Selasa, 19 November 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Hasrat Juara AF2013 - Faizul Bantu Keluarga Sakit Terlaksana

Posted: 18 Nov 2013 02:48 AM PST


Faizul
KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Faizul menyifatkan kejayaannya dalam program realiti itu dapat memenuhi hasratnya untuk membantu keluarga terutama sekali ibu dan bapanya yang sedang sakit.
Faizul atau nama sebenarnya Mohd Faizul Sani, 28, berkata, atas sebab itu selepas berpeluang menyertai AF2013, dia melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin untuk memberi kepercayaan kepada orang ramai.
"Saya tahu, peluang masuk AF 2013 bukanya mudah, jadi saya anggap ia sebagai kerja yang menjadi tanggungjawab untuk dilaksanakan dengan sempurna.
"Memandangkan mak dan ayah saya sakit tetapi mereka masih lagi bekerja demi menampung kehidupan, maka misi saya adalah untuk menyenangkan mereka," katanya selepas pengumuman pemenang AF 2013 di Stadium Negara di sini pada malam Ahad.
Dalam AF2013 yang turut disiarkan secara langsung di Astro Ria itu, Faizul berjaya membawa pulang hadiah utama wang tunai RM100,000, kontrak rakaman bernilai RM100,000 dan trofi sumbangan Astro.
Faizul memegang trofi kemenangan sambgil diperhatikan Datuk Siti Nurhaliza.
Tempat kedua diungguli peserta duo Azhael iaitu Mohd Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi yang membawa pulang wang tunai RM30,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.
Sementara, tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh Nadia Amira Othman atau Amira (menerima RM20,000 dan trofi) dan Siti Ruhailah Hussein atau Indah (menerima RM10,000 dan trofi).
Tambah Faizul, ibunya, Shallena Langkab, 56, mengalami penyakit jangkitan paru-paru dan bekerja di sebuah bank manakala ayahnya pula, Sany Saliun, 61, baharu sahaja selesai menjalani pembedahan jantung, namun masih bekerja di ladang kelapa sawit selain menjaga kambing di kampungnya di Tawau, Sabah.
"Saya bercadang untuk memberikan seluruh wang kemenangan ini kepada ibu serta ayah saya dan terpulanglah pada mereka mahu buat apa dengan wang tersebut.
"Saya faham, keluarga kami memerlukan wang terutamanya apabila mak dan ayah sakit. Jadi inilah hadiah saya buat mereka. Memang niat saya daripada awal lagi, jika menang, ia akan diberikan kepada mereka," ujarnya yang sebelum ini bekerja membantu keluarganya di kampung.
Sementara itu, Faizul juga berkata, dia sudah bersedia menempuh cabaran dan dugaan sebagai anak seni dan ingin menjadikan genre muzik pop rock sebagai imejnya.
"Walaupun pop rock, saya mahu lagu-lagu saya berada dalam kategori yang tersendiri dan ia memudahkan peminat mengenali bakat saya.
"Sebagai contoh seperti Faizal Tahir, dia memiliki keunikan tersendiri dalam membawakan sesebuah lagu," tuturnya.

Faizul Juara Akademi Fantasia 2013

Posted: 18 Nov 2013 02:48 AM PST


Faizul Sani (tengah) bersama peserta duo - Azhael (kiri) dan Amira.
KUALA LUMPUR: Bagai dijangka, peserta Faizul diumumkan sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013) yang berlangsung di Stadium Negara, di sini pada malam Ahad.
Kemenangan itu membolehkan Faizul atau nama sebenarnya Mohd Faizul Sani membawa pulang hadiah utama wang tunai RM100,000, kontrak rakaman bernilai RM100,000 dan trofi sumbangan Astro yang disampaikan oleh pengilham, Datuk Siti Nurhaliza.
Pada pertandingan yang diadakan secara langsung menerusi saluran Astro Ria itu, Faizul menyanyikan lagu berjudul Hanyut, nyanyian Faizal Tahir dan sebuah lagu baharu, Sepasang Sayap.
Tempat kedua diungguli peserta duo Azhael iaitu Mohd Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi yang membawa pulang wang tunai RM30,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.
Sementara, tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh Nadia Amira Othman atau Amira (menerima RM20,000 dan trofi) dan Siti Ruhailah Hussein atau Indah (menerima RM10,000 dan trofi).
Faizul menerima hadiah daripada Siti Nurhaliza
Dua peserta lain yang beraksi pada pertandingan akhir AF 2013 ialah Aishah Aziz (Aishah) dan Nur Nabila Mohd Razali (Nabila).
Senarai pemenang diumumkan oleh pengacara Zizan Razak dan Hefni (pada akhir rancangan).
Selain juri tetap, Edry Abdul Halim dan Sharifah Amani, turut diundang sebagai pengkritik ialah Datuk Ramli MS.
Selain persembahan para peserta, Datuk Siti Nurhaliza turut memeriahkan program tersebut dengan muncul membuat persembahan.
Selepas dua tahun program AF dihentikan sementara, AF2013 diperkenalkan dengan konsep baharu dengan menampilkan tiga pengilham terkenal iaitu Faizal Tahir, Melly Goslow dan Datuk Siti Nurhaliza.
Tiga pengilham tersebut menyalurkan pengalaman mereka kepada pelajar-pelajar AF2013.

Sheikh Muszaphar Terkilan Filem Lakonannya Gagal Siap Ikut Tempoh

Posted: 18 Nov 2013 02:46 AM PST


Sheikh Muszaphar Shukor di Restoran Rebung. 
KUALA LUMPUR: Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor terkilan apabila filem mengenai perjalanannya ke angkasa lepas yang diberi judul No.1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal masih belum siap.
Muszaphar berkata, filem rakaman perjalanannya ke angkasa lepas selama 10 hari pada tahun 2007 itu sepatutnya ditayangkan pada Mac lalu namun perlu dirombak semula apabila dia tidak berpuas hati mengenai beberapa perkara dalam pembikinan tersebut.
"Filem itu telah dihasilkan secara dokumentari menerusi arkib rakaman sepanjang proses saya ke angkasa lepas.
"Apabila menonton filem itu, saya kurang berpuas hati dan mahukan ia dijadikan sebagai sebuah filem cereka.
"Kiranya filem itu akan dilakonkan semula dan setakat pengarahnya, Imran Ismail masih lagi mencari pelakon yang sesuai untuk membawakan watak saya," katanya kepada mStar Online.
Sheikh Muszaphar bersama anaknya
Tambah Muszaphar, dia berharap, para peminat dapat bersabar menantikan naskhah filem tersebut yang dijangka akan siap selewat-lewatnya pada hujung tahun depan.
Filem itu bakal menggabungkan elemen imej janaan komputer (CGI) dan 3D bersama visual asal yang dirakamkan sendiri oleh Muszaphar semasa berada di angkasa lepas.
No 1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal adalah sebuah kisah benar yang dirakamkan Sheikh Muszaphar di dalam kapal angkasa SOYUZ TMA-11 milik Russian Federal Space Agency yang mengorbit di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dari 10 Oktober 2007 sehingga 21 Oktober 2007.
Sementara itu, sempena meraikan musim cuti sekolah, Muszaphar telah dilantik menjadi jurucakap bagi agensi Al Kawsar Travel & Tour bagi mempromosikan percutian selama 12 hari ke Sepanyol dan Morocco bermula 26 Disember ini hingga 6 Januari 2014.
Muszaphar akan bercuti bersama seramai 30 orang peminat menerusi pakej yang berharga RM12,700.
"Percutian ini akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Saya percaya tempat-tempat yang dilawati ini mempunyai sejarah keislaman yang tersendiri dan boleh menjadi contoh pemeliharaan warisan yang boleh kita pelajari," ujarnya.
Bagi tempahan tiket, hubungi Al Kawsar di talian 03-55109448 atau 016-3334010 atau e-mel kepada wanyidris.angkasawan@gmail.com.

Jual kisah cinta?

Posted: 18 Nov 2013 02:44 AM PST

  • Jual kisah cinta?

NAMA aktres Tyas Mirasih barangkali masih kedengaran asing bagi penggemar industri hiburan tempatan atau pun penggemar filem serta sinetron dari Indonesia.

Penampilan Tyas dalam filem Laga arahan Ismail Yaacob disamping pelakon yang sedang meningkat naik, Syazwan Zulkifli tahun lalu dikatakan punca kisah mereka.

Bukan gandingan dalam filem yang menjadi perhatian, sebaliknya kisah Syazwan yang dikatakan menjadi orang ketiga sehingga membuatkan hubungan Tyas dan kekasihny aktor, Keith Foo terlerai.

Tidak menafikan mempunyai hubungan yang baik dan rapat dengan Sayzwan, Tyas bagaimanapun menegaskan, Syazwan bukanlah punca perpisahannya dengan Keith yang juga merupakan pelakon berasal dari Malaysia dan terkenal di Indonesia.

"Cerita mengatakan kami bercinta itu tidak benar sama sekali dan ianya hanya gosip, begitu juga dengan cerita yang mengatakan Syazwan menjadi punca perpisahan saya dengan Keith.

"Semasa penggambaran, saya masih bersama Keith dan dia juga tahu saya di sini. Tapi apa yang penting saya dan Keith berpisah atas masalah kami sendiri dan bukan berpunca daripada Syazwan," jelasnya.

Tyas atau nama sebenarnya Tyas Mirasih Endah, 26 berkata, mereka kelihatan rapat ketika di set penggambaran hanya semata-mata untuk membina keserasian apatah lagi dalam filem Laga mereka memegang peranan sebagai pasangan kekasih dan tentu sekali ia adalah kerjasama pertama di antara mereka.

"Bila mendengar gosip itu saya hanya tertawa. Apa yang penting tidak sukar mendapatkan keserasian kerana Syazwan tidak sombong, kelakar dan senang diajak berbual," katanya yang turut mengesahkan sudah mempunyai kekasih baru.

Bersetuju dengan kenyataan Tyas, Syazwan berkata hubungan mereka tidak pernah lebih daripada seorang kawan dan baik dia, Tyas mahu pun Keith tahu akan perkara itu.

Di tebak adakah kisah percintaan mereka sengaja disensasikan untuk menarik perhatian penonton, Syazwan menegaskan dia tidak bersetuju dengan perkara tersebut kerana Laga sudah mempunyai keistimewaan tersendiri tanpa perlu disogok dengan publisiti murahan.

"Saya pada mulanya ada terasa apabila orang kata saya sebagai punca perpisahan mereka. Tapi apa yang penting kami tahu cerita sebenar dan tidak perlu lagi dijelaskan dengan lebih lanjut.

"Apa yang penting saya senang bekerjasama dengan Tyas kerana sebagai seorang pelakon yang dikenali di Indonesia, Tyas tidak pernah bersikap diva di sini, senang di ajak berbincang dan banyak membantu saya dalam lakonan, di samping pengarah dan pelakon senior yang lain," tegasnya.

Laga mengisahkan tentang kehidupan masyarakat di Pantai Timur yang masih lagi mengamalkan cara hidup dengan bermain judi dan aktiviti laga ayam.

Selain Syazwan dan Tyas, filem yang bakal ditayangkan pada 23 Januari 2014 ini turut dibintangi Wan Hanafi Su, Marsha Milan Londoh, Datuk Rosyam Nor dan Eman Manan.

Naik seiring kontroversi?

Dalam pada itu, mendekati jejaka yang mencipta nama menerusi drama bersiri Juvana ini, Syazwan boleh dikatakan menjadi antara pelakon baru yang sedang mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan peminat bahkan penerbit dan pengarah di negara ini.

Menolak apabila dikatakan lebih popular berbanding Johan As'ari, Syazwan berkata kerjaya lakonan adalah tuah masing-masing dan soal populariti bukan sebuah ukuran yang besar.

Bagaimanapun dalam keberkesanan lakonannya, ada yang mengatakan, Syazwan naik kerana beberapa siri kontroversi yang menjadi perhatian ramai. Antaranya adalah isu pelanggaran kontrak, kemalangan dan kisah percintaan.

"Saya rasa ia bukan suatu perkara yang melucukan bila ada yang kata saya kemalangan kerana mahu cari publisiti murahan, sengaja cari pasal untuk di saman kerana mahu mencari publisiti murahan.

"Saya belum gila lagi untuk buat semua itu kerana publisiti. Apatah lagi kejadian kemalangan itu turut melibatkan nyawa orang lain.

Bagi saya publisiti bukanlah satu perkara penting kerana apa yang penting adalah hasil kerja kita.

"Malah saya rasa kelakar apabila orang kaitkan saya dengan Nabila Huda dan bagai menjadi trend apabila artis lelaki rapat dengan artis perempuan orang kata bercinta. Jadi bila saya rapat dengan artis lelaki maknanya saya gay?," ujarnya.

Mahu jadi pelakon versatil

Di sebalik kisah kontroversi yang datang satu persatu, ada yang istimewa dengan diri Syazwan.

Keberkesanannya dalam menjayakan apa sahaja watak yang diberikan membuatkan ada yang merasakan, Syazwan adalah bakal Hero Malaya pada masa akan datang.

Bagaimanapun, ujar Syazwan, dia tidak rasa layak untuk bergelar Hero Malaya kerana tidak pasti apakah akan bergelar pelakon untuk tempoh masa yang lama lagi.

"Perjalanan saya masih jauh. Bagi saya hero Malaya itu sesuai diberikan kepada Datuk Rosyam Nor dan untuk berada di tahap lakonan Remy Ishak pun masih jauh lagi.

"Mana tahu sekarang saya popular, tapi untuk tahun seterusnya apa nasib saya, saya sendiri tidak tahu.

"Namun apa yang penting, setiap kali saya berlakon, saya akan cuba buat yang terbaik. Kalau pun saya bawa watak jahat, saya pastikan kejahatan itu tidak sama dengan watak yang saya bawakan sebelum ini.

"Sebab itu bila saya popular dengan Juvana, orang panggil saya Apek, selepas itu Carlos, kini bila saya berlakon dalam Jodoh Itu Milik Kita, orang kenali saya sebagai Syafiq. Jadi saya tahu, setiap kali saya menjayakan watak jahat, orang sentiasa kenal saya dengan watak yang baru," katanya.

Harap tuah di Malaysia

Sementara itu, bagi Tyas pula dia berharap mempunyai tuah di Malaysia dan dirinya akan diterima selepas penayangan filem Laga Januari depan.

Tyas juga turut meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang berlakon bersama barisan pelakon handalan tanah air.

Ujar bintang sinetron Bayu Cinta Luna ini, kesempatan bekerja dibawah produksi Malaysia memberi satu pengalaman baru.

"Bila saya dapat skrip, saya baca dan dapat tahu pelakon lain yang akan turut serta adalah barisan pelakon hebat Malaysia. Saya jadi risau dan gementar. Tapi bila difikirkan semula, mengapa tidak terima tawaran ini. Lagipun saya suka dengan jalan cerita filem ini.

"Saya juga bangga dapat bekerjasama dengan produksi di sini. Mereka semua mengalu-alukan kehadiran saya dan kita saling bantu membantu.

Apatah lagi ada perbezaan tentang cara bekerja di sini dan di Indonesia kerana di sana penggambaran akan berjalan dari pagi hingga awal pagi keesokan harinya. Tapi di sini, jadual penggambarannya lebih jelas dan ada masa juga untuk berehat.

"Saya harap menerusi filem Laga ini boleh membuat ramai lagi penonton Malaysia mengenali saya. Malah kalau ada tawaran, saya mahu lagi bekerjasama dengan produksi di sini," ujarnya.

Tidak mahu seksi lagi

Dalam pada itu, Tyas berkata dia juga tidak lagi menerima tawaran yang memerlukan dia memakai pakaian seksi sama ada di Indonesia atau di sini.

Mengakui tidak mahu lagi dikenali dengan imej seksi, Tyas berkata dia memang sudah lama menolak menjayakan watak yang memerlukan dia berimej seksi.

"Saya akui dulu ada menerima tawaran yang wataknya agak seksi. Tapi kini tidak lagi. Saya mahu lebih dikenali kerana mutu lakonan dan bukannya kontroversi," jelasnya.

FBI: Daripada DJ kepada konsultan?

Posted: 18 Nov 2013 02:43 AM PST

  • Faizal IsmailFaizal Ismail

PENYAMPAI radio popular, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI tidak menolak sekiranya ditawarkan bekerja dengan mana-mana stesen radio dengan syarat bukan sebagai penyampai.

Selepas lapan tahun, FBI akhirnya meninggalkan stesen radio Hot FM, Jumaat lalu.

Hari ini hari pertama peminat segmen Am Krew yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat tidak dapat lagi mendengar gabungan tiga suara penyampainya, FaFau, AG dan FBI.

Ketiadaan FBI disifatkan satu kehilangan besar buat stesen radio berkenaan.

"Untuk menjadi penyampai, saya tak nak. Saya tak mahu kembali ke mana-mana stesen radio sebagai penyampai.

"Tetapi seandainya ditawarkan untuk sesuatu yang berbeza daripada apa yang saya buat, itu mungkin akan dipertimbangkan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut berkenaan perkara itu, FBI berkata bakal mempertimbangkan sebarang tawaran dari mana-mana stesen radio jika ditawarkan sebagai konsultan.

"Saya berminat untuk... ada kawan saya yang buat konsultan untuk radio. Perkara seperti itu saya suka. Dia buat sampai ke radio di Indonesia.

"Kalau ada tawaran seperti itu, mungkinlah," katanya yang memilih untuk berhenti daripada menjadi penyampai radio demi memberi fokus kepada perniagaan baru yang diceburinya.

Meskipun sudah berhenti daripada Hot FM, FBI akan menjadi penyampai sambilan pada setiap hujung minggu bersama stesen radio yang pernah mengangkat namanya itu.

"Saya memang tak nak terima mana-mana tawaran stesen radio sebagai penyampai pun tapi lepas saya maklumkan kepada pihak pengurusan tentang keputusan saya, kami berbincang. Mereka meminta supaya saya akan terus bersama Hot FM walaupun pada hujung minggu.

"Itu permintaan pihak pengurusan dan saya menghormati keputusan mereka. Saya anggap ini adalah salah satu cara untuk saya membalas jasa mereka selama ini. Bermakna, dari sudut positifnya, saya dapat menghilangkan rasa rindu saya untuk berada di konti. Tapi semua tertakluk kepada jadual saya juga," katanya.

FBI turut berkongsi jadualnya agak padat sehingga Jun tahun depan apabila dilamar untuk terlibat dalam sebuah program TV siri kedua.

"Saya masih buat pengacaraan TV. Saya akan buat program yang berlainan jadi, ia tidak akan menjadi rutin saya. Saya dah tengok perjalanan saya kali ini ini. Insya-ALLAH sehingga bulan Jun jadual saya padat.

"Untuk lakonan, kemungkinan saya sudah boleh menerima tawaran-tawaran yang bersesuaian," katanya.

Akan datang, FBI bakal mengacarakan program Anugerah Skrin (ASK) bersama Nad Zainal dan Awal Ashaari.

Taktik menyamar tak menjadi

Posted: 18 Nov 2013 02:35 AM PST

  • Taktik menyamar tak menjadiSebahagian daripada awak-awak yang ditahan selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen sah.

KUALA TERENGGANU - Taktik penyamaran sebuah bot nelayan asing yang memaparkan nombor pendaftaran bot nelayan Kelantan bagi mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar setelah ditahan di sempadan Pelantar Minyak Dulang, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim berkata, dalam tangkapan kira-kira jam 1.30 petang itu, bot pukat tunda milik nelayan warga Vietnam ditahan selepas didapati sedang berlegar-legar di sempadan pelantar minyak tersebut dalam keadaan mencurigakan.

"Dari segi keadaan fizikal, bot berkenaan lengkap mematuhi undang-undang ditetapkan, tetapi setelah dibuat pemeriksaan selanjutnya, mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen sah.

"Malah, semasa anggota penguat kuasa menghampiri bot tersebut, awak-awak serta tekong di dalam bot itu telah pun berkumpul di satu sudut menyerah diri kerana mengetahui kesalahan mereka," katanya ketika ditemui di jeti Pelabuhan Perikanan Chendering.

Abdul Khalil berkata, mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan jika sabit kesalahan, manakala bot berkenaan boleh disita.

Selain itu, dua buah bot pukat tunda tempatan turut ditahan dalam operasi tersebut selepas didapati melakukan kesalahan menggunakan saiz mata pukat tunda di bawah ukuran 38 milimeter (mm).

"Kedua-dua buah bot tempatan itu didapati menggunakan saiz mata antara 24 mm hingga 26 mm dan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 yang boleh dikenakan kompaun, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Jelasnya lagi, tangkapan itu juga merupakan tangkapan pertama di Terengganu sejak undang-undang berkenaan dikuatkuasakan bermula 1 November lalu.

Menurut Abdul Khalil lagi, dalam operasi yang bermula seawal jam 10 pagi itu, seramai 32 nelayan warga Vietnam termasuk tiga tekong berusia antara 20 hingga 65 tahun ditahan.

"Sejumlah kira-kira RM30,000 hasil tangkapan turut berjaya dirampas," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalil berkata, lambakan pelbagai spesies ikan pada musim tengkujuh menjadi daya tarikan nelayan warga asing untuk menceroboh masuk perairan di negara ini.

"Selain itu, nelayan warga asing ini juga mengambil kesempatan pada musim tengkujuh kerana nelayan tempatan kurang beroperasi disebabkan faktor cuaca," katanya.

30 pasangan muda dirai

Posted: 18 Nov 2013 02:33 AM PST

  • 30 pasangan muda diraiAntara pasangan pengantin yang dirai pada majlis di Stadium MPPG, semalam.

PASIR GUDANG –  Seramai 30 pasangan muda memilih disatukan dalam upacara perkahwinan beramai-ramai di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang, di sini, semalam.

Yang Dipertua MPPG, On Jabbar berkata, majlis itu diwujudkan kembali selepas kali terakhir diadakan pada 2008.

"Objektif program ialah membantu pasangan pengantin dirai beramai-ramai dengan mengekalkan adat dan budaya.

"Ia juga dapat menerapkan budaya jimat cermat dalam perbelanjaan selain merapatkan ukhuwah dan silaturahim," katanya selepas majlis yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Jelasnya, program itu akan diadakan setiap tahun dan bakal membuka peluang kepada pasangan kurang mampu menyertainya secara percuma.

"Buat masa ini, pasangan yang ingin sertai dikenakan bayaran RM500. Kita setuju dengan idea MB, ia perlu ditawarkan secara percuma kepada pasangan kurang mampu," katanya.

Majlis dimulakan dengan akad nikah jam 8.30 pagi di Masjid An Nur, sebelum  pasangan diarak ke Stadium MPPG.

Majlis adalah program anjuran MPPG dan Jabatan Agama Johor, Johor Corporation dan Hospital Penawar.

Pasangan ditemui, Mohd Mirza Abd Rani dan isteri, Nur Suria Mohd Said masing-masing bersyukur perkenalan empat tahun lalu ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing, diakhiri ke jinjang pelamin.

"Kami berkenalan di tingkatan empat, kebetulan sekelas dan berhasrat disatukan akhir tahun ini. Kakak isteri memberi idea menyertai program ini, malah ia bertepatan dengan kehendak kami yang mahu majlis sederhana," kata Mohd Mirza.

Amy, Bunkface buru peluang

Posted: 18 Nov 2013 02:30 AM PST



KOLABORASI antara dua entiti muzik yang datang dari latar generasi berbeza bukanlah dianggap asing dalam dunia hiburan tempatan.
Sementelah, jika karya-karya yang dihasilkan melalui kolaborasi tersebut mendapat saluran promosi yang betul dan menerima sambutan hangat daripada para peminat.
Itulah yang diharapkan oleh penyanyi rock legenda, Amy Search, 55, selepas dia menyatakan persetujuannya untuk bergabung suara melalui single Rentak Laguku bersama band indie popular, Bunkface yang dianggotai Ahmad Farhan Hashim (Paan), Farouk Jaafar (Youk) dan Shamsul Anuar Mohd. Baharom (Sam).
Menurut Amy, band baharu seperti Bunkface perlu diberi peluang sama rata untuk menunjukkan bakat yang mereka ada supaya sesuatu luar biasa dapat diberikan kepada para peminat.
"Kebanyakan stesen televisyen kurang membuka peluang kepada band-band indie untuk menonjolkan bakat, lebih-lebih lagi dengan lambakan artis (program) realiti yang dihasilkan stesen televisyen tertentu saban tahun.
"Apabila hanya sesetengah artis sahaja kerap muncul, mereka yang berdiri sendiri seolah-olah tidak diendahkan, sekali gus semakin pudar dan dilupakan tanpa sebarang promosi," tegas figura itu yang popular dengan lagu Laila Namamu Teratas.
Jelasnya lagi, jika peluang hanya termaktub untuk artis-artis tertentu sahaja, maka bakat yang ada sudah pasti tidak akan dapat berkembang ke tahap yang lebih tinggi.
"Jika bakat yang baik gagal untuk berkembang, maka taraf industri seni kita tetap akan berada di takuk lama tanpa melalui sebarang arus perubahan," ujarnya.
Lagu balada
Dalam berkarya, pasti lagu-lagu yang ditulis mengikut rencah dan resipi band-band itu sendiri. Walhal, cita rasa pendengar juga perlu diambil kira.
Kongsi Amy, walaupun sesetengah band indie mengetengahkan genre rock atau rock alternatif, tidak semestinya mereka perlu menghasilkan album tanpa kehadiran lagu balada.
PAAN (tengah) diapit Sam (kanan) dan Youk kekal bersemangat untuk meneruskan perjuangan survival Bunkface.


"Bagi saya, lagu balada yang baik perlu ada dalam setiap album, tidak kira apa genre muzik yang dibawa oleh band tersebut.
"Jika lagu berentak balada ditulis sempurna untuk penyanyinya dan pada masa yang sama kena dengan masa, insya-Allah lagu tersebut pasti mendapat sambutan ramai," katanya lagi.
Mengulas mengenai nasihat yang dapat diberikan kepada Bunkface sempena dengan kolaborasi tersebut, ujar Amy, apa sahaja peluang yang ada perlu direbut walaupun ia bukan seperti apa yang dicita-citakan.
"Pada saya, banyak band Indie kurang mendapat perhatian kerana enggan mengambil peluang yang diberikan kepada mereka.
"Sebagai contoh, mereka sering memandang negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Britain untuk mengembangkan karier, sedangkan negara paling dekat dan mempunyai kuasa pendengar yang ramai hanya dipandang sepi," tegas Amy.
Menurut Amy lagi, mereka seharusnya cuba untuk menembusi pasaran yang berkongsi bahasa dan tradisi lebih kurang sama dengan rakyat di negara ini sebelum cuba untuk melangkah lebih jauh ke negara Barat.
"Bukan mudah untuk mengatur karier ke peringkat yang lebih tinggi. Jika band-band tempatan dapat menguasai 250 juta pendengar di Indonesia dan menembusi pasaran muzik di sana, saya yakin ia sudah cukup memadai untuk membentuk perkembangan karier yang sihat," jelasnya.
Dalam pada itu, Amy turut berkata, dia telah memberikan apa yang termampu menerusi kolaborasi tersebut. Selebihnya, dia menyerahkan kepada band yang pernah popular dengan lagu Silly Lily itu.
"Sebagai penyanyi yang lebih senior, saya sudah memberikan bahagian saya. Apa yang penting selepas ini adalah kerja keras mereka," jelasnya lagi.
Bermula dari bawah
Bagi tiga anak muda yang menganggotai Bunkface ini, mereka berdiri bersandarkan usaha keras dan hanya berpaksikan pada bakat yang ada.
Menurut salah seorang ahlinya, Ahmad Farhan Hashim atau lebih senang disapa Paan, karier awal kumpulan itu bermula sama seperti kumpulan-kumpulan Indie yang lain.
AMY ada pandangan tersendiri tentang kebanjiran artis produk program realiti TV.


"Ketika zaman permulaan, kami sering menyertai pertandingan Battle of the Band dan pertandingan-pertandingan lain.
"Pada masa yang sama kami juga turut menjual album EP secara persendirian selepas tamat setiap persembahan.
"Itu sahaja cara yang kami ada ketika itu untuk mempromosikan kumpulan kami. Atas usaha itu jugalah kami mempunyai pengikut tersendiri," ujarnya.
Tangkis kontroversi
Dalam memperjuangkan karya muzik mereka, Bunkface turut tidak terkecuali daripada dilanda pelbagai kontroversi suatu ketika dahulu.
Walaupun agak lali dengan tohmahan yang dilemparkan, mereka tetap bersemangat dan berusaha untuk terus memperjuangkan muzik mereka.
Kembali berdiri, mereka menegaskan, setiap band harus menjadikan 'zaman gelap' sebagai suatu pengajaran dalam memperbaiki diri untuk terus maju ke hadapan.
Menurut Paan: "Kami harus bijak menangkis kontroversi dan menjadikan ia sebagai pedoman untuk memperbaiki diri.
"Pada masa yang sama, alternatif lain turut difikirkan agar pendengar dapat merasai evolusi muzik kami dan tidak bosan dengan karya-karya yang sama setiap kali album baharu dikeluarkan."
Lagu yang ditulis sepenuhnya oleh Bunkface ini berkisar seratus peratus mengenai kumpulan itu. Irama, lirik dan komposisinya turut senada dengan apa yang ingin disampaikan oleh mereka.
"Lagu ini menggambarkan Bunkface. Apa yang diceritakan dalam lagu ini semuanya berkisarkan tentang kumpulan kami.
"Ditambah dengan gabungan suara Amy Search, membuatkan lagu ini menjadi lebih istimewa," ujar mereka yang baru sahaja menyanyikan lagu tersebut pada Anugerah Planet Muzik 2013 di Singapura baru-baru ini.
Bunkface turut berkongsi cerita, mereka akan mengadakan persembahan di Jakarta sempena festival JackCloth pada 7 Disember depan.


Fasha anggap tidak seksi

Posted: 18 Nov 2013 02:29 AM PST


SATU babak filem Penanggal yang menggandingkan Fasha bersama Zul Arifin.


AKTRES Fasha Sandha yang ditemui pada malam prebiu filem Penanggal lakonannya baru-baru ini kelihatan semakin jelita dengan baju gaun hitam yang membaluti tubuhnya.
Tidak keseorangan, ibu kepada Putra Rayfal Ramli, tujuh bulan, itu hadir bersama suami tersayang, Rizal Ashram atau Jejai.
Biarpun bukan peminat filem seram tetapi aktres berusia 29 tahun itu berani menyahut cabaran membintangi Penanggal yang turut dibintangi oleh Ummi Nazeera, Azri Iskandar dan Zul Ariffin itu.
Membawakan watak gadis Arab bernama Sharifah Zahrah, ada beberapa babak yang memaparkan keseksian aktres itu dalam mengenakan busana Arab.
Fasha menjawab mengenai hal itu selain bercerita mengenai cabaran membintangi filem sulung arahan aktres hebat Elly Suriati itu.
Ikuti temu bual bersama Fasha selanjutnya.
Kosmo!: Khabarnya masih belum sihat tetapi datang juga ke malam prebiu filem Penanggal?
FASHA: Ya, masih demam sejak hari itu. Ketika saya demam, risau pula mahu beri anak susu, takut berjangkit. Mujur saya tanya kakak saya yang sudah memiliki anak tiga orang sama ada boleh menyusukan anak atau tidak. Dia cakap boleh, tak berjangkit sebab susu ibu ada antibodi. Cuma dia cakap jangan kerap cium anak takut berjangkit tetapi saya cium juga (ketawa).
Apakah perasaan tonton lakonan anda dalam Penanggal?
Ini kali pertama saya menonton Penanggal. Sebagai pelakon, memang akan ada rasa untuk perbaiki lagi mutu lakonan tetapi kalau pengarah puas hati, saya lega. Saya suka keseluruhan filem ini walaupun ada beberapa babak yang dipotong.
Kenapa babak tersebut dipotong dan apakah babaknya?
Ia babak membabitkan lakonan saya. Mungkin ia dipotong disebabkan terlalu panjang. Babak membabitkan apa tidak perlulah saya beritahu.
FASHA hadir ke majlis tayangan perdana filem Penanggal bersama suami.


Maaf bertanya. Ada beberapa babak dalam Penanggal yang memaparkan Fasha dalam keadaan yang seksi. Kostum Arab yang dikenakan terlalu terdedah sehingga terlihat lurah dada anda. Komen Fasha?
Bagi saya, tidaklah seksi sangat. Benda itu biasa sahaja. Tidak perlu jadikan isu.
Fasha tidak berasa malu?
Tidak malu, malah berasa bangga menonton lakonan sendiri.
Apakah cabaran membawakan watak Sharifah Zahrah?
Semua babak susah terutama babak yang memerlukan saya berdialog dalam bahasa Arab. Memang kita boleh belajar dan hafal tetapi bagaimana nak buat lenggok bahasanya jadi semula jadi seperti orang Arab bercakap, itu yang susah.
Fasha suka filem seram?
Saya boleh tengok tetapi tidak berapa suka. Suami pernah kenakan saya ajak tengok cerita komedi tetapi sebenarnya cerita seram. Saya lebih suka cerita komedi. Bila tertekan dekat set penggambaran, saya akan lega bila tengok cerita komedi.
Kebiasaannya bagi pelakon yang membintangi cerita seram akan ada pengalaman berjumpa hantu. Bagaimanakah pula dengan Fasha sendiri?
Memang penggambaran Penanggal bermula dari pukul 6 petang hingga 7 pagi. Namun, saya tidak mengalami apa-apa peristiwa yang menakutkan.
Selama 10 tahun terbabit dalam dunia lakonan, saya pernah terlibat dalam dua buah drama seram dan sebuah filem seram iaitu Gong.
Namun Alhamdulillah, saya belum lagi mengalami peris- tiwa seram.
Bagaimanakah pengalaman bekerja di bawa arahan Elly Suriati?
Dia tahu naluri seorang pelakon. Jadi, dia tahu bagaimana nak cakap dengan pelakon. Dia sangat teliti dan semua perkara dititikberatkan. Bukan mudah seorang pelakon sepertinya mahu buat naskhah seperti ini.
Selain daripada Penanggal, apakah drama atau filem lakonan anda yang bakal keluar?
Drama Racun Ibu untuk slot Cerekarama TV3 serta dua buah drama bersiri untuk RTM dan TV3.


Saya nampak jelmaan diri sendiri - Mikael Andre

Posted: 18 Nov 2013 02:27 AM PST


MIKAEL (dua dari kanan) dirakam pada majlis tayangan perdana filem Kisah Paling Gangster di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KELAINAN yang ditampilkan oleh Mikael Andre menerusi filem sulungnya yang berbentuk dokumentari seram berjudul Highland Tower nampaknya membuahkan hasil.
Segelintir daripada peminat menggemari cara penyampaian filem tersebut kerana ia digarap dengan menggunakan teknik penceritaan dokumentari tanpa bergantung kepada skrip semata-mata.
Namun, ada juga yang mengkritik hebat filem itu dengan mengatakan elemen-elemen seram yang dipaparkan adalah tidak benar dan kewujudan entiti di dalam filem tersebut merupakan lakonan semata-mata.
Ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Kisah Paling Gangster baru-baru ini, Mikael jujur memberitahu bahawa 70 peratus babak daripada filem itu merupakan rakaman benar.
Katanya, hanya beberapa rakaman sahaja yang dilakonkan semula agar persembahan cerita tampak lebih kemas dan menarik.
"Sebagai pengarah dan pelakon filem Highland Tower, saya boleh pastikan bahawa lebih separuh babak dalam filem tersebut adalah rakaman yang kami dapat sepanjang tiga hari membuat pengambaran.
"Babak lakonan Atikah Suhaimi sebagai Cliper dirasuk adalah benar. Malah, babak-babak yang melibatkan suara-suara ganjil yang kedengaran juga adalah benar.
"Kelibat orang berjalan yang berjaya kami rakamkan juga adalah benar. Namun, saya tidak pasti adakah itu entiti atau hanya kelibat penagih dadah yang merewang di dalam bangunan itu," jelasnya.
Anak kepada aktres Khatijah Tan itu turut berkongsi pengalaman seram yang dialaminya ketika sedang melakukan pengambaran.
"Terus terang, pengalaman yang paling menyeramkan adalah ketika melihat jelmaan saya sendiri muncul dalam rakaman yang telah dirakam, sedangkan pada waktu itu saya memegang kamera.
"Lebih menakutkan, jelmaan saya itu mirip wajah badut yang sedang tersenyum," ujar jejaka ini lagi.
Menurut Mikael, walaupun terdapat banyak kelemahan dari segi teknikal, filem sulung pertamanya itu tetap mendapat sambutan yang memberangsangkan.
"Alhamdulillah, secara tidak rasmi, jumlah kutipan tiket untuk filem ini dianggarkan kira-kira RM3.5 juta.
"Ini menguatkan lagi semangat untuk saya berkarya pada masa akan datang," katanya yang ingin terus meneroka tempat-tempat yang dikatakan 'keras' di seluruh negara bagi dijadikan sebuah lagi filem dokumentari.
Dalam pada itu, dia menaruh harapan yang tinggi melalui lakonannya dalam Kisah Paling Gangster.
"Kisah Paling Gangster merupakan filem kedua saya setakat ini. Walaupun judulnya tampak sedikit ganas tetapi jalan cerita dan teknik penceritaannya lebih menjurus ke arah permainan emosi.
"Dalam filem ini saya memegang watak sebagai anak kepada ketua kongsi gelap yang diberi tanggungjawab untuk membunuh musuh bapanya, iaitu ketua kumpulan kongsi gelap lain yang dianggotai oleh Remy, lakonan Shaheizy Sam," katanya lagi.
Kisah Paling Gangster yang diarahkan oleh Brando Lee bakal menemui penonton pada 21 November ini.


Nina berhenti belajar

Posted: 18 Nov 2013 02:26 AM PST

NINA ISKANDAR berazam untuk menjadi artis pertama Brunei berhasil mencipta kejayaan di Malaysia.


DEMI cintanya yang cukup mendalam terhadap bidang seni, pelakon baharu Nina Iskandar sanggup mengambil keputusan untuk berhenti belajar.
Bukannya menganggap pelajaran itu sesuatu yang tidak penting, tetapi pelakon berasal dari Bandar Seri Begawan, Brunei ini menyatakan, peluang berlakon yang datang mencurah-curah menyebabkan dia perlu membuat pilihan yang tepat.
"Apabila mengikat kontrak dengan Metrowealth awal tahun ini, pada masa yang sama saya sedang menuntut di kolej International Graduate Study (IGS), Brunei dalam bidang Pengurusan Perniagaan.
"Setelah difikirkan semasak-masaknya, akhirnya saya ambil keputusan untuk berhenti belajar memandangkan saya sukar untuk fokus dua kerja dalam satu masa," ujar pelakon berusia 22 tahun itu.
Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang lakonan, Nina berkata, dia sudah mula berlakon drama bersiri di negara kelahirannya sejak tahun 2011.
Kemudian dia pernah membintangi drama iaitu Erna Suraya yang membabitkan kerjasama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Televisyen Brunei (RTB).
Bermula saat itu, timbul minat dalam dirinya untuk mencuba nasib dalam industri hiburan di Malaysia. Ternyata rezeki berpihak kepada dirinya apabila mencuba nasib menyertai uji bakat bersama Metrowealth setelah diminta menghantar profil peribadi oleh David Teo.
"Melihat kepada perkembangan bidang lakonan di Malaysia, sudah ramai pelakon luar seperti Singapura yang mencuba nasib dan ternyata kebanyakannya berjaya mencipta nama di negara ini.
"Namun begitu, setakat ini masih belum ada lagi pelakon Brunei yang betul-betul menyerlah di sini. Jadi, saya berazam untuk menjadi artis pertama Brunei yang berhasil mencipta kejayaan di Malaysia," ujarnya.
PELAKON genit ini bakal muncul bersama empat buah filem lakonannya pada tahun depan.


Menurut Nina, dia juga sangat beruntung kerana pembabitannya dalam bidang seni ini mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarga, malah mereka turut merestui apabila dia mengambil keputusan untuk berkelana ke luar negara bagi mengembangkan lagi bakat lakonannya.
"Dalam ahli keluarga, bukan saya seorang sahaja yang menceburi bidang seni kerana kakak saya juga pernah aktif berlakon dahulu. Cuma setelah mendapat pekerjaan tetap, dia tidak lagi berlakon," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.
Berkenaan dengan perkembangan kerjayanya sekarang, Nina memberitahu, setakat ini dia sudah berlakon dalam empat buat filem terbitan Metro- wealth seperti Muka Surat Cinta, Lu Gua Bro, Sniper dan Pengantin Malam. Semua filem berkenaan akan ditayangkan pada tahun 2014.
Lupa daratan
Apabila mengambil keputusan untuk berhijrah ke negara ini, ternyata ia tidak memberi jalan yang mudah buat diri Nina memandangkan dia perlu berhadapan dengan beberapa cabaran.
Antaranya, persepsi segelintir peminatnya di Brunei yang beranggapan dia seolah-olah seperti sudah lupa daratan kerana tidak fasih lagi berbahasa Melayu Brunei.
"Tidak dinafikan ada sedikit perbezaan antara bahasa Melayu di Brunei dan Malaysia, terutamanya dari segi slanga. Jadi, saya pernah dikutuk peminat di negara asal gara-gara tidak bertutur dalam bahasa Melayu Brunei ketika ditemu bual oleh wartawan.
"Kemudian saya terpaksa menjelaskan kepada peminat yang saya kini mencari rezeki di negara ini dan terpaksa berusaha dengan keras supaya dapat bertutur dalam bahasa Melayu tempatan dengan lebih baik," jelasnya.
Selain masalah bahasa, pelakon berkenaan menyatakan, dia turut berhadapan dengan masalah berat badan ketika kemunculan awalnya di Malaysia dahulu. Dengan berat yang pernah mencecah 59 kilogram, dia berhasil menurunkannya sehinga menjadi 50 kilogram sekarang.


Kelantan Delights labur RM5 juta

Posted: 18 Nov 2013 02:20 AM PST


SABRI menunjukkan sebahagian daripada hidangan menarik yang disediakan di Restoran Kelantan Delights di Petaling Jaya baru-baru ini.


PETALING JAYA – Kelantan Delights Sdn. Bhd., (Kelantan Delights), pengendali restoran makanan tradisional dari Kelantan dan Selatan Thailand, menyasarkan untuk membuka tiga restoran baharu dengan pelaburan sebanyak RM5 juta tahun depan.
Pengerusi Kelantan Delights, Sabri Abd. Rahman berkata, lokasi strategik bagi cawangan baharu itu masih lagi dalam peringkat kajian, namun tumpuan tetap diberikan kepada kawasan di Lembah Klang.
Menurutnya, pelaburan itu juga termasuk kos untuk melakukan penambahbaikan premis sedia ada yang terletak di KL Sentral dan Subang Jaya.
"Kami juga mengintai peluang untuk membuka restoran berkonsepkan Quick Service Restaurant seperti kafe atau makanan segera makanan tradisional dari Kelantan.
"Kami berhasrat menjadikan Kelantan Delights sebagai restoran premium masakan Melayu yang terbaik di negara ini.
"Ia akan dilakukan menerusi penyediaan persekitaran restoran yang selesa, persembahan makanan berkualiti, keenakan sajian serta perkhidmatan terbaik untuk pelanggan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.


Melahirkan penggusti lengan terhebat

Posted: 18 Nov 2013 02:14 AM PST



KETIKA zaman persekolahan, setiap kali Mohamad Nizar Yusof berlawan gusti lengan pasti perlawanan tersebut menjadi tumpuan rakan-rakannya. Ini berikutan, dia berkemampuan mengatasi lawannya dengan mudah.
Keghairahan lelaki yang berasal dari Kedah itu terhadap aktiviti gusti lengan tidak terhenti di situ sahaja. Selepas tamat sekolah, dia yang kini berusia 29 tahun meneruskan minatnya dengan berkecimpung secara serius dalam arena gusti lengan. Penglibatannya nyata berbaloi apabila sering meraih gelaran johan atau naib johan dalam mana-mana pertandingan yang disertainya.
Pada awal penglibatan, dia hanya berlatih sendiri di rumah dengan menonton klip-klip video dan video kejohanan sukan gusti lengan antarabangsa di YouTube.
"Pada tahun 2004, saya gunakan khidmat jurulatih profesional. Barulah saya sedar, rupa-rupanya sukan ini seperti sukan lain memerlukan tunjuk ajar dan latihan yang sistematik. Ia membuahkan hasil kerana dalam tahun yang sama, saya menang tempat keempat pada pertandingan peringkat kebangsaan," jelas Nizar.
Atas sebab peribadi, Nizar berhenti seketika pada tahun 2004 dan kembali aktif enam tahun kemudian. Hasil ketabahan dan minat yang tidak pernah padam, Nizar berjaya menjadi johan gusti lengan kebangsaan kategori 75 kilogram ke bawah pada tahun 2010.

PEMENANG ketiga-tiga kategori sukan gusti lengan anjuran iSIHAT, dari kiri, Nizar, Valen dan Hairul Nazri Abd Halim.


Pemegang gelaran Mr. Selangor pada tahun 2011, Nizar berkata, kejayaan yang diperoleh adalah hasil berlatih dengan serius dan sistematik.
"Selain itu amalkan diet seperti pengambilan kalsium tinggi untuk tulang. Ia amat penting kerana pemain gusti lengan mudah tercedera dan kecederaan biasa ialah patah tangan. Saya juga membuat latihan kecergasan di gim untuk menguatkan otot tangan dan seluruh tubuh badan," kata Nizar.
Dalam pada itu, Nizar berkata, pembabitan orang ramai di negara ini masih kurang dan kebanyakan yang berjaya disebabkan faktor minat.
Kurang publisiti
"Walaupun banyak pendedahan kepada masyarakat termasuk pertandingan, bilangan yang menyertai sukan ini masih kecil dan biasanya ketika pertandingan para peserta adalah muka-muka yang sama.
"Ia mungkin disebabkan kurang publisiti terhadap pertandingan dan ia bukanlah sukan utama di negara ini. Jika dilihat di negara lain seperti Rusia, Thailand, Ukraine dan Austria, ia satu sukan yang diiktiraf dan banyak pertandingan bertaraf dunia diadakan di sana," kata Nizar.
Dia ditemui pada pertandingan gusti lengan anjuran majalah iSIHAT terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. dengan kerjasama syarikat produk kesihatan, Shaklee di pusat beli-belah Ampang Point, Ampang, Kuala Lumpur. Kira-kira 60 peserta menyertai pertandingan itu.
Pertandingan yang diadakan sebagai salah satu usaha mempromosi gaya hidup sihat kepada orang ramai dibahagikan kepada tiga kategori iaitu A (85.1 kilogram ke atas), B (75.1 hingga 85 kilogram) dan C (bawah 75 kilogram).

PENYOKONG boleh berdiri berdekatan pemain dalam usaha menaikkan semangat mereka.


Dalam pertandingan tersebut, Nizar berjaya memenangi kategori B pertandingan itu dan membawa pulang wang tunai RM300 dan hamper produk kesihatan Shaklee.
Bagi kategori A, dimenangi peserta dari Singapura, Valen Low Wai Luen, 19, sekali gus dia membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan hamper produk kesihatan Shaklee. Valen mula terbabit dalam sukan tersebut ketika berusia 16 tahun.
Dia berlatih dengan melayari video di internet dan laman web berkaitan sukan gusti lengan. Selain itu, dia pergi ke gim bagi menguatkan otot tangan di samping menyertai banyak pertandingan gusti lengan.
"Dulu, saya selalu menang kategori junior, kini hanya bertumpu kepada kategori dewasa dengan berat tertentu." katanya.
Seperti di Malaysia, Valen berkata, pendedahan terhadap sukan itu di Singapura juga masih kurang. "Saya selalu menyertai pertandingan di Malaysia kerana sukan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat dan menerima sokongan baik daripada pemain serta penganjur. Acara pada hari ini, misalnya, mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta dan berjalan dengan lancar," ujarnya.
Valen antara perintis sukan gusti lengan di negaranya berhasrat mengumpul sebanyak mungkin gelaran dan bersaing pada tahap lebih besar sebelum mencapai usia 21 tahun. "Saya yakin, Malaysia dan Singapura boleh menjadi negara kuat dalam sukan gusti lengan seperti di Thailand," jelas Valen.
Juara dunia
Jika Nizar dan Valen merupakan peserta berpengalaman serta menjuarai kategori masing-masing, lain pula ceritanya bagi Muhammad Ali Omar, 24, yang pertama kali menyertai pertandingan seumpama itu.
"Pengalaman mengikut bapa, Omar Surade, 53, menyertai pertandingan gusti lengan membuatkan saya teruja dan seronok melihat aksi-aksi peserta.
"Para penonton yang bersorak menaikkan semangat para pemain untuk menewaskan lawan masing-masing. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menewaskan lawan sekiranya tidak mempunyai latihan dan teknik yang betul. Saya lihat wajah ayah ceria dan puas apabila memenangi perlawanan sekali gus menarik minat saya untuk mengikut jejak langkahnya," kata Ali yang bersaing dalam kategori C. Bagaimanapun, dia tewas kepada lawannya.

CONTOH meja dan peralatan yang digunakan dalam sukan gusti lengan.


Meskipun begitu, dia tetap bersemangat untuk meneruskan minatnya dan berharap bimbingan yang diberikan bapanya akan membentuknya menjadi juara dunia sebelum berusia 28 tahun.
"Bapa mula-mula terlibat dalam bina badan, kemudian dia mengambil sukan gusti lengan sebagai karier sukannya. Sekarang giliran saya bersama-sama bapa," katanya yang memberitahu bapanya banyak memenangi pertandingan kategori veteran.
Penolong Pengarang Majalah iSIHAT, Hamidah Zabidi berkata, sebelum ini pihaknya telah menganjurkan pelbagai program seperti paintball, mencari harta karun dan sukan luncur udara namun penglibatan dalam sukan gusti lengan merupakan julung kali diadakan.
"Kami mempromosikan acara ini di laman sosial Facebook dan mendapat respons yang baik daripada orang ramai yang ingin turut serta termasuk peserta luar negara seperti Singapura.
"Walaupun sukan ini tidak mempunyai ramai pengikut tetapi kami terkejut melihat kehadiran peserta dan penyokong yang ramai di sini.
"Penganjuran sukan gusti lengan ini bagi membolehkan orang ramai menyertai pertandingan dan pada masa sama mereka dapat bersukan dalam suasana yang santai," katanya.


Keterujaan seni tempur campuran di Rusia

Posted: 18 Nov 2013 02:13 AM PST


KEJOHANAN MMA kini mendapat sambutan hebat oleh ribuan peminatnya di Rusia.


DUA lelaki Rusia sedang bergelut dalam kurungan besi dan para penonton bersorak apabila salah seorang daripada mereka menumbuk lawannya dengan ganas. Aksi tersebut merupakan salah satu acara sukan yang pernah diharamkan di banyak negara suatu ketika dahulu.
Dalam ribuan penonton yang bersesak-sesak menyaksikan Kejohanan Seni Tempur Campuran (MMA) Moscow itu kedengaran jeritan, Ayuh, pukul... pukul kuat lagi'.
Sukan yang dikenali sebagai perlawanan tanpa peraturan di Rusia itu telah lama dilupakan. Ia bermula pada tahun 1920-an dan popular di peringkat antarabangsa pada tahun 1990-an. Bagaimanapun, di Rusia ia semakin digemari apabila peserta kategori heavyweight negara itu, Fedor Emelianenko muncul juara dalam beberapa siri kejohanan antarabangsa sedekad yang lalu.
Sejak itu, banyak kelab baharu muncul di Rusia dan ia tidak terhad untuk golongan lelaki sahaja malah golongan wanita dan kanak-kanak turut terbabit. Para peserta dilatih membabitkan teknik-teknik sepakan dan tendangan seperti yang dilihat dalam sukan judo, tinju, taekwando, karate dan kung fu.
Amat popular
Ivan Ivanov merupakan seorang pengarah Rod iaitu salah satu kelab utama di Moscow menjelaskan, MMA kini menjadi amat popular di Rusia dan hampir menyamai acara tinju lain yang telah lama wujud.
Ketika Rod dibuka pada tahun 2007, hanya terdapat beberapa dozen pelatih tetapi kini jumlah tersebut meningkat kepada 350 orang, kata Ivanov yang merupakan bekas pegawai polis.
"Anggota pasukan keselamatan antara yang teramai menyertai sukan ini. Para pelajar dan pekerja pejabat juga tidak ketinggalan turut serta," katanya. Di Rusia, kanak-kanak seawal usia enam tahun mulai terlibat dan berlatih sukan berkenaan.
Dalam sukan tersebut terdapat beberapa perkara yang dilarang seperti menggigit, mencucuk mata dan membuat serangan balas di bahagian tekak dan tulang belakang pihak lawan.

SEORANG jurulatih tekun melatih kanak-kanak dalam sukan MMA di Rusia.


"Sukan ini seumpama pertempuran jalanan," kata Vyacheslav Yurovskikh, peserta amatur MMA berusia 41 tahun dan merupakan pesaing tertua di kejohanan di Rusia.
"Cuaca di Rusia sangat sejuk, jadi kami bertempur untuk memanaskan badan," kata Yurovskikh dalam nada bergurau. Walaupun suatu ketika dulu hidungnya pernah cedera teruk tetapi dia menyifatkan sukan tersebut tidak begitu berbahaya.
"Di dalam gelanggang terdapat seorang pengadil yang akan memberhentikan perlawanan dengan serta-merta," katanya.
Peserta wanita
Peserta wanita dan juga juara tinju Thai, Anastasiya Yankova, 22, menyatakan dia terpaut dengan sukan ini sejak kali pertama mencuba MMA.
"Di dalam gelanggang, saya tidak mempunyai perasaan takut. Adrenalina saya memuncak untuk bertempur," katanya.
Namun begitu, penyertaan golongan wanita dilihat masih kurang di Rusia dan sebahagian peserta lelaki tidak menyukai pembabitan wanita.
Struktur MMA di Rusia juga turut dikaitkan dengan semangat nasionalisme dengan sebahagian kelab hanya melatih etnik Slavic dan mengenepikan masyarakat Islam dari wilayah Caucasus Utara.
Terdapat pertandingan amatur yang tidak membenarkan penyertaan penempur bukan daripada etnik Slavic dari kawasan selatan yang melahirkan ramai peserta hebat.
Salah satu penaja utama acara MMA adalah jenama pakaian terkenal, White Rex yang bertujuan untuk menyuntik semangat pertempuran dalam kalangan orang putih Eropah.
Dalam pada masa itu, MMA telah menarik perhatian Presiden Vladimir Putin yang aktif dalam sukan judo dan memiliki tali pinggang hitam. Bagaimanapun, penglibatan Putin tidak disenangi sesetengah pihak terutama musuh politiknya.
Antaranya, etnik Slavic yang tidak menyokong polisi Putin memberi dana kepada Caucasus Utara.
Putin juga pernah diejek ketika berucap pada majlis meraikan kejayaan Emelianenko menewaskan juara bertahan dari Amerika Syarikat, Jeff Monson di sebuah stadium negara itu.


Funky bersama 27 Legacy

Posted: 18 Nov 2013 02:11 AM PST



PERNAH dipandang sepi, pelik atau mungkin kekampungan, teori individu terhadap pakaian berkonsep ikat celup (tie dye) jarang sekali seia, terutamanya di Malaysia. Teknik tersebut kurang memikat masyarakat di negara ini, barangkali kerana campuran warna terang dan pola corak tidak senada membuatkan kita kurang berani menyarungkan pakaian ikat celup.
Secara realistik, fesyen ikat celup merentasi jalur masa yang mengagumkan. Dipercayai mula tercipta seawal abad ke-6 di India, Jepun dan Afrika, fabrik ikat celup kemudiannya berkembang ke serata dunia termasuk di Amerika Syarikat (AS).
Metodologi tradisional teknik tersebut masih dapat dilihat di India menerusi corak bandhani, antara teknik ikat celup tertua di dunia.
Bandhani memaparkan seni ikat celup menggunakan benang halus dan celupan warna bagi membentuk corak berbintik kecil.
Jepun pula mempunyai shibori yang kini menyerupai teknik ikat celup moden. Berteraskan indigo iaitu pewarna biru yang diperoleh daripada tumbuhan indigofera yang kebiasaannya diguna untuk membuat nila bagi mewarnakan pakaian mereka, masyarakat Jepun mengadaptasi teknik itu pada fabrik yang diperbuat daripada sutera atau gentian hem.
Menjengah tahun 1960-an, ikat celup dibawa ke AS melalui gerakan hipi iaitu golongan yang hidup berlandaskan kebebasan berfikir dan mempunyai identiti pakaian tersendiri. Hipi mahukan eskapisme daripada norma sosial yang terlalu terkawal pada zaman itu. Pakaian ikat celup dipilih sebagai salah satu madah ekspresi terhadap prinsip kebebasan hidup mereka.
Pengenalan
Dunia menerima ikat celup sebagai cabang kesenian klasik yang sederhana. Harus diakui, pengaruhnya di negara ini kurang menyegat, jika adapun ia banyak dijadikan penghias utama selendang atau kain pario untuk kegunaan wanita.
Sabar menanti untuk mencapai kemuncak penerimaan orang tempatan, fesyen ikat celup kini mula mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat di sini. Gerakan label tempatan di bawah nama 27 Legacy Tie & Dye (27 Legacy) membuka ruang bagi gaya retrospektif itu untuk melebarkan pengaruhnya kepada kelompok remaja.
PENGLIBATAN 27 Legacy pada festival pakaian lokal seperti Tempatan Fest baru-baru ini memberikan mereka pendedahan yang baik.


Buah fikiran Faiz Hakim Hassan, 24, salah seorang penggerak 27 Legacy akhirnya memacu jenama itu ke tahapnya sekarang. Hasil bimbingan bapanya, Hassan Ismail, lima ahli 27 Legacy secara suka-suka mencipta pakaian ikat celup untuk kegunaan sendiri. Kepintaran mereka meneroka reka bentuk ikat celup yang segar melahirkan minat awam.
"Tiba-tiba ada orang tempah 30 helai baju yang pada asalnya dibuat untuk dipakai sendiri. Bermula saat itu, permintaan semakin banyak dan kami sepakat membuka gerai di Bazar Larut Malam Cheras, Kuala Lumpur," kata Rashdan Nasaruddin, 24, membuka cerita ketika ditemui Stailo.
Langkah awal graduan-graduan jurusan Teknologi Maklumat Perniagaan dan Sains Komputer Kolej Poly-Tech Mara, Kuala Lumpur itu bermula secara rasmi pada bulan Januari lalu.
Secara serentak, 27 Legacy memperkenalkan bisnes pakaian ikat celup dalam talian. Sambutan menggalakkan jualan dalam talian mendorong mereka fokus kepada medium pemasaran itu dan menutup gerai di Cheras.
Rekaan sulung berupa baju-T di bawah nama flower power dengan cantuman lebih 10 warna menjadi dasar pengenalan 27 Legacy.
Kreativiti mereka mengeluarkan helaian berciri ikat celup pada singlet dan baju kurung memberi isyarat bahawa fesyen tersebut mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
Jalur Gemilang
Apabila rekaan baju-T ikat celup yang dicorak menyerupai Jalur Gemilang dikeluarkan, 27 Legacy berjaya menjangkau lingkungan peminat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan usia. Penerapan nilai patriotik itu membangkitkan sentimen cintakan negara dalam diri belia menerusi madah yang moden.
"Kami hasilkan rekaan itu khusus untuk menyemai patriotisme dalam kalangan orang muda. Kalau kita tengok baju-baju atau fesyen sedia ada yang cuba mempromosikan semangat kenegaraan tidak lagi relevan dengan peredaran zaman.
"Remaja mahukan sesuatu yang segar, menarik dan sesuai dengan usia mereka. Jadi kami gunakan teknik ikat celup berpandukan warna teras Jalur Gemilang. Bulan dan bintang berbucu 14 ditambah pada rekaan tersebut sekali gus memberi imej Malaysia yang bertenaga," jelas seorang lagi ahli 27 Legacy, Mohammed Hafiiz Mohammed Yusoff.
Dikeluarkan sempena sambutan bulan kemerdekaan negara pada Ogos dan Hari Malaysia pada September lalu, Koleksi Jalur Gemilang 27 Legacy menerima permintaan di luar jangkaan. Sempurna dipakai ketika menonton perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan negara, rekaan itu masih dibuka untuk tempahan hingga 31 Disember depan.

SELAIN rekaan yang menarik, kualiti terbaik material yang digunakan pada baju 27 Legacy menambah keyakinan pelanggan terhadap jenama tersebut.


Penghasilan
Material yang digunakan 27 Legacy juga dipilih bersesuaian dengan reka corak dan cuaca di tanah air. Fabrik kapas menjadi pilihan mereka disebabkan ketahanannya terhadap kelunturan warna.
Sekiranya anda penggemar gaya polos, baju-T satu rona dengan percikan warna ikat celup pada bahagian poket akan menepati cita rasa anda. Rekaan poket origami itu boleh dipadankan mengikut kecenderungan warna peribadi sama ada putih, hitam, merah atau kelabu.
Bercerita mengenai pembuatan pakaian mereka, kata Hafiiz, 24, setiap 100 helai baju yang diproses memakan masa tiga atau empat hari untuk siap sepenuhnya. Setiap rekaan dilakar terlebih dulu sebelum dijelmakan secara realiti.
Rekaan baharu akan dihasilkan sebanyak satu unit sahaja bagi memastikan ia benar-benar tercipta mengikut jangkaan asal dan berpotensi untuk dipasarkan.
Cuaca menjadi peranan utama kepada keseluruhan proses. Selepas kesemua baju dicelup warna mengikut paten tersendiri, ia perlu dijemur di bawah matahari. Bantuan sinar suria amat penting bagi menghasilkan efek terbakar dan pengembangan warna secara semula jadi.
Sekiranya hujan, proses penghasilan tetap dijalankan tetapi hasilnya kurang memuaskan berbanding pakaian yang dijemur di bawah terik mentari.
Langkah 27 Legacy dalam menyemarakkan fesyen jalanan tempatan dilihat kian cemerlang. Perancangan membuka sebuah studio, konsep butik dalam rumah diatur rapi dan dijangka bakal direalisasikan menjelang hujung tahun ini.
Setakat ini, selain pembelian dalam talian, item keluaran 27 Legacy juga boleh didapati di butik jenama tempatan seperti The Stone Street Store, Kuantan, Pahang; Rare Distro, Bangi; Bragamen, Uptown Puchong; Uptown Damansara, Selangor dan Brandesign Bazaar, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.


RM1.5 juta dana pelajaran

Posted: 18 Nov 2013 02:09 AM PST

SETIAP penerima manfaat Kempen Menginspirasikan Hari Esok memperoleh polisi insurans bernilai RM30,000.


KEMPEN Menginspirasikan Hari Esok oleh syarikat tenusu terkenal, Dutch Lady Milk Industries Berhad yang dijayakan selama 10 bulan berjaya mengukir senyuman pada wajah 50 kanak-kanak Malaysia yang bertuah.
Ini kerana kesemua mereka menerima polisi insurans berjumlah RM1.5 juta untuk tujuan membantu mereka mengecapi impian dan inspirasi masing-masing pada masa depan.
Setiap kanak-kanak itu memperoleh polisi insurans bernilai RM30,000 yang akan matang ketika mereka berusia 18 tahun.
Kempen tersebut dijayakan bersama UniAsia Life Assurance Berhad. Pihak penaja yakin polisi tersebut akan menjadi satu bentuk pelaburan yang baik untuk masa depan kanak-kanak yang terlibat.
Kempen itu dilancarkan sebagai sebahagian daripada sambutan meraikan ulang tahun Dutch Lady Malaysia yang ke-50 tahun. Ia seiring dengan matlamat syarikat tersebut untuk membantu rakyat Malaysia maju ke depan dalam kehidupan dengan pengambilan nutrisi tenusu yang boleh dipercayai.
Selain itu, kempen Menginspirasikan Hari Esok dilahirkan bagi memulakan langkah pertama dalam mewujudkan program yang mampu memberi kesan meluas terhadap kanak-kanak. Seramai 50 kanak-kanak terpilih untuk menerima dana pelajaran dalam bidang kepakaran yang ingin diceburi mereka.
Mereka dipilih berdasarkan tiga kategori iaitu 10 daripadanya dipilih melalui kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, 10 orang daripada rumah kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia dan 30 yang lain dipilih menerusi pertandingan rakaman video umum.
Manfaat
Pengurus Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Ramjeet Kaur Virik berkata, kempen tersebut merupakan satu lagi hasil kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memberi manfaat kepada masyarakat.
MOHAMAD ISLAH HAKIM ISMAIL (kanan) menghiburkan orang ramai dengan persembahan angklung yang mempesonakan.


"Maklum balas terhadap kempen ini sungguh mengujakan sekali gus menunjukkan ibu bapa di Malaysia amat menitikberatkan pelaburan untuk pelajaran anak mereka pada masa depan.
"Kami akan terus memainkan peranan untuk menjadi inspirasi dan menyemarakkan semangat generasi muda negara ini," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Kira-kira 800 penyertaan diterima, 156 daripadanya dari sekolah di Kelantan dan Terengganu. Setiap sekolah hanya dibenarkan untuk menghantar satu penyertaan dan nama murid bagi penyertaan tersebut dicadangkan oleh guru besar sekolah berkenaan.
Penyertaan daripada orang awam pula memerlukan ibu bapa menghantar rakaman video tentang bagaimana mereka memberi inspirasi kepada anak-anak dalam mencari potensi sebenar.
Sebanyak 625 rakaman video diterima penganjur dan daripada jumlah tersebut sebanyak 30 penerima bertuah telah dipilih oleh juri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pelajaran dan wakil penganjur. Selain itu, juri lain yang terlibat ialah pakar psikologi, Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor, penyanyi terkenal, Ziana Zain dan Faizal Tahir.
Sokongan orang ramai membuatkan pihak penganjur berhasrat untuk memanjangkan tempoh kempen dengan mengadakan bengkel Menginspirasikan Hari Esok kepada 50 kanak-kanak tersebut sehingga bulan depan.
Bengkel kepimpinan dan nutrisi bakal dilaksanakan secara bersiri. Tumpuan yang lebih diberikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.
Ia merupakan usaha untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang dalam menyebarkan harapan yang memupuk hubungan erat antara ibu bapa dan anak mereka.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines