Sabtu, 3 Ogos 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Harimau Malaya dapat jemputan Bosnia

Posted: 01 Aug 2013 05:53 PM PDT

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Impian untuk melihat Harimau Malaya bersaing dalam aksi persahabatan antarabangsa berkelas A dijangka menjadi kenyataan apabila Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi jaminan keutamaan mereka selepas ini adalah meningkatkan kedudukan ranking negara dalam masa terdekat.

Tambah menggembirakan salah satu pertemuan yang telah dirancang adalah pertembungan dengan pasukan pada tangga ke-14 dunia, Bosnia yang berminat berdepan dengan pasukan negara pada 10 November ini di Kuala Lumpur.




"Pada masa akan datang, soal ranking akan menjadi keutamaan FAM dan pasukan kebangsaan akan menjalani lebih banyak perlawanan persahabatan berkelas A dengan pasukan negara lain.

"Jadi, FAM telah menyusun beberapa perlawanan persahabatan sehingga penghujung tahun ini bermula menentang Grenada, yang berada di ranking 123 dunia (masih dalam perancangan) pada 6 September, China (ranking ke-100) pada 10 September dan pasukan ke-85 dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 9 Oktober.

"Selain perlawanan-perlawanan kelayakan Piala Asia yang penting seperti berdepan Bahrain pada 15 Oktober dan Qatar pada 19 November, skuad kebangsaan dalam perancangan menentang pasukan di tangga ke-14 dunia, Bosnia pada 10 November, " katanya pada sidang akhbar Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak FAM di salah sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Melalui maklumat yang diperolehi pengurus Harimau Malaya yang juga merangkap Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, Bosnia sendiri telah menghantar surat jemputan kepada Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur.

"Pertemuan dengan Bosnia ini bukan kita di FAM yang mengaturkan sebaliknya Bosnia sendiri mahu datang ke sini bertemu dengan Malaysia, " katanya.

Malahan, Tengku Abdullah menggesa mulai tahun hadapan, pasukan kebangsaan akan lebih banyak berentap dengan pasukan-pasukan dari rantau ASEAN dari sembilan tarikh yang ditetapkan di dalam kalendar FIFA bagi mengadakan perlawanan persahabatan.

"Daripada sembilan tarikh yang diberikan, saya mahukan empat daripadanya ditandingi oleh pasukan-pasukan dari rantau ASEAN bagi meningkatkan lagi kedudukan ranking kita dalam masa setahun atau dua tahun ini.

"Sasaran FAM boleh meletakkan Malaysia sekurang-kurangnya di tempat ke-130 dunia dalam masa terdekat ini selepas dapat mengatur banyak perlawanan persahabatan berkelas A, " katanya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah mengumumkan FAM dalam usaha pencarian mendapatkan Pengarah Teknikal dan Pengarah Pembangunan FAM yang baru bagi mengawasi beberapa skop tugas jawatan pembangunan bola sepak negara.

"Jawatan ini dibuka kepada semua yang layak sama ada dari kalangan jurulatih tempatan atau luar negara, tugas mereka ini adalah membuat koordinasi projek pembangunan yang telah diamanahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

"Selain itu, mereka perlu mengawasi lagi perjalanan satu lagi unit iaitu bola sepak futsal dan pembangunan wanita, semua pemilihan berkenaan akan dijalankan dalam masa terdekat, " katanya.

Kemunculan pertama Aimar

Posted: 01 Aug 2013 05:49 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Johor Bahru: Bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar akan membuat penampilan pertama bersama Johor Darul Takzim (DT) apabila menentang kelab Liga A Australia, Perth Glory pada aksi persahabatan di Stadium Larkin, 14 Ogos ini.

Pemain paling mahal Liga Malaysia (Liga M) itu yang akan menyertai skuad Harimau Selatan musim depan dengan nilai RM6.1 juta (AS$2 juta) dikhabarkan sudah mengesahkan penampilannya untuk beraksi pada perlawanan itu yang menjadi medan pemanas badan sebelum memulakan kempen Piala Malaysia, 20 Ogos ini.



Bagaimanapun, Aimar yang kali terakhir beraksi untuk kelab Liga Portugal, Benfica tidak akan menyarung jersi Harimau Selatan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan pendaftaran baru terutama pemain import menghadapi saingan piala berprestij itu.

Turut bersama Aimar pada perlawanan itu ketua jurulatih baru Johor DT, Cesar Ferrando Jiminez yang akan menilai corak permainan skuad Harimau Selatan dan bakal menjadi penasihat kepada Azmi Mohamed yang mengambil alih tugas daripada Fandi Ahmad yang kini memegang jawatan pengurus pasukan.

Tunku Ismail bantu ‘selesai’ hutang Mat Yo

Posted: 01 Aug 2013 05:48 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kota Bharu: Bekas penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha tidak pernah berusaha melangsaikan hutang peribadinya dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sehingga memaksa mereka menuntutnya mahkamah.

Ahli di Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata, selepas berpeluang berjumpa dengan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim barulah isu itu dapat diselesaikan dengan baik di luar mahkamah.




"Mengenai isu Mat Yo (Norshahrul) saya perlu jelaskan dia tidak pernah jelaskan apa-apa.Bayaran RM120,975 itu bukan untuk tebus kontrak, itu tuntutan hutang peribadi Mat Yo kepada KAFA yang dia tidak pernah berusaha untuk langsaikan hingga menyebabkan kami terpaksa menuntutnya melalui proses mahkamah.

"Namun, baru-baru ini saya berpeluang mengadap Tunku Ismail dan baginda membantu menyelesaikannya dengan cara yang baik, atas sebab itu KAFA tidak lagi berhasrat meneruskan tuntutan di mahkamah," katanya.

‘Talian hayat’

Posted: 01 Aug 2013 05:46 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kelana Jaya: Kesuntukan masa mencari pengganti sesuai dianggap sebagai penyelamat Datuk K Rajagobal yang bernasib baik kerana masih diberikan 'talian hayat' oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai ketua jurulatih meskipun badan induk tanah air itu kecewa dengan prestasi buruk Harimau Malaya ketika ini.

Berbekalkan hanya dua kemenangan dan satu seri daripada 13 perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Asia 2015 tahun ini, termasuk yang terbaru tiga kekalahan berturut-turut ketika menentang kelab Jepun, membuktikan Rajagobal gagal memenuhi pencapaian disasarkan FAM. Biarpun FAM tidak membuat keputusan mengejut pada Mesyuarat Teknikal dan Pembangunan semalam, kedudukan Rajagobal tetap dalam bahaya kerana mereka akan mencari calon sesuai untuk menggantikannya jika prestasi skuad kebangsaan masih tidak berubah. "Kalau kita lihat berdasarkan merit, memang tidak memihak kepada beliau (Rajagobal), tapi dalam masa terdekat ini sukar untuk kita mencari penggantinya. Kalau kita nak tukar, kita mesti cari pengganti yang lebih baik. Bukan soal kita nak gugur tapi kita perlukan masa untuk cari pengganti dan kita tak mahu terburu-buru kerana kelayakan Piala Asia pada Oktober semakin dekat," kata Timbalan Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu semalam.



Tegasnya FAM kini serius mencari jurulatih baru biarpun Rajagobal yang mula menjadi ketua jurulatih pada 2009 masih diberikan peluang untuk meneruskan misi layak ke Piala Asia 2015.

"Kita tetap akan mencari jurulatih yang boleh menjanjikan kejayaan pada masa terdekat," kata Tengku Abdullah.

Tiga kekalahan kepada kelab Jepun Shimizu S Pulse (0-2), Shonan Bellmare (0-5) dan Tokyo Verdy (0-5) baru-baru ini menjadi kemuncak kemarahan pelbagai pihak yang mempersoalkan kemampuan Rajagobal untuk terus membimbing Harimau Malaya. Sehubungan itu, Tengku Abdullah memberi amaran supaya tiada lagi persembahan buruk dipamerkan skuad kebangsaan meskipun ia hanya aksi persahabatan.

"Memang hampa dengan keputusan itu, mereka perlu sedar pentingnya mentaliti menang. Pasukan ini perlu bangkit segera," katanya.

Rajagobal yang mempunyai kontrak sehingga Disember ini pulang dari Jepun semalam dan akan meneruskan persiapan skuad kebangsaan menghadapi Barcelona, 10 Ogos ini dan Kelayakan Piala Asia dengan Bahrain pada Oktober.

Tengku Abdullah menegaskan skuad Harimau Malaya selepas ini perlu memberi keutamaan kepada aksi kelas A menentang skuad kebangsaan berbanding kelab bagi memperbaiki ranking negara yang kini di tangga ke-159 dunia. Menurutnya, bagi baki tahun ini skuad kebangsaan akan menentang Grenada pada 6 September, China (10 September), Emiriah Arab Bersatu (9 Oktober), Bahrain (15 Oktober), Bosnia (10 November), Bahrain (15 November) dan Qatar (19 November).

"Untuk tahun depan ada sembilan perlawanan dalam kalendar FIFA dan kita mahu menentang pasukan di ranking lebih baik, saya berharap kita boleh perbaiki ranking sekurang-kurang di atas kedudukan 130 dunia," katanya.

Dalam pada itu Tengku Abdullah turut mengumumkan mereka kini sedang mencari calon yang sesuai bagi mengisi jawatan Pengarah Teknikal dan Pengarah Pembangunan dalam masa terdekat ini.

Alasan tutup aib

Posted: 01 Aug 2013 05:45 PM PDT

Sepang: Keletihan berpuasa menjadi alasan ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal selepas skuad bimbingannya mencatat keputusan buruk pada tiga siri perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab dari Liga J di Jepun.

Alasan yang pasti tidak dapat terima peminat setia skuad negara itu umpama mahu menutup malu kekalahan memalukan skuad negara menentang tiga kelab berbeza sebelum ini.


Skuad negara tewas 0-2 kepada kelab Divisyen Satu Shimizu S Pulse dan paling aib tewas besar 0-5 masing-masing kepada kelab di zon penyingkiran Liga J, Shonan Bellmare dan kelab Divisyen Dua, Tokyo Verdy

"Pengajaran yang saya dapat di sini, kita tidak harus bermain dengan kelab yang boleh dikatakan mempunyai tahap permainan tinggi ketika bulan puasa. Kalau kita datang ke Jepun pada masa akan datang, mungkin bukan ketika Ramadan.

"Kita perlu sedar pada perlawanan kedua, kita main jam 11 pagi dan perlawanan ketiga, 3 petang. Kita main tiga babak dan keletihan itu datang pada babak kedua dan ketiga.

"Apapun, saya tetap hormat pemain sebab mereka berusaha memberikan yang terbaik ketika berpuasa dan ada ketikanya kita mampu beri tekanan kepada pihak lawan. Saya rasa ini persiapan yang bagus untuk perlawanan menentang Barcelona," katanya selepas tiba dari Jepun semalam.

Ditanya mengenai desakan demi desakan supaya beliau segera mengundur diri berikutan prestasi buruk berterusan skuad negara, Rajagobal berkata: "Saya tidak tahu kenapa ada pihak yang suka sangat saya undur diri.

"Tapi saya bukan penakut. Saya akan pikul tugas saya hingga kontrak berakhir 31 Disember. Selepas itu barulah majikan buat keputusan dan saya juga akan buat keputusan." Rajagobal turut membidas kritikan yang dilemparkan kepadanya sebelum ini yang memintanya melepaskan jawatan.

"Ini bulan Ramadan, jangan buat dosa. Kalau kita nak kritik, biarlah tepat dan konkrit.

"Kalau mereka datang ke Jepun dan tengok prestasi sebenar pemain dalam bulan Ramadan, itu tak apa. Tapi, mereka tidak ada di situ, mereka hanya memberikan komen berdasarkan keputusan perlawanan, itu tidak adil. Kritikan mereka sepatutnya berdasarkan fakta, itu sajalah yang saya nak beri nasihat.

"Sebelum ini pun ramai yang kritik, ramai yang ganggu tapi saya tak akan lari daripada fokus saya," katanya.

Tiga siri perlawanan persahabatan di Jepun itu dianggap sebagai persiapan skuad negara menjelang kunjungan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona ke Malaysia, 10 Ogos ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines