Jumaat, 23 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Uqasha perlu masa kenali Pekin

Posted: 22 Aug 2013 12:57 AM PDT




BUKAN gimik untuk melariskan jualan filem atau promosi murahan Paku Pontianak, tapi hakikatnya seperti diakui sendiri oleh kedua-dua pelakon utama filem itu, Uqasha Senrose dan Pekin Ibrahim, dari set penggambaran itu cinta mereka mula berputik.
Penggambaran filem arahan Ismail Bob Hashim yang dijalankan sekitar bulan Februari lalu singkap Uqasha, membuatkan hatinya terbuka untuk menerima Pekin sebagai lelaki paling rapat dalam ruang peribadinya.
Jelas Uqasha lagi, bukan niat mahu menabur promosi percuma lantaran kisah sensasinya bersama Pekin namun hubungan yang terjalin dibiarkan berlangsung secara semula jadi.
"Mula-mula kenal kami tidak bercakap sangat, tambahan watak saya dalam filem Paku Pontianak banyak menuntut saya bermain emosi berbanding dialog.
"Namun, watak saya sebagai Melati merupakan isteri kepada pelakon utamanya iaitu Adam yang dilakonkan oleh Pekin. Secara tidak langsung kami perlu 'bercinta' dalam filem ini.
"Jujur saya akui pertama kali dijodohkan dalam filem ini kami masih malu-malu tapi lama-kelamaan kami semakin serasi dan banyak berbincang untuk menjayakan watak masing-masing. Sejak itu kami selesa bersama dan hubungan kami mesra seperti mana sekarang," ulas Uqasha bersimpul malu.
Pekin dalam hati
Uqasha, 21, yang ditemui pada majlis pelancaran filem Paku Pontianak di Sunway Pyramid, Selangor malam kelmarin mengakui dia agak terkejut apabila kisahnya bercinta dengan Pekin menjadi perhatian umum sejak akhir-akhir ini.
Bagaimanapun, ujar pelakon kelahiran Kelantan itu dia masih belum terbuka untuk membicarakan kisah cinta dengan lebih mendalam termasuk berkongsi perancangannya bersama Pekin pada masa akan datang.
"Saya berikan tempoh setahun untuk perhubungan kami dan syukur alhamdulillah majlis merisik pada bulan Julai lalu berjalan lancar walaupun majlis itu umpama satu kejutan besar buat saya.
"Masing-masing sibuk bekerja dan saya enggan memberikan tekanan terhadap hubungan kami," tambah kakak kepada pelakon manis Nelydia Senrose itu.

UQASHA enggan memberikan tekanan terhadap hubungannya yang kini terjalin dengan Pekin.


Uqasha menyifatkan Pekin, 32, seorang lelaki yang serius dan tegas dalam membuat keputusan namun masih punyai kelembutan dalam hati. Malah kata Uqasha, Pekin juga sebenarnya seorang peramah dan pandai menghormati orang yang lebih tua.
Kualiti itu yang mengikat kesetiaan Uqasha terhadap Pekin dan turut mengakui kini sudah semakin rapat dengan keluarga pelakon lelaki itu.
Menjawab soal kahwin atau perancangannya bersama Pekin, Uqasha memberikan kesimpulan ringkas. Katanya: "Senang untuk berkahwin tapi saya tidak tahu lagi komitmen dia (terhadap hubungan), saya memerlukan masa untuk lebih mengenali Pekin."
Status Instagram
Kosmo! turut mendapatkan penjelasan Uqasha mengenai sekeping gambar berisi sepotong puisi di laman Instagram miliknya yang dimuat naik sebelum majlis merisik beberapa bulan lalu yang berbunyi seakan-akan kecewa dengan hubungan cintanya.
"Saya ketika itu sedang sibuk dengan penggambaran dan sedikit tertekan jadi status itu bukan ditujukan kepada sesiapa sebaliknya berkongsi masalah peribadi.
"Tidak dinafikan setiap hubungan cinta pasti akan berdepan dengan konflik tapi status itu bukan kerana masalah cinta," tegasnya.
Dalam pada itu, ditanya akan keterbukaan Uqasha berkongsi kisah cinta dan foto-foto bersama Pekin di laman-laman sosial antaranya Instagram dan Twitter, jelas pelakon itu lagi tidak salah untuk dia berkongsi perkara positif.
"Perkara-perkara baik tidak salah untuk dikongsikan dan perkara negatif atau boleh mengundang fitnah rasanya tidak perlu. Masyarakat kita suka mendengar tapi tidak suka menolong," katanya.

BARISAN pelakon filem Paku Pontianak bersama penerbit, David Teo.


Diraba pengkid
Sementara itu, Uqasha turut menjawab kontroversi dia diraba oleh pembantu peribadinya yang merupakan seorang pengkid ketika menjalani penggambaran sebuah drama baru-baru ini.
Susulan kejadian memalukan itu, pembantu peribadi yang baru hari pertama memulakan tugas bersama Uqasha dipecat serta-merta bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
"Ketika kejadian saya tertidur dalam kereta sewaktu perjalanan ke lokasi penggambaran, apabila tersedar saya dapati dia (pembantu peribadi) sedang meraba tubuh saya.
"Saya mengenali dia menerusi beberapa orang teman artis yang pernah bekerja bersama dia sebelum ini dan sama sekali tidak menyangka perkara ini terjadi kepada saya.
"Enggan memperbesar-besarkan isu ini, saya terpaksa pecat dia dengan amaran agar tidak melakukan perkara yang sama lagi selepas ini," jelas Uqasha.

Almy Nadia Mahu Cuba Nasib Jadi Pelawak

Posted: 22 Aug 2013 12:56 AM PDT

Almy Nadia
PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia mengakui tidak menjadi masalah kepadanya untuk dikenali sebagai pelawak wanita berikutan penyertaannya dalam rancangan Super Spontan terbitan Astro.
Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, dia kini banyak menerima tawaran watak komedi dan program berbentuk sitkom.
"Saya tidak kisah kalau selepas ini orang mula gelar saya sebagai pelawak kerana di Malaysia ini kita kurang pelawak perempuan. Yang ada sekarang kita boleh kira dengan jari sahaja.
"Jika rezeki sudah ke arah itu saya terima sahaja, lagi pula sekarang sudah terlalu ramai pelakon-pelakon baru yang keluar," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, Almy berkata, dia tidak pernah menganggap dirinya benar-benar mampu menghiburkan penonton dengan aksi komedi.
"Saya sendiri tidak tahu yang saya ini kelakar ataupun tidak kerana saya rasa sifat saya hanyalah biasa sahaja. Tapi selepas program, Edisi Khas banyak maklum balas yang positif saya terima.
"Apa yang peting saya hanya jadi diri sendiri dan mencuba nasib. Kalau kita beraksi berlebih-lebihan pula, ia akan nampak menjengkelkan," katanya.
Dalam pada itu, Almy berkata, ibunya, Roshida Hashim, 45, banyak memberi sokongan dan menjadi pengkritik terhadap lakonannya selama ini.
"Ibu adalah pengkritik utama saya. Biasanya selepas penonton rancangan komedi saya, dia akan telefon dan beri pandangan.
"Sebab itu bila penggambaran saya asik teringat pesanan dia. Dia juga selalu minta saya baca buku dan belajar tentang bahan-bahan jenaka daripada buku dan Internet," katanya.
Sementara itu, Almy yang turut menyertai program musim kedua Super Spontan mengakui agak gentar untuk berhadapan dengan pelawak-pelawak terkenal tanah air.
"Saya fikir banyak kali untuk sertai program ini. Kalau rancangan sitkom saya tidak kisah tetapi dalam rancangan ini saya perlu beraksi spontan.
"Berhadapan pula dengan semua pelawak yang handal dan terkenal, tapi saya sudah nekad untuk redah sahaja," ujarnya.
Antara selebriti lain yang akan menyertai ialah Norkhiriah, Along (Raja Lawak), Johan (Raja Lawak), Yus (Jambu), Nabil Ahmad, Munir, Jep (Sepah), Shuib (Sepah), Tauke (Jambu), Rahim dan Suhaimi.
Program Super Spontan musim kedua akan bersiaran bermula 30 Ogos ini, pukul 10 malam di saluran 132, Astro Warna.

Siti Nurhaliza, Faizal Tahir & Melly Goeslaw Suntik Kelainan Dalam AF 2013

Posted: 22 Aug 2013 12:56 AM PDT

Barisan peneraju AF 2013. Dari kiri; Melly Goeslaw, Faizal Tahir dan Siti Nurhaliza.
KUALA LUMPUR: Tiga nama besar dal;am industri hiburan iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Melly Goeslaw dan Faizal Tahir bakal menerajui Akademi Fantasia 2013 sebagai tenaga pengajar musim ini.
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata pemilihan ketiga-tiga selebriti ini berdasarkan kredibiliti masing-masing selain menggantikan peranan pengetua seperti musim-musim terdahulu.
"Kali ini AF 2013 tiada pengetua sebaliknya tiga selebriti iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Melly Goeslow dan Faizal Tahir dipilih bagi memberi inspirasi dan secara tidak langsung menggantikan fungsi pengetua.
"Kita mahukan perubahan pada AF kali ini supaya menjadi lebih segar dan relevan. Malah kita juga yakin ketiga-tiga selebriti ini mampu memberi sesuatu yang berbeza," katanya pada sidang media memperkenalkan tenaga pengajar Akademi Fantasia 2013, di sini, Rabu.
Khairul berkata, ketiga-tiga pengajar utama ini akan memberi bimbingan dan berkongsi pengalaman serta mencurahkan inspirasi kepada pelajar.
Sementara itu, Khairul turut tidak menolak pemilihan selebriti terkenal ini adalah sebagai strategi dalam mengembalikan semula keyakinan dan minat penonton kepada program yang pernah menjadi fenomena itu.
Khairul Anuar Salleh (lima dari kiri) bersama individu yang akan terlibat dalam AF 2013.
"Kita tidak menolak salah satu sebab adalah untuk menaikkan rating rancangan ini, namun lebih penting ketiga-tiga selebriti ini adalah yang terbaik," katanya.
Sementara itu, selain ketiga-tiga selebriti itu, tenaga pengajar lain yang akan terlibat ialah Fizz Fairuz, Alam Wakaka, Shafizawati Sharif dan Suhaili.
Dalam pada itu bintang dari Indonesia iaitu Melly Goeslow berkata, program ini memberi peluang kepadanya untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalaman kepada pelajar-pelajar pada AF 2013.
"Apa yang penting adalah melahirkan seseorang yang mempunyai kredibiliti sebagai seorang penyanyi dan tidak meniru mana-mana artis yang sudah ada," katanya.
Program AF 2013 akan bermula dengan Galaxy AF pada 2 hingga 5 September depan, diikuti dengan tayangan Prelude Top 24 pada 6 September 2013.
Manakala konsert pertama akan bersiaran secara langsung setiap Sabtu, pukul 9 malam bermula 14 September depan di Astro Ria.

Jamal Abdillah Bersedia Jika Ditimpa Musibah

Posted: 22 Aug 2013 12:54 AM PDT

Jamal Abdillah
KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah sudah lama membuat persediaan jika masa depannya gelap sekiranya jatuh sakit atau berlaku apa-apa musibah lain sehingga tidak membolehkan dia menyanyi lagi.
Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 54, berkata, sejak lapan tahun lalu dia telah memulakan pelbagai perniagaan seperti menjual produk kesihatan, kosmetik serta menyertai beberapa pelaburan lain demi kestabilan hidup.
"Dalam kerjaya saya, suara merupakan 'produk' utama yang harus dijaga.
"Saya juga tahu satu hari nanti saya mungkin tidak dapat menggunakan bakat yang diberikan Allah ini. Dan sejak lapan tahun dulu saya sudah mula mendalami bidang perniagaan.
"Alhamdulillah, bukan mahu menunjuk-nunjuk tetapi setakat ini saya memiliki beberapa buah perniagaan termasuklah melabur di bursa saham. Saya jadikan ia sebagai sumber pendapatan selain untuk simpanan masa depan saya," katanya.
Jamal ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang diadakan di Dewan Merdeka di sini pada Rabu.
Jamal Abdillah membuat persembahan pada majlis Rumah Terbuka PWTC pada Rabu.
Tambah Jamal, dia juga baharu saja menceburkan diri dalam pelaburan hartanah dan mencadangkan kepada orang ramai agar mengikut jejaknya jika ingin melaburkan wang mereka.
Dalam pada itu Jamal turut bersyukur kerana sehingga kini dikurniakan Allah kesihatan yang baik tanpa sebarang penyakit serius.
"Syukur Alhamdulillah kerana saya tidak mempunyai penyakit serius seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung walaupun ada keturunan saya mudah mendapat penyakit tersebut.
"Sebab itulah saya amat berjaga-jaga dan tidak mahu terlalu berlebih-lebihan jika menikmati makanan. Kerana makanan biasanya menjadi punya segala penyakit," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Jamal bakal mengadakan persembahan konsert di Hotel Permai Kuala Terengganu pada 4 Oktober depan.
Sementara itu, mengenai majlis rumah terbuka PWTC, penyanyi Ramli Sarip turut hadir membuat persembahan menghiburkan kira-kira 2000 tetamu yang hadir.
Majlis bertemakan santai itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah Jaafar.

Deejay Nasa Terselamat Kemalangan, Lembu Mati Dilanggar

Posted: 22 Aug 2013 12:53 AM PDT

Nasa
PETALING JAYA: Deejay radio Astro, Nasa mengalami kemalangan jalan raya apabila kereta pacuan empat roda Mitsubishi Triton di pandunya terlanggar seekor lembu di Desa Coalfield, Sungai Buloh, dekat sini kira-kira pukul 5 pagi Khamis.
Nasa atau nama sebenarnya Nasaruddin Abdul Karim, 48, berkata, pada waktu kejadian, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Puncak Alam, Shah Alam, untuk menghantar tiga anaknya yang bersekolah di Kampung Baru, dekat sini.
Katanya, ketika kejadian keadaan jalan agak gelap sehingga dia tidak nampak seekor lembu yang muncul secara tiba-tiba sebelum terlanggar haiwan berkenaan sehingga mati.
"Ketika itu saya dari Puncak Alam, ingin menuju ke Kampung Baru untuk menghantar tiga anak saya yang bersekolah di sana.
"Memandangkan jalan gelap, tanpa disedari datang pula seekor lembu yang entah dari mana dan saya terlanggar haiwan itu sehingga ia tercampak ke tepi," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Beginilah keadaan kereta pacuan empat roda dipandu Nasa yang remuk akibat terlanggar lembu.
Tambah Nasa, dia bersyukur apabila dia bersama tiga anaknya iaitu Muhammad Nor Syazwan, 17, Nurul Syafiqah, 15, dan Nurul Syazurina, 10, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, Nasa turut berkongsi perasaan lucu dan pelik kerana semasa kejadian penduduk berdekatan tidak mempedulikannya tetapi kebanyakan mereka berkerumun melihat lembu berkenaan yang mati.
"Saya hairan, selepas kemalangan, saya lihat ramai orang yang keluar dengan lampu suluh untuk melihat apa yang berlaku. Ingatkan mereka nak datang kepada saya, tetapi mereka pergi lihat lembu tersebut.
"Mungkin salah seorang daripada mereka adalah pemilik lembu berkenaan," ujarnya.
Sementara itu, Nasa menasihati semua penggembala lembu agar tidak membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran di jalan raya kerana ia boleh mengancam nyawa orang ramai.

Tiga bintang cetus revolusi baru AF 2013

Posted: 22 Aug 2013 12:52 AM PDT


  • Tiga bintang cetus revolusi baru AF 2013 Khairul Anwar (dua, kiri) bersama barisan tenaga pengajar AF 2013 (dari kanan) Faizal, Melly dan Siti Nurhaliza.
BUAT pertama kali dalam sejarah penerbitan program Akademi Fantasia 2013, bakal menampilkan tiga penyanyi hebat iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Melly Goeslow sebagai barisan tenaga pengajar atau dikenali sebagai 'inspirer'.

Selain itu, AF 2013 kali ini juga bakal menyaksikan seorang bekas pengajar, Shafizawati Sharif atau Cikgu Shafi sebagai guru vokal, dan tiga pengajar baru iai

Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, ketiga-tiga ikon ini bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk memberi bimbingan dan berkongsi pengalaman malah turut memberi inspirasi kepada pelajar yang menyertai program ini.

"Soal pemilihan barisan tenaga pengajar adalah satu proses penting yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia bakal memberi impak yang mendalam.

"Pada musim ini kami berbesar hati mengumpulkan barisan pengajar yang berpengalaman buat pelajar musim ini," katanya.

Elly Mazlein utamakan senaman

Posted: 22 Aug 2013 12:50 AM PDT


  • Elly Mazlein Elly Mazlein
NAMA Elly Mazlein sememangnya tidak asing lagi dalam industri seni negara. Biarpun ada ketikanya namanya tenggelam timbul dengan lambakan bakat baru, namun Elly membuktikan tapaknya dalam industri masih kukuh sama seperti 16 tahun lalu.

Tidak hanya berbakat dalam arena seni suara, Elly juga sudah membuktikan bakatnya dalam bidang lakonan. Malah biarpun sibuk dengan kerjaya seni, wanita berusia 31 tahun ini tidak pernah mengabaikan kecantikan dan kesihatan diri. Jom kita lihat bagaimana Elly menjaga tubuh dan kulit agar sentiasa cantik dan sihat.


Apakah definisi kecantikan buat Elly?

ELLY: Pada Elly, kecantikan itu adalah sesuatu yang penting untuk semua wanita, apatah lagi golongan Hawa sangat suka kelihatan cantik dan kemas sentiasa. Malah Elly sendiri akan pastikan ke spa untuk memanjakan diri setelah penat bekerja dan paling tidak pun sebulan sekali.


Adakah Elly amat menitikberatkan kesihatan?

ELLY:
Ya! Elly sangat menitikberatkan kesihatan kerana bagi Elly, gaya hidup yang sihat sangat penting. Barulah hidup kita lebih berkualiti. Tidak susah sebenarnya untuk menjaga kesihatan kerana apa yang penting adalah disiplin yang tinggi.


Elly berdiet?

ELLY:
Ya tetapi tidaklah secara berlebihan. Elly cuma menjaga pemakanan supaya badan tidak letih. Setiap pagi Elly akan minum coklat panas untuk tenaga. Elly juga banyak amalkan daging putih dan sayur-sayuran, selain itu Elly tidak ambil minuman bergas kerana kandungan gula yang tinggi.

Elly tidak makan malam, biasanya Elly hanya makan buah epal sahaja.


Bagaimana Elly menjaga tubuh agar sentiasa cergas?
ELLY:
Elly sangat suka berjoging dan itu adalah aktiviti wajib Elly dalam menjaga kecergasan badan. Selain berjoging, Elly akan cari masa untuk pergi berenang. Jika hari hujan pula, Elly akan naik turun tangga rumah.
Bagi Elly aktiviti seperti inilah yang membuatkan badan kita sentiasa cergas untuk bekerja. Kadangkala bila jarang bersenam, memang terasa malas dan berat untuk bersenam. Tetapi selepas 15 minit bersenam, kita akan mula rasa puas, apatah lagi peluh mula keluar.


Bagaimana pula Elly berdepan dengan tekanan?

ELLY:
Elly tidak akan bekerja jika berada dalam keadaan tertekan. Mula-mula sekali Elly akan kumpul tenaga atau 'recharge' dengan tidur terlebih dahulu. Biasanya Elly akan ambil cuti, paling lama pun seminggu untuk berehat sepuas-puasnya, atau pun meluangkan masa bersama keluarga.



PROFIL

NAMA: Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi
PANGGILAN KOMERSIAL: Elly Mazlein
USIA: 31 tahun
TEMPAT LAHIR: Slim River, Perak
KELUARGA: Anak bongsu dari tiga beradik
STATUS: Bujang
FILEM: Janji Diana, Tangkai Jering, Gerak Khas 3 The Movie dan Awan Dania The Movie
DRAMA: Lebih puluhan drama, antaranya Bulan Yang Pertama, Gerak Khas, Sembilu Kasih, Spa Q, Bella, Amanah Karmila, Cinta Batu Belah, Cinta Seorang Penoreh Getah, Kasih Berbunga Lalang, Keliwon, Semanis Janji, Ulek Mayang.
TEATER: Teater Muzikal Sri Mersing, Tun Dr Mahathir 2.
ALBUM: Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), MTV Karaoke Elly Mazlein (2001), Best Of Elly Mazlein (2002) dan Atas Nama Cinta (2005)

Duit rasuah beli kereta

Posted: 22 Aug 2013 12:47 AM PDT


  • Duit rasuah beli kereta Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah.
JOHOR BAHRU - Seorang ketua jabatan institusi perguruan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah sesyen di sini, selepas didapati bersalah menerima suapan RM37,069.40, empat tahun lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz, menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah kes ke atas Azmi Hassan, 50, yang berkhidmat selaku Ketua Jabatan Sains Institusi Pendidikan Guru Malaysia Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI), di sini.

Mohamad Haldar membenarkan penggantungan perlaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan selesai dengan menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut kertas pertuduhan, Azmi didakwa menerima sekeping cek bernombor 025330 bernilai RM37,069.40 daripada seorang kontraktor yang terlibat dalam projek naik taraf sistem kumbahan bernilai RM198,927 dan naik taraf flat pekerja bernilai RM198,999 di institusi tempat tertuduh berkhidmat.

Setelah cek tersebut ditunaikan, Azmi telah menggunakan wang itu untuk bayaran deposit pembelian kereta jenis Toyota Mark X.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di No 02-04, Larkin Indah, di sini, pada jam 11 pagi, 24 Ogos 2009, yang mula ditangkap 7 Ogos tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd Malik, manakala tertuduh diwakili peguambela, S Vijaya.
Terdahulu, dalam rayuan Vijaya memohon hukuman diringankan kerana ia merupakan kesalahan pertama tertuduh dan menanggung enam orang anak termasuk dua anak tiri serta telah berkhidmat selaku penjawat awam selama 26 tahun.

Vijaya menegaskan sepanjang kes berlangsung, Azmi dan isterinya berniaga pakaian di pasar malam sehingga memaksa isterinya yang berkhidmat selaku pembantu pejabat di sekolah meletakkan jawatan akibat tekanan.

Namun begitu, Ridzuan menegaskan hukuman yang berat perlu dikenakan kerana kesalahan yang dilakukan Azmi serius dan membabitkan nilai suapan yang besar.

"Kesalahan tertuduh serius melibatkan jumlah besar RM37,069.40 di mana dalam kes ini Azmi telah menerima manfaat faedah dari hasil jenayah yang dilakukan.

"Tindakan tertuduh telah mencemar profesion perguruan dan perkhidmatan awam yang harus dikenakan hukuman yang berat bagi memberi pengajaran yang jelas pada masyarakat," katanya.

Rogol kekasih bawah umur

Posted: 22 Aug 2013 12:44 AM PDT


  • Rogol kekasih bawah umur Tertuduh dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.
KOTA BHARU - Padah rogol kekasih bawah umur, seorang buruh dihukum penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusuff Yunus selepas, Mohamad Abdul Latif Mamat, 21, mengaku salah atas tuduhan itu.

Dia didakwa merogol remaja yang berusia 15 tahun enam bulan itu di sebuah rumah di Kampung Raja PCB di sini, 14 April lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi itu, mangsa didatangi bekas teman lelakinya itu dengan mengetuk tingkap rumah.

Apabila dibuka, tertuduh terus masuk ke ruang tamu dan memeluk remaja itu. Selepas itu, dia serta-merta menutup mulut, menolak dan membaringkan mangsa di atas lantai.

Mangsa cuba melawan, bagaimanapun, diugut akan menghebohkan perkara itu kepada semua orang. Sambil memeluk mangsa, tertuduh meraba dan merogolnya.

Mereka kemudian tertidur sehingga disedari ibu bapa mangsa yang mahu mengejutkannya untuk ke sekolah pada jam 6.30 pagi.

Selepas diceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya, mangsa kemudian membuat laporan di balai polis Kota Bharu.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh mengambil kira jenayah serius yang dilakukan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu hanya tertunduk ketika hukuman diputuskan.

Khurafat kembali di Pulau Besar

Posted: 22 Aug 2013 12:42 AM PDT


  • Khurafat kembali di Pulau Besar Kubur panjang yang mempunyai dua nisan lama tertera Allahyarham Datuk Haji Noh yang diikat dengan kain kuning dipercayai turut menjadi lokasi pemujaan.
MELAKA - Biarpun sudah dibersihkan, namun pembinaan kubur baru untuk melakukan upacara pemujaan masih aktif di Pulau Besar oleh mereka yang  mempercayai amalan khurafat berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani berkata, ia berikutan penemuan sembilan kubur palsu di kawasan tapak perkemahan di pulau berkenaan.

"Kubur baru di atas tapak bekas Kubur Tujuh Beradik yang dibina semula dengan struktur simen dan tanah dipercayai dikunjungi individu Muslim dan bukan Muslim pada waktu malam hingga awal pagi.

"Kebiasaannya mereka melakukan upacara pemujaan menggunakan colok, lilin, limau, air mawar dan setanggi selain turut meletakkan bunga di atas kubur-kubur tersebut," katanya.

Rahimin berkata, kesemua kubur itu kemudian diratakan semula bagi mengelakkan ia dijadikan lokasi individu yang berhajat mencari jodoh, memperoleh tuah, membuang sial dan mendapatkan nombor ekor.

"Hasil maklumat dan aduan orang awam,  sembilan kubur itu dibersihkan sepasukan 30 pegawai dan anggota penguatkuasa Jaim dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan polis, kira-kira 9 pagi semalam (kelmarin).

"Hasil pemeriksaan pihak di kawasan itu mendapati satu daripada kubur itu bukan saja bersaiz panjang namun turut diletakkan dengan batu nisan lama tanpa lama selain berbau setanggi," katanya di sini, semalam.

Rahimin tidak menolak kemungkinan amalan khurafat dan menjurus kepada syirik itu sudah dilakukan individu tertentu di kubur terbabit sejak awal Aidilfitri lalu.

"Semua kubur itu dipercayai dibina beberapa individu sejak Aidilfitri lalu dan upacara pemujaan dilakukan pada waktu malam.

"Operasi yang berakhir jam 1 petang itu turut membawa kepada penemuan satu kubur panjang yang mempunyai dua nisan lama tertera Allahyarham Datuk Haji Noh yang diikat dengan kain kuning," katanya.

Beliau berkata, selain batu nisan itu, sebuah tabung khas yang ditemui kira-kira 300 meter daripada lokasi tersebut turut disita untuk siasatan lanjut.

Afiq tak jejaskan produksi Zaiton

Posted: 22 Aug 2013 12:35 AM PDT

DI SEBALIK kontroversi perselisihan faham Afiq dengan ibunya, dia kekal menjadi artis residen syarikat produksi milik Zaiton, Global Station.


SELEPAS berjaya dengan drama bersiri Adam & Hawa, penerbit drama Datin Zaiton Mohd. Jiwa menerusi syarikat produksinya, Global Station bakal menerbitkan sekuel Adam & Hawa versi filem.
Menurutnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitrinya baru-baru ini, sekuel tersebut dibikin daripada novel terbaharu Adam & Hawa dan bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.
"Ingin saya tekankan Adam & Hawa versi filem merupakan sambungan daripada drama bersiri Adam & Hawa kerana pihak produksi mengambil jalan cerita daripada novel terbaharu Adam & Hawa.
"Pelakon utamanya masih dikekalkan orang yang sama, cuma saya masih mencari pelakon pembantu yang sesuai," tuturnya.
Ujarnya, selain filem Adam & Hawa, Global Station juga sibuk dengan proses terakhir filem Manisnya Cinta yang juga diadaptasi daripada novel popular.
Filem arahan Bernard Chauly itu menelan belanja sebanyak RM1.5 juta dan menjalani penggambaran di Turki meskipun latar dalam novel itu adalah Mesir.
"Kalau ikutkan dalam novel itu, latarnya adalah bumi Mesir tetapi waktu itu Mesir sedang bergolak, jadi kami dinasihatkan oleh pihak kedutaan supaya mencari lokasi lain yang lebih selamat.
"Selepas berfikir, kami memilih Turki kerana banyak tempat menarik di sana selain proses penggambaran berjalan lebih mudah," kata Zaiton tentang filem lakonan Fazura dan Shaheizy Sam itu.
Tidak hanya filem, Global Station juga bakal memulakan penggambaran drama 13 episod yang berjudul Projek Memikat Suami.
Jelas Zaiton, pihaknya bukan tidak mempunyai idea baharu dan mengambil jalan pintas dengan mengadaptasi naskhah daripada novel popular, namun sebagai penerbit, dia melihat perkara itu merupakan trend yang diminati penonton.
"Sebagai penerbit saya juga tidak mahu rugi, tambahan pula naskhah yang diangkat daripada novel mempunyai pengikut yang ramai.
BAKAL dapat menantu. Zaiton di samping anaknya, Zetty Adila.


"Tugas saya sebagai penerbit ialah memilih naskhah yang benar-benar sesuai untuk diadaptasi ke drama mahupun filem.
"Bukan semua novel sesuai kerana durasi drama dan filem lebih singkat daripada membaca sebuah novel," tegasnya.
Dalam pada itu, Zaiton turut ditebak tentang kedudukan artis residen Global Station, Afiq Muiz yang mencetuskan kontroversi apabila berselisih faham dengan ibunya sendiri.
Ulas Zaiton, meskipun Afiq terlibat dengan kontroversi tersebut tetapi sehingga bulan Februari tahun hadapan, pelakon muda itu masih kekal menjadi artis residen Global Station mengikut kontrak yang telah ditandatangani.
"Mengikut kontrak, Afiq masih sah sebagai artis residen. Sejak kontroversi tersebut, memang kerjaya Afiq agak perlahan tetapi kami tidak ada sebarang masalah dengannya.
"Jika pihak stesen televisyen membenarkan Afiq muncul di layar kaca, dia akan terlibat dengan drama-drama seperti biasa," tuturnya.
Meskipun begitu, Zaiton menjelaskan produksinya langsung tidak terjejas dengan kontroversi yang melanda Afiq.
"Saya memilih Afiq untuk menjadi artis residen syarikat kerana merasakan dia mempunyai potensi yang besar.
"Lagipun dia sudah terlibat dengan beberapa buah drama terbitan Global Station. Disiplinnya juga bagus.
"Kontrak ditandatangani sebelum kontroversi tercetus, saya sendiri tidak menjangkakan perkara sedemikian akan berlaku.
"Apa yang saya harapkan dia dapat selesaikan masalahnya secepat mungkin," katanya.
Selain rumah terbuka, pada hari yang sama, Zaiton yang juga kakak ipar kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza itu turut mengadakan majlis pertunangan anak perempuannya Zetty Adila, 27, dengan pasangannya Dziya Syazwan, 28, yang diadakan di kediamannya di Ampang, Selangor.

Jangan pertikai imej saya - Nazim Othman

Posted: 22 Aug 2013 12:34 AM PDT


NAZIM sering menjadi pilihan Erma Fatima untuk membintangi drama-drama arahannya.


OBSESI sebilangan artis terhadap dunia fesyen bukan satu kesalahan. Namun, adakalanya kecenderungan itu mengundang reaksi kurang senang daripada peminat.
Ada yang mengandaikan kecenderungan berfesyen, contohnya mengikut aliran fesyen jalanan Korea, menampakkan seseorang artis itu kurang jati diri dan pelbagai tafsiran negatif lain.
Terbaharu, tempias itu dirasakan oleh pelakon muda Nazim Othman yang sering memuat naik foto-fotonya mengenakan fesyen ala Korea di laman Instagramnya.
Tidak dinafikan, fenomena Korean Pop atau K-Pop kini sedang hebat melanda dunia tetapi ada yang kurang senang apabila artis kesayangan mereka mengikut budaya berfesyen dari negara tersebut.
Kosmo! mendapatkan reaksi daripada bintang utama drama Sangkar itu yang bakal bersiaran di TV9 tidak lama lagi ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Syawal 5 Malam 4 Hari TV9 di Kelab Golf Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ikuti temu bual tersebut.
Kosmo!: Fesyen itu universal tetapi apabila seseorang figura yang dilihat terlalu obses dengan imej tertentu, ada peminat yang melihat fenomena itu dari sudut negatif. Komen anda?
Nazim Othman: Itu cara saya dan saya mempunyai stail saya sendiri. Saya tak mahu layan kalau ada sesiapa yang persoalkan apa yang saya pakai kerana tiada isu atau perkara negatif pun. Saya memakai mengikut kesesuaian diri saya, fesyen saya selesa dan yakin untuk menggayakan pakaian tersebut. Jadi, apa masalahnya?
Adakah anda seorang pelakon yang obses apabila berfesyen dan cenderung untuk mengikut trend semasa?
Saya tidak memilih pakaian yang menjolok mata, jadi tidak ada sebarang masalah untuk berfesyen bagi saya. Obses atau tidak itu bukan isu utama kerana itu gaya saya.
FIGURA kacak ini selesa dengan gaya pemakaiannya.


Beralih pada rutin sepanjang bulan Ramadan tahun ini, adakah wujud perbezaan?
Biasalah hidup bujang, tiada apa yang istimewa pun. Saya bukan seorang yang suka memasak dan selalu juga terlepas bersahur. Apabila berbuka pula, saya gemar membeli makanan untuk dimakan di rumah.
Juadah berbuka puasa kegemaran saya antaranya laksa Johor dan beriani Johor, pendek kata apa jua hidangan dari negeri kelahiran saya, Johor, menjadi pilihan saya.
Adakah anda bekerja pada bulan Ramadan lalu?
Perancangan awal ialah untuk berehat seketika tapi syukur ada juga rezeki yang datang. Jadi, saya fikir tidak salah untuk saya menerima tawaran terbabit. Selesai penggambaran drama bersiri Sangkar, saya kemudian terbabit dengan telefilem Bisikan Azazil dan Fenomena Cinta sebelum berangkat ke Milan, Itali pada hari raya kelima untuk penggambaran drama Kalimah Jiwa arahan Erma Fatima.
Anda sering menjadi pilihan pengarah Erma Fatima untuk membintangi naskhah arahannya, adakah anda anak emas Erma?
Saya selesa bekerja dengan produksi Erma Fatima dan dia pula bukan calang-calang orang. Saya tidak tahu sama ada saya kesayangan dia tapi saya terima tawaran-tawaran tersebut secara positif.
Bagaimanakah Aidilfitri tahun ini?
Saya beraya di kedua-dua buah kampung ibu dan ayah saya di Johor dan Perlis.
Hari raya kelima tahun ini anda bakal beraya di Itali, mungkin anda sudi kongsikan pengalaman beraya di luar negara suatu ketika dulu?
Tahun 2006 ketika bertugas sebagai pramugara saya pernah menyambut raya di Frankfurt, Jerman dengan kawan baik saya. Hanya kami berdua orang Melayu yang beraya di sana ketika itu, pagi-pagi raya kami makan rendang masak siap dan pastinya suasana ketika itu sangat hiba.

Nomad masih bertatih

Posted: 22 Aug 2013 12:33 AM PDT

NOMAD tidak rela bergelar artis yang tidak berpengetahuan.


SESI fotografi bersama artis baharu ini di Neway Karaoke, 1Utama, Petaling Jaya, Selangor pada pertengahan Ramadan lalu berlangsung santai.
Komitmen yang diberikan semasa fotografi itu boleh dibanggakan.
Nomad bukan nama yang asing dalam dunia hiburan. Ini kerana pembabitannya dalam seni muzik sudah lama, cuma namanya tidak dikenali ramai.
Nomad atau nama sebenarnya, Nur Mohd. Alieef Ayub, 25, bercita-cita untuk berjaya dalam bidang nyanyian.
Walaupun anak kelahiran Besut, Terengganu ini kurang popular, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus kekal dalam industri muzik.
Kosmo! sempat bertanyakan maksud di sebalik nama Nomad itu. Anak sulung daripada enam beradik ini memberitahu, sebenarnya sejak dari sekolah menengah lagi dia telah digelar Nomad.
Ini kerana kehidupannya yang sering berpindah-randah disebabkan pekerjaan bapanya sebagai anggota polis yang memerlukan dia berhijrah dari satu negeri ke negeri yang lain.
Dia yang terkenal dengan lagu Tetap Menantimu ciptaan Akid dan lirik Poji yang juga single pertamanya, mula berjinak-jinak dalam seni muzik sejak tahun 2007.
Pembabitannya bermula seawal usia 18 tahun dan pernah muncul bersama kumpulan Cherita sekitar tahun 2008.
"Saya bermula sebagai pemain gitar sewaktu menuntut di Kolej Islam Antarabangsa.
"Pada masa itu, saya hanya bermain gitar. Saya sendiri tidak tahu yang saya sebenarnya mempunyai bakat menyanyi," ujar pemuda kacak ini.
Disoal sama ada dia pernah menyertai uji bakat nyanyian sebelum ini, dedah Nomad, dia telah mencuba pelbagai uji bakat termasuk Akademi Fantasia dan Mentor, bagaimanapun gagal.
Cabaran
Nomad yang bekerja sebagai Pengurus Pemasaran Hainan Engineering Sdn. Bhd., iaitu syarikat milik bapa saudaranya, menyanggah tanggapan sesetengah masyarakat yang mengatakan menjadi penyanyi tidak memerlukan pendidikan.
"Bagi saya, penyanyi perlu banyak ilmu. Saya tidak mahu sekadar menjadi penyanyi, tetapi tidak mempunyai pengetahuan," katanya.
Bertanyakan cabaran yang dilaluinya untuk bergelar penyanyi, Nomad berkata, hasratnya pernah dihalang oleh ibu bapanya.
"Selepas tamat pengajian, saya teruskan juga menyanyi bersama kumpulan Cherita.
"Selain itu, kami turut menerima cabaran apabila penganjur hanya menjamu kami dengan buah pisang selepas persembahan dan dia terus melarikan diri," katanya yang cukup menghargai usaha dan tunjuk ajar daripada teman dalam industri seperti komposer Azmi Abdul Manaf (Dakmi) dan Alfa Booty.
Bercakap tentang single Tetap Menantimu, Nomad memberitahu, dia bersyukur kerana lagu tersebut mendapat reaksi positif daripada peminat.
Ujarnya, respons yang baik daripada peminat membuatkan dia bersemangat untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada pada dirinya.

37 maut terhumban dalam gaung

Posted: 22 Aug 2013 12:31 AM PDT

PASUKAN penyelamat melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa-mangsa kemalangan di Genting Highlands semalam.


GENTING HIGHLANDS - Seramai 37 orang termasuk pemandu bas disahkan terkorban manakala 16 yang lain cedera parah apabila sebuah bas henti-henti terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands di sini semalam.
Kemalangan ngeri yang berlaku pada pukul 2.24 petang itu berlaku ketika bas yang membawa 53 penumpang itu sedang menuruni jalan curam dari stesen di puncak Genting Highlands menuju ke Perhentian Bas Pekeliling di ibu negara.
Penolong Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi), Datuk Saimon Jahid berkata, selepas 14 minit meninggalkan pusat peranginan itu, bas tersebut dipercayai hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.
"Kemalangan tersebut berlaku di satu selekoh tajam berhampiran Tokong Chin Swee. Pokok-pokok besar di lereng bukit menahan bas itu daripada tercampak lebih jauh," kata beliau ketika ditemui pemberita di tempat kejadian semalam.

Nahas bas terburuk dalam sejarah

Posted: 22 Aug 2013 12:30 AM PDT



DUA kren digunakan untuk menyelamatkan mangsa nahas di Jalan Genting Highlands semalam.


KUALA LUMPUR - Nahas bas henti-henti yang terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung di Kilometer (KM) 3.5 Genting Highlands semalam adalah yang paling buruk pernah berlaku di kawasan itu dan dalam sejarah negara.
Setakat ini 37 orang disahkan terkorban dalam tragedi yang berlaku pukul 2.24 petang itu.
Bas dipercayai membawa seorang pemandu dan 52 penumpang itu dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Hentian Pekeliling di ibu negara.



Kemalangan buruk lain di kawasan itu ialah pada Julai 1996 apabila 17 orang termasuk enam kanak-kanak terbunuh selepas bas yang dinaiki mereka terhumban kira-kira 100 meter ke dalam gaung ketika pulang daripada menyertai hari keluarga di Genting Highlands.
Pusat peranginan Genting Highlands merupakan destinasi percutian popular bagi rakyat tempatan dan juga pelancong dari negara asing seperti Singapura, India, Taiwan, Jepun dan Indonesia.

Bunuh isteri curang

Posted: 22 Aug 2013 12:28 AM PDT


ANGGOTA polis melihat mayat Suria yang mati disyaki ditikam suami sendiri di Ganang, Kepayan dekat Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Seorang lelaki seolah-olah menyesal atas tindakan terburu-buru membunuh isterinya apabila hanya berdiam diri bersebelahan mayat wanita itu sebelum dia diberkas bersama sebilah pisau yang digunakan dalam kejadian itu semalam.
Kejadian di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan Ganang, Kepayan dekat sini pukul 9.45 pagi itu berlaku apabila suspek berusia lingkungan 40-an itu disyaki telah menikam berkali-kali tubuh Suria Amuk, 45, selepas dia gagal mengawal emosi ketika bertengkar dengan mangsa.
Difahamkan, pertengkaran berlaku apabila suspek merasa cemburu selepas mendakwa mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan menjalinkan hubungan sulit dengan rakan sekerjanya sejak beberapa bulan lalu selain kerap berjumpa ketika dia tiada di rumah.
Pasangan warga Filipina tersebut masuk ke negara ini sejak beberapa tahun lalu dan bekerja dalam sektor pembinaan.

Pijak ubi kentang untuk buang kulit

Posted: 22 Aug 2013 12:21 AM PDT



SEORANG wanita Aymara, Ramona Bustos memijak ubi kentang untuk membuang kulitnya di pergunungan La Cumbre dekat ibu kota Bolivia, La Paz pada 22 Julai lalu.


LA PAZ - Orang Asli Aymara yang menetap di kawasan pergunungan di Bolivia mempunyai cara unik untuk membuang kulit ubi kentang.
Kaedah tersebut masih tidak berubah sejak ia pertama kali dicipta oleh puak Inca lebih 1,500 tahun dahulu.
Setiap kali musim menuai tiba, petani-petani Aymara akan membawa ubi kentang mereka ke kawasan tinggi di Pergunungan Andes.
Tanaman itu dijemur dalam cuaca sejuk beku di pergunungan tersebut selama tiga hari.
Sepanjang tempoh itu, ubi-ubi kentang tersebut akan membeku dan mengeras.
Selepas itu, kaum wanita Aymara akan memijak ubi kentang tersebut untuk membuang kulitnya.
Suhu sejuk ekstrem menyebabkan kulit tanaman itu tanggal dengan mudah apabila dipijak.
Isi ubi kentang itu kemudian dijemur di bawah pancaran matahari untuk dijadikan hidangan tempatan yang enak dikenali sebagai chuno.

Lagi bunga bangkai mekar

Posted: 22 Aug 2013 12:20 AM PDT



ORANG ramai mengabadikan detik Titan Arum atau bunga bangkai mekar kelmarin.


PITTSBURGH - Sosej peram, lampin kotor, sampah, sayuran reput dan daging mereput.
Itu antara perbandingan yang dibuat oleh beratus-ratus pelawat tentang bau bunga bangkai yang mekar malam kelmarin di Balai Cerap dan Taman Botani Phipps di sini dalam negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat.
"Bunga ini juga berbau seperti seekor rusa yang sudah mati selama 10 hari," kata seorang pengunjung lelaki berusia 30 tahun, Vincent Salvino.
Selain bunga bangkai, tumbuhan itu juga dikenali sebagai Titan Arum atau nama saintifiknya, Amorphophallus titanum.
Bunga gergasi itu hanya mekar sekali selama 48 jam dalam tempoh 10 tahun.
Apabila ia mekar sepenuhnya, spesies tumbuhan yang berasal dari Indonesia itu menarik kehadiran lalat dan pelbagai jenis kumbang untuk membantu proses pendebungaan.
"Kami pernah menghubungi taman botani lain. Bunga ini bukan sahaja dikerumuni lalat, malah ramai pengunjung hadir untuk menyaksikan ia mekar," kata pengarah bahagian pemasaran dan komunikasi taman berkenaan, Liz Fetchin.
Menurutnya, orang ramai tidak dikenakan sebarang bayaran untuk melihat bunga gergasi setinggi sekitar dua meter itu tetapi tempat adalah terhad.
Sebelum ini, sepasang bunga bangkai mekar setiap satu di Taman Botani Amerika Syarikat di Washington dan Brussels pada 20 Julai serta 7 Julai lalu.

Polis rampas ular sawa Burma

Posted: 22 Aug 2013 12:18 AM PDT



GAMBAR yang disiarkan oleh pihak polis kelmarin menunjukkan ular sawa Burma sepanjang 3.6 meter yang dirampas dari sebuah kediaman di Beaumont, selatan Texas.


BEAUMONT - Seekor ular sawa Burma sepanjang lebih 3.6 meter dengan berat 72 kilogram (kg) dirampas bersama seekor ular sawa lain di sebuah rumah sewa di sini, selatan Texas baru-baru ini.
Rampasan tersebut dibuat selepas pihak berkuasa menerima aduan penduduk setempat yang melihat reptilia itu berkeliaran.
Pihak polis di sini merampas 12 ekor ular lain bersama sejumlah tikus dan arnab selepas menyerbu rumah berkenaan.
"Semua ular ini dan haiwan lain dipindahkan kerana haiwan itu tidak selamat berada di rumah berkenaan," kata seorang pegawai polis, Joe Ornelas.
Menurutnya, beberapa ekor ular dari kediaman itu yang menyelinap ke jalan raya berhampiran turut mati dilanggar kenderaan.
Seorang hakim akan memutuskan sama ada semua haiwan itu akan dikembalikan kepada pemiliknya.
Tiada dakwaan dibuat berhubung rampasan tersebut setakat ini.

Pertaruh nyawa demi misai

Posted: 22 Aug 2013 12:15 AM PDT



MALIK bercita-cita untuk memecahkan rekod misai terpanjang di dunia yang kini dipegang oleh seorang lelaki dari India.


SETIAP hari, Malik Amir Mohammad Khan Afridi, 48, pasti memperuntukkan masa selama 30 minit untuk membasuh, menyikat, meletakkan minyak dan memintal misai sepanjang 76 sentimeter yang mencecah dahinya itu kepada dua bahagian.
Disebabkan misai yang unik itu, ahli perniagaan Pakistan itu pernah diculik, diugut bunuh dan dipindah secara paksa supaya hidup berjauhan daripada keluarganya.
"Masyarakat amat menghormati saya. Misai ini merupakan identiti saya," ujarnya ketika ditanya mengenai persediaan untuk menghadapi risiko yang berkaitan dengan misai kesayangannya itu.
"Saya gembira. Apabila sesuatu perkara itu menjadi kebiasaan, tiada sesiapa pun yang memberi perhatian. Saya suka menjadi perhatian orang ramai," jelas datuk kepada beberapa orang cucu yang kini menetap di barat laut bandar Peshawar.
Sejak beberapa abad lalu, misai yang dijaga rapi menjadi lambang kepada kelelakian dan kekuasaan di India.
Di Pakistan, pejuang Islam cuba menguatkuasakan undang-undang supaya misai perlu dipotong atau dicukur.
Daripada seorang yang terkenal, Malik bertukar menjadi banduan di Lashkar-e-Islam yang menjadi sekutu kepada Taliban dalam kalangan puak Khyber di sempadan Afghanistan.
Kumpulan tersebut meminta wang perlindungan sebanyak RM1,638 sebulan. Apabila dia enggan membayar wang tersebut, empat orang bersenjata menyerang rumahnya empat tahun lalu.
Menurutnya, dia dipenjarakan selama sebulan di dalam gua dan hanya dilepaskan setelah memotong misainya itu.

HIDUP Malik sentiasa dibayangi oleh puak ekstremis yang mahukan misainya dipotong.


"Saya takut sekiranya dibunuh oleh mereka. Jadi, Saya terpaksa mengorbankan misai kesayangan dengan memotongnya," ujarnya.
Dia telah melarikan diri ke rumah saudaranya di Peshawar sebagai langkah keselamatan. Selepas itu, dia menyimpan semula misainya dan kembali menerima ugutan untuk menyembelihnya menerusi panggilan telefon pada tahun lalu.
Melarikan diri
Ekoran ugutan itu, dia melarikan diri sekali lagi ke sebuah bandar Punjabi, Faisalabad dan hanya kembali ke Peshawar sekali atau dua kali sebulan untuk melawat keluarganya.
"Saya masih takut. Sepanjang bulan Ramadan lalu, saya berada di Peshawar bersama keluarga. Tetapi hanya menghabiskan masa di rumah dan memberitahu orang ramai bahawa saya berada di Faisalabad jika mereka mahu berjumpa," ujarnya.
Misai yang panjang itu sedikit pun tidak mengganggunya mengambil wuduk untuk menunaikan solat setiap hari. Dia akan menyelitkan misai itu di belakang telinganya.
Kos sebanyak RM492 sebulan diperuntukkan bagi menjaga dan mengekalkan misai itu. Jumlah tersebut merupakan pendapatan bulanan yang diterima oleh seorang guru di Pakistan. Walaupun dia mendapat peruntukan sebanyak RM164 daripada pihak berkuasa di kawasan tersebut bagi menjaga misainya, dia tetap memilih untuk melarikan diri.
Pihak pentadbiran Khyber akan membayar wang berjumlah RM32 hingga RM197 sebulan kepada lelaki bermisai yang berjaya menarik perhatian sebagai simbolik penghargaan kepada keberanian dan sifat kelelakian mereka.
Malik menggunakan pengering rambut, sabun buku, syampu, minyak Jerman dari Dubai yang telah dibuang label kandungannya, cermin dan sebotol minyak kelapa buatan sendiri sebagai kelengkapan untuk merapi misainya.

PERNIAGAAN kain fabrik di Pakistan merupakan punca pendapatan utama Malik bagi menyara isteri dan 10 anaknya.


Merapi misai
Dia melumurkan minyak Jerman kemudian memintal-mintal dan mengeringkan misainya itu di hadapan cermin sebelum keluar ke pusat beli-belah. Kemunculannya di kawasan tumpuan itu ternyata menarik perhatian khalayak ramai.
Dalam pada itu, isteri Malik dan 10 orang anaknya kurang bersetuju dengan tindakan Malik menyimpan misai yang panjang.
"Keluarga menyuruh saya memotong misai kerana mereka mahu saya terus bersama mereka. Saya boleh meninggalkan Pakistan tetapi tidak akan sekali-kali memotong misai saya," ujar Malik.
Sekiranya dia mempunyai visa, impiannya untuk mencari perlindungan politik atau mewakili negara pada peringkat antarabangsa pasti tercapai.
Bagi mencapai cita-citanya itu, dia perlu memecahkan rekod misai sepanjang 4.29 meter sekali gus merupakan misai terpanjang di dunia yang dipegang oleh lelaki dari India.


Maklumat mengenai Islam di hujung jari

Posted: 21 Aug 2013 09:12 PM PDT



MOHAMMED RAFI MOHAMED BIHIR, 39, sering kali berulang-alik ke luar negara demi kerjayanya sebagai seorang ahli perniagaan.
Hakikatnya, sepanjang berada di luar negara terutamanya negara-negara seperti Vietnam, China dan Filipina, bapa kepada tiga orang anak itu sentiasa berhadapan masalah mencari restoran makanan halal.
Justeru, dia terpaksa bertanya kepada kakitangan hotel bagaimana untuk mendapatkan makanan halal sepanjang berada di negara-negara itu.
"Lagipun, saya kurang arif dengan tempat-tempat saya berurusan. Oleh itu, saya terpaksa bertanya kepada orang ramai di kawasan tersebut, selain mencari maklumat melalui internet," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sungguhpun mendapat maklumat menerusi di laman-laman sesawang yang berkaitan, Mohammed Rafi berhadapan dengan satu lagi halangan apabila kebanyakan restoran tersebut telah ditutup malah ada sebahagian kedai berkenaan telah diambil alih oleh perniagaan lain.
"Apabila melalui saat-saat seperti ini, saya tidak mempunyai pilihan selain bergantung kepada roti dan tuna yang dibawa dari Malaysia," jelasnya.
Namun, baru-baru ini dia mula berjinak-jinak menggunakan aplikasi Muslim Pro selepas salah seorang rakannya memperkenalkan aplikasi telefon pintar berkenaan.
"Aplikasi itu sangat membantu kerana memberi pelbagai maklumat berhubung lokasi makanan halal, waktu solat, arah kiblat dan banyak panduan lain yang penting bagi saya," katanya.
APLIKASI Muslim Pro memudahkan umat Islam mencari restoran makanan halal ketika berada di luar negara.


Bertitik tolak dari situ, anak jati Kuala Lumpur itu kini banyak bergantung kepada aplikasi berkenaan apabila berada di luar negara.
"Saya tidak perlu pening lagi kerana kesemua maklumat berkaitan Islam sudah ada di dalam aplikasi ini," tuturnya tersenyum.
Seorang pengguna yang berasal dari United Kingdom yang hanya mahu dikenali sebagai Rizqi pula menyifatkan aplikasi Muslim Pro merupakan antara aplikasi terbaik dan praktikal yang terkandung dalam telefon pintar iPhonenya.
"Saya sering menggunakan aplikasi ini kerana arah kiblatnya sangat tepat. Malah waktu solat akan bertukar mengikut lokasi di mana kita berada.
"Jika saya sibuk bekerja, aplikasi ini akan mengingatkan masuknya waktu solat sekali gus saya tidak terlepas menunaikan tuntutan agama itu," ujarnya.
Aplikasi tersebut diperkenalkan di pasaran oleh Bitsmedia Pte. Ltd. (Bitsmedia), sebuah syarikat pembangun aplikasi mudah alih yang berpangkalan di Singapura, dalam sistem operasi iOS pada tahun Ogos 2010 dan Android pada Mac tahun lalu.
Ia boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan AppStore. Bagaimanapun, jika pengguna ingin menaik taraf kepada versi premium, bayaran sebanyak RM4.72 akan dikenakan.
Versi tersebut membolehkan pengguna mendengar bacaan al-Quran dalam bentuk audio, membaca terjemahan ayat-ayat suci tersebut dan memilih pelbagai suara bilal yang melaungkan azan.
Aplikasi komprehensif
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Erwan Mace, 39, Muslim Pro merupakan aplikasi komprehensif terutama bagi umat Islam yang sering bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
Muslim Pro menyediakan waktu solat berdasarkan lokasi pengguna, penunjuk arah kiblat seluruh dunia dan pencarian restoran halal serta masjid.

APLIKASI Muslim Pro ini telah dimuat turun kira-kira 7 juta kali di seluruh dunia.


"Aplikasi ini amat berguna terutamanya kepada umat Islam yang berkunjung ke luar negara. Melalui aplikasi ini, mereka boleh mencari segala maklumat yang diperlukan," katanya sambil memberitahu rata-rata pengguna memberi maklum balas positif selain pengiktirafan lima bintang terhadap aplikasi itu.
Sejak aplikasi Muslim Pro ditawarkan kepada pengguna di seluruh dunia, aplikasi itu telah dimuat turun kira-kira 7 juta kali, terutama dari negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Malaysia, Turki, dan Maghribi.
Tidak ketinggalan negara-negara yang mempunyai minoriti penduduk Islam seperti Perancis, Jerman, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.
Menceritakan lebih lanjut mengenai aplikasi itu, beliau memberitahu, aplikasi tersebut menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) untuk mencari senarai restoran halal dan lokasi masjid di sesebuah bandar.
Malah, pengiraan waktu solat dilakukan berdasarkan kedudukan matahari untuk latitud khusus dan longitud dengan menggunakan formula matematik yang tertentu.
Bagi meningkatkan kemahiran dan penghayatan pengguna terhadap ayat-ayat suci al-Quran, beliau menambah, Muslim Pro juga menyediakan audio bacaan kesemua 114 surah al-Quran dan terjemahan yang membenarkan pengguna memilih qari dan bahasa seperti Indonesia, Melayu, Perancis, Itali, Portugis, Turki, Inggeris dan Belanda.
Pelbagai fungsi
Menurut Erwan, aplikasi tersebut bersifat mesra pengguna kerana terdapat lapan menu pilihan iaitu waktu solat, arah kiblat, bacaan al-Quran, senarai cuti umum, 99 nama Asma al-Husna, senarai restoran halal, mod tidur yang membenarkan pengguna mendengar alunan azan penuh secara automatik walaupun peranti pintar mereka dalam mod senyap, penghantaran kad ucapan perayaan dan bantuan tetapan.
"Jadi, pengguna hanya perlu menekan menu maklumat yang ingin dicari. Misalnya, lokasi restoran halal. Selain memaklumkan mengenai nama restoran, ia turut menyalurkan maklumat mengenai jarak restoran tersebut dari lokasi pengguna.

MUSLIM PRO merupakan aplikasi komprehensif bagi membantu umat Islam yang sering bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.


"Aplikasi ini menggunakan sistem navigasi yang memandu pengguna ke lokasi restoran yang dipilih," ujarnya sambil memberitahu aplikasi berkenaan boleh digunakan di seluruh dunia.
Ekoran sambutan memberangsangkan daripada pengguna, beliau memaklumkan, Bitsmedia merancang untuk menambah baik kandungan yang ditawarkan, di samping membangunkannya untuk pelbagai platform peranti pintar dalam mengikuti keperluan terkini masyarakat Islam.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya merancang membina aplikasi yang sama itu untuk kegunaan telefon biasa.
Langkah itu, jelas beliau, dilihat dapat memberi peluang kepada semua pengguna Islam untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.
"Kami mahu menghasilkan produk yang boleh digunakan oleh semua pengguna Islam. Kami berharap perkhidmatan yang diberikan ini akan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat yang beragama Islam untuk menghasilkan teknologi berkaitan keperluan agama mereka," tuturnya.

Kemudahan dua peranti serentak

Posted: 21 Aug 2013 09:10 PM PDT



SET fon kepala wayarles ini boleh menggunakan dua peranti serentak.


SEGALA-GALANYA kini sama ada kelengkapan diri mahupun aksesori mesti menepati tahap praktikal dan mempunyai gaya yang menyerlahkan identiti si pemilik.
Set fon kepala Jabra Tag tampak mampu menepati cita rasa golongan tersebut, bukan sahaja reka bentuknya menawan, malah mampu memberikan kepuasan mendengar muzik dan berhubung dengan lebih baik.
Reka bentuk fizikalnya berupa sebuah loket tanpa wayar dengan binaan dalam radio FM. Ia boleh digayakan dengan mengantungkan pada leher pengguna.
Jika mahu kelihatan lebih ranggi, klipkan Jabra Tag anda pada pakaian atau beg supaya kelihatan seperti aksesori yang canggih.
Dengan Jabra Tag, anda dapat menikmati muzik kegemaran atau menonton video di laman YouTube menerusi sambungan pelbagai peranti mudah alih sehingga tujuh jam.
Berbual menggunakan aplikasi Skype, kualiti audio yang bermutu tinggi dapat dinikmati sehingga lapan jam.
Menariknya, ia boleh menggunakan dua peranti mudah alih secara serentak selain masih dapat mendengar radio FM, sungguhpun bateri peranti mudah alih itu sudah kehabisan.
Jika mahu menukar set fon kepala dengan yang lain, tag berbentuk loket itu sepadan dengan semua jenis fon kepala.
Namun, harus diberitahu, satu lagi kelebihan fon kepala Jabra Tag ialah ia mampu mengasingkan bunyi bising dari luar daripada didengari pendengar. Seterusnya membolehkan pendengar mendengar muzik atau berbicara dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan luar.
Selain fungsi Bluetooth, loket Jabra Tag memudahkan kawalan muzik dan panggilan, menyimpan senarai muzik yang didengari dan menyelaras tahap suara.

Lindungi data penting dalam komputer

Posted: 21 Aug 2013 09:09 PM PDT


ANDA bertanggungjawab memastikan segala maklumat penting syarikat tidak terdedah kepada orang lain.


KITA sering diingatkan tentang kepentingan melindungi data, tidak kira maklumat peribadi mahupun maklumat perniagaan, daripada risiko kecurian.
Hakikatnya, kedua-dua maklumat tersebut perlu dilindungi sebaik mungkin bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab yang mungkin menggunakannya untuk tujuan yang tidak baik.
Apatah lagi, nilai maklumat seperti kertas kerja projek, sebut harga, reka bentuk yang belum dipatenkan dan kandungan kontrak sesebuah projek boleh mencecah nilai sehingga jutaan ringgit.
Justeru, setiap kakitangan yang terlibat mengendalikan maklumat bertanggungjawab memastikan ia tidak terlepas kepada pihak lain yang boleh mengakibatkan organisasi tempat bekerja mengalami kerugian.
Berikut merupakan langkah-langkah yang dapat diambil oleh pekerja ketika berada di pejabat bagi memastikan keselamatan maklumat perniagaan:
1. Kunci sistem apabila tidak berada di meja
Pastikan anda mengunci sistem dengan menggunakan kombinasi Ctrl+Alt+Del dan Enter sebelum meninggalkan komputer, tidak kira untuk tempoh yang lama ataupun hanya seketika.
Ini kerana dokumen kerja yang sedang anda buat mungkin sulit dan tidak semua kakitangan boleh melihatnya. Ini dapat mengelakkan fail disalin daripada komputer anda atau perubahan maklumat dibuat tanpa pengetahuan anda.
2. Aktifkan log masuk dan kata laluan
Dengan mengaktifkan pelindung skrin komputer dengan nama pengguna berserta kata laluan, ia dapat mengelakkan komputer anda daripada diakses apabila anda meninggalkannya tanpa dikunci.
Anda juga boleh memilih untuk menetapkan 10 atau 15 minit masa terbiar atau tidak menggunakan komputer sebelum ia diaktifkan secara automatik.
3. Jangan biarkan media storan di atas meja tanpa pengawasan
Salah satu perkara yang sering diambil mudah oleh kakitangan ialah dengan membiarkan media storan seperti cakera padat, cakera video digital, pemacu pena atau cakera keras luaran ditinggalkan di atas meja.

SELEPAS tamat mesyuarat pastikan segala contengan di papan putih dipadamkan.


Bayangkan, sekiranya media ini yang mengandungi maklumat sulit syarikat hilang sewaktu kita meninggalkan komputer pada waktu makan tengah hari. Kita tentunya menjadi orang yang bertanggungjawab terhadap kehilangan maklumat berkenaan.
Lantaran itu, sebelum meninggalkan meja, pastikan semua maklumat penting ini disimpan di dalam laci berkunci.
4. Simpan dokumen bercetak di tempat selamat
Satu lagi kesilapan yang biasa dilakukan oleh kakitangan sewaktu mengendalikan maklumat sulit ialah mencetaknya tetapi gagal mengambil cetakan tersebut di mesin pencetak.
Hari ini, kebanyakan organisasi menggunakan mesin pencetak yang turut dikongsi oleh kakitangan lain.
Kegagalan mengambil dokumen yang dicetak juga boleh mengakibatkan kebocoran maklumat.
Sesetengah pencetak pejabat pula dilengkapi dengan ciri keselamatan yang hanya akan mencetak setelah kakitangan itu berada di sisi pencetak dan memasukkan nombor PIN terlebih dahulu. Ini dapat menguatkan lagi tahap sekuriti cetakan dokumen.
5. Padam contengan diskusi di bilik mesyuarat
Perbincangan atau sesi mencari idea kadangkala memerlukan contengan atau lukisan pada papan putih.
Idea seperti strategi pemasaran organisasi atau cadangan reka bentuk seringkali dikongsi dan dilukis pada papan putih di dalam bilik mesyuarat.
Bagaimanapun, kegagalan memadamkannya selepas sesi perbincangan boleh membawa padah jika pengguna bilik mesyuarat yang seterusnya bukan dalam kalangan yang sepatutnya mendapat akses kepada maklumat tersebut.
Bagi mengelakkan ia berlaku, langkah terbaik ialah memadamkan semua tulisan atau contengan sebaik sahaja sesi tamat.

Panduan untuk memilih ikan

Posted: 21 Aug 2013 09:08 PM PDT



KETIKA chef selebriti, Bobby Chinn mengembara ke wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, beliau sempat singgah di sebuah pulau yang didiami biawak komodo yang terkenal itu.
Pulau Komodo yang terletak berhampiran Irian Jaya dinamakan sempena biawak terbesar dunia itu.
Semasa menyelam berhampiran pulau berkenaan, perasaan Bobby tambah teruja tatkala melihat bentangan dasar laut yang indah.
Hatinya terus terdetik: 'Apa akan terjadi jika tiada kawalan terhadap aktiviti menangkap ikan di laut?'
"Ia akan menjadi bencana besar jika cara penangkapan ikan dan pemakanan kita tidak diubah dari sekarang," katanya ketika melancarkan kempen Selamatkan Makanan Laut Kita 2.0 (S.O.S) anjuran Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) di Kuala Lumpur bulan lalu.
Kempen S.O.S bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenis ikan yang boleh dimakan bergantung kepada tahap bilangannya di perairan dunia berdasarkan Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam dan Sumber Semula Jadi (IUCN).
Kod warna
Sekeping risalah panduan bersaiz tapak tangan dicetak dalam kuantiti yang banyak telah diedarkan kepada orang ramai.
Ia memaparkan senarai jenis ikan dalam pasaran yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Disyorkan, Kurangkan dan Elakkan.
Bagi memudahkan penggunaan risalah tersebut, setiap kategori diberikan kod warna yang berbeza iaitu hijau, kuning dan merah.
Kod warna ini memudahkan golongan suri rumah membuat rujukan pantas ketika membeli makanan laut di pasar.
Antara maklumat yang disenaraikan ialah spesies, kaedah penangkapan dan kawasan tangkapan makanan laut tersebut.
Antara yang berada dalam kategori Disyorkan atau kod hijau ialah tilapia, lala, kerang, patin, salmon, tuna dan sardin, manakala senarai Kurangkan (kuning) terdiri daripada ikan tamban, tongkol kurik, kembung dan udang putih.
Ikan seperti mameng, sunah, kerapu tikus, yu, kerapu bebeh dan senderong dimasukkan dalam bahagian Elakkan (merah).
Bagi kemudahan pengguna, risalah itu diterbitkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.

WALAUPUN terdapat pelbagai jenis ikan yang dijual di pasar, panduan S.O.S dapat membantu pengguna membuat pilihan.


Senarai tersebut dibuat mengikut kaedah antarabangsa dalam menilai tahap kelestarian makanan laut.
Kategori Disyorkan dibuat berdasarkan stok ikan yang diuruskan secara mampan dan tidak ditangkap secara berlebihan, selain pilihan terbaik untuk dijadikan hidangan.
Bahagian Kurangkan terdiri daripada ikan yang berisiko untuk tidak menjadi mapan dan hanya dipilih apabila pilihan Disyorkan telah tidak ada.
Semua jenis ikan yang tidak diuruskan dengan kaedah lestari dan ditangkap secara berlebihan dimasukkan dalam kategori Elakkan.
Sasaran
Pengguna merupakan kumpulan sasaran kerana umum mengetahui bahawa jika tiada permintaan, maka penangkapan tidak akan dibuat.
Kadar purata rakyat Malaysia memakan ikan adalah kira-kira 52 kilogram (kg) setahun. Permintaan terhadap ikan di negara ini dijangka meningkat kepada 1.68 bilion kg pada tahun 2020.
Kempen S.O.S pertama dilancarkan pada Jun 2010. Jika dibandingkan, panduan kempen sulung hanya memaparkan sebanyak 44 peratus jenis ikan yang berada dalam Senarai Merah IUCN.
Pada panduan kempen S.O.S 2.0 pula, terdapat sebanyak 52 peratus jenis ikan yang berada dalam Senarai Merah berkenaan, manakala penilaian dibuat meliputi 100 peratus spesies penting dari segi komersial di Malaysia.
Lebih 140,000 keping risalah panduan makanan laut itu dicetak dan diedarkan ke semua cabang berkaitan perikanan.
Di samping itu, kempen ini juga melibatkan aktiviti promosi, pameran dan seminar jelajah di seluruh negara.
"Fasa pertama kempen menunjukkan peningkatan kesedaran pengguna, sekali gus dapat menarik lebih banyak perhatian daripada penggiat industri terhadap kepentingan kelestarian makanan laut," kata Ketua Konservasi WWF Malaysia, Dr. R. Sundari.
Memantau bekalan
Dalam pada itu, Penasihat Marin Kanan WWF, Carol Phua berkata, data dan maklumat yang dikeluarkan Jabatan Perikanan pada tahun 1997 sudah dianggap tidak relatif dengan keadaan pada tahun 2013.
Walaupun menghadapi kesulitan, berdasarkan data yang ada, satu penilaian telah dibuat pihak WWF bagi melihat tahap bekalan ikan yang masih ada di laut.

KELESTARIAN bekalan ikan tidak hanya bergantung kepada tindakan nelayan, tetapi setiap lapisan industri perikanan termasuk peraih dan pembekal.


Kerjasama juga dibuat dengan pelbagai badan berkaitan termasuk Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Yayasan Laut Utara dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
Kajian yang dilaksanakan turut meneliti kaedah-kaedah penangkapan ikan yang digunakan pada hari ini seperti jenis jala dan perangkap, selain isu pengeluaran lesen tangkapan dan kawasan penangkapan ikan.
Menurut Phua, kajian selama enam bulan telah dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran yang menyeluruh dan meliputi semua pihak yang terlibat.
Pada tahun yang sama kempen kali pertama dibuat, satu kaji selidik mendapati lebih 70 peratus pengamal industri perikanan bersedia atau akan mengurangkan pengambilan makanan laut jika menyedari bekalan semakin berkurangan.
Hanya 27 peratus responden menyedari bahawa bekalan ikan negara sedang mengalami penurunan yang menakutkan.
"Maka, kempen kali ini dengan penambahan jenis ikan dalam Senarai Merah ini dilihat sebagai satu langkah yang baik," ujarnya.
Ketika ditanya berkenaan hidangan warisan yang menggunakan spesies ikan tertentu, Chin menjawab, kawalan perlu diambil terhadap perkara terbabit.
"Jika tidak, masyarakat tidak akan dapat menikmati hidangan tersebut buat selama-lamanya," tegas beliau.

Peluang jadi jutawan sehari

Posted: 21 Aug 2013 08:46 PM PDT


FABIAN (kiri) melancarkan peraduan terbaharu Prizle.com sempena pelancaran laman web itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PRIZLE.COM menjadi perintis peraduan integrasi maya di Asia Tenggara yang membolehkan peserta menyertai peraduan secara dalam talian dengan mudah dan kos yang rendah.
Peraduan yang dikelolakan di laman web tersebut terbuka kepada semua industri yang berminat menganjurkan sebarang peraduan atau terbitan borang soal selidik terus kepada peserta.
Hanya beberapa klik, kedua-dua pelanggan dan pemilik perniagaan akan berada dalam situasi menang-menang.
Idea tersebut dicetuskan oleh tiga usahawan internet dari Malaysia dan Singapura yang menyedari kesukaran yang dihadapi pemilik perniagaan untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka menggunakan pendekatan peraduan.
Perkara itu disebabkan oleh kos penganjuran sesuatu peraduan yang menelan belanja tinggi.
Perkhidmatan Prizle.com turut membantu mereka yang berminat untuk mencipta peraduan secara talian seperti yang mereka ingini.
Ketua Pegawai Eksekutif Prizle.com, Fabian Lim berkata, pihaknya memulakan tawaran pelancaran Prizle.com dengan peraduan menjadi jutawan untuk sehari yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai, baucar beli-belah, penerbangan pesawat peribadi untuk dua orang ke Singapura dan bersiar-siar menaiki limosin di sana. Jumlah hadiah yang ditawarkan bernilai kira-kira RM12,000.
"Pengguna hanya perlu mendaftar masuk nama dan alamat e-mel mereka di laman web Prizle untuk menyertai peraduan tersebut," katanya.
Selain itu, terdapat 30 kategori peraduan dan cabutan bertuah lain yang merangkumi peraduan perkahwinan, hotel, baucar membeli-belah, baucar makanan dan produk kediaman.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines