Monday, 4 February 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Syiling Yasin boleh tarik duit, jumpa bidadari

Posted: 03 Feb 2013 05:32 AM PST


MOHD. SUKOR memiliki lebih 200 keping syiling Yasin dari pelbagai jenis.


SYILING lama sering dikaitkan dengan nilai pasaran yang tinggi lebih-lebih lagi jika usia mata wang tersebut sudah mencecah ratusan tahun dan semakin sukar ditemui.
Begitupun, tidak semua syiling lama bernilai tinggi. Ada juga beberapa jenis syiling, biasanya yang tidak dapat dipastikan asal usul dan tahun pengeluaran, nilainya lebih rendah walaupun sesetengah pihak mendakwa ia sudah berusia ratusan tahun.
Antara syiling lama yang masih kabur nilainya ialah syiling Yasin. Jika ditanya kepada komuniti pengumpul syiling lama, kajian untuk mengesan kewujudan syiling jenis ini dari sudut numismatik masih tidak jelas.
Malah, ramai yang mengaitkan syiling ini lebih banyak digunakan dalam beberapa amalan mistik seperti dijadikan tangkal azimat dalam upacara 'menarik duit' selain dijadikan pendinding diri berbanding digunakan sebagai mata wang.
Menurut pengumpul barangan antik, Mohd. Sukor Abdul Rahman, 48, ada peminat syiling Yasin sanggup mengeluarkan belanja puluhan ribu ringgit untuk memiliki sekeping syiling Yasin bagi tujuan menarik duit.
"Segelintir pengumpul dan penjual syiling Yasin mendakwa mereka memperoleh syiling tersebut semasa bertapa, selepas berzikir mahupun melalui mimpi. Dek kerana unsur mistik itu, ada yang sanggup membelinya walaupun harga yang diletakkan kadang-kadang tidak masuk akal iaitu sehingga mencecah jutaan ringgit.

SYILING Empat Sahabat ini memiliki tema yang sama tetapi ukiran permukaannya berbeza antara satu sama lain.


Wali tujuh
"Berlainan pula jika syiling itu warisan turun-temurun yang bukan diperoleh dengan cara pertapaan dan pemujaan, harganya lebih murah," ujarnya yang mengumpul lebih 200 keping syiling Yasin sejak dua tahun lalu.
Jenis dan corak syiling Yasin juga berbagai-bagai. Ada gambar Kaabah, gambar orang tua mengandar buntil, gambar perahu dan juga gambar lelaki dipercayai para wali.
Selain itu, ada juga syiling yang mencatatkan ukiran kalimah suci seperti bismillah, kalimah syahadah, nama Allah dan Muhammad, kalimah Yasin, nama empat sahabat nabi dan bermacam lagi.
Jelas Mohd. Sukor, permintaan tinggi peminat syiling lama terhadap syiling Yasin jenis Wali Tujuh menyebabkan harga syiling tulen dari jenis tersebut mahal.
"Tidak dinafikan ada peminat syiling lama yang begitu takjub dengan cerita mistik yang mendakwa syiling yang jarang ditemui ini boleh menarik duit.
"Pernah juga saya menjualnya dengan harga RM1,000 kepada seorang pembeli.
"Pesan tok guru pembeli itu, syarat utama menarik duit ialah dengan menggunakan syiling Yasin Wali Tujuh yang dibeli dengan mahar sebanyak RM1,000.
"Bila ada orang hendak membeli dengan harga yang munasabah, saya tidak menolak untuk menjualnya. Saya hormati pendiriannya dan enggan mempersendakan tujuannya membeli syiling tersebut walaupun saya sendiri tidak percaya tentang kebolehan sekeping syiling menarik duit," ujar Mohd. Sukor.
Disimpan dalam bungkusan kain kuning, lelaki ini memberitahu, sudah menjadi rutin hariannya membelek setiap keping syiling Yasin miliknya.
Selain memiliki koleksi pelbagai jenis syiling Yasin, dia turut mengumpul syiling semah, iaitu syiling yang pernah dikeluarkan kerajaan Jawa kuno ratusan tahun dahulu.
"Pada pendapat saya, syiling-syiling ini bukan diperbuat di Malaysia kerana ratusan tahun dahulu, masyarakat di negara ini belum memiliki teknologi melebur tembaga.
"Ia juga dicetak tanpa menggunakan acuan besi sebaliknya dihasilkan daripada acuan tanah liat.
"Kepingan tembaga juga tidak ditempa seperti barangan logam lain. Kerana itu, biarpun ia memempunyai imej dan ukiran timbul di permukaan syiling, hasil buatannya cukup halus," kata Mohd. Sukor yang mempunyai syiling Yasin diperbuat daripada tembaga kuning, timah hitam dan nikel.
Corak berbeza
Jelasnya, kepingan syiling yang diperbuat daripada tembaga kuning dianggap lebih lama dan bernilai jika dibandingkan dengan syiling yang diperbuat daripada timah hitam ataupun nikel.

DUIT lama dari kerajaan Jawa kuno mudah dikenali kerana ia mempunyai lubang di tengahnya.


"Syiling Yasin yang diperbuat daripada nikel lebih baharu buatannya. Ia agak kasar dan hujungnya lebih tajam berbanding syiling tembaga," kata Mohd. Sukor.
Menarik tentang syiling ini, corak ukiran yang terdapat pada sejenis syiling tidak sama antara satu sama lain.
"Cuba lihat syiling Yasin Empat Sahabat ini. Walaupun saya memiliki hampir 10 keping, namun ia diperbuat daripada bahan berlainan dan coraknya berbeza antara satu sama lain.
"Begitu juga dengan syiling Yasin Rama-Rama. Terdapat perbezaan dalam setiap ukiran rama-rama ini," katanya.
Bagi pengamal perubatan tradisional, Yahya Abdul Manaf, 51, dia mengakui pernah melihat ritual menarik duit menggunakan duit syiling Yasin.
"Dalam upacara itu, pengamal akan duduk berzikir untuk satu tempoh yang telah ditetapkan. Malah, ada sanggup pergi bertapa di Pulau Besar, Melaka dan tempat-tempat terpencil untuk melakukan upacara tersebut.
"Apa yang saya tahu, wang yang berjaya 'ditarik' bukanlah jatuh dari langit atau keluar dari tanah, sebaliknya ada yang dijumpai di bawah alas duduk pengamal. Ada juga yang ditemui di dalam buntil berhampiran tempat pengamal berzikir.
"Ramai percaya upacara ini disertai oleh khadam, terdiri daripada jin yang bertindak sebagai pihak tengah dalam proses menarik duit.
"Duit yang diperoleh itu pula dikatakan diambil daripada bank dari dunia bunian, yang mana apa yang ada di alam nyata, turut ada di sana.
"Jika Bank Negara keluarkan not wang baharu, bank di alam ghaib juga akan mengeluarkan not wang baharu," ujarnya yang pernah melihat rakannya memegang beberapa keping not RM50 hasil upacara tersebut.
Yahya turut mengakui, kejayaan sesetengah pihak mendapat wang secara percuma ini secara tidak langsung telah menarik ramai peminat duit syiling lama yang taksub untuk menyertai ritual misteri tersebut.

Memey Yakin Kelebihan Norman Hakim Mendidik Anak

Posted: 03 Feb 2013 05:31 AM PST

Memey dan Norman bahagia dengan kehadiran anak sulung mereka, Darwisz.
PETALING JAYA: Pelakon Memey Suhaiza tidak risau dengan perjalanan masa depan anak sulungnya, Mohamed Darwisz Hakim yang baru dilahirkan pada malam Jumaat lalu kerana yakin suaminya, Norman Hakim dapat membantu membimbing anak menjadi orang yang berguna.
Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 25, berkata, berdasarkan pengalaman Norman,37, yang mempunyai tiga orang anak yang bijak dan menghormati orang tua, hasil perkahwinan sebelumnya dengan pelakon Abby Abadi, dia yakin, Darwisz juga akan diberi pendidikan dan kasih sayang yang sama.
"Biasanya, pasangan ibu bapa akan risau dengan hala tuju kehidupan anak mereka terutamanya yang sulung tentang pendidikan agama, akademik dan moral.
"Namun saya yakin, walaupun Darwisz adalah anak pertama, dia bakal mendapat didikan yang terbaik daripada ayahnya.
"Begitu juga dengan saya yang akan memberi sepenuh kasih sayang buat Darwisz," katanya yang dihubungi mStar Online.
Memey yakin suaminya mampu mendidik anaknya menjadi orang yang berguna.
Pada 9.55 malam Jumaat, Memey selamat melahirkan Darwisz di Dewan Bersalin Muslimah Gombak, Selangor.
Bayi itu dilahirkan dua minggu awal daripada tarikh jangkaan bersalin.
Tambah Memey, dia juga bersyukur apabila proses kelahirannya tiada sebarang komplikasi lebih-lebih lagi apabila Norman berada di sisinya sepanjang tempoh masa untuk melahirkan.
"Saya rasa tenang sedikit ketika dalam keadaan sakit melalui proses kelahiran, Norman sempat memberi pelbagai nasihat.
"Dan sepanjang masa itu, saya hanya mengikut kata-katanya dan ternyata nasihat-nasihat yang diberikan banyak membantu saya melahirkan Darwisz, Alhamdulillah," tuturnya.
Sementara itu, Memey memberitahu, dia akan berpantang secara tradisional di rumahnya Kuala Lumpur selama dua minggu dan kemudian akan pulang ke kampungnya untuk meneruskan rawatan berpantangnya itu.
Pasangan itu bernikah pada 24 September 2011 di kampung halaman Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor
Sebelum ini, Norman pernah mendirikan rumah tangga dengan Abby pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.

Kontroversi Tidak Jejaskan Perkahwinan Liyana Jasmay

Posted: 03 Feb 2013 05:30 AM PST

Liyana Jasmay dan Fathuddin Mazlan sah menjadi suami isteri.
KUALA LUMPUR: Perselisihan faham antara jurufoto Saiful Nang mengenai gambar pra perkahwinan Liyana Jasmay dan Fathuddin sehingga mengundang kontroversi gara-gara aksi mesra pasangan itu tidak menjejaskan persiapan majlis perkahwinan mereka.
Liyana yang kini bergelar isteri Fathuddin berkata, dia langsung tidak mengendahkan kontroversi itu dan menganggapnya sebagai isu remeh yang tidak perlu diambil tahu langsung.
"Tentang kontroversi itu, kami tidak bercakap mengenainya dan ia juga tidak menjejaskan sepanjang perjalanan persiapan perkahwinan kami.
"Saya dah biasa dengan kontroversi remeh seperti ini di mana ia akan senyap dengan sendirinya," kata Liyana selepas diijabkabulkan pada pagi Sabtu di Hotel Seri Pasific, di sini.
Majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan pada sebelah malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Liyana dan Fathuddin bakal berangkat ke New York pada 15 Februari ini.
Dua minggu sebelum pernikahan Liyana, ibu pelakon yang juga penyanyi itu, Habsah Simpon terkilan apabila foto pra perkahwinan yang sepatutnya untuk simpanan peribadi menjadi tatapan umum dan menyalahkan Saiful, yang bertindak sebagai jurugambar pasangan itu bertanggungjawab dalam penyiaran foto berkenaan.
Saiful yang juga pemilik syarikat fotografi, CandidSyndrome International, turut tampil menjelaskan situasi sebenar di mana dia tidak bersalah dalam hal tersebut.
Bagaimanapun, Liyana menyifatkan ia sebagai dugaan kecil buatnya dan hanya mampu menghadapinya dengan tenang.
"Saya pun sebenarnya tidak marah atau bengang dengan apa yang telah berlaku ini. Yang penting perjalanan perkahwinan kami berjalan dengan lancar," tuturnya.
Sementara itu, Liyana turut memberitahu, dia enggan mempunyai anak dalam masa terdekat kerana ingin melalui alam percintaan bersama suaminya memandangkan sebelum ini mereka hanya pernah keluar bersama untuk beberapa kali sahaja.
"Sudahlah saya belajar selama enam bulan sepanjang pertunangan kami pada tahun lalu, jadi inilah masanya untuk kami bercinta. Kalau boleh saya mahu berbulan madu bersama suami selama setahun sebelum menerima kehadiran orang baru dalam rumah tangga kami.
"Bagaimanapun, saya tidak menolak sekiranya ada, ia satu rezeki buat kami," ujarnya.
Liyana bakal berangkat ke New York, Amerika Syarikat pada 15 Februari ini bagi menjalani penggambaran telefilem terbaru di bawah produksinya, Mermaid Studio iaitu 'NY Cinta' bersama Bront Palarae.
Fathuddin turut menemani isterinya dan kemudian pasangan itu akan ke London, England pada 28 Februari ini.
"Sebenarnya, kami ke London untuk membeli belah dan Fathuddin pula tidak menganggapnya sebagai sebuah percutian.
"Baginya, berada di sebuah pusat peranginan yang tenang adalah lokasi sesuai untuk berbulan madu, mungkin kami akan bercuti di tempat menarik di Sabah," selorohnya.

Industri Filem Malaysia Semakin Pesat - Finas

Posted: 03 Feb 2013 05:30 AM PST


SINGAPURA: Jumlah filem yang diterbikan karyawan Malaysia mencatat peningkatan hampir tiga kali ganda tahun lalu berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pengarah Promosi dan Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Abd Khalid Maulod berkata, sejumlah 73 buah filem ditayangkan di pawagam sepanjang tahun lepas berbanding 49 filem pada 2011, 39 filem pada 2010 dan 27 filem pada 2009.
"Peningkatan ini menunjukkan industri filem Malaysia berkembang dengan pesat" katanya ketika membicarakan topik yang bertajuk 'Halatuju Industri Perfileman Malaysia - Harapan dan Cabaran' dalam sesi bual bicara filem di sini sempena Anugerah Seri Temasek yang akan berlangsung malam Sabtu.
Anugerah tersebut adalah bagi mengiktiraf karyawan seni Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Abd Khalid berkata, Finas sudah mengenal pasti tiga festival tahun ini untuk disertai oleh penerbit Malaysia sebagai satu lagi usaha mempromosi dan memasarkan filem tempatan ke peringkat antarabangsa.
Festival berkenaan ialah European Market di Berlin, Cannes Film Festival di Perancis dan American Film Market di California.

Awie dikecam!

Posted: 03 Feb 2013 05:28 AM PST


Awie
Awie
TINDAKAN penyanyi rock terkenal tanah air, Awie, menubuhkan perniagaan kelab malam yang beroperasi di Ipoh, Perak, mendapat reaksi negatif dalam kalangan peminatnya.

Ramai yang mempersoalkan penglibatan Awie dalam bidang tersebut kerana bertentangan dengan hukum agama. Tampil membela diri, Awie berkata, masyarakat harus bersikap lebih terbuka dengan perniagaannya itu sementelah dia melabur wang yang banyak untuk bisnes tersebut.

Kritikan itu juga tidak menghalang vokalis kumpulan Wings itu mengembangkan lagi kelab malamnya itu, Malai Rock Station, di Kuala Lumpur, Pahang dan Johor.

Menurut Awie, perniagaan tersebut bukanlah perkara baru dan ramai orang Melayu sudah berkecimpung.

Dikatakan bercium: Siti Saleha tidak cepat melatah

Posted: 03 Feb 2013 05:28 AM PST


Siti Saleha
Siti Saleha
SEBELUM ini, nama pelakon berbakat besar, Siti Saleha mungkin jarang dikaitkan dengan kisah kontroversi baik dalam kehidupan peribadi mahupun kerja.

Namun, menerusi filem pertamanya, Kerat 14, pemilik nama sebenar, Siti Saleha Mohd Baharum, 23, ditebak dengan pelbagai persoalan apabila lakonannya memaparkan adegan mesra dan berciuman.

Bergandingan bersama pelakon baru, Ali Arami, Saleha menerusi filem berkenaan menggalas watak sebagai Nurzara.

"Memang sekilas pandang, babak itu kelihatan seperti bercium, namun kami bukan cium betul-betul.

"Pada mulanya, saya pun teragak-agak untuk menjayakannya dan pengarah terpaksa mengambil beberapa 'shot' untuk mendapatkan 'scene' itu.

"Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tugas dan saya akui, memang sukar untuk melakukan babak mesra seperti itu," kata pelakon drama hit, Nora Elena ini.

Bakal menemui penonton di pawagam mulai 14 Februari ini, Kerat 14 turut menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Aaron Aziz, Zamarul Hisham, Arash Mohamad dan Fouziah Gous.

Malu lihat lakonan sendiri

Walaupun bakatnya dalam bidang lakonan tidak boleh dipertikaikan, Saleha akui malu untuk melihat babak intim itu.

Lebih-lebih lagi, pada sesi tayangan media, bapanya turut hadir menemaninya untuk memberi sokongan dan semangat.

"Semasa babak itu, saya suruh bapa menutup muka supaya tidak melihat aksi saya. Tapi, dengan nada positif, dia beritahu amat memahami kerjaya saya.

"Malah, dia berpuas hati dengan lakonan saya dan akan sentiasa memberi sokongan padu kepada saya dalam kerjaya ini.

"Namun, dia turut menasihati saya agar tidak melakukan perkara yang berlebihan," kata finalis Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) ini.

Selesa tanpa lelaki

Mengakui masih solo dan enggan berbicara mengenai kisah cinta, Saleha menganggap bukan masanya untuk semua itu.

Malah, menurut Saleha, sejak kecil lagi, dia dididik untuk berdikari tanpa mengharapkan orang lain.

"Saya rasa, tanpa lelaki pun saya boleh meneruskan kehidupan. Saya tidak meletakkan soal cinta di hadapan.

"Ini adalah waktu untuk saya membina kerjaya. Namun, tidak bermakna saya menolak untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidup saya.

"Sebelum ini, saya berkawan dengan beberapa lelaki, namun hubungan itu tidak pernah menuju ke alam cinta. hanya kawan biasa sahaja," katanya yang berharap agar tahun 2013 memberi sinar buat dirinya.

Isu Twitter: Elfira mahu selesai cara baik

Posted: 03 Feb 2013 05:26 AM PST


Elfira
Elfira
JIKA dibuka lembaran graf perkembangan karier seni gadis kecil molek bernama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri atau Elfira, pasti dapat dilihat peningkatan karier lakonannya yang begitu baik sejak tahun lalu.

Justeru, tidak hairanlah dengan populariti yang dimiliki, ada yang mahu menjadi 'Elfira' sehingga sanggup mewujudkan satu akaun Twitter palsu menggunakan identiti 'Elfira'.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Elfira menerusi akaun Twitter miliknya beberapa hari lalu.

"Please don't tweet like you are the real 'Elfira'. Show some respect please, thank you @_Elfiraloy, (Jangan tweet seperti anda Elfira yang sebenar. Tolong hormat sedikit, terima kasih)." tulisnya.

Elfira yang dihubungi Zass berkata, perkara seumpama itu bukan pertama kali berlaku, namun sebelum ini, individu yang membuat akaun laman sosial menggunakan namanya hanyalah untuk mempromosikan perkembangan kariernya.

Bagaimanapun, lama-kelamaan individu tidak bertanggungjawab itu mula rasa selesa hingga sanggup menyamar menjadi Elfira.

"Jika ada pihak yang menggunakan nama saya untuk memberi maklumat tentang perkembangan saya, saya boleh terima.

"Tapi bila sampai berbual dan berjanji untuk berjumpa dengan peminat saya, pada saya itu perbuatan yang sangat melampau. Saya pula jenis tidak akan berdiam diri dan akan terus berhubung dengan individu tersebut," katanya.

Elfira berkata, dia sebolehnya tidak mahu membawa perkara ini sehingga ke tahap yang lebih serius (membuat laporan polis) dan akan cuba menyelesaikan dengan cara yang terbaik.

"Saya faham, mereka yang selalu update mengenai saya, adalah peminat saya sendiri. Kalau tak, bagaimana mereka tahu perkembangan saya.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana belum sampai tahap ada peminat fanatik yang mengganggu hidup saya seperti mencari saya sehingga ke rumah atau menelefon saya," ujarnya.

Akaun palsu yang berdaftar atas nama @_Elfiraloy itu jelas boleh menimbulkan kekeliruan berikutan tweet yang dikeluarkan seolah-olah ditulis oleh pelakon itu.

Akaun palsu yang dibuat pada 28 Disember tahun lalu itu kini mempunyai 237 pengikut dengan 384 tweet.

Pada 28 Januari lalu, individu tersebut menulis mesej kepada pelakon, Nabila Huda.

"Hey sis...How are you? It's me Elfira...I saw you at La Boca," tulisnya.

Bagaimanapun, menurut Elfira, semenjak dia menegur individu terbabit, dia sudah tidak lagi menghantar apa-apa tweet terbaru.

Bercinta dengan Baim?

Tidak sekadar perkembangan kariernya yang menjadi perhatian, kehidupan peribadi gadis berusia 19 tahun ini turut menjadi perhatian apabila dia kini dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan seorang lagi pelakon Indonesia.

Menegaskan perhubungan yang terjalin tidak lebih dari sekadar teman, Elfira berkata, dia sudah mula lali dikaitkan dengan pasangan lakonannya.

"Ketika saya berlakon bersama Randy (Randy Pangalila), orang kata saya bercinta dengan dia. Bila saya berlakon bersama Baim, orang kata saya bercinta dengan dia pula.

"Bagi saya gosip liar sebegini ada buruk dan baiknya. Baiknya adalah, ia membuktikan kami berjaya mempamerkan keserasian yang baik sehingga orang melihat kami rapat sehingga luar set.

"Namun yang buruknya, saya tidak mahu orang salah sangka dan menganggap saya 'playgirl' dan sering bertukar teman lelaki," jelasnya.

Elfira berkata, sejak dulu dia tidak pernah lagi bercinta dan belum terfikir untuk bercinta kerana mahu memberi perhatian terhadap karier seninya terlebih dahulu.

"Fokus utama saya adalah karier saya dan tak pernah rasa pun untuk mempunyai pasangan buat masa sekarang. Lagipun saya masih muda," katanya.

Jangan layan saya seperti kanak-kanak

Dalam pada itu, menyentuh mengenai penghijrahan adiknya yang juga pelakon, Ezlisa yang kini sudah mula bertudung, Elfira berkata dia amat senang dengan perubahan adiknya.

Bagaimanapun dia mengakui kurang senang dan selesa pada mulanya apabila ada pihak yang mula memperlinya kerana tidak bertudung. "Pada mulanya saya akui rimas bila orang kata macam-macam pada saya. Mereka melayan dan bercakap dengan saya seperti saya masih lagi kanak-kanak. Itu yang membuatkan saya tidak suka.

"Tapi saya fikir positif dan merasakan masih ada orang mengambil berat mengenai saya dan saya akhirnya baca cerita mengenai saya sebagai bahan bacaan dan tidak ambil pusing.

"Saya sudah besar, perkara seperti ini (bertudung) perlu datang dengan cara yang ikhlas dan bukannya kerana orang suruh serta paksaan orang lain. Bila tiba masanya, saya akan mengikut jejak Ezlisa," jelasnya.

Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Elfira berkata dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri 28 episod, Si Tanggang Ayu yang akan disiarkan dia Astro Prima. Selain itu, dia kini sedang sibuk menjalani latihan untuk filem Rentap bersama Syafie Naswip dan Zahiril Adzim yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Sumbangan Veteran ATM tidak berpencen mungkin diteruskan

Posted: 03 Feb 2013 05:21 AM PST


PASIR MAS - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin tidak menolak kemungkinan Sumbangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen 1Malaysia diteruskan jika ekonomi dan politik negara kekal stabil.

Zulkifeli berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada kerajaan untuk dinilai agar sumbangan berkenaan diberi setiap tahun sebagai penghargaan kepada warga bekas tentera berkenaan.

"Saya yakin kerajaan mampu melaksanakannya setiap tahun sekiranya kedudukan ekonomi kukuh dan kekuatan kerajaan yang memerintah terus stabil," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas penyampaian sumbangan itu kepada 927 bekas tentera tidak berpencen dari kawasan Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang.  

Zulkifeli berkata, kira-kira 100,000 bekas tentera tidak berpencen telah mendaftar bagi mendapatkan sumbangan itu dan berharap lebih ramai lagi tampil berbuat demikian.

"Dari 240,000 bekas tentera yang bersara sejak 1933, hanya kira-kira 100,000 sahaja yang mendaftar setakat ini," katanya.

Mengenai pengambilan anggota baharu, beliau berkata kira-kira 1,600 orang diambil pada setiap pengambilan iaitu 1,300 lelaki dan 300 wanita.

"Kita menerima kira-kira 40,000 permohonan untuk setiap pengambilan tetapi setelah dinilai dari segi kelayakan, kira-kira 1,600 sahaja diambil bagi menampung bilangan anggota dan pegawai yang bersara," katanya.

Konsert otai rock tiga hari tiga malam

Posted: 03 Feb 2013 05:19 AM PST


BARISAN penggiat muzik rock 1990-an bakal menggegarkan Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 hingga 9 Feb ini.


RIUH-RENDAH seketika Studio Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada Rabu lalu. Ketika itu diadakan satu sesi fotografi bersama beberapa buah grup rock 1980-an dan 1990-an yang digabungkan bersama.
Fotografi tersebut nyata bukan sekadar sesi biasa bagi mereka, bahkan menjadi menjadi ruang untuk bertemu dengan rakan-rakan 'sealiran.'
Antara yang hadir termasuklah kumpulan Utopia, Meditasi, Samudera, CRK, Putra, Satira, Burnmark, EYE, Lela, Graviti, Junction, Handy Black dan Bloodsheed. Ada antara grup tersebut yang kali terakhir mengikuti sesi fotografi bersama media sekitar tahun 1990.
"Kumpulan-kumpulan rock otai sudah lama tidak mendapat publisiti di media. Apabila dapat berkumpul seperti ini untuk satu sesi fotografi, ia suatu pengalaman yang berharga buat kami.
"Gamat seketika kerana dapat bertemu dan berkumpul seperti ini. Kumpulan saya (Meditasi) sendiri kali terakhir tampil dalam sesi fotografi adalah pada tahun 1992 iaitu ketika album terakhir," ujar vokalis kumpulan Meditasi, Burn selaku jurucakap kepada barisan kumpulan rock tersebut.
Pada awalnya, sesi tersebut diaturkan khas buat vokalis kumpulan terbabit sahaja, namun atas sokongan daripada ahlinya, kira-kira 25 orang daripada pelbagai grup hadir untuk menjayakan sesi tersebut.
Kesemua mereka bukan sahaja hadir membawa mesej bahawa grup berkenaan masih belum terkubur, bahkan turut membawa perkhabaran bahawa akan diadakan sebuah sebuah konsert rock secara besar-besaran tidak lama lagi.
Bakal berhimpun selama tiga hari tiga malam di Stadium Putra Bukit Jalil, Selangor pada minggu hadapan, konsert yang digelar Rockers... Apa Khabar itu dijangka menarik penonton daripada pelbagai lapisan usia.
"Konsert itu akan diadakan pada 8 hingga 10 Februari ini, bermula pukul 4 petang hingga ke tengah malam. Pastinya kami menjanjikan sebuah persembahan penuh bertenaga secara langsung buat para peminat.
"Lebih menarik lagi kerana kami tidak meletakkan had usia kepada sesiapa sahaja untuk hadir bagi menikmati lagu-lagu rock popular sepanjang zaman itu. Masuk adalah percuma," kata Burn kepada Sensasi Bintang.
Tidak sekadar sebuah konsert, program itu turut dirakamkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ia juga bakal ditayangkan sebanyak 13 episod di saluran TV2 bermula Jun ini.
Sebanyak 13 kumpulan rock yang terlibat dalam konsert tersebut termasuklah kumpulan EYE, Utopia, Meditasi, Lela, Samudera, Burnmark dan Handy Black. Pada setiap hari konsert berlangsung antara empat dan lima kumpulan akan mengadakan persembahan mereka.
Setiap grup akan menyampaikan enam buah lagu popular masing-masing seperti Sinambungan Cinta oleh Graviti, Maya Percintaan (Utopia), Surat Dari Hiroshima (Satira), Bidadari (Lela), Srikandi Cintaku (Bloodshed), Izinkan Selamanya Nama di Hati (EYE) dan Kain Cinta Putih (Putra).
Selain itu kumpulan Junction tidak akan ketinggalan untuk menyampaikan lagu Demi Cinta Setia di samping lagu Titian Hasrat oleh Samudera, Secebis Rayuan (Burnmark) dan Engkau Yang Bernama Seri (Handy Black).
Jelas Afee yang merupakan vokalis kumpulan Utopia, lagu-lagu yang dipopularkan sejak tahun 1980-an dan 1990-an itu tetap segar hingga kini biarpun ahli grup tersebut tidak lagi dikenali seperti suatu ketika dahulu.
"Peminat lagu-lagu kami tidak terhad pada mereka yang membesar kepada zaman itu, bahkan peminat baharu juga semakin bertambah. Boleh dikatakan ramai yang tidak kenal siapakah penyanyi tersebut dan sekadar tahu nama kumpulan dan lagu sahaja.
"Justeru kalau peminat mahu mengenali siapakah penyanyi di sebalik lagu-lagu yang masih popular itu, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert yang diadakan secara besar-besaran buat pertama kali itu. Saya pasti, peminat yang tidak kenal siapa kami akan turut menyanyi bersama-sama nanti," kata Afee.
Konsert yang bakal menjadi sejarah buat industri muzik tempatan itu apabila rakaman selama sejam buat setiap kumpulan akan dirangkumkan sebagai sebuah jurnal grup terbabit.
"Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa konsert tersebut bakal menjadi khazanah negara kerana rakaman itu bukan sekadar konsert semata-mata tetapi terdapat sesi temu ramah bersama setiap kumpulan. Turut dipaparkan di televisyen nanti termasuklah aktiviti yang pernah dilakukan dan gambar-gambar lama kami," ujar Isa daripada kumpulan Graviti.
Tambah Burn, usaha memperkenalkan semula jenama-jenama rock yang sepi daripada liputan media itu bukan sahaja untuk kepentingan grup yang terbabit, bahkan turut merangkumi usaha mengembalikan kegemilangan industri muzik tempatan.
Mengakui sedikit 'takut' dengan produk-produk muzik import yang semakin banyak membanjiri pasaran hiburan tempatan, usaha mereka itu sedikit sebanyak dapat menarik perhatian anak muda yang cenderung kepada naskhah yang enak didengar.
"Pada zaman kegemilangan rock suatu ketika dahulu, begitu sukar untuk muzik luar masuk ke negara ini kerena kita mempunyai kekuatan. Bahkan lagu-lagu kita juga diterima di negara jiran sehinggakan pada suatu ketika berlaku sekatan kerana mereka bimbang kita akan memonopoli industri Indonesia.
"Namun, sejak kebelakangan ini, industri muzik tempatan seolah-olah membuka ruang yang besar untuk orang luar memonopoli pasaran muzik semasa.
"Pastinya keadaan itu tidak sihat untuk industri muzik tempatan. Biarpun usaha untuk memperkenalkan semula irama rock ini berdepan kesukaran, namun sekurang-kurangnya generasi baharu akan kenal siapakah penyanyi di sebalik lagu-lagu yang mereka dendangkan di pusat karaoke mahupun yang mendengarnya di radio," kata Burn.
Usaha mengembalikan kegemilangan zaman rock kapak atas kerjasama pihak kerajaan itu turut memberi semula nafas buat grup-grup yang pernah mencetuskan fenomena tersebut.
Biarpun masih tidak putus-putus menerima pulangan berbentuk royalti daripada Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), jelas Burn, grup tersebut seolah-olah kembali kepada zaman permulaan apabila menyara hidup dengan mengadakan persembahan di majlis perkahwinan dan majlis korporat sahaja.
Dalam sibuk bercerita, Afee mencelah bahawa kebanyakan daripada grup rock otai masih lagi kekal bersama ahli asalnya, bahkan banyak yang belum terkubur kerana minat masing-masing untuk tidak berpisah.
"Memang sukar untuk kami mengadakan persembahan secara berkumpulan kerana kebanyakan penganjur sekadar menjemput vokalis sahaja atas kekangan bajet. Walaupun kurang meriah apabila menyanyi bersama minus one, tetapi itu hakikat yang harus ditelan.
"Ramai yang tidak tahu sebenarnya kebanyakan daripada kami memang masih aktif dalam arena muzik, cuma tidak sepopular dahulu," ujar Afee.

Lara hidup Norish Karman

Posted: 03 Feb 2013 05:18 AM PST


NORISH KARMAN sebak sepanjang memberikan penjelasan kepada pihak media berhubung tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadapnya.


WAJAHNNYA pilu dan sesekali jari-jemarinya mengesat air yang tumpah dari kolam matanya yang berkaca, namun Norish Karman, 37, tetap mengagahkan diri. Dia bercerita dan terus bercerita tentang lara yang sedang dihadapi ekoran pelbagai kontroversi.
Tahun lepas namanya panas gara-gara kehadiran seorang bayi diberi nama Haq Lutfie Alexander yang sehingga kini masih dirahsiakan identiti bapanya. Tahun ini, air muka pelakon berkaliber yang cukup dikenali dengan panggilan NK itu masih belum habis diconteng dengan arang.
Sama ada terhukum oleh kesilapan lalu atau dihukum sewenang-wenangnya oleh media, apa yang berlaku kepada Norish sebenarnya satu episod hitam. Luka hidupnya tidak pernah sembuh.
Semuanya bermula beberapa tahun lalu selepas rumah tangganya bersama Datuk Hashimuddin Abdul Kadir hancur dipukul badai pada 2008. Dalam tempoh beberapa tahun ini, namanya tenggelam timbul. Selesai soal penjagaan anak-anak, muncul pula kisah bercinta lelaki muda. Tidak habis dengan perkara itu, tiba-tiba pula dia dikatakan menyembunyikan diri dan hamil anak luar nikah.
Terbaharu, Norish dikecam seorang wanita yang mendakwa pelakon itu cuba merampas suaminya. Norish, baru-baru ini terpaksa merasakan sudah tiba masa untuknya bangkit memperjelaskan keadaan sebenar kepada media.
"Semua cerita dan kontroversi yang selama ini dipaparkan oleh pihak media sangat mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya. Saya lebih teruk daripada banduan kerana media terus menjatuhkan hukuman kepada saya tanpa mempedulikan berita itu sahih atau tidak," getus Norish dalam nada hiba usai majlis solat hajat dan jamuan makan buat peminat-peminatnya di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Norish mengambil peluang itu untuk beramah-mesra dengan media yang selama ini disifatkannya tidak habis-habis mencungkil cerita panas tentang dirinya.
"Tanyalah saya apa sahaja, selama ini pihak media tidak habis-habis telefon saya minta komen macam-macam cerita," katanya separuh tegas, separuh berseloroh.
Lebih memburukkan keadaan, kata Norish: "Karier lakonan saya mendapat impak yang paling teruk. Selama enam bulan sampai ke hari ini, saya tidak berlakon dan tidak mendapat sebarang tawaran lakonan. Semua itu kesan cerita buruk tentang saya yang dijaja oleh media."
Kehilangan sumber pendapatan hasil lakonan menyebabkan Norish melakukan kerja-kerja sampingan lain seperti katering dari rumah dan memenuhi jemputan mengadakan ceramah motivasi. Sepanjang tiada tawaran lakonan juga, Norish menumpukan perhatian untuk promosi albumnya, Terus Melangkah.
Untuk tahun 2013, dia masih punya harapan untuk menjayakan promosi dan persembahan jelajah untuk album berkenaan ke seluruh negara.
"Mujurlah saya masih ada peminat yang terus memberi sokongan. Sekarang saya ada empat akaun Facebook kerana satu akaun tidak menampung jumlah pengikut yang ramai," akui Norish.
Berhubung kontroversi terbaharu dituduh sebagai artis perampas suami orang yang terpalit ke mukanya, ibu kepada empat orang anak itu menjelaskan dakwaan itu adalah kenyataan yang dilemparkan oleh seorang wanita yang pernah dianggap seperti kakak sendiri.
"Tuduhan itu buat saya bertambah sedih dan terkilan. Dia bukan sahaja kawan bahkan saya anggap sebagai kakak sendiri. Saya kenal rapat keluarga tapi tidak perlulah namanya disebut, saya tidak mahu dia pula yang dicerca oleh masyarakat.
"Ini semua kerana cemburu dan iri hati. Dia cemburu kerana anak-anaknya sangat rapat dengan saya. Dia mungkin kurang senang dan fikir saya mahu rampas suaminya. Saya langsung tidak tergamak untuk runtuhkan rumah tangga orang lagipun suaminya sudah berusia 66 tahun," jelas Norish.
Menurut Norish, dia tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada penyebar fitnah berkenaan. Dia cuma kesal kerana hubungan yang terbina selama lima tahun musnah begitu sahaja gara-gara prasangka tanpa usul periksa.

Rakaman eksotika Serangoon Road

Posted: 03 Feb 2013 05:17 AM PST


JALAN SERANGOON yang terletak berhampiran Little India di Singapura kini masih antara jalan paling sibuk dan pusat perniagaan di negara republik itu.


MASUK ke lokasi yang diberi nama Infinite Studios yang terletak di Nongsa, Batam, Indonesia itu, tubuh dan jiwa seperti dibawa merentas zaman. Mata tertancap kepada deretan bangunan lama, kedai-kedai, gerai sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan di sepanjang laluan pejalan kaki jelas menggambarkan keadaan ekonomi dan budaya sebuah zaman yang sudah puluhan tahun ditinggalkan.
Gambaran zaman epik itu diperkemaskan lagi dengan bentuk-bentuk tulisan zaman penjajah yang bersilih terjemahan dalam aksara Cina. Di satu sudut terlihat sebuah papan tanda yang tertera tulisan, 'Cheng Detective Agency'.
Itulah pusat penceritaan yang membawa segerombolan media dari Asia Tenggara seperti dari Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Filipina dan termasuklah penulis sendiri untuk bertamu ke Batam serta meninjau sebuah cerita.
Lawatan ke Infinite Studios itu hanya mengambil masa kira-kira satu jam. Kami sebenarnya dibawa melawat lokasi pembikinan Serangoon Road, sebuah drama bersiri kolaborasi sulung antara HBO Asia dan stesen televisyen Australia, ABC TV.
PERSEKITARAN China Town yang eksotik dibina semula di Infinite Studios bagi merealisasikan latar zaman drama ini.


Infinite Studios yang juga dikenali sebagai Pt. Kinema Studio dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 2,000 hektar di Nongsa, Batam, Indonesia. Sebelum ini, filem Dead Mine juga menjadi produksi pertama yang melakukan penggambaran di situ. Sejak mula beroperasi dua tahun lalu, sehingga kini, baru sepertiga daripada keluasan lokasi itu dibangunkan untuk kerja-kerja pembinaaan studio penggambaran.
Serangoon Road diangkat bersempena nama sebatang jalan yang mula-mula sekali dibangunkan di Singapura. Mengikut catatan sejarah, Jalan Serangoon sempat menjadi jalan raya utama yang turut berfungsi sebagai titik penyeberangan unik bagi seluruh lapisan warga zaman itu. Jalan yang pernah menjadi lokasi paling sibuk Singapura sekitar 1960-an itu menjadi simbol kepada Serangoon Road yang bakal disiarkan di saluran HBO Asia sekitar hujung tahun atau awal tahun depan.
"Kami memilih studio ini kerana ia mampu menghidupkan visual yang kami bayangkan. Ini sebuah gambaran semula tentang suasana sosioekonomi, budaya dan politik Singapura yang berbilang bangsa sekitar era 1960-an," jelas Paul Barron pencipta asal siri Serangoon Road itu sepanjang mengiringi lawatan para wartawan di situ.
Lapan puluh peratus penggambaran Serangoon Road dijalankan di Nongsa sama ada di studio ataupun pesisir pantai di situ. Penggambaran di Singapura pula hanya melibatkan lokasi di sekitar Hotel Raffles. Di situ juga terbina sebuah studio soundstage yang berkeluasan kira-kira 30,000 meter persegi. Segala adegan dalam rumah, pejabat serta kapal dilakukan dalam set yang menggunakan lebih 200 tenaga kerja yang terdiri daripada warga tempatan, Singapura dan Australia.
PEJABAT Detektif Cheng menjadi antara lokasi penting dalam krolonogi plot drama penyiasatan Serangoon Road ini.


"Penggambaran sudah berlangsung sejak Ogos 2012. Setakat ini kami sudah menyelesaikan lima episod," jelas Paul sambil menambah bahawa membina semula set Jalan Serangoon bukanlah suatu pekerjaan yang mudah.
Lebih setahun kajian dilakukan, segala maklumat dan fakta sejarah haruslah tepat agar apa yang bakal dipaparkan tidak menyongsang daripada apa yang pernah wujud lebih 50 tahun lalu.
Pasukan kreatif mempunyai satu ruang khas di satu sudut bangunan. Di situ terdapat foto-foto yang merakam kehidupan Jalan Serangoon pada masa dahulu. Tidak hanya foto, pasukan penata seni bertanggungjawab mengumpulkan props termasuklah daripada perkakas dapur, patung-patung, pakaian, beg pakaian, senjata, kamera sehinggalah alat solekan.
Beralih lokasi ke sebuah perkampungan di pinggir pantai Nongsa, kelihatan pula beberapa pemuda Inggeris yang berjalan longlai keluar dari sebuah pusat tahanan yang beratap rumbia. Pakaian penuh daki, kesan darah yang masih bersisa, pandangan kelam serta wajah sugul mereka membayangkan kesengsaraan yang dialami. Sementara di luar pagar, ada wanita-wanita Inggeris serta gadis India yang kusut sedang menunggu penuh pengharapan. Mereka berpelukan melepaskan kepahitan yang sama-sama dirasai akibat perang. Latar Perang Dunia Kedua terasa hidup di mata semua.
Itu salah satu babak pembebasan tentera Inggeris keluar dari tahanan tentera Jepun di Asia Tenggara ketika perang berlangsung. Biarpun seperti mendokumenkan sejarah dalam sebuah drama, Serangoon Road bukan kisah perang sebaliknya ia sebuah drama bersiri penyiasatan sebanyak episod berlatar zaman 1960-an di Singapura yang ketika itu disifatkan penuh eksotik dan bergejolak.
Syarikat produksi yang menyertai pembikinan siri ini termasuklah Great Western Entertainment di Perth dan Infinite Studios di Singapura. Rakan-rakan pembiayaan termasuklah ABC Commercial, ScreenWest dan pengedar antarabangsa, Content Television and Digital, satu bahagian daripada Content Media Corporation.
Kolaborasi hebat tidak hanya pada penggabungan dua negara berkenaan, akan tetapi naskhah Serangoon Road berjaya menarik minat pelakon Asia terkemuka, Joan Chen yang menempa nama di Hollywood untuk menggerakkan watak utama.

ZAMAN Perang Dunia Kedua menjadi latar masa drama ini.


Ia turut dibintangi bakat dari Singapura, Alaric Tay dan Pamelyn Chee termasuklah pelakon Australia yang cemerlang seperti Don Hany yang pernah muncul dalam East West 10/ Jack Irish: Black Tide, Maeve Dermody (Rake/ Bikie Wars: Brothers in Arms), Rachael Blake (Wildside/The Straits) dan Michael Dorman (Daybreakers/The Secret Life Of Us).
Menyingkap isi Serangoon Road, ia menceritakan Sam Callaghan (Don Hany) kelahiran Australia, yang menghabiskan zaman kanak-kanak di kem tahanan Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Apabila dewasa, Sam kembali untuk berjuang di Malayan Emergency. Dari segi psikologi, Sam seorang lelaki yang terjejas teruk akibat pengalaman itu.
Apabila jirannya Patricia (Joan Chen) meminta bantuan Sam untuk membolehkan penerusan agensi detektif milik suaminya yang mati akibat satu penyakit, Sam bersetuju walaupun berat hati dengan pelawaan itu. Lalu bermula suatu perjalanan yang melihat Sam terjerumus dalam dunia yang tidak menentu dan berbahaya di mana geng-geng Persatuan Rahsia Cina bergaduh untuk menguasai jalan-jalan, kuasa asing bersaing untuk kuasa dan risikan rahsia, dan bandar itu adalah sarang kegawatan kaum dan politik.
Siasatan Sam dan kekasihnya membawa mereka ke dunia istimewa ekspatriat-ekspatriat Eropah dengan sikap penjajah, kemewahan dan komplot politik yang semakin pudar. Mereka juga dipertemukan dengan Inspektor Amran (Ario Bayu), satu-satunya pemuda Melayu yang dilantik sebagai polis Singapura pada waktu itu.
Lakonan Asia, Hollywood
Akui dirinya pernah menjadi bunga Asia di pentas Hollywood, pada usia 51 tahun Joan Chen masih segar dan seksi. Hadir ke Mandarin Oriental, Singapura untuk bertemu media semasa Serangoon Road HBO Asia Media Junket baru-baru ini, pembawa karakter Wan Jung dalam filem pemenang anugerah Oskar, The Last Emperor (1987), Joan ternyata sarat berbalut pesona bintang antarabangsa.
"Saya punya ramai teman dari Singapura, jadi untuk menyelami kehidupan masyarakat di Singapura dalam era drama ini, ia tidak begitu sukar sebaliknya saya pengalaman dramatik yang sungguh memberi inspirasi," katanya tegas.

SUASANA penggambaran salah satu babak di Nongsa, Batam.


Sambil memuji aksi Don Hany sebagai Sam, Joan menambah: "Saya juga lihat Ario Bayu sebagai pelakon yang berpotensi untuk pergi jauh tapi saya tidak banyak aksi bersamanya. Melakon watak Patricia juga seperti membawa saya ke dalam zon sejarah. Dunia Serangoon Road sungguh asing tapi sungguh menarik. Teks drama ini sendiri sungguh hebat. Menjadi wanita yang kehilangan suami dan pada masa yang sama tidak mempunyai anak menjadikan watak Patricia kompleks, kuat dan ada misteri tersendiri. Misi saya ialah mencari keadilan dan menyelongkar rahsia kematian suami saya."
Sidang media bersama Joan sayangnya tidak disertai pelakon-pelakon lain terlibat dalam siri itu. Namun kesempatan ke Batam sehari sebelum sesi bersama Joan di Singapura, para wartawan terlebih dulu diberi kesempatan menemui aktor popular Indonesia Ario Bayu di Batam.
"Saya masih terkejut kerana terlibat dalam siri besar ini. Memang drama ini berkait rapat dengan sejarah perang dan Singapura tetapi fokus saya di sini untuk watak Inspektor Amran, saya tidak ada banyak waktu untuk mendalami sejarah. Bagi saya emosi Amran itu yang paling penting," katanya yang menerima lamaran HBO Asia rentetan keterlibatannya dalam filem Dead Mine yang turut melakukan penggambaran di studio yang sama.
Sempat menyapa media dari tanah kelahirannya dalam bahasa Indonesia sebelum bercerita lebih lanjut, kata Ario, melakonkan watak lelaki Melayu sedangkan dirinya kelahiran Jakarta dan membesar di New Zealand sebenarnya tidak mendatangkan kesukaran buatnya.

Berdamailah Sharnaaz - ND Lala

Posted: 03 Feb 2013 05:16 AM PST


CINTA antara Shila Amzah dan Sharnaaz kini berdepan dilema apabila bapanya ND Lala dan kekasihnya Sharnaaz saling berbalas kenyataan.


PENING juga kepala Diva sebab asyik mengikuti perkembangan cerita cinta merpati dua sejoli, Sharnaaz dan Shila Amzah. Kalau ikutkan kenyataan bapa Shila, ND Lala dalam sebuah surat khabar Khamis lalu, parah juga hubungan Sharnaaz dengan keluarga bakal wanita yang mahu disuntingnya sebagai suri hati itu.
Mengapa boleh jadi begitu sekali Sharnaaz, sampaikan ND Lala beri amaran kalau guna saluran media jangan biadab! Tidak sampai sehari, kenyataan itu disiarkan, episod berbalas kenyataan antara Sharnaaz dan ND nampaknya semakin berlarutan. ND Lala kata Sharnaaz biadab, Sharnaaz pula bilang ND Lala sebagai pusing cerita dan lari daripada dirinya.
Diva sebenarnya kagum dengan kehebatan cinta Sharnaaz terhadap Shila, macam dalam filem Hindustan. Sharnaaz kat KL siap cakap, dia nak jadi anak jantan dan sanggup berdepan dengan ND Lala untuk selesaikan perkara itu secara peribadi.
Diva bukan orang tua, bukan juga orang lama, tapi ada baiknya orang muda hormat orang tua dan orang tua kasih orang muda.
Diva: Suka ayat, 'ini semua poyo!' Macam kata Awie.

BR1M 2.0 mula diagih

Posted: 03 Feb 2013 05:16 AM PST

NAJIB menyerahkan wang BR1M 2.0 kepada beberapa penerima di Ampang, Selangor semalam.


AMPANG - Dana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang bakal dinikmati oleh tujuh juta isi rumah dan individu bujang mula diagihkan di seluruh negara semalam.
Majlis pelancaran bantuan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM3 bilion itu dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.
Menurut Najib, pemberian BR1M merupakan bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah juara dalam mentadbir negara dan mengurus ekonomi.
Katanya, pemberian BR1M yang memasuki pusingan kedua diteruskan selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri merekodkan kutipan cukai yang tinggi mencecah RM125 bilion tahun lalu.

BANTUAN. Tiga penerima (dari kiri) Barudin Md. Saad, 67, Huan Seok Eng, 50, dan Lim Kim Huat, 72, menunjukkan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 yang diterima di Taman Derga Jaya, Alor Setar semalam.


"BR1M merupakan janji kerajaan BN kepada rakyat, ia boleh ditunaikan kerana pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara dilakukan dengan baik," ujarnya pada majlis pelancaran bantuan itu di sini.
Menerusi pemberian BR1M tahun lalu, kerajaan menyalurkan bantuan RM500 kepada 4.2 juta isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah melibatkan peruntukan kira-kira RM2.2 bilion.

KONGSI KEGEMBIRAAN. Beberapa penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 daripada pelbagai kaum teruja selepas menerima baucar wang RM500 di Butterworth semalam.


Pada pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemberian BR1M 2.0 diperluaskan kepada orang bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan kurang RM2,000. Mereka layak menerima RM250.
Dalam pada itu, Najib berkata, pembangkang cuba menghasut rakyat supaya membenci kerajaan dengan mendakwa dana bagi pemberian BR1M 2.0 dikutip antaranya melalui pelaksanaan peraturan kamera lalu lintas Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

CERIA. Sebahagian daripada orang ramai menunjukkan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 bernilai RM500 yang diagihkan di Jelebu semalam.


"Ini tuduhan palsu yang dibuat pembangkang. AES bukan cukai pada rakyat, ia hanya denda bagi mereka yang memandu laju, itu pun masih di peringkat kajian," katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memberitahu, kira-kira 950,000 penerima di seluruh negara telah mendapat wang BR1M 2.0 semalam.
"Bantuan disampaikan secara berperingkat-peringkat, semua yang membuat permohonan akan diberi surat jawapan. Kita yakin pada hujung bulan ini semua agihan akan selesai," katanya ketika dihubungi semalam.

Buaya baham pekerja ladang ditangkap

Posted: 03 Feb 2013 05:15 AM PST


BEBERAPA anggota SFC dan JPAM menarik buaya seberat 500 kilogram yang ditangkap
di Sungai Teniku, Miri semalam.


MIRI - Seekor buaya seberat hampir 500 kilogram yang dipercayai membaham seorang pekerja ladang kelapa sawit dua minggu lalu berjaya ditangkap pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di Sungai Teniku di sini semalam.
Reptilia ganas itu ditangkap menggunakan umpan bangkai ayam dengan mata pancingnya diikat pada tong minyak dan dibiarkan di sungai tersebut sejak seminggu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi semalam, kelibat haiwan itu yang meronta-ronta cuba melepaskan diri selepas tersangkut pada mata pancing disedari beberapa pekerja ladang kelapa sawit.
Salah seorang pekerja ladang, Jefri Sarapam berkata, dia dan rakan-rakannya ternampak tong itu tenggelam timbul dan bergerak melawan arus.
"Tidak lama kemudian, air berkocak kuat dan seekor buaya timbul sambil meronta-ronta cuba melepaskan diri namun gagal kerana tong tersebut tersangkut pada belukar.
"Saya percaya buaya sepanjang kira-kira lima meter itulah yang menyerang rakan kami dua minggu lalu," katanya di sini semalam.
Tambahnya, saiz reptilia itu yang besar dan berat menyebabkan anggota SFC dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terpaksa berhempas pulas dan mengambil masa hampir lima jam sebelum berjaya membawa haiwan berkenaan naik ke darat.
Pada 18 Januari lalu, seorang pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Ical, 23, maut dibaham buaya ketika turun ke sungai untuk memeriksa pukat.
Sementara itu, jurucakap SFC ketika dihubungi berkata, buaya berkenaan masih dalam jagaan pihaknya sementara menanti tindakan susulan.
Bagaimanapun, dia memberi jaminan haiwan tersebut tidak akan dibunuh.

Liyana berhijrah ke Sabah demi suami

Posted: 03 Feb 2013 05:14 AM PST

DETIK mesra Liyana bersama Fathuddin selepas diijabkabulkan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Selepas menangguhkan perkahwinan mereka pada 24 Januari lalu, pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay akhirnya selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hatinya, Fathuddin Mazlan di Hotel Seri Pacific di sini semalam.
Dengan dua kali lafaz, Fathuddin yang juga seorang ahli perniagaan, sah menjadi suami kepada Liyana yang dikenalinya menerusi seorang rakan setahun lalu.
Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa Liyana, Datuk Jasmay Md. Shah dengan mas kahwin berupa seutas gelang emas bernilai RM5,500 serta hantaran berjumlah RM28,388.
Liyana, 25, dan Fathuddin, 29, yang ditemui sejurus majlis akad nikah itu meluahkan rasa syukur kerana harapan mereka untuk mendirikan rumah tangga tercapai.
"Alhamdulillah, majlis berjalan lancar, kami akan berusaha menjaga keharmonian rumah tangga sekali gus menjadi seorang isteri yang baik," kata Liyana.
Liyana akan menetap di Kota Kinabalu mulai awal bulan depan bagi mengikut suaminya yang menguruskan perniagaan di bandar raya tersebut.
"Walaupun menetap di Sabah, saya tetap ke Kuala Lumpur jika ada hal yang perlu diuruskan," katanya.

Kekalkan mesej filem P. Ramlee

Posted: 03 Feb 2013 05:13 AM PST

SARIMAH


KUALA LUMPUR - Filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mempunyai mesej tersendiri untuk menjana pemikiran penonton dan elemen tersebut sepatutnya menjadi fokus utama Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee.
Rakan seperjuangan P. Ramlee, Datuk Sarimah Ahmad berkata, elemen-elemen itu penting kerana ia menjadi ramuan utama kenapa mesej filem P. Ramlee terus kekal dihayati walaupun selepas 39 tahun Allahyarham meninggal dunia.
"Penonton boleh mengambil iktibar dan pengajaran daripada setiap filem arahan P. Ramlee, misalnya dalam filem Anakku Sazali yang menceritakan kasih sayang seorang bapa yang terlalu memanjakan anaknya.
"P. Ramlee merupakan seorang yang mendahului zamannya. Jadi, pengarah filem muda sekarang perlu rajin buat kerja rumah, memerhatikan alam sekeliling dan mendalami hubungan sesama manusia bagi menghasilkan filem yang mengandungi mesej dan erti tersendiri," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas mengenai elemen dan ciri yang perlu ada pada karya Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee yang dianjurkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Sarimah berkata, semuanya terserah kepada kreativiti peserta.
"Saya akui arwah merupakan seorang yang genius dalam bidangnya dan tidak ramai manusia yang mempunyai bakat yang sama.
"Bagaimanapun, sekiranya arwah masih hidup sekarang, kita tidak mengetahui bagaimana corak pemikiran beliau, jadi terserah kepada kreativiti pengarah sekarang untuk menghasilkan sesuatu filem," katanya.
Sementara itu, anak P. Ramlee, Sazali menyokong penuh usaha untuk menghasilkan semula filem-filem P. Ramlee supaya ia terus kekal dalam ingatan peminat pada masa depan.
"Bagi saya, tidak mengapa sekiranya karya tersebut dilihat terkeluar sedikit daripada filem asal, biarlah ia dihasilkan dengan idea dan gaya tersendiri," katanya.
Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM70,000 iaitu RM20,000 kepada juara, RM15,000 untuk tempat kedua dan tempat ketiga RM10,000 selain lima hadiah penghargaan RM5,000 setiap satu.
Maklumat lanjut dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang www.aswara.edu.my.

24 maut pos tentera Pakistan diserang

Posted: 03 Feb 2013 05:11 AM PST

ASKAR-ASKAR Pakistan berkawal dekat pos tentera yang diserang di Sari Norang, dalam daerah Lakki Marwat, kira-kira 240 kilometer ke selatan bandar Peshawar semalam.


PESHAWAR - Beberapa pengebom berani mati menyerang sebuah pos kawalan tentera di barat daya Pakistan semalam menyebabkan 24 orang maut, kata beberapa pegawai dengan kumpulan Taliban mengaku melakukan serangan nekad itu.
"Seramai 13 anggota keselamatan dan 11 orang awam maut dalam serangan tersebut," kata seorang pegawai keselamatan.
Menurutnya, serangan berlaku sekitar 240 kilometer ke selatan bandar ini yang merupakan ibu negeri wilayah Khyber-Pakhtunkhwa.
Seorang lagi pegawai berkata, semua penduduk itu mati apabila seorang pengebom melarikan diri ke dalam sebuah rumah ketika askar-askar melancarkan serangan balas dari pos kawalan mereka.
"Dia memasuki sebuah rumah di kawasan penempatan jabatan pengairan dan meletupkan dirinya. Empat kanak-kanak, tiga wanita dan empat lelaki maut di rumah tersebut," kata pegawai kanan pemerintah, Nisar Ahmed.
Katanya, empat buah rumah rosak manakala lapan askar turut cedera dalam serangan itu.
Serangan berlaku di pos kawalan yang dikendalikan bersama oleh tentera Pakistan dan pasukan separa tentera di Sarai Norang, dalam daerah Lakki Marwat, berdekatan kawasan puak-puak yang dipenuhi militan Taliban dan kumpulan Al-Qaeda.
Seorang pegawai keselamatan lain di sini memberitahu, pasukan keselamatan telah membunuh 12 militan dalam serangan tersebut.
Kumpulan Taliban mengaku melancarkan serangan nekad itu tetapi menyatakan, mereka hanya menghantar empat pengebom berani mati.
"Serangan ini dilakukan bagi membalas dendam dua sahabat kami yang mati dalam serangan pesawat dron baru-baru ini," kata seorang jurucakap kumpulan Tehrik-e-Taliban Pakistan, Ehsanullah Ehsan kepada agensi berita AFP melalui panggilan telefon.

Iran bina jet pejuang futuristik

Posted: 03 Feb 2013 05:11 AM PST


GAMBAR yang disiarkan di laman web Presiden Iran menunjukkan Presiden Mahmoud
Ahmadinejad (tengah) berbual dengan juruterbang pesawat buatan Iran, F-313 di Teheran semalam.


TEHERAN - Iran memperkenalkan jet pejuang buatan sendiri semalam dengan Presiden Mahmoud Ahmadinejad menyifatkannya 'antara pesawat tercanggih' di dunia.
Stesen televisyen Iran menyiarkan pesawat futuristik berwarna kelabu, Qaher (Penakluk) F-313 itu yang dipamerkan di sebuah hangar di sini.
Pendedahan tersebut dibuat ketika Iran menyambut ulang tahun ke-34 revolusi Islam pada 1979 yang menumbangkan kerajaan Shah Iran.
Media tempatan memetik Menteri Pertahanan Ahmad Vahidi sebagai berkata, jet itu sukar dikesan oleh radar dan boleh mendarat di landasan pendek serta memenuhi keperluan Tentera Udara Iran.

Lebih 40 maut menjelang Tahun Baru Cina di China

Posted: 03 Feb 2013 05:10 AM PST


GAMBAR yang disiarkan agensi berita Xinhua menunjukkan petugas-petugas penyelamat berada di lokasi sebahagian jejambat runtuh di Daerah Mianchi, dalam wilayah Henan di tengah China kelmarin.


BEIJING - Lebih 40 orang terbunuh di jalan-jalan raya dalam empat kemalangan dahsyat di China sejak kelmarin apabila ratusan juta penduduk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Tahun Baru Cina pada 10 Februari ini.
Menurut pihak pentadbiran daerah Gulin, dalam wilayah Sichuan di barat daya China, seramai 11 orang maut apabila sebuah bas terbalik kelmarin.
Agensi berita Xinhua melaporkan semalam bahawa 13 orang terbunuh apabila sebuah bas yang sarat dengan penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 100 meter wilayah Guizhou yang berjiran dengan Sichuan.
Menurutnya, kemalangan maut di daerah Congjiang itu turut menyebabkan 21 orang cedera termasuk 11 parah.
Nahas itu berlaku semasa bas berkapasiti 19 tempat duduk itu membawa seramai 34 penumpang.
Satu lagi kemalangan maut berlaku malam kelmarin di wilayah Gansu apabila sebuah bas sewa khas terbabas di satu selekoh lalu terjunam ke dalam gaung sebelum terbakar.
Menurut Xinhua dan pentadbiran wilayah Henan, kemalangan ngeri itu meragut 14 nyawa dan mencederakan 32 yang lain.
Di wilayah Henan, tengah China pula sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh apabila sebuah trak membawa bunga api untuk sambutan Tahun Baru Cina meletup dengan menyebabkan jejambat di sebuah lebuh raya runtuh.

Disemadi dalam kendi berlian

Posted: 03 Feb 2013 05:09 AM PST



JUMAAT lalu, ratusan ribu rakyat Kemboja membanjiri jalan-jalan utama di Pnom Penh sebagai menghormati upacara perarakan prapersemadian bekas Raja Kemboja, Raja Norodum Sihanouk.
Dengan mengenakan pakaian putih dan hitam, lautan manusia mula berkumpul sejak waktu Subuh untuk memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin terulung dalam sejarah Kemboja moden itu.
Sihanouk dilihat sebagai tokoh utama yang sentiasa ingin bersama rakyatnya.
Biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai ancaman dan kesukaran, kebijaksanaan dan kesabaran Sihanouk akhirnya berjaya membawa kedamaian buat rakyat dan negaranya.
Baginda mengambil keputusan untuk turun takhta pada 2004 selepas enam dekad bergelar raja.
Sihanouk memberi peluang kepada puteranya, Raja Norodom Sihamoni untuk meneraju tampuk kepimpinan negara, biarpun pada ketika itu, ramai yang beranggapan Sihamoni keberatan untuk mengambil alih jawatan tersebut daripada ayahandanya.
"Sepanjang tempoh pemerintahan baginda, Kemboja mendapat kemerdekaan daripada Perancis, berdepan dengan perang saudara, kerajaan dirampas puak Khmer Rouge yang zalim malah baginda juga pernah dibuang negeri.
"Baginda telah melakukan banyak perkara hebat untuk negara ini. Saya sangat menyayanginya.
"Kemangkatan baginda adalah perkara yang cukup menyedihkan kami semua," ujar Suon Toch, 70, yang tidak lepas-lepas memegang potret Sihanouk sepanjang perarakan berlangsung.

SAMI antara pihak penting yang ditugaskan menjalankan ritual agama sepanjang tempoh berkabung.


Pedati bersalut emas
Dalam perarakan tersebut, ribuan rakyat Kemboja berjalan mengiringi pedati bersalut emas yang membawa jenazah Sihanouk ke istiadat persemadian di Gunung Suci yang terletak bersebelahan istana, kawasan yang sama baginda ditabalkan sebagai raja lebih 70 tahun lalu.
Sebelum ini, jenazah bapa kepada 14 orang anak itu ditempatkan di Istana Diraja selama tiga bulan selepas ia diterbangkan pulang dari Beijing Oktober lalu.
Bagi generasi lama warga Kemboja, kemangkatan Sihanouk cukup dirasai.
Sebagai tanda sanjungan hormat dan ketaatan yang tidak berbelah bagi, ramai yang melutut dan menggenggam tangan sambil berdoa apabila perarakan jenazah melewati mereka.
Turut mengiringi pedati tersebut ialah Raja Sihamoni dan isteri keenam mendiang Sihanouk, Permaisuri Norodom Monineath.
Baginda berdua kelihatan sugul, adakalanya menangis teresak-esak ketika berjalan di belakang pedati yang membawa keranda Sihanouk yang menyerupai wat yang dilitupi bungaan putih setinggi lebih 2 meter.

PEDATI bersalut emas dibawa berarak ke sekeliling bandar dengan penuh istiadat persemadian diraja.


Jenazah Sihanouk akan disimpan di tapak pembakaran selama tiga hari bagi acara keagamaan selain memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum istiadat pembakaran diraja dilakukan pada pukul 6 senja esok.
Bagi memastikan kelancaran istiadat persemadian tersebut, satu jawatankuasa khas terdiri daripada pegawai-pegawai kanan istana ditubuhkan sebaik sahaja kemangkatan Sihanouk diumumkan Oktober lalu.
"Kami bekerja keras selama beberapa bulan untuk memastikan upacara perarakan dan persemadian berjalan lancar.

SIHAMONI dan ibunya membakar colok sebelum pedati yang membawa jenazah Sihanouk berarak.


"Bukan itu sahaja, kami juga perlu memastikan istiadat diraja ini dijalankan dengan penuh adat dan tradisi, sama seperti istiadat persemadian Raja Suramarit, ayahanda Sihanouk yang berlangsung pada 1960," ujar ahli jawatankuasa kecil agama, Nhek Bun Chhay.
Bagi mengelak sebarang kekurangan dan kelemahan, mereka diwajibkan menjalankan penyelidikan tentang istiadat persemadian dengan menonton video dan membaca dokumen bertulis di muzium berulang kali.
"Kami hanya duduk di sana untuk membaca dokumen dan menonton video. Selain itu, kami juga mencari beberapa pegawai istana yang masih hidup untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang istiadat ini," kata Bun Chhay lagi.
Tidak hanya menumpukan adat istiadat persemadian, jawatankuasa ini turut menitikberatkan kelancaran program lain seperti perarakan dan persembahan.
"Upacara persemadian adalah ritual biasa yang boleh ditemui di mana-mana di Asia Tenggara.
"Namun, untuk istiadat persemadian diraja, ia memerlukan perancangan teliti dan melakukan apa sahaja yang terbaik untuk menghantar jenazah ke dunia yang lebih baik," jelasnya.
Dalam istiadat persemadian Sihanouk, seramai 5,000 petugas memainkan peranan penting bagi memastikan kelancaran perarakan di 11 lokasi di seluruh bandar.

WANITA ini membotakkan kepala tanda menghormati kemangkatan Sihanouk.


Pecah tradisi
Dianggarkan lebih sejuta rakyat Kemboja keluar berarak bersama pedati yang membawa jenazah Sihanouk di bandar Pnom Penh kelmarin.
Mengikut adat persemadian, kerabat lelaki akan memulakan upacara membotakkan kepala sebagai tanda berkabung.
Ia diikuti oleh para menteri, pegawai mahkamah, hakim, polis, tentera, sami Buddha, wakil-wakil etnik dan rakyat sama ada lelaki dan perempuan yang memasang niat untuk berkabung sebagai tanda hormat dan kasih kepada Sihanouk.
Sebelum kemangkatannya, Sihanouk pernah berpesan, andainya baginda mangkat, baginda enggan jenazahnya diletakkan di dalam sebuah kendi seperti raja-raja sebelumnya.
Menurut anakandanya, Putera Norodom Ranariddh, ayahandanya mahu memecah tradisi kuno.
"Baginda mahu diletakkan di dalam keranda hingga ke saat persemadiannya. Itu wasiat terakhirnya yang perlu dipatuhi," ujar Ranariddh.


KEPRIHATINAN figura ulung pada era Kemboja moden ini meninggalkan kenangan manis di hati rakyatnya.


Secara tradisinya, Sihamoni dan ibunya akan memulakan istiadat dengan menyalakan api unggun untuk membakar jenazah Sihanouk.
Sebaik sahaja keranda pertama dibakar, pihak tentera akan melepaskan 101 das tembakan meriam.
Ia disusuli dengan letusan bunga api selain alunan orkestra tradisional pinpeat yang mengiringi bacaan ratib keagamaan di kuil.

Pada senja yang sama, lebih 400 banduan dijangka diberi pengampunan. Beberapa hari selepas istiadat pembakaran selesai, Sihamoni dan ibunya akan menabur sedikit abu mayat Sihanouk di Sungai Mekong. Baki abu tersebut kemudiannya disimpan di dalam kendi berlian untuk ditempatkan di ruang penyimpanan abu mayat kerabat diraja di istana.

Azizah obses baju Melayu

Posted: 03 Feb 2013 05:08 AM PST

AZIZAH mempunyai hobi mengumpul kereta klasik jenis Volkswagen.


AZIZAH OMAR tidak lekang dengan senyuman manisnya ketika ditemu bual kru Jurnal Jumaat lalu di Butik Omar Ali di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Walaupun penampilannya ringkas, beliau bijak mengenakan warna tudung serta baju yang sedondon sekali gus membuatkannya tampil elegan.
Beliau yang merupakan anak bongsu daripada 11 orang anak Omar Ali berasa bangga dapat meneruskan legasi bapanya yang mengasaskan jenama butik itu lebih 78 tahun lalu.
"Kesungguhan arwah ayahlah yang telah memberikan inspirasi kepada saya. Beliau bekerja kuat sepanjang hari tetapi tetap mempunyai masa untuk bersarapan dan makan malam bersama anak-anak.
"Sebenarnya, itu sahaja waktu terluang untuk kami bersama dan menceritakan perihal kami adik-beradik," katanya membuka bicara.
Azizah yang merupakan pasangan hidup kepada Idris Mokhtar, 49, teruja menceritakan asas perniagaan ayahnya bermula setelah dia bekerja dengan seorang usahawan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

KEPUASAN pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Azizah.


Menteri
Katanya, lelaki Jepun itu mengusahakan sebuah butik pakaian. Ayahnya bekerja selama dua tahun sebelum mengambil keputusan membuka butik sendiri di Bazaar Melayu yang kini dikenali sebagai Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada tahun 1945.
Tutur Azizah, walaupun tempoh belajar yang singkat, mentornya (Omar Ali) itu tidak kering dengan idea untuk menghasilkan baju Melayu tradisional yang berkualiti tinggi.
"Itu sifat dan pendirian yang saya cuba kekalkan untuk memuaskan hati pelanggan dengan kualiti, jahitan dan corak terkini.
"Bukan senang untuk memuaskan hati pelanggan yang menempah baju Melayu sejak zaman 1945 lagi sehingga sekarang. Bukan sahaja untuk mereka tetapi diwarisi sehingga cucu dan cicit," ujarnya bersemangat.
Tambahnya, butik Omar Ali pernah menerima tempahan baju Melayu daripada menteri, tokoh terkenal dan artis popular.
Lupakan sebentar kisah mengenai ayahnya dan beralih pendapatnya sendiri mengenai baju Melayu.
Tutur wanita berjiwa besar ini, imej dan identiti baju tradisional negara itu harus dikekalkan.
Jelasnya, ada segelintir anak muda inginkan fesyen yang agak keterlaluan.
"Tidak salah tetapi kalau sampai seluar baju Melayu berwarna lain, baju dan poket pula warna berbeza, ini agak tidak kena.
"Penampilan sedemikian kurang menyerlah. Biasanya saya tidak menerima tempahan seperti itu namun ia terpulang kepada gaya masing-masing," katanya.
Tambahnya, beliau tertarik dengan penampilan lelaki yang mengenakan baju tradisional itu dengan lengkap menyarung kain sampin, butang serta songkok.
"Cukup bergaya cuma takut ada isteri yang risau sekiranya suami sering memakai pakaian sedemikian. Sama ada buang tabiat atau khuatir pasangan mereka akan kahwin lagi," cerita Azizah berjenaka.
Wanita ini juga gemar mengumpul kain sampin. Sungguhpun memiliki butik pakaian, Azizah sebenarnya tidak mahir menjahit.
"Saya lebih tertarik untuk memberikan komen selain mereka rekaan moden dan berbeza," katanya.

BUTIK Omar Ali yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.


Beliau juga memberikan syarat kepada suami dan seorang anak lelakinya supaya memakai baju Melayu lengkap semasa menunaikan solat Jumaat di masjid dan hari pertama sambutan Aidilfitri selain memenuhi jemputan kenduri kahwin.
Kereta antik
"Kita perlu bangga dengan warisan kita. Jika saya bukan seorang wanita saya akan memakainya," katanya sambil ketawa.
Walaupun perwatakannya agak lembut, Azizah turut mempunyai hobi mengumpul kereta antik.
"Setakat ini, saya mengumpul tiga kereta jenis Volkswagen lama iaitu Beetle, Karmann Ghia dan Bus. Ketiga-tiga kenderaan ini masih berfungsi dengan baik.
"Malah, saya sering memandu Volkswagen Bus untuk pergi kerja dan bersiar-siar sehingga ada yang pelik dengan perbuatan itu," jelasnya.
Azizah memberitahu, barangan klasik tidak semestinya mahal dan sukar diperoleh, cuma perlu menjaganya dengan baik dan membaikinya dengan segera sekiranya rosak.
"Ibarat kata pepatah, jika tiada yang lama tidak akan ada yang baharu," katanya.
Pengarah Urusan Omar Ali Holdings Sdn. Bhd. ini juga bercadang melancarkan laman beli-belah dalam talian pada bulan Mac ini.

Berjimat bukannya kedekut

Posted: 03 Feb 2013 05:07 AM PST


KEKAYAAN lelaki ini mencecah RM48.6 billion.


INGVAR KAMPARD merupakan seorang pengasas syarikat perabot gergasi dunia - Ikea dan salah seorang individu terkaya dunia.
Selain jenama Ikea yang menyebabkan beliau menjadi ikon, lelaki berjiwa besar ini juga dikenali umum seorang yang cerewet dalam soal berbelanja.
Sikap sedemikian menyebabkan sesetengah pihak mengatakan beliau seorang yang tangkai jering atau kedekut.
Kampard sering tampil di khalayak umum dengan mengenakan jaket lusuh yang sudah dimamah usia selain kasut usang bagi mencerminkan sifat peribadinya.
Berkahwin dan mempunyai empat orang anak, lelaki yang memulakan empayar perniagaan dengan hanya menjual batang mancis itu hanya menggunakan kelas penerbangan ekonomi untuk urusan perniagaan.
Menurut satu temu bual beliau dengan sebuah stesen televisyen Sweden, Kampard menggalakkan kakitangan Ikea untuk menulis di kedua-dua helaian kertas.
Kampard juga masih memandu sendirian kereta Volvo 240GL yang dibelinya hampir 20 tahun lalu.
Dihalau
BAHAGIA bersama isterinya, Margaretha.


Malah pemilik harta yang dianggarkan berjumlah AS$15.7 bilion (RM48.6 bilion) ini sanggup memecat tukang gunting rambutnya yang bertugas sejak sekian lama kerana berjumpa dengan tukang gunting rambut baharu yang sanggup menerima bayaran RM24 untuk sekali khidmat.
Tutur Kamprad, memikirkan cara untuk menjimatkan duit bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk pelanggannya.
Itulah prinsip peribadinya yang tertinggi. Beliau pernah berkata "Orang yang membeli-belah di Ikea tidak memandu kereta mewah mahupun tinggal di hotel mewah."
Rumah yang didudukinya hanyalah sebuah banglo setingkat sederhana besar dengan perabot di dalamnya diperoleh secara percuma daripada Ikea.
Salah satu kisah menarik mengenai dirinya ialah pernah dihalau oleh penyambut tetamu ketika menghadiri majlis penganugerahan ahli perniagaan berjaya. Kejadian itu berlaku selepas Kampard dilihat turun dari sebuah bas.
Ditanya oleh para wartawan mengenai sikap berjimat cermatnya, lelaki berumur 86 tahun itu menjelaskan: "Saya memang seorang yang penjimat dan tidak berbelanja berlebihan, anda ada masalah tentang itu?"
Beliau pernah ketagihan alkohol sebelum dapat membuang tabiat itu.

RUMAH keluarga Kampard di Sweden yang menjadi titik asal untuknya memulakan perniagaan.


Tawar-menawar
Kamprad juga hidup sederhana bersama isterinya Margaretha di Switzerland.
Mereka juga didakwa dilihat sering makan di restoran murah dan sering tawar-menawar jika membeli barangan di kedai.
Lelaki ini juga sering membeli-belah pada waktu tengah hari kerana harga barangan basah di pasar akan menurun kerana perbezaaan kualitinya.
Nama Ikea sebenarnya merupakan akronim daripada nama pengasasnya (Ingvar Kamprad), ladang tempat beliau membesar (Elmtaryd), dan negeri tempat asalnya (Agunnaryd, di Småland, Selatan Sweden).
Sejarahnya menceburi bidang perniagaan bermula sejak beliau berumur lima tahun. Kamprad mula menjual mancis kepada jirannya dan dua tahun selepas itu beliau mula merantau untuk berniaga menggunakan sebuah basikal.
Beliau mendapati dengan membeli mancis dalam kuantiti yang banyak di Stockholm dan menjual secara berasingan dengan harga yang rendah memberi keuntungan berlipat kali ganda.
Daripada mancis, Kampard menjual benih bunga, kad ucapan, dekorasi pokok Krismas, dan pensel serta pen.
Beliau hadir dengan idea tersebut dengan asalnya menjual pen, dompet, bingkai gambar, selendang meja, jam tangan, barang kemas dan stoking nilon. Semua itu untuk memenuhi keperluan barangan dengan harga rendah.
Ikea kini diuruskan bersama tiga anaknya Peter, Jonas dan Matthias, kerana Kampard tidak mahu salah seorang anaknya mempunyai kuasa majoriti.
Beliau juga menafikan akan bersara.

KERETA Volvo 240GL yang masih digunakan oleh Kampard.


"Walaupun usia semakin lanjut, saya mempunyai banyak kerja untuk dilakukan dan tiada masa untuk berehat,' katanya kepada wartawan majalah Bilanz.
Itu sekali gus menafikan spekulasi media yang mengatakan beliau bakal bersara dan menyerahkan perniagaan kepada tiga orang anaknya.
Lelaki ini juga ditanya sama ada berlaku pertelingkahan dengan anak-anaknya dalam urusan perniagaan.
"Itu merupakan satu perkara yang normal dalam sebuah keluarga, lagi-lagi ketika menjalankan perniagaan bersama.
"Kadangkala kami berselisih pendapat tetapi itu perkara normal dalam sesebuah keluarga dan ada cara untuk menyelesaikannya," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan

Politik

Politik