Isnin, 30 Disember 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Dakwaan Ditangkap Khalwat Jatuhkan Maruah Neelofa

Posted: 28 Dec 2013 09:18 PM PST


Neelofa kesal dengan laporan yang mendakwanya ditangkap khalwat pada Khamis lalu.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Neelofa menganggap dakwaan dia ditangkap khalwat pada Khamis lalu menjatuhkan maruahnya sebagai seorang selebriti.
Neelofa, 24, menerusi laman Instagramnya pada Sabtu berkata, dia kesal dengan laporan yang dikeluarkan tentang perkara itu tanpa sebarang bukti kukuh sebelum menuduhnya.
"Kalau benar ia berlaku sebetulnya dalam sisi undang-undang Malaysia dakwaan tersebut haruslah mempunyai laporan polis dan juga surat Jabatan Agama Islam berserta saksi," katanya.
Tambah Neelofa, dia mengakui tidak mengetahui tentang hal tersebut sehingga ia tersebar dan memberitahu berita berkenaan adalah fitnah semata-mata.
"Jika benar saya ditangkap khalwat pastinya saya masih berada di Malaysia untuk selesaikan kes ini. Sekarang saya berada di luar negara untuk meneruskan pengajian saya.
"Saya harap pihak yang berkenaan bertanggungjawab atas fitnah dan artikel tersebut, terima kasih," tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Neelofa turut menegur tindakan pihak wartawan supaya mendapatkan maklumat yang sahih sebelum menulis sesuatu artikel.
"Sekurang-kurangnya tanya pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat artikel sekeras ini. Artikel tidak masuk akal seperti ini boleh menjatuhkan imej dan kredibiliti seseorang artis.
Sementara itu, pengurus kepada Neelofa, Mohd. Amer Shafiq Khalip dalam satu laporan pada Sabtu menafikan sekeras-kerasnya tentang berita pelakon berkenaan telah ditangkap khalwat seperti didakwa.
Amer berkata, pada malam pelakon tersebut dikatakan ditangkap khalwat, dia menemani Neelofa hadir ke majlis pelancaran Galaxy Mobile App di sebuah restoran terkemuka di Kuala Lumpur sehingga pukul 2.30 pagi.
Jelas Amer lagi, Neelofa kemudiannya bergegas pulang ke rumah untuk mengemas barang dan bersiap-siap kerana perlu ke ke lapangan terbang pada 5.30 pagi dan berangkat ke London empat jam kemudiannya.

Perkahwinan selebriti sepanjang 2013

Posted: 28 Dec 2013 09:17 PM PST

  • Perkahwinan selebriti sepanjang 2013

'SELAMAT pengantin baharu, Selamat berbahagia, Selamat ke anak cucu, Semoga aman.'

Lirik lagu Allahyarhamah Puan Sri Saloma ini barangkali bukan lagi asing kedengaran pada mana-mana majlis perkahwinan.

Dengan lirik yang cukup santai, ia sudah cukup untuk memberi ucapan selamat buat pasangan pengantin baharu.

Tahun 2013 menyaksikan ramai selebriti memilih untuk menamatkan zaman bujang mereka. Ada yang sudah lama bertunang, ada yang terus berkahwin dan tidak kurang juga yang berkahwin mengejut.

Namun, semua itu adalah ketentuan Illahi dan harapan Zass semoga perkahwinan yang dibina kekal hingga ke akhir hayat.

Mari kita soroti perkahwinan-perkahwinan artis termasuk majlis perkahwinan Wedding Of The Year Rozita Che Wan dan Zain Saidin yang mendapat tajaan sehingga RM13 juta.

JANUARI
Rizal AF & Maria (16 Januari)

Bekas pelajar Akademi Fantasia ke-5, Rizal Ayub mendirikan rumah tangga bersama tunangnya pada 16 Januari di Kuching, Sarawak.

Rizal dan isterinya, Maria Mohd Harun dinikahkan di rumah pengantin perempuan manakala majlis resepsi berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuching.

FEBRUARI

Liyana Jasmay & Fathuddin (2 Februari)

Liyana Jasmay, 24, selamat bergelar isteri kepada Fathuddin Mazlan, 28, yang Majlis pernikahan penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Bersatu ini diadakan di Pacific Ballroom, Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur.

Dengan dua kali lafaz, Liyana sah bergelar isteri kepada Fathuddin pada tepat jam 10.26 pagi dengan mas kahwin dalam bentuk gelang emas bernilai RM5,500 dan wang hantaran berjumlah RM 28,388 dalam bentuk cek.

MEI

Jehan Miskin & Julie Camilia (4 Mei)

Biarpun sudah kedengaran ura-ura pada asalnya, Jehan Miskin akhirnya membuat pengakuan akan mengahwini wanita pilihannya yang berasal daripada Korea iaitu Julie Camilia Rhee.

Pasangan tersebut diijabkabulkan oleh Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Sahirman Ahmad dengan mas kahwin sebanyak RM12,000 tunai.

JUN

Izzue Islam & Awin Nurin (2 Jun )

Setelah sekian lama berteka-teki, Izzue atau nama sebenarnya Muhammadd Izzul Islam Mazlan, 23, membuat pengakuan menikahi pengurusnya, Nurinafilah atau Awin, 31 tahun.

Mereka bertunang setahun lalu selepas lima tahun bercinta.

Sorotan 2013: Kontroversi hangat

Posted: 28 Dec 2013 09:15 PM PST

  • Sorotan 2013: Kontroversi hangat

DUA hari lagi, lembaran 2013 bakal melabuhkan tirainya. Secara keseluruhan, sepanjang tahun ini terlalu banyak kejutan dan kontroversi yang tercipta dalam industri seni hiburan tempatan.

Jika diperhatikan, tahun ini merupakan tahun yang penuh kontroversi berbanding kejayaan mahupun pencapaian artis tempatan.

Mana tidaknya, bukan sahaja kontroversi melibatkan masalah disiplin, malah ia turut disertakan dengan penyalahgunaan dadah, kahwin rahsia, berperang dengan ibu bapa, skandal, percintaan dan jenayah sabotaj filem yang pertama kali berlaku dalam sejarah perfileman.

Menyelak kontroversi demi kontroversi yang tercipta, ada beberapa kisah yang tidak disangka turut terjadi kepada golongan artis yang mempunyai kelompok peminat yang tinggi.

Skandal Adi Putra

Isu skandal pelakon kacak, Adi Putra bersama isteri orang mula menjadi perhatian apabila laporan polis yang dibuat suami wanita itu tersebar di Internet.

Dalam laporan itu, pelakon ini didakwa berkongsi gambar lucah ketika berada di Tanah Suci mengerjakan umrah.
Pun begitu, Adi dan isterinya tidak berdiam diri dan turut membuat laporan polis.

Setelah siasatan dibuat, kes tersebut diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) atau dalam erti kata lain, digugurkan.

Suami kepada wanita tersebut, Aminuddin Othman, 56, tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan berhasrat membuka semula kes pendakwaan terhadap pelakon itu.

Seminggu selepas sidang media dibuat, Aminuddin bertindak menceraikan isterinya dan meminta pelakon itu untuk bertanggungjawab. Dalam masa sama, kes pendakwaan itu akan diteruskan walaupun mereka sudah bercerai.

Sehingga ke hari ini, Adi lebih selesa mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan selepas sidang media dibuat.


Cinta 'Touch n Go'

Selepas tiga hari berkenalan, pelakon, Johan As'ari mengambil keputusan untuk melamar pelakon seksi, Lana Nordin.

Sebelum ini, ramai yang beranggapan, Johan akan menjadikan penyanyi, Shila Amzah sebagai suri hidupnya memandangkan penyanyi itu sering dilihat bersamanya.

Pengakuan Johan juga turut meretakkan hubungan bersama Shila sehingga penyanyi itu bertindak untuk tidak lagi bersama Johan dan menyekat kesemua talian serta medium yang melibatkan pelakon itu.
Pun begitu, kehadiran Lana dalam hidup Johan hanyalah sementara apabila Johan mengakui hubungan mereka sudah putus kerana tidak mendapat restu keluarga.

Paling memedihkan, Johan turut mengakui bahawa dia dan Lana tidak pernah bercinta sebelum ini.


Nikah dua kali

Pengakuan pelakon, Aeril Zafrel mengenai pernikahan dua kali bersama Wawa Zainal, menimbulkan kontroversi hebat.
Menurut Aeril, mereka bernikah kali pertama pada 25 Februari 2012 mengikut syariat Islam, dan kali kedua pada 5 Februari lalu, apabila Wawa hamil pada Disember 2012.

Pernikahan pertama dikatakan tidak sah mengikut undang-undang Malaysia dan memerlukan akad nikah kedua bagi membolehkan anak mereka didaftarkan dengan ber'bin'kan Aeril.

Tampil mendedahkan perkara itu dalam sidang media, Wawa memberitahu tindakan itu dibuat kerana menghormati pendirian pemilik MIG, David Teo dan kontrak yang ditandatanganinya.


Asyraf Muslim berpoligami

Pada Mei lalu, pelakon Ashraf Muslim dikatakan hadir ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan kebenaran berkahwin dua.

Namun, Ashraf dinafikan khabar angin itu dan memberitahu dia memang hadir ke mahkamah berkenaan, namun atas urusan lain.

Dalam masa sama, Ashraf juga turut meletak jawatan sebagai perawat dan Ketua Operasi (COO) di pusat rawatan Islam milik bapa mertuanya, Pusat Rawatan Islam Al Hidayah.

Selain itu, Ashraf juga melepaskan jawatan sebagai Pengarah Yayasan Al Hidayah dan Maahad Tahfiz Al Hidayah dan berkuat kuasa pada 2 Jun lalu.

Setelah beberapa kali berdolak-dalih, akhirnya Ashraf mengaku telah bernikah secara rahsia kali kedua dengan bekas kru produksi televisyen, Wan Sakinah Ahmad Saburi di Thailand pada 7 Julai lalu.

Perkara ini diketahui setelah Ashraf hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 17 Julai 2013 dan Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Ashraf menarik balik permohonan kebenaran poligami dengan membayar kos mahkamah RM8,000 kepada isteri pertama, Noor Dayana Lokman.

Pernikahan ini juga dilangsungkan tanpa pengetahuan Dayana dan ia terbongkar setelah isterinya itu menjumpai tiket penerbangan Ashraf ke sana.

Ramai yang beranggapan, keputusan Ashraf untuk berkahwin lain adalah kerana Dayana gagal memberikan zuriat sejak bernikah pada 30 Ogos 2011 di Mekah.

Malah, perkahwinan kedua ini nyata membahagiakan Ashraf apabila Sakinah kini disahkan hamil.


Erma vs Rabecca

Pelakon cantik, Rabecca Nur Al-Islam, bertindak menyaman pemilik syarikat produksi, Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd, Erma Fatima setelah dikatakan gagal membayar baki kontraknya.

Keputusan mahkamah yang lebih berpihak kepada Rabecca memerlukan Erma membayar baki kontrak pelakon berkenaan sebanyak RM11,200.

Pun begitu, kisah ini mencetuskan kontroversi apabila Erma membayar wang tuntutan itu dengan menggunakan duit syiling 5 sen.

Menganggap tindakan Erma tidak profesional, Rabecca menerusi peguamnya memulangkan semula wang itu dan menuntut Erma membayar dengan cara berhemah.

Kemudian, Erma kembali menyerahkan wang tuntutan dengan nilai sama menerusi duit kertas RM1.

Enggan memanjangkan lagi isu tersebut, Rabecca menerima wang itu dan mendermakan kesemuanya kepada mangsa banjir.


Afiq Muiz anak derhaka?

Ibu pelakon baharu, Afiq Muiz mendakwa anaknya menderhaka dan membuang keluarganya setelah berjaya.

Tidak berdiam diri, Afiq tampil ke hadapan dan menafikan tuduhan dilemparkan kepadanya menerusi sidang media bersama pelakon, Eina Azman.

Sejak itu, timbul pelbagai kisah tidak enak berhubung masalah keluarga pelakon ini dan turut melibatkan campur tangan pihak luar.

Pengakuan Afiq tidak membawa jalan penyelesaian apabila ramai yang mengecam tindakannya yang dilihat memburukkan ibu persis 'si tanggang'.

Malah, Afiq juga turut diboikot media dan stesen televisyen yang menolak kemunculannya di kaca televisyen dalam tempoh terdekat itu.

Namun, Afiq mengakui, dia kerugian berpuluh ribu ringgit gara-gara tidak menerima sebarang tawaran lakonan sehinggakan Afiq bertindak memohon maaf kepada ibunya.

Ratu kontroversi?

Bermula dengan isu putus cinta bersama pelakon, Nas-T, setelah dua bulan bersama, aktres hebat, Nabila Huda, sering dipalitkan dengan pelbagai kontroversi.

Selain dikritik akibat video yang dimuat naik di laman, Keek, tanpa mengenakan pakaian, Nabila juga pernah dihentam teruk kerana pemakaiannya.
Bukan itu sahaja, Nabila atau lebih mesra disapa Abil ini turut diheret dalam masalah keluarga.

Bapanya, Amy Search mengakui, Abil tidak pulang beraya bersamanya ketika Aidilfitri lalu.
Namun, Abil lantas memberitahu, dia sebenarnya keliru untuk beraya bersama ibu atau bapanya dan memilih menyambut Aidilfitri di Singapura bersama rakan.

Selain itu, Abil turut terlibat dalam satu kemalangan bersama anak tunggalnya, Keisha Laila, apabila pacuan empat roda yang dipandu pelakon, Syazwan Zulkifli terbabas.

Tidak pernah sepi dari cinta, Abil mengakui menemui lelaki pilihannya, walaupun usia perpisahan bersama Nas-T masih baharu.

Menerusi laman Instagramnya, ramai yang dapat mengagak siapakah gerangan kekasihnya itu malah, ramai membuat andaian, cinta baharu Abil itu adalah milik DJ dari Singapura yang dikenali sebagai, Izwan.

Pun begitu, Abil dilihat lebih berahsia kerana tidak mahu kisah peribadinya dijadikan bahan sensasi lagi.

Shah Jazle ditangkap khalwat

Pada 16 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan menahan pelakon, Shaz Jaszle, 25, atas tuduhan khalwat di Kayangan Apartment, Taman Sri Subang, pada jam 3.50 pagi.

Penahanan tersebut dilakukan setelah menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan pelakon berkenaan bersama pasangannya, Farah Nurizzati Salleh, 21.

Sebelum ini, pelakon drama, Asmara ini bertunang dengan seorang doktor, Redzwani Puteri pada bulan Disember tahun lalu.

Berita penangkapan ini membuatkan keluarga Redzwani menentang perhubungan mereka dan memutuskan pertunangan itu.

Namun, baik Redzwani mahupun Shahz, masing-masing mengakui masih mencintai antara satu sama lain dan keputusan itu hanya dibuat pihak keluarga.

Pun begitu, Shahz mengaku tidak bersalah dan penafian itu direkodkan dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling Jaya.

Mahkamah memutuskan kes perbicaraan seterusnya pada 21 Januari 2014.

Shila-Sharnaaz putus cinta

Setahun menyulam kasih, cinta pasangan selebriti, Sharnaaz Ahmad dan Shila Amzah, kecundang di tengah jalan pada Februari lalu.

Bukan kerana orang ketiga, namun campur tangan bapa Shila, ND Lala, akhirnya memaksa mereka memutuskan hubungan yang tidak direstui itu.

Kisah mereka menjadi perbualan ramai apabila Shila melarikan diri dari keluarganya sehingga ND Lala membuat laporan polis.

Cuba menyelamatkan cintanya, Shila menghantar luahan hati berbentuk emel ke media supaya dapat menjernihkan keadaan.

Namun akhirnya Sharnaaz mengambil langkah untuk berundur dan melupakan Shila.

Fizz Fairuz curang

Tujuh tahun bersama, pelakon, Fizz Fairuz bertindak mengikat tali pertunangan bersama wanita lain walaupun masih bergelar kekasih Almy Nadia.

Walaupun terkejut, Almy sudah menduga dari awal perubahan Fizz yang dikatakan semakin menjauhinya.

Pun begitu, pertunangan Fizz bersama gadis bernama, Azlyn Massiela Mohd Nazar, hanya bertahan seminggu sahaja apabila wanita itu dikatakan isteri orang.

Fizz beberapa kali memohon maaf di atas kesilapannya, sehingga Almy menerimanya kembali.

Malah, Fizz mendedahkan akan mengahwini Almy pada tahun hadapan.

KL Gangster 2 disabotaj!

Pertama kali berlaku dalam sejarah perfileman negara, filem terbaru arahan, Syamsul Yusof, KL Gangster 2, disabotaj dan tersebar dua bulan lebih awal dari tarikh tayangan.

Penyebaran ini berlaku setelah ada pihak yang tidak bertanggungjawab memuat naik filem aksi prekuel KL Gangster itu hingga membolehkan peminat menonton karya itu di internet.

Malah, ia menyaksikan 'perompak seni' tanpa segan silu menjual filem ini dalam bentuk video cakera padat (VCD) dengan harga serendah RM5.

Walaupun disabotaj lebih awal, namun filem ini berjaya meraih RM4.96 juta di sepanjang tempoh tayangan.

Cinta tiga segi

Bertahun menyulam cinta, pasangan selebriti, Puteri Sarah Liyana dan Ammar Alfian, nekad memutuskan hubungan.

Akui Puteri Sarah, perpisahan itu adalah jalan terbaik buat mereka kerana tiada lagi keserasian antara satu sama lain.

Pun begitu, pelakon dan model, Ammar Alfian tidak berpuas hati dengan keputusan itu apabila cinta Puteri Sarah mula beralih kepada pengarah muda, Syamsul Yusof.

Mendakwa bekas kekasihnya itu menjalinkan hubungan cinta bersama Syamsul, Ammar bertindak menyerang mereka menggunakan media sosial.

Walaupun dimaki dan dihentam teruk dengan kata-kata yang kurang bijak, namun Syamsul membalas kenyataan itu dengan cara yang berhemah dan menafikan hubungan istimewa bersama pelakon itu.

Ibu mertuaku...

Walaupun isu mengenai kelahiran bayi pertama mereka di Australia, masih menjadi tanda tanya, pelakon, Farid Kamil tampil mendedahkan kontroversi baharu.

Menerusi akaun Twitter rasmi miliknya, pelakon ini meluahkan perasaan berkaitan masalah dengan ibu mertua.

Bait-bait tulisannya itu berhubung rapat dengan kepincangan hubungan bersama ibu Diana Danielle. Malah, setibanya Farid bersama Diana dan anak di ibu kota, Farid meletakkan syarat kepada ibu mertua jika mahu menziarahi anak dan isterinya.

Pun begitu, baik Farid mahupun ibu Diana, mereka masing-masing enggan mendedahkan punca sebenar masalah mereka berdua.

Jawatan Zed Zaidi digugurkan

Baharu sahaja dilantik sebagai pucuk pimpinan Persatuan Seniman pada Mei tahun lalu, akhirnya jawatan Zed Zaidi, digugurkan setelah Mahkamah Tinggi memutuskan Mesyuarat Agung Seniman Kali ke-14 tidak sah.

Keputusan itu merupakan susulan saman yang difailkan pada 25 Januari lalu oleh plaintif Abu Bakar Omar, S.Sahlan, Linda Buang, Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani yang tidak berpuas hati dengan sistem pelaksanaan mesyuarat dan pemilihan calon.

Akur dengan keputusan itu, Zed Zaidi berkata, kesilapan yang dilakukan oleh pasukan pemimpin Seniman sebelum itu turut mengheret kepimpinan terbaharu dalam kemelut itu sehingga peranan mereka dibatalkan.

Walaupun Zed dilihat lebih lantang bersuara, namun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk berhasrat mewujudkan kad diskaun 1Malaysia untuk golongan artis, insurans serta perumahan rakyat ketika bergelar Presiden.

Bermula 21 November lalu, pengurusan Seniman diambil alih oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), dalam masa dua bulan.

Lebih 15,000 rai perkahwinan Fizo, Mawar

Posted: 28 Dec 2013 09:09 PM PST

  • Lebih 15,000 rai perkahwinan Fizo, MawarFizo dan Mawar gembira kerana majlis kesyukuran sempena perkahwinan mereka berjalan lancar. 

HASRAT pelakon, Fizo Omar meraikan rakyat Kelantan yang menyokong perjuangannya dalam bidang seni tercapai selepas majlis kesyukuran sempena perkahwinannya berjalan lancar di kediamannya di Taman Sri Jawa, Selising, dekat Kelantan, hari ini.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 28, bersyukur kerana majlis itu dihadiri kira-kira 15,000 tetamu sejurus rombongan keluarga isterinya, Mawar Abdul Rahman, 24, tiba dengan diiringi konvoi motosikal berkuasa tinggi.

Pasangan pengantin yang berpakaian merah jambu ceria dan tidak jemu melayan tetamu serta peminat sepanjang majlis bertemakan seri taman berlangsung.

Fizo berkata, kenduri yang diadakan khusus bagi meraikan warga Kelantan itu sebagai menghargai sokongan dan dorongan diberikan sehingga dia berjaya dalam dunia lakonan serta perniagaan.

"Alhamdulillah, saya gembira kerana hasrat meraikan orang ramai di tanah kelahiran saya tercapai. Saya berterima kasih kepada semua tetamu yang meluangkan masa ke majlis ini termasuk tetamu kehormat.

"Ini tanda terima kasih saya kepada mereka yang selama ini menyokong saya dalam bidang lakonan dan juga menyokong penglibatan saya serta Mawar dalam dunia perniagaan," katanya.

Pengantin lelaki jahit sendiri baju kahwin

Posted: 28 Dec 2013 09:07 PM PST

  • Pengantin lelaki jahit sendiri baju kahwinAmzar dan Ramlah pada hari bahagia dengan pakaian yang direka sendiri.

GEORGETOWN - Seorang pengantin lelaki di sini, mereka dan menjahit sendiri pakaian perkahwinannya bersama isteri.

Mohd Amzar Ismail, 28, dari Bukit Mertajam gembira kerana berjaya menghasilkan baju perkahwinannya sendiri tanpa mengharapkan butik pengantin mahupun kedai perkahwinan lain.

Menurutnya, membuat sendiri baju perkahwinan memberi kepuasan yang tidak mungkin akan diperoleh seperti pasangan pengantin lain.

"Selain itu, kos juga dapat dikurangkan sebab jika sewa baju pengantin, boleh cecah ratusan ringgit dan ada yang tidak dapat menyimpan baju perkahwinan mereka, sebaliknya terpaksa memulangkannya ke kedai semula.

"Tapi baju kahwin kami, dapat simpan sendiri hingga ke akhir hayat," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pembantu juruaudit bertemu jodoh dengan seorang guru, Ramlah Rahman, 28.

Ramlah yang berasal dari Sabah juga berbangga kerana suaminya berjaya menjahit sendiri pakaian pengantinnya.

"Tidak dinafikan pakaian adalah salah satu yang menjadi perhatian orang ramai ketika hari perkahwinan, baju yang direka suami saya sendiri begitu selesa dan jika ada yang tidak kena, mudah saja untuk dia betulkannya kembali," katanya.

Mohd Amzar sememangnya meminati bidang fesyen dan pernah bekerja sambilan di butik perkahwinan sejak dari zaman persekolahan.

Terlerai akhirnya

Posted: 28 Dec 2013 09:06 PM PST

  • Terlerai akhirnya

'KU sangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari..'. Perumpamaan ini barangkali sesuai untuk menggambarkan perkahwinan beberapa selebriti tanah air yang berakhir dengan penceraian.

Biarpun tiada siapa yang mengharapkan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta akan terlerai akhirnya, namun siapalah kita untuk melawan suratan.
Mari kita lihat antara selebriti yang bercerai bagi 2013.

Rita Rudaini 

Selepas hampir dua tahun prosiding perceraian dibicarakan, Aidil Zafuan telah menceraikan Rita Rudaini Mokhtar, 37, dengan talak satu.

Biarpun telah bercerai, konflik mereka dilihat masih berterusan apabila Rita kini menuntut nafkah yang sepatutnya daripada Aidil.

Enot

Dikhabarkan Enot telah memfailkan perceraian terhadap suaminya di Jabatan Agama Islam Kajang, Selangor, setelah diibaratkan digantung tidak bertali. Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah mendirikan rumah tangga pada 21 November 2008.

Sebelum itu, Enot juga pernah berkahwin dengan seorang lelaki dan bercerai pada 2008. Hasil perkahwinan tersebut, Enot dikurniakan dua anak iaitu Andria Balqis, 12 dan Ariana Qaseh Qistina, 6.

Benjy

Pelakon yang mencetuskan kontroversi kerana pernah didakwa atas tuduhan kes dadah, Khaery Benjamin atau Benjy sah bercerai talak satu dengan isterinya Safiya Stephanie Kar-Leng Lee di Mahkamah Rendah Syariah.

Perceraian ini adalah kali kedua selepas pasangan itu bercerai dan rujuk semula lima tahun lalu. Mereka mendirikan rumah tangga sejak 2004 dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia 7 tahun.

A. Aida

Pelakon dan penerbit A.Aida telah bercerai dengan suaminya Deputi Superintendan (DSP)  Suffian Sulaiman dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 2 Mei lalu.

Pasangan itu bercerai secara baik dan bersetuju  menjaga anak tunggal bersama, namun hak jagaan kekal diberikan kepada Aida.

Aida dan Sufian bernikah pada 20 April 2007 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 4.

Noniswara

Ikatan perkahwinan yang dibina selama lima tahun antara Noniswara dan Datuk Rosman terputus di tengah jalan apabila pasangan ini bercerai secara taklik.

Nonis membuat tuntutan cerai selepas suaminya meninggalkan rumah kelamin sejak 5 September 2012 selain tidak memberi nafkah.

Pelakon berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya dan Rosman pula yang sebelum ini berstatus duda mempunyai lima anak daripada perkahwinan terdahulu.

Zahnita

Model terkenal Zahnita Dorothy Hussein Wilson mengakui yang beliau sudah memfailkan tuntutan tuntutan fasakh untuk bercerai dengan suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Ghafoor pada 18 November lalu selepas lapan tahun berkahwin.

Mengakui rumah tangganya bergolak semenjak penghujung 2011, Zahnita dan suami telah menghadiri kaunseling sebagai langkah untuk menjernihkan keadaan. Namun, sayangnya semua usaha itu tidak berjaya.

Status album macam kad nama - Azlan

Posted: 28 Dec 2013 09:02 PM PST



SEPERTI santainya dia menghulurkan salam sebelum memulakan perbualan, prinsip hidupnya juga mudah. Dia harus terus bergerak, tidak boleh terus berada di takuk lama dan tidak perlu takut berdepan risiko.
Ungkapan selamba itu tidak hanya lancar di bibir. Penjelajahan yang telah dilalui sepanjang lebih 10 tahun bereksperimentasi dengan muzik hampir membenarkan segala kata-kata vokalis hebat.
Azlan pernah merentasi perjalanan nyanyian bersama Meet Uncle Hussein (MUH), namun bermula 2009, layar bahteranya bertukar corak. Bersama-sama grup yang dikenali sebagai Azlan & The Typewriter, pelantun lagu Tanda-Tanya yang masih mencalonkan dirinya dalam senarai lima vokalis unggul lelaki dalam Anugerah Industri Muzik ke-20 itu ternyata masih ampuh.
Ditemani rakan-rakan yang sudah menjadi saudara permuafakatan muziknya termasuklah Andy (gitaris), Kee (gita kedua), Zack (dram) dan Man (bass), Azlan atau nama sebenarnya Norazlan Roslee itu bersedia membentangkan sebuah lagi karya bernama album.
"Sebenarnya single pertama daripada album berkenaan yang bertajuk Bukan Ugutan sudah pun dilancar ke YouTube dan dihantar ke radio-radio," tutur tersenyum sambil menambah penghasilan album ketiga bersama The Typewriter sudah berlangsung mengikut perancangan.
Masih lagi bereksperimentasi meneruskan ideologi bahawa muzik yang bijak haruslah berada di hadapan penggemar muzik masa kini, penyanyi berstatus bapa itu melenturkan apa yang tersurat dan tersirat di sebalik kesungguhannya menghasilkan sebuah album.
Pengalaman merupakan guru muziknya sudah banyak kali mendidiknya untuk sedar bahawa untuk menjadi kaya, pemuzik hari ini tidak boleh bergantung kepada penjualan album.
"Saya dan The Typewriter memang buat album studio untuk peminat tegar kami sahaja. Kami buat, rakam, terbitkan dan edarkan sendiri.
"Ringkasnya, album bagi seseorang penyanyi atau grup muzik sekarang tidak ubah seperti kad nama. Kalau seseorang individu mahu menyatakan bahawa dia wakil dari syarikat mana atau apa perusahaan yang dilakukannya, orang itu akan bagi kad nama. Sama macam kami. Mahu perkenalkan diri bahawa kami penyanyi dan pemuzik yang serius, kami hasilkan dan tunjukkan album. Ia semacam identiti sahaja. Selebihnya, survival kami sebagai pemuzik harus datang daripada pelbagai cabang. Kena ada strategi lain," kemas lontaran dari dada vokalis cukup popular menerusi judul-judul seperti Idola dan Lagu Untukmu itu.
Untuk album yang bakal jadi pembuka tirai 2014 buat Azlan & The Typewriter itu, Azlan ternyata masih gemar bermain nada dan ritma yang mungkin kurang lunak di telinga peminat yang baru mula hendak berjinak dengan muzik.
SEDAR survival anak band berdepan kesukaran begitu juga penjualan album yang tidak membanggakan namun Azlan tetap membikin album sebagai penghargaan buat pengikut tegarnya.


Belum puas
"Muzik dalam album itu mungkin sukar diterima peminat baharu tetapi peminat muzik yang mengikuti perkembangan muzik saya sebelum ini, mungkin mereka akan suka. Untuk album bersama The Typewriter, memang konsep begitu. Kami belum berhajat mahu bertukar pegangan.
"Walaupun sudah masuk album ketiga, kami masih ada banyak idea. Masih belum puas bereksperimentasi. Bila buat kerja sama-sama lagi banyak idea boleh dihasilkan. Ini yang suka bekerja dalam sebuah kumpulan," katanya yang cukup sedar bahawa survival muzik berkumpulan itu tidak mudah.
Memetik semula kata-katanya dalam satu wawancara terdahulu. Kata Azlan: "Semua orang boleh menjadi seseorang walaupun asalnya dia bukan sesiapa. Bak kata pepatah Inggeris, from zero to hero. Segalanya tidak mustahil dalam industri, begitu juga dengan survival sebagai anak seni.
"Saya pegang satu moto hidup, nak seribu daya, tak nak pergi mati."
Ada banyak kaitannya daripada setiap percakapan Azlan. Dia tidak pernah melencong daripada setiap kenyataan yang pernah keluar dari mulutnya.
Tambah Azlan: "Mungkin sebab itu juga The Beatles berpecah. Mungkin ada sebab lain yang lebih kukuh, tapi memang survival pemuzik kumpulan itu berat dipikul kalau tidak sepenuh jiwa raga. Saya mungkin beruntung kerana dari mula lagi dikenali sebagai vokalis.
"Sebab itu saya tetap akan hasilkan album sebagai pemuzik berkumpulan. Konsep album berkumpulan akan banyak fokus kepada muzik kami, rock alternatif," katanya memberi bayangan bahawa ada sebuah lagi album studio bakal terhasil."
Zaman hilang budaya
Masih larut bercerita tentang pengisian dan falsafah yang terkandung dalam album terbaharunya itu, kata Azlan, penulisan muzik dan lirik lagu-lagu kali ini lebih matang dan serius.
"Penghasilan album ini solid bersama anak band The Typewriter tanpa menjemput pemuzik lain. Kiranya kami memang rock & roll sangat. Liriknya juga tidak terbatas kepada isu Melayu sahaja tetapi tidak bercakap tentang politik. Antara tajuk lagunya termasuklah Akuarium dan Pasar Karat. Ada satu bait-bait lirik yang saya suka macam 'sekarang zaman hilang budaya, tersalah kata pistol jawabnya'. Lirik-lirik begitu ada dalam album berkenaan.
"Dalam penulisan lirik, saya banyak baca tulisan arwah Loloq. Bagi saya album Aku Amy ialah satu penghasilan yang dahsyat. Album itu pun rasanya untuk peminat tegar bukan bermain di radio," buah fikirnya dikongsi lagi.
AZLAN kini bergerak sendiri bawah label Dark Liquid.


Menyambung tentang survival anak band, Azlan ternyata ada strategi dalam melancarkan peluru-peluru muziknya. Dia bekerja atas landasan yang dibina sendiri. Dia membentuk tembok-tembok pendinding agar tidak mudah dipengaruhi atau terpengaruh dengan perang semasa.
"Saya ada pergerakan yang telah disusun. Saya bekerja ikut keperluan. Ada projek bersama band dan projek solo atas nama Azlan. Tapi ke mana-mana pun saya pergi, saya tetap membawa nama Azlan & The Typewriter.
"Untuk 2014, sengaja saya mahu ketengahkan projek band terlebih dahulu. Sebenarnya saya ada rahsia. Saya punya idola saya," katanya memetik nama-nama seperti Awie Wings dan Amy Search sebagai ikon penting yang mempengaruhi gerak hatinya.
Tanpa perlu malu untuk mengakui mencontohi jejak orang lama dalam industri, kata Azlan: "Untuk hidup dalam industri begini, perlumbaan saya tidak bersandarkan laju atau lambat. Saya bawa imej rock dalam nada muzik yang kami gemar, tapi dalam soal vokal, saya terlalu hormat kepada dengan vokal Amy dan Awie. Begitu juga dengan band muzik popular macam Hyper Act. Muzik boleh pergi dengan bermacam rasa, tapi vokalis menentukan hidup mati sesebuah band."
Mengenali Azlan, tanpa lantunan vokal yang cukup mengagumkan itu tidak mengesahkan keberadaan Azlan di atas mana-mana pentas. Azlan menyimpan sedikit 'kuasa' balada dalam vokalnya tanpa total dimasukkan ke dalam buah karya bersama The Typewriter.
"Rasanya saya masih baru dengan konsep balada rock. Kalau hendak dengar lagu-lagu begitu. Kena tunggu album solo. Perancangan memang sudah ada. Tapi saya mahu dahulukan album bersama band," tutupnya sambil bertekad mahu mengurang berat badan sebagai persediaan beraksi lebih energi atas pentas persembahan.


Jamal sudah biasa tidur sendirian

Posted: 28 Dec 2013 09:01 PM PST

JAMAL ABDILLAH masih belum bertemu calon yang sesuai untuk disunting sebagai isteri.


"SIAPA yang tidak mahu berkahwin, saya juga begitu. Balik rumah ada orang menunggu, ada teman untuk berkongsi luahan hati, ada orang yang jujur mengkritik tentang persembahan saya," bicara Datuk Jamal Abdillah ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.
Sepuluh tahun hidup menduda, penghibur kesayangan ramai itu mengakui memang sudah tiba waktu yang tepat untuk dirinya kembali mencari seorang suri. Namun, tempoh yang lama sejuk di ranjang tanpa belaian insan bernama isteri menjadikan dirinya betah dengan kehidupan solo.
"Perasaan hendak kahwin itu ada tapi kadang-kadang saya terfikir, bolehkah saya kembali berkongsi kehidupan dengan seorang wanita lain. Sudah terbiasa tidur sendiri, kadang-kadang kalau anak saya mahu tidur bersama pun saya pun, saya rasa tidak selesa.
"Dalam usia begini, saya sudah 54 tahun, tambahan pula anak-anak pun sudah besar, saya fikir biarlah saya rileks-rileks dulu bab kahwin. Rasa nak kahwin itu ada tapi belum jumpa calon yang sesuai," kata bapa kepada Osama Yamani, 12, dan Ahmad Zaki Yamani, 8, itu tersenyum.
Sesuatu yang jika difikirkan tidak masuk akal, baru-baru ini Jamal terlalu tertutup dalam soal cinta dan wanita itu terkait dalam satu gosip percintaan bersama penyanyi suam-suam kuku Nas Adilla. Untuk seorang penyanyi yang bergelar Datuk, gosip percintaan dengan artis muda mungkin sesuatu yang menjengkelkan.
NAS ADILLA yang baru-baru ini heboh dikatakan akan melangsungkan perkahwinan bersama Jamal Abdillah.


"Saya tidak pernah ambil pusing soal gosip sebegitu, apabila jadi artis tak kiralah tua atau muda, kena bersedia dengan cerita-cerita yang kurang senang. Macam gosip dengan Nas Adilla, saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita hendak kahwin itu boleh muncul.
"Sebenarnya kami kerap bekerjasama sejak tahun lepas lagi, tapi saya langsung tiada perasaan terhadap dia (Nas Adilla). Saya fikir, keterujaan ramai artis sekarang bermain dan memuat naik gambar ke dalam laman sosial seperti Instagram yang jadi punca banyak gosip.
"Berkongsi gambar memang seronok tetapi impak yang akan datang tidak boleh dijangka. Banyaknya impak negatif," kata Jamal tanpa rasa kurang senang ditanya lagi persoalan gosip tentang dirinya.
Alang-alang bercerita tentang cinta dan wanita, penyanyi yang pernah berkahwin dan bercerai sebanyak tiga kali itu disuakan pertanyaan tentang wanita idamannya.
Kata Jamal, dia tidak terlalu mementingkan usia dan paras rupa pasangannya jika hendak berkahwin lagi.
"Apa yang paling penting, perempuan itu harus memahami karier saya sebagai penyanyi, sebagai anak seni. Itu sahaja.
"Cakap memang senang tapi sebetulnya saya tidaklah terdesak hendak kahwin. Saya selesa begini, mungkin kekok agaknya nanti kalau bangun tidur tengok ada isteri di sebelah," katanya dalam nada berseloroh.


Cinta, maruah Zhang Ziyi

Posted: 28 Dec 2013 09:00 PM PST

ZHANG ZIYI tidak menyangka peranannya dalam iklan ketika dia berumur 15 tahun menjadikannya kini aktres terkenal dunia.


TUDUHAN pelacur atasan pernah menjadi awan hitam yang membungkus ruang hidup Zhang Ziyi. Liga antarabangsa yang sudah menjadi permainan buat aktres kelahiran Beijing, China itu pernah menyimpan prasangka terhadap kehidupan mewahnya.
Pada pertengahan tahun ini, aktres berumur 34 tahun ini memfailkan saman terhadap China Free Press yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan wartawan Weican Null Meng yang menulis untuk akhbar dalam talian, Boxun, pada 12 Jun tahun lalu.
Dalam laporan itu, Zhang Ziyi dilabelkan sebagai pelacur yang memperoleh lebih RM300 juta kerana menjalin hubungan seks dengan pegawai tertinggi China. Laporan yang dianggap sebagai pembohongan berniat menjatuhkan reputasi itu memaksa Ziyi berjuang mengikut landasan undang-undang.
Tuduhan seksual ke atas pelakon yang mencipta populariti di Hollywood menerusi filem-filem seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Rush Hour 2 dan Memoirs of a Geisha menyebabkan rundingan kontrak Ziyi bersama jenama mewah antaranya Michael Kors, Citroen dan beberapa produk lain terjejas teruk.
Pada awal tahun 2013, Ziyi mencabar defendan supaya mendedahkan sumber yang mendakwa dirinya dilanggan oleh pucuk tertinggi Parti Komunis, termasuk Bo Xilai.
Bagaimanapun, permintaan itu ditolak menyebabkan peguam Ziyi membidas jika wartawan dibenarkan menulis laporan tidak tepat dan berselindung di balik nama sumber yang enggan didedahkan identitinya atas sebab keselamatan, mereka bebas menulis apa saja tanpa perlu bertanggungjawab.
Pada 18 Disember lalu, perkara itu selesai apabila kedua-dua pihak memberitahu mahkamah untuk menamatkan pertikaian secara tertutup.
Boxun News meminta maaf sepenuhnya kepada aktres berkenaan dan mengeluarkan semua artikel mengenainya dari laman web, selain menarik balik laporan secara rasmi. Sebelum tuduhan melampau ke atas pelakon berkenaan, laman web yang berpejabat di AS itu kerap melaporkan pencabulan hak asasi manusia dan skandal politik yang disekat di China.
WANG FENG menceraikan isterinya untuk bersama Zhang Ziyi.


Dalam satu kenyataan Ziyi menerusi akaun rasminya di laman Sina Weibo, dia menulis: "Sembilan belas bulan dan hampir 600 malam dan siang, ia mungkin bukan satu tempoh yang panjang untuk sebarang isu atau skandal, namun ia cukup sempurna untuk meranapkan reputasi seseorang individu yang tidak bersalah.
"Undang-undang telah menghakimi keadilan hidup dan nama baik saya. Semua harus ingat, sebarang spekulasi tidak benar, setiap kejahatan yang dilakukan akhirnya akan memusnahkan kalian semua," tulis Ziyi berbunyi suatu kecaman.
Ditawan lelaki rock
Sejak Mei lalu, Ziyi dan pemuzik rock terkenal China, Wang Feng dikhabarkan menjalin hubungan serius. Keseriusan mereka nampak jelas apabila kerap keluar berdua-duaan dalam keadaan mesra dan berpegangan tangan.
Wang Feng turut dilihat menemani Ziyi ketika tayangan filem The Grandmaster di AS. Mereka juga turut membeli sepasang aksesori untuk lelaki dan wanita sebagai tanda cinta mereka di Las Vegas.
Momen paling terkesan dalam hikayat cinta Ziyi dan Wang Feng berlaku dalam sebuah konsert di Stadium Shanghai, November lalu.
Wang Feng turut menzahirkan cintanya buat Ziyi di hadapan ribuan peminat yang membanjiri persembahan konsertnya. Sebelum menyanyikan lagu I Love You More, Wang Feng tiba-tiba membacakan deklarasi cintanya buat Ziyi selama beberapa minit.
"Aku membayangkan bahawa suatu hari kita bakal berpegangan tangan seperti pasangan lain. Aku membayangkan bahawa suatu hari kita akan bersiar-siar di bawah matahari tanpa harus memakai topeng. Aku membayangkan bahawa ketika kita bakal menjadi tua suatu hari nanti, kita akan terus bersama bergandingan tangan," ungkap Wang Feng menghadiahkan ucapan itu buat Ziyi yang turut berada dalam konsert yang sama.
Wang Feng kemudiannya meneruskan deklarasinya: "Kekasihku, kamu sudah melewati begitu banyak waktu sukar. Aku tidak pernah terfikir bahawa cinta yang sederhana ini boleh mendatangkan beban buatmu. Aku akan membuat kamu menjadi wanita paling bahagia di dunia."
Sehabis sahaja Wang Feng menghanyutkan emosi sesiapa sahaja dengan sajak cintanya itu, semua penonton bersorak sambil bertepuk tangan. Mereka melaungkan nama Wang Feng dan Ziyi untuk terus bersama-sama.
Ziyi yang berada di situ dikatakan basah dengan air mata. Situasi itu berjaya dirakam oleh salah seorang penonton yang kebetulan berada berdekatan dengan Ziyi.
ZHANG ZIYI mendakwa dia sudah penat melakonkan watak tangkas dalam filem aksi.


Sedang hamil
Beberapa hari lalu, muncul satu gosip mengatakan Ziyi sedang hamil anak hasil hubungannya bersama Wang Feng. Selepas Wang Feng memberi kejutan tentang pengakuan cinta, ramai beranggapan hubungan kedua-dua selebriti sedang menuju fasa seterusnya. Wang Feng sebenarnya secara rasmi bercerai dengan bekas isterinya pada September lalu.
Tindakan aktres berkenaan menolak beberapa tawaran besar segera menimbulkan persoalan adakah dia kini sedang berbadan dua.
Spekulasi kehamilan Ziyi menjadi semakin kencang apabila penggambaran filem terbaharunya, The Crossing yang sepatutnya diadakan di Taiwan telah diubah ke Beijing, tempat asal Ziyi.
Khabar angin itu bagaimanapun dinafikan pihak produksi filem berkenaan termasuklah pengurus Ziyi sendiri pada 24 Disember lalu.
Tolak filem aksi
Filem The Grandmaster yang ditayangkan awal tahun 2013 dibayangkan oleh Ziyi sebagai filem aksi terakhirnya.
Biarpun memenangi trofi Aktres Terbaik dalam majlis Taiwan's Golden Horse, bulan lalu, pelakon yang mempunyai puluhan judul filem aksi itu pernah mengadu penat dan mahu bersara daripada melakonkan watak-watak yang menuntutnya melakukan aksi pertarungan.
Kini Ziyi sedang terlibat dalam penggambaran filem arahan John Woo bertajuk The Crossing. Filem genre epik drama lakonan bersama Song Hye-kyo dan Takeshi Kaneshiro itu dijangka menemui penonton hujung tahun depan.


Nilai pelawak naik taraf

Posted: 28 Dec 2013 08:59 PM PST


PERSEMBAHAN Geng Lawak @PICC pada Selasa ini akan digalas oleh (dari kiri) Mr. Os, Yus, Tauke, Jihan, Yassin dan Shuk.


TATKALA konsert ambang tahun baharu 2014 dipenuhi dengan pelbagai acara nyanyian, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) buat julung kalinya membawakan kumpulan pelawak Jambu, Osama, SYJ, Kuah Jenhan dan Sabri Yunus untuk menceriakan detik 12 tengah malam.
Tidak seperti konsert percuma di Dataran Merdeka atau di Dataran Putrajaya, persembahan Geng Lawak @PICC yang direncanakan sebagai alternatif, penggemar hiburan sempena tahun baharu 2014 itu mengenakan tiket masuk bermula RM85 sehingga RM205 untuk setiap penonton.
"Dahulu, orang sanggup berbelanja untuk beli tiket dan cari kostum yang sesuai untuk konsert rock. Sekarang tak mustahil, khalayak juga sanggup mengeluarkan bajet untuk tengok persembahan komedi pula.
"Secara jujurnya, setiap benda ada risiko tapi kami tawarkan persembahan ini sebagai satu cabaran. Sudah tentu, skala komedi yang kami akan bawakan semasa persembahan itu nanti lebih gempak dan berbeza daripada apa yang telah disaksikan dalam program televisyen atau pertandingan Maharaja Lawak Mega," jelas Tauke yang merupakan regu Yus dalam kumpulan pelawak Jambu.
Mencelah perbualan, Yus pula menyifatkan komedi semakin diterima baik oleh peminat hiburan tanah air.
"Sama halnya dengan Lawak Ke Der di Istana Budaya. Kami memang bimbang, takut tiada penonton. Rupa-rupanya meleset. Untuk Geng Lawak @PICC ini juga, kami sahut cabaran penganjur demi survival lawak dan komedi tanah air," luah Yus serius ketika ditemui usai sidang media Sambutan Tahun Baharu 2014 anjuran PICC, Selasa lalu.
Perasaan yang sama dikongsi pelawak wanita, Jihan daripada kumpulan SYJ. Katanya, biarpun harga tiket ditetap penganjur itu termasuk kos makan malam dan menikmati malam tahun baharu yang indah di sebuah bangunan mercu tanda Putrajaya, SYJ nekad mahu membawakan sebuah komedi yang berbaloi dengan nilai tiket penonton.
"Kami agak terkejut dengan keberanian penganjur tetapi acara ini salah satu platform untuk kami membuktikan lawak kami secara langsung depan audiens. Ini sekali gus, boleh menjadi kayu ukur kepada nilai komedi SYJ sendiri," jelas Jihan sambil dipersetujui oleh rakan trionya Yassin dan Shuk.
Kelainan sambutan tahun baharu berbayar yang dilakukan oleh PICC itu diperjelaskan lagi oleh Ketua Pegawai Operasi PICC, Badlishah Ahmad.
"Geng Lawak @PICC ini percubaan pertama kami untuk membuka dan memperkenalkan PICC sebagai lokasi utama acara hiburan selain di pentas-pentas sedia ada di Kuala Lumpur.
"Kami juga mahu memperkenalkan PICC sebagai pentas konsert antarabangsa menjelang tahun 2014. Untuk Geng Lawak pula, rasanya harga tiket yang ditetapkan itu berbaloi memandangkan penonton yang datang turut disediakan makan malam sambil menikmati suasana menarik dari Aras 1 PICC ini. Pemandangan malam dan percikan bunga api paling indah di Putrajaya hanya boleh disaksikan dari PICC," kata Badlishah optimis.
Tiket-tiket untuk menonton pementasan Geng Lawak @PICC telah mula dijual sejak pada 20 Disember lalu di PICC dan tiket juga boleh didapati menerusi di www.ticket2u.biz.


Irama Pop Yeh Yeh kembali di Istana Budaya

Posted: 28 Dec 2013 08:58 PM PST


PENYANYI veteran, dari kiri Jeffrydin, L. Ramli, Juhari, A. Rahman dan A. Halim pada majlis sidang akhbar Konsert Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


BIARPUN irama Pop Yeh Yeh popular sekitar era 1960-an, namun masih banyak lagunya yang masih diminati hingga kini.
Memandangkan irama tersebut mempunyai peminat yang tersendiri, pihak Istana Budaya bakal menganjurkan persembahan lagu-lagu Pop Yeh Yeh buat kali keempat menerusi Konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Bersama Bintang selama tiga hari bermula 24 Januari depan.
Menariknya, acara tersebut menampilkan nama-nama besar seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, L. Ramli dan A. Halim.
Pengarah konsert, Lokman Ghani sewaktu ditemui pada majlis pelancaran yang berlangsung di Istana Budaya baru-baru ini berkata, konsert itu cukup istimewa dengan kemunculan penyanyi yang pernah diminati ramai suatu ketika dahulu.
"Konsert kali ini agak istimewa kerana persembahan penyanyi akan diiringi oleh OTM serta terdapat beberapa kelainan.
"Setiap persembahan akan diselitkan dengan penceritaan berkaitan irama ini oleh narrator (tukang cerita) dan maklumat itu mungkin berguna kepada penonton," ujarnya yang menjadi pengarah Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh di Istana Budaya tahun lalu.
Menurut Lokman, setiap penyanyi akan mempersembahkan sekurang-kurangnya enam atau tujuh buah lagu yang merangkumi lagu asal penyanyi berkenaan serta lagu popular sekitar 1960-an yang dinyanyikan penyanyi lain.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, selain pembabitan keempat-empat legenda tersebut, pihaknya juga cuba mengundang seorang lagi penyanyi yang akan menjayakan konsert berkenaan.

PERSEMBAHAN khas daripada L. Ramli memeriahkan suasana.


Ujarnya, nama penyanyi tersebut tidak diumumkan kerana belum ada persetujuan dibuat, tetapi mendedahkan bahawa dia penyanyi wanita dari Singapura.
"Sekarang kami masih berusaha untuk memujuk dan mendapatkan persetujuan penyanyi tersebut. Sekiranya dia tidak bersetuju, mungkin kami terpaksa menggantikannya dengan penyanyi lain," ujarnya.
Jelasnya, dengan gabungan persembahan irama Pop Yeh Yeh dan OTM buat julung kalinya itu pasti akan memberikan pengalaman baharu kepada penonton konsert itu nanti.
Terharu
Salah seorang penyanyi, A. Halim yang sekali lagi menjadi pilihan untuk beraksi di pentas Istana Budaya berkata, dia sangat terharu kerana masih diundang untuk membuat persembahan.
A. Halim atau nama sebenarnya, Abdul Halim Mohammad Diah, pernah tampil di pentas Istana Budaya tahun lalu. Dia menjangka itulah yang terakhir dia beraksi di situ.
"Apabila dihubungi oleh pihak Istana Budaya dan diberitahu tentang konsert ini, hampir mengalir air mata saya kerana tidak menyangka akan dapat beraksi sekali lagi di Istana Budaya.
"Dengan peluang yang diperoleh ini, pastinya saya bersama penyanyi lain akan cuba tampil dengan persembahan yang terbaik demi peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan," ujarnya.
Tiket-tiket semurah RM30 hingga RM250 sudah mula dijual dan boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-8775 4666 atau 03-4026 5520.


Resepsi perkahwinan Fizo, Mawar meriah

Posted: 28 Dec 2013 08:56 PM PST


FIZO (dua dari kanan) dan Mawar (kanan) beramah mesra dengan tetamu pada majlis resepsi perkahwinan mereka di Pasir Puteh, Kelantan semalam.


PASIR PUTEH - Majlis resepsi perkahwinan pelakon Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo, 28, dan Mawar Abdul Karim yang diadakan di kediaman keluarga Fizo di Taman Sri Jawa, Selising di sini semalam meriah apabila dibanjiri lebih 15,000 jemputan dengan diserikan konsep taman bunga.
Mawar, 24, bersama ibu bapa serta 40 anggota keluarganya dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang diiringi 100 penunggang motosikal berkuasa besar tiba di pekarangan rumah keluarga pelakon drama bersiri Cinderella itu pada pukul 12 tengah hari.
Kedua-dua mempelai itu kemudiannya disajikan muzik gamelan Orkestra Seni Warisan Pauh Lima, Bachok, persembahan seni silat dan dikir barat sebelum disandingkan di pelamin.
Fizo ketika ditemui pada majlis itu berkata, sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan untuk dimasak dengan resipi khas gulai kawah Kelantan sebelum disajikan kepada tetamu.
"Kenduri kesyukuran ini adalah sebahagian simbolik rasa kasih dan penghormatan saya kepada peminat yang banyak memberi sokongan," katanya.
Pasangan tersebut bernikah pada 10 November lalu di kediaman pengantin perempuan di Kajang, Selangor.


Safee harap pernikahan kedua membawa tuah

Posted: 28 Dec 2013 08:55 PM PST


SAFEE (kiri) bersama Sasha pada majlis resepsi perkahwinan mereka di Bidor, Perak semalam.


RESEPSI. Lebih 2,000 tetamu hadir pada majlis resepsi perkahwinan penyerang kebangsaan, Safee Sali di kediaman bapanya di Kampung Datuk Kamaruddin Tambahan, Bidor, Tapah, Perak semalam.
Safee yang mewakili Johor DT mengakhiri zaman dudanya apabila mengahwini wanita pilihannya dari Riau, Indonesia, Fitria Elfina Mat Arif atau Sasha pada 21 Disember lalu.
Beliau yang pernah mewakili kelab Indonesia, Pelita Jaya pada tahun 2011 berharap pernikahan kedua itu akan membawa tuah untuk dia kembali menyinar dalam sukan bola sepak.


Berus badan ketam lelabah

Posted: 28 Dec 2013 08:52 PM PST


SEORANG penyelam mencuci badan ketam lelabah dengan menggunakan berus gigi di Akuarium Epson Shinagawa Aqua di Tokyo semalam.


TOKYO - Seorang penyelam mencuci badan ketam lelabah dengan menggunakan berus gigi di Akuarium Epson Shinagawa Aqua di sini semalam.
Para pekerja akuarium itu membersihkan badan hidupan marin dan cermin akuarium tersebut menjelang ketibaan tahun baharu 2014.
Sejumlah pengunjung turut menyaksikan para pekerja itu melakukan kerja-kerja pembersihan badan haiwan dan dinding cermin akuarium tersebut.


Jet Li hidap penyakit tiroid

Posted: 28 Dec 2013 08:51 PM PST

JET LI


HONG KONG - Bintang filem aksi Hollywood, Jet Li mengaku dia kini menjalani rawatan penyakit tiroid, lapor portal berita hiburan, Hollywood Reporter semalam.
Bagaimanapun, Li yang berusia 50 tahun berkata, dia kini mengambil ubat-ubatan sebagai cara untuk pulih daripada penyakit itu.
"Saya kini menghidap hipertiroidisme. Kadangkala saya kehilangan berat badan sebanyak 15 kilogram (kg). Namun, ada ketikanya, berat badan saya naik sebanyak 15kg. Ketika ini, saya kelihatan gemuk.
"Saya tidak berpeluang untuk menurunkan berat badan kerana rawatan perubatan yang saya jalani itu melibatkan kawalan denyutan jantung. Justeru, saya tidak boleh melakukan senaman.
"Saya akan menunggu sehingga doktor menyatakan, saya boleh melakukan senaman ringan sebelum saya bertindak menurunkan berat badan," kata Li.
Dia telah disahkan menghidap tiroid aktif pada tahun 2010 dan hanya mengambil ubat-ubatan untuk mengawalnya.
Namun, penyakitnya itu menjadi semakin serius sejak kebelakangan ini.
Penyakit yang dialami Li itu menyebabkan dia mengalami peningkatan kadar metabolisme asas, gangguan sistem saraf autonomi, perasaan gelisah, kadar denyutan jantung meningkat, pengambilan air yang berlebihan dan berlaku penurunan berat badan walaupun selera makan meningkat.
"Saya hanya manusia biasa seperti orang lain.
"Saya bukan Wong Fei Hung (watak dalam sebuah filem yang dilakonkannya)," kata Li.
Dia pernah menjadi juara seni mempertahankan diri kungfu.
Li mula melibatkan diri dalam bidang lakonan sekitar tahun 1980-an.
Dia menjadi terkenal apabila membintangi filem Once Upon a Time in China pada tahun 1990-an.
Antara filem Hollywood yang pernah dilakonkannya ialah Lethal Weapon 4 dan Romeo Must Die.
"Saya dalam kesakitan, tetapi saya masih lagi belum menderita," katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan