kini, pengumpul koleksi mata wang lama masih wujud dan dilihat kian bertambah berikutan hobi ini dikatakan memberi kepuasan.

Seminar Sepetang di Alam Numismatik di Hotel Seri Malaysia, baru-baru ini, berlangsung penuh kejutan dan dramatik apabila menyaksikan peminat mata wang lama berhimpun.

Lebih menarik, apabila mereka seakan-akan berlawan antara satu sama lain untuk mendapatkan beberapa koleksi mata wang lama yang dilelong dalam seminar itu.

Apabila seorang peminat meletakkan harga untuk koleksi mata wang itu, muncul pesaingnya yang turut berminat ke atas koleksi seperti lukisan mata wang lama, syiling edisi khas Komanwel serta tampang.

Dari serendah RM3 hinggalah RM1,000, kelihatan mereka tidak kisah menghabiskan wang untuk itu malah ada yang kelihatan sedih apabila tidak berjaya membida koleksi mata wang diingini.

Simpan koleksi jarang ditemui

Bagi Ahmad Nasyruddin Ismail, dia tidak kisah membelanjakan wang demi minatnya terhadap wang lama apabila menjadi pembida tertinggi dalam lelongan awam itu.

Dia membida dua koleksi mata wang lama iaitu tampang Terengganu bersaiz kecil dan sederhana bernilai RM600 dan RM1,000.

Walaupun berhabis wang ringgit demi memiliki koleksi itu, dia kelihatan gembira apabila berpeluang membidanya daripada pesaing lain.

Ahmad Nasyruddin yang tinggal di Perda, Pulau Pinang berkata, dia juga menyimpan koleksi mata wang lama unik berbentuk binatang seperti buaya yang jarang-jarang ditemui.

Katanya, mata wang lama yang sudah buruk dan terjejas bentuknya, masih bernilai tinggi apabila ia dijadikan hiasan seperti lukisan.

26 kelab peminat wang lama

Presiden Kelab Numismatik Malaysia, Datuk Sharuddin Yusof berkata, kegiatan mengumpul mata wang lama seperti token, syiling mahupun wang lama (numismatik) dalam kalangan penduduk semakin meningkat kebelakangan ini.

Menurutnya, penambahan peminat wang lama yang melakukan aktiviti seperti pameran, lelongan dan mengumpul berikutan kebanyakan penduduk mula menyedari kepentingan warisan negara ini untuk generasi masa depan.

"Setakat ini, bilangan ahli tidak rasmi Numismatik Malaysia sudah mencapai angka 52,826 orang bagi 2013 sahaja, malah ia dijangkakan bertambah sebanyak 5 peratus lagi menjadikannya sebanyak 55,467 pada tahun hadapan.

"Persatuan Numismatik Malaysia, Persatuan Numismatik Kesultanan Melayu Malaysia (Masdinar) dan Kelab Warisan Malaysia merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu ke arah perkembangan bidang ini," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, 26 kelab di laman sosial facebook seperti Kemaruk Duit Lama, Kedai Hantu Duit-duit, Malaysia Error & Variety, Lot Gila Duit, Wang Nombor Cantik, Kedai Duit Error, Mata wang Kesultanan Johor dan Kelab Pengumpul Duit Lama Antik & Rare sudah diwujudkan.

"Kegiatan mengumpul syiling lama tak kira sama ada kumpulan mata wang kesultanan Melayu Nusantara mahupun lain tidak membazir, ia sebaliknya dilihat mampu menjadi sumber pendapatan sampingan kepada peminatnya," katanya.

Lari ikut tingkap bilik air

Posted: 19 Nov 2013 05:20 AM PST

  • Lari ikut tingkap bilik airAhmad menunjukkan laporan polis yang dibuat dan kad pengenalan cucunya. Gambar kecil: Fatin Nur Anisha Abdullah

SEREMBAN – Luluh hati seorang datuk apabila cucu perempuan yang dibelanya sejak berusia enam bulan sanggup bertindak melarikan diri pada 9 November lalu.

Fatin Nur Anisha Abdullah, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang, melarikan diri dari rumah datuknya, Ahmad Osman, 65, di Taman Senawang Indah di sini menerusi tingkap bilik air.

Menurut Ahmad, kejadian ini bukan kali pertama berlaku tetapi sudah empat kali cucu kesayangannya itu bertindak melarikan diri dalam tempoh masa terdekat tanpa pengetahuannya.

"Saya percayai dia terpengaruh dengan rakan-rakannya. Kali pertama dia melarikan diri pada 12 Oktober lalu, kemudiannya pada 28 Oktober bagaimanapun, saya dapat menemuinya kembali hasil daripada laporan polis yang dibuat atas kehilangannya.

"Kemudiannya Anisha sekali lagi bertindak melarikan diri sebelum kejadian terakhir berlaku pada 9 November lalu.

"Sekarang ini sudah lebih seminggu Anisha hilang tanpa dikesan. Dia pergi sehelai sepinggang dan kad pengenalan dia masih bersama dengan saya," katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad yang merupakan pesara tentera berkata, dia tidak menyangka cucunya itu sanggup bertindak sedemikian.

"Saya menjadi buntu selepas Anisha lari sekali lagi daripada rumah. Makan minum saya juga menjadi tidak menentu sejak kehilangannya kerana asyik memikirkan keadaannya di luar sana.
"Begitu juga keadaan isteri saya yang turut bersedih. Anisha seorang cucu yang mendengar kata dan dia tidak bersikap sebegini sebelum ini tetapi sikapnya akhir-akhir ini amat membingungkan saya," katanya.

Walaupun Anisha melakukan kesalahan tetapi atas sebab kasih sayang seorang datuk kepada cucu, dia tetap menerimanya kembali dan akan menghantarnya ke pusat pemulihan demi masa depan.

"Atas sebab sayang saya sanggup melakukan apa sahaja kerana sejak daripada usia enam bulan sehingga sekarang, segala keperluannya saya sediakan malah saya turut menghantar dan mengambilnya di sekolah.

"Namun, apa yang berlaku adalah sesuatu yang menyedihkan kerana seolah-olah Anisha tidak lagi sayang kepada saya sebagai datuk yang membelanya sejak daripada kecil," katanya.

Ahmad merayu orang ramai membantunya mencari Anisha kerana percaya cucunya masih berada di sekitar Seremban.

Demi isteri tercinta

Posted: 19 Nov 2013 05:16 AM PST

  • Demi isteri tercintaMohd Adnan memerlukan bantuan kewangan bagi mengubati isterinya yang menghidap barah usus tahap tiga.

KUALA TERENGGANU - "Saya terpaksa buang rasa malu semata-mata nak lihat isteri saya kembali pulih dan menjalani hidup seperti sedia kala," demikian luahan Mohd Adnan Abd Hamid.

Pemuda yang berusia 29 tahun dan berasal dari Keruak, Besut itu berkata, dia sudah kehabisan ikhtiar dan mengharapkan belas ihsan daripada orang ramai untuk membantu meringankan bebannya merawat isteri tercinta, Suhaiza Che Pa, 32, yang menghidap barah usus tahap tiga.

Mohd Adnan berkata, dia yang hanya bekerja kampung, tidak mampu untuk menampung perbelanjaan rawatan isterinya kerana berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.

"Isteri saya sakit sebelum kami berkahwin lagi. Walaupun tahu dia menghidap barah, saya tetap berkahwin dengannya kerana cinta dan niat untuk membantunya. Sementelah dengan sakitnya ini, dia tidak mampu untuk bekerja.

"Tapi dengan kos sara hidup yang tinggi dan adanya dua anak yang masih bersekolah rendah, saya tidak mampu untuk membiayai rawatannya," katanya.

Menurut Mohd Adnan,  bapa mentuanya juga banyak membantu meringankan bebannya walaupun mereka bukan orang senang.

"Saya sangat mengharapkan ada insan mulia yang boleh membantu menampung kos rawatan isteri," katanya di pejabat Sinar Harian, semalam.

Sebagai ikhtiar, dia kini dalam proses untuk memohon bantuan daripada Tabung Darul Iman setelah dinasihati rakan.
Sementara itu, Suhaiza berkata, dia hanya menyedari menghidap barah pada 2010 setelah mengalami sakit perut berterusan sehingga menyebabkan dia terpaksa berhenti kerja.

"Pada mulanya doktor menyatakan saya hanya mengalami sakit perut biasa. Namun setelah berulang kali ke klinik dan hospital, doktor mengesahkan saya menghidap barah usus. Sekarang ini sudah berada di tahap ketiga.

"Saya sudah tiga kali menjalani pembedahan dan kini perlu membuat rawatan kemoterapi. Sekarang, saya sudah tidak mampu melakukan kerja berat, namun mujurlah suami dan keluarga banyak membantu kerana memahami keadaan saya," katanya.

Dulu penoreh getah, kini bergelar guru solek

Posted: 19 Nov 2013 05:14 AM PST

  • Dulu penoreh getah, kini bergelar guru solekSiti Nadimah mengajar kelas solekan anjuran Empower di Kampung Batu Melintang, Jeli.

JELI - Siapa sangka daripada penoreh getah, seorang wanita dari Kampung Berdang, dekat sini, kini bergelar 'guru solek' selepas menyertai program Empower di bawah inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Siti Nadimah Ab Rahman, 33 berkata, sebelum ini, dia hanya menoreh getah dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan dan nasibnya mula berubah selepas mengikuti kursus solekan di bawah program Empower.

Katanya, berbekalkan kemahiran dipelajarinya daripada kursus percuma selama enam bulan dan sokongan berterusan Empower, dia kini mampu meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

"Mulai awal tahun ini, saya dilantik mentor program Empower untuk bidang solekan dan diberi tanggungjawab mengajar dua kelas solekan sebulan di sekitar daerah Jeli dengan bayaran RM800.

"Saya juga bekerjasama dengan kedai pengantin untuk solekan pengantin selain aktif mengajar kelas solekan berbayar bagi penduduk luar daerah Jeli," katanya, semalam.

Siti Nadimah berkata, selain menambah pendapatan, khidmat mengajar ditawarkan itu sebagai memenuhi impiannya untuk berkongsi ilmu dengan orang lain terutama wanita di pedalaman.

"Kita tahu wanita yang duduk di kampung pedalaman susah nak tinggalkan suami dan anak untuk pergi kursus, jadi saya bergerak 'bawa' kelas solekan ini ke kampung mereka.

"Saya juga nak buktikan modal untuk berniaga memang penting tetapi apa yang lebih penting adalah ilmu. Walaupun tidak ada kedai, kita masih boleh buat duit jika ada ilmu," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, antara kenangan manis sebagai usahawan Empower ialah apabila dipilih penerima Anugerah Usahawan Harapan sempena sambutan Ulang Tahun Kelima ECER, Ogos lalu.

"Saya berterima kasih kepada Empower kerana banyak memberikan bantuan dan sokongan dalam apa jua usaha untuk saya berkembang lebih jauh dalam bidang solekan.

"Malah, sejak tamat kursus pada 2011, Empower sudah libatkan saya dalam ekspo dan pameran besar termasuk di pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK)," katanya.

Tambah Siti Nadimah, dengan sokongan berterusan Empower, dia yakin akan dapat mencapai impiannya untuk memiliki premis tetap bagi menjalankan perniagaannya dalam bidang solekan suatu hari kelak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan