Ahad, 8 Disember 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Kenapa Leina Hangat Tidak Buang Gambar Seksi Di Facebook?

Posted: 06 Dec 2013 11:22 PM PST


Leina mengakui semakin bahagia dengan kehidupannya kini.
PETALING JAYA: Tindakan penyanyi Leina Hangat tidak memadam gambar-gambar seksi di laman Facebook miliknya kerana ingin memberi pengajaran kepada para orang ramai.
Leina atau nama sebenarnya Norazlina Abdul Rahman, 40, berkata, dia bukan ingin bermegah-megah dengan kehidupan lampau tetapi mahu masyarakat membuat perbandingan mengenai imej lama dah baharunya untuk dijadikan panduan agar mereka tidak mengikut jejaknya itu.
"Menerusi gambar-gambar semasa zaman jahiliah dan terkini (ketika bertudung), mereka boleh membuat perbandingan dan seterusnya mengambil pengajaran supaya tidak meniru kehidupan lampau saya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Leina mula menukar imej daripada seorang artis seksi kepada imej bertudung pada Ogos lalu selepas menghadiri kursus keagamaan yang membuatkan hatinya terdetik untuk berubah dan menjalankan tanggungjawab kepada agama.
Dalam perkembangan sama, Leina berkata, dia tidak mahu dilihat sebagai seorang yang sudah sempurna dari semua segi selepas memakai tudung.
Jelas Leina, dia masih individu yang serupa dan pada masa sama sedang dalam proses untuk memperbaiki diri ke jalan yang diredai Allah.
"Jika ada yang bertanya bagaimana saya mendapat hidayah, saya tiada jawapan namun perjalanan untuk menjadi insan yang sempurna masih panjang.
"Saya bersyukur diberi kesempatan oleh Allah untuk mengubah diri dan kehidupan saya selain meninggalkan larangan yang pernah saya lakukan semasa zaman jahiliah dahulu," katanya.
Mengimbau mengenai kehidupannya dahulu, Leina berkata walaupun sedih namun menganggap apa yang berlaku adalah satu pengajaran besar sehingga membuatkan dia tersedar.
Malah kata Leina, dia enggan menoleh ke belakang mengenangkan zaman jahiliahnya tetapi menggunakan kesempatan diberikan untuk mendekatkan diri dengan agama Islam.
"Hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya apabila saya diberi hidayah dan kesedaran untuk berubah. Tentang perkara lalu tidak perlu saya kenang lagi.
"Perubahan tersebut juga membuatkan diri saya lebih tenang dan menghargai nikmat yang Allah berikan," katanya.
Pun begitu kata Leina, walaupun sudah bertudung dia tidak berhasrat untuk meninggalkan bidang nyanyian kerana ia telah sebati dengannya.
Sehingga kini dia masih lagi menerima undangan untuk mengadakan persembahan namun dia lebih menjaga batas sebagai seorang yang berhijab.
"Saya masih menyanyikan lagu dangdut seperti biasa cuma saya tidak lagi menari di atas pentas seperti dahulu dan jaga batas sebagai seorang wanita bertudung," ujarnya.

Aqasha Belum Yakin Jadi Pengarah

Posted: 06 Dec 2013 11:20 PM PST


Aqasha masih belum bersedia untuk mengarah filem.
PETALING JAYA: Pelakon Aqasha menjelaskan dia masih belum bersedia untuk bergelar seorang pengarah drama walaupun memiliki syarikat produksi yang diusahakan bersama Sein, anggota kumpulan Ruffedge.
Aqasha atau nama sebenarnya, Firdee Akassya Rosli, 31, berkata, dia masih belum yakin untuk duduk di kerusi pengarah kerana pengalaman dalam bidang tersebut masih kurang.
"Saya memang ingin bergelar pengarah tetapi masih belum tiba masanya kerana pengalaman masih belum cukup.
"Bagaimanapun saya sedang berusaha ke arah tersebut," katanya kepada mStar Online.
Tambah Aqasha, faktor dia masih belum puas berlakon turut menyumbang kepada keputusannya itu.
Jelas Aqasha, masih banyak perkara yang belum dikecapnya sebagai pelakon.
"Ada beberapa peranan yang saya idamkan masih belum terlaksana seperti genre 'sci-fi,' aksi, fantasi, pre-sejarah dan romantik komedi. Jika semua sudah lengkap mungkin baharu saya berani untuk mengarah," katanya.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini dia tidak mempunyai masa untuk kembali aktif berlakon kerana sibuk menguruskan syarikat produksinya, Camwork Studios.
Dalam pada itu, Aqasha kini sedang sibuk menyiapkan filem pertama syarikatnya yang berjudul Bangunan.
Jelasnya, filem berbentuk dokumentari itu tidak melibatkan sebarang pelakon sebaliknya menggunakan bangunan sebagai subjek utama.
"Tidak ramai yang ingin membuat filem dokumentari dan kami mengambil risiko ini kerana ingin memberi kelainan pada pilihan filem sedia ada.
"Insya-Allah ia akan dilancarkan pada tahun hadapan," katanya yang memberitahu filem tersebut diarahkan oleh Sein dan Khir Rahman.
Sementara itu, Aqasha juga turut menumpukan kepada kerja-kerja belakang tadbir drama dan muzik.

Klip Video Alex Subryn Angkat Penghidap HIV

Posted: 06 Dec 2013 11:19 PM PST


Alex Subryn
KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Alex Subryn mengambil inisiatif mengangkat penghidap HIV menerusi penghasilan sebuah klip video lagunya Leave Me Aloneberkonsep dokumentari luahan golongan berkenaan.
Alex atau nama sebenarnya Alex Subryn Luis, 33, berkata, dengan konsep itu, ia sekali gus dapat membuka mata masyarakat yang kebanyakannya memberi persepsi negatif terhadap golongan berkenaan yang hidup terabai.
"Ramai yang memberi persepsi negatif terhadap golongan yang berpenyakit HIV kononnya mereka tidak boleh didekati.
"Masa itu, saya sedang mencari sebuah jalan cerita menarik tetapi berfaedah untuk ditonton, selepas melalui beberapa perbincangan dengan rakan, terus saya mendapat idea untuk membuat sebuah dokumentari mini menerusi klip video Leave Me Alone.
"Kebetulan pula saya mendapat geran sebanyak RM12,000 untuk menghasilkan klip video, jadi saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada," katanya
Freddie (kiri) bersama Alex Subryn.
Alex ditemui pada sidang media pelancaran album sulung Alex berjudul Subryn anjuran Persatuan Karyawan (Karyawan) di Hotel Ancasa di sini pada Jumaat.
Hadir sama Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez.
Tambah Alex yang pernah menetap di Australia hampir 10 tahun itu, dia mengambil inisiatif dengan menjadi sukarelawan di tiga buah rumah kebajikan iaitu di Positive Living Community, Welcome Home dan Rumah Ozanam di sekitar Rawang dekat sini agar dapat mendekati dan mengenali penghidap HIV sejak Mei lalu.
"Sebenarnya mereka takut dan tertanya-tanya apa tujuan saya apabila cuba merapati mereka.
"Tetapi lama-kelamaan, mereka selesa berbual dengan saya. Dan selepas lebih kurang hampir tiga bulan mengenali mereka, barulah saya menjalani penggambaran klip video di sana," tuturnya.
Sementara itu, selain Leave Me Alone. album Subryn turut memuatkan lagu-lagu antaranya Look Into The Sky, Kajilah, Everything Reminds Me of You, I Don't Understand You dan Meredah Belukar Masa.
Beritahu Alex, ia mengambil masa untuk disiapkan selama tiga tahun kerana ingin menghasilkan lagu dan muzik yang bermutu sebelum ia diperdengarkan kepada orang ramai.
"Saya telah menghasilkan lagu ini sebaik mungkin sebelum ia berada di pasaran. Dan harap-harap ia dapat menarik perhatian ramai.
"Kebetulan pula lagu saya dalam album ini iaitu Look Into The Sky turut mendapat pencalonan Anugerah Industri Muzik 2013 (AIM2013) bagi kategori Artis Baru Terbaik.
"Andai kata saya menang, ia satu peluang buat saya untuk memperkenalkan bakat kepada umum," tuturnya.
Bagi yang ingin membeli album Subryn, ia sudah pun berada di pasaran dengan harga RM20. Setiap RM3 daripada album yang terjual akan disalurkan kepada tiga rumah kebajikan tersebut.

Aidil: Tuntutan nafkah Rita tak munasabah

Posted: 06 Dec 2013 11:18 PM PST

  • Rita Rudaini

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak menganggap tuntutan nafkah untuk dua orang anak mereka yang diminta bekas isteri, pelakon Rita Rudaini Mokhtar sebanyak RM5,392 sebagai tidak munasabah.

Hal ini kerana menurut Aidil, gaji bulanan yang diperolehinya hanya RM10,000 sebulan.

Aidil, 26, yang mengikat kontrak dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) turut mendakwa jumlah yang diminta Rita, 37, melampaui perbelanjaan sebenar keperluan asas kedua-dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

Aidil juga menolak wujudnya kos susu dan lampin pakai buang  kerana anaknya sudah pun makan makanan pejal dan sudah pandai pergi ke tandas sendiri.

"Saya percaya kos perubatan tinggi kerana Rita memilih Hospital Prince Court sedang masih banyak pilihan hospital lain yang lebih murah.

"Saya ada mengirim cek bernilai RM3,000 kepada Rita namun tidak dituntut dan cek dikembali malah Rita enggan menerima bayaran nafkah melalui cek CIMB bertarikh 19 Mac," ujar Aidil.

Tambahnya lagi, gaji RM10,000 yang diterimanya perlu diagihkan kepada tanggungan lain juga seperti ibu bapa, hutang peribadi dan keperluan sendiri.

Kata Aidil, duit itu jugalah yang digunakannya untuk memberi nafkah kepada anak-anaknya yang diperuntukkan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Dipenjara kerana curi pisang

Posted: 06 Dec 2013 11:10 PM PST

  • Dipenjara kerana curi pisangTertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar bagi menjalani prosiding perbicaraan

SABAK BERNAM – Gara-gara mencuri dua tandan pisang, seorang pekerja kampung dipenjara enam bulan dari tarikh tangkap selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Besar, semalam.

Tertuduh, Fahrul Mustain Alimi, 25, dalam rayuannya memohon supaya mahkamah mengurangkan hukuman memandangkan dia masih muda dan bertanggungjawab menyara ibu bapanya yang uzur di kampung.

"Kalau saya dikenakan hukuman berat, bagaimana dengan nasib ibu bapa saya di kampung?

"Sedangkan selama ini saya yang menjaga mereka dan berharap ada pertimbangan daripada mahkamah sebelum membuat keputusan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Izza Munira Mansor meminta mahkamah agar mengenakan hukuman yang sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Majistret Shah Wira Abdul Halim yang mendengar rayuan tertuduh dan pihak pendakwaan kemudiannya sempat menasihati tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan mencuri kerana ia bukan saja berdosa besar, malah menyusahkan orang lain.

"Sudah tahu mencuri itu dosa, kenapa kamu masih lakukan? Saya harap hukuman ini dapat beri pengajaran kepada kamu dan masyarakat di luar sana," katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kebun Jalan Hamim, Kampung Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar pada kira-kira 12.35 tengah hari, 30 November lalu.

Tertuduh didakwa mencuri dengan niat dua tandan pisang milik Judi Mat Sari sebelum perkara itu dilaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sekiranya tertuduh didapati melakukan kesalahan kali kedua, dia kemudiannya boleh dikenakan hukuman penjara dan denda atau sebat.

Ular sawa batik disangka kain

Posted: 06 Dec 2013 11:07 PM PST

  • Ular sawa batik disangka kainAnggota JPAM memeriksa ular sawa batik yang ditangkap di reban ayam penduduk di Kampung Paya, pagi kelmarin

DUNGUN - Seorang peniaga warung yang keluar melihat ternakan dalam rebannya terkejut ketakutan sejurus terserempak seekor ular sawa batik, pagi kelmarin.

Menurut Salmiah Mahmud, 32, kira-kira jam 7.30 pagi itu dia keluar melihat ternakan dalam rebannya di halaman rumah.

"Bagaimanapun alangkah terkejutnya saya apabila lihat seekor ular sawa tersangkut pada pukat yang dijadikan hidangan untuk ternakan.

"Pada awalnya saya sangka ular itu ialah kain buruk yang tersangkut di pukat reban ayam yang nyaris baham ternakan saya," katanya.

Salmah berkata, dia pastinya mengalami kerugian jika ular tersebut membaham haiwan ternakannya kerana ada beberapa ekor ayam dan itik dalam reban tersebut.

"Ia merupakan kejadian yang pertama di rumah saya, mungkin sekarang musim hujan, sebab itu ular menjalar cari makanan," katanya.

Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dihubungi tiba untuk menangkap ular sawa batik berukuran kira-kira 3.5 meter panjang itu.

Reptilia itu kemudiannya ditempatkan di sangkar pejabat JPAM Dungun sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Kasino dalam hutan diserbu

Posted: 06 Dec 2013 11:05 PM PST

  • Kasino dalam hutan diserbuPegawai dan anggota polis membuat pemeriksaan terhadap kaki judi yang dicekup

TAMBUN – Sindiket judi haram yang licik menjalankan operasi di tengah hutan di Kampung Baru di sini, bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa akhirnya tumpas dalam serbuan Op Dadu, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Dalam serbuan itu, seramai 34 kaki judi warga tempatan, termasuk lapan wanita berusia antara 40 hingga 74 tahun yang leka berjudi dicekup empat pegawai dan 23 anggota Pasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis
Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Lokasi pusat judi di kelilingi hutan dan kebun buah kedondong dengan jarak kira-kira dua kilometer dari jalan utama itu dikesan aktif sejak tiga minggu lalu sering menjadi tumpuan kaki judi.

Kaki judi ini sanggup melalui jalan tanah merah berlopak sebelum tiba di pagar diperbuat dari zink dengan seorang penjaga ditempatkan di pintu masuk markas perjudian itu.

Ketua Unit Pencegahan Perjudian, Deputi Superintendan Tan Tin Heng berkata, penganjur judi haram ini licik menjalankan operasi seawal jam 10 pagi hingga tengah malam jauh daripada penempatan penduduk dan terlindung dari pandangan umum.

Malah menurutnya, penganjur juga mendirikan dua khemah dan menyediakan makanan serta minuman untuk kaki judi.

"Setiap pertaruhan mampu mencecah sehingga ratusan ribu ringgit dan dalam serbuan itu peralatan judi seperti cip dianggarkan bernilai RM20,000 serta wang tunai RM15,000 dirampas.

"Ketika serbuan, ada antara mereka sanggup menyusuri sungai dan hutan berhampiran bagi mengelakkan dicekup dan ada yang melarikan diri serta gagal dikesan," katanya.

Dalam pada itu, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Empat jirat Cina digali

Posted: 06 Dec 2013 11:03 PM PST

  • Empat jirat Cina digaliJirat berlubang dan dibiarkan terdedah oleh penjenayah.

HULU SELANGOR - Sekumpulan lelaki berusia lingkungan awal 20-an dipercayai terlibat dalam kegiatan menggali jirat Cina dan mencuri barangan yang tersimpan di dalamnya di tanah perkuburan Cina Rasa, di sini.
Pegawai Perhubungan Awam Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Kubu Bharu, Chng Boon Lai berkata, kumpulan terbabit dikesan mula melakukan kegiatan tersebut sejak dua minggu lalu dan sudah empat jirat digali berdasarkan kesan tanah manakala dua jirat dibiarkan terbuka.            

"Kejadian pertama berlaku dua minggu lalu di mana tiga kubur digali sekali gus dan laporan polis juga sudah dibuat.

"Hari ini (semalam) satu lagi kubur digali dan masih berlubang dan dibiarkan terbuka," katanya ketika melawat kawasan perkuburan tersebut, semalam.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Chuang Rasa, Lim Ken Seng dan tiga anggota polis dari Balai Polis Rasa.

Boon Lai berkata, kejadian itu amat dikesali dan mengundang kemarahan ahli keluarga yang terlibat.

"Mungkin penjenayah itu nak cari barang berharga yang ditanam dalam jirat tersebut sebab dulu masyarakat Cina suka tanam barang kemas dan barangan kesukaan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

"Tapi masyarakat Cina tidak lagi tanam barangan berharga bersama ahli keluarga yang meninggal dunia walaupun itu menjadi adat mereka," katanya.

Beliau berkata, penjenayah memilih masa ini kerana cuaca hujan melembutkan tanah dan memudahkan proses menggali.

Boon Lai turut difahamkan, terdapat sebuah jirat di tanah perkuburan Cina di Kerling yang turut digali penjenayah namun tidak tahu sama ada kumpulan sama melakukannya.

Jirat dibiar terbuka
Sementara itu, penjaga kubur, Tan Choy Hing, 67, berkata, kejadian dipercayai berlaku dua minggu lalu dan laporan polis hanya dibuat minggu ini kerana baru disedari.

Menurutnya, penjenayah terbabit dipercayai datang dari ladang sawit di belakang tanah perkuburan itu dan masuk melalui pagar yang rosak dan percaya kegiatan mereka dilakukan pada waktu malam.

"Masa kami datang, semua kubur berlubang dan ada penutup keranda yang terbuka. Tapi kami tutup sebab takut air hujan masuk.

"Tiga kubur yang digali masa itu dan ini yang baru rasanya beberapa hari saja," katanya.

Penjenayah orang tempatan

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ajib, 44, ketika dihubungi berkata, polis sudah mengenal pasti tiga lelaki yang melakukan kegiatan itu dan mereka adalah penduduk kampung berdekatan.

Menurutnya, dia antara saksi yang mengetahui identiti dan tempat tinggal penjenayah terbabit setelah mendapat maklumat daripada seorang rakan yang terlihat mereka leka menggali jirat tersebut.
"Saya dapat tahu daripada seorang penternak lembu yang nampak tiga lelaki sedang gali kubur jam 6.30 petang.
"Mereka muda lagi, umur pun dalam 20 dan 23 tahun saja," katanya.

Ajib berkata, dia terlibat sebagai saksi dan memberitahu kesemua mereka sedang diperhatikan dan tangkapan akan dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai.

Keluarga mendiang kesal

Dalam pada itu, seorang anak sulung kepada mendiang ibu bapanya yang jiratnya digali, Ng Yau Chai, 60, melahirkan rasa kesal dan marah terhadap penjenayah itu.
"Saya pun tidak tahu apa yang mereka cari tapi mungkin ada tujuan jahat dan bukan mahukan barang berharga sebab tidak ada semua itu.

"Kalau ada pun mungkin ada RM100 atau RM200 duit sumbangan ahli keluarga kepada mendiang," katanya.

Nicole Scherzinger Bakal Dilamar Lewis Hamilton

Posted: 06 Dec 2013 10:59 PM PST


Lewis Hamilton (kiri) akan melamar Nicole Scherzinger dalam masa terdekat ini.
SUDAH bertahun-tahun pasangan selebriti Nicole Scherzinger dan Lewis Hamilton menjalin hubungan cinta, akhirnya mereka dikatakan bakal berkahwin pada tahun depan.
Menurut laporan Showbizspy, walaupun pasangan itu mengumumkan perpisahan pada Jun lalu, namun Lewis dikhabarkan pula akan melamar kekasihnya itu pada sambutan tahun baharu akan datang.
Salah satu sumber mengatakan mereka telah menjalinkan hubungan semula dalam diam sejak sebulan lalu.
"Ini merupakan kali ketiga Lewis melamar seorang wanita namun dia yakin kali ini ternyata berbeza kerana mereka sama-sama belajar daripada perpisahan dan menyedari masing-masing tidak boleh hidup berjauhan," kata sumber.

Wan Nor Azlin diarah bayar RM8,220 kepada bapa

Posted: 06 Dec 2013 10:58 PM PST

  • Wan Nor AzlinWan Nor Azlin

KUALA LUMPUR - Mahkamah tinggi semalam, mengarahkan pelakon Wan Nor Azlin membayar RM8,220 kepada bapanya, Wan Mohd Husein Wan Ibrahim dalam permohonan taksiran ganti rugi hak milik rumah mereka, di Taman Sri Keramat.

Hakim Rosilah Yop membuat keputusan itu dalam kamarnya yang dihadiri peguam Nuraini Atiqah Abdul Aziz, yang mewakili Wan Nor Azlin dan Razila Rashid, yang mewakili Wan Mohd Husein.

Menurut Razila, defendan diarah membayar RM220 sebagai ganti rugi pemotongan kaveat kepada bapanya.

"Defendan turut diarah membayar RM8,000 kepada plaintif sebagai kos," katanya.

Mengaku masih muda

Posted: 06 Dec 2013 10:54 PM PST



MELIHAT kepada deretan filem-filem lakonannya yang sudah menjangkau lebih 100 buah sejak memulakan karier sebagai pelakon pada 1981, amat wajar aktor Andy Lau digelar sebagai seorang legenda dalam dunia perfileman Hong Kong.
Sudah 32 tahun menghambakan diri dalam bidang penuh glamor ini, namanya tidak lekang di bibir peminat serta terus kekal menjadi pilihan penerbit untuk membintangi watak utama di layar perak.
Dapat bertentang mata secara lebih dekat dengan aktor kelahiran Tai Po itu ketika promosi filem Firestorm di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini, jelas kelihatan tarikan tersendiri yang dimilikinya sehingga menjadi pujaan ramai peminat wanita.
Baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-52 pada 27 September lalu, wajah dan tubuhnya tidak menggambarkan usia sebenarnya dan menonton aksinya dalam filem tersebut, nyata dia cukup tangkas dan bertenaga.
Menurut aktor yang mesra disapa Andy itu, dia tiada masalah untuk membawakan watak-watak aksi dalam filem, asalkan dia masih lagi mempunyai kudrat untuk berbuat demikian.
"Saya masih muda," selorohnya sambil disambut hilaian tawa para wartawan apabila ditanya kenapa dia masih lagi sanggup berlakon dalam filem yang memerlukan dirinya memainkan babak aksi.

ANDY (kiri) dan seorang lagi pelakon utama Firestorm, Lam Ka Tung hadir ke Kuala Lumpur untuk acara promosi pada 3 Disember lalu.


Akui Andy, dia tidak memiliki sebarang rahsia untuk mengekalkan stamina apabila kerap berlakon dalam filem aksi kerana paling utama adalah memberikan sepenuh tumpuan terhadap pekerjaan yang dilakukan.
Selain itu, aktor tersebut memberitahu, biarpun berlakon dalam filem aksi ada kalanya mengundang cabaran yang agak besar, tetapi setiap yang dilakukannya perlu mengikut ketahanan dan kemampuan diri masing-masing.
"Saya ini jenis yang suka berterus-terang sekiranya membabitkan hal kerja. Misalnya, kalau merasakan tidak mampu untuk melakonkan babak yang harus dilakukan, saya akan cakap berterus terang dengan pengarah yang saya tidak mampu buat.
"Sebenarnya, kita tidak perlu hendak memaksa diri berbuat sesuatu perkara di luar kemampuan sendiri. Lagipun saya menggemari suasana kerja yang selesa kerana ia mampu membuatkan diri saya berlakon dengan lebih baik," jelasnya yang turut dikenali sebagai seorang penyanyi.
Meskipun jarang berhadapan dengan kecederaan yang berat sepanjang berlakon dalam filem atau drama aksi, Andy memberitahu ahli keluarganya terutama sekali isteri tercinta bimbang dengan keadaan dirinya.
Namun begitu, di sebalik kebimbangan yang terpendam itu, aktor berkenaan menyatakan isterinya tetap memberikan sepenuh sokongan terhadap kariernya sebagai seorang pelakon.
"Dengan status sebagai seorang artis, kerisauan itu timbul bukan sahaja ketika bekerja, malah sewaktu menjalani kehidupan seharian. Bagaimanapun, setakat ini keadaan masih lagi terkawal sepenuhnya," ujarnya.
Apabila ditanya sama ada dia tidak ingin mengikut jejak langkah beberapa pelakon Hong Kong yang sudah menembusi Hollywood, Andy sekadar menyatakan bahawa dia perlu mempertingkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris terlebih dahulu.

PADA usia 52 tahun, Andy sudah membintangi lebih 100 buah filem.


RM4 juta
Menceritakan lebih lanjut mengenai filem terbaharunya iaitu Firestorm, Andy menyatakan dia bukan sahaja bertindak sebagai pelakon utama, malah turut berkolaborasi dengan William Kong untuk menerbitkannya.
Jelasnya, filem berkenaan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya dengan kos keseluruhan RM33 juta. Dia merasakan produk terbaharunya itu setanding dengan filem aksi Hollywood.
"Salah satu tarikan yang boleh dilihat dalam filem ini ialah ketika tempoh 30 minit terakhir membabitkan babak letupan yang dahsyat serta aksi tembak-menembak antara anggota polis dan sekumpulan penjahat di Pedder Street yang terletak di tengah-tengah kota Hong Kong.
"Memandangkan penggambaran tidak boleh dilakukan di lokasi sebenar kerana kawasannya sangat sibuk, kami telah membangunkan sebuah lokasi yang mirip dengan Pedder Street dan menelan kos sebanyak RM4 juta," ujar Andy.
Filem arahan Alan Yuen itu mengisahkan tentang seorang inspektor polis, Lui (Andy Lau) yang bertekad mahu menghentikan keganasan yang dilakukan oleh Nam (Hu Jun) dan konco-konconya sehingga ramai mangsa yang tidak berdosa telah terkorban.
Kemudian dia mula menyedari hakikat bahawa taktik biasa yang dilakukan oleh pihak polis terlalu lemah dan tidak akan berhasil untuk mengheret mereka ke muka pengadilan. Tou (Lam Ka Tung), seorang bekas banduan yang terdesak mahu meninggalkan dunia gelapnya menawarkan diri untuk membantu menumpaskan Nam.
Berkenaan dengan pemilihan pelakon lain yang terbabit dalam filem berkenaan, aktor itu menyatakan bahawa dia sangat teliti dan hanya memilih pelakon yang mampu memberikan sepenuh komitmen.
"Kami tidak mahu pelakon yang dipilih mempunyai penggambaran dengan filem lain kerana mahu mereka fokus untuk Firestorm sahaja. Perkara ini sangat penting kerana inginkan sebuah hasil yang berkualiti," tegasnya.

SEBELUM terkenal sebagai artis, Andy pernah bercita-cita mahu menjadi seorang petani yang berjaya.


Anak lelaki
Dengan kehadiran Andy Lau ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan filem terbaharunya, terdapat segelintir wartawan yang ingin bertanyakan mengenai kisah peribadi terutama gosip isterinya, Carol Chu yang dikatakan sedang hamil anak kedua sekarang ini.
Agak menghampakan apabila pihak penganjur memberi peringatan lebih awal kepada wartawan yang membuat temu bual secara eksklusif dengannya tidak diizinkan bertanya mengenai soalan peribadi, melainkan yang berkaitan dengan filem berkenaan.
Khabar angin yang sedang bertiup kencang mendakwa, isteri aktor itu dilihat beli barangan bayi di sebuah pusat beli-belah di Causeway Bay, Hong Kong. Lebih menarik lagi, Carol dikatakan sudah hamil sejak Ogos lalu dan bakal melahirkan anak lelaki.
Selain itu, pasangan yang sudah memiliki seorang anak perempuan bernama Hanna yang kini berusia setahun dikatakan telah berjumpa dengan seorang doktor pakar sakit puan terkenal, Dr. William So. Mereka hadir ke klinik doktor berkenaan secara sembunyi bagi mengelakkan dikesan paparazi.
Bagaimanapun, Andy yang hadir dalam sebuah majlis promosi filem baharunya di Hong Kong pada 19 November lalu telah menafikan perkara tersebut ketika ditanya wartawan, tetapi berharap agar apa yang diperkatakan itu bakal menjadi kenyataan.


D'Bagindas adaptasi muzik 1980-an

Posted: 06 Dec 2013 10:53 PM PST

D'BAGINDAS menjadikan kumpulan Search dan Slam sebagai band idola mereka.


Bertahan satu cinta,
Bertahan satu C.I.N.T.A.
DUA baris lirik lagu C.I.N.T.A nyanyian band dari daerah Malang, Indonesia itu mudah saja melekat dalam jiwa pendengar muzik pop di Malaysia.
Biar judul dan lirik yang menyebut satu persatu perkataan C.I.N.T.A itu pernah dibikin oleh kumpulan XPDC sekitar era 1990-an sebelum ini, irama baharu yang diterapkan dalam eksotika muzik D'Bagindas tidak melumpuhkan energinya untuk disalurkan dalam kelompok masa kini.
Lagu C.I.N.T.A sebenarnya telah dilancarkan pada tahun 2010 menerusi album pertama band D'Bagindas yang diberi judul C.I.N.T.A.
Ujar Michael Christian (Mike), selaku pemain keyboard dan komposer semua lagu nyanyian band tersebut, lagu C.I.N.T.A dimasukkan kembali dalam album kedua D'Bagindas, Yang No. 1 memandangkan single itu mendapat sambutan luar jangka.
"Lagu C.I.N.T.A sebenarnya mula hit pada ketika kami sedang dalam proses pembikinan album kedua kami, Yang No. 1. Atas dasar itu kami memasukkan semula lagu itu dalam album terbaharu sebagai trak bonus," katanya yang ditemui pada sidang akhbar dan showcase D'Bagindas di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menyingkap keistimewaan band yang dianggotai oleh empat anak muda yang terdiri daripada Dian Purnama, Beni Rianto, Dandy dan Mike itu, kata Mike inspirasi muzik mereka dipengaruhi oleh irama dangdut, keroncong, blues, dan country sekitar tahun 1980-an.
"Album pertama kami dipengaruhi elemen muzik seperti keroncong dan dangdut daripada penyanyi-penyanyi sebelum kami, kemudian album keduanya lebih moden dan lebih banyak elemen pop Melayu.
"Tapi untuk album ketiga yang bakal dipasarkan awal tahun depan, kami kembali kepada muzik asal iaitu pop 1980-an," ujar Mike yang turut menjadikan kumpulan Slam dan Search idola muzik dari Malaysia.

TIDAK terkenal di Malaysia, hakikatnya D'Bagindas mempunyai jadual yang cukup padat di negara mereka, Indonesia.


Ditanya mengapa perlu mengambil masa terlalu lama untuk mempromosikan single hit C.I.N.T.A di Malaysia, jawab Dandy, disebabkan jadual yang terlalu padat di Indonesia memaksa mereka menangguhkan jadual promosi di negara lain.
"Kami terlalu sibuk dengan konsert dan showcase selepas melancarkan album pertama, kemudian proses rakaman album kedua pula diteruskan dan sehingga detik ini kami baru mendapat ruang waktu bertemu peminat di Malaysia," jelasnya.
Sementara itu, Dandy menjelaskan Yang No. 1 dipilih sebagai judul album kedua D'Bagindas ekoran aura positif daripada salah sebuah single dalam album kedua mereka yang menggunakan judul sama.
"Album ini merupakan bahagian pertama daripada dua album yang kami garap sekali gus tapi akan dikeluarkan secara berasingan dalam Volume 1 dan Volume 2.
"Selain ingin menunjukkan album ini merupakan album edisi pertama Yang No. 1, kami mengharapkan agar lagu-lagu dalam album ini mampu menjadi nombor satu seperti mana tajuk albumnya," tambahnya.
Album Yang No. 1 menyajikan lima buah lagu baharu termasuk empat buah trak bonus iaitu Marhaban Ya Ramadhan serta tiga buah trak daripada album pertama, Suka Sama Kamu, Kangen dan C.I.N.T.A.
Lima buah lagu baharu yang dibikin untuk dimuatkan dalam Volume 1, Yang No. 1 ialah Hidup Tapi Mati, Ay, Maafkan, Yang No. 1 dan Sendu.
Ujar vokalis band itu, Beni Rianto atau Bian, proses pembikinan album kedua mereka mengambil masa selama lima hari saja.
"Mungkin kerana semangat kami sedang berkobar-kobar, maka album ini dibikin dalam tempoh yang singkat saja iaitu lima hari di studio rakaman.
"Sebetulnya, masa untuk penyediaan album ini sudah lama jadi, ketika sesi rakaman semuanya sudah bersedia dan proses itu sangat cepat," katanya.


Charly, Firman buai lebih 1,000 peminat

Posted: 06 Dec 2013 10:51 PM PST


CHARLY membuai emosi dengan seleksi lagu hitnya.


KHALAYAK bagaikan terpukau apabila dua penyanyi hebat Indonesia iaitu Firman dan Charly daripada Setia Band (dulunya mantan vokalis kumpulan ST12) bergabung tenaga menyanyikan lagu popular Kehilangan.
Persembahan yang boleh diibaratkan sebagai persembahan antara mentor dan protege itu telah mengambil tempat di KL Life Center, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Sememangnya lagu popular Kehilangan yang dicipta oleh Charly atau nama sebenarnya Charly Van Houten dan dinyanyikan oleh Firman itu benar-benar membuai perasaan lebih 1,000 peminat yang hadir ke konsert mereka pada malam itu.
Lagu Kehilangan yang menjadi lagu penutup konsert mereka pada malam itu juga menyaksikan Charly sujud mengadap peminat-peminatnya dengan ucapan terima kasih. Turut hadir ke konsert Charly dan Firman pada malam itu juga adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

DUET Adira dengan Firman menerusi lagu Jangan Pikiran Abang mendapat sambutan hangat.


Menyingkap mengenai konsert Charly Setia Band vs Firman yang berlangsung selama dua jam itu, ia dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia 8, Adira.
Menyanyikan lagu-lagu hitnya seperti Dewi Cinta dan Ombak Rindu, Adira seterusnya menjemput penyanyi Firman ke pentas untuk bersama-sama menyanyikan lagu hit penyanyi kelahiran Indonesian Idol itu iaitu Jangan Pikirin Abang. Ternyata paduan suara nyaring Adira dengan suara serak basah Firman begitu serasi.
Usai persembahan tersebut, Firman mengambil alih pentas menghiburkan peminatnya. Bapa kepada seorang anak yang bernama Diamond Siggy Siagian, lapan bulan itu menyampaikan lagu single terbaharunya, Hati Batu. Persembahan Firman diteruskan dengan rangkaian lagu-lagu Inggeris popular seperti I Want To Break Free dan It's My Life.
Malam konsert tersebut bertambah hangat apabila Charly dan bandnya, Setia Band muncul membuat persembahan. Peminat yang sememangnya menunggu kehadiran Charly bersorak dan turut menyanyi bersama penyanyi itu yang mendendangkan lagu-lagu sebanyak 15 buah lagu daripada album Setia Band dan juga lagu-lagu dari album ST12.
Antara lagu dendangan Charly adalah seperti Terlalu Indah dan lagu Jangan Pernah Berubah, yang pernah popular di Malaysia satu ketika dulu.
Bukan itu sahaja, Charly juga menyanyikan lagu Biarkan Jatuh Cinta, Puspa, Cari Pacar Lagi, Asmara dan Saat Terakhir.
Charly, pelopor yang membawakan muzik pop Melayu itu turut menyanyikan lagu popular Melayu seperti Rindu Serindu Rindunya (nyanyian asal kumpulan Spoon) dan juga lagu popular kumpulan Search, Isabella dengan kreativiti dia sendiri.

KEKUATAN lagu Kehilangan membuat nama Firman melonjak naik di Malaysia.


Sedikit mengenai dua penyanyi Indonesia itu. Barangkali nama Firman, 35, tidak perlu diperkenalkan lagi sementelah dia begitu popular menerusi lagu Kehilangan dan Jangan Pikirin Abang di Malaysia. Namun, bagi Charly, 31, nama itu mungkin sedikit asing.
Bermula dengan band ST12 yang popular dengan lagu Puspa dan Putih-Putih Melati pada tahun 2004 itu, vokalisnya Charly dan pemain gitarnya, Pepeng mengubah haluan dengan meninggalkan band popular Indonesia itu dengan menubuhkan kumpulan baharu iaitu Setia Band pada tahun 2011.
Charly dalam kenyataannya sebelum ini pernah menyuarakan perjuangannya membawakan lagu-lagu pop Melayu.
Katanya: "Selagi ada orang Melayu, selagi itu pop Melayu dapat bertahan dalam industri muzik."


Kemalangan RM7.2 juta

Posted: 06 Dec 2013 10:48 PM PST


PIHAK berkuasa menyiasat sisa-sisa kemalangan yang melibatkan tiga buah kereta Lamborghini milik orang Singapura yang terbakar dekat Seremban semalam.


SEREMBAN - Tiga buah kereta mewah Lamborghini model Aventador dan Gallardo yang nilainya mencecah RM7.2 juta terbakar dalam kemalangan di Kilometer 260 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 9.55 pagi itu, lima buah kereta mewah milik warga Singapura berkonvoi dari republik itu ke Kuala Lumpur.
Sebuah Lamborgh ini model Gallardo bernilai RM1.2 juta manakala model Aventador pula berharga RM4.8 juta.


Tiga maut angkara lori tangki merentangi lebuh raya

Posted: 06 Dec 2013 10:45 PM PST


KERETA Myvi yang dipandu Khairul Nazri remuk selepas tersepit antara dua buah lori di KM 244.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Pedas semalam.


REMBAU - Tiga mangsa termasuk bayi lelaki berusia 10 bulan maut selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ngeri membabitkan enam kenderaan di Kilometer 244.6 Lebuh Raya Utara- Selatan arah selatan di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, pemandu bas pesiaran warga Singapura, Ahmad Zaki Kassim, 33 dan Rasidah Abdul Latip, 30, yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi maut di tempat kejadian manakala anak Rasidah berusia 10 bulan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.
Suami Rasidah, Khairul Nazri Yusof, 34, dan seorang lagi penunggang motosikal berusia dalam lingkungan 30-an cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dekat sini.


Lamborghini baharu dilancar di atas kapal

Posted: 06 Dec 2013 10:41 PM PST


GAMBAR menunjukkan bentuk sisi kereta itu.


DUBAI - Pelancaran kereta sport Lamborghini Veneno Roadster baharu yang berharga AS$4.5 juta (RM14.55 juta) dibuat di atas sebuah kapal pengangkut pesawat milik tentera Itali di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2 Disember lalu.
Kereta itu dilengkapi enjin V-12 yang mempunyai 750 kuasa kuda dan boleh dipandu melebihi 340 kilometer sejam kerana rangka badannya diperbuat daripada gentian karbon yang ringan.
"Kami berasa berbesar hati kerana Lamborghini dipilih untuk mewakili industri kereta Itali di UAE dan kami mempunyai peluang untuk menunjukkan Veneno Roadster buat kali pertama di Abu Dhabi," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini, Stephen Winkelmann.
Menurutnya, Lamborghini mempunyai ramai peminat di rantau ini.
Winkelmann berkata, rantau Asia Barat merupakan antara pasaran terbesar kereta itu.


Wanita berusia 66 tahun berumah di dalam lubang

Posted: 06 Dec 2013 10:40 PM PST


YOUZHI mengira duit di dalam lubang yang menjadi tempat tinggalnya di Beijing kelmarin.


BEIJING - Seorang wanita, Quan Youzhi yang berusia 66 tahun tinggal di dalam lubang bawah tanah di sini selama 20 tahun.
Youzhi tinggal di dalam lubang tersebut yang asalnya berfungsi sebagai sistem penyaluran udara panas di bandar raya ini.
Wanita tersebut tidak mampu membayar sewa rumah sejak dia datang ke bandar raya ini.
Justeru, Youzhi mencari lubang yang sesuai untuk dijadikan tempat tinggal.
Dia menyara kehidupannya dengan mengutip botol-botol terbuang untuk dijual dengan memperoleh pendapatan sebanyak 10 yuan (RM5.31) sehari.
Namun, para pekerja penguat kuasa di bandar raya ini menutup lubang yang didiami penduduk tidak berumah itu dengan simen bagi mengelak ia dijadikan tempat tinggal.
Youzhi akan mencari tempat tinggal lain apabila anggota-anggota penguat kuasa itu mengusirnya keluar.
Menurut laporan media, terdapat lima lubang bawah tanah di situ yang dijadikan tempat tinggal oleh orang yang tidak berumah.


Banduan yang menjadi presiden

Posted: 06 Dec 2013 10:37 PM PST



MENYEBUT namanya ibarat melaungkan suara kedamaian penuh demokrasi. Biar pun meringkuk hampir tiga dekad dalam penjara sepi, usaha figura kelahiran Mvezo, Afrika Selatan itu selama hayatnya meninggalkan satu legasi paling berharga dalam sejarah dunia.
Khamis lalu, Nelson Mandela, 95, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Johannesburg, dan kematiannya memberi kesan mendalam kepada individu dan sebilangan masyarakat.
Keperibadiannya tidak pegun di negara sendiri, malah menjangkau ke benua-benua lain sehingga diangkat sebagai tokoh moral dan pemimpin politik yang berwibawa.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut terkesan dengan kehilangan penerima Hadiah Nobel Keamanan 1993 itu. Dalam kenyataannya kepada media, beliau menganggap Mandela sebagai pemimpin yang cukup hebat serta memiliki ketabahan luar biasa dan komitmen yang tidak pernah luntur dalam memperjuangkan keadilan sosial.
"Setiap kali ditanya siapakah pemimpin yang pernah saya jumpa yang paling saya kagumi, tanpa teragak-agak saya akan menjawab, Nelson Mandela," katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Beliau menambah, Mandela juga adalah insan bersifat pemaaf dan tidak memusuhi mereka yang pernah memenjarakannya kerana beliau lebih mementingkan perdamaian.
Perkara itu jelas terbukti ketika Mandela menyarungkan jersi ragbi pasukan Springboks pada kejohanan Piala Dunia Ragbi 1995 di Afrika Selatan. Stadium Ellis Park bergema dengan sorakan lebih 60,000 penonton yang melaungkan nama Mandela.
Springboks sebelum itu dijadikan simbol kebanggaan warga kulit putih Afrika Selatan, yang menjalankan dasar aparteid iaitu penindasan ekonomi dan sosial ke atas penduduk kulit hitam dari tahun 1948 hingga 1994.
Memakai jersi itu seperti satu signifikan kepada cara Mandela 'melupakan' peristiwa berdarah dan kenangan pahit yang memberi kesan mendalam kepada rakyat kulit hitam Afrika.
Dasar aparteid dikuatkuasakan secara meluas pada pemerintahan Presiden ke-7 Afrika Selatan, Hendrik Frensch Verwoerd, yang menolak kepentingan rakyat selain kulit putih. Mereka diberi layanan kelas kedua dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua dari kanan) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin (kiri) tertawa kecil selepas Mandela menyatakan sesuatu dalam satu kunjungan tidak rasmi Mandela ke Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2000.


Mandela atau nama sebenarnya Rolihlahla Mandela dilahirkan di Mvezo, sebuah desa kecil di tepi Sungai Mbashe, di daerah Umtata, ibu kota Transkei (kini sebahagian wilayah Tanjung Harapan), Afrika Selatan pada 18 Julai 1918.
Beliau diberi nama Rolihlahla yang membawa maksud 'pembikin masalah' dalam bahasa Xhosa. Moyangnya, Ngubengcuka merupakan seorang raja daripada puak Thembu. Bagaimanapun, keluarga Mandela tidak boleh mewarisi takhta tersebut kerana datuknya dilahirkan daripada isteri keturunan puak Ixhiba.
Bapa Mandela, Gadla Henry Mphakanyiswa pula merupakan ketua bandar Mvezo, namun selepas Afrika Selatan dijajah, Mphakanyiswa dilucutkan jawatan.
Mphakanyiswa kemudian membawa keluarganya termasuk Mandela berpindah ke Qunu. Bapa Mandela memiliki empat orang isteri dan 13 anak iaitu empat anak lelaki dan sembilan anak perempuan. Mandela dilahirkan oleh isteri ketiga Mphakanyiswa, Nosekeni Fanny iaitu anak perempuan kepada Nkedema daripada suku kaum Mpemvu Xhosa.
Kehidupan berubah
Di Qunu, Mandela hidup seperti kanak-kanak lain bermain riang bersama adik-beradiknya. Atas dedikasi Mphakanyiswa untuk melihat anaknya mendapat masa depan yang lebih baik, Mandela dimasukkan ke gereja Methodis.
Kematian bapanya ketika berusia sembilan tahun merubah corak kehidupan Mandela. Berdasarkan wasiat Mphakanyiswa, beliau dijadikan anak angkat kepada pemangku diraja suku Thembu, Jongintaba Dalindyebo.
Di istana itu, Mandela diajar bahasa Inggeris, bahasa Xhosa, sejarah dan geografi. Dari situ beliau memahami kesan kedatangan pihak kulit putih membawa kesan negatif kepada penduduk kulit hitam Afrika.
Ketika berada di tahun kedua di Kolej Universiti Fort Hare iaitu satu-satunya institusi tertinggi untuk orang kulit hitam, Mandela telah dibuang universiti kerana mengetuai pemprotesan pelajar menentang aparteid pada tahun 1940.

MAHATHIR dalam satu pertemuan dengan Mandela di Stadium Negara Kuala Lumpur pada tahun 1990.


Beliau kemudian melanjutkan pendidikan melalui program jarak jauh di University of South Africa (UNISA) di Johannesburg. Setelah mendapat ijazah dalam bidang perniagaan, dia mendaftar dalam program Sarjana Muda Undang-Undang di University Witwatersrand.
Mandela membentuk Liga Pemuda Kongres Kebangsaan Afrika (ANC Youth League) pada tahun 1944 berikutan sistem ANC pimpinan lama tidak selaras dengan perjuangan asas.
Pada awalnya, gagasan baharu itu memulakan kempen menentang dasar diskriminasi antara kaum secara lembut dan tanpa sebarang keganasan. Namun, usaha itu gagal.
Berikutan peristiwa pembunuhan Sharpeville pada tahun 1960, pendekatan Mandela mula berubah. Pemberontakan itu meragut nyawa 69 orang, manakala 181 yang lain cedera teruk. Pihak pemerintah telah mengharamkan semua kegiatan parti politik dan sebarang perjumpaan antara orang kulit hitam.
Beratus-ratus pemberontak ditahan dan dipenjarakan termasuklah Mandela pada tahun 1961. Beliau meneruskan perjuangan dengan menjalankan aktiviti bawah tanah dan menubuhkan sayap militer ANC, Umkhonto we Sizwe (MK).
Setahun kemudian, Mandela meninggalkan tanah airnya untuk mendalami latihan ketenteraan di Algeria dan mengadakan latihan untuk ahli-ahli MK.
Sekembalinya Mandela ke negaranya, beliau terus ditahan dengan alasan meninggalkan negara secara haram dan menyemarakkan semangat memberontak kepada rakyat.
Menerusi pendakwaaan itu, Mandela dihukum penjara selama lima tahun pada November 1962. Ketika masih menjalani hukuman itu, beliau sekali lagi didakwa dalam sebuah perbicaraan yang dikenali sebagai Rivonia Trial.
Dalam perbicaraan itu, Mandela dikenakan hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan mengkhianat, menghasut dan melakukan keganasan terhadap rejim Afrika Selatan. Selama 27 tahun hidup dalam penjara di Robben Island, Mandela sempat mendapat ijazah undang-undang melalui program koresponden Universiti London.
Mandela dibebaskan pada Februari 1990 akibat desakan pemimpin-pemimpin dunia semasa perubahan kuasa kerajaan kepada Presiden baharu Afrika Selatan, Frederik Willem de Klerk. Parti ANC turut dilepaskan daripada sebarang sekatan.
Semasa pilihan raya umum tahun 1994, parti ANC menang besar dan Mandela diangkat sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.
DETIK bersejarah ketika Mandela menyarungkan jersi Springboks dan menyampaikan piala kejohanan Piala Dunia Ragbi 1995 kepada ketua pasukan ragbi Afrika Selatan Francois Pienaar (kanan).


Hentikan cengkaman
Peristiwa bersejarah itu juga menamatkan cengkaman dasar aparteid yang membelenggu penduduk kulit hitam selama 46 tahun.
Pemerintahan Mandela mengembalikan kuasa orang kulit hitam dan menyeimbangkan ekonomi Afrika Selatan yang teruk di bawah dasar aparteid.
Selama lima tahun menjadi Presiden, Mandela langsung tidak melakukan sebarang penindasan sebaliknya menekankan kepentingan hak sama rata rakyat Afrika Selatan tanpa mengira warna kulit.
Sumbangan Mandela atau dipanggil Madiba oleh rakyat Afrika Selatan terus kekal walaupun jasad tiada di depan mata. Auranya masih dirasai. Setiap butir bicaranya menjadi sumber motivasi dan inspirasi kepada segenap masyarakat dunia.
Sementara itu, Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma menyatakan pe mergian Mandela sebagai satu kehilangan besar kepada bangsanya.
"Negara kita telah kehilangan seorang anak yang sangat hebat. Kita telah kehilangan seorang bapa. Walaupun kita sedar hari ini bakal tiba, tiada yang dapat menggambarkan kesedihan dan kehilangan beliau," ujarnya ketika mengumumkan berita kematian Mandela secara langsung di stesen televisyen tempatan.


Mandela bak magnet selebriti

Posted: 06 Dec 2013 10:35 PM PST

KEHILANGAN. Kedua-dua ikon kesayangan masyarakat dunia Michael Jackson dan Mandela saling berpelukandi Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 1996.


ANGGOTA Spice Girls, Geri Halliwel merangkul lengannya sambil beberapa ahli lain kumpulan pop dari Britain itu memeluk beliau untuk merakamkan gambar kenangan. Figura itu, Nelson Mandela berdiri dan melakar senyuman.
"Mereka heroin saya," ujar Presiden Afrika Selatan itu semasa beliau bertemu dengan penghibur-penghibur muda dan seksi itu pada tahun 1997 di Johannesburg.
Beliau dikurung hampir tiga dekad di dalam penjara aparteid. Selepas dibebaskan, daya penarik yang ada pada Mandela menjadi satu legenda.
Walaupun sering berkongsi pentas dengan nama-nama besar dalam industri hiburan antarabangsa, sukan dan politik, aura Mandela menyinar lebih terang berbanding bintang ternama berkenaan.
Lagu berjudul Free Nelson Mandela dan Bring Him Back Home mengungguli carta muzik pada tahun 1980-an. Sambutan hari ulang tahun ke-70 figura pemimpin prolifik itu pernah disiarkan secara global untuk tatapan jutaan penduduk dunia pada tahun 1988.
Pada ulang tahun ke-85, aura bintang yang dimiliki Mandela menarik kemunculan tetamu terkenal seperti kumpulan U2 dan aktor Hollywood iaitu Robert de Niro. Tidak dilupakan, tukang masak dan pekebunnya turut dijemput menghadiri majlis tersebut.
Mandela juga bersahabat baik dengan ratu televisyen Amerika Syarikat (AS), Oprah Winfrey. Oprah kemudiannya mendapat idea untuk membina sekolah perempuan di kampung halaman Mandela selepas meluangkan masa minum petang bersama-sama.

BEKAS presiden AS, Bill Clinton menyifatkan Mandela sebagai kawan yang sangat setia.


Pernah sekali, pemegang trofi Anugerah Akademi, Charlize Theron yang dilahirkan di Afrika Selatan berkata kepada Mandela bahawa beliau sangat sayangkan pemimpin itu.
"Saya sayangkan awak juga, awak tahu?" balas Mandela ringkas.
Penyanyi ternama dari Kanada, Celine Dion turut menamakan salah seorang anak kembarnya dengan nama Nelson selepas berpeluang bertemu Mandela.
Bakti yang ditabur Mandela kepada manusia sejagat membuatkan dirinya diangkat dengan pelbagai gelaran penuh makna.
Bintang peragaan kulit hitam, Naomi Campbell dilaporkan memanggil Mandela sebagai Datuk Terhormat manakala bekas pemimpin AS, Bill Clinton menyifatkan beliau sebagai kawan yang amat setia.
Kemunculan terakhir Mandela di khalayak ramai adalah pada pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan.
Sementara itu, Presiden AS, Barack Obama dalam kenyataannya di podium Rumah Putih menyatakan bahawa beliau merupakan satu daripada jutaan manusia yang berminat dengan bidang perkhidmatan awam disebabkan Mandela.
"Kita sudah kehilangan orang paling berpengaruh, berani dan berjiwa murni yang membuatkan semua orang ingin meluangkan masa bersamanya. Lelaki itu tidak lagi bersama kita, beliau sudah menjadi sebahagian daripada sejarah.
"Kita mungkin tidak akan berpeluang melihat seseorang seperti Mandela pada masa depan.
"Kini, mari kita bertafakur sebentar dan bersyukur kerana Mandela pernah hidup di dunia ini. Dia lelaki yang melakar sejarah," ujar presiden kulit hitam pertama AS itu.


Fiesta Ecoboost lebih kuasa, jimat petrol

Posted: 06 Dec 2013 10:33 PM PST



SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, hampir setiap pengeluar kenderaan global mengambil inisiatif membangunkan produk berasaskan teknologi jimat bahan api.
Ia berikutan peningkatan harga bahan bakar fosil sekali gus memberi impak besar kepada kos produksi kenderaan dan perbelanjaan pengguna.
Malah ada agensi seperti di Amerika Syarikat yang mengesyorkan pengguna untuk membeli kenderaan jimat bahan api.
Untuk kekal selari dengan trend semasa itu, Ford Motor Company tampil dengan teknologi enjin EcoBoost.
Teknologi EcoBoost lahir di sebalik kesan pasaran minyak dunia mendadak di negara Uncle Sam itu. EcoBoost merangkumi gabungan komponen pengecas turbo, sistem pancitan bahan api dan pemboleh ubah aci sesondol.
Pendek kata, enjin EcoBoost berupaya meledakkan kuasa output dan tork secara konsisten seperti sebuah jentera bersesaran tinggi tetapi jimat bahan api.
Jangan terkejut, Ford mendakwa enjin berkenaan lebih baik jika dibandingkan kadar output kuasa dan kecekapan bahan api jentera hibrid dan varian diesel.
Enjin 1.0 EcoBoost itu telah menerima penganugerahan International Engine of The Year tahun 2012 dan 2013 oleh majalah Engine Technology International.

RUANG dalaman varian Titanium tampak segar dan luas dengan aplikasi kombinasi tona cerah dan gelap.


EcoBoost dilihat sebagai satu alternatif baharu untuk diaplikasikan pada rangkaian produk masa hadapan Ford.
Antara rangkaian model Ford yang menggunakan teknologi enjin EcoBoost ialah Focus, Ecosport, Mondeo dan Fiesta.
Bagi mendalami kehebatan teknologi EcoBoost, Ford Malaysia membuka peluang kepada pengamal media tempatan untuk satu sesi pandu uji model Ford Fiesta EcoBoost 2014 di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.
Fiesta EcoBoost yang disediakan ialah varian Titanium sedan dan S (hatchback). Perbezaan utama varian itu dengan model Fiesta di Malaysia terletak pada enjinnya.
Model Fiesta EcoBoost dipasang enjin 1.0 liter tiga silinder namun ledakan kuasanya ibarat satu ketagihan buat penulis. Sesi pandu uji itu seolah-olah amat singkat sedangkan kami memandu dari pagi sehingga matahari terbenam.
Laluan perjalanan yang ditempuh melibatkan kawasan bandar, berbukit, lebuh raya dan jalan-jalan kecil di kampung.
Destinasi perjalanan kira-kira 240 kilometer (km) itu bermula dari Holiday Inn menuju Proud Phu Fah Resort sebelum tiba di High Resort. Kumpulan media kemudiannya mengemudi kereta jenama Amerika Syarikat itu ke Thai Elephant Conservation Center sebelum kembali semula ke hotel penginapan di Holiday Inn.
Sepanjang sesi pandu uji, penulis merasakan semua laluan ditetapkan itu tidak mendatangkan masalah untuk Fiesta EcoBoost.
Senario meredah laluan berbukit dan selekoh sejauh 19km mendatangkan keseronokan kerana enjin memberikan kuasa yang diperlukan. Pijak pedal, terasa tarikan sehingga badan terlekat pada kerusi pemandu.
Sebelum memasuki kawasan lebuh raya, penulis sempat menukar kepada model Fiesta S bersama seorang rakan. Jentera itu berjaya mencapai kelajuan sehingga 180km sejam tanpa perlu menunggu lama.

SELEKOH mendaki bukit antara cabaran yang nyata tidak setanding dengan kemampuan teknologi EcoBoost.


Selain daripada kuasa pecutan kereta ini, sistem audio yang digunakan juga agak menarik. Alunan muzik yang keluar daripada enam unit pembesar suara ibarat teater rumah.
Sebelum ini, Ford telah memperkenalkan sistem Sync pada model Ranger. Apa yang menariknya selepas anda mengaturkan telefon dan Sync, pemandu hanya perlu menekan satu butang di stereng dan memberi arahan kepada Sync.
Antara perkara yang boleh dilakukan menerusi pemberian arahan ialah kawalan sistem audio dan membuat panggilan telefon.
Pada bahagian papan pemuka, ada satu set butang nombor sebagai alternatif membuat panggilan. Agak canggih bagi sebuah kereta dalam segmen B.
Turut mendiami papan pemuka Fiesta EcoBoost ialah Paparan Pelbagai Maklumat (MID) yang membolehkan pengguna memeriksa sistem kereta ini.
Untuk varian Titanium, kerusinya dibalut dengan warna krim kehijauan manakala untuk varian S menggunakan campuran kulit dan fabrik berwarna gelap.
Model ini dijangka menembus pasaran di Malaysia pada tahun hadapan. Ford menganggarkan harga Fiesta EcoBoost bermula daripada RM95,000 seunit.
Mungkin Ford Fiesta EcoBoost bakal mendatangkan saingan sengit kepada pesaing-pesaing sekelas dengannya.


Myvi FEM lebih feminin

Posted: 06 Dec 2013 10:31 PM PST


BAHAGIAN luaran diserikan dengan pemasangan beberapa pelekat pada badan kereta kompak itu.


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menutup kempen pemasaran 2013 dengan melancarkan varian Myvi edisi khas untuk kaum Hawa.
Dikenali sebagai Perodua Myvi 1.5 FEM (Female Empowerment Movement), pengeluar kereta kompak itu hanya menawarkan 60 unit sehingga Februari 2014. Hanya satu pilihan warna ditawarkan iaitu putih.
Kereta itu sebenarnya merupakan varian Myvi 1.5 SE, bagaimanapun ia sudah melepasi beberapa fasa perubahan kosmetik khususnya pada bahagian dalaman. Bahagian luaran hanya melibatkan pemasangan pelekat bertemakan flora di hud hadapan, but belakang dan bahagian sisi kenderaan.
Tempat duduk varian Myvi 1.5 FEM itu disaluti material kulit bersama logo FEM dengan sulaman benang merah untuk menyerikan ruangan kabin. Stereng kereta juga menggunakan material kulit tona merah hitam.
Tona warna sama juga diberikan pada bahagian papan pemuka khususnya kawasan konsol tengah yang menempatkan unit multimedia, sistem navigasi dan skrin paparan kamera ketika mengundur jentera.

PAPAN pemuka dan stereng kenderaan diserikan dengan padanan tona merah hitam.


Tambahan lain ialah filem pelindung keselamatan dan solar, karpet khas dengan logo FEM serta sebuah bekas pelbagai guna eksklusif. Kos bagi semua barangan itu bernilai RM4,000.
Bagaimanapun, kos itu tidak dicaj pada pembeli. Perodua masih mengekalkan harga asal atas jalan kereta itu sebanyak RM56,027 termasuk insurans.
Untuk mendapatkan model edisi khas itu, anda perlu sekurang-kurangnya berumur 18 tahun dan pernah memiliki sebuah kereta Perodua. Jangan bimbang, ada syarat kedua. Jika pernah memandu mana-mana kereta Perodua, anda juga layak membelinya.
Syarat seterusnya yang perlu dipatuhi ialah pembeli perlu mendaftar diri di laman web www.peroduafem.com.my. Apabila mendaftar, anda akan menerima hadiah misteri hari lahir, boleh menyertai bengkel khas diadakan serta dijemput untuk menghadiri pelancaran model baharu Perodua pada masa hadapan.


Kepuasan umpama terbang di awan

Posted: 06 Dec 2013 10:28 PM PST



BAK kata pepatah, kecil-kecil cili padi. Kelibat sekumpulan remaja di Taman Sukan Lasak Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam yang memaparkan keyakinan ketika beraksi dengan papan selaju masing-masing jelas menunjukkan minat mereka terhadap sukan ekstrem itu.
Berusia antara 10 hingga 14 tahun, wajah remaja mereka berubah serius apabila sibuk mencongak setiap strategi dalam mengemudi papan yang deras membelah angin itu.
Walaupun mengakui perasaan gementar ada kalanya menghantui fikiran mereka, namun bagi kumpulan itu, kepuasan ketika meluncur adalah satu perasaan yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Bagi mereka, ia umpama bebas bagai burung yang terbang.
Musim cuti sekolah membuka ruang bagi remaja-remaja ini mengasah kemahiran mereka, di samping berpeluang meluangkan masa bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama.
Bagi Shahreza Hamizan Hasnol Azhar, 12, gelanggang papan selaju di taman rekreasi berkenaan digunakan sepenuhnya untuk melepaskan gian selepas sibuk membuat persiapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
"Kalau ikutkan hati saya, rasa seperti mahu tidur di sini sahaja. Keseronokan meluncur dan melompat di gelanggang-gelanggang berbeza membolehkan saya menghilangkan tekanan sebelum ini. Apabila pulang nanti, saya pasti tersenyum dan boleh mendengar arahan ibu bapa dengan lebih baik," selorohnya.
Sejak mula aktif dalam sukan berkenaan bulan lalu, Shahreza Hamizan berkata, keberanian adalah kunci utama untuk terlibat dalam sukan itu.
"Ketika meluncur saya tidak menghiraukan persekitaran atau sesiapa sahaja di sisi. Pada saat di atas papan selaju, fikiran saya tertumpu sepenuhnya terhadap pengawalan papan tersebut.

KEBERANIAN adalah aspek utama untuk menceburkan diri dalam sukan lasak papan selaju.


"Ramai dalam kalangan rakan-rakan saya masih baru dalam sukan ini dan kami sentiasa berpegang kepada pesanan peluncur senior yang mengingatkan kami untuk tidak teragak-agak ketika beraksi dan membuat keputusan dengan pantas.
"Oleh sebab itu, ramai yang berani melakukan aksi-aksi yang mengujakan," jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Gerakan Ollie
Ketika asyik menyaksikan gelagat kumpulan remaja berkenaan, semua mata kemudian tertumpu kepada seorang remaja yang tergelincir daripada papan selajunya.
Mujur tiada kecederaan serius menimpa Wan Nor Syazanee Wan Hanafi, yang bingkas bangun dan menyambung aksinya.
Bagi remaja yang berusia 14 tahun itu, jatuh adalah perkara biasa dalam proses mengawal papan selaju dan ketika mempelajarigerakan-gerakan baharu.
Baru setahun menceburi sukan itu, katanya, gerakan asas yang perlu dikuasai ialah gerakan Ollie.
Ujarnya, gerakan tersebut ialah apabila peluncur dan papan selajunya melompat ke udara tanpa menggunakan tangan.
"Dalam sukan lasak ini terdapat lebih 1,000 gerakan yang sering dilakukan peluncur profesional. Orang baru seperti saya perlu menguasai gerakan Ollie sebelum mempelajari gerakan-gerakan lain yang lebih mencabar.
"Satu perkara yang menarik dalam sukan lasak ini adalah hubungan akrab antara peluncur senior dan junior. Mereka yang lebih berpengalaman akan mengajar kami sehingga berjaya," tuturnya.
Menurut Wan Nor Syazanee, pelbagai tanjakan dan halangan yang disediakan di taman sukan itu seperti fun box, curve dan spine yang bersesuaian dengan kemahiran peluncur turut menambahkan minatnya terhadap sukan tersebut.
ANTARA keseronokan bermain papan selaju ialah kebolehan melaksanakan gerakan yang sukar.


Kumpul duit
Bagai medan mengasah bakat, dapat dilihat setiap peluncur laju memacu papan luncur dengan pelbagai gaya tersendiri.
Namun dari jauh, kelihatan seorang remaja yang leka menyaksikan rakan-rakannya yang lain beraksi.
Sesekali wajahnya berkerut menimbulkan seribu tanda-tanya sama ada dia tidak berpuas hati atau teruja dengan kemahiran yang ditunjukkan peluncur-peluncur lain.
Apabila diberi peluang oleh rakannya untuk beraksi di gelanggang, ternyata gerakan Muhd. Fudail Mazlin, 12, tidak kurang hebatnya.
Mula jatuh cinta dengan sukan itu sejak sebulan lalu, Muhd. Fudail mengakui dia dalam proses untuk membeli peralatan sukan papan selaju dengan mengumpul duit perbelanjaan sekolah yang diberi ibu bapanya.
"Saya dalam proses untuk membeli peralatan sukan ini kerana ia memang mahal. Buat masa ini, cukuplah sekadar melepaskan minat dengan meminjam papan selaju rakan-rakan," katanya.
Bercerita mengenai harga, Muhd. Fudail berkata, berdasarkan tinjauannya, harga papan selaju sahaja adalah sekitar RM200 sebuah bagi jenama tempatan, manakala alatan lain seperti roda, pita antigerak papan luncur dan skru harus dibeli berasingan.
Namun demikian, Muhd. Fudail bernasib baik kerana ibu bapanya sudi membantu dalam mencapai matlamatnya itu.
"Saya hanya mengumpul duit perbelanjaan sekolah sebanyak RM4 sehari. Bagaimanapun saya bersyukur ibu berjanji untuk menampung kos selebihnya.
"Mereka menyokong minat saya apabila berpendapat bahawa adalah lebih baik saya berada di sini daripada melakukan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah. Selain itu, ia juga satu bentuk aktiviti yang menyihatkan," jelasnya.

MUSIM cuti sekolah merupakan masa yang sesuai bagi peminat sukan papan selaju mengasah kemahiran mereka.


Latihan
Apabila ditanya, kebanyakan penggemar sukan itu menghabiskan masa berjam-jam di taman sukan lasak itu. Malah, ada yang mencecah lapan jam.
Ilham Fahmi, 13, yang menetap di Sungai Buloh berkata, ibu bapanya faham bahawa musim cuti sekolah adalah waktu untuknya bermain papan selaju.
"Bukan tidak mahu meluangkan masa bersama keluarga atau membelakangi mereka, tetapi cuti adalah waktu senggang kami. Rata-rata remaja dan kanak-kanak yang hadir di sini mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka terlebih dahulu.
"Saya menghabiskan banyak masa di sini untuk berlatih dalam mengawal papan selaju serta mempelajari gerakan-gerakan baharu," katanya sambil memaklumkan kemahiran pengawalan papan selaju bergantung kepada latihan yang konsisten.
Menurut anak muda ini, sukan papan selaju dilihat sebagai satu hobi yang mengujakan.
"Ramai yang bertanya, mengapa kami suka melakukan aksi ini walaupun ia berbahaya? Jawapan saya, kepada mereka hanya satu, cubalah sendiri," ujarnya.


Teknik jaringkan gol di bawah lampu neon

Posted: 06 Dec 2013 10:21 PM PST

PEMAIN futsal mengakui pengalaman bermain futsal dengan latar lampu neon merupakan satu aktiviti yang mengujakan.


BUAT JULUNG-JULUNG kali, jenama produk penjagaan dan penampilan diri lelaki tempatan, Dashing For Men menganjurkan satu perlawanan futsal berasaskan cahaya neon di Malaysia untuk musim yang kedua.
Memperkenalkan dua bintang bola sepak pasukan Selangor FA, Afiq Azmi dan Bunyamin Umar, masing masing merupakan penyerang dan pemain pertahanan pasukan tersebut turut bersama duta jenama Dashing For Men, Remy Ishak dan Henry Golding.
Kali ini, Cabaran Dashing 2 dijangka memberi peluang kepada para peminat sukan tersebut merasai pengalaman dan menguasai teknik menjaringkan gol di bawah cahaya neon.
Penganjuran klinik futsal ini juga selari dengan objektif pihak penganjur, Dashing For Men membawa mesej berdaya saing antara satu sama lain di bawa bimbingan pemain profesional.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pemenang Anugerah Premier League Malaysian Golden Boots, Rusdi Suparman akan mengetuai sesi latihan klinik futsal neon Cabaran Dashing 2.
Klinik futsal ini juga akan memberi peluang kepada peserta melihat bintang pasukan Selangor, Afiq dan Bunyamin melakukan demonstrasi langkah asas permainan futsal seperti menghantar, menggelecek, menghalang dan menyerang. Teknik dan tip yang dipelajari akan diuji melalui sesi perlawanan persahabatan antara media dan peminat.
Pengalaman unik
"Kami melihat Cabaran Dashing 2 sebagai sebuah platform inovatif dalam melahirkan individu berkeyakinan dan bertenaga. Ia mampu membuatkan anda lebih bertenaga dan kunci kepada keakraban persahabatan," jelas Afiq.

PENDEDAHAN futsal neon menawarkan peserta pelbagai cabaran yang menarik.


Sebagai pemain bola sepak profesional, pengalaman beraksi di bawah lampu neon adalah unik dan tersendiri. Pendedahan ini mencabar keyakinan dan ketangkasan seseorang membolosi pertahanan lawan. "Kami mahu semua peminat futsal di luar sana untuk menjadi mereka yang pertama merasai pengalaman bermain di bawah lampu neon ini," kata Bunyamin.
Klinik futsal ini juga merupakan pengalaman yang dikhas kepada 15 pemenang peraduan Aplikasi Cabaran Dashing 2 di laman Facebook, Dashing For Men. Pemenang utama Ahmad Adlyn Othman teruja bukan hanya untuk menyertai klinik futsal, malah kerana diberi peluang untuk beraksi bersama Remy Ishak dan Henry Golding sebagai Dashing All Stars di perlawanan akhir Cabaran Dashing.
Kapten kepada pasukan futsal neon Abdul Syamil Abd. Nashir, turut mengambil peluang menyertai klinik futsal ini.
Musim kedua bakal memperlihatkan ketangkasan beraksi di bawah cahaya neon untuk memenangi hadiah utama wang tunai RM10,000 dan peluang esklusif melawat studio produksi Astro Sports HD.
"Sebagai sebuah sukan kegemaran kaum lelaki, kami amat berbangga kerana menjadi pelopor dengan menawarkan cabaran dan kelainan menerusi perlawanan futsal neon. Ia pasti akan mencabar peserta dari segi fizikal dan mental untuk menjaringkan gol hanya diterangi cahaya neon. Sehubungan itu, kami menjangkaui batasan sukan dengan melalui aspirasi sukan melalui pengalaman di Klinik Futsal Cabaran Dashing 2," jelas Pengurus Pemasaran Wipro Unza (M) Sdn. Bhd., Rishi Pahwa.
Cabaran Dashing 2 akan mengumpul pasukan futsal neon terbaik melalui perlawanan wilayah Cabaran Dashing 2.
Mereka akan berentap pada pusingan separuh akhir sebelum membolosi lawang gol lawan pada pusingan separuh akhir dan beraksi pada pusingan akhir Cabaran Dashing 2 pada 13 Disember ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan