Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Datuk 92 nikahi gadis 22 tahun
- Shila Amzah Serah Kepada Keluarga Pilih Calon Suami
- Idayu dijumpai selamat di Surabaya
- Maut di hujung pistol Tan Sri
- Indahkan masjid merai Ramadan
- Manusia dan muzik bersatu
- Set makanan Maharaja Patalia dilelong RM9.58 juta
- Tanduk badak sumbu bernilai RM3.19b akan dijual
- Pai terbesar dunia dihasilkan di Florida
- Tarikan hidupan malam di Kemaman
- Menyingkap sejarah Pulau Robben
- Fantasi gunung-gunung terapung
- Alam fantasi Dewan Shah Alam
- Menu ala kampung GTower
Datuk 92 nikahi gadis 22 tahun Posted: 06 Jul 2013 04:35 AM PDT Musali Mohammed al-Mujamaie dan isterinya, Muna Mukhlof al-Juburi berbeza umur 70 tahun. Majlis pernikahan mereka diadakan sekali dengan pernikahan cucunya. Mujamaie yang bekerja sebagai petani menikahi Muna setelah tiga tahun kematian isterinya yang pertama. Bersama isterinya yang pertama, Mujamaie memiliki 16 anak. Akui sangat bahagia dengan pernikahan itu, Mujamaie merasa kembali berusia 20 tahun. "Saya sangat bahagia dapat menikah sekali bersama cucu saya. "Saya merasa seperti kembali berusia 20 tahun," katanya yang sudah merancang untuk menikah bersama-sama dua cucunya yang berusia 16 dan 17 tahun itu. | ||
Shila Amzah Serah Kepada Keluarga Pilih Calon Suami Posted: 06 Jul 2013 04:30 AM PDT Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 23, berkata, dia telah meminta ibunya, Fauziah Sarman untuk memilih mana-mana lelaki pilihan keluarga sekiranya ada yang sesuai untuk dijadikan suami. "Memang saya meminta ibu carikan jodoh jika ada yang sesuai kerana pilihan mereka pastinya adalah yang terbaik. "Bagaimanapun, andai kata saya bertemu dengan lelaki pilihan sendiri, saya akan pastikan dia seorang yang menghormati keluarga dan mampu membimbing saya ke arah kebaikan," katanya. Shila ditemui pada majlis pra dengar album terbaharunya berjudul Shila Amzah, di Red Box, Pavillion, di sini, Jumaat. Ia merupakan album pertama terbitan syarikatnya sendiri iaitu Shila Amzah Entertainment Berhad (SAEB). Tambah Shila bagaimanapun buat masa ini di mahu fokus kepada kerjayanya kerana masih lagi serik untuk menjalinkan hubungan cinta dalam masa terdekat. "Dahulu saya selalu berhati-hati dalam setiap kenyataan yang diberi mahupun kelakuan. Tapi saya dah penat sebab orang tetap kritik saya. "Walaupun memohon maaf atas sesuatu kejadian, saya tetap dilemparkan dengan pandangan buruk dan akhir sekali saya yang sakit hati. "Jadi lebih baik saya bersikap pentingkan diri dan lebih tegas jika ada yang cuba melemparkan tuduhan yang tidak berasas kepada saya," ujarnya. Sementara itu, album terbaharunya memuatkan sebanyak lima buah lagu iaitu Sedar, Masih Aku Cinta, Cinta Hati, Tulus dan Maaf ciptaan sepenuhnya oleh Shila sendiri. Menarik tentang lima lagu tersebut, ia mengisahkan pengalaman cinta yang pernah dilaluinya sebelum ini."Saya juga lebih terbuka dalam meluahkan isi hati saya kepada umum dengan cara menghasilkan lagi. "Saya percaya lagu-lagu ini akan menjadi kenangan dan pengalaman hidup buat saya selama-lamanya dan juga buat orang yang mempunyai kisah yang lebih kurang sama dengan saya," katanya. Selain Fauziah, turut hadir pada majlis pra dengar tersebut ialah ayah Shila iaitu ND Lala dan rakan kongsi syarikat berkenaan Ong Peng Chu. | ||
Idayu dijumpai selamat di Surabaya Posted: 05 Jul 2013 08:04 PM PDT
KUANTAN – Seorang suri rumah, Nur Idayu Abd. Aziz, 34, yang sebelum ini didakwa dilarikan oleh empat buruh warga Indonesia pada 22 Jun lalu ditemui dalam keadaan selamat di Surabaya, Indonesia awal pagi semalam. Suami wanita berkenaan, Mohd. Riduan Abd. Razak, 34, berkata, penemuan tersebut dimaklumkan oleh rakan bapa mertuanya yang tinggal di Jawa Timur. "Rakan bapa mertua saya, Pak Rahman di Jawa Timur menghubungi saya pada pukul 7.30 malam (kelmarin) dan memberitahu sudah menjumpai rumah lelaki yang melarikan Nur Idayu di Dusun Besuk. "Pak Rahman meminta beberapa kawannya menunggu di rumah tersebut sehingga lelaki itu pulang dan menangkapnya pada pukul 9 malam," katanya. Ujar Mohd. Riduan, lelaki tersebut bagaimanapun meninggalkan Nur Idayu di rumah saudaranya di Pasuruan, Surabaya yang terletak kira-kira empat jam perjalanan darat dari rumah Pak Rahman. Tambahnya, Pak Rahman kemudian bergegas ke Pasuruan dan menjumpai Nur Idayu dalam keadaan selamat selain dipercayai tidak dapat mengingati dengan baik berhubung kejadian dia dilarikan. | ||
Posted: 05 Jul 2013 08:03 PM PDT KUALA LUMPUR – Sikap berhati-hati seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang sering membawa pistol untuk tujuan keselamatan ternyata berbaloi apabila dia menembak mati seorang penyamun ketika cuba mempertahankan diri daripada diserang kelmarin. Kejadian pukul 9.50 malam di sebuah poliklinik di Taman Pertama, Cheras di sini itu berlaku apabila suspek bersama tiga lagi rakan bergelar Geng Naga Gan bersenjatakan parang menceroboh premis tersebut sebelum menyamun seorang doktor dan tiga pekerjanya. Ketika kejadian, terdapat tiga pesakit termasuk Tan Sri berusia 56 tahun yang berasal dari Pahang untuk mendapatkan rawatan di poliklinik tersebut. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, selepas menyamun doktor dan tiga pekerjanya, kesemua suspek telah mengacukan parang ke arah ketiga-tiga pesakit berkenaan. Katanya, Tan Sri tersebut kemudian telah mengeluarkan sepucuk pistol jenis Glock sebelum mengacah-acah mahu menembak keempat-empat suspek. "Salah seorang suspek yang berang dengan tindakan ahli perniagaan tersebut kemudian cuba merampas pistol itu sebelum mangsa terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah penyamun berkenaan. "Tersentak dengan tindakan itu, kesemua suspek terus melarikan diri sebelum salah seorangnya rebah kira-kira 30 meter dari klinik berkenaan," katanya ketika ditemui semalam. | ||
Posted: 05 Jul 2013 07:59 PM PDT
SEORANG wanita khusyuk membersihkan habuk-habuk tebal yang terperangkap di dalam lubang-lubang dinding masjid. Sesekali kelihatan wanita yang lengkap dengan kemeja-T, seluar jean dan tudung berwarna merah jambu itu bersin, namun ia tidak menghalangnya daripada meneruskan kerja-kerja pembersihan berkenaan. Nyata, kerja-kerja itu bukan mudah kerana terpaksa bergelumang dengan habuk tebal selain memerlukan kesabaran yang tinggi. Begitupun, Wan Salma Wan Nawang, 43, yang buat pertama kali menyertai program gotong-royong yang diadakan di Masjid Al-Syakirin, Batu 6, Gombak, Selangor baru-baru ini kelihatan begitu bersemangat. Akui anak jati Kota Bharu, Kelantan itu, dia sentiasa mengunjungi masjid berkenaan sejak 10 tahun yang lalu, tetapi tidak pernah membabitkan diri dalam aktiviti gotong-royong. "Saya sibuk dengan kerja jadi, tiada masa untuk menyertai program seperti ini. Apabila ada peluang, saya tidak menyia-nyiakannya," pintas Wan Salma yang bekerja sendiri. Bertutur lanjut mengenai pengalamannya, wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu memberitahu, masjid tersebut menjadi lokasi pilihan bagi dirinya menunaikan solat Maghrib dan Isyak pada setiap hari kecuali jika mempunyai hal penting. Dalam pada itu, dia juga menjadikan masjid untuk menuntut ilmu agama kerana terdapat banyak ceramah agama diadakan di situ. Menyentuh mengenai gotong-royong, dia mengetahuinya selepas imam masjid tersebut membuat pengumuman mengenai aktiviti itu. "Sepatutnya, saya mahu mengunjungi ibu yang menetap di Jeram, Kuala Selangor pada hari ini tetapi menangguhkan niat berkenaan untuk sementara waktu," ujarnya. Bagaimanapun, ujar Wan Salma yang datang seorang diri, dia melakukan kerja pembersihan di kawasan dalam masjid. "Orang ramai bebas melakukan kerja-kerja pembersihan, jadi saya memilih untuk mengelap lubang-lubang dinding ini. "Saya puas hati kerana akhirnya dapat berbakti, lagipun, menjaga rumah ibadat merupakan fardu kifayah," jelasnya lagi. Pendapat Wan Salma disokong seorang kakitangan swasta, Hasniah Abdullah, 47. Ibu kepada lapan orang anak itu menjadikan masjid sebagai rumah kedua. Akui wanita tinggi lampai itu, kadangkala dia membawa anak-anaknya ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah. "Alhamdulillah mereka boleh menerima dan mengikutinya tanpa banyak soal," kongsinya. Tambah Hasniah, jika orang lain membawa anak-anak mereka keluar bersiar-siar, namun lain pula caranya kerana dia lebih gemar membawa anak-anaknya ke masjid. Tindakan itu diyakini dapat memupuk minat mereka untuk mendekati masjid sejak kecil lagi. "Hari ini, mereka turut serta membersihkan kawasan masjid. Walaupun tidak seberapa bantuan mereka namun, ia sudah memadai untuk mendidik mereka," jelasnya lagi. Aktiviti setiap tahun Sementara itu, bilal masjid tersebut, Zaily Johari Abu Hassan, 53, berkata, gotong-royong itu disertai ahli kariah dan jemaah masjid serta penduduk sekitar. Skop kerja-kerja pembersihan meliputi kawasan luar masjid, dapur, longkang, tandas, tempat wuduk dan bahagian atas masjid. "Kawasan ini perlu dibersihkan memandangkan ia digunakan sepanjang bulan Ramadan. Malah, pada bulan itu, jemaah masjid juga semakin bertambah berbanding hari-hari biasa," tuturnya. Berbicara lanjut mengenai gotong-royong, orang ramai bebas melakukan apa sahaja kerana tiada sebarang pembahagian tugas dibuat. Tambah Zaily Johari, pihaknya menukarkan lampu-lampu yang telah rosak atau semakin malap, menggantikan peralatan memasak yang rosak dan memastikan pinggan mangkuk berada dalam keadaan baik. "Jika ada yang rosak, kami akan menukarkannya kepada barangan baharu," jelasnya lagi. Kerja-kerja penggantian barangan adalah perlu memandangkan pihaknya menyediakan hidangan berbuka puasa, moreh dan hidangan sahur untuk jemaah masjid pada 10 malam terakhir Ramadan. Pada masa yang sama, pihaknya juga memasak secara gotong-royong sepanjang bulan Ramadan.
Sempena Ramadan Di samping itu, beliau mengakui masjid tersebut terdedah kepada habuk memandangkan lokasinya yang terletak berhampiran jalan besar. Justeru, pihaknya menyediakan peralatan pembersihan seperti berus, baldi, penyapu, sabun, plastik dan tong sampah untuk memudahkan orang ramai menjalankan kerja-kerja gotong-royong. "Kerja-kerja amal bukan hanya melibatkan gotong-royong membersihkan masjid, tetapi perlu mencakupi skop lebih luas termasuk mengimarahkan masjid dan meningkatkan fungsi rumah ibadat itu sebagai pusat komuniti," ungkapnya lagi. Dalam pada itu, Nazir Masjid Al-Syakirin, Saupi Man pula berkata, pihaknya menjalankan aktiviti gotong-royong setiap tahun sempena kedatangan bulan Ramadan. Bagaimanapun, setiap dua atau tiga bulan kariah masjid sememangnya menjalankan aktiviti yang sama supaya kawasan persekitaran sentiasa bersih. Namun demikian, gotong-royong sempena bulan Ramadan dipertingkatkan untuk memastikan persekitaran masjid bersih dan bebas daripada bau yang kurang menyenangkan. Selain itu, ia juga memberi keselesaan kepada jemaah menunaikan ibadah dan menimba ilmu di masjid. "Lagipun, pada bulan Ramadan, rata-rata penduduk Islam di sekitar kawasan Gombak akan melakukan solat sunat tarawih, berbuka puasa dan menyertai aktiviti qiamulail di situ," katanya. | ||
Posted: 05 Jul 2013 07:58 PM PDT RIBUAN ahli muzik berkumpul di sekitar jalan raya dan memenuhi pentas-pentas persembahan di seluruh Perancis pada hujung bulan lalu. Mereka hadir dengan satu tujuan iaitu bagi meraikan Fete de la Musique, festival ritma dan muzik yang diadakan setiap tahun di negara itu. Tidak sekadar rakyat biasa, pejabat Istana Presiden di Elysee juga terlibat dalam festival itu apabila membuka halamannya untuk kali kedua bagi persembahan muzik jazz, gipsi dan Caribbean. Dimulakan pada tahun 1982, Fete de la Musique telah tersebar di lebih 100 negara. Ia sering diadakan pada penghujung musim panas. Terdapat lebih 850 konsert yang dirancang di beberapa bandar raya utama di seluruh dunia seperti New York di Amerika Syarikat (AS), Hanoi di Vietnam dan Beijing di China. Pada tahun ini di Perancis, festival dimeriahkan dengan sambutan ulang tahun ke-50 muzik-muzik popular negara itu. Ia turut dihadiri artis-artis profesional dan amatur yang membuat persembahan percuma di jalanan, panggung teater, sekolah-sekolah dan gereja. Antara bintang popular yang memeriahkan festival itu termasuklah penyanyi Seal dari AS dan bintang pop United Kingdom, Chris Isaak yang mengadakan persembahan di Paris's Bois de Boulogne. Sementara itu, bagi peminat muzik klasik dan orkestra pula, bolehlah berkunjung ke Muzium Louvre yang menjanjikan persembahan tidak kurang hebatnya. Bagi memastikan tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini, terdapat lebih 2,600 anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan konsert dan peserta yang berlangsung sehingga tengah malam. | ||
Set makanan Maharaja Patalia dilelong RM9.58 juta Posted: 05 Jul 2013 07:57 PM PDT
LONDON - Satu set perkakasan makanan yang dikurniakan oleh bekas Maharaja Patalia telah dilelong oleh sebuah firma lelongan pada harga AS$3 juta (RM9.58 juta) di sini kelmarin. Menurut firma lelongan Christie di London, kira-kira 1,400 keping set perkakasan makanan itu telah dibeli oleh seorang pengumpul yang tidak dikenali. Set perkakasan seberat hampir 500 kilogram itu telah ditempah dari London sebagai penghargaan atas lawatan selama tiga hari keluarga diraja yang berakhir dengan jamuan yang indah pada 24 Februari 1922. Setiap keping set makanan yang indah itu mempunyai sepuhan perak yang mempunyai hiasan rumit. Ia dikurniakan oleh Maharaja Bhupinder Singh pada tahun 1922 untuk lawatan ke Patiala oleh Putera Wales yang merupakan King Edward VIII. Christie dalam kenyataannya berkata, setiap keping set perkakas itu datang dengan corak skrol dan sempadan daun di atas barisan watak serta corak haiwan. Setiap set itu dipisahkan oleh pisau. "Terdapat pelbagai jenis ukiran yang diukir dalam bentuk senjata, mahkota dan pelbagai huruf. "Ia dijual sebagai sebahagian daripada Jualan Luar Biasa Rumah Lelong," kata firma lelongan Christie kepada BBC. | ||
Tanduk badak sumbu bernilai RM3.19b akan dijual Posted: 05 Jul 2013 07:55 PM PDT JOHANNESBURG - Afrika Selatan bercadang mahu menjual sejumlah tanduk badak sumbu bernilai AS$1 bilion (RM3.19 bilion) yang dirampas untuk membiayai usaha konservasi dan menangani kebanjiran tanduk badak sumbu di pasaran gelap, lapor MSN News kelmarin. Justeru, Afrika Selatan sedang berusaha memohon kebenaran untuk melakukan cadangan tersebut agar ia dapat dilaksanakan. Bagaimanapun, kumpulan konservasi alam sekitar berasa bimbang bahawa tindakan tersebut akan mencetuskan peningkatan permintaan yang mendadak dalam pasaran gelap di beberapa pasaran utama seperti Vietnam. Peningkatan pasaran terjadi kerana tanduk tersebut sangat dikehendaki untuk kegunaan dalam perubatan tradisional. Menteri Alam Sekitar Afrika Selatan, Edna Molewa menyatakan bahawa Afrika Selatan akan mendapatkan kebenaran untuk melakukan jualan tersebut pada mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES), 2016. "Afrika Selatan tidak boleh terus dijadikan mangsa terbusan oleh beberapa sindiket yang tidak bertanggungjawab menyembelih badak sumbu kami," katanya. Afrika Selatan merupakan rumah kepada lebih daripada 20,000 badak sumbu. Namun jumlah tersebut dijangka berkurangan sebanyak 800 ekor pada tahun ini kerana aktiviti pemburuan haram. Sebanyak 73 peratus jumlah badak sumbu dunia ada di Afrika Selatan. | ||
Pai terbesar dunia dihasilkan di Florida Posted: 05 Jul 2013 07:54 PM PDT KEY WEST, Florida - Satu acara sambutan festival citarasa makanan berperisa limau di sini telah dimulakan dengan percubaan pihak penganjur untuk menghasilkan sebiji pai perisa limau terbesar di dunia, lapor sebuah akhbar semalam. Pai yang dimasak semasa pelancaran acara Festival Key Lime itu berukuran lebih dari 2.4 meter lebar dan seberat 453.6 kilogram. Pai itu dikatakan telah dimasak oleh tiga orang chef. Senarai ramuan untuk memasak juadah gergasi itu membabitkan jus daripada 5,760 biji limau purut, 250 liter susu pekat manis dan 90.7 kilogram biskut lemak. Penghasilan pai gergasi itu akan didaftarkan dalam Guinness Book of World Records sebagai pai berperisa limau terbesar dunia. Hasil kajian yang dilakukan mendapati kuih tart dan pai berperisa limau purut berasal daripada Key West sekitar tahun 1800. Justeru, dewan perundangan negeri tersebut telah mencipta pai berperisa limau sebagai pai rasmi Florida pada 2006. Festival itu berlanjutan sehingga hari Sabtu (hari ini) dengan pertandingan memakan pai dan pertandingan ratu cantik 'Miss Key Lime'. | ||
Tarikan hidupan malam di Kemaman Posted: 05 Jul 2013 05:59 PM PDT
MENTARI perlahan-lahan membenamkan diri di ufuk barat tanda senja sudah bermula. Langit biru laut berubah warna kepada jingga. Begitu indah pandangan saat itu, semuanya atas kebesaran Maha Esa. Sayup-sayup azan Maghrib berkumandang memanggil jemaah untuk pulang ke rumah atau menuju ke masjid berhampiran. Ketika ini juga, seorang demi seorang nelayan kembali ke daratan selepas hampir seharian menebar jala mencari hasil laut. Di jeti kecil Sungai Yak Yah yang terletak kira-kira 30 minit dari bandar Chukai, Kemaman, Terengganu, senja merupakan antara waktu tersibuk di kawasan itu. Nelayan yang pulang daripada menangguk udang disambut penduduk setempat yang mahu membeli terus hasil tangkapan tersebut. Urus niaga antara pembeli dan penjual berlaku dengan pantas. Dialek Terengganu menjadi perantara utama dalam sesi jual beli. Jadi harga yang diberikan juga sesuai untuk taraf penduduk asli negeri Darul Iman itu. Kawasan jeti kemudiannya dibanjiri kenderaan dengan nombor plat dari negeri-negeri lain. Tidak ketinggalan van dari hotel dan resort berhampiran berisi penumpang yang kebanyakannya pelancong asing. Kumpulan orang luar itu kemudiannya bertemu seorang lelaki tempatan yang baru selesai membersihkan bot miliknya. Pada bot tersebut tertera perkataan bahasa Inggeris fireflies watching bersama nombor telefon lelaki tersebut. Usai enjin bot dihidupkan, lelaki berusia 47 tahun itu menyerahkan jaket keselamatan kepada kumpulan tadi sebelum mereka melangkah naik ke dalam bot. Selepas berpuas hati dengan kedudukan penumpang, Che Ghani Che Mohd. Nor pun memandu botnya menyusuri Sungai Yak Yah. Harapan yang dibawa kumpulan pelancong itu untuk menyaksikan keindahan cahaya kelip-kelip kian kuat dirasakan. Saat bot Che Ghani menghampiri dahan pohon yang hampir mencecah permukaan air, kerlipan malap beberapa ekor kelip-kelip mula kelihatan. "Malam ini bulan terang, jadi kelip-kelip tidak banyak yang keluar. Cahaya merupakan gangguan kepada mereka termasuklah asap," jelas Che Ghani yang menggerakkan botnya menggunakan enjin bateri bagi mengelakkan pembentukan asap dan bunyi bising. Daripada puluhan jenis pokok yang memagari tebing sungai itu, Che Ghani memberitahu, pokok putat, bebaru dan berembang menjadi tiga pohon kegemaran kelip-kelip. Pada siang hari, serangga daripada keluarga kumbang itu akan berlindung di bawah daun-daun kering. Mengawan Perjalanan merentasi sungai yang terletak di Kampung Ibok itu memakan masa selama 45 minit sehingga satu jam. Sepanjang tempoh itu, para penumpang dibawa menyusuri kawasan sungai yang gelap-gelita. Timbul sedikit kerisauan apabila masing-masing tidak dapat melihat keadaan keliling dengan jelas. Namun perasaan itu lenyap selepas terlihat panorama indah yang bergemerlapan di hadapan. Jutaan kawanan kelip-kelip memenuhi hampir setiap ceruk pohon. Ia ibarat berpesta dan berkelip mengikut formasi yang unik. Ujar Che Ghani: "Nak tahu jantina kelip-kelip, tengok keterangan cahayanya. Kerlipan jantan lebih terang berbanding betina tetapi cahaya yang paling terang itu datangnya daripada dua kelip-kelip yang sedang mengawan. "Selepas proses mengawan, kelip-kelip jantan akan mati manakala sang betina mati selepas bertelur. Sebelum berubah menjadi kelip-kelip dewasa, ia perlu melalui tiga kitaran bermula daripada telur, larva dan pulpa. Proses ini memakan masa selama tiga bulan tetapi selepas menjadi dewasa, ia hanya boleh hidup selama 10 hari." Pengalaman Che Ghani selama 12 tahun membawa pelancong menikmati keindahan kelip-kelip di Sungai Yak Yah banyak memberi ilmu kepadanya. Bapa kepada lima cahaya mata itu mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik dan menerangkan spesifikasi kelip-kelip di kawasan itu secara saintifik dengan cemerlang. Suhaili Shamsudin, 39, antara pelancong tempatan yang pertama kali merasai pengalaman menyaksikan kelip-kelip di kawasan itu. Wanita dari Klang, Selangor itu mengetahui lokasi pelancongan itu daripada internet dan tidak menyangka wujud tempat menarik sebegitu di Kemaman. "Selalunya kalau bercakap pasal kelip-kelip orang akan terfikir tentang Kuala Selangor. Tidak saya jangka Terengganu memiliki pusat pembiakan kelip-kelip yang menakjubkan dan wajar dilawati lebih ramai orang," tambah Suhaili yang ditemani suami dan empat anaknya. Penyu bertelur Tamat sesi bersama kelip-kelip, Che Ghani membawa kumpulan pelancong itu menuju ke Pantai Teluk Mak Nik yang juga terletak di dalam daerah Kemaman. Selepas mendapat maklumat daripada renjer pantai itu, Che Ghani terlebih dahulu memberi taklimat ringkas tentang lawatan penyu bertelur. Setiap pelancong diingatkan supaya tidak membuat pergerakan yang banyak ketika berada di sepanjang pesisir pantai. Kata Ghani: "Penyu sangat sensitif terhadap pergerakan. Sebab itu sebelum ia naik ke darat untuk bertelur, ia akan meninjau dahulu kawasan yang ingin dinaiki. Walaupun telah separuh perjalanan di atas pasir pantai, penyu tidak teragak-agak untuk berpatah balik ke dalam air jika terlihat pergerakan yang mencurigakan. "Cahaya lampu suluh juga telah ditetapkan ketika melihat penyu bertelur. Paling penting adalah untuk tidak berdiri di depan muka penyu ketika bertelur. Ia akan mengganggu kelancaran bertelur, malah boleh membuatkan penyu 'merajuk' dan tidak mahu kembali ke pantai yang sama." Nasib kumpulan pelancong pada malam itu sangat baik. Menjelang tengah malam, dilaporkan terdapat kira-kira lapan ekor penyu agar naik mendarat untuk bertelur. Che Ghani memilih seekor penyu betina yang sedang bertelur di bawah sebatang pokok. Dalam kekaguman menyaksikan momen indah itu, tumpuan pasti terarah kepada mata ibu penyu yang seakan-akan mengalirkan air mata. Seorang kanak-kanak lingkungan umur 10 tahun yang turut sama dalam kumpulan itu mengadu kepada bapanya: "Ayah, kesian penyu itu sakit sampai menangis." Begitu murni pemahaman seorang anak kecil terhadap pengorbanan ibu yang melahirkan anak. Biarpun ia haiwan, masih terbit bibit kasihan terhadap penyu tersebut dalam diri kanak-kanak itu. Namun, renjer itu memberitahu, air mata ibu penyu itu bertujuan melindungi matanya daripada dimasuki pasir. Selepas bertelur, ibu penyu itu perlu mengambus pasir mengikut arah lawan jam. Ia menggunakan kedua-dua belah kaki hadapannya bagi menguis pasir yang telah dikorek sebelum bertelur. Keseluruhan proses bertelur boleh memakan masa mencecah tiga jam. Mungkin ada yang menyifatkan aktiviti tersebut seperti melanggar hak kebebasan spesies yang sedang diancam kepupusan itu. Bagaimanapun, ia masih menjadi antara tarikan pelancongan utama di Terengganu. Melihat penyu bertelur memberikan satu pendidikan bermanfaat kepada pengunjung. Ia menjadi pengalaman berilmu yang tidak dapat diperoleh di sekolah mahupun menerusi buku atau internet. "Kami sangat tegas ketika membawa pelancong melihat penyu bertelur. Dalam satu kumpulan, kira-kira 20 orang sahaja dibenarkan melihat seekor penyu yang sedang bertelur. "Pelancong juga tidak dibenarkan mengambil gambar penyu menggunakan kamera dengan flash. Cahaya itu boleh menjejaskan mood penyu dan membuatkan mereka berasa terancam. Orang ramai juga tidak dibenarkan sama sekali naik di atas badan penyu atau menghalang laluannya ketika ia kembali ke air," panjang lebar penerangan Che Ghani. Tambah Che Ghani, telur-telur penyu yang dipungut oleh renjer pantai perlu dihitung dan dimasukkan ke dalam plastik sebelum dihantar ke pusat santuari penyu berdekatan. | ||
Menyingkap sejarah Pulau Robben Posted: 05 Jul 2013 05:58 PM PDT SEWAKTU melawat Cape Town di Afrika Selatan, penulis berkesempatan melawat Pulau Robben yang merupakan salah satu daripada enam destinasi percutian yang mesti dilawati di bandar tersebut. Perkataan Robben berasal daripada bahasa Belanda yang membawa maksud singa laut. Menurut sejarah, pada masa dahulu pulau tersebut ialah tempat memburu singa laut, penguin dan kura-kura untuk dijadikan makanan. Di sana, penulis membeli tiket feri berharga ZAR220 (RM100) di Nelson Mandela Gateway yang terletak berhampiran menara jam di Victoria and Alfred Waterfront. Feri tersebut diberi nama Sikhululekile yang bermaksud kami merdeka dalam bahasa Xhosa iaitu bahasa utama Afrika Selatan. Tiket berkenaan merangkumi perjalanan pergi dan balik ke Pulau Robben, lawatan ke Penjara Kawalan Maksimum, sesi soal jawab bersama bekas tahanan politik dan lawatan bas selama 45 minit mengelilingi pulau yang bentuk muka buminya rata. Perjalanan menaiki Sikhululekile dari Nelson Mandela Gateway ke Jeti Teluk Murray, Pulau Robben mengambil masa selama setengah jam. Sewaktu di atas feri, kami sempat mengabadikan gambar kenangan pemandangan Cape Town dari Selat Meja. Penulis teruja menyaksikan pemandangan indah Gunung Meja yang menjadi kebanggaan penduduk Cape Town. Kawasan penjara Bahkan, ketika berlabuh di Pulau Robben, penulis turut terpesona dengan kehadiran sekumpulan burung bangau dan camar yang hinggap di batu-batu laut. Ia seakan-akan memerhati dan mengalu-alukan kedatangan penulis untuk meneroka sejarah pulau tersebut. Sesampainya di sana, penulis tertarik dengan bait-bait kata yang terpampang di dada bas iaitu 'Perjalanan tidak terasa jauh bila kemerdekaan ialah destinasinya'. Maksud ayat tersebut sangat mendalam kerana ia menggambarkan sejarah ahli politik yang ditahan di pulau tersebut demi membebaskan negara daripada cengkaman penjajah asing. Penulis cukup bertuah kerana ketika berkunjung ke kawasan penjara, penulis berkenalan dengan seorang mantan tahanan politik yang juga pemandu pelancong kami iaitu Itumeleng Makwela. Menurut Itumeleng, pada mulanya dia sukar membuat keputusan untuk kembali ke pulau yang menyimpan pelbagai kenangan silam itu. Namun, berbekalkan semangat kental untuk berkongsi cerita sebenar di sebalik kisah-kisah yang dilalui di penjara, dia mencekalkan hati dan menganggap apa yang dilakukan kini adalah satu terapi untuk mengurangkan kesedihan dan keperitan yang menghantui dirinya. Pulau Robben yang terletak kira-kira 11 kilometer dari pesisir pantai Cape Town ialah bekas tapak sebuah penjara dengan keluasan 507 hektar. Pulau berkenaan juga merupakan pusat latihan dan pertahanan askar pada Perang Dunia Kedua. Selain itu, terdapat hospital untuk pesakit kusta, pesakit jiwa dan pesakit kronik di pulau tersebut. Lebih menarik, penjara tersebut melakar sejarah besar dunia apabila dihuni oleh pemenang Anugerah Nobel Keamanan 1993 merangkap pejuang antiaparteid dan mantan Presiden Afrika Selatan iaitu Nelson Mandela. Beliau ditahan selama 18 tahun di Penjara Kawalan Maksimum sebelum dipindahkan ke Penjara Pollsmoor dan Penjara Victor Verster. Kuari batu kapur Antara tahanan politik lain yang dipenjarakan di pulau tersebut ialah Robert Sobukwe, Kgalema Motlanthe dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma. Semasa melawat kawasan penjara, penulis berjaya menjejakkan kaki ke dalam sel penjara awam yang boleh memuatkan seramai 50 hingga 60 tahanan pada satu-satu masa. Beberapa katil yang pernah digunakan banduan dikekalkan untuk tujuan pameran. Kemudian penulis dibawa melawat ke kawasan Penjara Kawalan Maksimum, tempat Mandela pernah ditahan. Sel yang didiaminya sangat kecil dan cuma ada alas kain untuk tidur, dua bantal kecil, sehelai selimut, sebuah meja kecil dan sebuah tong kosong yang digunakan sebagai tandas. Selepas meninggalkan kawasan penjara, perjalanan diteruskan dengan lawatan menaiki bas mengelilingi kawasan pulau. Penulis dan pelancong lain dibawa melalui kawasan kuari batu kapur, rumah api, kawasan perkuburan pesakit kusta, Pantai Long Bay, sekolah dan Kramat Moturu. Kawasan kuari tersebut ialah tempat tahanan kawalan maksimum seperti Mandela bekerja selama 13 tahun. Batu-batu kapur itu dipecahkan secara manual kepada ketulan kecil untuk dibuat batu jalan raya, bangunan penjara dan Istana Good Hope di Cape Town. Walaupun jauh dari kawasan tumpuan penduduk, kemudahan sekolah untuk kanak-kanak setempat turut disediakan. Sekolah tersebut mempunyai empat guru tetap yang mengajar anak-anak pekerja muzium yang berumur antara enam hingga 11 tahun. Kunjungan ke Pulau Robben meninggalkan kesan yang mendalam kepada penulis kerana berpeluang mengetahui secebis kisah berharga tentang sejarah tokoh pemimpin dunia dan perjuangannya mendapatkan kemerdekaan. Pulau Robben sudah pasti akan kekal sebagai simbol perjuangan menentang penjajahan dan dasar aparteid yang boleh dijadikan peringatan serta pengajaran kepada generasi akan datang. Ia bukan sekadar pedoman untuk rakyat Afrika Selatan malah masyarakat dunia. | ||
Fantasi gunung-gunung terapung Posted: 05 Jul 2013 05:57 PM PDT JIKA anda penggemar filem fantasi sains fiksyen Avatar (2009), anda pasti boleh membayangkan pemandangan menakjubkan gunung-gunung terapung di Planet Pandora. Kecanggihan teknologi imej janaan komputer (CGI) yang digarap oleh pengarah berpengaruh Hollywood, James Cameron berjaya menjadikan filem tersebut kelihatan seperti sebuah dunia nyata. Gambaran tersebut sebenarnya sebuah fantasi yang direka oleh Cameron setelah mendapat inspirasi daripada pergunungan batu berbentuk tiang gergasi di wilayah Hunan, China. Ia persis seperti yang anda lihat dalam filem berkenaan. Gunung yang terletak di Taman Negara Zhangjiajie terbentuk selepas mengalami hakisan selama beribu-ribu tahun. Cuaca di kawasan tersebut lembap sepanjang tahun menyebabkan kehidupan flora tumbuh padat di atas permukaan gunung itu. Taman negara tersebut terletak kira-kira 32 kilometer (km) dari kawasan bandar Zhangjiajie dan 28km dari kawasan indah Wulingyuan. Ia digambarkan seperti sebuah destinasi pelancongan yang berdiri megah, mendamaikan dan aneh. Keseluruhan hakisan yang membentuk tiang batu tersebut adalah hasil daripada pengembangan ais pada musim sejuk dan tumbuh-tumbuhan yang hidup di atasnya. Ia dianggap proses pembentukan landskap China yang berbeza dan sering dijadikan subjek lukisan Cina purba. Pada tahun 1982, taman negara yang seluas 4,816 hektar tersebut mendapat pengiktirafan sebagai taman negara hutan yang pertama di China. Sedekad berikutnya, destinasi pelancongan tersebut disenaraikan dalam Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Ia kemudiannya diluluskan oleh Kementerian Tanah dan Sumber kerajaan China sebagai Puncak Hutan Batu Pasir Geopark Negara (Zhangjiajie) pada 2001. Malangnya, tidak banyak lokasi sehenti disediakan untuk pengunjung menikmati pemandangan keseluruhan taman negara tersebut. Pada 25 Januari 2010, gunung tersebut secara rasminya dinamakan Hallelujah sebagai penghormatan terhadap kejayaan filem Avatar. | ||
Posted: 05 Jul 2013 05:56 PM PDT
MELANGKAH masuk ke Dewan Shah Alam yang terletak di Jalan Iktisas 14/6, Shah Alam, hati pasti terpaut dengan suasana dan susun atur restoran itu yang berbeza daripada tempat berbuka biasa. Jika kebanyakan restoran membuat dekorasi ala kampung, Juraidah Amoni pula menghias restorannya seperti sebuah taman fantasi yang unik. Bunga-bunga rona ceria dihias indah di samping penataan rona lembut memberi pemandangan menakjubkan untuk dipotretkan sebagai foto kenangan bersama keluarga. Juraidah berkata, ketika berkunjung ke restoran atau hotel pada bulan Ramadan, dia sering melihat dekorasi yang hampir sama iaitu ala kampung. "Saya ingin membuat kelainan dan dekorasi ala fantasi dipilih kerana saya jarang melihat restoran direka seperti taman dengan penggunaan bunga dan lampu yang menarik," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Pada masa sama, Dewan Shah Alam memberi pilihan menu berbuka yang jarang dihidangkan di restoran atau hotel lain. "Dalam mencari kelainan, kami memilih untuk menghidangkan tetamu dengan makanan laut yang segar. Terdapat beberapa pakej yang boleh dipilih oleh pengunjung berdasarkan jenis hidangan. Mereka juga boleh menentukan cara masakan mengikut selera masing-masing," kata Juraidah yang turut menyediakan perkhidmatan katering. Selain itu, pengunjung masih boleh memilih untuk hidangan bufet ala kampung apabila ruang atas yang dinamakan Mahligai Cinta, menyediakan lebih daripada 10 jenis menu utama selain beberapa juadah pemanis mulut. "Menariknya, pengunjung juga akan dihiburkan oleh kumpulan nasyid popular, Rabbani, yang membuat persembahan hampir setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini. "Para pelanggan juga boleh menunaikan sembahyang tarawih bersama-sama Kumpulan Rabbani di restoran ini," tambah Junaidah. Junaidah turut memberi potongan sebanyak 30 peratus pada tiga hari pertama Ramadan sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggannya. | ||
Posted: 05 Jul 2013 05:55 PM PDT
KEENAKAN nasi hujan panas berlaukkan ayam goreng lengkuas pasti memberi kepuasan apabila dinikmati ketika berbuka puasa. Sekiranya ada yang ingin menikmati hidangan tersebut, jangan gusar kerana Hotel GTower di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur menyediakan juadah itu sebagai menu utamanya. "Kami menumpukan masakan Melayu asli kerana ia merupakan hidangan yang pasti dicari oleh pengunjung. Menariknya, setiap hidangan dimasak secara tradisional oleh chef berpengalaman," ujar Penolong Pengurus Komunikasi Pemasarannya, Imelda Shubari kepada Kosmo!. Pemilihan juadah berbuka dibuat berdasarkan pengamatan kegemaran ramai oleh chef selebriti, Chef Johnny Fua yang mengetuai kumpulan masakan untuk berbuka. Pengunjung pasti mendapat kepuasan melalui deretan makanan berteraskan hidangan kegemaran orang Malaysia seperti kerabu perut, kerabu jantung pisang, pasembor dan sambal belacan. Bukan itu sahaja, variasi pencuci mulut juga bakal membuatkan pengunjung terkenang suasana damai di kampung. Setiap hidangan disusun mengikut kategori bagi memudahkan pengunjung mencari makanan pilihan mereka. Terdapat juga menu kambing bakar yang disertakan bersama nasi arab bagi melengkapkan selera. Sambil menjamu hidangan, mata akan bertumpu pada persekitaran dan dekorasi Dewan Rajang, Hotel GTower yang berkonsepkan ciri-ciri mesra alam. Mata juga terpukau dengan perabot-perabot unik dan replika cili gergasi yang diletakkan di tengah-tengah hotel itu. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |