Isnin, 5 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


10 Filem Terbaik Ditayangkan di TV2 Sepanjang Syawal 2013

Posted: 03 Aug 2013 09:00 PM PDT


PETALING JAYA: Sebanyak 10 filem terbaik tempatan akan ditayangkan berturut-turut sepanjang bulan Syawal ini menerusi saluran TV2.
Bermula pada 7 Ogos ini, hayati kisah pengorbanan seorang ayah, Saadom terhadap anaknya, Miasara dalam filem Papadom yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Afdlin Shauki, Noorkhiriah, Liyana Jasmay, dan Vanidah Imran. Ia bersiaran pada pukul 11.30 malam.
Menyusul kemudiannya filem Selamat Pagi Cinta pada 8 Ogos (2 petang) lakonan Fazura, Pierre Andre, Que Haidar dan Sharifah Amani. ia mengisahkan dua kisah cinta yang penuh suka dan duka. Pertemuan yang membibitkan perasaan cinta dan perpisahan yang penuh dengan kekecewaan dan persoalan.
Tayangan filem 'box office', Ombak Rindu pada 8 ogos (10.30) yang telah diaptasikan daripada novel Ombak Rindu hasil karya novelis Fauziah Ashaari.
Filem arahan Osman Ali yang menampilkan Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani ini mengisahkan perjalanan hidup Izzah dan Hariz daripada dunia yang berbeza terpaksa menempuh pelbagai rintangan sebelum menemui kebahagiaan.
Bergelak ketawa pulamenerusi filem Duyung (9 Ogos, 2 petang) lakonan Maya Karin, Saiful Apek, Yassin Senario, dan Yasmin Hani yang mengangkat latar kisah tentang Jimmy yang menaruh hati terhadap Aspalela.
Sikap Jimmy yang suka membersihkan laut membawa tuah kepada dirinya apabila dia dapat bertemu dengan ikan duyung penemuan ini merubah hidup Jimmy dan orang kampung.
Filem aksi Bunohan yang pernah memenangi banyak anugerah yang mengisahkan tiga orang adik-beradik bernama Adil, Bakar dan Ilham.
Kehadiran mereka membangkitkan kembali kisah silam Pok Eng sebagai ayah kepada mereka. Setiap seorang daripada mereka bergelut dengan ketidakpuasan, pengampunan dan kebencian yang membawa kepada kehilangan jiwa dan pengkhianatan yang berpanjangan.
Lakonan filem Zahiril Adzim, Faizal Hussein, Pekin Ibrahim, Bront Palare, Wan Hanafi Su dan Namron itu disiarkan pada 9 Ogos (10.30 malam).
Seterusnya nantikan filem Gangster pada 11 Ogos (4.30 petang), kisah dan konflik yang dihadapi oleh individu-individu tertentu di mana mereka menghadapi pelbagai desakan hidup di bandar lakonan Rosyam Nor, Umie Aida, Hasnul Rahmat, dan Ako Mustapha.
Peminat Tomok pula usah ketinggalan menyaksikan filem Mantera yang melibatkan tiga buah Negara iaitu Malaysia, Rusia dan Dubai. Filem yang disiarkan pada 11 Ogos (11 malam) mengisahkan anak muda bernama Azman yang secara tidak sengaja mendapat kuasa luar biasa yang memberi kekuatan dan kepantasan 'superhuman'.
Selain Tomok, filem ini dibintangi oleh Shiqin Kamal, Waei Al-Masri (Dubai), Mikhail Dorojin (Rusia) dan Natalya Shmarenkova (Ukraine).
Sementara itu, saksikan juga tiga filem menyusul kemudiannya filem Ratu The Movie (12 Ogos, 2 petang), Zombi Kampung Pisang (13 Ogos, 10 malam), Tentang Bulan (14 Ogos, 2 petang) sebelum diakhiri tayangan filem Persona Non Grata (15 Ogos, 2 petang).

Eina enggan lagi dikaitkan dengan Afiq

Posted: 03 Aug 2013 09:00 PM PDT


  • Eina Azman Eina Azman
"Kalau boleh Eina tak mahu lagi dikaitkan dengan Afiq. Kalau ada pertanyaan mengenai diri dia, tanyalah sendiri pada tuan punya badan. Eina agak serik setelah apa yang berlaku sebelum ini," begitulah luahan artis yang sedang meningkat naik, Eina Azman mengenai kontroversi yang pernah berlaku antara dirinya dan ibu Afiq serta aktor, Afiq Muiz sebelum ini.

Bagaimanapun jelas Eina, hubungannya dengan Afiq masih baik sehingga ke hari ini, namun dia tidak mahu lagi masuk campur mengenai hal-hal yang berlaku.

"Eina kata begitu bukan bermakna hubungan Eina dengan Afiq tidak baik lagi. Tetapi Eina sedih apabila ada di antara kenyataan Eina di putar belit dan sudahnya Eina yang nampak bersalah serta teruk di hentam.

"Eina akui ada kata-kata Eina kadangkala terikut perasaan. Eina pun masih muda, kadangkala apa yang Eina katakan tidak sama dengan apa yang Eina maksudkan tetapi orang mudah salah faham dan menghukum Eina," katanya kesal.

Eina berkata, dia juga tidak mahu kelihatan seperti pengurus Afiq apabila ada pihak yang menghubunginya untuk mengatur sesi fotografi bersama Afiq.

"Eina tak mahu nanti orang kata Eina lebih-lebih sampai nak jumpa Afiq pun kena telefon Eina dulu. Jadi jika ada apa-apa pertanyaan atau mahu buat sesi fotografi, hubungilah Afiq terus," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai hasrat untuk menyaman ibu Afiq, seperti yang pernah diluahkannya sebelum ini.

Menurut Eina, biarpun ada pihak teruk menghentam dirinya, namun dia amat bersyukur kerana masih mempunyai ibu bapa yang teguh memberi sokongan terhadapnya.

"Alhamdulillah kerana masih ada yang sayang Eina. Dalam pada ada yang marah-marah, ada juga yang memberi sokongan. Kehidupan Eina pun baik sahaja sekarang.

"Begitu juga dengan karier Eina, tidak ada apa-apa yang terjejas. Eina percaya penggiat seni, mereka tahu bezakan hal peribadi dan kerja, apatah lagi Eina tidak mempunyai masalah dalam memberi komitmen," katanya yang akan muncul dalam program Melodi Raya dan Galaksi sempena Lebaran ini.

Pasangan kekasih dicekup berpelukan atas katil

Posted: 03 Aug 2013 08:57 PM PDT


  • Pasangan kekasih dicekup berpelukan atas katil Pasangan yang dicekup penguat kuasa ketika berdua-duaan dalam bilik.
DUNGUN - Tindakan biadab seorang gadis membawa pulang teman lelaki ke rumah sewa untuk berasmara bukan sahaja memalukan jiran tetangga, malah lebih mendukacitakan, perbuatan terkutuk itu dilakukan ketika umat Islam lain berlumba-lumba melakukan ibadat pada malam-malam terakhir Ramadan.

Gadis terbabit yang difahamkan bekerja di sebuah restoran makanan segera di Dungun sebelum itu dikatakan bersama teman lelakinya bersiarsiar di pusat beli-belah sebelum pulang ke rumah sewanya kira-kira jam 11 malam.

Perbuatan itu dilakukan ketika rakan serumahnya, yang kebanyakannya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sudah pulang ke kampung masing- masing sempena cuti Aidilfitri.

Ketika serbuan sepasukan pegawai penguat kuasa syariah dengan kerjasama anggota Unit Kereta Peronda Polis kira-kira jam 1.30 pagi, pintu gagal dibuka menyebabkan tingkap bilik terpaksa diumpil untuk membolehkan pihak berkuasa masuk ke dalam rumah bagi melakukan pemeriksaan.

Ketika pemeriksaan dibuat, pasangan itu ditemui dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain tanpa pakaian atas tilam di sebuah bilik tingkat bawah banglo dua tingkat dipercayai disewa daripada seorang pegawai kerajaan.

Kedua-duanya yang pada mulanya tidak menyedari kehadiran penguat kuasa kemudiannya terkejut lalu bangun dari tidur dalam keadaan terpinga-pinga.

Ketika disoal siasat, pasangan itu mengakui tidak mempunyai hubungan muhrim.

Pasangan lelaki berusia 21 tahun pula dipercayai ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan berdasarkan penemuan kad ahli dalam beg duitnya.

Teman wanitanya pula berasal dari Klang Selangor, seorang bekas penuntut IPTA berdekatan dan dikatakan saling mengenali antara satu sama lain sejak setahun lalu.

Kedua pasangan itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan melalui ikat jamin ahli keluarga.

Mereka bakal dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Aspirasi dan cetusan inspirasi

Posted: 03 Aug 2013 08:56 PM PDT



DANG SURIA (kiri), Nurul Syuhada, Ras Adiba, Ashwad dan Wan K dipertemukan Sensasi Bintang buat pertama kali.


WARNA diraja yang melatari segenap ruang Bilik Duta, bilik yang dahulunya menjadi tempat meraikan kunjungan menteri-menteri atau tetamu dari luar negara di Muzium Diraja Istana Negara Lama itu tetap kekal berkilau.
Menumpangkan secarik cahaya yang masih bernyawa itu, lima personaliti televisyen, Wan Kamarudin Wan Ibrahim, Ras Adiba Radzi, Dang Suria, Nurul Syuhada Nurul Ain dan Ashwad Ismail disatukan buat julung kalinya di ruangan Sensasi Bintang. Masing-masing bersemangat, nampak teguh dalam aura yang terbina dari dasar pengalaman masing-masing.
Penceritaan yang dipersembah dalam wadah jurnal mahupun berita menjadikan kolaborasi lima personaliti penyiaran itu tampak berkredibiliti. Jarang mereka itu disatukan. Mungkin jurang generasi atau perbezaan saluran menggerakkan mereka dalam haluan tersendiri. Lantas fotografi istimewa sebegini boleh mendatangkan kemanisan terutamanya buat Wan Kamarudin, Dang Suria dan Ras Adiba. Kepada Ashwad dan Nurul Syuhada, pertembungan kali ini barangkali penuh bermakna.
"Pada mulanya saya mempunyai rancangan lain tetapi memikirkan pelawaan ini disertai oleh kawan-kawan penyiaran, saya fikir seronok juga kerana peluang begini tidak selalu datang," letus Wan Kamarudin yang selesa dibahasakan Wan K itu sambil membetul-betulkan kain sampinnya.
Wan K, Dang Suria dan Ras Adiba, Nurul Syuhada dan Ashwad bukan nama asing dalam dunia kewartawanan dan pengacaraan. Siaran Edisi Siasat, Bongkar dan Talian Hayat mempopularkan Wan K satu ketika dahulu menjadikan dirinya antara personaliti televisyen sensasi yang disegani. Begitu juga Dang Suria dan Ras Adiba yang meninggalkan impak dalam dunia kewartawanan penyiaran dan pengacaraan.
Berbelas-belas tahun dalam bidang penyiaran telah membawa mereka mengembara hampir ke seluruh pelosok dunia. Kembara karier yang mereka jalani mungkin hampir sempurna. Mereka tidak statik sebaliknya berkembang dan melompat dari satu fasa ke satu lagi fasa sehingga aura yang terpancar hari ini lahir daripada perjalanan tugas mereka. Mereka melaporkan realiti kehidupan kepada masyarakat.
Bukan sahaja mencetuskan inspirasi kepada khalayak, kembara hidup yang mereka lalui juga membentuk peribadi Wan K, Dang Suria, Ras Adiba, Nurul Syuhada dan Ashwad seperti yang terlihat pada hari ini.
Pengalaman
"Saya tak banyak ke luar negara," ujar Wan K yang kini bertugas sebagai penerbit di stesen AlHijrah merendah diri.
"Saya nak berkongsi pengalaman menemui dua wanita unggul negara. Seorang berada di Melaka dan seorang lagi di Selama, Perak. Di Melaka, ada seorang ibu yang menjaga empat orang anaknya yang terlantar dan tidak boleh menguruskan diri sendiri. Apa yang mengagumkan saya, keempat-empat anaknya cemerlang dalam akademik dan agama. Rutin hariannya tidak boleh saya gambarkan.
"Menguruskan anak, memandikan, menghantar mereka ke sekolah, memasak, keluar berniaga dan begitulah ia berulang-ulang kali dilakukannya pada setiap hari. Suaminya berdepan kemurungan yang dahsyat kerana tidak boleh menerima hakikat kecacatan mereka. Duit saku suaminya juga dia yang sediakan hasil daripada berniaga di pasar dan bazar Ramadan.
"Apa yang menyentuh hati, setiap kali waktu solat, anak lelaki yang sulung dibaringkan di saf paling depan, adik-adik lain pula di belakang. Anak lelaki yang terbaring itu menjadi imam kepada adik-adik ketika bersolat. Sayangnya si abang itu sudah meninggal dunia. Dia meninggal ketika sedang menduduki peperiksaan.
"Bagi saya kisah wanita itu sangat hebat, tanpa akademik tapi pengalaman hidup menjadikan pemikiran dan tuturnya bagaikan profesor. Ya, jauh berjalan akhirnya saya menemui inspirasi di tanah air sendiri," kata Wan K.
Sahabat lamanya, Dang Suria pernah bersama-sama dalam program Ziarah turut berkongsi nada yang serupa.
"Sebagai pemberita atau pembaca berita, tugas itu mendekatkan kami kepada manis dan getir kehidupan. Itu juga mencorakkan pemikiran dan cara saya melihat kehidupan sendiri.
"Semasa terlibat dengan Ziarah dahulu, negara luar porak-peranda, mereka bergaduh kerana kuasa. Mangsanya ialah rakyat, wanita, orang tua dan anak-anak kecil. Cerita mereka menyedarkan kita untuk berfikir dengan baik.
"Saya juga pernah bertemu seorang ibu tunggal yang menyara 11 orang anak. Hendak beli baju raya sekali setahun pun mereka tak mampu. Kisah mereka itu menyedarkan betapa bertuahnya apa yang kita miliki," ungkap Dang Suria yang menyifatkan dirinya tidak pernah bersara dari dunia penyiaran.
Seorang lagi personaliti yang tidak perlu diperkenalkan, kisahnya sahaja mudah menerbitkan kekaguman. Kehidupan normal Ras Adiba pernah diragut apabila separuh badannya lumpuh rentetan kemalangan jalan raya pada tahun 1996.
Wanita yang baharu menemui sebuah kemanisan rumah tangga ini berkongsi pengalaman yang menghadirkan kekuatan dan jawapan untuk jati dirinya kini. Pengalaman itu hadir ketika dia menyempurnakan Kembara Kerusi Roda 2013.
"Saya menolak kerusi roda sejauh 490 kilometer dari Johor Bahru merentasi Melaka dan Negeri Sembilan sehingga tiba di lokasi penamat, Putrajaya. Pengembaraan itu memberi kekuatan untuk saya mencari jawapan tentang keadaan diri saya kini.
"Saya mula sedar bahawa Allah mahukan saya sebegini agar saya dapat memberi inspirasi dan semangat buat rakan-rakan kurang upaya yang lain.
"Rasa marah dengan tohmahan yang dilemparkan serta mencari kekuatan untuk menjadi seorang yang 'baharu' dalam dunia Orang Kelainan Upaya (OKU), saya mula bangkit untuk hidup dengan lebih produktif malah lebih bersyukur dengan kurniaan Allah," jelasnya yang baharu mendirikan rumah tangga bersama kenalan sekolahnya, Ilias Yaakop minggu lalu.
Menjengah dalam rasa dan jiwa Ras Adiba sebagai veteran dunia penyiaran, dia menyuakan pengalamannya.
"Dulu orang kata dunia penyiaran sebagai jendela dunia. Tetapi dengan kemajuan teknologi dan internet, dunia penyiaran pada hari ini lebih mencabar.
"Masyarakat lebih bijak menilai mutu seorang pembaca berita dan wartawan penyiaran. Masyarakat akan tahu sekiranya seorang pembaca berita itu pintar dan berkaliber, muka yang cantik tidak menjanjikan penonton akan menghormati kita," kata Ras Adiba.

Selera Beego bertambah pada bulan ramadan

Posted: 03 Aug 2013 08:55 PM PDT



PASANGAN suami isteri ini mengakui sambutan Ramadan dan Syawal kali ini paling bermakna setelah mereka berkahwin kira-kira dua bulan lalu.


BANYAK kisah manis yang mahu diceritakan oleh pasangan pengantin baharu ini pada sesi pertemuan yang diadakan sebelum waktu berbuka puasa di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketika masing-masing bergaya dengan memakai busana rona hijau dan biru, pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim tidak lokek bercerita tentang soal rumah tangga mereka yang dibina pada tanggal 7 Jun lalu.
"Ia merupakan satu pengalaman yang manis buat kami, apatah lagi buat pertama kalinya kami meraikan bulan Ramadan dalam tempoh dua bulan bergelar suami isteri. Dalam sekelip mata, ahli keluarga masing-masing juga semakin bertambah," ujar Beego, 33, membuka bicara.
Sambil tersenyum dan berwajah ceria yang mewakili perasaannya selepas bergelar suami, Beego rancak bercerita tentang cara dia menyambut Ramadan bersama buah hatinya yang berumur 29 tahun itu.
"Ramadan kali ini begitu berbeza kerana hidup saya kini semakin terurus. Jika waktu bujang dahulu, saya lebih gemar melepak dan bersahur di kedai mamak sehingga waktu pagi sebelum pulang untuk tidur, kali ini (dalam bulan puasa) berbeza. Kini saya akan tidur dahulu dan bangkit untuk bersahur bersama isteri.
"Walaupun saya yang sering mengejutkan Linda untuk menyediakan hidangan bersahur, ia tidak menjadi masalah buat saya.
"Cuma, kami tidak berkesempatan untuk berbuka puasa bersama-sama pada 1 Ramadan kerana saya sedang menjalani penggambaran ketika itu," kata Beego yang bakal muncul dalam telefilem Lebaran Kasih sempena Aidilfitri nanti.
Kata orang, sikap lengkap-melengkapi menjadi rahsia kebahagiaan rumah tangga. Ia turut diakui Beego dan Linda apabila makanan mengeratkan hubungan kedua-dua mereka.
"Saya memang jenis orang yang suka makan. Semua saya bedal. Lebih bertuah apabila Linda pula seorang yang pandai memasak. Sebut sahaja makanan yang ingin dimakan, pasti dia akan menyediakannya.
"Kadangkala saya sendiri yang meminta dia kurangkan memasak kerana risau berat badannya akan bertambah. Kalau diikutkan, dia memang suka memasak apa sahaja.
"Mujurlah, saya sempat mengawal berat badan kerana bimbang ia boleh mengganggu karier jika tidak dijaga. Walaupun makan banyak, dalam tempoh berkahwin, berat badan saya telah turun sebanyak 1.7 kilogram," ujar Beego dengan nada bergurau.
Sambil mencelah Linda yang pandai memasak pelbagai jenis hidangan kecuali pastri berkata: "Dahulu saya akan memasak apa sahaja yang dia minta, tetapi kini saya sudah faham. Saya perlu memasak dalam kuantiti yang sedikit dan menyediakan hidangan yang sihat. Kalau tidak, semuanya dia akan makan."
Jika banyak pasangan lain pening kepala ketika membuat keputusan untuk balik kampung suami atau isteri, Beego dan Linda tiada masalah tentang perkara itu kerana mereka sudah membuat perancangan pada peringkat awal.
"Mengikut perancangannya, kami akan berhari raya di Gopeng, Perak. Jadi, seminggu sebelum hari raya, kami akan pulang ke kampung saya di Bandar Baru Uda (Johor Bahru).
"Ketika bulan Ramadan, ramai keluarga Linda yang berbuka puasa bersama di sini (Kuala Lumpur)," kata Beego yang tidak sabar untuk menikmati kelamai yang merupakan makanan tradisional pada hari raya di Gopeng.
Bercerita tentang persiapan hari raya, pasangan itu memilih untuk meraikan Aidilfitri secara sederhana.
"Duit sudah banyak habis untuk majlis perkahwinan tempoh hari. Justeru, hari raya pada tahun ini diraikan secara ala kadar sahaja," kata Beego.
Pasangan itu turut merancang mengadakan rumah terbuka hari raya.
Mengaku teruja untuk menganjurkan rumah terbuka itu buat rakan-rakan dan peminat, Beego berkata, majlis tersebut juga merupakan kali pertama yang akan dianjurkannya secara peribadi.
"Insya-Allah kami hanya merancang cuma pelbagai perkara harus diberi perhatian termasuklah soal lokasi kerana kami tinggal di apartmen," kata Beego.

Penyanyi berakustika raya

Posted: 03 Aug 2013 08:54 PM PDT



BARISAN anggota grup IamNeeta berdiri di sebelah Aizat Amdan (empat dari kiri) dan enam ahli kumpulan Hyper Act yang mengambil bahagian dalam program Akustika.


SENTIASA mencari kelainan dalam industri penyiaran radio, saluran radio Hot FM pada tahun ini menampilkan sebuah program raya yang berkonsepkan alunan melodi secara akustik.
Tidak hanya dapat didengari melalui frekuensi Hot FM di seluruh negara, program dengan nama Akustika itu juga boleh ditonton melalui saluran TV9 pada hari raya pertama dan kedua pada pukul 7.30 malam.
Lantunan vokal hebat daripada barisan artis tempatan yang popular seperti Datuk Siti Nurhaliza, Noh Salleh, Aizat Amdan, Hafiz, Dayang Nurfaizah, Salam Muzik, Raihan, Rabbani, Ning Baizura, Fourteen, Jaclyn Victor, Hazama, Tengku Adil, IamNeeta, Hyper Act, Sofazr dan Monoloque pasti mampu menjadi santapan telinga menerusi irama yang lunak dan merdu.
Khalayak dapat mendengar nyanyian artis kegemaran mereka melalui radio Hot FM pada hari raya pertama bermula pada pukul 10 pagi. Setiap artis diberikan masa selama 15 minit.
Berkongsi cerita buat kali pertama, grup yang terkenal dengan lagu Terima Kasih iaitu IamNeeta teruja dengan pengalaman pertama ini.
"Melihatkan barisan artis yang turut terlibat dalam program Akustik kali ini, kami jadi teruja dan gembira. Ini kali pertama kami mengadakan acara raya bersama radio Hot FM," ujar Neeta mewakili rakan-rakannya.
Grup itu menyanyikan tiga buah lagu iaitu Balik Kampung, Hari Raya dan Terima Kasih khas buat para peminat mereka. Sebagai artis paling junior dalam senarai, grup itu berpendapat ia merupakan pengalaman yang baik untuk mereka tempuhi. Ia juga dapat memperkenalkan muzik dan grup itu kepada para peminat hiburan tanah air.
Program itu bertepatan juga dengan misi Hot FM yang menjemput grup itu dan beberapa artis baharu untuk memberi variasi dan warna muzik yang berbeza dalam program Akustika Raya tersebut.
Neeta Manishaa selaku penyanyi solo, Patrick Anohada (gitar utama) dan Anas Zakwan Azhar (basis) yang menggawangi IamNeeta sempat menguar-uarkan bahawa mereka bakal muncul dengan album pada penghujung tahun ini.
Penyanyi Aizat Amdan yang sedang sibuk dengan grup Go Gerila turut terlibat dalam program Akustika ini.
Menurut Aizat, dia menyanyikan tiga buah lagu iaitu Next Aidilfitri, Balik Kampung dan In Love With You.
"Selain Akustika, saya juga terlibat dengan program Dikir Style, FBI Raya Sakan dan Sampaikan. Bulan puasa ini saya banyak tumpukan perhatian terhadap persiapan album solo," jelas Aizat.
Grup dengan nama Hyper Act yang meletup dengan lagu Hanya Aku dan Harapan juga turut terlibat dalam program Hot FM Akustika Raya yang dihoskan oleh Leya, Chad dan Deen.
Menyanyikan dua buah lagu iaitu Selamat Hari Raya dan Menjelang Hari Raya, Toi mewakili grup ini mengucapkan rasa syukur dan bertuah kerana dapat terlibat dengan pelbagai program berbuka puasa dan raya.
"Penglibatan kami dalam Akustika Raya itu sekali gus dapat memperkenalkan lagu-lagu kami selain menyanyikan lagu raya buat para peminat kami," jelas Toi.

Tuisyen online percuma

Posted: 03 Aug 2013 08:52 PM PDT



KAEDAH tuisyen online itu mudah kerana ia hanya perlu menghasilkan video tutorial dengan menggunakan komputer dan kemudian dimuat turun ke YouTube.



SUDAH menjadi lumrah dunia, ramai orang yang berminat untuk menggunakan pelbagai bentuk perkhidmatan di internet yang boleh membantu mereka melakukan urusan seharian.
Urusan seharian itu semakin mudah selepas internet dicipta yang menyebabkan semua maklumat dan perkhidmatan boleh diperoleh menerusi hujung jari anda.
Justeru, pusat tuisyen secara online yang mengenakan bayaran turut diperkenalkan menerusi internet.
Cuma ibu bapa perlu mempunyai wang yang mencukupi untuk menggunakan perkhidmatan itu.
Namun, bagi seorang lelaki, Edmond Yap yang berumur 33 tahun, dia telah memperkenalkan platform unik iaitu pusat tuisyen online secara percuma sejak pertengahan tahun 2012.
Menerusi laman web www.edunation.my, para pelajar sekolah menengah tingkatan dua hingga lima dapat mempelajari subjek Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Prinsip Akaun, Biologi dan Kimia secara tutorial di internet tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Laman web www.edunation.my mengandungi video untuk para pelajar dan diajar dalam bahasa Melayu.
Pertemuan dengan Edmond baru-baru ini di pejabatnya merungkaikan segala persoalan tentang perkhidmatan itu.
Suasana di E203A, Tingkat 2, Sayap Timur, Metropolitan Square, Damansara Perdana, Selangor tempat pejabat tuisyen online itu cukup sunyi.
YouTube
Hanya Edmond, isterinya, Tasha Ong dan Ketua Pendidikan Edunation, Sugain Maniam yang kelihatan.
"Guru-guru atau sukarelawan yang terdiri daripada pensyarah atau pelajar universiti hanya menghantar video kepada kami.
"Mereka tidak perlu datang ke sini, mudah bukan," jelas Edmond.
Menerusi kaedah itu, para sukarelawan akan menghasilkan tutorial dengan menggunakan komputer meja, komputer bimbit atau tablet yang menggunakan perisian Camstudio, Smooth Draw, Quick Time atau Cam Studio.
"Sejurus sahaja siap, mereka akan menghantar video tutorial itu menerusi e-mel kepada kami.
"Video itu akan dimuat turun ke laman perkongsian video YouTube untuk diakses oleh orang ramai terutamanya pelajar secara percuma," jelas Edmond.
Setakat ini terdapat lebih 30 orang sukarelawan separuh masa yang membantu menyiapkan video tutorial ini di samping lapan orang pekerja sepenuh masa.
Namun, bagaimana lelaki yang gemar tersenyum ini memperoleh idea untuk mewujudkan tuisyen online secara percuma ini?
Kata lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam, Universiti Adelaide, Australia ini, dia pernah bekerja sebagai seorang jurutera selain memiliki perniagaan sendiri dalam bidang konsultan.
Kekurangan
"Walaupun gaji dan wang yang diterima agak lumayan tetapi dalam hati saya seperti terdapat kekurangan yang tidak boleh saya jelaskan kepada orang lain.
"Saya bekerja dan mempunyai bisnes tetapi masih tidak mendapat kepuasan,' katanya.
Sejarahnya bermula sejak lelaki ini bersekolah menengah lagi.
Dia sering datang ke rumah kebajikan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Namun terdapat satu peristiwa yang melibatkan seorang remaja lembam bernama John yang memerlukan bantuan saya untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah pada tahun 2009.
"John memerlukan bantuan tetapi saya tidak cekal malah melarikan diri dan sehingga sekarang saya tidak pernah pergi ke mana-mana rumah kebajikan kerana rasa bersalah yang menghantui diri.
"Entahlah, apa nasib John sekarang," katanya dengan nada sedih.
Namun, selepas menonton laman ucapan inspirasi www.ted.com mengenai Akademi Khan membuatkan dia teruja.
"Video itu agak ringkas iaitu kurang 15 minit tetapi ia adalah mengenai akademi itu yang menyediakan tuisyen online secara percuma kepada para pelajar di seluruh dunia.
"Saya tergamam selama 10 minit sambil merenung kembali video itu selama beberapa kali," cerita Edmond.
Tidak lama selepas itu, dia menubuhkan tuisyen edunation secara percuma iaitu pada Mei 2012.
Bagaimanapun, bukannya mudah untuk memperoleh dana bagi menjayakan cita-citanya itu.
Kata Edmond, dia perlu menjual perniagaan untuk memperoleh modal permulaan.
"Malah, untuk menjimatkan perbelanjaan, saya dan isteri hanya makan makanan di gerai yang harganya murah selain kami amat mementingkan setiap barangan yang kami beli.
"Perbezaan harga beras sebanyak 50 sen pun diambil kira,' katanya.
Dia juga hanya mempunyai aset iaitu sebuah kereta Honda Accord tahun 1996.
Edmond turut menumpang kondominium ayahnya.
Lebih 30 buah syarikat yang dikunjungi lelaki ini untuk mendapatkan dana.
"Ada wakil syarikat yang menyatakan saya gila dan melakukan perkara yang sia-sia.
"Pada akhirnya, saya menemui pengasas Kolej Asia Brickfields iaitu Raja Singam.
"Saya hanya membentangkan kertas kerja selama 10 minit. Dia (Raja Singam) diam sejenak sebelum bersetuju untuk memberikan bantuan.
"Dia menghulurkan dana sebanyak ratusan ribu ringgit setahun untuk membantu saya," katanya.
"Selain itu, dia juga berusaha mendapat bantuan dana daripada beberapa buah syarikat korporat.
Justeru, tuisyen secara online itu kemudian masih kekal bertahan sehingga kini.
Menyentuh dengan lebih lanjut tentang tuisyen itu, Maniam berkata, pihaknya akan memperkenalkan beberapa subjek video tutorial untuk pelajar sekolah rendah pada hujung tahun ini.
"Selain itu, kami juga akan memaksimumkan penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter bagi membolehkan para pelajar bertanya mengenai mata pelajaran tertentu secara maya.
"Lebih mudah, lagipun laman sosial itu dapat digunakan untuk perkara yang berfaedah dan bukan sia-sia," katanya.

Cerita berbeza dua wanita

Posted: 03 Aug 2013 08:51 PM PDT

ASMAHAN berharap telefon pintar Chili keluaran syarikatnya dapat diterima para pengguna telefon di negara ini.


WANITA ini tidak lekang mengukir senyuman serta ketawa yang mampu memikat sesiapa sahaja.
Namun, dalam senyum, ketegasannya memperjuangkan kepentingan alam semula jadi di negara ini seharusnya dipuji.
Malah, pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) EcoKnights, Yasmin Rasyid yang berumur 38 tahun itu menyatakan wang ringgit tidak menjadi keutamaan.
"Memang wang ringgit itu perlu, saya mengasaskan EcoKnights tanpa mengharapkan imbuhan cuma bertekad ingin memupuk semangat sukarelawan terutama kepada golongan muda," katanya.
Bertempat di pejabatnya yang terletak di 41, Lorong Burhanuddin Helmi 11, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, wanita yang berasal dari Pasir Putih, Ipoh, Perak ini teruja bercerita mengenai kisah hidupnya.
Wanita yang mempunyai dua orang zuriat ini dilahirkan dalam keluarga campuran Cina dan India Muslim.
Kata Yasmin, minatnya terhadap NGO alam sekitar mula berputik semasa menuntut di Universiti Duke, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS).
"Saya mengambil ijazah dalam bidang berkaitan biologi marin. Semasa cuti semester, saya sering terlibat dengan aktiviti NGO di AS.
"Tidak dinafikan di AS para aktivis NGO lebih aktif. Namun, banyak NGO di negara ini telah mengikut langkah yang serupa," ujarnya.
Jelasnya, dia kurang berminat untuk bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Zaman internet
Menurutnya, pada zaman internet, dia boleh membuat kerja di luar pejabat.
"Sekarang zaman internet. Urusan kerja bukan sekadar boleh dilakukan di pejabat semata-mata tetapi juga di mana-mana sahaja.
"Kediaman malah di kedai kopi pun boleh kerja atau tugasan boleh dilakukan asalkan rajin dan ada semangat," ujarnya.
Prinsip wanita bertubuh langsing itu adalah untuk menyelesaikan setiap urusan secepat mungkin.
"Jika ditangguh berkali-kali, apa sahaja yang kita lakukan tidak dapat diselesaikan," katanya.
Sepanjang menjadi isteri, ibu dan Pengasas EcoKnights itu bersyukur kerana dia boleh membahagikan masa antara kerja dengan keluarganya.
"Malah, saya mempunyai suami, anak-anak dan rakan sekerja yang banyak mendorong saya," kata Yasmin.
Lucu

YASMIN banyak belajar menguruskan NGO alam sekitar semasa menuntut di Universiti Duke, Amerika Syarikat.


Ada cerita lucu mengenai Yasmin untuk dikongsikan.
Dahulu, wanita ini tidak mahir berkebun malah untuk menjaga pokok kaktus pun dia tidak tahu.
"Cangkul pun saya anggap sesuatu yang agak aneh," katanya.
Namun, pengasas NGO alam sekitar itu sanggup belajar dengan mengetepikan perasaan malu.
"Kini, saya mempunyai kebun mini yang sarat dengan pokok-pokok hiasan di rumah," katanya.
Selain itu, beliau juga boleh memasak makanan tradisional Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili api.
Lain pula kisahnya dengan seorang lagi wanita, Asmahan Sulaiman apabila dia tidak sabar menunggu produk sulungnya iaitu telefon bimbit Chili 5 bakal dipasarkan tidak lama lagi.
Sebuah kilang pembuatan telefon itu terletak di Johor.
"Saya sedar Instant Communication yang mengeluarkan telefon pintar Chili perlu bersaing dengan jenama terkenal sedia ada seperti Samsung, HTC dan BlackBerry
"Namun Chili 5 juga hebat, ia ada aplikasi khidmat pesanan ringkas percuma iaitu x-Com sama seperti WeChat, WhatApp dan Line," ujarnya.
Tambah Asmahan, bateri telefon pintarnya mampu bertahan 40 peratus lebih lama berbanding telefon pintar yang lain.
Menurutnya, ia juga boleh digunakan untuk membuka pintu.
"Malah, perisian yang terdapat dalam telefon itu membolehkan pembayaran dibuat untuk perkhidmatan pengangkutan awam dan tambah nilai telefon bimbit," katanya.
Dia juga memberikan jawapan tentang soalan kenapa dia menggunakan nama Chili.
Nama itu menggambarkan cabai yang menyebabkan si pemakannya akan berasa pedas.
"Mudah untuk diingati," katanya.
Menurutnya, dia mendapat idea itu secara kebetulan semasa menjamu selera di sebuah restoran makanan segera bersama suaminya.
Tambah bekas peguam ini, harga yang ditawarkan untuk Chili juga berpatutan iaitu RM550 seunit.
"Warna dan logo telefon pintar itu juga boleh dihasilkan mengikut cita rasa pelanggan," ujarnya.

Kemunculan bangkai aneh

Posted: 03 Aug 2013 08:50 PM PDT


BENTUK kepala makhluk ganjil yang ditemui di Pantai Pukehina, Teluk Penty, New Zealand baru-baru ini.


PENEMUAN pelbagai bangkai haiwan aneh di seluruh dunia menimbulkan pelbagai spekulasi tentang kewujudan haiwan misteri.
Antara yang mencuri tumpuan termasuklah bangkai haiwan yang digelar sebagai raksasa laut yang mempunyai gigi besar yang ditemui di sebuah pantai di New Zealand baru-baru ini.
Seorang wanita, Elizabeth Ann telah merakamkan video penemuan bangkai itu di Pantai Pukehina, Teluk Plenty, New Zealand dengan sebahagian tubuh haiwan itu telah hilang.
"Adakah sesiapa yang boleh memastikan apakah makhluk ini? Ia memiliki kepala yang besar serta gigi kacip yang panjang. Badannya mungkin sepanjang sembilan meter. Tetapi, sebahagian tubuhnya sudah terputus," kata Ann.
Wanita itu berkata, makhluk tersebut mungkin telah diserang haiwan lain sebelum ia mati.
"Makhluk besar itu terdampar selepas ribut kuat. Penduduk sekitar juga tidak tahu tentang makhluk pelik itu dan ia menimbulkan pertanyaan (kemunculan bangkai makhluk itu) dalam kalangan mereka," katanya.
Ada pihak yang mengandaikan bahawa ia mungkin bangkai buaya air masin, ikan lumba-lumba, belut laut gergasi atau dinosaur.
Bagaimanapun seorang pakar haiwan mamalia, Anton van Helden menolak kesemua andaian itu dengan menyatakan bahawa ia hampir menyamai bentuk ikan paus pembunuh yang kerap ditemui di Fiji dan Teluk Plenty.
Gambar-gambar bangkai itu turut dihantar ke Jabatan Konservasi dan Akuarium Hidupan Laut Kelly Tarlton's di Auckland, New Zealand untuk dikenal pasti spesiesnya.
Seterusnya, beberapa keping foto makhluk menyerupai ikan paus yang dijumpai oleh anggota-anggota tentera laut Iran di Teluk Parsi turut menimbulkan persoalan orang ramai.
Hodoh
Berdasarkan gambar yang dilihat itu, seorang pengguna internet yang mengaku bahawa dia merupakan pakar biologi menjelaskan bahawa begitu sukar untuk mengenal pasti jenis makhluk tersebut.
Menurut pengarah di Institut Sains Marin, Universiti California, Amerika Syarikat, Dr. Gary Griggs, haiwan itu diandaikan sebagai ikan paus.
"Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya tentang ikan paus dan tulangnya, ia merupakan ikan paus. Bagaimanapun dengan keadaan tubuhnya yang semakin mereput itu, sukar juga untuk mengesahkan bahawa ia adalah haiwan berkenaan," kata Gary.
Dalam pada itu, seekor haiwan misteri yang hodoh dan sering menyerang lembu penternak telah berjaya dibunuh oleh penternak di Belarus baru-baru ini.
Haiwan itu dikatakan menyamai gambaran tentang makhluk legenda di Amerika Latin, chupacabra yang menghisap darah haiwan ternakan.
Chupacabara menghisap darah selepas ia menggigit kaki haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.
Penemuan haiwan ganjil itu dikatakan boleh menjadi kunci untuk menyelesaikan misteri seekor haiwan yang ditemui oleh seorang petani Ukraine pada tahun lalu.
Haiwan yang ditemui itu dikatakan mutasi musang yang berlaku akibat keracunan radiasi selain teori lain menyatakan bahawa ia adalah haiwan hibrid yang menjadi bahan ujian kimia dan biologi yang dilakukan di sebuah kilang pembangunan senjata milik bekas Kesatuan Soviet.
Ahli-ahli biologi pernah mendedahkan bahawa ia merupakan anjing rakun yang dibiakkan di sebuah kilang Soviet pada tahun 1939.
Haiwan itu dikatakan telah dilepaskan ke hutan ketika Perang Dunia Kedua bermula.

Masak udang, telur di atas jalan raya

Posted: 03 Aug 2013 08:50 PM PDT



SEORANG kanak-kanak memasak udang dan telur dengan menggunakan kuali leper yang hanya diletakkan di atas penutup lubang di sebatang jalan raya di Jinan, China pada 31 Julai lalu.


KEBANYAKAN wilayah di China kini dilanda cuaca panas yang melampau sehingga suhu mencatatkan lebih 40 darjah Celsius iaitu yang tertinggi sejak 140 tahun lalu.
Suhu lebih 40 darjah Celsius itu dicatatkan di 40 buah bandar dan daerah kebanyakannya di bahagian selatan dan timur negara ini.
Cuaca yang panas melampau itu telah menyebabkan ramai penduduk berkunjung ke tepi pantai dan kolam renang untuk menyejukkan badan.
Sebuah pusat pemuliharaan beruang panda juga dilengkapi dengan pendingin udara untuk menyejukkan haiwan tersebut di Chendu, barat daya China.
Cuaca panas yang melampau itu juga menyebabkan penutup lubang di sebatang jalan raya boleh dijadikan dapur untuk memasak.
Seorang kanak-kanak memasak udang dan telur dengan meletakkan kuali di atas penutup lubang tersebut di Jinan, timur China pada 31 Julai lalu.
Beberapa ekor anak ayam menetas secara sendiri ekoran cuaca yang panas itu di Zhengzhou, wilayah Hunan tengah China pada Khamis lalu.
Cuaca panas melampau itu melanda bandar Shanghai dan beberapa wilayah timur dan selatan negara ini sejak awal bulan lalu.
Ia dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan ini.
Bandar Shanghai mencatatkan suhu setinggi 40.6 darjah Celsius pada 26 Julai lalu.
Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh di bandar itu sejak bulan lalu.
Seorang penduduk, Wu Guiyun, 50, yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan berkata, dia cuba untuk menyejukkan badan dengan duduk di dalam pejabatnya yang dilengkapi penyaman udara jika tidak keluar menghantar pesanan.
"Cuaca sungguh panas sehingga saya sukar untuk bernafas," katanya.
Rekod susu panas sebanyak 42.7 darjah Celsius dicatatkan di bandar Fenghua, timur China pada 24 Julai lalu.
Menurut laporan stesen China Central Television baru-baru ini, sejumlah kenderaan mengalami masalah enjin yang panas manakala sebuah papan iklan terbakar dengan sendirinya di bandar Ningbo, wilayah Zhejiang.
Menurut laporan stesen itu, litar pintas akibat cuaca panas mungkin menyebabkan kebakaran itu berlaku.
Di wilayah Hunan, seorang suri rumah yang mahu mengambil beberapa biji telur yang disimpan di dalam sebuah bilik mendapati, anak-anak ayam telah menetas dari telur tersebut.
Seorang lelaki China, Yang Hao melecur di belakang badannya selepas dia terjatuh di tepi sebatang jalan raya di Changsa, wilayah Hunan akibat cuaca terlalu panas.
Dia dirawat di sebuah hospital di bandar tersebut sejak 31 Julai lalu.
Cuaca panas yang luar biasa itu juga menyebabkan beberapa buah restoran di Pianyang, tengah China memindahkan ratusan meja ke kawasan cetek di sebatang sungai.
Ia membolehkan para pelanggan meletakkan kaki mereka ke dalam air semasa makan ekoran cuaca panas itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines