Rabu, 25 Disember 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Kelab Peminat Akan Timbulkan Banyak Masalah - Izara Aishah

Posted: 23 Dec 2013 06:30 PM PST


Izara Aishah
PETALING JAYA: Pelakon Izara Aishah menganggap dia tidak perlu untuk menubuhkan kelab peminat bagi menyokong kerjayanya dalam industri seni tanah air.
Izara, atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham 21, berpendapat, kelab peminat yang ditubuhkan untuk seseorang artis hanya akan menimbulkan banyak masalah berbanding faedah kedua-dua belah pihak.
"Saya tidak ada kelab peminat kerana bagi saya ia hanya akan menimbulkan masalah sesama mereka dan akan melibatkan saya secara tidak langsung.
"Saya lebih suka peminat menyokong kerjaya seni saya secara terbuka dan bukan melalui mana-mana kelab," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media pelancaran telefilem Oh My English!-Hello America, di Hotel Hilton, di sini, Isnin.
Tambah Izara, ia turut dilihat tidak adil bagi peminat-peminatnya yang lain jika dia hanya memberi tumpuan kepada sesuatu kumpulan individu iaitu dalam kelab itu sahaja.
Jelasnya, dia pernah didatangi sekumpulan peminat yang menubuhkan kelab yang mengeluarkan sejumlah wang sebagai kos untuk barangan-barangan dengan menggunakan namanya.
Namun, selepas nasihat dan penjelasan yang diberikan, kumpulan tersebut dibubarkan.
"Saya tidak mahu bertanggungjawab jika sebarang permasalahan berlaku, jadi lebih elok jika mereka bubarkan sahaja kumpulan tersebut," katanya.
Sementara itu, ditanya ketiadaan pengurus peribadi yang bertindak mengatur strategi menempatkan namanya di sesuatu tahap, Izara berkata, dia selesa menguruskan jadual kerjayanya sendiri.
Dia juga mengambil tawaran berlakon mengikut kekuatan sesebuah skrip dan kekosongan jadual.
"Mungkin silap saya sebab tidak pandai untuk mengatur strategi dan mengakibatkan tahun ini saya senyap tanpa sebarang produk.
"Tapi sebenarnya tahun ini saya banyak ambil tawaran berlakon cuma saya tidak tahu bila ia akan ditayangkan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Izara yang turut berlakon dalam telefilem Oh My English!-Hello Amerika mengakui tidak dapat menjayakan drama bersiri popular itu untuk musim ketiga akan datang.
Katanya, dia menolak tawaran untuk musim akan datang kerana jadual penggambaran yang bertindan dengan beberapa tawaran yang sudah pun diambil.
Telefilem Oh My English!-Hello America akan disiarkan pada 15 Januari depan, pukul 9 malam di Astro TVIQ dan Astro Maya HD.

Cerita Kiamat Jadi Punca Isteri Aaron Aziz Bertudung

Posted: 23 Dec 2013 06:29 PM PST


Aaron dan isteri, Diyana Halik.
KUALA LUMPUR: Pelakon Aaron Aziz menzahirkan rasa syukur apabila isterinya Diyana Halik, 30, akhirnya membuat keputusan untuk berhijab selepas pulang daripada bercuti di Hong Kong pada Ahad lalu.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 37, berkata, dia ada meminta isterinya untuk bertudung selepas menunaikan umrah dua tahun lalu, namun tidak memaksa wanita itu untuk berbuat demikian.
"Saya bersyukur akhirnya dia ambil keputusan untuk bertudung dengan ikhlas tanpa sebarang paksaan.
"Sebelum ini ada juga meminta dia berhijab iaitu selepas pulang menunaikan umrah dua tahun lalu, namun saya tidak mahu terlalu memaksa dan biar dia melakukannya dengan kerelaan hatinya sendiri," katanya ketika ditemui pada sidang media Oh My English-Hello America, di Hotel Hilton, Isnin.
Tambah Aaron, dia mengetahui niat isterinya untuk berhijab sudah lama, namun belum benar-benar bersedia untuk keputusan tersebut.
Aaron berkata, dia juga mahu anak-anaknya mengikuti perubahan tersebut demi kebaikan keluarga mereka.
"Saya mahu anak-anak pun sama berubah juga, kalau boleh tidak mahu mereka pakai terlalu seksi atau singkat.
"Dahulu kalau saya tegur mereka akan mereka akan mempersoalkannya, kali ini biar mereka juga ikut seperti ibu mereka," katanya.
Sementara itu, Diyana berkata, tindakan mengenakan selendang di kepala ketika berada di pesawat dalam perjalanan pulang dari percutian di Hong Kong menjadi titik mula hatinya terbuka untuk terus bertudung.
Tambahnya lagi, Aaron kerap kali menghantar video-video dan bercerita tentang hari kiamat menguatkan lagi hatinya untuk berhijrah.
"Sejak kebelakangan ini, Aaron banyak bercerita tentang petanda kiamat dan perkara itu menguatkan hati saya untuk bertudung.
"Sebelum ini memang saya sudah ada niat untuk berubah, cuma hati masih belum benar-benar bersedia," katanya yang belum berkesempatan membeli tudung untuk membolehkan imejnya kelihatan lebih sempurna.

Astro Perkenalkan Pula 'Oh My English-Hello America'

Posted: 23 Dec 2013 06:28 PM PST


Barisan pelakon 'Oh My English!-Hello America'.
KUALA LUMPUR: Selepas telefilem Oh My Ganu mendapat sambutan, drama bersiri bercorak pendidikan Oh My English! tampil dengan sebuah lagi telefilem yang lebih istimewa iaitu Oh My English!- Hello America yang akan bersiaran pada 15 Januari depan, pukul 9 malam di Astro TVIQ.
Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, Oh My ganu-Hello America akan membawa penonton menyusuri pengembaraan mempelajari bahasa Inggeris dan budaya masyarakat di Amerika Syarikat.
"Kita lihat sambutan Oh My Ganu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan meraih sebanyak 1.1 juta tontonan pada hari siaran perdananya dan berada di kedudukan nombor satu trend topik di laman Twitter di Malaysia.
"Kali ini pula kita akan ke Amerika Syarikat dan melihat sambil belajar penggunaan bahasa Inggeris dengan cara yang betul di negara berkenaan," katanya pada sidang media Oh My English!- Hello America, di Hotel Hilton, di sini, Isnin.
Antara pelakon yang menjayakan telefilem ini ialah Aaron Aziz, Zain Saidin, Tiz Zaqyah, Harun Salim Bachik dan Izara Aishah.
Penerbit Eksekutif Red Communications Sdn. Bhd. Lina Tan (dari kiri), wakil keduaatan Amerika Syarikat di Malaysia, Harvey Sernovitz dan Putri Yasmin Megat Zaharuddin semasa pelancaran telefilem 'Oh My English! Hello America' di KL Hilton hotel pada Isnin.
Tambah Putri, penggambaran selama enam hari di negara tersebut juga mendapat tajaan dan kerjasama daripada kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia.
Sementara itu, pelakon, Izara Aishah mengakui cabaran utama sepanjang penggambaran adalah berhadapan dengan cuaca sejuk.
"Penggambaran dilakukan pada November lalu di mana cuaca terlalu sejuk, sedangkan kami diberitahu cuaca tidak begitu sejuk dan membawa baju yang tipis.
"Bila cuaca sejuk penggambaran agak terganggu dan kita pula rasa cepat marah kerana ingin semuanya dibuat dengan pantas," katanya.
Bagaimanapun, kata Izara, ia merupakan pengalaman pertamanya berlakon di negara itu.
Telefilem ini berkisar tentang pengalaman pelajar Sekolah Menengah Ayer Dalam yang berjaya memenangi pertandingan filem pendek dan mendapat pakej lawatan ke Amerika Syarikat.
Pengembaraan bersama guru-guru sekolah itu membawa mereka ke tempat-tempat menarik di kota New York serta lawatan ke sebuah sekolah menengah di Amerika Syarikat.
Dalam telefilem ini turut memaparkan beberapa lokasi menarik di New York seperti Time Square dan Statue of Liberty.

Kedai online makin popular

Posted: 23 Dec 2013 06:27 PM PST

  • Kedai online makin popular

PASARAN beli-belah dalam talian di Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan pesat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, menurut penyedia platform membeli-belah dalam talian Rakuten Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rakuten Masaya Ueno berkata, laporan Euromonitor menjangkakan nilai pasaran online di Malaysia meningkat daripada RM842 juta pada 2011 kepada RM1.72 bilion menjelang 2017.

Beliau berkata, prospek pasaran itu turut positif dengan Asia dijangka mendahului pertumbuhan e-dagang di peringkat global dengan jangkaan peningkatan 27.5 peratus, mencecah AS$323.1 bilion (RM1.064 trilion), menurut kajian Goldman Sachs.

"Rakuten Malaysia yakin dengan prospek pasaran pada 2014 kerana ada peningkatan dalam pertumbuhan dan penggunaan e-dagang, pembayaran dalam talian dan perniagaan kandungan digital dalam pasaran Malaysia," katanya dalam satu kenyataan berhubung unjuran industri itu bagi tahun depan.

Menurut beliau, Rakuten Malaysia yang memasuki pasaran negara ini pada November tahun lalu menerima sokongan hebat daripada rakan dagang, penjual dan pelanggan.
"Pada masa ini, terdapat 40,000 produk dipasarkan melalui Rakuten Online Shopping daripada 130 syarikat peruncitan.

"Pemerhatian kami dalam 12 bulan lalu menunjukkan pembelian e-dagang dan sikap pelanggan telah berubah dan menjadi semakin sofistikated," katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan pesat sektor itu dijangka berterusan tahun depan dan tahun-tahun seterusnya, berdasarkan tiga trend utama iaitu jangkaan pengguna yang semakin meningkat, pembelian melalui pelbagai saluran dan penggunaan sepenuhnya khidmat data untuk menjangka sikap pengguna oleh syarikat peruncitan.

BR1M 2014 dibuka hari ini

Posted: 23 Dec 2013 05:29 PM PST

  • LHDN

KUALA LUMPUR - Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 dibuka mulai hari ini sehingga 31 Januari depan.

Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

"Bagi pemohon baharu pula boleh mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014 secara percuma mulai tarikh tersebut," kata kenyataan itu.

Borang permohonan BR1M 2014 boleh didapati di pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau dimuat turun melalui laman web LHDN diwww.hasil.gov.my.

Pembayaran akan dibuat kepada yang layak bermula Februari dan BR1M 2014 dijangka memberi manfaat kepada 5.9 juta isi rumah serta dua juta individu bujang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-2716 yang dibuka mulai hari ini, dari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Ketika pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri ,Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala untuk indvidu bujang berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan dinaikkan sebanyak RM50 kepada RM300.

Selain itu caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 akan diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas dan tinggal sebatang kara juga akan menerima kenaikan jumlah bantuan daripada RM500 kepada RM650.

Adira nafi hidup mewah kerana kekasih hati

Posted: 23 Dec 2013 05:24 PM PST

ADIRA memiliki kulit yang mulus dan putih melepak.


DIA bukan membuat pengumuman bakal bertunang atau berkahwin dengan kekasihnya yang merupakan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBB1M) yang berusia 27 tahun, Shahrul Nasrun Kamarudin.
Sebaliknya, penyanyi putih melepak, Adira mengadakan sidang akhbar baru-baru ini bagi mempromosikan produk kecantikan sulungnya, Adira Beauty Signature yang merupakan sabun pemutih kulit.
Sabun tersebut merupakan produk permulaan buat penyanyi berusia 23 tahun itu sebelum menerokai produk lain pada masa akan datang.
Mudah untuk mengeluarkan produk sendiri, namun ramai yang beranggapan Adira menggunakan kuasa yang ada pada kekasihnya untuk mendapat kelulusan mudah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tidak cukup dengan itu, penyanyi kelahiran Sabah itu juga kini dikatakan sudah pandai bergaya dan menjalani kehidupan mewah selepas mengenali pemuda berasal dari Kelantan itu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adira pada majlis pelancaran Adira Beauty Signature di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Apakah yang boleh Adira kongsikan mengenai produk kecantikan sulung anda, Adira Beauty Signature ini?
ADIRA: Ramai peminat yang tanya macam mana saya boleh putih dan ingin mengetahui rahsia di sebalik kulit putih yang saya miliki. Disebabkan itu, saya terfikir untuk mengeluarkan produk pemutih dan berkongsi rahsia saya dengan para peminat.
Sebelum ini ada yang mendakwa Adira menggunakan produk pemutih untuk memutihkan kulit?
Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak menggunakan mana-mana produk lain. Sabun ini sahaja produk keluaran saya dan saya menggunakannya.
Sudah berapa lama Adira menggunakan sabun ini?
Saya sudah menggunakan sabun ini sejak setahun yang lalu. Jadi, tidak perlu rasa was-was dan ragu-ragu kerana produk ini juga sudah dihantar ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk ujian sebelum produk berkenaan dibenarkan untuk jualan.
Ada yang beranggapan produk Adira ini begitu mudah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Adakah kelulusan tersebut diperoleh dengan bantuan kekasih anda?
Dia (kekasih) tiada kaitan langsung dalam perniagaan ini dan saya tidak melibatkan dirinya dalam mendapatkan kelulusan tersebut.
Bukan mudah untuk saya mendapatkan kelulusan KKM kerana ia mengambil masa hampir lima bulan.
Saya tidak pernah berniat untuk menggunakan kekasih dalam perniagaan yang saya lakukan. Saya ceburi bisnes ini untuk masa depan saya dan keluarga.
ADIRA mengakui ada berbincang soal perkahwinan dengan kekasihnya, Shahrul.


Adakah kekasih menjadi pendorong untuk Adira terbabit dalam perniagaan?
Sebelum mengenali dia lagi saya sudah menyimpan keinginan untuk mempunyai perniagaan sendiri. Ia dikuatkan lagi dengan nasihat kawan-kawan dan keluarga. Mereka menyarankan saya perlu mempunyai perniagaan sebagai langkah untuk masa akan datang. Saya juga memperoleh inspirasi melihat kejayaan artis lain seperti Datuk Siti Nurhaliza yang mempunyai produk sendiri.
Bagaimanapun, saya akui banyak belajar cara-cara berniaga daripada Shahrul. Dia juga banyak bagi sokongan kepada saya.
Selain itu, Shahrul juga dilihat sering menemani Adira dalam majlis-majlis hiburan rasmi. Adakah ia permintaan Adira atau dia sendiri yang ingin bersamadi setiap acara hiburan?
Setakat ini, baru tiga kali dia menemani saya ke majlis hiburan. Saya selesa dia menemani saya. Itupun kalau dia lapang dan tidak sibuk bekerja. Bagi saya, tindakannya itu bukan untuk mengongkong saya tetapi sekadar memberi sokongan.
Sudah berapa lamakah hubungan cinta kalian berlangsung? Ada perancangan ke alam perkahwinan?
Saya dengan Shahrul sudah berkawan hampir setahun. Memang kami ada berbincang mengenai hal itu (kahwin) tetapi belum ada sasaran bila (tarikh). Tunggu masa yang sesuai.
Saya pun baru berusia 23 tahun dan ingin mengukuhkan karier dahulu.
Adira sekarang semakin pandai bergaya dengan barangan berjenama dan khabarnya hidup mewah. Adakah ia mempunyai kaitan dengan Shahrul?
Memang saya akui, dulu tidak pandai bergaya dan tidak pandai memakai barangan berjenama. Namun, saya belajar daripada orang yang berpengalaman seperti Shahrul. Saya akui, dia memang pandai bergaya.
Saya juga belajar daripada rakan-rakan artis lain tetapi semua barangan yang saya pakai adalah hasil titik peluh sendiri. Saya tidak mewah kerana saya masih ada keluarga yang perlu dijaga.
Duit banyak juga boleh habis. Terpulang kepada individu bagaimana ingin menghasilkan duit lebih banyak. Bagi saya, perniagaan adalah cabang untuk kita cari lebih banyak duit.
Boleh kongsikan apakah bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan sabun itu dan berapakah harganya?
Sabun Adira Beauty Signature mengandungi ekstrak buah, Glutathione, minyak Jojoba dan Vitamin C. Sabun tersebut berharga RM60 dan ia boleh dibeli secara dalam talian, Twitter, Facebook dan Instagram di bawah nama jenama tersebut atau boleh hubungi 017-320 4300. Selain itu, bagi 100 pembeli pertama produk sabun itu, mereka berpeluang menikmati makan malam bersama saya.


Menangis kerana kontroversi

Posted: 23 Dec 2013 05:22 PM PST



USIANYA dalam bidang seni boleh dikira masih lagi setahun jagung tetapi tidak bermakna pelakon Nur Risteena Munim Zainul Ilyas dapat mengelak daripada terpalit dengan kontroversi yang membabitkan dirinya.
Baru sahaja namanya mula menjadi sebutan kerana lakonannya dalam drama bersiri Playboy Itu Suami Aku, tiba-tiba timbul pula cerita kurang enak membabitkan disiplin dirinya.
Menerusi laporan sebuah akhbar baru-baru ini, timbul dakwaan yang mengatakan pelakon berkenaan sudah mula buat perangai serta bertindak membatalkan sesi fotografi sehingga mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak.
Dalam satu sesi fotografi yang diaturkan bersama Kosmo!, jelas terpancar riak wajah kesedihan terhadap pelakon muda yang baru mencecah usia 24 tahun itu apabila dituduh sebagai artis yang tidak berdisiplin.
"Sebagai pelakon baharu, sudah tentu saya perlukan publisiti yang lebih meluas terutama sekali cerita tentang diri dan kerjaya saya menerusi akhbar.
"Bagaimanapun, saya ingin jelaskan bahawa masalah yang timbul ini berpunca daripada salah faham sehingga sesi fotografi yang diaturkan terpaksa dibatalkan.
"Sepanjang setahun menjadi pelakon, saya sangat menjaga disiplin dan tidak pernah datang lambat ke lokasi. Apabila timbul cerita-cerita sebegini, pastinya ia membuatkan saya rasa begitu sedih," luahnya sambil meminta maaf kepada pihak yang berkecil hati dengannya.
Jelas Risteena, antara sebab utama dia berhadapan dengan masalah tersebut kerana tidak menggunakan khidmat pengurus, sedangkan jadual lakonannya kini semakin padat lantaran pelbagai tawaran yang diterima.
Ujar pelakon yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu, memang ada yang mencadangkan supaya dia mencari pengurus yang boleh menguruskan kerjayanya dengan lebih teratur, namun dia merasakan masih lagi mampu bergerak sendiri.
"Apabila mengalami situasi sebegini, saya pernah menangis dan tidak menyangka terpalit pula dengan kontroversi memandangkan saya sangat memberi komitmen terhadap setiap pekerjaan yang dilakukan.
"Namun begitu, apabila difikirkan semula, tidak ada guna saya menangis sehingga memberikan tekanan. Saya anggap segala yang berlaku ini merupakan salah satu cabaran dalam usaha saya untuk mencipta nama dan segala kesilapan akan cuba saya elakkan agar tidak menyinggung mana-mana pihak," ujarnya.
RISTEENA mengakui sebelum ini dia tidak berminat untuk berlakon.


Menurutnya, selaku seorang pendatang baharu, sudah tentu perkara yang paling mahu dielakkannya ialah terbabit dengan setiap isu kontroversi yang boleh mendatangkan persepsi negatif peminat terhadap dirinya.
Ujarnya, dia tidak mahu segala yang diusahakannya untuk menjadi seorang pelakon berjaya, menjadi sia-sia dengan imej yang terjejas serta kepercayaan peminat terhadap dirinya mula berkurangan.
"Pada masa ini, tumpuan utama saya hanya pada bidang lakonan dan tidak mahu masalah lain mengganggu tumpuan kerja saya. Selain itu, saya mengambil keputusan untuk mengelakkan diri daripada bercinta dan mempunyai komitmen dengan mana-mana lelaki.
"Sekiranya saya sudah ada kekasih dan timbul masalah dalam hubungan cinta, sudah tentu kisah peribadi saya lebih menjadi perhatian. Saya tidak mahu perkara tersebut berlaku dan biarlah cinta saya hanya kepada dunia lakonan sekarang ini," jelasnya.
Pelakon 'kayu'
Di sebalik kontroversi yang melanda dirinya itu, Risteena turut mendapat kritikan ramai apabila ada segelintir yang melabelkannya sebagai seorang pelakon 'kayu' ketika melihat kemunculannya dalam drama bersiri Playboy Itu Suami Aku.
Bergandingan dengan seorang lagi muka baharu, Fattah Amin dalam drama berkenaan, pelakon itu mengakui tidak kisah apabila dilabel sedemikian oleh peminat menerusi laman sosial.
"Mula-mula membaca komen sedemikian menerusi laman sosial Twitter, saya rasa sangat kecewa memandangkan ketika itu penggambaran masih lagi berjalan. Ada kalanya sewaktu penggambaran sedang dilakukan, saya langsung tidak bersemangat.
"Kemudian pengarah banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar untuk memperbaiki lagi mutu lakonan kami.
"Selain itu, kami akan berhenti berehat ketika drama ini sedang ditayangkan di televisyen dan menerusi cara tersebut saya dapat melihat setiap kelemahan yang ada," ujarnya.
Mengakui tidak berpuas hati dengan lakonannya dalam drama bersiri berkenaan pada episod awal, kini dia dan Fattah yang turut mendapat kritikan berhasil memperbaiki lakonan masing-masing.
"Pada mulanya, kami memang agak sukar untuk mencari keserasian bersama kerana kali pertama bergandingan serta masing-masing pemalu dan buat hal sendiri, namun pengarah meminta kami lebih mesra di lokasi supaya mudah ketika berlakon," ujarnya.
Dalam pada itu, Risteena menyatakan selain Playboy Itu Suami Aku yang masih ditayangkan di kaca televisyen, terdapat sebuah lagi drama bersiri lakonannya iaitu Menjinak Ombak arahan Along Kamaruddin sedang ditayangkan sejak 6 Disember lalu di slot Zehra setiap hari Jumaat pada pukul 9 malam.
RISTEENA sedih apabila dilanda kontroversi negatif.


Tidak minat
Ketika dirinya sudah mula mendapat perhatian ramai serta menjadi pilihan pengarah untuk memegang watak utama, Risteena mendedahkan bahawa dia sebenarnya sebelum ini tidak minat menjadi pelakon.
Bercerita lebih lanjut tentang pembabitannya dalam dunia lakonan, pelakon berkenaan menyatakan, semuanya bermula apabila dia menjalani uji bakat untuk filem Mama Cupcake pada tahun lalu.
"Ketika itu saya bersama tiga orang rakan lain datang ke uji bakat, tetapi niat saya sekadar untuk menemani rakan-rakan. Bagaimanapun, apabila sampai ke tempat uji bakat, mereka mengajak saya untuk turut serta.
"Akhirnya, dalam uji bakat berkenaan hanya saya seorang yang terpilih. Walaupun saya sekadar membawakan watak sampingan dalam filem berkenaan, namun itu merupakan langkah awal saya terjun ke dalam bidang ini," ujarnya.
Selepas beberapa bulan menjalani penggambaran filem berkenaan, Risteena kemudiannya mendapat tawaran untuk berlakon drama bersiri berjudul Sahara yang disiarkan di Astro Prima.
Sejak itu, dia membuat keputusan untuk serius dalam lakonan.
"Kalau diikutkan, saya lebih berminat dalam bidang pengacaraan tetapi dunia lakonan lebih memihak kepada diri saya sekarang.
"Dengan pelbagai tawaran berlakon yang diterima, rasa rugi pula kalau peluang yang diperoleh ini saya tolak," jelasnya.


Penyokong tegar bukan samseng bola sepak

Posted: 23 Dec 2013 05:13 PM PST



SUASANA di Stadium Shah Alam, Selangor sewaktu perlawanan kelayakan bola sepak Piala Asia antara Harimau Malaya dan Qatar, November lalu kelihatan suram dengan kehadiran penonton tidak sampai 5,000 orang.
Namun, di satu sudut stadium kelibat sekumpulan anak muda berpakaian hitam dan kuning mula memenuhi tempat duduk stadium sambil membawa kain rentang, mafela dan gendang.
Kehadiran mereka berjaya mencuri tumpuan penonton lain termasuk anggota polis yang ditugaskan mengawal keadaan.
Ketika pemain-pemain memasuki padang, salah seorang lelaki bertopeng itu bangun berdiri di atas kerusi penonton sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya.
"Demi Malaysia...oooo...Demi Malaysia!," jerit individu tersebut dan disahut oleh ahli kumpulannya sambil diiringi paluan gendang dan tepukan gemuruh yang memecah kesunyian stadium pada malam itu.
Kata-kata tersebut ternyata berjaya menaikkan semangat penonton lain yang menyaksikan perlawanan tersebut.
Itulah antara usaha menarik yang dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Ultras Malaya (UM).
Menurut seorang ahli UM, Iyzat Hamdan, 21, tujuan utama penubuhan kumpulan tersebut adalah untuk menjadi pemain ke-12 pasukan Harimau Malaya dengan memberikan sokongan padu tanpa mengambil kira keputusan di atas padang.
"Kami menubuhkan kumpulan ini pada tahun 2007 selepas kekalahan memalukan pasukan negara pada kejohanan Piala Asia AFC.
"Prestasi pasukan negara yang tidak menentu ketika itu menyebabkan stadium bola sepak berubah menjadi kosong dan sunyi," katanya.

MAFELA merupakan item penting kumpulan Ultras Malaya.


Budaya ultras
Menurut Iyzat, budaya ultras atau penyokong tegar telah lama wujud dalam dunia bola sepak terutamanya di Eropah. Ia bermula di Itali apabila terbentuknya kumpulan penyokong bernama Fedelissimi Granata Torino pada tahun 1951.
Pada tahun 1960-an, budaya itu terus berkembang dengan kemunculan beberapa kumpulan lain.
Tambahnya, nama ultras mula digunakan buat pertama kali pada tahun 1969, apabila penyokong kelab Sampdoria dan Torino di Itali membentuk kumpulan Ultras Tito Cucchiaroni dan Ultras Granata.
Katanya, kumpulan ultras di luar negara lebih bersifat ganas, samseng dan memberontak. Namun bagi UM, mereka menerapkan budaya ketimuran tetapi agresif demi kebaikan sukan itu di negara ini.
"Kami tidak membaling botol, membakar mercun mahupun melakukan kerosakan harta benda kerana kami mematuhi undang-undang. Sokongan kami adalah bermaruah," tegasnya.
Menurut pemuda kelahiran Selangor itu lagi, pada ketika ini hanya terdapat dua pasukan kebangsaan di dunia yang mempunyai penyokong ultras iaitu Ultras Malaya dan Ultra Nippon di Jepun.
Iyzat juga menyatakan bahawa kumpulan UM adalah bersifat sukarela. Tiada yuran keahlian dikenakan. Mereka juga tidak menerima tajaan daripada pihak tertentu.
"Kami hanya memperoleh dana hasil daripada penjualan mafela dan baju. Kutipan akan digunakan bagi membaiki gendang yang rosak dan membuat kain rentang.
"Siapa saja boleh menyertai kami di sudut stadium yang digelar curva ultras dengan syarat mereka sanggup berdiri dan menyanyi sepanjang permainan berlangsung. Selain itu, mereka juga perlu berpakaian gelap dan membawa mafela," ceritanya lagi.
Jelasnya, UM juga boleh berbangga kerana dapat menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dengan satu matlamat iaitu menyokong pasukan Harimau Malaya.
"Kesan yang paling ketara apabila menyertai ultras ini ialah mereka dapat merapatkan hubungan yang terjalin.

BUDAYA ultras atau penyokong tegar juga wujud di luar negara termasuk di Jepun.


"Ultras sebenarnya lebih daripada pasukan sorak, kami sanggup melakukan apa saja untuk datang ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan negara," katanya.
Kehadiran kumpulan ultras ini turut dirasai oleh penyerang prolifik Harimau Malaya iaitu Safee Sali.
Menurutnya yang juga penyerang Johor Darul Takzim (JDT), kewujudan kumpulan UM ini merupakan perkara positif untuk sukan bola sepak kerana mereka sama-sama berdiri di belakang pemain ketika menang mahupun kalah.
"Kehadiran mereka ke stadium sangat dirasai dengan nyanyian lagu-lagu semangat dan paluan gendang sehingga menaikkan moral kami yang sedang bermain di padang," katanya.
Dalam keghairahan memberi sokongan, Safee juga menyeru agar kumpulan UM lebih berdisiplin dan tidak bertindak agresif terhadap apa jua keputusan seperti yang dilakukan kumpulan ultras di Jepun dan Eropah.
"Contohilah kebaikan kumpulan ultras di sana dan jangan sekali-kali membawa budaya yang negatif dari luar ke negara ini. Kita perlu mencari identiti sendiri" katanya.
Safee yang berpengalaman bermain dalam liga di Indonesia berkata, negara yang terkenal dengan jolokan Garuda itu turut mempunyai kumpulan ultras untuk kelab-kelab bola sepak tetapi mereka mempunyai disiplin yang tinggi sungguhpun pasukan yang disokong kalah.
Suasana lebih meriah
Sementara itu, menurut seorang penyokong tegar pasukan negara, Elmi Zulifan, 25, kehadiran kumpulan UM di stadium ketika perlawanan menjadikan suasana lebih meriah dan menarik.
Menurutnya, nyanyian lagu semangat dan paluan gendang daripada kumpulan itu dapat memecah kesunyian stadium dan menaikkan semangat penyokong-penyokong lain yang ada di dalam stadium.
"Lihatlah mereka, walaupun sedikit tetapi nyanyian mereka sangat kuat sehingga saya rasa seperti berada di dalam stadium yang penuh.

ULTRAS MALAYA sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan negara baik ketika menang atau kalah.


"Lagu-lagu semangat yang dinyanyikan juga sangat patriotik dan menarik sehingga penyokong lain turut menyanyi bersama," ceritanya.
Elmi juga bersetuju dengan gelaran UM sebagai pemain ke-12 kepada skuad negara.
Menurutnya, kumpulan UM sentiasa memberi sokongan kepada pasukan negara dan mereka datang ke stadium bukan hanya untuk menonton tetapi sama-sama berjuang.
Keadaan ini tidak seperti penyokong lain yang datang ke stadium hanya untuk menonton perlawanan.
Dia juga amat tertarik dengan formasi yang ditunjukkan oleh kumpulan UM ketika menyanyi seperti bertepuk tangan beramai-ramai dan mengangkat mafela bersama-sama.
"Gaya yang ditunjukkan ini sangat unik sehingga mampu menarik perhatian penonton lain," katanya.


Belakang kedai jadi Laman Seni

Posted: 23 Dec 2013 05:11 PM PST


ANTARA lukisan mural yang dihasilkan para pelajar UiTM, Shah Alam.


LUKISAN dinding dahulunya dikritik terutamanya oleh mereka yang tidak mengerti mesej yang ingin disampaikan. Ada juga yang melihatnya sebagai mencacatkan pemandangan malah satu perbuatan vandalisme.
Namun, di Amerika Syarikat, lukisan dinding yang dikenali sebagai mural itu merupakan karya seni yang begitu popular dan eksklusif. Ia menampilkan motif pendidikan dan budaya serta dipersembahkan dalam bentuk tiga dimensi.
Di Shah Alam, Selangor pula, sejajar usaha memperkasakan aktiviti seni dan budaya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mewujudkan projek perintis Laman Seni yang menjadikan lorong belakang bangunan kedai di Seksyen 2, Shah Alam sebagai lokasi bagi golongan kreatif ini menterjemahkan karya masing-masing.
Dirasmikan pada 1 Disember lalu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan berkata, kewujudan Laman Seni itu adalah untuk menyediakan platform kepada orang ramai khususnya golongan pelajar menyerlahkan bakat dan kreativiti melalui aktiviti persembahan, pameran dan seni lukisan mural.
Malah kata beliau, lokasi yang popular dalam kalangan penduduk tempatan itu juga akan dijadikan sebagai lokasi tumpuan ramai khususnya golongan karyawan dan pelajar untuk mengadakan persembahan secara santai seperti aktiviti deklamasi sajak, puisi dan persembahan pentas.
"Laman Seni ini juga akan membuka ruang kepada pelajar untuk mempamerkan hasil kerja seperti lukisan dan produk untuk tatapan orang ramai.
"Selain itu, Laman Seni ini akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan sekali gus menghidupkan suasana di kawasan ini dengan pelbagai bentuk aktiviti seni," katanya baru-baru ini.
Naik taraf lorong
Mengulas lanjut, Mohd. Atan memberitahu, pihak MBSA turut mengindahkan lagi lorong belakang di kawasan komersial Seksyen 2 dengan kerjasama pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurut beliau, melalui inisiatif itu, pelajar bersama pihak MBSA memperindahkan lagi dinding lorong belakang dengan lukisan mural pelbagai corak dan motif.
Tambahnya, MBSA juga bertindak menaik taraf lorong belakang tersebut dengan menurap jalan menggunakan kaedah pebble wash serta menyediakan tempat meletak motosikal berbumbung.
HASIL seni tiga dimensi yang menggunakan peralatan yang biasa didapati di dalam bilik darjah.


"Projek ini berjaya direalisasikan melalui perkongsian pintar MBSA dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang telah memberikan sumbangan wang tunai bagi menjayakan projek ini.
"Selain itu, komitmen yang jitu dan mantap daripada pelajar UiTM yang mengecat dan melukis mural dalam pelbagai motif turut menjadi penyumbang hasrat ini dapat direalisasikan," ujarnya.
Sementara itu, seorang pereka grafik di Seksyen 13, Ismail Badrul Hisham yang meluangkan masa melihat hasil karya di situ berkata, usaha MBSA itu merupakan langkah mengiktiraf golongan seni.
Malah bagi Ismail, 27, kewujudan lokasi seperti Seksyen 2 itu bukan sahaja dapat memberikan ruang untuk mereka yang kreatif menghasilkan karya bahkan sekali gus mengindahkan kawasan tersebut.
"Biasanya kami yang meminati seni lukisan ini akan melukis di mana-mana sahaja dan sering dimarah dan ditangkap kerana melakukan vandalisme.
"Namun, dengan adanya ruang dan lokasi khusus ini, ia bukan sahaja dapat memberikan kami kebebasan untuk berkarya malah hasil seni kami kini diiktiraf," katanya.
Memeriahkan
Nurshafiq Mohd. Shukor, 21, yang bekerja di syarikat seni grafik di Padang Jawa, Seksyen 16, pula bercadang untuk memeriahkan lagi karya lukisan di dinding tersebut.
Dia yang mahir melukis pemandangan dan seni jalanan menggunakan teknik lomografi mahu masyarakat lebih mengenali cabang seni lukisan sekali gus menghargainya.
"Laman Seni ini mungkin satu pemangkin untuk menyatukan peminat seni lukisan khususnya di Shah Alam dan tidak keterlaluan andai ia boleh diperluas ke kawasan lain selepas ini," ujarnya.
Seorang lagi pereka grafik, Farid Izzuddin Mohd. Fadzil, 21, yang mahir dengan teknik lukisan doodle iaitu ekspresi hati, mahu langkah MBSA itu dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di tempat lain.
"Ia bukan sahaja dapat mengindahkan kawasan tersebut malah boleh dijadikan lokasi tumpuan orang ramai.
"Mungkin di sini juga boleh dijadikan sebagai lokasi pertemuan dan perniagaan golongan pencinta karya seni selain memberikan peluang pada peniaga di sini untuk membuka perniagaan di bahagian belakang bangunan masing-masing," katanya.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines