Selasa, 5 November 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Dafi cipta nama di Romania

Posted: 04 Nov 2013 05:13 PM PST

  • Dafi Dafi

BEKAS pelajar Akademi Fantasia, Gadaffi Ismail Sabri atau lebih dikenali sebagai Dafi berjaya meraih tempat ketiga dalam Crystal Stars Music Festival di Romania, semalam.
Dafi merupakan peserta tunggal negara Asia yang bertanding dalam kategori 19 tahun ke atas.
"Alhamdulillah tempat ketiga untuk saya dan Malaysia di Crystal Stars Music Festival," tulisnya di laman mikro Twitter miliknya, awal pagi tadi.
Penyanyi berusia 25 tahun ini menyampaikan single terbarunya, Dalam Hati ini.
Peserta tuan rumah, Romania dinobatkan sebagai juara, tempat kedua milik Ukraine.

Rezeki sampingan barang antik

Posted: 04 Nov 2013 05:09 PM PST

  • Rezeki sampingan barang antikSalleh dan anaknya bersama dengan sebahagian barang antik koleksinya

ROMPIN – Seorang penduduk Muadzam Shah, di sini, menjadikan aktiviti mengumpul barang-barang antik sebagai hobi selepas berpencen sejak enam tahun lalu.
Tambah menarik lagi apabila hobinya itu dijadikan sumber pendapatan sampingan selain wang pencen yang diperolehi setiap bulan dan menjual hasil sungai di Pekan Sehari Temerloh.

Salleh Mat Tahar, 62, berkata, mula meniaga ikan di Pekan Sehari Temerloh sejak tahun 80-an lagi dan selepas berpencen, produk jualannya ditambah dengan barang antik pula.

"Saya melihat sekarang sudah ramai peminat barang-barang antik terutama di sekitar Temerloh dan Muadzam Shah.

"Permintaan bagi barang-barang antik juga agak tinggi, cuma di negeri lain mungkin sudah ada pasar karat, tetapi banyak daerah di Pahang belum ada," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, setiap barang antik mempunyai nilainya yang tersendiri dan yang berada dalam simpanannya kini ada yang mencecah RM2000.00 serta keseluruhan bernilai puluhan ribu ringgit.

Katanya, ini adalah hobi yang agak mahal dan menguntungkan, jika ada lebih atau telah banyak di kumpul, boleh dijual kepada sesiapa yang berminat.

Bagaimanapun, Salleh berkata, beliau sukar untuk mendapatkan kedai atau tempat berniaga di Muadzam Shah.

"Saya ada membuat permohonan untuk menyewa kedai dengan pihak berkenaan di sini tetapi tidak diluluskan.

"Sekarang saya tengah mencari tempat yang sesuai untuk berniaga dan mempamerkan barang-barang antik ini," katanya.

Sementara itu, anaknya, Khairul Ikhwan Salleh, 27, berkata, kini sudah mula mencari dan membeli barang antik bersama ayahnya.

"Pada mulanya saya hanya mengikut ayah sebagai pemandu kereta kerana ayah sudah tidak boleh memandu selepas melalui pembedahan akibat sakit jantung.

"Dari situ timbul minat untuk menyimpan barang lama atau antik ini. Jika terjumpa di mana-mana saya pasti akan beli," katanya.

Ngeri mayat berbungkus selimut

Posted: 04 Nov 2013 05:06 PM PST

  • Ngeri mayat berbungkus selimutMayat yang ditemui berikat dan dibungkus dengan selimut menggemparkan penduduk setempat

TANJONG KARANG - Hasrat seorang lelaki mahu menangguk ikan di bawah jambatan di pekan Tanjong Karang, di sini terbantut apabila menemui bungkusan kain selimut berbau busuk kira-kira jam 1.15 petang, semalam.

Kerana curiga, lelaki terbabit mendekati bungkusan dan terkejut apabila mendapati mayat berikat dalam keadaan mengerikan sebelum menyuruh anaknya menghubungi pihak polis.

Kejadian itu turut menggemparkan orang ramai dan mula mengerumuni kawasan jambatan berhampiran bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang meskipun bau agak memualkan.

Sinar Harian difahamkan, lelaki itu dipercayai mati dibunuh beberapa bulan sebelum ditemui penduduk kerana berdasarkan keadaan badannya yang sudah mereput manakala leher mangsa dijerut dengan tali.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1.15 petang dan pegawai polis yang diketuai Inspektor Rozaini Rosmin bergegas ke tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati, mayat lelaki itu diikat dengan tali nilon berwarna hijau di bahagian badan, tangan dan kaki. Manakala seketul batu berbentuk empat segi turut berikat pada badan mayat yang dibungkus dengan kain selimut.

"Keadaan bahagian kepala hanya tinggal tengkorak  manakala bahagian badan mereput menyukarkan pihak polis mengenal pasti cap jari mangsa. Pihak polis turut menemui kesan kecederaan pada paha dan pinggang mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian
semalam.

Muhd Taib menjelaskan, siasatan mendapati mayat yang ditemui berhampiran tebing sungai ketika air surut dan anggotanya terpaksa mengikat mayat itu pada kayu berhampiran sementara menunggu pasukan forensik tiba ke lokasi kejadian.

"Mangsa ditemui berpakaian baju kemeja-T kelabu berkolar bulat dan memakai seluar jean biru muda dengan tali pinggang berjenama Doula.
Tiada dokumen pengenalan diri ditemui. Kita percaya dia sudah lama mati berdasarkan keadaan mayat. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan dan punca kematian hanya boleh diketahui selepas bedah siasat dijalankan esok (hari ini).

"Mayat kemudian  dibawa ke Hospital Tanjong Karang," katanya yang menolak kes itu ada kaitan dengan penemuan kes lelaki berikat dengan batu yang ditemui berhampiran Jeti Lorong Budiman Sungai Tengi pada 10 September lalu.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor atau Bilik Mayat Hospital Tanjong Karang untuk tujuan pengecaman.

Buat maksiat dalam kebun

Posted: 04 Nov 2013 05:03 PM PST

  • Buat maksiat dalam kebunPondok dalam kebun kelapa sawit ini dijadikan port sepasang remaja bermadu kasih sebelum mereka ditangkap SRS Paloh Nyior, pagi semalam.

HULU TERENGGANU - Perbuatan sepasang remaja menjadikan sebuah pondok dalam kebun kelapa sawit, di sini, sebagai port memadu kasih mengundang padah apabila kegiatan tidak bermoral mereka dihidu anggota SRS Paloh Nyior, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pasangan berusia 16 tahun terbabit dipercayai sedang melampiaskan nafsu, namun hasrat mereka terbantut apabila menyedari kehadiran anggota SRS Paloh Nyior dan polis.

Difahamkan, remaja perempuan berasal dari Kampung Telaga itu terlebih dahulu menunggang motosikal mengambil pasangannya yang tinggal di Kampung Getang sebelum kedua-dua mereka tiba di kawasan kebun kelapa sawit tersebut sekitar jam 7.30 pagi.

Setiausaha SRS Paloh Nyior, Abdul Manat Ibrahim, 63, berkata, kehadiran pasangan terbabit disedarinya setelah mendapati terdapat sebuah motosikal berhampiran pintu pagar kebun sawit itu ketika dia sedang melakukan rondaan.

"Sebagaimana kebiasaan, saya kerap lakukan rondaan sekitar kawasan kampung apatah lagi malam tadi (semalam) bertugas sebagai anggota SRS.

"Ketika melalui kebun sawit ini, saya lihat sebuah motosikal dan ia adalah motosikal sama ditemui pada minggu lepas," katanya.

Kata Abdul Manat, dia mengesyaki sesuatu setelah mendapati pintu pagar kebun berkunci manakala pemilik kebun itu tinggal di Kemaman.

"Saya memaklumkan anggota SRS yang lain selain turut hubungi polis. Pondok terletak kira-kira 50 meter jaraknya dari pagar ini pernah jadi lokasi penagih dadah," katanya.

Menurutnya, hasil serbuan didapati sepasang remaja dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka akui pernah ke sini sebelum ini. Dalam pondok ini turut terdapat gebar dan bantal tidak pasti sudah ada atau dibawa mereka.

"Pasangan ini dibawa ke Balai Polis Kuala Telemong sebelum dimaklumkan ibu bapa masing-masing," katanya.

Difahamkan, remaja lelaki itu sudah tidak bersekolah manakala yang perempuan masih bersekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kedua-dua remaja itu ditahan untuk jalani ujian air kencing, bagaimanapun hanya remaja lelaki didapati positif dadah serta masih ditahan.

35 tahun jahit kasut

Posted: 04 Nov 2013 04:58 PM PST

  • 35 tahun jahit kasutAbdul Aziz membaiki kasut pelanggan.

KUALA KRAI - Kerjayanya tidak setanding golongan profesional, tetapi tanpanya ramai terpaksa menggantikan kasut atau selipar kesayangan rosak dengan yang baharu.

Atas alasan itulah seorang warga emas dari Banggol Judah, Abdul Aziz Abdullah, 54, tidak jemu berulang alik dari kampungnya ke sini kerana khidmatnya begitu diperlukan.

Minat mendalam juga membuatkan Abdul Aziz terus menyediakan perkhidmatannya kepada masyarakat di sini kerana menyedari tidak ramai mempunyai kemahiran dimilikinya.

Berbekalkan bangku kecil, pisau, gunting, gam, jarum Abdul Aziz menjalankan rutin harian tanpa jemu bermula seawal jam 8 pagi di kaki lima kedai berhampiran Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK).

Katanya, pelanggan tetapnya sudah mengetahui waktu perkhidmatannya dan akan datang pada masa kerjanya itu untuk menghantar kasut dan selipar untuk dibaiki.

"Kebanyakan yang datang menghantar selipar dan kasut untuk dibaiki, pelanggan tetap pakcik. Jadi mereka sudah tahu tempat dan waktu pakcik bekerja.

"Upah baik pulih bergantung kepada masalah dihadapi pelanggan sama ada selipar atau kasut hendak dijahit, ditukar tapak ataupun untuk ditampal gam.

"Kalau upah menjahit kasut hanya sekitar RM5, tetapi sekiranya pelanggan nak ganti tapak, saya kenakan caj sekitar RM50, bergantung kepada jenis kasut," katanya yang sudah berpengalaman menjahit kasut selama 35 tahun.

Bapa kepada lapan anak ini berkata, dia cuba untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya kerana sedar kebanyakan mereka bukan tidak mampu membeli kasut dan selipar baharu, tetapi disebabkan selesa dengan yang lama mereka rela membaikinya
daripada menggantikannya.

Dia bangga apabila pelanggan yang datang pertama kali untuk menghantar kasut dan selipar untuk dibaik pulih kembali semula untuk berbuat demikian.

Baginya, itu merupakan satu kepercayaan dan juga tanda hasil kerjanya diterima pelanggan dan selesa dengan kasut dan selipar dibaikinya.

Abdul Aziz berkata, masa diambil untuk menyiapkan kasut dan selipar pelanggan bergantung kepada kerosakan dan adakalanya dia meminta pelanggan meninggalkan kasut rosak dan datang mengambilnya kemudian.

"Sekiranya pelanggan hendak menjahit kasut atau selipar pakcik minta mereka tunggu.

"Tapi jika nak gantikan tapak, mereka terpaksa tinggal kerana masa untuk baik pulihnya agak lama," katanya yang mampu menyiapkan kasut 10 pasang sehari.

Biarpun pendapatan bersih diperoleh sekitar RM30 setiap hari, Abdul Aziz bangga, hasil kerjanya mampu memberikan kegembiraan kepada setiap pelanggannya.

Katanya, selain kasut dan selipar, adakalanya dia juga menjahit beg pelanggannya.

Tambahnya, walaupun dia mahir menjahit kasut dan selipar tetapi anak-anaknya tidak seorang pun menunjukkan minat dalam bidang itu.

Tomok nilai 11 peserta Idola Kecil 6

Posted: 04 Nov 2013 04:56 PM PST


BARISAN 11 peserta Idola Kecil 6 dan tenaga pengajar sudah bersedia untuk memulakan musim baharu program realiti terkenal itu.


BULAN ini bakal menyaksikan musim terbaharu program realiti kanak-kanak nombor satu negara, Idola Kecil ditayangkan melalui saluran TV9.
Program pencarian bakat cilik itu telah menjelajah ke tiga lokasi iaitu di Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada Oktober lalu.
Hampir 1,000 orang telah hadir untuk mencuba nasib dan hanya 28 peserta terpilih untuk ke peringkat saringan yang diadakan di Cheringin Resort, Janda Baik baru-baru ini.
Kesemua peserta telah menunjukkan persembahan yang begitu menakjubkan, namun hanya 11 peserta terpilih untuk mewarnai pentas Idola Kecil musim keenam (IK6).
Menurut Pengurus Besar TV9, Zurina Othman, walaupun musim ini TV9 hanya menjelajah ke tiga buah lokasi, namun beliau berpuas hati kerana para peserta menampilkan vokal yang sangat berkualiti.
"Ini memberi kesukaran kepada pihak penerbitan, terutamanya para juri untuk membuat pemilihan.
"Kejayaan mereka bukan sahaja berdasarkan vokal malah kehandalan serta kemahiran mereka dalam tarian dan lakonan turut diambil kira," jelas Zurina ketika sidang akhbar baru-baru ini.
Tambah Zurina, selain menyediakan platform untuk mengasah dan mempamerkan bakat terpendam mereka, Idola Kecil 6 turut memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari tutorial muzik dan menimba ilmu serta pengalaman berharga pada musim cuti sekolah seperti membentuk jati diri, bertanggungjawab dan yang paling utama adalah mewujudkan sikap setia kawan.
Pada musim ini, Idola Kecil 6 menampilkan lima peserta lelaki dan enam peserta perempuan.
Lima peserta lelaki berbakat yang terpilih ialah Abdul Razzaq Muqri Abdul Qahhar, 12, dari Melaka, Ammierul Daneal Eddy Noor, 12, dari Selangor, Danial Cheur Hamasiah, 12, dari Sabah, Muhammad Aliff Kadiron, 12 dari Johor dan Razin Aiman, 12, dari Selangor.

DARI kiri: Fuzzwayne, Cikgu Delly, Tomok dan AG Coco pada sidang akhbar Idola Kecil 6 yang diadakan di Cathay Cineleisure, Damansara baru-baru ini.


Peserta perempuan pula terdiri daripada Aby Norlila Kamaruddin, 12, dari Selangor, Aida Syazlina Mohammad Azmi, 11, dari Johor, Nur Afreena Saiful Najib, 12, dari Kuala Lumpur, Shafiqah Amira Sukor, 12, dari Pahang, Nur Emilia Natasha, 11, dari Perak dan peserta paling bongsu, Nor Aleeya Nor Edwan, 10, dari Johor.
Malah, Idola Kecil 6 juga menampilkan juri tetap yang baharu iaitu seorang penyanyi dan pelakon, Shah Indrawan Ismail atau Tomok. Setiap minggu Tomok akan dibantu oleh dua lagi juri yang berpengalaman seperti komposer, pengarah muzik ataupun penulis lirik untuk menilai dan mengadili persembahan dan vokal para peserta.
"Ini kali pertama saya menjadi juri tetap untuk program realiti TV. Saya begitu teruja dan kagum dengan bakat yang ada pada para peserta," jelas Tomok.
Menurut Tomok, pentas Idola Kecil merupakan platform terbaik untuk menggilap dan mencungkil bakat si kecil.
Idola Kecil 6 turut menampilkan tenaga pengajar yang sangat berpengalaman serta kreatif untuk membimbing dan membantu para peserta.
Fadlita Mohd. Tain atau Cikgu Delly masih lagi menggalas tugas sebagai guru vokal. Turut membantu Cikgu Delly dalam susunan muzik dan komposer ialah AG Coco atau nama sebenarnya Hezry Hafidz. Guru tari pada musim ini akan diterajui oleh Fazrin Zainudin atau Fuzzwayne.
'Abang Long' dalam kalangan peserta Idola Kecil, Alif Satar, masih lagi kekal sebagai pengacara pada musim ini.
"Saya sudah lima kali menjadi pengacara Idola Kecil. Tapi pada Idola Kecil 6, saya lihat para peserta sangat berbakat dan mempunyai vokal yang memang luar biasa. Kali ini kita boleh jangka satu persaingan yang amat sengit antara peserta dan kita akan tampil dengan konsep berbeza iaitu mereka akan diiringi dengan muzik live band," jelas Alif.
Hot FM juga akan mempromosikan secara eksklusif kesemua peserta Idola Kecil 6 dengan temu bual mingguan dan pelbagai aktiviti lain.
Idola Kecil 6 akan mula bersiaran di TV9 menerusi episod pengenalan pada 9 November, Sabtu, pukul 8.30 malam, manakala konsert mingguan pertama dijadual menemui penonton pada 16 November, Sabtu pada pukul 8.30 malam.
Seperti musim yang lalu, penonton akan berpeluang untuk mengikuti perkembangan dan gelagat peserta cilik ini menerusi Idola Kecil Klip Mini yang akan disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6.30 petang selama dua minit bermula 11 November.
Klip mini ini akan diterajui oleh Ben Laden dari Idola Kecil 5.


Pernah marah pada Johan

Posted: 04 Nov 2013 04:55 PM PST



SATU persatu cerita tidak elok terpalit pada pelakon kacak, Sharnaaz Ahmad. Cerita-cerita negatif tersebut hampir melumpuhkan ingatan khalayak terhadap keberkesanan lakonannya.
Khalayak hampir lupa bahawa anak muda tersebut merupakan antara pelakon pelapis lelaki baharu yang tidak patut dinafikan bakatnya. Malangnya, saban hari, bermula sejak percintaan lamanya bersama penyanyi Shila Amzah menjadi bualan, serentak itu, surut cerita tentang perjalanan kariernya.
Antara berita-berita yang tidak elok mengenai dirinya, Sharnaaz dilabelkan sebagai panas baran dan kaki pukul, terbaharu dia dilabelkan pula sebagai perampas kekasih kawan sendiri.
Semuanya gara-gara pendedahan berani pelakon Pekin Ibrahim kepada pihak media mengenai hubungan sulit yang terjalin antara tunangnya, pelakon Uqasha Senrose dengan sahabatnya, Sharnaaz sekitar dua minggu lalu.
Bagaimanapun, baik Uqasha mahupun Sharnaaz, mereka sudah menafikan dakwaan Pekin. Malah, mereka terpaksa mendedahkan kekeliruan yang timbul disebabkan ingin merancang kejutan pada majlis sambutan hari ulang tahun Pekin.
Terkini, akui Sharnaaz, hubungannya bersama Pekin sudah kembali pulih dan pintanya jangan memanjangkan spekulasi kisah mereka.
"Saya dengan Pekin sudah tiada masalah. Benda ini sudah selesai. Lagipun kami sudah berkawan lama. Sama-sama minat motor. Bila dia salah sangka hubungan saya dengan Uqasha saya terus bertemu dengan dia (Pekin). Saya kalau nak cari kekasih pun, tidaklah sampai mahu rampas kekasih kawan sendiri," ulasnya ketika ditemui pada majlis Debaran Anugerah Skrin 2013 yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
SHARNAAZ kini lebih banyak menghabiskan masa dengan memberi fokus terhadap kariernya.


Bicara Sharnaaz lanjut, jujur dia juga akui tidak pandai menipu orang mengenai soal hati dan perasaannya.
Lantaran itu, dedah pelakon berusia 28 tahun itu, selama setahun dia mengambil masa untuk pulih daripada derita cintanya dengan penyanyi Shila Amzah.
Dia juga akui pada mulanya pernah berasa marah dan dendam pada pelakon Johan As'ari yang kini dikatakan sedang bercinta dengan Shila.
"Selepas putus dengan Shila saya rasa sangat sunyi dan kosong. Balik penggambaran duduk rumah dan habiskan masa menonton televisyen.
"Saya juga tidak keluar bertemu orang, kecuali berhubung menerusi telefon atau sistem pesanan ringkas (SMS) dengan kawan-kawan rapat sahaja," dedahnya tentang kehidupannya selepas putus cinta.
Sementara dirinya bergelut membuang perasaan cinta terhadap Shila, bekas kekasihnya itu dikhabarkan pula sedang akrab dengan pelakon Johan Ashari.
Akuinya tanpa berselindung, perasaan marah terus menyelubungi diri.
"Bila tengok kemesraan hubungan Shila dengan Johan saya pernah rasa marah dan tidak rela dengan apa yang berlaku. Namun, bila saya fikir balik, Mungkin Allah sudah tetapkan yang hubungan saya dengan Shila tidak panjang. Tetapi, sejak itu rezeki saya dalam bidang lakonan mencurah-curah dan tidak pernah putus tawaran.
"Daripada situ saya mula terima hubungan Johan dengan Shila dan beranggapan buat apa mahu menyimpan dendam lagi," luahnya tanpa ditahan-tahan.
Biarpun sunyi apabila hidup tanpa kekasih, kata Sharnaaz, dia tidak terdesak untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih orang.
Jelas Sharnaaz lagi, buat masa ini dia masih belum terfikir mencari kekasih selepas kekecewaan yang berlaku sebelum ini.
Bina badan
Sementara itu, Sharnaaz yang kini kelihatan semakin berotot itu sedang membina badan bagi memenuhi tuntutan watak dalam sebuah drama berjudul Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
Ujarnya yang akan berlakon di samping Nelydia Senrose itu, dia membawakan watak Jebat, seorang gangster berhati kering tetapi mempunyai sikap romantis.
Sharnaaz juga mengakui, terpaksa mengunjungi pusat gimnasium setiap hari demi membina otot badannya.
"Saya kena naikkan berat badan daripada 74 kilogram hingga 80 kilogram untuk watak Jebat. Jadi terpaksa diet dan pergi gimnasium setiap hari," ungkapnya mengenai drama 60 episod untuk siaran Astro itu.
DARI kiri: Sein, Izzue Islam dan Sharnaaz tercalon dalam kategori berasingan menerusi Anugerah Skrin 2013.


Pernah berdendam
Top 5 Anugerah Skrin
Dalam pada itu, Sharnaaz berterima kasih dan berbangga kerana tercalon dalam Top 5 kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama untuk Anugerah Skrin 2013 (ASK2012).
Sharnaaz tercalon di samping empat pelakon senior hebat iaitu Faizal Hussein, Wan Hanafi Su, Rosyam Nor dan Azhan Rani.
"Saya sangat hormat dengan pelakon-pelakon yang turut tersenarai dalam pencalonan ini. Ia satu penghargaan buat saya bersama mereka," ujarnya yang tidak meletak sebarang harapan.
Mengulas mengenai senarai pencalonan ASK2013 kali ini yang dilihat seimbang iaitu persaingan antara pelakon senior dan junior bagi setiap kategori, dia melihatnya sebagai satu petanda yang bagus untuk industri lakonan tempatan.
Katanya, artis muda perlu mengambil contoh pembawakan lakonan artis-artis senior. Malah, dia juga mengaku mahu menyerap disiplin pelakon senior untuk memastikan jangka hayat dirinya dalam bidang seni berpanjangan.


Misi cinta Lab The Rat

Posted: 04 Nov 2013 04:54 PM PST


LAB THE RAT terdiri daripada gabungan suami isteri, adik-beradik dan teman rapat.


LOVE THE MISSION, debut perdana Lab The Rat bagai kena dengan sasaran. Dipasarkan sejak Mei lalu (ya, saya terlambat mengulasnya, namun ia masih relevan), album ini pantas menyemai cinta melalui karya mereka yang segar dan mengasyikkan. 'Misi cinta' mereka benar-benar kesampaian.
Sementelah, pengisi posisi grup ini bukan calang-calang pemuzik. Dalam dunia indie, nama Syarul Reza dan Shahirah Aishah yang memegang posisi sebagai vokalis itu sendiri sudah cukup tersohor. Mereka yang juga merupakan suami isteri, nampaknya memanipulasi pakej bersama lantas membentuk Lab The Rat dengan Syaril Zizi, Nik Azwaa, Syaiful Nazri dan Kech atas tiket aliran folk rock. Justeru, untuk mengulas tentang kepakaran mereka dari segi teknikal muzik dan bunyi, semuanya hampir sempurna kerana ini padang permainan mereka sejak lama dahulu.
Bunyi yang bersih, permainan yang menyenangkan dan diakhiri dengan proses mastering yang tidak menampakkan cacat cela menjadi tunjang utama album ini untuk dibanggakan.
Menyentuh tentang lapan buah lagu yang dihasilkan, dimulai dengan Send Us To Ukraine sehingga Some Try Hard, ia merupakan untaian lagu yang cukup enak.
Secara peribadi, saya menyukai I Know yang ritmanya cukup segar dikahwinkan indah dengan vokal husky Syarul sebelum falseto tinggi Shahirah 'menyampuk' pada bahagian terakhir lagu dan ia diakhiri dengan momentum yang baik pada penghujung lagu.
Airinna sebagai satu-satunya lagu Melayu yang ditujukan khas buat anak mereka memang dibikin dalam mood lagu dodoi yang bersifat klasik. Liriknya juga boleh disimpulkan sebagai satu aprisiasi pasangan ini terhadap kurniaan terindah Tuhan buat mereka.
Selebihnya tentang Lab The Rat, apa kata anda beli dan nilaikan sendiri tentang karya mereka.


Sembilan remaja jadi hero

Posted: 04 Nov 2013 04:49 PM PST


ABDULLAH YUSOF (kiri) dan beberapa rakannya menunjukkan besi tingkap yang dibengkokkan suspek ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Selasih, Port Dickson semalam.


PORT DICKSON – Sembilan remaja lelaki berusia 12 hingga 16 tahun menjadi hero selepas bertindak nekad mengepung dan menangkap seorang lelaki yang cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Selasih, Lukut dekat sini semalam.
Ketika kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, kumpulan remaja berkenaan sedang bersembang di rumah salah seorang daripada mereka, namun didatangi seorang penduduk yang curiga dengan kelibat tiga lelaki bermotosikal di perumahan itu.
Salah seorang remaja itu, Abdullah Yusof Mazman, 16, berkata, penduduk itu juga mendakwa melihat mereka memanjat rumah seorang penduduk.


Cabaran baharu buat umat Islam

Posted: 04 Nov 2013 04:46 PM PST



Satu Muharam detik permulaan,
Perkiraan tahun Islam hijrah,
Perpindahan Nabi dan umat Islam,
Dari kota Mekah ke kota Madinah.
Atas keyakinan dan iman yang teguh,
Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu,
Rela berkorban harta dan nyawa,
Demi menegakkan Islam tercinta.
Hijrah itu pengorbanan,
Hijrah itu perjuangan,
Hijrah itu persaudaraan,
Hijrah membentuk perpaduan.
JIKA ditanya kepada generasi muda masa kini, pasti ramai yang tidak mengetahui tentang lagu tema sempena sambutan awal Muharram atau Maal Hijrah seperti lirik yang tertera di atas.
Namun, jika menyebut tentang lagu Oppa Gangnam Style dendangan penyanyi terkenal Korea Selatan, Psy, anak kecil sekali pun mengetahuinya sehingga mampu meniru tarian kuda yang dipersembahkan melalui lagu berkenaan.
Itu antara penangan media sosial yang menjangkaui batasan sempadan dengan hanya melalui alam maya. Ibarat kata, teknologi masa kini membolehkan semuanya berada di hujung jari individu.
Tekan sahaja punat di telefon pintar atau tablet canggih, semua capaian internet boleh diakses dengan mudah. Daripada kanak-kanak sehingga golongan dewasa yang sudah bergelar datuk atau nenek, masing-masing mempunyai akaun Facebook, Twitter atau Instagram tersendiri.
Mengulas mengenai situasi tersebut, pendakwah bebas, Ustaz Ghazali Ibrahim memberitahu, ini merupakan antara sebahagian ujian yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam masa kini.
"Seperti apa yang disebutkan oleh Nabi SAW dalam hadisnya iaitu 'Pada akhir zaman nanti umatku akan dibinasakan oleh musuh-musuh seperti mereka menyiat daging-daging dalam hidangan. Jadi sahabat-sahabat bertanya, kenapa ya Rasulullah? Adakah umat Islam sedikit bilangannya? Jawab Rasulullah tidak, bahkan jumlahnya ramai tetapi ketika itu, kamu seperti buih-buih di lautan.
"Ini kerana ketika itu, antara lain kamu akan dihinggapi penyakit yang dinamakan alwahnu iaitu cinta dunia dan takut mati," ujar Ghazali kepada Kosmo!.
Tambah beliau, gelombang media sosial sekali pandang kelihatan seperti satu kemudahan tetapi pada masa yang sama, ia merupakan satu saluran untuk musuh-musuh Islam mengacau, mengganggu dan merosakkan umat agama ini.

PERPADUAN kaum di negara ini boleh runtuh sekiranya penyebaran maklumat-maklumat yang belum sahih dilakukan tanpa usul periksa.


Tegasnya, secara umum, ia memang tidak salah. Cuma kadang-kadang keseronokan umat Islam menggunakan medium sosial tersebut membuatkan mereka terlupa bahawa ada batasan yang perlu dijaga.
"Malah, banyak yang kita lihat, perkara yang terlalu peribadi atau pergaduhan turut dipaparkan di laman-laman sosial berikut. Kemudian, bila ada sesuatu perbincangan, kita tanpa usul periksa menambah-nambah fakta yang ada.
"Jadi, mula-mula ia nampak seperti satu diskusi tetapi tiada kesudahan. Akhirnya masuklah pelbagai fahaman seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, syiah dan macam-mcam fahaman lain yang melibatkan akidah umat Islam,"ujarnya.
Tambah beliau, ia sekali gus menyebabkan masyarakat akan bercelaru hingga mencetuskan perbalahan.
Muhasabah diiri
Justeru, Ghazali menasihatkan agar dalam setiap apa pun yang ingin dilakukan, masyarakat hendak kembali ke pangkal jalan dengan mencari ilmu yang betul dan sahih serta bertanya kepada yang ahlinya. Jangan terlalu mudah untuk menyebarkan sesuatu berita atau perkara yang tidak pasti.
"Tetapi zaman sekarang, apabila dapat e-mel atau berita, tanpa soal selidik, kita terus hantar dan kongsi mengenainya melalui Facebook, Twitter atau blog. Sedangkan hakikat kebenarannya mungkin terlalu jauh dan kita terus mendapat dosa akibat kerana menyebarkan fitnah," tegasnya.
Sehubungan itu, sempena sambutan Maal Hijrah 1435H yang diraikan seluruh umat Islam hari ini, beliau berharap umat Islam, terutamanya generasi muda, agar kembali menghayati kisah perjuangan Rasulullah SAW dengan bersungguh-sungguh.
"Lihat bagaimana pengorbanan Nabi SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah yang kalau diikutkan Baginda amat menyayangi negeri kelahirannya itu. Namun, Allah memerintahkan Rasulullah SAW berhijrah ke tempat baharu untuk mengelak daripada binasa dan menjadi satu titik tolak pada masyarakat Islam untuk membuat suatu tindakan.
"Maka, peristiwa besar ini harus kita kaitkan dengan kehidupan kita. Hari ini, kita duduk dan muhasabah merenung kehidupan yang telah dilalui. Adakah kita lebih banyak berbuat baik atau sebaliknya.
"Jika banyak kita buat baik, maka perhalusi dan perbaiki lagi ke tahap yang lebih baik. Tetapi, jika banyak keburukan, maka kita tinggalkan ia sama ada dalam bentuk kata-kata, perbuatan dan sebagainya. Itulah maksud sebenar hijrah iaitu daripada yang tidak baik kepada kebaikan dan daripada kebaikan kepada yang lebih baik," ungkap Ghazali penuh makna.
Peranan dan kesan
Bagi penyanyi tanah air, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin mengakui, sukar untuk menafikan bahawa media sosial turut memainkan peranan penting dalam hidup masyarakat masa kini.
Katanya, oleh itu, mahu atau tidak, kita terpaksa duduk dan berada dalam situasi tersebut.
"Perkara ini ada kebaikan dan keburukannya. Sebenarnya, ia bergantung pada diri kita sendiri untuk mencorakkan penggunaan laman sosial yang ada.
"Bagi saya, jika mendapat satu maklumat yang terang-terangan mengarut atau palsu, saya akan terus padam dan tidak mempedulikannya. Tetapi, jika ia satu maklumat yang berguna, tidak salah untuk kita berkongsi bersama rakan-rakan," ujanya ketika ditemui sewaktu pelancaran program Hijrah Munawwarah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Oleh itu, Nora menasihatkan pengguna laman sosial agar tidak membuka aib orang atau memperkatakan tentang rumah tangga individu lain secara terbuka. Malah, jika terbaca sekali pun, jangan sesekali menyebarkannya.
MEDIA-MEDIA sosial juga mampu memberi manfaat kepada pengguna dengan meningkatkan kesedaran umum terhadap isu-isu dunia hari ini seperti yang melanda Palestin.


"Kepada semua wanita di luar sana, tolong berhati-hati dengan setiap status atau foto yang dimuat naik di laman sosial. Dunia sekarang sukar untuk dijangka kerana ramai yang memerhatikan kita. Paling penting, gunakan media sosial ke arah kebaikan.
"Sebaiknya, sentiasa berdoa semasa keluar dari rumah agar Allah melindungi kita dan keluarga dari perkara-perkara yang tidak baik,"ujarnya.
Ditanya mengenai makna hijrah dalam hidupnya, Nora pantas mengatakan: "Ia adalah mengenai masa. Jadi kita sama-sama muhasabah diri dan berhijrah kepada fitrah Allah. Kembali kepada Yang Maha Berkuasa yang menjadikan kita.
"Hijrah ini bukan satu perkara seperti bertudung sahaja tetapi kita menjadi seorang insan yang lebih baik dalam kedudukan mana sekali pun kita berada," tambah beliau.
Media baharu
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Ustaz Wan Alias Wan Abdullah berkata, sebagai sebuah saluran televisyen yang bercorak Islam, objektif mereka adalah untuk mendidik.
"Kami tidak menceritakan apa yang negatif tentang orang lain. Kalau bercakap soal berita pula, berita yang dibuat adalah yang betul. Seperti hadis Nabi SAW: 'Bercakap benarlah kamu walaupun pahit'. Itu konsep TV Alhijrah.
"Tanggungjawab kami bukan untuk menceritakan tentang apakah ketidaksempurnaan mazhab lain atau masalah kekeluargaan individu, sebaliknya kami menerangkan tentang apakah keindahan ajaran ahli sunnah wal jamaah dan mazhab Syafie," katanya.
Tambah beliau, media sosial seperti menganggap pisau sebagai senjata. Kita boleh kata pisau itu merbahaya dan menyebabkan kematian orang. Tetapi kita jangan lupa berapa banyak pisau yang boleh memberi manfaat dalam kehidupan kita.
"Jadi ia bergantung kepada cara penggunaannya. Begitu juga media sosial, gunakanlah ia dengan positif yang memberi kebaikan untuk agama, bangsa dan negara," tuturnya penuh hikmah.
Beliau berharap, sempena maal hijrah ini, umat Islam akan memanfaatkan media baharu untuk faedah pembangunan dan kesejahteraan negara. Beliau juga menasihatkan supaya media sosial tidak digunakan untuk memfitnah orang dan menimbulkan masalah dalam masyarakat kerana ia memberi impak negatif bagi negara.


Hubungan mertua, menantu bak rakan

Posted: 04 Nov 2013 04:44 PM PST



MULUTNYA riuh, ada saja topik yang ingin dibualkan. Kepada yang pertama kali bersua muka dengan Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar pasti terkejut dengan kekecohan personaliti pelakon, pengacara dan kini bergelar penyampai radio itu. Apa yang kita saksikan di kaca TV, itulah diri sebenar wanita berumur 39 tahun itu.
Keramahan pekerti Sharifah Shahirah yang mesra disapa Shahirah itu membuatkan dia disenangi ramai. Dia tidak lokek senyuman dan suka berhumor sehingga berderai tawa individu sekeliling. Barangkali karakter bersahaja dan ceria itu membuatkan ibu kepada empat cahaya mata itu kekal jelita.
"Saya bukan kelompok wanita yang ada rejim kecantikan tertentu apatah lagi nak bersolek. Kalau tiada acara istimewa, penggambaran atau majlis yang melibatkan kerja, memang saya tidak akan mengoles solekan," ujar Shahirah sambil ketawa kecil.
Penjagaan wajah Shahirah juga mudah. Keutamaan diberikan kepada kesesuaian produk memandangkan kulitnya jenis yang berjerawat. Begitupun, dia tidak meletakkan spesifikasi tertentu terhadap produk kecantikan yang digunakan.
Selagi produk itu boleh mengekalkan kesihatan kulit wajahnya, ia sudah memadai. Malah tidak pernah terdetik di dalam hatinya untuk mencuba alternatif kecantikan seperti vitamin C atau kolagen.
"Petua kecantikan peribadi memang tidak ada. Tambahan pula sekarang saya mengalami masalah tidur dan hanya lena selama lima jam. Bila bangun pagi, saya minum air kosong dan Nescafe.
"Rutin pagi saya selalunya di rumah sahaja sebab tugas saya di konti radio bermula pukul 3 petang. Lepas habis kerja saya terus ke pusat kickboxing di kawasan perumahan.
"Sudah tiga bulan saya lakukan aktiviti kecergasan ini tetapi saya buat gerakan mudah asalkan dapat berpeluh," jelas Shahirah yang bertugas sebagai penyampai radio di stesen UFM pada frekuensi 101.3fm sejak tujuh bulan lalu.
Fokus kerjaya Shahirah dalam dunia radio memberikannya sedikit ruang untuk berehat dan bersantai bersama keluarga terutamanya pada hujung minggu. Buat sementara waktu, dia mahu berehat dalam bidang lakonan.

MARIA (tengah) mengakui lebih banyak berkomunikasi dengan Shahirah (kiri) berbanding anaknya sendiri, Ijoy.


Gaya kasual
Menyentuh cita rasa fesyen isteri kepada Zulkifly Azari atau dikenali dengan panggilan Ijoy itu, Shahirah memberitahu dia cenderung kepada fesyen kasual dan gaya ringkas. Baju T dan seluar jean merupakan definisi melaram memadai bagi dirinya.
Imej muda itu masih menjadi pilihan Shahirah. Tanpa penambahan aksesori berlebihan, dia gemar bersederhana tanpa mempedulikan trend-trend baharu yang sering diikuti orang.
Bagi Shahirah dia kurang gemar aksesori. Jika teringin bergaya lebih, lazimnya dia hanya memakai subang atau anting-anting. Jika kebanyakan wanita suka membeli barang mengikut trend terkini, Shahirah pula gemar bertentangan trend.
Kasut tapak rata
Shahirah tidak menafikan ramai wanita terkenal dengan minat gilakan kasut tetapi tidak bagi dirinya. Sebaliknya, dia lebih selesa dengan kasut bertapak rata dan hanya menyarungkan kasut tumit tinggi untuk majlis-majlis tertentu.
"Dari segi barang berjenama mewah, ia subjektif kepada individu. Secara peribadi, saya juga ada keinginan untuk memiliki barang berlabel eksklusif tetapi saya hanya beli kalau ada duit lebih.
"Kalau duit cukup-cukup untuk keperluan harian, buat apa kita menyusahkan diri beli barangan tersebut? Jika tidak mampu tak payah beli dan pakailah mengikut kemampuan," saran Shahirah yang tidak berasa istimewa jika memakai jenama mewah.
Ibu mertua Shahirah, Datin Maria Arshad pula mempunyai falsafah kecantikan yang berbeza. Begitupun, bekas aktres yang pernah mencipta nama sekitar tahun 1980-an itu tetap berkongsi kebiasaan yang sama seperti Shahirah apabila membabitkan solekan.
CIRI estrogen dalam produk Nuvafemme mengembalikan kesihatan kulit, payudara dan tulang.


Wanita berusia 55 tahun itu mengakui jarang bersolek walaupun dengan bedak asas ketika keluar rumah. Namun, katanya, dia melihat keperluan solekan itu berdasarkan tempat yang ingin ditujui. Jika ke tempat biasa seperti pasar raya, memang solekan itu langsung tidak penting tetapi ia harus dipakai sekiranya menghadiri majlis istimewa.
Perihal wajah pula amat dititikberatkan Maria. Setiap hari, dia pastikan wajahnya mendapat penjagaan lengkap pada waktu pagi dan malam. Pencuci, pelembap dan penyegar menjadi tiga item wajib dalam rejim kecantikan wajah Maria.
"Penat macam mana sekalipun, jangan malas membersihkan muka," pesannya ringkas.
Selain itu, Maria turut mendedahkan rahsia kelangsingan tubuhnya. Tanpa memerlukan penjagaan makan secara serius, Maria masih berupaya mengimbangi berat badannya walaupun telah memasuki usia 50-an.
"Tidak ada istilah diet. Saya masih lagi makan nasi seperti biasa. Kadang-kadang badan naik juga tetapi saya bakar semula kalori menerusi senaman aerobik.
"Setiap pagi saya menyertai kumpulan aerobik di Ukay Perdana, Ampang, Selangor selama satu jam. Kelas bermula pukul 10 pagi dan hanya ditutup pada hari Ahad," teruja Maria bercerita ketika ditemui Stailo di kediaman anak lelaki dan menantunya, Shahirah baru-baru ini.
Tukar beg tangan
Naluri membeli-belah masih kuat dalam diri Maria. Cuma dia lebih suka berbelanja bersama rakan-rakan berbanding pergi sendirian.
Berbeza dengan Shahirah, Maria menyifatkan dirinya sebagai seorang yang gemarkan kasut khususnya sepatu baji dan tumit tinggi. Katanya: "Kasut memang saya selalu tukar tetapi tidak beg tangan. Kadang-kadang Shahirah tegur suruh saya tukar beg tangan sebab pakai lama sangat."
HUJUNG minggu merupakan waktu yang dikhususkan Shahirah untuk keluarga.


Jika kebanyakan ibu mertua dan menantu perempuan sering berselisih pendapat, namun hal itu tidak dirasai oleh Maria dan Shahirah. Maria yang mempunyai tujuh orang anak dan lima cucu menyifatkan Shahirah sebagai individu yang boleh dibuat rakan.
"Sebenarnya saya lebih banyak telefon Shahirah daripada Ijoy. Bila ada kecemasan atau perkara yang saya nak tahu, saya hubungi Shahirah dan dia sangat membantu.
"Menjaga hubungan mertua dan menantu ini mudah. Saya jarang menyibuk dalam hal rumah tangga anak-anak saya dan seboleh-bolehnya tidak mahu mencelah. Saya bagi kebebasan kepada mereka. Tambahan pula hubungan saya dengan ibu bapa Shahirah cukup rapat," dedah Maria.
Apabila diajukan pertanyaan tentang kerinduannya terhadap bidang seni, Maria hanya tersenyum. Kehidupan sekarang menguruskan anak-anaknya yang masih bersekolah membuatkan Maria memilih untuk sepi daripada kerjaya lamanya.
"Ada juga orang panggil tapi saya tolak sebab saya sibuk menghantar dan mengambil anak sekolah dan menguruskan keluarga," luah Maria yang menghargai orang ramai yang masih mengenalinya di tempat awam.


Kecekalan bekas penghidap kanser

Posted: 04 Nov 2013 04:42 PM PST

LALUAN mencabar sepanjang pendakian membataskan pergerakan Nazri (kiri) yang gagal melayakkan diri untuk meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.


SERAMAI 24 orang peserta, termasuk tiga bekas pesakit kanser, menyahut cabaran dan menyertai pendakian Gunung Kinabalu, Sabah dalam program Klimb for Kancer pada 22 September lalu. Aktiviti itu dianjurkan Majlis Kanser Nasional (Makna) dengan penyertaan pesakit kanser yang telah sembuh, penderma berkala, staf dan sukarelawan daripada setiap peringkat umur.
Zeffereili Helmie, 12, merupakan peserta termuda yang menyertai cabaran itu manakala seorang bekas penghidap kanser, Sagowah Maliban yang kini berusia 58 tahun menjadi peserta tertua program.
Seorang bekas pesakit kanser, Nazri Hamzah, 23, berjaya tiba di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat yang berada pada ketinggian 3,668 meter dari paras laut, kira-kira 426 meter lagi untuk tiba ke puncak Kinabalu. Biarpun berdepan kesukaran pergerakan akibat halangan batu-batu granit dan laluan sempit, Nazri tetap bersemangat meneruskan pendakian.
Memulakan cabaran pendakian seawal pukul 2.30 pagi dari Laban Rata memberi tekanan kepada mental dan fizikal Nazri yang kehilangan kaki kanan pada umur 16 tahun akibat penyakit kanser yang pernah dihidapinya.

BARISAN 21 peserta dan tiga bekas pesakit kanser yang menyertai program Klimb for Kancer di Gunung Kinabalu yang diadakan pada bulan September lalu.


"Kesukaran pergerakan akibat cerun yang berbahaya menyebabkan saya dan Nazri tiba di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat pada pukul 5.15 pagi.
"Pusat pemeriksaan itu ditutup tepat pukul 5 pagi dan kelewatan 15 minit tersebut secara automatik menggugurkan kelayakan kami untuk meneruskan pendakian ke puncak.
"Tujuh lagi pendaki iaitu Max Chong, Umadevi Govindaraju, Susan Shee, Yunus Sufaat, Aarya Gowri, Sagawoh dan Rozieana Jorun berjaya menawan puncak Kinabalu," ujar Timbalan Pengurus Besar Makna, A. Vemanna.
Sokongan komuniti
Usaha murni itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Kelengkapan dan peralatan mendaki ditaja sepenuhnya oleh Corezone, manakala baju-T para peserta disumbangkan Global Gases Malaysia Sdn. Bhd.
Klimb for Kancer yang menekankan penggunaan huruf 'K' bagi merujuk kepada Kinabalu merupakan program yang istimewa kepada para pesakit kanser yang terselamat daripada ancaman penyakit berbahaya tersebut.
Kempen itu berjaya meraih sasaran sumbangan bernilai RM50,000 yang akan disalurkan kepada pesakit-pesakit kanser yang sedang berjuang melawan penyakit itu.


Peluang Untuk Jadi Artis Kini Lebih Mudah - Tomok

Posted: 04 Nov 2013 02:24 AM PST


PETALING JAYA: Penyanyi Tomok menganggap peluang menjadi artis kini lebih terbuka luas berbanding zaman ketika dia mula-mula menceburi bidang seni dahulu.
Tomok atau nama sebenar Shah Inderawan Ismail, 29, mengakui dia terpaksa melalui banyak rintangan dan memasuki pelbagai pertandingan nyanyian untuk mencari tapak dalam industri ini.
"Kalau kita lihat peluang untuk jadi artis kini terbuka luas dengan pelbagai progran realiti. Tidak kira dewasa mahupun untuk kanak-kanak.
"Ketika zaman saya dahulu sangat susah untuk jadi artis, seawal usia lapan tahun saya dah memasuki pelbagai pertandingan nyanyian peringkat sekolah dan mana-mana pertandingan yang ada. Ketika itu untuk masuk televisyen bukan senang dan tiada peluang seperti sekarang," katanya ketika ditemui mStar Online.
Tomok yang pernah popular dengan kumpulan New Boyz suatu ketika dahulu menganggap pengalaman tersebut menjadikannya lebih yakin untuk berada di kedudukannya sekarang.
Katanya, biarpun kini dia lebih dikenali selepas menjuarai program realiti One In A Million (OIAM), namun ia bukan sesuatu yang mudah untuk dirinya sampai ketahap ini.
"Bagi saya jika kita tahu bagaimana kesusahannya untuk berada di sini, kita tidak akan sia-siakan peluang yang ada dan buat dengan bersungguh-sungguh.
"Kalau mahu jadi penyanyi biar betul-betul jadi penyanyi, jangan ada niat lain dan hanya sekadar suka-suka sahaja," katanya.
Sementara itu, Tomok yang bertanggungjawab sebagai juri tetap dalam program realiti Idola Kecil muzik ke-6 turut akan berkongsi pengalaman pahit manisnya kepada peserta-peserta tersebut.
"Saya mahu berkongsi pengalaman yang dilalui dengan peserta-peserta cilik ini. Saya faham debaran dalam program realiti sangat berbeza dengan pertandingan karaoke biasa," katanya.

Diganggu ilmu perabun

Posted: 04 Nov 2013 02:19 AM PST

  • Diganggu ilmu perabunSaindon terpaksa mengunci pintu rumah menggunakan mangga kerana bimbang keselamatan diri.

REMBAU – Bimbang kemungkinan diancam gangguan sihir, seorang wanita di Kampung Sri Kendong, dekat sini tinggal dalam rumah yang berkunci mangga seolah-olah berada dalam penjara.

Saindon Abdullah, 60, seorang ibu tunggal berbuat demikian kerana mendakwa dirinya terkena gangguan ilmu perabun sehingga menyebabkan dia yang pernah menerima Anugerah Ibu Tunggal Berjaya peringkat daerah Rembau pada 2011, hidup dalam ketakutan.

Akibatnya,  dia sentiasa berada gelisah dan tertekan sehingga kegiatan pertanian dan penternakan yang diusahakannya sejak 2009 kini terbiar begitu saja.

"Pada tahun 2010, memang sudah ada sedikit gangguan, namun pada tahun ini gangguan itu semakin teruk sehingga saya terpaksa mengunci pintu menggunakan mangga.

"Malah, di ruangan beranda rumah pun, saya  ada memasang besi di sekeliling bagi mengelak mana-mana individu tidak bertanggungjawab masuk ke rumah tanpa disedari," katanya.

Menurutnya, pernah dia mendengar bunyi orang berjalan di atas atap rumah, tapi apabila diperiksa, tiada orang di situ.

Selain itu, lebih tertekan apabila ikan ternakannya sebanyak satu tan mati dipercayai diracun pihak tidak bertanggungjawab.

"Dulu rumah saya ini ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran untuk dijual.  Bagaimanapun, saya kini hanya duduk di rumah sahaja dengan keadaan rumah sentiasa berkunci mangga seakan-akan penjara," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Susulan masalah berkenaan, katanya, dia sudah beberapa kali membuat laporan polis, bagaimanapun belum berjaya mengesan mana-mana individu yang disyaki terlibat.

Menurutnya, jika masalah itu tidak selesai, dia menghadapi masalah untuk melunaskan hutang Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) serta institusi perbankan lain kerana gagal memperolehi pendapatan.

Dalam pada itu, Saindon turut mencari mana-mana pihak yang punyai kepakaran untuk mengubati gangguan dihadapinya supaya dia dapat hidup seperti sediakala.

Pahang Juara Piala Malaysia 2013

Posted: 04 Nov 2013 02:14 AM PST

  • Pahang Juara Piala Malaysia 2013Sekitar perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 antara pasukan Pahang dan Kelantan di Stadium Shah Alam, malam ini. Pahang menewaskan Kelantan 1-0. 

PAHANG menamatkan penantian 21 tahun menjulang Piala Malaysia apabila bergelar juara selepas menewaskan Kelantan 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Jaringan tunggal penyerang import Tok Gajah, Matias Ruben Conti minit - 58 yang bijak menyambar hantaran lintang dari Azamuddin Akil di sebelah kiri gawang Kelantan sudah cukup memastikan kemenangan mutlak Pahang.

Beraksi dalam keadaan padang basah kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan berhati-hati dengan lebih banyak melakukan gerakan melalui hantaran
jauh.

Pahang hampir berada di depan pada minit ke-10 apabila hantaran lintang dari R Gopinathan gagal ditampan kemas Conti dan Azamudin Akil yang melegakan kira-kira
50,000 penyokong setia Pahlawan Merah.

Tersentak dengan serangan tersebut, Kelantan menyusun serangan menggempur kubu Tok Gajah melalui gerakan tiga serangkai Dickson Nwakame, Norfarhan Mohamad dan Mohd Badhri Radzi.

Sepakan percuma dari luar kotak penalti diambil Indra Putra Mahyudin (m-18) hampir meletakkan Kelantan di depan namun sedikit tersasar di sebelah kiri gawang ketika benteng terakhirnya Pahang, Khairul Azhan Khalid sudah pun tertewas.

Kesilapan pertahanan Pahang, Damion Delano Stewart yang menjatuhkan Nwakaeme (m-24) hampir memberikan sepakan penalti buat Kelantan selepas pemain TRW mendakwa kekasaran tersebut berlaku dalam kotak penalti namun pengadil perlawanan Nagor Amir Noor Mohamed hanya memberikan sepakan percuma.

Tok Gajah yang enggan mengalah turut mengatur gerakan memburu gol dan berpeluang mendahului namun rembatan kencang R Surendren terkena palang gol tiga minit
kemudian.

Norfarhan turut terlepas peluang menjaringkan gol apabila rembatannya berjaya ditepis Khairul (m-34) sebelum 10 minit kemudian sekali lagi pemain gagal menewaskan
benteng terakhir Tok Gajah sebelum kedua pasukan beredar masuk ke bilik persalinan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Bermula babak kedua Pahang yang melakukan sepak mula hampir memecah kebuntuan apabila berlaku keadaan kelam kabut depan gol TRW namun Fauzi Roslan gagal
menterjemahkan dengan jaringan.

Gol dicari Pahang akhirnya menjelma pada minit-58 apabila Conti menanduk cantik hantaran lintang dari Azamuddin yang gagal ditepis Khairul Fahmi Che Mat.

Ketinggalan 0-1 tidak melemahkan semangat anak didik Bojan Hodak yang melancarkan serangan bertali arus selepas itu namun kekebalan benteng pertahanan Pahang
menggagalkan usaha pemain Kelantan.

Berbaki 10 minit perlawanan terakhir Kelantan mempunyai dua peluang menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Fakri Sharani dan Norfarhan tetapi Khairul Azhan
tetap tangkas memastikan gawang tidak dibocori sehinggalah tamat perlawanan.

Melaka tawar RM1 sekilogram minyak masak terpakai

Posted: 04 Nov 2013 02:12 AM PST

MELAKA - Kerajaan Melaka menerusi Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) menawarkan RM1 untuk setiap kilogram minyak masak terpakai dalam usaha merancakkan lagi projek pemprosesan biodiesel di negeri itu.
Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Md Yunos Husin berkata orang ramai boleh menjual minyak masak terpakai kepada PTHM di 28 pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Melaka (Japerun) dalam tempoh dua minggu lagi.
"Ramai penduduk mahupun peniaga di negeri ini masih belum mengetahui kelebihan menjual minyak masak terpakai dan kebanyakan mereka membuang bahan itu ke dalam longkang rumah mereka begitu sahaja.
"Ini menyebabkan pencemaran alam sekitar dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurutnya pada masa ini secara purata PTHM hanya dapat mengumpulkan sekitar tiga tan minyak sebulan berbanding kapasitinya memproses 50 tan sehari.
Beliau turut meminta PTHM dan pihak berkuasa tempatan di negeri itu mengadakan lebih banyak program kesedaran mengenai cara mengitar semula minyak masak terpakai yang betul kepada orang ramai.
"Program mengenai pemprosesan minyak terpakai ini perlu diadakan secara menyeluruh dengan memberi penerangan kepada orang ramai bagaimana minyak terpakai ini boleh diguna untuk dijadikan biodiesel," katanya.
Sementara itu PTHM melalui kenyataannya berkata selain menghantar sendiri minyak terbabit ke pejabat Japerun, orang ramai boleh mendaftar dalam talian di laman sesawang PTHM iaitu www.melakagreentech.gov.my/biodiesel.
"PTHM akan membekalkan tong minyak masak plastik untuk kutipan minyak masak itu dan peserta boleh menyimpan sisa minyak masak mereka sehingga penuh, kemudian PTHM akan mengutip tong itu ke depoh simpanan sebelum diproses menjadi biodiesel," kata kenyataan itu.
Penggunaan bahan api biodiesel boleh mengurangkan 'carbon footprint' dunia dan diiktiraf sebagai alternatif yang baik untuk diesel daripada bahan api fosil.

Rapat dengan Fauzi Nawawi

Posted: 04 Nov 2013 02:09 AM PST



MOMENTUM gadis bernama Noreen Ashikin Rahim atau nama pentasnya Reen Rahim dalam bidang lakonan tidak begitu menyerlah biarpun sudah menjuarai program realiti Pilih Kasih musim ketiga.
Sedar akan hakikat tersebut, luah pelakon berusia 25 tahun itu, selama dua tahun dalam bidang lakonan dia sering ditawarkan watak-watak kecil.
"Kalau orang lain yang menang program realiti senang dapat watak utama, tetapi saya pula sudah dua tahun berlakon baru dapat watak pembantu. Momentum saya dalam bidang lakonan tidak laju seperti sesetengah pelakon," ujarnya jujur ketika ditemui baru-baru ini.
Tidak berputus asa dengan rezeki yang diperoleh, ungkap Reen, pahit yang dirasai itu menjadikan dirinya kuat dan lebih berkeyakinan tinggi untuk menjadi pelakon yang lebih baik pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Reen bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus, bahkan dia juga sudah menjalani penggambaran drama berjudul Berlima Ramadan untuk siaran pada bulan Ramadan tahun depan.
Watak antagonis
Biarpun tawaran tidak pernah putus, Reen sering sahaja ditawarkan watak antagonis.
Mengulas mengenai perkara itu, Reen memberitahu, dia tidak pernah berasa bosan dan berkecil hati, malah menganggap tawaran watak sebegitu merupakan pujian kepada dirinya.
"Saya bukan jenis yang feminin atau lemah lembut untuk ditawarkan watak baik. Mungkin pihak penerbit nampak saya aktif dan lincah, maka watak antagonis sesuai dengan saya. Disebabkan itu saya sering ditawarkan watak tersebut," dedahnya yang anggun mengenakan gaun berwarna-warni pada sesi fotografi itu.
Terkini, Reen yang berasal dari Klang, Selangor itu muncul dengan watak antagonis dalam drama bersiri Aku menerusi Slot Aksi, TV3.
Kongsi Reen mengenai wataknya di dalam drama rantaian tersebut, dia membawakan watak gadis kampung bernama Nini yang bercinta dengan Acid (lakonan Nubhan).
REEN RAHIM mengaku bukan sahaja mempunyai hubungan yang baik dengan Fauzi Nawawi, tetapi juga rapat dengan isterinya, Lisdawati.


Malangnya, hubungan cinta di antara Nini dan Acid tidak disukai oleh Adam yang turut mencintai Nini.
"Acid dipukul oleh Adam dan akhirnya dia keluar meninggalkan kampung. Nini yang pada asalnya baik bertukar menjadi gadis yang jahat selepas dirogol oleh Adam," ujarnya mengenai wataknya itu.
Mengulas mengenai cabaran membawakan watak Nini, kata Reen, buat pertama kalinya dia perlu melakukan aksi pergaduhan dalam drama.
Selain perlu tahan sakit Reen juga perlu menunjukkan skil seni mempertahankan diri yang betul.
Mujur, kata Reen, dia mendapat tunjuk ajar dari seorang koreografer lawan bernama Komeng.
"Asalnya watak Nini selepas kena rogol dia jadi lagi lembik dan tidak bersemangat, tetapi pihak produksi ubah watak saya menjadi sebaliknya selepas melihat saya minat pada babak-babak aksi lawan," jelasnya.
Gosip skandal Fauzi, Noni
Selesai mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan diceritakan, nama Reen turut terheret sama dalam gosip cinta aktor sensasi Fauzi Nawawi yang didakwa mempunyai skandal dengan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelima, Noni baru-baru ini.
Fauzi sendiri mengakui dalam kenyataannya kepada Kosmo! bahawa dia lebih rapat dengan Reen berbanding Noni dan terkejut kenapa Noni yang dikaitkan dengan dirinya.
Menjawab mengenai pengakuan Fauzi itu, luah Reen, dia memang rapat dengan Fauzi dan juga Lisdawati selepas berlakon drama di bawah arahan Fauzi iaitu Kiambang.
"Saya sudah lama kenal dia (Fauzi). Begitu juga isterinya, Lisdawati selepas berlakon drama arahannya. Saya juga salah seorang pengguna produk Aqua Therapy keluaran syarikatnya," jelasnya.
Ditanya mengenai gosip skandal Fauzi dan Noni, kata Reen, mungkin mereka digosipkan kerana Noni seorang yang lemah lembut dan mesra.
Sebaliknya, ungkap Reen, Noni sekadar anak didik Fauzi. Begitu juga dengan dirinya yang sentiasa mendapat tunjuk ajar lakonan daripada aktor itu.


Sampling biasa dalam muzik Hip Hop - Waris

Posted: 04 Nov 2013 02:08 AM PST


WARIS tidak lemah semangat dengan kontroversi yang melanda dirinya kini.


UMUM mengetahui lagu Botingkek nyanyian rapper muda, Waris telah ditarik keluar daripada pencalonan akhir Anugerah Muzik Malaysia 20 (AIM 20) baru-baru ini.
Bagaimanapun, tindakan tersebut tidak akan melenturkan semangat Waris atau nama sebenar, Muzzammil Alias, 24, untuk terus berkarya pada masa hadapan.
Pernah unggul dengan single yang mencetuskan fenomena pada awal tahun ini, Rembau Most Wanted, kini Waris terus hangat dengan lagu kedua yang berjudul Botingkek.
Ramai yang tidak berpuas hati mendakwa Waris seorang artis yang tidak beretika. Dia didakwa mencedok hasil karya orang lain kerana lagu barunya itu kedengaran hampir sama seperti lagu Racks On Racks nyanyian YC bersama Nelly, B.o.B., Trae The Truth, Yo Gotti, Cyhi Da Prynce, Dose & Ace Hood. Malah, judulnya juga hampir menyamai lagu tersebut cuma kelihatan seperti dialih bahasa.
Enggan peminat membuat andaian negatif, Waris bercakap kepada Kosmo! mengenai perasaannya, selain mengaku tidak akan berhenti melakukan lagu sampling atau lagu adunan semula yang cukup terkenal dalam kalangan penggiat muzik Hip Hop.
Kosmo!: Apa khabar Waris?
WARIS: Sihat. Saya baru sahaja pulang bercuti dari Bali, Indonesia.
Tahniah diucapkan atas kejayaan lagu Rembau Most Wanted yang layak bertanding dalam AIM 20 nanti. Apakah harapan anda untuk lagu tersebut?
Terima Kasih. Sebenarnya, secara peribadi, buat saya, tercalon pun saya lihat ia sudah cukup baik untuk pendatang baharu seperti saya. Tentang harapan untuk menang pula, saya melihat ia bergantung kepada rezeki. Jika saya menang, ia merupakan satu anugerah dan jika kalah, saya tetap terima dengan tangan terbuka.
Lagu Botingkek menimbulkan kontroversi apabila ia tercalon dalam anugerah tersebut. Selepas dikaji, ia memang mempunyai persamaan yang ketara dengan lagu Racks On Racks 
LAGU Racks On Racks ini dikatakan diciplak Waris menjadi lagu Botingkek.


Boleh anda komen sedikit tentang pengguguran lagu tersebut?
Saya menerima seadanya keputusan yang telah dibuat. Saya anggap ia bukan rezeki saya.
Mungkin boleh anda jelaskan dengan lebih lanjut tentang konsep lagu Botingkek yang mempunyai persamaan hampir 100 peratus dengan lagu tersebut?
Kami dalam industri Hip Hop terkenal dengan konsep sampling. Mungkin ini sesuatu yang baharu di Malaysia, tetapi di barat konsep ini sudah diaplikasikan sejak 80-an lagi. Maksud sampling ini ialah adunan semula dan diubah mengikut kesesuaian semasa dan saya buat lagu Botingkek itu mengikut cita rasa rakyat Malaysia.
Selepas isu anda menciplak lagu seperti ini kecoh, adakah anda akan lebih berhati-hati atau membuat lagu original selepas ini?
Tidak, kerana saya tidak akan berhenti membuat lagu-lagu sampling kerana itu adalah sebahagian daripada muzik Hip Hop. Apa yang penting ialah saya mahu menyampaikan mesej menerusi lirik yang mengikut adunan saya sendiri.
Anda membuat lagu secara suka-suka, memuat naiknya dalam Youtube juga secara suka-suka tanpa menjangkakan anda boleh menjadi popular seperti sekarang. Namun kini, selepas popular, orang ramai mula mencari salah anda pula. Bagaimana anda melihat situasi ini?
Saya tidak kecewa kerana sesetengah pihak tidak memahami konsep dan idea yang saya cuba ketengahkan.
Apakah perkembangan terkini anda?
Saya dalam proses merakamkan single baharu yang masih belum diketahui judulnya. Saya akan berkolaborasi bersama Datuk Hattan dan lagu itu sudah hampir 30 peratus siap dirakam.


Mamat boleh jangka lawak Sepahtu

Posted: 04 Nov 2013 02:07 AM PST


MAMAT menyertai Maharaja Lawak Mega 2013 bersama Arin dan Munir atas tiket kumpulan yang diberi nama Kucai.


TIADA niat untuk membuktikan dirinya yang terbaik berbanding kumpulan Sepahtu, Mamat Sepah mengakui menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM2013) untuk membina semula nama dan kerjayanya dalam bidang seni.
Mamat bersama pelawak Munir dan Arin yang menggelarkan diri mereka sebagai Kucai akan bersaing dengan kumpulan Sepahtu yang dianggotai oleh Jep, Shiub serta Rahim R2 dalam Maharaja Lawak Mega 2013.
Selain Kucai dan Sepahtu, Maharaja Lawak Mega 2013 turut dianggotai 11 kumpulan lain yang menggelarkan diri mereka Jambu, Boboi, Shiro, Saywho, Wala, Comey, Osama, Tulang, Bocay, SYJ dan seorang peserta solo iaitu Nabil.
Menurut Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Noor Murad, dia mengakui berasa janggal jika menyertai program tersebut seorang diri. Disebabkan itu, dia mengambil keputusan mencari dua lagi ahli untuk membentuk kumpulan baharu.
"Saya masuk ke industri seni dengan kumpulan Sepah. Memang sudah terbiasa melakukan lawak secara berkumpulan. Jadi, saya rasa janggal jika beraksi solo di pentas MLM 2013.
"Jadi, saya cari dua peserta untuk membina kumpulan Kucai. Saya dapati Munir dan Arin mempunyai kelebihan. Munir mempunyai wajah yang mampu membuatkan orang ketawa, manakala Arin pula mempunyai karakter yang suka berjalan kengkang. Kelebihan yang mereka ada membuatkan saya terfikir untuk menarik mereka menyertai MLM 2013." jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Disoal bagaimana perasaannya bersaing bersama kumpulan Sepahtu di pentas MLM 2013, luah Mamat, biarpun reda dengan perkara itu, tetapi dia tetap risau kerana dapat mengagak apa yang bakal bekas ahli kumpulannya itu (Sepahtu) lakukan.
Mamat juga mengakui masih menyayangi Jep dan Shuib kerana beranggapan namanya di julang ketika mereka masih bersama-sama dalam kumpulan Sepah.
"Saya anggap kumpulan Sepahtu istimewa, bukan pesaing. Sayang saya pada mereka masih ada. Sebabnya, kami daripada tidak dikenali dan tidak ada apa-apa kini sudah melalui pencapaian besar dalam bidang seni.

SEPAHTU pula terdiri daripada Jep (kiri), Shuib dan Rahim.


"Bagaimanapun saya reda dengan nasib kumpulan kami. Cuma, saya risau dapat mengagak apa yang Jep dan Shuib bakal lakukan dalam setiap persembahan mereka kerana naluri kami bertiga sangat kuat," dedah Mamat.
Kerusi Panas
Menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, selain 13 kumpulan itu yang berjaya menempah tiket awal untuk beraksi secara automatik di gelanggang MLM 2013, terdapat tiga lagi kumpulan daripada senarai Kerusi Panas Maharaja Lawak Mega 2013 akan turut terlibat.
Bagaimanapun, ujar Nizam, tiga kumpulan itu akan dipilih menerusi satu ujian Kerusi Panas Maharaja Lawak Mega 2013 yang akan disiarkan pada 8 November ini pada pukul 10 malam.
"Terdapat 12 kumpulan yang perlu bersaing dalam ujian Kerusi Panas untuk menempatkan diri mereka dalam gelanggang Maharaja Lawak Mega 2013. Hanya tiga kumpulan akan dipilih oleh juri profesional untuk melengkapkan senarai 16 peserta Maharaja Lawak Mega 2013.
"Mereka terdiri daripada kumpulan Shake (Amir dan Bell Ngasri), Glory (Sathia, Ika dan Mie), Santan (Datuk Ali Mamak, Fida dan Aziz Kota), Hai (Ilya dan Hamdan), Mamu (Ajo dan Abu), Zero (Atu, Syaiful dan Sharif), Pajak (Caca, Man dan Fandi), Gadai (Epul, Joe dan Idlan), Kecik (Achok dan Wan), 2Yol (Lan dan Rohaizat) dan Gerak (Pak Cu, Che Mat dan Anu)," ujarnya.
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh pula memberitahu, MLM 2013 masih mengekalkan format lama dan juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000.
Mengulas lanjut, kata Khairul, sistem pemarkahan juga masih dikekalkan iaitu sebanyak 70 peratus oleh juri tetap dan 30 peratus pula daripada undian penonton.
"Barisan empat juri tetap MLM 2013 hanya akan diketahui pada gelanggang pertama program ini iaitu pada 15 November ini, pada pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dalam pakej Mustika dan juga Mustika HD (saluran 134) serta Astro on-the-go (Warna)," ulasnya lagi.


Carefree yakin masih relevan

Posted: 04 Nov 2013 02:06 AM PST


CAREFREE yang dianggotai oleh dua generasi terdiri daripada Reeyan (kiri), Hizey, Hadi, Simon dan Zack.


KUMPULAN Carefree yang popular sekitar tahun 70-an dan 80-an dengan lagu seperti Rindu Bayangan serta Belaian Jiwa, kini kembali dengan album terbaharu selepas 30 tahun menyepi tanpa sebarang album.
Tidak lagi bersama vokalis asalnya, Jay Jay, satu-satunya anggota asal kumpulan itu ialah Simon Justin Leo (gitar/vokal). Selebihnya, dianggotai oleh ahli-ahli baharu, iaitu Hadi Hassan (bass/vokal) yang menggantikan Jay Jay, Zack (keyboard/vokal), Reeyan (drum/vokal) dan Hizey (keyboard/vokal).
Menurut Hadi, mereka sangat bersyukur selepas setahun akhirnya album Bersama Carefree yang dibikin dengan kos RM100,000 dapat bertemu peminat.
"Bukan mudah untuk menghasilkan album ini kerana ia memakan masa yang agak lama. Kami semua tahu harapan peminat terhadap album ini sangat tinggi sebab sudah terlalu lama Carefree tidak menghasilkan album.
"Justeru, selepas berbincang dan memerah otak, inilah hasilnya dan kami semua berpuas hati kerana album ini tidak menggunakan komposer luar, sebaliknya hasil usaha kami sendiri," kata Hadi yang ditemui pada majlis pelancaran album Bersama Carefree di Wisma Bentley Music, Damansara, Selangor baru-baru ini.
Sungguhpun kumpulan Carefree merupakan kumpulan lama, tetapi mereka yakin muzik bawaan Carefree masih relevan pada masa kini.
"Memang Carefree kumpulan lama, tetapi saya yakin dengan lagu-lagu baru kami mampu bersaing dengan penyanyi sedia ada.
"Tambahan, terdapat anggota Carefree yang muda. Jika mereka boleh menerima muzik yang kami bawakan, maknanya orang muda di luar sana juga dapat menerima muzik kami," ujar Hadi tentang album yang diterbitkan oleh Dream Music Sdn. Bhd. itu.
Disoal mungkinkah terdapat pertelingkahan antara anggota asal Carefree sehingga memaksa mereka mengambil anggota baharu, mereka menafikan perkara tersebut berlaku.
Simon menegaskan kumpulan Carefree tidak pernah berpecah dan tiada sebarang masalah yang timbul antara anggota asal kumpulan itu.

CAREFREE kini muncul dengan sebuah album studio baharu yang diberi judul Bersama Carefree.


"Kami tidak bergaduh dan kami tidak pernah berpecah. Sebaliknya, apa yang berlaku ialah kerana masing-masing mempunyai komitmen terhadap bidang lain seperti perniagaan dan Jay Jay sudah bergerak solo.
"Selain itu, ada beberapa anggota menghadapi masalah kesihatan dan mereka tidak lagi mampu untuk mengadakan persembahan pentas dalam tempoh yang panjang.
"Apa yang kami lakukan sekarang ialah mengambil anggota baharu dan menghasilkan album terbaharu dan ia mendapat restu semua anggota asal Carefree. Mereka tidak mahu kerana komitmen masing-masing perjalanan kumpulan ini terjejas," jelas Simon.
Hadi pula menambah, kumpulan Carefree pada mulanya bergabung pada tahun 2009 untuk konsert bersama kumpulan Black Dog Bone. Bagaimanapun persembahan itu terbatal kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja yang lain.
"Sejak itu, anggota asal Carefree tidak kisah andai kami bergerak tanpa mereka, bahkan mereka juga rasa bersalah kerana komitmen mereka, persembahan terpaksa dibatalkan.
"Namun, jika mereka ada masa terluang, mereka akan menyertai kami dalam persembahan tertentu. Penambahan ahli baharu tidak bermakna kami membuang ahli yang lama," terang Hadi.
Ujar Simon, mereka sendiri tidak tahu berapa lama mereka akan meneruskan perjuangan bersama Carefree sebelum meninggalkan terus dunia seni.
"Mungkin empat atau lima tahun lagi kami masih aktif bermain muzik. Sebelum meninggalkan dunia seni, kami mahu menghasilkan sesuatu yang terbaik dan bermakna seperti album terbaharu ini," kata Simon.
Album Bersama Carefree yang mengandungi tujuh buah lagu iaitu Bersama Carefree, Hanya Aku, Biarkan Aku Sendiri, Blues Isteri Lari, Find It In Your Heart, Hati Batu dan Hey DJ telah berada di pasaran dengan harga RM19.90.


Robot ada 78 jari bermain gitar

Posted: 04 Nov 2013 02:00 AM PST


SEORANG lelaki bermain gitar elektrik di depan Mach.


TOKYO - Dua buah robot bermain gitar dan dram pada satu pameran teknologi yang berlangsung selama dua hari sejak semalam di sini.
Sebuah robot yang bernama Mach bermain gitar dengan menggunakan 78 batang jarinya yang disaksikan oleh para pengunjung pameran tersebut.
Para pengunjung pameran itu juga menyaksikan sebuah robot yang bernama Ashura bermain dram di Muzium Negara Sains dan Inovasi.
Mach dan Ashura merupakan anggota band robot Z-Machines.
Menurut laman teknologi digitaltrends.com, band robot itu dicipta oleh seorang profesor teknologi maklumat di Universiti Tokyo, Yoichiro Kawaguchi dan pereka mekanikal, Naofumi Yonetsuka.
Band itu turut dianggotai sebuah lagi robot bernama Cosmo yang bermain papan nada elektronik.
Pada Jun lalu, band tersebut membuat persembahan dalam sebuah konsert di sini.


Lukisan AS$50 dilelong AS$615,000

Posted: 04 Nov 2013 01:59 AM PST


LUKISAN murah ini bertukar mahal selepas Banksy melukis gambar seorang askar Nazi duduk di atas bangku.


NEW YORK - Sebuah lukisan yang dibeli oleh seorang artis grafiti, Banksy pada harga hanya AS$50 (RM158) dari sebuah kedai jimat cermat di Manhattan di sini telah dilelong pada harga AS$615,000 (RM1.94 juta).
Selepas membuat pembelian, Banksy yang berasal dari Britain telah melukis gambar seorang askar Nazi Jerman yang sedang duduk pada lukisan tersebut.
Selepas menambah gambar askar itu, dia kemudian menyumbangkan lukisan tersebut kepada pihak pengurusan kedai berkenaan pada Selasa lalu.
Pihak kedai itu kemudian memutuskan untuk melelong lukisan itu bermula pada hari Selasa sebelum tempoh bidaan ditutup pada Khamis lalu.
Seorang pembeli yang hanya dikenali sebagai Gorpetri kemudian membeli lukisan tersebut pada harga AS$615,000.
Hasil jualan lukisan itu akan disumbangkan untuk golongan tidak berumah dan penghidap HIV.


Gian memancing selepas umpan mengena

Posted: 04 Nov 2013 01:57 AM PST



PEMANCING wanita amatur itu kelihatan terkial-terkial ketika cuba memasang umpan ke mata kail sebatang joran yang dihadiahkan oleh suaminya. Biarpun kurang arif dengan apa yang dilakukannya, beliau tekun mencuba. Berkali-kali juga kedengaran suara si suami yang duduk di sisi memberitahu satu demi satu langkah yang betul untuk memancing.
Lagi ditegur, lagi kusut jadinya. Hartini Che Mat, 36, meminta pertolongan si suami untuk merapikan semula tali joran yang berselirat dikerjakannya.
"Saya mula berminat untuk memancing selepas berjaya mendapat ikan sewaktu mengikut suami memancing di Kolam Taman Templer, Rawang di Selangor.
"Perasaan gembira tidak dapat digambarkan pada masa itu. Rasa macam gian untuk keluar memancing lagi," kata wanita yang menetap di Gombak, Selangor itu.
Beliau merupakan salah seorang daripada peserta kelas memancing dalam teknik balingan joran khas untuk golongan wanita yang dianjurkan secara percuma baru-baru ini.
Kelas tersebut mendedahkan peserta kepada teknik-teknik asas yang perlu diketahui ketika membaling joran dan cara memasang umpan dengan betul.
Tambah Hartini, beliau berasa kekok dan menganggap aktiviti memancing itu sesuatu yang susah sehingga membuatkan dirinya disulami perasaan gementar. Semuanya gara-gara ibu kepada dua orang cahaya mata itu belum mahir teknik-teknik asas memancing.
Pada mulanya, Hartini pernah mempersoalkan tindakan suaminya yang obses dengan aktiviti memancing. Beliau beranggapan memancing merupakan hobi yang mahal kerana menelan banyak belanja.
"Saya pernah tanya kepada suami kenapa dia sanggup membazirkan wang untuk membeli peralatan memancing. Namun, selepas saya merasa sendiri keseronokan aktiviti ini, baru saya memahami perasaannya.
"Kelas memancing seperti ini wajar dianjurkan lebih kerap untuk membuka peluang kepada lebih ramai pemancing wanita mendapatkan ilmu yang bermanfaat," jelasnya yang baru kali pertama menyertai kelas tersebut.

PEMANCING perlu memahami habitat kawasan yang dikunjungi.


Kini, Hartini pasti membawa anak-anaknya menemani beliau dan suami keluar memancing setiap kali ada masa lapang atau pada musim cuti sekolah.
Ahli perniagaan wanita, Normala Abd. Rahman, 27, mengakui minatnya yang mendalam terhadap aktiviti memancing sudah masuk tahun ketiga. Beliau tidak kisah berhabis wang semata-mata untuk mengumpul kelengkapan memancing yang kini sudah mencecah ribuan ringgit.
Normala yang mesra disapa Mala agak keberatan untuk memberitahu jumlah sebenar wang yang dilaburkan bagi tujuan tersebut. Baginya, biarlah jumlah berkenaan kekal rahsia agar dapat mengikis pandangan orang ramai yang beranggapan aktiviti memancing merupakan satu hobi yang mahal.
Ketenangan
"Memancing bukan sahaja memberikan kepuasan ketika memperoleh tangkapan tetapi saya lebih suka dengan ketenangan yang diperoleh ketika memancing.
"Saya gemar memancing di laut kerana lokasi tersebut seolah-olah mempunyai aura ketenangan yang sukar didapati di mana-mana. Ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan setelah penat bekerja," jelas Mala yang berasal daripada Johor Bahru, Johor itu.
Katanya, minat memancing bermula selepas berpeluang mengikuti ibu saudaranya memancing. Kegilaan ibu saudaranya itu terhadap hobi tersebut kini berjangkit kepada Mala pula.
Seperti hobi yang lain, memancing juga memiliki risiko keselamatan yang perlu diberi perhatian. Mala tidak menolak hakikat bahawa pemancing wanita tidak seperti pemancing lelaki yang boleh keluar memancing ke tengah laut atau kelong bersendirian.
Selain kelengkapan memancing yang banyak, pemancing wanita juga memiliki kekuatan yang terbatas untuk membawa kesemua peralatan memancing.

SEBAHAGIAN daripada para peserta wanita yang menyertai bengkel memancing yang dianjurkan di Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.


Cabaran lain yang perlu dihadapi ialah kekangan masa dan komitmen wanita sebagai pekerja, ibu dan isteri.
"Wanita bujang mungkin tidak menghadapi masalah untuk bergerak mengikut kehendak mereka. Apa yang penting, pemancing wanita harus keluar secara berkumpulan demi keselamatan masing-masing," jelasnya.
Setakat ini, Mala sudah memiliki 13 joran pelbagai saiz dan kegunaan. Mala turut menulis tentang hobinya itu di blog superyounglady.blogspot.com untuk berkongsi tip dan pengalaman bersama pemancing wanita lain.
Minatnya yang mendalam terhadap hobi tersebut mendorong Mala menubuhkan Kelab Memancing Wanita.
Sementara itu, Presiden Persatuan Memancing Malaysia, Ridzuan Ghazali memberitahu, pihaknya mengadakan kelas memancing wanita bagi menghimpunkan mereka untuk sesi pengenalan dan menilai pengetahuan pemancing wanita terhadap aktiviti tersebut.
Modul kelas
"Selepas pengetahuan setiap peserta dapat dinilai, barulah kami menyediakan modul yang sesuai bagi kelas yang akan datang.
"Selain itu, kelas ini turut mengajar peserta tentang teknik-teknik memancing menggunakan umpan tiruan yang jauh lebih mudah dan mudah," katanya ketika ditemui di Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Ridzuan, aktiviti memancing sudah dianggap sebagai satu bentuk aktiviti rekreasi dan pakaian pemancing masa kini tidak lagi kotor seperti sebelum ini. Umpan tiruan yang digunakan lebih bersih dan bukan daripada cacing, serangga atau tepung.
Beberapa etika memancing yang diterapkan dalam kelas tersebut adalah aspek hormat pada orang lain, penjagaan dan pemuliharaan ikan. Pemancing perlu tahu jenis ikan yang boleh dibunuh adalah daripada ikan luar yang mampu merosakkan ekosistem kawasan tersebut.

JENIS-JENIS umpan tiruan yang digunakan oleh pemancing.


Selain itu, aspek lain yang ditekankan ialah hormat kepada alam sekitar, tidak lokek ilmu memancing antara peserta dan kepentingan menjaga keselamatan diri sendiri serta orang awam.
Kelas tersebut diadakan secara percuma dan akan diadakan dengan lebih kerap pada masa depan bagi menggalakkan lebih ramai wanita melibatkan diri dengan aktiviti memancing.
"Saya amat berharap kerajaan dapat memberikan galakan dan mengiktiraf aktiviti memancing sebagai satu bentuk sukan. Peralatan memancing agak mahal tetapi jika pelepasan cukai dapat diberikan kepada si pembeli sama seperti barangan sukan yang lain, sudah tentu semakin ramai orang awam berminat dengan aktiviti memancing.
"Bukan itu sahaja, aktiviti memancing ini dapat menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan di negara kita. Bayangkan jika seorang pemancing membeli kelengkapan peralatan mencecah RM10,000, berapa pendapatan yang boleh dijana jika 1,000 rakyat Malaysia gemar memancing?," katanya penuh semangat.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines