Khamis, 22 Ogos 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


FAM sudah kemuka permohonan rasmi kepada MBSA

Posted: 20 Aug 2013 06:23 PM PDT

Sumber: Bernama & Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia pada 3 Novomber ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tidak timbul lagi sebarang isu berhubung penggunaan stadium tersebut kerana surat permohonan itu dihantar semalam.

"Mungkin MBSA telah menerima surat daripada FAM sebab surat itu dihantar petang semalam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.



Selepas meninjau Stadium Shah Alam pagi semalam, Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata MBSA belum menerima sebarang permintaan rasmi daripada FAM untuk menggunakan stadium berkenaan sebagai venue final Piala Malaysia.

Sebelum ini, FAM memutuskan untuk mengadakan final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam berikutan kualiti venue asal di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak memuaskan dan tidak menepati standard antarabangsa.

Keadaan padang yang teruk di Stadium Nasional juga menyebabkan pasukan gergasi Sepanyol, Barcelona FC meminta perlawanan persahabatan dengan skuad Harimau Malaya baru-baru ini, dipindahkan.

Insiden memalukan itu turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang kemudian meminta Stadium Nasional ditutup pada Oktober ini selama enam bulan bagi proses penanaman semula rumput. - Bernama

Ronaldinho rentap ego Harimau Selatan

Posted: 20 Aug 2013 06:18 PM PDT

Foto

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Status pasukan pilihan seakan-akan tidak memberi sebarang makna buat Johor Darul Takzim (DT) apabila pasukan berbelanja mewah itu tersungkur di tangan PKNS FC, 0-2 pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.

Dua gol pemain import dari Liberia Patrick Ronaldinho Wleh (tiga dari kiri) pada setiap babak sudah cukup untuk memberikan PKNS FC tiga mata berharga di laman sendiri ketika mereka pada mulanya tidak banyak diberikan harapan untuk mencipta kejutan ke atas skuad Harimau Selatan yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol Muhammad Al-Hafiz Hamzah dilayangkan kad merah pada minit ke-62 kerana menampan bola di luar kotak penalti.



Johor DT yang dikendalikan Azmi Mohamed bagi menggantikan Fandi Ahmad selepas tamat kempen Liga Super bermula baik apabila mengasak kubu pasukan tuan rumah menerusi percubaan Andrezinho yang ditepis keluar Mohd Remezey Che Ros pada minit ke-5.

Namun penguasaan Johor DT tidak bertahan lama apabila PKNS FC mula mendapat rentak dan berjaya mendahului permainan menerusi rembatan Ronaldinho selepas memperdayakan dua pemain pertahanan lawan dalam kotak penalti pada minit ke-16.


Pasukan pelawat memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-33 namun Remezey tangkas menafikan sepakan percuma pemain import dari Argentina Leonel Nunez.


Bersambung babak kedua, Ronaldinho sekali lagi menjadi duri dalam daging Johor DT apabila bijak menyempurnakan hantaran pemain perancang Muhamad Nazmi Faiz Mansor untuk menewaskan Muhamad Al-Hafiz bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-57.

Johor DT bertambah derita apabila Muhamad Al-Hafiz diarahkan meninggalkan padang oleh pengadil Samsudin Ibrahim kerana menampan bola di luar kotak penalti ketika cuba menghalang pergerakan Ronaldinho pada minit ke-62.


Biarpun bangkit mengasak di penghujung permainan namun Johor DT tidak mampu menafikan kemenangan pertama anak buah Abdul Rahman Ibrahim untuk memimpin saingan dalam Kumpulan B.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines