Jumaat, 2 Ogos 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


JADUAL PIALA MALAYSIA 2013

Posted: 31 Jul 2013 08:46 PM PDT

JADUAL LENGKAP PERTANDINGAN PIALA MALAYSIA 2013 BOLEH DIMUAT TURUN 

DI SINI

Kes saman KAFA ke atas Norshahrul selesai

Posted: 31 Jul 2013 05:37 PM PDT

Sumber: Utusan Malaysia

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan kes saman persatuan itu terhadap bekas penyerang The Red Warriors musim lalu Norshahrul Idlan Tahala selesai.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim ketika dihubungi pemberita di sini, semalam.

Azman berkata, kes saman tersebut telah diselesaikan di luar mahkamah dan pihaknya berharap isu tersebut tidak dibangkitkan.




"Kes ini telah diselesaikan di luar mahkamah dan berharap tidak akan ada lagi sebarang isu yang timbul berhubung perkara berkenaan selepas ini," katanya selepas diminta mengulas mengenai notis saman KAFA ke atas Norshahrul Idlan yang kini beraksi bersama pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT).

KAFA telah mengiklankan writ saman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 9 Jun lalu berhubung tuntutan saman persatuan terhadap Norshahrul Idlan dalam akhbar Utusan Malaysia, kelmarin.

Dalam tuntutan tersebut, KAFA selaku plaintif menuntut ganti rugi RM120,975 berserta faedah lima peratus sebulan bermula 14 Mac lalu daripada Norshahrul selaku defendan, sehingga kes tersebut diselesaikan sepenuhnya dan kos.

Sementara itu, sumber dalaman KAFA memberitahu, penyerang JDT itu telah menjelaskan semua tuntutan yang dibuat selepas dua hari notis tersebut dikeluarkan.

"Jumlah tersebut telah dijelaskan oleh Norshahrul selepas notis penyampaian tersebut dikeluarkan," ujarnya.

Azmi puas komitmen tinggi pemain

Posted: 31 Jul 2013 05:32 PM PDT

Sumber: Harian Metrro

Johor Bahru: Pengendali baru Johor Darul Takzim (DT), Azmi Mohamed puas hati komitmen pemain yang bersungguh-sungguh ketika menjalani latihan pertama kendaliannya di Stadium Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kelmarin.

Azmi yang mengambil tugas daripada Fandi Ahmad yang kini memegang jawatan pengurus pasukan berkata, buat permulaan latihan ditumpukan terhadap tahap kecergasan pemain selain berusaha memastikan semua pemain bekerjasama sebagai satu pasukan.



"Saya lega apabila pemain memberi reaksi positif. Itu petanda baik kerana yang penting, kami bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan matlamat tercapai.

"Kecergasan pemain mustahak bagi memastikan mereka sentiasa cergas, malah saya tekankan kekuatan fizikal sebelum memulakan latihan taktikal.

"Tidak guna kalau kita mulakan latihan taktikal tapi pemain tidak memiliki tahap kecergasan memuaskan dan saya yakin dalam tempoh terdekat mereka akan cergas," katanya.

Azmi juga menegaskan perancangan sudah dibuat apabila Johor DT akan menerima kunjungan pasukan kelab dari Liga Australia, Perth Glory untuk aksi persahabatan di Stadium Larkin pada 14 Ogos, ujian terakhir sebelum memulakan kempen Piala Malaysia, 20 Ogos ini.

Skuad Harimau Selatan tampak memiliki laluan mudah apabila diundi dalam Kumpulan B bersama FELDA United, T-Team serta PKNS FC untuk memburu juara kumpulan seterusnya slot ke suku akhir.


Sementara itu, Fandi turut berada di Stadium UTM menyaksikan latihan kendalian Azmi bersama Ismail Ibrahim, Mohd Hamzani Omar dan Khairul Azman Mohamed pada sesi latihan berlangsung hampir dua jam.

Namun bintang legenda Singapura itu enggan mengulas lanjut berhubung pelantikannya selaku pengurus sebaliknya hanya mengesahkan sudah menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung jawatan baru itu.

"Saya sudah terima surat dari PBNJ dan akan beri kerjasama penuh memandangkan ia amanah yang diberikan," kata Fandi.

Difahamkan tugas Fandi itu hanya untuk tempoh saingan Piala Malaysia dan khidmatnya mungkin diperlukan sebagai Pengarah Pembangunan Bola Sepak Johor musim depan.

Harimau Malaya ‘hampiri kiamat’

Posted: 31 Jul 2013 05:30 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Apa lagi yang mahu diperkatakan mengenai skuad kebangsaan apabila mereka sekali lagi diaib kekalahan besar 0-5 dan kali ini lebih mengecewakan apabila menjadi mangsa kepada kelab Liga Divisyen Dua Jepun, Tokyo Verdy dalam aksi persahabatan semalam.

Ia kekalahan ketiga berturut-turut kunjungan Harimau Malaya ke Jepun selepas tumpas pada perlawanan pertama dengan kelab liga utama Jepun, Shimizu S Pulse 0-2 dan Shonan Bellmare 0-5 minggu lalu.



Mungkin bagi pengendali kebangsaan Datuk K Rajagobal, keputusan aksi persahabatan ini tidak mencerminkan kekuatan pasukan kerana beliau yakin anak buahnya akan berada di kemuncak prestasi ketika berdepan Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada Oktober.

Namun bekas pemain kebangsaan, Dali Omar kecewa dengan kekalahan terbaru itu yang menganggap moral pemain kini semakin luntur sekali gus menyebabkan peluang Malaysia melepasi pusingan kelayakan Kumpulan D Piala Asia di Australia, tipis.

"Sepatutnya dalam perlawanan persahabatan seperti ini, kita perlu menang untuk pemain mendapatkan keyakinan tapi sebaliknya pasukan negara diaib pasukan kelab. Saya yakin moral pemain terjejas jika pasukan asyik mengalami kekalahan apatah lagi dalam perlawanan dengan kelab bawahan tapi pemain ini tidak berani untuk bersuara. Kalau zaman saya dulu, pemain akan memberitahu jurulatih jika ada sesuatu yang tidak kena," katanya kepada Arena Metro semalam.

Ketika ditanya apakah yang perlu dilakukan untuk memperbaiki kepincangan itu, pemain yang pernah mewakili Azzuri Australia itu berkata: "Kita sudah terlanjur, kita sudah lama membiarkan perkara ini berlaku. Sudah berapa banyak perlawanan eksperimen yang dilakukan Rajagobal? Saya tidak tahu sama ada kita boleh layak atau tidak ke Piala Asia dengan prestasi semasa seperti ini.

"Beliau sebenarnya mempunyai pemain yang bagus tapi gagal memberikan posisi dan peranan betul kepada pemain. Sebagai contoh menggandingkan Piya (Mohd Badhri Radzi) dengan Safiq Rahim, sedangkan Piya lebih serasi dengan Shakir Shaari dan Amri Yahyah dengan Farhan (Mohamad).


Luahan Dali itu turut dikongsi seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh yang menganggap kekalahan skuad kebangsaan dengan kelab Divisyen Dua Jepun itu menconteng aib di muka seperti yang terjadi ketika anak buah Rajagobal tewas kepada pasukan Divisyen Dua Australia bulan lalu.

"Sepatutnya kita perlu jaga imej negara daripada terpaksa menanggung malu apabila kalah dengan pasukan kelab. Kejayaan lalu (Sukan Sea Laos 2009 dan Piala AFF 2010) tak usah dikenang, kalau mahu dikenang juga kita perlu menang setiap perlawanan," katanya.


Skuad kebangsaan pulang ke tanah air hari ini dan akan membuat persiapan sebelum berdepan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos ini.

Raja dalam bahaya?

Posted: 31 Jul 2013 05:29 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Mungkin sesuatu yang menggemparkan akan berlaku pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini apabila Timbalan Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi bayangan ada keputusan penting bakal diumumkan berikutan aksi hambar skuad kebangsaan ketika ini.

Badan induk bola sepak tanah air perlu tampil dengan pendirian lebih jelas berhubung prestasi semasa Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal selepas sekadar meraih dua kemenangan sepanjang 13 perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Asia 2015 sejak 1 Februari lalu.



Kemampuan Rajagobal menjadi topik utama ketika ini dan ia semakin hangat dengan kekalahan memalukan skuad kebangsaan dalam dua aksi persahabatan dengan kelab liga utama Jepun, Shimizu S Pulse 0-2, Shonan Bellmare (0-5) dan kelab divisyen dua Tokyo Verdy (0-5).

Berhubung kekalahan terbaru itu, Tengku Abdullah ketika ditanya pemberita semalam berkata: "Saya tak mahu komen. Tunggu saja kejutan esok (hari ini)." Kenyataan Tengku Abdullah itu menjadikan pertemuan pegawai tertinggi hari ini yang turut membabitkan Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa cukup penting kerana ia mungkin bakal menentukan nasib Rajagobal yang mempunyai kontrak sehingga hujung tahun ini.

Sebelum ini FAM seakan-akan berlembut untuk terus memberikan peluang kepada Rajagobal yang membantu skuad negara memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Piala AFF 2010 bagi menghabiskan baki pusingan kelayakan Piala Asia 2015 sebelum sebarang keputusan diambil.

Tapi mungkin dengan kekalahan demi kekalahan yang dicatatkan serta pendekatan kemenangan pada aksi persahabatan dan ranking yang dianggap tidak penting bagi pengendali negara itu menyebabkan FAM mula hilang sabar.

Kerana keputusan buruk serta kerap mengadakan perlawanan dengan pasukan berstatus kelab, kedudukan Malaysia di ranking dunia tidak banyak berubah dan kini menduduki tangga ke-159 dunia.

Selepas pulang ke tanah air hari ini Harimau Malaya akan meneruskan latihan sebagai persediaan berdepan juara La Liga Sepanyol, Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos ini yang dianggap medan ujian sebelum menentang Bahrain pada aksi kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 pada Oktober nanti.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines