Sabtu, 30 November 2013

Kisah disebalik Talak 3 Setahun Kahwin



Usia kahwin tak cecah setahun, kini cerai talak 3 

SHAH ALAM - Kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulangtahun pertama perkahwinan, pasangan muda Nor Fazira Saad, 13 dan Mohd Fahmi Alias, 20, disahkan bercerai dengan talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim.

Nor Fazira berusia 12 tahun ketika dinikahkan dengan pasangannya, Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 20 tahun.

Memetik laporan Harian Metro, bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 43, berkata, beliau menerima kenyataan berkenaan walaupun pahit dan menganggap bukan jodoh anaknya untuk kekal di alam perkahwinan.

Saad turut memberitahu bahawa dia tidak mengetahui punca sebenar keretakan rumah tangga anaknya itu kerana Nor Fazira tidak banyak bercakap mengenai nasib yang menimpa dirinya.

Buat masa ini, Nor Fazira tinggal bersama bapa saudaranya di Padang Serai untuk menenangkan fikiran.

Harian Metro turut melaporkan kegagalan untuk menghubungi keluarga Mohd Fahmi untuk mendapatkan maklum balas.

Nor Fazira mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

Majlis pernikahan pasangan itu dilangsungkan di Masjid Kampung Padang Cina dengan mas kahwin RM1,500 serta wang hantaran RM4,552 pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin pada 2012 dan Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan terbabit.

Ia merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim dan mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.
- 27 November 2013 Sinar Harian



Kenapa kawin muda sangat?????????



KULIM: “Saya kahwinkan dia kerana dia telah diperkosa,”

Itu kata ayah kepada remaja perempuan Nor Fazira Saad, 13 yang diceraikan talak tiga oleh suaminya, Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20.

Ayah Nor Fazira, Saad Mustafa, 44, berkata demikian kepada akhbar The Star dalam satu laporan eksklusif ekoran kisah penceraian pasangan remaja terbabit yang tersebar luas di media.

Menurut Saad, dia mengizinkan pernikahan anaknya dengan Mohd Fahmi kerana Nor Fazira telah diperkosa oleh Mohd Fahmi dan dua kawan lelakinya empat bulan sebelum perkahwinan itu dilangsungkan.

Saad memberitahu The Star bahawa kes itu telah dilaporkan kepada polis pada 15 Julai 2012, namun dia didatangi ibu bapa Mohd Fahmi selama beberapa hari berturut-turut merayu agar laporan itu ditarik balik kerana tidak mahu Mohd Fahmi disabit kesalahan dan menerima hukuman penjara.

Ekoran rayuan itu, dia sebagai bapa memahami permohonan mereka dan bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat serta menikahkan anaknya dengan Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 19 tahun pada 17 November 2012.

Nor Fazira turut memberitahunya pada Oktober 2013 bahawa dia tidak tahan dengan layanan keluarga mertuanya dan memutuskan untuk meminta cerai. Saad turut berkata bahawa keluarga Mohd Fahmi memang tidak menyukai anaknya dari mula perkahwinan dan Nor Fazira juga selalu didera secara fizikal serta tidak diberi makan oleh keluarga mertuanya.

Mohd Fahmi yang ditemui oleh The Star pula menafikan dakwaan Saad dan berkata dia hanya meniduri Nor Fazira setelah mereka sah diijabkabulkan.

Memetik Mohd Fahmi sebagai berkata kepada The Star, dia menceraikan Nor Fazira kerana bekas isterinya itu mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki dari Kuala Ketil.

Nor Fazira juga ujar Mohd Fahmi, biadab terhadap keluarganya dan tidak pernah memasak serta selalu keluar dari rumah sekiranya tidak puas hati.

Mohd Fahmi turut menafikan dakwaan bahawa Nor Fazira didera dan tidak diberi makan. Tambahnya lagi, keluarga mereka melayan Nor Fazira dengan baik walaupun perlakuan remaja wanita itu teruk.
- 29 November 2013 Astroawani

Akhbar Lama - Pengantin Budak


KULIM: “Saya akan bertanggungjawab malah sudah bersedia untuk menjadi seorang suami yang baik,” kata Mohd Fahmi Alias, 19, yang berkahwin dengan Nor Fazira Saad, 13, di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu.

Mohd Fahmi berkata, dia dan isterinya akan berdikari selain menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarga untuk melalui kehidupan sebagai suami isteri.


Menurutnya, atas persetujuan kedua-dua ibu bapa mereka dan untuk mengelak berlaku maksiat adalah lebih baik mereka berdua berkahwin walaupun pasangannya itu masih muda remaja.

“Saya mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Nor Fazira serta keluarganya dan keluarga saya sendiri.


“Kedua-dua ibu bapa kami bersetuju untuk mengahwinkan kami, malah Nor Fazira sendiri sanggup mengalas tanggungjawab dan sudah bersedia menjadi seorang isteri.


“Daripada bergelumang maksiat dan melakukan perkara yang dilarang, jalan terbaik ialah kami berkahwin, walaupun pada pandangan masyarakat ia agak janggal pada zaman sekarang ini kerana berkahwin pada usia terlalu muda.

“Malah saya tidak menghalang sekiranya isteri ingin melanjutkan pelajaran, semua bergantung kepada kepada kemahuannya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Naga Lilit, di sini, semalam.


Katanya, mereka akan mengadakan majlis kenduri di sebelah lelaki pada Sabtu ini di rumah keluarganya.

Mohd Fahmi yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia sudah bersedia bergelar suami dan tidak kisah pandangan rakan-rakan seusia.


Isterinya, Nor Fazira tidak mengganggap usia mudanya menjadi penghalang untuk menjadi isteri isteri dan sudah bersedia menjalankan tanggungjawabnya itu.


“Yang penting kami mendapat restu kedua-dua ibu bapa kami dan saya banyak menerima tunjuk ajar daripada keluarga mentua.


“Saya tidak kisah apa orang lain kata, penting perbuatan kami tidak salah, malah adalah lebih baik daripada kami terbabit gejala sosial,” katanya yang tidak bersekolah sejak menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun lalu.


Sementara itu, bapa Nor Fazira, Saad Mustaffa, 43, berkata, tindakannya mengahwinkan anak di usia muda kerana mahu menjaga nama semua pihak dan tidak mahu anaknya terjebak maksiat.


Katanya, dia membenarkan anak gadisnya itu berkahwin kerana Nor Fariza enggan pulang ke rumah dan mahu tinggal di rumah teman lelakinya. “Siapa tak sayangkan anak dan sanggup untuk mengahwinkan mereka dalam usia terlalu muda, namun saya terpaksa juga mengahwinkan anak saya walaupun usianya baru 13 tahun bulan depan.


“Hanya Allah tahu perasaan saya... walaupun pahit demi untuk menjaga nama baik keluarga saya dan keluarga besan lebih baik saya mengahwinkan anak dengan lelaki pilihannya.


“Anak saya bernikah pada 17 November lalu selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November lalu,” katanya.


Dia berkata, majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu dengan wang hantaran RM4,552 serta mas kahwin RM1,500.


“Saya berharap menantu serta keluarganya membimbing anak saya menjadi anak dan isteri yang baik,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib, berkata, bagi perempuan berusia 16 tahun ke bawah dan lelaki berusia 18 tahun ke bawah, mereka perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk kebenaran bernikah di bawah umur dari Mahkamah Rendah Syariah Kulim.


“Ia mengikut seksyen 18 (1)(a) Enakmen Undang Undang keluarga Islam Kedah 2008,” katanya.
- 22 November 2012 Metro Harian

BETUL KE NI?


Mohd Fahmi Alias Nafi Rogol Nor Fazira


KULIM: Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20, menafikan dakwaan bahawa dia telah merogol Nor Fazira Saad dan mengahwininya untuk mengelakkan diri daripada didakwa.

"Kami hanya mengadakan hubungan seks selepas berkahwin," katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Nagalilit dekat sini.

Dia mendakwa isterinya menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki dari Kuala Ketil, tiga atau empat bulan sebelum dia menyedarinya.

"Rakan-rakan saya yang ada di sana melihat dia (Nor Fazira Saad) begitu mesra dengan seorang lelaki. Dia mengenali lelaki itu ketika bekerja di pekan Padang Serai (dalam daerah Kulim).

"Kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, saya membuat keputusan untuk menceraikannya," kata Mohd Fahmi.

Mohd Fahmi menceraikan Nor Fazira dengan talak satu.

Dia berkata, mereka merupakan pasangan bahagia sebelum lelaki itu mengganggu rumah tangga mereka.

"Dia amat biadap terhadap ibu bapa saya dan tidak pernah memasak.

"Dia akan lari dari rumah setiap kali dia tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara," kata Mohd Fahmi.

Ibu Mohd Fahmi yang enggan namanya didedah berkata, turut menyangkal dakwaan Nor Fazira tidak diberi makan.

"Kami menjaganya dengan baik dan menerimanya walaupun dia berperangai jahat," katanya.

Mohd Fahmi yang bekerja di ladang kelapa sawit menerima gaji RM1,000 sebulan.

Dia berhenti sekolah ketika berumur 16 tahun untuk bekerja.

Dia mendakwa bertemu Nor Fazira dua bulan sebelum perkahwinan mereka, November tahun lalu.

"Pada mulanya hubungan kami tidak ubah seperti hubungan adik beradik tetapi perasaan cinta mula wujud selepas itu," kata Mohd Fahmi.
- 29 November 2013 mStar


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines