Khamis, 7 November 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Heliza mahu bina masjid

Posted: 05 Nov 2013 07:31 PM PST



WAJAHNYA cukup comel, mulutnya pula petah berkata-kata manakala imejnya sangat ayu dan sopan dengan hijab labuh dan jubah.
Bermula sebagai penyanyi dengan mencuba nasib dalam program Akademi Fantasia musim kelima, kini kerjaya Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi, 27, sudah berkembang.
Wajahnya lebih kerap muncul sebagai pengacara program televisyen, penceramah bebas dan juga terbaharu, Heliza sudah bergelar ahli perniagaan.
Bukan hanya satu atau dua perniagaan yang diuruskan, sebaliknya dia menguruskan bisnes Heliza Helmi Hijjab, Heliza Helmi Instant Telekung dan terbaharu, butik pakaian Muslimah, Falah Abiyana yang diusahakan bersama beberapa rakan kongsinya.
Disoal mengapakah dia seperti kelihatan begitu tamak mahu membuat semua perkara serentak, ujar Heliza, dia bukannya tamak.
Sebaliknya, dia menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk sesuatu yang berguna.
"Kita ada masa 24 jam. Jika digunakan sebaik mungkin, banyak perkara yang boleh dicapai. Apa sahaja yang beri manfaat kepada diri, keluarga dan orang lain, saya akan cuba libatkan diri.
"Saya sendiri bukannya sempurna, ada kekurangan di sana sini. Jadi, apabila saya melibatkan diri dengan pelbagai bidang yang berbeza secara tidak langsung saya turut belajar untuk memperbaiki diri sendiri," ujarnya.
Hari ini, wajah Heliza bukan asing lagi dalam banyak program motivasi dan keagamaan. Bukan calang-calang orang yang pernah bergandingan dengannya kebanyakan jauh lebih berusia, berpengalaman dan mempunyai pengaruh yang besar.
Sejak berusia lima tahun lagi dia sudah menyimpan cita-cita untuk bergelar pakar motivasi seperti Datuk Fadzilah Kamsah.
"Masa saya lima tahun, saya cukup suka tengok program motivasi Datuk Fadzilah Kamsah di televisyen, saya kata pada ibu saya ingin jadi sepertinya suatu hari nanti.
"Tidak sangka, dua tahun lalu saya berada di dalam Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin) dan penaungnya ialah Datuk Fadzilah Kamsah. Ia umpama mimpi jadi nyata rasa seperti tidak layak untuk duduk satu pentas dengannya," katanya.
Sedar perjalanannya masih jauh untuk bergelar seorang pakar motivasi, Heliza merangkak perlahan-lahan menuntut ilmu daripada mereka yang lebih pakar.
HELIZA mengakui dia sudah lama meninggalkan aktiviti membeli-belah dan menonton wayang di pawagam.


Setakat hari ini, Heliza yang mempunyai sijil sebagai perunding imej bertauliah lebih banyak berkongsi pengalamannya sebagai anak seni jika dijemput menghadiri forum.
"Jika nak berdakwah apabila diri sudah cukup sempurna, tiadalah pendakwah. Saya hanya berkongsi pengalaman dan ilmu yang saya tahu sahaja.
"Saya mengaku diri ini bukan yang paling hebat, paling baik dan paling bijak. Selain berkongsi pengalaman, saya juga selalu dijemput sebagai perunding imej untuk Muslimah.
"Alhamdulillah, walaupun yang datang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia, mereka dapat menerima saya dengan baik," akuinya.
Album baharu
Walaupun sibuk dengan bidang lain, aktiviti seni tidak pernah dilupakan Heliza. Tahun ini genap enam tahun penglibatannya dalam bidang seni, ironinya baru kini dia bakal muncul dengan album sulungnya.
Bukan bidang nyanyian tidak lagi menjadi pilihannya, sebaliknya sebelum ini peluang untuk menghasilkan album belum tiba.
"Sudah lama jadi penyanyi, baru sekarang nak hasilkan album. Mungkin sekarang baru tiba rezeki saya, apapun saya bersyukur walaupun orang kata, agak lewat," ujarnya.
Album yang dijangka berada di pasaran dalam tahun ini mengandungi 10 buah lagu, doa dan zikir seperti Jom Zikir dan La Tahzan.
"Buat masa ini baru siap dua buah lagu sahaja, selebihnya masih dalam proses. Disebabkan jadual yang padat, rakaman album sering tertangguh.
"Saya harap dapat keluarkan album pada tahun ini juga sebab sudah lama sangat. Kalau tunggu lagi lama takut tidak jadi pula.
"Album ini bukanlah album yang biasa sebaliknya, digabung dengan doa dan zikir. Moga-moga dapat beri manfaat buat pendengar kelak," ucapnya.
Bukan itu sahaja, Heliza juga menyimpan cita-cita untuk meluaskan perniagaan dengan menubuhkan agensi pelancongan untuk membawa orang menunaikan umrah.
"Itu juga antara yang sedang saya usahakan sekarang ini. Selain bawa orang pergi menunaikan umrah, agensi pelancongan itu nanti juga menyediakan pakej pelancongan seperti biasa untuk Muslim.
"Saya terfikir mengenai perkara ini ketika menjadi pengacara program, Rasa Halal Antarabangsa bersama Astro Oasis. Banyak tempat menarik yang saya lawati, terutama untuk pelancong beragama Islam," katanya.
Ditebak lagi soalan, apakah impian terbesarnya selepas ini? Terdiam sebentar, memikir jawapan yang sesuai barangkali. Jawabnya, dia mahu membina sebuah masjid, surau atau rumah anak-anak yatim.
"Selain apa yang saya lakukan sekarang impian terbesar saya ialah membina masjid, surau atau rumah anak yatim. Jika saya sudah tiada kelak, itulah tempat untuk saya dapat pahala berterusan, kira pencen untuk hari akhirat kelak," tuturnya ringkas.
FIGURA jelita ini menafikan dirinya tamak kerana melakukan banyak benda dalam satu masa yang sama.


Masa terhad
Sebalik imejnya yang sopan terselit perangai nakalnya, yang hanya diketahui mereka yang rapat dengannya sahaja.
Tidak ramai yang tahu, Heliza sama seperti remaja lain. Dia mempunyai perangai gila-gila, gemar berlawak, mendengar muzik dan aktiviti lasak seperti Go Kart.
"Jika orang yang kenal saya, pasti mesti mereka tertawa jika orang kata saya seorang yang terlalu baik. Saya seperti orang lain juga, agak nakal, suka kacau orang, merepek dan tidak suka duduk diam. Itulah diri saya yang sebenarnya.
"Sejujurnya, saya tidak pernah menyembunyikan perangai saya yang sebenar. Seiring dengan peningkatan usia, saya berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam," balasnya.
Bercerita tentang aktiviti paling rindu untuk dilakukannya, terus anak kepada anggota polis ini mengakui sudah lama dia meninggalkan aktiviti membeli-belah dan menonton wayang.
"Sudah bertahun-tahun saya tidak jejakkan kaki ke panggung wayang. Filem terakhir yang saya tonton di panggung pun saya tidak ingat (ketawa).
"Saya memang suka tengok wayang tetapi sekarang waktu sangat terhad. Sebelum ini waktu baru keluar daripada Akademi Fantasia dan semasa belajar di universiti, saya ada masa untuk membeli-belah, tengok wayang dan keluar dengan rakan-rakan.
"Sekarang, kalau terdesak sangat, barulah saya akan keluar beli barang. Selalunya, ibu atau keluarga saya yang akan membeli-belah bagi pihak saya," katanya.
Kemuncak yang memberi petanda dia harus berehat apabila kesihatannya mula terganggu ketika Aidilfitri yang lalu sehingga keluar batuk berdarah.
"Saya demam seminggu ketika hari raya dengan batuk berdarah sebab suhu badan terlalu tinggi. Saya sangka denggi dan dalam hati, saya ingat saya nak mati.
"Rupanya badan saya terlalu penat dan harus berehat. Sejak itu saya ubah jadual kerja supaya kesihatan lebih terjamin. Mesti ada masa untuk makan, bersenam dan berehat," ujarnya mengakhiri bicara.


Adam, Fatin nikah 21.12.13

Posted: 05 Nov 2013 07:30 PM PST

ADAM dan Fatin sudah mencapai kata sepakat untuk bergelar suami isteri.


MELALUI laman sosial Instagram, kelihatan pelakon muda, Fatin Nur Afifah Shamsudin yang dahulunya pernah popular menerusi filem Tentang Bulan, bersama Adam Shah, secara terbuka berkongsi kisah hidup mereka.
Foto-foto yang dimuat naik tersebut sudah cukup menceritakan kisah dua pelakon ini yang mereka kini sedang saling bercinta.
Ketika bertemu dengan mereka pada majlis pencalonan Anugerah Skrin 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini, pasangan kekasih tersebut hadir bersama.
Adam dan Fatin ternyata sudi berkongsi kisah gembira, malah mereka berterus terang tentang majlis pertunangan dan pernikahan mereka yang bakal berlangsung sekali gus pada bulan Disember ini.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adam dan Fatin tentang keputusan mereka itu.
Adam juga mengulas tentang kontroversi yang pernah melanda Fatin sebelum ini yang didakwa menjalinkan hubungan dengan seorang pengkid bernama Puteri Sarah atau nama ringkasnya, Putt.
Kosmo!: Sudah berapa lama anda mengenali antara satu sama lain?
FATIN: Saya sudah lama kenal Adam sebelum dia mula berlakon dalam drama Juvana lagi, namun mula rapat dan bercinta pada awal tahun ini.
Kelihatan anda berdua sering memuatnaik foto-foto mesra melalui laman Instagram dan ini bermaksud anda terbuka dengan kisah cinta. Adakah anda berdua tidak risau kelak orang memperkatakan tentang hal ini?
ADAM: Pada saya, instagram merupakan hak privasi kami. Jadi, konsepnya mudah sahaja, jika suka follow, jika tidak suka unfollow.
FATIN: Ya, betul.
Berbalik kepada soalan yang mengatakan Adam mengawal Fatin. Adakah ia bermaksud seperti mengongkong?
FATIN: Bukan begitu.Ia bermaksud dia mengawal saya daripada membuat perkara yang tidak baik. Dia mengajar saya untuk membuat perkara yang baik.
Bilakah kalian bakal melangsungkan pertunangan dan pernikahan?
ADAM: Pada mulanya perancangan kami ingin bertunang terlebih dulu pada tarikh 21 Disember ini dan bernikah pada bulan April tahun hadapan. Namun, disebabkan oleh bapa Fatin yang akan berangkat ke luar negara atas urusan kerja, jadi kami awalkan pernikahan pada tarikh 21 Disember itu.
Setelah berbincang dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak kami akan melangsungkan pertunangan pada pagi hari tersebut disusuli majlis khatam al-Quran.
Majlis akad nikah pula pada sebelah petang selepas waktu Asar yang bertempat di rumah keluarga Fatin di Puchong.
TIDAK mengambil kisah, kontroversi hitam masa silam yang pernah melanda bakal isterinya ini, Adam menerima Fatin seadanya.


Adakah kalian memang benar-benar bersedia untuk kahwin, terutamanya Fatin kerana anda masih muda dan baru berusia 20 tahun?
FATIN: Memang sudah dan kami bakal melangsungkan pertunangan dan perkahwinan pada 21 Disember ini. Saya tidak rasa terlalu awal. Ini kerana saya rasa untuk menamatkan zaman bujang tidak perlu ada had umur dan jika sampai jodoh kami, saya terima sahaja. Saya sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri dan untuk menjadi seorang ibu pula, mungkin kami akan membuat perancangan keluarga dulu.
ADAM: Walaupun Fatin muda tapi cara pemikirannya sangat matang. Dalam masa berkawan ini, saya juga banyak berbincang dan bercakap dengannya sehingga dia berubah. Ketika saya bertanyakan soal perkahwinan, Fatin jawab dia sudah bersedia dan begitu juga keluarganya setelah berbincang.
Bagaimanakah pula dengan penerimaan keluarga anda berdua?
FATIN: Keluarga saya memang sukakan Adam dan tidak kisah dengan perhubungan kami berdua. Adam rapat dengan keluarga saya terutamanya ibu saya. Mereka juga tidak risau apabila keluar bersama Adam kerana sudah mengenali dia.
ADAM: Keluarga saya tidak kisah dan juga sudah mengenali Fatin dan kami sudah pun bertemu keluarga masing-masing.
Bercerita tentang masa silam Fatin yang didakwa berkawan dengan kaum sejenis. Boleh komen?
FATIN: Saya mengaku, saya salah pilih kawan. Jadi, kini selepas jumpa Adam dia banyak merubah hidup saya. Dia mengawal saya dalam erti kata bagi memperbetulkan dan untuk kebaikan diri saya sendiri. Oleh kerana itu, buat saya tertarik dengan dirinya.
Ketika kontroversi tentang Fatin itu tersebar, bagaimanakah penerimaan Adam terhadap perkara tersebut?
ADAM: Memang saya sudah mengenali Fatin ketika itu, tapi belum rapat. Bagi saya, ia perkara biasa, kerana jika kita masuk ke alam selebriti, kisah hidup kita orang akan beri perhatian. Walaupun kisah itu kecil manapun, ia akan kelihatan besar.
Bagi saya, apa yang terjadi merupakan kisah silamnya, dan saya juga begitu. Apa yang lepas itu, saya anggap ia kisah suka duka dirinya. Saya beri peluang kepadanya untuk memikirkan apa yang betul dan salah. Kontroversi itu juga tidak menjejaskan perasaan saya terhadap Fatin.
Apakah perkembangan terbaharu karier seni Fatin kerana anda seperti sudah lama menyepikan diri?
FATIN: Selain berlakon, saya juga menyanyi dan album mini saya telah pun siap dan mengandungi sebanyak lima buah lagu. Namun, belum lagi dilancarkan dan ia dibawah R&R Entertainment. Jika rezeki saya ke arah lakonan, saya teruskan dan begitu juga nyanyian.


Shahiezy Sam 'tunggu pinangan'!

Posted: 05 Nov 2013 07:29 PM PST

  • samSam dipilih sebagai duta mempromosikan Peraduan Fuelled By Fans Powered By Primax. 

Lazimnya, wanita menunggu pinangan, namun berbeza pula dengan aktor popular, Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abd Samad, 31, mengakui menunggu pinangan daripada kaum Hawa itu.

"Saya masih menunggu calon wanita yang sesuai untuk meminang saya!," katanya sambil berseloroh.

"Setakat ini, saya tidak mempunyai sesiapa. Walaupun berkawan dengan ramai orang. Saya bukan seorang yang memilih. Tetapi belum jumpa wanita yang tepat, sebab saya sendiri tidak mencari. Saya seorang yang menunggu!," katanya yang tidak terlalu memikirkan kesempurnaan seseorang wanita, cukup sekadar comel dan memiliki ciri-ciri kewanitaan.

Menurutnya, sekiranya dia berjumpa dengan seorang wanita yang sederhana dan berjaya menyentuh hatinya, dia akan segera memberitahu kepada rakan media berhubung kisah cintanya walaupun mungkin sesetengah orang berpendapat dia seorang perahsia.

Sam berkata, walaupun dia seorang yang hidup dalam dunia sendiri tapi itu tak bermakna tidak mahu berkongsi cerita dengan sesiapa lebih-lebih lagi peminatnya.

"Sebenarnya apa yang menghantui saya, saya rasa, saya ni seorang yang sangat membosankan!," katanya yang enggan mengulas mengenai hubungan mesranya dengan aktres Fazura seperti yang digemburkan sebelum ini.

Baginya,  dia sering kali dikaitkan dengan hubungan cinta bersama aktres wanita, namun perkara itu tidak benar kerana hubungan mereka tidak lebih daripada hubungan seorang kawan.


Janji Sam buat peminat

Lupakan berkenaan kisah peribadinya, adik kepada aktres jelita, Zizie Ezete ini tetap optimis mengembangkan karier seninya.

Pernah merangkul gelaran Bintang Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP), sebanyak dua kali, Sam kembali melakar kejayaan sendiri bila tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem (SAM) menerusi Anugerah Skrin 2013 yang bakal berlangsung pada 27 November ini.

Tidak pernah meletakan harapan tinggi bagi setiap pencalonan yang diterima, Sam berkata, dia akan terus berusaha keras memberikan yang terbaik pada masa akan datang sekali gus mahu meninggalkan kesan melalui lakonannya.

Katanya, minatnya yang mendalam terhadap bidang seni, membuatkan dia sentiasa berusaha untuk menjadi yang lebih baik daripada apa yang dilakukannya sebelum ini.

"Sekarang, saya mahu tingkatkan lagi kebolehan lakonan dengan watak yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Melalui cara itu, mungkin pada masa akan datang, orang akan membuat penilaian terhadap lakonan saya dan apa yang saya berikan kepada masyarakat.

"Saya sangat idam watak filem sejarah seperti Leftanen Adnan di mana untuk saya terokai suasana dan menjiwai watak orang-orang yang berkaitan dengan watak penting yang berperanan dalam filem tersebut.

"Bagi saya ia sesuatu yang penting untuk dinilai, apatah lagi membabitkan kepentingan sesebuah negara, masyarakat dan rakyatnya," katanya yang bakal muncul dengan filem terbarunya, Kisah Paling Gengster, November ini.


Lancar single baharu

Selain lakonan, Sam yang pernah menubuhkan band sendiri, M.O.B, di awal kemunculannya dulu, kini tetap meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.

Menurut Sam, dia kini sibuk dengan rakaman single pertamanya yang ditaja oleh Nescafe. Turut berduet dengan Liyana Jasmay, projek #NescafeOnSam itu akan dilancarkan pada pertengahan November ini.

Sam berkata, dengan munculnya single tersebut, dia berharap peluangnya untuk bergelar penyanyi akan terus bersinar.

"Memang rezeki saya lebih menyerlah dalam lakonan, tetapi minat saya dalam nyanyian tak pernah padam.

"Disebabkan terlalu banyak tawaran lakonan, saya terpaksa tangguhkan minat dalam nyanyian. Tapi sekiranya ada peluang, saya akan cuba dengan sebaik mungkin untuk memenuhinya," katanya.

Dalam pada itu, Sam memberitahu, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem 'Adnan Sempit Sawadeekap' di Bangkok.

"Saya bersyukur kerana Adnan Sempit punya pengikutnya sendiri. Dan sejujurnya saya sangat teruja dengan sekuel terbaru filem ini.
"Bukan saja memaparkan jalan cerita yang lebih menarik, ia turut menampilkan lebih banyak aksi yang mana saya sendiri melakukannya," katanya.


Duta Peraduan Fuelled By Fans

Seiring popularitinya, anak emas Metrowealth International Group (MIG) ini turut dilamar menjadi duta untuk beberapa syarikat serta produk terkenal.

Terbaru, Sam dipilih sebagai duta untuk mempromosikan Peraduan Fuelled By Fans Powered By Primax yang dianjurkan oleh Petronas.

"Saya rasa inilah masanya untuk saya bersama peminat, sekali gus mereka dapat memenangi wang tunai dan mengharungi cabaran sebenar pemanduan bersama saya di satu destinasi yang ditetapkan bersama Kad Mesra yang telah siap diisi dengan minyak Primax dan juga telefon pintar bersama plan data tanpa mempunyai wang dan telefon bimbit.

"Kami akan bermula dari stesen Petronas Solaris, Serdang dan berakhir di stesen Petronas Kulim, Kedah," katanya yang tidak sabar menimba pengalaman pemanduan yang jauh bersama peminatnya.
Peraduan yang akan berakhir pada 24 November ini akan mengumpulkan lima kumpulan yang mana setiap kumpulan perlu membantu setiap selebriti dengan menggunakan platform sosial media untuk menang dalam perlumbaan ini.

Antara selebriti lain yang turut sama bertanding dalam peraduan ini termasuklah  Maya Karin, DJ Yoon, pelakon dari Hong Kong iaitu Him Law dan selebriti popular dari Taiwan iaitu Bii.

Mengulas mengenai kontraknya bersama MIG, Sam yang merupakan antara artis yang paling lama bertahan di produksi itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan produksi milik Mejar (K) David Teo itu.

"Saya tidak pernah melihat kandungan kontrak MIG sebagai satu masalah besar. Dan saya sangat jelas bahawa ' jangan sesekali bawa masalah peribadi' ketika bekerja.

"Jadi saya tidak ada masalah untuk terus bersama Metrowealth," katanya.

Ben Amir terus cuba nasib

Posted: 05 Nov 2013 07:27 PM PST

  • Ben AmirBen Amir

MUNGKIN nama Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 23, kurang dikenali ramai dalam dunia hiburan.

Apatah lagi, dia baharu sahaja menceburkan diri dalam bidang lakonan awal tahun ini tanpa apa-apa pengalaman atau pengetahuan asas sebagai pelakon.

Menceritakan di awal pembabitannya, Ben berkata, dia meminati dunia seni sejak dari kecil lagi dan tidak kisah jika terpaksa mengharungi pelbagai rintangan sebelum berjaya.

"Tanpa mengenali sepak terajang dunia seni kita boleh rebah dan jatuh sebelum masanya.

"Namun, saya tidak kisah jika watak yang ditawarkan hanya melibatkan satu atau dua babak.

"Bagi saya, ia merupakan peluang keemasan dan jangan sesekali cerewet memilih watak," kata finalis Hero Remaja 2011/12 ini.

Mengakui sangat meminati filem aksi, jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini berkata dia pernah memegang watak sebagai anggota polis dalam Abang Long vs Kak Long yang ditayangkan sebelum Aidilfitri lalu.

Katanya, watak itu sedikit sebanyak dapat merealisasikan impiannya.

"Mungkin aksi yang ditonjolkan kurang lasak berbanding filem luar negara tetapi saya tetapi berbangga dapat terlibat sama dalam pembikinan telemovie ini.

"Saya harap suatu hari nanti produksi tempatan dapat menghasilkan filem aksi yang dapat memaparkan elemen aksi dan lawan," ujar Ben.

Dalam pada itu, Ben turut memuji serta mengagumi pengarah muda yang kian tersohor, Syamsul Yusof, dalam menghasilkan filem aksi yang sangat hebat seperti KL Gangster, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift.

"Dia (Syamsul) sangat hebat. Bukan saja jalan cerita, bahkan babak-babak aksi yang dipaparkan juga kelihatan lebih realistik dengan penggunaan teknik CGI.

"Sekiranya ada peluang, saya ingin membintangi filem-filem yang hebat seperti itu," katanya yang turut meminati lakonan Bront Palarae.


Buka perniagaan sendiri
Selain lakonan, Ben berkata, dia juga membuka perniagaan pakaian dan kereta bersama rakannya di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

"Saya baru sahaja dua tahun menceburi bidang ini begitu juga dengan syarikat saya.

"Sepatutnya dari awal lagi kita harus bijak merencanakan masa depan.

"Bidang seni ada pasang surutnya apatah lagi kita yang baru setahun jagung berlakon," ujarnya.

Tegas Ben, pelakon baharu sepertinya tidak seharusnya terlalu mengejar glamor kerana ia tidak kekal selamanya.

"Saya sekarang dalam proses memasarkan jenama pakaian sendiri iaitu Chivalry's Club.

"InsyaALLAH... tahun hadapan saya akan melancarkan butik sendiri. Buat masa sekarang saya masih memilih material pakaian dan rekaan terbaik untuk jenama ini," katanya.

PROFIL
Nama : Muhammad Amir Sabaruddin
Umur : 23 tahun
Asal : Kuala Lumpur
Adik beradik : Anak keempat daripada lima beradik
Pendidikan Tertinggi : Diploma Pengajian Perniagaan (UiTM Lendu, Melaka)
Drama : Fira Ayuni, Merah Bukan Jambu & Palyboy Itu Suamiku
Telemovie : Amin, Bulan Ku Di Hentian, Hajah Bakhiliah & Abang Long Vs Kak Long
Filem : Kriptik atau Romeo Kota arahan Aaron Aziz

Shahiezy Sam Tidak Tahu Restoran Miliknya Ditutup

Posted: 05 Nov 2013 07:26 PM PST


Sam memberitahu tidak mengetahui restoran miliknya telah ditutup.
PETALING JAYA: Pelakon Shahiezy Sam menjelaskan tidak mengetahui situasi sebenar restoran miliknya iaitu Best Time Family Cafe & Grill yang dilaporkan telah ditutup sejak beroperasi enam bulan lalu.
Aktor yang mesra disapa Sam, 31, itu berkata, dia telah menyerahkan urusan menguruskan restoran berkenaan kepada dua rakan kongsinya iaitu ibu saudara dan kakaknya, pelakon Zizie Ezzette.
"Sebenarnya terus terang saya tidak mengetahui situasi sebenar restoran tersebut kerana saya tidak menguruskan restoran tersebut tetapi diuruskan oleh ibu saudara dan kakak saya.
"Saya tidak dapat menjelaskan sama ada ia telah pun ditutup atau pun masih beroperasi buat masa ini," katanya kepada mStar Online.
Restoran Best Time Family Cafe & Grill terletak di Bandar Tun Hussien Onn, Cheras, Kuala Lumpur telah beroperasi sejak enam bulan lalu.
Tambah Sam, dia masih tidak berkesempatan untuk mengetahui situasi sebenar mengenai perniagaan yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras itu kerana terlalu sibuk dengan kerjaya lakonannya.
"Bukannya saya lepas tangan tetapi memang terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti seni sehingga tidak sempat untuk bertanya mengenai keadaan restoran berkenaan," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Sam berkata, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi apabila dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi filem SAM di Anugerah Skrin 2013.
"Jika ada rezeki saya terima dan jika bukan pun saya tetap bersyukur kerana sudah tercalon dalam kalangan lima terbaik," katanya.
Sementara itu, Sam memberitahu dia bakal menjalani penggambaran filem Adnan Sempit Sawadikap selain bakal muncul dengan filem Mamak Cupcakes pada awal tahun hadapan.

Perkahwinan selebriti cecah jutaan ringgit

Posted: 05 Nov 2013 07:25 PM PST

  • Perkahwinan selebriti cecah jutaan ringgit

SUDAH menjadi lumrah, kehidupan golongan selebriti sememangnya penuh dengan kemewahan dan ada kalanya tidak terjangkau dek akal kita.
Bukan sahaja dalam kehidupan seharian, malah menerusi perkahwinan juga, mereka tampil dengan penuh gaya dan glamor agar hari bahagia itu terus menjadi momen indah.

Senario ini bukanlah perkara baru dalam kehidupan artis, malah, jika perkahwinan itu melibatkan golongan selebriti popular, pelbagai syarikat besar berlumba-lumba untuk menawarkan khidmat tajaan.

Bukan sahaja memberi pulangan baik buat penaja dari segi pengiklanan, malah bebanan untuk merangka majlis secara gilang gemilang tanpa mengeluarkan wang tentunya sedikit sebanyak mengurangkan tekanan golongan selebriti.

Jika diselak sejarah perkahwinan artis, mungkin bagi nama-nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Fasha Sandha dan Fouziah Gous, dilihat lebih selesa menguruskan sendiri majlis perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, bagi segelintir selebriti, khidmat tajaan sangat diperlukan bagi merealisasikan impian perkahwinan mereka.

Lihat saja beberapa nama seperti penyanyi Ezlyn, Memey Suhaiza dan Norman Hakim, Mawi dan Ekin yang mana perkahwinan mereka diraikan dalam suasana yang cukup mewah dan menjadi sebutan sehingga kini.

Terbaru, pasangan selebriti, Rozita Che Wan dan Zain Saidin pula dikhabarkan menerima tajaan sepenuhnya pada majlis perkahwinan mereka nanti.

Walaupun tarikh tepat masih belum diumumkan, namun rezeki dramatis ini memang mencurah-curah.

Sebelum ini, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, ini mengakui ada beberapa penaja yang sudi membantu dari segi lokasi, makanan, pakaian dan sebagainya.

Menurut Che Ta, hanya satu barang sahaja yang masih belum mendapat tajaan iaitu cenderamata untuk tetamu.

Perkahwinan yang bakal berlangsung pada Disember ini sememangnya menjadi momen yang ditunggu peminat dan masyarakat.

Malah, ada yang menjangkakan, perkahwinan ini akan turut disenaraikan dalam rekod, 'Wedding of the year'.

Tajaan penuh Astro (RM5 juta)  
Mendapat hadiah berbentuk tajaan hebat bernilai RM5 juta daripada Astro, Asmawi Ani (Mawi) dan Nora'shikin Rahmat (Ekin), selamat diijabkabulkan pada 20 Disember 2008 dan turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Oasis.

Hadiah itu merangkumi liputan menyeluruh secara langsung majlis pernikahan dan persandingan penyanyi popular itu yang akan dipancarkan ke seluruh negara termasuk tajaan lokasi, pengurusan acara dan pelbagai kos penganjuran lain.

Memilih lokasi resepsi di Palace of The Golden Horses, perkahwinan ini turut disenaraikan sebagai 'Weeding of the year' dan mendapat tajaan besar termasuk syarikat kain terkenal, Jakel Trading.

Malah, Ekin turut menyarungkan persalinan kain jenis Valentino dibawa khas dari Itali berharga RM60,000 dan, Lace Marco Lagatolla Italian Beaded Swarovski dengan kombinasi, Crepe Morrocan Italian Harvey berserta Satin Shamus Rivoli French Chiffon yang bernilai
RM65,000.

Sementara Mawi pula mengenakan sut rekaan daripada pereka terkenal Bon Zainal dengan kain jenis Italian Linen Ermenegildo Zegna dan Dutches Satin Valentino yang bernilai RM15,000.

Habib Jewels pula menaja cincin perkahwinan Mawi-Ekin yang berharga RM276,100 dan set barangan kemas sepanjang perkahwinan yang nilainya mencecah RM2.5 juta.

Bukan sahaja majlis perkahwinan, syarikat jualan DCL, juga turut menaja pasangan ini berbulan madu.

Perkahwinan 'New York'- Rafflesia (RM12 juta)

Majlis resepsi pasangan selebriti, Norman Hakim dan Memey Suhaiza, yang diadakan pada tanggal 28 September 2011, berlangsung dengan penuh mewah.

Menelan kos hampir RM12 juta, majlis yang dikatakan 'Wedding Of The Year' itu bertemakan 'New York in Black & White' dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran 200 orang tetamu yang terdiri daripada rakan artis dan wakil media.

Bertempat di Crowne Plaza Mutiara Hotel, Kuala Lumpur, Memey mengayakan gaun pengantin rekaan Vera Wang dibeli khas dari Hong Kong, manakala kasut pula ditaja oleh pereka kasut terkenal, Jimmy Choo dan dihiasi dengan dua set rantai Rafflesia White South Sea
Pearls dan Rafflesia Golden South Sea Pearls tajaan Rafflesia.

Norman Hakim pula ditaja oleh Cosmopolitan dan Bohemian suit dari Lords Tailor.

Malah, Memey turut diapit pelakon cantik Miera Liyana, Julia Ziegler, Eina dan Fathia manakala Norman Hakim pula diapit Afiq Muiz, Fizz Fairuz dan dua pelakon Indonesia Didi Riyadi dan Samuel Rizal..

Menariknya, kesemua baju, barang kemas dan kek perkahwinan yang digunakan dalam majlis perkahwinan pasangan itu turut dipamerkan di Muzium Negara pada 26 November hingga 31 Disember 2011.

Gaun kuning, barangan kemas (RM12 juta)
Sama seperti pasangan selebriti, Memey Suhaiza dan Norman Hakim, perkahwinan penyanyi, Ezlyn juga turut ditaja Rafflesia.

Dalam majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza itu, Ezlyn mengenakan gaun dan barangan kemas bernilai hampir RM 12 juta.

Di samping itu, selebriti cantik, Neelofa yang terkenal dengan perniagaan, Neelofa Heels, turut mereka bentuk kasut yang dipakai Ezlynn.

Gaun Ezlyn yang berwarna kuning keemasan mencecah RM 400,000, manakala kasutnya pula bertatahkan mutiara hitam Tahiti serta mutiara putih Laut Selatan.

Barangan kemas pula bernilai RM3 hingga 4 juta manakala sebutir mutiara mencecah RM80,000.

Pengantin lelaki pula disediakan sut dari tajaan, Lord's Tailor.

Set perhiasan Habib Jewels (RM3 juta)

Juru tari profesional, Linda Jasmine juga turut tidak terlepas dari menikmati tajaan aksesori daripada Habib Jewels ketika majlis perkahwinan bersama, Que Haidar.

Malah, keseluruhan aksesori di tiga acara itu berjumlah lebih daripada RM3 juta termasuk tiara buatan South Sea Pearls bernilai RM156,395 dan anting-anting berharga RM88,325 ketika upacara memotong kek.

Selain itu, Linda juga memperagakan set persandingan (safir biru dan berlian) berupa rantai berharga RM2.35 juta, anting-anting, RM629,000, gelang, RM74,800, dan cincin, RM21,000.

Ketika majlis akad nikah pula, Linda mengenakan anting-anting bernilai RM127,830 dan gelang, RM165,000.

Sementara itu, pelakon dan pengacara Serina Redzuawan, turut mendapat tajaan barangan kemas dari Habib Jewels.

Walaupun tidak mendapat tajaan sepenuhnya, namun pakej barangan kemas dari Habib Jewels yang bernilai  RM2.5 juta turut menyerikan lagi majlis persandingan dan acara memotong kek.

Bukan sahaja Serina malah, suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau Salahudin Ghafar juga turut mendapat tajaan persalinan daripada Lord's Tailor.

Tuah artis MIG

Mungkin ramai yang tidak tahu, artis di bawah naungan Metrowealth International Group (MIG), sememangnya bertuah kerana urusan perkahwinan mereka turut dibantu oleh produksi ini.

Bukan sahaja pelakon, Diana Amir, malah beberapa artis residen MIG, termasuk Farid Kamil dan Lisa Surihani turut menerima layanan istimewa di hari bahagia mereka.

Menjadi satu tradisi, mereka turut menerima hadiah istimewa daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mejar (K) David Teo, Selain Lisa yang pernah menerima gelang berlian, Diana Amir yang baharu saja melangsungkan perkahwinannya baru-baru ini turut menerima
hadiah berupa gelang emas dari majikannya itu. 

Malah, sebelum ini, David pernah memberitahu bahawa setiap artis naungannya yang berkahwin, beliau dan MIG akan turut serta memberi bantuan yang termampu.

Fizo mohon peminat jangan salah anggap

Posted: 05 Nov 2013 07:24 PM PST

  • fizo

"Niat saya hanyalah untuk berkongsi dan bukannya nak mengambil kesempatan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak,"  tegas Fizo Omar ketika diminta mengulas mengenai kontroversi tindakannya memuat naik sekeping foto di laman sosial miliknya, baru-baru ini.

Menerusi foto itu, pengacara Nasi Lemak Kopi O di TV9 ini, dikatakan sengaja 'menjual' popularitinya yang bakal berkahwin dengan anak tauke tudung Fareeda, iaitu Mawar Abdul Karim, 24, sementelah, pasangan ini turut tampil mempromosikan tudung eksklusif sempena pertunangan mereka.

Kesal dengan tuduhan tersebut, jelas Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 28, tujuan utama dia memuat naik foto berkenaan hanyalah untuk berkongsi pengalaman dan bukanlah untuk mencetuskan sebarang kontroversi mengenai hubungannya dengan anak pemilik butik tersebut.

"Sebelum saya menjalinkan hubungan dengan Mawar, fenomena itu telah pun terjadi. Malah, mungkin mereka yang mengkritik itu tidak mengetahui akan perkara tersebut.

"Saya mohon peminat jangan salah sangka dan memberikan tanggapan negatif kepada saya," katanya yang telah pun memadam gambar dan status itu bagi mengelakkan kontroversi berpanjangan.


Bulan madu di Eropah

Sementara itu, berkongsi tentang persiapan perkahwinannya, Fizo memberitahu setakat ini semuanya berjalan dengan lancar.

"Hampir 80 peratus telah siap. Hanya melibatkan perkara seperti khemah yang akan didirikan kelak," katanya yang merancang untuk berbulan madu ke Eropah.

Dalam pada itu, selain sibuk menguruskan perniagaan Hot Burger miliknya, Fizo juga masih lagi menjadi pengacara untuk program Nasi Lemak Kopi O.

"Saya juga akan menjadi pengacara dalam program masakan di TV9, tidak lama lagi," akhirinya.

Himpunan artis terkenal

Posted: 05 Nov 2013 07:23 PM PST

  • SHINeeSHINee

SATU lagi anugerah berprestij, Youtube Music Awards akan bersiaran secara langsung dari Pier 36, New York City pada 3 November ini.

Anugerah tersebut mengiktiraf pemuzik dan penyanyi berbakat dalam dunia seni sebagai penghargaan di atas jasa mereka menghidupkan muzik antarabangsa.

Namun, Youtube akan bersiaran langsung buat pertama kali di beberapa buah negara termasuklah Seoul, Moscow, Rio dan London.

Antara artis terkenal dari Korea Selatan yang akan memeriahkan majlis tersebut seperti SHINee, SISTAR, miss A, 4minute dan Show Lo di Seoul jam 7 malam.

Cabaran konsert AF separuh akhir

Posted: 05 Nov 2013 07:22 PM PST

  • Cabaran konsert separuh akhirSiti Nurhaliza bersama barisan pelajar Akademi Fantasia (AF2013).

KONSERT Akademi Fantasia (AF2013) sudah memasuki minggu kelapan, namun berdasarkan komen, kebanyakan pelajar masih menerima kritikan dari pengkritik tetap, Edry Abdul Halim dan Roslan Aziz.

Tidak terkecuali komen pedas Fauziah Datuk Ahmad Daud yang menggantikan pengkritik tetap Sharifah Amani, setelah artis berpengalaman itu turut mengkritik beberapa persembahan pelajar.

Menurut pengkritik, pemilihan lagu dikatakan tidak sesuai dengan 'range' suara pelajar selain persembahan tawar.

Fauziah misalnya berpandangan, momentum pada konsert kelapan seharusnya meningkat namun sebaliknya kebanyakan pelajar dilihat masih kurang yakin dari sudut persembahan bahkan peningkatannya tidak dirasai oleh juri.

"Seharusnya, pada minggu kelapan, pelajar sudah tunjuk kesungguhan apatah lagi, mereka mempunyai Inspirer yang bagus.

"Namun, rata-ratanya masih kering idea sehingga tidak tahu apa sepatutnya nak dibuat di atas pentas untuk beri persembahan terbaik.

"Mereka masih kurang karisma sebagai penghibur dan kami (pengkritik) sukar untuk merasai persembahan mereka," katanya ketika ditemui selepas konsert itu.

Sementara itu, Inspirer terakhir mereka, Datuk Siti Nurhaliza berpandangan, pelajar telah berusaha keras demi menggalas cabaran dan tugasan mereka pada konsert berkenaan.

Pada masa sama, penyanyi tersohor tersebut tetap menghormati pandangan itu memandangkan setiap pengkritik  mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing.

"Pandangan saya, apabila peminat terhibur ia sudah membuktikan peningkatan dalam persembahan mereka. Bagi aspek persembahan, saya dan pihak fakulti mendengar cadangan dan kemahuan pelajar.

"Sebenarnya, bukan mudah untuk memilih lagu-lagu tersebut. Saya bersama pihak fakulti sudah berusaha keras memilih lagu mengikut kesesuaian 'tone' suara pelajar.

"Saya yakin mereka akan belajar lagi dan melakukan yang terbaik pada konsert separuh akhir nanti," katanya.

Ujar Siti, semua kritikan membina itu menjadi cabaran hebat kepada pelajar untuk membuktikan keupayaan masing-masing.

Tambahnya, bagi pemilihan lagu, pihaknya bersedia untuk meminta pandangan pengkritik dalam aspek pemilihan lagu yang sesuai.

Dalam pada itu, penyanyi berkenaan mempunyai pandangan tersendiri terhadap tiga pelajar yang menerima kritikan hebat tersebut.

Bagi Siti, pelajar seperti Faizul, Aishah dan Indah memiliki bakat dan keistimewaan tersendiri. "Saya yakin mereka akan beraksi lebih baik pada separuh akhir," katanya.

Azhael semakin menyerlah

Bagi duo, Azhael dianggotai Mohd Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi, mereka menerima pujian pengkritik kerana memberi persembahan berkesan ketika solo dan berduet.

Azhael dikatakan kembali mengekalkan momentum menerusi lagu Harus Terpisah nyanyian Cakera Khan manakala battle, menerusi lagu Nakal, mereka dikatakan berjaya mengawal pentas. "Kami akan buat yang terbaik untuk kekal sehingga ke final.

Sebelum itu, kami bersedia galas cabaran besar di konsert separuh akhir," kata Azheal.


Tuah Amira ke peringkat separuh akhir

Sementara itu, Amira yang mendapat undian 14 peratus sepatutnya tersingkir namun tuah memihak kepadanya untuk meneruskan cabaran di atas pentas konsert AF.

Gimiknya, selepas diumumkan sebagai pelajar tersingkir dan melangkah keluar, pengacara Zizan Razak pada masa sama mengumumkan tiada penyingkiran pada konsert kelapan itu.
Ini sekali gus melayakkan enam bintang beraksi pada konsert separuh akhir dengan menyaksikan setakat ini, undian tertinggi dimiliki Faizul iaitu sebanyak 20 peratus diikuti Nabila, 19 peratus dan Azhael 17 peratus. Manakala Indah  dan Aisyah masing-
masing sebanyak 15 peratus dan 16 peratus.
Dengan tiada penyingkiran, maka enam bintang AF2013 akan meneruskan perjuangan pada separuh akhir Ahad depan.

10 pasangan nikah sempena Maal Hijrah

Posted: 05 Nov 2013 07:19 PM PST

  • 10 pasangan nikah sempena Maal Hijrah

KUALA LUMPUR - Sempena keberkatan sambutan Maal Hijrah 1435 Hijrah hari ini, sebanyak 10 pasangan di sekitar Gombak melangsungkan pernikahan secara beramai-ramai untuk berhijrah ke status baharu bergelar sebagai suami isteri.
  
Kesemua pasangan pengantin yang berusia lingkungan 20-an itu dinikahkan oleh lima jurunikah bertauliah dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak dekat sini dalam program anjuran masjid berkenaan.
  
Berikutan cuti umum sempena Maal Hijrah, kira-kira 1,000 orang tetamu termasuk anggota keluarga pasangan pengantin hadir untuk menyaksikan majlis pernikahan itu di Masjid Al-Khariyah, yang bermula 10.30 pagi.
  
Kerani syarikat swasta Muhamad Syafiq Fazly Mohd Sabri, 21, berkata beliau dan pasangannya Dayang Fauziah Japar, 29, yang juga kerani memilih melangsungkan pernikahan pada sambutan Maal Hijrah kerana ia simbolik penghijrahan kepada kehidupan baharu.
  
"Dahulunya bujang, sekarang sudah bergelar suami. Pernikahan ini adalah satu penghijrahan dalam hidup kerana sekarang saya sudah punya komitmen.

"Adalah penting buat saya untuk mengubah sikap ke arah lebih baik dan bertanggungjawab supaya saya dan isteri akan dapat mengekalkan hubungan perkahwinan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pernikahan itu.
  
Pelayan Muhammad Ajmal Mohd Sabri, 20, dan pasangannya Rusediana Atiqah Izzati Ahmad Saifuddin, 20, yang masih menuntut di Mahsa College menganggap majlis pernikahan mereka cukup bermakna kerana ia adalah permulaan untuk mereka menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri.
  
"Kami sudah lama berkawan. Adalah lebih baik kami menghalalkan perhubungan melalui perkahwinan. Bagi saya, ini juga adalah satu penghijrahan buat kami untuk lebih matang dan bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan sebagai suami isteri," katanya.
  
Sementara itu, Nazir Masjid Al-Khairiyah Ir Mohd Rozi Salleh berkata pihaknya menganjurkan majlis itu pada sambutan Maal Hijrah kerana melihat ia adalah tahun baharu Islam dan merupakan antara bulan mulia yang mempunyai hikmah tersendiri.
  
"Justeru, dengan tarikh 1 Muharam ini, ia menjadi satu penghijrahan kepada pasangan belia remaja kita ini daripada kehidupan mereka sebelumnya kepada satu kehidupan lebih baik iaitu menjadi ketua keluarga dan ibu kepada anak-anak yang dilahirkan nanti," katanya.
  
Beliau berkata masjid itu membelanjakan RM10,000 untuk kos makanan, pelamin, khemah dan cenderahati tetamu.

Cristina Suzanne Kahwin Bukan Kerana Bront Palarae

Posted: 05 Nov 2013 07:17 PM PST


Cristina menyangkal dakwaan kononnya dia mengambil keputusan berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga kerana kecewa dengan aktor, Bront Palarae.
PETALING JAYA: Pelakon Cristina Suzanne menolak dakwaan kononnya dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan lelaki pilihan ibunya kerana kecewa dengan berita mengejut perkahwinan aktor Bront Palarae yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.
Cristina, 28, menjelaskan tanggapan itu adalah mengarut kerana keputusannya tersebut adalah atas kehendak dirinya sendiri dan tidak ada kena mengena dengan pelakon itu.
"Saya sendiri sebelum ini tidak tahu dari mana datangnya cerita kami dikatakan bercinta dan tidak benar sama sekali saya ingin berkahwin kerana kecewa dia (Bront) sudah berumah tangga.
"Keputusan untuk menamatkan zaman bujang bukan dipaksa oleh sesiapa atau atas apa-apa situasi tetapi ia adalah keputusan saya sendiri," katanya kepada mStar Online.
Cristina bakal bernikah 22 Januari 2014 iaitu pada hari jadinya yang ke 29 dan majlis akan diadakan di kampung halamannya, Kuantan, Pahang.
Pelakon filem KIL itu sebelum itu mengikat tali pertunangan dengan lelaki tersebut pada 13 Oktober lalu.
Cristina dan bakal suami bakal melangsungkan perkahwinan pada 22 Januari tahun hadapan.
Dalam perkembangan lain, Cristina berkata, dia tidak melihat jodohnya yang ditentukan oleh keluarga sebagai perkara kolot tetapi menganggap ia sebagai kebaikkan untuknya.
Tambah Cristina, dia hubungan yang direstui oleh keluarga akan lebih membawa berkat dan paling penting dia dapat menerima lelaki berkenaan sebagai suaminya.
"Jika orang melihat saya dari segi luaran mereka tentu tidak menyangka bahawa saya seorang yang konvensional dan akan berkahwin dengan pilihan keluarga.
"Tetapi saya tidak pernah melihat ia sebagai masalah kerana yakin dengan restu keluarga dan paling penting saya dapat menerima bakal suami dengan hati terbuka dan bukannya kerana terpaksa," jelasnya.
Sementara itu, Cristina berkata, dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan mengenai bakal suaminya kepada umum dan berharap peminat memahami kehendaknya.
Jelas Cristina, rumah tangga yang bakal dibina adalah kehidupan peribadinya dan merasakan berhak untuk menjalani kehidupan biasa seperti orang lain.
"Bakal suami hanya orang biasa dan tiada kena mengena dalam bidang ini dan saya lebih selesa untuk tidak bercerita mengenai soal peribadi kepada umum," jelasnya yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi filem KIL di Anugerah Skrin 2013.
Dalam perkembangan lain, Cristina berkata, selain sibuk dengan persiapan perkahwinannya, dia baharu sahaja tamat menjalani penggambaran tiga filem iaitu CEO, Tujuh dan Wanita.

Awi Rafael Tidak Pernah Rasa 'Over Confident'

Posted: 05 Nov 2013 07:16 PM PST


Awi bersyukur namanya kini sudah mula mendapat perhatian dan sebaris dengan artis-artis terkenal.
PETALING JAYA: Penyanyi Awi Rafael tidak pernah berasa terlalu yakin dalam melakukan sesuatu perkara sebaliknya menanamkan rasa percaya terhadap diri sendiri terutamanya kerjaya dan muzik.
Awi, 27, berkata, pencapaian yang dikecapi sekarang adalah berikutan rasa percaya bahawa dia boleh pergi lebih jauh dalam industri seni muzik negara ini.
"Saya tidak pernah rasa over confident tetapi saya sangat percaya diri saya boleh berada dan bawa muzik saya ini dengan lebih jauh.
"Yakin dan percaya adalah dua perkara yang berbeza, jika kita terlalu yakin kita akan jatuh namun jika kita percaya dengan sesuatu perkara itu kita boleh melakukannya," katanya kepada mStar Online.
Biarpun boleh dikatakan masih baru dalam industri muzik tanah air, namun Awi terharu karya-karya ciptaannya mendapat perhatian dan diterima baik oleh masyarakat.
Malah dia turut bersyukur namanya kini sudah mula mendapat perhatian dan sebaris dengan artis-artis terkenal.
"Alhamdulillah kerjaya semakin baik dan baru-baru ini saya dapat membuat persembahan di Anugerah Planet Muzik di Singapore berkongsi pentas bersama Hafiz Suip dan Cakra Khan. Bagi saya ia adalah satu penghargaan yang sangat bernilai," katanya.
Sementara itu, Awi berkarya, dia kini sedang mencari seorang penyanyi wanita sebagai rakan duet untuk lagu terbaharunya.
"Saya sudah ada lagu tapi masih mencari penyanyi wanita yang sesuai untuk berduet, kalau boleh saya mahu penyanyi yang saya minat suaranya.
"Saya tidak kisah dia popular atau tidak tetapi suara dia sesuai dengan lagu tersebut itu lebih penting," katanya.
Dalam pada itu, Awi berkata, selepas lagu Kalau Aku Kaya, dia akan menumpukan sepenuh perhatian kepada projek albumnya di Indonesia.
"Saya akan ke Indonesia dalam masa terdekat untuk menyiapkan projek bersama kumpulan Samsons," katanya.

Ular tedung selar masuk rumah

Posted: 05 Nov 2013 07:12 PM PST

  • Ular tedung selar masuk rumahMohd Fauzi (kiri) dibantu dua anggota JPAM menjinakkan tedung selar yang ditangkap dalam sebuah rumah di Kampung Sokor, Tanah Merah.

TANAH MERAH - Cubaan mengusir keluar seekor tedung selar yang masuk ke dalam sebuah rumah di Kampung Sokor, dekat sini, cemas seketika apabila reptilia berbisa itu bertukar ganas dan cuba menyerang penduduk.
 
Seorang penduduk, Ahmad Faizal Dollah, 28, berkata, kejadian cemas itu berlaku ketika dia bersama beberapa penduduk cuba mengusir ular yang masuk ke rumah kakaknya menggunakan buluh.
 
Katanya, cubaan itu gagal dan dia terpaksa meminta bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) apabila tedung selar sepanjang lebih tiga meter itu mula bertindak agresif.
 
"Saya cuba usik-usik dengan buluh supaya ular ketika itu bersembunyi di belakang pintu dapur keluar tetapi saya mula rasa bahaya bila ular itu beberapa kali cuba menerkam ke arah kami," katanya, semalam.
 
Ahmad Faizal berkata, sebelum kejadian, tidak ada orang di rumah itu kerana kakak dan isterinya berada di rumah ibu mereka yang terletak bersebelahan.
 
"Masa bersembang depan rumah emak, mereka nampak seekor ular tedung menyusur tebing jalan sebelum menyusup masuk dalam rumah kakak melalui pintu depan.
 
"Bila saya masuk ke dalam rumah kakak dengan beberapa anggota Rela, kami temui ular itu sedang bersembunyi di belakang pintu dapur dan cuba usirnya keluar tetapi gagal," katanya yang menghubungi JPAM untuk bantuan.
 
Haiwan berbisa itu akhirnya berjaya dijinakkan sepasukan empat anggota JPAM daerah ini termasuk seorang anggota yang berkebolehan menangkap ular, Mohd Fauzi Sarwani Seman.
 
Mohd Fauzi Sarwani berkata, ular itu bertindak agresif ketika cuba ditangkap dan dia mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum dapat menjinakkannya.

Awas! wang RM100 palsu

Posted: 05 Nov 2013 07:10 PM PST

  • Awas! wang RM100 palsuLoh (kanan) menunjukkan wang RM100 palsu kepada David (tengah) yang datang ke kedainya, semalam. Gambar kecil: Perbezaan wang kertas RM100 palsu (kiri) dan tulen.

SEREMBAN – Seorang pemilik kedai kasut di Taman Seremban Jaya Fasa 9 di sini, kecewa apabila mendapati not RM100 yang diterimanya daripada seorang pelanggan merupakan wang palsu.

Madam Loh, 42, berkata, wang berkenaan diterima Jumaat lalu, dan hanya disedari oleh anaknya ketika mengira hasil jualan pada hari sama, sebaik saja kedainya ditutup.

Menurut Loh, wang tersebut diterima daripada seorang pelanggan lelaki yang sebelum itu membeli sepasang kasut di kedainya.

Menurutnya, lelaki itu keluar selepas membuat pembayaran, namun berpatah balik untuk membuat tukaran sekeping wang RM100.

"Dia memberi alasan mahu menukar wang berkenaan kepada dua keping RM50 untuk memudahkannya memberi angpau kepada ahli keluarga sempena Deepavali keesokan harinya.

"Ketika itu, kedai saya ramai pelanggan dan tanpa mengesyaki apa-apa saya memberi dua keping RM50 untuk ditukar dengan RM100 diberinya," katanya.

Menurutnya, seperti kebiasaan, setiap hari wang hasil jualan akan dikira untuk rekod perniagaannya sebelum dimasukkan ke dalam bank.

"Ketika anak saya sedang mengira wang, tiba-tiba dia memanggil saya dan memberitahu terdapat sekeping RM100 yang kertas dan warnanya mencurigakan.

"Saya memerika wang tersebut dan terkejut apabila mendapati ia sebenarnya wang palsu," katanya.

Loh berkata, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku terhadapnya dan dia menasihatkan orang ramai terutama peniaga berhati-hati ketika menerima not RM100 dengan memeriksa terlebih dahulu sebelum mengambilnya.

Sementara itu Pengerusi Gerakan negeri, David Choong Vee Hing ketika hadir ke kedai mangsa berkata, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di kawasan itu.

Menurutnya, pihaknya sudah menerima beberapa aduan daripada peniaga yang turut mengalami nasib sama.
"Saya dapati individu tidak bertanggungjawab ini sengaja membuat tukaran wang palsu bagi mendapatkan wang sebenar.

"Mereka bertindak licik apabila hanya pergi ke kedai yang agak sibuk dengan pelanggan bagi mengelakkan dikesan," katanya.

Beliau turut menasihatkan peniaga menyediakan mesin pengimbas wang palsu di kedai masing-masing agar kejadian sama tidak berulang.

Petronas didakwa ubah polisi?

Posted: 05 Nov 2013 07:08 PM PST

  • Mohd Nizam MahsharMohd Nizam Mahshar

BERAPA ramai antara kita yang pergi ke stesen minyak Petronas setiap pagi untuk membeli nasi lemak, roti dan kuih-muih yang dibekalkan syarikat kecil Melayu atau makcik-makcik di kampung untuk dijadikan sarapan?

Semua itu dikhuatiri hilang tidak lama lagi apabila Petronas didakwa mengamalkan dasar baharu, bercanggah dengan dasar penubuhan syarikat minyak negara itu untuk membantu peniaga tempatan.

Daripada projek ratusan juta ringgit melibatkan telaga minyak di tengah laut sehinggalah kepada kontrak bekalan roti di kedai Mesra Petronas, semuanya didakwa mula diberikan kepada syarikat asing tanpa memberi peluang adil kepada peniaga tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Mohd Nizam Mahshar berkata, badan bukan kerajaan itu menerima banyak aduan daripada syarikat dalam industri minyak dan gas negara mengenai sikap Petronas yang didakwa mereka sebagai pilih kasih dalam memberikan kontrak.

"Pembekal perkhidmatan minyak dan gas, pengusaha stesen minyak, kontraktor atau syarikat logistik, semuanya mengadu mengenai Petronas," katanya dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian, baru-baru ini.

Dasar Petronas mula berubah

Beliau mendakwa Petronas cuba mengetepikan syarikat Bumiputera dan Melayu dalam pemberian kontraknya dan tersasar daripada peranan asalnya untuk membantu membangunkan syarikat Bumiputera dalam industri minyak dan gas.
Menurut Mohd Nizam, MTEM dan syarikat tempatan dalam sektor itu berkongsi pendapat sama dengan Petronas bahawa pemberian kontrak harus dilakukan berdasarkan keupayaan dan prestasi syarikat.

"Memang kita pun mahu syarikat yang layak sahaja diberikan kontrak tetapi jangan guna alasan itu untuk hentikan semua projek kepada syarikat Melayu," katanya.

Mohd Nizam berkata, MTEM pernah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Petronas berhubung isu ini pada Februari lalu namun hasilnya tidak memuaskan.

"Mula-mula nampak hasil pertemuan seolah-olah baik, (pengurusan tertinggi Petronas) janjikan pelbagai perkara, termasuk kerjasama antara MTEM dan Petronas.

"Tetapi dua minggu selepas pertemuan itu, Petronas hantar surat jawapan memaklumkan syarikat itu tidak bersedia memberi komitmen kepada perkara dibincangkan dengan MTEM dalam pertemuan itu, terutama berhubung agenda Bumiputera dan Melayu," dakwanya.

Petronas lebihkan mat salih

Mohd Nizam berkata, tiga isu utama dibangkitkan syarikat tempatan dalam sektor minyak dan gas adalah sikap Petronas yang didakwa berat sebelah kepada syarikat asing, cubaan Petronas mengetepikan syarikat tempatan dan tidak ada arah tuju jelas bagi Petronas berhubung agenda membina keupayaan negara.

Beliau mendakwa, berdasarkan aduan diterima, kontrak Petronas didakwa mula menetapkan pelbagai syarat yang dianggapnya tidak masuk akal serta tidak memberi sebarang kelebihan kepada syarikat tempatan.

Menurutnya, masalah ini bermula selepas Petronas diambil alih pengurusan baru sejak 2010.

"Pengurusan sebelum ini faham dan cuba bantu pembangunan kapasiti syarikat tempatan tetapi pengurusan sekarang ini gunakan alasan keupayaan untuk mengetepikan mereka dan lebihkan syarikat asing," dakwa beliau.

Nasi lemak pun dibekalkan syarikat asing

Selain itu, Petronas juga didakwa memberikan monopoli kepada sesetengah syarikat luar, termasuk bagi pengangkutan minyak dan pembekalan produk makanan di stesen Petronas.

"Nasi lemak, kerepek dan roti di stesen Petronas tak boleh lagi dibekalkan oleh makcik-makcik di kampung, semuanya diberikan kepada satu sahaja syarikat, yang berasal dari luar negara," dakwanya.

Menurutnya, Petronas didakwa menggunakan alasan inginkan syarikat berdaftar untuk membekalkan makanan di stesen Mesra.

"Apa yang mereka buat sebenarnya adalah menolak keluar peniaga Melayu sedikit demi sedikit daripada rangkaian perniagaan Petronas, dari pelantar minyak ke kedai Mesra.

"Kami bukan menentang Petronas, kami sayangkan Petronas sebagai khazanah negara. Kami ingin selamatkan Petronas," katanya.

Usaha berterusan Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas Petronas berhubung semua dakwaan ini tidak berjaya sehingga artikel ini disiarkan.

Pasangan cemar Maal Hijrah

Posted: 05 Nov 2013 07:05 PM PST

  • Pasangan cemar Maal HijrahAnuar (kiri) ketika ingin membawa pasangan berkenaan ke balai polis untuk membuat laporan.

KLUANG - Meskipun baru berkenalan kira-kira lebih sebulan lalu, sepasang kekasih berani berdua-duaan di sebuah hotel bajet sekaligus mencemarkan sambutan  Maal Hijrah.

Bagaimanapun, lelaki berusia 28 tahun bersama teman wanitanya berumur 25 tahun itu dicekup Bahagian Penguatkuasa dari Pejabat Agama Islam Johor Daerah Kluang di sebuah hotel bajet di Jalan Renggam-Kluang, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki tersebut yang berasal dari Felda Kahang Timur, di sini, manakala pasangannya dari Segamat itu ditahan sempena Ops Cegah Maksiat sempena Maal Hijrah selepas berkhalwat di hotel bajet di Sri Lalang, di sini.

Anggota ops yang diketuai Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kluang, Anuar Kosnin terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum lelaki terbabit membuka pintu.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita tanpa berpakaian bersembunyi dalam bilik air berdasarkan pakaian yang dilonggokkan di tepi katil dalam bilik berkenaan.

Anuar berkata, ketika soal siasat dijalankan, lelaki itu memberi alasan bahawa dirinya risaukan keselamatan pasangannya kerana tinggal bersendirian di rumah sewa terbabit malah sering diganggu oleh individu lain.

Menurutnya, alasan diberi lelaki itu tidak berjaya mengubah pendirian pihaknya untuk melepaskan pasangan berkenaan daripada ditangkap.

"Masalah seperti ini sering dilakukan oleh anak muda sekarang terutama sekali apabila berjauhan dengan ibu bapa dan tiada kawalan. Dengan hanya pertemuan sebulan, mereka telah berani untuk diajak bermalam ke bilik hotel.

"Perkara seperti ini sepatutnya dipantau oleh keluarga mereka dan bukannya membiarkan mereka bebas tanpa sebarang pengawasan walaupun pada hakikatnya mereka telah cukup dewasa untuk berfikir sendiri buruk baiknya apa yang ingin dilakukan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Anuar berkata, pasangan terbabit didakwa di bawah Seksyen 27(1)(a)(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jelasnya, pasangan ini turut dibawa ke balai polis Kluang untuk membuat laporan dan dijamin oleh keluarga masing-masing.

"Mereka diminta untuk datang semula ke Pejabat Agama untuk dibicarakan di mahkamah," katanya.

Operasi yang bermula jam 11 malam dan berakhir jam 3 pagi itu turut disertai Pejabat Daerah Kluang, Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Kastam dan PDRM.

Tasik Ringlet makin mendap

Posted: 05 Nov 2013 07:04 PM PST

  • Tasik Ringlet makin mendapPembukaan kawasan pertanian tanpa kawalan punca mendapan lumpur dan pasir lalu mengalir ke anak sungai dan empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet

CAMERON HIGHLANDS - Banjir lumpur di Lembah Bertam, yang mengorbankan empat nyawa pada 23 Oktober lalu, sewajarnya membuka mata ramai pihak terutama penduduk setempat bahawa Tasik Ringlet sudah semakin 'tenat'.
Tasik buatan manusia ini, yang menakung air bagi menjana elektrik di Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar, sebenarnya sudah tidak lagi dapat menampung kapasiti seperti ia mula beroperasi 50 tahun lalu.

Kelodak, pasir dan sampah sarap yang dibawa dari hulu sungai juga membuatkan tasik seluas 0.5 kilometer persegi ini hilang sebahagian fungsi keduanya, iaitu menebat banjir.

Dalam kejadian 1 pagi itu, banjir lumpur melanda Lembah Bertam, Ringlet, apabila air sungai melimpah susulan pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar. Akibat insiden itu, empat maut, termasuk seorang yang meninggal dunia kerana serangan jantung. Ia turut memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan.
  
Air keruh, berkeladak 

Tinjauan dari udara di kawasan itu mendapati air tasik dan sungai-sungai yang mengalir ke dalamnya keruh berwarna seperti teh tarik, tanda ia penuh lumpur dan kelodak.

Selain itu, lereng-lereng bukit di sekeliling kawasan yang teruk dilanda banjir lumpur dua minggu lalu kebanyakannya ditarah secara agresif untuk pembangunan.

Di hulu sungai, kelihatan kebun-kebun sayur dan tanaman lain serta pembukaan tanah giat berjalan, sebahagiannya kelihatan tidak terkawal.
Dari udara juga kelihatan beberapa buah jentera di tepi sungai untuk mengeluarkan kelodak, pasir dan sampah manakala bot-bot kecil membersihkan permukaan tasik daripada sampah sarap.

Hakikatnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB), membelanjakan lebih RM180 juta sejak lima tahun lalu untuk membersihkan Tasik Ringlet dan Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar.

Kira-kira 350,000 meter padu keladak dikeluarkan dari Tasik Ringlet setiap tahun. Namun, usaha itu tidak mampu mengatasi jumlah pengumpulan mendapan di tasik berkenaan yang dianggarkan 500,000 meter padu setahun.

Sejumlah RM300,000 lagi dibelanjakan setiap tahun untuk membersihkan permukaan dan dasar tasik daripada sampah sarap yang mencecah 200 metrik tan setahun.

Sambil menelusuri kawasan tasik dan empangan itu, Bernama diberitahu bahawa dua pertiga daripada Tasik Ringlet mengandungi mendapan dan ini bermakna hampir 27 meter kedalaman tasik itu dipenuhi dengan kelodak dan pasir serta sampah sarap yang separa timbul.

Mendapan dan Sampah sarap
Menerima aliran air dari empat batang sungai iaitu Sungai Ringlet, Bertam, Habu dan Tenom, Tasik Ringlet dianggarkan berkapasiti takungan 4.6 juta meter padu air.

Namun kini tidak lebih daripada 9.0 meter sahaja ketinggiannya yang berair, bermakna kapasiti tasik itu berkurangan sehingga ke paras hampir 2.0 juta meter padu.

Penerokaan tanah untuk pembangunan dan pertanian yang giat dijalankan di Cameron Highlands terutama di lereng-lereng curam dan bukit, menyebabkan hakisan dan ini memburukkan lagi keadaan, menjadikan masalah mendapan di Tasik Ringlet semakin kritikal.

Jika dikumpulkan jumlah mendapan ini, saiznya boleh dianggarkan seluas sembilan padang bola dengan ketinggian hampir 6.0 meter bersamaan dengan kira-kira 500,000 meter padu pengumpulan mendapan kelodak setahun.
  
Risiko banjir

Pengurus Besar Stesen-stesen Janaelektrik Cameron Highlands, Bahagian Penjanaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mustafa Hashim berkata: "Apabila hujan turun dengan lebat, risiko limpahan air sungai dan empangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Hujan lebat berpanjangan dan mendapan kelodak, pasir serta sampah sarap menambahkan risiko.

"Ketika banjir baru-baru ini, keadaan diburukkan lagi oleh alur masuk terowong bawah tanah ke unit penjanaan yang tersumbat," jelas Mustafa, yang sebelum ini bertugas di Empangan Kenyir, Terengganu.

Pada hari kejadian, paras air tasik naik dengan drastik iaitu 1.96 kaki (kira-kira 0.6 meter) sejam, dan ia adalah 13 kali ganda berbanding musim tengkujuh sebelum ini.

Akibatnya, air empangan tasik terpaksa dilepaskan secara manual melalui satu pintu alur limpah bagi mengelakkan kejadian buruk sekiranya air dilepaskan secara automatik menerusi empat pintu alur limpah.
  
Skim hidroelektrik
Skim Hidroelektrik Cameron Highlands, yang mula beroperasi pada 1959, terdiri daripada dua skim yang bercantum menjadi satu iaitu skim hidroelektrik Cameron Highlands di Pahang dan skim hidroelektrik di Batang Padang, Perak.

Menggunakan jenis sistem 'run-of-the-river', skim ini mendapat punca air dari alur masuk sepanjang sungai dan kawasan tadahan di Cameron Highlands dan Batang Padang.

Sungai-sungai utama di sepanjang skim hidroelektrik Cameron Highlands ini iaitu sungai - Pla'aur, Telom, Terla, Ikan, Kodol, Kial, Bertam,  Ulu Merlah, Habu, Kilat, Ulong dan Ringlet.

Air daripada Sungai Ringlet, Bertam, Habu dan Tenom akan memenuhi Tasik Ringlet melalui terowong bawah tanah sepanjang 11.0 kilometer, memasuki alur masuk Bertam untuk disalurkan ke stesen janaelektrik Sultan Yussuf di Batu 19 Cameron Highlands.

Air berkenaan disalurkan ke Empangan Jor sebelum mengalir melalui terowong bawah tanah Menglang sejauh 14.5 kilometer sehingga ke stesen jana eletrik Sultan Idris II. Stesen terakhir ialah di stesen janaelektrik Odak di Batu 7, Cameron Highlands.

OneRepublic penuh dinamik

Posted: 05 Nov 2013 07:00 PM PST


AKSI penuh keterujaan Ryan Tedder selaku vokalis utama OneRepublic di pentas konsert.


KECERIAAN dan senyuman kepuasan jelas terpancar pada wajah lebih 5,000 peminat muzik khususnya pendengar tegar lagu-lagu kumpulan alternatif rock dari Amerika Syarikat (AS), OneRepublic.
Ini kerana persembahan hampir dua jam daripada grup tersebut sarat dengan intipati yang memenuhi citarasa audiens yang hadir menyaksikan konsert tersebut.
Berlangsung secara santai di pekarangan Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, audiens ternyata sangat teruja dengan muzik yang dipersembahkan band yang berasal dari Colorado, AS itu.
Ini kali pertama OneRepublic menjejakkan kaki ke Malaysia kerana melangsaikan konsert jelajah dunia mereka yang diberi nama sempena album terbaharu mereka, Native.
Bertujuan untuk mempromosikan album ketiga mereka itu yang telah dilancarkan pada April tahun ini, OneRepublic terlebih dulu menjelajah Eropah dan Amerika Utara sebelum hadir ke rantau Asia pada pertengahan Oktober lalu.
Sepertimana sambutan di konsert jelajah mereka sebelum ini, suasana di Sunway Lagoon juga hangat.
Audiens sudah membanjiri lokasi konsert sejak pukul 6 petang lagi biarpun persembahan dijadualkan hanya bermula pada pukul 8.30 malam.
Persembahan dimulakan dalam suasana rancak apabila OneRepublic menyanyikan lagu pertama mereka, Don't Look Down dah keriuhan bertambah apabila kain putih yang melitupi segenap ruang pentas diturunkan.
Tidak menoleh ke belakang, band yang mengejutkan peminat dengan memakai topeng khas sempena perayaan Halloween itu terus mendendangkan lagu-lagu hit mereka dalam tempoh setengah jam pertama seperti Light It Up, Secrets, All the Right Moves dan What You Wanted.
Berhenti seketika untuk berinteraksi bersama penonton, kumpulan yang diketuai oleh Ryan Tedder sebagai vokalis itu sempat bergurau dengan memberitahu bahawa Sunway Lagoon merupakan destinasi menarik nombor satu di Asia.
Konsert diteruskan dengan energi hebat ditunjukkan oleh kumpulan yang turut dianggotai oleh Zach Filkins, Drew Brown, Eddie Fisher dan Brent Kutzle itu apabila menyampaikan lagu paling 'meletup', Stop & Stare.

PERJALANAN konsert yang hangat membara dengan persembahan lagu-lagu penuh bertenaga sukses dilakukan oleh OneRepublic menerusi konsert julung-julung kali mereka di Malaysia ini.


Hampir kesemua penggemar muzik yang hadir pada malam itu menyanyikan bersama lagu yang dipetik dari album debut mereka, Dreaming Out Loud sekali gus memperkenalkan OneRepublic di persada muzik antarabangsa sebelum berterusan 'merasuk' audiens dengan single terbaharu mereka, Counting Stars.
Zach selaku pemain gitar utama OneRepublic kemudian menonjolkan diri dengan teknik bermain gitar ala Sepanyol secara solo dengan cemerlang sebelum Ryan mengambil alih dengan bermain piano secara solo sambil menyampaikan lagu hit tahun 2008, Apologize selain turut diselitkan medley pendek lagu popular Justin Timberlake, Cry Me A River dan Yellow (Coldplay).
Walaupun hujan gerimis mula membasahi bumi, OneRepublic meneruskan misi mereka dalam membuai audiens dengan dua buah lagu dari album terbaharu mereka, Burning Bridges dan Preacher.
Kehangatan diteruskan dengan lagu popular Kanye West, Gold Digger yang diubah suai sesuai dengan konsep yang dibawakan oleh kumpulan pop rock ini.
Vokal Ryan terus diuji dengan menyanyikan single terbaharu OneRepublic, Can't Stop dan sebuah lagu sentimental, I Lived sebelum mengimbau kenangan penonton dengan menyampaikan dua buah single popular mereka, Marching On dan Good Life yang dipetik dari album kedua OneRepublic, Waking Up.
Seterusnya, bahang kehangatan persembahan OneRepublic mencapai klimaks menerusi alunan dua buah lagu terakhir, Feel Again dan If I Lose Myself.
Ia sehingga membuatkan penonton menyanyi bersama bagaikan tidak mahu konsert itu berakhir.
Setiap detik yang berlalu dalam tempoh hampir dua jam itu boleh diibaratkan seperti air yang mengalir di sungai kerana penonton merasakan masa berjalan terlalu pantas, sedangkan niat di hati mahukan kumpulan itu terus menghiburkan mereka.
Konsert yang dianjur dan dibawakan khas oleh JS Concert dan Hotlink itu mempunyai tarikan serta momen unik yang dapat memberi pengalaman indah buat penggemar konsert artis antarabangsa.
Persembahan OneRepublic yang bersahaja dan tampak matang mampu memberi inspirasi buat pengkarya muzik tempatan untuk berusaha lebih baik pada masa hadapan.


Kalau Aku Kaya tak sindir sesiapa

Posted: 05 Nov 2013 06:59 PM PST

AWI RAFAEL (kanan) dan Altimet kini muncul dengan single kolaborasi mereka, Kalau Aku Kaya.


KOLABORASI antara penyanyi solo mahupun berkumpulan bersama penyanyi rap atau rapper sering menjadi perhatian peminat muzik di negara ini dan kebiasaannya, ia akan menjadi hit untuk jangka masa yang panjang.
Terkini, lagu nyanyian penyanyi versatil yang berasal dari Singapura, Awi Rafael yang berkolaborasi dengan rapper terkenal, Altimet telah menjadi fenomena dan siulan orang ramai termasuk kanak-kanak kerana rentaknya yang cepat menarik perhatian.
Selain itu, mesej yang cuba diselitkan pada setiap bait lirik yang dinyanyikan itu cukup mendalam dan bererti untuk sesetengah orang secara tidak langsung memudahkan lagu itu diterima ramai.
Lontaran suara lunak Awi Rafael dan rap santai yang dihujahkan oleh Altimet mampu memberi semangat dan dorongan kepada para pendengar untuk mengejar cita-cita dalam mengecapi kehidupan lebih baik.
Berpeluang menonton buat pertama kali klip video rasmi lagu Kalau Aku Kaya ketika hadir pada majlis pelancaran di Malaysian Petroleum Club, Kuala Lumpur baru-baru ini sangat mengujakan.
Ini kerana konsep dan idea yang disampaikan berbeza dengan apa yang cuba ditonjolkan oleh mana-mana klip video tempatan sebelum ini.
"Idea dan konsep klip video ini datang daripada kami sendiri kerana saya telah bertanya kepada ramai orang mengenai makna judul Kalau Aku Kaya dan jawapan yang diterima berbeza-beza.
"Bagi sesetengah orang kaya, ia dinilai dengan berapa banyak wang yang disimpan di dalam akaun bank, tetapi bagi kami, kaya itu lebih daripada nilai serta kebebasan untuk melakukan apa yang kita mahu serta pengalaman," ujar Altimet ketika disoal mengenai makna di sebalik klip video tersebut.
Altimet menambah, dalam klip video tersebut, Awi memilih untuk menunggang sebuah motosikal vintaj yang memberi gambaran bahawa harga untuk sesebuah benda tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
"Jika Awi kaya, tidak semestinya dia akan memilih untuk menunggang motosikal yang berharga ratusan ribu ringgit kerana apa yang penting adalah nilai dan pengalaman yang tidak boleh dijual beli," kata Altimet selain menegaskan definisi kaya berbeza bagi setiap individu.
Tambah Awi: "Persepsi setiap orang itu berlainan tetapi bagi Awi sendiri, kaya itu tidak semestinya kita kena pilih barang yang paling mahal. Ini kerana apa yang penting adalah nilai.
"Jadi, konsep sebegini yang kami mahu penonton di luar ambil sebagai iktibar kerana kami mahu mereka memilih nilai lebih daripada harga."
Klip muzik tersebut menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Grik, Perak. Ia mengambil masa sebulan untuk disiapkan.
Lirik lagu yang bersahaja serta mempunyai elemen lucu telah memberi impak yang lebih baik kepada pendengar dan mereka merasa sangat dekat dengan lagu ini kerana agak relevan seperti 'Biar aku belanja, subsidi gula' dan 'Aku betulkan semua lubang atas jalan raya' bagaikan mengerti kesusahan masyarakat dengan situasi sekarang.
"Lirik ini dibuat bukan untuk menuding jari ke arah mana-mana pihak kerana konsepnya santai dan saya juga telah bertanya teman-teman saya yang peminat tegar kereta dan ramai merungut terpaksa tukar sports rim dengan kerap kerana jalan raya yang berlubang.
"Kami menjalankan pertanyaan rambang kepada seramai 40 orang kesemuanya, dan hasil jawapan mereka telah memudahkan saya untuk menulis lirik lagu ini," ulas Altimet lagi.
Awi yang dikenali dengan lagu Pulanglah dan Bila Aku Jatuh Cinta turut memberitahu, idea untuk membawa lagu Kalau Aku Kaya ke pasaran Indonesia sudah ada tetapi perancangan mengenainya masih pada peringkat awal.
"Konsep itu ada dan mungkin bahagian rap yang dinyanyikan oleh saya akan diubah suai menjadi bahasa Inggeris," tambah Altimet yang pernah terkenal dengan lagu Kalau Berpacaran hasil kolaborasi bersama Ana Raffali dan Sohaimi Meor Hassan.
Klip video ini akan disiarkan kepada umum pada 7 November ini di saluran MTV di Astro (713) dan akan dimuat naik di YouTube dalam masa terdekat.


Anak jumpa semula ibu selepas 63 tahun

Posted: 05 Nov 2013 06:56 PM PST


ROSALINA (empat dari kiri) menyuap kek ke mulut Yie Keaw sambil disaksikan lima lagi adik-beradiknya yang lain di Kampung Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan semalam.


KOTA BHARU – Seorang wanita hanya mampu menitiskan air mata apabila dapat bertemu semula dengan ibu kandungnya dan lima lagi adik-beradik perempuannya yang terpisah sejak 63 tahun lalu apabila mereka kembali ke negara asal di China.
Rosalina Ahmad, 63, bersyukur kerana dapat mengucup dahi ibunya, Wong Yi Keaw, 79, semalam selepas dia hampir putus asa mencari ibu kandungnya itu sekian lama.
Suasana terharu itu tergambar apabila kesemua mereka bertemu di rumah Rosalina di Kampung Padang Bongor di sini dengan bantuan pemimpin MCA di Gua Musang, Lew Kew, 66.
Lima beradik kandung yang hadir pada pertemuan itu ialah Yang Chai Qin, 61; Yang Mei Lian, 57; Yang Chai Ping, 56; Yang Jun Na, 52, dan Yang Xiao Fen, 50. Kesemua mereka menetap di Wilayah Hainan, selatan China.
"Kegembiraan saya tidak boleh digambarkan lagi. Kalau boleh saya mahu satu dunia tahu bahawa saya sudah berjumpa kembali dengan ibu saya dan adik-beradik yang lain," katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran di rumahnya di sini.


Kasut khas pulih kecacatan bayi

Posted: 05 Nov 2013 06:54 PM PST


MOHD. ZULKIFLI (kiri) bersama seorang pensyarah, Dr. Zuraida Zainon menunjukkan kasut khas bagi membantu memulihkan bayi mengalami kecacatan kaki ketika dilahirkan di George Town, Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta kasut khas bagi membantu memulihkan bayi yang mengalami kecacatan kaki ketika dilahirkan atau lebih sinonim dengan nama clubfoot patients (CFP).
Produk User Friendly Abduction Splint (UFAS) ciptaan Juruteknik Perubatan Unit Pemulihan, Hospital USM Kampus Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, Mohd. Fahmi Hamzah itu memberi sinar kepada bayi kurang bernasib baik.
Kasut khas itu diperbuat daripada kulit lembu berupaya mengatasi kecacatan kekal pada bayi dan membolehkannya berjalan dengan baik seperti kanak-kanak normal lain.
Kos UFAS jauh lebih rendah iaitu RM150 berbanding RM1,000 untuk produk sama yang ditempah dari luar negara.
UFAS memberi keselesaan kepada kaki bayi dan turut dihasilkan dalam bentuk yang menarik, sama seperti kasut biasa yang boleh dihasilkan mengikut saiz dan keperluan setiap bayi.


Kereta terbang dibina di Slovakia

Posted: 05 Nov 2013 05:15 PM PST


AEROMOBIL 2.5 mampu memuatkan hanya dua orang penumpang dalam satu masa.


BRATISLAVA - Sebuah kereta luar biasa yang mampu terbang dibangunkan oleh sebuah syarikat Slovakia di sini, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Lapor akhbar itu lagi, kereta tersebut dapat mencegah pemandu daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dengan meluncur ke udara.
Dibina menggunakan rangka keluli ringan dengan lapisan karbon, kereta sepanjang 6 meter itu mempunyai dua sayap sepanjang 8.2 meter apabila ia berubah menjadi pesawat.
Kenderaan tersebut boleh memuatkan dua orang penumpang.
Ia yang dinamakan AeroMobil 2.5 mampu mencapai kelajuan maksimum 159 kilometer/sejam (km/j) di atas jalan.
Namun, kenderaan tersebut boleh mencecah kelajuan 200 km/j ketika terbang di udara dan mampu terbang sejauh hampir 500 kilometer.
Kenderaan hibrid itu merupakan ilham dua pereka tempatan iaitu Stefan Klein dan Jurak Vaculik yang beribu pejabat di Bratislava.
AeroMobil 2.5 telah diperkenalkan kepada umum di sebuah pameran udara yang diadakan di Montreal, Kanada.
Kenderaan seberat 450 kilogram itu dilengkapi enjin Rotax 912 ULS yang menggunakan petrol yang dijual di stesen-stesen minyak.
Menurut perekanya, kereta itu boleh dipandu di atas jalan raya dan muat untuk diletakkan di petak parkir apabila kedua-dua sayapnya dilipat.


India lancar kapal angkasa ke Marikh

Posted: 05 Nov 2013 05:13 PM PST

PENGUNJUNG di Planetarium Nehru menonton siaran langsung misi India ke Marikh di New Delhi semalam.


NEW DELHI - Misi pertama India ke Marikh berlepas semalam ketika negara berkenaan berusaha menjadi negara Asia tunggal yang sampai ke Planet Merah berkenaan.
"Pelancaran berlaku," kata seorang pengulas televisyen apabila roket merah dan hitam itu berlepas pada pukul 2.38 petang dari pusat pelancaran angkasa lepas di Sriharikota.
Roket seberat 350 tan digunakan untuk membawa kapal angkasa tersebut.
India belum pernah melancarkan roket untuk perjalanan angkasa lepas manakala lebih separuh misi ke Marikh gagal termasuk misi oleh China pada 2011 dan Jepun pada 2003.
Misi Pengorbit Marikh itu yang dikenali sebagai Mangalyaan di India diumumkan 15 bulan lalu oleh Perdana Menteri, Manmohan Singh selepas misi serupa oleh China gagal.
"Kami (bukan cuba bersaing dengan sesiapa) tetapi bersaing dengan diri sendiri," kata Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO), K. Radhakrishnan.
Kapal angkasa berwarna emas sebesar sebuah kereta kecil itu dilancarkan untuk mengesan kewujudan metana di atmosfera Marikh.
Kehadiran metana merupakan bukti bahawa terdapat hidupan primitif di planet itu.
Kekurangan kuasa untuk melakukan penerbangan terus, kapal angkasa itu akan mengorbit Bumi selama hampir sebuah untuk mengumpul pecutan bagi melepasi graviti Bumi.
Selepas itu, kapal angkasa tersebut akan melakukan perjalanan ke Marikh yang mengambil masa selama sembilan bulan.
Pelancaran tersebut dilakukan lima tahun selepas India menghantar kapal angkasa tanpa manusia, Chandrayaan ke bulan.
Misi tersebut menelan belanja sebanyak AS$73 juta (RM231 juta).
Kos itu kurang satu per enam daripada perbelanjaan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan untuk misi penghantaran kapal angkasa ke Marikh hujung bulan ini.


Berada dalam air lebih tenang

Posted: 05 Nov 2013 05:10 PM PST



SEKITAR Ogos 2012, Zarith Sofia Raja Zulkifli, 28, telah disahkan mengandung. Sebaik dimaklumkan berita gembira itu, dia dan suaminya, Ben Ibrahim, 35, terus membuat keputusan untuk melahirkan bayi sulung mereka menerusi kaedah bersalin dalam air.
Wanita yang menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pemasaran di Universiti Charles Sturt, Sydney, Australia itu mahu berbuat demikian memandangkan salah seorang rakan universitinya pernah menjalani kaedah itu.
"Dia (kawan) mengaku ia lebih tenang dan kurang sakit ketika melahirkan bayi. Jadi, pada masa itu, saya dan suami teruja melihat keberkesanan proses tersebut dan bercadang memilih kaedah itu jika bersalin nanti," jelasnya.
Zarith Sofia memberitahu, mereka telah menyuarakan hasrat itu kepada kedua-dua orang tua mereka.
"Seperti kebanyakan ibu bapa, khususnya apabila mengetahui kaedah kelahiran itu merupakan bukan cara konvensional, mereka tidak bersetuju kerana khuatir akan berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap saya dan cucu mereka.
"Namun demikian, bagi meyakinkan mereka bahawa ia satu kaedah yang selamat, kami telah membawa mereka ke Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL) untuk berjumpa dengan doktor yang melakukan kaedah tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Zarith Sofia, kedua-dua keluarga membenarkannya menjalani prosedur tersebut apabila berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan doktor berkenaan.
Kurang tekanan
Ghairah bercerita mengenai pengalaman yang sukar dilupakan itu, katanya, dia sebenarnya dijadualkan bersalin pada 8 April tetapi bayinya lahir pada 21 Mac lalu ekoran air ketuban yang pecah lebih awal.
"Suami membawa saya ke HPKL sekitar pukul 11 malam, namun pada pukul 6 pagi kesakitan makin terasa.
"Sebaik doktor melihat bukaan servik menjadi enam sentimeter (cm), baru saya dimasukkan ke dalam kolam air," jelasnya.

SEBUAH tab khas dengan air bersuhu 37 darjah Celsius dan katil disediakan dalam bilik bersalin bagi kemudahan wanita yang memutuskan untuk melahirkan anaknya di dalam air.


Berbicara lanjut, anak jati Kuala Lumpur itu memberitahu, dia duduk di dalam tab khas yang mengandungi air suam bersuhu 37 darjah Celcius sehingga pukul 11 pagi sambil mendengar lagu.
"Saya tidak meneran cuma mengambil nafas sedalam-dalamnya kerana tidak mahu berada dalam keadaan tegang.
"Berada di dalam air ternyata lebih tenang dan kesakitan yang dialami juga berkurangan," katanya yang selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.8 kilogram sekitar pukul 11.43 pagi.
Menurutnya, dia dibiarkan berada dalam tab tersebut sambil memeluk bayinya yang bernama Kyla Natasha selama 10 minit sebelum dinaikkan ke atas katil yang bersebelahan tab itu untuk menunggu uri anaknya keluar.
Pengalaman berbeza
Bagi ibu kepada empat orang anak, Ar'nie Rozah Krogh, 45, dia menjalani kaedah kelahiran tersebut untuk anak keempatnya, Ariena Ayla Krogh pada pada 13 Julai tahun lalu.
Dia memilih kaedah itu berikutan mengalami pelbagai komplikasi sejak melahirkan anak pertama.
"Tiga anak saya dilahirkan secara normal namun kelahiran mereka berdepan banyak dugaan. Saya terpaksa menahan kesakitan berjam-jam sehingga terpaksa mengambil suntikan ubat penahan sakit, epidural.
Serik dengan keadaan itu, beliau mengambil keputusan untuk menggunakan kaedah bersalin dalam air dan mencari maklumat mengenai kaedah itu di internet.
"Saya berjumpa Pakar Obstetrik dan Ginekologi HPKL, Dr. Choong Kuo Hsiang pada minggu ke-32 kehamilan," jelasnya.
Menceritakan semula pengalaman baharu itu, Ar'nie memberitahu, sebelum bersalin dalam air, dia ditahan di wad selama tiga hari kerana bukaan rahimnya masih belum membolehkannya untuk bersalin.
"Ketika itu, doktor menasihatkan supaya saya menjalani proses bersalin seperti biasa, namun saya tidak melihat ia tidak menjadi penghalang untuk meneruskan niat bersalin dalam air," jelasnya.
Menurut wanita ini, doktor telah memasukkan ubat bagi mempercepatkan bukaan servis dan setelah bukaan mencapai tujuh sentimeter, dia diminta masuk ke dalam tab air yang disediakan.
Berkat kecekalan dan kesabaran, sebaik memasuki ke dalam kolam air berkenaan, kesakitan bersalin semakin berkurangan.
Menurut wanita kelahiran Singapura itu, apabila dia melihat sendiri badannya terapung di dalam air, dia berasa selesa.
"Ia seolah-olah seperti ubat penahan sakit semulajadi apatah saya bebas mencari posisi badan mengikut keselesaan.
HAMPIR 100 orang bayi disambut menggunakan kaedah bersalin dalam air di HPKL sejak tahun 2009. - Gambar hiasan.


"Malah, apabila berlaku kontraksi yang kuat, saya dengan sendirinya menolak bayi keluar. Saya berasa lebih fokus untuk bersalin berbanding berada di atas katil," jelas sambil menegaskan ia merupakan satu pengalaman yang berbeza berbanding kaedah bersalin normal.
Tambah Ar'nie sambil tersenyum, jika dia tahu ada kaedah ini dahulu, kesemua anaknya pasti akan dilahirkan dalam air.
Sementara itu, Kuo Hsiang berkata, hampir 100 orang bayi telah disambut melalui kaedah bersalin dalam air sejak diperkenalkan di HPKL pada 14 Jun 2009.
Menurutnya, idea bersalin dalam air dicetuskan oleh seorang penyelidik dari Rusia, Igor Charkovsky pada tahun 1960-an.
Kaedah bersalin dalam air sebenarnya satu perkara biasa dan popular di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) sejak tahun 1980 lagi namun, ia kurang meluas di Malaysia.
Sehingga kini, beratus-ratus bayi telah dilahirkan dalam air sejak kaedah berkenaan diperkenalkan di dua buah hospital di Malaysia iaitu Hospital Island, Pulau Pinang dan HPKL.
Kuo Hsiang mengakui, pada permulaan, pihaknya tidak menerima sambutan yang menggalakkan memandangkan ia dianggap bertentangan dengan adat dan budaya sesetengah kaum di negara ini.
Bagaimanapun, senario itu semakin berubah sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas kelahiran anak sulung Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Sophea Isabella oleh isterinya, Datin Dr. Harlina Mohd. Yunos, pada 21 Julai 2011.
Bergerak bebas
Menyentuh mengenai prosedur itu lebih lanjut, beliau memberitahu, kaedah itu hanya boleh dijalani oleh ibu yang tidak mempunyai masalah kesihatan sepanjang kehamilan.
Ini untuk memastikan keselamatan kedua-dua ibu dan bayi berkenaan.
Menurut beliau, pesakit akan dimasukkan ke dalam kolam yang suhunya pada suhu badan (37 darjah Celcius) apabila bukaan serviks 5 cm.
Dr. Choong menjelaskan, apungan badan ketika berada di dalam air mengurangkan beban berat badan dan membolehkan wanita bergerak bebas dalam tab dan mencari posisi yang selesa.
"Golongan ibu mengandung boleh memilih kedudukan yang sesuai untuk bersalin misalnya mencangkung atau melutut bagi memudahkan bayi keluar," katanya pada sidang akhbar selepas memperkenalkan proses bersalin dalam air di HPKL baru-baru ini.
Tambah beliau, pihaknya turut membenarkan golongan ibu melakukan aktiviti bagi mengurangkan kesakitan sementara menanti saat kelahiran.

KUO HSIANG (berdiri kanan) memaklumkan apungan badan dalam air membolehkan wanita mencari posisi badan yang selesa untuk bersalin.


"Mereka bebas untuk bergerak di sekitar bilik bersalin malah, golongan suami juga dibenarkan menemani isteri dalam bilik tersebut sehingga tiba waktu untuk bersalin.
"Ruang ini turut dilengkapi dengan alunan muzik dan gambar pemandangan indah bagi mewujudkan suasana tenang dan selesa," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, jika pesakit itu tidak selesa dengan prosedur itu, pihaknya akan membatalkan kaedah tersebut dan bersalin di atas katil yang turut disediakan di bilik berkenaan.
"Namun, setakat ini, semua ibu yang menjalani kaedah itu selamat melahirkan anak dengan sempurna," katanya.
Kuo Hsiang memberitahu kos bersalin menggunakan kaedah tersebut adalah sekitar RM6,000.
Ketika ditanya mengenai tahap kebersihan kolam air itu, beliau berkata, pihaknya menggunakan air steril untuk mengelakkan sebarang jangkitan.
"Malah, kolam tersebut tidak akan dibanjiri dengan darah kerana darah ibu hanya akan keluar selepas uri dikeluarkan doktor apabila berada di luar tab berkenaan," tuturnya.
Bagi mengulas risiko bayi lemas menggunakan kaedah itu, beliau menjelaskan, peratus kes bayi lemas di negara-negara yang menggunakan kaedah itu seperti AS, Itali, Australia, New Zealand dan UK adalah terlalu kecil iaitu di bawah satu peratus.


Projek air ancam penduduk China

Posted: 05 Nov 2013 05:09 PM PST


KERJA-KERJA pembinaan kini giat dilaksanakan oleh pemaju biarpun menerima bantahan penduduk setempat.


CHINA bakal mencipta sejarah tersendiri apabila merancang untuk melencongkan arah air dari bahagian selatan ke utara yang padat dengan penduduk.
Projek mega yang dijangka memakan hampir setengah abad itu menelan belanja berbilion-bilion dollar.
Bagaimanapun ketika ujian awal dilaksanakan tahun ini, penduduk kampung yang menetap di sepanjang laluan itu mendakwa, aliran air mencemar kawasan tasik sehingga menyebabkan banyak ikan mati. Ini sekali gus menjejaskan punca pendapatan mereka.
Pihak berkuasa di wilayah timur Shandong, bagaimanapun menolak dakwaan itu, namun kejadian itu menimbulkan kebimbangan sama ada Rancangan Melencongkan Air dari Selatan ke Utara itu memberi kesan yang lebih buruk pada masa hadapan.
Projek pembinaan kompleks geo kejuruteraan itu telah bermula pada 2002 dan mengambil masa 50 tahun serta melibatkan kos sehingga 500 bilion yuan (RM260 bilion).
Ia meliputi pembinaan saluran termasuk meletupkan gunung-ganang di zon gempa bumi di dataran tinggi Tibet.
Sekiranya berfungsi, ia akan membentuk tiga saluran berasingan yang berpunca dari Sungai Yangtze dan menghasilkan kira-kira 45 bilion meter kubik air setahun. Projek itu meliputi terowong dan terusan sepanjang 4,350 kilometer ke Beijing dan bahagian utara yang lain.
Menurut laporan Bank Dunia, dengan hanya satu perlima daripada jumlah bekalan dalam negara, utara China menyokong hampir separuh daripada populasi penduduk dan ekonomi serta dua pertiga daripada tanah pertanian.
China mempunyai sejarah panjang dalam pelaksanaan projek mega berkaitan air menerusi Terusan Utama yang memanjang dari Shanghai sehingga Beijing.
Projek yang bermula sekitar 2,500 tahun lalu terus berkembang dalam tempoh beberapa dekad ini.
Menurut laman web rasmi projek berkenaan, usaha untuk mengembangkan rangkaian air dari Selatan ke Utara itu merupakan cetusan bekas pengasas republik itu, Mao Zedong.
AIR dari Sungai Yangtze akan disalurkan menerusi terusan dan terowong sepanjang 4,350 kilometer ke utara.


Beliau yang dikenali mempunyai cita-cita besar memulakan idea itu pada 1952: "Bahagian selatan mempunyai bekalan air yang banyak, di utara pula sedikit. Sekiranya air dapat disalurkan ke sana pasti dapat menyelesaikan banyak masalah pada masa hadapan."
Bagaimanapun, ia terdedah kepada pelbagai masalah. Pencemaran akan menyebabkan air sungai tidak boleh digunakan, saluran panjang menerusi kawasan berbukit memerlukan kuasa yang besar untuk mengepamnya dan ia akan menyebabkan penduduk di kawasan yang terlibat terpaksa dipindahkan.
Kesan kehidupan
Jika projek itu berjaya sekalipun, permintaan terhadap bekalan air masih tidak mencukupi berikutan jumlah penduduk di negara yang semakin meningkat saban tahun.
Ancaman pencemaran utama terletak di laluan timur yang dipilih untuk menyalurkan air dari wilayah Jiangsu ke Shandong dan bahagian utara menjelang akhir tahun ini.
Dibina di atas saluran air sedia ada di kawasan pesisir yang rancak membangun di China, ia akan meningkatkan risiko pencemaran sejak awal sehingga akhir pembangunan projek itu.
"Tumpuan utama pada fasa pertama projek ini adalah untuk menguatkan penyeliaan terhadap pencemaran," kata laman web rasmi itu lagi.
Bagaimanapun di Gupang, penduduk mendakwa air yang disalirkan ke Tasik Dongping ketika ujian awal yang dilakukan selama sebulan menyebabkan banyak ikan mati.
Seorang bekas penternak ikan, Pang, 72 berkata: "Tasik ini pada asalnya dipenuhi ikan dan kini ia semakin berkurangan. Banyak ikan yang mati akibat pencemaran."
Kini, kebanyakan penduduk di sekitarnya terpaksa mencari sumber pendapatan lain. Sebahagian jaring yang dipasang nelayan serta bot-bot nelayan terbiar begitu sahaja.
Penduduk mendakwa kehilangan pendapatan tahunan sehingga RM26,000 apabila anak-anak ikan yang dilepaskan mati ketika ujian yang dilakukan pada Jun lalu. Disebabkan tidak mampu menanggung kerugian, ramai anak muda berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan