Selasa, 6 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Nabil, Aril deejay baharu Era FM

Posted: 05 Aug 2013 12:09 AM PDT



NAZRI (tiga dari kanan) dan Aril (dua dari kanan) bersama kru Era FM yang lain menjanjikan sesuatu yang segar dan mengujakan sebagai sajian stesen radio itu.


TANGGAL 1 Ogos lalu, genap 15 tahun stesen radio Era FM beroperasi dan berjaya melakar sejarah sebagai sebuah stesen radio swasta pertama bersiaran dalam bahasa Melayu sejak ia ditubuhkan tahun 2008.
Perubahan demi perubahan dilaksanakan demi memastikan kualiti stesen radio yang bernaung di bawah payung Astro Radio itu terjamin.
Antara strategi terbaharu adalah dengan meletakkan Nabil Ahmad dan Aril Pilus sebagai pertaruhan untuk mengemudi dua rancangan besar Era FM.
Nabil yang bakal menggantikan Datuk Aznil Nawawi mengendalikan segmen Carta Era 40 pada hujung minggu manakala Aril bakal mengendalikan MeleTop 40 Era.
Mengulas mengenai pemilihan Nabil sebagai tonggak besar mengendalikan slot yang mendapat sambutan hebat sepanjang stesen radio itu ke udara, kata Pengurus Radio Era FM, Nazri Noran, pihaknya ingin meniup angin baharu buat pendengar.
"Nabil sudah memulakan tugasnya pada 1 Jun lalu dan mendapat maklum balas positif daripada pendengar yang mengikuti segmen itu sejak Datuk Aznil Nawawi menjadi perantara.
"Sebenarnya, Nabil sudah lima tahun bersama Era FM dan kami memilihnya kerana mahukan pembaharuan.
"Kami percaya, Nabil mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan slot penting itu," katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan sambutan ulang tahun ke-15 Era FM di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.

BAWAH: Ceria... ERA FM melancarkan album kompilasi sebagai simbolik ulang tahun ke-15.


Tambahnya, Nabil memberikan persetujuan untuk berkolaborasi dengan Era FM pada hujung tahun lalu setelah beberapa kali ditawarkan.
Nazri juga menegaskan, pemilihan Nabil bukan disebabkan pengalamannya mengendalikan program di stesen radio lain sebelum ini. Sebaliknya, pelawak itu dipilih bersandarkan bakat yang ada.
"Tidak perlu ada isu perbandingan Nabil mengendalikan segmen di Era FM dengan stesen radio lain sebelum ini kerana Nabil mempunyai bakat tersendiri.
"Biarpun kedua-duanya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengacaraan radio, risiko itu merupakan pembaharuan yang kami lakukan sehingga membolehkan Era FM kekal selama 15 tahun," ujarnya.
Berkongsi pengalaman mengendalikan segmen MeleTop Era 40, kata Aril, dia mendapat banyak tunjuk ajar daripada deejay senior sebelum ini.
"Memang pada mulanya, sukar untuk saya seorang penyanyi yang langsung tiada pengalaman mengendalikan program di radio secara langsung tapi saya mendapat bimbingan yang secukupnya daripada deejay-deejay senior.
NABIL sebenarnya sudah lima tahun berkhidmat dengan Era FM.


"Sebelum ini saya diberikan tanggungjawab mengendalikan slot pada hujung minggu sahaja tetapi apabila ditawarkan untuk slot yang lebih besar, ini penghargaan besar buat saya," katanya.
Dalam pada itu, Era FM turut melancarkan sebuah album kompilasi sebagai simbolik ulang tahun ke-15 stesen radio itu.
Album yang bertemakan Kembali Ke Sekolah itu melibatkan kerjasama Warner Music Malaysia dan Astro sudah berada di pasaran.
Sebanyak 15 buah lagu popular yang kerap menduduki carta terbaik Era FM sepanjang 15 tahun dimuatkan dalam album itu antaranya Hijau (Zainal Abidin), Purnama Merindu (Siti Nurhaliza), Jesnita (Exist), Pulangkan (Misha Omar), Kebahagiaan Dalam Perpisahan (Shahir) dan Untuk Dia (Sleeq & Najwa Latif).
Sebagai tanda penghargaan, Era FM memberikan Anugerah Artis Terbaik Era FM kepada penyanyi yang mempersembahkan prestasi cemerlang sepanjang bulan.
Antara penyanyi yang telah dinobatkan Artis Terbaik Era FM seperti Hafiz, Faizal Tahir, Forteen dan Waris.

Aidil Zafuan Cerai Rita Rudaini Talak Satu Melalui SMS

Posted: 05 Aug 2013 12:08 AM PDT


Rita Rudaini bersama dua anaknya.
PETALING JAYA: Pemain pertahanan Johor Darul Takzim, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak akhirnya menceraikan pelakon popular, Rita Rudaini dengan talak satu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada petang Ahad.
Akhbar Berita Harian melaporkan, Aidil membuat keputusan itu selepas dia dikatakan bengang dengan Rita berhubung artikel 'Rita bengang skandal terbaru Aidil' disiarkan menerusi ruangan pojok Desas-Desus terbitan B*POP pada Ahad.
Rita mengesahkan kepada akhbar tersebut bahawa dia menerima kiriman SMS itu daripada Aidil petang Ahad selepas berlaku 'perang SMS' di antara mereka sebelum itu.
Antara butiran SMS Aidil kepada Rita: "Aku ceraikan kau talak satu."
Aidil Zafuan
Rita yang kini berada di kampungnya di Perlis untuk sambutan Aidilfitri berkata, dia reda menerima keputusan itu.
Pasangan itu bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.
Sebelum ini, Aidil pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan aktres, Jue Aziz tetapi menafikan dia mengenali wanita itu.
Terbaru, dia digosipkan menjalin hubungan dengan seorang gadis dikenali sebagai Zarema Zainal.

Menulis Di Blog Jadi Terapi Buat Nurul Wahab

Posted: 05 Aug 2013 12:07 AM PDT

Nurul gemar menulis pada waktu malam kerana lebih tenang.
PETALING JAYA: Penyanyi Nurul Wahab menyifatkan keterbukaannya berkongsi kisah peribadi dengan pembaca di laman blog miliknya adalah kerana enggan bersikap hipokrit dengan para peminat.
Nurul atau nama sebenarnya Nurul Huda Abdul Wahab, 36, berkata, kisah-kisah yang dikongsi bersama pembaca adalah luahan dan kisah sebenar yang berlaku dalam hidupnya.
"Kehidupan itu adalah realiti dan saya tidak perlu malu untuk berkongsi tentangnya dengan pembaca. Bagaimanapun sebagai seorang wanita, isteri dan ibu, sudah tentu saya meletakkan batasan dan bukan semua benda yang saya kongsi dengan pembaca," jelasnya kepada mStar Online.
Nurul memberitahu semenjak mula menulis menerusi blog nurulwahabdepp.wordpress.com dia mengakui semakin sukakan aktiviti tersebut yang dianggap sebagai terapi.
Jelas Nurul, dia akan mengambil peluang untuk menulis pada waktu malam kerana lebih tenang dan akan mengemas kini blognya setiap tiga kali seminggu. "Dalam keadaan saya sedang mengandung sekarang, menulis membuatkan saya tenang dan dapat juga saya berkongsi pengalaman kehamilan ini dengan pembaca," katanya.
Dalam perkembangan sama, Nurul berkata, dia bersyukur apabila kebanyakan pembaca dan peminat menyukai isi kandungan blognya dan sentiasa memberi komen membina.
Jelas Nurul lagi, dia berasa lebih dekat dengan para pengikut blog tersebut kerana selain berkongsi kisah harian mereka juga turut bertukar-tukar pendapat tentang pelbagai perkara.
"Dalam satu perkara buruk yang orang nampak sebenarnya banyak perkara baik tentang blog tersebut dan saya bersyukur ramai yang memberi sokongan," ujarnya.

Jehan Miskin Bersendirian Tanpa Isteri

Posted: 05 Aug 2013 12:06 AM PDT

Jehan terpaksa menyambut Ramadan sendirian kerana kesibukan isterinya.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah drama, Jehan Miskin mengakui banyak menghabiskan masa bersendirian sepanjang bulan Ramadan ini kerana isterinya sering berulang-alik ke luar negara atas urusan kerja.
Jehan, 34, berkata, walaupun sedih tidak dapat menyambut Ramadan bersama isteri tercinta dia bagaimanapun memahami kerjaya isterinya yang memerlukan sentiasa ke luar negara.
"Kehidupan saya sebenarnya seperti orang bujang kerana isteri kini berada di Jepun dan saya terpaksa melakukan segala kelengkapan harian sendiri.
"Bagaimanapun saya tidak kekok kerana sebelum berkahwin juga saya sudah terbiasa melakukan semua kerja sendiri," jelasnya kepada mStar Online.
Jehan dan Julie akan menghabiskan masa bersama selama dua hari sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
Jehan dan Julie Camelia Rhee, 29, seorang wanita Korea berkahwin pada 4 Mei lalu di Carcosa Seri Negara, dekat sini.
Dalam pada itu, Jehan berkata, pada Hari Raya Aidilfitri kali ini juga mereka hanya akan bersama selama dua hari kerana isterinya akan berangkat ke Australia pada Hari Raya ketiga.
Jelas Jehan, dia akan menggunakan masa tersebut sebaik-baiknya bersama Julie selain membawa isterinya itu berhari raya bersama sanak saudara dan rakan-rakan.
"Walaupun kami sering berjauhan tetapi kami tahu tanggungjawab masing-masing dan menggunakan masa terhad itu sebaik-baiknya," kata Jehan.
Dalam perkembangan lain, drama bersiri pertama arahan Jehan, What If, kini sedang rancak ditayangkan pada setiap Rabu, pukul 9.30 malam di saluran 8TV.

Liza Hanim Rindu Untuk Kembali Beraksi

Posted: 05 Aug 2013 12:06 AM PDT

Liza Hanim bersama suaminya, Shah.
PETALING JAYA: Penyanyi Liza Hanim mengakui rindu untuk kembali beraksi di pentas nyanyian seperti pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 2000.
Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 34, bagaimanapun berkata, dia tidak boleh kembali aktif dalam masa terdekat ini memandangkan masih lagi menjaga anak bongsunya Mohamed Salahuddin yang berusia setahun.
"Memang saya rindu sangat untuk rakam lagu dan kemudian bernyanyi di pentas seperti ketika di awal kemunculan saya dulu-dulu. tetapi bukan untuk masa terdekat ini kerana anak masih lagi kecil.
"Lebih-lebih lagi saya perlu menguruskan syarikat produksi saya, LH Media Sdn Bhd yang banyak terlibat dengan projek pengiklanan membuatkan masa saya sangat terhad," katanya.
Bagaimanapun tambah Liza yang pernah popular dengan lagu Getaran Cinta Di Jiwa itu, dia tetap akan muncul sekurang-kurangnya sebuah single lagu terbaharu apabila anak bongsunya itu sudah besar.
Dalam pada itu, Liza juga risau untuk membuat kemunculan semula memandangkan dia terlalu lama menyepi selain cita rasa peredaran muzik juga berubah.
"Diakui, jika hendak buat kemunculan semula, ia memerlukan perancangan yang sangat rapi kerana bukan mudah untuk melakukan semua itu selepas lama menyepi.
"Apalagi cita rasa muzik berubah-ubah, jika mahu menyanyi semula, saya perlu mengikut 'trend' terkini, seiring dengan keinginan pendengar sekarang," ujarnya.
Selain Mohamed, Liza yang merupakan isteri kepada bekas ahli kumpulan Indigo iaitu Mohd Shahrin Mohd Samsudin atau lebih dikenali sebagai Shah turut mempunyai dua lagi cahaya mata iaitu Marsya Qistina, 10, and Marsya Qaireen, 4.

Haliza Misbun Tidak Percaya Potensi Pelakon Baharu

Posted: 05 Aug 2013 12:05 AM PDT

Haliza Misbun
PETALING JAYA: Pelakon Haliza Misbun enggan menerbitkan filem atau drama kerana tidak mempercayai potensi pelakon-pelakon baharu yang boleh dijadikan teraju dalam karyanya.
Haliza, 40, berkata, dia kecewa dengan kualiti pelakon-pelakon ketika ini yang hanya bersandarkan kecantikan semata-mata tanpa memiliki kualiti sebagai seorang pelakon.
"Saya kecewa melihat kualiti pelakon-pelakon baru sekarang yang tidak tahu etika sebagai pelakon.
"Pada saya pelakon-pelakon lama yang seangkatan dengan saya seperti Umie Aida belum ada lagi pelapis.
"Disebabkan faktor itu juga saya tidak yakin untuk menerbitkan filem atau pun drama lagi," katanya ketika ditemui mStar Online.
Sementara itu, ditanya tentang bidang lakonan, Haliza berkata, dia sudah lama tidak mendapat apa-apa tawaran drama mahupun filem.
"Mungkin pengarah takut untuk panggil saya berlakon sebab title saya sebagai penerbit filem.
"Jadi mungkin mereka fikir saya sudah tidak mahu lagi berlakon. Bagi saya terpulang kepada skrip dan watak juga, kalau bagus kenapa tidak," katanya yang pernah menerbitkan filem Andartu Terlampau pada 2009.

TV3 saji program terbaik sepanjang raya

Posted: 05 Aug 2013 12:04 AM PDT


  • TV3 saji program terbaik sepanjang raya         Duta kempen raya TV3 tahun ini.
SEMPENA Syawal yang bakal tiba, stesen televisyen TV3 tidak ketinggalan menyediakan pelbagai program menarik buat penonton setianya.

Bermula dari 8 hingga 24 Ogos, pelbagai rancangan seperti filem, telefilem, majalah dan dokumentari, variasi, muzikal serta program kanak-kanak telah disusun bertemakan Anugerah Syawal.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, TV3 dan TV9, Sherina Nordin, sebagai stesen pertama pilihan penonton, pihaknya perlu memastikan setiap rancangan yang dipilih menepati selera mereka.

"Kita tidak hanya fokus kepada program di dalam negara sahaja, bahkan terdapat juga dari luar negara termasuklah yang diterbitkan sendiri oleh produksi kami.

"Kami yakin, tahun ini TV3 mampu meraih kadar penonton yang lebih tinggi dan terus mendominasi penonton Melayu di sepanjang minggu Aidilfitri," katanya di majlis sidang media Anugerah Syawal TV3, baru-baru ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti yang terlibat dalam program Raya TV3 seperti Adi Putra, Nora Danish, Fiza Sabjahan, Aiman Hakim Ridza, Nelydia Senrose, Amar Asyraf, Tasha Shilla, Nad Zainal, Akim, Azlee Khairi, Fouziah Gous, Eja, Watie Sadali, Zul Yahya, Nadia Mustafa, Faradhiya, Faezah Elai, Johan As'ari,
Shamsul Ghau Ghau, Yana Samsudin, Intan Ladyana, Azwan Kombos, Syazwan Zulkifly, Emma Maembong, Zain Saidin, Achey serta Bocik.


Lantik duta, cipta lagu raya

Dalam pada itu, seiring dengan kempen Anugerah Syawal TV3, pihaknya turut memperkenalkan lapan selebriti popular sebagai Duta kempen raya TV3 tahun ini.

Jelas Sherina, mereka adalah Adi Putra, Nora Danish, Fiza Sabjahan, Amar Asyraf, Nelydia Senrose, Aiman Hakim Ridza, Tasha Shilla dan Neelofa.

"Kami menyinari Aidilfitri tahun ini bersama bintang-bintang ternama Malaysia.

"Ini kerana kami yakin, dengan kemunculan mereka di skrin, penonton akan lebih teruja," katanya.

Tambahnya, selain dipertanggungjawabkan mempromosi program di kaca televisyen dan radio, wajah duta Anugerah Syawal TV3 juga menghiasi rantaian poster khas di beberapa lokasi utama seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur, papan iklan di Lebuh raya Sg Besi/Seremban dan Persekutuan.

Lebih menarik, Media Prima telah bekerjasama dengan Bunkface dalam menghasilkan sebuah lagu raya baru yang berjudul Anugerah Syawal yang dihasilkan dalam dua versi iaitu Pop Rock dan Akustik.

Kata Izham, selain diperkenalkan sebagai lagu tema kempen raya di bawah rangkaian televisyen Media Prima, lagu tersebut juga akan dipromosikan di semua platform Media Prima Berhad termasuk rangkaian radio, digital media dan media cetak.

"Walaupun pertama kali mencipta lagu raya, Bunkface telah membuktikan kemampuan mereka dengan melahirkan sebuah karya yang hebat," katanya yakin lagu raya ini akan menjadi siulan.


Variasi program menarik

Dalam pada itu, Syawal kali ini pastinya lebih bermakna menerusi tayangan eksklusif di TV3 yang menampilkan filem-filem blockbuster seperti Apa Celop Toqq (tayangan eksklusif di TV3), Lagenda Budak Setan, Adnan Balik Raya, Kongsi, Ngangkung, Khurafat, The Fast & The Furious: Tokyo Drift, Hantu Gangster, Setia Hujung Nyawa Raya, Karlos Bolos dan Abang Long vs Kak Yong.

Tidak ketinggalan, telefilem istimewa Hari Raya yang menyentuh perasaan seperti Abah Tak Balik Malam Raya, Raya Pak Pak Pong, Ijab & Kabul, Malaikat Di Pintu, Lebaran Kasih, Baju Raya Kain Perca dan banyak lagi.

TV3 juga menyediakan program hiburan, variasi, muzikal dan drama komedi terbaik untuk tontonan bersama kaum keluarga seperti Sampaikan Raya, Melodi Raya, Dikir Stail, Kecoh Pengacara Beraya, Music Box Raya, Bintang Mencari Bintang Raya, Tunggu Sekejap Raya, Konsert Anuar Zain, OMG Hero Kampung, Ayam Ribut Syawal, Senario Misteri Malam Raya, Edisi Khas Raya, Bas King Raya dan Rahsia Tok Pian.

Selain daripada program-program ini, rancangan berbentuk Majalah & Dokumentari juga turut menambah kemeriahan Hari Raya anda di TV3. Antara program menarik yang akan ditayangkan adalah Malaysia Hari Ini (MHI) Khas Raya, Jejak Rasul Raya, Kisah Mualaf, Unsung Places, Budak Zapin, Ceritaku dan Nona Raya.

Selain itu, jangan ketinggalan untuk saksikan program-program khas yang dibawakan oleh Bananana! kepada kanak-kanak seperti Bananana! Squad VS Idola Kecil 5 Raya, Bola Kampung The Movie, Res Q Kids Raya, I Heart Kurma, Seringgit Kasorga dan Coklat Maraton.

Rosnah Mohd Noor meninggal dunia

Posted: 05 Aug 2013 12:02 AM PDT


  • Rosnah Mohd Noor
PELAKON popular tahun 1980-an, Rosnah Mohd Noor meninggal dunia pada pukul 2.55 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Beita itu dimaklumkan rakan Allahyarhamah, Zaridah Ishak.
 
"Rosnah sudah pun meninggal dunia pada pukul 2.55 petang tadi. Dan kini saya bersama keluarganya sibuk menguruskan jenazah. Buat masa ini kami belum pasti lokasi pengebumiannya.
 
"Kami sedang berbincang," katanya lapor mStar Online.
 
Terdahulu, mStar Online pada 27 Februari lalu pernah melaporkan Rosnah dimasukkan ke HKL apabila tulang pada bahagian paha kirinya patah akibat kesan komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser payudara yang dihadapinya sebelum ini.
 
Allahyarhamah sering mendapatkan rawatan di HKL akibat penyakitnya itu.
 
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Rosnah telah berlakon beberapa buah filem antaranya Hantu Siang (1986), Di Ambang Kasih (1984), Aku Yang Berhormat (1983), Esok Untuk Siapa (1982) dan Ribut Di Hujung Senja (1982).
 
Hasil perkahwinannya dengan penyanyi dangdut Iwan, beliau dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Ramada Agus Putra, 24, Wan Shamira Puteri Octavia, 22, dan Wan Shahera Puteri Apreena, 20.
 
Wan Ramada sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina di Australia manakala anak bongsunya pula belajar di sebuah kolej swasta Kuala Lumpur.
 
Rosnah turut memiliki seorang cucu yang berusia setahun hasil perkahwinan anak keduanya.

Jari pelajar tahfiz hancur akibat mercun

Posted: 04 Aug 2013 11:59 PM PDT


  • Jari pelajar tahfiz hancur akibat mercun Tangan Che Jum yang hancur akibat letupan mercun.
KUALA PILAH – "Saya menyesal," kata Che Jum Che Harun, 13, pelajar tahfiz yang kehilangan tiga jari kanan akibat bermain mercun di Rumah Rakyat Senaling, Kampung Batang Pilah, dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, seorang pelajar di Pondok Madrasah Darus Islah Ulu Gemilang, Kampung Ulu Melang, hancur pada ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah apabila mercun jenis Di Boom yang dibeli pada hari raya tahun lalu meletup di tangan sebaik saja api dicucuhkan pada sumbunya.

"Jika saya tak bermain mercun, hari ini (semalam) saya akan beli pakaian raya bersama keluarga. Tapi kini, saya terpaksa beraya di hospital," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini semalam.

Kejadian menimpa mangsa berlaku kira-kira 8 malam kelmarin di hadapan gelanggang sepak takraw tidak jauh dari rumahnya yang turut disaksikan adik dan rakan-rakan mangsa.

Ibu mangsa, Suriati Ismail, 33, berkata, ketika kejadian, anaknya baru pulang dari surau sebelum berjumpa rakan-rakan untuk bermain mercun di kawasan itu.

"Mercun itu dibeli tahun lalu dan masih ada tiga baki. Tahun lalu, dia main mercun sama ikut cara betul dengan meletakkan mercun atas tanah, kemudian cucuh sumbu guna kayu dari jarak agak jauh. Tetapi semalam (malam kelmarin), dia pegang mercun itu ketika dicucuh, tak sempat lontar apabila disuruh rakannya," katanya.

Menurutnya, dia menyedar kejadian itu selepas dimaklumkan seorang lagi anaknya, Farah, 9, yang turut serta bermain, lantas berlari untuk memberitahu kejadian itu.

"Saya terkejut dan terus bergegas keluar. Saya nampak tangan Che Jum berlumuran darah. Saya cepat-cepat balut tangan dengan serban putih dipakainya. Habis jubah putih yang dipakainya juga penuh darah," katanya.

Suraiti berkata, mereka kemudian bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Namun, katanya, doktor memaklumkan kuku ibu jari anaknya pecah, jari telunjuk hancur tinggal tulang, manakala jadi tengah melecur dan kesemua tidak dapat diselamatkan lagi.

"Saya diberitahu pembuluh darah jari juga sudah putus. Doktor masih melihat sama ada perlu dipotong atau tidak," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, anaknya baru dua hari pulang dari belajar Pondok Madrasah Darus Islah Ulu Gemilang.

Mangsa yang merupakan anak sulung dari tiga beradik kini ditempatkan di wad lima HTAN sebelum pembedahan dilakukan petang semalam.

Tertipu helah lelaki menyamar

Posted: 04 Aug 2013 11:55 PM PDT


  • Tertipu helah lelaki menyamar Pergerakan suspek yang baru masuk ke dalam kedai telefon itu dirakam cctv.
KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar tingkatan lima berputih mata apabila telefon bimbit yang baru dibelinya lesap dilarikan selepas terpedaya dengan lakonan seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja di sebuah kedai telekomunikasi di sebuah pasar raya, kelmarin.
Menurut sumber, kejadian berlaku selepas setengah jam mangsa, 17, membeli telefon bimbit di sebuah kedai telefon ditemani bapanya.
"Di kedai itu, hanya dijual 'body' telefon semata-mata dengan harga RM660 tanpa disediakan aksesori lain menyebabkan mangsa terpaksa pergi kedai berhampiran (lokasi kejadian) untuk membeli aksesori tambahan termasuk memori kad, tanpa ditemani bapanya.

"Setiba di kedai itu, mangsa telah dihampiri lelaki lewat 20-an yang berpura-pura menawarkan perkhidmatan dengan bertanyakan tujuan mangsa ke kedai itu," katanya.
Sejurus memaklumkan tujuannya, mangsa ditawarkan harga istimewa iaitu satu unit memori kad 8Gb dengan harga RM15 dan teruja dengan tawaran itu, mangsa terus menyerahkan telefon bimbit kepada suspek untuk tujuan memasukkan memori kad tersebut.

"Mangsa menunggu di kaunter hadapan kedai sambil melihat aksesori yang dijual, namun, tidak sampai seminit kemudian, mangsa terdengar seorang jurujual di kedai itu bertanya suspek hendak beli apa.

"Terkejut dengan situasi itu dan baru menyedari suspek tidak memakai baju uniform biru seperti jurujual lain, mangsa terus mendapatkan suspek, namun suspek berjaya melarikan diri," katanya.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan menerima laporan. Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.

Imigresen periksa 818 warga asing dalam Ops Sayang

Posted: 04 Aug 2013 11:52 PM PDT


  • Imigresen periksa 818 warga asing dalam Ops Sayang Imigresen periksa 818 warga asing dalam Ops Sayang
JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Johor memeriksa seramai 818 warga asing dalam Ops Sayang yang dijalankan sekitar negeri ini melalui 67 operasi bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Penolong Pengarah Imigresen, Masri Adul berkata, dalam operasi terbabit, warga Vietnam merupakan warga asing paling ramai ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti tidak bermoral termasuk bekerja di rumah urut dan menjadi pelayan pelanggan (GRO).

Menurutnya, warga asing terbabit dikesan menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini.

Selain itu, pihaknya juga percaya ada sebilangan gadis berkenaan turut diperdaya oleh sindiket sehingga terjebak dalam pelacuran dan aktiviti tidak bermoral.

"Kita juga percaya, jumlah rakyat Vietnam yang ditahan agak tinggi dalam Ops Sayang disebabkan kedudukan negara itu yang berhampiran dengan Malaysia, justeru kos untuk membawa masuk gadis ini agak murah.

"Berdasarkan tangkapan melalui operasi, jumlah kedua tertinggi yang ditahan adalah warga China, diikuti Thailand ketiga dan Indonesia berada di tempat keempat daripada penahanan operasi berkenaan," katanya.

Katanya, terdapat warga asing yang diperiksa ketika operasi mempunyai permit tinggal di negara ini disebabkan berkahwin dengan lelaki tempatan.

Masri berkata, pihaknya juga khuatir warga asing wanita berkenaan sengaja memilih untuk berkahwin dengan warga tempatan hanya kerana mahu tinggal di negara ini bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa, namun ia bukan alasan untuk terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

"Pihak Imigresen juga sukar untuk mengesan sindiket ini sekaligus mengaitkan mereka dengan kesalahan pemerdagangan manusia disebabkan mereka yang ditahan enggan memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Apabila disoal siasat, warga asing terbabit hanya memberikan nama samaran majikan mereka sekaligus sukar untuk pihak berkuasa mengesan sindiket terbabit untuk di dakwa ke mahkamah," katanya.

Masri memaklumkan pelbagai modus operandi digunakan sindiket bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, namun beliau berkata pihak Imigresen juga mampu untuk membaca taktik sindiket berkenaan.

Lima kenderaan berlanggar

Posted: 04 Aug 2013 11:50 PM PDT

  • Lima kenderaan berlanggar Keadaan tiga daripada lima kereta yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.
ALOR SETAR - Malang tidak berbau apabila lima pemilik kereta terbabit dalam kemalangan di Jalan Tandop, dekat sini, kira-kira jam 8.45 malam kelmarin.

Difahamkan, ketika itu berlaku kesesakan lalu lintas dengan keadaan kenderaan bergerak perlahan dari selatan menuju ke arah utara Alor Setar.

Berada pada laluan sama, lima kereta terbabit berlanggar dari arah belakang antara satu sama lain.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kereta terbabit berada dalam satu barisan bahagian kanan jalan dan masing-masing bergerak perlahan.

Bagaimanapun, tiba-tiba salah sebuah kereta membrek secara mengejut menyebabkan kereta belakang merempuhnya.

"Kejadian berlaku dengan pantas. Saya sedang memandu turut terkejut dengan kejadian berkenaan tetapi tidak dapat lihat dengan jelas rempuhan itu.

"Saya tengok keadaan tiga kereta yang berada di belakang agak teruk berbanding dua kereta di hadapan," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku disebabkan pemandu membrek mengejut atau tertekan minyak tanpa sedar menjadikan kereta dirempuh dari arah belakang.

"Punca kejadian masih dalam siasatan. Kita akan lihat semua laporan akan dibuat oleh kelima-lima pemandu terbabit.

"Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kemalangan itu," katanya.

Aisyah ditemui dalam keadaan selamat

Posted: 04 Aug 2013 11:48 PM PDT


  • Guru matematik rayu bantuan cari anak hilang
SHAH ALAM - Anak kepada seorang guru matematik, Wan Aisyah Wan Exzam yang dilaporkan hilang, sudah pun ditemui dalam keadaan selamat. 
 
Polis Pulau Pinang menjumpai seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang di sebuah pasar raya di Rawang baru-baru ini.
 
Seorang wanita yang menghantar Aisyah ke balai polis Sungai Nibong kira-kira pukul 11.30 pagi tadi berkata, anak lelakinya membawa kanak-kanak tersebut ke rumahnya di Teluk Kumbar pada pukul 5 pagi tadi.
 
Wanita tersebut berkata anak lelakinya, 44, memberitahunya supaya menghantar kanak-kanak tersebut ke balai polis berhampiran.

Dira pegang amanah ayah

Posted: 04 Aug 2013 11:41 PM PDT




TIADA lagi susuk tubuh dan wajah girang ayahanda tercinta yang duduk di kerusi malas menunggu kelibat anak-anaknya terutama anak bongsunya, Dira Abu Zahar pulang berhari raya.
Tahun ini, kerusi malas yang terletak di luar rumah besar itu kosong selepas pemiliknya, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, 74, menghembuskan nafas terakhir pada 12 Julai lalu.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, di Merlimau, Melaka akibat komplikasi buah pinggang dan kencing manis kira-kira pukul 5.30 petang, pada saat umat Islam berada di hari ketiga Ramadan.
Allahyarham menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai pada 1986 selama dua penggal, diikuti DUN Merlimau (1995-1999) dan Parlimen Jasin (1999-2004).
Beliau kemudian menjadi Ketua Menteri Melaka kelapan menggantikan Datuk Seri Mohd. Zin Abd. Ghani yang meninggal dunia akibat angin ahmar pada 1997. Allahyarham menjadi Ketua Menteri Melaka bermula Mei 1997 hingga Disember 1999 sebelum digantikan oleh Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Ada getaran duka pada suara Dira dan sesekali kelopak mata pelakon berusia 29 tahun itu bergenang menahan sebak berkongsi memori indahnya bersama ayahnya tatkala ditemu bual secara eksklusif oleh Kosmo! di kediaman orang tuanya di Melaka.
"Setiap tahun, saya akan pulang sehari awal sebelum raya untuk berada di sisi ayah dan mak pada malam raya. Saya dan adik-beradik akan membuat ketupat dan mengacau dodol bersama-sama.
"Pada sebelah malamnya pula kami akan bermain bunga api dan ketika itulah ayah akan datang mengusik kami. Dia suka menyakat anak-anak dan cucu-cucunya, malah anak saya, Tengku Anggun Deandra sangat rapat dengannya. Telatahnya benar-benar menceriakan kami.
"Namun, raya tahun ini kami akan sunyi dan berasa janggal tanpa kelibat dan keletah ayah," ungkap Dira dengan suara yang tertahan-tahan menahan tangis.
Selepas menarik hela nafas, Dira menyambung bicaranya. Ujarnya, dia percaya arwah tidak mahu anak-anak dan cucu-cucunya bersedih dan andai mereka reda dengan pemergiannya, dia pasti tenang di sana.
DIRA ABU ZAHAR bersama anaknya, Tengku Anggun Deandra akan menyambut Aidilfitridi kediaman keluarga mereka di Merlimau, Melaka.


Mengimbau mengenai arwah ayahnya, bicara Dira, ayahnya mengalami masalah buah pinggang dan keadaannya serius berikutan faktor usia dan daya tahan badannya yang tidak kuat.
"Selepas lima minggu berada di hospital, kami ambil keputusan untuk pindahkan ayah ke Hospital Besar Melaka dan pada 11 Julai lalu, tekanan darahnya turun mendadak.
"Ketika itu kami sekeluarga sedar yang hayat ayah mungkin tidak lama. Selepas Jumaat, ayah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya. Saya lega kerana dapat berada di sisi arwah dari hari pertama dia masuk hospital sehinggalah saat-saat akhir hayatnya," jelasnya yang memberitahu lega segala urusan pengebumian ayahnya mudah dan lancar.
Tangisan arwah
Disoal adakah sebarang permintaan arwah ketika masih hidup yang tidak dapat ditunaikannya, dedah Dira, semua kehendak arwah tidak pernah ditentang olehnya sama ada diminta belajar jurusan guaman, berkahwin dan pulang ke kampung apabila diminta.
Begitupun, Dira akui ketika awal pembabitannya dalam bidang seni, arwah tidak begitu menyenanginya kerana beliau mahukan anak bongsu daripada enam beradik itu meneruskan karier sebagai peguam.
"Saya berlakon tanpa pengetahuannya. Bila dia dapat tahu, memang dia tidak suka tetapi selepas melihat kesungguhan saya dalam bidang ini, akhirnya dia merestuinya.
"Selama saya dihimpit kontroversi, arwah tidak pernah melatah sebaliknya menasihati saya supaya mengambil semua itu sebagai iktibar. '
"Dia pernah cakap kerjaya saya dan dia lebih kurang sama iaitu terdedah kepada masyarakat, jadi tidak semua perkara yang dilakukan mampu menggembirakan hati orang ramai," jelasnya yang tersentuh dengan sokongan dan semangat yang diberikan oleh arwah ayahnya itu.
Meneruskan cerita mengenai ayahnya, kongsi Dira, berbanding anak-anak lain, ketika ibunya mengandungkannya, ayahnya sentiasa menemani ibunya, malah selepas lahir ayahnya juga sanggup bangun pada tengah malam membuat susu.

DIRA memberitahu, selepas kematian bapanya, dia seboleh mungkin akan kerap pulang ke kampung bagi menemani ibunya, Khalijah agar wanita tersebut tidak berasa sunyi.


Sehingga ketika dia menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, ayahnya menangis untuk melepaskannya.
"Malah, ketika saya dapat meneruskan pengajian di Los Angeles, Amerika Syarikat, ayah tidak bagi pergi dan mahukan saya meneruskan pengajian di Malaysia sahaja,"ungkapnya.
Bimbang keadaan ibu
Tidak menyediakan sebarang persiapan raya, malah sempat membeli dua helai baju di gedung pakaian JAKEL yang dibawa ketika sesi fotografi yang turut disertai ibu dan anaknya, Dira mengakui bimbang mengenai keadaan ibunya.
"Apa yang saya bimbangkan sekarang adalah mak kerana dia tidak pernah berjauhan dengan ayah. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mak bersedih dengan pemergian ayah.
"Tetapi saya tahu dia sangat sedih sebab selama 49 tahun berkahwin mereka tidak pernah berjauhan, malah hubungan mereka mekar romantik.
"Ketika hujung hayatnya juga, ayah memang tidak bagi mak tinggalkannya walaupun sekejap. Ayah juga pernah berpesan untuk sentiasa menjaga mak jika dia tiada kelak. Amanahnya itu saya ingat dan akan pegang sampai bila-bila," jelasnya yang sering pulang ke kampung ketika bulan puasa untuk menemani ibunya.
Ujarnya lanjut, buat masa ini ibunya hanya tinggal bersendirian sambil ditemani oleh pembantu rumah.
"Dalam keadaannya sekarang, mak perlukan sokongan anak, dan saya tidak kisah berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur. Boleh dikatakan kebanyakan masa saya memang di Melaka bersama mak," katanya menutup bicara.

4 maut kereta bertembung lori

Posted: 04 Aug 2013 11:40 PM PDT


KEADAAN kereta yang remuk selepas bertembung dengan lori dan mengorbankan empat nyawa di Jalan Sidam Kiri-Padang Serai, Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI – Empat termasuk dua daripada mangsa tercampak keluar dari kereta maut apabila kenderaan dinaiki terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori di Jalan Sidam Kiri-Padang Serai dekat sini semalam.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Deputi Superintendan Ahmad Kamil Ahmad berkata, kemalangan pada pukul 5.40 petang itu menyebabkan pemandu dan penumpang belakang kereta Nissan Sunny itu tercampak keluar dari kenderaan dinaiki dan menyebabkan salah seorang daripada mangsa itu putus kepala.
Menurut beliau, mangsa yang maut ialah pemandu kereta itu, Tan Sou Kim, 50, Tan Siew Chin @ Daod Serni, 45, dan kanak-kanak perempuan, Tan Jit May, 11.

Kes bunuh pengasas bank boleh selesai tanpa maklumat anak mangsa

Posted: 04 Aug 2013 11:39 PM PDT



IMEJ lelaki dipercayai terlibat dalam pembunuhan pengasas bank dirakam CCTV di tokong Cina di Lorong Ceylon, Bukit Bintang yang diburu polis.


KUALA LUMPUR – Polis yakin dapat menyelesaikan kes tembak mati pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi walaupun anaknya enggan pulang ke Malaysia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan berjalan lancar berikutan pihak polis mendapatkan sumber maklumat lain dan hasil laporan perisikan.
"Tidak perlu bagi kami menghantar pegawai ke Rusia untuk bertemu anak Hussain dan mengumpul bukti daripadanya. Kami mempunyai pegawai yang berpengalaman dan boleh mengendali kes ini secara cekap," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

4,000 pelajar raya di Kaherah

Posted: 04 Aug 2013 11:37 PM PDT


PARA pelajar Malaysia akan berkumpul untuk menyediakan hidangan Aidilfitri di Kaherah, Mesir semalam.


KUALA LUMPUR – Sambutan hari raya dalam kalangan kira-kira 4,000 pelajar Malaysia di Kaherah, Mesir tetap meriah walaupun pergolakan politik di negara tersebut masih belum berakhir.
Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Abdul Aziz Ali berkata, sambutan Aidilfitri dijangka meriah seperti tahun sebelumnya walaupun ramai pelajar Malaysia mengambil keputusan untuk pulang menyambut hari raya di Malaysia.
Menurut beliau, pergolakan politik di Mesir seolah-olah tidak memberi kesan kepada para pelajar bukan sahaja di Kaherah malah di bandar-bandar lain apabila masing-masing sibuk membuat persiapan menyambut kedatangan Syawal.

Cerita sedih di sebalik tragedi

Posted: 04 Aug 2013 11:34 PM PDT


BEGINILAH keadaan rumah semi-D dan kereta mewah jenis Bentley yang musnah dalam kebakaran.


IPOH – Dua anak pengasas produk kecantikan, Vida Beauty maut akibat lemas selepas terperangkap dalam rumah semi-D yang terbakar dalam kejadian di Meru Hills, Bandar Meru Raya di sini kelmarin.
Rumah tersebut yang baru siap diubah suai selepas dibeli beberapa bulan lalu oleh pengasas produk kecantikan tersebut, Datuk Dr. Hasmiza Othman dijadikan kediaman untuk sembilan pekerjanya.
Rumah itu terletak di belakang kediaman Hasmiza.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mayat dua beradik berkenaan, Muhammad Eddie Zuhdi Mohd. Amin, 11, dan Muhammad Edrie Zikrie, 10, ditemui di dalam bilik air tingkat atas rumah tersebut. Turut maut dalam kebakaran itu ialah seorang pekerja lelaki, Mohd. Nor Syamil Zaidi, 26.

Kelly Clarkson dihalang bawa pulang cincin Jane Austen

Posted: 04 Aug 2013 11:31 PM PDT



CINCIN milik novelis terkenal Britain, Jane Austen yang dijual pada harga RM739,157 dalam satu acara lelongan tahun lalu.


LONDON - Kerajaan Britain kini dikatakan cuba untuk menghalang penyanyi pop terkenal Amerika Syarikat (AS), Kelly Clarkson (gambar) daripada membawa keluar sebentuk cincin emas dengan batu berwarna biru dari negara itu.
Cincin itu pernah dimiliki oleh novelis terkenal, Jane Austen. Pemenang pertama pertandingan nyanyian American Idol itu membeli cincin tersebut dalam satu acara lelongan tahun lalu pada harga AS$227,000 (RM739,157).
Menteri Kebudayaan Britain, Ed Vaizey membuat keputusan untuk tidak memberikan lesen import cincin tersebut atas dasar ia mempunyai hubungan rapat dengan sejarah Britain, jelas satu kenyataan daripada Jabatan Budaya, Media dan Sukan Britain.
"Gaya hidup Jane Austen dan kematian awalnya bermakna apa jua barangan yang berkaitan dengannya sangat sukar ditemui.
"Saya harap orang Britain tampil untuk membelinya kembali. Jadi, cincin ini boleh kekal berada di Britain," kata Vaizey.
Cincin berkenaan adalah satu daripada tiga barang kemas yang dimiliki oleh penulis ikonik tersebut. Austen pernah manghasilkan karya-karya hebat seperti Pride and Prejudice, Emma dan Persuasion.
Para pembeli berpotensi mempunyai tempoh sehingga 30 September depan untuk membeli cincin itu yang ditawarkan pada harga AS$232,836 (RM758,160).
Sekiranya tiada siapa yang berminat, lesen import akan diberikan kepada Clarkson selepas 30 Disember 2013.

Jepun hantar robot sebagai teman angkasawan

Posted: 04 Aug 2013 11:30 PM PDT


ROBOT humanoid Kirobo setinggi 34 sentimeter dan seberat satu kilogram ini akan menjadi peneman kepada angkasawan Koichi Wakata dari Jepun.


TOKYO - Jepun telah berjaya melancarkan roket yang membawa bekalan kepada kru di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Turut dihantar sebuah robot kecil untuk menjadi teman angkasawan di sana.
Imej yang disediakan oleh pihak Agensi Eksplorasi Angkasa Lepas Jepun (JAXA) menunjukkan roket H-2B berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima di Tanegashima, selatan Jepun pada Sabtu, pukul 4.48 pagi waktu tempatan.
Modul roket tersebut dijangka berlabuh di ISS pada 9 Ogos ini. Roket yang tidak dikendalikan oleh manusia itu membawa bekalan air minuman, makanan, pakaian dan peralatan untuk bertugas seberat lima tan kepada enam angkasawan di ISS.
Sebuah robot dikenali sebagai Kirobo turut menyertai misi tersebut. Android itu direka sebagai teman berbual kepada angkasawan Koichi Wakata yang dijadual tiba di ISS menjelang akhir tahun ini.
Memiliki ketinggian 34 sentimeter dan seberat satu kilogram, Kirobo diprogram untuk berkomunikasi dalam bahasa Jepun. Ia juga akan merekodkan perbualannya dengan Wakata yang menjadi angkasawan Jepun pertama mengetuai ISS.
"Kirobo boleh mengecam wajah Wakata. Ia akan menjadi robot pertama tiba di ISS," kata pereka Kirobo, Tomotaka Takahashi.
Penghantaran robot ke angkasa lepas adalah sebahagian daripada kajian yang bertujuan untuk melihat bagaimana robot mampu menawarkan sokongan emosi kepada angkasawan dan perlu berada di angkasa lepas bagi tempoh lama.

Bergelumang minyak hitam hingga lewat malam

Posted: 04 Aug 2013 07:03 PM PDT




BAU minyak pelincir dan bunyi deruman ekzos bersilih ganti memenuhi ruang bengkel kenderaan yang terletak di kawasan rumah kedai dua tingkat di Taman Balakong Jaya, Balakong, Selangor itu.
Kelihatan beberapa pekerjanya tekun melakukan tugas masing-masing. Raut wajah mereka jelas keletihan.
Bekerja pada bulan puasa sejak dari pagi mereka bertungkus-lumus menyiapkan pelbagai jenis kenderaan yang dihantar ke bengkel itu.
Helmey Rizal Harun, 37, memerhatikan sekeliling. Beberapa pelanggan masih sabar menunggu di ruang yang disediakan.
Seperti dirinya, mereka tidak berkompromi tentang keselamatan kenderaan. Ia mesti berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan ke kampung.
Bagi Helmey, sudah menjadi kelaziman, setiap kali berjalan jauh atau bercuti panjang sempena musim-musim perayaan dia selesa menghantar Proton Perdana V6 kesayangannya ke AAN Auto Garage untuk diselenggara.
"Beginilah adat menggunakan kenderaan terpakai, aspek penjagaan dan penyelenggaraan kenderaan perlu dititikberatkan biarpun tidak mengalami sebarang kerosakan.
"Biarlah terpaksa menunggu lama sedikit, asalkan hati tenang dan tenteram ketika pulang ke kampung nanti," kata kakitangan sebuah syarikat swasta itu.
BERPENGALAMAN lebih sedekad dalam bidang automotif Azaril (kanan) tidak kekok berkongsi ilmu denganpekerjanya.


Kereta rosak
Bakal pulang berhari raya ke rumah keluarga mertua di Mentakab, Pahang pada dua hari sebelum 1 Syawal, Helmey memberitahu, pengalaman kenderaannya tersadai di tepi lebuh raya dua tahun lalu menjadi pengajaran berharga kepada dirinya.
"Ketika itu saya dan keluarga dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Kuala Lumpur sebelum kompresor kenderaan tiba-tiba rosak.
"Akibatnya kenderaan terpaksa ditunda sehingga ke Tapah, Perak untuk dibaiki. Sememangnya malang tidak berbau, namun sekurang-kurangnya apabila melakukan pemeriksaan menyeluruh saya berpeluang mengesan sebarang kerosakan lebih awal," ujarnya.
Tambah Helmey, dia memilih menghantar kenderaannya ke bengkel itu kerana mengenali pemiliknya, Azaril Amri Thalip, 33, selain kedudukan bengkel yang tidak jauh dari rumahnya di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Mengakui dirinya agak cerewet berhubung penjagaan kenderaan, Helmey jarang bertukar-tukar mekanik.
"Lagi pun, saya percaya dengan kebolehan Azaril yang berpengalaman luas dalam bidang automotif. Saya berpuas hati dengan hasil kerja yang teliti dan kejujurannya," ujar Helmey.

AZARIL memeriksa tekanan gas pada sistem pendingin hawa kenderaan pelanggannya.


Memulakan operasi pada Mac 2008, AAN Auto Garage tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelbagai jenis kenderaan.
Lewat malam
Dari aspek penyelenggaraan, baik pulih, penalaan, pengubahsuaian enjin dan sebagainya, bengkel itu lengkap dengan pelbagai peralatan moden.
Menurut Azaril, jumlah pelanggan ke bengkelnya meningkat antara tiga hingga empat kali ganda setiap kali menjelang Syawal.
"Paling ketara kira-kira dua minggu terakhir Ramadan, kadang-kadang satu hari tidak kurang daripada 20 kenderaan yang perlu diperiksa dan diselenggara.
"Sepanjang tempoh itu kami terpaksa bekerja lebih masa sehingga lewat malam untuk menyiapkan semua kenderaan yang dihantar pelanggan," katanya yang berasal dari Bagan Datoh, Perak.
Ujarnya, dia lazim menutup operasi bengkelnya sehari sebelum Syawal, namun adakalanya tidak dapat menolak permintaan pelanggan yang datang pada saat-saat akhir.
Rawat enjin
"Tugas mekanik ini boleh ibarat seorang doktor, cuma bezanya kami merawat enjin bukan manusia. Apabila berlaku kecemasan, kami mesti memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

SISTEM brek dan tayar kenderaan perlu sentiasa berada dalam keadaan baik dan sempurna bagi mengelakkan kecelakaan di jalan raya.


"Pernah dua tahun lalu, ketika saya dan keluarga mahu pulang berhari raya pada hari raya pertama, seorang pelanggan muncul di bengkel kerana kenderaannya mengalami kerosakan. Hendak tak hendak terpaksalah buka semula bengkel dan menyelesaikannya sebelum pulang ke kampung,"ceritanya.
Berpengalaman hampir sedekad dalam bidang automotif, Azaril berkata, biarpun tidak segah pusat pemeriksaan kenderaan jenama-jenama terkemuka di negara ini, namun bengkelnya turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan 15 poin secara percuma kepada pelangan-pelanggan.
Ia merangkumi pemeriksaan beberapa perkara asas kenderaan seperti minyak pelincir, bateri, tekanan tayar, brek dan lampu brek.
"Keselamatan di jalan raya merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan, terutamanya pada musim perayaan.
"Pemanduan berhemah sahaja tidak memadai, kereta yang dikendalikan perlu berada dalam keadaan baik, sebab itu saya menawarkan perkhidmatan ini secara percuma atas dasar tanggungjawab kepada masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerjanya, Shahrul Fahmi Thalip, 22, berkata, dia sudah biasa bekerja lebih masa pada minggu-minggu terakhir Ramadan sejak bekerja di bengkel itu empat tahun lalu.
Jika orang lain sibuk membuat persiapan akhir hari raya, dia dan pekerja lain bergelumang dengan minyak pelincir sehingga lewat malam semata-mata mahu memastikan setiap kenderaan berjaya disiapkan mengikut tempohnya.
Khidmat terbaik
"Mental dan fizikal kena kuat terutama ketika berhadapan dengan karenah pelanggan," katanya.
Shahrul Fahmi sentiasa berpegang kepada prinsip kejujuran dalam perniagaan di samping memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seperti yang diterapkan majikannya.
"Persaingan banyak di luar sana, namun apa yang membezakan ialah perkhidmatan yang diberikan.
"Kami tidak hanya mementingkan keuntungan. Jika ada kerosakan melibatkan komponen kenderaan, kami akan sedaya upaya menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum mencadangkan penukaran alat ganti sebagai penyelesaian terakhir.
"Setakat ini, semua pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja kami," katanya yang mempunyai pelanggan dari Ampang, Bangi dan Klang.

Tuisyen online percuma

Posted: 04 Aug 2013 07:02 PM PDT



KAEDAH tuisyen online itu mudah kerana ia hanya perlu menghasilkan video tutorial dengan menggunakan komputer dan kemudian dimuat turun ke YouTube.


SUDAH menjadi lumrah dunia, ramai orang yang berminat untuk menggunakan pelbagai bentuk perkhidmatan di internet yang boleh membantu mereka melakukan urusan seharian.
Urusan seharian itu semakin mudah selepas internet dicipta yang menyebabkan semua maklumat dan perkhidmatan boleh diperoleh menerusi hujung jari anda.
Justeru, pusat tuisyen secara online yang mengenakan bayaran turut diperkenalkan menerusi internet.
Cuma ibu bapa perlu mempunyai wang yang mencukupi untuk menggunakan perkhidmatan itu.
Namun, bagi seorang lelaki, Edmond Yap yang berumur 33 tahun, dia telah memperkenalkan platform unik iaitu pusat tuisyen online secara percuma sejak pertengahan tahun 2012.
Menerusi laman web www.edunation.my, para pelajar sekolah menengah tingkatan dua hingga lima dapat mempelajari subjek Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Prinsip Akaun, Biologi dan Kimia secara tutorial di internet tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Laman web www.edunation.my mengandungi video untuk para pelajar dan diajar dalam bahasa Melayu.
Pertemuan dengan Edmond baru-baru ini di pejabatnya merungkaikan segala persoalan tentang perkhidmatan itu.
Suasana di E203A, Tingkat 2, Sayap Timur, Metropolitan Square, Damansara Perdana, Selangor tempat pejabat tuisyen online itu cukup sunyi.
YouTube
Hanya Edmond, isterinya, Tasha Ong dan Ketua Pendidikan Edunation, Sugain Maniam yang kelihatan.
"Guru-guru atau sukarelawan yang terdiri daripada pensyarah atau pelajar universiti hanya menghantar video kepada kami.
"Mereka tidak perlu datang ke sini, mudah bukan," jelas Edmond.
Menerusi kaedah itu, para sukarelawan akan menghasilkan tutorial dengan menggunakan komputer meja, komputer bimbit atau tablet yang menggunakan perisian Camstudio, Smooth Draw, Quick Time atau Cam Studio.
"Sejurus sahaja siap, mereka akan menghantar video tutorial itu menerusi e-mel kepada kami.
"Video itu akan dimuat turun ke laman perkongsian video YouTube untuk diakses oleh orang ramai terutamanya pelajar secara percuma," jelas Edmond.
Setakat ini terdapat lebih 30 orang sukarelawan separuh masa yang membantu menyiapkan video tutorial ini di samping lapan orang pekerja sepenuh masa.
Namun, bagaimana lelaki yang gemar tersenyum ini memperoleh idea untuk mewujudkan tuisyen online secara percuma ini?
Kata lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam, Universiti Adelaide, Australia ini, dia pernah bekerja sebagai seorang jurutera selain memiliki perniagaan sendiri dalam bidang konsultan.
Kekurangan
"Walaupun gaji dan wang yang diterima agak lumayan tetapi dalam hati saya seperti terdapat kekurangan yang tidak boleh saya jelaskan kepada orang lain.
"Saya bekerja dan mempunyai bisnes tetapi masih tidak mendapat kepuasan,' katanya.
Sejarahnya bermula sejak lelaki ini bersekolah menengah lagi.
Dia sering datang ke rumah kebajikan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Namun terdapat satu peristiwa yang melibatkan seorang remaja lembam bernama John yang memerlukan bantuan saya untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah pada tahun 2009.
"John memerlukan bantuan tetapi saya tidak cekal malah melarikan diri dan sehingga sekarang saya tidak pernah pergi ke mana-mana rumah kebajikan kerana rasa bersalah yang menghantui diri.
"Entahlah, apa nasib John sekarang," katanya dengan nada sedih.
Namun, selepas menonton laman ucapan inspirasi www.ted.com mengenai Akademi Khan membuatkan dia teruja.
"Video itu agak ringkas iaitu kurang 15 minit tetapi ia adalah mengenai akademi itu yang menyediakan tuisyen online secara percuma kepada para pelajar di seluruh dunia.
"Saya tergamam selama 10 minit sambil merenung kembali video itu selama beberapa kali," cerita Edmond.
Tidak lama selepas itu, dia menubuhkan tuisyen edunation secara percuma iaitu pada Mei 2012.
Bagaimanapun, bukannya mudah untuk memperoleh dana bagi menjayakan cita-citanya itu.
Kata Edmond, dia perlu menjual perniagaan untuk memperoleh modal permulaan.
"Malah, untuk menjimatkan perbelanjaan, saya dan isteri hanya makan makanan di gerai yang harganya murah selain kami amat mementingkan setiap barangan yang kami beli.
"Perbezaan harga beras sebanyak 50 sen pun diambil kira,' katanya.
Dia juga hanya mempunyai aset iaitu sebuah kereta Honda Accord tahun 1996.
Edmond turut menumpang kondominium ayahnya.
Lebih 30 buah syarikat yang dikunjungi lelaki ini untuk mendapatkan dana.
"Ada wakil syarikat yang menyatakan saya gila dan melakukan perkara yang sia-sia.
"Pada akhirnya, saya menemui pengasas Kolej Asia Brickfields iaitu Raja Singam.
"Saya hanya membentangkan kertas kerja selama 10 minit. Dia (Raja Singam) diam sejenak sebelum bersetuju untuk memberikan bantuan.
"Dia menghulurkan dana sebanyak ratusan ribu ringgit setahun untuk membantu saya," katanya.
"Selain itu, dia juga berusaha mendapat bantuan dana daripada beberapa buah syarikat korporat.
Justeru, tuisyen secara online itu kemudian masih kekal bertahan sehingga kini.
Menyentuh dengan lebih lanjut tentang tuisyen itu, Maniam berkata, pihaknya akan memperkenalkan beberapa subjek video tutorial untuk pelajar sekolah rendah pada hujung tahun ini.
"Selain itu, kami juga akan memaksimumkan penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter bagi membolehkan para pelajar bertanya mengenai mata pelajaran tertentu secara maya.
"Lebih mudah, lagipun laman sosial itu dapat digunakan untuk perkara yang berfaedah dan bukan sia-sia," katanya.

Tema fauna, flora Alfio Raldo

Posted: 04 Aug 2013 06:37 PM PDT

PENGURUS Pemasaran Ixora Corporations Sdn. Bhd., Leny Herlina Adam menunjukkan sebahagian koleksi Alfio Raldo 2013.


WANITA dan kecantikan tidak boleh dipisahkan. Malah, untuk tampil bergaya, golongan Hawa ini sanggup mengeluarkan belanja yang tinggi untuk mendapatkan koleksi beg tangan atau kasut berjenama di pasaran.
Mereka juga tidak kisah untuk mengikat perut asalkan barang yang diimpikan dapat dimiliki. Bagi anda yang masih mencari-cari koleksi pilihan sempena Syawal, himpunan tas tangan, sepatu dan aksesori Alfio Raldo menjanjikan yang terbaik buat si pemakainya.
Konsep terbaharu label fesyen terkenal ini dapat menterjemah gaya kontemporari dan moden dengan elemen sofistikated.
Koleksi tas tangan dan kasut ini dengan gaya metropolitan menjadi pilihan gaya hidup masa kini. Meskipun kelihatan ranggi dengan warna-warna berani, namun ianya mengekalkan ciri-ciri feminin.
PEMILIHAN beg tangan yang betul membantu menyerlahkan keanggunan wanita.


Nafas segar
Selain itu, Alfio Raldo menyuntik nafas segar pada koleksi kali ini dengan elemen alam bertemakan flora dan fauna. Corak burung merak serta bunga melatari tas tangan bimbit yang juga boleh digayakan dengan tali panjang.
Pengarah Urusan Ixora Coporation Sdn. Bhd., Jordan Ling berkata, bertepatan dengan Aidilfitri, Alfio Raldo mahu memeriahkan sambutan perayaan itu dengan rekaan terbaharu yang lebih berwarna-warni, selesa dipakai dan berpatutan harganya.
"Sesuai dengan tagline Alfio Raldo - The Italian Elegance, kami terpanggil untuk menjadikan wanita di Malaysia tampil bergaya dan anggun. Malah, mereka juga tidak perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan jenama mewah di pasaran kerana koleksi kami memenuhi cita rasa fesyen terkini," ujar beliau.
Tambah Jordan, penampilan seseorang wanita itu tidak sempurna tanpa tas tangan yang elegan kerana ia saling melengkapi antara satu sama lain.
"Koleksi Alfio Raldo terbukti mempunyai rekaan terbaik. Menggunakan material yang berkualiti tinggi dan terkini, jenama kami mampu mengungkap peribadi si pemakai dengan tema warna yang dikeluarkan.

PELANCARAN koleksi terbaharu Alfio Raldo 2013 memberi peluang untuk golongan wanita bergaya pada musim perayaan ini.


"Kombinasi warna-warna ceria dan terang seperti merah, kuning, hijau, jingga dan biru menjadikan koleksi beg tangan serta kasut idaman ramai wanita. Padanan warna kontra bukan lagi sesuatu yang janggal, sebaliknya menjadi trend semasa," ujarnya lebih lanjut.
Apa yang pasti, koleksi terbaru daripada Katalog 2013: Volume II ini boleh disuai padan dengan aktiviti harian. Ia boleh digayakan dalam pelbagai acara sama ada formal mahu pun santai pada malam hari.
Koleksi ini boleh didapati di butik Alfio Raldo di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.alfioraldo.com.my atau laman sosial facebook.com/AlfioRaldo-TheItalian Elegance.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines