Jumaat, 13 Disember 2013

Dirogol teman baru dalam kereta


Alor Gajah: Tindakan seorang wanita mengikut teman lelaki yang baru dikenalinya beberapa bulan lalu bersiar-siar di bandar ini membawa padah apabila dia dirogol lelaki itu di dalam kereta di hadapan rumah lelaki berkenaan di sebuah taman perumahan, di sini, awal November lalu.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11 malam, 6 November lalu, wanita berusia 28 tahun berkenaan dijemput teman lelakinya berumur 22 tahun dengan menaiki sebuah kereta selepas tamat waktu kerja di bandar ini dan dibawa bersiar-siar sebelum berhenti makan malam di sebuah kedai.

Menurut sumber, apabila selesai makan, lelaki itu yang mendakwa mengantuk kemudian membawa mangsa pulang ke rumahnya di sebuah taman perumahan di daerah ini.

“Sebaik tiba di rumah itu, lelaki berkenaan meminta mangsa menunggu di dalam kereta kerana kononnya mahu menyalin pakaian sebelum beberapa minit kemudian, dia muncul kembali dan meminta mangsa berpindah ke sebuah lagi kereta miliknya yang berada berhampiran.

“Selepas mangsa duduk di tempat duduk penumpang hadapan kereta itu, lelaki berkenaan tiba-tiba masuk dan menutup pintu sebelum menindih mangsa sambil meraba badannya,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang terkejut cuba melawan dan menolak ajakan lelaki berkenaan melakukan hubungan seks di dalam kereta terbabit.

“Berang ajakannya ditolak, lelaki itu merentap pakaian mangsa sebelum merogolnya.

“Selepas merogolnya, lelaki berkenaan menghantar mangsa pulang ke rumahnya di sekitar daerah ini,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang trauma membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah pada jam 4.30 petang, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Saharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes dirujuk ke Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.

Berita dari HM


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines