Sabtu, 2 November 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Waris Akur AIM Singkir 'Botingkek' Kerana Karya Ciplak

Posted: 01 Nov 2013 05:42 AM PDT


Waris
PETALING JAYA: Lagu Botingkek nyanyian Waris yang ditolak daripada Anugerah Industri Muzik 20 (AIM 20) kerana ia karya ciplak tidak menghalang penyanyi itu terus mengambil karya-karya lain untuk dijadikan inspirasi dalam lagu yang ditampilkan.
Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias, 24, berkata, dia menerima keputusan itu dengan hati terbuka apabila pihak AIM 20 menggugurkan lagu Botingkek untuk dicalonkan dalam senarai akhir anugerah tersebut bagi kategori hip hop.
"Saya berada dalam industri muzik ini bukan kerana ingin mencapai anugerah tetapi jika ada, ia satu bonus buat kerjaya saya.
"Apabila Botingkek ditarik keluar, saya faham dan perkara tersebut tidak menghalang saya menyampaikan lagu Melayu yang diambil daripada lagu-lagu lain," katanya yang dihubungimStar Online di sini pada Khamis.
Sebuah akhbar pada Khamis telah melaporkan, lagu Botingkek yang turut dinyanyikan Juzzthin ciptaan DJ Fuzz telah diciplak sepenuhnya daripada lagu Racks, nyanyian YC dan Future.
Hal tersebut membuatkan lagu tersebut ditolak terus daripada dicalonkan dalam AIM.Bagaimanapun lagu Rembau Most Wanted, ciptaannya sendiri layak ke peringkat akhir anugerah berprestij tersebut.
Tambah Waris, keadaan itu langsung tidak menjatuhkan semangatnya apabila ramai peminat sukakan Botingkek selain mesej lirik tersebut juga dianggap sampai kepada pendengar.
"Saya tahu ramai yang tidak memahami konsep muzik hip-hop yang menjadikan lagu lain sebagai sampel dalam sesebuah karya yang dihasilkan.
"Mungkin dengan menghasilkan lebih banyak lagu sebegitu pada masa depan akan mengubah persepsi masyarakat mengenai erti ciplak dalam sesebuah muzik hip-hop," tegasnya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Waris bakal muncul dengan sebuah lagu bergandingan dengan Datuk Hattan berkonsepkan muzik reggae.

Era FM kekal nombor satu

Posted: 01 Nov 2013 05:41 AM PDT



  • Era FM kekal nombor satu

ASTRO Radio masih mengekalkan kedudukan sebagai radio nombor satu Malaysia dengan lebih 12.2 juta pendengar setiap minggu,  berdasarkan keputusan kaji selidik yang dikeluarkan oleh Pengukuran Pendengar Radio Nielsen, Liputan 2 , 2013 pada minggu ini.

Dari perspektif kedudukan, hasil kajian mengesahkan bahawa Astro Radio terus mendominasi gelombang radio sekali gus dinobatkan sebagai 'Raja Radio' dengan menguasai kedudukan nombor satu untuk radio Era fm,  THR (Raaga & Gegar) di tangga ke 2, dan Sinar FM fm menyusuli di kedudukan nombor tiga.

Walaupun mengalami penurunan dari sudut jangkauan pendengar bagi keseluruhan segmen radio berbahasa Inggeris,  radio- bahasa Inggeris di bawah naungan Astro Radio (hitz.fm, MIX fm dan Lite FM) masih mengekalkan kekuatan tersendiri dengan memperoleh 79 peratus perkongsian dalam pasaran Inggeris.

Manakala, stesen-stesen lain di bawah payung Astro Radio seperti Era fm, hitz.fm, MY FM dan THR Raaga terus menguasai takhta bergelar stesen radio  nombor satu dalam kategori bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Seterusnya, THR Gegar juga turut mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu di sekitar Pantai Timur, termasuklah di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sementara itu, hasil kajian tersebut memperlihatkan Astro Radio mengekalkan kedudukan sebagai 3 stesen radio teratas dalam posisi radio di Malaysia termasuklah  Era fm sebagai  radio  nombor satu, THR (Raaga & Gegar) di nombor dua dan Sinar fm di tangga ke tiga. Kedua-dua stesen, Era fm dan THR (Raaga & Gegar) di laporkan mempunyai  peningkatan pendengar  setiap minggu masing-masing dengan jumlah 4.7 juta dan 3.7 juta .

Dalam masa sama, stesen baharu berbahasa Cina di bawah naungan Astro Radio, Melody FM, mengalami peningkatan pendengar sehingga mencatatkan pertumbuhan sebanyak 196 peratus dengan adanya peningkatan pendengar daripada 134,000 kepada 397,000 berbanding keputusan pada Ogos 2012. Selain itu, pendengar eksklusif Melody FM juga mengalami peningkatan 219 peratus  dalam masa seminggu pada tempoh sama
Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio, Dr Jake Abdullah, berkata, kejayaan ini juga merupakan hadiah kepada pendengar setia yang tidak henti-henti memberikan sokongan selama lebih 16 tahun.

"Pasaran kini menjadi semakin mencabar dengan adanya penggunaan pelbagai cabang media dan teknologi yang semakin berkembang. Kunci yang ada pada Astro Radio pada hari ini adalah sentiasa meletakkan pendengar kami sebagai teras utama untuk kejayaan kami.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak penaja, syarikat- syarikat pengiklanan dan rakan-rakan kongsi di atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap Astro Radio, " katanya.

Elfira Loy Tidak Bosan Diganding Dengan Aktor Indonesia

Posted: 01 Nov 2013 05:41 AM PDT


Elfira tiada masalah sering digandingkan dengan pelakon Indonesia.
PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy tidak berasa bosan apabila sering kali digandingkan dengan aktor daripada Indonesia dalam beberapa drama lakonannya.
Elfira, 19, berkata, tiada sebarang sebab untuk dia berasa demikian kerana dia hanya menjalankan tanggungjawabnya untuk menjayakan watak diberikan oleh pengarah.
"Saya sentiasa senang dapat bekerjasama dengan para pelakon Indonesia dan walaupun sering digandingkan dengan mereka saya tidak pernah berasa bosan kerana itu adalah kerja saya sebagai pelakon," katanya kepada mStar Online.
Malah kata Elfira, dia berasa bertuah kerana pelakon seperti Randy Panggalila dan Baim Wong adalah aktor terkenal di Indonesia dan bukan semua dapat merasai peluang tersebut.
Dalam perkembangan sama, Elfira berkata, dia juga banyak mempelajari teknik lakonan daripada Randy dan Baim yang disifatkan sebagai aktor yang sangat komited ketika berada di set penggambaran.
Jelasnya lagi, walaupun pengalaman berlakon dalam sinetron di Indonesia dan populariti mereka sangat besar di sana tetapi kedua-dua aktor itu sungguh merendah diri dan tidak lokek ilmu.
"Mereka sudah terbiasa menjalani penggambaran sinetron beratus-ratus episod dan komitmen mereka ketika penggambaran adalah luar biasa.
"Perkara seperti ini yang saya contohi dan mereka tidak lokek ilmu tentang dunia lakonan," katanya.
Bagaimanapun kata Elfira, jika diberi peluang dia ingin bergandingan dengan aktor Remy Ishak dalam projeknya akan datang.
"Tidak kira watak sebagai kekasih atau adik saya ingin berlakon dengan Remy kerana dia seorang pelakon yang sangat berkaliber dan berbakat besar," ujarnya.
Sementara itu, Elfira berkata, dia juga tidak pernah mengambil serius apabila sering digosipkan dengan Randy dan terbaharu dia dikatakan sedang bercinta dengan Baim.
Jelas Elfira, gosip berkenaan dianggap sebagai perkara biasa untuk pelakon sepertinya tambahan pula mereka sering bergandingan dalam drama yang sama.
"Saya tidak pernah ambil pusing pun kerana cerita yang keluar mengaitkan saya dengan mereka adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Didie Alias Tidak Percaya Kembali Terkenal Selepas Kerjaya Seni Malap

Posted: 01 Nov 2013 05:40 AM PDT


Didie Alias
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Didie Alias masih tidak dapat mempercayai kejayaan yang diperolehnya sejak kembali aktif dalam bidang hiburan kira-kira tujuh tahun lalu.
Didie, 40, berkata, dia tidak pernah menyangka semua usahanya membuahkan hasil walaupun kerjayanya pernah malap suatu ketika dahulu termasuklah hanya layak memegang peranan sebagai orang gaji dalam drama.
"Sehingga ke hari ini saya tidak pernah menyangka kehidupan saya berubah kerana saya sangka saya sudah tiada peluang lagi untuk kembali dalam bidang seni.
"Syukur rezeki saya sentiasa murah kerana sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya sentiasa bersemangat," katanya kepada mStar Online.
Didie ditemui pada majlis pelancaran butik fesyen dalam talian miliknya iaitu Hitham di The Pool di sini, Khamis.
Antara artis yang hadir ialah Lisdawati, Fauzi Nawawi, ShahIskandar, Raja Ema dan Dazrin.
Antara fesyen pakaian wanita yang terdapat di Hitham.
Dalam perkembangan sama, Didie berkata, anak-anaknya adalah tunjang utama dalam kejayaannya dan segala perkara yang dilakukan adalah untuk mereka.
Jelas Didie, tanpa anak-anaknya dia tidak mungkin berada pada tahap sekarang.
"Hidup kami pernah susah dan apa yang saya usahakan adalah semata-mata untuk mereka dan tanpa mereka semua ini tidak akan terjadi," katanya.
Tambah Didie, kejayaannya tidak datang bergolek sebaliknya atas usaha keras tanpa kenal putus asa.
"Sekadar angan-angan tidak membawa anda ke mana-mana tetapi dengan usaha keras Insya-Allah akan mendatangkan hasil.
"Kepercayaan yang diberikan oleh orang lain juga perlu dijaga dengan baik selain jangan menipu orang lain," jelasnya.
Dalam pada itu, Didie berkata, idea untuk muncul dengan perniagaan butik menerusi dalam talian timbul kira-kira dua minggu lalu selepas melihat potensi pembelian menerusi Internet amat baik.
Fauzi Nawawi dan Lisdawati menggayakan fesyen untuk suami-isteri.
Kata Didie, dia turut bergabung dengan dua rakan kongsi iaitu pereka fesyen Farel Mikhael dan Rinz Basha dalam usaha menjadikan jenama Hitham sebagai hab fesyen dalam talian terkemuka.
"Dunia fesyen sudah tiada sempadan dan kemajuan teknologi harus digunakan dengan sebaik-baiknya dan itu yang sedang saya lakukan untuk Hitham.
"Pakaian yang dijual di laman web kami adalah terhad dan direka sendiri oleh saya, Farel dan Rinz malah harga pakaian yang kami jual serendah RM60,'' katanya.
Tambah Didie, Hitham tidak terhad kepada sesuatu gaya sahaja tetapi akan tampil dengan pelbagai rekaan untuk semua.
"Menariknya semua koleksi kami adalah berasaskan warna hitam kerana ia mudah dipadankan dan sebagai pelengkap gaya," katanya yang turut melancarkan laman web butik berkenaan iaitu www.hitham4u.com.

Hazama mahu karya diiktiraf di persada dunia

Posted: 01 Nov 2013 05:38 AM PDT

  • HazamaHazama

PENYANYI kelahiran program realiti, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi mahu muziknya mencerminkan identiti Melayu dan dapat diangkat di persada antarabangsa.

Katanya, ia sebagai tanda muzik kita dikenali dan terus menjadi tanda dengan mempopularkan muzik gabungan elemen-elemen tradisi Melayu.

"Saya berharap lagu kita dapat diketengahkan di peringkat antarabangsa supaya orang luar dapat menilai identiti kita.

"Dengan alunan muzik dan suntikan berunsur jawa dan beberapa elemen, muzik yang diperjuangkan dapat diangkat menjadi warisan budaya Melayu di peringkat antarabangsa," katanya.

Hazama yang kini sedang dalam mempromosikan single berjudul Penglipur Lara yang dimuatkan dalam album pertamanya, juga berjudul sama turut menegaskan dia mencari sesuatu kelainan dalam menghasilkan sesebuah karya.

Katanya, dengan mengetengahkan muzik moderate pop dan menyuntik unsur jawa dalam albumnya itu dapat memberikan idea segar kepada rakan artis yang lain untuk turut menyuntik elemen kemelayuan dalam karya masing-masing.

"Saya masih lagi dalam rangka promosi album ini dan berharap peminat dapat menerimanya. Setakat ini, saya lihat peminat sudah mula menerima muzik yang cuba saya perjuangkan," katanya yang mengambil masa hampir setahun menyiapkan album ini sepenuhnya.

 Hazama juga berharap sebuah lagu ciptaannya bersama Omar K, yang berjudul Dengarlah mendapat sambutan.

Turut memuatkan sembilan buah lagu, yang mana enam darinya lagu baharu dan tiga lagi merupakan lagu bonus, Hazama berkata, ia merupakan buah tangan yang sangat bermakna untuk peminat setianya.

"Album pertama ini menampilkan sisi berbeza saya kerana sebelum ini peminat mengenali dan mahu saya menyanyikan lagu bergenre rock, tetapi saya menyuntik elemen pop dan saya akui kebanyakan lagu yang dihasilkan menerusi album ini mempunyai kelebihan tersendiri," jelasnya.

Dalam pada itu, Hazama yang  dicalonkan dalam empat kategori Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) akan bertanding untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Kulit Album Terbaik, Album Terbaik, Lagu Rock Terbaik dan Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di dalam Lagu bersama kumpulan SleeQ.

Tumpu promosi

Menurut Hazama, keutamaannya kini lebih pada nyanyian dan dia terpaksa berehat dari lakonan demi mempromosikan album tersebut.

"Minat saya lebih kepada bidang nyanyian. Namun, saya tetap akan terima  tawaran lakonan asalkan watak diberikan bersesuaian dan mudah  saya lakonkan," katanya yang pernah membintangi filem Lari arahan Ahmad Idham.
Ditanya mengenai bila lagi dia akan berkahwin dengan kekasih hatinya yang bernama Genervia, Hazama berkata, dia enggan terburu-buru.

"Kami baru berkenalan dan saya berserah kepada ALLAH SWT. Kalau sudah sampai jodoh, saya terima," katanya yang mengakui semakin serasi dengan wanita itu.

Stesen minyak kantoi menipu

Posted: 01 Nov 2013 05:20 AM PDT

  • Stesen minyak kantoi menipuMohd Zulkifli (kiri) bersama pegawai penguatkuasa PPDNKK Putrajaya menunjukkan cara mengesan penipuan yang dilakukan menggunakan silinder penyukat cecair bahan api.

IPOH - Dalam bahasa mudah, pengguna sepatutnya menerima 70 liter petrol untuk RM100, tetapi sebaliknya hanya menerima 65 liter sahaja.
Itu penipuan yang berlaku di tiga stesen minyak sekitar Silibin dan Chemor didapati mengubah suai pam pengagih minyak (pump dispenser) bagi mengaut keuntungan dengan cepat sejak beberapa bulan lalu.

Daripada tiga stesen diserbu, hanya satu daripadanya disita secara keseluruhannya kerana kesemua 26 pam pengagih minyak telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Metrologi Corporation Malaysia (MCM) Sdn Bhd.

Penipuan itu dikesan selepas pengguna kenderaan mendapati sukatan petrol atau diesel kurang dengan harga sebenar dan mereka bertindak membuat aduan ke Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri.

Penolong Pengarah Kanan Unit Metrologi Sah Bahagian Penguatkuasaan PPDNKK Putrajaya, Mohd Zulkifli Saidi berkata, berdasarkan aduan yang diterima, beliau bersama 10 pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di stesen minyak berkenaan sejak jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, dalam Ops Sekat Minyak itu, pihaknya berjaya mengesan sebuah stesen minyak yang menjalankan kegiatan tersebut selepas membuat pemeriksaan menggunakan silinder penyukat bahan api.

"Malah, sebuah lagi stesen minyak turut dikesan melakukan perkara yang sama ke atas tiga pam di premis mereka," katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, premis yang gagal menepati kehendak kementerian disita supaya pam pengagih minyak tersebut dapat memperbaharui penentusahan semula dengan MCM Sdn Bhd.

"Sepatutnya, pengusaha stesen minyak perlu memperbaharui penentusahan semula pam tersebut genap 12 bulan bagi memastikan alat timbang dan sukatnya tepat.

"Kita menggesa semua pengusaha stesen minyak mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zulkifli berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM4,000 bagi setiap sukatan yang
diselewengkan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya, operasi diperluas ke seluruh negara bagi memastikan pengusaha tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih.

Fathia, Miera teruja di Uzbekistan

Posted: 01 Nov 2013 05:17 AM PDT



SINAR mentari tidak pernah lekang daripada pandangan mata sepanjang tujuh hari berkampung di ibu kota yang paling padat penduduk, Tashkent, Uzbekistan.
Benar, jadual yang padat bagi meraikan Minggu Kesenian Style.Uz dan Forum Filem Antarabangsa Tashkent bermula 19 hingga 24 Oktober lalu bagai tidak terasa penatnya.
Hal yang sama diakui sendiri oleh pelakon filem Pecah, Miera Leyana yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi bertuah Uzbekistan.
"Cuaca yang menyamankan telah membuatkan kita lupa sebentar hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur. Walaupun matahari bersinar sepanjang masa, udara sejuk yang bertiup sepoi-sepoi bahasa mengubat tekanan bekerja tanpa henti sepanjang tahun ini," tutur Miera sambil menghirup secangkir teh tradisional di sudut hotel yang dinamakan chaikhana.
Sambil melontarkan pandangan ke laluan Jalan Dedeman, menyaksikan pejalan kaki pulang usai bekerja lewat pukul 6 petang, tambah Miera, ketenangan sebegini yang selama ini sering dicari-cari olehnya untuk bersantai, berehat dan bermuhasabah sejenak.
"Lihat sahaja seni bina Islam di tengah-tengah pusat bandar, contohnya Kompleks Hizrati Imam, sudah membuatkan hati tersentuh dek keagungan dan kemasyhuran perkembangan Islam sekitar abad ke-15 dulu.
"Unik, gah dan menyimpan sejarah menarik untuk diterokai sebenarnya.
"Alangkah indah kalau saya diberikan lebih banyak ruang masa untuk meneroka segenap isi ruang kota ini," ujar pemilik nama sebenar Miera Leyana Kasmi, 21.
MIERA akui tertarik dengan fabrik kapas yang ditenun cukup cantik dan unik di Uzbekistan.


Penerbangan menaiki Uzbekistan Airways mengambil masa kurang lapan jam dari kota Kuala Lumpur dan sela masa waktu tempatannya cuma lewat tiga jam.
Ironi Uzbekistan digelar City Of Sun memandangkan sang mentarinya tidak pernah segan-silu menampilkan diri sepanjang tahun biarpun peralihan musim.
Kata Miera, dia dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa panorama pada musim salji sekitar yang bakal menyusul pada bulan Januari tidak lama lagi, sangat menakjubkan.
"Bayangkan, masjid serta madrasah di sini yang berwarna coklat bakal dilitupi salji putih sepanjang musim sejuk nanti. Ketika itu, kata penduduk di sini, pemandangannya sungguh luar biasa," kongsi Miera.
Meskipun sukar pada mulanya untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan penduduk tempatan terutama ketika berjual beli memandangkan kebanyakan mereka menggunakan bahasa Uzbekistan dan Rusia sebagai perantara, perkara itu menjadi 'alah bisa tegal biasa'.
"Mula-mula memang sukar untuk berkomunikasi kerana mereka tidak mahir menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantara melainkan pelajar yang menuntut di universiti di sini.
"Namun, lama-kelamaan apabila sering menggunakan isyarat badan, perkara itu bukan alasan untuk tidak membeli-belah di sini.
"Perkara yang menarik perhatian saya adalah cenderamata dan fabrik kapas yang ditenun cantik di sini.
"Coraknya seakan-akan sama dengan kain pua kumbu dari Sarawak tapi motif dan warnanya lebih meriah dan terang membezakan fabrik-fabrik di sini," katanya.
FATHIA kelihatan cukup menawan dalam pakaian tradisi Uzbekistan.


Cuaca nyaman
Tarik perhatian
Sempena acara karpet merah Forum Filem Antarabangsa Tashkent yang berlangsung pada 19 Oktober lalu, Miera dan Fathia diberikan kesempatan mewakili Malaysia dan negara di Asia Tenggara untuk melewati permaidani acara paling berprestij itu.
Menariknya, Miera dan Fathia masing-masing berjaya mencuri tumpuan beberapa produser dan selebriti terkenal Uzbekistan dan Rusia untuk disunting membintangi karya terbaharu mereka.
Miera telah ditawarkan untuk mendukung peranan utama dalam sebuah filem berjudul Jealous arahan Said Muxtozor, seorang pengarah dari Rusia yang akan memulakan penggambaran tahun depan.
Fathia pula mendapat perhatian luar biasa daripada selebriti tempatan yang menyangka dia adalah sebahagian penduduk tempatan Uzbekistan, selain ditawarkan untuk tampil dalam sebuah klip video penyanyi tersohor negara itu, Atarbek Dotsent Maxashev yang akan menjalani penggambaran di Kuala Lumpur.
"Ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke Uzbekistan. Kali pertama ketika festival Asrlar Sadosi pada bulan Mei lalu dan situasi yang sama berlaku kepada saya. Mereka tetap anggap saya penduduk tempatan Uzbekistan.
"Sampailah saya perlu menerangkan kepada mereka bahawa saya berasal dari Malaysia dan tidak boleh bercakap bahasa Uzbekistan, kemudian barulah mereka mula bertanyakan asal-usul saya," cerita pemilik nama penuh Nur Fathia Abdul Latiff, 25, bersungguh-sungguh.
Makam bersejarah
Melihat pada faktor sosiobudaya dan ekonomi penduduk di Uzbekistan, kata penuntut jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, ia tidak jauh berbeza dengan Malaysia.
"Uzbekistan adalah sebuah negara Islam yang membangun lebih kurang Malaysia juga, mereka ada kawasan perkampungan dan bandar yang sedang pesat membangun.
"Cuma yang berbeza daripada kita adalah budaya, cara hidup, pemakaian, dan makanan mereka. Negara ini banyak menghidangkan makanan berasaskan sayuran dan buah-buahan.
"Daripada saya seorang yang bukan penggemar sayuran tiba-tiba menjadi pencinta sayur. Malah, hidangan di sini juga mempunyai rasa yang berbeza dan lebih rasa rempah-ratusnya," kata Fathia yang menggemari hidangan seakan Nasi Bukhari yang diberi jolokan Bloaf.
MIERA LIYANA (kiri) dan Nur Fathia berkongsi rasa dan emosi sepanjang berada di Uzbekistan baru-baru ini.


Delegasi juga dibawa melawat ke wilayah sebelah barat Uzbekistan iaitu Samarkand menggunakan penerbangan domestik yang mengambil masa 45 minit dari Tashkent.
"Samarkand menyimpan sejarah dan rahsia lampau yang sangat unik. Di sini terletaknya makam pahlawan paling disegani di Uzbekistan, Amir Temur serta makam perawi hadis dan sahabat Rasulullah SAW, Imam Bukhari.
"Syukur Alhamdulillah saya diberikan peluang untuk melawat ke lokasi-lokasi ini.
"Cantiknya tempat ini memang sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata, malah ketika lawatan hati tiba-tiba menjadi sayu dan sebak," ujar Fathia.
Benar kata orang, jauh berjalan luas pengalaman. Umpama sebuah hikayat suatu ketika dulu yang semakin lama disimpan semakin tinggi nilainya, begitu juga darjat sebuah pengalaman.
Manis, menyentuh hati dan merengkuh emosi. Itulah uniknya Uzbekistan!


Barbie 'hidup' di Malaysia

Posted: 01 Nov 2013 05:16 AM PDT


PEMENTASAN Barbie dipersembahkan dengan aura moden yang penuh elegan.


NOSTALGIA indah. Pementasan ala teater patung Barbie dan rakan-rakannya selama hampir dua jam di Amphitheatre, Sunway Lagoon dilihat mampu mengimbau kembali zaman kanak-kanak, khususnya golongan wanita yang inginkan sedikit hiburan yang berlainan pada hujung minggu ini.
Acapkali teman lelaki membawa teman wanita serta ibu bapa membawa anak-anak mereka berjalan pada hujung minggu ke tempat yang klise seperti pusat membeli-belah, menonton wayang, taman rekreasi dan tempat yang mempunyai daya tarikan tersendiri.
Apa yang pasti, mereka mempunyai pilihan yang lebih unik pada minggu ini kerana sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-19, Galaxy Group telah menerbangkan khas dan buat pertama kalinya, Barbie Live! Musical Show ke Malaysia.
Persembahan penuh muzikal tersebut bermula dengan sorakan lebih 1,000 penonton yang memenuhi segenap ruang Amphitheatre, Sunway Lagoon yang terletak di Subang Jaya itu.
Barbie Live! Musical Show dimulakan dengan set berlatar belakang dan bertemakan pentas muzik Hollywood yang mana Barbie dan rakan baiknya, Teresa sedang rancak membuat latihan sebelum menjalani pengambaran filem baharu lakonan mereka.

MENARIK... Tarian tradisional yang ditarikan oleh Barbie dan pasangannya sambil diiringi para penari latar.


Plot dikembangkan dengan Teresa digambarkan sebagai mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah dan tidak percaya akan bakat serta keupayaan lakonannya.
Barbie lalu membantu Teresa dengan menayangkan beberapa cakera padat video (VCD) lakonannya yang terkenal seperti Swan Lake, Princess and the Popstar dan Maripos & Fairy Princess dengan harapan sahabat baiknya itu dapat mengambil pengajaran dan moral yang tersurat serta tersirat dalam cerita-cerita tersebut.
Pelbagai cabaran dan dugaan yang menarik ditempuh oleh Barbie dan Teresa sepanjang tempoh tersebut supaya Teresa dapat peroleh kepercayaan diri sambil mengukuhkan tali persahabatan yang terjalin antara mereka.
Pementasan yang berbentuk muzikal ini dimainkan dengan penuh warna-warni serta tidak mengecewakan penonton yang hadir menonton dengan niat untuk bergembira dan bersantai bersama orang tersayang
Selain itu, pelbagai jenis lagu dipersembahkan secara langsung oleh para pelakon dengan penuh keceriaan dan antara yang mendapat perhatian penonton seperti Rise Above it All, Be A Friend dan Look How High We Can Fly.
Tarian juga memainkan peranan yang penting dalam pementasan ini dan babak yang paling mengujakan adalah ketika mereka menari sambil menyanyikan lagu Get Your Sparkle On.
Pementasan ini sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama diselitkan empat babak berasingan seperti The Rehearsal, Swan Lake, Barbie's Dressing Room dan Mariposa.

TARIAN moden yang dipersembahkan oleh para pelakon sangat bertenaga.


Bahagian kedua mempunyai dua babak seperti Outside & Inside Barbie's Dressing Room.
Hampir 60 peratus yang datang menyaksikan pementasan pada malam pembukaan itu merupakan kanak-kanak bawah 12 tahun.
Sesungguhnya terdapat senyuman kepuasan pada wajah mereka ketika persembahan itu tiba ke penghujung.
Bagi penggemar watak patung comel ini dan berniat untuk melihat sendiri bagaimana kesudahan cerita yang penuh menarik itu, masih boleh mendapatkan tiket di Kaunter Tiket Galaxy di Boulevard, Mid Valley atau Sungai Wang Plaza dengan segera kerana persembahan yang julung-julung kali dianjur dan dipentaskan di Malaysia selama enam hari bermula 29 Oktober lalu itu akan berakhir pada 3 November ini (Ahad).
Selain itu, tiket yang berharga RM93 hingga RM303 itu juga boleh dibeli melalui laman sesawang, www.ticketcharge.com.my.
Untuk informasi lebih lanjut, sila hubungi Galaxy Group di talian 03-2282 2020 atau layari laman web www.galaxy.com.my.


Wajah anak angkat Almy mirip Fizz

Posted: 01 Nov 2013 05:15 AM PDT


Fizz yang kelihatan mesra bersama Nur Afrina yang memanggilnya dengan gelaran papa.


RAMAI yang terkejut apabila pelakon Fizz Fairuz memberitahu bakal berkahwin dengan bekas kekasihnya, pelakon Almy Nadia.
Malah, ramai juga yang mempertikaikan tindakan Fizz, 34, berkahwin dengan Almy, 27, selepas apa yang telah dilakukan pelakon filem Nur Kasih itu terhadap Almy.
Bahkan, ada juga yang pelik kenapa Almy sanggup menerima Fizz kembali selepas lelaki itu mengambil keputusan bertunang dengan wanita lain.
Bagaimanapun, ada sumber yang memberitahu Kosmo!, keputusan Fizz mahu berkahwin dengan Almy kerana mereka sudah mempunyai cahaya mata.
Cahaya mata yang dimaksudkan sumber itu ialah anak angkat Almy iaitu Nur Afrina Darwisya, 4.
Sumber itu juga mendakwa, wajah kanak-kanak perempuan itu juga persis muka Fizz.
Terkejut dengan berita tersebut, Kosmo! segera mendapatkan kenyataan kedua-dua pelakon itu.
Kosmo!: Ada yang mendakwa bahawa anak angkat Almy iaitu Nur Afrina Darwisya merupakan anak sebenar kalian. Benarkah?
FIZZ: (Terkejut). Nur Afrina itu memang anak angkat Almy. Dia tiada kena-mengena dengan saya. Bagaimanapun, ketika hendak mengambil anak angkat dulu, Almy pernah memberitahu saya. Namun, segala proses pengambilan semuanya diuruskan oleh Almy. Budak itu juga diambil Almy sejak bayi lagi.
ALMY: Saya rasa sangat kelakar. Kalau betul apa yang didakwa, pergilah selidik semua hospital ada atau tidak nama Almy melahirkan anak. Tolong jangan ragui status anak angkat saya. Saya ambil dia (sebagai anak angkat) sejak 27 April 2010.
Ada yang mendakwa Almy pernah menghilangkan diri selama setahun lebih kerana mengandung? Sila komen.
ALMY: Sebenarnya saya tidak hilangkan diri. Ketika itu saya masih berlakon, cuma mungkin orang tidak perasan sebab saya hanya muncul untuk RTM sahaja. Ketika itu juga saya akui berat badan naik tetapi bukan disebabkan mengandung.
Adakah Almy terkejut dengan dakwaan tersebut?
ALMY: Saya tidak terkejut. Saya sudah bersedia sejak awal lagi dengan dakwaan seperti ini. Sebelum ini lagi ramai yang pernah meragui status anak tersebut. Malah, ramai juga yang beritahu muka Nur Afrina lebih kurang sama dengan Fizz apabila saya memuat naik gambarnya di laman sosial Instagram.
Bagaimanakah hubungan Fizz dan Nur Afrina?
FIZZ: Hubungan saya dengan dia (Nur Afrina) baik. Dia juga panggil saya papa dan hadir ke sambutan hari jadi saya pada 22 Oktober lalu. Kami mulai rapat sejak tiga bulan lalu.
ALMY: Mereka menyanyangi antara satu sama lain. Malah, Nur Afrina sendiri sudah menganggap Fizz bapanya dan memanggil dia papa.

FIZZ menyatakan yang dia akan merisik Almy Nadia pada minggu depan.


Apakah yang dimaksudkan oleh Fizz bahawa Nur Afrina menganggap anda sebagai bapanya?
FIZZ Sebelum ini dia tidak mempunyai bapa. Tiba-tiba dapat kasih sayang seorang bapa. Itu yang dia seronok dan anggap Fizz sebagai bapanya.
Apakah perkembangan terbaharu majlis perkahwinan kalian? Sudah ada tarikh?
FIZZ: Buat masa ini belum ada sebarang tarikh kahwin. Namun, saya akan merisik Almy pada minggu depan dengan membawa sebentuk cincin.
ALMY: Saya tetap tidak mahu memberi sebarang kenyataan selagi majlis belum berlangsung. Bila sudah selesai, Fizz sendiri akan memberitahu perkara selanjutnya. Biar dia sahaja yang bersuara.
Sudah buat sebarang persiapan perkahwinan?
FIZZ: Saya menyerahkan semuanya kepada keluarga. Mereka yang menguruskan perkahwinan kami.
Apakah perasaan Fizz apabila hubungan kalian akan berakhir di jinjang pelamin?
FIZZ: Ada orang cakap yang saya ini sudah ludah jilat balik. Bagi saya, tutup buku lama dan buka buku baharu. Kita hanya merancang dan ia juga bergantung pada jodoh.
Kenapakah hanya anda sahaja yang memberi kenyataan tetapi Almy pula menutup mulut?
FIZZ: Saya sendiri yang beritahu dia jangan buka mulut sebab takut bercanggah kenyataan pula.
Beralih pada soalan lain, apakah perkembangan anda dalam bidang seni?
FIZZ: Saya telah berhenti berlakon seketika hingga 5 Januari depan kerana ingin memberi tumpuan pada Akademi Fantasia 2013 (AF2013). Pada masa yang sama, saya juga sedang sibuk dengan program Liga Lawak Superstar. Sekarang ini juga saya sedang membina badan untuk watak saya iaitu Super Bro dalam filem Cicak Man 3 yang akan menjalani penggambaran pada awal tahun depan.
ALMY: Dalam dua bulan lagi saya akan kembali dengan perniagaan saya iaitu karipap sejuk beku. Saya juga sedang menjalani penggambaran drama untuk RTM berjudul Gadis Saza.


Spesies ikan lumba-lumba baharu

Posted: 01 Nov 2013 05:08 AM PDT


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa ekor ikan lumba-lumba spesies baharu melompat dari laut di utara Australia.


WASHINGTON - Spesies baharu ikan lumba-lumba ditemui semasa beberapa ekor haiwan itu berenang di luar pantai utara Australia, lapor satu pasukan saintis dalam minggu ini.
Menurut seorang ketua pengkaji haiwan itu yang disiarkan dalam jurnal Molecular Ecology, spesies baharu itu masih belum diberikan nama.
Spesies baharu yang ditemui itu adalah daripada keluarga ikan lumba-lumba kelasa.
Sebelum ini terdapat tiga spesies ikan lumba-lumba kelasa yang telah diiktiraf oleh para pengkaji haiwan tersebut.
Tiga spesies itu ialah ikan lumba-lumba kelasa Atlantik, ikan lumba-lumba kelasa Indo-Pasifik dan ikan lumba-lumba Indo-Pasifik Sousa chinensis.
Ikan lumba-lumba baharu yang ditemui itu tidak mempunyai ciri-ciri yang terdapat pada tiga spesies tersebut.
Seorang ahli biologi yang menganggotai pasukan mengkaji spesies baharu itu, Guido Parra dari Universiti Flinders, Adelaide, Australia berkata, nama spesies baharu itu perlu mempunyai kaitan dengan Australia.


Klopek cipta rekod angkat tukul besi

Posted: 01 Nov 2013 05:08 AM PDT


KLOPEK mengangkat sebatang tukul besi dengan menggunakan mata kail yang terdapat pada pipinya di Vancouver, British Columbia kelmarin.


VANCOUVER, British Columbia - Seorang artis persembahan yang berani melakukan perbuatan pelik, Sweet Pepper Klopek mencipta rekod baharu apabila dia berjaya mengangkat sebatang tukul besi dengan menggunakan dua mata kail bertali pada pipinya di sini kelmarin.
Dua mata kail yang bertali itu diletakkan pada pipi kiri dan kanannya sebelum dia menarik tukul tersebut di bangunan Pameran Kebangsaan Pasifik.
Dia mengangkat batang tukul besi itu yang seberat 5.4 kilogram (kg) di depan beberapa pegawai World Guiness Records bagi tempoh lebih 10 saat.
Klopek pernah mencipta rekod dunia apabila badannya dicacah dengan tatu semasa dia menaiki sebuah roller-coaster yang sedang bergerak.
Dia juga pernah menarik sebuah trak dengan menggunakan mata kail ikan jerung yang terdapat di belakang badannya.
Klopek berkata, dia berasa gembira kerana berjaya mengangkat tukul tersebut.
Bagaimanapun, katanya, tukul tersebut seolah-olah mempunyai berat 45.3kg semasa dia melakukan perbuatan tersebut.


Pameran pakaian diperbuat daripada coklat

Posted: 01 Nov 2013 05:07 AM PDT


SEORANG model memperagakan fesyen unik yang diperbuat daripada coklat.


PARIS - Beberapa model wanita memperagakan pelbagai fesyen pakaian yang diperbuat daripada coklat di sini kelmarin.
Pertunjukan itu diadakan sempena pameran coklat Salon du Chocolat yang diadakan buat kali ke-19.
Pameran tersebut diadakan dari 30 Oktober lalu hingga 3 November ini.
Bayaran masuk untuk pengunjung dewasa ialah 13 euro (RM56.25) manakala kanak-kanak yang berumur tiga hingga 12 tahun dikenakan bayaran sebanyak 6.50 euro (RM28.12).
Selain pertunjukan fesyen, para pengunjung juga boleh menyaksikan ukiran patung yang diperbuat daripada coklat.
Pameran makanan yang diperbuat daripada coklat turut dipamerkan kepada para pengunjung.


Khlong nadi kota Bangkok

Posted: 01 Nov 2013 05:05 AM PDT



SETIAP pagi, puluhan ribu penduduk di Bangkok bergegas menaiki bot-bot kecil digelar khlong yang berulang-alik melalui terusan menuju ke pusat bandar.
Mereka rela menaiki khlong kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di ibu kota Thailand tersebut.
"Saya menaiki bot kerana ia jauh lebih cepat," kata seprang pelajar universiti berusia 18 tahun, Pam Olanthanyawat sebelum dia melompat masuk ke dalam salah sebuah bot yang sarat dengan penumpang di terusan Saen Saeb.
Ketika trafik di kota raya yang dihuni 12 juta penduduk lumpuh pada waktu puncak, orang ramai memilih terusan sepanjang 30 kilometer sebagai mod pengangkutan.
Tetapi bot-bot kecil bukan untuk orang yang penakut.
Sebahagian besar daripada pengguna khlong terdiri daripada golongan belia dengan hanya segelintir warga emas atau keluarga bersama anak-anak berani menaiki khlong.
Penumpang lelaki dan wanita lincah melompat ke dalam bot sempit walaupun ada yang memakai kasut tumit tinggi. Mereka akan berpaut pada tali yang disediakan ketika bot tersebut meluncur laju menuju ke perhentian seterusnya.

PENUMPANG lelaki dan wanita lincah melompat ke dalam bot sempit walaupun ada yang memakai kasut tumit tinggi.


Laman perkongsian video YouTube banyak memaparkan klip video menunjukkan penumpang yang tidak cukup tangkas dan ragu-ragu terjatuh ke dalam terusan berbau hanyir.
Satu klip video tersebut memaparkan insiden yang digelar tsunami khlong. Ia menunjukkan ramai penumpang basah kuyup terkena percikan air ketika bot-bot khlong melintasi mereka.
Terusan besar
Klip video tersebut telah mencatat beberapa ratus ribu tontonan.
Penumpang akan mengawal sendiri kain kanvas yang dijadikan bumbung bot dengan menggerakkannya ke atas dan ke bawah untuk memudahkan penumpang lain masuk, di samping melindungi mereka daripada terkena percikan air.
Bagaimanapun, kaedah tersebut lazimnya tidak berkesan.
"Ibu saya tidak pernah menaiki bot kerana dia begitu takut," kata Pam ketika air percikan menitis dari kanvas.
Bangkok mempunyai rangkaian terusan yang besar, walaupun pembangunan negara tersebut mengakibatkan kebanyakan sungai menjadi pendek.
Dalam pada itu, terdapat juga terusan yang tersekat dengan batang-batang paip atau pelbagai objek yang menghalang bot daripada melalui.

KESESAKAN lalu lintas di Bangkok menyebabkan penduduknya lebih rela menaiki bot berbanding menggunakan pengangkutan darat.


Profesor dan pakar pengangkutan di Universiti Thonburi, Tawatchai berkata, masalah yang dihadapi oleh penumpang khlong setimpal dengan pulangan yang diperoleh.
"Tidak ada bot yang mengalami kesesakan dan tambangnya murah," katanya.
Menurut laporan pihak berkuasa, seramai 38 juta penumpang bergerak menggunakan khlong atau 100,000 orang sehari pada tahun 2012.
Bagi mereka yang menaiki dari pinggir bandar, tambang bot sangat murah berbanding kereta api laju iaitu kurang daripada 20 baht (RM2).
Bas adalah antara pengangkutan awam yang paling murah di bandar, tetapi dengan keadaan tingkap terbuka, penghawa dingin rosak dan tersangkut dalam trafik lalu lintas menjadikannya pilihan terakhir.
Ketika ini, pengangkutan khlong diuruskan oleh syarikat persendirian, Family Transport yang menyediakan 70 bot meliputi kawasan terusan sejauh 20 kilometer.
Tawatchai berkata, cabarannya adalah infrastruktur di Bangkok yang perlu dipertingkatkan.
Pihak berkuasa perbandaran sedang menguji bot-bot awam dengan jarak perjalanan 11 kilometer dan menambah 14 pontun baharu daripada jumlah 27 yang telah digunakan sebelumnya.
Laluan khlong
Kerajaan Bangkok juga menjanjikan untuk membuat tambahan tempat rawatan sisa kumbahan dan loji air bagi menyediakan persekitaran yang lebih bersih untuk laluan khlong.
Baru-baru ini satu artikel dari akhbar bahasa Inggeris, Bangkok Post melahirkan kekecewaan terhadap pihak kerajaan kerana tidak ada terusan atau sungai besar yang dibina di pusat bandar.

ORANG ramai beriadah di sungai Cheonggyecheon yang terletak di tengah-tengah Seoul, Korea Selatan.


Akhbar tempatan itu turut membandingkan tindakan kerajaan Korea yang menggalakkan pembinaan dengan memberikan peruntukan untuk pembinaan laluan terusan di tengah bandar mereka.
"Seoul boleh melakukannya, mengapa tidak Bangkok dan kerajaan kita?" kata kenyataan itu merujuk kepada sungai Cheonggyecheon yang dibuat di tengah-tengah Seoul. Di sungai tersebut, penduduk bandar turut boleh merendamkan kaki mereka ke dalam air dan berkelah di sekitar.
Agensi pelancongan, The Rough Guide to Bangkok berkata, Khlong Saen Saeb merupakan satu pengalaman yang berbaloi kepada pengunjung yang ingin ke ibu negara Thailand yang turut digelar Venice Asia.
"Khlong adalah pengangkutan yang paling cepat dan mengujakan dalam melakukan lawatan antara bahagian barat dan timur bandar jika pengunjung boleh tahan dengan bau terusan," kata agensi itu.
Mengulas lanjut mengenai persekitaran terusan, Pam berkata, ibunya masih boleh mengingati air terusan yang pernah bersih pada masa dahulu, namun ia masih tidak setanding dengan terusan kontemporari dan akuatik sistem transit di Itali Venice.
"Ini seperti Venice?" katanya, dengan wajah terkejut kerana ternyata terusan yang sedang dilaluinya berbau hanyir dan busuk.


Bina otot tanpa produk tambahan

Posted: 01 Nov 2013 05:02 AM PDT



KELIBAT mereka di sekitar jalan-jalan utama di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi tumpuan orang ramai. Ada yang terpegun dengan aksi salah seorang daripada mereka tergantung pada sebatang tiang seperti sehelai bendera yang berkibar.
Tangannya begitu kuat untuk menampung berat badan dan mampu bertahan lebih 20 saat di tengah-tengah tiang bendera itu.
Selain daripada gerakan yang diberi nama Human Flag itu, kumpulan lima orang anak muda itu juga melakukan aksi Dragon Flag, Back Lever dan Front Lever tanpa segan di tengah-tengah ibu kota.
"Mereka melakukan setiap gerakan dengan kemas tanpa sebarang kesilapan. Kumpulan ini merupakan salah satu sumber rujukan saya dan rakan-rakan dalam arena senaman jalanan," ujar seorang pelancong dari Brunei, Nadzri Harif, 26, yang terpegun dengan aksi kumpulan senaman jalanan itu.
Menurut penyampai radio Kristal FM di Brunei itu, dia sering mengikuti perkembangan kumpulan senaman jalanan Bar-Risan dari Malaysia di laman sosial Instagram.
Kelengkapan
Selain itu, Nadzri juga banyak mempelajari teknik-teknik senaman jalanan yang betul di Facebook kumpulan itu untuk dipraktikkan sewaktu berlatih.
Bar-Risan merupakan salah sebuah kumpulan senaman jalanan yang bergerak aktif di negara ini sejak dua tahun lalu. Palang besi merupakan kelengkapan utama yang diperlukan dalam setiap rutin senaman kumpulan itu.
Pengasas Bar-Risan, Syed Fernash Syed Batlishah, 25, memberitahu, kumpulan itu ditubuhkan selepas dia dan dua orang rakannya melihat perkembangan senaman jalanan di luar negara yang mendapat sambutan ramai.
Menerusi laman YouTube, Syed Fernash melihat kumpulan seperti Bar Brothers dan Bar-barians dari luar negara bersenam tanpa menggunakan sebarang alatan senaman di gimnasium.

AKSI senaman archer pull up lebih sesuai dilakukan di palang-palang di taman permainan.


Dia mula tertarik dengan gaya senaman mereka yang hanya menggunakan palang-palang di taman permainan dan di tengah-tengah bandar.
"Pada permulaan kami memulakan rutin senaman, ia ternyata amat sukar. Ketika itu, kami mempunyai minat yang amat tinggi tetapi kekuatan otot bisep dan trisep tidak mampu menampung berat badan sewaktu melakukan rutin senaman.
"Saya mengambil masa sebulan untuk membiasakan diri dengan rutin senaman jalanan ini. Setiap hari, saya akan ke taman permainan berhampiran kediaman untuk melakukan senaman pull-up pada palang," ujarnya yang berasal dari Arau, Perlis.
Dua tahun lalu, senaman jalanan yang menggunakan palang dan tiang kurang mendapat perhatian di Malaysia. Syed Fernash dan rakan-rakan merupakan antara perintis terawal yang mempopularkan senaman tersebut di negara ini menerusi Facebook, YouTube dan Instagram.
Kini ia popular di Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand.
Prinsip senaman jalanan setiap ahli Bar-Risan ialah kaedah yang sihat tanpa menggunakan sebarang pemberat dan tidak mengambil sebarang minuman atau produk tambahan yang membantu pengembangan otot sewaktu bersenam.
Rutin senaman Bar-Risan dikategorikan sebagai kalistenik iaitu senaman gimnastik yang direka untuk membentuk tona otot dan menggalakkan kesejahteraan fizikal.
Medan senaman jalanan
"Senaman ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa sebarang kos. Saya dan rakan-rakan akan memeriksa palang dan tiang-tiang yang akan digunakan sebelum memulakan senaman sebagai langkah keselamatan. Setakat ini, tiada ahli Bar-Risan yang cedera parah ketika melakukan senaman. Luka-luka tapak tangan semasa memegang palang dan tiang merupakan kecederaan biasa yang dialami.
"Langkah-langkah sebelum memulakan rutin senaman juga perlu dititikberatkan agar tidak mengalami kecederaan otot. Selain itu, senaman ini juga memerlukan kerjasama antara rakan-rakan lain untuk membantu menyokong bahagian kaki semasa bergantung di palang," ujar Syed Fernash yang pernah memenangi pertandingan Lelaki Terkuat di Universiti Teknologi Mara kampus Arau, Perlis.

REGANGAN badan merupakan rutin penting bagi setiap ahli Bar-Risan sebelum memulakan senaman.


Bar-Risan kini mempunyai 100 ahli di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Johor dan Melaka. Laman Facebook kumpulan itu juga menjadi medan bagi peminat senaman jalanan untuk bertanyakan sebarang persoalan kepada kumpulan itu.
Tambah Syed Fernash, senaman jalanan yang diketengahkan oleh kumpulannya itu berupaya menarik minat golongan muda menjalani gaya hidup sihat. Selain itu, ia merupakan platform terbaik bagi mereka untuk menterjemahkan kreativiti dalam setiap gerakan rutin senaman.
Seorang ahli Bar-Risan yang aktif dalam kegiatan senaman jalanan di Alor Setar, Kedah, Ahmad Amin Azizan, 25, memberitahu, kumpulannya itu bukan sahaja melakukan senaman jalanan di negara ini malah turut menyertai pertandingan di luar negara.
Terbaharu, Bar-Risan menyertai pertandingan First Pre-Asia Street Workout Jam Singapore and Malaysia 2013 di Singapura.
Melalui pertandingan itu, kumpulan tersebut telah memenangi lima kategori yang dipertandingkan iaitu Pistol Squat, Ketahanan Human Flag Paling Lama, Ketahanan Back Lever Paling Lama, Cabaran Banzuke dan Tekan Tubi Paling Lama.
"Pertandingan itu merupakan peluang terbaik bagi Bar-Risan untuk membuka mata peserta dari negara luar mengenai kemampuan rakyat Malaysia dalam arena senaman jalanan. Selain itu, ia merupakan satu pengalaman yang menarik kerana kami juga sempat mengadakan persembahan senaman jalanan di sekitar bandar Singapura," ujar pengurus perniagaan syarikat swasta itu.
Selain ibu kota, Bar-Risan juga pernah melakukan persembahan senaman jalanan di sekitar bandar Alor Setar, Pulau Pinang, Hat Yai, Thailand dan Singapura. Aksi dan gerakan senaman mereka juga ternyata menarik perhatian ramai.
Bar-Risan merupakan satu-satunya kumpulan senaman jalanan di negara ini yang menerima tajaan daripada syarikat minuman tenaga Drive M7.
Syarikat tersebut menaja pakaian rasmi, minuman dan kewangan kumpulan itu sewaktu menyertai pertandingan atau pertunjukan.

LATIHAN intensif dalam senaman kalistenik amat diperlukan untuk melakukan aksi Back Lever.


Kuasai rutin
Menurut Amin, bagi yang ingin mencuba senaman jalanan, terdapat beberapa senaman yang harus dikuasai sebelum memulakan rutin pada palang dan tiang.
"Tekan tubi merupakan rutin asas kepada mereka yang mula berjinak-jinak dalam senaman jalanan. Melalui senaman itu, ia membina kekuatan otot tangan untuk menampung berat badan sewaktu bergantung pada palang dan tiang.
"Senaman kardiovaskular seperti berlari amat penting untuk menguatkan stamina dalam senaman ini. Selain menguatkan otot, stamina juga penting untuk membantu kita melakukan rutin senaman jalanan ini," ujarnya.
Bar-Risan juga melakukan pelbagai formasi senaman secara berkumpulan tanpa menggunakan palang dan tiang.
Cara terbaik kumpulan itu untuk mengumpul ahli baharu ialah melalui pertunjukan senaman jalanan. Kebiasaannya, golongan remaja pasti tertarik untuk mencuba senaman itu tanpa dipaksa.
Seorang lagi ahli Bar-Risan, Muhammad Farhan Abdul Kapor, 20, memberitahu, dia berjaya menarik pelajar-pelajar di kampus pengajiannya untuk sama-sama mencuba rutin senaman kumpulan tersebut.
"Semasa saya mula mendaftar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), rakan-rakan tidak mengetahui mengenai senaman ini. Kini, Bar-Risan sudah mempunyai ahli di Melaka setelah saya mengajak rakan-rakan terdekat untuk mencuba rutin senaman ini.
"Selain Utem, pelajar-pelajar Universiti Multimedia (MMU) juga memnyertai Bar-Risan di Melaka. Kebanyakannya terdiri daripada pelajar luar negara seperti Arab Saudi, Afrika Selatan dan Korea Selatan yang berminat untuk mencuba senaman ini," ujarnya.


Kegilaan jus sayur di California

Posted: 01 Nov 2013 05:01 AM PDT


SEGELAS jus sayur mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi untuk mereka yang berdiet.


BUNYI kisaran kobis hijau, timun dan bayam kedengaran di dapur kediaman guru yoga, Kia Miller, 44, yang terletak berhampiran Pantai Venice, California di Amerika Syarikat (AS).
Miller kelihatan teruja ketika menceritakan obsesinya terhadap jus tersebut yang dikatakan baik untuk kesihatan.
"Saya seronok melakukannya, rasa seperti menekan butang penetapan semula. Ia seolah-olah memberikan anda peluang untuk memikirkan tentang hubungan dengan makanan.
"Ia merupakan cara yang terbaik untuk tubuh memperoleh nutrisi daripada sayur-sayuran segar," ujar Miller ketika ditemu bual di kawasan pinggir pantai tersebut.
Kedai jus berkonsep bar memang mudah ditemui di California kerana kota itu sudah lama membudayakan amalan alaf baharu. Di kawasan elit seperti Santa Monica dan Beverly Hills, bar jus dapat dilihat di setiap sudut jalan.
Pemandangan seperti orang lalu lalang sambil memegang cawan polistiren yang mengandungi jus sayur adalah sesuatu yang biasa. Malah penggemar jus sayur lebih mudah ditemui berbanding penggemar kopi.
"Jus ini dianggap seperti wain baharu," kata Miller sambil menghidangkan jus tersebut kepada wartawan.

DI Los Angeles dan New York, AS sahaja terdapat sebanyak 6,500 bar jus.


Jus sayur mengandungi pelbagai jenis sayur yang terdiri daripada kobis hijau, halia, ubi kayu, lobak, santan dan kacang almond. Bagi penggemar buah-buahan pula, mereka boleh mendapatkan jus yang dikisar daripada kurma, pisang, epal dan daun saderi.
Minuman kecantikan
Ada antara penduduk di negara tersebut menjadikan jus sayur sebagai rejim minuman kecantikan yang diamalkan untuk tempoh tiga hari, tujuh hari ataupun 30 hari secara berturut-turut.
Bagi yang ingin menurunkan berat badan, boleh mencuba meminum jus sayur selama lima hari tanpa makan hidangan lain. Tidak mustahil amalan tersebut membolehkan anda menurunkan berat sebanyak 10 kilogram.
Pakar fisioterapi, Heather, 42, baru menamatkan tempoh pembuangan toksin dalam badan yang dibuat selama 72 jam.
"Proses ini membuatkan saya rasa lebih sihat dan seperti ketagih untuk melakukannya lagi. Saya rasa lebih dekat dengan diri sendiri dan bertenaga," kata Heather.
Pengurus bar jus berketurunan India, Baba Ji, membuka dua cawangan pada dua tahun lepas di Silver Lake dan Los Feliz yang terletak di timur Hollywood.
"Beberapa tahun kebelakangan ini, minuman jus menjadi satu fenomena. Semua orang mahu membuka bar jus. Mereka semua mahu membuang toksik dalam badan," katanya.
Harga bagi jus tersebut bergantung kepada lokasi. Contohnya, kos bagi bekalan minuman jus selama tiga hari dianggarkan bernilai antara AS$120 hingga AS$150 (RM380 hingga RM476). Jangan terkejut jika kos bagi jus untuk lima hari boleh mencecah RM1,270.

JUS buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan langkah terbaik untuk membuang toksik dalam badan.


Harga
Seorang pelanggan di bar tersebut percaya tabiat meminum jus itu mengubah kehidupan mereka.
Laporan kewangan mingguan Barron yang dibuat pada Julai lalu menganggarkan nilai keuntungan yang diperoleh daripada industri penghasilan jus adalah sekitar RM15.86 bilion. Industri tersebut turut mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak empat hingga lapan peratus setahun.
Setakat ini, AS memiliki sebanyak 6,200 bar jus yang tertumpu di Los Angeles dan New York. Kafe Starbucks terbesar yang pertama mengkhususkan jualan minuman jus dibuka di Seattle dan San Fransisco tahun ini.


Pil perancang bawa faedah

Posted: 01 Nov 2013 04:59 AM PDT



SEBELUM ini, pelbagai kisah negatif didengari Rohani Ilyas tentang pengambilan pil perancang. Ada yang mengatakan, pil perancang menyebabkan kanser payudara, pertambahan berat badan dan jerawat.
Bagaimanapun, wanita berusia 28 tahun itu bertindak bijak apabila berjumpa dan meminta nasihat daripada doktor sakit puan berhubung perkara tersebut.
Sehingga kini, ibu kepada sepasang anak kembar itu telah menggunakan pil perancang selama setahun tanpa menghadapi risiko kesihatan.
"Selepas mendapat khidmat nasihat daripada doktor dan penjelasan tentang pil perancang oral gabungan (COC), saya memutuskan untuk menggunakannya.
"Doktor memberitahu saya bahawa pil perancang ini tidak mendatangkan kesan negatif," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Rohani mengambil pil perancang bagi merancang kelahiran anak, sekali gus dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada sepasang anak kembarnya.
"Saya mahu mereka membesar dulu selain pandai menguruskan diri sendiri. Pengambilan pil perancang merupakan usaha saya untuk memastikan perkara tersebut dapat dicapai.
"Selain itu, ia dapat menjamin kesejahteraan rumah tangga saya dan anak-anak tidak terabai," katanya lagi.
Situasi yang dihadapi Rohani dialami kebanyakan wanita di negara ini yang bimbang pengambilan pil COC mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
Bagaimanapun, pil perancang telah disahkan tidak memberikan kesan sampingan, sebaliknya ia mengandungi kandungan semula jadi yang mampu memberi kebaikan kepada tubuh manusia.
Menurut Perunding Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. K.K. Iswaran, pil COC telah dihasilkan bersesuaian dengan kitaran hormon tubuh badan manusia.
"Pil ini mengandungi dua hormon wanita sintetik iaitu hormon progestron dan estrogen yang berperanan untuk mencegah kehamilan.

PENGGUNAAN pil perancang membolehkan wanita merancang jarak kelahiran anak mereka. - Gambar hiasan


"Selain itu, pil COC ini mempunyai faedah kesihatan yang banyak berbanding kesan sampingan yang minimum.
"Pil COC ini dapat membantu meredakan senggugut, mengurangkan gangguan emosi, kanser ovari, endometrium dan merawat masalah jerawat," katanya pada satu sidang akhbar mengenai pengambilan pil perancang di Hotel Hilton, Petaling Jaya baru-baru ini.
Jelasnya, di negara maju, pil COC digunakan untuk memperbaiki atau mencegah gangguan berkaitan haid seperti kitaran haid tidak menentu, endrometriosis dan sindrom prahaid (PMS).
Dalam pada itu, Ahli Majlis Perancang Keluarga Asia Pasifik, Prof. Dr. Jamiyah Hassan berkata, kajian mengenai pil COC sebagai punca kanser payudara sudah lama diperdebatkan, namun ia tidak mempunyai keputusan yang mantap.
"Isu tentang kesan sampingan pil COC menyebabkan kanser payudara sudah lama dibincangkan oleh pihak-pihak bertanggungjawab.
"Bagaimanapun, tiada keputusan yang mengatakan pil COC menjadi penyebab penyakit ini dan tidak ada pula yang menafikannya," katanya.
Menurut satu kajian yang jalankan oleh Women's Contraceptive and Reproductive Experience antara 1994 dan 1998, pil COC tidak menyebabkan peningkatan risiko kanser payudara.
Seseorang berisiko mengalami kanser payudara sekiranya dia pembawa genetik BRCA1 dan BRCA2.
"Selain itu, mereka yang mempunyai saudara-mara yang menghidap penyakit kanser ovari juga berisiko tinggi menghidapi kanser payudara," katanya.

SEMPENA Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma mengumumkan hasil kajian berkenaan sikap preskripsi pil hormon wanita dalam pasaran.


Jamiyah berkata, individu yang mempunyai masalah tersebut berkemungkinan menjadi penyumbang ralat dalam kajian pengambilan pil COC.
"Ini kerana, katanya, mereka tidak mengetahui genetik yang dibawa atau sejarah penyakit kanser payudara dalam kalangan keluarga masing-masing.
"Seseorang penghidap kanser payudara mungkin memberitahu doktor yang dia mendapat penyakit itu selepas mengambil pil COC tanpa mengetahui ahli keluarga terdekatnya mempunyai sejarah kanser payudara," jelasnya.
Sempena Hari Kontraseptif Sedunia, anak syarikat Chemo Group yang merupakan bahagian penjagaan kesihatan sepadu, Exeltis Pharma baru-baru ini mengumumkan hasil kajian berkenaan sikap preskripsi pil hormon wanita dalam pasaran.
Keputusan kajian menunjukkan penggunaan pil COC di Malaysia masih lagi rendah iaitu kurang daripada empat peratus dalam kalangan wanita lingkungan umur 15 hingga 49 tahun.
Pakar penjagaan kesihatan mendapati bahawa pil COC drospirenone mewakili standard tertinggi terapi hormon wanita kerana keberkesanannya dan selamat digunakan.
Bagaimanapun, kos pil COC drospirenone dikatakan menjadi faktor utama yang mengehadkan pilihan wanita Malaysia untuk menggunakannnya.
Dalam pada itu, walaupun Malaysia antara negara paling rendah menggunakan pil COC, kajian menunjukkan yang jumlah wanita yang memerlukan rawatan hormon meningkat kepada 12 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
MENURUT Dr. Jamiyah Hassan, sehingga kini tiada kajian kukuh yang mengatakan pil perancang boleh menyebabkan kanser payudara.


Menurut Pengarah Urusan Farmasi Exeltis Malaysia dan Singapura, Andy Siow, peningkatan tersebut disebabkan oleh kehidupan seks yang aktif dan kesedaran tentang pencegahan kehamilan dalam kalangan wanita Malaysia.
Berdasarkan peningkatan tersebut, seorang daripada tiga wanita diberikan pil COC untuk merawat keadaan kesihatan termasuk pencegahan kehamilan, masalah haid, jerawat dan endometriosis.
Tambahnya, selain menjalankan kajian, sempena Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma turut memperkenalkan risalah pendidikan kepada pesakit.
"Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang faedah kesihatan tambahan pil COC dan menggalakkan wanita Malaysia dalam meningkatkan kesejahteraan diri mereka.
"Exeltis Pharma sendiri menawarkan tiga pil COC yang mengandungi drospirenone untuk memenuhi keperluan wanita yang berbeza-beza. Pada masa tertentu, kami juga memberikannya pada kos yang berpatutan dan mampu dimiliki.
"Bagaimanapun, golongan wanita disarankan mendapatkan saranan daripada doktor terlebih dulu kerana setiap individu memerlukan jenis pil yang berbeza," katanya yang memberitahu, risalah tersebut diedarkan di klinik, hospital, farmasi dan institusi pengajian tinggi.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines