Selasa, 27 Ogos 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


‘Jangan cepat dabik dada’

Posted: 25 Aug 2013 06:04 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Jurulatih PKNS FC, Abdul Rahman Ibrahim mengingatkan anak buahnya supaya usah terlalu cepat mendabik dada meskipun peluang mereka untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia semakin terbuka selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas T-Team kelmarin.

Ia kemenangan kedua berturut-turut buat pasukan kelab itu selepas mengejutkan Johor Darul Takzim (DT) 2-0 pada aksi pembukaan sekali gus membolehkan mereka kini menerajui Kumpulan B dengan mata maksimum.



"Apa yang kami capai dalam kempen Piala Malaysia ini hasil persiapan rapi sepanjang Ramadan. Tapi saya mahu pemain meneruskan rentak ini kerana kami masih mempunyai perlawanan penting menentang FELDA United selepas ini.

"Jika kami menang ke atas FELDA United, matlamat untuk layak ke suku akhir pasti cerah," katanya kepada Arena Metro semalam.

Menurut Abdul Rahman yang juga bekas jurulatih kebangsaan, kegagalan PKNS FC melepasi halangan peringkat kumpulan dalam kempen Piala Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan semangat mereka begitu membara.

"Kami sudah empat, lima kali beraksi dalam Piala Malaysia tapi gagal ke suku akhir, jadi azam pasukan ini tahun ini begitu kuat. Pemain masih perlu membuktikannya dalam baki empat perlawanan selepas ini," katanya.

Bagaimanapun tempoh rehat yang singkat bakal membuatkan beliau terpaksa membuat sedikit perubahan ke atas pasukannya dalam pertemuan dengan FELDA di Stadium Shah Alam esok.

"Pemain agak kepenatan kerana hanya sempat berehat dua hari sebelum bertemu FELDA, jadi saya perlu menggilirkan pemain. Saya berharap pemain simpanan juga mampu memberikan aksi terbaik kerana pertemuan dengan Felda penting untuk mengukuhkan kedudukan kumpulan," katanya.

Safee akhiri kemarau gol

Posted: 25 Aug 2013 06:03 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Johor Bahru: Safee Sali yang tampak suram sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga M) bagaikan 'hidup kembali' selepas muncul penyelamat maruah Johor Darul Takzim (DT) apabila jaringan tunggalnya membolehkan tuan rumah menewaskan FELDA United 1-0 pada aksi Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Larkin, kelmarin.

Sebaik perlawanan bermula, pemain pernah digelar 'Super Sali' itu menunjukkan kerja kerasnya yang akhirnya membuahkan hasil ketika perlawanan menghampiri penghujung. Penyerang kebangsaan itu muncul wira buat skuad Harimau Selatan selepas bola umpanan Jasazrin Jamaluddin pada minit ke-74 disambar Safee yang pantas merembat leret, menewaskan penjaga gol FELDA United, Mohd Helmi Eliza Elias.



"Sebaik Jasazrin mengumpan bola itu, saya tidak memikir panjang sebaliknya nekad merembat biarpun pada masa diasak pertahanan lawan dan melihat bola itu menerjah ke jaring memberikan kepuasan kepada saya kerana dapat menebus kehampaan selepas agak lama kemarau gol.

"Jaringan itu memberi keyakinan kepada saya dan penting bagi membantu kami mengharungi kempen Piala Malaysia, malah saya ingin memastikan momentum itu berterusan untuk perlawanan seterusnya," katanya kepada Arena Metro, kelmarin.

Beliau juga menganggap gol itu sebagai permulaan positif buat dirinya bagi menambah keyakinannya untuk menentang T-Team di Kuala Terengganu, malam esok. Safee juga mahu mengulangi jaringan yang diciptanya ketika menewaskan pasukan kelab dari Pantai Timur itu 2-1 pada aksi Liga Super, 17 Mei lalu.

Bagaimanapun aksi membabitkan Johor DT-FELDA United dicemari dengan mutu pengadilan rendah apabila insiden pada minit ke-44 mengundang rasa kurang puas hati barisan kejurulatihan Johor DT yang mempertikaikan keputusan pengadil, Mohd Zamzaidi Katimin.

Mohd Zamzaidi sepatutnya bertindak lebih bijak dengan memberi 'advantage' kepada pasukan Johor DT dan tidak memberhentikan perlawanan walaupun ketika itu Norshahrul Idlan Talaha dikasari Azmizi Azmi kerana bola sudah berada dalam kawalan pemain tuan rumah dan memiliki peluang untuk menjaringkan gol.

Kegagalan Mohd Zamzaidi mengawal perlawanan dengan baik nyata mengundang rasa kurang senang pengendali Harimau Selatan, Azmi Mohamed yang mengesahkan untuk menghantar surat aduan secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Red Giants belum panik

Posted: 25 Aug 2013 06:01 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Masih tiada kebimbangan buat jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim mengenai nasib pasukannya dalam kempen Piala Malaysia kali ini meskipun gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan awal selepas tumpas kepada 2-3 di tangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kelmarin.

Kebangkitan yang diharapkan selepas hanya seri 0-0 pada perlawanan pertama Kumpulan A dengan Johor Selasa lalu tidak menjadi apabila skuad Red Giants itu terkulai di laman sendiri kepada ATM sekali gus menyaksikan mereka kini menghuni tangga tercorot kumpulan dengan satu mata.



Bagi Irfan masih terlalu awal untuknya menekan butang panik kerana beliau yakin baki empat kemenangan akan digunakan sepenuhnya anak buahnya mengutip mata maksimum.

"Kami melepaskan dua gol mudah dalam perlawanan dengan ATM dan saya berharap perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi. Saya tak khuatir kerana kami masih mempunyai empat lagi perlawanan. Saingan Piala Malaysia memang unik, kita tidak boleh menjangkakan sesuatu, jadi saya berharap kami akan bangkit selepas ini," katanya yang kini diberikan tanggung jawab besar merealisasikan Misi 33 buat tahun ketiga.


Ketika juara 32 kali Selangor masih tercari-cari kemenangan pertama, ATM pula memastikan mereka kembali mengukuhkan status mereka sebagai pasukan pilihan hasil kemenangan ke atas Selangor di Stadium Shah Alam selepas tumpas kepada Sime Darby FC 0-2 pada perlawanan pembukaan awal minggu lalu.


Bagi jurulatih Sathianathan, kemenangan itu bukan sekadar mengutip tiga mata penuh sebaliknya ia menyuntik kembali keyakinan pemain selepas gagal melakar kemenangan dalam enam perlawanan terakhir musim ini.

"Ini kemenangan yang cukup penting selepas kami gagal menang lima perlawanan terakhir liga dan tewas kepada Sime Darby dalam perlawanan pertama Piala Malaysia. Saya dapat rasakan tahap keyakinan pemain semakin meningkat dan saya berharap mereka dapat mengekalkan prestasi ini untuk kami layak ke suku akhir," katanya.


Apa yang melegakan Sathianathan apabila penyerang prolifik Marlon Alex James kembali beraksi kelmarin meskipun tidak cergas sepenuhnya akibat demam.

"Marlon menunjukkan semangat yang tinggi walaupun demam masih mampu beraksi dalam perlawanan semalam (kelmarin). Saya yakin dia boleh bermain dengan lebih baik apabila pulih sepenuhnya bagi aksi menentang Johor Selasa ini," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines