Selasa, 20 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Mamat (Sepah) Sudah Temui Pengganti Fida Ibrahim

Posted: 19 Aug 2013 04:37 AM PDT

Mamat dan Nurul Syafiqah telah berkenalan sejak setahun lalu.
KUALA LUMPUR: Selepas putus cinta denga pelakon Rafidah Ibrahim (Fida), pelawak Mamat (Sepah) mengakui sudah menemui pengganti dan kini sedang menjalin hubungan dengan seorang pelajar Management and Science University (MSU) bernama Nurul Syafiqa Zakaria, 23.
Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Noor Murad, berkata, hubungan cinta dengan pelajar yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa itu mula dijalinkan pada setahun lalu.
"Kami berkenalan ketika nama saya jatuh gara-gara kontroversi, bukan ketika hidup senang.
"Kerana Syafiqa juga, saya mendapat semangat baharu untuk teruskan kerjaya di bidang seni ini.
"Alhamdulillah, dia merupakan orang yang sangat istimewa selepas keluarga saya," katanya.
Tambah Mamat, dia juga mahu memperisterikan Syafiqa secepat mungkin namun perlu menghormati masa dan pelajaran waniata itu yang perlu diselesaikan dahulu sebelum meneruskan harat untuk berumah tangga.
Pada acara Anugerah Lawak Warna yang berlangsung pada Jumaat lalu di Istana Budaya, Mamat buat pertama kalinya mendedahkan Syafiqa kepada umum.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan karier seninya, kata Mamat dia kini sedang mula mengukuhkan semula kerjaya yang pernah jatuh seketika terutamanya ketika dilanda kontroversi hubungan cintanya dengan Fida serta perpecahan kumpulan Sepah sekitar tahun 2011.
Bagaimanapun, Mamat berkata dia mahu memandang ke hadapan dan enggan mengingati kenangan lalu agar lebih positif dalam kerjayanya.
Malah Mamat kini cukup berbangga apabila melihat rakan-rakannya daripada kumpulan Sepah iaitu Jepp dan Shuib berjaya di bidang seni lawak.
"Dahulu saya yang tubuhkan Sepah dan apabila kami membuat haluan masing-masing, saya berharap sangat agar salah seorang daripada kami dapat mengharumkan nama Sepah. Dan kini saya dapat lihat kejayaan Jepp dan Shuib.
"Sikit pun saya tidak cemburu,malah berbangga dengan mereka. Sekarang ini saya pula mahu mengukuhkan kerjaya saya. Moga para peminat menerima saya dalam industri komedi tempatan ini," ujarnya.

Diana Amir Jarang Jumpa Tunang Untuk Elak Fitnah

Posted: 19 Aug 2013 04:37 AM PDT

Diana kini sibuk menguruskan perniagaan pakaian miliknya iaitu Diana Amir Exclusive selain melakukan kerjasama dengan pereka fesyen terkenal, Melindai Looi.
PETALING JAYA: Pelakon Diana Amir mengakui selesa jarang bertemu dengan tunangnya iaitu seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah iaitu Mohd Habibbullah A Rahman agar tidak berlaku fitnah.
Diana atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, 27, berkata, status mereka sebagai tunangan orang bukanlah alasan untuk mereka sentiasa menghabiskan masa bersama sebaliknya harus menjaga batasan sehinggalah mempunyai ikatan yang sah.
"Memang kami jarang berjumpa dan rasanya lebih baik begitu bagi mengelakkan sebarang fitnah dan pada tahap ini batas-batas pergaulan perlu dijaga.
"Kami tiada masalah tentang perkara itu malah lebih selesa tidak terlalu kerap berjumpa dan hanya akan bertemu sekiranya mempunyai urusan," katanya kepada mStar Online.
Diana dan Mohd Habibbullah mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarga pelakon itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perkahwinan, Diana berkata, mereka masih belum menetapkan sebarang tarikh kerana sibuk dengan urusan kerja masing-masing.
Bagaimanapun kata Diana, mereka akan tetap berkahwin pada tahun ini dan akan berbincang mengenai soal itu dalam masa terdekat.
"Sepatutnya kami berkahwin setahun selepas bertunang namun kesibukan dengan kerjaya masing-masing telah menyebabkan ia tertangguh. Pun begitu, kami tetap akan berkahwin dalam tahun ini dan Insya-Allah kami akan beritahu perkara baik itu kepada semua nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Diana berkata, selain sibuk menguruskan perniagaan pakaian Muslimah miliknya iaitu 'Diana Amir Exclusive' dia juga masih menerima tawaran berlakon sekiranya watak bersesuaian dengan imejnya.

Pelakon Popular Tutup Rezeki Adam Corrie

Posted: 19 Aug 2013 04:36 AM PDT

Adam Corrie Lee Abdullah
PETALING JAYA: "Dia kawan yang busuk hati kerana nak tutup rezeki saya!" Kenyataan itu cukup menggambarkan kekecewaan hati pelakon antagonis, Adam Corrie Lee Abdullah yang sedih apabila mendakwa 'ditikam' kawan baik sendiri.
Adam Corrie, 45, berkata, seorang pelakon lelaki yang pernah memenangi anugerah telah menabur pasir dalam periuk nasinya dengan menyebarkan cerita buruk agar dia tidak diambil berlakon dalam mana-mana produksi filem menyebabkan peluangnya tertutup.
"Saya benar-benar kecewa dan sedih. Kenapakah pelakon itu sanggup berbuat demikian kepada saya? Apa salah saya? Dia lebih hebat daripada saya kerana telah menang anugerah. Kenapa hendak dengki dan busuk hati dengan saya?" ujarnya kepada mStar Online.
Adam yang juga seorang koreografer berkata, pada mulanya dia tertanya-tanya kenapakah tawaran berlakon yang sepatut diterimanya semakin berkurangan sehinggalah ada pihak memberitahu, terdapat seorang pelakon cuba mempengaruhi pengarah dan produser agar tidak mengambilnya berlakon.
Katanya, cerita berkenaan disampaikan oleh beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan sikap pelakon berkenaan kerana cuba membawa budaya tidak baik dalam produksi.
Malah katanya, ketika nama dia dimasukkan dalam senarai bagi watak antagonis, individu tersebut berjaya meyakinkan pengarah dan pihak produksi supaya menggugurkan namanya tanpa sebab yang munasabah.
"Lebih menyedihkan pelakon itu sanggup kata 'kenapa nak ambil Cina ni (berlakon)' bila dia nampak nama saya. Saya memang sedih," jelasnya.
Ditanya adakah dia mempunyai apa-apa masalah peribadi dengan pelakon itu Corrie berkata, dia tidak pernah bermusuhan dengan individu tersebut malah mereka adalah kawan baik.
Corrie (tengah) dalam filem KL Gengster.
Katanya, pelakon itu juga tidak menunjukkan sifat membencinya malah cuba berpura-pura baik setiap kali mereka bertentang mata.
"Apabila jumpa saya, dia selalu tepuk bahu saya dan berborak macam biasa. Tapi apabila di belakang saya dia cuba buat perkara yang tak elok. Mungkin dia cemburukan saya," katanya.
Walaupun begitu kata Corrie, dia bersyukur kerana Allah telah membuka jalan dengan memperluaskan rezekinya dalam bidang lain iaitu sering dijemput dalam majlis-majlis agama yang tidak melibatkan politik.
Corrie dijemput untuk berkongsi rahsia bagaimana hatinya terbuka iaitu untuk memeluk Islam.
"Saya dapat banyak undangan ceramah agama. Sebelum menerima pelawaan, saya akan pastikan jemputan untuk saya itu tiada kaitan dengan apa juga elemen politik," katanya.
Pelakon ini memberitahu, hasratnya untuk berlakon tidak pernah padam dan berharap agar mana-mana produser terus memberi ruang untuknya aktif semula dalam dunia seni.
Malah dalam masa yang sama dia meminta agar mereka tidak terus terpedaya dengan kata-kata buruk individu tertentu mengenai dirinya.
"Jika ada pengarah hendak tahu sesuatu cerita yang benar mengenai saya, tanyalah saya sendiri. Jangan mudah terpedaya dengan cakap-cakap orang," rayunya.
Corrie yang memeluk Islam pada 13 Julai 2007 telah berkahwin dengan wanita Melayu iaitu Fazema Mohd Fuad, 35, pada 2008.
Selain aktif sebagai pereka tari, Corrie telah berlakon lebih 10 buah filem yang kebanyakannya untuk watak antagonis ataupun gengster Cina.
Antara filem lakonan beliau ialah Paloh, Spinnng Gasing, KL Gangster, KL Gangster 2, Libas, Bohsia:Jangan Pilih Jalan Hitam, Gangster Celop dan Darah Panas.
Pada 25 April lalu Corrie membuat laporan kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) selepas hilang punca pendapatan hampir RM40,000 gara-gara tiada tawaran berlakon selepas tersebar gambar kononnya dia menyertai Pas.

Farawahida kahwin usahawan Disember ini

Posted: 19 Aug 2013 04:35 AM PDT

FARAWAHIDA berharap agar khalayak tidak terus salah faham terhadap hubungannya dengan Zulfekar.


LAMA sudah tidak mendengar khabar mengenai penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu, Farawahida. Kali terakhir penyanyi berusia 28 tahun itu hangat diperkatakan di media ekoran gosip hubungannya bersama komposer Zulfekar.
Bertemu dengan Farawahida ketika majlis Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, penyanyi berketurunan Melayu, Pakistan itu mendedahkan tidak pernah menjalinkan hubungan dengan Zulfekar, malah mengakui bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasih yang sudah dikenali selama lapan tahun pada bulan Disember ini.
Kepada Kosmo!, Farawahida melanjutkan perbualannya itu.
KOSMO: Lama sudah tidak muncul, apakah perkembangan terkini anda sekarang?
FARAWAHIDA: Saya masih lagi wujud dalam industri seni, malah masih aktif menyanyi untuk majlis-majlis korporat dan sebagainya. Dalam pada itu, saya juga sedang mengumpul bahan untuk single kedua manakala single pertama iaitu Jangan Tanya Aku Lagi sudah diputarkan di corong-corong radio.
Bagaimanakah lagu yang anda inginkan untuk single kedua nanti?
Saya beri peluang kepada sesiapa sahaja untuk membuat lagu single kedua itu. Komposer muda atau sesiapa yang mempunyai bakat dalam menghasilkan lagu boleh hantar kepada saya.
Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi anda?
Saya bakal bernikah pada bulan Disember ini. Saya dan pasangan tidak akan melakukan adat merisik dan bertunang, tetapi mengambil keputusan untuk terus bernikah.
Kenapakah anda mengambil keputusan begitu?
Saya dengan dia sudah lama bercinta. Lapan tahun. Jadi, kami ambil keputusan untuk tidak lagi memanjangkan hubungan kami dengan melakukan pertunangan.
FARAWAHIDA bakal berkahwin dengan kekasihnya yang telah bersamanya sejak lapan tahun lalu.


Lapan tahun bercinta? Bagaimana pula dengan gosip hubungan anda dengan Zulfekar selama ini?
Saya dengan dia (Zulfekar) tidak pernah bercinta. Hubungan kami tidak lebih sekadar rakan kerja sahaja. Gosip-gosip selama ini tidak benar.
Apakah perasaan anda kerana sehingga kini ramai lagi yang mendakwa anda pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Zulfekar?
Sejujurnya saya berasa sangat sedih dan tertekan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana teman lelaki sangat memahami keadaan saya dan tidak mempercayai gosip tersebut. Gosip itu langsung tidak memberi kesan terhadap hubungan cinta kami selama ini.
Boleh kongsikan mengenai siapakah gerangan bakal suami anda?
Apa yang boleh saya cakap, dia berusia 29 tahun. Dia bukan orang industri dan bukan suami orang (ketawa). Dia bekerja dengan pakar jantung dan kini baharu berkecimpung dalam dunia perniagaan hartanah.
Di manakah majlis perkahwinan anda bakal berlangsung?
Insya-Allah, majlis akan diadakan di kampung saya iaitu Taiping, Perak. Majlis pernikahan akan diadakan pada sebelah siang manakala majlis bersanding akan diadakan pada sebelah malam pula.
Apakah konsep perkahwinan anda itu nanti? Sudah buat sebarang persiapan?
Saya mengimpikan sebuah majlis berkonsepkan ala kampung. Persiapan perkahwinan saya sedang berlangsung. Saya juga akan pergi kursus kahwin.
Kenapakah anda memilih hujung tahun ini untuk melangsungkan perkahwinan?
Sebenarnya saya tunggu kakak saya yang kedua balik ke sini. Dia sekarang menetap di Jepun, ikut suami dia bekerja di sana. Jadi kebiasaannya dia boleh balik hujung tahun. Sebab itu saya pilih untuk melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun.

Kekerapan Siti Nurhaliza Dalam Program Syawal Bukan Keterlaluan

Posted: 19 Aug 2013 04:34 AM PDT

Siti tidak melihat kemuncalannya dalam banyak program sempena Syawal pada tahun ini sebagai keterlaluan sebaliknya bagi memenuhi permintaan produksi dan peminat.
AMPANG: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak melihat kemuncalannya dalam banyak program sempena Syawal pada tahun ini sebagai keterlaluan sebaliknya bagi memenuhi permintaan produksi dan peminat.
Siti, 34, berkata, dia hanya menyertai sebuah program sahaja untuk setiap stesen televisyen selain terpaksa menolak banyak tawaran lain kerana sibuk dengan proses rakaman album terbaharunya.
"Wajah saya nampak banyak muncul pada Hari Raya tahun ini mungkin kerana ada stesen TV yang mengulang tayang program yang pernah saya buat sebelum ini.
Siti Nurhaliza beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada rumah terbukanya di Bukit Antarabangsa pada Ahad.
"Saya juga banyak memenuhi undangan pihak produksi pada tahun ini kerana pada tahun lalu saya tidak muncul dalam sebarang program raya," jelasnya kepada mStar Online.
Siti ditemui pada majlis rumah terbukanya di Bukit Antarabangsa di sini, Ahad.
Dalam pada itu, Siti berkata, selain sibuk merakamkan album terbaharunya, dia juga sedang rancak mengadakan persiapan untuk konsert tradisional sulungnya di Panggung Sari, Istana Budaya yang akan diadakan pada 20 hingga 22 September depan.
Siti bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Jelas Siti, dia sangat teruja dengan konsert berkenaan kerana telah lama mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert tradisional disamping Orkestra Tradisional Kebangsaan (OTK).
"Ramai peminat yang bertanya tentang konsert tradisional dan akhirnya ia bakal terlaksana dan persiapan sedang dilakukan," jelasnya.
Sementara itu, Siti berkata, rumah terbuka yang diadakannya adalah untuk meraikan para pekerjanya di SimplySiti selain turut menjemput rakan niaga, sahabat dan keluarga terdekat.

Haliza Misbun anggap kahwin bosan

Posted: 19 Aug 2013 04:31 AM PDT

HALIZA yang kurang berlakon, bakal muncul dengan novel pertama miliknya, Cinta Rimau.


LAMA tidak muncul di semua saluran media, kelibat pelakon Haliza Misbun di majlis Melodi Raya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur mencuri perhatian.
Ini kerana, pelakon filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami itu masih kekal cantik dan langsing biarpun usianya kini sudah mencecah 40 tahun.
Terlanjur bertemu dengannya, persoalan sama ada dia sudah memiliki teman lelaki atau sudah berumah tangga berlegar di benak fikiran pihak Kosmo!.
Menjawab pertanyaan yang dilantunkan kepadanya, ternyata Haliza tidak berselindung.
Katanya: "Hidup berkahwin sangat membosankan. Saya senang hidup bersendirian. Sebabnya, saya boleh buat apa yang saya suka. Hidup saya tidak sunyi kerana ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti."
Haliza juga tidak mahu berkahwin disebabkan tekanan daripada keluarga atau teman-teman yang tidak mahu dia terus hidup membujang.
Jelasnya, sampai masa nanti jika bertemu dengan lelaki yang sesuai, dia tetap akan berkahwin.
"Memang dulu keluarga sering bertanya bila mahu berkahwin. Tetapi, sekarang mereka sudah berhenti bertanya," ungkapnya sambil ketawa.
Haliza sebelum ini pernah bersuara yang dia tidak akan memilih lelaki Malaysia sebagai suaminya. Bagaimanapun, persepsinya kini mula berubah.
Tuturnya, dia tidak kisah apa juga status lelaki itu asalkan dia boleh serasi dengan lelaki tersebut.
Mengulas mengenai lelaki pucuk muda yang kini menjadi dambaan kebanyakan artis wanita, ujar Haliza, jika pemikiran lelaki muda itu matang ia tidak menjadi masalah buat dirinya.
Berkongsi mengenai rahsia dirinya yang semakin cantik dan kurus, kata Haliza, dia tidak pernah berdiet, tetapi mengamalkan senaman sejak berumur 29 tahun lagi.
"Tiada rahsia apapun, cuma kena gigih bersenam. Sejak berumur 29 tahun, saya tidak pernah gagal untuk bersenam setiap hari," luahnya yang kali terakhir berlakon dalam filem terbitannya sendiri iaitu Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami pada tahun 2009.
SUDAH memasuki usia 40-an, Haliza bagaimanapun masih selesa hidup solo.


Rindu pada bidang lakonan, bagaimanapun Haliza akui tidak menerima sebarang tawaran, berkemungkinan disebabkan statusnya sebagai penerbit.
Katanya, dia berharap mendapat tawaran berlakon dan dia tidak kisah memegang watak apapun termasuklah watak ibu asalkan dengan syarat wataknya itu ada memberi kesan kepada jalan cerita.
"Memang sudah lama saya tidak muncul di kaca TV atau di dalam filem. Bukan tidak ada tawaran, cuma watak yang saya dapat tidak memberi kesan. Itu saya kena selektif. Insya-Allah, selepas raya nanti saya akan muncul dengan dua projek baharu iaitu sebuah program majalah di RTM berjudul Citra Wanita dan saya juga bakal keluarkan sebuah novel berjudul Cinta Rimau," dedahnya.
Mengulas mengenai novel pertamanya itu, ujar Haliza, ia berkonsepkan fiksyen dan mengisahkan tentang seorang perempuan yang membela harimau di rumahnya.
Bidas pelakon baharu
Disoal bilakah filem terbaharunya bakal diterbitkan selepas filem terakhir Andartu Terlampau pada tahun 2009, Haliza akui tidak mahu menerbitkan filem kerana kualiti pelakon-pelakon baharu sekarang.
"Pelakon sekarang terlalu ramai dan saya tidak kenal mereka. Melalui pemerhatian saya, kebanyakan pelakon baharu ini tidak mempunyai kualiti lakonan yang baik. Disebabkan itu, saya tidak mahu menerbitkan drama atau filem. Saya masih tidak jumpa lagi pelakon yang boleh berlakon dalam cerita saya," dedahnya.
Ulas Haliza lanjut, kebanyakan pelakon baharu tidak tahu maksud sebenar lakonan dan hanya bersandarkan pada rupa semata-mata.
Katanya lagi, tiada seorangpun pelakon baharu yang boleh menjadi pelapis kepada pelakon-pelakon pada eranya seperti Vanidah Imran, Umie Aida dan Sofea Jane.

Maya Karin belum terdesak!

Posted: 19 Aug 2013 04:30 AM PDT


  • Maya Karin Maya Karin 
PELAKON cantik, Maya Karin Roelcke menegaskan dia tidak kisah hidup sendiri biarpun usianya kini sudah menjangkau usia 33 tahun.
Mengakui tidak pernah terlepas dan sudah lali dengan pertanyaan orang sekeliling mengenai kehidupan peribadinya.

Malah adakala Maya mengakui berasa lucu apabila orang lain lebih risau tentang dirinya yang masih belum menemui pengganti sejak berpisah dengan suaminya, Muhammad Ali Abdullah, tiga tahun lalu.

"Kadang kala memang ramai yang mahu mengetahui kisah cinta saya, bila saya mahu berkahwin dan sebagainya.
"Tapi sejujurnya saya belum terdesak untuk hidup berpasangan dan saya sangat bahagia dengan kehidupan sekarang serta tenang hidup bersendirian.

"Mungkin selama 10 tahun ni tumpuan saya hanya pada kerjaya. Sekarang saya lebih fokus diri sendiri, buat aktiviti yang saya suka. Saya gemar melancong. Sambil melancong, saya mencari siapa diri saya. Misalnya, bila duduk dalam kereta api selama 5 jam saya dapat berfalsafah dan muhasabah diri.

"Kalau boleh saya nak kongsi kegembiraan dan kebahagiaan saya ini kepada seluruh wanita di seluruh dunia sebab seperti mana yang kita tahu tak semua wanita bertuah," ujarnya yang ditemui ketika majlis sidang media
Dialog Inspirasi Kepada Wanita, L'oreal, baru-baru ini.

Mengakui pernah memikirkan baik buruk hidup sendiri, Maya berkata, dia berasa bersyukur dengan kehidupannya sekarang.

"Ramai berfikiran kita kena kahwin, kena ada anak barulah hidup kita lengkap. Tapi beberapa bulan ini saya ada berfikir adakah saya kurang lengkap kalau saya tak kahwin dan tak ada anak? Kurang lengkapkah saya sebagai wanita?

"Apa yang saya ada sekarang dari segi personaliti, pengetahuan, pengalaman, apa yang saya buat dan jalani, cara saya menolong orang, juga cara saya bawa diri dalam kerjaya. Saya bukan saja seorang wanita tapi saya adalah seseorang. Adakah itu masih tak cukup lagi? Masih tak sempurna lagikah saya sebagai wanita?
"Tapi saya tak nak panik dengan tanggapan-tanggapan orang lain. Saya seronok hidup sebagai wanita single. Alhamdulillah saya ada karier yang sangat menakjubkan," katanya yang sudah tujuh tahun diberi kepercayaan sebagai duta L'Oreal Paris.


Akui fobia

Dalam pada itu, Maya mengakui masalah rumah tangga masyarakat yang mendapat perhatian umum seperti kes seorang suami memukul isterinya dalam sebuah lif di Pulau Pinang tempoh hari benar-benar menarik perhatiannya.
Insiden berkenaan membuatkan dia lebih yakin dengan pendiriannya iaitu tidak perlu risau menjalani kehidupan solo sehingga kini.
"Baru-baru ni saya ada tengok video seorang lelaki memukul dan menerajang isterinya di dalam lif. Masa saya tengok video tu, saya ingatkan hanya saya dan beberapa orang saja di Facebook yang tahu tentang insiden tu. Tapi rupanya di Twitter ramai yang bercakap tentang insiden tersebut.

"Bila saya tengok kejadian seperti itu, saya terkejut dan tentunya saya berasa kasihan pada wanita berkenaan. Tergamak suaminya lakukan sebegitu padanya. Ia membuatkan saya berfikir, sebagai wanita kita harus berdikari dan punya kepercayaan diri. Kalau ada kemahiran mempertahankan diri, misalnya karate dan muay thai pun bagus juga.
"Jangan lah terlalu bergantung penuh pada suami atau lelaki. Kalau si suami atau teman lelaki tu dapat memberi kebahagiaan pada isteri atau teman wanitanya, baguslah.

"Tapi kalau dalam situasi didera dan membahayakan nyawa seperti yang dialami wanita tersebut, saya rasa lebih baik kita hidup single," katanya.


Elak cinta selebriti

Ditanya adakah dia tidak kisah bertemu cinta sesama rakan selebriti, pelakon yang terkenal dengan watak Izzah menerusi filem Ombak Rindu ini menjelaskan, dia lebih selesa untuk berkasih atau bercinta dengan seseorang lelaki yang luar dari bidang hiburan ini.
"Saya lebih berminat atau seboleh-bolehnya mengelak untuk bercinta sesama artis kerana industri kita kecil dan apabila kita putus ianya akan menjadi satu bahan ketawa orang.

"Bila sudah tidak bersama saya juga terfikir akan terserempak di mana-mana acara anugerah dan juga apabila digandingkan untuk photoshoot dan juga dalam lakonan," jelasnya.


Buah tangan baru

Menyentuh perkembangan karier seninya, Maya berkata, dia barangkali tidak akan tercalon dalam sebarang anugerah tahun ini kerana tidak mempunyai sebarang produk.

Jelas Maya, empat filem lakonannya sudah siap menjalani penggambaran dan sudah siap disunting, namun mungkin tidak akan ditayangkan atas sambutan dingin penonton terhadap filem tempatan tahun ini.

"Ada penerbit mengatakan mahu menyimpan terlebih dahulu filem tersebut dan ditayangkan tahun depan. Memandangkan syarat pencalonan mana-mana anugerah adalah seseorang artis itu perlu mempunyai produk pada tahun dicalonkan, jadi kemungkinan saya tidak tercalon.

"Ini adalah kali kedua saya tidak akan dicalonkan dan tahun ini juga saya banyak menumpukan pembikinan album saya.
"Sudah sebulan saya melalui proses rakaman dan minggu ini ada tiga lagi rakaman lagu yang perlu saya selesaikan," katanya yang pernah memiliki dua buah album, Erti Cinta dan Bukan Qalamaya, di mana dia juga telah dicalonkan sebagai Penyanyi Baru Terbaik dan Video Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 2002.

Raya Montreal Anzalna, kisah kampung Sakinah

Posted: 19 Aug 2013 04:28 AM PDT




KECOH suasana studio fotografi Kosmo! pada pertengahan bulan Ramadan lalu. Mana tidaknya, menggabungkan dua pelakon muda yang banyak keletah, Anzalna dan Sharifah Sakinah memang tak menang tangan dibuatnya.
Sementara aksi penuh anggun mereka dibidik jurufoto Kosmo! Farizwan Hasbullah, derai tawa Anzalna dan Sakinah memecah hening buntu seisi studio fotografi Utusan Melayu.
Aidilfitri pastinya memberikan sejuta rasa bagi kedua-duanya, namun berkongsi interpretasi sama - meraikan kejayaan setelah sebulan berpuasa.
Baju kurung jaket tebal
Mengimbau kembali kerinduan suatu ketika dulu meraikan 1 Syawal di Montreal, Kanada, kata Anzalna, 25, saat mendengar takbir raya yang dilaungkan masjid berdekatan kejiranannya, rasa rindu terus menusuk ulu hati.
"Beraya di perantauan benar-benar mengundang sebak, terutama pada 1 Syawal. Mana tidaknya saudara-mara kita semua berada di Malaysia, cuma saya dan keluarga kecil kami di sana.
"Komuniti Islam di Montreal tidak besar, kalau ada pun beberapa buah keluarga Arab, Indonesia dan Pakistan. Selebihnya bukan Islam, tapi saya seronok kerana bertemu dengan saudara seagama kita berbeza-beza latar belakang.
"Biasanya selepas sembahyang raya kami akan menziarahi antara satu sama lain dan tradisi rumah terbuka ketika itu diamalkan dengan penuh rasa kesyukuran," ujarnya yang menetap di Kanada ketika berusia tujuh hingga sembilan tahun.
Cerita Anzalna lagi, dia pernah meraikan Aidilfitri ketika musim sejuk ditemani butir-butir salji menyelimuti tanah. Lucunya, walaupun berbaju kurung, mereka sekeluarga terpaksa menyarung beberapa lapis baju sejuk untuk memanaskan badan.
"Keseronokan beraya bertambah meriah apabila perasaan untuk memakai baju kurung dalam cuaca terlampau sejuk meluap-luap.
"Kita sudah terbiasa apabila tiba hari raya wajib pakai baju kurung, jadi dalam cuaca yang sejuk pun kami adik-beradik tetap berdegil mahu pakai baju kurung, tapi terpaksa pakai jaket lagi berlapis-lapis," tambahnya.
Selain Kanada, keluarga Anzalna juga pernah menetap di Tasmania, Australia sejak usia 15 hingga 21 tahun dan pelakon drama Adam & Hawa itu mengakui beraya di perantauan ibarat alah bisa tegal biasa.
JADUAL kerja Sakinah kini semakin padat dengan tawaran berlakon.


Konvoi utara selatan
Tiada kenangan paling manis yang ingin dikongsi Anzalna selain dapat meraikan 1 Syawal bersama keluarga tercinta.
"Nikmat Aidilfitri bagi saya adalah bersama-sama keluarga saya pada pagi hari raya pertama. Bermaaf-maafan dalam suasana syahdu ditemani seisi keluarga yang lengkap sudah memadai untuk merasai keindahan Syawal, itu anugerah terindah saya," ujarnya.
Kemeriahan Syawal beraya di Malaysia pula berbeza bagi selebriti lain. Hampir kebanyakan waktu menyambut lebaran di Malaysia dihabiskan dengan berkonvoi di atas jalan raya.
"Keluarga kami memang meriah, hari raya pertama disambut di Pulau Pinang bersama keluarga sebelah ibu, kemudian kami bertolak ke Muar, Johor pada hari raya kedua untuk beraya bersama keluarga sebelah bapa.
"Seronoknya apabila suasana raya sangat dirasai walaupun berada di atas jalan raya. Ketika itu semua pemandu kenderaan lain berpakaian raya walaupun perjalanan jauh dari utara ke selatan," katanya.
Raya budak KL
Berbeza bagi Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar atau mesra disapa Sakinah, 24. Aidilfitri baginya cuma bersama keluarganya di ibu kota Kuala Lumpur.
"Malam raya saya di Kuala Lumpur dan 1 Syawal saya pun di Kuala Lumpur, malah malam raya baru saya berkesempatan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mencari baju raya.
"Pada pagi raya pula saya dan keluarga kakak-kakak saya akan berkumpul bersama di rumah abang Ijoy (suami kakaknya, Sharifah Shahirah) di Melawati.
"Kemudian, barulah kami menziarahi jiran-jiran dan kawan-kawan terdekat selain rumah rakan artis yang berada di sekitar Kuala Lumpur.
"Makna Aidilfitri saya barangkali berbeza daripada orang lain yang selalunya teruja pulang ke kampung halaman masing-masing, tapi hakikatnya keluarga saya beraya di bandar. Kiranya sambutan Aidilfitri saya adalah sambutan Aidilfitri moden," singkapnya.
Malah kata Sakinah, adakalanya saudara-maranya dari Pahang dan Alor Setar, Kedah akan berkunjung ke rumahnya di Kuala Lumpur pada hari raya.
"Saya cuma pernah sekali pulang ke Alor Setar, Kedah untuk beraya dan ketika itu usia saya tujuh tahun.
"Rumah keluarga di sana bukan tipikal rumah kampung, semua sudah moden dan sama saja seperti Kuala Lumpur. Ruginya saya kerana tidak dapat merasakan suasana kampung pada hari raya," kata adik bongsu kepada pelakon Sharifah Noor Haslinda dan Sharifah Shahirah itu.
ANZALNA merupakan salah seorang pelakon baharu yang sering menjadi pilihan penerbit.


Bekas dan bakal
Istimewa raya keluarga Sakinah katanya kerana kemeriahan beraya dengan bekas keluarga dan bakal keluarga baharu.
"Kami tidak memutuskan silaturahim dan Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk berkumpul bersama insan yang dahulunya pernah hadir dalam keluarga kami.
"Abang Yantzen (bekas suami Sharifah Noor Haslinda) masih menyambut lebaran bersama-sama kami sekeluarga begitu juga abang Jatt (bekas suami Sharifah Shahirah).
"Tahun ini istimewa bagi saya kerana auntie Erma Fatima satu keluarga datang beraya ke rumah pada malam hari raya pertama.
"Perasaan ketika itu rasa sangat gemuruh sebab pertama kali kami dua keluarga beraya bersama-sama. Lagipun, kami sudah lama tidak berjumpa sebelum ini walaupun rumah cuma berdepan," katanya yang menafikan tujuan kedatangan Erma Fatima sekeluarga atas tujuan merisik kerana dia bercinta dengan anak pengarah tersebut.
Berbeza raya tahun ini, kata Sakinah kerana dia terlampau sibuk untuk membuat persiapan raya dek tuntutan kerja.
"Puasa tahun ini tidak terasa kerana saya sibuk dengan penggambaran drama Penghujung Dendam sepanjang bulan Ramadan, jadi secara tidak langsung saya tidak sempat membuat persiapan raya.
"Saya tidak kisah pun kalau pakai balik baju-baju raya tahun lepas, cukup bersederhana," ujarnya.

Hans Isaac serik di layar perak

Posted: 19 Aug 2013 04:25 AM PDT


  • Hans Isaac Hans Isaac
NAMA, Gerald Hans Isaac atau lebih dikenali sebagai Hans Isaac, tidak perlu diperkenalkan secara lebih umum lagi.

Mula membuka lembaran kerjaya seni sebagai pelakon menerusi filem, Ringgit Kasorga pada 1993, kebolehannya meletakkan Hans sebagai pelakon yang berpengalaman.

Kemampuan Hans dalam bidang lakonan memberi peluang kepada jejaka kacak ini untuk terus membintangi filem lain termasuk, Amok, Scoop, Child's Play, Hanya Kawan, Gemilang, Laila Isabella, Buli, Cinta Luar Biasa, Baik
Punya Cilok, Pesona Non Grata, Buli Balik dan Langgar.
Bukan sahaja aktif berlakon, bekas model ini juga turut terlibat dalam bidang pengarahan dan penerbitan tempatan menerusi syarikat produksinya, Tall Order Productions Sdn Bhd.

Pada 2008, Hans mula mengasah bakatnya dalam bidang pengarahan menerusi filem, Cuci, yang menampilkan lakonannya bersama Awie, Datuk AC Mizal, Afdlin Shauki dan Erra Fazira.

Berjaya mendapat kutipan sebanyak RM2 juta di sepanjang tempoh tayangan, Hans kini kembali mempertaruhkan karya terbarunya, Lemak Kampung Santan (LKS).

Entah di mana silapnya, filem yang dipertaruhkan ini gagal mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penonton walaupun promosi yang dilakukan tidak kurang hebat.

Malah, filem yang menampilkan gandingannya bersama pelakon dan pengacara, Neelofa, ini difahamkan hanya mengutip RM100,000 selepas hampir dua minggu tayangan di seluruh pawagam.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini, ikuti temu bual Zass bersama Hans mengenai pandangannya terhadap filemnya dan industri tempatan.

Boleh ulas sedikit mengenai filem terbaru anda?

Filem terbaru saya, Lemak Kampung Santan, baru sahaja ditayangkan di pawagam pada 8 Ogos (1 Syawal) yang lalu. Namun, sambutan yang diterima daripada penonton kurang memuaskan. Namun, saya tak ambil tahu sangat mengenai kutipan sebenar. Saya boleh katakan, filem itu tidak berjaya mendapat sambutan menggalakkan dari penonton.


Apakah penyebab filem itu gagal mendapat sambutan?

Saya tidak merasakan sebarang penyebab di dalam perjalanan cerita dalam filem itu. Saya sememangnya berpuas hati dengan  LKS namun, mungkin penonton belum bersedia untuk menonton kelainan menerusi filem itu. Mungkin juga kerana musim perayaan, penonton lebih selesa untuk berada di rumah dan meraikan Aidilfitri.


Adakah anda kecewa dengan kegagalan filem ini?

Saya tidak kecewa dengan LKS kerana saya sudah membuat yang terbaik. Namun, saya kecewa dengan proses dan peluang yang diberikan kepada filem saya berbanding filem lain yang ditayangkan secara serentak. LKS hanya diberikan slot tayangan di waktu 'suam' iaitu jam 11 pagi, 1 petang dan 7.15 malam. Apa yang saya perhatikan, ada waktu yang ditetapkan itu kurang bersesuaian di mana jam 7.15 malam merupakan waktu solat Maghrib. Jadi, sudah tentu, masyarakat Melayu tidak berpeluang menonton pada waktu itu. Itulah antara punca kegagalan sambutan daripada penonton sehingga memberi impak kepada LKS. Selain itu, saya juga kecewa dengan segelintir penggiat seni yang menghentam secara terang-terangan mengenai kemampuan filem saya berbanding filem mereka.


Mengenai slot tayangan, adakah anda akan cuba mencari jalan penyelesaian?

Sebenarnya, saya sudah pun mengadakan perbincangan bersama pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengenai perkara ini. Hasil daripada perbincangan itu, Finas sendiri telah  menulis surat kepada pawagam-pawagam untuk memanjangkan lagi tarikh tayangan filem ini sehingga dua minggu lagi.


Adakah anda yakin, LKS berjaya mendapat kutipan tinggi selepas tarikh tayangan dipanjangkan?

Saya tidak meletakkan harapan tinggi dalam tempoh itu. Namun, sekurang-kurangnya saya mencuba mendapatkan peluang untuk memberi ruang kepada penonton untuk ke pawagam. Saya juga memilih untuk tidak mengeluarkan filem ini melalui format DVD ataupun Astro First. Saya akan memasarkannya menggunakan cara lain dan ianya masih dalam perancangan.

Adakah anda merajuk?

Sebenarnya, sebelum ini pernah ada di kalangan rakan penggiat seni yang menasihati saya untuk tidak menghasilkan filem bercorak seperti ini. Namun, saya tetap berkeras dan cuba menjadikan LKS sebagai 'penanda'. Tapi, ternyata perjuangan saya dalam industri sia-sia. Bukan sahaja merugikan, malah karya saya tidak berjaya menarik minat penonton. Industri sekarang semakin berubah dan saya sendiri akui, sejak kebelakangan ini, kutipan filem semakin merosot. Ramai di kalangan penggiat seni mula beralih arah dan enggan menanggung risiko besar untuk menduga selera penonton.


Adakah anda akan mengikut jejak langkah rakan penggiat yang lain?

Ya! Selepas ini, saya akan fokus kepada penerbitan teater pula. Saya merupakan antara penerbit yang terlibat dalam bidang filem dan teater. Setelah diteliti, saya rasa bidang teater lebih selamat dan tidak merugikan. Sebagai penerbit teater, kita sememangnya terlibat secara keseluruhan dalam pembikinan hingga pemasaran. Mungkin dalam tempoh lima hingga enam tahun, saya tidak akan menerbitkan filem lagi.


Akhir sekali, pada pandangan anda, di manakah tahap industri filem kita sekarang?

Sejak kebelakangan ini, industri kita kian mengalami kemerosotan dalam segi kutipan. Mungkin juga kerana budaya tontonan sudah semakin hilang ataupun golongan penonton lebih selesa menggunakan jalan mudah untuk mendapatkan bahan.

Perkara ini bukan sahaja berlaku pada karya saya, malah penggiat lain juga turut merasai perkara yang sama. Malah, di sepanjang tahun ini, tidak banyak filem yang berjaya mendapat kutipan yang menguntungkan. Sebagai pengeluar filem, kita tiada hak untuk memaksa penonton ke pawagam namun, apa yang pasti, bidang perfileman kini semakin getir dan penuh berisiko.

Terkilan diberhentikan kerja

Posted: 19 Aug 2013 04:22 AM PDT


  • Terkilan diberhentikan kerja Ismail menunjukkan surat pemberhentian kerja yang diterima menyebabkan kehidupannya sekeluarga terumbang-ambing.
PERAI - Seorang bekas guru kecewa selepas mendakwa ditamatkan perkhidmatan tanpa dipanggil untuk membela diri di atas tindakannya menyambung pelajaran di peringkat ijazah di sebuah universiti.

Ismail Omar, 57, berkata, lebih menyedihkan lagi apabila dia diberhentikan kerja ketika perkhidmatannya sebagai guru berbaki hanya setahun sebelum berpencen.

"Saya terkilan dikenakan tindakan tatatertib dan diberhentikan kerja sebagai guru ketika hampir pencen, sedangkan sudah berkhidmat selama 30 tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tun Hussin Onn di sini.

Ismail berkata, kerana hukuman itu dia kehilangan segala hak dan faedah termasuk pencen, selain seolah-olah melakukan satu kesilapan besar walhal dia hanya menyambung pelajaran.

Menurutnya, dia memohon cuti untuk menyambung pelajaran dengan bergaji penuh, selain mendakwa mengikut segala peraturan ditetapkan.

"Selepas 10 bulan mengikuti kuliah, saya diberitahu permohonan untuk bercuti bagi menyambung pelajaran tidak diluluskan dan perlu kembali menyambung tugas.

"Saya mengikut arahan yang diberikan dan berhenti belajar sebelum menyambung semula tugas sebagai guru," katanya.

Ismail mendakwa, selain tidak menerima gaji, dia dikatakan berhutang kepada kerajaan serta diminta membayar hutang berjumlah RM22,279.

"Sudahlah saya tidak menerima gaji, malah disuruh membayar hutang pula dan saya tidak mempunyai wang simpanan lagi," katanya.

Menurutnya, dia terpaksa memohon pertukaran sekolah yang berhampiran dengan rumahnya di Seberang Jaya kerana tanpa gaji, dia tidak mampu untuk berulang alik ke sekolah di Bayan Baru.

"Permohonan saya berjaya dan saya bertugas seperti biasa selain turut mendapat gaji seperti sebelum ini, namun saya terkejut apabila diberi surat diberhentikan kerja pada Disember 2011," katanya.

Dia yang kecewa berasa teraniaya selain berharap pihak terlibat dapat menilai kembali konflik yang dihadapi kerana masih perlu menyara isterinya yang menghidap strok dan dua anaknya masih belajar.

"Saya sudah tidak tahu untuk mengadu kepada siapa dan jalan terakhir adalah dengan meminta bantuan media," katanya yang terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin ketika dihubungi berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sudah mengambil tindakan itu kerana Ismail tidak mengikut prosedur yang betul sebagai penjawat awam.

Katanya, Ismail diberhentikan dengan cara yang betul selepas siasatan yang dijalankan SPP yang mendapati dia telah ingkar.

"Bukan senang untuk memberhentikan seorang penjawat awam sekiranya tidak membuat kesalahan namun kita mendapati, dia telah ingkar terhadap tanggungjawabnya," katanya.

Teater Maduku... Kalut taruhan MASK Team

Posted: 19 Aug 2013 04:18 AM PDT


BARISAN karyawan teater Maduku...Kalut bergambar pada sesi sidang media pengumuman teater tersebut yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 27 hingga 30 September ini.


SEBELUM ini syarikat produksi teater MASK Team dilihat cukup aktif menerbitkan pementasan teater berskala kecil yang selalu dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka.
Antara pementasan teater yang pernah dijayakan syarikat berkenaan serta mendapat sambutan menggalakkan seperti siri teater Juta-Juta, Juta-Juta 3D dan Kotak Hitam.
Atas kejayaan mementaskan ketiga-tiga teater berkenaan, MASK Team kini mempertaruhkan naskhah terbaharu berjudul Maduku... Kalut yang bakal dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya (IB) pada 27 hingga 30 September ini.
Pengarah Urusan MASK Team, Shawn Amer berkata, pihaknya sangat gembira apabila mendapat peluang untuk mementaskan teater di Istana Budaya setelah diundang sendiri oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani beberapa bulan yang lalu.
"Seperti yang semua sedia maklum kebanyakan pementasan teater di Istana Budaya ini biasanya dilakukan dalam skala yang besar. Jadi, undangan yang kami terima ini pastinya satu penghargaan yang cukup besar buat MASK Team.
"Dengan peluang ini juga pastinya akan digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mementaskan sebuah teater yang berkualiti dan diminati ramai," ujarnya yang mengakui agak berdebar menjelang pementasan teater tersebut.
Menurut Shawn, antara barisan pelakon yang bakal membintangi teater berkenaan seperti Izzue Islam, Jihan Raja Lawak, Nad Zainal, Karl Shafek, Sofian Bujang, Fazleena Hishamuddin dan Nazurah Hanoom.
Ujarnya, pemilihan para pelakon yang menjayakan teater Maduku... Kalut dibuat berdasarkan kepada perbincangan dengan Muhamad Azhar Zainal yang bertindak selaku pengarah.
"Kalau dilihat barisan pelakon yang sedia ada ini merupakan gabungan pelakon komersial dan pelakon bebas yang sering berkecimpung dalam dunia pementasan teater," jelasnya.

Jehan dan Nad Zainal pertama kali berganding dalam sebuah naskhah teater.


Berkenaan dengan persiapan menjelang pementasan pula, Shawn memberitahu semuanya berjalan dengan lancar dan para pelakon sudah mula menjalani latihan sejak bulan puasa lalu.
Maduku... Kalut mengisahkan tentang kehidupan seorang pemandu teksi, Selamat Johan yang mempunyai jadual harian yang ketat. Dia terpaksa memberi komitmen terhadap kerjaya dan kehidupan rumah tangganya bersama dua orang isteri iaitu Bibi, isteri pertamanya yang tinggal di Kampung Baru dan Mimi iaitu isteri kedua yang menetap di Keramat.
Bagi mengelakkan rahsianya terbongkar, Selamat membahagikan masa tertentu untuk bersama kedua-dua isterinya sehinggalah dia terlibat dalam satu insiden yang membuatkan keadaan menjadi kalut. Dia terpaksa meminta bantuan Adam, seorang pemuda yang juga jirannya untuk bersemuka dengan pihak polis, wartawan dan kedua-dua isterinya.
Kali pertama
Bagi pelakon Izzue Islam yang membawakan watak sebagai Selamat dalam pementasan teater Maduku... Kalut, peluang untuk beraksi di pentas teater merupakan saat yang dinantikannya selama ini.
Ujarnya, setelah berkecimpung dalam bidang nyanyian dan lakonan, kini sudah tiba masanya untuk dia mengembangkan lagi bakatnya dalam teater pula.
"Sebenarnya keinginan untuk berlakon teater sudah lama terpendam dan saya pernah mendapat beberapa tawaran, namun saya terpaksa menolaknya kerana jadual yang tidak sesuai.
"Bagaimanapun, kali ini rezeki ternyata berpihak kepada saya untuk berlakon dalam teater Maduku... Kalut dan impian untuk berlakon teater akhirnya telah terlaksana," jelasnya yang mula dikenali ramai menerusi filem 29 Februari itu.
Ketika ditanya mengenai perasaannya sekarang ini kerana buat julung-julung kalinya bakal berlakon teater, Izzue tidak dapat menyembunyikan perasaan gementarnya.
"Walaupun sudah banyak kali berlakon perasaan berdebar itu tetap ada kerana ini kali pertama saya tampil dalam pentas teater. Namun begitu, saya sangat teruja dan tidak sabar untuk menampilkan aksi saya nanti," ujarnya.
Bagi yang ingin menyaksikan pementasan teater Maduku... Kalut, tiket-tiket berharga RM35, RM55 dan RM85 sudah mula dijual di kaunter Box Office IB.

Rusia anjur sukan kereta kebal pertama

Posted: 18 Aug 2013 10:14 PM PDT



Barisan kereta kebal berwarna-warni (kiri ke kanan) dari Belarus, Rusia, Kazakhstan dan Armenia semasa bersaing dalam 'tank biathlon'.


MOSCOW - Rusia memperkenalkan sukan separa tentera baharu, 'tank biathlon', satu pertandingan perlumbaan kereta kebal dan ketepatan bedilan meriam.
Pertandingan peringkat antarabangsa itu dianjurkan buat pertama kali di Moscow pada Isnin minggu lalu hingga kelmarin.
Pasukan dari Belarus, Kazakhstan dan Armenia turut bersaing dalam pertandingan tersebut.
Konsep pertandingan yang diperkenalkan baru-baru ini oleh Kementerian Pertahanan Rusia itu lahir daripada satu latihan kereta kebal.
Pasukan-pasukan terlibat berlumba di trek sepanjang kira-kira 20 kilometer dan mereka dikehendaki membedil lima sasaran yang ditetapkan.
Beberapa negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara termasuk Amerika Syarikat juga dijangka menyertai pertandingan sama pada tahun depan.

Liku-liku susuk pentas peragaan

Posted: 18 Aug 2013 10:11 PM PDT




KUNJUNGAN Nuraini Mohd. Noor, 22, ke perpustakaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor tiga tahun lalu telah mengubah setiap inci kehidupannya hari ini. Tubuh tinggi lampai, rangka badan bak model profesional dan wajah unik milik wanita tersebut telah menangkap pandangan seorang pelajar fotografi ketika itu.
Nuraini atau nama komersialnya, Tuti, bersetuju beraksi di hadapan lensa kamera pelajar fotografi tersebut. Berdasarkan bakat semula jadi Tuti, fotonya ditunjukkan kepada beberapa pereka fesyen tempatan. Dari situ bermulanya dunia model anak kelahiran Kedah itu.
Sesi fotografi profesional pertamanya adalah untuk sebuah majalah tempatan. Menyarung busana Hazwani Osman untuk sesi tersebut, nama Tuti kemudian mula disebut-sebut sebagai model Melayu wanita yang bakal menguasai pentas fesyen negara.
"Pada awalnya memang ibu bapa menentang, tambahan pula saya merupakan anak tunggal. Namun lama-kelamaan setelah melihat keupayaan saya dalam bidang ini, mereka mula menerima dengan hati terbuka.
"Bapa juga dalam diam-diam membeli setiap majalah yang ada wajah saya," kongsinya disulami tawa kecil.
Memilih profesion model sepenuh masa bukan merupakan impian Tuti. Graduan Diploma Pengurusan Maklumat UiTM itu mendambakan kerjaya sebagai setiausaha, pegawai perhubungan awam atau pramugari. Namun rencana hidupnya yang berubah diterima dengan bulat, malah dia bangga dapat mencuba sesuatu di luar jangkaan.
"Saya lebih terarah kepada model pentas peragaan dan secara jujur, ia lebih mencabar. Setiap langkah perlu yakin dan kita harus memberi impak kepada audiens. Apabila berjalan di atas pentas, pandangan perlu difokuskan kepada satu titik agar tumpuan itu tidak lari.
"Pernah sekali saya hampir tergelak sebab ternampak rakan-rakan memanggil saya. Tapi kita perlu kembali sedar bahawa pergerakan kita sedang diperhatikan orang," katanya.
Tuti menambah, "Saya pernah terjatuh atas pentas ketika raptai penuh. Saya juga pernah terpelecok pada acara sebenar gara-gara saiz kasut yang kecil.
BAKAT Tuti sebagai model dicungkil oleh seorang pelajar fotografi di Universiti Teknologi Mara, Segamat, Johor tiga tahun lalu.


Selaku wajah baharu dalam dunia peragaan, seharusnya Tuti dan rakan seangkatannya mencorak kerjaya mereka berpandukan agensi. Ia kedengaran lebih terurus dan memudahkan pergerakan mereka dalam setiap tawaran kerja.
Namun demikian, Tuti lebih senang bergerak sendiri tanpa pimpinan mana-mana agensi model tanah air. Baginya, pilihan peribadi itu memberi kebebasan penuh kepadanya mengurus jadual harian.
Pacu haluan sendiri
Bagi seorang model lelaki yang baru dua tahun mencipta nama, Hazwan Hilmi Hairudin, 26, pengalaman kurang satu tahun bergerak di bawah agensi sudah cukup baginya memutuskan untuk memacu haluan sendiri.
Biarpun agensi berupaya memberi pendedahan besar kepada model baharu, Hazwan atau selesa disapa dengan nama jolokan Juan berkata, dia mahu mencabar diri dengan mengejar cita-citanya secara solo.
"Saya bukan mahu bersikap angkuh tetapi apabila anda dipegang sesebuah agensi, ramai yang tidak berani menghampiri kita untuk bertanya soal kerja.
"Lagipun, masyarakat lebih cenderung melihat model antarabangsa berbanding model tempatan, jadi fungsi agensi bagi mempromosikan bakat tempatan kurang berkesan," jelasnya.
Juara pertandingan Manhunt Malaysia 2011 ini menjelas lanjut, kebiasaannya model luar negara menjadi pilihan pelanggan dan hal sebegini sedikit menyekat bakat tempatan untuk berkembang.
Keputusan sama turut dipilih seorang lagi model baharu yang sedang meningkat naik, Dayang Nur Atikah Karim, 20. Menurut anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu, jika kerjaya diuruskan agensi, seseorang model perlu mematuhi kontrak dan tidak boleh menolak kerja-kerja yang kurang digemari.
Pimpinan agensi
"Saya selesa tanpa agensi. Namun menguruskan diri sendiri jauh lebih sukar daripada yang digambarkan. Segala keputusan perlu dipertimbangkan dengan bijak kerana tiada siapa yang membimbing anda.
"Soal bayaran, waktu dan setiap perkara berkaitan kerja terletak atas bahu sendiri. Sama ada bergerak secara sendiri atau dipimpin agensi, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri," ujarnya yang mula bergelar model seawal usia 16 tahun.
Menyifatkan dunia peragaan tanah air sebagai cabang yang penuh cabaran, Atikah nekad mengharungi setiap persaingan, khususnya daripada model-model antarabangsa.
Sebagai model berbangsa Melayu, rasa was-was pasaran terhadap kerjayanya adalah normal. Bagi kebanyakan orang, kelompok model sebegitu mustahil menjejak hierarki tertinggi lapangan peragaan, disebabkan kekangan agama dan budaya.

KERJAYA sebagai seorang model memerlukan keyakinan diri yang tinggi. - Gambar hiasan


Persaingan
Jelas Atikah: "Siapa pun anda dalam dunia model, tidak kira warna kulit atau bangsa, setiapnya mempunyai kelebihan dan personaliti tersendiri.
"Saya akui persaingan daripada wajah luar negara memang tidak dapat dielakkan tetapi saya sering mengingatkan diri sendiri, sabar sekiranya mahu kekal lama dalam industri. Jika ada rezeki ia tidak ke mana dan peluang kedua itu sentiasa terbuka."
Selain berdepan persaingan daripada model antarabangsa yang berpusat di Malaysia, model-model tempatan juga melihat pasaran profesion itu kian mendukacitakan. Kekeliruan masyarakat mengenal pasti antara model profesional dan bakat (talent) secara tidak langsung menjatuhkan nilai seorang model.
Menurut Juan, bayaran paling murah yang diterima model sepenuh masa ketika ini ialah sebanyak RM150 dan paling tinggi mencecah RM1,000 bagi satu sesi peragaan atau fotografi.
"Seharusnya seorang model dibayar atas nama model, bukan sebagai bakat. Nilai individu seperti kami telah menurun ekoran wujudnya segelintir individu yang mengaku diri mereka model profesional sedangkan mereka hanyalah bakat untuk fotografi dan iklan televisyen," katanya dengan penuh kesal.
Begitu juga pandangan yang dilontarkan Tuti, periuk nasi model sepenuh masa terletak pada tawaran kerja untuk pentas peragaan dan sesi fotografi.
Namun keberadaan bakat yang lazimnya mengejar populariti telah mengganggu kelancaran mata pencarian utama mereka.
"Mereka sanggup melakukan kerja tanpa bayaran asalkan mereka dikenali ramai,"ujarnya.

Agensi penting bimbing model

Posted: 18 Aug 2013 10:10 PM PDT


TENGKU AZURA berpendapat bahawa model baharu wajar dipimpin sesebuah agensi biarpun pergerakan karier dikawal.


PENGALAMAN selama 20 tahun dalam dunia peragaan telah memahat nama peragawati ulung negara, Tengku Azura Tengku Awang, 38, dalam industri fesyen tanah air.
Segala pahit manis dan kesukaran mencipta jenama Tengku Azura ternyata terbayar dan dalam tempoh dua tahun lagi, kelibat wanita yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu dalam layar peragaan bakal berakhir.
Sisa waktu baginya untuk aktif digunakan dengan bijak, malah tiada ruang buat Azura melakukan kesilapan agar legasinya kekal cemerlang bagi rujukan nama-nama baharu kelak.
"Saya mungkin antara manusia paling bertuah dalam industri fesyen tanah air. Bukan apa, memang tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk bergelar model apatah lagi menjadikan profesion ini sebagai satu kerjaya.
"Takdir telah memandu saya ke arah ini dan saya amat terhutang budi dengan Cilla Foong, pengasas agensi Cilla & Associates, kerana telah membimbing saya sehingga berjaya," katanya.
Azura menambah, selama 11 tahun saya bersama Cilla, terlalu banyak pengajaran dan pengalaman yang dikutip.
Meneliti arus perubahan dari segi pengurusan model-model di Malaysia, beliau berpendapat, situasi sekarang amat berbeza berbanding waktu kegemilangan yang dilalui bersama rakan sezamannya.
"Model-model dahulu memang akrab. Majoriti juga dibimbing oleh agensi masing-masing dan setiap kali pertunjukan fesyen, pasti meriah kerana kami dapat berkenalan dengan model daripada agensi yang berbeza.
"Dulu memang istilah freelance atau bergerak sendiri kurang popular dan saya tidak faham kenapa model-model sekarang lebih selesa dengan cara sedemikian," ujarnya.
AGENSI banyak membantu menaikkan kerjaya Tengku Azura selama 20 tahun berkecimpung sebagai model tempatan.


Beliau menambah, cuba lihat model-model antarabangsa, mereka juga bergerak melalui agensi dan selepas nama mereka kukuh, barulah masing-masing menguruskan kerjaya secara solo.
"Model baharu perlukan bimbingan yang banyak. Minta pendapat daripada mereka yang berpengalaman dan cari agensi model yang sesuai dan mampu melatih anda menjadi model yang hebat.
"Memang dalam agensi kita tidak bebas, tetapi hasilnya kelak pasti memuaskan," kongsi Azura yang kini telah menguruskan kerjayanya sendiri.
Sementara itu, individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Azura dalam dunia peragaan, Cilla, 53, menyatakan, secara logik, model baharu memerlukan agensi bagi bimbingan dan pengurusan yang lebih dinamik.
"Agensi yang baik akan membantu mempromosikan model mereka dan memastikan anak-anak buah mereka tidak dieksploitasi," katanya.
Berubah angin
Tambah Cilla, kebanyakan model masa kini mahu bergerak sendiri tanpa diikat mana-mana agensi.
"Akibatnya, bilangan model tempatan juga jatuh merudum, ditambahkan dengan kehendak industri yang berat terhadap wajah luar negara," ujarnya.
Mengulas mengenai keadaan pasaran masa kini, beliau berkata, pelanggan lebih gemar model luar negara.
Jelas beliau, hal ini berpunca daripada kebanjiran jenama antarabangsa di Malaysia dan prinsip mereka yang menggariskan penggunaan model antarabangsa bagi setiap pertunjukan fesyen.
"Secara profesional, saya sering mencadangkan pelanggan agar mengimbangi penggunaan model tempatan dan luar negara.
"Ini kerana model tempatan mampu menarik audiens pasaran setempat, manakala model luar negara mewakili imej jenama tersebut," jelas Cilla yang juga seorang bekas model profesional.

Pelajar UiTM pamer koleksi ulung

Posted: 18 Aug 2013 10:09 PM PDT



KOLEKSI berteraskan watak-watak dalam filem arahan pengarah prolifik, Tim Burton, menjadi inspirasi kepada pereka muda, Amirul Ashraf Safari, 25, sehingga idea kreatifnya itu diangkat sebagai pemenang utama Anugerah Rekaan Terbaik 2013.
Anugerah itu diberikan bersempena dengan pertunjukan fesyen pelajar tahun akhir pengajian Ijazah Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diadakan di Black Box, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengklasifikasikan busananya sebagai rekaan berseni, Amirul Ashraf memaklumkan koleksi beliau merupakan persalinan yang praktikal.
Bertemakan The Chronicle of Tim Burton, beliau menghasilkan busana menerusi penerapan watak-watak daripada filem seperti Alice In Wonderland, The Nightmare Before Christmas dan Edward Scissorshands.
"Saya sangat meminati filem-filem Tim Burton sehingga tercipta koleksi ini. Tidak hanya berfantasi, malah saya turut bereksperimen melalui beberapa perincian dalam setiap busana," ujarnya ketika ditemui Kosmo! selepas pertunjukan fesyen itu.
Ketelitian rekaan dapat dilihat menerusi jaket dan skirt daripada gabungan material polivinil klorida (PVC) dan organza dengan penataan tali-tali yang disambung tangan.
"Kemasan tali-tali tersebut menjadikan koleksi ini menonjol berbanding koleksi-koleksi lain. Ia mengambil masa dan ketelitian yang tinggi bagi menghasilkan rekaan berkualiti dan tampak anggun ketika diperagakan," jelas anak muda yang berasal dari Klang, Selangor ini.
Mengakui penganugerahan tersebut sebagai satu kejutan yang menggembirakan, Amirul Ashraf tidak menyangka ia mampu mengatasi rekaan-rekaan indah lain yang turut diperagakan pada hari itu.
Melihatkan pentas peragaan, penulis dapat melihat sisi kematangan pereka melalui rekaan yang menonjolkan cita rasa fesyen yang baik.
Mereka bijak menzahirkan inspirasi melalui pengamatan seni reka agung dunia atau keindahan alam semesta tanpa mengetepikan nilai keaslian diri mereka.
ELEMEN fesyen era Baroque diolah berani oleh Hadijah.


Fesyen Baroque
Percubaan Hadijah Hamdan, 25, mengambil konsep kegemilangan fesyen era Baroque perlu diberi pujian kerana setiap rekaan nampak sofistikated dan membawa nafas segar kepada koleksinya.
Kemasan pada cetakan amat dititikberatkan Hadijah yang memastikan setiap motif hiasan bersepuh emas saling bercantum mengikut bentuk asal.
Kemasan pada rekaan telah meletakkan rekaan beliau ke tempat kedua pada pertunjukan fesyen yang diadili barisan penggiat fesyen seperti Rizman Nordin dan Bon Zainal.
"Saya mendapat maklum balas positif terutamanya pada bahagian korset kerana cetakan yang teratur dan saling berkaitan dengan cetakan-cetakan lain," ujarnya yang akan menjadi pensyarah di sebuah institusi pengajian swasta tidak lama lagi.
Inspirasi wanita Pearl Harbor
Jika Hadijah berbangga dengan rekaan cetusan tahun 1500 hingga 1800 itu, pemenang tempat ketiga, Hana Fatimah Zulkufli, 22, mengambil era klasik 1940-an iaitu ketika Perang Dunia Kedua sebagai inpirasi rekaannya.
"Lebih spesifik, saya mengambil idea fesyen Pearl Harbor kerana wanita pada waktu itu mempunyai cita rasa fesyen tersendiri yang menarik sungguhpun berhadapan dengan peperangan," ujar gadis yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini.
Idea klasik itu diberi sentuhan moden beliau dengan menonjolkan rekaan yang minimalis dan ringkas.
Aura kontemporari rekaan itu mengekalkan motif-motif signatur seperti potongan dan cetakan berkotak. Penggunaan fabrik-fabrik seperti kain kapas, krep dan PVC menampakkan ciri-ciri klasik dalam rekaannya.
Sisi baharu adi wira
Koleksi bertemakan Superhero Alter Ego menjadi sandaran kepada pereka muda kelahiran Johor, Suhairie Mohamed, 24. Menghidupkan watak-watak adiwira seperti Hulk, Thor, Wonder Woman dan Catwoman, gaya edgy melatari busana yang menggunakan dua tona warna utama iaitu hitam dan jingga.
CORAK Inner City Patchwork diserlahkan dengan kombinasi rona biru keunguan rekaan Najwa.


Tidak hanya memfokuskan rekaan busana, Suhairie turut berinovasi melalui penggunaan aksesori bagi melengkapkan koleksinya.
"Selain itu, saya menggemari busana lelaki yang diinspirasikan daripada watak Thor.
"Saya cuba menerapkan penggunaan kilt yang menjadi tradisi masyarakat Scotland ke dalam rekaan saya," jelasnya.
Palet warna dan motif
Jika kebanyakan pelajar menggunakan warna-warna gelap bagi menampakkan sisi misteri, Wan Noor Bainun Wan Zaizodin, 24, menampilkan palet warna yang ceria bagi menampakkan keanggunan si pemakai.
Mengambil inspirasi daripada dunia Bollywood yang penuh warna-warni, kain sutera satin dan kapas dijadikan material utama bagi menghasilkan busana kasual sedia untuk dipakai beliau.
"Pereka dari India, Manish Arora, banyak mempengaruhi saya kerana rekaannya yang berani dengan potongan dan penekanan siluet pada busana," kongsi gadis berasal dari Kuching, Sarawak itu.
Motif Inner City Patchwork pula menjadi pilihan Najwa Alias, 22, melalui rekaan yang menggunakan paten warna kaleidoskop.
Ia boleh dilihat menerusi hiasan tiga dimensi pada bahagian dada.
"Pada awalnya, saya ingin mereka menggunakan teknik cetakan tetapi pensyarah mengatakan ia sudah terlalu biasa.
"Selepas membuat sedikit kajian, teknik cantuman kain ini nampak cantik dan moden," ujarnya yang mengagumi pereka terkemuka, Emilo Pucci.

Jelita merentasi usia

Posted: 18 Aug 2013 10:08 PM PDT



KEPERLUAN penjagaan kulit wajah adalah berbeza mengikut usia dan gaya hidup setiap individu.


SYAWAL kali ini amat molek diraikan bersama nuansa emas bagi menyerlahkan kecantikan raut wajah anda, khususnya bagi wanita pertengahan usia.
Jenama Safi kini bukan lagi sekadar label produk kecantikan, malah menggalas peranan sebagai teman baik kecantikan setiap wanita.
Dalam usahanya mendidik wanita terhadap kepentingan memahami proses penuaan kulit dan menukar rejim penjagaan kulit wajah seawal tanda penuaan yang pertama, Safi dengan kerjasama Puspanita Jabatan Pendaftaran Negara telah menganjurkan majlis Syawal Emas Bersama Safi Rania Gold di Putrajaya baru-baru ini.
"Wanita sering alpa tentang pentingnya memanjakan diri mereka. Penjagaan kulit wajah adalah cara mudah untuk memanjakan diri dan menyuntik seri keyakinan diri," kata Pengurus Kumpulan Produk Safi Wipro Unza (M) Sdn. Bhd., Mahsuri Sulaiman.
Mahsuri menegaskan, ramai yang tidak tahu pada skala usia berapa mereka harus bertukar kepada rangkaian produk penjagaan kulit antipenuaan.
"Keperluan kulit wajah kita berbeza mengikut usia dan gaya hidup. Satu produk yang sama tidak mungkin mampu menjadi solusi kepada keperluan kulit tertentu," ujarnya.
Tambah beliau, Safi Rania Gold menggalakkan golongan wanita, khasnya mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an, mengambil inisiatif mengekalkan keremajaan kulit.
Mahsuri berkata, majlis sebegini memberikan kami ruang untuk mengenali dengan lebih dekat pengguna-pengguna produk kami dan berkongsi dengan mereka kepelbagaian rangkaian produk kecantikan Safi dengan formulasi khusus untuk setiap peringkat usia.
Penyelesaian masalah penuaan
Majlis itu turut dihadiri pakar estetik terkemuka tempatan, Dr. Sutina Nordin, yang menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai proses penuaan yang merangkumi perubahan struktur kulit, faktor-faktor penyumbang dan penyelesaian kepada masalah tersebut.
Sutina menjelaskan, keperluan dan kehendak kulit wajah adalah berbeza mengikut usia seseorang. Disebabkan itu, peningkatan rejim kecantikan individu merupakan salah satu cara melambatkan kesan-kesan penuaan.
Aura glamor majlis ditambah dengan kemunculan istimewa duta Safi Rania Gold, Rozita Che Wan. Wanita ikon yang menggalas pelbagai peranan kehidupan iaitu sebagai ibu tunggal, pelakon dan usahawan, turut mengambil peluang berkongsi tip-tip kecantikan dan rahsia keyakinan diri beliau bersama para tetamu.
Rozita menyentuh tentang kepentingan mengenal pasti keperluan kulit berdasarkan usia dan mencari rejim antipenuaan yang bersesuaian.
"Rawatan awal dapat mengekalkan keremajaan kulit. Ini sekaligus mengurangkan kadar penuaan kulit wajah individu," ujarnya.

'Tak sangka ALLAH balas cepat'

Posted: 18 Aug 2013 10:05 PM PDT


  • Sedekah 
KETIKA saya dan suami berkunjung ke Melaka untuk menziarahi sahabat, kami mengambil peluang singgah ke Kota A Famosa, monumen bersejarah yang menjadi kebanggaan bandar raya pelancongan itu.
Selepas puas menaiki beca keliling bandar, kami singgah ke surau di Bandar Hilir untuk Solat Asar. Ketika itu, panas mentari masih terik walaupun sudah menjengah petang.
Saya duduk di atas bangku menunggu suami yang saya fikir masih belum keluar dari surau. Rupa-rupanya, dia sudah pun bersembang dengan seorang penarik beca tidak jauh dari tempat saya.
Ketika saya menghampiri mereka, perbualan sudah pun tamat. Suami mengiringi langkah pakcik beca itu dengan pandangan seribu makna membuatkan saya hairan dan tidak sabar mahu bertanya.
"Kenapa? Macam serius bersembang?" Soal saya ingin tahu.

Sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia mengajak saya masuk ke kereta kerana petang itu juga kami perlu sampai ke Shah Alam atas urusan lain.

"Sembang apa?" Soal saya lagi selepas memasang tali pinggang keledar. Suami masih menggelengkan kepala sambil menjawab,

"Lepas ni, jangan kedekut untuk bersedekah. Malu betul saya dengan pak cik tadi,"

Eh, lain pula yang dia jawab. Saya masih meneka-neka dalam hati. Kenapa pula suami jadi macam ni? Nak tanya lebih-lebih, bimbang terlalu mendesak pula. Akhirnya, saya diamkan sahaja.

Dermakan segumpal wang

Separuh perjalanan suami membuka cerita. Katanya, keluar sahaja dari surau, dia berjalan-jalan untuk melihat orang ramai di situ. Sedang berjalan-jalan, dia disapa seorang kanak-kanak berusia lingkungan 11 tahun.

Kanak-kanak itu menjinjit beg sandang berisi buku agama dan panduan solat sunat. Dia mendekati suami dan seperti yang mungkin anda biasa lalui, dia mempromosikan buku itu atau sekurang-kurangnya minta anda menderma.
Walaupun hairan dengan kewujudan kanak-kanak itu, suami menghulurkan juga RM1 dan menolak untuk membeli bukunya. Dengan langkah berat, kanak-kanak itu beralih pula kepada pakcik beca yang sedang menunggu pelanggan kira-kira 10 langkah daripada suami.
Dari jauh suami memerhati gelagat kanak-kanak itu. Lelaki lewat 50an itu pada mulanya menyerahkan RM5. Tersenyum kanak-kanak itu tadi apabila pakcik beca juga menolak untuk menerima buku daripadanya.
"Pakcik derma saja," jawab lelaki tua itu.

Selepas kanak-kanak itu pergi, dia menyeluk pula saku seluarnya dan mengeluarkan segumpal RM1 dan RM5. Kalau dicongakkan, mungkin lebih RM20.
"Adik!" Lelaki tua itu menjerit memanggil semula kanak-kanak yang sudah beberapa langkah berlalu darinya. Kanak-kanak itu berpaling dan berlari perlahan mendekati pakcik beca semula.
"Nah ambil ni," katanya sambil menepuk-nepuk bahu si kecil.
Kanak-kanak itu kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman sebelum bersalam mencium tangan pakcik itu, dan berlalu pergi. Ketika itulah suami yang kehairanan mendekati pakcik beca.

Upah naik beca

Suami memberi salam dan disambut mesra pakcik beca. Apabila suami amati, lelaki itulah yang membawa kami bersiar-siar tadi.

"Saya perhatikan pakcik, mula-mula pak cik beri RM5, lepas tu beri lagi segumpal duit. Banyak tu. Kenapa ye?" Suami bertanya.
Dengan senyuman lelaki tua itu menjawab "Saya kesian."

Jawapan pakcik itu bersahaja tapi ia membuatkan suami lebih hairan.
"Tapi, pak cik pun kerja bawa beca. Itu pendapatan hari ini ke?" soalnya.

"Tak apalah. Saya ni masih kuat lagi. Boleh bawa beca tu cari duit lain. Tapi budak macam tu sepatutnya pergi sekolah. Terpaksa cari duit dengan cara macam tu. Apalah sangat akal seorang budak," jawabnya lagi.

"Tapi, mana tau ada sindiket ke, menyamar ke, atau..." ujar suami yang mahu memberi alasan lain sebelum pakcik itu tiba-tiba memintas kata-katanya.
"Pak cik tak fikir sejauh itu. Ia urusan ALLAH. kita doa yang baik-baik saja pada mereka," jawabnya.

Suami terpempan dengan jawapan pakcik beca. Melihat pakcik beca mahu berlalu, suami hulur sedikit wang kepada pakcik itu, tapi dia menolak. Suami paksa juga sambil bersalam dan menyelit wang di celah-celah tangannya.

"Pakcik anggap saja sebagai upah bawa saya dan isteri naik beca tadi," kata suami memujuk pak cik itu untuk menerima pemberiannya.

Dengan senyuman pak cik itu menjawab, "Pakcik sedekah tadi ikhlas dan tak minta balasan. Tak sangka secepat ini ALLAH balas sedekah pakcik," katanya.
Kenyataannya buat suami rasa terpukul apatah lagi membandingkan kemampuan kami dengan pak cik beca yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu. Saya pula kelu seribu bahasa.
Memang betul kata pakcik itu. Kadang-kadang, bila ada yang minta sedekah, ada saja suara hati yang melarang dengan kata-kata seperti mungkin sindiket, kenapa tak kerja, duit hanya cukup untuk bulan ini dan pelbagai alasan lain yang mengehadkan saya daripada bersedekah.

Teringat pesan emak, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Banyakkan memberi walaupun hanya RM1. Anda bagaimana? Setiap detik yang kita lalui itu ketentuan ALLAH. Dia menghantar kanak-kanak kecil menjual tasbih mahupun buku untuk menguji kita. Untuk memberi kita peluang berbuat pahala dan mengurangkan dosa.
Anggap saja, mungkin kita sudah lama tidak bersedekah hingga ALLAH datangkan mereka betul-betul di hadapan mata. Soal sindiket atau tidak, tipu atau sebagainya, itu bukan urusan kita. ALLAH Maha Mengetahui.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines