• Azad - Eira kerja keras demi keluarga

BIARPUN sudah lama berkecimpung di dalam industri seni, pasangan suami isteri Azad Jasmin dan Eira Syazira, tetap menghiasi panggung dan kaca televisyen. Tambahan pula, dengan kehadiran cahaya mata kesayangan, Amarra Sofea Rose, 11 bulan, membuatkan pasangan ini sedia bekerja keras demi periuk nasi mereka.

Bersyukur kerana mereka masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit tempatan, pasangan ini turut menceburi bidang perniagaan online, Ayra Closet, yang menjual pakaian, cermin mata serta aksesori sebagai pendapatan sampingan.

Meskipun sibuk dengan agenda masing-masing, baik Azad mahupun Eira, tetap mengutamakan keluarga dan satu-satunya cahaya mata mereka yang kini sedang membesar di depan mata.

Jelas Eira, walau sesibuk mana sekalipun, dia tetap akan memastikan suami dan anaknya terurus dengan baik serta mendapat perhatian yang secukupnya.

"Walaupun saya sibuk, namun saya tetap utamakan suami dan anak, namun, jika jadual saya terlalu padat, saya serahkan Amarra kepada Azad jika dia lapang.

"Sekarang, Amarra semakin membesar dan saya mahu dia dijaga dengan baik. Dia seorang anak yang tidak banyak kerenah. Namun, saya dan Azad sudah berbincang ingin mengambil  pembantu nanti.

"Tetapi kami akan sentiasa pastikan Amarra tak dibiarkan berdua dengan pembantu. Mesti akan ada saya atau Azad bersama kerana kami sangat risau sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Dalam pada itu, Azad memberitahu, dia sangat bahagia dengan kehidupan rumah tangganya. Memuji sikap Eira yang sentiasa memahaminya, Azad berkata, sebagai suami dia cuba memberikan kebahagiaan dan keselesaan buat isteri serta anaknya yang tersayang.

Bagi Azad, merekalah orang yang paling utama dalam hidupnya dan dia sedar berapa pentingnya dia mengatur jadual kerja dengan baik supaya dapat meluangkan masa bersama keluarga.

"Eira banyak menyokong dan merupakan isteri yang sangat bertanggungjawab. Walaupun dia juga sibuk, dia tetap mengutamakan saya dan anak.

"Sejujurnya saya sangat gembira dan bahagia kerana mempunyai isteri seperti Eira. Lagi pula dia semakin cantik dan saya semakin sayang padanya," ujar Azad sambil berseloroh.

Hero Tamil Kolumpo

Meskipun bukan hero kegemaran ramai, namun Azad tetap bersyukur kerana sehingga kini bakatnya masih dipandang.

Terbaru, dia memegang watak utama menerusi filem Kolumpo arahan Bront Palare sebagai Rahul yang merupakan pendatang asing dari India.

Menerusi filem ini, dia terpaksa belajar bahasa Tamil dengan dialek yang sangat pekat dan berbeza sebutannya dengan bahasa biasa diguna pakai oleh masyarakat India di negara ini.

"Bayangkanlah, memegang watak ini adalah cabaran besar bagi saya. Sungguhpun saya tau sedikit bahasa India, tapi saya masih tidak boleh menguasainya. Bagaimanapun, saya mencuba sehinggalah saya dapat membawa watak itu," katanya yang banyak belajar bahasa Tamil melalui seorang guru bahasa dari India.

Menurut pelakon yang banyak menghidupkan watak komedi ini, dia bersyukur kerana melalui Bront Palare membuka peluangnya untuk memegang watak utama walaupun menyahut cabaran memegang watak hero Tamil.

"Bront nampak kewibawaan saya untuk memegang watak hero. Apa pun, saya sangat bertuah bekerjasama dengannya. Dia seorang yang unik. Walaupun tugas melakonkan watak itu agak berat bagi saya. Tapi saya sanggup menggalasnya," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai lakonannya menerusi filem lain, Azad mengakui dia sudah selesai penggambaran untuk 14 buah filem yang dijangka ditayangkan sekitar tahun depan.

"Saya amat gembira dengan hasil kerja keras ini. Semua ini adalah rezeki daripada ALLAH untuk isteri dan anak saya di sisi sekali gus sentiasa memberi sokongan kepada saya," katanya.

Dalam pada itu, Azad turut meluahkan rasa gembira kerana peminatnya semakin bertambah menerusi laman sosial miliknya. Bagi Azad, itu adalah petanda positif terhadap karier seninya dan membuatkannya lebih bersemangat untuk bekerja lebih keras serta memberikan yang terbaik dalam industri seni.

"Alhamdulillah, peminat banyak menyokong dan menerima kami sekeluarga. Ternyata mereka suka cara lakonan saya dan Eira. Bahkan mereka dapat menerima kami dengan baik dalam bidang seni sehingga ke hari ini.

"Saya berharap mereka tidak akan pernah berhenti untuk menyokong serta memberikan kami peluang lagi mewarnai dunia seni," katanya.

Eira lebih selektif

Berbeza dengan Azad, Eira Syazira yang lebih dekat dengan watak air mata. Lakonannya yang berkesan mampu membuatkan penonton terheret sama dengan wataknya itu.

Meskipun banyak muka-muka baharu menghiasi kaca TV, namun ia tidak menjadi penghalang buat ibu kepada seorang cahaya mata ini terus beraksi di depan lensa.

"Saya bersyukur kerana masih lagi terima tawaran dan masih menjadi pilihan pengarah drama.

"Walaupun, saya tidak mendapat tawaran berlakon filem namun, saya banyak terima tawaran berlakon drama. Alhamdulillah, ia sekali gus tidak membuatkan saya hilang dalam dunia seni tanah air.

"Namun, saya agak selektif dan tak mahukan skrip last minit dan tiada jadual penggambaran. Ia susah, kerana saya dah berkeluarga," katanya yang bakal memulakan penggambaran dua buah drama pada Januari depan.

Rakam single pertama

Pernah mencuri perhatian dengan beberapa lagu tema untuk drama bersiri sebelum ini, Eira bakal muncul dengan single pertamanya tidak lama lagi.  Lagu berjudul 'Tersedar Aku' hasil ciptaan komposer Indonesia, iaitu Panji Sakti bakal menjalani rakaman di Bandung pada Januari 2014.

Teruja akhirnya dapat muncul dengan single sendiri, Eira berkata, Tersedar Aku, akan menjadi buah tangan yang bermakna kepada peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini.

"Saya selalu tampil dengan OST, dan akhirnya lagu-lagu tu tak ke mana. Jadi Insya-ALLAH, dengan keluarnya single ini, ia akan menjadi siulan dan diterima peminat-peminat saya yang sering menantikan lagu daripada saya," katanya yang mengakui nyanyian juga merupakan minat utamanya.