Jumaat, 23 Ogos 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Harimau Selatan buat persiapan awal

Posted: 21 Aug 2013 06:09 PM PDT

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) bersama Cesar Ferrando Jimenez (dua kiri) dan Braulio Nobrega Rodriguez (dua kanan) di Stadium Larkin, Johor Bahru, semalam. Turut kelihatan Andres Tevar (kanan) 


Sumber: Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU - Biarpun saingan Liga Malaysia musim ini belum menutup tirainya, namun Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah membayangkan skuad Harimau Selatan akan memberikan impak dalam arena bola sepak negara musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu turut memberi bayangan mereka sudah merangka sesuatu yang tidak pernah dilakukan mana-mana pasukan dalam persediaan mengharungi saingan Liga Malaysia musim akan datang.



Pada masa sama, Tunku Ismail turut mengakui kesilapan yang dibuat dalam membentuk pasukan pada musim ini sekali gus tidak memikirkan mengenai kempen Piala Malaysia kerana pada beliau saingan liga sudah tamat apabila menyaksikan pasukan sekadar seri 1-1 ketika menentang Selangor dalam perlawanan terakhir Liga Super.

Yang pasti, skuad Harimau Selatan sudah bersedia membawa rentak bola sepak dari Sepanyol memandangkan ramai ahli keluarga baharu mereka untuk musim depan berasal atau pernah berkhidmat di negara itu termasuk jurulatih dan pemain.

Laungan awal disuarakan Johor Darul Takzim sebaik memperkenalkan pengurus dan ketua jurulatih, Cesar Ferrando Jimenez; jurulatih taktikal, Andres Tevar dan pemain baharu, Braulio Nobrega Rodriguez yang datang dari Sepanyol.

Bagaimanapun, bekas pemain Benfica, Pablo Aimar tidak menyertai majlis di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini semalam, namun pemain yang pernah beraksi bersama Valencia itu akan diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi.

"Aimar sedang membuat persiapan untuk ke sini termasuk pemeriksaan perubatan dan dia akan ke sini secepat yang mungkin.

"Saya melihat masa depan cerah untuk pasukan, malah saya yakin tahun 2014, kita akan memberi impak besar dalam arena bola sepak negara memandangkan kita sebuah pasukan sedang meningkat naik. Kita akan ada pasukan bintang," katanya.

Tunku Mahkota Johor berkata, bagi saingan Liga Malaysia musim depan, mereka sudah bersedia untuk melakukan perubahan termasuk mencari pemain yang hatinya bermain untuk pasukan dan bukan hanya mengambil gaji setiap bulan.

Beliau turut memuji Jimenez, Tevar, Aimar dan Braulio yang menunjukkan komitmen tinggi dengan berada di negeri ini lebih awal untuk menyertai Johor Darul Takzim kerana mahu menyesuaikan diri di negara yang asing bagi mereka.

"Saya akan buat apa sahaja yang perlu dan terbaik untuk skuad Harimau Selatan dan disebabkan itu saya berani membuat perubahan bagi musim depan. Saya akan membantu dan menyokong apa yang Jimenez akan buat untuk pasukan.

"Kita perlu mencapai sasaran bagi memperolehi kejayaan dan untuk itu kita tidak boleh kekal berasa selesa di mana kita berada sekarang sekali gus perlu memperbaiki kelemahan yang ada. Perubahan perlu untuk penambahbaikan," ujarnya.

Ditanya, siapa pemain import dari negara Asia yang bakal disambar skuad Harimau Selatan untuk musim depan sekali gus memenuhi kuota pemain import pasukan, Tunku Ismail menjawab, beliau sudah mengenal pasti pemain terbabit.

Beliau turut ditanya adakah pemain tengah Lions XII, Harris Harun individu dimaksudkan, Tunku Mahkota Johor itu berkata, ia adalah satu penghormatan sekiranya pemain tersebut menyertai pasukan, malah dia antara pemain yang diminati Jimenez.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut memberitahu, tiga pemain negeri ini yang beraksi bersama Harimau Muda akan menyertai skuad Harimau Selatan iaitu Fadhli Sas, Fandi Othman dan Irfan Fazil selepas temasya sukan sea berakhir.

Dollah kritik tindakan Surendran

Posted: 21 Aug 2013 06:02 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuantan: Pengendali Pahang Dollah Salleh kesal dengan tindakan R Surendran yang disifatkan tidak profesional dan hampir menyebabkan skuad itu tewas ketika menentang Kelantan yang berkesudahan seri 1-1 malam kelmarin.

Dollah berkata, Pahang mampu meraih kemenangan jika pemain berkenaan dapat mengawal emosi ketika lawan beraksi dengan 10 pemain.


Menurutnya, dengan layangan kad merah itu, dia berharap Surendran mendapat pengajaran berguna supaya lebih berhati-hati kerana tindakannya itu boleh menjejaskan pasukan.

"Namun, kami tetap berbangga kerana dapat mengikat juara bertahan itu," katanya semalam.



Surendran dilayangkan kad merah apabila mengasari Mohd Daudsu Jamaluddin. Sebelum itu, penyerang Kelantan, Ahmad Fakri Saarani turut dibuang padang kerana mengasari Hafiz Kamal.


Mengulas keputusan seri kelmarin, Dollah tetap memuji pemainnya yang tidak mengenal erti putus asa untuk memastikan Kelantan pulang hampa daripada meraih kemenangan.

Menurutnya, semangat juang tinggi dipersembahkan pemain menjadi faktor utama kerana Kelantan bukan calang-calang pasukan selain menjadi pilihan utama selain juara bertahan.


"Saya boleh katakan kami tidak beraksi 100 peratus termasuk jentera serangan kurang tajam membolosi gawang lawan.

"Kita perlu pertingkatkan persembahan apabila menentang Negeri Sembilan selepas ini jika mahu melangkah lebih jauh kerana saingan Piala Malaysia berbeza dan sukar dijangka," katanya.

Fokus aksi kedua

Posted: 21 Aug 2013 06:01 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Penjaga gawang PKNS FC, Mohd Remezey Che Ros mahu rakan sepasukan segera melupakan kemenangan manis 2-0 ke atas Johor Darul Takzim (DT) dan kembali fokus kepada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia, seterusnya bertemu T-Team, Sabtu ini.

Bagi Remezey, kemenangan ke atas Johor DT sememangnya cukup menarik tetapi dia tidak mahu rakan sepasukan alpa dan gagal memberikan fokus sepenuhnya apabila berkunjung ke gelanggang lawan nanti.



"Menang ke atas Johor DT memang satu keputusan yang sangat positif dan permulaan baik untuk kami bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

"Tapi kita tidak boleh terlalu meraikan kejayaan ini kerana fokus utama selepas ini adalah untuk terus meraih tiga mata," katanya.


Remezey berkata, kemenangan ke atas T-Team penting kerana ia akan mencerahkan peluang mereka melangkah ke saingan suku akhir.


"Kami memang meletakkan sasaran untuk menang pada setiap perlawanan termasuklah apabila bertemu T-Team.

"Walaupun beraksi di tempat lawan, kami tetap akan memberikan saingan. Paling penting ialah memungut mata dan tidak tewas," katanya.


Meskipun PKNS dilabel sebagai pasukan bukan pilihan, Mohd Remezey berkata, tidak bermakna skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu akan memberikan laluan mudah kepada lawan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines