• 'Saya macam kena pukau' Siti Sakira (tengah) menatap keratan akhbar mengenai berita kehilangannya bersama Salmah (kiri) dan Ahmad.
PARIT BUNTAR - Perayaan Aidilfitri pada tahun ini begitu bermakna buat keluarga Ahmad Awang, 75, setelah anak perempuannya yang dilaporkan hilang hampir sebulan akibat mengikut kenalan laman sosial baru-baru ini, kembali ke pangkuan keluarga.

Lebih mengejutkan, remaja berkenaan, Siti Sakira Ahmad,18, mendakwa tindakannya melarikan diri dari rumah tanpa pengetahuan keluarga dibuat atas sebab dipukau.

Menurutnya, dia hanya menyedari keluarganya mencari dirinya setelah terbaca laporan media mengenai kehilangannya sebelum ini.

"Setelah terbaca berita disiarkan dalam media, saya lantas menghubungi keluarga yang sudah mencari saya semenjak hilang pada 8 Julai lalu bagi  memaklumkan di mana lokasi saya berada.

"Alhamdulillah kini saya sudah pun pulang ke pangkuan keluarga dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama mereka," katanya sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Parit Abas, baru-baru ini.

Siti Sakira berkata, sewaktu hari kejadian dia dilaporkan hilang, dia mendakwa dirinya seperti dipukau dan sekadar mampu untuk menuruti arahan seorang teman lelaki yang baru dikenali dalam laman sosial Facebook.

Menurutnya, setelah dia keluar dari tempat kerja dan mengikut lelaki terbabit, Siti Sakira mendakwa dihantar ke sebuah rumah dan dikenalkan dengan seorang rakan perempuan lelaki terbabit.

"Sepanjang tinggal di situ, fikiran saya seolah-olah kosong dan saya tidak mampu untuk mengingati apa-apa termasuk diri sendiri dan ahli keluarga.

"Setelah hampir 20 hari menghilang, saya terbaca berita kehilangan diri saya melalui akhbar dan saya lantas mengingati kembali segala-galanya mengenai diri saya dengan serta-merta," katanya.

Siti Sakira berkata, setelah menetap di sebuah rumah, dia seterusnya dihantar lelaki berkenaan ke rumah keluarganya sebelum dijaga oleh ibu lelaki terbabit tanpa mengetahui dia sebenarnya sedang dilarikan lelaki itu.

Bagaimanapun, ibu lelaki terbabit hanya menyedari Siti Sakira sebenarnya dilarikan anaknya setelah berita kehilangannya disiarkan media dan segera memaklumkan kepadanya untuk melaporkan lokasi mereka kepada keluarga.

Sementara itu, ibu Siti Sakira, Salmah Sejan, 47, ketika ditemui berasa syukur dan menitiskan air mata apabila dapat bertemu semula dengan anaknya.

"Saya sungguh gembira dia kembali ke pangkuan keluarga dan pastinya Aidilfitri kali ini paling bermakna.

"Saya berharap kejadian ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan dan ianya diharap memberi pengajaran kepada semua remaja lain," katanya.