Khamis, 22 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Ya, kami memang rapat! - Fathia

Posted: 20 Aug 2013 10:09 PM PDT




IBARATNYA, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang! Analogi kisah cinta Fathia dan Aiman itu sehingga kini masih tersimpan dalam kotak rahsia dua pelakon muda itu.
Kuncinya tergenggam erat antara Fathia atau Aiman. Kalau sebelum ini Aiman enggan mengulas lanjut mengenai gosip kisah cintanya bersama Fathia ekoran enggan memalukan kedua-dua belah keluarga, Kosmo! mendapatkan respons daripada Fathia pula.
Jawapan lebih mendalam dan utuh disertakan Fathia untuk menjawab teka-teki yang bersarang di minda peminatnya selama ini.
Ironi, baru hujung minggu lalu si empunya badan mengaku memang bercinta dengan jejaka tinggi lampai tersebut dalam sebuah akhbar mingguan. Bagaimanapun, apabila diminta penjelasan lanjut agar khalayak tidak keliru dengan 'sandiwara cinta' mereka, Fathia tetap menegaskan hubungannya dengan Aiman masih berada dalam fasa perkenalan yang memerlukan masa untuk duduk selesa dalam sebuah hubungan cinta.
"Bercinta atau tidak, itu tidak penting. Yang penting kami dapat keserasian bila bergabung bersama. Jodoh itu di tangan Tuhan.
"Sebelum ini pun banyak gosip keluar pasal saya dan tidak pernah reda, sudah menjadi perkara normal untuk saya menerima gosip-gosip ini sampaikan kalau saya beritahu perkara betul pun tetap jadi gosip. Jadi lebih baik saya berdiam diri," jelasnya yang ditemui ketika sesi fotografi di studio Utusan baru-baru ini.
FATHIA dan Farhana memilih bidang perundangan sebagai jaminan masa depan mereka.


Aiman yang jujur
Menghuraikan lebih jelas maksud keakraban antaranya dan Aiman sejak kali pertama dilihat intim ketika sama-sama ke Paris, Perancis bulan April lalu, Fathia akui Aiman sering menemaninya keluar.
"Kami selalu lepak bersama, malah kami juga banyak digandingkan bersama sekarang. Hubungan yang terbentuk dalam setiap lakonan kami adalah selesa dan tidak kekok.
"Jujur saya akui dia ialah pelakon lelaki yang paling selesa untuk saya berlakon bersama setakat ini," ujar Fathia yang mula mengenali Aiman menerusi set penggambaran drama Diandra beberapa bulan lalu.
Digosipkan bercinta dan saling memadu asmara, Fathia hanya membalas dengan senyuman. Pelakon filem Darah Panas itu sebenarnya enggan memberikan sebarang kenyataan yang dikhuatiri mampu menjerat dirinya.
Fathia bagaimanapun menyifatkan Aiman seorang pelakon yang tidak pernah membanggakan diri, sentiasa menghormati pelakon lain dan seorang yang jujur. Malah, kualiti itu kata Fathia, mengeratkan hubungan mereka berdua.
"Ya, kami memang rapat tapi belum ada sebarang perancangan. Aiman lelaki kedua selepas ayah saya!" simpul Fathia yang seperti memberi gambaran bahawa Aiman sebagai lelaki penting dalam hidupnya.
Ganggu konsentrasi
Dalam pada itu, sebelum ini pernah timbul dakwaan yang menyifatkan Aiman sengaja menipu pihak produksi semata-mata untuk berjumpa dengan Fathia sehingga menjejaskan jadual penggambaran.
Secara tidak langsung, situasi itu menyebabkan Fathia dilihat seperti cuba mengganggu prestasi dan reputasi baik Aiman selama ini.
"Aiman pernah beritahu saya bahawa dia terpaksa lari dari lokasi penggambaran kerana ahli keluarganya sakit dan tidak elok untuk mengaitkan saya dengan cerita-cerita negatif. Itu sama sekali tidak betul.
"Sejak kami mengenali antara satu sama lain, karier kami masih berjalan lancar.
"Prestasi dia terganggu bukan sebab siapa-siapa dan saya sama sekali menafikan dakwaan itu. Kami berkawan dan sudah tentulah saya menyokong kerjaya seni dia," katanya.

KATA Fathia, bercinta atau tidak dengan Aiman, ia bukan perkara penting, sebaliknya mengaku mereka begitu serasi bersama.


Sementara itu, Fathia turut mengulas berkenaan sekeping gambar bersama Aiman yang dilihat berpelukan dalam keadaan gelap yang telah dikirimkan menerusi e-mel kepada Kosmo! baru-baru ini.
"Gambar itu mungkin telah dirakamkan oleh kru produksi atau pelakon tambahan ketika penggambaran drama bersiri Diandra yang melibatkan saya dan Aiman.
"Itu gambar kandid dan tidak menyampaikan apa-apa makna tersirat. Lagipun, pakaian yang kami pakai ketika itu masih pakaian konti," tegasnya.
Terlanjur berbicara mengenai drama Diandra yang telah mula disiarkan di TV3 untuk slot Lestary pukul 9 malam setiap hari Selasa, Fathia memberitahu, dia pertama kali diberikan kepercayaan untuk membawakan watak gadis kasar yang bercinta dengan lelaki kasanova.

Hairi (Anak Wayang) Nikah Bakal Guru Tahun Depan

Posted: 20 Aug 2013 10:09 PM PDT

Hairie bersama tunangnya, Fara Afiza.
PETALING JAYA: Pelakon Hairi (Anak Wayang) bakal melangsungkan perkahwinan dengan bakal guru pada awal tahun hadapan selepas kedua-dua pihak mengikat tali pertunangan pada Sabtu lalu.
Hairi yang juga juara Anak Wayang terbitan RTM musim pertama itu telah bertunang dengan Fara Afiza Azman, 23, iaitu anak kepada Editor Majalah Kuntum, terbitan Star Publications (M) Berhad, Asma Saad.
"Majlis berlangsung secara sederhana di rumah keluarga perempuan di Bagan Lalang dan kedua-dua keluarga merancang untuk majlis pernikahan diadakan selepas Fara tamat belajar mungkin pada awal tahun depan.
"Namun buat masa ini belum ada tarikh yang ditetapkan lagi," katanya kepada mStar Online.
Tambah Hairi, tunangnya masih belajar di Institusi Pendidikan Guru, Kampus Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah dalam tahun terakhir.
"Sekarang kami bercinta jarak jauh kerana dia masih lagi belajar di Kedah.
"Saya pula sibuk dengan kerja, jika ada kelapangan dan dia pulang ke Kuala Lumpur barulah ada kesempatan untuk kami keluar," katanya.
Sementara itu, Hairi mengakui terpikat dengan sifat sabar wanita tersebut dalam segala hal.
"Dia seorang yang lemah lembut dan sentiasa sejukkan saya apabila saya marah. Dia ambil pendekatan seperti saya seorang pelajar sekolah.
"Dia banyak mengajar saya agar lebih bersabar dan tidak terlalu mengikutkan kata hati," ujarnya.

Fizo Omar Tunggang Motosikal Di Litar Sepang

Posted: 20 Aug 2013 10:08 PM PDT

Aksi Fizo sebelum menggunakan litar Sepang.
PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar memperluaskan hobinya sebagai penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan menunggangnya di litar Sepang, dekat sini.
Fizo, 28, berkata, dia mula mempelajari teknik berlumba di litar dengan cara yang betul bersama pelumba-pelumba sebenar.
"Saya belajar menunggang motosikal di litar Sepang dengan kawan-kawan saya yang memang seorang pelumba motosikal profesional. Ia hanyalah sekadar suka-suka dan tiada niat saya untuk menyertai mana-mana perlumbaan.
"Apa yang saya dapat adalah satu kepuasan yang berbeza berbanding menunggang motosikal dia jalan raya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Fizo Omar segak dengan pakaian perlumbaannya.
Tambah Fizo, cabaran terhadap aktiviti tersebut iaitu perlu memberikan fokus yang tinggi ketika berada di litar menjadikan dia seorang yang lebih berdisiplin.
"Banyak yang saya belajar tentang teknik berlumba dan perkara paling penting ialah tumpuan yang lebih ketika berada di litar.
"Dengan itu juga ia sedikit sebanyak menjadikan diri saya seorang yang sentiasa peka dan berhati-hati," katanya.
Tambah Fizo lagi, sejak menyertai aktiviti tersebut beberapa bulan lalu, dia meluangkan masa hampir setiap minggu untuk menunggang di litar.

Hans Isaac Bukan Produser Pengecut

Posted: 20 Aug 2013 10:06 PM PDT

Hans Isaac
PETALING JAYA: Penerbit filem Hans Isaac bukan menepis tuduhan kononnya dia produser pengecut kerana enggan menerbitkan filem selepas kegagalan karya terbaharunya Lemak Kampung Santan.
Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 42, berkata, selama ini penerbit-penerbit filem sering dilanda pelbagai masalah bukan sahaja kerana mendapat kutipan filem yang rendah tetapi juga isu-isu sistem penayangan di pawagam yang dirasakan perlu dirombak semula.
"Orang luar tidak akan tahu bagaimana susahnya kami (pihak penerbit) berusaha untuk selamatkan industri perfileman walaupun pada dasarnya ia sukar mendapat pulangan yang memberangsangkan.
"Tetapi apabila orang memberi respons negatif kononnya saya enggan bikin filem lagi kerana takut filem gagal, itu tuduhan mengarut.
"Sebelum ini banyak filem saya gagal tetapi saya tetap teruskan terbit filem. Dan sayang sekali sistem penayangan filem kita tidak pernah diperbetulkan sejak dahulu lagi,"katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa.
Pada minggu lalu Hans telah meluahkan perasaan menerusi Twitter yang dia enggan menerbitkan filem lagi selepas Lemak Kampung Santan hanya mengutip RM100,000 dan telah ditarik daripada tayangan selepas empat hari di pawagam.
Produser itu kecewa dengan sistem apabila pihak panggung menarik balik tayangan kerana kutipan yang perlahan.
Kos produksi Lemak Kampung Santan menelan belanja RM1.7 juta.
Filem itu bertembung dengan Adnan Sempit 3 yang mencatat kutipan setakat ini kira-kira RM1.76 juta (rekod Finas sehingga 12 Ogos lalu).
Kedua-dua filem berkenaan ditayangkan serentak pada 8 Ogos lalu iaitu hari pertama Syawal.
Tegas Hans lagi, sudah tiba masanya pihak bertanggungjawab melakukan sesuatu untuk memperbetulkan sistem wajib tayang yang sebenarnya telah menyusahkan pihak penerbit.
"Selagi sistem penayangan filem tempatan kita tidak diperbetulkan, saya tidak akan menghasilkan filem lagi.
"Jika anda perasan, pengarah seperti Erma Fatima, Aziz M Osman dan Afdlin Shauki tidak lagi menghasilkan filem kerana mereka serik dengan sistem yang ada.
"Lebih baik kita terbitkan bidang seni lain seperti teater atau drama. Semua orang akan menonton.
"Dan jika sistem sudah diperbetulkan, laku atau tidak saya akan kembali menghasilkan filem macam biasa," tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Hans menerusi syarikat produksinya Tall Order Productions bakal muncul dengan sebuah karya bercirikan autobiografi mengenai legenda pemain bola sepak negara, Mokhtar Dahari, berjudul SuperMokh The Musical dan Lawak Ke Der 3 yang bakal dipentaskan di Istana Budaya.

Aaron-Diyana berbulan madu

Posted: 20 Aug 2013 10:04 PM PDT


  • Aaron-Diyana Aaron-Diyana
KEHIDUPAN Aaron Aziz bersama isterinya, Diyana Halik sering menjadi perhatian ramai. Meskipun memiliki populariti yang tinggi, aktor Ombak Rindu itu sangat setia terhadap isterinya itu.

Turut dikatakan sebagai pasangan yang paling romantik, Aaron dan Diyana berkongsi gambar bulan madu mereka di laman Instagram.

Memilih destinasi Pulau Maldives yang cukup terkenal dengan keindahannya, pasangan ini meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang kesepuluh.

Tanpa kehadiran cahaya mata bersama, Aaron dan Diyana menikmati percutian itu bersama beberapa kenalan rapat mereka sahaja.

Pasangan ini berkahwin pada 2 Ogos 2003 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Danish Anaqi, Dwi Ariana dan Dahlia Arissa.

Siapa penyambung legasi 3R?

Posted: 20 Aug 2013 10:03 PM PDT


  • Siapa penyambung legasi 3R? Siapa penyambung legasi 3R?
3R (Respek, Relaks, Respon), sebuah program TV yang membincangkan isu-isu berkaitan kaum wanita khususnya golongan remaja secara terbuka dan tanpa berselindung kembali bertemu penonton TV3 dengan musim ke-15 pada tahun ini.

Selepas berehat selama 3 tahun, 3R Media dengan kerjasama TV3 bakal memperkenalkan barisan hos baru untuk musim baru menerusi 'Projek 3R'.

Program realiti 7 episod yang memaparkan persaingan 12 finalis untuk bergelar trio hos 3R baru bakal menemui penonton TV3 bermula 24 Ogos, setiap hari Sabtu jam 6 petang.

Padat dengan mesej positif dan progresif untuk wanita alaf baru, 3R menyasarkan calon-calon wanita muda yang berumur antara 21 hingga 26 tahun sebagai trio hos baru yang akan meneruskan legasi Azah Yasmin Yusof (Azah), Rafidah Abdullah (Rafidah), Low Ngai Yuen (Yuen), Kartini Ariffin (Tini) dan Celina Khor (Celina).

Seramai 1000 peserta telah hadir ke sesi uji bakat yang berlangsung selama 6 minggu pada bulan Mei dan Jun 2013 di sekitar negara, namun hanya 12 finalis yang terpilih untuk menyertai program 'Projek 3R'. Lebih menarik, Azah, Rafidah, Yuen, Tini dan Celina juga bertindak sebagai mentor mereka dalam membimbing dan berkongsi pengalaman.

12 finalis Projek 3R terdiri daripada Jasmine (Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 23, Selangor), Dayah (Nur Hidayah Abu Bakar, 24, Kuala Lumpur), Puteri (Puteri Zulaiqha Mohd Arif, 23, Kuala Lumpur), Amirah (Siti Nor Amirah Mohamad Azmi, 22, Putrajaya), Nora (Nora Shikeen Abdul Rahim, 21, Kuala Lumpur),

Zetty (Zetty Nabila Muhamad Ghazali, 22, Kuala Lumpur), Yvonne (Lee Yvonne, 24, Selangor), Fiona (Fiona Cheong, 22, Selangor), Tamila (Tamilarasi, A/P Manium, 21, Perak), Sara Z (Sara Nadzirah Zulkifli, 22, Selangor), Sarah Lois (Sarah Lois Dorai, 21, Sarawak) dan Zeek (Haziqah Azemi, 21, Kuala Lumpur).

Kesemua finalis Projek 3R diberikan beberapa sesi latihan dan bengkel oleh pihak produksi untuk mengasah kemahiran dan menambah ilmu  mereka tentang kualiti yang diperlukan untuk bergelar hos 3R.

Selain kemahiran berkomunikasi, mereka juga perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menyahut apa saja cabaran yang diberikan. Kreativiti dan kerjasama juga merupakan kunci kejayaan bagi mereka untuk membuktikan kemampuan dan kredibiliti sebagai hos 3R.

Dicetuskan oleh Datin Paduka Marina Mahathir dan Lina Tan, 3R sering membincangkan isu-isu yang berkait rapat dengan remaja dan wanita muda secara terbuka dan tanpa selindung yang mencabar piawaian penapisan TV di Malaysia.

Layari laman sesawang rasmi, www.3r.com.my dan www.tv3.com.my serta ikuti perkembangan terkini daripada 3R dan TV3 menerusi Facebook di bawah akaun nama 3R Malaysia dan TV3Malaysia.

Black-Chira bakal bulan madu di Makkah

Posted: 20 Aug 2013 10:02 PM PDT


  • Black-Chira Black-Chira
AKHIRNYA, juara Mentor musim ketiga, Black Hanifah atau Hanifah Md Hanafiah, 26, mengumumkan tarikh pernikahannya dengan gadis pilihan, Naquira Yasira Mohd Khairi, 28, atau Chira.

Memilih 13 September ini, majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di Zebra Square, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

"Sejak dari dulu lagi, saya telah berniat untuk melangsungkan majlis pernikahan pada hari Jumaat untuk mendapat keberkatan.

"Manakala bagi majlis resepsi pula akan diadakan keesokan harinya dan kedua majlis ini diadakan di tempat yang sama," katanya dalam satu sidang media khas semalam.

Majlis sidang media itu turut dihadiri kedua ibu bapanya, Hanafiah Che Din dan Muslamah Othman serta Ketua Jabatan Pengurusan 8 Unit, Jacynta Au Yong.

Sementara itu, majlis resepsi pihak lelaki pula akan berlangsung pada 15 September (Ahad) di Padang PPR Kerinchi, Pantai Dalam.

"Saya tidak mengehadkan jumlah tetamu kerana ia terbuka kepada semua orang.

"Bagi saya ia merupakan hari bahagia dan tidak menghalang sesiapa sahaja untuk menghadiri majlis ini," katanya yang berhasrat membawa bakal isteri dan kedua ibu bapanya untuk menunaikan umrah selepas tamat majlis perkahwinan tersebut.


Anak saudara Umie Aida

Jika sebelum ini dia enggan mendedahkan identiti bakal isterinya itu, kini Black bersikap terbuka memandangkan perkahwinan mereka akan berlangsung tidak lama lagi.

"Kami hanya berkenalan dalam tempoh yang singkat dan dua bulan kemudian kami terus bertunang.

"Dia merupakan anak saudara kepada aktres dan penyanyi popular, Umie Aida dan pernah belajar di Melbourne, Australia.

"Pada saya, Chira begitu sempurna dalam segala-gala hal terutamanya bab memasak dan saya sangat suka masakannya," kata Black.

Mengulas mengenai isu ditipu perunding perkahwinan dengan kerugian RM30,000, Black berkata, dia akan membawa perkara itu ke mahkamah.

"Saya telah melaporkan kepada pihak polis kerana segala bukti mengenai penipuan ini saya masih menyimpannya.

"Walaupun pihak berkenaan sudah membayar separuh daripada pendahuluan itu namun sehingga sekarang tidak memulangkan baki wang saya," katanya.

Dulu pengemis jalanan....Tegar kini artis terkenal

Posted: 20 Aug 2013 10:00 PM PDT


  •  Tegar Tegar
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Satu ketika dahulu, si kecil ini sering kali menjadikan kaki lima dan kota-kota kecil di sekitar Indonesia sebagai tempat mencari rezeki.

Dengan bertemankan sebuah gitar kecil, dia menjadi penghibur jalanan untuk membantu keluarganya demi sesuap nasi.

Seawal usia enam tahun, Tegar atau nama sebenarnya, Tegar Septian, 12, mula diasuh menjadi pengemis.

Selain mendapatkan wang dengan petikan gitar, Tegar juga turut membuat pekerjaan lain seperti mengambil upah mencuci kereta.

Malah, Tegar terpaksa mengorbankan zaman persekolahannya demi membantu keluarga yang kesempitan.

Bukan sahaja dirinya, malah ibunya, Ratna Dwi Asih juga turut menjadikan stesen kereta api berdekatan sebagai tempat mencari pendapatan dengan usaha pengemis.

Bapa tirinya pula bekerja sebagai buruh binaan dan kadang kala turut menjadikan pekerjaan yang sama untuk menyara kehidupan mereka demi membesarkan tiga adiknya yang lain.

Walaupun membesar di persekitaran yang serba kekurangan, namun Tegar dikurniakan suara emas yang mampu menghiburkan orang ramai.

Segalanya berubah setelah seorang daripada penuntut sebuah universiti di negara itu bertindak merakam nyanyian Tegar dan terus memuat naik ke laman sosial YouTube, pada Mei tahun lalu.

Dengan alunan suara emas dan bertemankan petikan gitar kecil yang usang, Tegar menyanyikan lagu dendangan penyanyi dangdut, Ratna Koin, Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang, dengan liriknya sendiri.

Video yang dimuat naik itu berjaya mendapat perhatian pengikut dunia maya termasuk di luar Indonesia sehingga mencatat lebih daripada tujuh juta tontonan.

Bermula saat itu, ramai yang mula mencari Tegar dan kagum dengan kelebihan yang dimiliki si cilik ini.

Kelibat Tegar mula mencuri tumpuan setelah memenangi satu pertandingan pencarian bakat yang dianjurkan sebuah syarikat telekomunikasi sekali gus, membawa nama Tegar ke persada seni Indonesia.

Persis artis terkenal, kehidupan Tegar bukan lagi di pondok usang namun, aktiviti hariannya masih lagi memerlukan gitar kecil untuk membuat persembahan.

Selain memiliki suara emas, Tegar juga mempunyai kemahiran dalam bermain alat muzik lain seperti drum dan piano.


Nekad bantu keluarga

Walaupun kehidupannya kini jauh berbeza, namun Tegar tidak pernah diasuh untuk bersikap angkuh.

Tetap berpegang pada kata-kata ibunya, Tegar sendiri tidak pernah menyangka kehidupannya yang getir sebelum ini berakhir dengan senyuman.

"Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka akan dikenali seperti ini. Seperti bait dalam lagu saya, saya teringin untuk menjadi kaya dan menghapuskan kesengsaraan keluarga.

"Saya bersyukur kerana berpeluang untuk mengubah kehidupan keluarga. Walaupun bukan kaya raya, namun sekurang-kurangnya saya dapat membantu keluarga dan memberi keselesaan kepada mereka.

"Saya berhasrat untuk membeli sebuah rumah untuk keluarga. Selain itu, saya juga akan kembali belajar untuk mendapatkan pelajaran yang terpaksa dikorbankan sebelum ini. Namun, atas kepadatan jadual kerja, saya terpaksa menggunakan kaedah belajar di rumah," katanya dalam satu temu bual di Indonesia.


Kehidupan di jalanan

Akui Tegar, kehidupannya sebagai pengemis jalanan bukanlah sesuatu perkara yang manis untuk dikenang. Malah, sepanjang tempoh itu, Tegar pernah terjebak di dalam kalangan pengemis cilik yang bermasalah.

"Saya pernah terjebak dalam masalah sosial seperti merokok dan minum arak. Pada awalnya, saya memang menolak, namun akhirnya terpengaruh dengan rakan-rakan.

"Kehidupan di jalanan sememangnya tidak lari daripada masalah seperti itu kerana tiada siapa yang mempedulikan kami kerana ibu bapa juga sibuk bekerja.

"Namun kini, saya sudah meninggalkan kesemua ketagihan itu dan pengurus saya banyak beri nasihat serta dorongan untuk meninggalkan masa lampau yang tidak memberikan sebarang kebaikan," katanya.

PROFIL
Nama Penuh: Tegar Septian
Tempat Lahir : Pemalang, Jawa Tengah
Tarikh Lahir : 19 September 2001
Bilangan Adik Beradik : Empat Orang (anak pertama)

Raja Ema serik berumah tangga?

Posted: 20 Aug 2013 09:58 PM PDT


  • Raja Ema Raja Ema dan RJ.
DUA kali gagal berumah tangga, membuatkan penyanyi, pelakon terkenal pada era 1980-an, Raja Ema Raja Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Raja Ema, 45, enggan lagi memikirkan soal berteman hidup.

Bukannya serik untuk berkahwin, jauh sekali menutup pintu hati kepada kaum Adam, buat masa ini, Raja Ema lebih selesa hidup solo meskipun keinginan untuk berumah tangga masih ada dalam hatinya.

"Bagi saya bukan senang untuk mencari pasangan yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam setiap hubungan yang terjalin.

"Tapi yang yang boleh saya katakan, buat masa ini saya lebih selesa bersama anak-anak yang sentiasa berada di sisi memberi semangat untuk saya terus mengorak langkah sehingga ke hari ini.

"Saya sudah mengenali pahit manis berumah tangga, soal perkahwinan bukanlah faktor utama saya buat masa ini, jika tiada pun dia bukan masalah yang besar bagi saya," kata yang memiliki dua anak lelaki, Putera Amar, 19, dan Putera Alqasha, 17, hasil perkahwinan bersama penyanyi Sheqal.

Raja Ema berkata, dalam usia yang semakin meningkat, perkahwinan bukan lagi menjadi keutamaan. Malah gelaran ibu tunggal juga tidak pernah memberi bebanan buatnya.

"Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Tetapi jika ada jodoh, saya tak akan tolak," katanya.


Rahsia awet muda

Meskipun usianya hampir mencecah separuh abad, namun penyanyi yang pernah popular dengan lagu Jejaka Idaman dan Angan-Angan ini masih kelihatan awet muda.

Tidak berselindung, Raja Ema mengakui dia menjalani rawatan kosmetik 'thread lift' bagi mengekalkan kecantikan dan awet muda.

Menurutnya, rawatan 'thread lift' mampu menegangkan kulit wajah tanpa sebarang kemudaratan.

"Dalam usia saya yang semakin meningkat ini, penampilan perlu dijaga, bila memasuki peringkat umur macam saya ini, kulit-kulit memang tidak tegang macam zaman muda dahulu.

"Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan tersebut, tujuan sebenar saya membuat rawatan ini bukan untuk mengubah bentuk muka sebaliknya menjaganya agar ianya kelihatan lebih baik.

"Rawatan ini, tidak melakukan sebarang pembedahan cuma ianya adalah prosedur yang normal dan tiada sebarang penggunaan botoks dan sebagainya," katanya.
Tambahnya, bukan menjadi halangan bagi seseorang untuk menjaga penampilan dengan lebih baik, tapi perlu mengikut cara yang betul.


Kembali dengan Warna Hatiku

Akui rindu untuk kembali menyanyi, Raja Ema akhirnya kembali dengan single terbaharu, Warna Hatiku setelah 24 tahun menyepi tanpa sebarang album.  Lagu duetnya bersama RJ yang popular dengan lagu, Teman Pengganti bersama Black itu turut mendapat sambutan baik oleh peminat muzik dan sering diputarkan radio tempatan.

"Alhamdulillah, kini saya telah mengeluarkan sebuah single terbaru setelah sekian lama saya tidak muncul mewarnai seni hiburan.
"Saya berasa bersyukur apabila hasrat untuk kembali dalam dunia seni akhirnya tercapai menerusi single Warna Hatiku yang akan dimuatkan dalam album Pertemuan Seribu Kenangan.

"Pada awalnya, saya ingin menjadikan bidang lakonan dan nyanyian ini sebagai kerja sambilan, namun atas dorongan semua pihak membuatkan saya lebih bersemangat
untuk meneruskan karier ini," katanya yang kali terakhir tampil dengan lagu, Tidakkah Aku Menyintaimu pada 1989.

Mengulas lanjut mengenai lagu tersebut, Raja Ema berkata, lirik lagu itu digarap mengikut kesesuaian muzik dan selera pendengar masa kini.

"Kali ini saya ingin memberi kelainan tersendiri dengan alunan rentak rap bersama RJ. Namun rentaknya masih dikekalkan mengikut kesesuaian vokal saya.

"Untuk album penuh, saya masih mengekalkan lagu yang lama seperti Jejaka Idaman, Pertemuan Ini, Kekasih Sepi, Angan-angan, Sebuah Catatan Remaja dan Mentari Korea," katanya yang selesa berkolaborasi dengan RJ.

Kembali aktif dalam bidang seni, aktres yang pernah membintangi filem Sayang, Mawar Merah, Boss, Queen Control dan Cikgu Romantik ini meluahkan rasa syukur kerana ia mendapat sambutan positif daripada peminatnya.

"Saya rasa gembira walaupun dah berpuluh tahun saya tidak muncul di kaca televisyen, namun lakonan saya masih diterima orang ramai.

"Saya juga bersyukur anak-anak dan keluarga tidak pernah menghalang saya meneruskan karier ini, malah mereka juga menjadi penguat semangat untuk saya hingga ke hari ini," katanya yang semakin banyak menerima tawaran lakonan.

Amar pilih selatan Thailand

Posted: 20 Aug 2013 09:56 PM PDT


  • Amar pilih selatan Thailand
ATAS tuntutan kerja, bintang siri popular, Setia Hujung Nyawa, Amar Asyraf akui tiada masa untuk berbulan madu bersama isteri, Arna Salleh yang dinikahinya pada awal Jun lalu.

Menurut Amar, disebabkan jadualnya yang padat, majlis resepsi sebelah pihak lelaki juga terpaksa dijalankan dua bulan selepas tarikh pernikahan mereka.

"Memandangkan saya dan isteri memang sukakan pantai, kami rancang untuk ke selatan Thailand sama ada Koh Samui atau Krabi," katanya yang melangsungkan majlis resepsi, 17 Ogos lalu.

Berkongsi pengalaman bergelar suami, Amar akui pada awalnya dia agak kekok.

"Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan sekarang bersama isteri saya. Cuma pada awal-awal memang agak kekok, tapi semuanya bertambah baik.

"Sejak berkahwin juga, isteri lebih memahami kerjaya saya sebagai seorang pelakon dan sebagai suami, saya juga akan lebih menjaga batasan," katanya.

Sambung pelajaran

Dalam pada itu, Amar memberitahu, dia akan melanjutkan pelajarannya dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Seni di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Kata Amar, dia akan mengurangkan aktiviti seni bagi beri perhatian terhadap pelajarannya selama lima tahun secara separuh masa.

"Saya memang cintakan bidang lakonan, tapi dalam masa yang sama saya mahu menjadi seorang pensyarah. Bagi saya sudah tiba masanya di negara ini industri seni berkembang lebih maju dan teratur di mana pelakon-pelakon diberi latihan.

"Secara jujurnya saya tidak rasa rugi untuk kurangkan aktiviti lakonan dalam masa nama saya sedang meningkat naik kerana apa yang saya kejarkan bukanlah populariti namun kualiti lakonan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Amar bakal menjalani penggambaran drama slot Aksi arahan Kabir Bhatia bersama pelakon Remy Ishak dan Faizal Hussein.

Aura Yuna

Posted: 20 Aug 2013 09:54 PM PDT


  • Aura Yuna
NAMA Yunalis Zarai atau Yuna tidak perlu diperkenalkan lagi kerana memiliki kehebatan vokal yang tiada bandingannya.

Meraih kejayaan demi kejayaan di tanah air sendiri, anak jati Alor Setar, Kedah, ini turut mencipta nama di peringkat antarabangsa sehingga digelar sebagai 'Norah Jones' oleh penerbit dan komposer tersohor, David Foster.

Kehebatan pelantun lagu Terukir Di Bintang, bukan sahaja membuka mata rakyat Malaysia, bahkan juga telah mengharumkan nama negara di mata dunia.

Lagu Inggeris dendangannya, Shine Your Way Be, kolaborasi bersama Owl City, mendapat sambutan serta pujian di seluruh pelosok dunia.

Turut dijadikan sebagai lagu tema untuk filem animasi popular, The Croods, yang telah ditayangkan di pawagam Mac lalu. Sejak dilancarkan lima bulan lalu, lagu ciptaan Alan Silvestri dan Glen Ballard yang pernah mencipta lagu untuk penyanyi terkenal dunia seperti Michael Jackson, Alanis Morissette serta No Doubt itu menerima tontonan lebih dua juta pelayar YouTube.

Tidak terhenti di situ, Yuna turut melancarkan video single terbarunya, I Wanna Go, awal bulan lalu. Lagu ciptaannya bersama Verve itu bagaimanapun hanya dipasarkan di Amerika sahaja.

"I Wanna Go merupakan single pertama yang saya pilih untuk EP. Muziknya digarap dengan eleman ketimuran, yang mana akan ada bunyi kompang dihasilkan daripada gendang.

"Saya memang memberi kelainan terhadap lagu ini dan saya berharap ia akan mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat muzik," kata Yuna yang akan tampil dengan  album penuh pada September ini.

Tidak meminggirkan peminat tempatan, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu, Dan Sebenarnya ini turut melancarkan dua single terbarunya iaitu Lelaki... dan Dwihati (bersama Aizat), yang semakin rancak diputarkan di corong-corong radio tempatan.

Terima pujian Rihanna

Selepas kejayaannya melalui lagu Shine Your Way, Yuna kini rancak mengembangkan empayar seninya di Amerika Syarikat, apatah lagi dia sibuk menyusun jadual untuk konsert jelajahnya mengelilingi benua Uncle Sam itu.

Melalui lagu tersebut, bakat yang dimiliki Yuna bukan sahaja menerima pujian daripada peminat, bahkan turut dikagumi oleh pencinta muzik tanah air.

Apatah lagi dia berjaya menarik minat penyanyi Hollywood, Rihanna menerusi Twitter rasminya, memuji suara dan bakat yang ada pada Yuna.

"Saya menyukai suara kamu yang unik dan berbeza dengan penyanyi lain.

"Anda antara penyanyi yang terbaik pernah saya temui," kata Rihanna.

Dalam masa sama, Yuna membalas pujian tersebut dengan ucapan terima kasih di atas penghargaan penyanyi yang terkenal dengan lagu Diamonds itu.

Malah tidak mustahil kelak, Yuna akan menarik perhatian penyanyi-penyanyi popular antarabangsa untuk berkolaborasi.

Bukan bersandarkan pada impian semata-mata, gadis manis yang masih mengekalkan imejnya yang bertudung itu turut di undang ke rancangan bual bicara popular Amerika, Conan sekitar April lalu.

Menerusi rancangan tersebut, Yuna turut mendedahkan single seterusnya, Live Your Life, turut mendapat kolaborasi bersama penyanyi Rap terkenal, Pharrell Williams. Malah lagu tersebut turut dimuatkan dalam album penuhnya.

Inspirasi, karya baru

Berkongsi pengalaman ketika berada di luar negara, Yuna berkata, penat lelahnya berulang alik dari Malaysia-Los Angeles ternyata semakin membuahkan hasil.

Selain dapat mengembangkan bakatnya, dia juga dapat menimba lebih ilmu terutamanya dalam penciptaan lagu.

Akui Yuna, bekerja dengan komposer dari pelbagai latar belakang memberikannya pengalaman baru yang menyeronokkan.

"Saya telah bertemu dengan pelbagai jenis individu dan ia telah membantu beri inspirasi dalam lagu yang dicipta.

"Walaupun dapat bersama dalam tempoh yang singkat namun kami telah menjadi kawan rapat," ujarnya yang meminati muzik Fiona Apple, Feist, The Cardigans, Coldplay dan Francoise Hardy.

Yuna berkata, dia juga berminat untuk mencuba pelbagai genre muzik dan ingin menghasilkan kelainan dalam setiap karyanya.

"Ketika saya belajar bermain gitar dan menulis lagu pertama, lagu saya dipengaruhi dengan muzik folk dan jazz.

"Kini saya lebih terbuka dan mencuba pelbagai jenis muzik termasuklah trip hop, orkestra dan R&B," katanya.

Ramai bimbang tak mampu beli rumah

Posted: 20 Aug 2013 09:52 PM PDT


  • Ramai bimbang tak mampu beli rumah Pembeli di Malaysia, Indonesia, Hong Kong dan Singapura hadapi masalah sama untuk membeli rumah. (Gambar hiasan)
SATU kaji selidik harta rentas sempadan oleh iProperty Group, pemilik dan pengendali rangkaian laman sesawang harta utama Asia, menunjukkan pengguna di Malaysia, Indonesia, Hong Kong, dan Singapura terus menganggap kemampuan sebagai kebimbangan utama, di sebalik langkah-langkah bertenang yang diperkenalkan oleh kerajaan di rantau ini.

Di semua empat negara, responden lebih sependapat daripada berbeza pendapat.

Persamaan utama termasuklah kemampuan dan harga rumah semakin meningkat yang terus menjadi kebimbangan terbesar responden di empat negara.

iProperty Group memanfaatkan laman webnya di Malaysia (iproperty.com.my), Indonesia (Rumah123.com and rumahdanproperti.com), Hong Kong (GoHome.com.hk), dan Singapura (iproperty.com.sg) sebagai saluran untuk mengukur pendapat beribu-ribu pengguna di rantau ini.

Kaji selidik itu melibatkan hampir 30,000 responden, kebanyakannya berusia antara 26 dan 50 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif iProperty Group, Shaun Di Gregorio berkata, hasil kaji selidik itu menunjukkan satu peratus daripada responden itu adalah pembeli rumah kali pertama di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

"Faktor pertimbangan mereka apabila membuat keputusan membeli harta juga telah berubah, dengan lokasi mengatasi harga. Ini berbeza dengan enam bulan lepas.

"Di Malaysia, Indonesia dan Hong Kong, yang mendorong responden membeli harta ialah hasrat memiliki rumah sendiri, manakala responden Singapura menganggapnya sebagai pelaburan jangka panjang," katanya ketika mengumumkan hasil kaji selidik itu, semalam.

Penerima bantuan JKM, dibebani cukai taksiran

Posted: 20 Aug 2013 09:48 PM PDT


  • Penerima bantuan JKM, dibebani cukai taksiran Mesah menunjukkan notis cukai taksiran yang diterimanya.
CHENDERAH - Sebuah keluarga yang serba kekurangan di Taman Chenderawasih, di sini, dibelenggu kebimbangan selepas gagal melunaskan cukai taksiran berjumlah RM355.70 yang diterima baru-baru ini.

Mesah Yahya, 58 berkata, jumlah itu meliputi tunggakan cukai bagi tempoh dua penggal.

Menurutnya, pada awal Julai lalu, mereka menerima notis daripada pihak Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) yang meminta supaya tunggakan bagi cukai taksiran diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan dan sekiranya gagal ada kemungkinan rumah yang duduki akan disita.

"Perbelanjaan harian keluarga sahaja sering tidak mencukupi bagaimana pula ingin menjelaskan tunggakan berkenaan.

"Walaupun menerima bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), namun bantuan itu cukup-cukup digunakan untuk menyara keluarga dan anak yang bersekolah,"  katanya.

Mesah yang hampir lumpuh separuh badan berkata, sebelum ini segala perbelanjaan ditanggung olehnya dan anak lelakinya, Mohammad Nor Sahalan Roslan, 20, yang bekerja  kilang elektronik.

"Pendapatan saya sebagai pengawal keselamatan sekitar RM500 manakala pendapatan anak saya pula sekitar RM400 sebulan. Namun, kini hanya Mohammad Nor yang bekerja selepas saya terbabit dalam kemalangan April lalu.

"Mohammad Nor juga perlu membantu saya menyara adik bongsunya, Nur Zahida Dalila, 19, yang kini belajar di tingkatan enam dan  dua cucu yang bersekolah," katanya.

Sementara itu, wakil MPJ yang dihubungi berkata,  pihaknya  prihatin terhadap keluarga yang kurang berkemampuan bagi menjelaskan bayaran cukai yang dikenakan.

"Mereka perlu memberikan kami surat rayuan dengan menyertakan bukti penerimaan bantuan bulanan daripada pihak tertentu seperti JKM atau Maim (Majlis Agama Islam Melaka).

"Menerusi surat rayuan itu, pihak kami akan mempertimbangkannya cara pembayarannya yang mana mungkin boleh dilakukan secara ansuran mengikut kemampuan keluarga berkenaan," katanya.

Imam nafi cium mulut amalan kariah

Posted: 20 Aug 2013 09:45 PM PDT


  • Imam nafi cium mulut amalan kariah Wartawan sedang menemu bual Mokhtar (kanan).
PENDANG – Video adegan jemaah cium mulut khatib sebaik selesai membaca khutbah Hari Raya Aidilfitri di sebuah masjid yang dikatakan berlaku di Daerah Pendang tersebar luas melalui laman sosial baru-baru ini.

Penyebaran video itu mengejutkan ramai pihak malah ada yang menyifatkan perbuatan tersebut dilakukan oleh golongan fahaman Syiah. Kelakuan yang dirakamkan dilihat pelik apabila beberapa jemaah meluru dan menunggu di belakang khatib.

Video berdurasi 2:02 itu mendapati beberapa jemaah bertindak meluru ke arah mimbar ketika khatib sedang membaca khutbah dan diakhiri video itu dikatakan seorang jemaah terbabit bertindak mencium mulut khatib berkenaan sebaik sahaja selesai berkhutbah.

Justeru itu, Sinar Harian berusaha mencari khatib yang dimaksudkan dalam video itu dan difahamkan kejadian itu berlaku di Masjid Ar-Rahman Kampung Paya Kerchut Pendang.

Imam Masjid Ar-Rahman Kampung Paya Kerchut, Mokhtar Mohamad kelihatan tenang ketika Sinar Harian memperkenalkan diri dan menjelaskan bahawa dakwaan laman sosial mengatakan seorang jemaah bertindak mencium mulutnya adalah tidak benar.

"Adegan cium mulut sama sekali tidak berlaku dan saya rasa sudut kamera ketika video itu direkodkan menampakkan seolah jemaah itu mencium mulut saya.

"Pada hakikatnya, jemaah meluru dan menunggu di belakang saya bertujuan untuk bersalam, memeluk dan berlaga pipi sahaja," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di masjid itu semalam.

Jelasnya, bersalaman, memeluk dan berlaga pipi merupakan perkara yang sering dilakukan dalam kariah ini sejak puluhan tahun dahulu.

"Budaya ini menjadi keseronokan pada hari raya bagi anak kariah masjid ini dan satu kegembiraan bagi anak kariah pertama yang dapat bersalaman dan memeluk imam menyebabkan mereka berebut datang ke hadapan.

"Ada golongan menyifatkan perbuatan tersebut adalah amalan Syiah namun selama 13 tahun saya menjadi imam masjid ini mendapati tiada pengikut Syiah dalam kariah ini," katanya.

Mokhtar berkata, budaya memeluk, berlaga pipi sering dilakukan oleh anak kariah terdiri daripada anak murid, saudara-mara dan kenalan rapat.

Katanya, dua jemaah yang tunggu meluru ke arah mimbar adalah jirannya dan merupakan anak kariah yang sering datang ke masjid melakukan solat secara berjemaah.

Sementara itu, katanya, beliau juga telah mengumumkan permohonan maaf ketika solat Jumaat lepas di masjid itu daripada seorang jirannya yang memuat turunkan video tersebut.

"Jiran saya yang menetap di Putrajaya dan pulang berhari raya telah memuat turunkan video itu namun dia memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon bahawa tidak berniat untuk menjadikan perkara yang berlaku sekarang.

"Dia juga minta maaf kepada saya dan minta saya yang dipanggilnya Pak Long agar membuat pengumuman di masjid menjelaskan perkara sebenar kepada anak-anak kariah," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul ketika dihubungi berkata dia telah mengetahui perkara itu dan menjelaskan budaya berpeluk dan mencium imam adalah perkara biasa bagi penduduk kampung di situ.

"Saya orang kampung ini dan ketika kejadian saya ada dalam masjid itu. Budaya peluk, cium dengan imam adalah kebiasaan di sini. Cerita cium mulut tak benar," katanya.

Shuib sangat sabar dengan kerenah saya - Jep Sepahtu

Posted: 20 Aug 2013 09:36 PM PDT

DI SEBALIK tugasnya untuk membuatkan orang lain ketawa, Jep mengakui tekanan kerjaya sebagai pelawak tidak kurang hebatnya.


BERHASIL menumpaskan nama-nama besar pelawak lain sehingga dinobatkan sebagai Artis Lawak Lelaki Paling Popular pada Anugerah Lawak Warna yang berlangsung di Istana Budaya, minggu lalu memberikan kenangan tersendiri buat pelawak Jep Sepahtu.
Jep atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Zainal Abidin berkata, ia merupakan anugerah pertama yang diraihnya secara solo sepanjang bergelar artis.
Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama Jep.
Kosmo: Ini merupakan kali pertama anda merangkul sebuah anugerah yang besar. Boleh ulas tentang kejayaan ini?
JEP: Sudah tentu ia satu kejutan kepada saya, apatah lagi ia kategori popular sementelah pemilihan dibuat menerusi undian peminat.
Saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini meskipun terpaksa bersaing dengan calon-calon yang tidak kurang hebatnya seperti Datuk AC Mizal, Johan, Zizan dan Yus Jambu.
Adakah kejayaan tersebut memberi tekanan kepada anda selepas ini?
Bagi saya, sama ada menang anugerah atau tidak, tekanan yang dilalui itu sama sahaja. Orang ramai melihat kerja menjadi pelawak ini senang, tetapi hakikatnya bukan mudah untuk buat orang ketawa.
Bagaimanapun, saya beruntung kerana mendapat rakan gandingan iaitu Shuib dalam kumpulan lawak Sepahtu. Rasanya tanpa kehadiran dia, mungkin saya tidak berada dalam landasan sekarang.
Setelah kumpulan Sepah berpecah, anda dan Shuib telah menubuhkan Sepahtu. Apakah perkembangan Sepahtu sejak ia diwujudkan pada tahun 2011?
Secara jujurnya, saya mengakui saya seorang yang sangat cerewet. Kalau ada sesuatu yang tidak kena saya akan berterus-terang sahaja, tetapi cerewet saya itu bersebab.
Sebagai contohnya, kalau kami berbincang mengenai jenis persembahan yang akan ditampilkan kepada penonton, saya akan tolak idea yang diberikan Shuib kalau saya rasa ia tidak sesuai.
Namun begitu, saya bukanlah menolaknya sesuka hati sahaja, tetapi saya akan sertakan sekali dengan sebabnya. Saya rasa sikap cerewet itu perlu untuk kebaikan bersama.

JEP mengaku dia dan Shuib selalu berselisih pendapat dalam usaha memberikan persembahan terbaik.


Adakah sikap berkenaan pernah menimbulkan pergeseran dengan Shuib?
Kalau pergeseran kecil itu memang selalu berlaku, tetapi masing-masing tidak pernah ambil hati. Lagipun Shuib juga berhak menolak idea saya sekiranya tidak sesuai untuk dipersembahkan.
Sebenarnya Shuib seorang yang sangat sabar dengan kerenah saya. Ia menjadi faktor paling utama kami dapat terus bertahan sehingga sekarang.
Apakah pandangan anda terhadap Anugerah Lawak Warna yang buat kali pertama dianjurkan?
Pertama sekali saya cukup berbangga dengan pihak Astro kerana menganjurkan anugerah ini. Ia telah meletakkan dunia komedi tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi.
Ceritakan perkembangan aktiviti seni anda selepas cuti Aidilfitri?
Dalam tempoh terdekat ini saya akan menyertai rancangan Super Spontan untuk musim kedua. Bersama Sepahtu pula kami akan terbabit dalam sebuah pertandingan realiti, namun belum boleh diumumkan lagi.
Tentang tawaran lain pula memang banyak yang diterima, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana faktor masa.
Kalau boleh saya tidak mahu bersikap tamak dengan mengambil apa sahaja tawaran kerana ia boleh menjejaskan reputasi saya sebagai pelakon dan pelawak.

Istanbul Aku Datang diiktiraf komedi terbaik

Posted: 20 Aug 2013 09:35 PM PDT

LISA SURIHANI dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Wanita Terbaik kategori filem.


FILEM terbitan Grand Brilliance dan Red Films, Istanbul Aku Datang memenangi empat anugerah utama, termasuk Filem Komedi Terbaik pada acara Anugerah Lawak Warna yang julung-julung kali diadakan di Istana Budaya minggu lalu.
Dalam kategori berkenaan, filem arahan Bernard Chauly itu menewaskan empat filem komedi lain seperti Adnan Sempit 2, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Pontianak Vs Orang Minyak dan Rock Oo.
Penerbit Red Films, Lina Tan berkata, pihaknya langsung tidak menyangka dengan kemenangan itu memandangkan saingan sengit daripada filem-filem lain.
"Sudah tentu ini satu kejutan buat seluruh warga kerja filem Istanbul Aku Datang. Lagipun, pihak Red Films dan Grand Brilliance tidak meletakkan harapan besar untuk menang.
"Bagaimanapun, ia kini menjadi satu sejarah buat kami memandangkan ia filem pertama dinobatkan sebagai Filem Komedi Terbaik pada anugerah lawak sulung ini," ujarnya ketika ditemui selepas acara berakhir.
Ditanya pandangannya terhadap kejayaan Istanbul Aku Datang, Lina berpendapat kekuatan filem berkenaan ialah konsep ceritanya yang berbeza daripada filem komedi lain.
Ujarnya, filem genre romantik komedi itu diselitkan dengan kisah romantik dan permainan emosi yang membabitkan pelakon utamanya.
"Kalau kita lihat Lisa Surihani dan Beto Kusyairy bukanlah pelakon komedi atau pelawak, tetapi mereka berjaya membawakan karakter komedi dalam watak masing-masing sekali gus memberi impak kepada penonton," jelasnya.
Selain dinobatkan sebagai Filem Komedi Terbaik, filem berkenaan turut merangkul tiga lagi anugerah iaitu Lakon Layar Komedi Terbaik Filem, Pengarah Komedi Terbaik Filem (Bernard Chauly) dan Pelakon Komedi Wanita Terbaik Filem (Lisa Surihani).
Sementara itu, inisiatif Astro menganjurkan acara anugerah berkenaan mendapat reaksi positif daripada penggiat komedi tempatan.

OTHMAN HAFSHAM terharu dengan pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Juri.


Pengarah Othman Hafsham yang meraih Anugerah Khas Juri pada acara tersebut berkata, ia satu usaha keras untuk memartabatkan lagi komedi dalam dunia hiburan tempatan.
"Melihat kepada keadaan dunia komedi sekarang, semakin ramai pelawak yang muncul dan memeriahkan industri seni. Jadi, sewajarnya perlu ada satu anugerah untuk mengiktiraf bakat mereka.
"Sebagai individu yang sudah berkecimpung selama 30 tahun dalam komedi, saya ingin nasihatkan pelawak baharu supaya banyak membaca dan menonton rancangan komedi luar negara untuk mendapatkan idea lebih segar dan diterima penonton," jelasnya yang dikenali menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tangtu.
Acara tahunan
Mengenai penganjuran Anugerah Lawak Warna yang diadakan baru-baru ini, ramai pihak yang melihat ia telah berlangsung dengan jayanya.
Ketua Saluran Premium Astro, Nizam Sani memberitahu, pihaknya sangat berpuas hati dengan perjalanan acara tersebut serta persembahan barisan artis yang cukup menghiburkan.
"Kalau melihat kepada sambutan yang diterima, tidak mustahil acara anugerah ini bakal menjadi acara tahunan. Namun begitu, perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan lanjut sebelum keputusan dibuat.
"Sekiranya ia dianjurkan lagi pada tahun hadapan, segala kelemahan yang ada akan diperbaiki.
"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Istana Budaya kerana menyediakan sebuah lokasi yang begitu berprestij," ujarnya.
Mengenai pemenang dalam setiap kategori yang dipertandingkan, Nizam berharap tiada pihak yang mempertikaikan keputusan juri yang dilantik.
"Saya ingin tegaskan bahawa Astro langsung tidak masuk campur terhadap keputusan yang dibuat. Kami telah melantik pihak audit yang akan menapis setiap keputusan yang diumumkan semasa acara berlangsung," ujarnya.

Kecoh Kampung Kupang dilanda gempa bumi lemah

Posted: 20 Aug 2013 09:32 PM PDT



PAPAN tanda menunjukkan Kampung Kupang di Baling, Kedah yang dilanda gempa bumi semalam.



BALING - Satu gempa bumi melanda Kampung Kupang di sini pada pukul 8.26 pagi semalam sekali gus mengejutkan penduduk kampung tersebut yang dapat merasainya buat kali pertama selama seminit.
Gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk memandangkan Malaysia berada di luar Lingkaran Api Pasifik.
Jurucakap Jabatan Meteorologi ketika dihubungi mengesahkan gempa bumi tersebut berpusat di 11 kilometer selatan Baling dan kesan gegaran boleh dirasai di sekitarnya.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kemalangan atau kerosakan yang berlaku disebabkan gempa bumi itu.
"Pihak polis dan pegawai Jabatan Meteorologi telah melawat ke lokasi yang dilaporkan berlaku gegaran dan mendapati tiada kemalangan atau kerosakan berlaku," katanya ketika kepada Kosmo! semalam.

Dituduh curi barang kemas ibu

Posted: 20 Aug 2013 09:30 PM PDT

KHAIRUL IHSAN ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang pemuda yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri barang kemas milik ibunya terpaksa bermalam di lokap selepas ibu bapanya tidak hadir untuk menjamin anak mereka.
Terdahulu, Khairul Ihsan Mohamed Razman, 34, yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut disyaratkan oleh Majistret Nik Habri Muhamad supaya dijamin oleh salah seorang penjaga sama ada ibu atau bapanya sahaja.
Pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak kelihatan di mahkamah semalam.
Khairul Ihsan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa mencuri sebuah beg biru gelap mengandungi pelbagai barangan kemas bernilai RM45,000 di rumahnya di Kampung Wakaf Stan pada pukul 1.30 petang, 8 Ogos lalu.

Kes 3 atlet rogol 20 September

Posted: 20 Aug 2013 09:29 PM PDT


TIGA atlet bola baling yang menghadapi tuduhan merogol pegawai pengiring bola baling dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan kes tiga atlet lelaki skuad bola baling yang didakwa merogol seorang pegawai pengiring ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 pada Julai lalu untuk sebutan semula pada 20 September depan.
Hakim Yasmin Abdul Razak menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Tan Gin Han memaklumkan pihaknya belum mendapat laporan perubatan, forensik dan kimia bagi kes tersebut.
Mengikut pertuduhan, Adib Adha Ismail, 18, Megat Farzeril Faiz Megat Razali, 19, dan Mohammad Shaizzad Md. Shafie, 19, didakwa merogol mangsa berusia 20 tahun di sebuah bilik di Universiti Putra Malaysia (UPM), antara pukul 4 pagi dan 4.10 pagi pada 4 Julai 2013.
Bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sesi persekolahan di Mexico lumpuh akibat guru mogok

Posted: 20 Aug 2013 09:25 PM PDT



SEKUMPULAN murid sekolah rendah menunggu untuk masuk ke kelas masing-masing pada hari pertama persekolahan selepas cuti musim panas. Namun, 1.3 orang murid sekolah di Mexico tidak dapat bersekolah kerana guru mengadakan mogok.


BANDAR RAYA MEXICO - Sekurang-kurangnya 1.3 juta pelajar di Mexico terlepas sesi pertama persekolahan kelmarin apabila berpuluh-puluh ribu guru menyertai mogok kerana membantah pembaharuan dalam sistem pendidikan di negara itu.
Perubahan tersebut bermakna para guru yang tidak menunjukkan prestasi baik mungkin tidak dinaikkan pangkat atau berisiko dipecat.
Mogok di seluruh negara itu tertumpu di negeri Oaxaca, selatan Mexico.
Gabenor Oaxaca, Gabino Cue berkata, sebahagian 70,000 guru tidak hadir ke sekolah bagi membantah pembaharuan yang dilulus- kan pada Disember lalu oleh tiga parti utama di negara itu.
Secara keseluruhan, kira-kira 26 juta pelajar dan 1.2 juta guru kembali ke sekolah kelmarin selepas cuti musim panas berakhir.
Di negeri Guerrero, para guru hadir ke sekolah, namun mereka juga memberi amaran kemungkinan melancarkan mogok tidak lama lagi.
Setakat malam kelmarin, kira-kira 100 orang guru menyerbu Parlimen semasa sejumlah wakil rakyat membahaskan undang- undang pembaharuan pendidikan berasingan.
Kumpulan penunjuk perasaan membaling batu dan sebuah kereta diterbalikkan di luar parlimen.
Bagaimanapun, polis berjaya menyuraikan mereka.

Buang air kecil di luar mangkuk tandas akan didenda

Posted: 20 Aug 2013 09:24 PM PDT



MEREKA yang membuang air kecil di luar mangkuk tandas akan didenda sebanyak RM52.60.


BEIJING - Orang ramai di China yang mempunyai sikap suka membuang air kecil di luar mangkuk tandas yang disediakan ketika menggunakan tandas awam di Shenzhen akan didenda.
Bagaimanapun, draf undang-undang itu tidak menyatakan kuantiti minimum air kencing yang boleh dianggap sebagai satu kesalahan.
"Pengguna tandas awam yang biadap akan dikenakan denda sebanyak 100 yuan (kira-kira RM52.60) oleh pihak berkuasa bermula bulan depan," kata seorang pegawai kerajaan kepada AFP.
Para pengguna rangkaian media sosial weibo di China mula mempersenda langkah yang diambil itu. Ia dilihat meningkatkan lagi kemungkinan kumpulan pemeriksa tandas akan dilantik bagi memeriksa keadaan setiap tandas yang ada.
"Beberapa jawatan baharu penjawat awam akan diwujudkan. Terdapat penyelia di belakang setiap orang yang membuang air kecil untuk melihat sama ada mereka kencing betul-betul ke dalam mangkuk tandas," menurut satu komen sinis yang ditulis pada sekeping poster.
"Ini satu langkah yang sangat baik dan dijangkakan sebanyak 20 peluang pekerjaan dapat diwujudkan secara purata di setiap tandas awam di sini," jelas satu komen yang lain.

Ternak rusa, popularkan kampung

Posted: 20 Aug 2013 09:20 PM PDT




IMPIAN untuk melonjakkan nama Kampung Semeliang di Kuala Nerang dalam daerah Padang Terap, Kedah sebagai lokasi tumpuan pelancong giat diusahakan oleh seorang jurutera dengan membina sebuah pusat ternakan rusa.
Pusat ternakan yang diusahakan sejak lima tahun lalu itu diberi nama Semeliang Agro Farm sempena nama kampung tersebut yang terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari Alor Setar.
Pengusahanya, Nor Azhar Mohd. Noor, 41, berkata, minat yang mendalam terhadap haiwan sejak kecil mendorong dirinya membuka pusat ternakan rusa di tanah seluas 2.83 hektar.
Bermula dengan lima ekor rusa, kini bilangan haiwan eksotik itu bertambah kepada 150 ekor yang terdiri daripada baka jenis Timoresis dan Axis.
Menurut Nor Azhar, tahap matang bagi rusa ialah setahun enam bulan dan ketika ini rusa betina boleh bunting.
"Tempoh bunting bagi seekor rusa ialah tujuh bulan dan tiga ekor rusa terhasil dalam jangka masa dua tahun.
"Kebiasaannya rusa melahirkan seekor anak bagi setiap kelahiran. Ada juga rusa yang melahirkan anak kembar tetapi belum pernah berlaku di sini," katanya.
Minat Nor Azhar terhadap rusa timbul selepas dia pulang berjumpa dengan seorang penternak rusa di Pokok Sena, Alor Setar yang menternak haiwan tersebut berhampiran kediamannya.
"Saya dapati dia hanya menternak rusa di dalam kandang kambing dua tingkat. Dari situ saya mula terpikat dengan rusa kerana ia mudah dipelihara tanpa memerlukan tanah yang luas.
NOR AZHAR melakukan rutian hariannya iaitu memberi rumput kepada rusa peliharaannya.


"Selain itu, saya ingin memperkenalkan rusa kepada orang kampung terutama penduduk di Kampung Semeliang yang sebelum ini lebih terdedah pada ternakan lembu, kambing dan ayam," katanya.
Haiwan ternakan yang tahan lasak itu jelas Nor Azhar, mampu mengurangkan kos permulaan melaksanakan projek penternakan seperti kandang sebagai tempat berteduhnya.
Rusa lebih mudah dijaga selain tahan lasak terhadap penyakit dan tidak cerewet dalam soal pemakanan. Rusa makan apa sahaja jenis rumput dan daun kayu.
Ternak secara komersial
"Ketahanan haiwan ini jelas dapat dilihat sewaktu banjir besar melanda pada tahun 2010. Pada banjir tersebut, rusa terendam dalam air selama dua hari, tetapi hanya beberapa ekor anak rusa sahaja yang mati akibat dihanyutkan arus," kata Nor Azhar yang masih bertugas sebagai jurutera secara sambilan. Dia juga turut menternak lembu bali, burung unta, kambing dan kibas di pusat ternakannya.
Ternakan rusa yang dilakukan secara komersial sejak lima tahun lalu itu turut mendapat perhatian pelajar sekolah yang sering membuat lawatan
Rusa mula diperkenalkan sebagai haiwan ternakan komersial oleh kerajaan sekitar tahun 1980-an, namun ia kurang mendapat tempat di hati orang ramai.
Nor Azhar turut menyediakan khidmat nasihat terutama bagi mereka yang berminat untuk menternak rusa. Dia juga telah melatih dan memberi khidmat nasihat kepada lebih 30 penternak rusa di negeri Kedah.
Nor Azhar yang turut menyediakan bekalan daging rusa dan mengakui permintaannya kini semakin meningkat terutama pada musim kenduri dan perayaan.
"Rasa daging rusa memang sedap. Ia sesuai untuk dimasak kari atau kurma kerana rusa tinggi protein, rendah lemak dan kolesterol.

SEMELIANG Agro Farm ditubuhkan sejak lima tahun lalu.


"Namun, permintaannya yang terlalu tinggi menyebabkan bekalan kadangkala tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya.
Ditanya bagaimana dia mendapat kekuatan untuk menternak haiwan tersebut, Nor Azhar memberitahu, pada awalnya dia mendapat kritikan hebat sewaktu menyuarakan hasrat untuk membuka pusat ternakan tersebut. Namun, semuanya dianggap sebagai satu cabaran dan membakar semangatnya untuk berjaya.
"Ada yang kata, ada ke orang nak makan daging rusa, berapa lama nak bertahan, macam-macam lagi kata-kata negatif namun saya abaikan sahaja.
"Itulah yang menjadikan saya masih bertahan sehingga hari ini dan bertekad untuk mengembangkan ternakan ini," katanya.
Sokongan penduduk kampung
Nor Azhar berkata, apa yang diusahakan ini merupakan baktinya untuk mengangkat nama Kampung Semeliang.
Biarpun pada peringkat awal agak sukar mendapat kepercayaan daripada institusi kewangan untuk membuat pinjaman, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya.
Dia juga banyak belajar tentang rusa berdasarkan kajian dan pengalaman.
Berbekalkan modal RM20,000, kini Nor Azhar mampu menggajikan empat orang pekerja yang terdiri daripada penduduk tempatan.
"Saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada penduduk kampung walaupun pada awalnya saya dikritik. Ibu bapa dan keluarga banyak memberi sokongan tanpa berbelah bahagi," katanya.
Selain itu, usaha Nor Azhar untuk mengangkat nama Kampung Semeliang tidak terhenti di Semeliang Agro Farm. Kini, dia dalam perancangan untuk membuka homestay di kawasan tersebut.
"Homestay ini dibuka untuk memberi kemudahan kepada mereka yang datang ke sini untuk mempelajari mengenai ternakan rusa.

CALET yang terdapatdi Pedu Lake Resort, Padang Terap, Kedah.


"Secara tidak langsung, ia mampu menarik pelancong ke sini bagi menikmati keindahan Kampung Semeliang yang dikelilingi dengan sawah padi dan pokok getah.
"Harapan saya, apabila sebut sahaja rusa Kuala Nerang, orang akan sebut Kampung Semeliang dan terbayang rusa serta tahu lokasi pusat ternakan ini," katanya.
Nor Azhar yang mahu melihat lebih ramai penternak rusa di negara ini sedia memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang berminat. Dia boleh dihubungi di talian 012-408 9689.
Sementara itu, pelanggan yang ditemui memuji perkhidmatan yang ditawarkan Nor Azhar.
Abdullah Hashim, 48, berkata, pada zaman kanak-kanaknya untuk mendapatkan daging rusa, seseorang itu perlu keluar memburu haiwan tersebut di hutan yang mengambil masa hampir satu hari, namun belum tentu ia membuahkan hasil.
"Pemburu rusa juga perlu berhati-hati sewaktu masuk ke hutan kerana pelbagai cabaran terpaksa dilalui. Mereka juga perlu mengetahui kawasan yang sering menjadi tempat haiwan itu berkumpul.
"Namun berbeza dengan zaman sekarang, mudah sahaja. Saya hanya membuat tempahan dengan Nor Azhar dan mengambil bekalan daging pada hari yang ditetapkan," katanya.
Abdullah pernah membeli seekor rusa seberat 75 kilogram (kg) pada harga kira-kira RM2,500 untuk dijadikan sebagai menu majlis kenduri.
Katanya, agak sukar untuk mendapatkan daging rusa kerana tidak ramai yang menjalankan perniagaan tersebut berbanding lembu dan kambing.

Buang darah dalam longkang

Posted: 20 Aug 2013 09:20 PM PDT



PEMBUANGAN darah kotor melalui kaedah bekam ini dipercayai mampu mengubati penyakit dengan segera.



IBU kepada tiga orang anak, Lilavati Devi berdiri di bawah terik matahari di Delhi Lama sementara seorang pengamal perubatan dan pembantunya memeriksa urat darah di tangannya.
Selepas membuat pemeriksaan, doktor berkenaan membenamkan mata pisau cukur ke dalam kulit Devi untuk membolehkan darah kotor mengalir keluar. Titisan darah itu dihalakan ke dalam sebuah longkang.
Devi menderita penyakit artritis kronik. Dia percaya pengamal perubatan yang bernama Mohammed Gyas itu mempunyai kemahiran untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapnya melalui rawatan kuno pengeluaran darah.
"Perubatan moden dan sains telah gagal," ujar Devi sementara pembantu Mohammed menuangkan air sejuk di tangannya dan meletakkan serbuk herba berwarna kelabu di atas luka tersebut.
Tambah wanita itu, rawatan yang dilakukan lelaki Muslim berusia 82 tahun itu merupakan satu-satunya cara untuk menghilangkan sakit sendi yang dialaminya selama ini.
Sebelum ini, ramai doktor menggunakan kaedah yang telah berusia ribuan tahun itu untuk merawat pelbagai jenis penyakit sehingga akhir abad ke-19. Bagaimanapun, selepas kemunculan perubatan moden, rawatan tersebut semakin dipinggirkan.

DERETAN pesakit menghalakan aliran darah yang keluar dari tangan masing-masing ke sebuah longkang yang terletak berhampiran klinik tersebut.


Namun, ketika perkhidmatan perubatan sangat mahal dan senarai menunggu terlalu panjang, segelintir masyarakat miskin dan pedalaman di India memilih amalan tradisional seperti berbekam.
Setiap hari kira-kira 50 pesakit beratur di klinik terbuka berhampiran dengan Masjid Jama, sebuah masjid terbesar di India, semata-mata untuk mendapatkan rawatan daripada Mohammed yang didakwa boleh menyembuhkan penyakit seperti diabetes, lumpuh dan kanser pangkal rahim.
"Rukun asas terapi ini ialah kepercayaan bahawa darah kotor merupakan punca segala penyakit. Jadi, dengan membuang darah ini, masalah kesihatan dapat diatasi," jelas Mohammed yang mempelajari kemahiran tersebut daripada bapanya dan berpengalaman selama empat dekad dalam kaedah rawatan itu.
Tambahnya, menjejak aliran darah kotor itu memerlukan kemahiran yang tersendiri. Torehan tidak dibuat secara rawak kerana setiap saluran darah perlu diperiksa.
Bayaran
Para pengamal perubatan itu mendapati, selepas hirisan dibuat untuk mengeluarkan darah kotor atau beku yang tersumbat, ia akan meningkatkan pengaliran darah seseorang individu.
Sebelum memulakan rawatan, Mohammed akan meminta pesakit berdiri di bawah panas matahari selama 40 minit.
Pembantunya akan mengikat jalur kain di bahagian anggota badan pesakit untuk menyekat aliran darah, sekali gus menonjolkan urat darah di permukaan kulit sebagai persediaan untuk ditoreh sedikit.
Menurut Mohammed, dia tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pesakit kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan miskin dan orang susah.
Namun, mereka perlu membayar kira-kira 40 rupee (RM2.10) kepada pembantunya atas tugas yang dilakukan. Jumlah itu 10 kali ganda lebih rendah berbanding rawatan homeopati, salah satu rawatan alternatif popular di India.
"Apabila mereka datang kepada saya, duit yang dibawa terlalu sedikit. Apa yang boleh saya ambil daripada orang-orang sebegini?" tuturnya.

PROSES membuat insisi dilakukan dengan penuh berhati-hati di bahagian tangan yang sakit.


Sumber kewangan lelaki ini bergantung pada anak lelakinya yang memiliki sebuah kedai, sementara seorang lagi anak lelakinya berminat mengikut jejak langkah beliau dalam mempelajari kemahiran rawatan tradisional ini.
"Rawatan kami sama seperti bentuk perubatan tradisional yang lain. Kami bukan doktor komersial kerana kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kami," ungkap anak lelaki Mohammed, Mohammed Iqbal.
Berbekam masih lagi diamalkan di India tetapi doktor konvensional menolak teknik rawatan tersebut yang dianggap meragukan.
Pakar penyakit diabetes, Rajesh Keswari menyatakan dia sering melihat pesakit yang sanggup mengambil risiko dengan melakukan terapi tidak saintifik seperti mengeluarkan darah dan minum ramuan herba.
Meskipun India mempunyai kemudahan hospital bertaraf dunia, ramai rakyatnya tidak mampu menggunakan perkhidmatan tersebut. Pertumbuhan ekonomi yang pesat sejak sedekad lalu membolehkan kerajaan meningkatkan perbelanjaan ke atas masyarakat miskin dan luar bandar.
Bagaimanapun, menurut laporan Oxfam 2013, sistem kesihatan awam masih terlalu rendah untuk memenuhi keperluan 1.2 bilion rakyat India.

Masjid Cina Ipoh catat sejarah

Posted: 20 Aug 2013 09:18 PM PDT

MASJID Muhammad mula dibuka pada 4 Ogos lepas.


KETIKA umat Islam masih meraikan sambutan Aidilfitri, Masjid Muhammadiah turut melakar satu peristiwa bersejarah.
Ini dapat dilihat apabila bukan sahaja masyarakat Islam setempat malahan masyarakat Cina yang beragama Islam dari seluruh negara berkunjung ke sini.
Masjid Muhammadiah yang terletak di Taman Tasek Jaya, Ipoh, Perak dibina dengan konsep seni bina Cina. Ia dikenali sebagai Masjid Cina dalam kalangan penduduk tempatan di samping menjadi satu lagi mercu tanda baharu kawasan berkenaan.
Masjid yang mengambil nama sempena masjid lamanya, berasal daripada Madrasah Muhammadiah yang didirikan oleh Allahyarham Abdul Latif Mohd. Kassim bersama tujuh rakannya pada tahun 1973.
Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Ipoh, Hafiz Ng Abdullah dalam satu temu bual baru-baru ini berkata, masjid itu kini diurus tadbir oleh gabungan dua buah jawatankuasa iaitu jawatankuasa Masjid Muhammadiah yang lama dan Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh.
Konsep pembinaan masjid ini mengambil sepenuhnya idea seni bina tradisional dan budaya Cina. Ia kemudian diterjemahkan di keseluruhan bangunan termasuk bumbung, pagar, dinding serta dewan solat menerusi prinsip simetri.
Binaan lantai yang lebih tinggi daripada paras tanah, tiang-tiang besar berwarna merah dan sebuah menara berbumbung yang dihiasi motif hiasan Cina berwarna hijau, menambah keunikan masjid ini.
Pintu masuk utama yang berwarna merah dihiasi tulisan Cina di bahagian kanan dan kiri manakala perkataan Masjid Muhammadiah dalam tulisan rumi di bahagian atas seolah-olah mencerminkan perjalanan sejarahnya yang tersendiri.

RUANG solat utama boleh menampung jemaah seramai 800 orang.


Perbezaan
"Bagaimanapun jika diteliti, sebenarnya kita telah ubah seni hiasan bumbung kerana di China, mereka menggunakan motif bunga teratai tetapi di masjid ini kita menggunakan bunga raya merah iaitu bunga kebangsaan," katanya.
Beliau berkata, warna cat yang dipilih bagi menghiasi keseluruhan bangunan masjid juga adalah berdasarkan warna utama dalam budaya masyarakat Cina iaitu merah, hijau dan putih.
Ruang solat terbuka masjid berkenaan dihias dengan taman-taman kecil yang dipisahkan oleh laluan ke dewan solat dan ruang aktiviti di bahagian dalam masjid.
Ketika ditanya mengenai perbezaan Masjid Muhammadiah dengan masjid Cina yang ada di negeri lain, Hafiz Ng berkata, perbezaan itu dapat dilihat dengan jelas seperti masjid di Rantau Panjang, Kelantan, yang seni binanya sedikit bercampur dengan budaya masyarakat Thailand.
Hafiz Ng, yang juga timbalan pengerusi masjid berkenaan berkata, ruang aktiviti dengan konsep terbuka masjid itu membolehkan umat Islam mengadakan majlis ceramah, forum dan aktiviti budaya yang menepati syariat Islam.
Masjid Muhammadiah yang menempatkan dewan solat dan ruang aktiviti itu adalah fasa pertama daripada keseluruhan kompleks dengan keluasan 0.4 hektar yang turut terdiri pusat dakwah serta rumah perlindungan.
"Rumah perlindungan itu bertujuan memberi tempat tinggal sementara terutama kepada saudara baru yang mungkin disisih oleh keluarga," katanya.
Selain itu, dewan solat wanita di bahagian atas boleh menempatkan 200 ahli jemaah manakala ruang solat bawah mampu memuatkan 800 orang.
Pendakwah aktif itu berkata, kos bagi fasa pertama iaitu pembinaan bangunan masjid bernilai RM4 juta manakala fasa kedua merangkumi pembinaan pusat dakwah serta rumah perlindungan memerlukan kos sebanyak RM2.8 juta.
Pada 8 Oktober 2009, Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), berkenan menyampaikan geran pelancaran bernilai RM2 juta bagi tujuan membina masjid berkenaan di samping memberi perkenan terhadap pelan dan seni rekanya.
Kutipan derma

TIANG bulat berwarna merah sangat sinonim dengan seni bina di negara China.


"Bagi tujuan pembinaan fasa kedua, kutipan derma dan sumbangan oleh mana-mana pihak masih berjalan. Alhamdulillah, semasa kutipan untuk pembinaan masjid semua pihak memberi sokongan yang kuat untuk merealisasinya, begitu juga bagi fasa kedua," katanya.
Beliau turut menjelaskan, cadangan pembinaan Masjid Muhammadiah ini dibincangkan oleh kedua-dua jawatankuasa pada November 2008 dan dimulakan pembinaannya pada Disember 2011.
"InsyaAllah fasa pertama ini akan sempurna dalam tempoh sebulan lagi. Sekarang kita sedang melaksanakan kerja-kerja bagi perincian terakhir," katanya.
Beliau berkata, tujuan pembinaan masjid baharu ini adalah bagi menampung kapasiti umat Islam yang semakin bertambah di kawasan sekitar khususnya bagi keperluan solat Jumaat.
"Ia juga bagi menghimpunkan saudara seagama daripada masyarakat Cina yang segan dan malu untuk pergi ke masjid biasa. Masjid Muhammadiah ini juga membuka peluang kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam," katanya.
Hafiz Ng berkata, sesiapa sahaja boleh datang ke masjid ini untuk merujuk atau bertanya mengenai agama Islam tanpa sebarang halangan dan ia adalah satu tarikan kepada orang bukan Islam untuk lebih mengenali Islam.
"Kita juga mahu menjadikan masjid ini sebagai satu tarikan pelancongan di Perak. Ramai saudara baru Islam dan bukan Islam dari Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur hadir semasa masjid ini dibuka pada 4 Ogos lepas," katanya.

Seni jujur kanak-kanak

Posted: 20 Aug 2013 09:17 PM PDT



KIRI: Nadia merakam foto sekeping lukisan yang menarik perhatiannya.


KARYA-KARYA yang digantung pada dinding di ruang pameran Annexe Gallery, Kuala Lumpur pada bulan Julai lalu kelihatan sangat naif dan ringkas.
Sejujur usia para pelukis aneka lukisan tersebut iaitu antara tiga hingga 16 tahun, tema yang dibawa cuba menjentik kematangan mereka mengenai alam semula jadi.
Terdapat lebih 20 keping lukisan yang rata-rata berkaitan alam tabii seperti gunung-ganang, pokok-pokok, bunga-bungaan segar dan sungai yang mengalir.
Isu berkaitan alam sekitar seperti pencemaran dan kemungkinan jika dunia ini tidak dijaga turut dipaparkan oleh mereka menggunakan garisan-garisan berus lukisan dan warna yang terbit daripada rasa hati para pelukis.
Kanak-kanak yang terlibat kebanyakan dari Malaysia, tetapi hasil karya kanak-kanak dari Afrika Selatan, Amerika Syarikat, China, Singapura, Hong Kong dan Australia turut dipamerkan.
Pameran yang dianjurkan oleh Esse Organic Skincare itu merupakan satu kempen memberi semula kepada mereka yang memerlukan.
Setiap hasil lukisan kanak-kanak mangsa itu yang berharga antara RM800 hingga RM1,000 disalurkan terus kepada Shelter Home for Children di Malaysia.
Shelter Home for Children merupakan sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan sejak tahun 1981 bagi membantu kanak-kanak penderaan, terbiar, terabai atau berisiko.
Pihak itu menyediakan penjagaan dan pendidikan kepada golongan tersebut selain meningkatkan kesedaran awam berkenaan penderaan serta perlindungan kanak-kanak.
Terdapat sekeping lukisan yang menggunakan warna akrilik di atas kanvas bertajuk, Little Red Riding Hood and the Wolf on a Happy Outings.
Catan itu dilukis oleh seorang kanak-kanak berusia lima tahun, Jason Hang dari Hong Kong. Biarpun menggunakan karakter cerita dongeng kanak-kanak, tetapi paparan gambaran yang diputar sedikit memberi makna mendalam pada lukisan berkenaan.
Umum mengetahui bahawa watak Red Riding Hood bermusuhan dengan karakter musang kerana kejahatan haiwan itu.
Namun, pelukis memberikan pandangan bahawa kedua-dua karakter tersebut bersahabat baik, malah bersiar-siar bersama pada waktu petang.

LUKISAN bertajuk Little Red Riding Hood and the Wolf on Happy Outings ini dihasilkan oleh Hang.


Menjaga kelestarian bumi
Begitulah yang mahu ditonjolkan dan seharusnya dilakukan oleh setiap individu iaitu menjaga serta menyayangi flora serta fauna demi kelestarian bumi.
Jika diperhatikan pada penggunaan warna dan lengkok berus, setiap warna serta campuran digunakan sesuai untuk karakter dalam karya masing-masing.
Lengkok berus juga sangat praktikal serta berfungsi. Boleh dikatakan ia merupakan lukisan yang terperinci kerana pemerhati dapat melihat corak kain, sisiran rambut, lentikan bulu mata dan skaf.
Warna latar belakang pula berwarna biru cerah dengan gumpalan awan menandakan cuaca yang baik, manakala rimbunan semak berwarna hijau pelbagai tona menunjukkan kawasan hutan masih tebal di dalam lukisan itu.
"Pameran ini memberikan persepsi berbeza dengan mengajar mereka cara untuk menghargai alam sekitar," kata tetamu istimewa pada petang itu, Ratu Cantik Malaysia Dunia 2010/2011, Nadia Patullo Heng.
Tema alam sekitar amat bertepatan dengan Esse yang sentiasa mempromosi alam sekitar yang mapan selain mengamalkan cara perdagangan yang adil dan beretika.
Menurut pengasasnya, Trevor Steyn, bahan-bahan asas pembuatan produk Esse berasal dari pedalaman Afrika yang hasilnya dikutip oleh penduduk asli tempatan.
Setiap kampung mempunyai kutipan hasil tumbuh-tumbuhan tersendiri yang didapati daripada pokok berusia beratus-ratus tahun seperti boabab, mamala dan rooibos.
Semua bahan dikumpulkan di kilang Esse untuk diproses menjadi produk. Di negara-negara lain, kempen memberi semula kepada komuniti agak berlainan seperti di sini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines