Sabtu, 17 Ogos 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


JDT miliki ramuan juara

Posted: 15 Aug 2013 06:06 PM PDT

Safee Sali dihalang pemain pasukan Perth Glory FC dalam aksi persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin kelmarin.


Sumber: Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim mempunyai segala keupayaan yang dilihat mampu membawa pasukan itu mengharungi apa jua cabaran sekali gus membawa pulang Piala Malaysia musim ini, kata jurulatih Perth Glory FC, Alistair Edwards.

Edwards yang juga bekas pemain import Johor bukan satu nama asing bagi peminat bola sepak negara terutama di negeri ini kerana dia merupakan antara tonggak yang membawa pasukan negeri ini mencipta sejarah muncul juara berganda tahun 1991.




Membantu Johor muncul juara Piala Malaysia dan Liga Super pada 1991, membawa Sarawak muncul juara Liga Super pada 1997, malah dia memenangi Kasut Emas dalam saingan Liga Super bersama Singapura pada 1990.

Dia kini yang membimbing Perth Glory FC yang bersaing dalam Liga A Australia menyaksikan sendiri kemampuan pasukan Johor Darul Takzim apabila kedua pasukan bertemu pada aksi persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelmarin.

"Mereka bermain dengan baik. Ramai bakat hebat dalam pasukan selain para pemainnya juga pantas, mempunyai semangat yang baik, pasukan yang mantap dan bagus membuat serangan balas. Mereka berkeupayaan menjulang Piala Malaysia.

"Johor Darul Takzim mesti menang kerana saya yakin ramai peminat termasuk saya sendiri mahu melihat Piala Malaysia dijulang di sini. Saya harap perlawanan persahabatan ini memberi pengalaman berharga dan tuah kepada mereka," katanya.

Pada perlawanan itu, Johor Darul Takzim tewas 0-2 dengan gol Perth Glory FC dijaringkan Steven McGarry menerusi penalti pada minit ke-34 dan gol kedua menerusi Ndumba Makeche pada minit ke-90.

Kelibat bekas pemain Benfica, Pablo Aimar yang dikhabarkan sepatutnya membuat penampilan bersama Johor Darul Takzim pada perlawanan itu tidak kelihatan, namun Cesar Ferrando Jiminez yang dikatakan bakal membimbing skuad itu musim depan dilihat hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Edwards yang kembali ke stadium keramat di Larkin selepas lebih 20 tahun melahirkan rasa kagum dengan suasana di situ dengan peminat skuad Harimau Selatan yang tidak berhenti menyanyi dan memberi sokongan kepada pasukan semasa mereka beraksi.

Sementara itu, jurulatih Johor Darul Takzim, Azmi Mohamed berpuas hati dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan tersebut sambil menyifatkan setiap pemain menunjukkan sikap positif dan sudah bersedia mengharungi cabaran Piala Malaysia.

"Pada masa sama, saya berharap pemain yang beraksi dalam skuad kebangsaan dapat menunjukkan standard yang tinggi untuk membantu rakan lain supaya kita dapat wujudkan sebuah pasukan yang mantap dengan kerjasama yang baik.

"Kami memang berhajat untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini. Jadi, kita akan memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan," katanya yang mula mengambil alih tugas jurulatih daripada Fandi Ahmad bulan lepas.

Azmi turut mengakui ketiadaan kapten pasukan, Kamarul Afiq Kamaruddin yang tidak dapat beraksi sepanjang saingan Piala Malaysia itu sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan, namun kekosongan itu boleh diisi dengan baik oleh Muslim Ahmad mahupun Ahmad Tarmimi Saiban.

Kempen Piala Malaysia yang bermula 20 Ogos ini menyaksikan Johor Darul Takzim diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Felda United, PKNS dan T-Team.

Kekal positif

Posted: 15 Aug 2013 06:04 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Ketika pihak pengurusan skuad kebangsaan memilih untuk berdiam diri berkenaan isu 'berebut pemain', jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Ong Kim Swee pula tetap positif meskipun perancangannya bagi menghadapi kejohanan Pestabola Merdeka bulan depan sedikit terjejas.

Dua pemain impian Kim Swee, Nik Shahrul Azim Abd Halim dari Kelantan dan Junior Eldstal (Sarawak) kekal dalam 'simpanan' Rajagobal yang mahu menguji dua pemain itu di bahagian pertahanan dalam aksi persahabatan kelas A menentang China pada 10 September.



Bagi pengurus pasukan Harimau Malaya Datuk Seri Subahan Kamal, beliau menganggap perkara itu bukan satu masalah besar.

"Saya tidak mahu komen, kenapa perkara ini perlu dijadikan isu," katanya ringkas ketika dihubungi Arena Metro semalam. Mungkin ini bukan masalah besar tapi ia juga bukan sekali terjadi selepas Rajagobal menyenaraikan lima pemain Harimau Muda A ketika Kim Swee memerlukan pemain berkenaan bagi kejohanan jemputan Piala Newspaper di Vietnam Oktober tahun lalu.


Tapi jika ia kerap berlaku situasi tidak harmoni pasti akan berlaku meskipun kedua-dua pengendali ini sepatutnya saling bekerja sama antara satu sama lain. Memang benar, selain membawa misi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini, tugas Kim Swee adalah menggilap pemain untuk diserapkan kepada skuad kebangsaan.

Memang skuad kebangsaan menjadi keutamaan tapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga perlu 'memujuk' Rajagobal supaya sesekali-sekala mengalah demi kepentingan bersama kerana tidak rugi beliau membenarkan pemain itu bersama skuad B-23 kerana sekurang-kurangnya mereka akan mengharungi empat perlawanan kompetitif di Pestabola Merdeka berbanding kunjungan ke China.

Seperti yang diperkatakan bekas pemain kebangsaan Khalid Ali dalam laporan Arena Metro kelmarin, Kim Swee mempunyai pilihan pemain yang terhad dan Rajagobal sepatutnya membenarkan Nik Shahrul Azim dan Junior Eldstal menyertai skuad B-23 buat kali pertama tahun ini selepas diuji bersama Harimau Malaya di Jepun dan aksi persahabatan dengan Barcelona baru-baru ini.

Bagaimanapun Kim Swee tidak mahu memperbesarkan isu itu sebaliknya mahu terus fokus pada persiapan menjelang Pestabola Merdeka di Kuantan bermula 7 September ini yang membabitkan skuad B-23 Singapura, Thailand dan Myanmar.

"Ini keputusan yang sudah dipersetujui bersama dan sekarang tumpuan saya adalah mempersiapkan pasukan dengan pemain yang ada. Bagi saya ini cabaran buat pemain lain untuk memburu tempat dalam pasukan ini sebelum ke Sukan SEA," katanya yang bangga anak buahnya memenangi Piala Newspaper meskipun tanpa beberapa pemain utama sebelum ini.

Tanpa Nik Shahrul Azim dan Junior Eldstal, Kim Swee boleh menarik nafas lega kerana Rajagobal melepaskan Mohd Fadhli Shas, Wan Zack Haikal, K Reuben, Muhamad Nazmi Faiz Mansor dan Zubir Azmi menyertai pasukannya.

Hodak tak puas hati

Posted: 15 Aug 2013 06:02 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kota Bharu: Jurulatih Kelantan Bojan Hodak tidak puas hati dengan beberapa tonggak utama yang baru pulang daripada mewakili skuad kebangsaan selepas tewas 0-1 kepada ATM pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu, malam kelmarin.

Antara pemain utama yang dipanggil menyarung jersi pasukan kebangsaan adalah Nik Shahrul Azim Ab Halim, Shakir Shaari, Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Azizi Mat Rose dan Mohamad Norfarhan Muhammad.



Hodak berkata, kekalahan itu menyebabkan beliau menganggap tonggak utama yang diturunkan sudah kehilangan rentak untuk bermain mengikut acuan pasukan.

"Saya tidak puas hati dengan persembahan yang mereka pamerkan. Jika mereka berlatih dengan skuad kebangsaan dan kembali berlatih dengan kita, mereka akan kehilangan rentak. Saya tidak tahu berapa minit mereka bermain ketika bersama skuad kebangsaan atau mungkin juga ada yang hanya duduk di bangku simpanan saja.

"Bagaimanapun, saya tidak risau dengan prestasi Nik Shahrul, Shahkir atau Khairul Fahmi. Selepas membuat penilaian saya tahu apa yang perlu dibaiki sebelum saingan Piala Malaysia bermula," katanya.

Ditanya mengenai persiapan sebelum sepak mula Piala Malaysia, Hodak mengakui mempunyai bayangan kesebelasan utama namun belum 100 peratus sempurna kerana perlu 'menyiasat' kekuatan lawan dalam kumpulan C iaitu Pahang, Terengganu Dan Negeri Sembilan.

Fokus Piala Malaysia!

Posted: 15 Aug 2013 06:00 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor Irfan Bakti Abu Salim memberi peringatan kepada enam tonggak utamanya supaya melupakan seketika tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada aksi pembukaan Piala Malaysia menentang Johor Selasa depan.

Enam pemain yang dimaksudkan adalah Mahali Jasuli, Asraruddin Putra Omar, K Gurusamy, S Kunanlan, Amri Yahyah dan Norazlan Razali.



Walaupun Irfan gembira dengan prestasi yang ditunjukkan barisan pemain itu khususnya Amri yang meledak satu gol ketika seri 1-1 dalam aksi persahabatan dengan kelab Qatar Lekhwiya SC kelmarin, beliau mahu mereka terus menunjukkan peningkatan bersama pasukannya.

"Saya mahu mereka memberi tumpuan bersama Selangor. Saya tahu selepas empat perlawanan Piala Malaysia mereka akan dipanggil semula untuk bersama skuad kebangsaan bagi perlawanan persahabatan dengan China tapi saya juga mahu mereka meletakkan kepentingan dalam kempen Piala Malaysia ini," katanya.


Menurut Irfan, beliau yakin Selangor kini dalam prestasi terbaik menjelang perlawanan pertama Kumpulan A Piala Malaysia bertemu Johor.


"Saya berpuas hati dengan prestasi pemain yang menunjukkan kesungguhan dan disiplin tinggi berdepan Lekhwiya SC yang beraksi dalam Piala Liga Juara-Juara Asia. Saya bukan mahu berbangga tapi kami mempunyai rekod baik apabila kali terakhir tewas dalam perlawanan liga Februari lalu dan saya harap rentak ini dapat dikekalkan dalam saingan Piala Malaysia.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines